Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bangkok 2019: Honda Accord Modulo pasaran Thailand – kit badan untuk tampil lebih sporty

    Bangkok 2019: Honda Accord Modulo pasaran Thailand – kit badan untuk tampil lebih sporty

    Seperti yang dijanjikan sebelum ini, hari ini kami bawakan pula Honda Accord generasi baharu yang diberikan kit badan Modulo yang dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019. Kit badan ini boleh dipadankan sama ada pembeli memilih varian 1.5L Turbo mahupun 2.0 liter Hybrid pada pasaran berkenaan.

    Untuk versi lebih sporty ini, ia hadir dengan gril bar tebal di hadapan, yang kelihatan bersambung terus dengan kening Accord ini dan hadir dalam kemasan krom gelap, berbanding versi standard yang menerima kemasan krom berkilat. Manakala pada kedua-dua sisi bampar, ia dilabuhkan lagi dengan sepasang lips spoiler.

    Beralih ke sisi, set kit Modulo ini memberikan kemasan liang sisi palsu pada fender hadapan. Skirt sisi lebih labuh juga dipadankan dengan kemasan krom gelap seperti gril hadapan. Manakala pada bahagian atas pula, kesemua pintu diberikan visor tingkap.

    Di belakang pula, Accord dengan rupa fastback ini diberikan spoiler ekor itik lebih besar bersama jalur krom gelap, yang diletakkan di atas lengkuk yang berbentuk spoiler pada penutup but berkenaan. Tiada perubahan dilihat pada bampar berbanding versi standard.

    Bangkok 2019: Honda Accord Modulo pasaran Thailand – kit badan untuk tampil lebih sporty

    Seperti yang diberitahu sebelum ini, Accord generasi baharu untuk pasaran Thailand ini tiada lagi versi 2.0 liter NA biasa dan juga 2.4 liter. Varian asas dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo menjana 190 PS dan tork maksima 243 Nm, manakala versi paling tinggi diberikan kuasa hibrid petrol menampilkan enjin 2.0L kitaran Atkinson baharu bersama sistem dua motor elektrik Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive).

    Enjin 2.0 liter i-VTEC kitaran Atkinson tersebut mampu menjana 145 hp/175 Nm, manakala sistem i-MMD berkenaan pula menghasilkan 184/315 Nm. Menurut Honda, kuasa keseluruhan untuk Accord Sport Hybrid ini adalah 215 hp. Kedua-dua versi Accord ini menghantar kuasa ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Model Turbo EL dijual pada harga 1.5 juta baht (RM192,844), manakala model Hybrid dijual pada harga 1.65 juta baht (RM212,129).

    Honda Thailand juga menawarkan varian Hybrid Tech pada pasaran tersebut, dilengkapi pelbagai lagi kelengkapan termasuk bumbung suria, lampu pintu luaran, spoiler belakang, balutan kulit pada tempat duduk berwarna merah atau hitam (bergantung warna badan yang dipilih), HUD, penderia parkir empat-poin, bantuan parkir belakang dengan empat penderia, kamera parkir 360-darjah, monitor lintasan belakang, serta Sistem Bantuan Parkir Pintar.

    GALERI: Honda Accord 1.5L Turbo 2019

    GALERI: Honda Accord Hybrid 2019

     
     
  • Hyundai Venue – SUV kecil yang akan ditunjuk 17 April

    Hyundai Venue – SUV kecil yang akan ditunjuk 17 April

    Hyundai telah mendedahkan, Crossover Utility Vehicle (CUV) serba baru mereka yang akan ditunjukkan tidak lama lagi akan dipanggil sebagai Venue. Nama ini sekaligus memberi perubahan kepada tradisi Hyundai yang sebelum ini menggunakan nama tempat atau bandar seperti Tucson, Santa Fe dan Palisade.

    Untuk yang bertanya kenapa ia dipanggil Venue, Hyundai memberitahu nama ini merujuk kepada tempat di mana orang mahu dilihat, dan dalam konteks ini, ia adalah dalam kenderaan. Nama ini menggambarkan gaya yang mengikut masa dan unik, dan ini dianggap sesuai dengan CUV baru tersebut. Selain daripada nama itu – yang terletak bawah logo Hyundai di pintu but belakang – tiada sebarang perincian lain yang diberitahu.

    Dalam barisan produk Hyundai, Venue akan diletakkan di bawah Kona, dan memandangkan ia adalah sebuah model yang mementingkan gaya, pelancarannya akan dimasukkan dengan teknologi Augmented Reality (AR). Malah, pelancarannya yang akan dibuat 17 April ini di New York Motor Show juga akan disiarkan secara langsung atas talian.

     
     
  • BMW 3 Series G20 dilancarkan di M’sia – 330i M Sport, 2.0L TwinPower, 258 hp/400 Nm, harga RM328,800

    BMW 3 Series G20 dilancarkan di M’sia – 330i M Sport, 2.0L TwinPower, 258 hp/400 Nm, harga RM328,800

    BMW Malaysia hari ini melancarkan model terbaru BMW 3 Series G20 untuk pasaran tempatan. Merupakan generasi ketujuh bagi kereta sedan sport berkenaan, ia tidak menunggu lama untuk sampai ke sini, selepas enam bulan membuat penampilan sulung antarabangsanya. Di sini, hanya satu varian dibawa masuk, iaitu 330i M Sport yang diimport sepenuhnya dan dijual pada harga RM328,800 atas jalan tanpa insurans. Ini termasuk jaminan lima-tahun dengan servis berjadual percuma.

