Toyota baru-baru ini mengesahkan yang Hilux akan dilengkapi dengan sistem 48-volt mild hybrid pada 2024. Lebih menarik, jentera dengan teknologi yang hampir sama ini telah pun dicuba ketika acara Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pusingan ketujuh di Kenya tahun ini — model konsep Hilux MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle).
Menggunakan asas dari Hilux GR-S (GR Sport), jentera prototaip tampil dengan rekaan luaran yang hampir sama selain tulisan “Hybrid” yang dicetak besar. Bahagian dalaman juga tidak banyak berbeza, dengan ada pertambahan butang baru di tempat kawalan mod ECO dan PWR yang kebiasaannya ada untuk Hilux GR-S.
Hilux MHEV concept dipandu oleh juara dunia WRC empat kali dan bekas penyandang juara dunia Toyota, Juha Kankkunen dari Finland, yang disertai Jimmi Gathu, seorang personaliti media dan pelakon Kenya sebagai pembantu pemandu.
Percubaan itu disifatkan berjaya, dengan Kankkunen memaklumkan; “Saya 100% pasti kenderaan jenis ini akan sangat sesuai di Afrika kerana banyak pemanduan jarak jauh dan sukar untuk mengecas kenderaan elektrik. Anda boleh jimat minyak, dan kurangkan CO2. Afrika merupakan pasaran yang sangat sesuai untuk kenderaan seperti ini.”
Ini juga selari dengan strategi yang Toyota umumkan untuk mencapai neutral karbon, yang mana syarikat itu akan membangunkan jenis sistem janaan yang berbeza (sama ada pembakaran dalaman, hibrid, plug-in hybrid, hidrogen fuell cell atau bateri elektrik) untuk memenuhi situasi pasaran yang pelbagai.
Menurut Toyota, sistem mild-hybrid untuk Hilux terdiri daripada bateri 48-volt, motor-generator elektrik kecil dan komponen sokongan lain. Ini akan dipasang kepada enjin 2.8 turbodiesel empat-silinder dengan transmisi automatik enam-kelajuan untuk memberikan 10% lebih penjimatan dan masih mengekalkan kemampuan sedia ada. Fortuner juga mungkin akan mengikut jejak yang sama.
Bagi pasaran Australia, Hilux akan dilengkapi dengan sistem mild hybrid sebagai standard untuk versi 4×4 SR5 dan Rogue Double Cab pada separuh pertama 2024. Ciri ini juga akan ditawarkan sebagai pilihan untuk versi 4×4 SR Double Cab.
Akhir tahun lalu laman Facebook rasmi Hyundai Malaysia ada memuatnaik teaser beberapa model yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tahun ini, antaranya adalah satu lagi model elektrik penuh (EV) jenama Korea Selatan tersebut iaitu Ioniq 6. Dan hari ini, Hyundai Malaysia sekali lagi memuatnaik teaser untuk model berkenaan, mungkin menandakan ia akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Teaser tersebut memaparkan grafik aliran udara terhadap sebuah kereta dengan profil badan menggelembung seperti Ioniq 6 dengan kapsyen “bayangkan salah satu kereta paling aerodinamik di dunia”. Ia juga menunjukkan angka 0.21Cd, iaitu pekali geseran udara yang dihasilkan dari rekaan aerodinamik Ioniq 6 berkenaan.
Seperti Ioniq 5, Ioniq 6 ini turut diasaskan dari platform E-GMP. Namun berbanding Ioniq 5 yang hadir dengan rekaan retro berkotak, Ioniq 6 ini tampil lebih ‘bulat’ dengan rekaan seperti kapal angkasa. Ia dihasilkan dengan ukuran panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda sejauh 2,950 mm.
Dengan platform E-GMP membolehkan Ioniq 6 ini turut menerima asas sistem elektrikal 800-volt yang membolehkan ia menyokong pengecasan 400-volt. Ini membolehkan ia dicas dengan kemampuan 305 kW yang dapat memenuhkan bateri dari 10 hingga 80% dalam masa hanya 18-minit.
Ioniq 6 ini dibekalkan dengan bateri 77.4 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 610 km (kitaran WLTP) dengan satu cas penuh. Ia juga dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L), membolehkan ia bertindak seperti ‘powerbank gergasi’ bagi membekalkan kuasa ke peralatan elektik lain.
Untuk pasaran global, model ini hadir dengan versi paling berkuasa yang menawarkan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, memberikan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 320 PS dan tork maksima 605 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat.
Kami berpeluang melihat model ini di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 yang berlangsung Mac lalu. Dapat dilihat Ioniq 6 tidak dibekalkan dengan cermin sisi kerana ia digantikan dengan kamera, serta rekaan lampu Parametric Pixel diberikan pada lampu hadapan, belakang dan juga pada lampu brek ketiga.
Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 12-inci serta sistem infotainmen juag dengan skrin 12-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Pembukaan Fasa 2 bagi MRT Laluan Putrajaya (MRT2) telah mencatatan lonjakan jumlah penumpang harian sehingga 305%. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, jumlah bagi penumpang harian meningkat dari 23,000 orang ketika Fasa 1, menjadi 93,000 orang sehari bagi Fasa 2 ini.
Loke berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Negara semalam, laporan Bernama. Beliau memberikan maklumbalas terhadap soalan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, yang bertanya berkenaan rancangan kementerian untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan MRT2, yang dibangunkan dengan kos bernilai RM30.53 bilion.
