Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Cagiva akan kembali sebagai motor elektrik pada 2021

    Cagiva akan kembali sebagai motor elektrik pada 2021

    Kali terakhir Cagiva mengeluarkan model baru adalah pada tahun 2012, dan sejak itu, syarikat yang berasal dari Itali dan turut dimiliki oleh MV Agusta ini semakin senyap hingga sekarang. Pada tahun 2018, muncul laporan yang mengatakan Cagiva akan kembali dengan penawaran motosikal elektrik dan offroad menjelang tahun 2019, tapi nampaknya ia masih belum berlaku.

    Kini berita yang sama timbul kembali apabila presiden MV Agusta, Timur Sardarov mengeluarkan kenyataan. Menurut laporan Visor Down, Sardarov memberitahu bahawa Cagiva akan bertindak sebagai wakil MV Agusta dalam pasaran motosikal elektrik, dengan barisan jentera ekonomi ‘penggerak urban’.

    “Kami tidak akan membuat skuter, tetapi motosikal. Senang ditunggang dan bawah 4kW, sebab pada masa ini tiada siapa yang menghasilkan motosikal lebih daripada segmen ini dapat menghasilkan keuntungan. Dalam masa enam atau tujuh tahun, ia mungkin dapat mencecah keuntungan seperti motosikal 350 cc,” tambah Sardarov.

    Cagiva akan kembali sebagai motor elektrik pada 2021

    Sardarov memberitahu kepada Motociclismo pula, Cagiva akan memulakan produksi pada tahun hadapan, paling lambat awal tahun hadapan, dan khusus untuk mengeluarkan motosikal elektrik urban. Setakat ini masih belum diketahui sama ada Cagiva akan membangunkan sendiri model elektrik tersebut atau bersama dengan rakan kongsi lain. Sudah tentu, perincian motosikal ini juga masih belum didedahkan.

    Walaupun perkhabaran tentang hidupnya semula Cagiva ini telah tersebar lebih awal, tapi tanpa sebarang tindakan lanjutan, ia boleh difahami kerana MV Agusta sendiri perlu berhadapan dengan pelbagai masalah sendiri, yang mana sekarang mungkin sudah terurus.

     
     
  • Hyundai Creta 2020 diperkenalkan di India 6 Feb ini

    Hyundai Creta 2020 diperkenalkan di India 6 Feb ini

    Hyundai India telah menyiarkan teaser di laman Facebook rasmi mereka, mengenai Creta serba baharu yang bakal diperkenalkan di Auto Expo 2020 pada 6 Februari ini. SUV segmen-B ini juga dikenali sebagai ix25 di pasaran lain, dan ia ada kaitan dengan Kia Seltos.

    Jika anda kurang tahu pasal Creta, sebenarnya model ini hanya dijual di beberapa negara sahaja, termasuk India, China, Rusia dan beberapa pasaran Amerika Selatan. Walau bagaimana pun, kali ini Creta/ix25 menerima aspirasi global, jadi SUV kecil ini dijangka akan diperkenalkan di banyak lagi pasaran luar.

    Bagi dimensi, SUV ini berukuran 4,270 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,630 mm tinggi dengan jarak roda 2,590 mm. Ia sedikit kecil berbanding Seltos, dan ada laporan menyatakan ia juga ditawarkan dengan enjin yang sama dengan Seltos.

    Hyundai Creta 2020 diperkenalkan di India 6 Feb ini

    Barisan penjana kuasa yang ditawarkan termasuklah enjin petrol 1.5 liter empat-silinder (115 PS/144 Nm), 1.5 liter empat-silinder turbodiesel (115 PS/250 Nm) dan 1.4 liter T-GDI petrol (140 PS/242 Nm). Pilihan transmisi termasuk manual enam-kelajuan, automatik enam-kelajuan dan DCT tujuh-kelajuan (hanya untuk 1.4 T-GDI sahaja).

    Bagi sudut rekaannya, Creta kelihatan bagai versi yang dikecilkan dari model perdana Palisade, menawarkan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus halogen dan gril yang lebih menonjol. Bahagian belakangnya juga menampilkan lampu yang sama rekaan dengan unit hadapan, sementara lampu brek ketiga pula disambung ke tailgate. SUV ini juga dipadankan dengan rel bumbung dan skid plate, sekaligus memberikan imej yang lebih bergaya.

    Buat masa ini tiada ciri kabin didedahkan, tetapi dijangka ia dipadankan dengan upholstery premium, termasuk roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25-inci, bumbung matahari panoramik, dan kawalan susu automatik dwi-zone. Harganya pula antara Rs 10 lakh (RM57k) ke Rs 16 lakh (RM92k).

     
     
  • Thailand umum cukai kenderaan lebih rendah bagi EV

    Thailand umum cukai kenderaan lebih rendah bagi EV

    Dalam usaha untuk menggalakkan lagi penggunaan tenaga alternatif berbanding bahan api fosil pada kenderaan, jabatan pengangkutan jalan di Thailand telah mengumumkan insentif bagi pengguna kenderaan tenaga bersih. Ini akan diberikan dalam bentuk kadar cukai kenderaan yang lebih murah, lapor The Nations.

