Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Infiniti Q60 dilancarkan di Malaysia – harga RM308,800

    Infiniti Q60 dilancarkan di Malaysia – harga RM308,800

    Infiniti Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model Infiniti Q60, sebuah model coupe sports tak lama selepas model berkenaan dikesan sedang diuji di sini April lalu. Menggantikan model terdahulu G35 dan G37, Infiniti Q60 ini ditawarkan hanya dalam satu varian dan diimport sepenuhnya dari Jepun.

    Dijual pada harga RM308,800 atas jalan termasuk insurans dan hadir dengan tempoh jaminan tujuh tahun tanpa had perbatuan. Sebagai pilihan, terdapat lima warna ditawarkan; Majestic White, Graphite Shadow, Iridium Blue, Midnight Black dan Dynamic Sunstone Red. Bagi mereka yang berminat boleh mendaftar untuk sesi pandu uji yang akan dibuka bermula 7 Mei.

    Infiniti Q60 baru ini mengguna enjin 2.0 liter turbocaj empat-silinder yang menjana 211 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork dari 1,250 rpm hingga 3,500 rpm. Infiniti menggunakan enjin dan kotak gear dari Mercedes-Benz, dan untuk model ini hadir dengan talaan yang sama bagi Mercedes-Benz C250 Coupe, yang dijual pada harga RM334,000.

    Enjin suntikan terus itu dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan automatik, pacuan roda belakang. Ia didakwa mampu mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat, dengan kelajuan maksimum 235 km/j.

    Model ini turut dilengkapi dengan ciri Adaptive Shift Control (ASC) yang memodulasi corak penukaran gear bergantung kepada keadaan topografikal semasa. Sistem ini turut memantau tabiat pemanduan dan menerapkannya mengikut maklum balas pemandu.

    Ciri lain yang turut melengkapinya adalah Drive Mode Selector (DMS), yang menawarkan empat mod pemanduan – Standard, Snow, Personal dan Sport. Selain itu, Direct Adaptive Steering generasi kedua dan sistem suspensi standard (tiada Dynamic Digital Suspension).

    Aspek luaran, model ini dilengkapi dengan rim aluminium dua-tona bersaiz 19-inci, dengan tayar 255/40 run-flat, lampu utama LED dengan light guides, lampu kabus LED serta lampu belakang juga dari jenis LED.

    Di ruang dalam, sistem infotainmen bagi Q60 ini dikendalikan oleh perisian InTouch, dan dihubungkan kepada dua paparan skrin (8 inci di atas dan 7 inci di bawah). Sistem berkenaan turut dilengkapi dengan ciri CD, MP3 dan USB. Begitu juga dengan sistem navigasi serta simpanan pelbagai profil pemandu yang dihubungkan pada sistem Intelligent Key.

    Tempat duduknya boleh dilaras dari 14 cara menjadi ciri standard model ini. Upholstery pula menggunakan material kulit dalam warna Gallery White atau Graphite serta kemasan aluminium di beberapa bahagian kabin kenderaan. Sistem audio pula adalah dari Bose Performance Series, juga dengan ciri lampu suasana, sunroof serta kawalan pendingin hawa dwi-zon.

    Bagi mengurangkan bunyi enjin yang kedengaran dari dalam kabin, model ini turut disertakan dengan ciri Active Noise Cancellation serta cermin utama akustik. Bagaimanapun, jika anda ingin mendengar bunyi enjin, hanya perlu aktifkan ciri Active Sound Enhancement dari dalam antaramuka InTouch.

    Dari sudur keselamatan, Q60 terbaru ini dilengkapi dengan enam beg udara, serta bahagian hud enjin yang boleh tertanggal bagi tujuan keselamatan pejalan kaki. Selebihnya, ESC, kawalan kestabilan, BAS dengan EBD dan Brake Assist turut tersedia.

     
     
  • Waris mangsa kemalangan di Malaysia saman Takata

    Waris mangsa kemalangan di Malaysia saman Takata

    Suami kepada Allahyarham Nida Fatin Mat Asis, ibu muda yang maut akibat nahas jalan raya pada 16 April 2016 lalu, telah mengemukakan saman terhadap pengeluar beg udara yang penuh kontroversi, Takata. Allahyarham Dr. Nida yang juga seorang doktor kerajaan, terkorban dalam kemalangan terbabit apabila logam yang terkeluar daripada beg udara tersebut hingga menyusuk kepalanya.

    Saman tersebut difailkan di Mahkamah Daerah Michigan Timur, Amerika Syarikat (USA) pada 1 Mei lalu. Menurut pendakwaan tersebut, Allahyarham Nida, 29 tahun, yang memandu Honda City 2016 miliknya, telah terbabas akibat terlanggar lubang di KM22 Kimanis-Keningau menghala ke Kota Kinabalu, Sabah. Beliau didapati memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan dan memakai tali pinggang keledar, walau bagaimana pun mengalami kecederaan teruk akibat tusukan logam daripada beg udara terbabit sehingga mengorbankan nyawanya.

    Hasil bedah siasat mendapati serpihan logam tajam telah ditemui terbenam di bahagian tengkoraknya. Di mana serpihan bersaiz lebih satu inci lebar dan dua sentimeter panjang telah menusuk menerusi mulutnya umpama sebutir peluru. Saman tersebut dikemukakan dengan mendakwa beg udara tersebut ternyata tidak selamat, telah meletup mengeluarkan logam tersebut walau pun impak kemalangan dianggap kecil namun menyebabkan kematian Allahyarham Dr.Nida.

