Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Chery Omoda E5 dilancarkan pada Mac 2024 – akan menjadi lead car untuk Chery Eco Run pada Ahad ini

    Chery Omoda E5 dilancarkan pada Mac 2024 – akan menjadi <em>lead car</em> untuk Chery Eco Run pada Ahad ini

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Chery Omoda E5 bakal berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Terkini, Chery Malaysia telah mengumumkan SUV janaan elektrik itu akan dilancarkan pada Mac 2024.

    Selain itu, Chery Malaysia juga mengumumkan bahawa Omoda E5 bakal menjadi lead car bagi acara Chery Eco Run. Acara larian berkenaan dengan tema ‘A new journey to a new green life’ bakal berlangsung pada Ahad ini, 7 Januari 2024, di Dataran Wawasan, Putrajaya. Ia melibatkan kategori larian santai 5KM dan 10KM, malah Chery menyasarkan acara ini bakal disertai 3,000 peserta.

    Dipertontonkan pada November 2023, Omoda E5 untuk pasaran Malaysia akan menerima unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Omoda E5 diberikan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km. Bateri LFP ini akan menjanakan motor elektrik hadapan dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 340 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat.

    Chery Omoda E5 dilancarkan pada Mac 2024 – akan menjadi <em>lead car</em> untuk Chery Eco Run pada Ahad ini

    Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    Antara ciri kelengkapannya termasuk pemanduan pedal-tunggal, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin automatik, lampu utama projektor LED, rim aloi 18-inci, tempat duduk balutan kulit rona hitam, kluster instrumen digital 12.3-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci yang dikuasakan oleh Qualcomm 8155 SoC. Sama seperti Omoda versi enjin pembakaran dalaman (ICE), Omoda E5 ini turut dilengkapi dengan pek ADAS lengkap, dengan sistem pemantauan pemanduan.

    Chery telah pun mula menerima pendaftaran minat sejak Disember lalu, namun buat masa ini harganya masih belum didedahkan. Sebagai pengetahuan, Omoda 5 dijual dari RM108,800 hingga RM118,800, dan harga bagi versi EV akan lebih tinggi sedikit dari itu. Omoda 5 versi EV ini juga bakal bersaing dengan BYD Atto 3 yang popular sejak kebelakangan ini, dengan varian Extended Range dijual pada harga RM167,800.

    Galeri: Pra-tonton Chery Omoda E5 di Malaysia

     
     
  • Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara pada 2023 – polis

    Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara pada 2023 – polis

    Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara bermula 1 Januari sehingga 30 Disember 2023.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, daripada jumlah itu, sebanyak 5,984 kes melibatkan kemalangan maut, laporan Berita RTM.

    Tambahnya, secara keseluruhannya, seramai 6,433 mangsa dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya seluruh negara bagi tempoh yang sama.

    “Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi sebanyak 173,129 kemalangan diikuti Johor (87,370), Kuala Lumpur (72,701), Pulau Pinang (53,289), Perak (41,578) dan Negeri Sembilan (28,822).

    “Selain itu, Selangor juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 1,059 mangsa, diikuti Johor (1,045), Perak (683), Kedah (576) dan Sarawak (429),” katanya pada sidang media Op Ambang Tahun Baharu di ibu negara baru-baru ini.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

     
     
  • Toyota mahu rebadge Jimny dan Swift, tetapi ditolak oleh Suzuki kerana kedua-duanya adalah model ikonik

    Toyota mahu <em>rebadge</em> Jimny dan Swift, tetapi ditolak oleh Suzuki kerana kedua-duanya adalah model ikonik

    Kerjasama antara dua jenama Jepun iaitu Toyota dan Suzuki bukanlah perkara baharu, di mana kedua-dua jenama sudahpun tampil dengan model-model rebadge yang disadur antara satu sama lain.

    Bagi pasaran Afrika Selatan misalnya, Toyota telah menghasilkan model MPV Rumion dan hatchback Starlet yang direbadge dari Suzuki Ertiga dan Baleno. Manakala di United Kingdom, Suzuki pula tampil dengan SUV Across dan wagon Swace yang masing-masing direbadge dari Toyota RAV4 dan Corolla Touring Sport.

    Namun bagi Suzuki, bukan semua model yang mereka hasilkan akan diberikan kepada Toyota untuk ditukar logo walaupun ia berpotensi menghasilkan keuntungan. Menurut laporan Autocar India, baru-baru ini Toyota ada membuat permohonan bagi menghasilkan model rebadge menggunakan dua model ikonik Suzuki iaitu SUV Jimny dan hatchback kompak Swift, tetapi ia ditolak oleh Suzuki.

    “Toyota mahu membuat kejuruteraan lencana untuk Jimny dan Swift, tetapi kami tolak permintaan tersebut secara baik,” kata sumber dalaman dari Suzuki kepada portal automotif tersebut dan menegaskan bahawa kedua-dua model itu merupakan model yang melambangkan identiti Suzuki.