    Menurut jabatan berkenaan, cukai bagi kenderaan penumpang elektrik yang tidak lebih tujuh-tempat duduk akan dikira mengikut berat kenderaan pada kadar yang sama dengan kenderaan penumpang tujuh-tempat duduk yang menggunakan bahan api fosil. Van, trak, motosikal serta lori atau traktor yang digunakan untuk tujuan pertanian serta teksi antara daerah yang menggunakan tenaga elektrik akan membayar separuh sahaja cukai kenderaan mereka berbanding jenis kenderaan sama yang menggunakan bahan api fosil.

    Timbalan pengarah operasi bagi jabatan berkenaan, Jantira Buruspat berkata langkah itu adalah sebahagian daripada kempen untuk mempertingkat tahap kualiti udara. Beliau berkata, peningkatan particulate yang lebih kecil daripada 2.5 micron akan memberi kesan kepada kesihatan manusia serta kualiti hidup mereka. Dalam satu laporan berbeza, kualiti udara di enam kawasan sekitar Bangkok hujung minggu lalu berada pada tahap tidak selamat.

    Thailand umum cukai kenderaan lebih rendah bagi EV

    Beliau untuk menambah, setakat 31 Disember 2019, sebanyak 40,712,043 unit kenderaan telah didaftarkan dalam negara itu, di mana 27,749,524 merupakan kenderaan dikuasakan gasolin dan 11,294,017 menggunakan diesel. Sementara itu, hanya 2,854 kenderaan elektrik didaftarkan dalam masa yang sama – terdiri daripada 117 bas elektrik dan kenderaan hibrid eletrik penumpang keseluruhan sebanyak 153,184 unit didaftarkan.

    Thailand sedang bergerak ke arah elektrifikasi, dan ingin menggalakkan pengeluar kenderaan untuk memperkenalkan lebih banyak EV atau hibrid di sana. Kerajaan Thailand juga sedang merangka perancangan bagi pengeluaran kenderaan elektrifikasi untuk dimulakan dalam tempoh tiga tahun, dan berkata rancangan itu perlu dimuktamadkan tahun ini. Pengecualian cukai telah direncanakan, dengan pengecualian eksais cukai ditawarkan kepada pengeluar EV dinegara itu dari 2020 hingga 2022, berbanding hanya kadar 2% bagi eksais cukai dalam kes biasa.

     
     
  • Proton X70 CKD dengan DCT 7-kelajuan – “isu ketahanan dan kelancaran klac kering itu cerita lama”

    Proton X70 CKD dengan DCT 7-kelajuan – “isu ketahanan dan kelancaran klac kering itu cerita lama”

    Lagi berkenaan ketahanan kotak gear DCT jenis klac basah yang akan digunakan pada Proton X70 versi CKD; kami korek lagi maklumat mengapa pelanggan di Malaysia tidak perlu gusar apa yang terjadi pada kotak DCT klac kering pengeluar lain khususnya DSG dari Volkswagen dan SpeedShift dari Ford.

    Pertama sekali bagi mengatasi masalah berkenaan, Geely menggunakan sistem klac basah yang jauh lebih tahan dan lasak dari sistem klac kering yang secara tipikal bermasalah. Dalam sidang media ketika lawatan wakil ke fasiliti Geely di Ningbo, Zhejiang di China tempoh hari, ketua jurutera senior syarikat berkenaan, Terjinder Singh menerangkan bahawa penggunaan penyejuk minyak dalam sistem klac basah ini telah melenyapkan kebanyakkan masalah yang menyebulungi kotak gear DCT.

    “Kebanyakkan kotak gear DCT yang awal mempunyai masalah ketahanan kerana menggunakan klac kering, [yang] secara tipikalnya tidak mempunyai keupayaan menahan haba yang baik. Dengan klac basah kami mengepam sekitar 12 hingga 15 liter minyak setiap minit bagi mengurangkan haba, tetapi klac kering tidak mempunyai ini. Ini adalah sebab kenapa ada banyak isu berkait dengan suhu,” jelas Terjinder.

    Proton X70 CKD dengan DCT 7-kelajuan – “isu ketahanan dan kelancaran klac kering itu cerita lama”

    Beliau turut menambah bahawa kotak gear DCT dengan klac kering terdedah kepada elemen lain yang boleh terjejas kerana keadaan cuaca.

    “Dengan perubahan kelembapan, dengan perubahan suhu, dengan persekitaran kotor, dengan persekitaran bersih, akan ada sisihan yang banyak. Jadi ada hari anda akan rasa penukaran gear adalah baik, hari lain, yang lebih kering dan penukaran gear akan rasa tidak sedap. Ada banyak aduan tentang perkara itu.

    “Sekarang, dengan klac basah yang kami ada di Geely, ia sama seperti transmisi automatik – ia berada dalam persekitaran terkawal, minyaknya disejukkan. Minyak tersebut ditapis dan dikawal dalam julat suhu. Jadi ada banyak isu suhu [sebelum ini] untuk kebanyakkan pengeluar, dan dalam kes kami walaupun dengan kenderaan tugas-berat Volvo, dengan berat 2.3 tan bersama treler hampir 2-tan pada pelbagai gred permukaan serta bergerak dan berhenti, kami telah menunjukkan ia adalah sangat baik [dari segi ketahanan],” terang jurutera itu lagi.

