Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Pusingan pertama Cub Prix di Tangkak ditangguh

    Pusingan pertama Cub Prix di Tangkak ditangguh

    Bagi yang tertunggu-tunggu untuk menyaksikan perlumbaan pembukaan tirai musim 2020 bagi Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Tangkak, Johor hujung minggu ini, kami ingin maklumkan bahawa ia telah ditangguh kepada satu tarikh yang masih belum dinyatakan.

    Perkara ini diumumkan oleh penganjurnya, dengan menyatakan ia dilakukan bagi mengikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan buat sementara waktu. Pihak penganjur Cub Prix juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memantau keadaan di setiap lokasi perlumbaan seterusnya.

    Jika mengikut jadual awal, Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas musim 2020 akan diadakan sebanyak 10 pusingan, bermula dengan di Tangkak dan diikuti Batu Kawan, Kota Bharu, Pontian, Teluk Intan, Kangar, Kuala Terengganu, Jempol, Litar Sepang dan satu lagi pusingan yang tidak ditentukan lagi.

     
     
  • Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia – R-Dynamic, ada 5+2 tempat duduk, harga dari RM380k

    Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia – R-Dynamic, ada 5+2 tempat duduk, harga dari RM380k

    Jaguar Land Rover Malaysia kini memperkenalkan model Land Rover Discovery Sport 2020 yang dijual di Malaysia dalam varian R-Dynamic dengan versi lima tempat duduk dan juga 5+2 tempat duduk bagi spesifikasi tertinggi. Harga jualan masing-masing ialah RM379,800 dan RM409,800 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

    Discovery Sport terbaru ini menempatkan banyak kemajuan berbanding model lama. Antaranya ia menggunakan platform material campuran terbaru pengeluarnya, Premium Transverse Architecture (PTA) yang strukturnya 13% lebih kukuh. Bahagian luaran bagaimanapun kekal dengan bentuk umum yang sama, kecuali beberapa perubaan rekaan yang kecil.

    Perubahan yang dimaksudkan termasuk lampu utama LED khas dengan DRL bentuk U yang turut berfungsi sebagai lampu isyarat sequential, serta lampu belakang yang mengikut rekaan yang sama. Gril depan juga berbeza, diikuti dengan rekaan bampar depan dan belakang yang diberi sentuhan baru. R-Dynamic pula memberikan penggayaan yang lebih agresif bagi SUV ini.

    Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia – R-Dynamic, ada 5+2 tempat duduk, harga dari RM380k

    Model ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbocas Ingenium yang menghasilkan sebanyak 200 PS dan 320 Nm tork. Ia digandingkan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan dari ZF. Ciri Terrain Response 2 yang kini standard bagi semua Discovery Sport memperkenalkan mod Auto baru yang ditambah bagi membolehkan talaan kenderaan diadaptasi secara automatik mengikut permukaan laluan. Sistem AWD padanya juga mempunyai ciri peralihan kuasa baru yang dipanggil Driveline Disconnect.

    Ruang dalaman juga diberikan pembaharuan terutamanya bahagian papan pemuka dengan rekaan baru serta tuil gear yang digunakannya, menggantikan tombol bulat sebelum ini. Sistem infotianmen Touch Pro pula kini menampilkan skrin 10.25-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto.

    Land Rover Discovery Sport 2020 di Malaysia – R-Dynamic, ada 5+2 tempat duduk, harga dari RM380k

    Ciri standard lain termasuk paparan digital Interactive Driver Display 12.3-inci dan ClearSight Ground View, yang memaparkan visual permukaan di bawah kenderaan. Ada juga ciri head-up display Generation 2 yang memaparkan maklumat utama pemanduan dalam definisi tinggi dan warna penuh.

    Dari sudut keselamatan, SUV ini lengkap dengan tujuh beg udara, sensor parkir depan dan belakang serta kamera 360-darjah dengan ciri Wade Sensing. Kelengkapan lain termasuk kawalan melayar adaptif dengan bantuan stereng, bantuan mengekalkan lorong, brek kecemasan autonomous dan peninjau keadaan pemandu. Land Rover Discovery Sport R-Dynamic 2020 ini datang dengan program Land Rover Care, yang termasuk jaminan lima tahun atau 150,000 km, servis lima tahun/65,000 km dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing pusingan ke-4 diteruskan pada 18-19 Apr di SIC, tidak dibuka kepada pengunjung

    Toyota Gazoo Racing pusingan ke-4 diteruskan pada 18-19 Apr di SIC, tidak dibuka kepada pengunjung

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan FestivalToyota Gazoo Racing (TGR) pusingan ke-empat untuk musim ketiga ini tetap dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 18 hingga 19 April ini. Walau bagaimana pun, acara perlumbaan ini tidak akan dibuka kepada kunjungan orang awam.

    Menurut syarikat ini, TGR kali ini hanya menerima kehadiran krew, pelumba dan pasukan lumba sahaja. Keputusan ini diambil disebabkan penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia termasuk Malaysia.

