Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SIRIM sedang bangunkan pensijilan, garis panduan keselamatan bateri EV dan stesen pengecas di M’sia

    SIRIM sedang bangunkan pensijilan, garis panduan keselamatan bateri EV dan stesen pengecas di M’sia

    Dengan perkembangan penggunaan kenderaan elektrik penuh (EV) di Malaysia yang semakin meluas, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) kini turut akan memainkan peranannya dengan bakal memperkenalkan program pensijilan bagi pengecas-pengecas EV yang digunakan dalam negara.

    Menurut SIRIM dalam kenyataan yang dikeluarkan, program ini akan memastikan keselamatan dan pematuhan terhadap protokol bagi pengecas-pengecas EV tersebut. Ia akan dijalankan oleh anak syarikatnya iaitu SIRIM QAS International, yang mempunyai kepakaran dan kemudahan diperlukan untuk memastikan semua unit pengecasan memenuhi piawaian yang diperlukan dan selamat, boleh dipercayai serta berfungsi.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa proses pensijilan ini akan melibatkan protokol ujian komprehensif. Ini termasuk pemeriksaan teliti dibuat pada setiap aspek untuk memastikan pematuhan kepada keperluan keselamatan dan standard prestasi yang ketat.

    Ia turut menambah bahawa sistem pengecasan kenderaan elektrik (EVCS) yang boleh dipercayai dan selamat akan meningkatkan kepercayaan, dalam masa yang sama turut menggalakkan penerimaan mobiliti elektrik yang lebih meluas. “Dengan skim pensijilan kami, industri EV di Malaysia akan dapat maju dan berkembang tidak lama lagi,” kata Muhammad Kamal Sabran, ketua pensijilan produk SIRIM QAS.

    SIRIM sedang bangunkan pensijilan, garis panduan keselamatan bateri EV dan stesen pengecas di M’sia

    SIRIM turut menyatakan bahawa dengan peningkatan jumlah EVCS dalam negara telah menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan dan kesahihannya, seterusnya prosedur yang mantap untuk memastikan keselamatan dan kecekapan tertinggi untuk pengguna EV kini diperlukan.

    “Inilah sebabnya prosedur perlu disediakan untuk menjamin tahap keselamatan terhadap pemandu di Malaysia dan kecekapan tertinggi dari EVCS,” katanya.

    Dalam laporan Bernama, SIRIM menyatakan pensijilan ini akan merangkumi pelbagai pihak berkepentingan industri, termasuk pengecaj, pemasang, kontraktor bangunan, penyedia perkhidmatan automotif serta penyelenggara EVCS profesional.

    SIRIM sedang bangunkan pensijilan, garis panduan keselamatan bateri EV dan stesen pengecas di M’sia

    “Usaha kolektif ini akan memastikan komitmen untuk menyediakan pengalaman pengecasan yang selamat dan boleh dipercayai untuk pemilik EV, memupuk budaya kecemerlangan dan menyemai keyakinan pada pengilang, pengawal selia dan pelanggan,” katanya.

    Pengumuman program pensijilan EVCS adalah susulan dari penubuhan Pusat Ujian Bateri Boleh Dicas Semula Nasional (NRBTC) SIRIM awal bulan ini. NRBTC diwujudkan bertujuan untuk menyediakan ujian, pengesahan dan pengesahan pihak ketiga yang berkualiti tinggi dan saksama untuk bateri boleh dicas semula bersaiz besar dan berkuasa tinggi.

    Menurut SIRIM, penubuhan NRBTC akan membolehkan pembangunan ekosistem lengkap yang mampu mengendalikan kelulusan paten untuk sistem pengecasan EV, ujian bateri dan pensijilan untuk komponen dan sistem EV.

     
     
  • Suzuki Jimny DAMD Little Delta dan Little 5 – inspirasi dari hot-hatch rali lagenda Lancia Delta & Renault 5

    Suzuki Jimny DAMD Little Delta dan Little 5 – inspirasi dari <em>hot-hatch</em> rali lagenda Lancia Delta & Renault 5

    Pembuat kit badan dari Jepun, DAMD sebelum ini sudah menghasilkan pelbagai kit badan untuk SUV Suzuki Jimny generasi terbaharu yang menyerupai pelbagai SUV ikonik seperti Mercedes-Benz G-Class (Little D), Land Rover Defender (Little D) dan juga Jimny klasik.

    Untuk 2024, DAMD menghasilkan dua lagi kit badan baharu untuk Jimny, kali ini diinspirasikan dari dua hot-hatch rali lagenda yang digelar sebagai Little Δ (Delta) dan Little 5. Kedua-duanya bakal dibawa ke Tokyo Auto Salon 2024 yang akan berlangsung pada Januari nanti.

