Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Peugeot 308 facelift dilancarkan di Malaysia – RM130k

    Peugeot 308 facelift dilancarkan di Malaysia – RM130k

    Bulan lalu kami telah menerima risalah jualan yang bocor bagi Peugeot 308 facelift dalam media sosial, dan sekarang, pengedar kenderaan jenama itu di Malaysia telah pun melancarkannya untuk pasaran. Kereta tersebut kini dipamerkan dalam dua versi iaitu THP dan GTi, tetapi apa yang anda lihat ini adalah versi THP.

    Harga untuk model THP baru ini tidak lari jauh berbanding sebelum ini, iaitu RM129,888 termasuk insurans (model sebelum ini dijual pada RM132,888 termasuk insurans dan GST) dan datang bersama jaminan lima tahun atau 120,000 km serta bantuan Peugeot Assistance 24 jam selama tiga tahun.

    Pada bahagian luar, antara perubahan model baru ini termasuk lencana singa yang diubah dari atas bonet kepada atas gril yang lebih tinggi dan tegak, serta bampar yang lebih sporty dengan bukaan udara yang lebih jelas. Unit lampu utama masih lagi menggunakan LED, tetapi lampu belakang yang mempunyai pencahayaan seperti tiga cakar menyala sepanjang masa. Rim masih lagi menggunakan rekaan Saphir 18 inci, tetapi mempunyai warna lebih gelap.

    Masuk ke dalam, anda akan dapat melihat sistem infotainmen i-Cockpit dengan skrin sesentuh kapasitif (masih lagi berukuran 9.7 inci), dan sambungan Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink. Untuk kelengkapan, model THP ini tidak mempunyai bumbung panoramik, fungsi mengurut pada tempat tempat duduk dan tempat duduk balutan Alcantara seperti model sebelum facelift, dan resolusi skrinnya juga lebih rendah.

    Walaupun begitu, ia masih lagi mendapat sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa dua zon, enam pembesar suara dan kamera undur. Pada aspek keselamatan pula, enam beg udara, ABS, EBD, BA, Stability Control dan Hill Start Assist datang secara standard, tetapi sistem brek autonomous dan Adaptive Cruise Control pada model sebelum ini tiada pada model facelift baru.

    Di bawah bonet, enjin petrol empat silinder 1.6 liter THP turbo masih lagi dikekalkan, tetapi kuasanya ditingkatkan menjadi 167 PS pada 6,000 rpm (sebelum ini 152 PS). Tork pula masih lagi 240 Nm pada 1,400 rpm, bersama padanan transmisi automatik Aisin lapan kelajuan yang sama. Peugeot 308 THP kini sedang dipamerkan di pusat beli belah 1 Utama sehingga 28 Oktober.

     
     
  • BMW tambah senarai panggilan semula kereta yang berisiko terbakar – kini cecah sehingga 1.6 juta unit

    BMW tambah senarai panggilan semula kereta yang berisiko terbakar – kini cecah sehingga 1.6 juta unit

    BMW telah menambah lagi senarai panggilan semula kereta-kereta buatannya yang dikesan mempunyai risiko untuk terbakar sehingga 1.6 juta unit, berbanding 480,000 unit pada pertengahan Ogos lalu untuk Eropah dan Asia. Panggilan semula ini dibuat selepas penyiasatan yang dilakukan BMW menjumpai ada kebocoran cecair penyejuk dari sistem EGR kereta-kereta berkenaan, yang boleh menyebabkan manifold kemasukan cair, dan paling teruk, boleh terbakar.

    Panggilan semula ini melibatkan 1.6 juta kenderaan yang membabitkan model diesel empat- dan enam-silinder yang diproduksi antara Ogos 2010 dan Ogos 2017, manakala tempoh produksi setiap satu daripadanya mungkin berbeza berdasarkan model, dakwa BMW. Panggilan semula ini juga langkah lanjutan pengharaman sekitar 20,000 unit BMW di Korea selepas 27 kes enjin terbakar dilaporkan di negara tersebut Ogos lalu; yang kini telah meningkat kepada 40 kes, lapor Bloomberg.

    Tiada perincian spesifikasi model diesel yang terlibat dalam panggilan semula ini disiarkan, namun menurut BMW mereka akan berhubung dengan pemilik kenderaan yang terlibat.

    Tahun lalu BMW turut pernah menjalankan panggilan semula yang melibatkan kerosakan yang berisiko menyebabkan kebakaran di Amerika Utara di mana 1.4 juta kenderaan terlibat dalam dua masalah berbeza. Masalah pertama adalah disebabkan pemanas pada injap PCV yang berisiko berlakunya litar pintas; melibatkan 40,561 kenderaan termasuk 1 Series 2008-2011 serta 3 dan 5 Seires 2007-2011, X3, X5 dan Z4.