Loke berkata RapidKL akan menyediakan bas perantara di sekitar Putrajaya bagi memprosikan MRT2, yang melibatkan lima laluan iaitu dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Precint 10, Precinct 16, Precinct 4, Precinct 11 dan Ayer 8. Beliau menambah jumlah penumpang dijangka meningkat berdasarkan keadaan semasa.
Bagi purata bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail (MRT Laluan Sg Buloh-Kajang, MRT2, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Kelana Jaya, KL Monorel) pada hari biasa, beliau berkata ia juga meningkat sebanyak 21% sejak awal tahun ini, dari 613,000 pada Januari ke 746,000 pada Jun.
Selain itu, beliau berkata bilangan penumpang perkhidmatan Rapid Rail dijangka meningkat lagi menjelang suku keempat 2023 apabila tren baharu ditempatkan di laluan LRT Kelana Jaya dan apabila kerja pembaikan struktur retak laluan LRT Ampang/Sri Petaling selesai sepenuhnya.
“Kementerian Pengangkutan, melalui Prasarana, akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan melabur dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan untuk menggalakkan peralihan kepada sistem pengangkutan awam yang lebih selesa, selamat dan rendah karbon,” katanya sambil menambah bahawa Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 untuk perkhidmatan rel dan bas akan diteruskan sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam.
Guangzhou Automobile Group (GAC Group) telah mendedahkan sebuah kereta terbang konsep yang dipanggil sebagai GOVE. Nama itu datang daripada perkataan ‘GAC, On the Go, Vertical Flight and Electric Vehicle (EV)’.
GOVE adalah sebuah kenderaan elektrik yang boleh naik dan turun secara menegak (eVTOL) yang menggabungkan drone penumpang dengan enam set bilah pemutar, bersama casis empat roda untuk bergerak atas jalan.
Apabila bergerak atas jalan biasa, drone dan casis ini akan bersambung sebagai satu unit, dan akan bergerak menggunakan sistem autonomous ADiGO. Apabila mahu terbang, bahagian drone akan dipisahkan daripada casis dan sistem kawalan penerbangan berserta teknologi pengenalan objek akan membolehkan ia terbang secara stabil di altitud tinggi.
Setelah terpisah, bahagian casis itu pula boleh dikawal dari jauh, untuk di hantar ke tempat mengecas. Ia juga boleh dikongsi dengan pengguna lain.
Akhir sekali, apabila drone mahu mendarat, kabin boleh terbang itu akan diselarikan dengan casis secara tepat dan digabungkan semula. GOVE juga datang dengan sistem kuasa sokongan supaya penerbangan dapat diteruskan sekiranya salah satu unit kuasa bermasalah.
GAC memberitahu, mereka menggunakan konsep MBSE (Model-Based Systems Engineering) yang banyak dipakai dalam industri penerbangan untuk menepati keperluan keselamatan, tetapi mengakui ia masih akan mengambil masa lama sebelum boleh dapat dikomersialkan.
Syarikat itu turut memberitahu bahawa GOVE sudah melengkapkan penerbangan ujian dengan manusia sebenar di dalamnya, dan ia sekaligus menjadi bukti penggerak elektrik boleh terbang ini boleh menjadi realiti pada masa hadapan.
Buat masa sekarang, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hanya ada dua model yang dijual di bilik pameran iaitu trak pikap Mitsubishi Triton dan juga MPV tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander. Jadi ini mungkin ada sinar bagi peminat Mitsubishi yang mahukan pilihan lebih banyak kenderaan jenama tiga berlian itu di sini – sebuah SUV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Outlander generasi baharu telah dilihat di SS2 Petaling Jaya!
Imej ini berjaya dirakam oleh individu yang hanya mahu dikenali oleh Jerry Mun. Unit berkenaan dilihat sudah pun menerima plat pendaftaran Malaysia yang sah – jadi sudah tentu Outlander baharu ini sudahpun mendapat kelulusan VTA dari JPJ dan tidak mempunyai masalah untuk dilancarkan di Malaysia bila-bila masa dari sekarang.
Jika diamati lagi, model yang dilihat ini adalah dari varian plug-in hybrid (PHEV) dan bukan model yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya. Outlander sememangnya pernah dijual di Malaysia oleh MMM, dan ia turut turut dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) bagi model generasi sebelum ini.
Mitsubishi Outlander generasi keempat ini membuat kemunculan sulung globalnya pada Februari 2021. Ia diasaskan dari platform CMF-C/D Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, iaitu platform yang sama mengasaskan Nissan X-Trail generasi keempat. Manakala untuk rekaan luaran dan dalaman, Outlander serba baharu ini merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi Engelberg Tourer yang didedahkan pada 2019.
Bagi model petrol penuh Outlander turut berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama seperti X-Trail. Namun bagi versi PHEV, ia masih mengekalkan teknologi asli dari Mitsubishi iaitu sistem rangkaian kuasa Mitsubishi yang ditingkat taraf dari Outlander PHEV generasi terdahulu.
Model PHEV berkenaan menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS. Enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal.
Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.
Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Bukan sahaja lebih berkuasa, malah sistem ini turut membolehkan Outlander berkenaan bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak 55 km sehingga 87 km dalam kitaran WLTP.
Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC).
Setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman atau petunjuk rasmi dari MMM berkenaan Outlander PHEV generasi baharu tersebut. Anda rasa bagaimana? Patutkan MMM menawarkan model yang lebih canggih ini di Malaysia?
Honda Beat yang diperkenalkan pada tahun 2020 sekali lagi diberikan perubahan grafik dengan sekarang ditawarkan dalam empat warna iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Harga yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd untuk skuter ini adalah RM5,990 tidak termasuk insurans.
Bahagian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59.1 km/l.
Di sebalik panel badan skuter ini, terdapat kerangka eSAF yang membantu menjadikan motosikal lebih lincah dan mudah dikawal. Melalui penggunaan kerangka ini, tangki bahan api dapat dijadikan 4.2 liter, ruang barang bawah tempat duduk menyediakan 11.7 liter dan berat keseluruhan adalah 90 kg.
Kelengkapan lain padanya adalah termasuk sistem brek CBS, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tinggi tempat duduk 740 mm serta penghidup enjin elektrik dan tendang.
Barisan model klasik moden Triumph hari ini menerima versi permulaan dengan enjin berkapasiti lebih rendah apabila dua model baru iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X diperkenalkan kepada dunia. Ia akan mula dijual pada bulan hadapan di India, sementara pasaran lain cuma akan mendapatnya bermula awal tahun depan.
Kedua-dua model baru ini mengikut penggayaan model yang lebih besar, iaitu Speed Twin 900/1200 dan Scrambler 900/1200, dan mendapat kemasan berkualiti tinggi seperti powdercoat pada perumah enjin, fork anodised warna emas serta cat premium.
Tiga warna ditawarkan untuk Speed 400 iaitu Carnival Red, Caspian Blue dan Phantom Black, sementara Scrambler 400 juga ditawarkan dalam tiga warna iaitu Matt Khaki Green/Fusion White, Carnival Red/Phantom Black dan Phantom Black/Silver Ice.
Keseluruhan bahagian dua motosikal ini adalah serba baru, termasuk enjin, yang dipanggil sebagai siri TR, dengan kapasiti 398 cc. Enjin satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan DOHC ini dipadankan bersama transmisi enam gear untuk menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm – dikatakan sebagai yang terbaik di dalam kelasnya.
Barangan untuk suspensi secara asasnya adalah sama, iaitu unit fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock gas RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, tetapi jarak geraknya adalah berbeza dengan Speed 400 menyediakan 140 mm di hadapan dan 130 mm di belakang, manakala Scrambler 400 pula lebih panjang iaitu 150 mm untuk kedua-dua hadapan dan belakang. Dengan tetapan ini, tinggi tempat duduk juga menjadi masing-masing menjadi 790 mm dan 835 mm.
Bagi menjadikan motosikal sesuai dengan karekter yang dibawa dan sasaran penggunaannya, bahagian roda juga mendapat tetapan khas dengan Speed 400 menggunakan rim 17×3 inci bersama cakera brek 300 mm di hadapan, sementara Scrambler 400 pula menggunakan rim 19×2.5 inci serta cakera brek 320 mm. Saiz rim serta brek belakang kedua-duanya masih adalah sama, iaitu unit 17 inci (lebar 4 mm untuk Speed 400 dan 3.5 mm untuk Scrambler 400) dan cakera 230 mm.
Sementara Speed 400 dijadikan lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, Scrambler 400 pula dipersiapkan dengan kemampuan untuk meredah jalan lebih mencabar dengan tayar Metzeler Karoo berbunga lebih kasar, serta ergonomik yang lebih sesuai seperti pemegang lebih lebar, kedudukan menunggang lebih tegak, pedal brek lebih besar serta peletak kaki lebih mencengkam.
Meskipun terletak sebagai model permulaan bagi Triumph, Speed 400 dan Scrambler 400 masih mendapat kelengkapan moden seperti semua lampu jenis LED, pendikit throttle-by-wire (tapi tiada mod tunggangan), immobiliser serta panel paparan gabungan analog (rpm) dan LCD.
Pada bahagian keselamatan, sistem ABS dual-channel serta kawalan cengkaman diberikan secara standard. Bagi ABS, hanya pada Scrambler 400 sahaja ia boleh ditutup, manakala untuk kawalan cengkaman, kedua-dua model menyediakan pilihan untuk ditutup secara mudah melalui butang pada pemegang.
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mula melaksanakan OP Lancar sempena perayaan Hari Raya Aidiladha bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan baik di seluruh negara mulai hari ini, 28 Jun hingga 2 Julai 2023.
JSPT dalam kenyataannya berkata, OP Lancar pada kali ini berperanan memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah seperti jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran.
Selain itu, persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan akan berlaku kesesakan yang melampau turut dipantau bagi memberi keselesaan pergerakan lalu lintas.
Dalam masa yang sama, JSPT turut memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku. Selain itu, orang ramai dinasihati agar rancang pergerakan dengan kesihatan yang baik dan minda yang cergas.
Kerajaan tempatan di New South Wales, Australia iaitu Bayside Council bakal memasang kamera-kamera dengan teknologi pengaktifan bunyi di sekitar Bandaraya Sydney, bagi memburu pengguna jalan raya menggunakan ekzos bising pada kenderaan mereka.
