Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga bahan api 25-31 Mei – semua naik 4 sen

    Harga bahan api 25-31 Mei – semua naik 4 sen

    Buat dua minggu berturut-turut, sekali lagi harga siling bahan api diumumkan naik, iaitu untuk minggu 25 hingga 31 Mei 2017. Di mana kesemua bahan api utama iaitu petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel, masing-masing membabitkan kenaikan sebanyak 4 sen.

    Bagi RON 95, ia kini menjadi RM2.12 seliter, manakala RON 97 pula RM2.40 seliter dan diesel Euro 2 pula RM2.03 seliter. Manakala diesel Euro 5 kini RM2.13 seliter.

    Semua harga yang diumumkan ini akan mula berkuatkuasa pada tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal bagi tempoh seminggu sehingga 31 Mei nanti.

    Pada minggu lalu (18-24 Mei), ia turut diumumkan membabitkan kenaikan harga, selepas tiga minggu berturut-turut harganya turun.

     
     
  • Mengapa Proton perlukan rakan strategik asing (FSP)?

    Mengapa Proton perlukan rakan strategik asing (FSP)?

    Akhirnya, pengumuman yang dinanti-nantikan pihak mana yang akan menjadi foreign strategic partner (FSP) atau rakan strategik asing kepada Proton sudah terjawab. Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd telah dipilih, dan perjanjian persefahaman telah pun dimeterai hari ini.

    Untuk pengimbas kembali perkara ini, ada satu soalan yang penting untuk ditanyakan bagi memahami konteks usahasama berkenaan; mengapa Proton memerlukan FSP ini? Di dalam taklimat media hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Sri Syed Faisal Albar menggariskan beberapa perkara yang mendorong perkara itu.

    Paling utama, DRB-Hicom ingin mengasingkan antara dua jenama Proton dan Lotus. Tujuannya? DRB-Hicom ingin memberi tumpuan kepada pertumbuhan Proton dan Geely dilihat mampu berkongsi visi dan matlamat yang sama seperti diinginkan Proton.

    Mengapa Proton perlukan rakan strategik asing (FSP)?

    Syarikat itu juga ingin menumpukan pelaburannya kepada hal-hal yang penting sahaja, terutama perniagaan automotifnya di Malaysia. Untuk melakukan semua ini bersendirian, ia akan menelan terlalu banyak tenaga dan sumber lain dan akan menggangu visi awal yang dinyatakan itu.

    Keputusan untuk melepaskan sepenuhnya kepentingan dalam Lotus juga didorong oleh faktor sama; untuk jenama itu terus maju dan berkembang, ia memerlukan modal perbelanjaan (capital expenditure, capex) yang sangat besar, barulah perkara itu mampu dicapai. Di atas sebab ini, DRB-Hicom memutuskan untuk tidak lagi terlibat di dalam segmen kereta sport.

    Lotus dilepaskan dengan nilai 100 juta Pound Sterling, dan setakat ini kepentingannya akan dijual kepada dua pihak – Geely akan memegang 51% manakala Etika Automotive memegang 49% baki kepentingan. Etika Automotive Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat di bawah Etika Strategy Sdn Bhd yang dimiliki oleh Syed Mokhtar Bukhari.

    Mengapa Proton perlukan rakan strategik asing (FSP)?

    Untuk berkembang dengan lebih pesat, terdapat juga beberapa kekurangan dari Proton sendiri yang sudah dikenal pasti. Antaranya, Proton kekurangan daya saing teknologi, saiz pasaran domestik yang kecil serta skala operasi yang kecil. Untuk itu, kerjasama global menjadi langkah untuk mempercepat pertumbuhan seperti yang diinginkan.

    Manfaat kepada Proton selepas ini? Komitmen dan tanggungan modal perbelanjaan dikurangkan hampir separuh dan potensi untuk menjana pertumbaan positif dan keuntungan lebih cerah. Pengguguran Lotus pula membolehkan DRB-Hicom tidak lagi perlu menanggung kerugian jenama itu, dan gunakan dana yang dijimatkan itu untuk pelaburan masa depan.

     
     
  • Proton akan gunakan SUV Boyue Geely sebagai platform untuk model yang akan dipasarkan di M’sia

    Proton akan gunakan SUV Boyue Geely sebagai platform untuk model yang akan dipasarkan di M’sia

    Setelah sah Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd diterima sebagai rakan strategik asing (FSP) pengeluar kereta nasional iaitu Proton, syarikat itu mendedahkan bahawa antara model terawal yang akan dipasarkan hasil kerjasama ini di Malaysia adalah menggunakan asas daripada SUV Geely Boyue – juga adalah model paling laris Geely.