    Masalah kedua pula melibatkan 672,775 unit 3 Series 2006-2011, di mana pendawaian dan penyambung elektrikal untuk sistem penghawa dingin mungkin boleh panas melampau dan cair, yang akan menyebabkan kebakaran jika kereta tersebut dibiarkan.

     
     
  • Hyundai Santro baru tiba di India – harga dari RM22k

    Hyundai Santro baru tiba di India – harga dari RM22k

    Di India, terdapat satu model yang cukup laris keluaran Hyundai iaitu Santro, dan kini, ia telah diperbaharui dengan pelbagai peningkatan. Dalam keseluruhan barisan kenderaan yang ditawarkan di India, model ini diletakkan di antara Grand i10 dan juga Eon.

    Untuk mendapatkan bayangan saiz Santro ini, ia mempunyai ukuran 3,610 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,560 mm tinggi dan jarak roda 2,400 mm. Ini bersamaan 25 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar, 20 mm lebih tinggi dan jarak roda 20 mm lebih panjang berbanding i10 yang dijual di negara kita.

    Untuk model baru Santro ini, ia ditawarkan di India dalam lima varian yang mempunyai senarai kelengkapan berbeza, dan dua pilihan enjin iaitu 1.1L Petrol dan 1.1L Bi-Fuel (gabungan petrol dan CNG). Pilihan transmisi pula antara manual lima kelajuan ataupun automatik AMT.

    Hyundai Santro baru tiba di India – harga dari RM22k

    Bagi enjin petrol 1.1L empat silinder, ia mampu menghasilkan kuasa 69 PS pada 5,500 rpm dan 99 Nm tork pada 4,500 rpm, dengan penggunaan bahan api sekitar 20.3 km/l. Enjin 1.1L Bi-Fuel pula mempunyai kelebihan pada penggunaan bahan api dengan catatan sekitar 30.48 km/kg manakala kuasanya pula sedikit kurang, iaitu 59 PS pada 5,500 rpm dan 84.3 Nm tork pada 4,500 rpm. Bahagian barangan di belakang model Bi-Fuel ini juga dipenuhi dengan tangki CNG.

    Melihat kepada senarai kelengkapan, Santro baru ini boleh didapati dengan barangan seperti immobilizer, lampu kabus, cermin pandang belakang malap sendiri, pengesan undur dengan kamera, sistem masuk tanpa kunci, penunjuk arah pada cermin sisi, skrin infotainmen 17.64 sm, sambungan telefon pintar dengan ciri Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink, kawalan suara untuk audio dan telefon, soket USB, tingkap kawalan elektronik dan corong pendingin hawa di belakang.

    Untuk aspek keselamatan pula, Santro boleh didapati dengan dua beg udara hadapan, pemadam kebakaran untuk model CNG dan brek ABS dan EBD. Harga untuk Santro ini bermula dari 389,900 rupee (RM22,200) hingga 545,900 rupee (RM31,025), bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 km di India.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG A35 sedan sedang diuji

    SPYSHOT: Mercedes-AMG A35 sedan sedang diuji

    Jika anda rasa hot-hatch Mercedes-AMG A 35 4Matic cukup berkuasa tetapi kurang dari segi praktikaliti, ini mungkin jawapannya – Mercedes kini sedang membina A 35 berasaskan model A-Class sedan V177. Model berkenaan kelak akan bersaing dengan model seperti Audi S3 dan diletakkan lebih tinggi dari A 250 sedan, manakala A 45 sedan juga dijangka bakal dihasilkan selepas ini.

    Versi AMG sebenar ini, seperti model hatchbacknya menampilkan rupa yang lebih garang dari model sedan standard. Perubahan yang jelas adalah pada bahagian bampar belakangnya di mana versi berprestasi tinggi ini diberikan diffuser yang lebih agresif bersama liang udara sisi dan juga dua tip ekzos oval yang lebih besar.

    Boleh dijangka, sistem mekanikal model sedan ini adalah hampir sama dengan hatchback A 35 4Matic – dijana enjin M260 2.0 liter empat-silinder petrol dengan pengecas turbo twin-scroll, yang berupaya menjana 306 hp dan tork maksima 400 Nm.

    SPYSHOT: Mercedes-AMG A35 sedan sedang diuji

    Bagi transmisi pula, kotak gear klac berkembar AMG Speedshift tujuh-kelajuan automatik dibekalkan, bersama sistem pacuan semua roda bervariasi 4Matic. Untuk rekod, model hatchback A 35 berupaya untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j yang dihadkan secara elektronik – versi sedan nanti mungkin mempunyai prestasi yang hampir serupa.