    Proton X70 CKD dengan DCT 7-kelajuan – “isu ketahanan dan kelancaran klac kering itu cerita lama”

    Penggunaan klac basah ini juga adalah antara punca mengapa ia boleh berfungsi lebih lancar dan lebih diperhalusi berbanding DCT klac kering, kata Terjinder. “Banyak masalah seperti teragak-agak ketika mula bergerak, mengigil dan bergegar, terutamanya ketika parkir sisi, adalah karekter klac kering. Dengan klac basah, hampir 99% masalah itu hilang.”

    Beliau juga berkata dengan formulasi istimewa cecair transmisi juga memberikan kesan yang lebih lancar ketika mula bergerak dari kedudukan pegun dan penukaran gear. “Anda sentiasa perlu memberikan perhatian kepada interaksi antara material geseran dan jenis minyak yang anda guna.

    “Geely mempunyai proprietari minyak yang dibangunkan dengan ujian yang banyak. Ia berfungsi untuk rekaan klac kami, dan ia mempunyai profil tertentu untuk pekali geseran dengan kelajuan gelinciran yang kami pantau dan kawal dengan berhati-hati. Karekteristik telah dibangunkan dan sebab itu anda tidak akan merasa bergegar atau mengigil ketika mula bergerak dan ketika menukar gear.”

    Produksi X70 CKD tersebut kini sedang berjalan di fasiliti baharu Proton di Tanjung Malim. Jadi ia dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.

     
     
  • Nissan tunjuk teaser crossover baru untuk India

    Nissan tunjuk teaser crossover baru untuk India

    Nissan telah mengeluarkan satu imej teaser sebuah crossover kompak yang akan diperkenalkan di India, dan dibangunkan berasaskan warisan SUV global serta teknologi maju mereka. Menurut syarikat itu lagi, ini adalah SUV kompak pertama yang dibuat untuk India, dengan falsafah ‘Dibuat di India, Dibuat untuk Dunia.”

    Perincian rasmi model yang masih belum diberi nama ini belum didedahkan, tetapi imej tersebut menunjukkan sebuah crossover dengan bentuk hampir seperti X-Trail, tetapi mempunyai bumbung yang menjunam sedikit di bahagian belakang.

    Bahagian fender nampak agak kembung depan dan belakang, sementara lampu hadapan pula mempunyai bucu yang panjang sehingga ke tepi seperti Murano. Bahagian hadapan dijangka menggunakan gril V-Motion yang sudah menjadi identiti kenderaan Nissan masa kini.

    Autocar India melaporkan crossover ini akan mula dijual sekitar bulan September tahun ini dan ia akan menjadi pencabar kepada model seperti Tata Nexon, Maruti Suzuki Vitara Brezza, Mahindra XUV300, Hyundai Venue dan Ford EcoSport. Untuk kuasa penggerak pula, ia berkemungkinan menggunakan enjin tiga silinder petrol 1.0 liter turbo dengan pilihan transmisi manual atau automatik lima kelajuan.

     
     
  • Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

    Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

    Sebelum ini, Proton telah mengesahkan bahawa X70 versi CKD yang akan dilancarkan tahun ini bakal dilengkapi kotak gear klac berkembar (DCT) automatik tujuh-kelajuan bagi menggantikan transmisi auto konvensional pada versi CBU. Oleh itu, sekumpulan media telah diterbangkan ke Ningbo, China bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan kotak gear yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo berkenaan.

    Kotak gear DCT ini adalah dari jenis klac basah, dihasilkan di kilang Geely Chunxiao dan Changing di wilayah Zhejiang, China. Ia kini sudahpun digunakan dalam pasaran bagi digandingkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang terdapat pada Volvo XC40 dan berberapa model divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co.

    Buat masa ini, kotak gear tersebut juga telah dipadankan pada enjin 1.8 liter turbo untuk SUV Boyue Pro. Boyue standard yang seiras X70 untuk pasaran China masih lagi menggunakan kotak gear auto enam-kelajuan yang dihasilkan pengeluar kotak gear dari Australia (juga kini milik Geely), Drivetrain Systems International (DSI). Jadi spesifikasi padanan enjin dan kotak gear pada X70 ini adalah unik dan ekslusif untuk Proton.

    Kotak gear DCT baharu ini mempunyai saiz yang hampir sama dengan kotak gear auto DSI sebelum ini, tetapi ia telah dihasilkan dengan lebih ringan; hanya 75 kg. Bukan itu sahaja, ia juga mampu menukar gear dengan kelajuan jauh lebih pantas – sepantas 0.3 saat! – serta mampu menahan tork maksima sehingga 330 Nm.

    Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

    Dengan rekaan yang lebih efisien juga, kotak gear DCT ini mampu membebaskan tork 15 Nm pada enjin, membolehkan bacaan kuasa untuk Proton X70 CKD nanti adalah 181 hp/300 Nm. Ia juga dipadankan dengan tuil penukar gear dan pedal penukar gear pada stereng menggunakan teknologi shift-by-wire.