    Toyota mahu <em>rebadge</em> Jimny dan Swift, tetapi ditolak oleh Suzuki kerana kedua-duanya adalah model ikonik

    “Ia seolah-oleh seperti kami meminta Toyota untuk melakukakan kejuruteraan lencana terhadap Land Cruiser. Model-model yang menjadi jiwa bagi jenama tidak boleh kami kongsi dan kedua-dua syarikat perlu hormat perkara ini,” jelas sumber itu lagi.

    Autocar India pula menyatakan sekiranya Suzuki memberikan hak kebenaran kepada Toyota bagi menghasilkan Jimny, ia berkemungkinan dapat dijual dalam jumlah lebih banyak kerana Toyota dapat menawarkan sebuah SUV yang berkebolehan dipandu dalam laluan off-road dengan harga lebih murah dari Fortuner.

    Tambahan pula jualan Maruti Suzuki Jimny di India kini dilihat sedang menurun dengan dijual hanya 15,476 unit dalam tempoh Jun hingga November 2023, di mana ia merosot teruk pada bulan November dengan jualan hanya 1,020 unit, lapor portal itu lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz EQB terbakar di pusat pengecas pengedar di Johor, punca kebakaran dalam siasatan

    Mercedes-Benz EQB terbakar di pusat pengecas pengedar di Johor, punca kebakaran dalam siasatan

    Sebuah kenderaan elektrik (EV) model Mercedes-Benz EQB didapati terbakar ketika sedang dicas di pusat pengecas wakil pengedar jenama terbabit. Menurut laporan Bomba Johor, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2.45 tengahari semalam, dan kebakaran tersebut berjaya dipadam oleh 10 anggota bomba bertugas.

    Menerusi foto yang tersebar di laman media sosial, kelihatan bomba sedang giat memadamkan kebakaran pada kereta berkenaan. Walau bagaimana pun, api berjaya dipadam dalm masa yang singkat, tidak seperti kebiasaan insiden kebakaran bateri EV yang berlaku di luar negara, di mana ia mengambil masa hampir 24 jam untuk dipadamkan sepenuhnya disebabkan kebakaran berterusan termasuk pada bahagian bateri.

    Mercedes-Benz EQB terbakar di pusat pengecas pengedar di Johor, punca kebakaran dalam siasatan

    Bomba Johor turut berkata, kebakaran tersebut menyebabkan 90% kereta mewah itu hangus dan ruang pameran premis terbabit turut terbakar hampir 5%, selain memusnahkan 20% ruang pengecasan EV. Bagaimanapun, mujur juga tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

    Ini bukan kejadian pertama yang melibatkan kebakaran EV, pada pertengahan Oktober lalu, sebuah Tesla Model Y yang dikatakan diparkir berdekatan Skypod di Puchong telah terbakar.

    Setakat ini, punca kebakaran Tesla Model Y terbabit masih belum didedahkan, dan kami juga menjangka kes EQB ini juga akan mengambil masa untuk disiasat.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VLW dan JWU dibuka untuk bidaan

    Bagi yang sedang mencari siri nombor plat nombor pendaftaran untuk dipadankan dengan kenderaan baharu, ini ada dua pilihan yang boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VLW mula dibuka bidaan sejak semalam, 1 Januari 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 Januari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWU, bakal dibuka bidaan bermula 4 Januari 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 8 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 9 Januari 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor pendaftaram yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Daihatsu dianggar rugi RM3.2 bilion kerana produksi dihentikan, k’jaan Jepun kini mulakan siasatan sendiri

    Daihatsu dianggar rugi RM3.2 bilion kerana produksi dihentikan, k’jaan Jepun kini mulakan siasatan sendiri

    Susulan langkah menghentikan sementara keseluruhan produksinya di Jepun kerana skandal ujian keselamatan yang dikesan, Daihatsu dilihat bakal berhadapan dengan masalah kewangan pula selepas ini. Menurut laporan Nikkei Asia, pembuat kereta kompak dari Jepun itu dianggar akan mengalami kerugian bernilai lebih dari 100 bilion yen (RM3.2 bilion) bukan sahaja kerana penutupan kilang, malah melibatkan bayaran pampasan kepada pembekal-pembekalnya.

    Buat masa sekarang Daihatsu masih belum mengumumkan tarikh tepat bila produksi di Jepun berkenaan akan beroperasi semula, namun menerusi kenyataan sebelum ini ia menjangka penangguhan tersebut akan berlangsung sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari 2024. Namun di Indonesia dan juga Malaysia, produksi dan penghantaran kereta baharu kepada pelanggan dilaporkan telah bersambung semula.

    Di samping kehilangan jualan domestiknya sendiri, Daihatsu akan berunding dengan pembekal mengenai pampasan yang akan diberikan kepada mereka kerana kehilangan pendapatan, dan ia dijangka memakan kos yang tinggi. Selain itu, pelbagai perbelanjaan lain yang melibatkan penyiasatan dan ujian keselamatan tambahan turut akan dimasukkan ke dalam tambahan kos tersebut.