Menurut laporan Drive.com.au, kamera-kamera tersebut bakal dipasang di kawasan-kawasan ‘panas’ sekitar Botany Bay, selatan Sydney yang sering dikunjungi mereka yang gemar memandu dan menunggang motosikal dengan tidak bertanggungjawab.
Kamera-kamera tersebut akan diaktifkan secara automatik sekiranya mengesan bunyi dari kenderaan yang melalui jalan berkenaan. Ia akan menangkap gambar kenderaan dan juga nombor pendaftaran jika tahap desibel bunyi yang dihasilkan tersebut melebihi tahap yang dibenarkan, dan saman akan dikeluarkan selepas itu.
Buat masa sekarang Bayside Council sedang menunggu kelulusan dari kerajaan New South Wales, Badan Perlindungan Alam Sekitar (EPA) NSW dan polis NSW untuk memulakan ujian penggunaan kamera berkenaan. Ia disasarkan untuk mengurangkan “kelakuan anti-sosial” di kawasan tersebut.
Di New South Wales, tahap bunyi maksima yang dibenarkan untuk sebuah kereta adalah 90 desibel, sementara motosikal pula tidak boleh melebihi 94 desibel. EPA boleh mengeluarkan saman sekitar AUD150 (RM465) sehingga AUD500 (RM1,550) kepada individu yang menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi lebih dari yang dibenarkan.
Laporan itu turut menyebut bahawa kawasan seperti Brighton Le Sands, Dolls Point, Sandringham, dan Rockdale yang terletak di dalam bidang kuasa Bayside Council sememangnya terkenal sebagai kawasan yang popular dengan kenderaan yang diubahsuai.
Sekiranya kamera berkenaan menangkap gambar kenderaan yang menghasilkan bunyi bising dari tahap yang dibenarkan, polis juga boleh mengambil tindakan terhadap individu tersebut kerana “menggunakan kenderaan yang menghasilkan bunyi yang tidak sepatutnya” (termasuk perbuatan melakukan aksi burnout atau sengaja menekan pedal pendikit dengan kuat), dengan mengeluarkan saman berjumlah AUD206 (RM640).
Saman berkenaan tidak semestinya disebabkan oleh bunyi ekzos, malah sekiranya sistem ambilan udara turut diubahsuai dan menghasilkan tahap bunyi lebih dari yang dibenarkan, pemandu kenderaan berkenaan boleh dikenakan saman bernilai AUD150 serta dua markah demerit.
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengatasi masalah lambakan calon yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan lesen memandu di institut memandu (IM) di seluruh negara. Di mana pasukan berkenaan akan dianggotai MoT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri MoT Anthony Loke.
Katanya lagi, setiap tahun dianggarkan kira-kira 600,000 pelajar mendaftar ujian memandu bagi mendapatkan lesen lesen motosikal kelas B2 dan D. Namun demikian, lambakan itu terjadi disebabkan penutupan IM susulan pandemik Covid-19, laporan Bernama.
“Backlog panjang bukan kerana mereka tidak mendapat lesen memandu tetapi masa menunggu itu lama. Ada yang menunggu berbulan-bulan untuk menduduki ujian. Saya sudah arahkan MoT untuk melihat cara yang boleh kita bantu untuk cepatkan proses ujian memandu.
“Selain itu, kita ambil satu pertimbangan untuk membantu pemain industri IM kerana umum diketahui semasa Covid-19 mereka tidak boleh buat apa-apa. Kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai dan menambahkan beban pengusaha dan tidak adil,” katanya.
Malah bagi menggalakkan IM melabur dalam kenderaan baharu, Loke berkata pemeriksaan kenderaan dikecualikan untuk tahun pertama dan kedua.
“Untuk tahun-tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali. Namun pelaksanaannya dijangka akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi,” jelasnya.
Menurutnya, secara dasar selepas lima tahun kenderaan itu tidak boleh digunakan namun kementerian mengambil satu pengimbangan untuk membantu industri kerana semasa dua tahun berdepan pandemik Covid-19, kenderaan itu tidak dapat digunakan. Walau bagaimana pun, katanya, sekiranya undang-undang itu diteruskan, ia akan menambah beban kepada industri untuk membeli kenderaan baharu.
“Kementerian meletakkan tanggungjawab keselamatan kepada pihak industri dan sekiranya mereka gagal menjaga kenderaan dan berlaku kemalangan, MoT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0. Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula hari ini dan berlangsung sehingga 2 Julai 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 6 petang.
Ia adalah sebagai Inisiatif PLUS dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim perayaan Aidiladha 2023.
Mmenurut PLUS, pengaktifan ‘Smartlane’ juga akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan trafik semasa dengan kerjasama dan pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta petugas Lebuhraya PLUS di lokasi.
“Di lokasi SmartLane, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan,” kata PLUS.
Walau bagaimana pun, PLUS berkata, penggunaan lorong kecemasan tidak lagi dibenarkan selepas Persimpangan Bertingkat Kulai bagi trafik menuju ke Kuala Lumpur
Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan agar pemandu dan penunggang saling menghormati pengguna lebuh raya yang lain, mengamal kelajuan yang sesuai dan sentiasa berhati-hati.
Penganjur KL Car Free Morning (KLCFM) mengumumkan tiada KLCFM pada Ahad ini, 2 Julai 2023. Pembatalan acara berkenaan disebabkan sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha.
