Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • PKP: Tiada kemalangan jalan raya sepanjang pergerakan rentas negeri 7-10 Mei lalu – Ismail Sabri

    PKP: Tiada kemalangan jalan raya sepanjang pergerakan rentas negeri 7-10 Mei lalu – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan tiada kemalangan jalan raya dilaporkan sepanjang pergerakan rentas negeri sepanjang pelaksanaannya dari 7 hingga 10 Mei lalu.

    Menurutnya, pergerakan rentas negeri melalui program Gerak Malaysia bagi mereka yang terkandas di kampung itu berjalan dengan lancar. Di mana sebanyak 401,253 permohonan telah diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh 3 hingga 10 Mei lalu.

    “Aliran pergerakan menunjukkan 36,951 kenderaan bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke negeri-negeri lain pada hari pertama pergerakan rentas negeri dibenarkan 7 Mei lalu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Manakala pergerakan dari Johor, Kelantan dan Perak pada 8 Mei, sebanyak 111,734 kenderaan telah direkodkan. Pada 9 Mei pula, sebanyak 97,323 kenderaan bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang. Pada hari terakhir kebenaran pergerakan rentas negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu, sebanyak 138,678 kenderaan telah direkodkan.

    Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah pun dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, berkata, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh tersebut. Bagi orang ramai yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri pada tempoh ini, perlulah mendapatkan kebenaran daripada polis terlebih dahulu. Walau bagaimana pun, ia hanya untuk perkara kecemasan sahaja.

     
     
  • Toyota Highlander 2021 bakal ke pasaran Eropah

    Toyota Highlander 2021 bakal ke pasaran Eropah

    Toyota Highlander generasi ke-empat telah diperkenalkan di New York International Auto Show pada tahun lalu, dan kini telah diumumkan SUV tujuh-tempat duduk ini akan dijual di pasaran Eropah pada awal 2021.

    Tidak seperti versi Amerika Utara, Highlander untuk pasaran Eropah hanya ditawarkan dengan penjana kuasa hibrid dengan hamburan kuasa 244 PS (241 hp), yang dikatakan mampu memberikan penjimatan sekitar 6.6 l/100 km dan pelepasan CO2 sekitar 146 g/km mengikut standard WLTP.

    Gabungan enjin 2.5 liter kitaran-Atkinson empat-silinder dan CVT yang dikawal secara elektronik, turut disokong oleh motor elektrik di hadapan dan belakang – yang menyalurkan pacuan ke semua-roda. Motor elektrik tersebut dikuasakan oleh bateri nickel-metal hydride (Ni-MH) yang ditempatkan di bawah tempat duduk barisan kedua.

    Menggunakan teknologi kerangka terkini, Highlander turut dibangunkan dengan platform
    Toyota New Global Architecture (TNGA-K) dan berukuran 4,950 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,730 mm tinggi, dengan jarak roda 2,850 mm.

    Praktikaliti merupakan daya tarikan utama bagi SUV ini, di mana ia menyediakan 658 liter ruang but, atau pun mampu mencecah sehingga 1,909 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan. Tempat duduk barisan kedua juga boleh digelangsar hingga jarak 180 mm untuk memudahkan akses ke barisan ketiga.

    Untuk kelengkapan pula, SUV ini didatangkan dengan roda aloi 20-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci, paparan utama, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas telefon tanpa wayar, tempat duduk dengan aliran udara, cermin pandang belakang digital, dan juga empat mod pemanduan (Eco, Normal, Sport dan Trail).

    Toyota Safety Sense juga ditampilkan, termasuklah Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) dengan bantuan kemudi aktif untuk elak pelanggaran, bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Kawalan Kelajuan Adaptif Sepenuhnya (ACC), ACC dengan Bantuan Isyarat Jalan (RSA), Bantuan Pengesan Lorong (LTA), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan Bantuan Isyarat Jalan (RSA).

     
     
  • CFMoto 1250J 2020 jadi motosikal polis trafik di China

    CFMoto 1250J 2020 jadi motosikal polis trafik di China

    CFMoto mungkin jenama yang agak baru di Malaysia, yang mula masuk ke pasaran ini pada 2019. Di China, syarikat ini agak dikenali, terutama sebagai pengeluar motosikal berkuasa besar. Dan, baru-baru ini ada satu model dilancarkan senyap-senyap, CFMoto 1250J 2020 yang direka untuk kegunaan polis trafik di sana.

