PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

BMW iX yang baru sahaja dilancarkan minggu lepas telah menerima banyak perhatian dan ramai yang memanggilnya sebagai satu penawaran yang menarik. Walaubagaimanapun, dengan harga RM420k, ia bukanlah sebuah model mampu milik. Sekarang ini nampaknya kita sudah mempunyai pelbagai pilihan untuk EV premium/mewah di Malaysia. Sebagai contoh, BMW bukan sahaja menawarkan satu, tapi empat lagi EV tidak lama lagi tetapi, yang paling murah pun, iaitu MINI Cooper SE harganya RM213k. Bagi sebuah EV kecil dengan jarak gerak 230 km, itu adalah harga yang premium.

Kemudian, ada pula Porsche Taycan. Dengan harga RM585k, ia nampak masuk akal, apatah lagi jika mengambil kira penampilan, prestasi serta jenamanya. Tapi dengan semua ini, kita tidak boleh menafikan ia hanyalah satu mainan bagi orang kaya.

Satu-satunya EV mampu milik yang ada di Malaysia sekarang adalah Nissan Leaf, tapi itupun harganya RM181k, dan bukanlah mampu milik bagi kebanyakan orang. Bercerita tentang kereta ini, bila kali terakhir anda melihatnya atas jalan? Ataupun tak pernah langsung?

Sebelum itu, pada tahun 2016, Renault pernah cuba menjual Zoe pada harga RM146k, tetapi hanya beberapa buah sahaja. Kemudiannya, ada juga Twizy pada harga RM70k, tetapi itu tidak boleh dianggap sebagai sebuah kereta sebenar kerana cermin pun tak ada. Pada tahun 2013, kita ada Mitsubishi i-Miev yang dijual pada harga RM136k. Tetapi, kerana jarak gerak yang disediakan hanya 150 km (sebenarnya sekitar 100 km sahaja apabila berhadapan keadaan sebenar), jualannya tidak begitu memberangsangkan.

Jadi persoalannya sekarang, di manakah kereta elektrik mampu milik yang boleh kita beli dan kenapa anda masih belum dapat memiliknya? Jawapannya ada banyak, dan kebanyakannya tidak berapa sedap untuk didengar.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

EV secara amnya memang mahal. Atau paling tidak, EV yang kita nak beli.

Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita tengok dulu EV di pasaran lain, dan bagaimana peletakan harganya jika dibandingkan dengan model enjin pembakaran dalaman (ICE) biasa. Untuk menjadikannya lebih mudah, kita gunakan pasaran UK sebagai contoh. Di sini kami letakkannya dalam senarai supaya lebih mudah anda lihat.

  • Honda e dijual pada harga GBP28k (RM160k) manakala Jazz yang saiznya hampir sama GBP20k (RM115k). Ini bersamaan 40% lebih tinggi bagi model elektrik.
  • Nissan Leaf GBP26k (RM150k) vs Juke (model ICE paling hampir) GBP19k (RM109k). 37% lebih mahal.
  • VW e-up! GBP24k (RM138k) vs up! ICE GBP14k (RM80k). 73% lebih mahal.
  • Peugeot e-208 GBP27k (RM155k) vs 208 biasa GBP18k (RM103k). 50% lebih mahal.
  • Renault Zoe GBP28k (RM160k) vs Clio GBP16k (RM92k). 75% lebih mahal.
  • Hyundai Kona Electric GBP28k (RM160k) vs Kona biasa GBP21k (RM121k). 33% lebih mahal.
  • Tiada contoh dari Toyota kerana mereka masih tidak menjual EV di negara selain China, dan lebih banyak memberikan tumpuan kepada model hibrid.