Walau pun Hari Raya Aidiladha disambut pada 29 Jun (Khamis), bermakna ia akan melibatkan cuti hujung minggu yang panjang untuk kebanyakan orang.
Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.
Seperti amalan yang dilaksanakan pada musim perayaan yang lain, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut mengumumkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan yang bertujuan untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha bagi tempoh bermula 27 Jun hingga 2 Julai 2023.
Menurut PLUS, TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.
“Kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan berada di lebuh raya kendalian PLUS terutamanya pada hari puncak iaitu 28 Jun (Rabu) dan 1 Julai (Sabtu) iaitu peningkatan sebanyak 12% berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa sempena Aidiladha Khamis ini,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.
Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang mulai hari ini hingga 29 Jun, jika anda menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, disaran memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi.
Manakala bagi yang menuju ke Negeri Sembilan, Melaka dan Perak (Tanjung Malim-Ipoh), anda disarankan memulakan perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS antara jam 12 tengahari hingga 3 petang.
Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada tempoh 30 Jun hingga 2 Julai, anda disarankan memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi dari mana-mana destinasi.
Pengguna lebuh raya sentiasa dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna lebuh raya menggunakan mod pembayaran RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.
Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka.
Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kerajaan masih mengkaji penguatkuasan bagi penggunaan kanak-kanak atau Child Restrain System (CRS) di dalam kenderaan biarpun usul mengenainya telah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini,
“Walaupun usul penggunaan kerusi khas kanak-kanak itu sudah diluluskan, kita masih mengambil pendekatan advokasi bagi mendidik orang ramai. Kita kaji dari pelbagai aspek… kalau keluarga itu anak ramai, saiz kereta besar dan sebagainya. Jadi buat masa ini kita lebih fokus kepada advokasi berbanding penguatkuasaan,” katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya HRAA oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Gombak, semalam.
Menerusi kempen keselamatan tersebut, ia juga memfokuskan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak. Di mana kerusi tersebut dapat membantu kanak-kanak dengan cara mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
“Ini kerana statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 1,252 kes kemalangan maut membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah dilaporkan dari 2012 hingga 2021,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius isu itu dan mengakui ia perlu ditangani segera menerusi penguatkuasaan berterusan dan advokasi kepada pemandu yang tidak menggunakan CRS.
“Orang ramai dinasihatkan supaya membeli kerusi CRS yang melepasi standard piawaian ISO. Ini kerana aksesori itu membantu kanak-kanak semasa berlakunya pelanggaran dengan mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
“Kerajaan berharap kempen kali ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil tentang betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak,”katanya.
Pada Disember 2019, kerajaan telah mengumumkan untuk menguatkuasakan tindakan saman selepas tamat tempoh enam bulan pendidikan kesedaran penggunaan kerusi berkenaan mulai Januari 2020. Menurut Menteri MoT ketika itu, Anthony Loke, tindakan saman perlu dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan menggunakan CRS untuk keselamatan. Namun sehingga kini, ternyata penguatkuasaan mengenai perkara ini masih samar-samar.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan bahawa tempat parkir di 67 lokasi di bawah bidang kuasanya akan dioperasikan dengan sistem parkir 2-Jam bermula 1 Julai 2023. Sistem itu dibuat di bawah Pewartaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Shah Alam) Pindaan 2023.
Laporan awal bulan ini menyebut bahawa MBSA telah mengenalpasti 67 tempat parkir di Seksyen 9, Setia Alam dan Seksyen 25 akan ditukar untuk menggunakan sistem parkir dua-jam ini dan ia hanya menunggu kelulusan dari kerajaan negeri untuk menggezetkan kawasan tersebut. Nampaknya kelulusan itu sudahpun diperolehi menerusi pengumuman baru dari MBSA ini.
Petak-petak parkir 2-jam ini akan ditandakan dengan warna oren dan ia berkuatkuasa dari 8 pagi hingga 5 petang, dari hari Isnin hingga Jumaat. Petak-petak yang dipilih ini adalah petak di kawasan sangat sibuk pada waktu pejabat bagi mengelakkan masalah individu yang memonopoli kawasan parkir tersebut. Ia akan dikenakan bayaran lebih tinggi iaitu RM1.20 sejam dan pengguna hanya boleh meletakkan kereta di kawasan tersebut maksimum hanya 2-jam.
Pengguna boleh menggunakan enam aplikasi telefon pintar untuk membuat bayaran petak-petak parkir ini iaitu Smart Selangor Parking, Flexi Parking, GoPayy, Jom Parking, Touch n Go eWallet dan Setel. Pas bulanan tidak sah digunakan untuk petak parkir 2-jam ini.
Sekiranya anda dikesan memarkir kenderaan lebih dari 2-jam dipetak-petak parkir yang bertanda oren ini, anda akan dikenakan saman. MBSA menegaskan tiada diskaun bayaran saman RM10 sekiranya ia dibayar dalam masa 24 jam seperti parkir biasa, dan tiada rayuan akan dilayan.
Sistem parkir 2-jam ini bukan hanya dioperasikan oleh MBSA. Ia telah pun dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di enam pusat komersil sejak September 2022 termasuk SS15, Taipan dan Bandar Puteri Puchong. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut memperkenalkan sistem yang sama pada kawasan tertentu.
