Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton gesa agar pemilik Exora tidak guna OCH bukan OEM kerana ia mungkin sebabkan kerosakan enjin

    Proton gesa agar pemilik Exora tidak guna OCH bukan OEM kerana ia mungkin sebabkan kerosakan enjin

    Dengan masalah kebocoran hos penyejuk minyak (oil cooler hose atau OCH) pada Proton Exora dengan enjin turbo CFE yang dilihat masih terjadi, ada bengkel-bengkel luar kini menyediakan komponen alternatif untuk menyelesaikan masalah itu. Namun Proton menasihatkan pemilik-pemilik berkenaan dinasihatkan agar tidak membeli OCH yang ditempah khas tersebut kerana dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku.

    Menurut Ketua Pengurusan Kandungan Proton, Faisal Shah dalam laporan FMT, pembekal OCH alternatif ini diragui kepakarannya selain tidak mempunyai makmal untuk tujuan ujikaji komponen buatan mereka.

    “Isu spesifik seperti OCH pada Proton Exora adalah salah satu isu yang sedang diberi perhatian dan kita usahakan untuk menyelesaikannya. Proton menasihatkan pengguna supaya tidak membeli komponen tidak tulen.

    “Bagi Proton Exora yang menggunakan enjin turbo, ia adalah satu model yang telah dilancarkan pada 2011 tetapi, pihak syarikat masih melakukan banyak aktiviti untuk meningkatkan prestasinya, termasuk menyelesaikan apa-apa isu yang ada seperti OCH,” kata Faisal kepada FMT.

    Proton-enhancing-customer-service-15-630x392

    OCH merupakan paip penyambung yang mengalirkan minyak pelincir dari enjin kepada unit penyejuk minyak bagi memastikan ia sentiasa berada dalam suhu operasi. Sekiranya hos berkenaan pecah, ia akan menyebabkan masalah enjin menjadi panas melampau dan merosakkan komponen lain.

    Menurut Faisal, selepas beberapa tahun Exora dilancarkan dengan enjin turbo, Proton telah mengenal pasti masalah kebocoran OCH asal yang ketika itu diperbuat sepenuhnya daripada getah. Susulan daripada itu, satu panggilan semula telah dibuat untuk menggantikan OCH kereta-kereta yang terjejas, dan komponen tersebut telah dimasukkan dalam senarai servis untuk ditukar setiap 40,000 km.

    Kemudian pada 2018, Proton telah menghasilkan OCH baharu yang menampilkan material logam pada sebahagian hos tersebut, dikatakan mampu bertahan untuk tempoh jarak perjalanan sejauh 80,000 km, serta bertahan pada suhu dan tekanan lebih tinggi.

    Proton gesa agar pemilik Exora tidak guna OCH bukan OEM kerana ia mungkin sebabkan kerosakan enjin

    Faisal mewakili Proton bagi menjelaskan ketidakpuasan hati pemilik Exora yang mendakwa syarikat tersebut gagal menyelesaikan isu OCH yang kerap pecah dan mendatangkan kerugian yang banyak. Menurutnya lagi, Proton akan memanggil semula Proton Exora berkenaan jika terdapat teknologi baharu yang boleh menggantikan OCH sedia ada pada masa akan datang.

    Masalah berkaitan OCH pecah ini seringkali disuarakan menerusi hantaran Facebook di Kelab Pemilik Exora Malaysia, malah ada yang menggelar isu OCH sebagai ‘bom jangka’ untuk MPV berkenaan. Ramai pemilik mendedahkan bahawa mereka terpaksa membeli kit OCH alternatif yang berharga RM1,000, dan mendakwa Proton tidak menawarkan sebarang solusi sejak 2011.

    Ada juga pemilik yang mengadu bahawa mereka terpaksa menunggu pusat servis Proton untuk membaiki OCH kereta mereka, dan memaksa mereka mencari solusi dari pihak ketiga.

     
     
  • Op Selamat 18/Aidilfitri mulai 29 April-8 Mei 2022, dijangka 4.7j kenderaan berada di jalan raya – JSPT

    Op Selamat 18/Aidilfitri mulai 29 April-8 Mei 2022, dijangka 4.7j kenderaan berada di jalan raya – JSPT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjangkakan sebanyak 4.7 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, ekoran jangkaan pertambahan kenderaan, pihaknya akan mengatur gerak seramai 6,559 pegawai dan anggota trafik di peringkat kontinjen dan daerah bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik.

    “Cuti raya pada tahun ini agak panjang dan dijangka masyarakat akan mengambil peluang untuk beraya di kampung setelah dua tahun kita tidak dibenarkan untuk merentas negeri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri susulan Covid-19,” katanya kepada Bernama.

    Tambah beliau, tahun-tahun sebelum ini, Op Selamat 18 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ turut akan dilancarkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan. Di mana JSPT turut melakukan perancangan rapi bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan diminimumkan ke paras sekurang-kurangnya 50% penurunan.

    “Dalam Op Selamat 18 ini, JSPT akan memberi fokus terhadap Op Motosikal, Op Had Laju dan Op Perdagangan yang akan dijalankan secara penguatkuasaan menyeluruh dengan tiada sebarang rayuan akan diterima bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.

    “Aset-aset JSPT seperti motosikal dan kereta peronda juga akan dioptimumkan penggunaannya bagi tugas penguatkuasaan dan rondaan ‘omnipresent’ di lokasi panas seluruh negara,” katanya.

     
     
  • Orang Malaysia sanggup bayar RM8k sehari bagi sewa kereta mewah untuk balik kampung dengan bergaya

    Orang Malaysia sanggup bayar RM8k sehari bagi sewa kereta mewah untuk balik kampung dengan bergaya

    Untuk pertama kali dalam tempoh dua tahun ini, kurang dari sebulan kita akan berhari beraya dengan penuh gembira, tanpa sekatan. Yelah…dah dua tahun kita kena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada musim Hari Raya Aidilfitri. Jadi, tahun ini, pasti ada yang nak lepas geram raya sakan bersama keluarga dan sanak saudara.

    Kalau anda pulang ke kampung halaman kelak, tengok ada pula sepupu sepapat atau anak jiran sebelah, memandu kereta mewah, mesti terbeliak mata. Apalah agaknya kerja dia kan? Mungkin ada bisnes MLM? Tokey kosmetik OEM? Atau….mungkin dia sewa sahaja kenderaan mewah tersebut. Hah! Jangan terkejut, memang ada di kalangan kita yang sanggup mengeluarkan bajet yang tinggi semata-mata untuk menyewa kenderaan mewah, hanya untuk nampak bergaya pada Hari Raya. Malahan ada segelintir individu yang sanggup berbelanja sehingga RM7,999 sehari semata-mata untuk menyewa supercar.

