Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • OP Selamat 16: 290,567 saman dikeluarkan, 16,940 kemalangan dicatatkan dari 18 hingga 28 Jan 2020

    OP Selamat 16: 290,567 saman dikeluarkan, 16,940 kemalangan dicatatkan dari 18 hingga 28 Jan 2020

    Sepanjang Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina yang diadakan sejak 18 Jan lalu, sehingga semalam, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sejumlah 290,567 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara.

    Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Dr Bakri Zainal Abidin, kebanyakan saman yang dikeluarkan meliputi kesalahan memandu melebihi had laju dengan mencatatkan 57% daripada jumlah keseluruhan saman.

    “Ini menunjukkan sikap pengguna jalan raya masih tidak berubah walaupun terdapat pertambahan kenderaan di atas jalan raya.

    OP Selamat 16: 290,567 saman dikeluarkan, 16,940 kemalangan dicatatkan dari 18 hingga 28 Jan 2020

    “Dalam data kami, mendapati faktor memandu melebihi had laju adalah punca utama kemalangan jalan raya. Kalau kita lihat kebanyakan kenderaan yang terbabas adalah disebabkan memandu laju dan bukannya sebab faktor lain,” katanya seperti yang disiarkan oleh Bernama.

    Tambah beliau lagi, jumlah kemalangan pada Op Selamat kali ini turut mencatatkan peningkatan sebanyak 10% iaitu 16,940 kemalangan dalam tempoh 11 hari berbanding tempoh sama dalam op tahun lepas iaitu 15,464 kemalangan.

    “Kami mendapati kumpulan penunggang motosikal masih lagi menjadi penyumbang tertinggi kemalangan pada op selamat kali ini,” katanya.

     
     
  • Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah dari dua juta pemilik dan bekas pemilik model Focus dan Fiesta yang dilengkapi dengan unit transmisi klac berkembar automatik (DCT) bermasalah DPS6 PowerShift di Amerika Syarikat, lapor akhbar Detroit Free Press.

    Tuntutan mahkamah berkenaan difailkan buat pertama kali pada tahun 2012, mendakwa bahawa Ford yang mengetahui masalah pada kotak gear DPS6 (atau 6DCT250) terus menjual produk berkenaan kepada pelanggan yang tidak menyedari perkara tersebut kemudian menyalahkan pemandu atas semua masalah yang mereka alami.

    Julai lalu, akhbar berkenaan turut telah mendedahkan dokumen sulit dan emel dari Ford yang menunjukkan bahawa mereka mengetahui masalah kotak gear berkenaan sejak dari awal, tetapi terus menjualnya ke pasaran.

    Para pemilik model-model yang terjejas tersebut mendakwa dalam tuntutan berkenaan bahawa Focus C346 generasi ketiga yang diproduksi dari 2012 hingga 2016 dan Fiesta B299 yang diproduksi dari 2011 hingga 2016 diberikan transmisi yang bermasalah serta terdedah untuk “bergegar, tergelincir, melompat-lompat, menerkam, teragak-agak ketika menukar gear, kehausan pramatang pada komponen dalaman, lambat untuk turun gear, dan dalam berberapa kes, pecutan yang secara tiba-tiba atau lambat.”

    Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford sebelum ini pernah berulang kali cuba memperbaiki semula kerosakan tersebut. Pada 2014, pengeluar berkenaan memanjangkan tempoh waranti transmisi itu kepada tujuh-tahun dan 160,000 km (100,000 batu) untuk Focus dan Fiesta yang diproduksi sebelum pertengahan 2013. Selepas penyebaran berita pada Julai lalu, waranti yang sama turut digunapakai untuk Focus 2014-2016 dan juga Fiesta 2014-2015.

    Dalam perjanjian yang diusulkan, Ford menawarkan jaminan komitmen sebanyak US$30 juta (RM122.5 juta) dalam bentuk pampasan tunai kepada konsumer yang telah merekodkan pembaikan transmisi yang rosak berulang kali dalam masa lima tahun selepas membeli kereta mereka atau 96,000 km (60,000 batu).

    Syarikat tersebut turut menawarkan program belian semula mudah untuk kereta yang terjejas dan juga proses yang lebih mudah untuk bekas pemilik serta orang yang menyewa kereta berkenaan bagi diberikan pampasan.

    Ford selesaikan tuntutan mahkamah kes kerosakan kotak gear DCT Focus dan Fiesta di Amerika Syarikat

    Ford telah menawarkan perjanjian awalan dengan kos bayaran dianggarkan sekitar US$35 juta (RM142.8 juta), dengan tanpa bayaran minimun diperlukan. Perjanjian awalan tersebut turut memerlukan pemilik kereta untuk memberikan peluang terakhir kepada Ford bagi memperbaiki kereta mereka sebelum ditimbang tara, tetapi prasyarat tersebut telah digugurkan dalam perjanjian baharu ini. Kes ini akan didengar semula pada 28 Februari nanti untuk kelulusan akhir.