    Semasa kemalangan tersebut, turut sama dalam kenderaan terbabit ialah suaminya, Abdullah Shamshir Abd Mokti yang turut mengalami kecederaan ringan. Walau bagaimana pun anak lelaki mereka berusia setahun yang turut ada dalam kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Menurut rekod, pasangan suami isteri ini telah membeli model City buatan tahun 2006 pada 2012 dan mereka dikatakan tidak menerima sebarang makluman daripada Honda mengenai pertukaran beg udara terbabit. Lantas mereka tidak menyedari bahawa beg udara Takata tersebut mampu mengancam nyawa sebelum insiden ini berlaku.

    Waris mangsa kemalangan di Malaysia saman Takata

    “Sepatutnya Nida masih hidup sekarang memandangkan beg udara terbabit seharusnya bertindak melindungi keselamatan di dalam kenderaan. Namun Nida dan suaminya, juga seperti kebanyakan orang lain, tidak menyedari bahaya yang menanti. Kami berusaha membuktikan di mahkamah agar pihak Takata dan Honda mampu memberi jaminan akan keselamatan dan kesejahteraan penggunanya di jalan raya, di mana penggunaan ammonium nitrat pada beg udara tersebut adalah tidak stabil dan amat mudah terbakar,” ujar Kevin Dean, peguambela bagi pihak keluarga Allahyarham Dr.Nida.

    Senarai defendan yang terbabit dalam kes saman ini termasuklah Takata Corporation, TK Holdings Inc., Honda Motor Co., Ltd., Honda R & D Co., Ltd., American Honda Motor Co., Inc., dan Honda of America Mfg., Inc.

    “Saya mahu menuntut pembelaan sewajarnya di atas kematian isteri saya. Melalui cara ini, kami berharap Takata dan Honda akan bertindak lebih baik dan sewajarnya, terutamanya di Malaysia, dengan memaklumkan semua pengguna yang terbabit bahawa kenderaan yang mereka miliki mempunyai impak besar dalam kes sebegini. Saya berharap tiada lagi keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden menyedihkan seperti ini. Nida seorang wanita yang pintar, baik dan ibu yang sangat menyayangi anak lelakinya,” ujar Azzam pula.

    Kejadian yang melibatkan panggilan balik beg udara Takata telah pun bermula pada tahun 2014 dan sehingga kini melibatkan lebih 100 juta kenderaan di seluruh dunia. Malah ia telah menyebabkan insiden yang tidak diingini termasuk melibatkan 130 kes kecederaan dan 16 kematian di seluruh dunia, dengan lima kes daripadanya terjadi di Malaysia, termasuk seorang lagi wanita hamil, Law Suk Leh, yang terkorban dalam kemalangan pada tahun 2014. Firma guaman Motley Rice yang mengendalikan kes Allahyarham Dr.Nida ini turut mencari penyelesaian bagi kes yang melibatkan Suk Leh.

     
     
  • Pandangan awal: Kawasaki Versys-X 250 diuji ringkas

    Pandangan awal: Kawasaki Versys-X 250 diuji ringkas

    Bagi peminat motosikal, agak menarik untuk melihat apakah langkah seterusnya oleh wakil pengeluar di Malaysia, terutamanya model-model baru. Apabila sesebuah model dilancarkan secara global, ia tidak bermakna model tersebut akan tiba di Malaysia melalui pengedar rasmi, jadi, apabila mereka melakukan sesuatu acara, wakil media akan cuba ‘mengorek’ sebarang berita mengenainya – jika syarikat itu tidak mengumumkannya sendiri.

    Bagi tahun 2017, Kawasaki Motors Malaysia (KMM) mempersembahkan empat model secara serentak – Versys-X 250, Ninja 650, Z650 dan Z900 – untuk tontonan awal dan pada masa itu harganya juga masih belum ditetapkan. Kesemuanya memang ditunggu ramai, dengan Z900 menggantikan Z800 manakala Z650 dan Ninja 650 masing-masing menggantikan ER-6n dan ER-6f, tetapi Versys-X 250 adalah tanda penglibatan pertama KMM dalam segmennya.

    Ia direka untuk mereka yang mencari kemampuan dua alam pada sebuah motosikal, iaitu boleh digunakan di atas jalan biasa, dan juga offroad yang tidak keterlaluan. Selain itu, kapasiti enjinnya juga lebih rendah – anda tidak perlu menaik taraf kepada lesen penuh, dan kuasanya tidak akan menakutkan mereka yang masih baru berjinak-jinak menunggang motosikal.

    Baca selebihnya di sini

     
     
  • Proton tawar kerusi keselamatan kanak-kanak pada harga RM299, sah dengan pembelian semua model

    Bagi tempoh terhad, Proton kini menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan setiap pembelian mana-mana model keluarannya. Kerusi keselamatan yang bernilai RM1,000 boleh dimiliki pada harga RM299 sahaja.

    Kerusi keselamatan kanak-kanak yang ditawarkan ini adalah dari produk yang menerima pengiktirafan ECE R 44. Ia sepadan untuk digunakan pada tapak Isofix dengan tali keledar. Selain itu, ia juga boleh diletakkan dalam posisi menghadap ke depan dan juga ke belakang (bagi penggunaan di tempat duduk hadapan).