    Bagi tahun fiskal 2022, Daihatsu mengumumkan keuntungan operasi disatukan mencapai jumlah 141.8 bilion yen (RM4.6 bilion), manakala keuntungan bersih pula adalah sebanyak 102.2 bilion yen (RM3.3 bilion). Namun sekiranya beban kewangan yang terlalu tinggi menimpa syarikat tersebut disebabkan skandal ini, ia mungkin akan menyebabkan Daihatsu mencatatkan kerugian pertamanya dalam tempoh 30 tahun.

    Daihatsu mungkin tidak akan menghadapi sebarang masalah aliran tunai serta-merta kerana setakat akhir Mac, aset cair syarikat itu ditolak liabiliti yang perlu dibayar balik adalah berjumlah lebih 500 bilion yen (RM16.2 bilion).

    Namun ia mungkin akan menghadapi masalah dalam jangka masa panjang kerana pengeluaran dan jualan bukan satu-satunya perkara yang perlu dibimbangkan oleh Daihatsu. Skandal yang muncul semula selepas penyiasatan keselamatan yang dijalankan oleh panel bebas tersebut telah menemui isu yang melibatkan 64 model, seterusnya ia menarik lebih perhatian pihak pengawal selia.

    Kementerian pengangkutan Jepun kini sedang menjalankan siasatannya sendiri dan telah mengarahkan Daihatsu untuk menghentikan penghantaran sehingga keselamatan kenderaannya dapat disahkan, satu proses yang mungkin berlarutan selama berbulan-bulan. Selain itu, syarikat itu boleh menghadapi penalti lain, termasuk pembatalan pensijilan yang diperlukan untuk pengeluaran besar-besaran.

     
     
  • Perkhidmatan rel, bas Rapid KL tertentu akan dilanjut sehingga 1.30 pagi pada malam tahun baru

    Perkhidmatan rel, bas Rapid KL tertentu akan dilanjut sehingga 1.30 pagi pada malam tahun baru

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa perkhidmatan rangkaian rel serta bas tertentu mereka akan dilanjutkan sehingga 1.30 pagi pada malam ambang tahun baru 31 Disember 2023, Ahad ini. Ia adalah bagi memudahkan perjalanan warga kota yang menyambutnya di sekitar pusat bandar.

    Tidak semua, lanjutan operasi ini melibatkan 12 stesen rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran masa (MRT) dan Monorel KL; 3 Stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 21 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.

    Berikut adalah stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT yang beroperasi sehingga jam 1.30 pagi malam itu:

  • Laluan Kelana Jaya: KLCC, Masjid Jamek
  • Laluan Ampang/Sri Petaling: Masjid Jamek, Bandaraya, IOI Puchong Jaya,Maluri
  • Laluan Monorel: Bukit Bintang
  • Laluan Kajang: Bukit Bintang, TRX, Cochrane, Maluri
  • MRT Laluan Putrajaya: TRX
  • BRT Laluan Sunway: Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash
  • Stesen-stesen yang tidak termasuk dalam senarai ini akan beroperasi mengikut waktu biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan. Semua stesen pertukaran rel turut dilanjutkan operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Rapid KL turut memberitahu mereka akan menambah bilangan anggota dan kakitangan operasi pada hari itu, sementara pengguna pula disaran menggunakan kad Touch n Go bagi membantu melancarkan perjalanan. Mereka yang menggunakan token pula digalakkan untuk membeli token pergi dan balik.

     
     
  • BYD bakal bina kilang EV pertamanya di Eropah

    BYD bakal bina kilang EV pertamanya di Eropah

    BYD telahpun mengumumkan bahawa ia akan membuka kilang produksi pertamanya di Eropah bagi menghasilkan kenderaan elektrik penuh (EV). Ia akan dibina di Szeged, Hungary dan bakal menjadi jenama automotif pertama dari China yang mempunyai kilang pengeluaran kereta penumpang di benua berkenaan.

    Menurut laporan Drive.com.au, walaupun sebelum ini MG dan GWM telahpun membuka kilangnya di Eropah, namun kilang milik kedua-dua jenama China itu hanya memasang kit Complete Knock-Down yang di bawa dari negara asalnya. Sementara untuk fasiliti baharu milik BYD ini dilaporkan akan memasang kereta dengan komponen yang dibekalkan oleh pembekal komponen juga dari Eropah.

    BYD menyatakan bahawa kilang itu akan dibina secara berperingkat dan dijangka bakal mewujudkan ribuan pekerjaan untuk warga tempatan, meningkatkan ekonomi setempat dan menyokong rantaian bekalan tempatan. Namun syarikat itu tidak mendedahkan bila pembinaan kilang tersebut akan bermula atau jumlah jangkaan kapasiti pengeluaran setahun, tetapi butiran ini dijangka akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

    Kilang tersebut menandakan peralihan kepada peringkat seterusnya strategi BYD di Eropah selepas ia mula menjual kereta penumpang di pasaran tersebut. Ia juga menyatakan bahawa dalam tahun pertama masuk ke rantau tersebut, sebanyak 230 outlet peruncitan telah diwujudkan di 19 negara dan lima model merangkumi segmen C hingga E telah dilancarkan.