    Dengan penampilan yang mirip kepada model BMW K1600LT, CFMoto 1250J dilengkapi enjin LC8 V-twin dari KTM. Ini tidak menghairankan, kerana CFMoto memang ada mengeluarkan rekaan untuk KTM bagi pasaran di China sebelum ini – sebuah kerjasama yang telah berlangsung antara kedua jenama untuk pasaran di sana.

    Bagi model ini, unit enjin yang digunakan berkapasiti 1,278.8 cc, menghasilkan sebanyak 140 hp pada 8,500 rpm dan 120 Nm tork pada 7,000 rpm dengan gandingan kotak gear enam-kelajuan.

    CFMoto 1250J 2020 jadi motosikal polis trafik di China

    Untuk paparan, skrin LCD 12.3-inci digunakan; ini saiz yang agak besar untuk digunakan pada motosikal. Capaian telefon pintar adalah standard, termasuk Bluetooth dan sistem tunjuk arah, serta empat mod tunggangan.

    Belum dipastikan sama ada model ini lengkap dengan ciri ABS atau tidak. Tetapi, berdasarkan perkembangan semasa serta penawaran teknologi yang ada dan juga tujuan penggunaan model terbabit, ciri keselamatan maju tentunya dipasangkan sekali. CFMoto 1250J telah diserahkan kepada pihak berkuasa di China untuk tujuan ujian dan latihan. Model yang sama juga dijangka akan turut dijual di dalam pasaran massa selepas ini.

     
     
  • Trak pikap Proton dengan muka seperti X90/Haoyue

    Trak pikap Proton dengan muka seperti X90/Haoyue

    Ini adalah satu lagi lukisan render yang menggunakan inspirasi daripada model Geely Haoyue VX11. Masih lagi dihasilkan oleh Theophilus Chin, hasil kali ini dijadikan sebagai sebuah trak pikap, dan diterapkan dengan identiti Proton seperti lukisan render X90 sebelum ini.

    Hampir keseluruhan bahagian hadapannya sama seperti bayangan X90 tersebut, cuma bahagian belakangnya diubah untuk menjadi trak pikap. Pada bahagian tepi terdapat pemijak kaki untuk memudahkan pengguna naik ke dalam kereta sementara di atas bumbung pula terdapat rel yang boleh digunakan untuk pemasangan rak membawa barangan.

    Theo tidak mengambil sebarang bahagian belakang trak pikap lain untuk projek ini, sebaliknya menghasilkan sendiri rekaan yang mengikut konsep. Anda boleh lihat, lengkuk roda serta kemasan di bawah pintu trak pikap ini juga sebenarnya adalah sama seperti Haoyue.

    Trak pikap Proton dengan muka seperti X90/Haoyue

    Bahagian roda sudah tentu menggunakan tayar yang lebih tebal seperti kebiasaan trak pikap yang keluar dari kilang manakala lampu belakang pula lebih mirip kepada unit yang terdapat pada Nissan Navara. Walaubagaimanapun, bahagian lampu penunjuk arah dan lampu undur di dalamnya kelihatan lebih besar.

    Antara dua lukisan render berasaskan Haoyue yang telah dihasilkan sebelum ini, versi SUV X90 nampak lebih meyakinkan kerana ia boleh mengambil terus pakej pada Haoyue termasuk pilihan enjin tiga silinder petrol 1.5 liter atau 1.8 liter. Versi trak pikap pula pastinya perlu menggunakan enjin diesel supaya lebih berpadanan dengan kegunaannya.

     
     
  • Proton X70 kini hadir dengan penuras udara kabin N95 secara standard, diikuti model-model lain selepas ini

    Proton X70 kini hadir dengan penuras udara kabin N95 secara standard, diikuti model-model lain selepas ini

    Selepas pengumuman yang dibuat minggu lalu, Proton kini mengesahkan bahawa SUV segmen-C X70 telah pun diberikan penuras udara kabin (cabin filter) yang mempunyai kualiti turasan sama seperti yang diberikan oleh topeng muka kelas N95, secara standard.