    Mercedes-AMG A 35 4Matic hatchabck juga menerima mod pemanduan AMG Dynamic Select (Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Slippery), serta ciri lain seperti fungsi double-declutching pada mod Sport+ yang akan menghasilkan bunyi letupan pada ekzos menerusi pemasaan sistem nyalaan dan suntikan bahan api yang dilambatkan secara tepat. Pilihan sistem penyerap hentak adaptif turut ditawarkan.

    Pada bahagian dalaman pula model tersebut diberikan pelbagai tingkat taraf AMG seperti roda stereng rata di bawah, kemasan-kemasan khas dan juga tempat duduk bucket dengan pilihan balutan kulit buatan Artico atau gentian mikro Dinamica bersama serlahan jahitan merah. Ia turut menerima dua skrin bersaiz 10.25-inci setiap satu untuk paparan instrumen dan juga sistem multimedia baharu dengan kawalan suara pintar Mercedes-Benz User Experience (MBUX), serta lampu suasana 64-warna.

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 4Matic Hatchback

     
     
  • Pengeluar kereta Jerman dipelawa menyertai projek kereta nasional ketiga – Timbalan Menteri MITI

    Pengeluar kereta Jerman dipelawa menyertai projek kereta nasional ketiga – Timbalan Menteri MITI

    Pembuat kereta Jerman dipelawa untuk menyertai projek kereta nasional ketiga, ujar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Timbalan Menteri, Dr Ong Kian Ming berkata terdapat banyak syarikat kereta Jerman yang berjaya dalam segmen kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang dilengkapi banyak kandungan yang diperbuat dalam negara, laporan Bernama.

    “Sekiranya syarikat automotif Jerman berminat untuk meneroka peluang dalam projek kereta nasional ketiga ini, kita bersedia dan terbuka kepada cadangan mereka,” katanya sambil menambah akan membuat pengumuman mengenai sebarang kertas cadangan sama ada diterima daripada pembuat kereta Jerman.

    Sementara duta Jerman di Malaysia, Nikolaus Graf Lambsdorff berkata jenama kereta Jerman adalah tidak asing bagi pengguna Malaysia.

    “Empat pembuat kereta Jerman berhadap dapat memperluas perniagaan dan meningkatkan pengeluaran mereka di Malaysia. Mereka giat beroperasi di sini, bukan hanya menumpukan pasaran Malaysia malah negara jiran. Setakat ini, tiada cadangan atau pertanyaan minat secara rasmi daripada firma pembuat kereta Jerman untuk menyertai projek kereta nasional ketiga Malaysia,” katanya.

     
     
  • Dyson pilih Singapura untuk bina kilang kereta elektrik

    Dyson pilih Singapura untuk bina kilang kereta elektrik

    Sebelum ini pembuat peralatan elektrik, Dyson telah pun dilaporkan bakal membina dan memproduksi kereta elektrik dengan jenama tersebut. Perkembangan terbaharu, laporan dari pelbagai sumber termasuk BBC News, The Verge dan Autocar menyebut bahawa mereka telah menetapkan kilang kereta elektrik berkenaan akan dibina di Singapura.

    Dyson mengumumkan bahawa ahli lembaga pengarah telah meluluskan pembinaan kilang produksi tersebut di Singapura, yang disasarkan akan siap pada 2020. Satu email telah dihantar ke staf-staf Dyson menyatakan CEO Jim Rowan berkata pembinaan kilang berkenaan akan bermula Disember ini.

    Dyson bukanlah entiti yang asing di Singapura kerana mereka telah pun mempunyai kilang yang terletak di Tuas sejak 2013, beroperasi bagi memproduksi motor digital (motor elektrik dengan magnet kekal, yang sebenarnya sama dengan motor elektrik yang digunakan pada kereta-kereta elektrik) untuk penyedut vakum dan pengering rambut mereka. Manakala kilang memasang produk-produk tersebut juga telah berpindah dari Malmesbury, Wiltshire di UK ke Malaysia sejak tahun 2002.

    Dyson pilih Singapura untuk bina kilang kereta elektrik

    Keputusan terbaharu Dyson ini akan membolehkan syarikat tersebut meluaskan jaringan pembekal mereka di rantau ini. Menurut BBC News, syarikat berkenaan tidak mahu membina kilang di Britain (walaupun pengasasnya, James Dyson sendiri menyokong langkah Brexit yang diambil negara tersebut) tidak ada kaitan dengan kos.

    “Siangapura turut menawarkan akses ke pasaran dengan pertumbuhan yang tinggi dan juga rantaian pembekalan yang ekstensif serta tenaga kerja yang berkemahiran tinggi,” kata Rowan. “Singapura mempunyai kos asas yang tinggi, tetapi turut mempunyai kepakaran teknologi yang tinggi serta fokus. Jadi ia tempat yang sesuai untuk membuat jentera penuh dengan teknologi berkualiti tinggi, dan tempat yang sesuai untuk membuat kereta elektrik kami.”