    Bayaran yang perlu dikeluarkan oleh Ford mungkin akan mencapai US$100 juta (RM408.25 juta), menurut peguam yang membantu mencapai persetujuan ini bagi pihak pemilik-pemilik kereta. Tiada had ditetapkan, dan Ford perlu membayar sehingga kesemua pemilik tersebut selesai membuat tuntutan.

    Ford juga mendedahkan bahawa antara Oktober 2017 hingga akhir 2019, mereka telah menghabiskan sekitar US$47.47 juta (RM193.8 juta) bagi membeli semula 2,666 unit Focus dan Fiesta yang terjejas menerusi program timbangtara sukarela. Walau bagaimanapun, penyelesaian ini hanyalah untuk pasaran Amerika Syarikat dan syarikat tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan bagaimana ia akan diselasaikan pada Focus dan Fiesta pasaran lain yang turut menghadapi masalah sama.

     
     
  • VIDEO: Presiden Toyota ‘belasah’ Yaris WRC

    Presiden, CEO atau ‘Bos Besar’ syarikat-syarikat pengeluar automotif biasanya terikat dengan pelbagai protokol. Walaupun mereka ini selalunya dikenali sangat berminat dengan kereta, jarang boleh kita mereka memandu sendiri kereta masing-masing dan kebiasaannya hanya duduk di tempat duduk belakang kereta mewah yang mempunyai pemandu.

    Pernah tengok Enzo Ferrari melakukan aksi drift dengan mana-mana Ferrari dikhalayak ramai? Tak pernah kan? Tapi lain pula dengan presiden Toyota, Akio Toyoda. Kita dapat tengok aksi beliau dalam video teaser GR Yaris sebelum ini, dan semasa Tokyo Auto Salon 2020 yang berlangsung dua minggu lalu, Akio memperlihatkan kemahirannya mengendalikan jentera Yaris WRC sebenar secara live di khalayak ramai.

    Dalam video tersebut, Akio ditemani oleh Katsuta Takamoto – pemandu WRC Jepun yang dibangunkan sendiri oleh Toyota dan juga prinsipal pasukan rali dunia Gazoo Racing, Tommi Makinnen. Beliau dilihat ‘membelasah’ Yaris WRC berkenaan dengan melakukan aksi hand brake turn, drift dan juga donut dengan begitu bergaya.

    Bagi mereka yang belum mengetahui, Akio Toyoda sememangnya seorang pelumba. Sebelum beliau sah bergelar Presiden Toyota pada tahun 2009, beliau berlumba dengan nama samaran Morizo Kinoshita, menggunakan sebuah Toyota Altezza terpakai.

    Nama samaran tersebut digunakan kerana statusnya sebagai penyambung legasi perniagaan moyangnya – aktiviti berbahaya yang mungkin boleh meragut nyawa berkenaan perlu dilakukan secara rahsia bagi mengelakkan status hubungan awamnya tercemar. Namun Akio bukan berlumba secara semberono, sebaliknya beliau mendapat didikan terus dari jurutera penguji lagenda Toyota yang turut dikenali ‘Master of Nürburgring’, mendiang Hiromu Naruse.

    Kami telah menulis satu artikel bagaimana tertubuhnya Toyota Gazoo Racing yang diasaskan oleh Akio Toyoda dan juga Hiromu Naruse, dan anda boleh bacanya pada ARTIKEL INI.

     
     
  • Penduduk, warga kerja di Pulau Pinang dapat diskaun esktra 18% di Jambatan Pulau Pinang mulai 1 Feb ini

    Penduduk, warga kerja di Pulau Pinang dapat diskaun esktra 18% di Jambatan Pulau Pinang mulai 1 Feb ini

    Khas untuk penduduk dan warga kerja di Pulau Pinang yang selama ini telah diberi diskaun 20% untuk kadar tol sebelum ini di jambatan itu, bakal menikmati diskaun ekstra 18% lagi (kategori kereta persendirian) mulai 1 Feb ini.

    Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kadar baharu itu adalah hanya bagi penerima diskaun khas yang dinikmati penduduk Pulau Pinang dan warga kerja di Pulau Pinang.

    “Contohnya, bayaran tol Jambatan Pulau Pinang sekarang adalah RM7 dan ia akan dipotong 18% jadi lepas ini kadar tolnya adalah RM5.74. Bagi penduduk Pulau Pinang yang sebelum ini menikmati diskaun 20% akan terus menerima diskaun 18% itu lagi menjadikan harga bayaran kadar tol yang baharu ialah RM4.59,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, dengan pengurangan kadar tol 18% itu lagi membolehkan penduduk negeri ini menerima kadar bayaran baharu hanya RM4.59 manakala bagi penduduk atau pengguna dari luar Pulau Pinang akan menikmati kadar tol RM5.74 di jambatan itu selepas pengurangan kadar tol terbabit.