Secara amnya EV memang jauh lebih mahal berbanding kereta ICE yang setaraf dengannya. Di UK, perbezaannya adalah antara 30% hingga 75%. Jika kita ambil contoh ini dan gunakannya pada pasaran Malaysia yang sangat sensitif dengan harga, kita sudah boleh nampak kenapa ia tidak akan laku. Nissan Leaf adalah antara contoh yang sudah ada.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Sudah tentu bukan semua EV adalah mahal. Saya pernah nampak EV yang murah dalam internet. Ya, tapi…

Ada sebab tertentu kenapa kami melihat kepada pasaran UK. Ia kerana kita mungkin juga menerima jenama serta model yang sama, dan kita juga boleh mengasingkan EV yang mungkin murah, tapi tidak akan dibeli oleh orang Malaysia.

Cuba ambil contoh Wuling Hong Guang Mini, yang baru-baru ini menjadi hangat kerana mengatasi jumlah jualan Tesla Model 3 di China. Harganya cuma RMB38k (RM24k), tetapi bateri yang digunakan cuma berkapasiti 9.3 kWH dan hanya boleh memberikan jarak gerak 120 km. Saiznya yang di bawah tiga meter juga adalah lebih kecil berbanding Perodua Kancil.

Kalau anda ingat tahun lepas, ada satu syarikat menjadi tular kerana menjual sebuah EV dikenali sebagai Mini EV X2 di Malaysia dengan harga serendah RM13.8k). Kereta ini kononnya boleh mencapai kelajuan sehingga 50 km/j tetapi tidak boleh dibawa secara halal di atas jalan raya Malaysia.

Sebelum anda mengatakan bahawa kami cuma memburukkan EV China, sebenarnya tidak. Sebenarnya ada banyak EV China yang boleh diterima, tetapi seperti yang boleh dijangka, harganya adalah lebih tinggi berbanding kereta ICE biasa.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Dua EV paling laris di China (selain Tesla) adalah GAC Aion S dan BYD Han EV yang dijual pada harga RMB160k (RM102k) dan RMB230k (RM148k). Ada juga model lebih premium, seperti SUV Li Xiang One dan XPeng P7, yang kedua-duanya dijual pada harga RMB338k (RM217k).

Maksudnya di sini, walaupun ada EV yang sangat murah dijual di China, ia tidak akan laku di Malaysia. Model yang mahu kita pakai harganya lebih tinggi, dan lebih mahal berbanding kereta biasa – seperti contoh yang kami letakkan di atas.

Baiklah, kalau ada yang katakan ini cuma omong kosong, kita ambil pula contoh pasaran India, yang juga menarik. Antara model yang baru diperkenalkan adalah Tata Tigor EV, iaitu sebuah sedan elektrik segmen permulaan dengan jarak gerak 306 km dan dijual pada harga INR1.199 juta (RM68k). Ia adalah sebuah kereta biasa bersaiz bawah empat meter yang dibuat khas untuk pasaran India, dan juga masih lebih mahal berbanding Tigor petrol berharga INR565k (RM32k) yang digunakan sebagai asas.

Melihat pula kepada Thailand, MG EP EV dijual pada harga THB988k (RM133k). Ini adalah sebuah EV segmen C serba ringkas, dalam bentuk wagon dan dianggap antara calon terbaik untuk EV mampu milik di benua ini. Jarak gerak 380 km dan bentuk yang biasa pada kenderaan ini menjadikan ia satu pilihan yang masuk akal untuk Malaysia, tetapi itu pun bergantung sekiranya kita boleh menerima harga (pasti juga akan lebih tinggi), rupa serta jenamanya.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Malaysia adalah satu pasaran yang sensitif kepada harga – mahukan teknologi canggih, tapi pada harga rendah

Sebelum EV, kita ada hibrid. Insentif khas hibrid menjadikan model hibrid agak popular di Malaysia, kerana harganya yang menarik. Contoh utama adalah Toyota Prius C dan Honda Jazz Hybrid. Lebih tinggi daripada itu terdapat Lexus CT200h dan Audi A6 Hybrid (hampir separuh produksi global akhirnya dijual di Malaysia).