    Ini termasuk model seperti Han, Tang, Atto 3, Seal dan Dolphin, bagi menawarkan pilihan model hatchback, sedan dan SUV yang diminta oleh pengguna. Dalam tempoh 12 bulan akan datang, syarikat itu akan melancarkan tiga lagi model baharu kepada barisan modelnya di Eropah.

     
     
  • Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    Tidak seperti kategori tertinggi dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Rally1 yang kini sudah pun menggunakan kerangka space frame yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan model produksi jalan raya, kategori satu tangga lebih bawah, WRC2 yang menggunakan undang-undang Rally2/R5 masih lagi menggunakan asas badan yang sama seperti model yang dijual di bilik pameran.

    Jadi adakah model produksi yang bagus akan menghasilkan kereta rali yang kompetitif walaupun enjin, sistem pacuan dan juga suspensi yang digunakan adalah berlainan? Untuk itu, pengeluar automotif dari Republik Czech, Škoda menerangkan apa yang sama dan apa yang tidak sama antara dua kereta yang dibina dengan dua tujuan berbeza antara satu sama lain tersebut.

    Untuk jentera Rally2 terbaharu dari Škoda Motorsport, ia dibina berasaskan dari model produksi Škoda Fabia generasi keempat dan diberi nama sebagai Skoda Fabia RS Rally2. Dengan platform MQB-AO tersebut, ia secara tidak langsung memberikan potensi prestasi yang lebih baik dan lebih kompetitif berbanding jentera rali Skoda Fabia Rally2 Evo sebelumnya.

    Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    “Undang-undang untuk kategori kereta rali kami adalah jelas dan ia memerlukan badan kereta lumba sama dengan kereta produksi biasa. Satu-satunya pengecualian ialah kebenaran untuk mengembangkan kereta pada bahagian fender dan bampar. Kami boleh mengubahsuai spoiler dan kami boleh membina terowong untuk sistem pacuan semua roda pada bahagian lantai,” kata Aleš Rada, ketua teknologi kereta lumba Škoda Motorsport.

    Menurut Škoda, berbanding model generasi sebelumnya, kerangka asas bagi model generasi keempat ini adalah lebih keras membolehkan ia menjadi kereta antara yang paling selamat dalam kelasnya. Fabia baharu ini juga menampilkan jarak roda yang lebih jauh, membolehkan ia mencapai keseimbangan dan pusat graviti lebih baik ketika dibangunkan sebagai kereta rali.

    Skoda juga mendakwa perincian aerodinamik asas pada model jalan raya biasa juga memberikan kelebihan kepada jentera Fabia RS Rally2 ini. Salah satunya adalah rekaan liang udara pada bampar hadapan model produksi biasa dibawa terus pada kereta rali kerana ia mampu untuk menenangkan aliran udara yang menuju ke ruang roda hadapan.

    Bagi menambahbaik lagi aerodinamik pada kereta rali ini, rekaan skup udara pada bumbung bukan hanya untuk menyejukkan pemandu dan juru arah dalam kabin, malah bentuknya turut membantu downforce dihasilkan oleh spoiler belakang yang direka lebih besar dari spoiler Fabia biasa.

    Fabia RS Rally2 ini turut menerima cermin sisi yang lebih aerodinamik diperbuat dari gentian karbon, kunci mandatori untuk pintu hatch di belakang, semua cermin tingkap kaca diganti dengan cermin polikarbonat yang lebih ringan dan tidak boleh diturunkan serta diberikan liang udara dengan penutup gelangsar bersaiz kecil.

    Untuk model produksi jalan raya paling berkuasa iaitu Škoda Fabia Monte Carlo, ia hanya dijana oleh enjin petrol 1.5 liter turbo TSI Evo empat-silinder menghasilkan 150 PS dan tork maksima 250 Nm. Namun bagi kereta rali Fabia RS Rally2, ia disumbat dengan enjin EA888 TSI yang diambil dari Skoda Octavia.

    Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    Namun kapasiti enjin 2.0 liter turbo berkenaan diturunkan kepada hanya 1.6 liter bagi mematuhi undang-undang Rally2/R5 – sama seperti Proton Iriz Rally2 yang menggunakan enjin Proton Inspira yang dikecilkan kapasiti. Enjin EA888 1.6 liter tersebut menerima unit restrictor turbo berdiameter 32 mm mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh FIA, menghasilkan kuasa sekitar 289 hp dengan tork maksima 430 Nm.

    Kuasa berkenaan dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif. Menurut Škoda Motorsport, nisbah gear rapat yang diberikan pada transmisi Fabia RS Rally2 ini masih membolehkan ia mencapai kelajuan maksima sekitar 200 km/j.

    Untuk suspensi, kereta rali ini masih menggunakan konfigurasi Topang McPherson. Namun pada bahagian belakang yang kini turut menerima gandar untuk memacu roda, konfigurasi Torsion Beam asal telah diubah menggunakan sistem Topang McPherson.

    Dalam hieraki model produksi Škoda, Fabia merupakan model Skoda yang paling kecil dan paling murah ditawarkan di bilik pameran. Namun dengan segala perubahan yang dibuat bagi dijelmakan sebagai kereta rali, Škoda Fabia RS Rally2 pula berharga sekitar 10-kali ganda lebih mahal, dan ia merupakan kereta paling mahal yang dijual oleh Škoda buat masa sekarang.