    Dengan pemadanan penuras udara baharu ini pada sistem penghawa dingin yang dilengkapi penyegar udara, sistem tersebut kini digelar sebagai Sistem Pembersih Udara Pintar Proton (P-IAPS). Menurut Proton, Penapis kabin N95 yang baharu ini mampu menyingkirkan 95% partikel bersaiz melebihi 0.3 mikron serta turut menapis 98% debu PM2.5. Oleh itu sistem ini berkesan menghalang kemasukan partikel asap, debu, bakteria dan bahan cemar lain yang akan menghasilkan peredaran udara yang baik dan lebih segar dalam sistem pendingin hawa.

    Sistem pembersih udara sedia ada yang dipasang pada semua model X70 masih dikekalkan. Sistem tersebut menggunakan Penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) yang menyingkirkan 99.97% partikel yang melebihi 0.3 mikron sementara bahan karbon aktifnya pula menghilangkan bau busuk, formaldehyde serta menyerap sebarang partikel berpunca dari asap.

    Selain itu juga, ion negatif pada penapis itu akan membantu membersihkan udara. Melalui gabungan Sistem Pembersih Udara dan Penapis Kabin N95, sistem P-IAPS ini akan bertindak menghalang udara yang tercemar daripada memasuki kabin kereta, memberikan tahap perlindungan yang tinggi untuk menghasilkan persekitaran yang bersih dan lebih sihat.

    “Proton sentiasa berusaha untuk menambahbaik produk syarikat. Langkah memperkenalkan penapis kabin N95 ini dilihat relevan dengan keadaan persekitaran ketika ini dan dengan meningkatkan kualiti udara di dalam kabin kereta, kami berharap ia dapat memberikan pengalaman yang lebih selesa tanpa pencemaran udara untuk para pelanggan kami. Buat masa ini, P-IAPS ini hanya akan ditawarkan pada Proton X70, akan tetapi barisan pereka dan jurutera Syarikat sedang bekerja keras untuk turut menawarkan penapis kabin N95 ini pada model-model yang lain,” kata CEO Proton,Dr Li Chunrong.

    Untuk pemilik Proton X70 sedia ada, anda turut boleh menggunakan penuras udara kabin ini dengan penukaran yang mudah. Ia akan dijual di pusat-pusat servis bertauliah Proton bermula 18 Mei ini dengan harga RM79, tidak termasuk kos pemasangan. Untuk mereka yang berminat, temu janji boleh dibuat bermula esok, dan sehingga 18 Ogos ia akan dijual dengan diskaun sebanyak 15%.

     
     
  • Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan rollcage ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

    Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan <em>rollcage</em> ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

    Anda tentu tahu kan memang ada pengeluar yang menghasilkan kereta produksi jalanan yang diberikan rollcage standard dari kilang, seperti Porsche 911 GT3 RS dan Volkswagen Golf GTI Clubsport S? Model-model sebegini biasanya dihasilkan oleh pengeluar sebagai sebuah model yang dijual di bilik pameran, sah digunakan di jalan raya, dalam masa yang sama turut sah untuk digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan litar dalam kelas Clubsport atau one make race.

    Tetapi tahukah anda bahawa Proton juga pernah menghasilkan model sebegini? Ya, menerusi sayap perlumbaan rasminya iaitu Proton R3, jenama automotif nasional ini pernah menjual Satria Neo dengan rollcage dari kilang yang sah digunakan di jalan raya, digelar sebagai Satria Neo R3 Clubsport.

    Model ini diperkenalkan pada tahun 2008, waktu itu Proton R3 masih diterajui oleh Prince of Drift Tengku Djan Ley, namun Neo Clubsport ini dihasilkan dalam jumlah yang cukup terhad iaitu hanya 25-unit, dan satu siri perlumbaan one make turut dirancang ketika itu (pembeli kereta ini wajib untuk menyertai perlumbaan tersebut).

    Neo Clubsport ini juga bukan diasaskan dari model tertinggi CPS, tetapi dihasilkan dari versi 1.6 liter manual biasa – untuk yang biasa berlumba dengan enjin S4PH Proton, mereka pasti tahu bahawa enjin asas Campro ini sebenarnya lebih mudah diubahsuai berbanding versi CPS walaupun kuasa kuda dari kilang lebih rendah.

    Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan <em>rollcage</em> ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

    Jadi pada bahagian luaran, ia tidak diberikan kit badan Neo CPS, namun ia tetap menerima perincian istimewa dari R3 termasuk spoiler bawah bampar hadapan dan spoiler bumbung R3 menampilkan sayap yang direka dengan sudut attack lebih agresif sama seperti pada Neo Lotus Edition.