    Perkara ini diberitahu dalam pembentangan yang dilakukan selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama ini, dan di dalamnya turut dipaparkan bahawa Boyue mempunyai dua pilihan enjin 1.8 L turbo berkuasa 163 hp/ 250 Nm, dan 2.4L N/A 162 hp/ 210 Nm. Dua enjin ini adalah unit yang ditawarkan sama seperti di China, bersama pilihan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar.

    Proton akan gunakan SUV Boyue Geely sebagai platform untuk model yang akan dipasarkan di M’sia

    Boyue direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury yang kini mengetuai studio rekaan Geely di Gothenburg, Shanghai, Barcelona dan Los Angeles (ditambah dengan Tanjung Malim selepas ini). Ia mempunyai ukuran 4.5 meter panjang dan dilengkapi dengan pelbagai barangan premium seperti seperti skrin infotaimen lapan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem keselamatan termasuk Amaran Keluar Laluan dan Adaptive Cruise Control (ACC).

    Walaubagaimanapun, Proton tidak menjelaskan dengan terperinci bagaimana keadaan SUV ini apabila ia tiba di Malaysia nanti. Boleh jadi ia sekadar diletakkan lencana Proton, tapi masih adalah SUV yang sama seperti keadaan asal (contohnya seperti Inspira yang diambil daripada Mitsubishi Lancer) ataupun bahagian luarnya direka semula (seperti Perdana yang menggunakan bahagian asas daripada Honda Accord).

    GALERI: Geely Boyue

     
     
  • Volkswagen Beetle 1.2L TSI baharu diperkenalkan di Malaysia – varian Design dan Sport, harga dari RM137k

    Volkswagen Beetle 1.2L TSI baharu diperkenalkan di Malaysia – varian Design dan Sport, harga dari RM137k

    Memandangkan model ikonik Beetle masih kekal relevan untuk pasaran tempatan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut memperkenalkan model baharu yang diberi sedikit suntikan yang lebih segar. Ia hadir dengan dua varian iaitu Beetle Design dan Beetle Sport.

    Bagi Beetle Design, elemen yang ditampilkan ialah lampu utama halogen, tempat duduk upholstery balutan fabrik “Pepita” dengan tempat duduk hadapan yang boleh dilaras ketinggiannya, sistem pendingin hawa manual dan paparan sesentuh “komposisi berwarna” 5.8 inci untuk radio, CD, MP3 dengan fungsi USB, kad SD dan Bluetooth bersama lapan-pembesar suara.

    Manakala perbezaan bagi Beetle Sport pula, ia hadir dengan lampu utama Bi-xenon dengan lampu nyalaan siang LED, tempat duduk balutan kulit “Vienna” dengan tempat duduk sport yang boleh dilaras ketingiannya dengan sokongan lumbar, pendingin hawa dwi-zon Climatronic, App-Connect, pedal penukar gear, cruise control dan paparan sesentuh “komposisi media” 6.5 inci untuk radio, CD, MP3 dengan fungsi USB, AUX-IN, kad SD, iPod/iPhone dan Bluetooth bersama lapan-pembesar suara.

    Volkswagen Beetle 1.2L TSI baharu diperkenalkan di Malaysia – varian Design dan Sport, harga dari RM137k

    Manakala elemen luaran standard untuk kedua-dua varian ialah cermin sisi boleh laras secara berkuasa, lampu kabus hadapan dengan lampu selekoh statik, dan rim aloi “Whirl” 16-inci.

    Bagi elemen dalaman standard pula termasuklah konsol tengah berwarna Platinum Grey Metallic, roda stereng berkuasa elektromekanikal kelajuan-sensitif dengan kawalan bagi MFD, radio dan telefon, tuil/tombol gear balutan kulit, soket 12-volt pada konsol tengah, hadapan dan belakang dan cermin anti silau manual.

    Bagi penjana kuasanya, kedua-dua varian dipadankan dengan enjin 1.2 TSI pengecas turbo empat-silinder yang memiliki hamburan kuasa 105 PS dan tork 175 Nm, serta transmisi automatik DSG tujuh-kelajuan.

    Volkswagen Beetle 1.2L TSI baharu diperkenalkan di Malaysia – varian Design dan Sport, harga dari RM137k

    Untuk aspek keselamatannya pula, kedua-dua varian turut dilengkapi elemen yang sama termasuklah ABS dengan EBD, ESC, bantuan mula mendaki, kawalan jarak parkir (hadapan/belakang), empat beg udara dan cagak Isofix.

    Beetle baharu ini turut menampilkan enam pilihan warna iaitu Pure White, Tornado Red, Dark Bronze, Habanero Orange, White Silver dan opsyen terbaharu, Blue Silk. Ditawarkan pada harga (tanpa insurans, cukai jalan) RM136,888 bagi Beetle Design dan Beetle Sport pula RM147,888. Ia turut hadir dengan waranti pengeluar lima-tahun, waranti bantuan jalanan lima-tahun dan 150,000 km servis berjadual percuma.