Manakala dalam laporan Autonetmagz baru-baru ini menyebut bahawa pra-tempahan untuk SUV tersebut sebenarnya sudahpun bermula di Indonesia beberapa minggu lalu. Ini bermaksud pendedahan di GIIAS nanti bukan sekadar kemunculan global sulung bagi SUV ini, malah ia juga akan terus rasmi dijual di pasaran Indonesia.
Ketika mengumumkan tarikh kemunculannya rasminya, Mitsubishi turut telah mendedahkan beberapa imej teaser untuk model baharu ini, dan ia disahkan akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.
Setakat ini Mitsubishi belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan SUV serba baharu ini. Namun sebelum ini jenama tersebut ada menyatakan bahawa model ini akan diperkenalkan dalam versi petrol sepenuhnya terlebih dahulu, dan kemudian akan diikuti versi hibrid elektrik selepas itu.
Pada bahagian muka, versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.
Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.
Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.
Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.
Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.
Ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.
Oleh itu, SUV baharu dari Mitsubishi ini mungkin akan dihasilkan dengan badan yang berada dalam kelas segmen-B. Dan dengan enjin 1.5L tanpa turbo yang ditawarkan, ia mungkin akan berhadapan dengan model seperti Honda WR-V, Hyundai Creta dan juga kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa.
Mitsubishi juga masih belum mengumumkan nama sebenar untuk versi produksi XFC ini nanti. Namun tidak mustahil ia akan menggunakan kembali nama SUV segmen-B yang popularnya sebelum ini iaitu Mitsubishi ASX. Sebelum ini nama berkenaan telah digunakan semula untuk SUV baharu yang direbadge dari Renault Clio, tetapi ia hanya dijual untuk pasaran Eropah.
Memandangkan ini merupakan model yang dihasilkan khas untuk pasaran Asia Tenggara seperti Xpander, mungkin ia juga akan di bawa masuk ke pasaran tempatan oleh Mitsubishi Motors Malaysia?
Awas bagi pemilik bengkel yang menawarkan perkhidmatan modifikasi kenderaan yang menyalahi undang-undang di sekitar ibu negara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menjejaki anda!
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bakal melakukan pemeriksaan dan risikan bagi mengenal pasti bengkel yang menawarkan perkhidmatan sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis yang terbabit.
“Selain dari elemen kesalahan trafik, pasukan JSJ akan digunakan untuk membuat risikan dan maklumat bertujuan untuk tangkapan serta semakan rekod jenayah. Siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 akan diambil sekiranya gagal untuk memberi keterangan di atas pemilikan kenderaan terlibat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Tambahnya, pemeriksaan akan dilakukan ke atas bengkel yang melakukan pengubahsuaian kenderaan sehingga menyalahi undang-undang termasuk mengesan kenderaan curi.
Selama ini, polis memang kerap mengadakan pelbagai operasi khas bagi mengesan kenderaan yang dimodifikasi tanpa mengikut undang-undang yang dibenarkan. Jika ia dikesan di sekatan jalan raya, tindakan tegas juga akan diambil termasuk menyita kenderaan tersebut dan saman trafik akan dikeluarkan terhadap pemiliknya.
Malahan pihak penguatkuasa juga akan mengarahkan agar kenderaan terbabit diubah ke struktur asal sebelum dikembalikan kepada pemilik masing-masing. Jadi, adalah lebih adil sekiranya bengkel yang menjalankan modifikasi berkenaan turut diambil tindakan.
BYD kini telah memperluas kehadirannya di Pulau Pinang dan Johor Bahru melalui pembukaan dua Pusat BYD terbaru. Cawangan di P. Pinang terletak di Gurney Plaza, sementara yang di JB pula di Mid Valley Southkey. Jarang-jarang dilakukan, kedua-dua bilik pameran ini terletak di dalam pusat membeli-belah.
Dibangunkan oleh Sime Darby Beyond Auto, pusat terbaru ini direka untuk memberikan tahap pengalaman yang lebih tinggi kepada pelanggan. “Sambutan terhadap BYD di Malaysia sangat positif dan mengagumkan, sekaligus mencerminkan penerimaan EV di negara ini. Kami berbesar hati untuk bergerak dan meneruskan momentum berkenaan dengan memperluas kehadiram kami untuk memenuhi permintaan terhadap EV yang semakin meningkat di seluruh negara dengan kenderaan inovatif BYD,” ujar Pengarah Urusan, runcit dan pengedaran Sime Darby Motors — Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan.
“Pengembangan rangkaian BYD di Malaysia ini adalah cerminan kepada pertumbuhan positif potensi EV di sini, dengan lebih ramai warga di sini menyedari kehadiran jenama BYD dan manfaat EV. Ini juga cerminan kepada keyakinan terhadap jenama BYD dan usahasama kukuh dengan Sime Darby Motors, dan kami ingin mengembangkannya lagi,” ujar Pengarah Urusan, BYD Malaysia dan Indonesia, Eagle Zhao.
Bilik pameran di pusat beli-belah ini merupakan cawangan 1S, dan pelanggan BYD di utara dan selatan tanah air boleh mendapatkan servis lepas jualan di Jalan Sungai Penang di Pulau Pinang dan Jalan Skudai Kiri di JB. Ini adalah tambahan kepada pusat 3D flagship BYD di Sime Darby Motors City, Ara Damansara, dan bilik pameran utama di TREC KL, Jalan Tun Razak.