    Azam, Pengurus AHMJ Luxury Car Rental memaklumkan kepada Kosmo!, permintaan terhadap sewaan kenderaan mewah untuk Aidilfitri ini sudah mula diperoleh. “Menurut rekod sewaan dalam beberapa hari ini, kenderaan yang paling popular ialah Toyota Alphard dan Vellfire. Selain itu, pelanggan juga sanggup membayar RM4,000 sehari untuk menyewa NIssan GT-R dan sehingga RM8,000 utuk menyewa Lamborghini Aventador.

    Orang Malaysia sanggup bayar RM8k sehari bagi sewa kereta mewah untuk balik kampung dengan bergaya

    Antara barisan kenderaan mewah untuk disewakan yang ditawarkan oleh syarikat terbabit termasuklah BMW i8, Audi R8, Porsche 911, McLarens, Rolls-Royces, Ford Mustang, Honda Civic Type R FK8, dan Range Rover. Selain itu, ‘King of the Highway’, Perodua Myvi turut ditawarkan dengan sewaan RM120 sehari.

    Sebenarnya, perkata ini bukanlah trend baharu. Memang ramai yang sanggup berbelanja sehingga RM20,000 seminggu untuk menyewa kenderaan mewah ini bagi menyambut Hari Raya. Pada tahun 2018, Koperasi Pengusaha Kereta Sewa Malaysia (Kopkes) berkata, untuk musim Aidilfitri sahaja, sebanyak RM10 juta keuntungan telah diperoleh oleh industri kereta sewa.

    Banyak alasan sebenarnya mengapa kereta sewa menjadi pilihan. Selain ada yang nak nampak bergaya, ada juga kerana kereta miliki mereka mengalami kerosakan dan disebabkan tidak mahu meletakkan risiko terhadap keluarga, maka pilihan terbaik adalah menyewa kereta.

    Mungkin ada yang memang tidak memiliki kereta langsung, hanya menggunakan motosikal atau naik pengangkutan awam sahaja. Dan ada juga yang tidak mahu terikat dengan pinjaman sewa beli. Jadi kalau nak pakai kereta, sewa sahaja bila-bila masa.

    Apa pun, terpulanglah untuk anda, apa alasan anda menyewa kereta waima kereta mewah atau pun yang biasa-biasa sahaja. Apa yang penting, amalkan pemanduan berhemah ketika berada di jalan raya. Apa jua kenderaan yang dipandu, tetap ada risiko jika alpa dan leka dalam pemanduan.

    Tapi jangan terkejut, ada juga yang sanggup sewa helikopter untuk pulang ke kampung halaman semata-mata tak nak tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Asal ada duit, semua boleh jadi, bro!

     
     
  • Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Sehingga kini, tiada sebarang tanda yang jelas bahawa Mazda akan kembali menghasilkan kereta sport dengan enjin wankel rotary. Platform pacuan roda belakang Mazda yang sebelum ini digembar-gemburkan akan menghasilkan sedan atau coupe bersaiz besar dengan konfigurasi pacuan roda belakang juga baru-baru ini disahkan hanya akan menjadi asas kepada model-model SUV.

    Malah Mazda juga menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai perancangan untuk menghidupkan kembali sayap prestasinya iaitu MazdaSpeed bagi menghasilkan model-model produksi jalan raya yang lebih berkuasa dengan menggunakan asas model-model sedia ada.

    Adakah Mazda hanya akan menumpukan penghasilan model-model SUV sahaja selepas ini dan melupakan terus DNA sporty mereka? Jangan lupa, Mazda masih ada lagi kereta sport pacuan roda belakang iaitu Miata MX-5, dan jenama dari Hiroshima berkenaan akan memastikan model generasi baharu roadster tersebut masih akan kekal sebagai model dengan enjin petrol dan memacu roda belakang.

    Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Menurut laporan Autocar, ketua pembangunan produk dan kejuruteraan Mazda di Eropah iaitu Joachim Kunz memberikan bayangan bahawa MX-5 adalah model yang diasingkan terus dari model-model arus perdana Mazda yang disasarkan untuk pertumbuhan syarikat, dan model tersebut akan terus kekal sebagai model yang dibina khusus untuk peminat-peminat pemanduan sporty Mazda.

    “Ia merupakan ikon untuk jenama kami dan ia akan sentiasa menerima layanan istimewa,” kata Kunz kepada Autocar. “Buat masa ini, nampaknya kami perlukan kereta ini selama-lamanya, dengan saiz dan konsep yang sama serta enjin pembakaran dalaman. Sudah tentu, sampai masanya nanti, kami perlu untuk mengelektrifikasikannya, tetapi kami mahu terus dengan konsep asli ini.”

    Kunz turut memberitahu bahawa Mazda Eropah tidak mempunyai pengaruh yang besar untuk membangunkan bersama MX-5 berbanding model-model lain kerana kereta sport berkenaan adalah “anak emas ibu pejabat Mazda” di Jepun, di mana jurutera di sana sangat komited untuk terus mengekalkan karekter aslinya kepada model generasi baharu.

    Mazda MX-5 generasi baru akan kekal platform pacuan roda belakang & enjin petrol, muncul selepas 2024

    Beliau turut menjelaskan bahawa MX-5 biasanya akan mempunyai kitaran hayat produksi yang lebih lama berbanding model-model Mazda yang lain. “Mempunyai satu generasi untuk tempoh 10 tahun bukan masalah buat kami,” kata Kunz, membayangkan model generasi baharu untuk MX-5 mungkin hanya akan diperkenalkan selepas 2024 kerana model generasi sedia ada telah diperkenalkan pada 2014.

    Jadi ada kemungkinan Mazda MX-5 generasi seterusnya ini bakal menggunakan enjin petrol Mazda yang paling efisien buat masa sekarang iaitu SkyActiv-X, yang beroperasi dengan menggunakan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan).

    Tiada pengecas turbo digunakan pada enjin ini, sebaliknya ia dibekalkan unit supercharger kecil – bukan untuk tekanan boost, sebaliknya hanya untuk memampatkan sebanyak yang boleh udara ke kebuk pembakaran. Enjin ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-petrol yang sangat lean sehingga 29.4:1. Pada Mazda 3 generasi sedia ada, enjin 2.0 liter Skyactiv-X ini ditala dengan kuasa 190 PS dan tork maksima 240 Nm.