    “Pada hari penganjuran, kami juga akan melakukan saringan kesihatan untuk semua pelumba, pasukan lumba dan juga krew yang terlibat, sebelum mereka dibenarkan memasuki premis.

    “Diharap para peminat akur dengan keputusan kami untuk meneruskan perlumbaan ‘secara tertutup’. Walau bagaimana pun, semua perkembangan mengenai acara ini akan disiarkan menerusi laman Facebook dan Youtube rasmi kami,” ujar Ketua Pegawai Permotoran UMW Toyota, Akio Takeyama.

     
     
  • Lamborghini gantung operasi kilang kerana COVID-19

    Lamborghini gantung operasi kilang kerana COVID-19

    Lamborghini telah menggantung produksinya dalam tempoh dua minggu hingga 25 Mac disebabkan penularan wabak COVID-19 yang turut hebat melanda Itali. Menurut pengeluar supercar tersebut, penggantungan operasi tersebut melibatkan fasilitinya di Bologna, utara Itali.

    “Langkah ini diambil sebagai tanggungjawab sosial dan kepekaan terhadap masyarakat kami, dalah situasi yang luar biasa yang sedang kita hadapi sekarang ini,” ujar pengerusi dan CEO Lamborghini Stefano Domenicali. Syarikat ini akan memantau situasi tersebut sebelum kembali meneruskan operasi “tepat pada masanya”, tambah beliau.

    Walau bagaimana pun langkah ini kontras dengan keputusan yang diambil oleh pesaingnya, Ferrari yang mengambil keputusan untuk meneruskan produksi di kilangnya di Maranello, Itali, biar pun kerajaan negara berkenaan telah menguatkuasakan perintah berkurung.

    Ferrari berkata, biar pun perintah berkurung dikuatkuasakan namun undang-undang tidak melarang untuk rakyatnya terus bekerja biarpun COVID-19 makin menjejaskan negara tersebut. Ferrari mendakwa semua langkah yang sepatutnya telah diambil untuk para pekerjanya mampu bekerja “dalam kondisi yang terbaik”, ini termasuk dengan rantaian bekalan.

    “Rantaian bekalan kami masih ada dan kami memantau bekalan dengan teliti. Kami tidak melihat sebarang masalah jangka pendek. Ia membantu kami tidak menjual berdasarkan ketersediaan tetapi mengikut tempahan yang telah kami terima. Ini membantu kami menguruskan pengeluaran masa depan,” ujar ketua komersil Ferrari Enrico Galliera, menurut laporan Autocar.

    Ferrari juga memastikan bahawa pihaknya tetap meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa dan bersedia untuk menyesuaikan langkah-langkah keselamatan apabila keadaan berubah kelak.

     
     
  • F1 GP Australia dibatalkan minggu ini kerana COVID-19; staf Mclaren disahkan positif, 14-orang dikuarantin

    F1 GP Australia dibatalkan minggu ini kerana COVID-19; staf Mclaren disahkan positif, 14-orang dikuarantin

    Coronavirus telah menyebabkan satu lagi acara antarabangsa dibatalkan – kali ini adalah pusingan pembukaan Grand Prix Formula 1 2020 yang sepatutnya berlangsung di Australia hujung minggu ini. Pembatalan ini bukan sekadar langkah berjaga-jaga semata-mata, tetapi sebenarnya ada staf dari pasukan McLaren sudah disahkan positif dijangkiti virus tersebut.

    Setakat ini, 14-staf McLaren perlu dikuarantin selama dua-minggu selepas kerana mereka adalah kontak rapat kepada ahli yang disahkan positif berkenaan. Ini menyebabkan McLaren mengumumkan akan menarik diri dari perlumbaan tersebut.

    Menurut laporan Autosport, pasukan lain juga tidak berminat untuk berlumba pada hujung minggu ini, di mana hanya tiga pasukan yang bersetuju untuk meneruskan perlumbaan. Penganjur GP berkenaan telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi seperti yang tertulis di bawah:

    “Pada pukul 9 pagi ini, Australian Grand Prix Corporation telah dinasihatkan oleh Formula 1 berkenaan niat mereka untuk menghentikan semua aktiviti Formula 1 pada Formula 1 Australian Grand Prix.

    F1 GP Australia dibatalkan minggu ini kerana COVID-19; staf Mclaren disahkan positif, 14-orang dikuarantin

    “Berdasarkan keputusan ini dan nasihat yang dikemaskini pagi ini dari Ketua Pegawai Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia Kerajaan Victoria, Perbadanan Grand Prix Australia mengesahkan Grand Prix Formula 1 Australia dibatalkan dengan segera.