    Proton tawar kerusi keselamatan kanak-kanak pada harga RM299, sah dengan pembelian semua model

    Ia juga turut hadir dengan bahagian sokongan pada kaki, dan sesuai untuk kegunaan untuk bayi yang mempunyai berat maksimum 18 kg. Dengan kemalangan jalan raya yang melibatkan bayi semakin kerap berlaku kebelakangan ini, usaha Proton ini sangat kena pada masanya, sebelum penggunaannya diwajibkan pada 2019. Ia mengingatkan kita bahawa nyawa sentiasa penting untuk dilindungi, terutama ketika di jalan raya.

     
     
  • Perodua buka bilik pameran di Kota Semarahan

    Perodua buka bilik pameran di Kota Semarahan

    Memantapkan lagi rangkaian jualannya, Perodua telah melantik pengedar baharu, MD World Sdn Bhd, dengan membuka pusat jualan ke-199 yang terletak di Kota Semarahan, Kuching, Sarawak.

    Bilik pameran ini dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, dan majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Urusan dan pemilik MD Motors Freddy Numan Lawan.

    Menurut Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr. Zahari Husin, Malaysia Timur merupakan pasaran yang penting bagi Perodua.

    “Terdapat banyak potensi yang belum diusahakan di sini terutamanya dengan semua projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Dengan peluang memperluaskan pasaran ke bahagian ini, kami berharap ia mampu meningkatkan angka jualan kami,” ujar Zahari.

    Menurut rekod, pada suku pertama 2017, Perodua berjaya menjual sejumlah 50,300 unit kenderaannya, dengan 5% daripadanya datang dari Malaysia Timur.

    Freddy pula berkata, “Kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Perodua dan berharap dapat memperkembangkan bilik pameran ini menjadi pusat 3S sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan.”

     
     
  • Sejauh mana matangnya industri automotif China, adakah ia sedia untuk menggegar pasaran global?

    Sejauh mana matangnya industri automotif China, adakah ia sedia untuk menggegar pasaran global?

    Masih lagi saya ingat ketika berkunjung ke Kuala Lumpur International Motor Show 2006 (waktu itu saya masih bergelar pelajar), sebuah kereta buatan China turut dipamerkan di situ, memperlihatkan kualiti yang agak teruk – termasuk gam pada lampu hadapan yang jelas kelihatan ‘bersepah’.

    Sejak daripada itu, saya sering skeptikal dengan kenderaan buatan China yang saya sifatkan seperti kereta-kereta permainan kawalan jauh keluaran negara Republik Rakyat tersebut – nampak cantik dari jauh, main sebulan kemudian punah.

    Pastinya tidak hanya saya, malah persepsi negatif sedemikian masih lagi menebal dikalangan sebilangan besar rakyat Malaysia bukan? Disebabkan skeptikal ini juga pelbagai jenaka yang ditimbulkan ketika syarikat pengeluaran kenderaan dari China – Geelydilaporkan turut disenarai pendek sebagai syarikat yang berpotensi untuk menjadi rakan strategik luar untuk Proton.

    Pertengahan bulan lalu, saya diberi peluang untuk membuat liputan ke Auto Shanghai 2017 – acara pameran automotif terbesar di dunia yang menghimpunkan bukan sahaja jenama-jenama tempatan China, malah nama-nama besar dari seluruh dunia.

    Saya pergi bersama rombongan media permotoran tanah air yang di bawa oleh Go Auto iaitu wakil pengedar untuk pasaran Malaysia bagi SUV jenama Haval yang berasal dari China. Rombongan kami tidak terus ke Shanghai, sebaliknya terlebih dahulu mendarat di Beijing untuk lawatan ke kilang Haval yang terletak di Baoding.

    Sebaik mendarat dan mula menyelusuri jalan darat Republik berkenaan, tentulah mata saya tertumpu pada kenderaan-kenderaan yang terdiri dari pelbagai jenama dan varian yang tidak terdapat di Malaysia. Selain dari jenama-jenama tempatan dan juga dari Amerika seperti Buick, Cadillac, Jeep dan sebagainya, jenama dari Jerman iaitu Volkswagen antara yang membanjiri jalan raya di sana.

    Untuk pengetahuan anda, selepas pintu perdagangan China dibuka pada tahun 1978, Volkswagen merupakan antara jenama pertama yang dapat masuk kepasaran tersebut. Volkswagen Santana, iaitu model yang diasaskan dari Passat generasi kedua telah mula dipasang di China oleh Shanghai Tractor Automobile Corporation (STAC) pada tahun 1982 dengan 100 kit CKD awalan yang diimport dari Jerman.

    Kemudian pada tahun 1984, VW berjaya memeterai perjanjian dengan STAC bersama China National Automotive Industry Corporation (CNAIC) dan Bank of China untuk membentuk pakatan Shanghai Volkswagen Automotive pada Oktober 1984. Pakatan tersebut memulakan produksi Santana pada tahun 1985, dan produksi ke-10,000 berjaya dicapai dalam masa tidak sampai setahun.

    Jika ke China, anda tidak akan jumpa kereta-kereta lama seperti Toyota Corolla EE80, Nissan Sunny 130Y, Mazda 323 dan sebagainya, yang ada hanyalah Santana lama. Model ini boleh dikatakan agak ikonik di negara berkenaan dan model-model awalnya masih lagi dapat dilihat digunakan sebagai teksi – seperti Saga dan Iswara di Malaysia. Anda ingat lagi kereta yang direstorasi dan kemudian dijahanamkan kembali oleh Jackie Chan dalam filem Karate Kid 2010? Itulah dia Volkswagen Santana.