    Selain itu, ia turut diberikan perincian-perincian kereta lumba sebenar seperti sepasang bonnet pin pada bonet hadapan, cangkuk tunda pada bampar hadapan, kill switch pada penutup cowl hadapan untuk memutuskan bekalan elektrik sekiranya kereta terlibat dalam kemalangan serta sepasang klip pada pintu tailgate belakang.

    Bagi menandakan ia bukan model biasa, pelekat R3 Clubsport dilekat pada bahagian hadapan ruang roda belakang, serta satu lagi di pintu tailgate belakang yang turut memaparkan grafik litar Sepang seakan logo grafik litar Nürburgring. Kesemua unit Neo R3 Clubsport ini dilengkapkan dengan pemandanan rim aloi R3 15-inci dengan tayar Brigestone Potenza RE001 bersaiz 195/50R15.

    Pada bahagian dalaman pula, kesemua karpet telah dibuang dan tempat duduk pemandu digantikan dengan tempat duduk perlumbaan bucket sepenuhnya Recaro TS-G, bersama tali pinggang perlumbaan dari Sparco. Tiada beg udara dibekalkan pada kereta ini di mana roda stereng Neo standard digantikan dengan roda stereng Momo Tuner lengkap dengan bosskit jenis quick release.

    Proton Satria Neo R3 Clubsport – model dengan <em>rollcage</em> ‘halal’ dari kilang, dihasilkan pada 2008

    Seperti yang disebutkan tadi, Neo R3 Clubsport hadir bersama rollcage enam-point yang disahkan oleh FIA dari kilang. Dan disebabkan ia telah menerima kelulusan Vehicle Type Approval (VTA) dari pihak JPJ bagi membolehkan Proton menjual kereta ini secara rasmi dengan nombor pendaftaran dan cukai jalan, rollcage pada Satria Neo R3 Clubsport ini adalah sah digunakan di atas jalan raya biasa.

    Selain itu, kabin model istimewa ini turut diberikan dan satu lagi kill switch yang diletakkan di atas unit pemain audio utama, dan plat pengesahan bahawa ia adalah jentera asli yang dihasilkan oleh R3 dilekat pada sebelah kiri terowong tengah yang boleh anda lihat dengan jelas dari tempat duduk penumpang hadapan.

    Pada bahagian enjin, R3 telah menukar aci sesondol asal dan melakukan pengubahsuaian ringkas pada sistem kemasukan udara, ekzos, talaan semula pada kotak komputer enjin. Ini membolehkan kuasa asal 110 hp melonjak kepada 137 hp. Ia turut diberikan set suspensi boleh laras R3 yang bukan sahaja dapat memberikan stance yang lebih cantik, malah menghasilkan pengendalian yang jauh lebih baik.

    Anda mungkin tergelak mendengar bahawa kereta ini hanya menjana 137 hp bukan? Untuk pengetahuan anda, dalam keadaan standard dengan berat hanya 1,050 kg, Satria Neo R3 Clubsport ini mampu mencatatkan rekod lap terpantas di litar Sepang dengan masa di bawah 3 minit!

    Secara keseluruhan, kesemua tingkat taraf yang diberikan oleh R3 pada Satria Neo Clubsport ini adalah bernilai RM29k, dan kereta ini dijual pada harga RM75k ketika itu.

     
     
  • Bateri Lexus UX 300e datang dengan jaminan 10 tahun atau satu juta kilometer – apa sahaja kegagalan fungsi

    Bateri Lexus UX 300e datang dengan jaminan 10 tahun atau satu juta kilometer – apa sahaja kegagalan fungsi

    Lexus telah mengumumkan, bateri lithium ion rekaan baru yang digunakan pada model elektrik penuh UX 300e kini didatangkan dengan jaminan 10 tahun atau satu juta kilometer. Jaminan ini adalah untuk apa sahaja kegagalan fungsi pada bateri utama tersebut.

    Juga, sekiranya kapasiti bateri tersebut menurun kepada bawah 70% dalam tempoh 10 tahun itu, Lexus akan menggantikannya dengan unit baru secara percuma, selagi pemilik mengikut program penjagaan yang telah ditetapkan oleh pengeluar. Jaminan bateri ini adalah tambahan kepada jaminan biasa kenderaan selama tiga tahun dan lima tahun atau 100,000 km untuk bahagian enjin.