    “Semalam, ahli pasukan McLaren Racing diuji positif virus COVID-19. Sebanyak tujuh individu menunjukkan keputusan negatif, mengesahkan bahawa mereka tidak dijangkiti virus COVID-19. Selain itu, individu kesembilan telah dinilai dan diuji untuk virus COVID-19, dengan keputusan ujian masih lagi belum keluar. Individu ini tidak dikaitkan dengan mana-mana pasukan Formula 1, FIA atau pembekal yang berkaitan.

    “Keutamaan kami ialah keselamatan semua orang termasuk para hadirin, kakitangan kami, semua rakan acara dan ahli masyarakat setempat. Maklumat lanjut mengenai bayaran balik bagi pemegang tiket akan diberitahu dalam masa terdekat.”

    Pasukan Mercedes-AMG terlebih dahulu telahpun meminta perlumbaan ini dihentikan sebelum kenyataan ini dikeluarkan. “Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 hari ini menghantar surat kepada FIA dan F1 untuk meminta pembatalan Grand Prix Australia 2020.

    F1 GP Australia dibatalkan minggu ini kerana COVID-19; staf Mclaren disahkan positif, 14-orang dikuarantin

    “Kami berkongsi kekecewaan peminat sukan bahawa perlumbaan ini tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang. Walau bagaimanapun, kesihatan dan kesejahteraan fizikal dan mental anggota pasukan kami dan komuniti F1 yang lebih luas adalah keutamaan kami.

    “Berdasarkan keadaan memaksa yang kami alami berkenaan pandemik Coronavirus, kami tidak lagi merasakan keselamatan pekerja kami dapat dijamin jika kami terus mengambil bahagian dalam acara tersebut.

    “Kami sangat empati dengan keadaan yang semakin buruk di Eropah, terutamanya di Itali, dan seterusnya kami tidak merasakan patut untuk menyertai acara di mana rakan-rakan pesaing seperti McLaren tidak dapat menyertainya kerana sedang melalui keadaan di luar kawalan mereka. Oleh itu pasukan kami akan memulakan persediaan berangkat dari litar pagi ini, ” tulis kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

     
     
  • Bajaj Chetak – skuter elektrik 5 hp, jarak gerak 95 km

    Bajaj Chetak – skuter elektrik 5 hp, jarak gerak 95 km

    Bajaj kini sudah memasuki dunia motosikal elektrik apabila melancarkan skuter Chetak, yang digerakkan oleh motor elektrik 4 kW dan bateri lithium ion 3 kWh, di India. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Urbane pada harga 100,000 rupee (RM5,761) dan Premium 115,000 rupee (RM6,625).

    Nama Chetak sebelum ini memang sudah digunakan oleh Bajaj untuk model skuter mereka, tetapi versi yang baru ini menggunakan penggerak elektrik. Ia juga masih mengekalkan ciri rekaan seperti skuter Itali dan Bajaj mahu mengetengahkan ciri premium padanya.

    Untuk baterinya, waktu lima jam diperlukan untuk mengecasnya dari kosong hingga penuh, dan selepas itu ia mampu memberikan perjalanan sejauh 95 km. Sekiranya pemilik cuma mempunyai masa satu jam untuk mengecasnya pada soket rumah biasa, baterinya akan mencapai tahap 25%. Bateri ini didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 50,000 km.

    Semua lampu pada Chetak menggunakan unit LED manakala di hadapan pemandu pula terdapat panel instrumen digital penuh yang memaparkan pelbagai informasi termasuk tahap bateri dan jarak gerak yang tinggal. Skuter elektrik ini juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi khas untuk memberikan fungsi seperti pengesan lokasi, kawalan muzik dan notifikasi.

    Pemilik juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan kuasa penuh atau jarak yang lebih tinggi melalui tetapan mod Eco dan Sport yang disediakan. Dalam mod Eco yang lebih santai ia mampu memberi jarak gerak 95 km tetapi dalam mod Sport yang lebih responsif, jaraknya berkurang menjadi 85 km. Satu lagi yang menarik, skuter ini juga mempunyai gear undur.

    Memandangkan motosikal Bajaj ada dijual di Malaysia melalui Modenas, adakah anda menunggu kehadiran skuter elektrik seperti ini? Walaupun infrastruktur untuk kenderaan elektrik tidak begitu lengkap lagi di negara kita, sekurang-kurangnya untuk skuter ini ia lebih mudah dicas di rumah dan sesuai untuk perjalanan jarak pendek.

     
     
  • Bajaj Dominar 250 mula masuk pasaran India – RM9k

    Bajaj Dominar 250 mula masuk pasaran India – RM9k

    Selepas melihat Dominar 400 mempunyai penerimaan yang baik di kalangan pengguna dengan ciri “Sport Touring” yang ditawarkan, Bajaj kini memperkenalkan pula versi 250 bagi model tersebut iaitu Dominar 250 di India. Harganya di sana adalah 160,000 rupee (RM9,000).