    Volkswagen Beetle 1.2L TSI Sport

     
     
  • Geely sah jadi rakan strategik, akan ada pegangan 49.9% dalam Proton – Lotus dilepaskan sepenuhnya

    Geely sah jadi rakan strategik, akan ada pegangan 49.9% dalam Proton – Lotus dilepaskan sepenuhnya

    Susulan daripada rangakaian berita yang tersebar sebelum ini berkaitan rakan strategik asing bagi Proton, Kumpulan DRB-Hicom tengahari ini mengadakan taklimat khas bagi media berhubung perkara itu. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kini sah Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd sudah memeterai perjanjian untuk menjadi rakan strategik berkenaan, sebentar tadi.

    Bagaimanapun, ada kemaskini terhadap pegangan kepentingan berbanding yang dinyatakan sebelum ini, baik ke atas Proton mahupun Lotus sendiri. Bagi Proton, Geely akan mempunyai pegangan kepentingan sebanyak 49.9% hampir separuh daripada pegangan keseluruhannya.

    Bagaimanapun, bagi Lotus, yang sebelum ini disebut-sebut akan diserahkan pegangannya dalam jumlah antara 50-75%, juga sedikit berbeza. Proton akan menjual keseluruhan pegangan ekuitinya dalam syarikat pembuat kereta dari Britain, Lotus, kepada Geely Holding, sekali gus menamatkan penglibatannya dalam segmen sports car. Namun, Geely akan mempunyai pegangan sebanyak 51% dalam Lotus, manakala 49% lagi menjadi pegangan Etika Automotive Sdn Bhd. Dengan ini, Lotus tidak lagi menjadi milik Proton.

    Kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian persefahaman itu hari ini, di Putrajaya serta disaksikan oleh Menteri Kewangan II, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

    Geely sah jadi rakan strategik, akan ada pegangan 49.9% dalam Proton – Lotus dilepaskan sepenuhnya

    “Sememangnya hasrat kami adalah untuk menghidupkan semula jenama Proton di mata dunia. Ia merupakan kereta nasional yang pertama dan mempunyai sejarah selama 30 tahun. Perjanjian ini akan menjadi pemangkin yang dapat menjulang semula sebuah jenama yang dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia ini,” kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

    Geely Holding, pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, merupakan antara pengeluar utama kenderaan penumpang China. Syarikat berkenaan memiliki operasi di seluruh dunia, merangkumi 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk serta lima pusat penyelidikan & pembangunan (R&D). Usahasama dengan PROTON akan membolehkan Geely bertapak di pasaran ASEAN dan meningkatkan penglibatannya dalam industri pembuatan serta R&D serantau.

    Kedua-dua pihak bakal menandatangani Perjanjian Muktamad dalam bulan Julai 2017.

     
     
  • Volkswagen Vento Allstar, GT dilancar – dari RM79k

    Volkswagen Vento Allstar, GT dilancar – dari RM79k

    Selepas memperkenalkan Volkswagen Polo Allstar baru-baru ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan varian baharu bagi Vento yang dikenali sebagai Vento Allstar, yang dilengkapi dengan sedikit aksesori tambahan yang lebih menarik. Bukan itu sahaja, satu lagi varian iaitu Vento GT turut diperkenalkan. Kedua-duanya ditampilkan dengan suntikan luaran yang lebih sporty dan bergaya.

    Vento Allstar dilengkapi dengan jaluran kekemasan hitam pada pintu, hiasan hitam pada bonet, spoiler belakang dan juga logo “Allstar” pada tiang-B. Di dalamnya, ia turut hadir dengan tempat duduk balutan kulit dengan logo “Allstar” pada tempat duduk hadapan, dan juga pedal aluminium, bersama alas lantai dan plat ambang pintu juga dengan perkataan “Allstar”.

    Selain itu, Vento Allstar yang berasaskan varian Comfortline, turut dijanakan oleh enjin 1.6 MPI berkuasa 105 PS dan tork 153 Nm serta dipadankan bersama kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan. Ia turut dipasang dengan aplikasi MYVW yang dilengkapi dengan pelbagai fungsi termasuklah pemantauan penggunaan bahan api dan jarak menerusi kemudahan pintar.

    Di mana pengguna juga dapat mengesan kedudukan kereta menerusi telefon pintar. Malah pengguna juga boleh mendapatkan bantuan daripada Mondial Roadside Assistance jika berlaku kecemasan. Tiga tahun pertama langganan MYVE adalah percuma. Kesemua aksesori eksklusif ini bernilai RM7,000.