     
     
  • Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal untuk pasaran Malaysia – RM11.7k, 5,000 unit sahaja

    Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal untuk pasaran Malaysia – RM11.7k, 5,000 unit sahaja

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Y16ZR versi ulang tahun ke-60 World GP untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM11,688 tidak termasuk insurans. Model istimewa ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja.

    Daripada aspek penampilan, Y16ZR World GP 60th Anniversary ini menggunakan grafik perlumbaan ikonik Yamaha, yang terdiri daripada warna putih sebagai warna utama, dengan jalur putus-putus warna merah di tepi, sedikit jalur kuning di hadapan serta rim warna emas.

    Menjadikannya lebih istimewa, setiap pembelian juga akan diberi sekali dengan kotak hadiah yang di dalamnya terdapat sijil keluaran, botol air World GP 60th Anniversary, pin keluaran terhad serta rantai kunci premium. Seperti kebiasaan bagi motosikal Yamaha, model ini datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, dan kunci cakera brek secara percuma.

    Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal untuk pasaran Malaysia – RM11.7k, 5,000 unit sahaja

    Bahagian mekanikal motosikal ini masih sama seperti Y16ZR biasa, termasuk enjin satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk lampu jenis LED, meter digital LCD, butang kill switch, lampu memotong (pass light), tangki bahan api 5.4 liter, angkup brek dua piston di hadapan dan satu piston di belakang, suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan monoshock, serta rim 17 inci yang dibalut tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

     
     
  • Suzuki V-Strom SX 250 diperkenal di India – 26.5 PS, meter digital boleh sambung kepada telefon pintar

    Suzuki V-Strom SX 250 diperkenal di India – 26.5 PS, meter digital boleh sambung kepada telefon pintar

    Di India, Suzuki telah melancarkan sebuah motosikal adventure kapasiti rendah, iaitu V-Strom 250 SX. Mengikuti konsep rekaan V-Strom lain yang lebih besar, model 250 ini turut mempunyai kedudukan tinggi, paruh hadapan, penghadang angin tinggi serta tempat duduk luas, menyesuaikan ia dengan ciri adventure/touring.

    Enjin yang digunakan pada V-Strom 250 SX ini sebenarnya adalah sama seperti Gixxer SF 250 dan Gixxer 250, iaitu unit satu silinder SOHC 249 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 26.5 PS pada 9,300 rpm dan 22.2 Nm tork pada 7,300 rpm.

    Suzuki tidak menyatakan berapakah jarak gerak fork teleskopik serta monoshock yang digunakan pada V-Strom 250 SX ini, tetapi melalui dimensi yang dipaparkan, ia memang terletak lebih tinggi berbanding Gixxer 250 (naked), dengan tinggi tempat duduk 835 mm serta jarak dari tanah 205 mm.

    Bagi menambahkan sedikit ciri lasak kepada motosikal ini, rimnya telah dinaik taraf dengan unit aloi 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar pelbagai guna masing-masing bersaiz 100/90 dan 140/70. Tangki bahan api masih lagi bersaiz 12 liter (sama seperti Gixxer 250), manakala berat keseluruhannya pula adalah 167 kg.

    Meskipun penampilan V-Strom 250 SX ini tidak begitu moden, ia masih diberikan dengan kelengkapan canggih termasuk panel instrumen digital yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth serta memaparkan informasi seperti notifikasi mesej dan panggilan, amaran melebihi had laju, petunjuk navigasi, waktu tiba di lokasi dan pelbagai lagi.

    Kelengkapan lain pada V-Strom 250 SX ini adalah seperti soket pengecas USB, lampu LED depan dan belakang, penghadang tangan, pelindung bawah enjin, brek cakera depan dan belakang dengan fungsi ABS, peletak kaki dengan alas getah serta tapak beg barangan yang sudah tersedia di belakang.

     
     
  • Lotus Emira V6 First Edition diprebiu di Malaysia – RM1.13 juta, 3.5L Supercharger, 405 PS/420 Nm

    Lotus Emira V6 First Edition diprebiu di Malaysia – RM1.13 juta, 3.5L Supercharger, 405 PS/420 Nm

    Selepas membuat kemunculan sulung tahun lalu, model terakhir Lotus dengan enjin pembakaran dalaman iaitu Emira kini telah pun mendarat di Malaysia. Ia belum lagi dilancarkan di sini secara rasmi, tetapi beberapa unit telah dibawa ke sini oleh Lotus Cars Malaysia untuk ditunjukkan kepada pelanggan yang berminat.

    Seperti yang kami laporkan pada November lalu, satu-satunya varian yang ditawarkan buat masa sekarang iaitu Emira V6 First Edition akan dijual di Malaysia pada harga RM1,131,800 untuk semenanjung Malaysia, dan juga RM456,900 tanpa-cukai di Langkawi.

    Unit yang dipamerkan hari ini sebenarnya adalah unit pra-produksi sebenar berwarna kelabu yang dipandu oleh bekas juara Formula 1, Jenson Button di Litar Laguna Seca tahun lalu. Manakala unit pertama Emira First Edition yang telah pun dijual kepada pelanggan di Malaysia adalah berwarna biru sama seperti unit dalam imej studio di bawah.

    Lotus Emira V6 First Edition diprebiu di Malaysia – RM1.13 juta, 3.5L Supercharger, 405 PS/420 Nm

    Berbanding generasi Elise dan Exige sebelum ini (telahpun dihentikan pengeluarannya) yang tampil ‘kosong’ dan hardcore kerana mementingkan aspek ringan untuk kelajuan, Emira adalah visi generasi baharu Lotus yang turut menawarkan ciri-ciri mewah dan mudah untuk dipandu setiap hari seperti Porsche Cayman – ini adalah sebab utama harganya mencecah RM1 juta.

    Kereta sport generasi baharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (atau digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise. Ia menggunakan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan belakang, serta ditawarkan dalam dua jenis tetapan casis.

    Tetapan casis pertama digelar Tour. Ia ditala untuk kegunaan seharian di atas jalan raya dan memberikan keseimbangan antara pengendalian dan juga keselesaan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Manakala tetapan kedua digelar Sports, dengan suspensi sport bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2. Kedua-dua tetapan ini boleh dipilih oleh pembeli menerusi ciri opsyen Drivers Pack.