    Ya, anda boleh membeli Škoda Fabia Rally2 ini dari Škoda Motorsport kerana ia dibangunkan menerusi program perlumbaan pelanggan seperti yang disyaratkan oleh FIA. Selain dari WRC, Škoda Fabia Rally2 ini juga boleh digunakan dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC), Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) dan juga perlumbaan-perlumbaan rali peringkat nasional yang menggunakan regulasi homologasi dari FIA atau yang diluluskan oleh badan permotoran tempatan.

    GALERI: Skoda Fabia RS Rally2

    GALERI: Skoda Fabia generasi keempat

     
     
  • HW Electro Puzzle akan mula dijual hujung tahun 2024 – van elektrik dengan bumbung solar, RM65k

    HW Electro Puzzle akan mula dijual hujung tahun 2024 – van elektrik dengan bumbung solar, RM65k

    Van kotak yang anda tengok ini namanya adalah Puzzle, dikeluarkan oleh sebuah syarikat Jepun, HW Electro. Ia ditunjukkan kali pertama semasa Japan Mobility Show bulan lalu, dan sekarang diterbangkan ke New York, Amerika Syarikat untuk tujuan promosi.

    Menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, Puzzle membawa rekaan seperti dilukis menggunakan pembaris, dan menurut pengeluarnya, ia dapat membantu mengurangkan pembaziran semasa proses pengeluaran dan menjadikannya mudah untuk dibaiki. Demi memenuhi spesifikasi kei car, Puzzle mencatat ukuran panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 2,480 mm.

    Tersembunyi di sebalik panel badan di atas roda hadapan adalah tempat mengecas, soket kuasa, kit kecemasan serta peralatan asas. Menurut HW Electro, van yang dibuat untuk tujuan komersial ini mampu membawa sehingga 350 kg dan barangan mudah dimasukkan kerana lantainya rata dan bukaan pintu but adalah luas.

    Bahagian dalam cuma mempunyai dua tempat duduk di hadapan, dan papan pemukanya ringkas seperti meja, dengan panel instrumen digital kecil di hadapan pemandu dan skrin sistem infotainmen di tengah. Bentuk stereng juga adalah berpetak, manakala pemilih gear menggunakan jenis suis, terletak di antara dua tempat duduk itu.

    Perincian untuk pakej kuasa atau penggerak van ini masih belum didedahkan, tetapi Puzzle juga dilihat datang dengan pengumpul tenaga solar di atas bumbungnya. HW Electro bercadang untuk mula menjual Puzzle pada hujung tahun 2024, dengan harga sekitar dua juta yen (RM64,853).

     
     
  • PANDU UJI: Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2023 bukan sekadar biasa-biasa, tapi bukan juga luar biasa!

    PANDU UJI: Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2023 bukan sekadar biasa-biasa, tapi bukan juga luar biasa!

    Tidak dinafikan sejak kelahirannya dalam dunia automotif, prestasinya acapkali menerima pujian. Dari masa ke semasa, dari generasi ke generasi kelahirannya, Mazda 3 memang tidak lekang dengan pelbagai kata-kata yang menyenangkan.

    Tetapi bagaimana pun kelebihan yang diperkatakan, popularitinya seakan tidak setanding pesaing terdekatnya, Honda Civic. Sama ada versi hatchback mahu pun sedan, di Malaysia, jualannya masih berada pada tahap sederhana. Tidak begitu cemerlang, tetapi tidak juga sendu. Nasibnya tidak seperti adiknya, Mazda 2, yang lebih laris di pasaran tempatan. Mungkin soal harga menjadi batasan.

    Mazda 3 2023 dilancarkan di pasaran Malaysia sejak Oktober lalu dan merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari negara kelahirannya, Jepun. Kali ini empat varian ditawarkan iaitu High dan High Plus untuk sedan. Manakala bagi hatchback pula, ia diberikan varian High Plus dan Ignite Edition.

    PANDU UJI: Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2023 bukan sekadar biasa-biasa, tapi bukan juga luar biasa!

    Peningkatan harga sebanyak RM5,000 berbanding model terdahulu, memang tidak dapat dielakkan. Untuk Mazda 3 2.0L High Sedan, ditetapkan pada harga RM156,059. Manakala Mazda 3 2.0L High Plus Sedan/Hatchback pula berharga RM166,059 dan Mazda 3 2.0L Ignite Edition Hatchback jauh lebih mahal iaitu mencecah RM175,059. Kalau dilihat soal harganya, memang lebih mahal Berbanding Civic dengan varian RS berharga RM151,900.