    Dari segi saiz, model terbaru ini lebih besar daripada yang sebelumnya. Dimensinya adalah seperti berikut; 4,709 mm panjang (+76 mm) dan 1,827 mm lebar (+16 mm) manakala jarak antara roda pula ialah 2,851 mm (+41 mm). Ketinggiannya bagaimanapun hanya ditambah 1 mm berbanding model lama, menjadi 1,442 mm. Lebar sentuhan permukaan (track width) juga bertambah untuk memberikan ketangkasan pemanduan yang lebih baik; +43 mm di depan dan +21 mm di belakang.

    Bagi enjin, ia menggunakan unit 2.0 liter TwinPower yang menjana sebanyak 258 hp dengan tork maksimum 400 Nm dari 1,550 rpm hingga 4,400 rpm. Ini digandingkan dengan sistem transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j pula dicapai dalam masa 5.8 saat, dengan kelajuan maksimumnya sehingga 250 km/j.

    BMW 3 Series G20 dilancarkan di M’sia – 330i M Sport, 2.0L TwinPower, 258 hp/400 Nm, harga RM328,800

    Penggunaan minyak yang didakwa mampu dicapai pula ialah 6.4 liter bagi setiap 100 km, sementara pembebasan sisa karbon pada kadar 147 g/km. Berat kereta ini juga telah dikurangkan sebanyak 25 kg berbanding yang lama, dengan berat tanpa muatan yang dicatatkan kini ialah 1,545 kg.

    Pembaharuan rekaan luaran pula melibatkan bahagian kidney grille yang kini bersambung di tengahnya. Ia juga bersambung dengan lampu utama, yang kini menampilkan unit teknologi LED sepenuhnya dengan DRL berbentuk U. Dilihat dari sisi, rekaan umumnya masih dikekalkan. Bahagian bonet dan jarak antara roda yang panjang dengan garis bumbung memberikan imej sporty yang telah lama sinonim dengan kereta ini. Bahagian tiang C pula kini diberikan lengkung yang lebih tirus.

    Garis badan dari hadapan ke bahagian lekuk roda belakang kereta ini memberikan sentuhan lebih kemas. Corong udara yang biasanya terletak di belakang roda depan kini tiada lagi. Lampu belakang pula menggunakan jenis LED sepenuhnya dengan rekaan tiga dimensi bentuk L dalam perumah yang lebih gelap.

    BMW 3 Series G20 dilancarkan di M’sia – 330i M Sport, 2.0L TwinPower, 258 hp/400 Nm, harga RM328,800

    Pakej M Sport kereta ini terdiri daripada rekaan bampar depan yang lebih garang, masukan udara bentuk U yang lebih luas serta kit sisi badan dengan rekaan diffuser pada bampar dengan dua corong ekzos. Rim 18-inci dua jejari dan dua tona pula digunakan dengan penyudah Orbit Grey.

    Di dalam, penggayaan yang dikenakan diambil daripada model-model BMW yang lain; rekaan horizontal yang lebih jelas, dengan kemasan warna perak pada corong udara dan tombol kawalan. Bahagian konsol tengahnya juga lebih tinggi; dengan panel kawalan baru bagi butang penghidup, tuil gear, tombol pengawal iDrive serta brek parkir elektronik menggantikan brek tangan sebelum ini.

    Datang standard ialah sistem infotainmen BMW Live Cockpit Professional, dengan skrin tengah 10.25-inci dan paparan instrumen digital sepenuhnya 12.3-inci. Sistem yang dipertingkat ini pula menggunakan BMW Operating System 7.0, menampilkan antaramuka pengguna yang diperkemas serta panel-panel yang lebih besar.

    Sistem berkenaan boleh dikawal melalui skrin sentuh di tengah, tombol kawalan rotari iDrive serta ciri Gesture Control pilihan. Turut hadir ialah Intelligent Personal Assistant, sistem kawalan suara yang lebih maju yang boleh menilai rutin dan amalan biasa pengguna. Sistem bunyi pilihan pula disediakan oleh Harman Kardon 464-watt dengan 16 pembesar suara.

    Selebihnya, tempat duduk diberikan rekaan baru untuk keselesaan pemanduan jarak jauh, dan pemilik juga boleh memilih tempat duduk sport yang hadir dengan kemasan kulit Vernasca. Tahap kebisingan dalam kabin juga telah dipertingkatkan. Bagi ruang barangan, kapasiti yang tersedia masih sama dengan 480 liter, dan sistem pengasingan ruang yang baru memberikan tambahan 36 liter pada ruang berkenaan.

    BMW 3 Series baru ini ditawarkan dalam pilihan lima warna; Portimao Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey, Sunset Orange dan dipadankan dengan warna hitam premium atau kemasan ruang dalaman kulit Vernasca dan juga kemasan Aluminium Tetragon.

