Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

    GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

    Proton baru saja melancarkan MPV Exora RC 2019 (RC bermaksud running change) pada 28 Mei lalu. Walau pun tidak melibatkan pembaharuan kosmetik yang besar untuk luaran, RC hanya diberikan warna baharu dan juga antera sirip jerung. Namun begitu, untuk bahagian dalamnya, ada beberapa perubahan yang dilakukan, dan nilai lain yang dipertingkatkan termasuk harga atas jalan yang dikurangkan serta pakej bonus.

    Kit dalaman baharu yang paling menarik ditampilkan sudah tentu unit utama skrin sesentuh tujuh-inci berasaskan Global Key User Interface (GKUI) buatan Geely, dengan arahan suara “Hi Proton” dan sambungan internet 4G menerusi kad eSIM. Sistem ini mula diperkenalkan pada model SUV X70, yang memiliki fungsi termasuk penstriman muzik dalam talian, navigasi secara langsung, ketersambungan telefon pintar, mirroring untuk Android dan WiFi hotspot, serta beberapa lagi.

    Selain itu, ia juga menampilkan kluster instrumen baharu (sama seperti Iriz/Persona 2019) dan juga ruang tengah yang direka semula – jam di bahagian tengah papan pemuka pula telah digugurkan dan keseluruhan panel pula kini menerima kemasan piano black dengan sentuhan perak untuk penampilan yang lebih anggun. Turut ditampilkan ialah dua USB port yang diletakkan di tempat pemegang cawan hadapan, dan soket 12V – berbanding satu unit USB port pada model terdahulu.

    GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

    Bukan itu sahaja, Exora RC 2019 ini juga ditampilkan dengan cermin pandang belakang “tanpa bingkai” – juga sama seperti Iriz/Persona baharu. Manakala tempat duduknya pula menerima material upholstery separa kulit hitam dengan paten “quilted”, begitu juga dengan permukaan dalaman pintu. Butang SAT (stepped automatic transmission) untuk CVT juga telah digugurkan kerana Proton mendapati ia sangat kurang digunakan.

    Tiada perubahan mekanikal namun Proton telah meningkatkan talaan bagi suspensi dan engine mount untuk NVH yang lebih bagus. Selain itu, Proton juga telah mengurangkan bunyi bising disebabkan seretan angin untuk keselesaan pemandu dan penumpang yang lebih optimum. Bagi kit keselamatan, ia masih kekal dengan dua beg udara, ABS dan EBD. ESC hanya untuk varian Premium.

    Berita yang paling besar sudah pasti melibatkan harga yang diumumkan jauh lebih murah berbanding model sebelum ini. Exora 2019 hadir dengan dua varian – Executive berharga RM59,800 dan RM66,800 bagi Premium, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans. Ia melibatkan penurunan harga masing-masing sebanyak RM2,208 dan RM2,547, berbanding varian Executive/Executive Plus bagi model sebelum ini.

    Tawaran menarik yang turut diumumkan oleh Proton ialah pakej servis dengan tiga kali kos buruh percuma, dan data percuma sebanyak 1GB untuk lima tahun. Malah pakej perlindungan insurans istimewa dan kadar pembiayaan terendah dari 2.76% setahun turut ditawarkan.

    Sebagai tambahan, sesiapa yang membeli Exora tahun ini akan menerima lima tahun (atau 11 kali) kos buruh percuma untuk setiap kali tempoh servis yang dinyatakan. Manakala bagi 1,000 pembeli pertama pula akan menerima bonus yang berupa cukai jalan percuma selama dua tahun. Ini bermakna Proton telah memberikan keseluruhan nilai tambahan sebanyak RM4,233 untuk Executive dan RM5,652 bagi Premium, menerusi setiap pakej dan keistimewaan yang ditawarkan, berbanding model sebelumnya.

    Ketika majlis pelancarannya, hanya model spesifikasi penuh yang dipamerkan. Jadi, kami pergi ke bilik pameran Proton untuk mendapatkan foto galeri penuh bagi varian Executive.

    Varian Executive, yang berharga di bawah RM60k, tidak ditampilkan dengan beberapa ciri yang disebutkan di atas. Ia tidak diberikan unit utama “Hi Proton” (sekadar unit utama panel sentuh 2DIN), kamera undur dan juga tempat duduk kulit. Ruang bahagian tengah juga telah dikemaskini (dengan sentuhan perak) tetapi bukan dengan kemasan piano black. Manakala dua USB port/soket 12V serta panel meter baharu adalah standard untuk kedua-dua varian.

    Seperti sebelum ini, varian Executive juga tidak dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, cermin sisi boleh laras elektrikal, skirt sisi, spoiler belakang, bumbung hitam, stereng balutan kulit, butang kawalan pada stereng, kawalan kelajuan, cermin vanity pemandu (hanya untuk penumpang hadapan sahaja) dan perehat tangan untuk tempat duduk hadapan. Juga roda stereng 16-inci bagi Executive tidak diberikan kemasan dua-tona.

    Walau pun tidak banyak dilengkapi dengan ciri seperti Premium, namun perbezaan harga sebanyak RM7,000, atau pun RM100 sebulan untuk pinjaman selama tujuh-tahun, ataupun RM800 sebulan untuk pembiayaan sembilan tahun – menjadikannya berbaloi untuk anda yang tidak memerlukan ciri seperti varian tertinggi tapi inginkan MPV yang mempunyai kapasiti tujuh tempat duduk.

    GALERI: Proton Exora RC Executive 2019

    GALERI: Proton Exora RC Premium 2019

     
     
  • PLUS guna dron pantau lebuhraya – keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan sempena Aidilfitri

    PLUS guna dron pantau lebuhraya – keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan sempena Aidilfitri

    Buat pertama kalinya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal menggunakan dron bagi memantau trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan ketika musim perayaan ini. Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, dron berteknologi tinggi dan memiliki kamera berdefinisi tinggi itu mampu merakam video dengan kualiti yang baik. Sebelum ini, PLUS menggunakan perkhidmatan helikopter untuk tujuan pemantauan di lebuhraya.