    Perbezaan utama model yang dibangunkan untuk mendekati lebih ramai penunggang ini berbanding Dominar 400 sudah tentu adalah enjin, di mana ia menggunakan unit satu silinder DOHC Twin Spark suntikan bahan api 248.77 cc, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 27 PS pada 8,500 rpm dan 23.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Ini adalah enjin yang sama dengan KTM Duke 250.

    Fork hadapan juga diubah menjadi lebih kecil iaitu unit 37 mm USD dengan jarak gerak 135 mm manakala suspensi belakang masih sama dengan Dominar 400 iaitu monoshock dengan tabung Nitrox dan boleh gerak 110 mm. Sistem brek motosikal ini dilengkapi dengan ABS two-channel, bersama tetapan cakera 300 mm (Dominar 400 320 mm) di hadapan manakala di belakang terdapat cakera 230 mm.

    Keseluruhan badan Dominar 250 ini juga adalah sama dengan Dominar 400, sekaligus mengekalkan dimensinya yang berukuran 2,156 mm panjang, 836 mm lebar dan 1,112 mm tinggi. Beratnya kurang sedikit menjadi 180 kg, berbanding 184 kg bagi Dominar 400. Tangki bahan api masih 13 liter.

    Di Malaysia, motosikal Bajaj dijual oleh Modenas dan dijenamakan semula dengan logo serta nama pengeluar tempatan itu. Minggu lepas, harga untuk dua model iaitu Pulsar RS200 dan Dominar 400 diturunkan masing-masing menjadi RM9,990 dan RM13,788 tidak termasuk insurans.

     
     
  • RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

    RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

    Barisan pelumba kereta wanita di Malaysia ternyata kian bersinar, biar pun harus bersaing dengan pelumba berlawanan jantina. Kehadiran pelumba kereta wanita ini ternyata bukan lagi dianggap sebagai seri di litar, bahkan ‘pencabar’ kepada pelumba lelaki. Seringkali juga aksi yang ditunjukkan oleh pelumba wanita ini di litar mendatangkan debaran termasuk di kalangan penonton.

    Antara pelumba wanita yang kian mekar dalam sukan permotoran ini ialah Nurul Husna Nasharuddin. Beliau telah berkecimpung dalam arena ini sejak tahun 2011 dan mula menyertai Team Nash Racing, yang dikendalikan oleh bapanya sendiri.

    Menurut Husna, dia didedahkan dengan sukan permotoran oleh bapanya sedari kecil, menerusi go-kart. Sepanjang tempohnya membesar sehingga usia remaja, Husna juga sering kali menjadi peneman bapanya yang ketika itu sudah mula aktif menyertai perlumbaan kereta di litar.“Saya anak kedua daripada lima beradik yang kesemuanya perempuan. Memang sejak kecil, ayah memberikan pendedahan tentang sukan ini kepada kami. Malah kami kerap dibawa bermain go-kart pada hujung minggu dan cuti sekolah.

    “Ayah pun ada belikan go-kart untuk kami, tapi kelengkapan macam sut lumba tu tak adalah. Sarung tangan pun pakai ski glove, kasut pun jenis biasa saja. Tayar go-kart pun yang terpakai. Tapi kami tak kisah pun semua tu, asalkan kami enjoy dengan aktiviti ni,” ujar gadis yang memiliki kelulusan dalam bidang perakaunan daripada sebuah universiti di kota London.

    Malah Husna turut bercerita, pada usianya 13 tahun, dia sudah mula diajar memandu kereta oleh allahyarham datuknya.

    “Perodua Kancil manual merupakan kereta pertama yang saya pandu, arwah atok yang ajar. Dari situ, sedikit sebanyak minat saya terhadap kereta dan pemanduan makin membara. Setakat memandu di kawasan kampung, tapi itu pun dah cukup seronok,” ceritanya yang mengakui turut meminati motosikal berkuasa tinggi dan memiliki lesen B Penuh.

    Tambahnya, “Masa umur 15-16 tahun, saya belajar bawak motor dan mencuba menunggang motosikal berkuasa tinggi milik pakcik saya, Yamaha R1. Jadi, secara tak langsung, ia menimbulkan niat di hati, mahu memiliki motosikal berkuasa tinggi. Cuma sampai sekarang, belum dapat merealisasikannya kerana tidak dapat restu dari ibu ayah. InsyaAllah suatu hari nanti, mana tahu ada peluang dan rezeki saya untuk menunaikan hajat yang satu itu.”

    RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

    Pada tahun 2011, iaitu ketika berusia 21 tahun, bapanya mempelawa Husna untuk menyertai perlumbaan di litar. Pastinya peluang ini tidak dilepaskan, dan menyertai perlumbaan edurance serta bernaung di bawah Team Nash Racing.

    “Memang tawaran ayah tidak dapat saya tolak sebab minat dalam sukan ini kian membuak-buak. Dalam Team Nash Racing, saya bergandingan dengan ayah serta Admi Syahrul. Walau bagaimana pun, pembabitan saya dalam perlumbaan terpaksa dilupakan buat seketika sebab saya harus fokus terhadap pengajian saya di kolej,” sambungnya lagi.