    Elemen standard pada Comfortline turut dikekalkan termasuk lampu kabus, aloi “Riverside” 15-inci, perehat tangan hadapan boleh laras ketinggian, kekemasan dalaman krom, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin hawa auto Climatronic, cruise control, Bluetooth, unit utama RCD 320G skrin biasa (bukan sesentuh) dan empat beg udara.

    Volkswagen Vento Allstar, GT dilancar – dari RM79k

    Manakala bagi Vento GT pula, ia adalah varian edisi istimewa yang berasaskan dari model tertinggi Vento Highline dengan pakej aksesori eksklusif bernilai RM9,000. Ia dikuasakan oleh enjin 1.2 liter TSI bersama kuasa 105 PS dan 173 Nm dari 1,550 hingga 4,100 rpm. Motor turbo dipadankan dengan transmisi DSG dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Vento GT dilengkapi dengan bumbung dan perumah cermin sisi berwarna hitam satin, GT Aerokit, jalur hitam pada pintu dan kemasan belakang, Untuk bahagian kabinnya pula, ia turut hadir dengan tempat duduk balutan kulit umpama paten sarang lebah termasuk logo “GT” pada tempat duduk hadapan, pedal sport aluminium, plat sisi, emblem serta alas lantai.

    Ia turut menerima elemen standard yang sama seperti Comfortline, tetapi seperti mana varian Highline, ia turut hadir dengan aloi “Syenit” 16-inci dengan dua tona, serta ESC.

    Kedua-dua varian Vento Allstar dan Vento GT ini juga dilengkapi dengan sistem infotainmen RCD 330G dengan skrin sesentuh dan empat-pembesar suara, sama seperti Polo Allstar.

    Ia hadir dengan dua pilihan warna iaitu Reflex Silver dan Candy White. Harga (tanpa insurans dan cukai jalan) ditawarkan ialah RM78,888 bagi Vento Allstar, manakala Vento GT pula RM89,888. Ia turut hadir dengan waranti pengeluar lima-tahun, waranti bantuan jalanan lima-tahun dan 150,000 km servis berjadual percuma.

    Jika mengikut harga asal yang diperkenalkan sewaktu pelancarannya pada Mei 2016, Vento Comfortline berharga RM87,635 dan Highline pula RM94,635. Namun dengan pengenalan varian baharu ini, ternyata harganya lebih murah sebanyak RM8,747 bagi Vento Allstar biarpun menerima aksesori eksklusif bernilai RM7,000. Manakala Vento GT pula lebih murah sebanyak RM4,747 dan berbanding Vento Highline. Jadi, manakah yang menjadi pilihan yang lebih berbaloi bagi anda?

    Vento Allstar

    Vento GT

     
     
  • Tesla Model 3 – model mampu milik yang mempunyai jarak gerak 346 km, 0-96 km/j dalam 5.6 saat

    Tesla Model 3 – model mampu milik yang mempunyai jarak gerak 346 km, 0-96 km/j dalam 5.6 saat

    Sudah lebih satu tahun sejak Tesla Model 3 ditunjuk, tetapi, perinciannya masih belum didedahkan sepenuhnya. Walaubagaimanapun, satu sumber daripada forum pemilik Tesla Model 3 telah mendedahkan apa yang dilihat sebagai carta perbandingan antara Model 3 dan Model S, seterusnya memberikan kita informasi awal berkenaan kenderaan ini.

    Memandangkan Model 3 akan diletakkan di bawah Model S dalam barisan model kenderaan Tesla, ia boleh dilihat kekurangan beberapa ciri – lagipun, ia akan dijadikan sebagai kenderaan Tesla paling mampu milik. Contohnya, Model 3 menawarkan jarak gerak sekitar 346 km, sementara Model S mempunyai jarak 400 hingga 539 km.

    Carta ini juga menunjukkan masa pecutan 0-96 km/j yang boleh dilakukan oleh Model 3 adalah 5.6 saat, sementara Model S paling berkuasa iaitu P100D boleh melakukannya dalam masa 2.3 saat. Ada lagi, sementara pemilik Model S boleh menikmati penggunaan Tesla Supercharger secara percuma dan tanpa had, pemilik Model 3 pula perlu membayar setiap kali menggunakannya.

    Pada aspek praktikaliti, jelas, Model S yang lebih besar, mempunyai ruang yang lebih luas, memandangkan ia boleh menempatkan lima orang dewasa dan dua kanak-kanak (dengan tempat duduk khas menghadap belakang), manakala Model 3 hanya boleh menempatkan lima orang dewasa sahaja dan menyediakan ruang kargo 396 liter melalui but yang perlu dibuka secara manual (Model S menggunakan but kuasa elektrik dan 850 liter ruang kargo).