Selepas daripada itu, insentif ini cuma diberikan kepada model hibrid CKD sahaja. Apabila harga CT200h dan Prius C kembali naik, ia terus hilang dari pasaran Malaysia dan hanya tinggal beberapa sahaja model hibrid CKD. Ini termasuk Honda Jazz Hybrid, Hyundai Ioniq Hybrid dan beberapa model premium lain daripada BMW, Mercedes-Benz dan Volvo.

Malangnya, selepas fasa pertama hibrid tanpa cukai, rakyat Malaysia sudah mempunyai jangkaan bahawa model hibrid adalah murah, atau lebih murah berbanding model petrol yang sama.

Model hibrid mempunyai lebih banyak komponen berbanding model petrol, sekaligus menjadikan kos pengeluarannya lebih tinggi. Tetapi, rakyat Malaysia menganggapnya lebih murah. Pengeluar terpaksa melakukan sesuatu bagi memastikan model ini boleh dijual.

Honda telah merendahkan spesifikasi model hibrid mereka untuk memastikan ia lebih murah berbanding varian paling tinggi. Ini bermakna, Jazz Hybrid, City Hybrid dan HR-V Hybrid menggunakan spesifikasi hampir kepada gred E dan bukannya gred V pada model petrol, demi menjadikannya lebih murah.

Walaupun begitu, rakyat Malaysia masih tidak nampak nilai semua ini, memandangkan model hibrid Honda mempunyai harga hampir sama seperti varian V paling atas (hanya kurang beberapa ratus ringgit sahaja), tetapi mempunyai kurang kelengkapan. Jualan adalah rendah, dan bagi Jazz Hybrid, ia gagal mencapai jumlah yang dimahukan.

Honda Malaysia akhirnya putus asa, dan penawaran terbaru mereka, iaitu City e:HEV sekarang diletakkan sebagai varian paling tinggi bagi model generasi tersebut – ini juga adalah cara yang digunakan di hampir semua pasaran lain. Hasilnya? Model hibrid ini cuma mencatat 3% daripada keseluruhan jualan City terbaru.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Bagi model premium, beza harganya adalah lebih besar. Pada waktu awal dahulu, BMW mengambil kesempatan penuh untuk menjual model PHEV mereka, sehinggakan pada satu tahap, BMW Malaysia menyumbang jumlah jualan hibrid paling besar di seluruh dunia.

Walaupun pada tahap itu, pelanggan masih menjangkakan model hibrid atau PHEV lebih murah berbanding model sama versi petrol. Lagipun, 530e sepatutnya lebih murah berbanding 530i disebabkan hibrid dikenakan cukai lebih rendah, kan?

Setakat ini BMW Malaysia telah berjaya menjadikan harga PHEV mereka lebih rendah, tetapi ia cuma dapat dilakukan dengan çara tertentu. Sama seperti Honda, BMW juga merendahkan spesifikasi model hibrid mereka untuk menjadikan varian e ini sebagai model “penuh nilai”. Sebagai contoh, spesifikasi 330e adalah jauh lebih rendah berbanding 330i.

Perlu diingatkan, ini adalah satu situasi yang unik jika dibandingkan dengan pasaran global lain, kerana model PHEV biasanya dijual pada harga lebih tinggi berbanding model sama versi petrol. Di Jerman, 330e dan 530e adalah lebih mahal berbanding 330i dan 530i. Walaubagaimanapun, cara itu tidak akan dapat diterima di Malaysia kerana kita sudah mempunyai jangkaan kereta hibrid sepatutnya lebih murah.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Kembali kepada topik utama. Pengguna Malaysia memang banyak songeh. Berikan mereka teknologi terbaru, pada harga yang murah, selepas itu barulah mereka akan beli.