    Beberapa tahun berhenti berlumba, selepas menamatkan pengajian di London, akhirnya Husna kembali menggegarkan litar. Selain Team Nash Racing, dia juga menjadi pilihan beberapa pasukan lumba yang lain termasuk Team Dream Chaser, Garang Racing dan tahun lalu, dia menjadi seorang daripada tiga pelumba wanita yang menyertai pasukan Proton R3 untuk bersaing dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1k) 2019 yang berjaya mendapat tempat ke-tujuh.

    “Kalau diikutkan, pencapaian yang sangat menggembirakan saya ialah sewaktu dinobatkan sebagai raja pecut selepas berjaya mengatasi 20 pelumba lelaki acara ZeroToLose dan beberapa kali memonopoli podium teratas dalam siri kejuaraan besar termasuk Asia Classic Car Challenge.

    “Untuk S1k 2019, saya juga mensasarkan mampu meletakkan pasukan ke kedudukan yang lebih selesa, namun disebabkan berhadapan dengan beberapa masalah teknikal, kami hanya berjaya menduduki tangga ketujuh. Apa pun, peluang menyertai pasukan sehebat Proton R3 juga sangat membanggakan saya, malah ini antara pencapaian terbesar saya dalam sukan permotoran ini.

    “Bukan mudah untuk saya dapat peluang menjadi sebahagian daripada pasukan Proton R3. Saya harus menyertai MSF-R3 Racers Mentor Program terlebih dahulu untuk melalui proses saringan dan pemilihan untuk menjadi pelumba di bawah pasukan yang disegani ini. Bahkan proses pemilihannya juga sangat ketat dan kriteria yang diperlukan juga agak tinggi,” ujar Husna yang pernah dicalonkan untuk kategori Atlet Permotoran Wanita Harapan Terbaik dalam Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2019.

    Ketika ditanya, apakah cabaran yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang terbabit dalam dunia perlumbaan ini, Husna menjawab, “Sewaktu tahun pertama saya sebagai pelumba, ramai yang mempertikaikan kredibiliti saya. Bahkan ada yang kata, saya tak boleh pergi jauh dalam bidang ini, susah nak dapatkan tajaan disebabkan saya wanita berhijab dan tidak berpenampilan menarik.

    RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

    “Walau apa pun, saya jadikan kata-kata itu sebagai pencabar dan saya mahu membuktikan bahawa saya memiliki kredibiliti dalam bidang ini. Walau masih ada yang beranggapan, nak jadi pelumba wanita perlu memiliki paras rupa yang cantik dan bijak bergaya. Tapi saya hanya sandarkan pada bakat dan kemahiran yang ada. Dan alhamdulillah, kini makin banyak pihak yang menerima kehadiran saya dalam sukan permotoran ini.”

    Menurut Husna, perlumbaan di litar juga banyak membentuk dirinya menjadi seorang yang lebih positif, berkeyakinan diri dan matang. “Saya juga tidak gentar untuk terus bersaing dengan pelumba lelaki. Malah kini, mereka juga menganggap pelumba wanita sebagai pesaing, dan tidak memandang rendah akan keupayaan kami.”

    Perkembangan terbaru mengenai Husna, tahun ini, dia akan bersama dengan pasukan BHP Racing, untuk siri perlumbaan Malaysian Championship Series (MCS) 2020 yang akan berlangsung di Sepang tidak lama lagi. Di mana Husna telah mendapat tajaan sepenuhnya daripada BHP Racing dan juga Excel Group. Untuk Husna, paultan.org ingin mengucapkan selamat maju jaya dan moga terus mekar dalam sukan permotoran ini.

     
     
  • Honda mungkin keluar dari Australia sebab tak untung

    Honda mungkin keluar dari Australia sebab tak untung

    Ini mungkin perkara yang mengejutkan – salah satu gergasi automotif Jepun yang mempunyai reputasi yang sangat baik di Malaysia, Honda mungkin akan keluar dari pasaran Australia kerana tidak menghasilkan keuntungan. Ini dilaporkan oleh portal Australia, CarAdvice menerusi dokumen rahsia yang mereka terima.

    Laporan tersebut menyatakan bahawa pengedar jenama berkenaan diberikan tiga pilihan; untuk keluar dari Australia dan menutup semua jaringan 106 pengedar, kurangkan jumlah bilik pameran, atau menjual kereta menerusi penjual bebas. Apa-apa keputusan dikhabarkan akan dibuat pada hujung bulan ini.

    Laporan ini turut menyebut bahawa dalam satu sesi taklimat sulit pada Mei lalu, Honda Australia menerima tekanan yang kuat dari Jepun bagi meningkatkan keuntungan mereka, atau perlu menghadapi akibat yang “serius” jika mereka tidak mampu untuk mencapainya.