    Bila menyebut berkenaan kotak gear DCT, sudah tentu ramai yang dihantui isu kotak gear DSG keluaran Volkswagen kan? Menurut Geely, mereka telah menghasilkan transmisi DCT dengan klac basah mereka ini dengan mengambil kotak gear DSG VW jenis klac kering sebagai kayu aras.

    Geely yakin dengan penggunaan klac basah yang jauh lebih lasak, mereka mampu mengelakkan masalah-masalah kerosakan yang berlaku pada kotak gear VW. Mereka juga menghasilkan kotak berkenaan dengan memenuhi seliaan ketahanan Volvo yang jauh lebih ketat, dan direka bagi boleh beroperasi lebih dari 350,000 km, berbanding standard industri yang hanya mensyaratkan 240,000 km.

    Selain itu, kotak gear DCT Geely-Volvo ini juga didakwa mampu beroperasi jauh lebih efisien dari kotak gear klac kering VW (yang mencatatkan kadar kecekapan lebih tinggi dari transmisi DSG klac basah), dengan kadar kecekapan purata keseluruhan 94.6% serta mampu mencapai kadar maksimum 97%.

    Kotak gear DCT 7-kelajuan pada Proton X70 lebih efisien dari DSG Volkswagen, penuhi standard Volvo

    Kadar kecekapan maksimum yang dicatatkan berkenaan adalah hampir sama dengan kotak gear manual, dan ia dibuktikan dengan Boyue Pro 1.8 2WD pasaran China yang mampu mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk setiap 100 km. Menurut Geely lagi, kotak gear baharu ini turut lebih efisien dari kotak gear konvensional lapan-kelajuan (88%) dan enam-kelajuan (89%) keluaran Aisin.

    Bukan alang-alang ujian yang telah dilakukan oleh Geely untuk transmisi baharu ini. Menurut mereka, kotak gear ini telah diuji dalam keadaan cuaca ekstrem. Ujian cuaca panas telah dijalankan di Turpan (China), Alice Spring (Australia) dan Afrika Selatan, manakala ujian cuaca sejuk pula dibuat di Jokkmokk dan Colmis (Sweden) serta di Heihe dan Yakeshi (China).

    Mereka turut menjalankan ujian kawasan altitud tinggi di Gunung Kunlum dan Alps, ujian cuaca basah dibuat di Hainan, manakala ujian pemanduan bandar pula dijalankan di Chongqing (Shanghai, China) serta Stockholm dan Gothenburg (Sweden). Secara keseluruhan, kotak gear ini telah diuji sejauh lebih dari sembilan juta kilometer.

    Bagi menambahbaik ketahanan dan juga kecekapan kotak gear ini, ia turut direka bagi beroperasi dengan menggunakan cecair transmisi berkelikatan rendah. Ini adalah mustahak kerana kotak gear DCT sememangnya menggunakan minyak gear berbeza dari cecair ATF yang digunakan pada transmisi auto biasa.

    Walau bagaimanapun, Proton masih lagi belum memberikan perincian penuh terhadap spesifikasi cecair transmisi berkenaan, tetapi mereka telah mengesahkan bahawa sela masa penukaran minyak tersebut adalah lebih kurang sama dengan ATF, dan harganya juga adalah lebih murah dari apa yang digunakan oleh X70 CBU buat masa sekarang.

    Proton X70 CKD ini adalah salah satu antara dua model utama yang akan dilancarkan oleh Proton tahun ini selain SUV segmen-B X50, dan pelancarannya dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.

     
     
  • Op Selamat 16: 215 maut sejak 18 Jan; penunggang, pembonceng motosikal catat kematian tertinggi

    Op Selamat 16: 215 maut sejak 18 Jan; penunggang, pembonceng motosikal catat kematian tertinggi

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengumumkan sebanyak 215 kematian direkodkan daripada 191 kes nahas maut yang berlaku sejak Op Selamat 16/2020 antara 18 hingga 30 Jan 2020, yang dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian yang paling tinggi dengan 139 mangsa.

    Sementara Selangor kekal merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu 35 kes, diikuti Johor (34 kes), Pahang (20) manakala Sarawak (20) dan Kelantan (18).

    “Dalam tempoh berkenaan, 21,941 kes nahas jalan raya direkodkan dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 6,162 kes diikuti Johor (3,367), Kuala Lumpur (2,469) dan Perak (1,833), Pulau Pinang (1,761), Negeri Sembilan (1,070), Kedah (1,003).

    “Pahang (936), Melaka (821), Sarawak (713), Sabah (663), Kelantan (466), Terengganu (424) dan Perlis (73),” katanya menerusi laporan Bernama.

    Tambahnya lagi, sebanyak 373,212 saman turut dikeluarkan dengan 235,966 saman merangkumi enam kesalahan utama antaranya menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

     
     
  • Proton X70 CKD akan dilengkapi kotak gear DCT 7-kelajuan sama dengan Volvo – tork naik 15 Nm

    Proton X70 CKD akan dilengkapi kotak gear DCT 7-kelajuan sama dengan Volvo – tork naik 15 Nm

    Dalam gambar-gambar spyshot dan juga prebiu Proton X70 versi pemasangan tempatan, SUV segmen-C CKD berkenaan nampak sama sahaja dengan versi CBU dari China kan? Sebenarnya model yang akan dilancarkan di Malaysia tahun ini tersebut diberikan perubahan yang agak besar dari segi mekanikal – Proton mengesahkan bahawa kotak gear enam-kelajuan automatik konvensional pada versi sekarang akan diganti dengan kotak gear klac berkembar (DCT) automatik tujuh-kelajuan.