    Pada masa ini penduduk Pulau Pinang menikmati kadar diskaun tol di jambatan itu sebanyak 20% daripada RM7 kepada RM5.60

    Bagaimanapun, bermula 1 Feb ini, pengiraan kadar baharu tol Jambatan Pulau Pinang bagi penduduk negeri ini akan menggunakan formula baharu dan bayaran kadar tol RM5.60 itu tidak lagi terpakai.

    Lim berkata pengurangan itu adalah manfaat besar yang diterima rakyat daripada perubahan kerajaan.

     
     
  • Geely sedia dana RM117 juta bendung Coronavirus

    Geely sedia dana RM117 juta bendung Coronavirus

    Dalam kecoh-kecoh berkaitan coronavirus yang sedang melanda sekarang ini, Geely mengumumkan bakal bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Li Shufu untuk menyediakan dana sebanyak RMB200 juta (RM117 juta) bagi pencengahan dan kawalan epidemic Coronavirus di Hubei, Guangdong, Zhejiang dan Henan serta kawasan-kawasan lain yang terlibat.

    Yayasan berkenaan ditubuhkan oleh pengasas dan pengerusi Geely Holding, Li Shufu, dan akan membeli serta mengedarkan keperluan perubatan yang diperlukan dengan segera. Ini termasuk topeng pernafasan, cecair cegah jangkitan, goggle perubatan serta saluran pernafasan bergantung pada keperluan setiap kawasan terbabit.

    Dana itu juga sebahagiannya akan digunakan untuk membina hospital sementara dan menyediakan bantuan kepada staf perubatan, petugas binaan, media dan sukarelawan. Kenderaan juga akan disumbangkan, dengan 50 buat MPV Geely Auto akan diserahkan untuk kegunaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Baru Coronavirus Wuhan.

    Servis e-hailing syarikat itu, CaoCao juga telah menyediakan barisan kenderaan untuk digunakan di kawasan Wuhan, dengan semua perkhidmatan pengangkutan akan disediakan kepada penduduk Wuhan secara percuma. Lebih daripada 250,000 topeng kesihatan dari Sweden telah diperoleh oleh Geely, dan akan diedarkan ke kawasan yang terkesan di China. Jenama-jenama lain di bawah kumpulan Geely juga dilaporkan bakal bekerjasama dengan yayasan berkenaan untuk melawan epidemik terbaru ini.

     
     
  • Bajaj bangunkan motosikal bawah 750 cc untuk Triumph – akan masuk pasaran menjelang tahun 2022

    Bajaj bangunkan motosikal bawah 750 cc untuk Triumph –  akan masuk pasaran menjelang tahun 2022

    Satu kerjasama telah dijalin antara Bajaj Auto dan Triumph Motorcycles, dengan dalam perjanjiannya, Bajaj akan membangunkan motosikal antara 250 hingga 750 cc untuk Triumph di kilang mereka di Chakan, India, seterusnya dipasarkan di seluruh dunia menjelang tahun 2022.

    Triumph akan menggunakan rangkaian pengedaran sedia ada mereka untuk memasarkan motosikal baru berkapasiti rendah dan sederhana ini, manakala Bajaj pula akan menambah jumlah pengedar Triumph di negara seperti Afrika dan India, di mana mereka mempunyai kedudukan yang kukuh.

    “Ini adalah satu kerjasama yang penting bagi Triumph, dan saya rasa senang hati kerana ia telah bermula. Selain membawa jenama kami ke dalam segmen penting yang baru, produk yang akan akan terhasil daripada kerjasama ini juga akan membantu menarik pelanggan yang lebih muda serta satu langkah ke hadapan terhadap sasaran kami untuk berkembang secara global,” kata ketua pegawai eksekutif Triumph.

    “Triumph adalah satu jenama yang ikonik di seluruh dunia, Jadi, kami yakin terdapat permintaan yang tinggi di India dan pasaran membangun lain untuk produk baru ini. Kami tidak sabar untuk bekerja dengan syarikat motosikal terkenal ini dan menggunakan kekuatan serta kepakaran masing-masing untuk menjadikan hubungan ini satu kejayaan,” kata pengarah urusan Bajaj, Rajiv Bajaj.

     
     
  • Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Menurut sebuah laporan The Star, konsortium Naza-Berjaya nampaknya telah dipilih oleh kerajaan sebagai syarikat yang akan membekal, menyelenggara dan menguruskan armada kenderaan rasmi kerajaan serta kereta peronda polis. Dipercayai konsortium berkenaan telah menerima surat makluman daripada kementerian kewangan, dengan penganugerahan kontrak sebenar akan diumumkan Jun nanti.