    Lotus Emira V6 First Edition diprebiu di Malaysia – RM1.13 juta, 3.5L Supercharger, 405 PS/420 Nm

    Ketika didedahkan tahun lalu, Lotus mengumumkan bahawa Emira akan dijana oleh dua pilihan enjin iaitu unit rangkaian kuasa V6 supercharger yang sama seperti pada Exige sebelum ini, dan juga enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (DCT).

    Namun untuk model First Edition ini, ia hanya hadir dengan pilihan unit rangkaian pertama, atau secara spesifiknya adalah enjin Toyota 2GR-FE 3.5 liter V6 yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740 yang menghasilkan 405 PS (400 hp). Bagi model dengan kotak gear manual enam kelajuan, enjin ini menampilkan talaan tork 420 Nm. Manakala bagi pembeli yang memilih kotak gear automatik enam-kelajuan (dengan tambahan harga RM15,000), ia menerima talaan tork 430 Nm.

    Kedua-dua kotak gear tersebut dihasilkan oleh Aisin, dan kedua-dua versi transmisi ini membolehkan Emira mencapai kelajuan maksima 288 km/j. Namun bagi pecutan 0-100 km/j, versi automatik adalah lebih pantas dengan catatan 4.2 saat berbanding 4.3 saat pada model manual.

    Lotus Emira V6 First Edition diprebiu di Malaysia – RM1.13 juta, 3.5L Supercharger, 405 PS/420 Nm

    Dari segi kelengkapan pula, Lotus Emira 3.5 V6 First Edition ini hadir dengan rim aloi forged 20-inci 10-jejari rekaan-V, lampu hadapan dan belakang LED, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem pendingin hawa automatik, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan instrumen digital 12.3-inci serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, digandingkan dengan sistem bunyi KEF 340-watt.

    Perincian-perincian lain yang turut diberikan pada model ini termasuk lampu suasana berwarna putih, pelapik bumbung Alcantara, roda stereng balutan kulit berwarna hitam dan juga tempat duduk hadapan larasan berkuasa 12-hala bersama fungsi memori (2 slot) yang turut dihubungkan kepada larasan cermin sisi dan cermin pandang belakang auto-malap.

    Kereta sports terbaharu Lotus ini juga hadir dengan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri dari cruise control adaptif, sistem anti-pelanggaran, amaran keletihan pemandu, informasi tanda jalan, pengehad kelajuan kenderaan, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan tukar lorong.

    Tujuh warna tema dalaman yang boleh dipilih untuk Emira ini tanpa tambahan harga iaitu upholsteri kulit Nappa dalam kemasan merah, hitam, kelabu atau tan; atau Alcantara hitam dengan serlahan jahitan merah, kuning atau kelabu. Ia juga diberikan kemasan bendul dalam warna satin krom.

    Model First Edition ini juga datang standard dengan Design Packs, terdiri dari perincian seperti cermin privasi, set pedal sport, pelapik bumbung Alcantara hitam serta pilihan warna hitam, merah, kuning atau perak untuk angkup brek, bersama pelapik kaki dengan logo Lotus.

    Ia juga datang standard dengan Convenience Pack yang menampilkan perincian seperti penderia parkir hadapan, kamera undur, pengelap cermin hadapan automatik dengan bilah aero, cermin pandang belakang auto-malap dan juga jaring ruang storan di belakang.

    Selain dari kotak gear automatik, pilihan lain yang turut memerlukan pembeli menambah kos pada Emira ini termasuk sistem pengesan kenderaan Scorpion berharga RM5,800 dan juga Black Pack berharga RM8,000 yang menampilkan kemasan hitam pada cantrail, penutup cermin sisi, logo Lotus pada bahagian belakang dan juga tip ekzos.

    Lotus Cars Malaysia kini sudahpun menyediakan konfigurator secara atas talian bagi memudahkan anda menyemak sendiri harga Lotus Emira yang anda mahukan bersama pelbagai opsyen dan spesifikasi yang ditawarkan. Malah sekiranya anda mahu membeli dan menyimpan kereta ini di Langkawi, anda boleh bertanya terus kepada Lotus Cars Malaysia.

    Unit yang diprebiu ini kini diletakkan di fasiliti Lotus Cars Malaysia yang terletak di 43, Jalan Astaka U8/84A, Bukit Jelutong, Shah Alam. Ia sememangnya dipamerkan untuk orang ramai bermula hujung minggu ini (9-10 April), namun anda perlu menempah slot terlebih dahulu dengan menghubungi Lotus Cars Malaysia di talian 016-6112388.

    Menurut Lotus Cars Malaysia lagi, sehingga kini sejumlah 45 unit Lotus Emira telahpun ditempah untuk pasaran tempatan. Dari jumlah berkenaan 15 unit daripadanya adalah model dengan enjin V6 3.5, manakala 30 unit lagi adalah dari model dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Mercedes-AMG.

     
     
  • Toyota Corolla Altis GR Sport 2022 dilancarkan di Filipina – Toyota Safety Sense, 1.6L CVT; dari RM108k

    Toyota Corolla Altis GR Sport 2022 dilancarkan di Filipina – Toyota Safety Sense, 1.6L CVT; dari RM108k

    Toyota Corolla Altis Hybrid GR Sport 2022 (pasaran Thailand)

    Selepas pengenalan di Thailand pada Januari lalu, Toyota Corolla Altis GR Sport kini memasuki pasaran Filipina pula. Menurut Autoindustriya, varian baharu ini ditawarkan pada harga PHP1.302 (RM108,175), menjadikannya PHP87,000 (RM7,129) lebih mahal berbanding 1.6 V CVT yang dijual di sana. Malah ia turut diberikan pilihan warna kemasan White Pearl dengan kos tambahan sebanyak PHP15,000 (RM1,229).

    Untuk ciri premium, Corolla Altis GR Sport didatangkan dengan bampar hadapan baharu yang menampilkan gril bawah lebih lebar dengan corong pengambilan udara menegak tiruan dan jaluran hitam berkilat pada gril atas. Ia turut diberikan skirt sisi dan lip bampar belakang dengan sirip ala-diffuser, serta roda aloi 17-inci pula diberikan rekaan istimewa dua-tona.

    Untuk bahagian dalamnya pula, jahitan kontras merah diberikan pada tempat duduk balutan kulit, roda stereng dan perehat tangan di bahagian tengah. Malahan beberapa bahagian termasuk pemegang pintu juga diberikan kemasan merah. Untuk menambahkan ciri yang penuh bergaya, ia turut disertakan dengan butang penghidup enjin GR, pedal penukar gear dan juga alas lantai dengan jenama-GR.