    Little Δ dan Little 5 ini diasaskan dari Jimny Sierra, iaitu model dengan overfender yang lebih lebar, dijana oleh enjin 1.5 liter NA. Untuk pengetahuan anda, di Jepun Jimny turut dihasilkan dalam versi K-Car tanpa overfender (kurang lebar untuk mematuhi undang-undang K-Car) dan dijana oleh enjin berkapasiti 660 cc.

    Untuk Little Δ, berdasarkan nama dan rupanya sudah jelas ia diinspirasikan dari jentera rali era Group A dari Itali iaitu Lancia Delta Integrale. Kit ini menampilkan kemasan muka baharu yang menampilkan lampu hadapan bulat berkembar dan juga gril dengan rupa sama Lancia Delta, bampar hadapan baharu, spoiler belakang juga seperti Delta sebenar, kesemua overfender yang direka semula bersama liang udara tambahan di belakang seperti kereta rali serta bampar belakang dengan rekaan baharu bersama lampu belakang yang lebih kecil.

    Bagi melengkapkan rupanya, DAMD Little Δ ini juga menerima set rim aloi rali dari OZ Racing serta diberikan tempat duduk bucket pada sebelah dalam.

    Bagi Little 5 pula ia diinspirasikan dari hot-hatch klasik Perancis yang juga dikenali dalam arena rali iaitu Renault 5 Turbo. Little 5 menerima kemasan muka dengan lampu hadapan petak dan juga gril yang menyerupai Renault 5 asli, serta spoiler bumbung belakang yang berbeza.

    Namun bagi perincian lain seperti bampar hadapan, kit fender lebih lebar, bampar belakang dan rim pada Little 5 ini menggunakan komponen yang sama seperti Little Δ. Ia juga menerima pelekat badan “Turbo” besar pada pintu yang seiras dengan pelekat pada Renault 5 Turbo, tetapi jika anda perhatikan ada perkataan “non” bersaiz kecil di atas perkataan “Turbo” berkenaan kerana Jimny ini tidak mempunyai alat pendesak tersebut pada enjinnya.

     
     
  • Beberapa jalan sekitar Klang tenggelam banjir lagi

    Beberapa jalan sekitar Klang tenggelam banjir lagi

    Hujan lebat dan berterusan bulan Disember ini menyaksikan beberapa jalan di Klang sekali lagi ditenggelami air dengan netizen memuat naik video dan gambar air memenuhi jalan. Antara yang kawasan yang menerima kesan adalah Meru, Bukit Raja, Setia Alam dan beberapa bahagian di Lebuh Raya Baru Lembah Kelang.

    Banjir kilat bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia dan Klang cuma satu daripada banyak lagi kawasan lain yang kerap dinaiki air dan warga setempat terpaksa menghadapinya dengan kerap terutamanya di musim hujan. Tahun lepas kerajaan mengumumkan bakal melaksanakan projek mitigasi banjir dengan kos RM15 bilion sehingga 2030, dan salah satu yang terlibat adalah pembinaan kolam simpanan dua fungsi bernilai hampir RM2 bilion sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau di Selangor.

    Merujuk kembali kepada laporan bertarikh 1 November 2023 oleh Selangor Journal, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan memberikan penyelesaian jangka masa panjang untuk berhadapan dengan banjir di beberapa lokasi di Klang. Walaubagaimanapun, projek ini hanya akan bermula pada tahun 2024 memandangkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini masih dalam fasa perolehan.

    Pada waktu itu, menteri sumber asli dan kelestarian, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata bahawa JPS sedang menjalankan kerja RTB Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam serta Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar di Klang dan Petaling, dengan jangkaan siap pada tahun 2030. Tambah beliau, penyelenggaraan sistem saliran sedia ada cuma satu penyelesaian jangka masa pendek.

    Dengan keadaan sekarang ini, jika laluan anda sudah diketahui naik air, lebih baik tangguhkan dulu perjalanan jika boleh atau elakkan memaksa diri dan kenderaan melalui jalan tersebut kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan kepada kenderaan anda. Kami juga menggalakkan anda mengambil insurans bencana alam untuk kenderaan supaya kewangan tidak terbeban jika kenderaan anda tenggelam, terutamanya pada waktu yang tidak dijangka.

     
     
  • Harga bahan api petrol RON97 28 Disember 2023 hingga 3 Januari 2024 kekal pada paras RM3.47 seliter

    Harga bahan api petrol RON97 28 Disember 2023 hingga 3 Januari 2024 kekal pada paras RM3.47 seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan untuk minggu bertarikh 28 Disember 2023 hingga 3 Januari 2024, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Bagi harga petrol RON 97 ia kekal pada RM3.47 seliter, selepas kali terakhir ia naik sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu. Harga runcit bagi RON 95 juga kini masih berada pada harga siling iaitu RM2.05 seliter.

    Manakala untuk diesel, harga bagi Euro B10/B20 juga kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Seperti biasa, harga bahan api mingguan ini akan bermula pada tengah malam ini sehingga hari Rabu minggu hadapan, 3 Januari 2024.