    Menerusi “minit mesyuarat” yang bocor dari mensyuarat Majlis Pengedar Honda Nasional tahun lalu itu, terdedah kenyataan yang tertulis: “Kami faham situasi cemas dalam kalangan jaringan pengedar. Kami dalam perbincangan peringkat tertinggi berkenaan pelan jangka pendek dan panjang untuk Australia.”

    “Situasi keuntungan kami kini dalam agenda lembaga global, di mana kami sedang berusaha untuk memperbaikinya. Ini bermaksud ia sangat serius,” tulis kenyataan dalam minit mesyuarat itu lagi.

    Honda mungkin keluar dari Australia sebab tak untung

    Selepas mesyuarat dengan eksekutif Honda luar negara, wakil dari Honda Australia memberikan laporan semula kepada jaringan pengedar: “Kami masih belum menerima sebarang jawapan. Isu paling besar adalah kebolehuntungan dan ia semakin teruk kerana (dollar Australia) menguncup. Kami sedang berusaha untuk memberikan pilihan bagaimana untuk mengatasi perkara ini.”

    Pengedar-pengedar Honda diberitahu bahawa mereka taklimat berkenaan rancangan masa hadapan jenama itu akan dibuat antara 23 hingga 26 Mac ini, manakala penerangan kepada media akan dibuat pada 27 Mac nanti.

    Memberi respon kepada laporan CarAdvice ini, Honda Australia mengeluarkan kenyataan: “Honda komited dalam pasaran Australia dan sebagai sebahagian dari perniagaan biasa, operasi sentiasa dinilai dan menyusun semula prestasi organisasi. Kami komited kepada jaringan pengedar kami bahawa kami akan memberitahu rancangan jangka masa panjang kami untuk suku pertama 2020 dan kami bercadang untuk melakukannya lewat bulan ini.”

    Menurut CarAdvice lagi, jualan Honda di Australia jatuh 15 peratus tahun lalu ketika pasaran keseluruhan jatuh 7.8 peratus. Jualan Honda untuk tahun 2019 adalah yang paling teruk sepanjang tiga tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, jumlah 43,800 unit yang dicatatkan tahun lalu masih lagi lebih tinggi dari jualan tahunan 2009 hingga 2016. Pada tahun 2008 ketika krisis kewangan global, Honda masih boleh menjual 51,000 unit kereta di Australia, sama dengan jumlah jualan pada tahun 2018.

    Secara keseluruhan, pasaran automotif Australia sememangnya berhadapan dengan cabaran getir sekarang. Ford dan Toyota telah menutup kilang mereka di sana masing-masing pada tahun 2016 dan 2017. Manakala jenama dari Australia sendiri iaitu Holden juga menutup operasi kilang mereka pada 2017, kemudian GM mengesahkan bahawa operasi jenama itu ia akan ditutup sepenuhnya pada akhir tahun ini.

     
     
  • PANDU UJI: Hyundai i30 N – Albert Biermann tak tipu!

    PANDU UJI: Hyundai i30 N – Albert Biermann tak tipu!

    Hyundai i30 N – saya ternanti-nanti kemunculan kereta ini di Malaysia bukan sejak ia membuat penampilan global pertamanya pada Julai 2017, tetapi sejak Hyundai mendedahkan video pembangunan pertama kereta ini pada tahun 2016 – dengan unit prototaip yang masih bersembunyi disebalik badan i30 generasi kedua, tampil dengan bunyi enjin dan ekzos yang cukup gangster dan menghairahkan.

    Tambahan pula, projek i30 N ini diketuai oleh Albert Biermann iaitu bekas bos di unit kejuruteraan di BMW M (kini beliau mengetuai unit R&D Hyundai), dan ia adalah hasil untuk jalan raya pertama setelah unit Hyundai Motorsport atau dikenali juga dengan nama Hyundai N yang berpusat di Frankfurt, Jerman, ditubuhkan pada tahun 2012 dan menyertai kejohanan rali dunia (WRC) pada tahun 2014.

    Anda mungkin tergelak melihat akan Hyundai Coupe/Tiburon atau Hyundai Accent ‘RX-S’ (model pasaran Malaysia yang dihasilkan oleh Kah Bintang) pada penghujung era 90’an/awal Y2K dahulu. Ketika itu, Hyundai masih terumbang-ambing dengan imej yang masih tiada hala tuju jelas, tetapi kelihatan mahu meniru apa yang dilakukan oleh Jepun.

