Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Data jualan kenderaan Disember 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan Disember 2019 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi bulan Disember 2019 sudah pun dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dengan mencatat keseluruhan 54,842 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Jumlah ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 4.29% atau 2,258 unit berbanding bulan November 2019.

    Melihat kepada pecahan ikut jenama pula, semua 10 yang berada di tangga teratas mencatatkan jumlah jualan yang meningkat, kecuali Perodua yang turun sebanyak 10.2% dengan jualan 18,357 buah kenderaan. Walaubagaimanapun, Perodua masih berada di tempat pertama, diikuti oleh Proton yang mencatat jualan 11,117 buah kenderaan dan naik sebanyak 15.3% berbanding bulan sebelumnya.

    Dalam bulan ini juga kita boleh menyaksikan Mercedes-Benz berada di tempat ketujuh dengan jualan yang meningkat sebanyak 35.5% menjadi 1,186 buah kenderaan. Seterunya, iaitu BMW pula mencatat jumlah jualan yang menurun sebanyak 39.6%, berjumlah 465 unit (di tempat ke-13).

    Data jualan kenderaan Disember 2019 ikut jenama

    Jenama yang meningkat paling banyak berbanding bulan sebelumnya adalah Isuzu iaitu 49.5%, dengan catatan keseluruhan bagi bulan Disember 2019 sebanyak 1,193 unit. Jenama lain yang mencatat peningkatan jualan adalah Kia 26.6% (233), Hyundai 25.7% (171), Mitsubishi 24.4% (775), Nissan 22.8% (2,124), Toyota +15.7% (8,046) dan Honda 8.1% (7,235).

    Jenama yang mencatat penurunan paling banyak pula adalah Subaru, iaitu 47.7%, di mana pada bulan November mereka menjual 264 buah kenderaan, tetapi bulan Disember cuma 138 buah. Renault pula mencatat penurunan 17% dengan jualan 78 buah kenderaan, berbanding bulan sebelumnya 94 buah.

     
     
  • Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    Lepas Proton dan Perodua, hari ini Volvo Cars Malaysia (VCM) pula menjemput kami ke majlis makan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina sambil mendedahkan prestasi syarikat untuk tahun lalu serta rancangan untuk tahun 2020. Dalam majlis tersebut, jenama premium dari Sweden tersebut mengumumkan bahawa mereka kini memberi waranti selama lapan tahun untuk bateri sistem hibrid plug-in (PHEV) model-model baharu mereka, serta mengesahkan bahawa S90 facelift dan S60 T8 versi CKD akan dilancarkan di Malaysia tahun ini.

    Untuk bateri tersebut, tawaran berkenaan sah untuk pelanggan yang membeli model-model PHEV Volvo bermula 1 Januari 2020. Menurut VCM, tawaran ini diberikan kepada pelanggan bagi memberikan mereka lebih ketenangan selepas membeli model-model yang lebih mesra alam tersebut.

    Dengan tawaran waranti ini, menyaksikan waranti dari Volvo untuk bateri hibrid ini adalah antara yang paling lama di Malaysia, sama dengan apa yang ditawarkan oleh Honda. Manakala pengeluar premium Eropah lain seperti BMW dan Mercedes-Benz hanya menawarkan waranti selama enam-tahun/100,000 km untuk komponen yang sama.

    Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    VCM juga mengesahkan bahawa sedan S60 T8 Twin Engine R-Design yang buat masa ini dijual dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) bakal dijual dalam versi pemasangan tempatan, dengan spesifikasi serta harga yang sama. Ketika dilancarkan pada Oktober tahun lalu, model berkenaan dijual pada harga RM295,888.

    Seperti namanya, janakuasa T8 pada S60 tersebut menggandingkan enjin Drive-E 2.0 liter empat-silinder yang disuap dengan pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor penghidup/generator yang bersepadu dengan aci engkol dan juga kotak gear Aisin AW TG-81SD lapan-kelajuan automatik.

    Gandar belakang juga mempunyai pemacunya tersendiri terdiri dari motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan S60 T8 Twin Engine ini adalah 407 hp/640 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j. Ia juga mencatatkan penggunaan bahan api serendah 2 liter untuk perjalanan 100 km.

    Volvo Cars Malaysia beri waranti 8 tahun untuk bateri hibrid, S90 facelift & S60 T8 CKD sah dilancar tahun ini

    Pakej R-Design pada S60 ini datang dengan ciri-ciri seperti pakej penggayaan luaran R-Design yang lebih garang, rim aloi 19-inci, tempat duduk balutan kulit Nappa R-Design, skrin sesentuh sembilan inci format potret dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan head-up, bumbung panaromik, sistem bantuan pemanduan penuh serta fungsi pemanduan separa autonomous Pilot Assist.

    Manakala untuk S90 facelift, model ini sebenarnya masih lagi belum didedahkan lagi pada peringkat global. Walau bagaimanapun, menerusi berberapa imej spyshot yang telah tersebar, versi kemaskini berkenaan akan menampilkan berberapa perubahan pada bampar serta lampu hadapan dan belakang, dan juga hadir dengan sistem infotainmen berasaskan sistem Android seperti pada model elektrik XC40 Recharge.