    Model 3 akan didatangkan dengan hanya satu skrin sesentuh 15 inci, sekaligus mengesahkan apa yang pernah dilihat sebelum ini dalam gambar spyshot. Sementara itu, Model S dijadikan lebih konvensional dengan dua skrin paparan – di hadapan pemandu dan skrin sesentuh 17 inci di tengah.

    Carta ini juga seakan-akan mahu mempromosikan lebih banyak jualan Model S, berbanding Model 3, terutama sekali apabila melihat kepada masa penghantaran yang boleh dilaksanakan bagi kedua-dua model.

    GALERI: Spyshot Tesla Model 3

     
     
  • Geely bakal mengambil alih kepentingan terbesar Lotus – pegangan saham antara 50 hingga 75%

    Geely bakal mengambil alih kepentingan terbesar Lotus – pegangan saham antara 50 hingga 75%

    Apabila Zhejiang Geely dikhabarkan bersetuju menjadi rakan kongsi strategik Proton, terdapat sumber yang diperoleh Financial Times pula mengesahkan pengeluar kenderaan terkemuka China tersebut turut bakal mengambil alih kepentingan terbesar dalam Lotus.

    Geely yang dilaporkan bakal memegang 49% kepentingan di dalam Proton, juga dimaklumkan akan memperoleh antara 50 hingga 75% kepentingan di dalam Lotus.

    Menurut sumber terbabit juga, pengambilalihan Lotus oleh Geely akan memberikan nafas baharu kepada jenama kereta sport kelahiran Britain tersebut, yang dilaporkan mengalami kerugian sebanyak £27.6 juta bagi 12 bulan yang berakhir pada 31 Mac 2016. Malah pada tahun lalu, keseluruhan jualan kenderaan Lotus jatuh sebanyak 242 unit menjadi 1,584 unit.

    Sebelum ini, Geely pernah menyatakan hasrat untuk membeli kepentingan dalam syarikat pengeluar kereta sport. Selain itu, Geely juga telah berbincang dengan Aston Martin dan beberapa jenama lain, tetapi Lotus sentiasa menjadi sasaran utama.

     
     
  • Geely bersetuju menjadi rakan kongsi strategik Proton, bakal pegang sebanyak 49% kepentingan – sumber

    Geely bersetuju menjadi rakan kongsi strategik Proton, bakal pegang sebanyak 49% kepentingan – sumber

    Masih panas lagi cerita mengenai Proton, malam tadi terdapat laporan yang menyatakan bahawa pengeluar kenderaan nasional tersebut telah diberikan dana tambahan sebanyak RM1.7 bilion untuk memulihkan kembali keadaan. Dana ini adalah tambahan kepada pinjaman sebanyak RM1.25 bilion yang telah diberikan pada tahun lepas.

    Dalam masa yang sama pengeluar kenderaan terkemuka China, Zhejiang Geely Holding Group (Geely), yang menyuarakan hasrat untuk menarik diri sebagai pembida bagi menjadi rakan kongsi strategik Proton pada akhir Mac lalu, dikatakan telah membuat pusingan-U dan terkini telah dikhabarkan bersetuju untuk membeli kepentingan di dalam Proton.

    Sumber yang diperoleh Reuters, memberitahu, Geely bakal memperoleh 49% kepentingan terbesar di dalam Proton.

    Seperti mana yang pernah dilaporkan sebelum ini, Geely dikatakan berminat bekerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan nasional negara itu untuk membina SUV Lynk & Co 01 versi pemanduan sebelah kanan di kilang pemasangan Tanjung Malim sekiranya perjanjian tersebut termeterai. Penawaran tersebut turut melibatkan pasaran eksport ke beberapa buah negara lain termasuk UK dan Australia.

    Malahan Geely mempunyai perancangan untuk memperkukuhkan kedudukan Proton ke tahap yang lebih tinggi bagi keseluruhan struktur. Terdapat sumber dari China pula memberitahu, Geely juga berminat mahu mendapatkan Lotus sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut.

    Sekiranya perjanjian di antara Proton dan Geely benar-benar sah termeterai, ia akan memberikan pengeluar kenderaan China itu keupayaan untuk menembusi pasaran pemanduan sebelah kanan. Ada sumber menyatakan Geely turut berjanji untuk menyediakan teknologi terkini pada kenderaan yang dibangunkan oleh Volvo.

    Proton dijangka bakal membuat taklimat khas mengenai perkara tersebut hari ini. Nantikan perkembangan selanjutnya bersama kami.

     
     
  • Proton terima lagi RM1.7 bilion daripada kerajaan?

    Proton terima lagi RM1.7 bilion daripada kerajaan?