    Lexus UX 300e yang merupakan sebuah crossover elektrik penuh telah didedahkan kepada dunia November tahun lalu dan bos Lexus Eropah, Pascal Ruch memberitahu ia akan seterusnya memasuki pasaran Eropah pada hujung tahun ini, diikuti pasaran lain pada tahun 2021.

    UX 300e mendapat kuasa daripada bateri lithium ion kapasiti tinggi 54.3 kWh dan kenderaan digerakkan oleh motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 204 PS dan 300 Nm tork. Mengikut kitaran NEDC, kenderaan ini boleh bergerak sehingga jarak 400 km dan dalam kitaran WLTP ia mencatat 300 km.

    Bateri utama UX 300e terletak di bawah lantai kabin dan tempat duduk belakang, dan ia dilengkapi dengan sistem penyejukan udara baru yang bekerjasama dengan sistem pendingin hawa kenderaan. Sistem yang berbeza berbanding sistem penyejukan cecair yang biasa digunakan pada bateri kenderaan lain ini dikatakan dapat meningkatkan daya tahan bateri serta meningkatkan prestasi kenderaan serta bateri itu sendiri.

    Untuk kegunaan pada waktu sejuk, bateri ini juga dipasang dengan fungsi pemanas di bawah setiap modul bateri demi memastikan kuasa penuh dapat diperolehi walaupun baru dihidupkan. Kadar pengecasan AC maksimum bateri ini adalah 6.6 kW manakala menggunakan pengecas pantas DC, ia dihadkan kepada 50 kW.

     
     
  • Toyota Prius 2020 Edition dilancarkan – 2,020 unit

    Toyota Prius 2020 Edition dilancarkan – 2,020 unit

    Ini merupakan Toyota Prius 2020 Edition 2021, di mana model edisi istimewa ini adalah sempena ulang tahun ke-20 model hibrid tersebut diperkenalkan di Amerika Syarikat dan juga akan muncul sebagai model tahun 2021.

    Terhad sebanyak 2,020 unit sahaja, 2020 Edition ini dibangunkan berasaskan varian Prius XLE yang dijual di negara berkenaan dan ditawarkan dengan warna Supersonic Red atau Wind Chill Pearl. Kedua-dua warna berkenaan juga akan didatangkan dengan kemasan hitam, termasuk pada B-pillar dan perumah cermin sisi, serta ditampilkan dengan spoiler belakang yang sama dengan warna badan dan juga roda aloi lima-jejari 17-inci kemasan hitam.

    Di dalamnya, lebih banyak kemasan hitam ditampilkan termasuk pada tombol gear dan A-pillar, corong udara dan lencana spesifik model yang dipaparkan pada alas lantai dan kunci kereta. Selain itu, senarai kitnya masih sama seperti varian XLE, termasuklah tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa lapan-hala dengan fungsi pemanas, roda stereng juga dengan fungsi pemanas, bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Sebagai sebahagian daripada model 2021 yang dipertingkatkan, ia turut didatangkan dengan Toyota Safety Sense 2.0 secara standard, dengan brek pra-pelanggaran bersama pengesan pejalan kaki dalam pencahayaan rendah, kawalan kelajuan radar dinamik kelajuan-penuh, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, bantuan parkir, pengesan penunggang basikal, kepekaan ketibaan lorong, lampu tinggi automatik dan bantuan isyarat jalan.

    Prius yang asal dijual di Jepun pada tahun 1997 dan kemudian memasuki pasaran USA beberapa tahun kemudian. Sejak diperkenalkan, model hibrid ini terus berkembang dan kini telah memasuki generasi ketiga, dan sehingga tahun 2019, lebih 1.9 juta unit terjual di USA.

     
     
  • Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Selain dari model CLS 300 dan CLS 350 4Matic, pasaran China kini menerima satu lagi varian Mercedes-Benz CLS generasi C257 yang lebih ‘mampu milik’ dikenali sebagai CLS 260.

    Model paling asas ini dijual pada harga 576,800 yuan (RM353,670), atau 61,000 yuan (RM37,402) lebih murah dari CLS 300 serta 213,000 yuan (RM130,590) lebih murah dari versi tertinggi CLS 350 4Matic di pasaran republik rakyat tersebut.