    Seperti juga versi SUV siri-90 iaitu XC90 facelift yang telah diperkenalkan, sedan ini dijangka turut akan ditawarkan dengan model hibrid ringkas menggunakan lencana ‘B’ serta janakuasa untuk versi T8 Twin Engine yang disentuh semula bagi menghasilkan kuasa sehingga 420 PS (XC90 facelift pasaran Malaysia walau bagaimanapun kekal dengan 407 PS). Juga dengan bateri lebih besar, jarak gerak untuk sistem elektrik sepenuhnya S90 ini akan mencapai 50 km.

    GALERI: Volvo S60 T8 Twin Engine R-Design CBU

     
     
  • Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Dalam sesi pembentangan prestasi jualan 2019 semalam, Perodua turut berkongsi rancangan dan pelan tindakan untuk tempoh masa akan datang. Dengan sokongan padu daripada rakan sekutunya, Daihatsu, Perodua mensasarkan misi untuk menjadi hab R&D di rantau ASEAN, termasuklah membangunkan produk bagi pengeluar kereta Jepun itu sendiri.

    Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sasaran untuk Perodua merekabentuk kenderaan bukan hanya untuk Malaysia, tetapi juga untuk Indonesia dan Thailand. Justeru, syarikat ini sedang bekerja keras untuk mencapai impian bagi menjadi hab R&D di rantau ini dan berdikari sepenuhnya pada masa itu.

    Katanya, walau pun Daihatsu memiliki operasi yang sangat besar di Indonesia, “namun buat masa ini, unit R&D Perodua yang merangkumi fasiliti, kelengkapan ujian dan pelaburan, adalah lebih besar berbanding Indonesia.”

    Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Buat masa ini, keupayaan R&D Perodua termasuklah rekaan bahagian atas badan kenderaan, rekaan kejuruteraan, pembangunan komponen tempatan serta keupayaan melaksanakan projek facelift utama. Namun demikian, langkah terbesar yang bakal dilakukan melibatkan model akan datang, di mana ia dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut berdasarkan produk Toyota.

    Model tersebut adalah SUV D55L, yang dijangka bakal dilancarkan pada hujung tahun ini. Selain SUV terbabit, terdapat lagi empat model yang belum dikenalpasti yang dibangunkan dengan platform DNGA, kalau mengikut info grafik yang dikongsikan dalam pembentangan semalam. Tetapi Zainal pantas menyangkal, katanya bukan semua model terbabit adalah untuk Perodua sendiri.

    “Empat model baharu tersebut tidak semestinya menjadi model Perodua. Bila kami telah mencapai tahap R&D untuk menjadi hab ASEAN, kami akan merekabentuk apa jua model walau pun untuk Daihatsu,” katanya sambil menambah tidak kira apa pun model, sama ada untuk Perodua atau pun Daihatsu, pihaknya berkeupayaan untuk membangunkannya.

    Menariknya, tiga model misteri tersebut adalah hatchback, dan satu lagi dengan kerangka sedan. Walaupun tiada sebarang pengesahan, namun ia menunjukkan Perodua bakal menerajui pembangunan bagi model sedan yang berplatformkan DNGA, bermakna ia untuk pasaran ASEAN.

    Perodua sasar misi jadi hab R&D untuk ASEAN, bangunkan model Daihatsu untuk Indonesia, Thai

    Model konsep Daihatsu DN F-Sedan yang dipertontonkan dua tahun lepas mampu memberikan idea untuk pembangunan model sedan ini. Daihatsu memang tidak pernah mempunyai model sedan, jadi ini merupakan perkara yang boleh dianggap baharu bagi pengeluar kereta Jepun ini. Tetapi dengan adanya pengalaman dari Perodua menerusi pengeluaran Bezza, pastinya pelaksanaan untuk penghasilan produk yang diingini mampu direalisasikan.

    Mengenai reka bentuk produk bagi menampung pasaran yang berbeza di rantau ini, Zainal berkata, hab tersebut dapat memenuhi keperluan yang berbeza.

    “Sebagai contoh, jika mereka meminta kami untuk membangunkan model bagi jenama Daihatsu untuk pasaran Indonesia. Unit R&D kami mampu melaksanakannya, tetapi ini tidak bermakna kami (Perodua) akan turut membuat model tersebut untuk pasaran Malaysia,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, Daihatsu banyak memberikan peluang kepada Perodua untuk mereka bentuk bagi pasaran yang berbeza, dan sejak tahun lalu, Perodua turut menerima beberapa tugasan untuk membangunkan kenderaan bagi negara lain.

    Ini termasuklah Avanza yang dibaluti penyamaran yang dikesan pada Oktober lalu yang mungkin memberikan petunjuk bahawa ia merupakan unit ujian untuk model generasi akan datang bagi Daihatsu Xenia/Avanza untuk pasaran Indonesia.

    Syarikat ini turut mendedahkan sejumlah RM1.4 bilion bagi pelaburan untuk R&D, di mana ia merangkumi 18% bagi keseluruhan kos pelaburan. Ia adalah untuk membangunkan pelbagai fasiliti termasuk makmal enjin, litar ujian, ruang termal, makmal VPT, pusat ujian emisi dan pusat kajian/studio rekaan.

    Tambah Zainal lagi, pihaknya juga sedang menaiktaraf trek ujian sepanjang 5 km, dengan gambaran jalan di Malaysia, bagi menjalani ujian keupayaan kenderaan. Kerja-kerja menaiktaraf terbabit dijangka bakal siap sepenuhnya sebelum 2020 berakhir.