    “Kita memiliki empat dron dilengkapi kamera berdefinisi tinggi yang mampu merakam dan memancarkan video terus ke paparan di Pusat Kawalan Trafik di Persada PLUS secara langsung. Dron ini akan digunakan di kawasan panas yang sering berlaku kesesakan. Buat masa ini kita mengenalpasti empat kawasan yang sering berlaku kesesakan iaitu Rawang, Slim River, Gua Tempurung dan Sungai Perak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Selain dron, PLUS juga bercadang meneroka teknologi baharu lain yang menambah baik perkhidmatan sedia ada. “Kita sedang melihat penggunaan lampu isyarat lorong kecemasan yang diguna di negara maju untuk menyuraikan kesesakan serta beberapa cadangan lain yang boleh membantu melancarkan operasi di lebuh raya,” katanya.

    PLUS guna dron pantau lebuhraya – keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan sempena Aidilfitri

    Seperti kebiasaan setiap kali musim perayaan besar, PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk Aidilfitri kali ini. Ia sebagai rujukan untuk para pengguna lebuhraya PLUS bagi merancang perjalanan supaya tidak tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

    Bagi pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Pulau Pinang, Perak serta Johor, dinasihati memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Manakala dari Lembah Klang menuju ke lain-lain negeri, disarankan memulakan perjalanan selepas jam 10 pagi.

    Untuk perjalanan ke Lembah Klang pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor digalakkan memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Bagi pengguna dari lain-lain negeri menuju ke Lembah Klang, disarankan bergerak selepas jam 10 pagi.

     
     
  • Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Bagaimana agaknya sebuah Proton Saga 2020 akan kelihatan sekiranya ia ingin memberikan “tabik hormat” kepada model original yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1985? Jangan risau, ini bukannya model sebenar; setakat ini belum kedengaran pula Proton akan keluarkan model generasi terbaru untuk menggantikan Saga pada 2020.

    Sebaliknya, seperti biasa, ini ialah hasil imajinasi Theophilus Chin membayangkan bagaimana penampilan yang wajar bagi kereta nasional ini untuk tahun 2020. Dan, memandangkan arah tuju global sekarang ini lebih terarah kepada kenderaan elektrik, maka Proton Saga 2020 ini juga diberikan sentuhan berkenaan – mempertemukan ilham dari masa lalu, tetapi lengkap dengan rekaan dan teknologi masa hadapan; sebagai penghormatan atau “homagE” kepada versi asalnya.

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Ini merupakan idea yang sama diterapkan kepada Honda e, yang akan mula dijual tahun depan. Bagi imej Proton Saga 2020 ini, reka bentuk asas versi yang menggunakan asas dari Mitsubishi dahulu masih dapat dilihat, misalnya rekaan lampu utama bersegi. Tambahan di bawahnya ialah lampu DRL LED yang memanjang, menggantikan tempat kemasan jalur hitam dari model aslinya.

    Bahagian gril yang kecilnya juga seperti pernah dilihat, kan? Itu tak lain mengambil corak “Infinite Weave” yang sama diperkenalkan pada X70 kini. Tak banyak liang udara di depannya disebabkan ia dibayangkan sebagai sebuah EV yang tidak mempunyai enjin konvensional.

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Rekaan bahagian tepi juga lebih ringkas dan kemas. Kelainan yang mungkin paling ketara diterapkan ialah pada bahagian lengkung tayar belakang – ia terpotong dan rata di bahagian atasnya, memberikan kelainan yang unik pada rekaan EV ini. Satu lagi, warna biru cerah ini juga diambil dari warga Saga asal dahulu.

    Bahagian belakang pula diberi rekaan yang lebih rumit berbanding yang lama. Saga yang dibayangkan ini telah beralih kepada lampu LED sepenuhnya, dengan kemasan krom melintang bersepadu bersama lampu berkenaan, dengan lambang atau ejaan Proton di dalamnya. Tapi bukan itu saja; rekaan ikonik Saga Aeroback turut digunakan, seperti yang dapat dilihat pada kereta merah ini.

    Proton Saga HomagE 2020 – kereta pertama Malaysia diimaginasikan semula sebagai kenderaan moden EV

    Ia sebenarnya ada menampilkan sedikit kelainan – rim aloi dengan rekaan yang lebih sporty serta bahagia belakang dengan sentuhan liftback tail. Lampu belakangnya juga berbeza, lebih bersegi dengan kemasan krom hitam melintang. Diffuser juga diberikan warna hitam.

    Apa pendapat anda tentang rekaan ini? Adakah Proton Saga wajar diberikan nyawa yang lebih segar melalui penawaran model generasi terbarunya kelak? Atau adakan lebih elok ia kekal dengan status klasik yang dinikmati ketika ini? Saga EV sebenarnya bukanlah satu idea yang teruk, kan?

    GALERI: Proton Saga 1.3S 1985 milik Encik Mohd Isa bin Ibrahim Shah

     
     
  • PLUS cadang bina kapsul tidur di R&R tahun depan

    PLUS cadang bina kapsul tidur di R&R tahun depan

    Sebelum ini Plus Malaysia Berhad (PLUS) pernah mempunyai hotel penginapan di beberapa buah kawasan rehat dan rawat (R&R) namun ia telah ditutup berikutan tiada sambutan di kalangan pengguna lebuhrayanya. Namun sikap keprihatinan dan tanggungjawab PLUS terhadap penggunanya tidak terhenti begitu sahaja. Terkini, PLUS bercadang untuk membina kapsul tidur untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan berehat terutamanya bagi pemandu kenderaan berat.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail, cadangan tersebut kini dalam peringkat kajian dan projek rintisnya dijangka bakal dilaksanakan tahun hadapan.

    “Kita sentiasa melihat kepada kemahuan pengguna… kapsul tidur yang juga dipanggil ‘time capsule’ ini akan memberi peluang kepada pemandu terutamanya pemandu kenderaan berat untuk mereka ambil ‘quick nap’ pada waktu malam sebelum mereka meneruskan pemanduan.

    PLUS cadang bina kapsul tidur di R&R tahun depan

    “Ini antara penambahbaikan fasiliti sedang dikaji dan kita berharap langkah ini nanti dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu kenderaan berat dan mereka boleh memandu dalam keadaan segar… sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan akibat mengantuk dan kepenatan,” katanya kepada Bernama.

    Azman berkata, kapsul tidur tersebut akan dibina di R&R memandangkan ia mempunyai kawasan parkir kenderaan berat yang luas, selain menyediakan pelbagai fasiliti lain termasuk tandas yang lengkap dengan bilik mandi.