    Apa yang menarik lagi, kotak gear tersebut adalah komponen yang dibangunkan bersama Geely dan Volvo, serta sudahpun digunakan pada Volvo XC40 dan pelbagai model Lynk & Co. Transmisi ini akan terus digandingkan dengan enjin 1.8 liter suntikan terus pada model sedia ada.

    Enjin tersebut juga masih lagi menghasilkan kuasa 181 hp, namun dengan transmisi yang jauh lebih efisien, ia berupaya membebaskan tork tambahan 15 Nm, menjadikan angka keseluruhan kini adalah 300 Nm bermula 1,750 hingga 4,000 rpm. Walau bagaimanapun, ia tetap ditala semula, dan kini ia mampu melepasi undang-undang Euro 6d, tetapi masih lagi boleh beroperasi dengan petrol Euro 4M pada pasaran tempatan.

    Proton X70 CKD akan dilengkapi kotak gear DCT 7-kelajuan sama dengan Volvo – tork naik 15 Nm

    Dengan kotak gear baharu ini juga membolehkan bacaan penggunaan bahan api lebih baik pada X70 CKD ini. Ia kini mencatatkan 7.5 liter untuk setiap 100 km, berbanding 7.8 liter sebelum ini bagi model-model 2WD. Dengan penggunaan kotak gear baharu ini juga, tuil penukar gear telah ditukar dengan rekaan lebih kecil, selari dengan rekaan model-model mewah terkini seperti BMW dan Volvo.

    Perincian lain yang berubah antaranya adalah penggunaan logo ‘Thundercats’ baharu Proton pada gril hadapan. Kami menjangkakan ia turut akan menerima ciri-ciri tambahan lain seperti tailgate berkuasa dan juga talaan semula pada casis. Ini adalah salah satu antara dua model utama yang akan dilancarkan oleh Proton tahun ini selain SUV segmen-B X50, dan pelancarannya dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.

     
     
  • DBKL beri diskaun kompaun trafik mulai 1 Feb-3 Mac

    DBKL beri diskaun kompaun trafik mulai 1 Feb-3 Mac

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan pemberian diskaun kompaun trafik menerusi kadar khas mulai 1 Februari ini (esok) sehingga 3 Mac hadapan. Ia adalah sempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada setiap 1 Februari.

    Menerusi diskaun itu, kompaun trafik yang dibayar sepanjang tempoh 32 hari tersebut, ia ditawarkan pada kadar RM15 setiap notis membabitkan kenderaan jenis motosikal, kereta serta kenderaan berat seperti lori dan bas.

    Malah menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL, pemberian tawaran kadar khas ini kepada warga kota bertujuan membolehkan pesalah lalu lintas membuat penyelesaian terhadap notis kompaun yang masih belum dijelaskan bagi mengelak tindakan senarai hitam diambil terhadap mereka.

    DBKL turut berkata, tawaran ini bagaimanapun hanya tertakluk kepada kesalahan lalu lintas, tidak termasuk kes yang sudah dibawa ke mahkamah dengan status (U & M) serta kes senarai hitam berstatus (M).

    Buat masa ini, DBKL sudah membawa sebanyak 107,547 kes ke mahkamah membabitkan notis kompaun yang masih tidak dijelaskan pesalah lalu lintas. Di mana sehingga 31 Disember 2019, sebanyak 4,914 kes sudah disenaraihitamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Orang ramai boleh menikmati kadar khas ini dengan membuat pembayaran atau menyemak menerusi semua kaunter bayaran DBKL serta kaunter Pos Malaysia di seluruh negara. Semakan dan bayaran juga boleh dibuat secara atas talian melalui aplikasi Mobis yang boleh dimuat turun menerusi App Store/Play Store atau melalui portal MyEG di www.myeg.com.my

     
     
  • PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

    PANDU UJI: Perodua Bezza 2020 – 1.0G dan 1.3AV

    Ketika memandu Perodua Bezza 2020 untuk membina pandangan peribadi tentang sedan asas berkenaan, saya tertanya-tanya; jika orang perlu memberi pandangan yang jujur berkaitan model ini, apa yang akan mereka katakan? Untuk itu saya juga membayangkan, atau cuba meletakkan diri sendiri di dalam beberapa kolompok yang dirasakan menjadi sasaran kepenggunaan bagi sedan ini.

    Sepanjang meluangkan masa memandu Bezza 2020 ini – pertama sekali varian 1.0G automatik dan selepas itu 1.3AV secara terus-menerus – saya fikir sangat jelas terlihat kelebihan dan kekurangan kereta ini. Jangan salah faham, ia sama juga seperti kereta atau model kenderaan yang lain; semuanya ada sisi yang lebih dan kurang, dan yang berhasil untuk disambut massa ialah model-model yang dapat memberi keseimbangan paling ideal di antara keduanya. Tak ada satu kenderaan pun yang sempurna secara absolute.