    Bagaimana Mercedes-Benz mampu membuatkan ia jauh lebih murah dari varian lain? Paling utama, CLS 260 ini hanya dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder turbo yang membolehkan ia menerima insentif cukai yang jauh lebih rendah. Model CLS 300 dan CLS 350 kedua-duanya dijana oleh enjin 2.0 liter, dan tidak menerima insentif yang dikhaskan untuk kereta-kereta dengan kapasiti 1.5 liter ke bawah berkenaan.

    Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Enjin pada CLS 260 tersebut turut disertakan dengan sistem hibrid ringkas yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 280 Nm, digabungkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan dan kuasa dihantar sepenuhnya ke gandar belakang.

    Ini membolehkan CLS 260 ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 8.7 saat, dan mencapai kelajuan maksima yang boleh tahan – 250 km/j. Penggunaan bahan api pula berada pada kadar 7.2 l/100 km diuji berdasarkan standard tempatan.

    Padanan unit janakuasa ini sebenarnya bukan hanya diberikan pada model CLS ini. Mercedes-Benz turut menamwarkannya pada siri E-Class di China iaitu E 260, E 260 L (L bermaksud jarak roda lebih panjang khas untuk China) dan E 260 L 4Matic (dengan sistem pacuan semua roda), dijual pada harga bermula 420,800 yuan (RM257,962).

    Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Untuk CLS 260, kelengkapan standard yang dibekalkan termasuk pakej penggayaan AMG Line, rim aloi 19-inci dengan dua pilihan rekaan, lampu hadapan LED High Performance, upholsteri kulit Nappa, paparan instrumen digital dan skrin infotainment 12.3-inci, sistem pendingin hawa Thermatic, Dynamic Select dan Active Brake Assist.

    Pelanggan yang merasakan model asas ini terlalu murah, mereka turut ditawarkan dengan pelbagai ciri-ciri opsyen lain seperti pakej Night, kemasan dalaman premium, Keyless-Go, sistem bunyi Burmester, monitor sekeliling 360-darjah, Parktronic dan juga beg udara tambahan untuk bahagian belakang.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R – siri video tunjuk proses ubah suai

    Kawasaki ZX-25R – siri video tunjuk proses ubah suai

    Semakin lama, semakin banyak teaser yang dikeluarkan oleh Kawasaki Indonesia untuk model Ninja ZX-25R, mungkin sementara menunggu waktu yang sesuai untuk pelancarannya. Setakat ini juga, tiada lagi pasaran lain yang sudah menerima ZX-25R dan selain Indonesia, negara lain yang mempunyai kemungkinan untuk jadi pasaran yang pertama adalah Jepun.

    Dalam siri video terbaru yang dikeluarkan oleh Kawasaki Indonesia, mereka menunjukkan proses ubah suai pada motosikal tersebut yang bermula dengan peletak kaki jenis lumba oleh Sniper, ekzos Yoshimura dan yang terbaru, pemasangan kit badan gentian karbon keluaran A-Tech dari Jepun.

    Ubah suai yang ditunjukkan satu persatu ini menjadikan motosikal tersebut semakin hampir seperti unit ubah suai yang ditunjukkan oleh Kawasaki Jepun sebelum ini. Ia bagaimanapun tidak akan dijual dalam pakej ubah suai seperti itu, tetapi aksesori yang dipasang tersebut boleh dibeli secara berasingan.

    ZX-25R didedahkan pertama kali semasa Tokyo Motor Show tahun lalu dan setakat yang diketahui, ia akan menggunakan enjin 250 cc empat silinder yang boleh dikerah sehingga 17,000 rpm pada gear lima dan laju yang boleh pergi lebih 160 km/j (seperti yang ditunjukkan dalam video ujian oleh pelumba profesional).

    Ia juga akan dilengkapi dengan barangan yang boleh dikatakan berspesifikasi tinggi untuk model kelas permulaan sepertinya, termasuk fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R di Tokyo Motor Show

     
     
  • Puspakom kembali buka semua pusat pemeriksaan

    Puspakom kembali buka semua pusat pemeriksaan

    Setelah ditutup sejak 20 Mac lalu berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), pusat pemeriksaan Puspakom kini sudah kembali dibuka untuk operasi penuh. Walaubagaimanapun, ia dibuka lima hari sahaja dalam masa satu minggu, dengan operasi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Ini adalah sama untuk semua cawangan, cuma tempoh lima hari itu adalah terdiri daripada Isnin hingga Jumaat untuk cawangan di Lembah Kelang, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak manakala untuk Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka dari hari Ahad hingga Khamis.