    Toyota Corolla Altis Hybrid GR Sport 2022 (pasaran Thailand)

    Sebagai varian baharu yang diasaskan dari model sedia ada, ia turut menampilkan beberapa ciri yang sama seperti 1.6 V CVT, termasuk tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa, paparan pelbagai-info tujuh-inci, pendingin hawa automatik dengan corong di belakang, lampu utama LED, bilah pengelap cermin hadapan dengan fungsi pengesan hujan, kemasukan tanpa kunci. unit utama skrin sesentuh lapan-inci (dengan Android Auto dan Apple CarPlay) dan sistem bunyi lapan-pembesar suara.

    Penjana kuasanya juga sama iaitu unit 1ZR-FE 1.6 liter naturally-aspirated empat-silinder Dual VVT-i yang mampu memberikan 121 PS pada 6,000 rpm dan tork 153 Nm pada 5,200 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT yang turut diberikan mod manual. Di Thailand, Corolla Altis GR Sport juga diberikan pilihan unit ZZR-FBE 1.8 liter NA atau 2ZR-FXE 1.8 liter hybrid.

    Untuk elemen keselamatan, Corolla Altis GR Sport menerima ciri tambahan berbanding 1.6 V CVT dan merupakan varian bukan hibrid yang pertama yang didatangkan dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS). Ia merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran, Lampu Tinggi Automatik, Bantuan Mengesan Lorong, Kepekaan Ketibaan Lorong, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik dan pemantauan titik buta. Ciri standard lain termasuk tujuh beg udara, ABS, VSC, bantuan mula mendaki dan kamera undur.

     
     
  • Lapor jika nampak warga asing isi petrol RON95 – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)

    Lapor jika nampak warga asing isi petrol RON95 – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)

    Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa orang ramai untuk terus melaporkan ke stesen minyak sekiranya mereka mengesan ada warga asing yang mengisi petrol RON 95 yang disubsidi. Sejak pintu masuk Malaysia-Singapura mula dibuka pada 1 April lalu, terdapat beberapa berita tular yang memaparkan kenderaan dengan plat pendaftaran republik berkenaan mengisi RON 95.

    Bercakap kepada Utusan Malaysia, presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata laporan yang dikemukakan oleh orang awam adalah lebih efektif bagi menangani isu ini berbanding hanya mengambil foto dan kemudian menularkannya di laman media sosial.

    “Warga Singapura yang buat begini menggunakan kad kredit, jadi memudahkan mereka mengisi petrol RON 95 terus tanpa perlu pergi ke kaunter pembayaran. Tetapi jika juruwang mengesan tindakan tersebut, pastinya ia (tindakan mengisi RON 95) akan dihentikan. Pengusaha mahu menjual petrol RON 97 jika boleh kerana jualan rendah dan kos membelinya tinggi, jadi adalah tidak logik untuk menggalakkan rakyat Singapura mengisi tangki mereka dengan petrol RON 95,” katanya.

    Tambah beliau, sekiranya pihak berkuasa mendapati warga asing mengepam petrol RON 95, tindakan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak. Mereka yang ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang mengawal Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, boleh berdepan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, dan denda tidak melebihi RM2 juta untuk entiti atau syarikat.

    Lapor jika nampak warga asing isi petrol RON95 – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)

    Umum mengetahui bahawa kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini berkata akan melakukan pemeriksaan yang lebih kerap di stesen minyak bagi menangani isu ini dari terus berlaku.

    Kementerian berkenaan turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak, jika mereka terserempak dengan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95. Aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

    Melaporkan terus ke stesen minyak atau KPDNHEP adalah satu-satunya pilihan yang anda ada sekiranya tindakan anda untuk konfrontasi dan memberitahu si pelaku yang tindakan tersebut adalah salah. Namun jangan pula sesekali anda menekan butang Emergency-Stop (E-Stop) pada pam minyak berkenaan sebagai ‘memberikan pengajaran’. Baca ARTIKEL INI jika anda ingin mengetahui mengapa tidak boleh menekan butang E-Stop tersebut sewenang-wenangnya.

     
     
  • Hyundai Palisade facelift 2023 – teaser rasmi disiar, bakal tampil kali pertama di NYIAS 13 April ini

    Hyundai Palisade facelift 2023 – teaser rasmi disiar, bakal tampil kali pertama di NYIAS 13 April ini

    Hyundai telah menyiarkan gambar teaser bagi Palisade facelift 2023, sambil memberitahu ia akan membuat penampilan pertama di New York International Auto Show (NYIAS), yang akan dibuka kepada media 13 April dan 15 hingga 24 April untuk orang awam.

    Dua gambar gelap yang boleh anda lihat di atas adalah bahagian hadapan Palisade baru ini, dan ia masih menerapkan rekaan eksklusif sama seperti Palisade sekarang, termasuklah DRL LED pada hujung bampar yang bersambung dari atas ke bawah.

    Bezanya, model facelift ini menggunakan lampu yang lebih menegak jika dilihat secara terus dari hadapan, dengan berbentuk L, sementara lampu DRL sebelum ini lebih melengkung. Gril yang nampak seperti topi tukang masak pada Palisade sekarang juga telah diganti dengan unit yang lebih tajam dan berpetak.

    Hyundai Palisade facelift 2023 – teaser rasmi disiar, bakal tampil kali pertama di NYIAS 13 April ini

    Rekaan elemen di bahagian dalam gril ini dijadikan bersambung sehingga ke lampu utama, yang juga mempunyai bentuk sama. Konsep rekaan seperti ini sebenarnya sudah digunakan oleh Hyundai pada kereta lain termasuk SUV Tucson serta trak Santa Cruz.

    Diletakkan lebih tinggi daripada Santa Fe dalam barisan produk Hyundai, Palisade adalah sebuah SUV besar dengan tiga baris tempat duduk dan di Malaysia ia ditawarkan dalam versi yang menggunakan enjin 2.2L turbodiesel (200 PS, 440 Nm, AWD) dan 3.8L NA V6 (295 PS, 355 Nm, FWD). Harganya bermula RM328,888.

     
     
  • smart #1 didedah – SUV EV binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia, 272 PS, jarak gerak 440 km

    smart #1 didedah – SUV EV binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia, 272 PS, jarak gerak 440 km

    Akhirnya, model kelahiran semula untuk jenama kereta kompak smart kini sudahpun didedahkan secara rasmi. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model tersebut diberi nama smart #1 dan kemunculan sulungnya telah pun dibuat di Berlin, Jerman.

    smart yang sebelum ini milik Daimler AG, kini merupakan jenama yang akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (EV) selepas ia secara rasmi menjalinkan kerjasama dengan gergasi automotif China iaitu Geely. Model pertama hasil kerjasama berkenaan, iaitu crossover smart #1 ini masih direka oleh Mercedes-Benz, tetapi pembangunan dibuat oleh Geely termasuk menggunakan platform modular khas untuk kereta elektrik Sustainable Electric Architecture (SEA) Geely, serta akan diproduksi oleh Geely di fasiliti baharu yang terletak di China.