    “Dahulu PLUS pernah membuka hotel di sepanjang lebuh raya tetapi terpaksa menutupnya kerana tidak mendapat sambutan dan kita dapati pemandu mahukan tempat tidur hanya untuk ‘quick nap’ dan tidak memerlukan hotel seharian. Maka kita akan lihat maklum balas pengguna terhadap projek rintis itu nanti dan kalau sambutannya baik, kita akan perluaskan di R&R bersesuaian,” ujarnya lagi.

     
     
  • Lebuhraya WCE – laluan 19 km dari Hutan Melintang ke Teluk Intan akan dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri

    Lebuhraya WCE – laluan 19 km dari Hutan Melintang ke Teluk Intan akan dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri

    Perkembangan terkini berkenaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) – Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sr Aziz Abdullah mengesahkan bahawa laluan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan dijangka akan dibuka sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    “Insya-ALLAH satu lawatan dan pengumuman rasmi akan disampaikan oleh Timbalan Menteri pada Jumaat ini, apa-apa pun Insya-ALLAH dijangka sebelum Aidilfitri laluan tersebut akan dibuka,” katanya dalam laporan Sinar Harian semalam.

    Laluan dari Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19 kilometer tersebut adalah sebahagian dari Lebuhraya WCE yang di bina sejauh 233 km merentasi Selangor dan Perak.

    Ia bermula dari Jalan Banting – KLIA (B18) Selangor hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.

    Bagi jajaran Lebuhraya WCE di Perak mempunyai empat Seksyen iaitu Seksyen 8 (persimpangan Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (persimpangan Lekir-Changkat Cermin), Seksyen 10 (persimpangan Changkat Cermin-Beruas) dan Seksyen 11 (persimpangan Beruas-Taiping Selatan).

    Ia juga mempunyai 21 persimpangan bertingkat bersama dengan 20 plaza tol selain turut dihubungkan dengan lebuhraya sedia ada seperti PLUS, SKVE, NKVE, NNKSB, LATAR, KESAS demi memenuhi keperluan trafik di laluan utama.

    Sebelum ini ia dilaporkan akan dibuka sepenuhnya sebelum Aidilfitri tahun ini, namun disebabkan pelbagai masalah antaranya insiden tiga paip utama pecah berhampiran tapak pembinaannya di Klang baru-baru ini menyebabkan ianya ditangguhkan.

     
     
  • Proton X70: Kemaskini bagi OTA terbaru kini tersedia

    Proton X70: Kemaskini  bagi OTA terbaru kini tersedia

    Ada kemaskini over-the-air (OTA) terbaru bagi head unit Proton X70, dengan kali ini ia memberi perhatian kepada beberapa isu yang dihadapi oleh pengguna kebelkangan ini. Versi 2.4.0 terbaru ini menyenaraikan 10 kemaskini yang akan dibuat, seperti dipaparkan dalam gambar.

    Kemaskini paling penting termasuk fungsi kawalan suara “Locate Me” yang telah digugurkan, penyelarasan saluran bandwidth wifi (menjadikan capaian wifi lebih stabil selepas ini), serta memperbaiki aliran pendingin hawa ke tempat duduk depan. Sistem tunjuk arah GPS juga diperkemas, kini dengan fungsi penetapan alamat “Home”, ketepatan isyarat 4G yang lebih baik serta senarai Point of Interest (POI) tambahan.

    Proton X70: Kemaskini  bagi OTA terbaru kini tersedia

    Selain itu, kemaskini berkenaan juga turut melibatkan pengguguran laporan suara ketika bertukar kepada mod pemanduan yang berbeza. Versi 2.4.0 ini sudah boleh diakses oleh pengguna; ambil maklum juga saiz failnya yang agak besar, 786 MB – tetapi ia tidak akan mengguna kuota data anda.

    Juga sempena promosi Hari Raya ini, Proton menawarkan 50% data internet tambahan bagi pemilik yang menambah top up dari sekarang hingga 5 Julai nanti. Bagaimanapun, ini hanya akan ditawarkan bagi kenderaan yang menggunakann head unit dengan skrin sentuh terkini – Proton X70, Persona Premium, Iriz Premium dan juga Exora Premium.

     
     
  • Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Ferrari telah mendedahkan supercar terbaru mereka yang dinamakan sebagai SF90 Stradale. Istimewanya, ini adalah model plug-in hybrid produksi pertama dari pengeluar Itali tersebut dan ia menggunakan gabungan enjin V8 turbo serta dua motor elektrik – dua pada gandar hadapan dan satu lagi di belakang.

    Enjin pembakaran dalaman itu sendiri masih adalah unit F154 sama seperti yang digunakan pada Pista dan F8 Tributo, tetapi telah dinaik taraf pada banyak bahagian dan kapasitinya meningkat 88 cc lagi menjadi 3,990 cc. Hasilnya, ia mampu mengeluarkan 780 PS dan 800 Nm tork pada 6,00 rpm.

    Tiga motor elektrik itu pula mampu memberikan tambahan kuasa 220 PS (162 kW), dan ia datang daripada pek bateri 7.9 kWh yang terletak di belakang tempat duduk. Melalui sistem hibrid ini, pemandu boleh menggunakan kuasa elektrik sahaja untuk menggerakkan kenderaan (pacuan roda hadapan sahaja) dan ia boleh pergi sehingga 25 km dan kelajuan maksimum 135 km/j.

    Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Waktu mengecas kenderaan ini masih belum didedah secara terperinci tetapi pengarah teknikal Ferrari, Michael Leiters ada memberitahu apabila menggunakan soket kuasa, bateri tersebut boleh penuh dalam masa tiga jam. Sistem hibrid ini juga menambah berat 270 kg pada kereta, tetapi hasil daripada penggunaan bahan serba ringan, berat kenderaan masih dapat dijadikan rendah, iaitu cuma 1,570 kg.

    Kotak gear juga adalah baru, yang merupakan unit klac berkembar lapan kelajuan. Selain nisbah gear serta maklum balas lebih pantas, ia juga menggunakan set klac yang lebih kompak dan 10 kg lebih ringan (tiga kilogram daripadanya adalah disebabkan tiada lagi gear undur, dengan tugas itu diambil oleh motor elektrik).

    Ada empat mod pemanduan pada kereta ini iaitu eDrive untuk elektrik penuh, Hybrid untuk mod standard yang akan memilih tetapan mengikut kesesuaian keadaan, Performance yang memberi lebih keutamaan untuk mengecas bateri berbanding penggunaan bahan api dan Qualify untuk prestasi yang paling tinggi.