     
     
  • Polis cari sekumpulan ‘Superman tergolek’ di LPT

    Polis cari sekumpulan ‘Superman tergolek’ di LPT

    Baru-baru ini tular di media sosial satu video berdurasi 28 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara merbahaya dengan aksi ‘Superman’, diakhiri dengan kemalangan di mana beberapa ahli kumpulan tersebut berlanggar dan terjatuh dari motosikal masing-masing.

    Susulan itu Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Polis DiRaja Malaysia (JSPT PDRM) telah mengeluarkan kenyataan bagi mengesan kesemua individu yang terlibat dalam video tersebut.

    “Semakan JSPT terhadap video yang dirakam oleh salah seorang penunggang motosikal yang terlibat, mendapati kejadian berlaku berdekatan susur Hentian R&R Temerloh Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1). Pihak JSPT telah mengarahkan JSPT Pahang untuk mengesan dan menjalankan siasatan terhadap penunggang motosikal yang terlibat,” tulis kenyataan tersebut.

    Jabatan itu juga menggesa kepada mereka yang terlibat untuk segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan no. plat motosikal telah dikenalpasti.

     
     
  • Volvo EX30 Everlast Sport dan Outland – pilihan pakej pengayaan untuk gaya lebih sporty dan lebih lasak

    Volvo EX30 Everlast Sport dan Outland – pilihan pakej pengayaan untuk gaya lebih sporty dan lebih lasak

    Dalam peralihan kepada jenama elektrik sepenuhnya menjelang 2030, model-model generasi baharu Volvo yang diperkenalkan akhir-akhir ini semuanya hadir hanya dalam versi EV penuh. Model-model berkenaan juga tidak lagi mendapat sentuhan Polestar kerana ia telah dipisahkan dari Volvo untuk menjadi jenama bebas yang menghasilkan model-model sporty dengan kuasa elektrik.

    Namun untuk pembeli SUV EV Volvo EX30, kini ada pilihan bagi menjadikan model tersebut nampak lebih unik dan tersendiri – ini dia pakej penggayaan Sport dan Outland yang dihasilkan oleh badan penala dari Belanda iaitu Everlast. Kedua-dua pakej ini menampilkan gandingan kit badan dan juga rim aloi forged yang menjadikan rupa SUV EV paling kecil dalam keluarga Volvo ini nampak lebih agresif mengikut tema masing-masing.

    Bagi Volvo EX30 Sport, Everlast memberikan warna badan pada bumbung (hitam pada EX30 biasa) bersama bampar hadapan dan juga bahagian pelindung badan sisi juga di cat dengan warna badan bagi memberikan rupa yang lebih rendah kepada SUV ini.

    Volvo EX30 Everlast Sport dan Outland – pilihan pakej pengayaan untuk gaya lebih sporty dan lebih lasak

    Kemudian serlahan oren terang diberikan pada liang udara bawah bampar hadapan dan juga jalur pembahagi bumbung pada tiang-C yang bersambung dengan jalur pada spoiler bumbung. Bagi melengkapkan rupanya, Everlast menawarkan set rim aloi forged yang lebih ringan kemasan diamond cut serta berdiameter 21 yang lebih besar dalam tiga pilihan jejari. Ini membuatkan imej SUV pada EX30 ini hilang, dan ia kini nampak seperti sebuah hot-hatch.

    Manakala untuk Volvo EX30 Everlast Outland, ia menjadikan SUV ini nampak lebih lasak bagi melalui laluan off-road yang lebih mencabar. Oleh itu ia dilengkapkan dengan rim aloi forged rekaan concave empat jejari berdiameter 19-inci yang lebih kecil, dibaluti dengan tayar off-road.

    Kemudian Everlast memberikan kemasan hitam matte pada bahagian muka dan juga penutup tengah rim EX30 Outland ini, bersama jalur sisi berwarna hijau pada bahagian bawah pintu.

    Everlast tidak mengumumkan sebarang peningkatan kuasa bagi kedua-dua versi ini. Dalam keadaan standard, Volvo menawarkan EX30 dalam tiga versi unit rangkaian kuasa. Model paling asas dibekalkan dengan hanya satu motor tunggal berkuasa 272 PS, dibekalkan dengan bateri LFP dengan jarak gerak lebih dekat.

    Model Single Motor Extended Range pula diberikan konfigurasi motor dan kuasa yang sama, tetapi menerima bateri NMC yang membolehkannya bergerak sejauh 480 km dengan sekali cas. Manakala model paling berkuasa adalah model Twin Motor Performance, yang menggunakan bateri NMC sama, tetapi dipadankan bersama dua motor elektrik.

    Motor berkenaan masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda serta menghasilkan kuasa keseluruhan 422 hp, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat.