    Seperti yang pernah kami laporkan dalam prestasi jualan kenderaan di Malaysia pada bulan April, prestasi Proton dilihat semakin menurun, dan kini berada di tangga keempat di bawah Perodua, Honda dan Toyota. Jumlah jualan kenderaan mereka juga menurun sebanyak 454 unit, menjadi hanya 5,616 unit, berbanding 6,070 unit yang dicatat pada bulan Mac, yang mana juga pada bulan itu, Proton berada di tangga ketiga.

    Walaupun sebenarnya memang secara keseluruhannya jualan kenderaan pada bulan April menurun sebanyak 20%, prestasi Proton dilihat semakin membimbangkan, dengan jumlah perkongsian pasaran mereka dalam suku pertama tahun 2017 cuma 13.8%, berbanding Perodua yang menguasai 35.7% dan Honda 19.4%.

    Menurut satu sumber yang memberitahu TheEdge Markets, pengeluar kenderaan nasional itu nampaknya telah diberikan dana tambahan sebanyak RM1.7 bilion untuk memulihkan kembali keadaan. Dana ini adalah tambahan kepada pinjaman sebanyak RM1.25 bilion yang telah diberikan pada tahun lepas.

    “Wang daripada pinjaman tahun lepas telah digunakan sepenuhnya untuk membayar vendor. Tetapi, jualan Proton masih tidak bertambah baik, walaupun pelbagai langkah pemasaran telah dilakukan secara agresif untuk kenderaan baru mereka. Ia memerlukan lebih bantuan daripada kerajaan,” kata seorang eksekutif yang berpengetahuan dalam bidang itu kepada TheEdge Markets.

    Proton terima lagi RM1.7 bilion daripada kerajaan?

    Boleh difahami bahawa Proton tidak akan mengeluarkan kesemua wang ini sekaligus. Tetapi, ia sepatutnya boleh digunakan kembali sehinggalah syarikat induknya iaitu DRB-Hicom Bhd berjaya mendapatkan rakan kongsi strategik, yang mana kini adalah perlumbaan antara dua pihak iaitu Geely Automobile dari China dan Groupe PSA dari Perancis.

    Masalah dengan Proton adalah ia meletakkan pesanan yang tinggi kepada vendor. Tanpa mengira jumlah jualan, Proton perlu membayar vendor jumlah yang telah ditetapkan lebih awal berdasarkan sasaran jualan yang telah dipersetujui sebelum ini.

    Aturan ini membolehkan vendor mendapat insentif awal untuk melabur kepada pembelian mesin yang diperlukan untuk mengeluarkan model baru, tanpa perlu risau berkenaan risiko jumlah jualan yang tidak bagus. Oleh itu, secara tidak langsung, dana dari kerajaan ini akan membantu vendor Proton mendapat bayaran dalam masa yang ditetapkan tahun ini.

    Walaubagaimanapun, Proton bukan berhutang dengan vendor sahaja. Bagi tahun kewangan 2016 yang berakhir pada 31 Mac, Proton mempunyai tunai RM340 juta, berbanding bayaran balik RM260 juta yang perlu dibayar pada tempoh itu. Bayaran ini adalah sebahagian daripada pinjaman Islamik RM840 juta yang diambil.

    Satu lagi bayaran sebanyak RM260 juta juga akan tamat tempoh tahun ini, dan berdasarkan akaun lepas, aliran tunai Proton akan menjadi lebih tegang demi menyokong kos operasi semasa serta komitmen terhadap hutang yang ada tanpa sebarang bantuan.

    KEMASKINI: Di dalam perkembangan terbaru hari ini (24 Mei 2017), Geely dilaporkan akan memiliki pegangan sebanyak 49% dalam Proton. Ini diikuti juga dengan pegangan kepentingan terbesar di dalam Lotus, jangkaannya kira-kira 50-75%.

     
     
  • Kia Optima GT untuk M’sia – RM180k dengan 242 hp

    Kia Optima GT untuk M’sia – RM180k dengan 242 hp

    Bukan lagi kejutan kerana laman Facebook rasmi Kia Malaysia telah pun membocorkan harga atas jalan bagi Kia Optima GT yang bakal dilancarkan esok, iaitu RM179,888 (termasuk insurans). Malah turut mengesahkan model sedan premium ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 242 hp hasil padanan enjin petrol 2.0 liter turbocharge T-GDI empat-silinder dengan bilangan tork mencecah 353 Nm.

    Ternyata hamburan kuasa yang dihasilkan oleh Optima GT ini adalah mengatasi model pesaing dalam segmen yang sama iaitu Toyota Camry 2.5L Hybrid (202 hp), Mazda 6 2.5L (185 hp/ 250 Nm) dan Honda Accord (173 hp/ 225 Nm). Nampak gayanya kimchi telah mengatasi kepedasan wasabi dalam paduan kuasa ini.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menghantar kuasa kepada dua roda hadapan, dan disertakan sekali dengan penukar gear di stereng. Menurut Kia, Optima GT boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat, sebelum mencapai laju maksimum 240 km/j.