    Disebabkan Mazda 3 2023 merupakan model CBU, jadi terpaksa terima hakikat soal harga ini. Kalau ada yang sanggup berbelanja lebih, bolehlah mendapatkan Mazda 3, sebaliknya jika mahukan jentera sedan segmen-C yang lebih popular, pastinya Civic menjadi pilihan teratas.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Huawei Aito M9 dilancarkan di China – SUV elektrik dengan range extender, jarak gerak sehingga 1,210 km

    Huawei Aito M9 dilancarkan di China – SUV elektrik dengan range extender, jarak gerak sehingga 1,210 km

    Huawei telah melancarkan Aito M9 di China, yang akan bersaing dengan model seperti BMW X7 dan Mercedes-Benz GLS. Model kerjasama dengan Seres ini menyertai barisan model Aito yang lain iaitu M5 dan M7. Di China, antara saingan lain M9 adalah Li Auto L9, Nio ES8, HiPhi X dan Hongqi E-HS9.

    Menggunakan bentuk dengan garisan yang lembut, M9 juga datang dengan pembuka pintu jenis rata dengan badan, lampu segitiga dengan sambungan jalur lampu di tengah serta pencahayaan lampu belakang bercorak. Anda juga boleh mendapati terdapat logo HIMA, yang bermaksud Harmony Intelligent Mobility Alliance, iaitu satu kerjasama antara Huawei dengan Aito, Luxeed, BAIC Motor dan JAC Motors.

    Berkenaan harga, M9 dijual bermula pada 469,800 yuan (RM303,474) untuk varian asas EREV Max, diikuti 509,800 yuan (RM329,312) untuk EV Max, 529,800 yuan (RM342,231) untuk EREV Ultra dan 569,800 yuan (RM368,070) untuk EV Ultra.

    Varian EREV datang dengan range extender yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter yang bertindak sebagai generator untuk bateri ternary lithium berkapasiti sama ada 42 kWh atau 52 kWh pada model ini. Bateri ini memberikan kuasa kepada dua motor elektrik, dengan yang di hadapan berkemampuan 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan tork 315 Nm, manakala yang di belakang mampu menghasilkan 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 360 Nm.

    Tetapan pacuan empat roda ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat, dan kelajuan maksimum 200 km/j. Aito mendakwa, dengan tangki bahan api 65 liter, varian EREV boleh memberikan jarak gerak mengikut WLTC sehingga 1,210 km (bateri 42 kWh) atau 1,239 km (bateri 52 kWh). Tanpa bergantung kepada range extender, jarak gerak menggunakan elektrik adalah 190 km bagi bateri 42 kWh, dan 233 km bagi bateri 52 kWh (WLTC).

    Varian EV juga datang dengan tetapan dua motor serta pacuan empat roda, tetapi kuasa motor elektriknya telah dilaras semula. Motor yang berada di hadapan mampu menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 277 Nm, sementara motor yang di belakang pula menghasilkan 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 396 Nm.

    Laju maksimum varian EV adalah sama seperti EREV, tetapi masa pecutan 0-100 km/j adalah lebih pantas, iaitu 4.3 saat. Varian EV dibina menggunakan tetapan elektrikal 800 volt dan menampilkan bateri ternary lithium 100 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 630 km.

    Untuk pengecasan, Aito mendakwa, bateri varian EREV akan mengambil masa lima jam untuk naik dari 20-90% menggunakan input AC 7 kW, atau tiga jam menggunakan AC 11 kW. Kapasiti mengecas menggunakan DC tidak diberitahu tetapi syarikat itu mendakwa ia boleh naik 20-80% dalam masa 30 minit.

    Huawei Aito M9 dilancarkan di China – SUV elektrik dengan range extender, jarak gerak sehingga 1,210 km

    Bagi varian EV pula, pengecasan menggunakan input AC akan mengambil masa 11.7 jam (7 kW) dan 7.5 jam (11 kW) untuk naik 20-90%, manakala apabila menggunakan input DC (kapasiti tidak diberitahu), ia akan naik 30-80% dalam masa 15 minit.

    Semua varian M9 datang secara standard dengan suspensi udara bersama tahap pelarasan sehingga 80 mm, rim 21 inci (22 inci disediakan sebagai pilihan tambahan), gril aktif, bumbung panoramik kaca serta pintu tutup lembut (versi Ultra mendapat pintu bukaan elektrik).

    Barang-barang teknologi juga ada pelbagai, seperti lampu utama LED matriks adaptif yang dibangunkan sendiri oleh Huawei. Menariknya dengan lampu ini, ia mempunyai projector dan boleh menjadikan sebarang permukaan rata di hadapan sebagai skrin 100 inci.

    Bukan setakat boleh dijadikan seperti panggung wayang bergerak, lampu ini juga boleh memancarkan lirik di hadapan jika anda rasa seperti hendak menyanyi. Jika mahu menonton seperti biasa, ada skrin 32 inci dan laser projector untuk penumpang di bahagian dalam kenderaan.

    Selain daripada itu, terdapat tiga skrin di atas papan pemuka, termasuk panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sesentuh infotainmen 15.6 inci di tengah serta skrin sesentuh 16 inci untuk penumpang hadapan. Pemandu juga disediakan dengan head-up display 75 inci dengan augmented reality varian UItra, manakala setiap empat penumpang di belakang disediakan dengan skrin sesentuh jenis tablet sendiri.