    GALERI: Model konsep Daihatsu DN F-Sedan di GIIAS 2017

     
     
  • Harga kenderaan CBU akan naik bermula 1 Jun 2020

    Harga kenderaan CBU akan naik bermula 1 Jun 2020

    Semasa majlis pembentangan prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi tahun 2019 pagi ini, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad telah memberitahu penstrukturan semula duti eksais yang diwartakan pada 31 Disember 2019 tidak akan memberi kesan kepada harga kenderaan CKD tahun ini.

    Ini kerana kesan daripada kaedah pengiraan baru Open Market Value (OMV) ini akan diserapkan atau dikecualikan sepenuhnya oleh kerajaan buat tahun ini dan pada tahun hadapan, barulah ia akan mula naik secara berperingkat. Itu adalah bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD), tapi bagaimana pula dengan kenderaan import sepenuhnya (CBU)?

    Aishah turut memberitahu kenderaan CBU akan mengalami peningkatan harga tahun ini kerana bermula 1 Jun 2020, pengiraan nilai kenderaan juga akan berubah (tapi masih berbeza berbanding OMV). Dalam keadaan sebelum ini, prinsipal cuma perlu mengisytiharkan harga kenderaan sekali saja, iaitu waktu ia tiba dan nilai tersebut akan digunakan sehinggalah terdapat perubahan pada kod atau deskripsi model.

    Harga kenderaan CBU akan naik bermula 1 Jun 2020

    Jika terdapat sebarang kenaikan atau penurunan pada harga atau kadar tukaran wang asing, nilai yang sama masih lagi boleh digunakan untuk menentukan harga sesebuah model (selagi tiada perubahan pada kod atau deskripsi model). Biasanya, prinsipal akan mengumumkan perubahan harga jualan pasaran dalam selang masa enam bulan atau satu tahun.

    Tapi bermula 1 Jun 2020, nilai kenderaan akan ditentukan berdasarkan nilai transaksi semasa, iaitu mengikut harga dan kadar tukaran wang asing semasa. Duti yang dikenakan oleh kastam bergantung kepada nilai ini dan Aishah memberitahu harga kenderaan CBU boleh berubah setiap minggu. Tapi ada kemungkinan juga ia boleh turun sekiranya nilai ringgit bertambah kuat.

    Pengiraan nilai kenderaan CBU adalah bergantung kepada Kos, Insurans dan Penghantaran (CIF), di mana duti import dan eksais dikenakan. Duti eksais adalah antara 60% hingga 105% (tidak kira CKD atau CBU), dikira berdasarkan model kereta dan kapasiti enjin, manakala duti import boleh mencecah hingga 30% bergantung kepada dari negara mana kenderaan itu datang.

    Walaupun kenderaan dari negara ASEAN tidak dikenakan dengan duti import, duti eksais masih lagi dikenakan pada harga CIF, dan kenderaan yang datang dari Thailand juga akan menerima kesan, melihat kepada nilai Thai Baht yang kukuh sekarang.

     
     
  • Dasar Automotif Negara (NAP 2020) kini lengkap sepenuhnya, bakal diumumkan suku pertama tahun ini

    Dasar Automotif Negara (NAP 2020) kini lengkap sepenuhnya, bakal diumumkan suku pertama tahun ini

    Seperkara lagi yang menarik turut disentuh oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad dalam sidang media bagi tadi ialah berkaitan Dasar Automotif Kebangsaan (atau NAP 2020) yang telah tertangguh beberapa kali sebelum ini.

    Menurut beliau, NAP 2020 kini sudah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk diumumkan. “Ketika ini, saya difahamkan kementerian sedang menetapkan tarikh yang sesuai kerana ia akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir. Jangkaannya ia akan diumumkan dalam suku pertama tahun ini,” jelas Aishah.

    Kali terakhir NAP diberikan penilaian semula ialah pada tahun 2014, ketika itu dengan penekanan terhadap kenderaan EEV. Antara yang dijangka diberi tumpuan bagi NAP terbaru ini nanti ialah kekal terhadap EEV, tetapi kali ini diharap ia lebih merangkum dengan melibatkan dasar-dasar yang jelas berkaitan kenderaan dan teknologi elektrifikasi. Tidak lupa juga hal berkaitan kereta nasional terbaru yang kerap diperkatakan.

    Menurut Aishah, versi lengkap NAP 2020 ini tidak jauh berbeza daripada draf akhir seperti yang pernah diberi perhatian dan diperkatakan oleh kerajaan dan MITI sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Apapun, sehingga ia diumumkan secara rasmi nanti, barulah kita dapat meneliti perincian demi perincian yang terkandung di dalamnya.

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Dis 2019 – naik 4.29%

    Data jualan kenderaan di M’sia Dis 2019 – naik 4.29%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan data jualan kenderaan bagi Disember 2019, yang menyaksikan sebanyak 54,842 unit telah dihantar kepada pelanggan sepanjang bulan terbabit. Malah ia menunjukkan peningkatan sebanyak 2,258 unit – atau 4.29% – berbanding 52,584 unit yang direkodkan pada November 2019.

    Faktor jualan yang memberangsangkan pada bulan lalu terdorong dengan pelbagai kempen jualan yang menawarkan promosi menarik sempena perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2020.

    Malahan jumlah keseluruhan jualan kenderaan bagi Disember 2019 turut melebihi sebanyak 14% berbanding bulan yang sama untuk tahun 2018 yang hanya mencatatkan angka 48,188 unit.