Keadaan ini juga berlaku pada model hibrid, dan mereka menjangkakan situasi sama bagi EV. Letakkan harga yang sangat murah, tidak lebih daripada model petrol, dan selepas itu barulah ia boleh dipertimbangkan. Kalau anda lihat perbandingan harga UK yang kami letakkan di atas, ia tidak mungkin berlaku.

EEV – tiada lagi insentif khas untuk hibrid, apatah lagi EV

Sebelum ini isu tersebut agak panas, kerana sebaik sahaja insentif awal bagi model hibrid ditukar kepada model hibrid CKD, kerajaan Malaysia berpatah balik sekali lagi untuk memberikan kelebihan kepada model CKD secara amnya. Inilah dia era kenderaan cekap tenaga (EEV) yang sangat membingungkan.

Melalui penarafan EEV yang dibuat ini, kereta itu tidak penting lagi sama ada ia hibrid ataupun petrol. Selagi ia menggunakan kurang bahan api (atau “jimat tenaga”), ia akan mendapat insentif EEV. Mereka juga sepatutnya membuat penilaian emisi ekzos, seperti yang diumumkan pada tahun 2014, tetapi ia masih belum dilaksanakan, walaupun sudah mengambil masa tujuh tahun.

Jadi, secara teknikalnya, selagi kereta itu boleh mencapai sasaran penggunaan bahan api yang ditetapkan (kiraan berbeza, bergantung kepada berat) – tidak kiralah ia mempunyai kuasa elektrik ataupun tidak – akan mendapat status EEV, dikenakan kurang cukai, diberi insentif tambahan, seterusnya menjadikan harga lebih murah.

Perodua sudah biasa dengan cara ini. Keseluruhan model mereka mendapat penarafan EEV, dan kita tahu, semuanya tidak menggunakan kuasa elektrik. Jadi, Perodua tiada sebab untuk memberi penekanan kepada teknologi hibrid, apatah lagi EV.

Lagipun, untuk beralih kepada model hibrid ia akan menambah kos R&D, pengeluaran (komponen lebih rumit) dan juga penyelenggaraan jangka masa panjang. Tanpa sebarang insentif tambahan daripada kerajaan, semua ini hanya akan membawa kepada harga produk akhir yang lebih tinggi. Seperti yang dinyatakan di atas, model hibrid/EV yang mahal di Malaysia tidak akan terjual dengan mudah.

Bagi Proton pula, model PIES mereka tidak boleh mendapat status EEV lagi, maknanya, mereka berada lebih jauh ke belakang. Mereka boleh pergi terus kepada EV, terutamanya dengan bantuan teknologi Geely, tetapi NAP yang tidak jelas membantutkan langkah tersebut.

NAP 2020 – omong kosong sahaja. Tidak jelas dan syarikat kereta tidak boleh beri komitmen kepada apa-apa

Pada tahun 2020, NAP telah diberikan kemas kini, dan ia dibentangkan betul-betul sebelum pandemik Covid-19 melanda, dan sebelum pertukaran kerajaan (yang pertama). Polisi ini membuat kenyataan berani untuk membawa industri automotif ke tahap lebih tinggi, dan berjanji untuk menjadikan “Malaysia sebagai peneraju automotif di benua ini.”

Ia meliputi pelbagai hala tuju polisi yang kabur (bunyi seperti canggih, contohnya NxGV, tapi sebenarnya tidak bermaksud apa-apa pun dalam dunia sebenar) untuk kenderaan hibrid, elektrik serta fuel cell di Malaysia.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

NAP 2020 setakat satu kanvas ringkas “apa yang mahu kami capai” dan bukannya “apa yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.” Ditambah pula lagi dengan kerajaan yang kerap bertukar, polisi tersebut tidak diberikan sebarang pembaharuan dan semuanya masih lagi samar-samar tanpa sebarang polisi baru berkenaan hala tuju EV dan hibrid.