    Sistem yang digunakan untuk infotainmen adalah Huawei HarmonyOS 4, yang kemudiannya dibantu lagi dengan sistem audio 25 pembesar suara 2,080 watt. Menjadikan keadaan dalam SUV lebih meriah, lampu suasananya juga boleh diselarikan dengan lagu.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk pengawal suhu dengan pengesan kualiti udara, pemerhati PM2.5, penjana ion negatif, penapis kabin N95, dua pad pengecas tanpa wayar, kunci ultra wideband, kad kunci NFC, V2L, V2V serta pengenalan muka.

    M9 cuma datang dengan tetapan enam tempat duduk, yang boleh dilaras pelbagai cara, dan sistem keselamatan yang disediakan termasuk Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Smart Assisted Parking dan pemanduan semi-autonomous.


     
     
  • Mercedes-Benz lulus guna lampu firus di 2 negeri di AS, tanda sistem pemanduan sendiri diaktifkan

    Mercedes-Benz lulus guna lampu firus di 2 negeri di AS, tanda sistem pemanduan sendiri diaktifkan

    Mercedes-Benz mengumumkan bahawa ia kini merupakan pengeluar pertama dalam dunia yang menerima kelulusan dari pihak berkuasa di Amerika Syarikat bagi menggunakan lampu penanda luaran apabila sesebuah kereta itu bergerak dengan sistem pemanduan sendiri (autonomi).

    Menurut jenama automotif premium dari Jerman itu, buat permulaan lampu penandu untuk sistem pemanduan automatik berkenaan dipadankan terlebih dahulu pada kenderaan ujiannya yang beroperasi di California menggunakan sistem pemanduan autonomi Drive Pilot.

    Sistem Drive Pilot ini merupakan sistem pertama dalam dunia yang menerima pengiktirafan sistem pemanduan autonomi SAE Tahap 3 yang diterima dua tahun lalu. Ia merupakan sistem pemanduan automatik yang digunakan secara bersyarat dan menerima kelulusan jenis (Type Approval) pada peringkat antarabangsa selepas menerima kelulusan penggunaan di Jerman.

    Mercedes-Benz lulus guna lampu firus di 2 negeri di AS, tanda sistem pemanduan sendiri diaktifkan

    Bagi tahun ini sistem berkenaan akan digunakan di Nevada dan California, di mana kedua-dua negeri di Amerika Syarikat berkenaan masing-masing memerlukan pensijilan yang berbeza. Drive Pilot ini sudahpun ditawarkan dalam pasaran Jerman sejak 2022, namun di AS, model produksi pertama yang menggunakannya baru sahaja mula digunakan di jalan raya awam di California dan Nevada.

    Menurut Mercedes-Benz, penggunaan lampu penanda ini akan meningkatkan penerimaan orang ramai terhadap pemanduan automatik dan menyumbang kepada keselamatan jalan raya. Syarikat itu memilih untuk menggunakan lampu penanda berwarna biru firus kerana mengambilkira kadar keterlihatan warna dan ia berbeza dari lampu-lampu lain pada kenderaan dan lampu-lampu isyarat lalu lintas sedia ada.

    “Selain itu, menurut penemuan dalam pelbagai kajian ujian, warna biru firus adalah warna optimum untuk pemanduan automatik. Kedua-dua faktor fisiologi dan psikologi membuktikan nilai yang lebih tinggi dalam warna biru firus dalam hampir semua aspek berbanding warna lain,” kata Mercedes-Benz dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Kenderaan ujian di California menerima kelulusan sah selama dua tahun menggunakan lampu penanda berwarna biru firus yang disepadukan ke dalam lampu hadapan dan lampu belakang serta kedua-dua cermin sisi. Sementara itu, permit di Nevada pula terpakai kepada model produksi Mecedes-Benz 2026 dan ia kekal sah sehingga rombakan berkanun dicapai dengan badan perundangan negeri.

    Sistem Drive Pilot ini akan ditawarkan pada model EQS dan S-Class 2024 di California dan Nevada mulai awal tahun depan.

    Mercedes-Benz turut menyatakan bahawa ia komited untuk menyeragamkan warna biru firus ini sebagai memberikan isyarat kepada pemandu lain sekiranya kenderaan berkenaan bergerak dengan menggunakan sistem pemanduan automatik. Syarikat itu juga menambah bahawa buat masa sekarang masih tiada rangka kerja am untuk menggunakan lampu biru firus ini pada kenderaan yang diproduksi di AS, China atau UN-ECE (Suruhanjaya Ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah).

     
     
  • Saksikan sendiri pelbagai jenis kenderaan di Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Jan

    Saksikan sendiri pelbagai jenis kenderaan di Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Jan

    Dengan menyediakan pilihan meluas kenderaan untuk dipilih, Tukar-Je CARnival anjuran myTukar adalah tempat paling sesuai untuk anda mencari kenderaan baru. Ia akan berlangsung dari 12 hingga 14 Januari 2024 di Puchong South Retail Experience Centre dan menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pandu uji melalui halangan slalom serta pengenalan kepada pakej badan dan cat oleh Carro Care dan juga tawaran myTukar Insurance.