    Angka ini juga memberikan kesan terhadap Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tahun hingga ke tarikh tersebut, di mana sebanyak 604,287 unit kenderaan telah dihantar sepanjang 2019, meningkat sebanyak 5,659 unit atau 0.95%, berbanding 598,598 unit bagi tahun 2018.

    Walau bagaimana pun, untuk Januari 2020, MAA menjangkakan bakal berlaku sedikit penyusutan dalam jualan berbanding Disember 2019, disebabkan faktor waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

     
     
  • Harga kereta CKD tidak dinaikkan hingga 31 Dis 2020

    Harga kereta CKD tidak dinaikkan hingga 31 Dis 2020

    Dalam sesi taklimat pembentangan prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi tahun 2019 yang berlangsung pagi ini, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad memaklumkan, seperti yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa tiada sebarang kenaikan harga bagi kereta pemasangan CKD akan dilakukan sehingga 31 Dis 2020.

    Ini berikutan laporan kami yang menyentuh berkaitan penstrukturan semula duti eksais di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah diwartakan atau digazetkan pada 31 Disember 2019.

    Ini bermakna, perkara yang telah digazetkan itu tetap dilaksanakan (kaedah pengiraan baru OMV), tetapi bagi tempoh setahun ini, apa juga kenaikan bagi harga atas jalan bagi model-model yang terkesan dengan kaedah pengiraan baru OMV ini akan diserapkan atau dikecualikan sepenuhnya oleh kerajaan. OMV berdasarkan pengiraan baru ini bertujuan untuk meletakkan satu metologi pengiraan yang lebih telus dengan struktur yang piawai untuk semua pengeluar.

    Maksudnya, untuk tempoh sehingga 31 Disember 2020, harga kereta CKD akan kekal sama seperti sekarang. Jika ada yang tertanya-tanya mengapa kaedah pengiraan baru OMV ini diperkenalkan ketika ini, Kementerian Kewangan menyatakan itu bertujuan untuk diselaraskan dengan kerangka sama seperti yang digariskan oleh World Trade Organization (WTO).

    Harga kereta CKD tidak dinaikkan hingga 31 Dis 2020

    “Justeru, syarikat pengeluar kenderaan telah diminta untuk menyerahkan OMV berdasarkan pengiraan baru berkenaan kepada pihak Kastam secepat mungkin bagi semua model yang terlibat dengan metologi baharu ini. Bagi kenaikan harga bermula tahun 2021 dan selepasnya (dijangka impak sepenuhnya akan berada di antara 0-20%), kami dimaklumkan ia akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh rentang waktu lima tahun.” ujar Aishah lagi.

    Sekadar makluman semula, OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Terdapat beberapa komponen yang menentukan OMV, dan ini termasuk kos bagi pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan dan pentadbiran.

    Gazet berkenaan menambah komponen-komponen baharu ke dalam pengiraan OMV. Di bawah peraturan baru ini, nilai yang dimasukkan untuk mengenalpasti duti-duti terlibat akan mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang terlibat di dalam pengilangan sesebuah kenderaan, tetapi juga jualannya.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

    Mercedes-Benz E-Class W213 ditunjukkan kali pertama waktu North American International Auto Show (NAIAS) 2016, dan sekarang memasuki tahun 2020, sedan eksekutif ini bakal menerima facelift yang pertama. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, pengeluar dari Jerman ini mendedahkan perincian awal untuk seteru BMW 5 Series ini.

    Meskipun kereta yang ditunjukkan dalam gambar rasmi ini masih mempunyai pelekat samaran, kami masih boleh melihat perubahan gaya yang diberi. E-Class ini akan ditawarkan dengan beberapa pilihan pakej luaran seperti sebelum ini, termasuk Luxury Line, Avantgarde Line, Exclusive Line dan AMG Line.

    Pada bahagian hadapan, terdapat gril yang lebih lebar dan rata, dengan rekaan bahagian dalam yang berbeza bergantung kepada pakej yang dipilih – AMG Line menggunakan gril diamond pin, Avantgarde mendapat gril dua jalur manakala Exclusive dan Luxury menggunakan gril tiga jalur dengan bahagian tengah berwarna krom (dua lagi jalur berwarna hitam).

    Rekaan gril baru ini adalah perlu, bagi memadankannya dengan bentuk lampu baru, yang sekarang lebih tajam dan mempunyai lampu siang berbentuk L pada bahagian atasnya – rekaan hampir seperti CLS baru. Lampu utama jenis LED sekarang datang secara standard pada E-Class, dengan Multibeam disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Satu lagi perubahan bahagian luar adalah bonetnya, yang dibentuk semula untuk mengikut bentuk lampu baru, dan menampilkan dua jalur bonjol pada model Avantgarde dan AMG Line. Model Luxury Line dan Exclusive Line tidak mendapat bonjolan ini, tetapi model Exclusive Line mendapat logo hiasan di atas bonet.

    Selain daripada itu, model dengan pakej Avantgarde, Exclusive dan Luxury juga menyaksikan bahagian bawah bampar yang lebih nipis, sementara pakej AMG Line terus mendapat rekaan yang lebih agresif, dengan “A-wing” membahagikan bahagian bukaan udara tengah di bawah dengan bukaan di tepi.

    Pada bahagian belakang, E-Class facelift datang dengan penutup but baru untuk memadankannya dengan lampu baru yang sekarang lebih nipis dan mendatar. Rekaan bahagian bawah bampar adalah berbeza bergantung kepada pakej luaran yang dipilih, dan boleh datang dengan rekaan yang mempunyai seperti diffuser dan kemasan pada muncung ekzos.