Sudah tentu, sementara industri automotif dalam negara kita terpaksa berhenti seketika waktu kerajaan kembali memikirkannya semula dan memberikan penjelasan terhadap sebarang polisi baru, dunia luar pula terus bergerak ke hadapan.

Tanpa sebarang penjelasan bagaimana keadaannya, syarikat kereta di Malaysia tidak boleh membuat perancangan masa hadapan. Bagaimana anda hendak membuat perancangan untuk lima atau 10 tahun akan datang sekiranya keputusan polisi automotif masih tidak diketahui?

Cuba bayangkan keadaannya. Kita ada satu produk EV yang akan digemari oleh rakyat Malaysia, dan pastinya kita perlu membuat perancangan untuknya, kan? Tapi macam mana kita nak buat jika kita tidak tahu bagaimana kita boleh meletakkan harganya? Kita cuma boleh menjangka polisi baru ini akan menjadikan harga EV lebih murah daripada sekarang, tetapi berapa banyak pula? Bolehkah ia menjadi hampir kepada model ICE?

Perkara ini tidak berpenghujung. Apa yang pasti, tanpa sebarang petunjuk jelas, tiada syarikat yang dapat memberi komitmen kepada apa-apa di Malaysia. Kenapa mereka mahu berbuat demikian sedangkan negara jiran sudah mempunyai polisi jelas yang memberi insentif sekiranya mereka melabur di sana?

Pada waktu sekarang, Mercedes-Benz sudah mula membina kilang bateri di Thailand manakala Hyundai pula akan membuat perkara sama di Indonesia. Malaysia sudah lama ketinggalan. Tanpa sebarang polisi jelas berkenaan masa hadapan EV, malangnya Malaysia tidak akan menerima EV mampu milik dalam masa terdekat.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Kalau ada pun EV CKD, kadar bahan tempatan yang digunakan adalah rendah kerana pek bateri masih perlu diimport masuk. Kadar bahan tempatan rendah membawa makna insentif juga kurang, manakala harga pula akan menjadi lebih tinggi

Cara operasi CKD di Malaysia adalah seperti ini – lebih banyak yang anda buat atau keluarkan, lebih banyak insentif yang anda terima. Sebab itulah topik penggunaan bahan tempatan popular di kalangan pengeluar kenderaan.

Perodua selalu berbangga menyatakan kenderaan mereka mempunyai 95% penggunaan bahan tempatan, dan sebab itulah mereka dapat menawarkan harga yang murah di Malaysia. Tetapi bila model sama dijual di pasaran lain seperti Indonesia sebagai contoh, harganya menjadi kurang kompetitif. Semua kesan “bahan tempatan” tadi tidak memberi kesan kepada pasaran Indonesia kerana ia sudah menjadi “bahan import” bagi negara itu.

Kita lihat pula kepada Daihatsu Sirion, yang sebenarnya adalah Myvi buatan Malaysia, dan diimport ke sana. Harga jualannya adalah IDR202 juta (RM59k), iaitu lebih mahal daripada Rocky keluaran sana yang dijual pada harga IDR189 juta (RM55k). Perlu diingat, Rocky adalah sama dengan Ativa, dan ia terletak di atas Myvi.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Ini menunjukkan betapa pentingnya pengeluaran serta pemasangan tempatan, dan insentif kerajaan untuk mendapatkan harga kenderaan yang kompetitif. Secara asasnya, lebih banyak bahan tempatan, lebih banyaklah juga insentif, dan harga jualan menjadi lebih rendah.

Dengan EV pula, keadaannya lebih rumit. Seperti yang dinyatakan di atas, semakin banyak syarikat yang membangunkan kilang bateri di negara jiran, tetapi di Malaysia pula tidak.

Bateri ini menyumbang banyak kepada kos sebuah EV. Perlu diingat, EV menggunakan kurang bahagian mekanikal jika dibandingkan dengan kereta ICE biasa, dan pek bateri menyumbang banyak kepada kos yang terlibat untuk menghasilkan sebuah EV.