    Sebarang perubahan berkenaan waktu operasi ini akan diberitahu pada masa hadapan, sekiranya ada, untuk mengikut peraturan semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Perkara ini boleh diketahui melalui ruangan ‘Pengumuman’ di dalam laman web rasmi serta laman sosial Puspakom.

    Semua jenis kenderaan, komersial dan persendirian kini boleh kembali menggunakan khidmat Puspakom walaubagaimanapun mereka perlu membuat temu janji terlebih dahulu melalui aplikasi MyPuspakom. Mereka kemudiannya perlu hadir ke pusat pemeriksaan mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.

    Pelanggan juga diminta untuk mengikuti peraturan yang telah ditetapkan di pusat pemeriksaan yang termasuk pemakaian topeng muka, satu pemandu untuk satu kenderaan, jangan berhimpun dan mengamalkan penjarakan sosial pada sepanjang masa.

     
     
  • Shell jual juadah berbuka hasil PKS – kerjasama dengan foodpanda untuk hantar Kombo Ramadan

    Shell jual juadah berbuka hasil PKS – kerjasama dengan foodpanda untuk hantar Kombo Ramadan

    Sejak 4 Mei lalu, Shell Malaysia telah memulakan inisiatif #RamadanWithShell dengan menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa, hasil perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia adalah untuk menyokong pembekal kecil makanan tempatan dengan menyediakan saluran pemasaran bagi membantu mereka dalam bulan Ramadan, khususnya semasa tempoh yang sukar ini.

    Dengan inisiatif yang berlangsung sehingga 23 Mei ini, menerusi 950 stesen Shell di seluruh negara, para pelanggan akan dapat membeli pelbagai hidangan tempatan seperti nasi campur, nasi beriani, asam laksa, kuih-muih, murtabak, bubur lambuk, minuman dan banyak lagi hidangan secara bawa pulang.

    Menurut Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain, selain daripada hidangan Ramadan ini, para pelanggan juga boleh membeli secara kombo dengan pilihan Shell SELECT serta snek dan minuman deli2go pada harga promosi bermula serendah RM6.

    “Di Shell, pelanggan sentiasa mendapat tempat di hati kami, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Dengan ketidaktentuan yang dibawa oleh COVID-19, kami perlu berpegang teguh kepada nilai yang menentukan kami sebagai sebuah organisasi dan ini membolehkan kami untuk menyumbang kembali kepada rakyat Malaysia. Inisiatif terbaharu kami ini membolehkan syarikat membantu rakyat Malaysia menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

    Selain itu, terdapat 100 stesen Shell juga telah bekerjasama dengan foodpanda bagi menghantar kombo Ramadan terpilih ke pintu rumah pelanggan, semasa tempoh promosi ini. Pelanggan Shell SELECT yang menempah melalui foodpanda dengan kod promo ‘SHELLRAMADAN ‘ akan menikmati diskaun 30% untuk semua produk Shell SELECT dalam Pandamart, dengan pembelian minimum sebanyak RM15.

     
     
  • PKP: Sarawak masih larang pergerakan antara daerah

    PKP: Sarawak masih larang pergerakan antara daerah

    Walau pun kerajaan pusat telah memberikan kebenaran untuk orang ramai melakukan pergerakan antara daerah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sehingga 9 Jun ini, namun harus diingatkan, perkara ini masih menjadi larangan di Sarawak.

    Menurut Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berikutan keputusan itu, orang ramai masih perlu memohon kebenaran polis untuk pergerakan antara daerah. Malahan katanya, pihak polis juga akan terus mengadakan sekatan jalan raya di sempadan daerah.

    “Langkah itu diambil untuk meminimumkan pergerakan orang ramai dari kawasan zon merah dan kuning ke zon hijau. Berhubung isu yang tular di media sosial yang mengatakan bahawa untuk pergerakan rentas sempadan di Sarawak, tidak perlu untuk memohon permit perjalanan daripada polis adalah tidak benar.