    Seperti yang terdedah menerusi imej paten sebelumnya, model produksi smart #1 ini menampilkan rupa yang hampir sama seperti model konsep smart Concept #1 yang muncul di Munich tahun lalu dengan mengekalkan bentuk badan keseluruhan yang direka seperti gula-gula jelly bean.

    smart #1 didedah – SUV EV binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia, 272 PS, jarak gerak 440 km

    Perincian lain yang dibawa dari model konsep termasuk rekaan lampu hadapan dan belakang LED yang merentangi keseluruhan lebarnya, liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid, kemasan skid plate di bawah bampar hadapan dan belakang, pembuka pintu yang tenggelam, bumbung panaromik, tiang-C yang tebal dan kesemua pintu dengan cermin tingkap tanpa bingkai.

    Apa yang berbeza, terdapat liang udara tambahan pada sisi bampar hadapan, dan pintu direka normal tanpa konfigurasi suicide door pada model Concept #1. Model produksi ini juga diberikan rim dengan permukaan rata bersaiz lebih kecil iaitu 19-inci berbanding 21-inci pada versi konsep, bersama penutup gril aktif yang membolehkan SUV ini mencapai pekali seretan serendah 0.29.

    Secara spesifiknya, smart #1 dihasilkan dengan platform SEA dengan dimensi 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar, 1,636 mm tinggi bersama jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi smart #1 sebenarnya adalah SUV dalam segmen B dengan panjang keseluruhan 60 mm lebih pendek tetapi dengan jarak roda 150 mm lebih jauh berbanding Proton X50.

    smart #1 didedah – SUV EV binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia, 272 PS, jarak gerak 440 km

    smart #1 ini digerakkan dengan hanya sebuah motor berkuasa 272 ps (200 kW) dan tork maksima 343 Nm, yang hanya memacu roda belakang, membolehkan ia dipandu sehingga kelajuan maksima 180 km/j. Motor tersebut menerima bekalan kuasa elektrik menerusi bateri lithium-ion berkapasiti 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420-440 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Dengan pengecas AC 22-kW, bateri kereta ini boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 3.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula jumlah cas yang sama boleh dicapai dalam masa hanya 30 minit. Teknologi yang ada pada smart #1 ini juga membolehkan 75% dari kotak komputernya menerima kemaskini secara over-the-air, membolehkan sistemnya ditambah baik dari masa ke masa.

    Bahagian dalaman smart #1 ini juga menerima rekaan yang seiras dengan versi Concept #1. Ia direka secara minalis, menampilkan papan pemuka ringkas yang bersambung dengan konsol terowong yang agak tinggi tanpa suis-suis kawalan fizikal. Paparan instrumen digital untuk pemandu direka nipis bersaiz 9.2-inci, dibantu dengan paparan head-up bersaiz 10-inci.

    smart #1 didedah – SUV EV binaan Geely, akan dijual oleh Proton Edar di M’sia, 272 PS, jarak gerak 440 km

    Manakala skrin sesentuh untuk sistem infotainmen yang besar bersaiz 12.8-inci diletak berdiri sendiri pada bahagian tengah papan pemuka. Skrin berkenaan menampilkan antara muka dengan gaya-globe, dan diberikan bersama avatar berbentuk musang. Kawalan sistem pendingin hawa turut diletak di dalam skrin berkenaan membolehkan papan pemuka ini ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal. smart #1 ini turut ditawarkan dengan sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara.

    But belakang SUV ini menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 273 liter. Tetapi sekiranya tempat duduk belakang dilipat, ruang tersebut meningkat kepada 411 liter. Ia turut diberikan ruang simpanan tambahan pada but hadapan kerana tiada enjin pada bahagian tersebut, tetapi ia agak kecil dengan hanya 15 liter.

    Untuk keselamatan pula, smart #1 dilengkapkan dengan tujuh beg udara serta sistem bantuan pemanduan penuh termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop&go, bantuan kekal tengah lorong, bantuan tukar lorong serta pemantau titik buta.

    Ia turut akan diperkenalkan dalam versi Launch Edition yang hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit. Model ini diberikan motif chequered pada rim, cermin bumbung, upholsteri putih yang unik serta serlahan-serlahan emas pada bahagian luaran dan dalaman seperti pada Concept #1.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, smart #1 sah akan dilancarkan di Malaysia untuk mengambil manfaat atas pengecualian cukai keatas model EV CBU (diimport sepenuhnya) yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Namun smart bukan lagi akan dijual oleh pengedar Mercedes-Benz seperti sebelum ini, sebaliknya ia akan dijual oleh Proton Edar untuk pasaran tempatan.

    Proton Edar bukan hanya menjual smart #1 ini di Malaysia, malah turut diberikan hak untuk memasarkan jenama smart berkenaan di pasaran Thailand. Ini bukan sahaja membolehkan Proton belajar dan bersedia untuk menjual dan menyediakan khidmat selepas jualan untuk model-model elektrik penuh sebelum menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri kelak, malah turut akan membantu jenama automotif Malaysia berkenaan untuk kembali bertapak di Thailand.


    GALERI: smart #1 Launch Edition

     
     
  • Tata Curvv Concept muncul di India – petunjuk model EV produksi yang akan masuk pasaran pada 2024

    Tata Curvv Concept muncul di India – petunjuk model EV produksi yang akan masuk pasaran pada 2024

    Tata Motors sebelum ini pernah membuat pengumuman bahawa mereka akan melaburkan sejumlah wang yang banyak untuk kenderaan elektrik dalam masa lima tahun akan datang, dan ini akan membawa kepada pengenalan 10 buah kenderaan elektrik (EV). Apa yang anda lihat dalam gambar ini adalah petunjuk kepada salah satu model tersebut.

    Ia dipanggil sebagai Curvv, dan Tata memberitahu, versi produksi bagi model konsep ini akan masuk ke pasaran dalam masa dua tahun akan datang. Ada beberapa penggerak akan disediakan sebagai pilihan bagi model ini, tetapi yang utama adalah penggerak elektrik penuh kerana itu adalah perancangan yang memang sudah ada sejak awal bagi Curvv. Enjin pembakaran dalaman pula akan diperkenalkan kemudian.