    Ferrari SF90 Stradale PHEV berkuasa hampir 1,000 PS

    Banyak lagi inovasi serta perkara baru bagi Ferrari pada kereta ini. Antaranya adalah pacuan empat roda, yang dikatakan perlu baginya. Ia boleh mencatat masa 2.5 saat untuk pecutan 0-100 km/j, 6.7 saat untuk 0-200 km/j dan kelajuan maksimum 340 km/j. Ini adalah lebih laju daripada LaFerrari.

    Pada bahagian elektronik, kereta ini mempunyai sistem Electronic Side Slip Control (eSSC), torque vectoring, Electric Traction Control (eTC) dan rotation axis control – electric (RAC-e), semuanya untuk membantu dinamik kenderaan dan mendapatkan cengkaman yang lebih baik.

    Brek juga adalah baru di mana ia menggabungkan sistem elektrik dan hidraulik. Dalam keadaan brek biasa, elektrik digunakan untuk menyokong sistem penjanaan semula kuasa dan apabila membrek kuat, sistem hidraulik akan membantu untuk memberikan lebih kuasa henti.

    SF90 menggunakan rekaan baru, yang seperti kebiasaan bagi Ferrari, mendapat banyak inspirasi daripada kereta lumba F1 termasuk bahagian-bahagian aerodinamik aktif yang boleh berubah bergantung kepada keadaan kereta dan kelajuan demi membantu cengkaman.

    Sama juga dengan bahagian dalam. Keseluruhannya adalah baru, dengan yang menjadi perhatian adalah panel instrumen digital definisi tinggi 16 inci (pertama dalam dunia), stereng yang penuh dengan pelbagai butang kawalan serta tombol gear yang mengambil inspirasi daripada model lama Ferrari.

    Selain daripada model standard, SF90 juga akan ditawarkan dengan versi yang lebih sporty dipanggil sebagai Assetto Fiorano. Antara peningkatan pada model ini adalah termasuk penyerap hentak Multimatic (dibangunkan daripada dunia lumba GT), berat kurang 30 kg, spring dan ekzos titanium, daya tolak ke bawah (downforce) 390 kg pada 250 km/j dan tayar Michelin Pilot Sport Cup2. Dalam keadaan standard SF90 datang dengan rim 20 inci (tayar 255/35 di depan dan 315/30 di belakang).

    Harga SF90 ini masih belum didedahkan tetapi ia akan berada lebih mahal berbanding Superfast, tetapi masih di bawah LaFerrari generasi seterusnya. Walaubagaimanapun, kami rasa itu tidak akan mengganggu bakal pembeli model seperti ini.

     
     
  • Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Proton Exora 2019 pun akhirnya selamat diperkenalkan minggu ini dengan dua varian ditawarkan. Sebagai sebuah MPV untuk keluarga, ia memang kena dengan semangat musim perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tak lama lagi. Sesuai sangat – walaupun mungkin sedikit lewat bagi pelanggan yang nak jadikan Exora sebagai kereta Raya – bagi perjalanan balik kampung sekeluarga.

    Tambah menarik, harga yang diperkenalkan juga sebenarnya lebih rendah berbanding sebelum ini; secara ringkasnya, bagi varian paling asas Executive (RM59,800), harganya kurang sekitar RM2,000 manakala bagi varian paling tinggi Premium (RM66,800) pula kurang sekitar RM2,500.

    Ini belum lagi mengambil kira nilai tambah dan pakej istimewa yang diberikan sebagai tambahan kepada penawaran Exora versi yang dikemaskini berkenaan. Antara yang dimaksudkan ialah pertambahan ciri seperti unit multimedia “Hi! Proton”, pakej servis kos buruh percuma selama lima tahun, pakej internet dalam kenderaan percuma 1GB sebulan selama lima tahun, cukai jalan percuma (bagi 1,000 pelanggan terawal) dan banyak lagi.

    Ini memang menjadikan penawaran Exora 2019 begitu menarik dan berbaloi, terutamanya jika ingin dibandingkan dengan dua pesaing terdekatnya, apa lagi kalau bukan Perodua Alza dan Toyota Avanza. Proton sendiri tidak menggelarkan versi terbaru ini sebagai facelift; kerana cukup jelas, rupa bentuk luarannya tak ada apa yang berubah sangat. Maka sesuailah untuk kita panggil Exora 2019 ini sebagai versi yang diberi kemaskini dari beberapa aspek.

    Dan, Exora ini bukanlah model baru. Ia telah diperkenalkan sejak 2009 lagi, menjadikan usianya tahun ini mencecah angka 10 tahun. Sebab itu perbandingan dengan dua model pesaing yang disebutkan ini sangat adil; Alza sendiri berusia kurang lebih sama dengan Exora, manakala Avanza pula lebih lama daripada itu. Semuanya telah menerima berkali-kali facelift atau peningkatan penawaran.

    Sejak pengenalan versi facelift yang dilakukan pada 2017 dahulu, ada dua perkara yang tidak ditawarkan lagi pada Exora ini yang mungkin pelanggan terlepas pandang. Bagi varian Premium misalnya, sejak itu hanya tinggal dua beg udara SRS untuk penumpang hadapan yang ditawarkan. Sebelum itu, Exora pernah hadir dengan empat beg udara – termasuk dua di sisi penumpang depan. Tetapi, dalam versi 2019 ini, ia meneruskan penawaran berkenaan dari 2017 dan kedua-dua varian hanya tinggal dua beg udara sahaja.

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Perkara kedua yang sama diteruskan sejak 2017 dulu; masih tiada ciri kawalan kestabilan (ESC) bagi varian Executive. Ini agak aneh, kerana lebih baik jika ia ditawarkan kini sebagai sebuah peningkatan terhadap penawaran Exora Executive, lebih-lebih bagi sebuah syarikat yang terkenal mempromosi betapa selamatnya kenderaan keluaran mereka untuk digunakan di jalanraya dengan segala macam teknologi yang ada.

    Selari dengan matlamat untuk menjadikan jalanraya Malaysia lebih selamat, ESC sepatutnya sudah menjadi satu penawaran yang standard bagi semua kenderaan, bukan menjadi satu ciri pilihan dalam situasi apa pun. Bayangkan, model-model seperti Proton Iriz dan Persona yang lebih murah daripada Exora Executive ini pun ada dilengkapi dengan ESC, inikan pula bagi sebuah MPV yang terang-terangan akan digunakan untuk seisi keluarga.