Sime Darby Beyond Auto memaklumkan semua pusat servis lepas jualannya dilengkapi dengan sokongan kelengkapan diagnostik bagi penyelenggaraan terperinci yang diperlukan. Pengurusan bersepadu alat ganti BYD di seluruh negara juga memastikan bekalan alat ganti sentiasa mencukupi bagi kenderaannya, dan semua di dukung oleh juruteknik terlatih yang mahir untuk memastikan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
BYD memasuki pasaran Malaysia secara rasmi pada Disember 2022 dengan pengenalan Atto 3, yang bermula dari RM150k. BYD SD Motors Malaysia juga telah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan model yang lebih kecil dan mampu milik seperti Dolphin, serta sedan elektrik Seal. Kedua-duanya mempunyai senarai spesifikasi yang cukup menarik.
Pada Mac lalu, Gentari, EV Connection dan Yinson GreenTech umumkan yang mereka telah menandatangani persetujuan untuk membolehkan saling jejak dan saling akses kenderaan elektrik di dalam rangkaian pengecas Gentari, JomCharge dan chargEV menjelang Jun.
Seperti dijadualkan, saling akses untuk pengecasan bagi ketiga-tiga platform itu kini sudah berlangsung dalam Fasa 1. Ini membolehkan pengguna mana-mana aplikasi Setel, JomCharge dan chargEV untuk menggunakan pengecas di ketiga-tiga rangkaian itu di seluruh negara.
Selain menjadikan maklumat lokasi dan akses pengecas lebih mudah di semua platform tersebut, bayaran untuk pengecasan juga lebih mudah, dengan hanya satu sistem bayaran yang akan mengendalikan semuanya.
Kerjasama ini menawarkan kepada pengguna EV akses kepada keseluruhannya lebih daripada 600 pengecas EV di seluruh Malaysia, atau hampir dua per tiga daripada jumlah keseluruhan penegcas EV yang ada di negara ini. Ia merupakan peningkatan daripada jumlah keseluruhan 550 unit yang ada Mac lalu, dengan Gentari mempunyai lebih daripada 150 pengecas, chargEV dengan 300 unit dan JomCharge dengan 100 unit.
Dalam satu hantara di Facebook, chargEV memaklumkan dalam fasa pertama, pengguna akan dapat mengakses stesen pengecas Gentari dan JomCharge di sekitar KLCC serta XPark Sunway melalui aplikasi chargeEV. Akses ini akan diperluas dari semasa ke semasa sehingga mencapai keseluruhan 600 stesen pengecas di seluruh negara.
Kebelakangan ini ada beberapa Subaru Impreza 22B STI terjual dalam laman lelongan, dan boleh dikatakan kesemua unit berkenaan berjaya pada harga melebihi RM1 juta ringgit. Maklumlah, dalam barisan model Subaru Impreza, 22B merupakan model yang mempunyai nilai paling tinggi, bukan hanya kerana ia dibina dalam jumlah terhad, malah turut mengambil kira kebolehan, nilai sejarah dan rupanya yang begitu garang.
Dan antara kesemua unit 22B tersebut, unit yang bakal dilelong di laman Silverstone Auction ini merupakan yang paling rare – ia adalah unit pra-produksi, dan dimiliki oleh lagenda rali Subaru yang menaikkan sendiri nama Impreza iaitu mendiang Colin McRae!
Impreza 22B ini hanya dihasilkan sebanyak 424-unit di mana tiga unit merupakan prototaip pra-produksi, 400 unit model untuk pasaran domestik Jepun (kesemuanya habis dijual tidak sampai sejam selepas diumumkan!), 16-unit dibawa ke United Kingdom (diberi nama Type UK, menerima sentuhan Prodrive bagi disesuaikan dengan keadaan pemanduan di negara tersebut) dan lima unit dibawa ke Australia.
Walaupun 22B milik Colin McRae ini berada di UK, ia bukanlah 22B Type UK tetapi merupakan salah satu dari tiga unit pra-produksi, dengan plat nombor produksi #000/400. Memang paling rare antara 22B yang lain!
Meter perbatuan pada 22B ini mencatatkan perjalanan sejauh hampir 12,000 km. Jadi kereta ini memang pernah dipandu, dan bukan hanya dijadikan bahan pameran. Malah dalam satu temu bual yang dibuat oleh rancangan TV tempatan di UK, McRae menyatakan 22B ini antara kereta kegemarannya dalam banyak koleksi yang beliau ada untuk dipandu di atas jalan raya.
Dalam temu bual itu juga Colin McRae turut menyatakan bahawa 22B ini bukan diberikan percuma oleh Subaru, sebaliknya beliau membelinya sendiri walaupun bergelar juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) untuk musim 1995 dengan memandu Subaru Impreza WRX. Kereta ini diterima oleh Colin McRae pada bulan November 1998.
Subaru Impreza 22B STI ini diperkenalkan pada tahun 1998, dan ia dihasilkan sempena ulangtahun ke-40 Subaru, serta bagi meraikan gelaran Juara Dunia kategori pengeluar mereka dalam WRC untuk tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997. Bagi Colin McRae sendiri, beliau sememangnya memberikan sumbangan yang besar dalam kejayaan tersebut kerana telah memandu untuk Prodrive dan Subaru sejak 1991 ketika baru berumur 23 tahun.