    Melihat kepada laporan yang dikeluarkan oleh Indian Express dan Evo India, Curvv versi produksi nanti akan dibina atas platform Generation 2 Tata yang boleh menerima penggerak elektrik, tetapi Tata sendiri masih belum mendedahkan perincian teknikal atau spesifikasinya.

    Meskipun begitu, rekaan luar dan dalam SUV ini sudah pun didedahkan sepenuhnya, menampakkan rekaan yang banyak menggunakan garis tajam berlekuk, sementara bumbung yang menjunam pula membuatkan ia kelihatan seperti Mercedes-Benz GLE Coupe. Selain jalur lampu penuh sepanjang bahagian hadapan dan belakangnya, model ini juga mempunyai lampu di sekeliling lampu belakangnya.

    Bahagian dalam pula menggunakan rekaan yang minimalis dengan corong pendingin hawa yang seakan tersembunyi, dua skrin atas papan pemuka yang rata seperti meja serta butang kawalan jenis sesentuh pada panel tengah serta stereng. Penukar gear menggunakan unit tombol yang perlu dipusing sementara di atas pula terdapat bumbung panoramik yang besar.

     
     
  • Mazda CX-60 2022 di Jepun – 3.3L 6-silinder sebaris diesel, mild hybrid; 2.5L NA, 2.5L PHEV 323 PS

    Mazda CX-60 2022 di Jepun – 3.3L 6-silinder sebaris diesel, mild hybrid; 2.5L NA, 2.5L PHEV 323 PS

    Susulan pengenalannya di peringkat global pada bulan lalu, Mazda telah mengeluarkan spesifikasi awal bagi CX-60 untuk pasaran Jepun. CX-60 adalah antara empat produk yang menjadi sebahagian daripada kumpulan Large Product jenama ini, selain CX-70, CX-80 dan CX-90.

    SUV besar ini memiliki ukuran 4,740 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda pula 2,870 mm. Ini menjadikannya 190 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi berbanding CX-5, yang miliki jarak roda 2,700 mm.

    Selain dimensi yang besar, model terkini CX-60 ini hanya didatangkan dengan lima tempat duduk. Tidak seperti CX-5, CX-60 dibangun menggunakan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak untuk memacu roda belakang.

    Untuk pasaran Jepun, CX-60 akan ditawarkan dengan empat penjana kuasa. Yang pertama ialah plug-in hybrid (e-Skyactiv PHEV) yang juga telah diumumkan turut ditawarkan untuk pasaran Eropah dan menampilkan enjin Skyactiv 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol, motor elektrik, bateri lithium-ion dan pacuan semua-roda i-Activ. Jumlah keseluruhan kuasa untuk larasan ini mencecah 323 PS (319 hp atau 238 kW) pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.


    Menyertai plug-in hybrid ialah unit Skyactiv-G 2.5 liter yang sama, tetapi tanpa teknologi plug-in hybrid dengan kuasa 188 PS (185 hp atau 138 kW) pada 6,000 rpm dan 250 Nm pada 3,000 rpm. Kuasa ini lebih kurang sama dengan CX-5 spesifikasi Jepun, walau pun puncak tork mampu sampai seawal 1,000 rpm.

    Untuk pasaran Jepun, CX-60 juga ditawarkan dengan enjin diesel, dengan unit Skyactiv-D 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 231 PS (228 hp atau 179 kW) dari 4,000 hingga 4,200 rpm dan 500 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.

    SUV ini turut ditawarkan dengan enjin diesel enam-silinder sebaris versi mild hybrid yang dipanggil e-Skyactiv D, yang disepadukan dengan sistem elektrikal M Hybrid Boost 48-voltan yang mampu menyalurkan kuasa hingga 254 PS (251 hp atau 187 kW) pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Semua enjin yang disebutkan ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard, namun belum dipastikan adakah AWD turut diberikan sebagai pilihan kepada semua varian.

    Jualan bagi CX-60 ini akan bermula di Jepun seawal musim luruh tahun ini, iaitu antara bulan September ke November. Harga dan perincian penuhnya akan diumumkan menjelang pengenalan rasminya kelak. Adakah anda juga mengharapkan model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

     
     
  • Tempoh konsesi empat lebuhraya yang diambilalih ALR dijangka tamat serentak pada Mei 2032 – Gamuda

    Tempoh konsesi empat lebuhraya yang diambilalih ALR dijangka tamat serentak pada Mei 2032 – Gamuda

    Kumpulan Gamuda Bhd memaklumkan tempoh baharu konsesi empat lebuh raya yang ditawarkan untuk diambil alih Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dijangka tamat serentak pada Mei 2032. Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

    Menurut Timbalan Pengarah Urusannya, Mohammed Rashdan Yusof, ini membolehkan pendapatan yang dijana daripada keempat-empat konsesi berkenaan berada di bawah satu akaun, sekali gus menjadikannya lebih mudah diuruskan dari segi pembayaran semula hutang.

    “Ini bermakna, dana lebihan tunai daripada keempat-empat konsesi akan digabungkan dan penyelenggaraan pembayaran hutang akan menjadi satu, tanpa perlu mengasingkan pendapatan mengikut setiap syarikat pengurusan lebuh raya.

    Tempoh konsesi empat lebuhraya yang diambilalih ALR dijangka tamat serentak pada Mei 2032 – Gamuda

    “Jika ada antara salah satu daripada empat konsesi itu mengalami kerugian, ia masih boleh ditampung oleh keuntungan tiga lagi konsesi lebuh raya yang lain. Namun, dalam konteks perniagaan lebuh raya kami di Lembah Klang, kemungkinan untuk mengalami kerugian adalah sangat rendah dan tidak mungkin berlaku,” katanya kepada Berita Harian.

    Tambah beliau, tarikh jangkaan tamat konsesi itu boleh berakhir lebih awal seandainya aliran trafik lebuh raya tinggi dan ALR pula mampu membayar semula hutang dengan pantas. Di mana penamatan tempoh konsesi awal akan memberikan penjimatan kepada kerajaan dan rakyat.

    Katanya, pengambilalihan oleh ALR itu turut memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terbabit. Ia satu tawaran yang menarik berbanding dengan peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukkan kenaikan tol bagi lebuh raya secara berkala antara lima hingga tujuh tahun, mengikut perjanjian konsesi masing-masing.