    Masuk ke dalam, perubahan paling ketara adalah pemasangan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang datang standard dengan skrin 10.25 inci dan boleh dinaik taraf kepada unit 12.3 inci. Sama seperti model lain yang mempunyai MBUX, ia datang dengan pelbagai fungsi seperti bantuan digital, input skrin sesentuh dengan tambahan butang kawalan di konsol tengah, akses kepada servis atas talian, serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

    Selain daripada sistem MBUX, terdapat juga rekaan roda stereng baru, dengan versi AMG mendapat rekaan paling sporty yang mempunyai empat cabang dan bahagian bawah yang rata – model lain mendapat rekaan biasa. Mercedes-Benz juga telah memperbaiki ciri NVH model ini, dan menawarkan pelbagai pilihan kemasan bahagian dalam. Pada bahagian mekanikal, E-Class facelift akan ditawarkan dengan tujuh piihan enjin plug-in hybrid, serta pilihan enjin petrol dan diesel – pacuan empat roda disediakan sebagai pilihan untuk enjin tertentu.

    Untuk sistem keselamatan, Active Distance Assist Distronic boleh mendapatkan informasi keadaan trafik semasa, dan melaraskan kelajuan kenderaan supaya berpatutan, manakala Active Traffic Jam Assist membantu pemandu mengekalkan kenderaan dalam lorong dan jarak selamat sehingga kelajuan 60 km/j. Sistem lain termasuk Active Steering Assist, Active Brake Assist dengan fungsi cross-traffic, Active Blind Spot Assist dengan amaran keluar, serta Parking Package dengan kamera 360 darjah.

    Perincian tepat masih belum dikeluarkan oleh Mercedes-Benz, tetapi mereka ada memberitahu dua enjin baru akan menyertai barisan enjin lain, dengan yang pertama adalah unit empat silinder 2.0 liter M254 berkuasa 268 hp untuk menggantikan unit M274 sebelum ini.

    Satu lagi enjin adalah unit enam silinder 3.0 liter M256 yang juga digabungkan dengan sistem hibrid ringkas, memberikan kuasa 362 hp. Enjin ini sudah pun digunakan pada CLS, GLE, S-Class serta E 53 AMG (model sebelum facelift). Kedua-dua enjin petrol ini dilengkapi dengan teknologi hibrid ringkas 48 volt dan starter-generator bersepadu untuk memberikan tambahan 20 hp dengan EQ Boost.

     
     
  • Diskaun tol 10% di Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 pada 25 Jan ini – rujuk TTA untuk rancang perjalanan

    Diskaun tol 10% di Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 pada 25 Jan ini – rujuk TTA untuk rancang perjalanan

    ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Pantai Timur bagi komponen Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% kepada pengguna kenderaan persendirian atau kelas 1 bagi pada 25 Januari ini bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam di kedua-dua lebuhraya terbabit. Ia adalah sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini.

    Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein,turut berkata, dijangkakan purata trafik harian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT 1 akan meningkat sebanyak 60% sempena musim cuti Tahun Baru Cina, iaitu kira-kira 250,000 kenderaan berbanding 156,000 pada hari biasa.

    “Justeru, kami berharap pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit merujuk jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang kami keluarkan untuk merancang perjalanan yang lebih selesa, di samping mampu mengurangkan kesesakan trafik.

    Diskaun tol 10% di Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 pada 25 Jan ini – rujuk TTA untuk rancang perjalanan

    “Kami juga memastikan semua aset berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan peningkatan ini, termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan trafik dari udara selain meningkatkan rondaan serta penugasan lebih 550 kakitangan bahagian tol dan trafik,” katanya.

    Semalam, ANIH turut melancarkan Kempen Keselamatan Lebuh Raya bertemakan hashtag #PasangSokmo dan #MohSinggah. Ia juga adalah hasil kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan lagi kesedaran pengguna tentang aspek keselamatan serta keperluan untuk berhenti rehat selepas dua jam memandu. Ia bertujuan untuk mengurangkan lagi kes kemalangan maut di lebuh raya akibat faktor keletihan dan tidak memakai tali pinggang keselamatan.

    Kempen #PasangSokmo ini diperkenalkan untuk mengajak pengguna KLK dan LPT 1 membudayakan amalan untuk sentiasa memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu yang mampu menyelamatkan nyawa jika berlaku kemalangan.

    Manaka kempen #MohSinggah ini pula untuk mengajak pengguna KLK dan LPT 1 berhenti rehat seketika di R&R atau di Hentian Rehat Sebelah di sepanjang LPT sebelum meneruskan semula perjalanan.

     
     
  • PLUS tutup lorong tambah nilai di plaza tol di lebuhrayanya mulai 22 Jan hingga 3 Feb 2020

    PLUS tutup lorong tambah nilai di plaza tol di lebuhrayanya mulai 22 Jan hingga 3 Feb 2020

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan kesemua operasi Lorong Tambah Nilai di plaza tol masuk seliaannya mulai 22 Januari hingga 3 Februari 2020. Ia adalah bagi membantu melancarkan pergerakan trafik pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina 2020 yang akan datang

    Langkah menutup lorong tambah nilai sepertimana yang dilaksanakan pada setiap musim perayaan adalah untuk membantu mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh pelanggan beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

    Bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS menasihatkan agar pelanggan terlebih dahulu merancang perjalanan mereka dan yang paling utama, menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal selain memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi.