    Kilang tersebut adalah sebahagian dari pelaburan £2.5 billion (RM13.5 bilion) dalam projek kereta elektrik berkenaan, yang akan menghasilkan kereta elektrik mewah dengan jumlah produksi kecil pada tahun 2021 dan dua lagi model produksi massa yang lebih murah selepas itu. Dyson telah pun memulakan operasi bagi persediaan untuk melancarkan kereta itu dengan membuka kampus teknologi di bekas tapak Tentera Udara Di-Raja di Hullavington, Wiltshire, dan turut menempatkan litar ujiannya.

     
     
  • Projek monorel di Putrajaya bakal diteruskan – PPj

    Projek monorel di Putrajaya bakal diteruskan – PPj

    Selepas tertangguh sekian lama, Perbadanan Putrajaya (PPj) positif untuk meneruskan pembinaan monorel sebagai antara pengangkutan awam utama di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

    Menurut Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim, pihaknya ada perancangan ke arah itu kerana perkhidmatan monorel melengkapkan sistem pengangkutan di awam di pusat pentadbiran berkenaan. Walau bagaimana pun, buat masa ini, PPj sedang melihat daripada pelbagai sudut sebelum meneruskan projek terbabit termasuk dari sektor kewangan dan kepadatan penduduk, laporan Berita Harian.

    “Setakat hari ini, kita sedang melihat bagaimana untuk melaksanakan projek ini, kini ia masih pada peringkat kajian dan hampir siap. Sekiranya sudah siap kajian ini nanti, kita akan bentangkan kepada kerajaan,” katanya sambil menambah Putrajaya ialah kawasan perkhidmatan awam dan kebanyakan penduduk dan orang ramai sudah selesa dengan pengangkutan awam sedia ada.

    Sambungnya lagi, disebabkan projek ini melibatkan pelaburan yang besar, maka haruslah memberi manfaat, malah ia juga akan menghubungkan dari utara ke selatan Putrajaya.

    “Selain itu, ia turut menghubungkan beberapa lokasi tumpuan seperti pusat beli-belah Alamanda, bangunan kerajaan yang utama serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC),” katanya.

     
     
  • Audi R8 2019 dapat rupa depan seperti A1, V10 620 PS

    Audi R8 2019 dapat rupa depan seperti A1, V10 620 PS

    Audi R8 generasi kedua telah berada dalam pasaran sejak tahun 2015, dan pengenalan model facelift memang sudah dirancang seperti yang boleh diketahui melalui spyshot serta kemunculan R8 LMS GT3 sebelum ini. Sekarang, Audi Sport telah pun mendedahkan R8 baru dalam dua bentuk badan iaitu Coupe dan Spyder, dengan penjualan dirancang bermula awal tahun 2019 di Eropah.

    Dalam versi terbaru ini, R8 mendapat penggayaan inspirasi daripada model A1 terkini, yang juga membawa konsep Audi Ur-Quattro klasik. Perkara ini boleh dilihat jelas melalui gril dengan jalur melintang yang terbahagi kepada tiga bawah sedikit daripada logo di depannya dan di bawah terdapat gril Singleframe yang lebih lebar dan rata.

    Bahagian lain yang diubah adalah bampar, yang kini mempunyai bukaan udara di bucu lebih agresif dan tajam, sementara di hujungnya terdapat satu lagi bahagian terbuka berbentuk menegak. Turut dipasang adalah splitter hadapan yang lebih lebar, bersama gril untuk udara keluar yang memenuhi bahagian belakang kenderaan.

    Diffuser belakang yang kini kelihatan lebih jelas pada R8 baru diapit oleh muncung ekzos berbentuk bulat, sama seperti model Audi Sport varian tinggi yang lain, manakala penapis udara kini boleh didapati berada di bawah penutup yang terbahagi tiga (boleh didapati dalam binaan plastik atau gentian karbon). Bahagian dalam pula tidak banyak berubah kecuali penggunaan bahan balutan tempat duduk baru.

    Audi akan menawarkan pelanggan dengan sekurang-kurangnya tiga pakej luaran untuk dipilih, bergantung kepada varian enjin yang dimahukan, dan ia menggunakan komponen badan dengan kemasan yang berbeza. Perincian tambahan lain untuk logo serta lencana Audi juga boleh didapati untuk R8, serta warna metalik baru Kemora Grey dan Ascari Blue.

    Seperti yang dijangka, R8 akan ditawarkan dengan enjin 5.2 liter V10 daripada Lamborghini, dengan kuasa yang lebih tinggi. Untuk spesifikasi standard, enjin ini menghasilkan 570 PS (562 hp) dan 550 Nm tork, dan ini adalah 30 hp dan 10 Nm lebih tinggi berbanding model sebelum ini. Ia juga membolehkan versi Coupe memecut 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat manakala versi Spyder akan mengambil masa 3.5 saat. Laju maksimum pula masing-masing adalah 324 km/j dan 322 km/j.