    Santana merupakan antara sejarah moden industri gergasi automotif di China. Dengan populasi lebih dari 1.3 bilion orang, lebih dari 20 juta kenderaan boleh dijual dalam pasaran automotif domestik di China untuk masa setahun. Sebagai perbandingan, hanya sekitar 600,000 unit kenderaan yang mampu dijual dalam Malaysia dalam tempoh yang sama – betapa kerdilnya pasaran kita berbanding China.

    Dengan pasaran sebesar ini, dianggarkan lebih dari 100 jenama dari China sendiri mampu berdiri dalam pasaran domestik (terdiri dari pembuat kereta penumpang, kenderaan perdagangan dan juga motosikal) tanpa mengharapkan jualan eksport. Kebanjiran jenama-jenama tersebut menyebabkan rakyat mereka sendiri tidak mengetahui sepenuhnya jenama-jenama tempatan yang ada disekeliling mereka.

    Satu perkara lagi yang menarik, dengan pasaran sebesar itu, pengeluar-pengeluar di China mampu memberikan pelbagai pilihan model dalam satu segmen yang sama. Volkswagen misalnya, untuk model sedan segmen-C sahaja mereka mempunyai model Santana generasi baharu, Lavida, Sagitar, Jetta dan Lamando – yang mana kesemuanya mempunyai rupa yang tersendiri. Ini juga terjadi kerana Volkswagen diedar oleh dua pengedar berbeza di China iaitu FAW-VW dan juga Shanghai-VW.

    Begitu juga dengan Honda, untuk sedan segmen-B mereka bukan sahaja mempunyai City, malah turut menghasilkan model Crider – menggunakan asas yang sama tetapi penggayaan yang sepenuhnya berbeza dari City.

    Sejauh mana matangnya industri automotif China, adakah ia sedia untuk menggegar pasaran global?

    Bukan hanya segmen-B, Honda turut menghasilkan pasangan Spirior dan Accord untuk segmen-D serta Vezel (HR-V) dan XR-V untuk SUV segmen-B. Perkara ini sebenarnya dapat meluaskan pilihan pengguna di sana – jika Accord kelihatan lebih ‘orang tua’, mereka boleh pilih Spirior yang lebih sporty dan ia masih lagi Honda.

    Tetapi apakah akibat jika Honda membuat perkara yang sama untuk pasaran kecil seperti di Malaysia? Pertamanya, kos untuk menghasilkan dua buah model yang berlainan dengan jumlah yang sedikit tentunya meningkatkan kos produksi. Kemudian, kedua-dua model berkenaan berpotensi untuk membunuh sesama sendiri dalam pasaran.

    Pasaran China juga merupakan ‘lubuk wang’ untuk pengeluar-pengeluar kenderaan mewah dari seluruh dunia. Bak kata wakil salah seorang Go Auto yang mengiringi kami – masih lagi bujang pada usia 30-tahun, salah satu perkara yang boleh memudahkan pemuda China untuk berkahwin adalah dengan memiliki BMW.

    Anda boleh lihat banyak model mewah yang khas dibuat untuk pasaran China oleh pengeluar-pengeluar sedemikian kerana setiap permintaan pada pasaran negara tersebut pastinya akan memberikan pulangan yang menguntungkan, misalnya BMW 1 Series sedan dan juga pelbagai lagi model versi jarak roda panjang (dengan lencana ‘L’ dibelakang) dihasilkan oleh Audi, Mercedes-Benz, Volvo dan juga BMW.

    Pasaran yang besar ini juga membolehkan pelbagai kenderaan pelik boleh dilihat pada jalan raya negara berkenaan – dari kereta elektrik yang bersaiz lebih kecil dari Smart Fortwo, sehinggalah lori sebesar lori satu tan di Malaysia tetapi hanya mempunyai tiga roda. Dengan kualiti udara yang teruk juga, jenama-jenama tempatan dilihat kini banyak menghasilkan kenderaan-kenderaan elektrik sepenuhnya, seperti BAIC EV200.

    Tetapi, adakah dengan pasaran dalam negara yang begitu selesa membuatkan jenama-jenama dari China tidak mahu bersaing pada pasaran luar? Untuk bertarung di peringkat global bermaksud pengeluar-pengeluar berkenaan perlu untuk menghasilkan produk yang setara dengan jenama dari Eropah, Amerika mahupun Jepun, bukan sekadar menyediakan kenderaan yang boleh bersaing hanya dari segi harga.

    Tidak dinafikan banyak lagi jenama China yang masih ketinggalan dari segi kualiti, tetapi ada juga yang nampak serius untuk masuk ke pasaran global.

    Antara jenama yang serius berkenaan adalah Haval – jenama yang dulu dikenali sebagai Great Wall Motors, kini menumpukan hanya pada penghasilan SUV. Kunjungan kami ke ‘wilayah’ mereka di Baoding, iaitu lebih kurang 150 km dari Beijing benar-benar membuka mata dan merasa betapa kerdilnya kita dalam industri automotif.

    Sebelum ke kilang, kami terlebih dahulu ke pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), iaitu fasiliti dengan bangunan 25 tingkat pada gambar paling atas artikel ini. Ya, fasiliti mega berkenaan adalah hanya untuk R&D dan bukan sebahagian dari kilang pengeluaran. Bangunan ini beroperasi dengan 7,000 orang pekerja yang turut dianggotai oleh sebahagian tenaga pakar dari luar China, antaranya Pierre Leclercq iaitu bekas ketua pereka BMW.