    Ya, ketika itu mereka sudahpun menyertai WRC, tetapi jentera mereka dihasilkan oleh firma pembangunan perlumbaan Motor Sports Development (MSD) dari UK, manakala pasukan seperti Mitsubishi dan Toyota mempunyai divisi ‘in-house’ mereka sendiri yang berpangkalan di Eropah. Jadi, ‘perisa’ yang mereka dapat dalam perlumbaan dilihat seperti untuk pembangunan jenama semata-mata, tanpa diterjemahkan dalam model-model produksi biasa.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • DS keluarkan lukisan gambaran model SM moden sempena sambut ulang tahun ke-50 model tersebut

    DS keluarkan lukisan gambaran model SM moden sempena sambut ulang tahun ke-50 model tersebut

    Pada tahun 1970-an, Citroen ada mengeluarkan sebuah model coupe prestasi tinggi yang dinamakan sebagai SM. Walaupun adalah sebuah kereta sports, model ini menampilkan rekaan yang boleh dianggap mempunyai prestij tersendiri dan menggunakan beberapa teknologi baru pada masa itu.

    Bagi mengingati model tersebut, Citroen melalui cabang jenama mewahnya iaitu DS Automobiles telah mengeluarkan dua rekaan grafik hasil daripada Romain Saquet dan Geoffrey Rossillion yang bekerja di studio rekaan DS di Paris, Perancis. Ia dihasilkan sebagai gambaran kepada model moden SM.

    Bukan setakat dua rekaan ini, DS juga akan mengeluarkan beberapa lagi rekaan dan meminta orang ramai memilih rekaan manakah yang paling menarik dan berpadanan untuk dipanggil sebagai “SM 2020”. Undian dilakukan melalui laman media sosial syarikat tersebut.

    DS keluarkan lukisan gambaran model SM moden sempena sambut ulang tahun ke-50 model tersebutDS keluarkan lukisan gambaran model SM moden sempena sambut ulang tahun ke-50 model tersebut

    Semasa dikeluarkan untuk pasaran, Citroen SM menggunakan enjin V6 2,670 cc Maserati yang mampu menghasilkan kuasa 170 hp pada 5,500 rpm, dengan sistem bahan api menggunakan tiga karburetor dual-body Weber. Ia kemudiannya dinaik taraf kepada sistem suntikan bahan api, dan kuasa bertambah menjadi 178 hp.

    Bahagian lain yang menarik pada kereta ini adalah ia menggunakan sistem hidraulik berpusat yang mengawal suspensi, brek, stereng dan juga pelarasan menegak lampu hadapan.

     
     
  • MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya 70% siap

    MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya 70% siap

    Susulan kepada selesainya kerja pembinaan terowong bawah tanah di Lebuhraya KL-Seremban berdekatan Sungai Besi, pembinaan MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) kini 70% siap.

    Pengarah Projek MRT Corp SSP Line, Datuk Amiruddin Ma’aris menjelaskan, kerja-kerja berkaitan terowong itu yang selesai Sabtu lalu menandakan lengkapnya kerja penggalian bagi terowong kedua yang ada itu, pada kedalaman antara 4.7 meter dan 5 meter di bawah lebuhraya yang sibuk berkenaan. Terowong pertama selesai ditebuk pada 25 Februari lalu, lapor Bernama.

    Kejayaan pembinaan terowong bawah tanah berkenaan menunjukkan kesungguhan MRT Corp sebagai pemilik projek, pasukan pembinaan dar MMC Gamuda KVMRT sebagai kontraktor utama dan WCT Bhd sebagai kontraktor pakej kerja untuk menyelesaikan projek berkenaan mengikut masa, jelas beliau dalam satu kenyataan.

    Terletak di antara Taman Naga Emas dan stesen Sungai Besi, sepasang terowong yang terlibat itu mempunyai diameter 5.8 meter dan 60 meter panjang. Pembinaannya dilakukan dengan gabungan pelbagai kaedah. Ia bermula pada Mac 2019, dan sepanjang tempoh itu lebuhraya di atasnya tetap dibuka kepada trafik.

    Menurut Amiruddin lagi, fasa satu bagi MRT jajaran SSP antara stesen Kwasa Damansara dan Kampung Batu akan mula beroperasi menjelang pertengahan 2021, sementara bahagian lain jajaran sama dijangka dibuka pada 2022.

     
     
  • Toyota 86 GT Black Limited – 86 unit, selamat tinggal?

    Toyota 86 GT Black Limited – 86 unit, selamat tinggal?
    Toyota 86 GT Black Limited – 86 unit, selamat tinggal?

    Ini mungkin penghujung fasa bagi Toyota 86; ia kini diperkenalkan dalam edisi khas, yang jika dilihat kepada langkah sama dilakukan kepada AE86 pada Januari 1986 dahulu, mungkin akan menjadi versi terakhirnya setakat ini. Toyota Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited ketika itu hanya ditawarkan sebanyak 400 unit.

    Ketika melihat versi ini di Tokyo Auto Salon Januari lalu, perkara ini sudah boleh dijangka. Dan, kereta yang ditunjukkan ini adalah sama dengan penampilan unit yang dilihat ketika TAS 2020 tempoh hari.