     
     
  • Bangkok 2019: Chevrolet Captiva baru – dijenamakan semula daripada Baojun 350 dan Wuling Almaz

    Bangkok 2019: Chevrolet Captiva baru – dijenamakan semula daripada Baojun 350 dan Wuling Almaz

    Ini adalah Chevrolet Captiva baru yang ditampilkan buat kali pertama di Bangkok International Motor Show 2019. Model SUV generasi kedua ini akan memasuki pasaran sana dalam separuh pertama tahun 2019 dengan harga yang bermula bawah satu juta baht (RM128,175), dan menggantikan Captiva asal yang diperkenalkan pada tahun 2006 dan diberikan facelift pada tahun 2010.

    “Captiva serba baru ini akan jadi tarikan kepada pelanggan yang mahukan SUV pertama, menawarkan gaya yang ekspresif, ruang luas dan teknologi pintar, semuanya dalam satu pakej bernilai hebat,” kata pengarah jualan dan pemasaran Chevrolet Thailand, Piyanuch Chaturaphat.

    Kalau anda tertanya bagaimana General Motors dapat melaksanakan perkara tersebut, sebenarnya, Captiva baru ini adalah model Baojun 530 dari China yang telah dijenamakan semula (rebadge), dan turut sudah dilancarkan di Indonesia sebagai Wuling Almaz. Kedua-dua Baojun dan Wuling di Indonesia adalah satu kerjasama antara GM dan SAIC Motor dari China.

    Selain membuat kereta untuk GM di China, SAIC juga memiliki jenama automotif lain seperti MG dan Maxus. Sekiranya anda sudah pernah melihat kenderaan ini dalam laman kami, berkemungkinan ia adalah laporan daripada pameran GIIAS 2018 di Indonesia.

    “Strategi kami untuk memberikan fokus kepada trak dan SUV terus memberikan hasil dan menunjukkan penekanan global GM terhadap segmen penting yang sedang berkembang ini. Kami sekarang sedang mengambil langkah seterusnya dalam strategi jangka masa panjang kami untuk mengembangkan lagi portfolio kenderaan tempatan, dengan menggunakan sepenuhnya skala global serta kerjasama yang ada, bermula dengan Captiva serba baru,” jelas Chaturaphat.

    Menurut GM, Captiva baru ini akan menawarkan ruang dalaman antara yang terbesar dalam pasaran, dan boleh didapati dalam konfigurasi lima dan tujuh tempat duduk. Antara kelengkapan yang ada termasuk bumbung panoramik dan lampu utama LED bersepadu. Harga penuh dan perincian lengkap kenderaan ini hanya akan didedah apabila ia hampir dilancarkan nanti. Bahagian dalam juga telah ditutup.

    Bangkok 2019: Chevrolet Captiva baru – dijenamakan semula daripada Baojun 350 dan Wuling Almaz

    Berita yang tersebar sekarang mengatakan Captiva baru di Thailand akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dan transmisi automatik enam kelajuan. Enjin sama yang digunakan pada Wuling Almaz menghasilkan 140 hp dan 250 Nm tork, tetapi di Indonesia, ia menggunakan transmisi CVT.

    Captiva baru ini adalah sebuah kenderaan yang besar. Ukurannya adalah 4,655 mm panjang dan 1,836 mm lebar, menjadikannya 71 mm lebih panjang berbanding Honda CR-V, manakala jarak rodanya juga lebih panjang 90 mm, iaitu 2,750 mm. Di Indonesia, Wuling ALmaz dijual pada harga 318.8 juta rupiah (RM91,417). Tidak seperti model sebelum ini yang dibuat sendiri di Thailand, model baru ini pula akan diimport sama ada dari China atau Indonesia.

    GALERI: Baojun 350

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai Elantra AD facelift – akan dilancar?

    SPYSHOT: Hyundai Elantra AD facelift – akan dilancar?

    Pembaca kami telah menghantarkan beberapa gambar Hyundai Elantra AD versi facelift sedang diuji atas jalan di Malaysia, sekaligus menunjukkan kemungkinan pelancarannya semakin hampir. Sedan yang mengalami banyak perubahan ini pertama kali dilancarkan di Amerika Syarikat Ogos tahun lalu, dan ia memberi gambaran kita tidak akan menunggu lama lagi untuk pelancarannya, tidak seperti Elantra sebelum ini, di mana selepas dua tahun didedahkan, barulah ia tiba di Malaysia.

    Bahagian luar model facelift ini menunjukkan perubahan yang besar, termasuk penggunaan gril baru, perumah lampu yang berbentuk segi tiga tajam menempatkan unit lampu utama LED bagi varian Limited dan Sport, dan di penghujung bampar terdapat bukaan berbentuk segi tiga yang menjadi tempat untuk lampu kabus. Bentuk lampu belakang, grafiknya serta bampar belakang turut diubah.

    SPYSHOT: Hyundai Elantra AD facelift – akan dilancar?

    Walaupun kita tidak dapat melihat bahagian dalam model yang diuji di Malaysia ini, kita boleh menjangka perubahan seperti paparan instrumen serta pengawal pendingin hawa. Untuk bahagian mekanikal, Elantra AD facelift mungkin ditawarkan dengan pilihan enjin sama bermula dengan unit empat silinder 2.0 liter Nu NA berkuasa 152 PS dan 192 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan.

    Sekarang ini dalam pasaran Malaysia, Elantra dijual pada harga RM109,888 untuk varian Executive, dan RM113,888 untuk varian Dynamic yang dipasang dengan kit badan. Harga ini tidak termasuk insurans. Apa pendapat anda dengan model baru ini?