    Ia dilengkapi dengan peralatan ujian yang setanding dengan apa yang ada oleh pengeluar Eropah termasuk terowong angin, makmal ujian altitud tinggi, keserasian elektromagnet, bilik akustik untuk ujian NVH serta pelbagai lagi.

    Blok-blok apartment kediaman dibina bersebelahan pusat R&D ini khas untuk pekerja-pekerja Haval sahaja, lengkap dengan kemudahan lain seperti sekolah dan sebagainya. Pusat R&D ini juga turut mempunyai ruang khas mempamerkan model-model serta teknologi konsep yang dibangunkan oleh Haval dan telah didedahkan sebelum-sebelum ini.

    Selesai lawatan di sini, kami dibawa pula ke kilang Xushui yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat R&D berkenaan. Selain dari tenaga manusia, kilang ini turut dipenuhi pelbagai robot terkini untuk menghasilkan kereta. Tiada beza dengan kilang-kilang Jepun dan Eropah, kilang besar milik Haval ini sangat tersusun dan bersih (lantai kilat di mana-mana!) serta dioperasikan oleh pekerja-pekerja yang sangat berdisiplin.

    Habis lawatan kilang, kami dihidangkan dengan produk-produk terbaharu Haval untuk diprebiu, termasuk dua model yang bakal dibawa ke Malaysia iaitu SUV segmen-C H6 dan juga SUV 4×4 ladder frame H9.

    Kami terus diberikan kejutan semasa sesi prebiu ini – walaupun rupa SUV-SUV ini masih lagi tipikal buatan China iaitu dengan rekaan-rekaan yang disadur dari jenama luar dan masih lagi belum mempunyai identitinya tersendiri, tetapi kualiti yang dipersembahkan pada komponen-komponennya jelas jauh lebih maju dari sebelum ini.

    Selain dari teknologi seperti enjin suntikan bahan api terus, pengecas turbo dan juga transmisi klac berkembar (DCT), model-model baharu Haval ini diberikan bahagian kabin yang penuh dengan material sentuhan-lembut dan juga bermutu tinggi.

    Kulit yang membaluti tempat duduk begitu lembut dan menghasilkan bau hampir kepada kereta Eropah, hampir kebanyakkan bahagian pada papan pemuka dan panel-panel pintu adalah lembut ketika dipegang (kurang plastik seperti baldi ketika diketuk), sehinggakan pemegang pintu juga diberikan balutan bahan bergetah.

    Perincian-perincian kecil juga diberi perhatian contohnya suis-suis kawalan audio, penghawa dingin dan juga tingkap berkuasa kini lebih solid, tidak terasa loose, serta cetakan simbolnya juga kelihatan bermutu. Ketelitian produk-produk baharu Haval ini diserlahkan sehingga kepada unit-unit kunci pintarnya yang nampak sangat premium – menunjukkan betapa seriusnya mereka untuk bersaing diperingkat global.

    Dalam kenyataan CEO Go Auto, En. Ahmad Azam Sulaiman sebelum ini, H6 dan H9 CBU yang bakal dibawa kepasaran Malaysia pada suku ketiga atau keempat 2017 bakal menerima kualiti yang 99% sama seperti apa yang kami saksikan pada hari berkenaan. Jadi, untuk mereka yang merancang untuk membeli SUV baharu pada tahun ini, saya rasa tidak rugi untuk anda menyenaraikan bilik pameran Haval sebagai salah satu tempat yang perlu dikunjungi dalam membuat senarai pendek kereta mana yang perlu dibeli kelak.

    Kilang Xushui turut mempunyai litar ujian yang sangat besar, di mana kami turut dibawa melihat litar tersebut dengan menaiki H6 dan H9. Selain dari mendemonstrasikan kadar NVH kedua-dua SUV tersebut yang agak baik, Haval juga berbangga untuk menunjukkan litar’sendeng’ kelajuan tinggi mereka yang boleh menguji kereta sehingga kelajuan maksima 240 km/j.

    Untuk keseluruhan, Haval kini berupaya untuk menghasilkan sejumlah satu juta kenderaan setahun menerusi kilang Xushui ini dan juga sebuah lagi kilang di Tianjin. Syarikat berkenaan kini mempunyai kakitangan seramai 70,000 untuk menjalankan setiap operasinya. Seperti juga pada pusat R&D Baoding, kilang Xushui dan Tianjin turut mempunyai kawasan seperti wilayahnya yang tersendiri, lengkap dengan tempat kediaman, sekolah dan pelbagai lagi.

    Haval juga kini sudah mempunyai jenama mewahnya sendiri iaitu WEY, yang diwujudkan sama seperti konsep Toyota-Lexus, Honda Acura, atau Nissan-Infiniti. Selain Haval, Geely juga dilihat telah melancarkan jenama mewahnya iaitu Lynk & Co.

    Secara jujur, kunjungan saya ke China kali ini berjaya melunturkan sedikit sebanyak persepsi saya terhadap produk-produk automotif republik berkenaan. Mereka mungkin belum dapat mencapai identiti mereka sendiri seperti apa yang telah dikecapi Jepun pada masa sekarang, produk-produk mereka juga belum lagi menerima pengiktirafan dari barat seperti apa yang diraih Korea pada masa kini, tetapi percayalah, mereka kini sedang menuju kearah itu.