    Pada musim perayaan kali ini, sebanyak dua juta kenderaan dijangka akan menggunakan lebuh raya PLUS terutama sekali pada waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari yang akan datang.

    PLUS tutup lorong tambah nilai di plaza tol di lebuhrayanya mulai 22 Jan hingga 3 Feb 2020

    Justeru, pergerakan di plaza tol dijangka akan terjejas sekiranya terdapat pelanggan yang terkandas dan mempunyai baki Touch ‘n Go tidak mencukupi. Apabila kejadian sebegini berlaku, sudah pasti ianya menganggu keselesaan dan kelancaran perjalanan pelanggan yang lain.

    PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol. Namun begitu, terdapat kira-kira 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go telah tersedia di seluruh negara dan antaranya, pelanggan boleh menambah nilai kad di 34 stesen minyak terpilih di sepanjang lebuh raya PLUS, 67 Kiosk Layan Diri (Self-Service Kiosk) yang terdapat di Kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan di plaza-plaza tol yang terpilih.

    Selain itu, orang ramai boleh menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go di Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di plaza tol terpilih.

    PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini. Anda boleh semak jadual tersebut bagi membantu merancang perjalanan anda ke destinasi pilihan. Jangan lupa amalkan pemanduan berhemah dan patuhi undang-undang jalan raya.

     
     
  • Perodua capai 2,825 unit untuk pasaran eksport pada 2019, meningkat berbanding 2,184 unit bagi tahun 2018

    Perodua capai 2,825 unit untuk pasaran eksport pada 2019, meningkat berbanding 2,184 unit bagi tahun 2018

    Perodua mengesahkan berjaya memperoleh sebanyak 2,825 unit kenderaan bagi pasaran eksportnya pada tahun lalu. Perkara ini diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pembentangan Prestasi Jualan 2019 pagi tadi.

    Walau pun jumlah ini kurang berbanding dengan angka yang disasarkan untuk pasaran eksport bagi 2019 iaitu 3,270 unit, namun rekod yang dicapai ini masih mendahului jumlah yang diperoleh pada tahun 2018 dengan 2,184 unit, iaitu meningkat sebanyak 29.4%. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,800 unit merupakan model Myvi yang dieksport ke Indonesia, atau lebih dikenali sebagai Daihatsu Sirion untuk pasaran negara jiran itu.

    Manakala pasaran eksport kedua terbesar pula ialah Sri Lanka dengan 583 unit, di mana Bezza menjadi model terlaris bagi sedan bawah 1.0 liter di sana. Perodua turut berjaya menembusi pasaran baharu pada Jun tahun lalu, Seychelles, dengan jualan sebanyak 37 unit. Selain itu, Perodua masih meneruskan pasaran eksport ke Brunei (162 unit), Mauritius (125 unit), Singapura (98 unit) dan Fiji (20 unit).

    “Walau pun pasaran ekpsort kami kekal sederhana, namun dapat dilihat ada kemajuan dalam memperkenalkan jenama kami ke pasaran global, malah kami mahu mempertingkatkan angkanya untuk tahun ini,” ujar Zainal.

     
     
  • Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan harga kereta pemasangan tempatan (CKD) akan naik sehingga 15% atau lebih setelah kerajaan menstrukturkan semula duti eksais, kerana kerajaan masih lagi belum memuktamadkan langkah tersebut. Perkara ini dijelaskan beliau dalam satu laporan Malay Mail yang dipetik dari Reuters.

    Menurut Lim, jika pun ada sebarang perubahan, ia akan dilakukan secara beransur-ansur. “Sekiranya ada sebarang perubahan, ia mesti dilaksanakan secara berperingkat dan bukannya mendadak. Kita sedang berbincang mengenai perkara itu bagi memastikan ketelusan (dari segi pelaporan) supaya kita boleh terus memenuhi obligasi kita terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia,” katanya.

    Lim memberitahu perkara ini ketika bercakap dengan wartawan selepas pelancaran Belanjawan 2020: Skim Jaminan Kerajaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) di Kuala Lumpur hari ini, dan menggesa orang ramai untuk menunggu pengumuman rasmi dari kerajaan dan tidak terpengaruh dengan spekulasi dalam pasaran.

    Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Berdasarkan apa yang termaktub di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah digazetkan pada 31 Disember 2019, kenderaan pemasangan tempatan (CKD) akan dikenakan lebih banyak cukai. Ini adalah disebabkan kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka (open market value, OMV) bagi kenderaan telah berubah.

    OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Terdapat beberapa komponen yang menentukan OMV, dan ini termasuk kos bagi pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan dan pentadbiran.

    Gazet berkenaan menambah komponen-komponen baru ke dalam pengiraan OMV. Di bawah peraturan baru ini, nilai yang dimasukkan untuk mengenalpasti duti-duti terlibat akan mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang terlibat di dalam pengilangan sesebuah kenderaan, tetapi juga jualannya.

    Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, cara baru mengira OMV, yang memperkenalkan duti ke atas jualan barangan menimbulkan persoalan-persoalan baru dan menyebabkan kekeliruan kepada OEM dan pengedar-pengedar.

    Lim nafi harga kereta CKD akan naik sehingga 15% hingga 25% dengan struktur duti eksais yang baharu

    Sebelum ini, OMV hanya mengambil kira kos pengilangan barang, tetapi bahagian “jualan” berkenaan kini turut merangkumi perkara-perkara lain seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, pelan dan lakaran, bayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagang, hakcipta).