     
     
  • Kereta terbang – ‘prototaip’ muncul di LIMA 2019?

    Kereta terbang – ‘prototaip’ muncul di LIMA 2019?

    Kecoh dan viral hari ini apabila laman Facebook Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyiarkan gambar bahawa Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad meninjau apa yang digelar sebagai ‘prototaip’ untuk kenderaan boleh terbang digelar ‘air mobility’ dan diberikan nama sebagai ‘Vector’ di Pavilion kementerian tersebut pada acara LIMA 2019 yang sedang berlangsung di Langkawi.

    Namun apa yang kami lihat menerusi gambar-gambar yang disiarkan, ia bukanlah sebuah protaip sebenar sebuah kereta terbang, tetapi lebih kepada mock-up atau model skala kecil kenderaan berkenaan. Prototaip selalunya adalah merujuk kepada sebuah produk dalam skala penuh, dan boleh berfungsi, cuma perincian-perincian akhirnya belum dimuktamadkan lagi.

    Setelah berberapa ketika, kami melihat semula siaran di laman berkenaan dan nampaknya perkataan ‘prototaip’ tersebut telah di tukar kepada ‘model’, mungkin selepas menerima respon orang ramai dalam membetulkan kesalahan itu.

    Namun menerusi laporan Bernama, Vector bukanlah ‘kereta terbang yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Menurut Pengarah Kanan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan Aerodyne Group (syarikat yang membangunkan Vector) Imtyaz Mohd Azzat, kenderaan tersebut bukanlah direka untuk menjadi sistem pengangkutan udara dari satu destinasi ke destinasi lain, sebaliknya ia adalah kenderaan berkonsep drone yang direka untuk membawa penumpang, penghantaran kargo dan tujuan pengawasan.

    Kereta terbang – ‘prototaip’ muncul di LIMA 2019?

    “Vector dikuasakan oleh empat motor dan bateri lithium-ion yang membolehkan kenderaan itu terbang. Kenderaan ini juga boleh membawa bebanan dianggarkan 150 hingga 200 kilogram dan terbang pada ketinggian kira-kira 50 meter dengan kelajuan 60 kilometer sejam dan 30 ke 90 minit masa penerbangan,” jelas Imtyaz.

    Menurutnya lagi, prototaip sebenar Vector ini dijangka siap untuk terbang seawal Jun tahun ini, tetapi harganya masih belum ditentukan oleh syarikat yang berusia empat tahun dengan pengalaman dalam teknologi drone tersebut, sekiranya ia bersedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi.

    Berkenaan projek kereta terbang yang diumumkan sebelum ini pula, ia disuarakan oleh Datuk Seri Redzuan buat pertama kali pada Februari tahun ini, dan tentulah ramai yang terkejut apabila mendengar ‘prototaip’ kereta tersebut sudah didedahkan lebih kurang sebulan selepas itu.

    Sebelum ini juga menteri yang sama ada menyatakan bahawa kereta terbang ini akan dipacu teknologi tempatan, tetapi untuk kegunaan pemantauan pengangkutan awam serta sektor peladangan, dan mengesahkan bahawa prototaip kereta berkenaan akan muncul tahun ini.

    CEO Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari mendedahkan bahawa Dasar Automotif Nasional (NAP) yang sedang dinilai semula turut akan merangkumi kerangka kawal selia bagi kereta terbang berkenaan.

     
     
  • Royal Enfield Bullet Trial didedah – enjin 346 cc, 499 cc

    Royal Enfield Bullet Trial didedah – enjin 346 cc, 499 cc

    Royal Enfield telah mendedahkan dua model baru mereka iaitu Bullet Trial Works Replica yang boleh didapati dalam versi 350 dan juga 500. Seperti yang anda boleh lihat daripada namanya, dua model baru ini menggunakan model Bullet sebagai asas tetapi diubah untuk mempunyai kemampuan offroad.

    Perbezaan utama antara Bullet Trial ini dengan Bullet biasa adalah lampu hadapan, pemegang yang lebih tinggi, pelindung tayar yang lebih pendek, ekzos naik ke atas, tempat duduk dengan spring serta rak barangan yang menggantikan tempat duduk belakang.

    Model Bullet Trial ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci di hadapan dengan tayar 90/90, rim 18 inci di belakang dengan tayar 110/80, tayar berbunga kasar, fork teleskopik 35 mm dengan jarak gerak 130 mm, dua penyerap hentak gas dengan jarak gerak 80 mm di belakang, tangki bahan api 13.5 liter serta brek cakera dengan sistem ABS two-channel.

    Lain daripada itu, ia adalah sama dengan model Bullet biasa, bermaksud Bullet Trial 350 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok penyejukan udara 346 cc yang berkuasa 19.8 hp dan 28 Nm tork, manakala Bullet Trial 500 dikuasakan oleh enjin satu silinder penyejukan udara, suntikan bahan api 499 cc yang berkemampuan 27.2 hp dan 41.3 Nm tork. Kedua-duanya digabungkan dengan kotak gear lima kelajuan.

    Dua model istimewa ini dikeluarkan sebagai peringatan kepada model Royal Enfield tahun 40-an yang berjaya mencipta nama dalam perlumbaan offroad Six Days di Eropah dan dulu, ia adalah motosikal produksi pertama yang menggunakan suspensi dengan lengan ayun boleh gerak.