    Volvo EX30 ini juga sudah dilancarkan di Thailand pada September lalu, dijual pada harga lebih murah dari XC40 Recharge Pure Electric iaitu bermula 1.59 juta baht (RM209,061) untuk model Core Single Motor Extended Range, sehingga 1.89 juta baht (RM248,506) bagi model Ultra Twin Motor Performance.

    Volvo Cars Malaysia (VCM) juga sudah mengesahkan bahawa EX30 akan dibawa ke pasaran tempatan, namun tarikh pelancarannya masih belum dimuktamadkan.

    GALERI: Volvo EX30 Everlast Sport

    GALERI: Volvo EX30 Everlast Outland

    GALERI: Volvo EX30 2024

     
     
  • Toyota, Honda, Isuzu, Mitsubishi labur RM20 bilion untuk pengeluaran EV di Thailand, termasuk trak pikap

    Toyota, Honda, Isuzu, Mitsubishi labur RM20 bilion untuk pengeluaran EV di Thailand, termasuk trak pikap

    Empat pengeluar kenderaan utama dari Jepun akan membuat pelaburan 150 bilion baht (sekitar RM20 bilion) untuk pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di Thailand dalam masa lima tahun akan datang. Perkara ini didedahkan oleh wakil jabatan perdana menteri negara itu, Chai Watcharong.

    Dalam satu kenyataan rasmi, Chai memberitahu, perdana mentei Thailand, Settha Thavisin telah membuat perbincangan dengan tujuh pengeluar Jepun semasa sidang kemuncak untuk hubungan dan kerjasama ASEAN-Jepun ke-50 di Tokyo, Jepun 14-18 Disember lalu.

    Daripada perbincangan ini, Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) mengatakan terdapat empat pengeluar Jepun yang bersetuju untuk mengembangkan lagi pengeluaran EV di negara tersebut. Ia termasuk Toyota, dengan pelaburan 50 bilion baht (sekitar RM6.7 bilion), Honda 50 bilion baht (sekitar RM6.7 bilion), Isuzu 30 bilion baht (sekitar RM4 bilion) dan Mitsubishi 20 bilion baht (sekitar RM2.7 bilion). Turut diberitahu, pengeluaran EV juga akan termasuk sekali dengan trak pikap dalam masa dua ke tiga tahun lagi.

    Selain daripada itu, Chai menambah bahawa tujuh pengeluar Jepun bersedia untuk menjadikan Thailand pangkalan pengeluaran utama mereka bagi benua ASEAN. Pelaburan ini akan membantu Thailand mencapai sasaran untuk mengeluarkan 750,000 EV daripada 2.5 juta kenderaan yang dikeluarkan setiap tahun menjelang 2030.

    Toyota, Honda, Isuzu, Mitsubishi labur RM20 bilion untuk pengeluaran EV di Thailand, termasuk trak pikap

    “Perdana menteri menekankan bahawa pengeluaran kenderaan dari Jepun memainkan peranan penting dalam pembangunan dan promosi industri kenderaan elektrik di Thailand untuk menjadi peneraju pengeluaran kenderaan elektrik di ASEAN,” kata Chai.

    “Disebabkan itu Thailand sudah bersedia untuk memberi sokongan dan kerjasama dengan pengeluar kenderaan Jepun yang mahu memperluaskan lagi pelaburan mereka di Thailand untuk meningkatkan lagi peluang ekonomi dalam industri kenderaan elektrik kedua-dua negara, serta berhadapan dengan tempoh peralihan kritikal ini untuk mencapai kejayaan dan manfaat bersama bagi kedua-dua negara,” tambah beliau.

    Antara bukti sedia ada inisiatif Thailand untuk mengembangkan sektor EV mereka adalah e:N1, yang menjadikan Honda sebagai pengeluar pertama yang mengeluarkan EV di Thailand. Ada juga laporan yang menyatakan tidak lama lagi Toyota akan menguji trak pikap baru di Thailand, manakala Isuzu pula sebelum ini pernah memberitahu akan melancarkan trak pikap elektrik mereka pada tahun 2025.

     
     
  • Jangan guna lampu kecemasan waktu hujan lebat

    Jangan guna lampu kecemasan waktu hujan lebat

    Dalam keadaan sekarang yang hampir setiap hari hujan di negara kita, kementerian pengangkutan bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sekali lagi memberikan peringatan kepada pengguna jalan raya untuk berhati-hati semasa memandu dalam hujan lebat.

    Mesej itu disampaikan bersama tips keselamatan memandu melalui satu infografik yang menyatakan langkah termasuk jangan mengikuti kenderaan hadapan terlalu dekat dan kurangkan kelajuan – lebih 80 km/j akan menyebabkan kenderaan meluncur dan tayar tidak mencengkam.