    Konsortium berkenaan bakal menggantikan Spanco yang menguruskan armada kenderaan kerajaan sebelum ini sejak 1994. Spanco merupakan sebuah syarikat pengurus armada kenderaan yang memiliki dua pusat servis flagship di Batu Caves dan Bangi, serta lebih 200 pusat servis seluruh negara.

    Keperluan untuk melantik syarikat baru itu muncul selepas perjanjian konsesi 25-tahun Spanco dengan kerajaan tamat pada Disember 2018 – syarikat itu kemudiannya diberikan dua kali lanjutan (enam bulan setiap satu) pada 2019 dan terus mengurus armada kenderaan kerajaan sehingga hujung tahun lalu. Laporan itu juga menyebut, dipercayai Spanco telah diberi sekali lagi lanjutan bagi tempoh enam bulan sehingga Jun, menyebabkan perjanjian konsesi baru ini hanya akan dianugerahkan selepas itu.

    Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Pada Februari tahun lalu, kerajaan membuka panggilan untuk cadangan bagi kontrak untuk membekal, menyelenggara dan penguruskan barisan kenderaan rasminya bagi tempoh 15 tahun. Dipercayai sekurang-kurangnya tujuh syarikat telah menghantar cadangan bagi tempoh konsesi baru ini; selain Naza Group, pembida lain termasuk Berjaya Group, Sime Darby, DRB-Hicom, Samling Group, Comos dan Go Auto serta Spanco sendiri, yang menjangkakan dapat meneruskan konsesi tersebut.

    Saiz dan jumlah konsesi berkenaan bagaimanapun masih belum didedahkan, tetapi ia dijangka akan ditawar berdasarkan jumlah armada sebanyak 12,500 unit kenderaan; kontrak berkenaan boleh mencecah nilai RM300 juta setahun bagi tahun kelima dan berikutnya. Barisan kenderaan sedia ada, semuanya yang dipajak daripada Spanco bagi tempoh kitaran gantian setiap lima tahun, adalah termasuk kenderaan yang digunakan oleh menteri dan pegawai kerajaan serta kereta peronda polis.

    Dengan kontrak Spanco, konsesi pengurusan menyeluruh bagi barisan kenderaan itu datang dengan kitaran penggantian bagi setiap lima-tahun untuk memastikan kenderaan kerajaan sentiasa kekal baru dan semasa, dengan kos penyelenggaraan bagi setiap unit ditetapkan had maksimumnya.

    Naza-Berjaya disebut bakal dilantik sebagai pengurus baru armada kenderaan kerajaan, diumum Jun nanti

    Merujuk laporan yang sama, pemegang konsesi baru hanya akan mula membekalkan kereta baru kepada kerajaan untuk menggantikan kenderaan Spanco yang telah tamat tempoh pajakan sebaik sahaja kontrak itu diperincikan lebih lanjut. Bagaimanapun, dengan kontrak konsesi baru ini, Spanco masih akan dilantik untuk menyelenggara dan menguruskan kenderaan yang dipajak olehnya, yang masih digunakan oleh kerajaan sehinggalah kenderaan-kenderaan itu diganti nanti.

    Dalam tempoh 12 bulan lalu, Spanco membekalkan sekitar 2,000 kenderaan kepada kerajaan sebagai ganti kepada kenderaan yang telah tamat tempoh lima-tahun penggunaan. Ini termasuk 500 unit Proton X70 yang diserahkan pada Disember lalu dan January tahun ini.

    Konsortium Naza-Berjaya mempunyai 20 jenama kenderaan di bawah mereka, termasuk Kia, Peugeot dan Mazda. Ogos tahun lalu, ketika bercakap kepada sisipan perniagaan StarBiz, Ketua Pegawai Strategi Naza Corp, Azrul Reza memberitahu bahawa konsortium Naza-Berjaya akan mampu untuk melanjutkan kadar sewaan kenderaan yang kompetitif dan membantu kerajaan mencapai kecekapan kos melalui penawaran menyeluruh dan memberi manfaat kepada kerjaaan melalui kos yang lebih rendah.

     
     
  • Ducati Scrambler 110 Pro dan 1100 Sport Pro didedah

    Ducati Scrambler 110 Pro dan 1100 Sport Pro didedah

    Ducati telah memperkenalkan dua model tambahan bagi Scrambler 1100, yang dinamakan sebagai Scrambler 1100 Pro dan Scrambler 1100 Sport Pro. Mengikut perancangan, ia akan berada di pasaran Eropah pada bulan Mac ini manakala Malaysia pula dijangka menerimanya pada suku ketiga 2020.

    Dua model baru ini datang dalam pilihan warna dua tona yang dipanggil “Ocean Drive”, kerangkanya diwarnakan hitam manakala panel tepi pula menggunakan aluminium. Dua ekzos yang keluar di bahagian tepi, kanan motosikal ini dijadikan lebih rapat kepada tempat duduk sementara lampu hadapan pula mempunyai hiasan berbentuk X di dalamnya.