    Audi R8 2019 dapat rupa depan seperti A1, V10 620 PS

    Sementara itu, model R8 V10 performance quattro hadir menggantikan V10 plus, dan ia mampu menghasilkan kuasa 620 PS (612 hp) dan 580 Nm tork, atau bersamaan dengan 10 PS dan 20 Nm lebih banyak berbanding sebelum ini. Dengan talaan yang lebih berkuasa ini, versi Coupe boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat manakala versi Spyder akan mengambil masa 3.2 saat. Laju maksimum pula adalah 331 km/j untuk Coupe dan 329 km/j untuk Spyder.

    Audi juga telah melakukan sedikit perubahan pada bahagian suspensi untuk menjadikan R8 lebih stabil dan mempunyai kawalan yang tepat dengan menyentuh bahagian stereng dinamik serta stereng kuasa elektromekanikalnya. Pengeluar dari Jerman ini juga telah memperkenalkan tiga tetapan baru iaitu Dry, Wet dan Snow untuk sistem Audi Drive Select.

    Kelengkapan tambahan lain yang boleh dipilih oleh pembeli R8 baru ini adalah termasuk rim 20 inci untuk menggantikan rim 19 inci standard, brek seramik untuk menggantikan cakera brek besi biasa dan splitter hadapan yang diperbuat daripada polimer/aluminium yang diperkuat dengan gentian karbon, seterusnya mengurangkan berat sebanyak 2 kg lagi.

     
     
  • Toyota Hilux Invincible 50 – rai ulangtahun ke-50 tahun Hilux, dibina hanya 50 unit, untuk pasaran UK sahaja

    Toyota Hilux Invincible 50 – rai ulangtahun ke-50 tahun Hilux, dibina hanya 50 unit, untuk pasaran UK sahaja

    Sempena meraikan 50 tahun Toyota Hilux menerjah pelbagai permukaan jalan, Toyota menghasilkan model istimewa trak pikap berkenaan digelar Hilux Invincible 50. Diberikan pelbagai aksesori yang bukan sahaja lebih garang, malah meningkatkan kebolehan off-road, trak pikap ini sebenarnya hanya dipasarkan di UK dan dibina hanya sebanyak 50-unit oleh pakar kenderaan sedemikian dari Iceland iaitu Arctic Trucks (syarikat sama yang menghasilkan Hilux Polar Special untuk Top Gear).

    Ubahsuai dari segi mekanikal ditumpukan pada sistem suspensi di mana Arctic Trucks telah memadankan suspensi dari Bilstein. Untuk itu, Hilux Invincible 50 ini mempunyai sudut approach dan berlepas yang lebih tinggi, manakala kelegaan tanahnya naik 40 mm di hadapan dan 20 mm di belakang. Ini membolehkan trak pikap berkenaan kini boleh meredah pelbagai laluan yang lebih lasak.

    Menurut Toyota, walaupun suspensi trak pikap ini telah diubahsuai kearah prestasi pada laluan off-road, ia masih tidak mengganggu keselesaan dan juga prestasinya ketika dipandu pada permukaan jalan biasa.

    Toyota Hilux Invincible 50 – rai ulangtahun ke-50 tahun Hilux, dibina hanya 50 unit, untuk pasaran UK sahaja

    Suspensi yang bagus tidak berguna sekiranya masih menggunakan set rim dan tayar standard. Oleh itu, Hilux Invincible 50 ini diberikan rim aloi 16-inci berwarna hitam, dibaluti tayar all-terrain berprestasi tinggi BF Goodrich KO2 iaitu tayar yang sama dengan Ford Ranger Raptor, namun dengan saiz 265/75R16.

    Dengan rupa yang kini lebih tinggi bersama set rim dan tayar yang lebih agresif, Hilux Invincible 50 ini turut diberikan pelbagai aksesori lain bagi melengkapkan rupanya. Pelindung pada keempat-empat ruang roda kini diberikan unit yang lebih lebar, manakala pada bahagian bed diberikan sports bar dua palang yang lengkap dengan plat ‘Invincible 50’ dan juga empat unit lampu sorot LED pada bahagian atas bagi membantu pencahayaan untuk memandu pada apa jua bentuk permukaan jalan.

    Versi istimewa ini juga diberikan perincian-perincian Invincible 50 termasuk emblem pada bahagian bawah pintu hadapan dan pintu tailgate belakang, cop Invincible 50 pada setiap lampu sorot LED dan juga plak Invincible 50 bersama nombor produksi unik di belakang tuil penukar gear. Ia juga menerima mud flap Arctic Trucks, penderia parkir, bedliner Line-X yang lebih lasak, serta grafik ‘TOYOTA’ klasik pada pintu tailgate. Kesemua 50-unit Hilux istimewa ini diberikan warna badan hitam.