    GALERI: Royal Enfield Bullet Trial Works Replica 500

    GALERI: Royal Enfield Bullet Trial Works Replica 350

     
     
  • Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

    Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

    Selepas versi hatchback A 35 didedahkan tahun lalu, kini giliran model sedannya pula muncul. Seperti dijangka, Mercedes-AMG A 35 4Matic Sedan V177 ini berkongsi sebahagian besar rupa dan teknologi dari hot-hatch lawan terus kepada Volkswagen Golf R berkenaan.

    Oleh itu, kereta ini masih dijana enjin M260 2.0 liter turbo di tala bagi menghasilkan 306 hp pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 3,000 hingga 4,000 rpm. Kesemua kuasa dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift 7G bersama sistem pacuan semua roda 4Matic.

    Sistem 4Matic berkenaan mampu untuk menghantar tork ke gandar belakang sehingga 50% menerusi klac pelbagai lapisan electro-mekanikal. Dan dengan sistem launch control yang disediakan pada Race Mode, sedan kompak ini akan berlepas seperti lastik bagi mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, atau hanya 0.1 saat lebih perlahan dari versi hatchback yang lebih ringan.

    Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

    Berbanding model standard, versi prestasi tinggi sebenar AMG ini diberikan kerangka badan yang lebih tegar. Bahagian hadapan diberikan panel aluminum digelar “shearing plate”, dan bersama pendakap diognal tambahan, ia memberikan ketegaran torsi bagi membolehkan A 35 Sedan ini mengambil selekoh dengan lebih jitu serta sudut toe dan camber lebih baik untuk lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

    Bahagian hadapan juga masih menerima suspensi topang McPherson dengan geometri gandar istimewa dan lengan-lengan kawalan ringan diperbuat dari aluminium. Manakala di belakang diberikan sistem empat-hubungan yang sama seperti model hatchback A 35.

    Jika anda memilih sistem suspensi AMG Ride Control, ia turut didatangkan dengan penyerap hentak adaptif, dan juga sistem stereng sport elektro-mekanikal sensitif kelajuan serta AMG Dynamics torque vectoring yang berfungsi menggunakan sistem brek.

    Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

    Rupa A 35 Sedan ini juga kekal agresif sama seperti versi hatchback. Ia menerima pakej penggayaan penuh AMG Line, terdiri dari gril twin-louvre, liang udara hadapan lebih besar dan juga skirt sisi lebih labuh. Manakala di belakang, bampar sedan ini menerima diffuser bersama dua tip ekzos oval, serta spoiler pada penutup but.

    Pembeli boleh memilih sama ada mahukan A 35 Sedan mereka dengan set rim bersaiz 18- atau 19-inci. Dan disebalik roda tersebut, kereta ini dihentikan dengan angkup monoblok empat omboh bersama cakera ditebuk 350 mm di hadapan, serta angkup satu omboh dan cakera 330 mm di belakang.

    Cukup ganas? Kalau tidak cukup, anda turut boleh memilih pakej AMG Aerodynamic yang terdiri dari splitter udara hadapan, spoiler belakang lebih besar dan juga liang udara palsu pada bampar belakang bagi menyerlahkan lagi rupa diffuser yang diberikan.

    Bahagian kabin sedan ini turut menyerupai model hatchback dengan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit yang terdiri dari dua buah skrin yang masing-masing bersaiz 10.25-inci serta sistem perantara baharu Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menggunakan arahan suara ‘Hey, Mercedes’ yang menggantikan sistem COMAND sebelumnya. Namun sudah tentu keistimewaan model sedan ini adalah tahap praktikalitinya, menerusi ruang but belakang yang menawarkan ruang kargo 420 liter.

    Ciri opsyenal pada sedan berprestasi ini termasuk roda stereng rata di bawah AMG Performance, yang diberikan dua butang dan suis putar yang boleh digunakan bagi menetapkan pilihan sistem AMG Dynamic Select, menawarkan pilihan talaan mod pemanduan Slippery, Comfort, Sport, Sport + dan Individual.

    Juga sama dengan kembar hatchbacknya, sistem MBUX pada A 35 ini turut menawarkan opsyen istimewa AMG Track Pace. Pilihan berkenaan mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau. Ia berfungsi menerusi sistem GPS dan telah diberikan pra tetapan untuk litar Nürburgring atau Spa Francochamps.

    Peta paparan boleh dipilih dalam bentuk 2D atau 3D dan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut disertakan dengan pengajar maya menerusi sistem fungsi A.I MBUX yang memberikan anda panduan bagi mendapatkan masa lap yang lebih pantas.

     
     
  • Mahkamah rayuan MotoGP siarkan keputusan protes terhadap Ducati – alat aerodinamik sah, boleh dipakai

    Mahkamah rayuan MotoGP siarkan keputusan protes terhadap Ducati – alat aerodinamik sah, boleh dipakai

    Selepas pusingan perlumbaan pertama MotoGP di Qatar awal bulan lalu, empat pasukan iaitu Aprilia Racing Team Gresini, Red Bull KTM Factory Racing, Repsol Honda Team dan Team Suzuki Ecstar telah menyatakan protes terhadap alat aerodinamik di bawah lengan ayun yang digunakan oleh beberapa jentera Ducati.