    Beza antara keduanya boleh dilihat pada bahagian suspensi di mana Scrambler 1100 Sport Pro menggunakan unit Ohlins depan dan belakang manakala Scrambler 1100 Pro menggunakan fork Marzocchi dan monoshock Kayaba. Sport Pro juga menggunakan pemegang yang lebih rendah serta cermin sisi seperti cafe racer. Bahan balutan tempat duduk juga adalah baru untuk kedua-duanya.

    Enjin masih lagi sama seperti Scrambler 1100 sebelum ini, iaitu unit v-twin 1,079 cc dengan kemampuan 86 hp pada 7,500 rpm dan 88 Nm tork pada 4,750 rm. Ciri elektronik pada motosikal ini antaranya termasuk Ducati Traction Control, cornering ABS dan tiga mod tunggangan – Active, City dan Journey. Tangki bahan api berkapasiti 15 liter manakala brek adalah unit daripada Brembo.

    Di Malaysia, model standard Ducati Scrambler 1100 dijual pada harga RM79,900, Scrambler 1100 Special RM85,900 dan Scrambler 1100 Sport RM89,900 – tidak termasuk insurans.

     
     
  • Honda City dengan enjin 1.0 liter turbo mungkin menyebabkan harganya naik – Honda Indonesia

    Honda City dengan enjin 1.0 liter turbo mungkin menyebabkan harganya naik – Honda Indonesia

    Honda City generasi baharu telah muncul buat kali pertama pada peringkat global Oktober lalu, dengan Thailand sebagai pasaran pertama yang menerimanya. Direka bagi membolehkan ia masuk ke segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 yang membolehkan ia menerima insentif potongan cukai istimewa, City di pasaran berkenaan dibekalkan dengan enjin 1.0 liter tiga silinder dengan pengecas turbo yang agak menggiurkan selera pelanggan pasaran lain termasuk Malaysia.

    Namun adakah pasaran selain Thai akan menerima City dengan enjin yang sama? Untuk Malaysia, masih lagi tiada pembayang. Namun di Indonesia, pengedar Honda di negara tersebut membayangkan City mungkin akan di jual pada harga tidak masuk akal sekiranya di jana dengan enjin turbo berkenaan.

    “Keinginan untuk memasarkannya (enjin 1,000 cc VTEC Turbo) di Indonesia memang ada, tapi bagaimana dengan harganya? Apabila harganya jadi lebih mahal sekitar 30 juta Rupiah, apakah pelanggan masih mahu beli?” kata Yusak Billy, pengarah inovasi perniagaan dan pemarasan jualan Honda Prospect Motor Indonesia kepada laman AutonetMagz.com.

    Kegusaran Billy berkenaan sememangnya berasas kerana angka 30 juta rupiah (sekitar RM9k) tersebut sememangnya besar kerana City masih dianggap sebuah sedan dalam segmen low-end di sana, dan faktor harga sememangnya sangat kritikal. Malah jika kita aplikasikannya ke pasaran Malaysia juga nampak tidak logik – adakah anda sanggup membeli sebuah sedan segmen-B dengan harga melebihi RM95k?

    Honda City dengan enjin 1.0 liter turbo mungkin menyebabkan harganya naik – Honda Indonesia

    Billy turut menerangkan untuk menawarkan enjin turbo dalam pasaran Indonesia bukan masalah besar untuk syarikatnya, tetapi ia kelak akan menimbulkan masalah harga dan segmentasi.

    “Jika dipasang di Honda HR-V misalnya, dan terjadi kenaikan harga tersebut, biasanya pelanggan akan terus memilih CR-V. Jadi kami masih pelajari lagi, apa kehendak pasaran, apa kehendak pengguna, kerana kami mencari mana yang sepadan,” jelasnya.

    Di Thailand, City generasi baharu ini menerima enjin P10A2 1.0L tiga-silinder VTEC Turbo, bersama kotak gear CVT automatik untuk semua varian. Ia adalah enjin yang sama menjana Honda Civic 1.0L pasaran Eropah, tetapi talaan kuasanya sedikit kurang iaitu hanya 122 PS/173 Nm.

    Jadi apa pendapat anda? Adakah anda sanggup membayar lebih untuk sebuah City berkuasa turbo? Atau lebih suka ia dijual pada julat harga sedia ada dengan enjin 1.5 liter i-VTEC yang sama?

    Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • TVS iQube skuter janaan elektrik dengan tork 140 Nm

    TVS iQube skuter janaan elektrik dengan tork 140 Nm

    Pengeluar motosikal dari India, TVS Motor Company melancarkan sebuah skuter elektrik untuk pasaran sana, yang dinamakan sebagai iQube. Ia dikuasakan oleh bateri lithium ion yang memberi kuasa kepada motor elektrik 4.4 kW, dan tork maksimum 140 Nm.