    Seperti model tradisi sebelumnya, 86 GT Black Limited tampil dengan imej kelam sepenuhnya, dengan rim warna gangsa 17-inci menjadi satu-satunya kontras kepada warna hitam itu. Ini menjadikan angkup brek Brembo yang digunakan nampak menonjol, begitu juga dengan suspensi Sachs. Bahagian bawah kereta juga dilapik dengan warna hitam.

    Di dalam, suasana juga sama berlatar warna hitam. Papan pemuka menggunakan kemasan Granlux a la kulit suede. Lencana khas warna gangsa bagi edisi istimewa ini juga disertakan pada corong pendingin sebelah penumpang. Tempat duduk pula menggunakan gabungan material kulit dan Alcantara.

    Walaupun tiada apa yang terlalu menonjol tentang kereta ini, ia dijangka akan menggamit perhatian pengumpul kereta. Ini kerana hanya akan ada 86 unit versi ini akan dikeluarkan; dibahagikan kepada versi transmisi manual dan separuh lagi transmisi automatik, 43 unit setiap satu. Tempahan di Jepun mula dibuka hari ini sehingga 16 April. Sekiranya ada baki unit selepas itu, ia akan dihantar kepada pengedar pada May. Harganya pula ialah 3,518,600 yen (RM144,499) bagi manual, dan 67,400 yen (RM2,767) bagi auto.

    Tapi, jangan bersedih. Ia bukanlah penghujung hayat bagi 86 sepenuhnya. Toyota dan Subaru akan bekerjasama membangunkan model generasi baru bagi 86 dan BRZ selepas ini.

    GALERI:Toyota 86 Black Limited Concept di TAS 2020

    GALERI:Toyota AE86 Sprinter Trueno GT-Apex Black Limited di TAS 2020

     
     
  • Benelli TNT135 SE dalam warna baru – dari RM8,190

    Benelli TNT135 SE dalam warna baru – dari RM8,190

    Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan warna baru untuk model fun bike TNT135 SE, iaitu Striking Green yang dicat pada panel badannya, sementara kerangka masih menggunakan warna merah. Model ini datang dalam dua versi iaitu biasa yang berharga RM8,190 manakala versi edisi khas dengan beberapa aksesori seperti versi LE, berharga RM10,088 (tidak termasuk insurans).

    Selain pilihan warna baru ini, bahagian lain tidak berubah, bermakna ia masih dikuasakan enjin empat lejang satu silinder 134.7 cc SOHC yang berkuasa 12.6 hp pada 9,000 rpm dan 10.8 Nm tork pada 7,000 rpm, dan penyampaian bahan api dilakukan oleh sistem suntikan elektronik (EFI). Transmisi pula adalah unit lima kelajuan.

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk fork USD 41 mm di hadapan, monoshock boleh laras di belakang, brek cakera 220 mm bersama angkup dua piston di hadapan, cakera 190 mm dan angkup satu piston di belakang, rim 12 inci dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, tinggi tempat duduk 780 mm, tangki minyak 7.2 liter dan berat kering 121 kg.

     
     
  • Mazda MX-5 Eunos Edition hanya 110 unit di Perancis

    Mazda MX-5 Eunos Edition hanya 110 unit di Perancis

    Pada tahun 80-an, Mazda telah mencipta beberapa jenama kecil bagi membezakan produk mereka. Antaranya adalah seperti Eunos yang lebih kepada keseronokan memandu dan Efini yang lebih eksklusif. Bagi jenama Eunos, antara model terawal yang menggunakannya adalah MX-5.

    Mazda malah mengeluarkan MX-5 Eunos Roadster S Limited pada tahun 1992, yang terhad cuma 1,000 unit dengan penampilan yang berbeza. Kini, bagi mengingati model tersebut, serta jenama Eunos itu sendiri, Mazda telah mengeluarkan MX-5 “Eunos Edition”.

    Dalam banyak-banyak negara, Mazda cuma memasarkan model ini di Perancis, pada harga 34,600 euros (RM165,623) dan hanya 110 unit dikeluarkan. Bagi menjadikannya sama seperti model tahun 1992 itu, model baru Eunos Edition ini dicat warna hitam Jet Black Mica (kod warna 41W) dan dipasang rim aloi Rays 16 inci. Pada pendapat kami, rim itu lebih padan kalau menggunakan warna emas seperti asal.

    Bahagian dalam pula menggunakan banyak kemasan kulit Nappa warna burgundy, dan beberapa lencana untuk menandakan ia sebuah model eksklusif (pada papan pemuka dan fender). Pembeli juga akan diberi satu rantai kunci khas berserta beg kecil untuk kunci.

    Selain daripada barang-barang ini, kereta itu masih sama seperti model ND generasi semasa, iaitu menggunakan enjin petrol empat silinder SkyActiv-G 2.0 liter dengan kuasa 132 PS (130 hp) dan 152 Nm tork. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan, dan ia mampu mencapai laju maksimum 204 km/j.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024