    Toyota Hilux Invincible 50 masih dijana enjin sama dengan model standard iaitu enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.4 liter yang mampu menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm, dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm dan 2,000 rpm. Enjin tersebut hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Model ini hadir dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense yang terdiri dari Sistem Pra-Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong dan Bantuan Papan Tanda Jalan. Selain itu, Hilux Invincible 50 turut diberikan cruise control, sistem multmedia Toyota Touch 2 bersama navigasi GPS, penghawa dingin automatik dan juga sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin. Penghantaran akan bermula Disember ini.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz C-Class facelift W205 di Malaysia – C200 Avantgarde, C300 AMG Line dan C43

    SPYSHOT: Mercedes-Benz C-Class facelift W205 di Malaysia – C200 Avantgarde, C300 AMG Line dan C43

    Selepas melancarkan model A-Class W177 minggu lalu, nampak gayanya Mercedes-Benz Malaysia semakin agresif memperkenalkan model baharu sebelum 2018 melabuhkan tirainya.

    Model baharu yang dimaksudkan ialah C-Class W205 facelift – yang didedahkan pada Julai lalu bakal tampil dengan suntikan segar bagi model kompak eksekutif yang dijangka akan dilancarkan pada suku ke-empat ini. Pembaca Daniel Chew telah mengirimkan foto yang dirakamkan ini, dengan model tersebut yang sedang diangkut dengan treler dan tidak ditutupi. Ternyata, bukan satu varian sahaja yang kelihatan, sebaliknya tiga varian, memberikan gambaran untuk barisan baharu model tersebut.

    Barisan tersebut bermula dengan C 200, yang kini menampilkan penjana kuasa M264 baharu. Unit 1.5 liter twin-scroll turbo ini menawarkan kuasa 181 hp (184 PS) pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 280 Nm pada 3,000 hingga 4,000 rpm, dan menampilkan sistem elektrikal 48-voltan yang disambungkan pada belt-driven starter/alternator, yang boleh menyokong enjin dengan lonjakan 13 hp (10 kW) dan 160 Nm apabila ia diperlukan. C 200 bakal dijual di sini sebagai varian Avantgarde.

    Model kedua yang dilihat menerusi foto ini ialah C 300, yang akan tiba dengan kemasan AMG Line, kerana ia adalah pre-facelift. Varian ini masih mengekalkan enjin yang sama iaitu M274 2.0 liter suntikan terus pengecas turbo dengan kuasa 241 hp (245 PS) pada 5,500 rpm dan 370 Nm dari 1,300 hingga 4,000 rpm.

    Model ketiga pula Mercedes-AMG C 43 sedan, yang diberi suntikan lebih segar bersama C-Class biasa. Ia digandingkan dengan enjin 3.0 liter biturbo V6 yang kini menawarkan 385 hp, meningkat 23 hp berbanding 362 hp pada model pre-facelift.

    Barisan model baharu ini juga akan dilengkapi dengan roda stereng baharu, paparan instrumen digital 12.3-inci dengan tiga pilihan gaya paparan dan juga pilihan kemasan dalaman yang lebih segar. Model tempatan ini juga menerima skrin tengah yang lebih besar, unit 10.25 inci seperti yang didedahkan menerusi foto dalaman ini.

     
     
  • Shell perkenal kedai runcit Shell Select pertama guna Bingobox Retail Technology, bayaran tanpa tunai

    Shell perkenal kedai runcit Shell Select pertama guna Bingobox Retail Technology, bayaran tanpa tunai

    Shell Malaysia telah melancarkan cawangan kedai runcit Shell Select yang pertama yang menggunakan teknologi runcit Bingbobox. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan akses kepada kedai runcit berkenaan pada bila-bila masa dan menyediakan kaedah pembayaran elektronik.

    Kedai runcit tanpa tenaga kerja manusia ini terletak di Tezz Enterprize di Jalan Tun Razak dan beroperasi 24 jam sehari. Selain daripada pembayaran boleh dibuat menggunakan kad debit atau kredit, pelanggan juga boleh menggunakan aplikasi mudah alih Bingobox untuk peranti Android dan iOS.

    Selepas memuat turun aplikasi Bingobox, pengguna perlu mengimbas kod QR yang ada, dan meletakkan barangan yang ingin dibeli di kaunter untuk menentukan harga yang perlu dibayar. Boost e-Wallet juga boleh digunakan untuk tujuan pembayaran.

    Shell perkenal kedai runcit Shell Select pertama guna Bingobox Retail Technology, bayaran tanpa tunai

    “Kami berbangga untuk menjadi yang pertama dalam insutri ini yang menyediakan inovasi seperti ini kepada pelanggan Shell. Dengan bantuan teknologi, petugas Shell kini mempunyai lebih masa untuk melayani keperluan pelanggan yang berada di lokasi,” jelas Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain.