    Bateri pada iQube boleh dicas penuh dalam masa sekitar lima jam, dan selepas itu, ia boleh bergerak untuk jarak sehingga 75 km. Laju maksimum adalah 78 km/j manakala pecutan 0-40 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.2 saat.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motoikal ini adalah termasuk rim 12 inci dengan tayar 90/90, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, serta panel instrumen TFT dengan sistem sambungan Smart X Connect.

    Melalui sistem ini, yang boleh disambungkan kepada telefon bimbit, pengguna boleh pelbagai fungsi seperti navigasi, status bateri, geofencing, pemberitahuan panggilan dan mesej, amaran lebih kelajuan, kedudukan motosikal serta statistik tunggangan.

    Selain daripada ciri yang disebutkan ini, iQube juga datang dengan fungsi unik Q-Park Assist iaitu bantuan kuasa untuk bergerak ke hadapan dan belakang apabila hendak meletakkan kenderaan. Ia juga datang dengan dua mod tunggangan. Di India, iQube dijual pada harga 115,000 Rupee (RM6,579).

     
     
  • Ops Selamat 16 – 14,087 kecelakaan, 138 kematian

    Ops Selamat 16 – 14,087 kecelakaan, 138 kematian

    Jika ditinjau di media sosial sahaja, banyak kecelakaan jalanraya yang berlaku hanya dalam tempoh cuti perayaan ini. Ini kemudian disokong juga oleh angka yang diumumkan PDRM sempena Ops Selamat 16 – setakat ini sebanyak 14,087 kecelakaan dilaporkan dalam tempoh sembilan hari operasi berkenaan dijalankan, lapor Bernama.

    Selangor negeri yang mencatatkan angka tertinggi dengan 4,089 kes, diikuti Johor (2,194), Kuala Lumpur (1,616) dan Pulau Pinang (1,147). Daripada jumlah itu, 127 kecelakaan telah menyebabkan 138 kematian. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan kematian tertinggi dengan 94 kes.

    Keseluruhannya, 233,454 saman juga telah dikeluarkan dalam tempoh berkenaan, dan daripada jumlah itu, 1466,008 (62.5%) melibatkan kesalahan utama seperti menggunakan telefon ketika memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had kelajuan, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong digarisan berkembar.

    Ops Selamat 16 yang dijalankan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2020 akan berlangsung sehingga 1 Februari nanti.

     
     
  • Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    Pasukan Mellors Elliot Motorsport dari Bakewell, England mengesahkan mereka akan menyertai musim penuh Kejuraan Rali British (BRC) 2020 dengan jentera yang mereka bangunkan, Proton Iriz R5. Kali terakhir MEM menyertai siri berkenaan adalah pada tahun 2016 dengan sebuah lagi jentera Proton iaitu Satria Neo S2000.

    Iriz R5 MEM ini masih akan dipandu oleh pelumba yang sama mengendalikan Satria Neo S2000 sebelum ini, iaitu Oliver Mellors, anak kepada pengarah dan pengasas pasukan tersebut, Chris Mellors.

    “Sebagai pasukan dan pemandu, kami gembira untuk kembali ke Kejuaraan Rali British dengan jenama Proton. Ada warisan sejarah dan hubungan yang banyak antara jenama dengan kejuaraan ini, walaupun jika kita lihat ketika era 2WD (Satria kit car) pada tahun 2000 dan kami rasakan ini adalah tempat yang betul untuk kereta ini. Pertandingan akan menjadi hebat dan sangat sengit walaupun sekiranya hanya separuh dari pencabar yang dikhabarkan akan muncul. Itu yang kami perlukan untuk Iriz R5 dan saya tak sabar mahu lihat bagaimana prestasinya berbanding yang lain,” kata Oliver.

    Ketika musim 2016, keputusan terbaik yang mampu diraih oleh Oliver hanya berada di tempat keempat pada pusingan di Circuit of Ireland National kerana ketika itu pesaing lain mula beralih menggunakan jentera dengan spesifikasi R5. Musim tahun ini merupakan peluang terbaik untuknya bersama juru arah, Ian Windress bagi mencapai kejayaan pertama.

    Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    “Segalanya telah kami buat dengan Proton sejak bermula dengan konsep pada 2017 meningkat dengan pesat dari segi perkembangan,” kata Chris pula.

    “Kami berbangga untuk menjadi satu-satunya pengeluar yang menawarkan (jentera R5) versi pemanduan sebelah kiri dan kanan dan membuka peluang yang banyak di seluruh dunia. Bukan itu sahaja, kami juga telah memastikan setiap langkah, kami mempunyai pemandu yang berpengalaman di sebalik kereta bagi memperolehi data dan memastikan pembangunan kami menuju kearah yang betul.

    “Kami rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk melancarkan Iriz dalam kejuaraan British, yang mana kami sentiasa melihatnya sebagai sebahagian perkembangan selanjutnya untuk kereta ini. Ini hanyalah permulaan,” tambah Chris lagi.