    Sebelum kita pergi lebih lanjut, saya ingin tetapkan latar kepada hal yang ingin dibincangkan terlebih dahulu. Penawaran varian bagi Perodua Bezza 2020 ini sangat ringkas dan mudah untuk kita faham. Semua sekali ada empat varian; dua varian paling bawah datang dengan enjin 1.0 liter, manakala dua varian yang paling atas pula dengan enjin 1.3L. Dua unit yang anda lihat di dalam ulasan ini mewakili varian yang paling tinggi bagi kedua-dua pilihan enjin berkenaan.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Kadar tol di Lebuhraya PLUS turun 18% mulai 1 Feb – caj tidak berubah hingga tamat konsesi pada 2058

    Sejajar dengan pengumuman Kementerian Kewangan Malaysia pada 23 Januari lalu berhubung pelaksanaan penurunan kadar tol sebanyak 18%, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal melaksanakan kadar tol baharu tersebut mula esok, 1 Februari 2020.

    Penurunan bayaran tol tersebut akan berkuatkuasa mulai jam 12.00 tengah malam pada tarikh berkenaan di semua lebuh raya kendalian PLUS, iaitu Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

    Ia juga akan dilaksanakan bagi semua Kenderaan Penumpang (Kelas 1), Teksi (Kelas 4) dan Bas (Kelas 5) dan kekal sehingga tamat konsesi. Manakala, bayaran tol bagi lori (Kelas 2 & 3) akan kekal pada kadar sedia ada dan tidak akan dinaikkan sehingga tamat Konsesi PLUS pada tahun 2058.

    Kadar tol di Lebuhraya PLUS turun 18% mulai 1 Feb – caj tidak berubah hingga tamat konsesi pada 2058

    Selain itu, pelanggan yang menggunakan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) akan turut menikmati penurunan tol tersebut sebagai tambahan kepada diskaun waktu luar puncak yang sedia ada bagi semua Kenderaan Penumpang (Kelas 1) serta Teksi (Kelas 4) dan Bas (Kelas 5).

    Penurunan tol ini juga akan dilaksanakan untuk Kenderaan Penumpang serta Teksi (Kelas 2) dan Bas (Kelas 3, 4 dan 5) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang. Bagi kenderaan Kelas 2 dan mereka yang bekerja di Pulau Pinang yang berdaftar dengan PLUS pula akan menikmati penurunan 18 peratus tersebut sebagai tambahan kepada diskaun 20 peratus yang sedia ada.

    Kadar tol di Lebuhraya PLUS turun 18% mulai 1 Feb – caj tidak berubah hingga tamat konsesi pada 2058

    Dengan pelaksanaan Penurunan Tol ini, pengguna PLUS yang dianggarkan sebanyak 1.7 juta setiap hari berpeluang untuk menikmati penjimatan.

    Dengan pengurangan sebanyak 18%, kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan sebagai contoh akan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, dan apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu itu lebih rendah daripada kadar tol pada 1999 iaitu 11.24 sen/km.

    Kadar tol di Lebuhraya PLUS turun 18% mulai 1 Feb – caj tidak berubah hingga tamat konsesi pada 2058

    Begitu juga dengan kadar tol baharu Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan pada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47 sebelum ini.

    Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengeluarkan kenyataan menyebut tempoh konsesi untuk semua lebuh raya PLUS dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058 bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan.

     
     
  • Volvo S60 T8 ‘buatan Shah Alam’ masuk pasaran Thailand dahulu sebelum Malaysia – bermula RM288k

    Volvo S60 T8 ‘buatan Shah Alam’ masuk pasaran Thailand dahulu sebelum Malaysia – bermula RM288k

    Kita di Malaysia masih lagi menjual sedan S60 T8 Twin Engine CBU yang diimport sepenuhnya dari Amerika Syarikat, dilancarkan pada Oktober tahun lalu. Namun di Thailand, sedan generasi baharu tersebut baru sahaja dilancarkan, dan menerima stok S60 yang diproduksi oleh hab serantau Volvo Asia Tenggara, Swedish Motor Assemblies yang terletak di Shah Alam.

    Berbanding pasaran tempatan yang hanya ditawarkan hanya dalam varian tunggal R-Design, pasaran Thailand nampaknya hadir dengan versi yang nampak lebih lembut iaitu Momentum. Walau bagaimanapun, S60 di Thailand masih hadir hanya dengan satu pilihan janakuasa, iaitu versi paling berkuasa T8 Twin Engine AWD.

    Untuk versi T8 Momentum, ia dijual pada harga 2.19 juta baht (RM287,568), manakala model T8 R-Design yang lebih garang dijual pada harga 2.59 juta baht (RM340,175). Sebagai perbandingan, Volvo S60 T8 R-Design CBU dijual di Malaysia pada harga RM295,888.