    Oh ya, Auto Shanghai 2017 juga telah berjaya ‘menyeksa’ kaki saya. Apa tidaknya, dengan kebanyakkan jenama global menyertai acara ini serta turut menampilkan lambakan jenama tempatan, auto show berkenaan diadakan dengan menggunakan lapan buah dewan, yang setiap satu daripadanya lebih besar dari sebuah dewan di PWTC!.

    GALERI: Pusat R&D Baoding dan Kilang Xushui Haval

    GALERI: Model dan teknologi konsep Haval di Pusat R&D

    GALERI:Pemandangan sekitar jalan raya di China

    GALERI: Haval H6 Coupe 2.0 GDIT

    GALERI: Haval H9 2.0L Turbo 4X4

     
     
  • Modenas keluarkan teaser model baharu kedua

    Modenas keluarkan teaser model baharu kedua

    Menyusuli gambar teaser pertama yang dikeluarkan pagi ini, Modenas mengeluarkan pula gambar kedua yang menunjukkan bahagian sisi sebuah motosikal yang kami lihat jelas adalah model Bajaj Pulsar RS200. Bukan setakat kelengkapan pada motosikal itu sahaja, grafik pada fairing motosikal itu juga masih sama seperti Bajaj Pulsar RS200 yang dijual di India.

    Bajaj Pulsar RS200 adalah sebuah motosikal yang dikuasakan oleh enjin empat strok 199.5 cc satu silinder SOHC dan mempunyai sistem suntikan bahan api. Kuasa yang mampu dikeluarkan oleh enjin ini adalah 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.6 Nm pada 8,000 rpm. Daripada gambar itu juga, di sebalik ayat teaser tersebut, boleh dilihat pada fendernya mempunyai tulisan ABS.

    Tulisan Race Sports pada fairing motosikal ini mungkin adalah tanda nama RS itu sendiri, dan di India, motosikal ini ditawarkan pada harga 1.34 lakh, bersamaan jika ditukar terus kepada Ringgit Malaysia adalah RM9,029 – satu harga yang cukup menarik bagi sebuah motosikal 200 cc.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Bajaj Pulsar RS200 adalah lampu projector berkembar di hadapan, lampu belakang LED kristal, suspensi nitrox mono di belakang, sistem penyejukan enjin cecair dan brek cakera di depan dan belakang.

     
     
  • Honda Jazz facelift terkini dari imej brosur Jepun

    Honda Jazz facelift terkini dari imej brosur Jepun

    Gambar-gambar brosur yang terlepas diinternet, yang menampilkan Honda Jazz facelift, kini mula beredar dan dikongsikan oleh pengguna Twitter @Ren_games_ dan CarDrive.

    Jazz terbaru berkenaan (atau dikenali sebagai Fit di Jepun) khabarnya akan diperkenalkan di sana pada bulan Jun tahun ini, menampilkan beberapa perubahan. Bahagian depan yang direka semula kelihatannya menerima kemasan krom pada bahagian atas logo Honda, serta lampu utama yang lebih tajam juga menerima kemasan yang sama.

    Walaupun kualiti gambar yang ada bukan resolusi tinggi, masih dapat dilihat rekaan chrome wing terdahulu yang terletak di bahagian bawah logo kini tidak lagi disertakan. Bahagian belakang bagaimanapun menempatkan hanya sedikit perubahan daripada model sedia ada; garis kemasan krom di bahagian bawahnya.

    Beberapa gambar lain pula menunjukkan model hatchback hadir dengan kit badan yang lebih agresif; bampar yang lebih tajam rekaannya. Begitu juga pelindung lampu kabus, kit sisi dan spoiler belakang.

    Setakat ini, masih belum ada gambar-gambar ruang dalaman model terkini Jazz berkenaan. Namun, jika dilihat perubahan di luar, boleh dijangkakan kabin dalamnya juga hanya akan menerima pembaharuan yang minimal. Bagi enjin, ia akan terus menggunakan enjin 1.5 liter dan 1.3 liter i-VTEC petrol.

    Selain itu, versi janaan hibrid juga turut ditawarkan – dengan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson, motor elektrik, bateri lithium-ion serta transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Setakat ini, masih belum kedengaran penggunaan enjin 1.0 liter. Itu mungkin akan digunakan pada model Jazz generasi baru yang dikhabarkan akan keluar pada 2019.

     
     
  • Nissan X-Trail Edisi Aero diperkenalkan – 2.0L 2WD Edisi Aero, 2.5L 4WD Edisi Aero, harga dari RM141k

    Nissan X-Trail Edisi Aero diperkenalkan – 2.0L 2WD Edisi Aero, 2.5L 4WD Edisi Aero, harga dari RM141k

    Tidak dinafikan, sejak dilancarkan pada Januari 2015, Nissan X-Trail menjadi antara SUV yang popular di Malaysia. Apatah lagi ia menerima sentuhan rekaan yang lebih elegan, bahkan dikenali sebagai ‘baby Murano’ kerana X-Trail dikatakan memiliki imej yang agak mirip dengan SUV premium itu.

    Hari ini, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah mengumumkan kehadiran edisi khas bagi X-Trail yang dikenali sebagai X-Trail Edisi Aero. Masih ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0L 2WD Edisi Aero dan 2.5L 4WD Edisi Aero, ia hadir dengan alat ganti yang direka khas oleh TOMEI Motor Co., Ltd, satu jenama Jepun yang memang terkenal dengan teknologi dan prestasinya dalam sukan permotoran.