    Untuk berlaku adil perlu juga dinytakan di sini, bahawa model pesaing seperti Alza dan Avanza juga sebenarnya tidak dilengkapi ciri ESC ini, serta hadir dengan jumlah dua beg udara juga. Kami cuma merasakan adalah lebih baik sekiranya Proton menjadi pelopor untuk mengubah trend ini dan meletakkan keselamatan penggunanya satu langkah di hadapan melalui penawaran yang dipertingkatkan.

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Jawapan oleh wakil Proton ketika sesi pandu uji ringkas yang diadakan pada hari pelancarannya juga tidak menjelaskan dengan memuaskan perkara ini. Pertama, alasannya ialah untuk menurunkan kos. Ini, kami faham. Tetapi mengapa melibatkan ciri keselamatan yang paling asas dan bukannya ciri keselesaan lainnya yang tidak menjejaskan penawaran keselamatan untuk mencapai tujuan itu?

    Kedua, katanya dengan Exora 2019 ini, ciri seperti voice command pada sistem “Hi! Proton” telah diperkenalkan (bagi mengelakkan pemandu daripada menggunakan telefon bimbit) serta pertambahan ciri Auto Cruise juga menyumbang untuk menjadikan pemanduan Exora Executive ini lebih selamat. Walaupun ini tidak sepenuhnya salah, bagaimana ciri keselamatan pasif seperti ini (jika boleh dianggap begitu) difikirkan dapat menggantikan ciri keselamatan aktif seperti ESC dan beg udara?

    Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

    Kami fikir, dalam konteks ini, Proton boleh saja mengambil langkah proaktif untuk tetap menawarkan ciri ESC bagi semua variannya, atas faktor keselamatan yang lebih penting terhadap pengguna. Untuk itu, sekiranya anda benar-benar ingin membeli Proton Exora 2019 ini, kami cadangkan terus pilih yang Premium dan abaikan varian Executive. Perbezaan harga juga tidak banyak, sekitar RM7,000, tetapi anda akan lebih tenang dan tahu bahawa dalam situasi tak menentu, ESC mampu membantu menjamin keselamatan semua penumpang.

    Kekurangan dari sudut penawaran ciri keselamatan pada Exora 2019 boleh dipertingkatkan lagi, tentunya. Kerana, nilai dan penawaran keseluruhannya berada pada tingkat yang sangat baik. Berbanding dengan pesaing yang ada, Exora menyediakan ruang yang paling luas, begitu juga dengan aspek pemanduan yang lebih meyakinkan dan selesa sampai ke penumpang di barisan ketiga. Sayang sekali aspek keselamatan pada varian Executive yang dipilih untuk dikorbankan. Apa pula fikiran anda tentang hal ini? Harapnya Proton buat sesuatu terhadap penawaran Exora 2019 ini untuk kepentingan pelanggannya.

    Proton Exora 2019 Executive

    Proton Exora 2019 Premium

     
     
  • BMW F40 1 Series dengan kit M Performance

    BMW F40 1 Series dengan kit M Performance

    Serentak dengan pengenalan model generasi baharu BMW 1 Series F40, jenama premium dari Jerman tersebut turut memperkenalkan komponen-komponen M Performance bagi meningkatkan imej sporty hatchback berkenaan.

    Untuk bahagian luaran, kit ini terdiri dari splitter udara dan juga sirip aero pada bampar hadapan, serta gril kidney kemasan hitam dengan elemen mesh sama seperti pada varian tertinggi M135i xDrive.

    Pada bahagian belakang, pembeli boleh memilih spoiler bumbung dengan saiz yang lebih besar. Komponen-komponen gentian karbon juga ditawarkan terdiri dari diffuser belakang dan juga penutup cermin sisi pandang belakang. Selain itu, kemasan pada bendul pintu dan juga lampu puddle LED juga boleh dipilih dalam kit ini.

    Bukan sekadar rupa, tingkat taraf untuk prestasi pemanduan juga turut ditawarkan. Pembeli boleh memilih sistem brek M Performance yang lebih besar, terdiri dari cakera hadapan bersaiz 18-inci dengan angkup empat omboh yang diperbuat dari bahan aluminium, dan cakera belakang yang lebih ringan dengan omboh tunggal.

    BMW F40 1 Series dengan kit M Performance

    Tiga set rim boleh digayakan dengan kit ini iaitu rim 18-inci M Performance forged 554M dengan jejari-Y kemasan Jet Black matte, rim 18-inci aloi ringan 711M jejari-Y kemasan Ferric Grey, serta set paling besar M Performance 19-inci aloi ringan 555M jejari berkembar.

    Bahagian dalaman juga boleh ditingkat taraf dengan pilihan roda stereng M Performance yang dibaluti Alcantra dengan pilihan kemasan gentian karbon/Alcantara dan gentian karbon/kulit – kedua-duanya hadir dengan penanda tengah berwarna merah.

    Selain itu, M Performance turut menawarkan pedal penukar gear gentian-karbon, dan juga karpet-karpet lantai velvet velour dengan warna M bagi melengkapkan bahagian kabin.

    BMW 1 Series F40 ini merupakan model pacuan roda hadapan, berbeza dari model sebelumnya yang hadir dengan platform pacuan belakang. Dua enjin diesel dan dua enjin petrol ditawarkan untuk model generasi baharu ini.

    Model paling rendah untuk diesel adalah 116d yang dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbodiesel berkuasa 116 PS (114 hp) dan tork maksima 270 Nm. Ia ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau klac berkembar Steptronic automatik tujuh-kelajuan.

    Versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter pula datang dengan dua talaan iaitu 118d berkuasa 150 PS (147 hp) dan tork maksima 350 Nm, manakala 120d xDrive pula menjana 190 PS (188 hp) dan tork maksima 400 Nm. Versi 118d tampil dengan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai ciri standard, bersama opsyen transmisi automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic. 120d pula hanya diberikan pilihan kotak gear automatik.

    Bagi versi petrol, model paling rendah 118i dijana enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 140 PS (138 hp) dan tork maksima 220 Nm. Pilihan kotak gear untuk model ini adalah sama seperti 116d.

    Model tertinggi pula adalah M135i xDrive, dikuasakan enjin yang sama pada BMW X2 F39 M35i iaitu enjin produksi empat-silinder BMW paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini, unit 2.0 liter turbo menjana 306 PS (302 hp) dan tork maksima 450 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport dengan sistem pacuan semua roda BMW xDrive.