    Volvo S60 T8 ‘buatan Shah Alam’ masuk pasaran Thailand dahulu sebelum Malaysia – bermula RM288k

    Sama seperti model-model T8 Twin-Engine lain, roda hadapan S60 ini digerakkan oleh enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

    Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

    Motor elektrik S60 T8 ini mendapat suapan bateri lithium-ion 11.6 kWj yang diletakkan di bawah terowong transmisi, iaitu diposisikan menegak pada bahagian tengah lantai kereta ini, memberikan jarak gerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan lebih dari 49 km.

    Volvo S60 T8 ‘buatan Shah Alam’ masuk pasaran Thailand dahulu sebelum Malaysia – bermula RM288k

    Sebagai model plug-in hybrid (PHEV), bateri berkenaan turut boleh dicas menggunakan stesen pengecas dengan sistem sambungan Type 2, membolehkan ia dicas penuh dalam masa tiga jam dengan kuasa 3.7 kW atau lebih. Istimewa untuk versi R-Design, ia turut dibekalkan dengan Dynamic Chassis bersama suspensi passive damping bagi memberikan pengendalian lebih sporty.

    Seperti biasa juga, Volvo S60 generasi baharu turut ini tampil dengan sistem keselamatan antara yang paling canggih dalam kelasnya. Ia terdiri dari enam-beg udara (depan, belakang dan tirai), brek kecemasan automatik City Safety, Pilot Assist, Bantuan Kekal Lorong, Amaran dan Sokongan Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Belakang, Driver Alert Control (DAC), Pengelak Keluar Jalan, Lintasan Trafik Belakang dan pelbagai lagi.

    Untuk model R-Design, ia diberikan kit luaran paling agresif, terdiri dari liang kemasukan pada bampar yang lebih besar dan gril dengan elemen pin – kedua-duanya dalam kemasan hitam, manakala jalur perak turut diberikan pada sekeliling gril.

    Volvo S60 T8 ‘buatan Shah Alam’ masuk pasaran Thailand dahulu sebelum Malaysia – bermula RM288k

    Diffuser lebih garang turut dapat dilihat di belakang, yang turut menempatkan perumah tip ekzos kemasan krom yang berbentuk trapezoid. Gaya versi R-Design ini dilengkapkan dengan rim lima jejari kembar tiga kemasan diamond cut/matte black, dibaluti tayar 235/40R19.

    Model ini juga diberikan kabin dengan upholsteri gabungan fabrik dan kulit Nappa secara ekslusif, dan juga panel-panel kemasan logam mesh.

    Manakala untuk versi Momentum pula, datang dengan kit penggayaan luaran yang nampak lebih sopan, dengan set rim 18-inci jejari-Y. Kabin pula boleh dipilih dalam dua tema warna berbeza sama ada Charcoal atau Maroon Brown, yang digandingkan dengan kemasan Iron Ore.

    Kedua-dua varian ditawarkan dengan pilihan warna badan Crystal White, Pebble Grey dan Onyx Black, namun hanya versi R-Design hadir dengan pilihan warna Fusion Red.

    GALERI: Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design pasaran Malaysia

     
     
  • Proton hasilkan X70 binaan khas untuk YAM Tengku Sulaiman Shah, adinda kepada Sultan Selangor

    Proton hasilkan X70 binaan khas untuk YAM Tengku Sulaiman Shah, adinda kepada Sultan Selangor

    Pada tahun 2016, selepas Proton memperkenalkan model generasi baharu Perdana, YAM Tengku Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah AlHaj, adinda kepada Sultan Selangor, telah meminta Proton menghasilkan Perdana versi tempahan khas untuknya yang hadir dengan pelbagai ciri lebih mewah. Kini dengan pengenalan SUV segmen-C X70, Proton sekali lagi menerima permintaan yang serupa dari beliau.

    Diasaskan dari varian tertinggi Premium 2WD, bahagian luaran X70 Tengku Sulaiman ini nampak lebih menyerlah dan tidak sama dengan unit-unit biasa lain dengan diberikan warna biru istimewa yang lebih cerah berbanding biru pada Perdananya sebelum ini.

    Kemudian, kemasan berwarna kelabu berkilat pada bampar hadapan dan juga bahagian bawah kesemua pintu kini telah disalut dengan krom. Set rim 19-inci asal juga telah ditukar dengan set baharu juga bersaiz 19-inci, tetapi dengan corak jejari berlainan serta dilengkapi penutup tengah dengan logo ‘kepala harimau’ Proton bersama latar belakang biru.

    Pada bahagian dalaman pula, roda stereng serta panel-panel plastik yang sebelum ini berwarna aloi telah diberikan kemasan seakan kayu untuk kelihatan lebih mewah. Juga sama seperti Perdananya sebelum ini, kedua-dua penumpang belakang diberikan meja kecil yang boleh dilipat juga dengan kemasan seakan kayu dilekatkan di belakang kerusi hadapan, dan juga skrin infotainmen individu di atasnya.

    Kulit Nappa X70 yang sebelum ini berwarna tan telah digantikan dengan kulit berwarna kelabu bersama selingan warna biru.

    Proton X70 Premium 2WD hadir dengan ciri standard seperti bumbung panoramik, sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS) dengan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), cruise control adaptif (ACC),Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan lain-lain, sistem infotainmen GKUI (dengan platform Android) yang berfungsi dengan arahan suara “Hi Proton” dan sebagainya.