    Saranan lain yang turut dinyatakan adalah tidak memandu di lorong paling kanan, kerana kenderaan dari arah berlawanan mungkin boleh melanggar lopak air, terpercik ke kenderaan anda dan mengganggu penglihatan, serta tidak menekan brek secara mengejut apabila kenderaan terbabas, sebaliknya cuba mengawal stereng untuk menghalakan kenderaan ke arah selamat.

    Jangan guna lampu kecemasan waktu hujan lebat

    Satu lagi perbuatan yang masih kerap dilakukan adalah memasang lampu amaran kecemasan atau hazard light. Lampu tersebut sepatutnya cuma digunakan pada waktu kenderaan berhenti akibat kecemasan dan apabila digunakan pada kereta yang bergerak normal boleh menyebabkan kekeliruan pada pengguna jalan raya lain.

    Turut termasuk dalam infografik ini adalah saranan lain seperti berhenti di hentian rehat untuk mengelakkan kemalangan jika hujan bertambah lebat dan kadar penglihatan terhad, kemudian hanya menyambung perjalanan apabila keadaan sudah bertambah baik.

     
     
  • Kekurangan bekalan diesel stesen-stesen Petronas di Sarawak dijangka berterusan sehingga 31 Disember

    Kekurangan bekalan diesel stesen-stesen Petronas di Sarawak dijangka berterusan sehingga 31 Disember

    Pada awal minggu ini stesen-stesen Petronas seluruh Sarawak dilaporkan menghadapi masalah bekalan diesel yang kini sudahpun berlanjutan selama dua minggu. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Petronas, masalah tersebut dijangka hanya akan dapat diselesaikan paling awal pada 1 Disember 2023.

    Dalam laporan Bernama semalam, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menyatakan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang makluman daripada pihak Petronas Dagangan Berhad berhubung isu ini.

    KPDN turut menyarankan agar pengguna mendapatkan bekalan minyak diesel di stesen minyak Shell atau Petros (syarikat minyak dan gas milik Sarawak) yang berhampiran dan memberi jaminan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua stesen minyak.

    Kementerian itu juga meminta orang ramai untuk melaporkan kepada mereka sebarang kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi tersebut.

     
     
  • Pengecas EV DC pertama di Perlis kini beroperasi di Starbucks Kangar Jaya, 40 km dari Padang Besar

    Pengecas EV DC pertama di Perlis kini beroperasi di Starbucks Kangar Jaya, 40 km dari Padang Besar

    Pengecas pantas DC untuk EV pertama di Perlis kini sudah pun beroperasi, dan ia terletak Starbucks Kangar Jaya. Menurut saudara Azlan Mahmud dari Malaysian Electric Vehicle Owners Club (MyEVOC), pengecas tersebut kini sudahpun boleh digunakan dengan kadar bayaran RM1.20 setiap kWj menerusi aplikasi chargEV.

    Pengecas tersebut disediakan oleh Yinson GreenTech (YGT), memberikan cas DC dengan kadar kuasa maksima 60 kW menerusi dua penyambung CCS2. Dengan adanya pengecas ini, pengguna EV dari Malaysia yang mahu ke Thailand boleh mengecas kenderaan masing-masing terlebih dahulu sebelum melintasi sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, kira-kira 40 km di hadapan.

    Sebelum ini pengecas DC terakhir yang disediakan di Malaysia dalam perjalanan sama disediakan di Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah. Satu lagi pengecas pantas DC turut bakal beroperasi berdekatan Padang Besar selepas ini iaitu terletak di Starbucks Changlun. Walaupun pengecas ini berada di Kedah, ia turut hanya sejauh sekitar 40 km dari Padang Besar.

    Kami jangkakan pengecas-pengecas EV ini turut akan boleh menerima bayaran dari aplikasi Setel dan JomCharge selepas ini menerusi pejanjian akses pengecas antara chargeEV, Gentari dan JomCharge yang telahpun ditandatangani.

     
     
  • Volkswagen panggil semula 6,671 unit kenderaan di Malaysia berhubung masalah beg udara Takata

    Volkswagen panggil semula 6,671 unit kenderaan di Malaysia berhubung masalah beg udara Takata

    Panggilan semula bagi masalah beg udara Takata di seluruh dunia masih lagi belum selesai. Untuk Malaysia, yang terbaharu panggilan semula ini melibatkan sejumlah 6,671 kenderaan berjenama Volkswagen. Panggilan semula ini dibuat oleh wakil rasmi jenama tersebut di sini iaitu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

    Menurut VPCM, panggilan semula kali ini melibatkan kenderaan yang diproduksi dari tahun 2010 hingga 2014, membabitkan model-model termasuk Golf GTI generasi keenam (MK6), Eos, Passat CC, Polo, Beetle dan Vento. Komponen yang dikhuatiri bermasalah adalah perumah peledak gas beg udara belah pemandu.