    Empat pasukan tersebut mengatakan bahawa alat aerodinamik tersebut menyalahi undang-undang teknikal MotoGP, dan kemudiannya protes itu dibawa pula ke ‘mahkamah rayuan’ MotoGP. Selepas mendengar kenyataan daripada semua pihak dan penilaian tertentu pada 22 Mac lalu, kini keputusannya telah dikeluarkan.

    Mahkamah rayuan MotoGP telah memutuskan tiga perkara utama. Pertama, rayuan yang dibuat oleh empat pasukan ini adalah boleh diterima. Kemudian, keputusan perlumbaan di Qatar telah ditetapkan sebagai muktamad, sah dan tiada perubahan.

    Mahkamah rayuan MotoGP siarkan keputusan protes terhadap Ducati – alat aerodinamik sah, boleh dipakai

    Akhir sekali, permintaan empat pasukan ini untuk mengisytiharkan alat aerodinamik Ducati itu sebagai ‘haram’ dan melarang penggunaannya pada masa hadapan telah ditolak. Ini bermaksud, Ducati masih lagi boleh menggunakan alat aerodinamik tersebut dan ia adalah sah.

    Walaubagaimanapun, mahkamah ini masih memberi peluang untuk rayuan yang seterusnya, dan mana-mana pihak yang mempunyai bantahan boleh menghantarkan rayuan ke Court of Arbitration of Sport (CAS) di Lausanne, Switzerland dalam tempoh lima hari daripada waktu keputusan tersebut dikeluarkan.

     
     
  • Bangkok 2019: Mitsubishi Triton Absolute – trak pikap konsep yang lebih garang, penuh panel gentian karbon

    Bangkok 2019: Mitsubishi Triton Absolute – trak pikap konsep yang lebih garang, penuh panel gentian karbon

    Siapa boleh sangkal bahawa Mitsubishi Triton 2019 merupakan trak pikap paling handsome dalam pasaran sekarang? Dengan potensi yang begitu banyak untuk menjadi ia sebuah jentera yang lebih garang dan agresif, Mitsubishi telah mendedahkan model konsep yang digelar Triton Absolute di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019.

    Berbeza dengan model biasa, Triton Absolute diberikan panel-panel sekeliling badan yang diperbuat dari bahan gentian karbon termasuk pada bahagian over fender, panel bawah pintu, dan juga bahagian bawah bampar hadapan. Scuff plate pada bampar berkenaan menerima kemasan perak dan merah, serta diberikan gril rekaan baharu dan juga pelindung tambahan pada perumah lampu kabus.

    Selain dari panel-panel tambahan, bahagian sisi trak pikap ini juga diberikan rim aloi lebih lebar berwarna hitam, bersama tayar off-road ‘lipan’ Falken Wildpeak M/T 285/65R18. Turut dapat dilihat, angkup brek hadapan yang lebih besar diberikan dengan kemasan merah.

    Manakala di belakang pula, pintu bed belakang logam asal turut digantikan dengan unit dari gentian karbon, menampilkan tulisan ‘Mitsubishi’ yang tenggelam. Bampar belakang juga ditukar dengan unit lebih rugged dalam kemasan perak bersama scuff plate berwarna merah.

    Bangkok 2019: Mitsubishi Triton Absolute – trak pikap konsep yang lebih garang, penuh panel gentian karbon

    Bumbung trak pikap ini juga menerima sentuhan lebih lasak menerusi pemadanan kemasan yang menempatkan lampu tambahan yang turut bersambung dengan rel bumbung serta sports bar pada bed belakang.

    Menurut Mitsubishi, Triton Absolute ini menyerlahkan konsep “Absolutely Beyond Tough” menerusi “kekukuhan yang dibina” berdasarkan “dinamik trak” yang diilustrasikan oleh rekaan “lebih solid dan lebih lasak” serta “ketahanan mekanikal” trak pikap tersebut. Ia juga menunjukkan ketahanan kerangka Triton berkenaan dan membawa rekaan lasak dalam setiap suasana kehadirannya.

    Tiada spesifikasi teknikal untuk sistem mekanikal Triton Absolute ini didedahkan. Namun berdasarkan radar pada cermin hadapan untuk sistem bantuan pemanduan seperti Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS), ia mungkin diasaskan dari model tertinggi Triton Adventure X.

    Varian tersebut menerima enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm. Model baharu ini ditawarkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dan juga sistem pacuan empat roda Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD, menawarkan cengkaman dan karekteristik optimum pada semua permukaan.

    Prestasi pada laluan off-road juga telah dipertingkat menerusi mod pemanduan Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock pada gear 4L, dan juga fungsi Bantuan Menurun Bukit (HDC).

    Walaupun ia kini hanyalah sebagai model konsep, masih ada peluang untuk menyaksikan Triton Absolute ini dihasilkan dalam bentuk produksi. Ini kerana menurut Mitsubishi, selama 12-bulan akan datang, trak pikap ini akan dipamerkan di pelbagai lokasi seluruh dunia bagi “menilai minat dan respon dari orang ramai”.