    Kia Optima GT ini telah pun dipamerkan di beberapa bilik pameran Kia terpilih. Kami akan membawakan perkembangan selanjutnya pada majlis pelancarannya esok.

     
     
  • Kia atasi jualan Hyundai di Korea buat pertama kali pada 2016, dijangka untuk sementara waktu – laporan

    Kia atasi jualan Hyundai di Korea buat pertama kali pada 2016, dijangka untuk sementara waktu – laporan

    Menurut laporan The Korea Herald, Kia mengatasi jualan syarikat “kembarnya” yang lebih besar, Hyundai bagi kali pertama untuk pasaran domestik di sana tahun lalu.

    Dari segi angka, Kia menjual sebanyak 475,107 unit kenderaan penumpang pada 2016 berbanding Hyundai dengan 418,303 unit. Jualan Hyundai juga jauh berbeza berbanding yang dicapai pada 2015, ketika itu mencatatkan 529,135 unit.

    “Kami melihat perkara ini sebagai sebuah fenomena sementara. Apa yang lebih merisaukan bagi kami ialah penurunan perkongsian pasaran bagi kedua-dua Hyundai dan Kia dalam pasaran tempatan,” jelas pegawai Hyundai kepada wakil media tempatan di sana.

    Bagi tempoh suku pertama 2017, jualan Kia di Korea mencecah 104,954 unit, sedikit mengatasi Hyundai dengan jualan 101,644 unit. Bagaimanapun, model Sonata facelift dan Kona akan datang dijangka akan membantu syarikat itu merebut kembali kedudukan teratas dalam pasaran tempatannya.

     
     
  • Fiat 500L MPV diberi facelift – rupa, teknologi baharu

    Fiat 500L MPV diberi facelift – rupa, teknologi baharu

    Lima tahun selepas Fiat 500L dikeluarkan, akhirnya ia diberikan facelift bagi menjadikannya lebih menarik dan dapat diterima ramai. Pembaharuan ini membawanya tampil dengan rekaan serta pelbagai teknologi baharu yang dilengkapkan padanya.

    Kini, akan terdapat tiga versi Fiat 500L, dan kesemuanya dinamakan semula – model standard dipanggil sebagai Urban, yang bergaya lebih lasak digelar sebagai Cross, berbanding sebelum ini Trekking dan yang lebih panjang dan mempunyai tujuh tempat duduk kini dipanggil sebagai Wagon, berbanding Living sebelum ini.

    Semua tiga model ini menerima bahagian hadapan yang direka semula, dan ini membanya kelihatan lebih hampir seperti model 500, yang juga baru dinaik taraf. Bahagian tengah dan lencana di muka hadapan ini dijadikan lebih menonjol. Ia kemudiannya diapit dengan dua lampu siang LED bulat baru yang diletakkan di dalam unit lampu utama bawah.

    Bagi model Urban dan Wagon, gril bawah kini mempunyai bentuk trapezoid dan menampilkan garisan serta jaring krom, yang menjadikan ia hampir seperti gril Mercedes-Benz A-Class. Sementara itu, model Cross pula menerima kemasan pelindung berwarna perak di depan dan belakang, bersama rekaan salur udara yang baru.

    Fiat 500L MPV diberi facelift – rupa, teknologi baharu

    Di bahagian lain kenderaan tersebut, panel pelindung tepi dan belakang kini diwarnakan sama dengan warna badan, dan ditambah dengan kemasan krom, manakala lampu undur dan lampu kabus belakang pada model Urban dan Cross diubah ke bawah sedikit. Pilihan warna baru untuk 500L termasuk Bellagio Blue, Sicilian Orange dan Donatello Bronze, menjadikan kesemuanya 10 warna.

    Pada bahagian dalam, terdapat roda stereng pelbagai fungsi tiga cabang, bersama panel instrumen yang direka semula bersama paparan pelbagai informasi 3.5 inci di tengah. Penambahan baru lain adalah lencana 500 di papan pemuka, bertentangan penumpang hadapan, lampu suasana dan sistem hiburan dan informasi Uconnect HD Live dengan skrin sesentuh tujuh inci, sistem navigasi TomTom 3D dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Juga dipasang pada kenderaan ini adalah konsol tengah yang direka semula dengan ruang simpanan lebih besar, serta tombol gear dan perehat tangan yang lebih tinggi. Selain daripada itu, ia masih adalah kenderaan yang sama, dengan kelengkapan seperti bumbung panoramik kaca berukuran 1.5 meter, sistem bunyi BeatsAudio 520W dan ruang simpanan belakang seluas 455 liter untuk model Cross dan Urban, 638 liter pada Wagon dan 416 liter pada Wagon.