     
     
  • BMW X2 M35i di Malaysia – lancar bulan Julai, RM400k

    BMW X2 M35i di Malaysia – lancar bulan Julai, RM400k

    Selain X4 G02 yang dilancar dan X5 G05 yang dipertonton semalam, BMW Malaysia turut menunjukkan satu lagi model dari siri X yang bakal dilancarkan Julai nanti dengan harga anggaran RM400,000 iaitu X2 M35i. Ini adalah varian paling tinggi bagi model baru X2 F39.

    Model M Performance ini dikuasakan oleh enjin empat silinder turbo 2.0 liter yang mampu menghasilkan 306 hp dan 450 Nm tork dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Ia adalah model M Performance pertama yang menggunakan enjin empat silinder dan juga enjin empat silinder paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

    Enjin yang mempunyai sistem penyejukan yang direka semula untuk bertahan dengan prestasi ini dipadankan bersama sistem pacuan AWD xDrive serta transmisi automatik lapan kelajuan bersama fungsi launch control. Kotak gear jenis torque converter ini turut menerima talaan khas M Performance.

    BMW X2 M35i di Malaysia – lancar bulan Julai, RM400k

    Walaupun kuasanya sedikit kurang berbanding Mercedes-AMG GLA 45, ia masih menunjukkan peningkatan yang banyak berbanding X2 yang dilancarkan pada bulan Mac 2018 yang lalu. Enjin pada model sDrive20i M Sport B48 itu cuma mampu menghasilkan 192 hp dan 280 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat. Harga model CBU ini adalah RM320,000.

    Pergi ke bahagian casis, X2 M35i dipasang dengan suspensi adaptif M Sport yang mempunyai dua mod, manakala pada gandar hadapan terdapat differential mekanikal M Sport untuk memastikan cengkaman yang baik. Peningkatan lain adalah termasuk talaan stereng serta brek yang lebih besar iaitu cakera 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang dengan angkup M berwarna biru.

    X2 M35i yang dipertonton di Malaysia ini menggunakan rim 20 inci Style 721M yang diwarnakan Cerium Grey dan dibalut dengan tayar runflat Pirelli P-Zero bersaiz 225/40. Bahagian luar adalah menggunakan pakej M Sport, tetapi ditambah dengan beberapa kemasan lain.

    Bukaan udara hadapan menyumbang kepada penyejukan yang lebih baik, gril kidney serta cermin sisi juga diwarnakan Cerium Grey manakala di belakang terdapat dua muncung ekzos yang berdiameter 100 mm. Ia kemudiannya disambungkan dengan sistem ekzos M Performance dengan kawalan injap. Bahagian dalam juga menggunakan pakej M Sport tetapi tempat duduk M Sport disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Untuk sistem hiburan dan sambungan, X2 M35i datang dengan servis BMW ConnectedDrive yang termasuk Intelligent Emergency Call, Teleservices, Concierge Services dan Remote Services. Ia juga dipautkan kepada sistem Navigation Plus BMW melalui skrin sesentuh 8.8 inci dan head-up display. Bunyi pula datang daripada sistem Harman Kardon 360W dengan 12 pembesar suara.

     
     
  • BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    Setahun selepas diperkenalkan diperingkat global buat pertama kali dan pernah juga ditayangkan di Singapura, SUV premium BMW X5 G05 kini dipertontonkan pula di Malaysia. Dipersembahkan dalam varian BMW X5 xDrive40i M Sport, model ini akan dilancarkan secara rasmi pada Ogos nanti pada harga anggaran RM640,000.

    Bagi versi xDrive40i yang dijual untuk pasaran di sini, ia menggunakan enjin BMW TwinPower Turbo enam-silinder 3.0 liter yang menghasilkan kuasa sebanyak 340 hp dan 450 Nm tork antara 1,500 hingga 5,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j juga masih agak pantas, iaitu dalam masa 5.5 saat. Transmisi pula menggunakan unit automatik lapan kelajuan Steptronic. Penggunaan bahan api pula ialah pada kadar 9.2 l/100 km dengan pembebasan sisa karbon sebanyak 211g/km.

    Dari segi dimensi binaan, model generasi keempat G05 ini besar berbanding model generasi F15 dahulu. Panjangnya bertambah 36 mm menjadi 4,922 mm, lebar bertambah 66 mm menjadi 2,004 mm, tinggi naik 19 mm kepada 1,745 mm dan jarak roda semakin panjang 42 mm menjadi 2,975 mm. Ruang simpanan di belakang mempunyai kapasiti antara 650 liter hingga 1,870 liter.

    BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    Pada bahagian depan, memang jelas menampilkan kesinambungan sebuah X5. Tetapi dari belakang, kali ini menerapkan rekaan a la sebuah Audi ataupun SUV Korea. Gril hadapan yang besar pada kenderaan ini bercantum sedikit di bahagian tengah, dan lampu standard yang diberi adalah unit LED Adaptive. Selain itu, lampunya juga hadir dengan ciri BMW Selective Beam.

    Model M Sport menerima tambahan kemasan di bahagian lengkuk roda, bampar, pelindung bawah badan di belakang dan side skirt yang berwarna sama dengan badan. Versi yang lebih sporty juga menerima kemasan keliling tingkap dan rel bumbung warna hitam. Bagi pakej M Sport yang ditampilkan ini, ia menerima rim 20-inci. Tayar depan pula menggunakan saiz 275/45, sementara di belakang 305/40.

    Sistem AWD xDrive pada X5 ini juga menerima sistem kawalan yang lebih cekap, dengan agihan kuasa yang lebih kepada roda belakang. Differential Lock pada gandar belakang pula menjadikan ia lebih dinamik dengan kelincahan, cengkaman dan stabiliti yang lebih baik apabila memecut keluar daripada selekoh.

    BMW X5 G05 varian xDrive40i M Sport dipertonton di Malaysia, harga anggaran RM640k, lancar Ogos nanti

    X5 G05 ini juga adalah model X BMW pertama yang didatangkan dengan pakej Off-Road. Dalam pakej ini terdapat suspensi udara dua gandar, pelindung bahagian bawah di depan, serta paparan yang lebih spesifik pada panel instrumen bersama kawalannya. Empat mod pemanduan disediakan dan ia akan mengubah ketinggian kenderaan serta tindak balas xDrive, DSC, transmisi dan pendikit.