    Ia merangkumi satu aero bampar hadapan, spoiler sisi bawah dan aero bampar belakang untuk memberikan penampilan lebih garang. Edisi Aero ini juga hadir dengan rim aloi lima jejari bersaiz 17-inci dan tempat duduk kulit Nappa berwarna perang yang memberikan rasa sofistikated kepada ruang dalaman. Lain-lain elemen masih dikekalkan seperti mana versi standard.

    Walau bagaimana pun, penjana kuasanya masih dikekalkan iaitu 2.5L 4WD dipadankan dengan enjin QR25DE-k2 bersama Twin CVTC yang mampu menawarkan kuasa maksimum 171PS pada 6,000rpm dan tork 233Nm pada 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula menggunakan enjin MR20DD dengan sistem pancitan terus dan Twin CVTC, ia berupaya menjana kuasa sehingga 144PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm.

    Kedua-dua varian ini turut dipadankan kotak gear Xtronic CVT generasi baharu dengan mod manual tujuh-kelajuan serta sistem ECO Mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, selain prestasi pemanduan lebih lancar dan berkuasa.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian ini dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, BA, Kawalan Dinamik Kenderaan, Bantuan Mula Mendaki, Isofix dan Kawalan Chasis Aktif. Walau bagaimana pun varian 2.5 4WD memiliki pertambahan elemen keselamatan iaitu Kawalan Turun Bukit.

    Harga bagi kedua-dua varian adalah seperti berikut:

    Nissan X-Trail Edisi Aero diperkenalkan – 2.0L 2WD Edisi Aero, 2.5L 4WD Edisi Aero, harga dari RM141k

    Setiap pembeliannya turut hadir dengan jaminan selama tujuh tahun serta perbatuan tanpa had. Sementara semua aksesori yang dipasang di kilang itu hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana yang terdahulu).

    Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “X-Trail telah menjadi SUV terlaris No.1 di Malaysia (Tahun 2015- Tahun 2016). Kami percaya X-Trail Edisi Aero baharu ini akan menarik minat mereka yang mahukan sebuah SUV Jepun mewah dan premium.”

    Sempena ulang tahun ke-60 Tan Chong, ETCM menawarkan pelanggan dengan tawaran menarik ke atas X-Trail Edisi Aero. Pelanggan boleh berjimat sehingga RM6,000 atau memilih rebat Hari Raya berjumlah RM4,500 bersama promosi RM1.00 untuk Multimedia Navigator bersaiz 8-inci.

    Malah pemilik NISSAN X-Trail sedia ada yang berminat juga boleh menaik taraf SUV mereka dengan Edisi Aero. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web: www.nissan.com.my atau kunjungi mana-mana bilik pameran NISSAN di seluruh negara.

     
     
  • Kia Cerato Koup tidak lagi berada di pasaran US ekoran jualan yang kurang memberangsangkan

    Kia Cerato Koup tidak lagi berada di pasaran US ekoran jualan yang kurang memberangsangkan

    Menurut laporan yang disiarkan oleh CarsDirect, Kia tidak akan meneruskan penjualan Cerato Koup (atau lebih dikenali sebagai Forte Koup di kebanyakan pasaran) di Amerika Syarikat (US) ekoran permintaan pelanggan yang tidak memberangsangkan.

    “Melihat akan perkembangan pembelian pelanggan kami, Kia Motors America (KMA) sepakat untuk tidak meneruskan model Koup dua-pintu kerana jualannya yang menyusut pada tahun lalu,” ujar jurucakap Kia James Hope.

    Cerato Koup ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter empat-silinder GDI (173 hp) dan yang lebih berkuasa, 1.6 liter pengecas turbo GDI bersama kuasa 201 hp. Bagi pasaran Malaysia, model coupe dua-pintu ini masih diteruskan penjualannya, dan juga dilengkapi dengan penjana kuasa turbo.

    Penyingkiran model ini di US tidaklah suatu yang mengejutkan disebabkan Forte 2017 telah hadir dengan pelbagai penambahbaikan, malah terkini Honda Civic Coupe juga hadir dengan pakej yang lebih lengkap bersama harga yang lebih kurang sama. Menurut CarsDirect, Cerato Koup berharga USD20,740 (RM89,752), manakala Civic Coupe bermula pada harga USD20,825 (RM90,120).

    GALERI: Kia Cerato Koup (Spesifikasi Malaysia)

     
     
  • Modenas keluarkan teaser model baharu – tiga model berbeza karekter akan diperkenalkan 19 Mei ini

    Modenas keluarkan teaser model baharu – tiga model berbeza karekter akan diperkenalkan 19 Mei ini

    Sebelum ini kami telah mengeluarkan laporan bahawa Modenas sah menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal daripada India iaitu Bajaj Auto Ltd (BAL). Ia dilakukan supaya Modenas dapat menawarkan lebih banyak produk dan berada lebih kukuh dalam pasaran motosikal bukan sahaja di dalam Malaysia, tetapi juga untuk pasaran eksport.

    Hasil daripada kerjasama ini dijangka menemui pengguna dalam masa yang pantas, di mana melalui gambar teaser pertama yang dikeluarkan sendiri oleh Modenas di laman Twitter, akan berlaku pada 19 Mei ini. Malah, bukan satu model yang diperkenalkan, tetapi tiga.

    Daripada gambar yang dikeluarkan, boleh dijangka model ini adalah Bajaj Pulsar NS200, iaitu sebuah motosikal naked yang menggunakan enjin empat strok 199.5 cc satu silinder SOHC dan mempunyai sistem suntikan bahan api. Kuasa yang mampu dikeluarkan oleh enjin ini adalah 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.6 Nm pada 8,000 rpm.