     
     
  • Honda CBR150R diperbaharui di Thailand – RM11.8k

    Honda CBR150R diperbaharui di Thailand – RM11.8k

    Selain CBR250RR, pengedar motosikal Honda di Thailand turut melancarkan model facelift CBR150R untuk pasaran sana. Ia sebenarnya adalah sebuah model yang sudah terlebih dahulu dilancarkan di Indonesia hujung tahun lalu, dan kini kita dapat melihat bagaimana pula rupa untuk model pasaran Thailand.

    Di Thailand, CBR150R ditawarkan dalam empat warna iaitu hitam, biru, merah dan edisi Repsol. Harga pula bermula 92,000 baht (RM11,820) bagi model paling asas dan pergi hingga 94,000 baht (RM12,077) bagi yang dilengkapi dengan ABS.

    Antara perubahan yang diberi untuk model facelift terbaru ini, selain grafiknya adalah penghadang angin yang lebih tinggi di hadapan dan lampu yang lebih tajam. Pada bahagian prestasi pula, ia sekarang didatangkan dengan cakera brek hadapan berombak manakala suspensi hadapan dan belakang juga boleh dilaras.

    Pergi ke panel meternya, ia menggunakan unit digital dengan warna baru, sementara sistem keselamatan turut dipertingkat dengan bahagian brek yang kini boleh didapati dengan sistem ABS dan dilengkapi dengan Emergency Stop Signal (ESS) yang boleh menyalakan lampu kecemasan apabila membrek secara kuat.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama termasuk enjin dan transmisi yang menggunakan unit satu silinder DOHC 149.16 cc suntikan bahan api dengan padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 17.1 PS pada 9,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm.

    GALERI: Honda CBR150R pasaran Indonesia

     
     
  • Bangkok 2019: Toyota GR Supra A90 tiba di Thailand untuk diprebiu, bakal dilancarkan pada tahun ini

    Bangkok 2019: Toyota GR Supra A90 tiba di Thailand untuk diprebiu, bakal dilancarkan pada tahun ini

    Februari lalu, UMW Toyota telah mengesahkan bahawa Toyota Supra generasi A90 baharu bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini. Jika kita dapat, apatah lagi Thailand bukan? Kereta sport berkenaan turut akan masuk ke negara tersebut tahun ini dan semasa berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019, Supra berkenaan telah pun dipamerkan untuk diprebiu.

    Perkara ini telah diumumkan sendiri oleh presiden Toyota Motor Thailand, Michinobu Sugata dalam ucapannya. Sama juga seperti Malaysia, spesifikasi yang ditawarkan turut belum didedahkan.

    Ketika diperkenalkan buat pertama kali di Detroit, Amerika Syarikat awal tahun ini, Toyota GR Supra A90 hadir dalam tiga varian kuasa. Model tertinggi Supra RZ dijana oleh enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris menjana 350 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm.

    Bangkok 2019: Toyota GR Supra A90 tiba di Thailand untuk diprebiu, bakal dilancarkan pada tahun ini

    Versi pertengahan pula menerima enjin petrol turbo empat-silinder yang meghasilkan kuasa 258 PS dan tork maksima 400 Nm bermula 1,550 hingga 4,400 rpm. Manakala versi paling asas juga diberikan enjin empat silinder sama, tetapi talaan kuasanya hanya 197 PS dan tork maksima 320 Nm.

    Tiada transmisi manual ditawarkan setakat ini, di mana semua varian menerima kotak gear automatik lapan-kelajuan konvensional dari ZF bagi memacu roda belakang. Untuk itu, versi paling berkuasa mampu mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat, model pertengahan 5.2 saat dan versi paling rendah 6.5 saat dalam pecutan sama.

    Bukan semua jenama Jepun yang berani untuk membawa kereta-kereta sport flagship mereka ke Asia Tenggara seperti Thailand dan Malaysia. Nissan misalnya, sehingga kini tiada lagi model GT-R R35 di bawa secara rasmi oleh pengedar di Malaysia, manakala di negara Gajah Putih ia hanya dibawakan oleh Nissan Motor Thailand pada tahun lalu.

     
     
  • Honda CBR250RR tiba di Thailand – harga RM32k

    Honda CBR250RR tiba di Thailand – harga RM32k

    Sebenarnya, bukan kita sahaja yang menunggu model sport Honda CBR250RR tiba dalam pasaran. Thailand juga sama, tetapi model ini akhirnya dilancarkan di sana dengan tanda harga 249,000 baht (RM32,000). Harga ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi penggemar di sana dan meletakkan CBR250RR ini dalam kedudukan premium.

    Mengapa ini boleh berlaku? Sebabnya model yang tiba di Thailand ini diambil terus dari Jepun, sedangkan pasaran Asia Tenggara lain menerima model yang dikilangkan di Indonesia. Harga ini malah lebih mahal daripada CBR300 (enjin satu silinder 286 cc) yang dijual di sana.

    Melihat kepada spesifikasi pula, tiada perubahan besar jika dibandingkan unit yang diimport dari Jepun ini dengan unit yang datang dari Indonesia. Hanya lampu penunjuk arah sahaja dipisahkan daripada unit lampu utama dan bahagian lain termasuk enjin dan kuasanya masih lagi sama.

    CBR250RR dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 249 cc DOHC suntikan bahan api, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa 38.7 PS pada 12,500 rpm dan 23.3 Nm tork pada 11,000 rpm. Ia juga didatangkan dengan sistem pendikit throttle-by-wire, sekaligus membolehkan penawaran tiga mod tunggangan iaitu Comfort, Sport dan Sport+.