    Fiat 500L MPV diberi facelift – rupa, teknologi baharu

    Untuk aspek keselamatan, 500L kini boleh didapati dengan Autonomous City Brake, yang boleh beroperasi sehingga kelajuan 30 km/j. Kamera undur juga telah dinaik taraf dengan unit beresolusi lebih baik dalam keadaan gelap dan garis panduan yang mengikut pusingan stereng.

    Pada bahagian casis, Cross kini terletak lebih tinggi 10 mm berbanding Trekking sebelum ini, menjadikan peningkatan tinggi keseluruhannya 25 mm berbanding model biasa. Terdapat juga pemilih mod baru dengan mod Gravity Control untuk pengendalian di bukit yang melengkapi mod Normal dan Traction+.

    Tiada perubahan pada pilihan enjin, jadi 500L digerakkan oleh enjin 1.4 liter petrol N/A berkuasa 120 hp, 900 cc turbo petrol TwinAir dua silinder 105 hp dan enjin diesel 1.3 liter 95 hp dan 1.6 liter MultiJet 120 hp. Transmisi juga dikekalkan, iaitu uit manual lima dan enam kelajuan, serta manual sequential Duologic enam kelajuan.

     
     
  • Prasarana sasar peningkatan pengguna pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030

    Prasarana sasar peningkatan pengguna pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030

    Sentiasa optimis dengan keadaan semasa, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) menyasarkan pengguna pengangkutan awam akan meningkat sebanyak 40% menjelang tahun 2030 berbanding hanya 25% buat masa ini.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, sasaran peningkatan itu sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu meningkatkan mutu dan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini, laporan Berita Harian.

    “Kami sudah menyusun perancangan berdasarkan perancangan kerajaan bagi menunjukkan keupayaan dan prestasi dalam memastikan sasaran dapat dicapai. Kami mahu pastikan jajaran pengangkutan awam ini menyeluruh dan mempunyai sambungan dari satu destinasi ke destinasi utama lain,” katanya kepada pihak pemberita malam tadi.

    Katanya lagi, pihaknya juga yakin peningkatan pengguna pengangkutan awam akan meningkat tahun ini berdasarkan kepada operasi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

    “Projek fasa kedua MRT 1 akan bermula hujung Julai ini dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ogos, sekali gus membantu meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam. Kami juga yakin sasaran itu dapat dicapai apabila projek Transit Aliran Ringan (LRT3) bakal dilaksanakan tidak lama nanti,” katanya.

     
     
  • Kerajaan Thailand arahkan syarikat insurans untuk beri diskaun 10% bagi kereta yang dilengkapi dashcam

    Kerajaan Thailand arahkan syarikat insurans untuk beri diskaun 10% bagi kereta yang dilengkapi <em>dashcam</em>

    Kerajaan Thailand telah mengeluarkan arahan kepada penyedia-penyedia insuran di negara berkenaan agar memberikan diskaun antara 5% hingga 10% kepada pemegang-pemegang polisi yang memasang dashcam pada kenderaan mereka, lapor Bangkok Post.

    Arahan berkuatkuasa serta merta berkenaan telah di tandatangani oleh setiausaha am Pejabat Suruhanjaya Insurans, Suthiphon Thaveechaiyagarn, dan telah disiarkan pada Gazet DiRaja pada Jumaat lalu.

    Arahan tersebut menyatakan penaja jamin perlu untuk memotong premium insuran antara 5% hingga 10% untuk pelanggan yang memberikan bukti fotografik dari pemasangan dashcam pada bahagian hadapan kenderaan mereka. Pemilik kenderaan perlu memastikan bahawa dashcam berkenaan berfungsi semasa tempoh perlindungan insuran. Undang-undang ini adalah sama untuk semua kelas kenderaan.

    Tujuan arahan ini dikeluarkan kerana dashcam sememangnya alat yang berguna untuk membantu mengurangkan pertikaian ketika berlakunya kemalangan. Ia akan membuatkan semua pihak lebih mudah, sama ada bagi pihak yang terlibat dengan kemalangan hingga ke pihak pegawai polis dan juga adjuster insurans.

    Bercakap berkenaan insurans, bermula 1 Julai ini, insurans auto di Malaysia akan diliberalisasikan bagi membolehkan penyedia-penyedia insuran lebih berdaya saing dari segi produk dan juga harga. Ciri utama pada pasaran liberalisasi berkenaan adalah premiumnya dicaj berdasarkan profil risiko pemandu. Pemandu dengan rekod bersih dan juga kereta dengan sistem keselamatan yang berisiko rendah, akan menerima premium yang lebih rendah. Tetapi masih lagi belum jelas adakah dashcam akan termasuk dalam penilaian berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025