    Kegusaran terhadap perumah berkenaan adalah disebabkan kemerosatan pada pemula pendorong peledak gas tersebut kerana kelembapan udara yang tinggi dan suhu yang turun naik dalam tempoh masa yang lama. Ini boleh menyebabkan potensi kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

    Volkswagen panggil semula 6,671 unit kenderaan di Malaysia berhubung masalah beg udara Takata

    “VPCM telah mengambil langkah yang perlu bersama rakan pengedarnya bagi memastikan ketersediaan alat ganti dan panggilan semula dijalankan dengan lancar dan cekap, dan panggilan semula di seluruh negara akan dijalankan secara berperingkat untuk menguruskan bilangan kes yang banyak.

    “Semua pemberitahuan kepada pemilik yang dikenal pasti, berdasarkan pangkalan data Volkswagen akan dijalankan melalui e-mel dan WhatsApp, dan pelanggan yang membeli kenderaan daripada pemilik terdahulu atau pengedar kereta terpakai
    dinasihatkan untuk segera menghubungi pengedar bertauliah Volkswagen terdekat untuk pengesahan,” kata VPCM dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa tiada sebarang kos akan dikenakan kepada pemilik kenderaan untuk semua komponen yang perlu ditukar termasuk kos upah dan alat ganti.

     
     
  • Toyota Land Cruiser Prado 2024 – 1,000 unit pertama habis dijual di Jerman dalam masa hanya 30 minit!

    Toyota Land Cruiser Prado 2024 – 1,000 unit pertama habis dijual di Jerman dalam masa hanya 30 minit!

    Selepas membuat penampilan sulung pada Ogos lalu, model generasi baharu Toyota Land Cruiser Prado (250 Series) kini sudahpun mendarat di pasaran Eropah. Untuk Jerman, negara itu menerima peruntukan 1,000 unit bagi kumpulan pertama, tetapi ia habis terjual dalam masa hanya 30 minit selepas tempahannya dibuka pada pukul 8 pagi, 21 Disember lalu!

    Di negara tersebut Prado 250 Series ini ditawarkan dalam tiga varian kemasan iaitu Executive, Tec and First Edition. Namun kesemuanya hanya menerima enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda. Sistem hibrid ringkas 48-Volt pula hanya akan ditawarkan bermula 2025.

    Varian asas Executive menerima perincian seperti paparan instrumen digital dan juga sistem infotainmen kedua-duanya dengan skrin 12.3-inci, sistem bunyi dengan 10-pembesar suara, sistem pemanas pada tempat duduk hadapan dan juga sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense.

    Toyota Land Cruiser Prado 2024 – 1,000 unit pertama habis dijual di Jerman dalam masa hanya 30 minit!

    Manakala bagi kemasan Tec dan First Edition ia ditambah dengan perincian lebih baik seperti bar penstabil hadapan yang boleh dipisahkan dari suspensi iaitu Stabiliser Disconnect Mechanism (SDM), rim aloi 20-inci, cermin pandang belakang digital, sistem bunyi JBL dengan 14-pembesar suara dan paparan head-up. Pelanggan di Jerman yang menempah Land Cruiser Prado Series 250 ini hanya akan menerima kereta mereka bermula suku ketiga 2024 nanti.

    Bagi pasaran luar Jerman, Prado Series 250 ini turut ditawarkan dalam pelbagai versi unit rangkaian kuasa yang lain. Antaranya pemadanan enjin petrol T24A-FTS 2.4 liter empat-silnder, menghasilkan 281 PS dan tork maksima 430 Nm. Model ini ditawarkan di pasaran Timur Tengah, Eropah Timur dan beberapa pasaran terpilih lain.

    Ada juga Series 250 yang diberikan enjin T24A-FTS tetapi digandingkan bersama sistem hibrid menghasilkan 330 PS dan tork maksima 630 Nm yang dijual di pasaran Amerika Utara dan China. Manakala model dengan enjin petrol 2TR-FE 2.7 liter empat-silinder dijual di Eropah Barat serta beberapa pasaran terpilih lain.

    GALERI: Toyota Land Cruiser Prado 2024

     
     
  • Nio ET9 2025 diperkenal – sedan elektrik dengan sistem 900 V, pengecasan 600 kW, kuasa 707 PS

    Nio ET9 2025 diperkenal – sedan elektrik dengan sistem 900 V, pengecasan 600 kW, kuasa 707 PS

    Pada 23 Disember lalu, telah berlangsungnya Nio Day 2023, dan syarikat itu mendedahkan model perdana baru mereka yang dipanggil sebagai ET9. Tempahan untuk sedan elektrik bersaiz besar dan padat dengan pelbagai teknologi ini sekarang sudah dibuka di China dan penghantaran dijangka berlaku pada tahun 2025.

    Menurut Nio, ET9 mempunyai ukuran panjang 5,325 mm, lebar 2,016 mm, tinggi 1,620 mm dan jarak roda 3,250 mm. Rekaan minimalis dan aerodinamik model ini mengikuti sedan lain Nio seperti ET7 dan ET5, tetapi ia dilihat terletak lebih tinggi, memberikan rasa seperti SUV.