    Model ini juga mempunyai kelengkapan yang lebih memberi fokus kepada prestasi seperti fork USD, monoshock dengan sambungan Pro-Link, lengan ayun aluminium, meter digital LCD, lampu depan dan belakang LED, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera dengan sistem ABS, serta tangki bahan api 14.5 liter.

    GALERI: Honda CBR250RR yang dipamer waktu MotoGP 2016

    GALERI: Honda CBR250RR di GIIAS 2016

     
     
  • Bangkok 2019: Toyota Camry TRD Sportivo di Thailand

    Bangkok 2019: Toyota Camry TRD Sportivo di Thailand

    Thailand adalah antara pasaran Toyota di dunia yang menerima sentuhan TRD Sportivo untuk hampir kesemua modelnya. Ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019, jenama berkenaan turut mempamerkan Toyota Camry generasi baharu yang diberikan peningkatan TRD Sportivo.

    Seperti biasa, model TRD Sportivo ini tampil dengan kit badan lengkap. Pada bahagian muka, kit tersebut merangkumi lips spoiler hadapan (dua tona lengkap bersama logo TRD), manakala kemasan pada gril pula boleh dipilih sama ada dengan warna perak atau hitam (kereta yang dipamerkan ini diberikan kemasan hitam).

    Skirt sisi juga hadir dalam kemasan dua-tona, begitu juga pada lips tambahan pada bampar belakang. Kit badan tersebut diakhiri dengan spoiler pada penutup but yang direka seakan untuk kereta-kereta hatchback. Bagi melengkapkan rupanya, Camry TRD Sportivo ini dipadankan dengan set rim aloi 18-inci kemasan dua-tona.

    Kereta ini juga dilengkapi dengan semua aksesori opsyenal yang ditawarkan oleh Toyota Thailand. Antara peralatan tersebut termasuk dashcam, lampu lecak, but belakang dengan fungsi bukaan menggunakan kaki, sokongan lumbar udara, kemasan pelindung bampar belakang dan juga pelindung kemasan ‘kevlar’ pada pembuka pintu.

    Bangkok 2019: Toyota Camry TRD Sportivo di Thailand

    Pada pasaran Thai, Camry ditawarkan dalam varian 2.0G, 2.5G, 2.5 Hybrid dan 2.5 Hybrid Premium, dan dijual pada harga bermula 1.445 juta baht (RM185,713) hingga 1.799 juta baht (RM231,210).

    Model asas 2.0 liter dijana enjin petrol NA berkuasa 167 PS/199 digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan automatik. Model 2.5 liter pula menerima enjin NA Dynamic Force baharu menjana 209 PS/250 Nm mengalirkan kuasa ke roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik.

    Model Hybrid pula menggandingkan enjin petrol 2.5 liter berkuasa 178PS/221 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 120 PS/202Nm, yang menurut Toyota ia menghasilkan kuasa keseluruhan 211 PS.

    Kita di Malaysia sudahpun menerima Camry generasi baharu ini hujung tahun lalu, tetapi hanya dengan varian tunggal 2.5V berkuasa 184 PS/235 Nm dan kotak gear enam-kelajuan automatik, dijual pada harga RM190k.

    GALERI: Toyota Camry 2.5V pasaran Malaysia di KLIMS 2018

     
     
  • Belum ada keputusan perubahan model pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo, penilaian semula dijalankan

    Belum ada keputusan perubahan model pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo, penilaian semula dijalankan

    Dalam sesi Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini, kerajaan memaklumkan belum ada keputusan muktamad yang diambil berkaitan cadangan untuk membatalkan khidmat “Project Delivery Partner” (PDP) untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

    Menteri Kerja Raya, Baru Bian menyatakan bahawa pelaksanaan projek berkenaan dengan model sedia ada kini dinilai semula dari segenap aspek, terutamanya keterhadan kemampuan kewangan kerajaan ketika ini, lapor Bernama.

    “Ini bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan dimanfaatkan secekapnya, dan dalam masa sama tidak memberi kesan kepada pelaksanaan projek berkenaan,” ujar beliau, sambil menjelaskan bahawa keputusan bagi arah tuju pelaksanaan lebuhraya itu akan diumumkan sebaik sahaja kerajaan menyelesaikan kajian terhadap cara terbaik untuk menjimatkan kos projek itu.

    Beliau juga menekankan, apa juga keputusan yang bakal diambil oleh kerajaan, ia tidak akan melibatkan pembatalan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. PDP yang dilantik di Sarawak ialah Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (dengan kos pembinaan RM16.48 bilion) manakala di Sabah pula Borneo Highway PDP Sdn Bhd (dengan kos 12.86).

    “Kedua-dua perjanjian sedia ada ketika ini menyatakan dengan jelas bahawa kedua-dua PDP yang dilantik itu perlu menyiapkan lebuhraya berkenaan mengikut jadual, spesifiaksi dan kos ditetapkan menjelang 30 June 2021 (Sarawak) dan 31 Diesember 2021 (Sabah),” tambah beliau.

    Sebelum ini dilaporkan ada cadangan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa ada perbincangan untuk menyerahkan projek berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya dan agensi kerajaan lain berbanding dibuat sepenuhnya oleh syarikat swasta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025