Berapa banyak? Kalau mengikutkan kertas kajian Financial Times yang disiarkan pada tahun 2020, bateri sahaja menyumbang 40% kepada kos keseluruhan pengeluaran EV dan merupakan bahagian kos yang paling besar setakat ini. Kajian itu juga merumuskan bahawa EV secara amnya memerlukan kos 45% lebih tinggi berbanding model yang sama versi ICE.

Jadi, apabila bateri ini perlu diimport masuk ke Malaysia, pengeluar kenderaan sudah kehilangan banyak insentif berkaitan bahan tempatan. Apabila komponen yang besar diimport, ia juga memberi kesan kepada cukai serta kos tambahan lain.

Apabila semua ini diambil kira, kesimpulannya tidak sedap didengar: EV akan menjadi mahal di Malaysia, termasuklah juga kalau ada syarikat yang cukup berani untuk memasangnya di dalam negara.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Keadaan mungkin boleh berubah jika pengeluar kereta tempatan turut serta dalam masa terdekat ini. Jika kita mahukan EV mampu milik, ia sekarang bergantung kepada Proton dan Perodua

Meskipun kami mahu mengatakan bahawa Toyota, Honda dan beberapa jenama lain adalah pemain utama dalam industri automotif Malaysia, apabila dikira jumlah jualan semua jenama bukan nasional, ia cuma menyumbang 38% daripada jumlah jualan keseluruhan dalam negara.

Seperti yang dinyatakan di atas, Malaysia adalah satu pasaran yang sangat sensitif kepada harga. Sudah diketahui kita mempunyai harga kereta antara yang paling mahal di dunia, terutamanya jika mengambil kira peringkat pendapatan berbanding negara lain. Disebabkan itu, tidak peliklah model yang laku adalah model yang murah. Perodua sebagai contoh, memegang 40% pasaran dengan rangkaian produk berharga bawah RM75k.

Jadi, untuk meletakkan EV sebagai kereta mampu milik, ia perlu dijual pada harga seperti Proton atau Perodua. Malangnya, tidak banyak syarikat kereta yang boleh berbuat demikian. Proton dan Perodua boleh, tapi bila dan bagaimana mereka mahu melakukannya masih tidak diketahui.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Perodua tidak akan mengeluarkan EV dalam masa terdekat ini

Perodua tidak mempunyai kelebihan dalam aspek ini, terutamanya kerana rakan kongsi mereka, iaitu Daihatsu, dan ibu syarikatnya, Toyota, tidak mempunyai sebarang EV pasaran umum yang dijual sekarang. Secara globalnya, Toyota masih memberi tumpuan kuat kepada teknologi hibrid, dan pada masa sekarang tidak menawarkan EV di pasaran besar seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

Ya, di China mereka memang ada menjual EV, tetapi kebanyakannya menggunakan teknologi daripada syarikat tempatan. Malah baru dua bulan lalu, Toyota memberitahu kepada dunia bahawa “masih terlalu awal untuk memberi fokus kepada EV” dan mereka mahukan pilihan penjana kenderaan yang terbuka untuk pilihan pelanggan – seperti petrol, diesel, hibrid, plug-in hybrid ataupun hidrogen.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Proton, dengan kerjasama Geely mungkin boleh

Jadi, bagaimana pula dengan Proton? Pengeluar kenderaan tempatan ini mempunyai sejarah yang panjang tentang perkara ini. Kita sudah mendengar Proton membangunkan kereta elektrik sejak tahun 2009 lagi. Mula-mula, ia dengan kerjasama Detroit Electric, dan kemudiannya dengan LG.

Kerjasama ini kemudiannya diteruskan bersama Frazer-Nash Research dari UK, dan ia turut disebut di dalam Parlimen dengan mengatakan Proton akan mula menjual kenderaan elektrik menjelang tahun 2014. Bagaimanapun, ia tidak berlaku.