    Bingobox berasal dari China, dan teknologi berkenaan dibawa ke Malaysia melalui Scientific Retail, sebuah usaha sama antara Bingobox dan pemegang saham warga Malaysia. Setakat ini, Bingobox sudah dipasang di 400 lokasi sekitar China, seperti dilaporkan oleh The Edge Markets.

    “Kami berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi kepada inovasi ini, yang menyediakan lebih banyak pilihan untuk keselesaan pelanggan di Malaysia. Di sebalik teknologi Bingobox ini, kami dapat menyediakan pengalaman runcit yang sangat mudah ketika mereka berada di premis kami pada bila-bila masa,” jelas CEO Scientific Retail, Ng Seong Ping.

     
     
  • Ford keluarkan video teaser Mustang versi hibrid baru

    Ford keluarkan video teaser Mustang versi hibrid baru

    Dalam satu video teaser yang dikeluarkan oleh Ford, mereka telah menunjukkan sebuah kenderaan yang kelihatan seperti Mustang versi hibrid/elektrik di mana logo kudanya mempunyai pencahayaan biru di belakang. Video ini adalah sebahagian daripada kempen iklan Built Ford Proud yang terbaru oleh syarikat itu.

    Kereta yang dimaksudkan dalam video ini menggunakan gril yang tertutup, bersama lampu utama jenis dual-projector, dan dua ciri ini berbeza jika dibandingkan dengan Mustang berenjin biasa. Kami tidak boleh mengatakan secara tepat ini adalah Mustang generasi baru, tetapi satu perkara yang pasti, Mustang ini akan mendapat bantuan kuasa elektrik.

    Sebelum ini, Ford pernah memberitahu akan memperkenalkan Mustang dengan kuasa bantuan elektrik pada tahun hadapan, dan enjin hibrid padanya akan menghasilkan kuasa sama banyak seperti model yang menggunakan enjin V8 5.0 liter. Untuk pengetahuan anda, Mustang GT dengan enjin Coyote V8 mempunyai kuasa 411 hp dan 530 Nm tork.

    Ford keluarkan video teaser Mustang versi hibrid baru

    Sekiranya kereta yang ditunjukkan dalam video itu bukan Mustang hibrid, boleh jadi ia adalah SUV prestasi elektrik penuh jenama itu yang diberitahu akan diperkenal semasa Detroit Auto Show tahun ini. Sebelum ini, projek SUV itu dikaitkan dengan nama ‘Mach 1’, yang mempunyai kaitan dengan Mustang sebagai satu model prestasi.

    SUV elektrik Ford ini diberitahu boleh menawarkan jarak pemanduan sehingga 480 km dengan satu kali cas penuh dan akan berkongsi beberapa aspek penggayaan dengan Mustang. Ia juga akan bertindak sebagai pemangkin untuk kemasukan Ford ke dunia kenderaan elektrik.

     
     
  • FCA jual Magnetti Marelli kepada Calsonic Kansei

    FCA jual Magnetti Marelli kepada Calsonic Kansei

    Fiat Chyrsler Automobiles (FCA) telah pun mengumumkan bahawa pengeluar komponen automotif Magnetti Marelli yang sebelum ini di bawah naungannya kini telah dijual kepada gergasi pembekal komponen automotif dari Jepun iaitu CK Holding, milik Calsonic Kansei. Jualan yang bernilai 6.2 bilion euro tersebut bakal membentuk Magnetti Marelli CK Holdings, yang juga merupakan pembekal komponen kenderaan ketujuh terbesar di dunia berdasarkan jumlah hasil keseluruhan.

    Transaksi penjualan berkenaan dijangka akan lengkap pada separuh pertama 2019, dan syarikat gabungan baharu tersebut akan di terajui oleh Beda Bolzenius iaitu CEO Calsonic Kansei buat masa sekarang. CEO Magnetti Marelli Ermanno Ferrari pula akan menyertai Magnetti Marelli CK Holdings sebagai ahli lembaga.

    Entiti tersebut akan mengekalkan ibu pejabat operasi Magnetti Marelli di Corbetta, Milan, dan beroperasi dengan lebih dari 200 fasiliti dan pusat R&D di serata Eropah, Jepun, Amerika, dan rantau Asia-Pasifik.

    Turut dilaporkan bahawa FCA tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat baharu berkenaan, namun mereka masih mempunyai perjanjian berberapa tahun bagi pembekalan komponen yang akan memastikan kemampanan operasi perniagaan dan tahap perkerjaan Magnetti Marelli di Itali.

    Magnetti Marelli yang ditubuhkan pada 1919 telah pun bernaung sebagai subsidiari FCA dan syarikat sebelumnya sejak 1967. Syarikat berkenaan terkenal dengan kepakaran mereka dalam sistem lampu, janakuasa dan komponen elektronik.