    Ia dijana oleh enjin 1.8 liter turbo TGDi empat-silinder petrol berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm bermula 1,700 hingga 4,400 rpm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan bersama mod manual, hanya memacu roda hadapan.

     
     
  • Harga minyak 1-7 Feb 2020: RON97 turun 8 sen

    Harga minyak 1-7 Feb 2020: RON97 turun 8 sen

    Minggu pertama bagi bulan kedua 2020, bertarikh 1 hingga 7 Februari, sekali lagi menyaksikan penurunan harga runcit bagi petrol RON 97 sebanyak 8 sen seliter, daripada RM2.49 seliter kepada RM2.41 seliter. Harga baharu ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga 7 Februari 2020.

    Manakala harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak masing-masing RM2.11 seliter dan RM2.18 seliter. Ini menunjukkan penurunan berbanding minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.19 seliter, manakala diesel yang berada pada paras RM2.26 seliter.

    Harga minyak 1-7 Feb 2020: RON97 turun 8 sen

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 1 hingga 7 Februari 2020 adalah berjumlah RM10.43 juta.

    Sehingga kini, tiada sebarang khabar berita terkini mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sepatutnya dilaksanakan mulai Januari 2020. Kerajaan masih belum mengumumkan sebarang makluman terbaharu mengenainya. Justeru, PSP masih tertunda sehingga tarikh yang bakal diumumkan kelak.

     
     
  • Kenapa bateri kereta pada kereta zaman sekarang lebih cepat ‘kong’ dari dahulu? Kami rungkai teorinya

    Kenapa bateri kereta pada kereta zaman sekarang lebih cepat ‘kong’ dari dahulu? Kami rungkai teorinya

    Perasan tak, untuk kereta-kereta baharu, jangka hayat untuk bateri tidak setahan seperti kereta era 90’an dahulu? Biasanya, bila habis sahaja waranti iaitu setahun, tidak lama selepas itu bateri berkenaan terus ‘kong’ dan tidak boleh lagi untuk dipakai.

    Sebenarnya, perkara ini terjadi kerana parasitic load atau beban parasit yang berada dalam sistem elektronik kenderaan. Beban parasit ini adalah sejumlah kuasa yang masih berjalan dalam sistem elektronik selepas suis enjin dan semua kelengkapan elektrik dan elektronik kenderaan dimatikan.

    Tujuan kuasa tersebut ‘berlegar’ dalam sistem elektronik kerana ada berberapa komponen elektrik/elektronik yang memerlukan kuasa siap sedia, dan ada juga yang memerlukannya untuk memastikan memori dalam sistem tidak hilang. Jadi apa kaitannya beban parasit ini dengan fenomena bateri kereta baharu yang cepat ‘kong’ ini? Kereta zaman dulu tiada beban parasit ke?

    Era 70’an dahulu, beban parasit hanya terdapat pada jam analog/digital di dalam kereta. Kemudian pada era 80’an dan 90′ unit pemain audio mula berubah dari pemain kaset dengan pencari siaran analog, kepada pemain CD dengan pencari siaran digital – ini memerlukan satu lagi beban parasit di dalam sistem.

    Kemudian pada era 90’an juga, kebanyakkan kereta mula dilengkapi dengan sistem penggera dan kunci kawalan jauh yang sememangnya sentiasa bersedia walaupun kereta sudah dimatikan. Era ini turut menyaksikan sistem karburator secara berperingkat digantikan dengan sistem suntikan bahan api, di mana kotak komputer untuk sistem berkenaan turut mempunyai sejumlah beban parasit.

    Semakin lama, sistem elektronik dalam kenderaan menjadi semakin kompleks. Untuk kenderaan-kenderaan terkini, kebanyakkannya sudah mula menggunakan sistem multiplex – di mana jaringan antara semua kotak komputer di dalam kenderaan dihubungkan seakan sistem Local Area Network (LAN).

    Menerusi sistem ini, kebanyakkan kereta sekarang bukan sahaja diberikan kotak komputer untuk mengawal enjin dan kotak gear, bahkan segala sistem elektronik dan elektrik mempunyai modul kawalannya tersendiri. Untuk kereta-kereta premium misalnya, ada yang mempunyai kotak komputer untuk setiap sebelah lampu hadapan!

    Jadi anda boleh bayang berapa ganda parasitic load yang berada dalam sistem elektronik untuk kereta-kereta moden ini. Beban kerja bateri ini bertambah ketika ia tidak disokong dengan kuasa dari alternator yang hanya akan berkerja ketika enjin dihidupkan. Dan apabila ia berlaku berulang kali, dah tentu sel-sel yang menyimpan cas bateri tersebut akan lebih cepat rosak.

    Oleh itu, jika anda masih menggunakan bateri gred biasa, ia biasanya hanya akan tahan sekitar setahun, berbanding 3-4 tahun ketika zaman Proton Iswara dahulu. Dan kalau anda berkemampuan, cuba dapatkan bateri dengan prestasi lebih tinggi yang menawarkan waranti selama dua-tahun. Memang mahal sikit, tapi agak berbaloi sebenarnya dan anda tak perlu setiap tahun untuk tukar bateri.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024