    Di sebalik panel badannya, ET9 dilengkapi dengan dua motor elektrik, dengan yang di belakang merupakan unit permanent magnet dengan inverter silicon carbide (SiC) yang berkemampuan 462 PS (456 hp atau 340 kW).

    Sementara itu di hadapan pula terdapat motor induksi dengan kuasa 245 PS (241 hp atau 180 kW), menjadikan ia sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kuasa keseluruhan 707 PS (697 hp atau 520 kW). Jumlah ini agak mengagumkan, tetapi apa yang lebih menarik, ET9 dikatakan adalah kenderaan elektrik (EV) China pertama yang menggunakan tetapan elektrikal 900 volt.

    Nio ET9 2025 diperkenal – sedan elektrik dengan sistem 900 V, pengecasan 600 kW, kuasa 707 PS

    Seperti yang diberitahu oleh Nio, ET9 mempunyai voltan tertinggi 925 V, kuasa mengecas maksimum 600 kW dan arus mengecas maksimum 765 A. Tertulis dalam siaran akhbar, “pengecasan pantas 900 V dan platform penukaran membenarkan pengecasan pantas selepas penukaran bateri selama tiga minit dibuat, atau memberikan jarak gerak 255 km selepas dicas lima minit.”

    Jumlah jarak gerak 255 km yang dimaksudkan adalah untuk pek bateri ET9 yang berkapasiti 120 kWh – tiada jarak gerak maksimum yang didedah tetapi kami diberitahu, pek ini terdiri daripada sel bateri 46105 berbentuk silinder.

    Bersama dengan sistem 900 volt ini, ET9 turut dilengkapi dengan SkyRide Intelligent Chassis System, yang terdiri daripada tiga sistem perkakasan iaitu steer-by-wire, rear-wheel steering dan suspensi aktif penuh. Untuk suspensi itu, ia dibekalkan oleh ClearMotion, iaitu syarikat yang telah menerima pelaburan besar daripada Nio.

    ET9 adalah sebuah sedan empat tempat duduk, dengan bahagian belakang mempunyai tempat duduk yang disusun seperti ruang rehat – boleh laras secara elektrik. Kemudahan lain yang disediakan adalah seperti penghadang cahaya, meja boleh lipat, dua skrin sesentuh AMOLED 14.5 inci, bumbung panoramik, peti sejuk, pelbagai ruang simpanan serta tablet lapan inci khas untuk mengawal pelbagai fungsi dalam kenderaan.

    Terdapat konsol tengah panjang yang bersambung dari hadapan ke belakang ET9 ini, dan atas papan pemuka cuma terdapat skrin sesentuh 15.6 inci (sistem SkyOS), head-up display serta skrin pembantu digital NOMI. Stereng menggunakan unit bentuk berpetak.

    Untuk sistem komputer, ET9 mendapat unit NX9031, yang dikatakan sebagai system-on-chip (SoC) gred automotif pertama di China yang menggunakan pemproses lima-nm. Cip ini memberi kuasa pemprosesan yang diperlukan untuk platform komputer Adam 2.0 yang memberi sokongan kepada fungsi seperti pemanduan pintar, kokpit digital, casis pintar, badan, e-powertrain serta dalam talian.

    Harga ET9 di China bermula pada 800,000 yuan (RM516,712), dan mereka yang membuat tempahan awal akan diberikan pelbagai tawaran istimewa termasuk diskaun sehingga 10,000 yuan (RM6,459) dan khidmat pemandu percuma sehinga 100 jam. Buat masa ini Nio masih belum mendedahkan perancangan jualan ET9 ke negara selain China.

     
     
  • Nissan GT-R Artisan – Skyline R35 dengan ubah suai rupa seperti R34, hanya 36 unit, dari RM2.17 juta

    Nissan GT-R Artisan – Skyline R35 dengan ubah suai rupa seperti R34, hanya 36 unit, dari RM2.17 juta

    Tahun lepas satu rekaan konsep Nissan Skyline GT-R ditunjukkan oleh Roman Miah dan Avante Design. Sekarang nampaknya, ia akan digunakan untuk model produksi oleh Artisan Vehicle Design dari London, yang akan menawarkan 36 unit GT-R ubah suai ini, pada harga bermula 369,000 British pounds (sekitar RM2.17 juta).

    Kalau anda betul-betul ada duit berlebih untuk membelinya, Artisan akan mengambil GT-R R35 dan menggantikan panel badannya dengan unit yang dibuat daripada gentian karbon, bersama lampu, sayap belakang, rim dan pelbagai barangan luar lain yang menjadikannya rupanya seperti Skyline GT-R generasi sebelumnya, iaitu R34.