    Hubungan MEM dan Proton telah bermula seawal tahun 2002, apabila pasukan berkenaan menyediakan Proton PERT Evo VI untuk pelumba negara, Karamjit Singh bagi membolehkan mereka bergelar juara dunia WRC kategori Group N (PWRC) pada tahun berkenaan hanya dengan percubaan pertama.

    MEM dan Proton sekali lagi kembali ke WRC pada tahun 2012 dalam kategori WRC2 dengan Satria Neo S2000, membolehkan pemandu Sweden, Per-Gunnar Andersson menjadi juara Rali Sweden dan Finland seterusnya menjadi naib juara dalam kategorinya pada musim berkenaan.

    Proton Iriz R5 ini dibangunkan oleh MEM sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11 yang hampir sama dengan enjin Mitsubishi Lancer Evo X (juga asas untuk enjin Proton Inspira) yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5, digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun lalu bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

    Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin 4B11, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

    Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

    Disember lalu, jentera ini sekali lagi telah diuji oleh juara dunia WRC dua-kali dari Finland, Marcus Grönholm, dan beliau sendiri menyatakan bahawa Iriz R5 sudah bersedia untuk bertarung di SS WRC.

    Manakala pada bulan ini, Iriz R5 telah di bawa oleh MEM ke Autosport International Show 2020 yang diadakan di National Exhibition Centre, Birmingham, UK, menampilkan livery baharu bagi menggantikan grafik berwarna oren jenama minuman keras Thornbridge Brewery sebelum ini.

    Pelekat Thornbridge masih lagi ada pada bonet hadapan, tetapi ia kini menerima warna putih di atas dan kuning yang seiras kuning Proton Satria Neo S2000 mendominasi bahagian bawah badan. Juga, logo Proton Motorsport dibintangi kepala harimau ‘Thundercats’ kini mendominasi bahagian sisi Iriz R5 berkenaan.

    Kejuaraan Rali British 2020 akan berlangsung dalam enam pusingan. Pusingan pertama iaitu Rali Cambrian yang berlangsung Wales Utara akan bermula pada 8 Februari nanti.

     
     
  • VIDEO: Hyundai i20 WRC, Ott Tänak melambung dan jatuh tebing di Rally Monte Carlo 2020; masih selamat

    Pusingan pertama Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2020 telah pun bermula semalam, seperti biasa ‘gelanggang’ akan di buka di Rali Monte Carlo. Baru hari pertama, drama telah dimulakan oleh Juara Dunia WRC 2019, Ott Tänak dengan kemalangan dahsyat yang berlaku di SS ke-4.

    Tänak yang kini memandu untuk pasukan Hyundai setelah berhijrah dari pasukan Toyota Gazoo Racing hilang kawalan pada kelajuan lebih 160 km/j pada satu selekoh laju kilometer ke 9.2 SS berkenaan, kemudian melanggar pelbagai halangan termasuk pokok, seterusnya melambung dan jatuh dari tebing tinggi.

    Walau bagaimanapun, Tänak masih mampu untuk keluar dengan membuka sendiri pintunya. Juru arahnya, Martin Järveoja pula terpaksa keluar sendiri menerusi pintu pemandu kerana pintunya telah tersekat. Kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan serius, namum tetap perlu di bawa ke hospital kerana prosedur standard (SOP) FIA memerlukan kesihatan pemandu dan juruarah yang terlibat dalam kemalangan sebegini perlu dipantau terlebih dahulu.

    Setelah tamat lapan SS pada hari Jumaat, pemandu Toyota Sebastien Ogier kini berada di tempat pertama Rali Monte Carlo 2020 dengan perbezaan hanya 1.2 saat berbanding pemandu di tempat kedua, Elfyn Evans yang juga memandu Toyota Yaris WRC.

    Seorang lagi pemandu Hyundai Motorsport, Thierry Neuville berada di tempat ketiga, ketinggalan 6.4 saat berbanding Ogier. Lapan lagi SS perlu dilalui oleh kesemua pemandu untuk menghabiskan Rali Monte Carlo ini yang hanya akan tamat pada hari Ahad, 25 Januari 2020.

     
     
  • TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Walaupun kereta-kereta dari Nihon Automotive Technology School (NATS) yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon (TAS) saban tahun hanyalah hasil kerja dari pelajar-pelajar kolej tersebut, mereka ini antara yang menjadi hiburan di acara berkenaan kerana sering tampil dengan idea-idea di luar kotak.

    Macam dua kereta tribut kepada bintang filem Fast & Furious, Paul Walker ini. Pada asalnya kami ingat mereka betul-betul potong bumbung Toyota GR Supra yang baru berberapa bulan dalam pasaran dan juga Nissan GT-R R35, tapi sebenarnya kedua-duanya hanyalah sekadar klon!