Model isitimewa ini dihasilkan dengan kit badan lebar bersama bampar dengan rupa yang sama dengan jentera lumba sebenar Subaru Impreza WRCar 1997 (juga dipandu oleh Colin McRae dalam WRC), direka oleh pereka tersohor British yang turut menghasilkan rekaan supercar McLaren F1 iaitu Peter Steven.
Manakala rekaan spoiler belakang dengan sudut attack yang boleh dilaras pada 22B ini pula dihasilkan dengan kerjasama Fuji Aerospace (salah satu syarikat di bawah Fuji Heavy Industri iaitu pemilik jenama Subaru, kini dikenali sebagai Subaru Corporation), yang turut bertanggungjawab menghasilkan berberapa komponen untuk pesawat seperti Boeing 777 dan Airbus 380.
Namun anda jangan keliru, jentera WRC sebenar Subaru dihasilkan dari kerangka Impreza coupe dua pintu biasa seperti yang disyaratkan dalam regulasi WRCar yang menggantikan regulasi Group A pada tahun 1997. Manakala Subaru 22B ini pula dihasilkan dari kerangka Subaru Impreza WRX STI version IV Type R (coupe dua pintu, manakala model empat-pintu dikenali sebagai Type RA) dengan inspirasi rekaan dari jentera rali Impreza WRCar berkenaan.
Selain itu, model istmewa ini turut menerima warna badan yang sama dengan jentera WRC sebenar iaitu Sonic Blue (ada juga yang menggelarnya sebagai Mica Blue), bersama rim BBS Electra 17-inci dalam kemasan emas.
Pada bahagian dalaman, 22B STI ini masih mengekalkan rupa yang hampir sama dengan WRX STI Version IV Type R. Namun ia diberikan pelbagai perincian istimewa antaranya upholsteri dengan fabrik biru-hitam, paparan instrumen meter STI dengan latar belakang putih, tombol gear dan roda stereng Nardi balutan kulit dengan serlahan benang merah dan juga plat istimewa yang dicetak dengan nombor siri unik.
Subaru Impreza 22B tidak dijana oleh enjin boxer empat silinder EJ20 2.0 liter turbo seperti WRX STI version biasa, sebaliknya ia diberikan enjin EJ22 lebih besar berkapasiti 2.2 liter bersama pengecas turbo IHI RHF 5HB. Atas kertas, enjin tersebut menghasilkan 280 hp dan tork maksima 363 Nm, atau jumlah kuasa kuda yang sama tetapi tork yang sedikit lebih besar dari WRX STI Version biasa.
Namun sebenarnya itu cuma jumlah kuasa yang dihadkan kerana Subaru perlu mematuhi undang-undang ‘gentlemen agreement’ antara pengeluar-pengeluar di Jepun pada era 90’an dahulu bagi mengelakkan ‘perang kuasa kuda’ yang akan terjadi, seterusnya menyebabkan jentera-jentera berbahaya di jual dalam pasaran. Ada laporan menyatakan, enjin EJ22 tersebut boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 350 hp hanya dengan talaan semula dibuat pada kotak komputer.
Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear yang turut diambil berasaskan kotak gear WRX STI Version, iaitu kotak gear lima kelajuan nisbah rapat yang boleh digunakan terus dalam perlumbaan rali Group N pada era berkenaan. Kuasa dihantar ke kesemua roda dengan sistem AWD yang dilengkapi tiga LSD (depan, tengah dan belakang), dibantu sistem Driver Controlled Center Differential (DCCD) membolehkan pemandu membuat larasan penghantaran tork gandar belakang dan hadapan dari 50:50 hingga 70:30.
Selain itu, 22B turut menerima perincian prestasi unik lain seperti sistem suspensi dari pembekal suspensi jentera WRCar mereka iaitu Bilstein dan juga sistem klac dua-lapis dengan plat dari bahan seramik.
Ramai yang berpendapat nama ’22B’ itu hadir dari enjin 2.2 liter dan juga suspensi Bilstein yang dipadankan pada kereta ini. Namun fakta sebenarnya 22B ini adalah kod berasaskan hexadecimal (nombor berasaskan 16 yang digunakan dalam coding program komputer di mana huruf A dan F digunakan untuk nombor 10 hingga 15). Ia boleh boleh dirungkai dengan kiraan seperti berikut:
2x16x16 = 512
2×16 = 32
B = 11
Setelah semua jawapan dari hexadecimal tersebut diperolehi, sekarang campurkan jumlahnya; 512+32+11, jawapan akhirnya ialah 555. Ya, 555 iaitu jenama rokok yang begitu sinonim dengan Subaru. Syarikat tembakau tersebut telah menaja Prodrive dan Subaru World Rally Team dari era 90’an hingga pasukan tersebut menarik diri dari WRC pada tahun 2008, membuatkan imej Subaru melekat dengan warna biru-kuning yang berasal dari kotak rokok 555 berkenaan.
Seperti yang disebut tadi, lelongan untuk Subaru Impreza 22B milik Colin McRae ini akan bermula pada 26 Ogos nanti. Dan menurut Silverstone Auction, kereta ini dijangka akan terjual pada harga £400,000 (RM2.4 juta) sehingga £500,000 (RM3 juta)!