    Tarikan utama acara sudah tentu adalah kereta myTukar Certified, yang semuanya datang bersama jaminan enjin dan transmisi selama 12 bulan serta pulangan balik wang dalam masa lima hari. Setiap satu kereta yang berada di bawah program myTukar Certified telah melalui pemeriksaan 160 bahagian untuk memastikan ia memenuhi standard yang ditetapkan.

    Dalam pemeriksaan ini juga jarak batuan yang terdapat di meter kenderaan dipastikan tidak diusik dan kereta juga diperiksa untuk memastikan ia tidak pernah terlibat dalam kemalangan teruk, kebakaran atau banjir. Hanya selepas lulus pemeriksaan, dan sebarang kekurangan diperbaiki, barulah ia akan dimasukkan dalam senarai untuk dijual.

    Dengan perkara ini sudah tidak perlu dirisaukan lagi melalui kenderaan myTukar Certified, anda cuma perlu mencari kenderaan yang sesuai dengan bajet dan keperluan masing-masing sahaja. Pilihan meluas inventori kereta myTukar Certified adalah termasuk jenama dan model yang popular, pada harga menarik seperti Honda City dari cuma RM678 sebulan, serta Toyota Vios dari RM712 sebulan.

    Jika mahukan sebuah hatchback, anda boleh pilih Perodua Axia atau Myvi, yang ditawarkan dari cuma masing-masing RM316 sebulan dan RM361 sebulan. Untuk penggemar SUV pula terdapat Honda HR-V dengan bayaran bulanan serendah RM930.

    Semasa acara Tukar-Je CARnival, anda bukan setakat boleh menikmati harga menarik dan pilihan meluas bagi kenderaan myTukar Certified, tetapi juga pelbagai tawaran dan promosi lain dari myTukar bernilai lebih RM1 juta!

    Beli kereta daripada myTukar dan nikmati:

    • Diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih.
    • Hadiah termasuk baucar diskaun 30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.

    Kunjungi mana-mana pusat pemeriksaan myTukar di seluruh negara (tidak tersedia di myTukar Puchong South Retail Experience Centre semasa acara tiga hari ini) jika anda ingin trade-in kereta anda. myTukar akan melanjutkan sebahagian tawaran istimewa jika anda menjual kereta anda sepanjang Tukar-Je CARnival.

    Apa yang perlu anda lakukan ialah serahkan kereta anda yang akan dinilai segera. Jika anda menjual kereta anda dalam masa 24 jam selepas diberikan sebut harga, anda akan nikmati tawaran tambahan.

    Jual kereta kepada myTukar dan nikmati:

    • Baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Anda juga akan menikmati lebih banyak tawaran ketika servis dan memperbaharui insurans kereta anda melalui jenama ini.

    Carro Care:

    • Diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Insurans:

    Nikmati diskaun 10% tambahan ketika anda memperbaharui insurans kenderaan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Jangkakan lebih banyak keseronokan!

    Saksikan sendiri pelbagai jenis kenderaan di Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Jan
    Saksikan sendiri pelbagai jenis kenderaan di Tukar-Je CARnival oleh myTukar di Puchong South 12-14 Jan

    Bukan karnival namanya kalau tiada aktiviti menyeronokkan untuk anda dan keluarga. Bawa keluarga anda dan berhibur dengan konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan. Anak-anak juga boleh mengalami sendiri bagaimana menjadi pemandu yang bertanggungjawab di Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar, dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Dan, jangan lupa untuk segarkan tenaga! Makan dan minum dengan hidangan jalanan yang disediakan, penuh dengan hidangan tempatan daripada pelbagai penyedia trak makanan yang terlibat.

    Berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre 12-14 Januari ini, dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    *Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.

    Honda City

    Honda HR-V

    Perodua Axia

    Perodua Myvi

    Toyota Vios

     
     
  • Kerajaan negeri Terengganu terima SUV Mazda baharu

    Kerajaan negeri Terengganu terima SUV Mazda baharu

    Kerajaan negeri Terengganu nampaknya sudah menerima beberapa SUV Mazda baru, yang akan digunakan oleh menteri besar dan ahli majlis tertinggi, dan gambarnya tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

    Berikutan itu, ramai netizen yang mempersoalkan keperluan SUV baru tersebut dan kerajaan negeri didesak untuk menjelaskannya. Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, setiausaha kerajaan negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, pembelian SUV baru ini adalah satu rutin biasa dan tidak melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan.

    Beliau turut menambah bahawa pemerolehan kenderaan tersebut sudah dirancang awal tahun ini dan diluluskan oleh bajet negeri tahun lepas, dan sepatutnya tidak menjadi sebarang isu kerana mengikut prosedur yang betul. Walaubagaimanapun, beliau berkata terdapat pihak yang cuba mempolitikkan isu ini kerana ia melibatkan menteri besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan kerajaan negeri.

    “Ini adalah amalan biasa. Apabila ada pertukaran kerajaan, kenderaan juga akan diganti. Semasa kenderaan pacuan empat roda dibeli untuk jabatan perhutanan tahun lepas, tiada siapa yang menjadikannya satu isu. Kenapa bangkitkan ia sekarang?” kata Farok.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025