    Bagi sistem casis dan gantungan pula, ia menggunakan jenis double-wishbone untuk bahagian hadapan, sementara di belakang menggunakan suspensi jenis multi-link. Model yang dipertontonkan ini juga dilengkapi dengan penyerap hentak Adaptive M Suspension.

    Papan pemuka yang lebih ringkas dan moden pula menampilkan buat kali pertamanya konsep paparan dan kawalan BMW Live Cockpit Professional (secara standard) yang dikuasakan oleh BMW Operating System 7.0. Sistem iDrive yang digunakan disambung kepada panel instrumen digital sepenuhnya dan panel kawalan Control Display bersaiz 12.3 inci boleh digunakan sama ada melalui butang, kawalan suara ataupun pergerakan. Head-up display (HUD) juga lebih besar – 7 x 3.5 inci.

    Menambahkan keselesaan dalam kenderaan, X5 G05 pengawal suhu empat zon, perehat tangan dengan ciri pemanas, tempat cawan dengan fungsi pemanas/penyejuk, bumbung kaca Panoramik yang 30% lebih jelas, pakej Ambient Air, sistem bunyi Bowers & Wilkins, sistem hiburan di belakan dengan skrin sesentuh 10.2 inci, iDrive Controller, butang start/stop dan pilihan tombol gear kaca.

    Turut boleh didapati servis BMW ConnectedDrive, serta merangkumi BMW Display Key, lampu suasana yang dinaik taraf dengan Welcome Light Carpet dan Dynamic Interior Light yang mempunyai penyalaan seperti denyutan di panel instrumen (apabila menerima panggilan telefon) dan panel pintu (apabila pintu terbuka waktu enjin hidup).

    Untuk sistem bantuan pemandu, ia serba lengkap dengan BMW Personal CoPilot, termasuk Driving Assistant Professional bersama Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning dan Lane Departure Warning, Side Collision Protection, Evasion Aid, Crossing Traffic Warning, Priority Warning dan Wrong-Way Warning.

    BMW X5 G05 baru ini akan ditawarkan dalam pilihan warna Mineral White, Black Sapphire, Artic Grey dan Phytonic Blue. Begitu juga dengan pilihan untuk kemasan ruang dalaman; material kulit Vernasca boleh didapati dalam warna hitam klasik dengan Aluminium Tetragon bagi pilihan warna Mineral White dan Black Sapphire. Selain itu, BMW X5 generasi keempat ini juga didatangkan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, Program Servis Berjadual Percuma serta Jaminan Tayar BMW.

     
     
  • BMW X4 G02 xDrive30i M Sport diperkenal – RM380k

    BMW X4 G02 xDrive30i M Sport diperkenal – RM380k

    BMW X4 G02, yang merupakan generasi kedua model itu menggantikan F26 sebelum ini sudah pun diperkenalkan di Malaysia dalam satu varian sahaja iaitu xDrive30i M Sport. Harga anggaran yang dikeluarkan adalah RM380,000 tidak termasuk insurans dan datang dengan waranti lima tahun tanpa had batuan, program servis berjadual percuma serta program waranti tayar BMW.

    X4 G02 yang juga boleh dianggap sebagai X3 versi coupe ini mempunyai bahagian hadapan lebih dinamik, dengan gril kidney yang lebih besar, lampu hadapan LED adaptif, fungsi bantuan lampu tinggi serta cermin hadapan akustik untuk mengurangkan bunyi bising. Bahagian bumbung pula menjunam di bahagian belakang.

    Melihat kepada ukuran, X4 G02 baru ini 81mm lebih panjang (4,752 mm) dan 37 mm lebih lebar (1,918 mm), tetapi bumbungnya lebih rendah sebanyak 3 mm menjadi 1,621 mm. Dengan perubahan saiz ini, bahagian dalam juga menjadi lebih luas iaitu tambahan 27 mm lagi untuk ruang kaki penumpang dan tambahan 25 liter untuk ruang simpanan belakang (menjadi 525-1,430 liter bergantung kepada tetapan tempat duduk).

    BMW X4 G02 xDrive30i M Sport diperkenal – RM380k

    Memandangkan model yang tiba di Malaysia ini adalah model spesifikasi M Sport, anda boleh melihat ia menggunakan kit badan pakej M Aerodynamics, kemasan hitam Shadow Line BMW Individual, bumbung panoramik, angkup brek M Sport berwarna biru serta rim M 20 inci yang mempunyai lebar berbeza antara depan dan belakang (tayar 245/45 di depan dan 275/45 di belakang).

    Enjin yang digunakan untuk menggerakkan X4 xDrive30i M Sport ini adalah unit empat silinder sebaris 1,998 cc petrol turbo, yang dipadankan bersama kotak gear Steptronic lapan kelajuan, mampu menghasilkan 252 hp pada antara 5,200 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,450 hingga 4,800 rpm. Laju maksimum model ini adalah 240 km/j dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dan penggunaan bahan api 7.8 liter bagi setiap 100 km.

    Masuk ke dalam, rekaan papan pemuka juga diberi perubahan dan ia dipasang dengan kelengkapan spesifikasi tinggi termasuk skrin sensitif sentuhan 10.25 inci BMW Navigation System Professional, sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara, panel instrumen resolusi tinggi 12.3 inci, head-up display berwarna, sistem kawalan suara serta sambungan fungsi BMW ConnectedDrive.

    Pada bahagian keselamatan, model ini datang dengan beg udara hadapan, sisi (depan sahaja), bidai (depan hingga belakang) dan atas, Dynamic Stability Control (DSC) yang termasuk Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) serta Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist. Membantu pemandu lagi adalah cruise control dengan fungsi brek, Parking Assistant dan kamera pandangan belakang.

    Kelengkapan lain yang ada pada X4 xDrive30i M Sport adalah suspensi adaptif, stereng sport, pendingin hawa automatik tiga zon, lampu kabus LED, lampu dan pengelap cermin automatik serta kemasan dalam Aluminium Rhombicle dan Pearl Chrome.

    Untuk warna luar kenderaan, BMW Malaysia menawarkan pilihan warna putih (Alpine White), hitam (Carbon Black), merah (Flamenco Red) dan biru (Phytonic Blue). Untuk bahagian dalam, balutan kulit Black Vernasca boleh didapati bagi kesemua warna luar yang ditawarkan, sementara kulit warna Tacora Red Vernasca pula hanya ditawarkan secara eksklusif untuk Alpine White dan Carbon Black.