    Manakala Calsonic Kansei pula merupakan pengeluar global bagi produk-produk komprhensif seperti produk berkaitan haba, sistem eksoz, bahagian dalaman serta elektronik. Syarikat yang berasal dari Saitama, Jepun berkenaan sebenarnya kini dimiliki oleh syarikat equiti swasta Amerika Syarikat iaitu KKR yang telah mengambilalih Calsonic Kansei dari Nissan dan pemegang saham lain dua tahun lalu.

     
     
  • E-TAG EFKON – peranti SmartTAG berteknologi infra-merah telah pun berada di Malaysia, harga RM143

    E-TAG EFKON – peranti SmartTAG berteknologi infra-merah telah pun berada di Malaysia, harga RM143

    E-TAG yang dikeluarkan oleh EFKON Asia Sdn Bhd, penyedia teknologi Sistem Kutipan Tol Infra-merah, telah pun dilancarkankan. Menggunakan jenama sendiri, E-Tag EFKON ini membolehkan pengguna menikmati kemudahan yang ditawarkan di lorong SmartTAG.

    Menurut Pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch, generasi terkini peranti yang serasi dengan SMartTAG ini menawarkan kefungsian, kemudahalihan, kebolehpercayaan dan keberkesanan kos yang lebih baik.

    “E-Tag dan MaxTAG menampilkan mikropemprosesan baharu dan paparan yang dipertingkatkan untuk prestasi dan kebolehpercayaan yang lebih baik. Peranti TAG infra-merah ini terbukti memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna menerusi transaksi yang selamat di mana jumlah bayaran tol yang tepat dapat dilihat dengan serta-merta. Yang penting tiada kemungkinan pengklonan dan risiko hilang kawalan kewangan anda melalui kesilapan potongan,” ujar Blasch.

    E-TAG EFKON – peranti SmartTAG berteknologi infra-merah telah pun berada di Malaysia, harga RM143

    Menurutnya lagi, E-TAG dan MaxTAG adalah peranti mudah alih yang boleh turut boleh digunakan pada kenderaan lain serta tidak memerlukan pemasangan khusus untuk kemudahan pengguna.

    “Setiap peranti yang diperbuat adalah tahan lasak dan dilengkapi casing kalis hentaman. Oleh kerana ia boleh disimpan di dalam kenderaan dan tidak terdedah kepada keadaan persekitaran luar dan vandalisme, ia boleh bertahan selama 15 tahun atau lebih,” sambungnya lagi.

    Dijual pada harga RM143 seunit, peranti ini boleh didapati di rangkaian luar talian termasuk stesen minyak Shell terpilih, kedai-kedai aksesori serta jualan dalam talian MaxTAG di Lazada.com.my dan 11street.my. Ia juga hadir dengan waranti selama setahun dan sekiranya pembeli mahu menambah setahun lagi waranti, kos tambahan akan dikenakan. Sejak diperkenalkan, sebanyak lebih 1,500 unit telah terjual menerusi talian dalam masa empat hari.

     
     
  • Audi Q2L – SUV versi jarak roda panjang untuk China

    Audi Q2L – SUV versi jarak roda panjang untuk China

    Pengeluar dari Jerman iaitu Audi telah memperkenalkan model Q2L untuk pasaran China, dan ia menyertai Q5L untuk pasaran yang lebih gemarkan kenderaan jarak roda panjang tersebut. SUV ini dibuat di kilang FAW-Volkswagen dan dijual pada harga RMB217,700 (RM130,518).

    Melihat kepada aspek penampilan, Q2L masih nampak sama seperti Q2 biasa, kecuali pada panjang badannya. Ia kini mempunyai ukuran 4,229 mm dari depan sampai ke belakang, menjadikannya 38 mm lebih panjang berbanding Q2, dan berpunca daripada jarak roda yang lebih panjang iaitu 2,628 mm (Q2 biasa mempunyai jarak roda 2,595 mm).

    Lebihan 33 mm pada jarak roda Q2L tersebut menghasilkan ruang kaki yang lebih untuk penumpang belakang seterusnya memberikan lebih keselesaan berbanding Q2 biasa. Bahagian dalam juga masih sama dengan ciri standard yang datang padanya termasuk kokpit digital 12.3 inci, sistem infotainmen MMI dengan skrin 8.3 inci, sistem stereng progresif dan Adaptive Cruise Control.

    Q2L boleh didapati dengan enjin TSI 1.4 liter, yang ditala dalam dua kuasa berlainan, dan dipadankan bersama kotak gear DSG tujuh kelajuan. Versi permulaan mempunyai enjin yang berkuasa 131 PS dan 220 Nm manakala versi yang lebih tinggi mampu menghasilkan kuasa 150 PS dan 250 Nm tork.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024