    Walau bagaimanapun, gazet ini dilihat masih belum jelas, dan ia bergantung pada tafsiran. Dalam masa yang sama, kami akan cuba mendapatkan maklum balas daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), iaitu badan yang mewakili syarikat pengeluar kereta dalam negara.

    Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata keputusan baru ini agak mengejutkan mereka.

    “Kami telah mengikuti semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan berkenaan segala kira-kira. Kami masih menilai apa kesannya kepada kami, tapi yang pasti, dalam masa beberapa bulan akan datang, tiada impak kepada industri dan kami tidak akan menaikkan harga kenderaan kami,” katanya.

     
     
  • Perodua alu-alukan persaingan sihat, sambut baik kebangkitan Proton – industri lokal dapat manfaat

    Perodua alu-alukan persaingan sihat, sambut baik kebangkitan Proton – industri lokal dapat manfaat

    Semalam Proton mengumumkan beberapa berita positif untuk syarikat itu sepanjang 2019, termasuk kembali meraih keuntungan daripada jumlah jualan kenderaan yang meningkat. Dan bagi Perodua, itu satu perkembangan yang bagus; kebangkitan Proton adalah baik untuk industri automotif tempatan dan akan galakkan lebih banyak persaingan sihat.

    Mengulas tentang perkara itu, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengalu-alukan persaingan itu. Ia juga membuatkan Perodua juga tidak akan duduk diam; misalnya, sasaran jualan untuk tahun 2020 telah ditetapkan dengan peningkatan 32% atau 132,000 unit.

    “Bagi kami di Perodua, kami sukakan persaingan. Kami mengalu-alukan perkara itu, kerana ia akan menjadikan situasi kami lebih baik dan bersedia. Kami akan memerhatikan dan meniliti, dan mencari jalan yang membolehkan kami untuk bersaing, tentunya secara sihat, dan memastikan kami sentiasa di depan,” ujar beliau.

    Selain itu, industri automotif tempatan juga berpeluang untuk mendapat lebih manfaat sekiranya situasi Proton bertambah kukuh. “Misalnya, Proton mengumumkan peningkatan sebanyak 30% bagi jumlah keluaran tahun ini. Berdasarkan itu, serta ramalan kami terhadap jumlah keseluruhan tahun ini iaitu 610,000, ia sesuatu yang sangat baik untuk industri,” tambah beliau.

    Perodua alu-alukan persaingan sihat, sambut baik kebangkitan Proton – industri lokal dapat manfaat

    “Bayangkan jika kita membeli daripada industri tempatan sejumlah RM6 bilion setahun, dan mereka meningkatkan jumlah kepada 130,000 unit, dan pembelian itu katakan 50% daripada jumlah pembelian kami, kita akan membeli dengan nilai antara RM9 bilion hingga RM10 bilion dari industri tempatan,” ujar beliau. Perodua mensasarkan untuk membeli sekitar RM6 bilion daripada vendor tempatan tahun ini, merekodkan 11.1% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

    Bagi Perodua, tahun ini bakal jadi lebih menarik, baik dari sudut saingan penawaran mahupun pilihan kepada pengguna. Walaupun belum diumumkan secara langsung, tetapi kita boleh jangkakan antaranya pengenalan SUV D55L yang diasaskan daripada Daihatsu Rocky akan dilancarkan tahun ini.

    Petunjuk juga semakin jelas bahawa model berkenaan akan menggunakan enjin 1.0L turbo, dan turut datang dengan sistem pemanduan autonomous Tahap Dua. Semua ini menjadikan pasaran tempatan kita lebih menarik untuk diperhatikan sepanjang tahun 2020.

     
     
  • Ducati Panigale V4 diperbaharui untuk tahun 2020 – aerodinamik lebih baik, quickshifter lebih pantas

    Ducati Panigale V4 diperbaharui untuk tahun 2020 – aerodinamik lebih baik, quickshifter lebih pantas

    Ducati Panigale V4 diperkenalkan pada penghujung tahun 2017, dan waktu itu ia menandakan satu transformasi bagi motosikal sports Ducati yang sebelumnya lebih banyak menggunakan enjin v-twin. Sekarang untuk tahun 2020, Panigale V4 diberikan peningkatan untuk menjadikannya lebih “mudah untuk ditunggang, kurang memenatkan dan lebih intuitif.”

    Paling utama adalah pakej aerodinamik bagi Panigale V4 R di mana ia termasuk aerofoil, skrin plexiglass, fairing hadapan, fairing tepi yang lebih besar, serta sirip udara tepi yang lebih cekap untuk radiator dan memberikan stabiliti pada kelajuan tinggi.

    Kerangka motosikal ini turut dijadikan sedikit lebih tegar untuk memberikan rasa yang lebih baik pada bahagian hadapan waktu berada dalam sudut condong yang rendah dan kelajuan tinggi. Penunggang juga akan dapat memacu keluar dari selekoh dengan lebih yakin melalui sistem kawalan cengkaman ‘predictive‘. Quickshifter pula ditala semula supaya dapat memberi waktu penukaran gear atas 10,000 rpm yang lebih cepat dan lebih stabil apabila ditukar waktu memecut agresif dan mengambil selekoh.