     
     
  • Proton tawar promosi data internet ekstra 50% sempena Raya – RM8-RM30 untuk 1.5GB-7.5GB

    Klik untuk besarkan

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Proton telah mengumumkan Promosi Data Tambahan Raya bagi memberikan para pelanggan data internet ekstra sehingga 50% apabila menambah nilainya. Promosi yang bermula hari ini (29 Mei) dan bakal berakhir pada 5 Julai 2019 (jam 5 petang).

    Sebagai contoh, bagi yang membeli pelan data 1 GB (RM8) akan menerima tambahan 500 MB, sementara pilihan 3 GB (RM21) akan mendapat ekstra 1.5 GB. Bagi penggunaan data yang lebih banyak, bolehlah memilih pelan bermula 5 GB, kerana dengan RM30, anda boleh mendapat data sehingga 7.5 GB.

    Walau bagaimana pun, tawaran ini hanyalah untuk kereta yang dilengkapi unit utama skrin sesentuh terkini (atau pun sistem GKUI), yang boleh didapati pada model Proton X70, Persona Premium, Iriz Premium dan juga Exora Premium yang baru dilancarkan.

     
     
  • Honda e – kamera sisi adalah standard, kini sudah mula boleh ditempah pada pasaran Eropah terpilih

    Honda e – kamera sisi adalah standard, kini sudah mula boleh ditempah pada pasaran Eropah terpilih

    Honda telah mengumumkan bahawa hatchback elektrik sepenuhnya prototaip Honda e akan dijelmakan sebagai model produksi, dan ia telah pun boleh ditempah di pasaran negara-negara Eropah terpilih.

    Apa yang menarik lagi, sistem kamera sisi bagi menggantikan cermin sisi pandang belakang pada versi prototaip tersebut turut akan dibawa ke model produksi sebenar, dan ia adalah standard untuk semua varian yang ditawarkan kelak.

    Sistem berkenaan akan dilengkapi sepasang kamera di kedua-dua sisi kereta tersebut yang terletak pada bahagian yang selalunya ditempatkan cermin sisi pandang belakang.

    Direka dengan saiz kompak dan boleh disorokkan ke dalam badan, imej dari kamera berkenaan akan dipaparkan ke dua buah kamera bersaiz enam-inci, diletakkan secara eronomik pada kedua-dua sisi papan pemuka bagi memberikan rasa semulajadi dan paparan lebih jelas kepada pemandu.

    Menurut Honda, dengan sistem ini bukan sahaja memberikan penglihatan yang lebih baik, malah rekaannya mampu mengurangkan rintangan angin sehingga sekitar 90% berbanding cermin sisi konvensional – sekitar 3.8% lebih baik bagi keseluruhan kereta. Ia juga akan mengurangkan bunyi angin secara signifikant yang selalunya dihasilkan oleh cermin sisi biasa.

    Honda turut menghasilkan rekaan kamera tersebut bagi mengelakkan air menitik pada lensanya, serta di saluti lapisan anti-air pada permukaan lensa bagi menghalang dari takungan air terjadi.

    Pada skrin pula, pemandu boleh memilih untuk melihat sama ada ‘pandangan normal’ atau ‘pandangan lebar’ yang akan memberikan pandangan lebih luas dan mengurangkan titik buta sebanyak 10%. Pencahayaan pada skrin juga akan dilaras secara automatik dan secara keseluruhan sistem ini telah diuji secara ekstensif dalam keadaan cuaca buruk, gelap dan malam bagi memastikan ia sentiasa memberikan visual terbaik serta anti-silau.

    Model elektrik sepenuhnya yang dilihat seperti jelmaan semula Honda Civic ‘telur’ generasi pertama ini dijangka akan mula dijual di Eropah pada tahun 2020, di mana versi produksinya mungkin akan didedahkan pada hujung tahun ini. Dengan satu cas penuh, Honda e boleh bergerak lebih dari 200 km, dan fungsi cas cepatnya membolehkan bateri di cas 80% penuh dalam masa hanya 30 minit.

    Honda turut menjanjikan hatchback elektrik ini akan memberikan pengalaman pemanduan yang seronok dan dinamik, dengan unit janakuasa elektrik terkini yang memacu roda belakang serta bateri berprestasi tinggi.

    Inspirasi Civic generasi pertama masih lagi banyak dikekalkan pada bahagian dalam, terutamanya papan pemuka yang direka dengan konfigurasi dek berkembar, bersama kemasan seakan kayu merentanginya. Juga, roda stereng dua jejari akan mengingatkan kita kepada Civic SB1.

    Ruangan kabin ini menerima rekaan moden minimalis, yang akan mewujudkan suasana menenangkan untuk pemandu dan penumpang, dakwa Honda. Perasaan seperti berada di lounge diberikan menerusi fabrik sofa gaya melange dan material-material lain yang boleh dijumpai di rumah kontemporari.

     
     
  • Ferrari tunjuk teaser hybrid supercar baharu

    Kurang daripada 24 jam, Ferrari bakal memperkenalkan hybrid V8 supercar terkininya. Pengeluar jentera prestasi tinggi ini telah menyebarkan video berdurasi 10 minit menerusi platform media sosial untuk menunjukkan lakaran digital rekaan model ini, yang menumpukan bahagian lampu belakang LED segi empat tepat yang menarik pandangan.

    Tidak banyak yang diketahui mengenai supercar ini, tapi CEO syarikat Louis Camilleri berkata ia bukanlah model edisi terhad sebaliknya hanya model produksi dengan “kitar hayat biasa”. Ada sumber pula menyatakan model ini didatangkan dengan unit V8 yang dipadankan bersama motor elektrik, malah ada yang mendakwa ia akan mempunyai tiga motor elektrik untuk hamburan kuasa sistem kombinasi sekitar 1,000 hp.

    Selain itu, ada spekulasi turut bertebaran, memetik kenyataan CTO Ferrari Michael Leiters pada tahun lalu, yang menyatakan akan membangunkan kuasa yang lebih padu berbanding 488 Pista, sekaligus meletakkannya pada kedudukan tertinggi dalam barisan jentera sport keluaran syarikat tersebut. Walau bagaimana pun, Camilleri berkata Ferrari mensasarkan 60% bagi portfolio produk bakal mempunyai varian hibrid menjelang tahun 2022, dan jentera elektrik-penuh akan dilancarkan selepas 2022.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024