    PKP: Sarawak masih larang pergerakan antara daerah

    “Untuk situasi di Sarawak, larangan pergerakan antara daerah adalah masih kekal,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, pula berkata Sarawak diberi pengecualian dalam PKPB apabila pergerakan antara daerah dikawal dan masih memerlukan kebenaran polis.

    “Arahan sudah dikeluarkan kepada semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini untuk menyelaraskan keputusan JPBN yang masih mengekalkan larangan pergerakan antara daerah.

    Ia berikutan kekeliruan orang ramai apabila timbul dakwaan di media sosial baru-baru ini mengenai ada IPD atau balai polis yang menampal notis di pintu memaklumkan semua pergerakan dalam Sarawak tidak memerlukan surat kebenaran daripada polis,” jelasnya.

     
     
  • Modenas Dominar D400 kini diberi rebat tunai RM1,000

    Modenas Dominar D400 kini diberi rebat tunai RM1,000

    Modenas telah melancarkan kempen “Dominasi Impianmu” bertujuan untuk memberikan tawaran yang lebih nilai kepada peminat motosikal untuk memiliki Modenas Dominar D400.

    Kempen yang bermula dari 2 Mei dan akan berlangsung hingga Hari Merdeka pada 31 Ogos 2020 itu menawarkan rebat tunai berjumlah RM1,000 bagi model berkenaan. Dengan tawaran terbaru ini, Dominar D400 menjadi model yang paling mampu milik bagi segmennya yang ada dalam pasaran tempatan ketika ini.

    Ini menjadikan harga jualannya disepanjang kempen ini ialah RM12,788 berbanding RM13,788 sebelum ini. Ia sah bagi semua pilihan warna yang ditawarkan. Modenas Dominar D400 memiliki berat 182kg ini dijana kuasanya oleh unit enjin DTS-i silinder tunggal, penyejukan cecair serta suntikan bahan api yang menghasilkan 35 PS kuasa maksimum pada 8,000rpm dan tork 35Nm pada 6,500rpm.

    Modenas Dominar D400 kini diberi rebat tunai RM1,000

    Dominar D400 menggunakan angkup dwi-omboh 320 mm di bahagian hadapan dan angkup omboh
    tunggal 230 mm di bahagian belakang. Suspensi pula menggunakan jenis teleskopik 43 mm di bahagian hadapan dan mono shock boleh laras pelbagai tahap di bahagian belakang.

    Model ini hadir dengan tiga pilihan warna dan dilengkapi dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Untuk tahu lebih lanjut tentang model ini, ikuti laporan tunggang uji yang kami lakukan sebelum ini.

     
     
  • UMW Toyota mulakan operasi pemasangan kenderaan

    UMW Toyota mulakan operasi pemasangan kenderaan

    Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) yang merupakan sebuah anak syarikat UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terlibat di dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan Toyota telah menyambung semula operasinya bermula 11 Mei 2020.

    Ini susulan kepada kebenaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan pada 4 Mei 2020, setelah syarikat menghentikan operasinya sejak 18 Mac lalu sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

    “Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di atas keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan perincian khusus seperti ini. Dengan penyambungan semula operasi, kami berharap akan dapat membantu merancakkan semula ekonomi serta meningkatkan momentum industri automotif dan perniagaan,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    UMW Toyota mulakan operasi pemasangan kenderaan

    Sama seperti semua syarikat yang dibenarkan menyambung semula operasi dalam kapasiti penuh, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan diamalkan. ASSB akan patuh sepenuhnya kepada semua SOP berkenaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan kira-kira 2,000 pekerja yang bertugas di kilang-kilangnya.

    Antara SOP yang dimaksudkan ialah mengekalkan jarak satu meter antara pekerja; pemeriksaan suhu badan dengan kerap; langkah pencegahan menggunakan cecair sanitasi dan topeng muka; serta pembasmian kuman di premis tiga kali sehari. Jika ada keperluan, tempoh bekerja serta aliran tugas juga akan diubah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

    “Toyota Motor Corporation (TMC) juga sangat serius dalam menyediakan suasana yang selamat dan sihat bagi semua pekerja. ASSB boleh memanfaatkan nasihat serta amalan kesihatan terbaik daripada TMC berkaitan langkah-langkah tambahan yang boleh diambil untuk situasi operasi di negeri Selangor ini,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024