Selepas itu, kita ada Iriz EV Concept, yang dibangunkan bersama LG dan ditunjukkan kali pertama pada tahun 2014. Kereta ini boleh menyediakan jarak gerak 300 km (boleh diterima pada masa sekarang, tapi sangat cemerlang bagi tujuh tahun dulu), dan sekali lagi ia disebut dalam Parlimen pada tahun 2015 sebagai “masih dalam tahap prototaip.” Ia sepatutnya mula dijual pada tahun 2017, dengan harga bawah RM100k, tetapi sehingga kini kita masih menunggu ketibaannya.

Sekarang dengan adanya Geely, keadaan nampak lebih cerah bagi Proton, dan EV bukan sekadar satu mimpi yang tidak boleh dicapai. Jenama dari China ini mempunyai banyak pengalaman dengan EV, sudah mempunyai banyak model dan malah mempunyai beberapa jenama khas untuk EV di bawah naungannya.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Proton sekarang mempunyai akses kepada pelbagai model EV Geely, seperti Emgrand EV yang diperkenalkan pada tahun 2015 dengan harga RMB135k (RM87k) termasuk subsidi. Kemudian, ada pula Geometry A, yang merupakan sebuah kereta lebih moden dan telah dikemas kini baru-baru ini untuk menyediakan jarak gerak sehingga 600 km. Harga model ini bermula RMB70k (RM77k).

Kemudiannya, ada pula jenama lebih premium, iaitu Zeekr, yang dikatakan oleh Geely sebagai “lebih baik daripada Tesla” dalam pelbagai aspek. Sebelum kita pergi lebih lanjut, ini adalah dalam kategori premium/Tesla, dan bukannya mengikut topik kita, iaitu EV mampu milik.

Kembali kepada Proton. Sebelum ini pada tahun 2017 pernah dinyatakan bahawa teknologi Geely akan diserapkan kepada model Proton, dan ini termasuk hibrid, plug-in hybrid serta elektrik penuh. Sekiranya ini betul-betul berlaku, ia mungkin akan mengikut turutan, hibrid terlebih dahulu, diikuti PHEV dan seterusnya barulah EV.

Perjalanan itu setakat ini masih belum bermula, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah tahu jalan itu sudah ada dan bersedia untuk dilalui. Cumanya, jalan itu masih gelap.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

NAP 2020 adalah penghalang utama untuk EV Proton

CEO Proton Edar, Roslan Abdullah pernah memberitahu dalam satu temu ramah tahun ini, “kami sebagai pengeluar tidak boleh bergerak selagi tidak memahami peraturannya. Jika peraturan dan pelaburannya memberikan pulangan yang baik untuk pemegang saham, kenapa tidak? Jadi, kami perlu tahu peraturan serta hala tuju yang ditetapkan oleh kerajaan. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, kami akan mula melangkah.”

Sangat jelas Proton juga tidak boleh bergerak akibat kekaburan NAP 2020 serta perkara kurang telus berkaitan EV di Malaysia. Sekarang, jika Proton tidak dapat membuat perancangan untuk pasaran utamanya, bayangkanlah pula apa yang boleh dilakukan oleh Honda atau Toyota untuk pasaran Malaysia?

Kenapa rakyat Malaysia perlu mengambil kira EV sedangkan minyak masih lagi murah? Adakah kos penggunaan EV lebih rendah berbanding kereta petrol?

Kos penggunaan adalah faktor yang sangat penting bagi pengguna kenderaan di Malaysia. Keadaan ini sudah bermula sejak pengguna pandai mengira “berapa sen bagi setiap kilometer.” Sampai sekarang pun mungkin ada yang masih melakukan perkara sama, terutamanya dalam kategori lebih rendah, yang mana penggunaan bahan api adalah sangat penting. Sebab itulah Perodua mendominasi segmen ini.