    ‘GR Supra’ yang diubahsuai seakan Supra JZA80 Targa Top yang dipandu Brian O’Conner pada filem pertama Fast & Furious yang anda lihat ini sebenarnya adalah sebuah Lexus SC430, atau nama lainnya Toyota Soarer Z40. Walaupun ia adalah klon, tapi ini bukan projek klon sambil lewa.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Bagi menjadikan ia nampak seperti GR Supra sebenar, pelajar-pelajar ini menggunakan banyak komponen asli Supra A90 berkenaan termasuk lampu hadapan dan belakang, bampar hadapan dan belakang dan juga penutup bonet hadapan. Tak cukup dengan itu, Supra palsu ini juga menerima kit badan lebar asli Pandem keluaran Tra Kyoto!

    Bagi menandakan ia tribut untuk Supra Paul Walker, Lexus ini diberikan warna oren dan juga grafik badan serta liang bonet hadapan ala-TRD serupa dengan kereta yang tampil pada filem pertama Fast & Furious berkenaan.

    Di kabin, papan pemuka asal SC430 masih dikekalkan, tetapi tempat duduk telah ditukar dengan menggunakan tempat duduk bucket dari Bride dan roda stereng Sparco yang dibalut dengan alcantara menggantikan komponen asal. Di belakang tempat duduk pula terdapat tiga tong gas yang nampak seperti tong NOS, tapi melihat aliran paipnya, ia mungkin tangki udara untuk sistem suspensi.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Kereta ini bukan tampil hanya bergaya semata-mata. Pelajar-pelajar NATS jurusan Customize ini juga telah membuang enjin 3UZ-FE 3.0 liter V8 NA asal dari Lexus ini, dan menggantikannya dengan enjin 2JZ-GTE 3.0 liter enam-sebaris turbo dari Supra JZA80.

    Enjin tersebut juga nampaknya tidak standard kerana turbin yang digunakan adalah dari jenis turbo tunggal dengan saiz yang lebih besar, bersama Intercooler, radiator dan juga manifold kemasukan aluminium dari Greddy. Berdasarkan tombol gear dalam kabin, enjin tersebut turut digandingkan kotak gear Getrag enam-kelajuan manual asal Supra berkenaan.

    Beralih ke ‘R35 Convertible’ disebelahnya pula, ia sebenarnya diasaskan dari Nissan Fairlady 350Z Z33 Convertible. Sama seperti Supra tadi, Fairlady ini dikacukkan dengan lampu serta bampar hadapan dan belakang dari R35 GT-R bersama kit badan lebar Pandem bagi menjadikannya sebuah GT-R Pandem Convertible jadian.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Tribut untuk Paul Walker pada ‘GT-R’ digambarkan menerusi pemilihan warna badan perak dan juga jalur badan berwarna biru yang nampak seperti Nissan Skyline GT-R R34 yang dipandu Brian O’Conner dalam filem kedua F&F iaitu 2 Fast 2 Furious.

    Lain sedikit dari projek Supra, Nissan ini diberikan pintu yang dibuka keatas dan bahagian dalaman yang nampak lebih kemas. Lantai kabin kereta ini masih lagi dilitupi karpet manakala papan pemukanya turut diberikan grafik seakan menyamai tema warna luaran. Tempat duduk digantikan dengan tempat duduk bucket Bride bersama tali pinggang Sparco.

    Tiada perincian ubahsuai enjin yang dibuat pada kereta ini dan penutup bonet juga tidak dibuka untuk tatapan orang ramai. Jadi kami agak ia masih menggunakan enjin VQ35DE V6 3.5 liter NA asal dari Fairlady 350Z.

    TAS2020: NATS A90 Spider & R35 Road Star – tribut Paul Walker dengan GR Supra dan Nissan GT-R klon

    Untuk pengetahuan anda, projek-projek pelajar NATS ini akan dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • LATAR umum diskaun tol 10% untuk pengguna lebuhrayanya sempena Tahun Baharu Cina 25 Jan ini

    LATAR umum diskaun tol 10% untuk pengguna lebuhrayanya sempena Tahun Baharu Cina 25 Jan ini

    Sempena Tahun Baru China yang bakal berlangsung esok (25 Jan 2020), pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% untuk semua kenderaan kelas satu. Ia akan berlangsung dari jam 12 tengahmalam ini sehingga 11.59 malam pada tarikh yang sama.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi LATAR, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi, diskaun tol ini adalah sebagai penghargaan kepada pengguna, selain memudahkan urusan perjalanan pulang orang ramai ke kampung halaman masing-masing.

    Beliau berkata, pemberian diskaun itu juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kepada pengguna LATAR.

    “Tahun lalu, kita memberi diskaun kepada pengguna kenderaan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Krismas dan ini adalah pemberian diskaun pertama untuk tahun ini,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024