    Dengan bayaran sebegitu banyak juga, Artisan menawarkan pelbagai lagi pilihan tambahan untuk kereta pelanggan – apa sahaja warna yang dimahukan, termasuk warna yang cukup terkenal untuk Skyline seperti Bayside Blue, Millenium Jade atau Midnight Purple. Bahagian dalam juga sama – pelbagai pilihan warna dan jenis kemasan.

    Bukan setakat luar sahaja yang berbeza dengan R35 biasa, GT-R Artisan ini juga mendapat papan pemuka khas yang mempunyai skrin sesentuh menegak di tengahnya. Kemudiannya, kemasan kebanyakanna menggunakan gentian karbon, bersama roda stereng baru serta tempat duduk Recaro spesifikasi tinggi.

    Di bawah bonet, GT-R Artisan ini masih menggunakan enjin VR38DETT V6 3.8 liter twin turbo, tetapi dinaik taraf untuk menghasilkan sehingga 800 hp bagi ‘Track Edition’ dan sehingga 1,000 hp untuk ‘Ultimate Edition’. Prestasi bahagian lain turut dipertingkat, termasuk transmisi, brek, tayar dan suspensi.

    Buat masa sekarang, apa yang anda lihat cuma rekaan digital, tetapi Artisan memberitahu model konsep sebenar akan siap untuk dipamerkan di SEMA 2024. Model yang dijual akan dikeluarkan di Hannover, Jerman, dengan penghantaran dijangka dibuat tidak lama selepas itu.

     
     
  • Daihatsu tangguh produksi di Jepun sehingga akhir Jan 2024 – produksi Perodua dilaporkan diteruskan

    Daihatsu tangguh produksi di Jepun sehingga akhir Jan 2024 – produksi Perodua dilaporkan diteruskan

    Minggu lalu isu penyelewengan prosedur ujian keselamatan Daihatsu muncul semula, menyebabkan jenama bekenaan menangguhkan penghantaran semua kenderaan yang dibangunkannya yang kini dikeluarkan di Jepun serta pasaran luar negara. Isu itu timbul semula selepas siasatan keselamatan yang dijalankan oleh panel bebas mendapati ia membabitkan lagi 64 model, termasuk beberapa model yang dijual di bawah jenama Toyota.

    Keputusan untuk menghentikan semua penghantaran juga dilakukan di Indonesia dan Malaysia, namun ada kemaskini terbaharu berhubung keputusan berkenaan. Dilaporkan penghantaran kenderaan bagi pasaran Indonesia telah diteruskan semula pada hujung minggu lalu selepas syarikat tersebut mendapat lampu hijau dari pihak berkuasa republik berkenaan selepas mengesahkan keselamatan model-model terbabit.

    Manakala di Malaysia, semalam Reuters melaporkan bahawa Daihatsu mengesahkan bahawa produksi bagi kenderaan Perodua kini telah disambung semula selepas mendapat pelepasan kawal selia. Perkara yang sama turut telah dilaporkan oleh Kyodo News, namun sama ada penghantaran kepada pelanggan juga disambung atau tidak masih belum dapat dipastikan.

    Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini dikeluarkan oleh Perodua, dengan kenyataan terakhir daripada syarikat itu minggu lepas mengatakan ia sedang melakukan penilaian terperinci dan berbincang dengan pihak berkuasa bagi menyelesaikan perkara itu. Walau bagaimanapun dijangkakan Perodua mungkin akan memberikan kemaskini terbaharu dalam masa terdekat.

    Daihatsu tangguh produksi di Jepun sehingga akhir Jan 2024 – produksi Perodua dilaporkan diteruskan

    Di Jepun Daihatsu telah mengumumkan bahawa ia akan meneruskan penangguhan produksinya sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari 2024. Langkah itu bukan sahaja akan menjejaskannya Daihatsu sendiri, tetapi turut membabitkan pembekal komponen dan alat gantinya. Kira-kira 8,000 firma di Jepun secara langsung atau tidak langsung membekalkan produk atau perkhidmatan kepada Daihatsu terjejas akibat penghentian produksi berkenaan, lapor Kyodo News.

    Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, Daihatsu yang telah menghentikan tempahan alat ganti dan turut telah memulakan rundingan pampasan dengan pembekalnya, serta sedang berbincang dengan kesatuan pekerjanya mengenai gaji pekerja semasa pengeluaran dihentikan sementara.

    Sementara itu, Reuters melaporkan bahawa Daihatsu akan memberi pampasan kepada 423 pembekal domestik yang mempunyai hubungan perniagaan secara langsung. Seorang jurucakap memberitahu agensi berita berkenaan bahawa syarikat itu akan bekerjasama dengan pembekal utamanya bagi menangani kejatuhan yang sedag berlaku dan mungkin juga membantu subkontraktor kecil yang tidak menerima pampasan untuk mengakses dana sokongan daripada kementerian industri.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025