Kos penggunaan kereta di Malaysia sebenarnya jauh lebih murah berbanding negara lain kerana harga minyak yang boleh dikatakan rendah. Sebagai contoh, Myvi yang memberikan penggunaan bahan api 15 km/l (anggaran) hanya memerlukan kos 13.9 sen bagi setiap kilometer jika menggunakan minyak RON 95 pada harga RM2.05 seliter.

Adakah penggunaan EV lebih murah ataupun lebih mahal? Jom lakukan sedikit kira-kira menggunakan model Proton berasaskan Geometry A. Model ini menggunakan pek bateri 62 kWh, dan dikatakan dapat memberi jarak gerak 500 km dalam kitaran NEDC, tetapi sebagai jangkaan penggunaan dalam dunia sebenar, ia mungkin cuma boleh memberikan jarak gerak sekitar 400 km dengan sekali cas penuh.

Mengambil kira tarif maksimum TNB 57.10 sen bagi setiap kWh (bila anda mengecas EV di rumah, ia pastinya mencecah tarif paling tinggi), ia menjadikan kos untuk mengecas bateri 62 kWh sehingga penuh adalah RM35.40, dan boleh digunakan untuk 400 km. Hasilnya, 8.9 sen bagi setiap km (untuk penggunaan di Malaysia).

Jadi, dengan perbandingan 8.9 sen bagi EV dan 13.9 sen bagi Myvi, ini bermakna EV adalah lebih jimat 36%. Apabila dikembangkan lagi, untuk perjalanan 20,000 km setahun (sehari 55 km), pemilik EV perlu membayar bil elektrik RM1,780 sementara pemilik Myvi pula perlu membayar RM2,780 untuk petrol. Lebih banyak kenderaan tersebut digunakan, lebih besarlah perbezaan kosnya.

Sebagai tambahan, Geometry A mempunyai saiz seperti sedan segmen C, sekaligus menjadikan kos penggunaannya yang lebih murah berbanding Myvi lebih berbaloi. Seperti kebiasaan, kos penggunaan kenderaan adalah berbeza mengikut model, dan ambil kiraan ini sebagai contoh sahaja, dan bukanlah sesuatu yang tetap.

Selain kos mengecas/mengisi minyak, ada juga penjimatan lain apabila memiliki sebuah EV berbanding kereta biasa. EV tidak mempunyai komponen mekanikal sebanyak kereta biasa, dan ia juga tidak memerlukan banyak penyelenggaraan.

Anda tidak perlu menukar minyak enjin secara kerap, dan pad brek serta cakera juga boleh bertahan lama kerana terdapat sistem penjanaan semula kuasa brek dari motor elektrik. paultan.org pernah menggunakan Tesla Model S 90D selama tiga tahun tanpa melakukan sebarang servis.

PANDANGAN: EV premium sudah ada di Malaysia, tapi di mana pula kereta elektrik untuk rakyat marhaen?

Jadi sebenarnya, di manakah EV mampu milik ini? Malangnya ia tidak akan tiba dalam masa terdekat

Malaysia masih lambat lagi untuk menerima EV mampu milik. Bagi pihak pengeluar, mereka tidak boleh berbuat apa-apa di sini, dan sebab itulah pelaburan dibuat di negara jiran. Kalau mereka mahu memasang EV di Malaysia juga, harganya akan menjadi mahal.

Melihat kepada pengguna pula, mereka memang banyak songeh. Berdasarkan komen atas talian, apa yang dimahukan oleh pembeli tipikal Malaysia adalah EV yang mempunyai rupa serta prestasi seperti Tesla Model 3, boleh memberi jarak gerak sehingga 1,000 km, boleh dicas sehingga penuh dalam masa lima minit dan dijual pada harga seperti Honda City.

Semua ini kedengaran agak sukar. Selagi polisi dan pemikiran tidak berubah, keadaan akan terus jadi begini sahaja di Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required