    Bahagian enjin masih sama iaitu menggunakan unit empat silinder V Stradale 90 darjah 1,103 cc yang mampu menghasilkan kuasa 214 hp pada 13,000 rpm dan 126 Nm tork pada 10,000 rpm. Antara fungsi elektronik yang ada pada motosikal ini adalah termasuk tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street, ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

    Di Malaysia, hanya Panigale V4 S yang dijual dengan harga RM172,900, dan datang dengan suspensi elektronik. Bagi catatan jualan tahun 2019, Ducati berjaya menjual 53,000 buah motosikal di seluruh dunia, dengan pasaran utama masih adalah Itali manakala China yang menjual 3,200 unit berada sebagai pasaran kelima paling penting bagi Ducati.

     
     
  • Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    Dalam pembentangan prestasi jualan bagi 2019 pagi tadi, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad turut berkongsi sasaran utama bagi tahun 2020. Sentiasa optimis dengan setiap langkah yang diambil, Perodua memutuskan untuk mengekalkan sasaran angka jualan dan perkongsian pasaran bagi jumlah keseluruhan industri (TIV) seperti tahun 2019.

    “Walau pun laluan dalam pasaran kian mencabar, namun rekod jualan keseluruhan pada tahun lalu yang mencecah 240,341 unit telah mengekalkan kedudukan kami di tangga pertama untuk industri automotif tempatan ini. Biarpun kami berjaya memperoleh angka jualan seperti yang disasarkan untuk tahun 2019, namun kami masih mahu mengekalkan sasaran yang sama untuk 2020 iaitu sebanyak 240,000 unit.”

    Menurut Zainal lagi, ini termasuklah berdasarkan unit tempahan yang belum dihantar kepada pelanggan (tempahan yang dibuat hujung tahun lalu), di mana jumlah tersebut dilihat mampu membantu melonjakkan lagi jualan untuk tahun ini.

    Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    “Kami menjangkakan Myvi dan Bezza mampu memacukan lagi angka jualan untuk tahun ini. Di mana permintaan terhadap model Myvi dilihat kian utuh dan disasarkan mencecah 83,000 unit tahun ini. Manakala Bezza pula, jumlah yang disasarkan mampu mencecah 54,000 unit iaitu lebih 6,000 unit berbanding tahun lalu. Ini termasuklah dengan 8,000 unit tempahan untuk Bezza pada penghujung tahun lalu yang masih belum dihantar kepada pelanggan yang secara automatiknya akan menerima model facelift.”

    Mengenai perkongsian pasaran dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), Perodua turut mengambil keputusan untuk mengekalkan angka sasaran yang sama seperti tahun lalu iaitu 40%. “Walau pun persaingan dijangka bertambah sengit untuk tahun ini, namun kami tetap optimis untuk mencapainya, sekaligus mengekalkan kedudukan kami sebagai pendahulu jenama kenderaan di Malaysia,” ujar Zainal Abidin.

    Walau pun angka sasaran bagi jualan dan perkongsian pasaran untuk 2020 sama seperti tahun 2019, namun Perodua berazam mempertingkatkan pengeluaran dan perkhidmatan selepas jualan mereka.

    Perodua umum sasaran utama 2020 – kekalkan angka jualan, unjuran TIV dan tingkatkan kapasiti produksi

    “Tahun 2019 juga boleh dianggap sebagai tahun yang cemerlang bagi kami. Walau bagaimana pun, kami berazam untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan perkhidmatan selepas jualan. Mengenai Bezza, kami menganggarkan kira-kira 13,000 tempahan dari tahun lepas yang masih belum dipenuhi. Malahan buat masa ini, tempoh masa menunggu pula cecah dua bulan dan kami sedang berusaha untuk memendekkan lagi tempoh tersebut.

    “Justeru, untuk tahun ini, kami mahu meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran untuk kesemua model sebanyak 254,000 unit berbanding 244,000 unit pada 2019, iaitu kenaikan sebanyak 4.1%. Angka ini merangkumi pengeluaran untuk eksport dan penyimpanan stok untuk tahun 2021,” jelas Zainal lagi.

    Beliau turut berkata, separuh pertama 2020 dijangka agak mencabar, justeru, Perodua akan memberi tumpuan kepada memenuhi tempahan yang sedia ada. Malahan, Perodua akan menilai semula keadaan pasaran pada separuh kedua tahun ini sambil membina inventori supaya sentiasa bersedia andai pasaran bertambah baik.

    Disebabkan pengeluaran yang ingin dipertingkatkan, Perodua juga menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6 bilion tahun ini untuk membeli komponen tempatan, berbanding RM5.4 bilion tahun lalu.

    Mengenai perkhidmatan selepas jualan pula, Perodua mensasarkan peningkatan sebanyak 2.6%, iaitu lebih 2.6% berbanding 2019. Begitu juga dengan jumlah kenderaan yang diservis untuk tahun ini disasarkan sebanyak 2,350,000 unit iaitu meningkat sebanyak 0.1% berbanding 2,347,000 unit pada tahun lalu. Sehingga kini, Perodua memiliki 186 pusat servis bertauliah di seluruh negara.

    Jelasnya, Perodua akan terus bekerjasama dengan para pengedarnya, yang kini membentuk 75% daripada rangkaian jualan dan servisnya, untuk menaiktaraf dan melabur bagi meningkatkan lagi kepuasan pelanggan.

    “Perodua mempunyai rangkaian jualan dan servis kenderaan yang terluas di Malaysia. Kami berhasrat untuk menambahbaik kemudahan sedia ada melalui kerjasama erat dengan para pengedar kami supaya kami boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik buat para pelanggan,” kata Zainal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024