    Tempoh konsesi empat lebuhraya yang diambilalih ALR dijangka tamat serentak pada Mei 2032 – Gamuda

    “Di bawah ALR, ia menjimatkan pengguna lebuh raya bertol. Sebagai contoh, pengguna KESAS hanya membayar RM2 dan bukannya RM3 (jika ikut perjanjian konsesi semasa), memberikan penjimatan RM1 atau sekitar 50%.

    “Begitu juga SPRINT Pantai, pengguna hanya perlu membayar RM2.50 dan bukannya RM4.50, penjimatan sebanyak RM2 atau 80%. Dengan cara ini, ia memberi penjimatan secara langsung kepada rakyat sebanyak RM4.3 bilion,” katanya.

    Gamuda memiliki kepentingan dalam keempat-empat lebuh raya berkenaan sebelum ini, manakala ALR pula adalah syarikat swasta yang ditubuhkan pada Disember 2021 yang tidak berasaskan keuntungan (not for profit), di mana pemegang sahamnya tidak akan menerima sebarang dividen. Ia ditubuhkan dengan tujuan utama untuk mengawal selia syarikat yang memegang konsesi lebuh raya.

    Pada 4 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kadar tol lebuhraya yang dikendalikan oleh empat konsesi — Kesas, Smart Tunnel, Sprint dan LDP — tidak akan dinaikkan sehingga tempoh konsesi mereka tamat, dan ini akan dilakukan dengan cara menstruktur semula empat syarikat berkenaan.

     
     
  • BMW i4 2022 berharga RM390k di Malaysia – eDrive40 M Sport, jarak gerak 590 km, tempahan kini dibuka

    BMW i4 2022 berharga RM390k di Malaysia – eDrive40 M Sport, jarak gerak 590 km, tempahan kini dibuka

    Selepas tiga bulan ditampilkan buat pertama kali di Malaysia, BMW i4 kini telah pun dibuka untuk tempahan, melengkapkan lagi barisan kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan. Gran Coupé lima-pintu sifar-emisi ini menyertai barisan iX dan iX3, memberikan lebih banyak penawaran dan prestasi yang lebih baik.

    Hanya satu varian sahaja yang akan ditawarkan iaitu eDrive40 M Sport pacuan roda-belakang yang berharga atas jalan RM389,800 tanpa insurans. Angka ini termasuk dengan pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jalan yang diberikan oleh kerajaan untuk model EV, serta rebat bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal berakhir 30 Jun ini. Turut disertakan ialah waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had dan pakej servis; harga akan menurun sedikit sekiranya memilih waranti standard dua-tahun.

    Agak mengejutkan apabila ia ditetapkan dengan harga yang agak tinggi, malah lebih tinggi berbanding iX3 dan iX. Dalam pasaran negara lain, i4 sebenarnya lebih murah berbanding iX3 dan iX. Walau bagaimana pun, ia didatangkan dengan lebih banyak kit kelengkapan yang diberikan secara standard berbanding dua lagi model tersebut.

    BMW i4 2022 berharga RM390k di Malaysia – eDrive40 M Sport, jarak gerak 590 km, tempahan kini dibuka

    Bagi penjana kuasanya, ia menggunakan satu motor elektrik berkuasa 340 PS (335 hp atau 240 kW) dan tork 430 Nm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi satu-kelajuan. Antara catatan prestasinya adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 190 km/j.

    Berkenaan jarak gerak, bateri 83.9 kWh yang digunakan boleh memberi perjalanan sehingga 590 km dengan sekali cas. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 200 kW (sambungan CCS Combo 2) dalam masa 10 minit, i4 boleh sudah boleh menyediakan jarak gerak 164 km sementara apabila menggunakan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2), ia akan mengambil masa 8.5 jam untuk penuh.

    Model i4 ini adalah diasaskan dari 4 Series Gran Coupé dan ia menerima beberapa ciri rekaan unik yang mirip daripada model biasa dua-pintu itu. Ia ditampilkan dengan lampu utama trapezoidal, lampu belakang berbentuk-L dan gril berkembar ‘kidney’. Walau bagaimana pun versi elektrik ini diberikan corong Air Breather pada fender hadapan, dan antena shark fin profil yang lebih rendah.

    BMW i4 2022 berharga RM390k di Malaysia – eDrive40 M Sport, jarak gerak 590 km, tempahan kini dibuka

    Selain itu, kit M Sport ditambah dengan corong pengambilan yang lebih besar, skirt sisi yang lebih dalam dan panel kelabu kontras pada bampar belakang yang disambung pada diffuser besar. Tidak seperti kereta yang dipertontonkan pada Januari lalu, model tempatan ini menggunakan roda aloi yang lebih kecil dua-tona Style 860 M 19-inci. Selain itu, lampu utama Laserlight dan brek M Sport dengan kaliper biru juga diberikan secara standard.

    Di dalamnya, i4 berbeza dari 3 Series, 4 Series dan 4 Series Gran Coupé menerusi penampilan panel paparan freestanding dari iX, disepadukan dengan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotaimen 14.9-inci. Ia juga menggunakan BMW Operating System 8 baharu dengan antara muka pengguna yang lebih menyerlah, bentangan instrumen yang boleh dikustom dan kawalan suhu bersepadu.

    Pakej M Sport juga memberikan ciri tambahan termasuk roda stereng tiga-jejar, tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, kemasan aluminium dengan paten rhombic, pedal aloi dan headlining hitam. Papan pemuka dan tempat duduk pula dibaluti upholstery dengan kulit tiruan Sensatec, diberikan pilihan rona sama ada hitam, Mocha atau Tacora Red.

    Ciri lain yang turut diberikan secara standard termasuk loadspeaker luaran untuk memberikan amaran kepada penjalan kaki tentang kehadiran kereta ini berhampiran mereka, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik tiga-zon, bantuan parkir, kamera 360-darjah, pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyi Harman Kardon 525-watt, 17-pembesar suara dan tailgate bukaan kuasa bebas-tangan.

    Bagi aspek keselamatan, i4 didatangkan dengan kelengkapan penuh Driving Assistant Professional, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan pengelak pelanggaran serta kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto.

    i4 ini diberikan pilihan warna Black Sapphire, Mineral White dan Dravit Grey, dengan warna yang bakal ditawarkan kelak iaitu Sanremo Green dan Portimao Blue. Malah rona Brooklyn Grey juga akan diperkenalkan bagi menggantikan Dravit Grey. Menurut BMW Malaysia, bayaran ansuran bulanan akan bermula dari RM4,306.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024