    Selain NS200 ini, kami menjangkakan dua model selebihnya adalah RS200, iaitu model yang menggunakan enjin sama, tetapi badan sebuah sportsbike dengan fairing penuh dan satu lagi adalah model cafe racer yang bernama Bajaj V.

    Apa pendapat anda? Bolehkah model-model ini diterima untuk pasaran Malaysia jika harganya lebih menarik berbanding pesaing yang ada sekarang?

     
     
  • Malaysia merupakan antara 50 negara tertinggi di dunia dalam kadar pemilikan kenderaan – Liow

    Malaysia merupakan antara 50 negara tertinggi di dunia dalam kadar pemilikan kenderaan – Liow

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mendedahkan peningkatan jumlah kenderaan terkumpul di Malaysia semakin meningkat iaitu sebanyak 27.6 juta buah kenderaan pada 2016, berbanding 20.2 juta pada tahun 2010.

    Manakala Bilangan pemandu yang dilesenkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)juga meningkat sebanyak 20.69% dalam tempoh lima tahun iaitu 1.38 juta orang pada tahun lalu, berbanding 1.22 juta orang pada 2010, laporan Bernama.

    Justeru, katanya, ini membuatkan tugas dan tanggungjawab JPJ juga semakin bertambah.

    “Dengan rekod yang dicatatkan oleh JPJ ini, menunjukkan bahawa keperluan pengangkutan yang mendesak menyebabkan kadar pemilikan kenderaan di Malaysia antara 50 negara tertinggi di dunia, sekaligusmenjadikan perkhidmatan JPJ amat kritikal,” katanya.

    Dalam masa yang sama Liow turut menyuarakan kegusarannya apabila kadar kemalangan di negara ini juga masih berada pada tahap membimbangkan dengan 512,466 kemalangan direkodkan pada tahun lalu.

     
     
  • IIMS 2017: Mitsubishi Pajero Sport kini CKD Indonesia

    IIMS 2017: Mitsubishi Pajero Sport kini CKD Indonesia

    Mitsubishi Pajero Sport terkini masih belum tiba di Malaysia, tetapi di Indonesia, SUV yang diasaskand daripada model Triton itu sudah memasuki fasa keduanya. SUV tujuh-tempat duduk itu kini dipasang secara CKD di sana, dan akan dijual bersekali dengan model yang dibawa masuk dari Thailand.

    Pemasangan tempatan yang dilakukan di kilang baru Cikarang itu memberikan nilai tambah dan penjimatan yang lebih banyak bagi model berkenaan. Ini termasuk penawaran dari varian Pajero Sport Dakar 4×2 Ultimate yang tampil dengan kelengkapan tambahan untuk pengguna.

    Beberapa ciri teknologi keselamatan menjadikannya lebih berbaloi; tujuh beg udara (model import dari Thailand hanya ada dua beg udara), Forward Collision Mitigation System, Blind Spot Warning, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System dan Adaptive Cruise Control antara yang dimaksudkan.

    Ia turut menerima skrin monitor sembilan inci yang turut dihubungkan bersama unit radio 2-DIN dan sistem audionya. Lagi tambahan-tambahan kecil yang lain ialah butang kunci pada panel pintu pemandu serta suis tingkap kuasa dengan nyalaan lampu. Di bahagian dalam, warna latar biege serta kemasan kayu menjadi pilihan pengeluarnya.

    Spoiler belakang turut memberikannya imej yang lebih menonjol dari aspek luaran. Rekaan lampu yang “panjang” serta wajah Dynamic Shield kekal seperti sebelumnya. Turut dikekalkan ialah enjin yang digunakan; 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan janaan 181 PS dan 430 Nm tork, yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Pajero Sport Dakar 4×2 Ultimate dijual pada harga 549 juta Rupiah (RM178,401).

    Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X2 Ultimate

    Mitsubishi Pajero Sport Dakar 4X4

     
     
  • Caj Jalan Raya untuk kenderaan dari Thai bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini – Liow

    Caj Jalan Raya untuk kenderaan dari Thai bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini – Liow

    Selepas kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia menerusi sempadan Johor dikenakan Caj Jalan Raya (RC) pada November lalu, perkara yang sama juga akan dilaksanakan bagi kenderaan asing yang datang dari Thailand, dalam masa terdekat ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, rundingan sedang dilaksanakan dengan pihak berkaitan khususnya Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri yang merupakan laluan masuk ke Thailand, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    “Bayaran yang akan dikenakan ialah RM20. Setiap negeri apabila mereka kutip dari sempadan masing-masing, kami akan serah semula RM5 kepada kerajaan negeri terlibat. Ini sama seperti yang dipraktikkan di Johor,” ujar Liow baru-baru ini.

    Liow juga memaklumkan kutipan RC bagi kenderaan dari Singapura sejak ia dilaksanakan adalah sebanyak RM7.9 juta, namun menegaskan kutipan itu bukan semata-mata bersifatkan keuntungan.

    “Ini bukan dilihat dari segi hasil sahaja. Kami lihat dari segi keselamatan kerana tidak mahu kereta klon atau kenderaan yang masuk dari Singapura. Mereka harus pulang. Kami boleh kesan. Dulu mereka masuk dan letak kenderaan di sini, banyak kenderaan yang sudah berusia lebih 10 tahun… yang tidak boleh digunakan di sana, dihantar ke Malaysia,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025