Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KLIMS18: Proton Iriz facelift dilihat dalam sesi taklimat

    KLIMS18: Proton Iriz <em>facelift</em> dilihat dalam sesi taklimat

    Dalam taklimat media di ruang pameran Proton di KLIMS 2018 hari ini, ada sebuah paparan pada skrin yang menunjukkan model seakan Proton Iriz ketika dalam proses rekaan. Imej berkenaan menunjukkan bahagian wajah depan Iriz dengan agak jelas.

    Teks yang turut dilihat pada paparan skrin berkenaan juga ada tertulis; “Usaha sama antara Proton dan Geely untuk membawakan model generasi terbaru bagi barisan kenderaan Proton akan datang.” Menarik untuk perhatikan kerjasama di dalam pembaharuan Iriz ini – ia akan memberi gambaran terhadap kesungguhan Geely untuk memperbaharui model-model sedia ada Proton ke satu tahap lain.

    Jika dibandingkan dengan iras dari imej model berkenaan ketika dilihat diuji di jalan raya Malaysia, memang ada persamaan yang boleh dilihat. Dalam video berkenaan, Proton Iriz seakan menerima lampu hadapan reflektor lebih nipis dan bonet diambil terus dari versi sedannya, iaitu Proton Persona.

    KLIMS18: Proton Iriz <em>facelift</em> dilihat dalam sesi taklimat

    Namun menerusi bayangan disebalik pelekat penyamaran, gril dan bampar depannya seperti diberi rekaan baru. Rekaan berkenaan nampak lebih agresif manakala lampu nyalaan siang LED pula nampak bersepadu terus dengan liang udara sisi. Ini agak konsisten dengan imej teaser yang dapat dilihat dalam paparan skrin berkenaan.

    Dalam video yang muncul sebelum ini, bahagian belakang juga nampak lebih jelas. Kelihatan seperti Iriz seakan menerima rekaan diffuser belakang baru yang begitu menonjol, dan rekaan grafik untuk lampu juga berkemungkinan besar diperbaharui, memandangkan ia turut dikenakan pelekat penyamaran.

    Hatchback ini turut berkemungkinan menerima kemasan baharu yang merentangi pintu tailgate belakang, yang kelihatan terbonjol disebalik penyamaran berkenaan. Jadi bagaimana, adakah imej ini memang sah wajah depan Iriz terbaru nanti?

     
     
  • KLIMS18: Hyundai Santa Fe 2019 muncul secara rasmi

    KLIMS18: Hyundai Santa Fe 2019 muncul secara rasmi

    Hyundai Santa Fe 2019 serba baru telah membuat penampilan rasminya di Malaysia dan sedang dipertontonkan di KLIMS 2018. Ini empat bulan selepas pengenalan global bagi SUV generasi keempat itu. Di dalam kemunculan baru ini, Santa Fe menerima pembaharuan menyeluruh dari segi rekaan.

    Dari depan, wajahnya kini hampir menyerupai rekaan pada model SUV kompak Kona, dengan lampu LED DRL yang tirus di atas unit lampu utama LED. Gril dengan rekaan yang lebih segar dan besar digunakan, dengan lebih rekaan kemasan di dalamnya.

    Garis bahu pada Santa Fe terbaru ini lebih menonjolkan ketegapan model berkenaan. Reka bentuk keseluruhan dari sisi masih tidak terlalu jauh lari dari rekaan model sama sebelum ini, dengan bahagian tingkap menampilkan bentuk baru.

    KLIMS18: Hyundai Santa Fe 2019 muncul secara rasmi

    Lampu belakang juga diberi sentuhan rekaan baru, dengan grafik bentuk C yang nampak seperti rekaan 3D. Bahagian bawah bampar pula lebih kemas dengan skid plate lebih besar, lampu undur dan lampu kabus serta rekaan trapezoid hujung ekzos.

    Bahagian kabin juga menerima rekaan baru sepenuhnya, mirip yang ada pada model Kona sebagai penanda aras kenderaan generasi baru keluaran Hyundai. Antara yang melengkapi ruang berkenaan ialah skrin sentuh bagi sistem infotainmen (dengan sokongan Android Auto). Turut hadir ialah pengecas tanpa wayar Qi.

    Berbeza dari model generasi ketiga, dua ruang cawan pada konsol tengan kini diletakkan bersebelahan tombol gear. Secara keseluruhan, ruang kabin Santa Fe baru ini membawa nuansa dan suasana yang lebih mewah dengan penggunaan material dan rekaan yang lebih premium.

    KLIMS18: Hyundai Santa Fe 2019 muncul secara rasmi

    Kelengkapan lain termasuk paparan digital pada kluster instrumen (dengan dua meter analog), kemasan kulit, monitor 360-darjah, kawalan menuruni curam, peninjau titik buta, tempat duduk depan berkuasa (dengan sokongan lamdar untuk pemandu), kawalan cruise, sistem pintar tanpa kunci serta rim 19-inci.

    Bagi enjin, Santa Fe terbaru ini sama dengan model sebelumnya. Yang dimaksudkan ialah unit petrol 2.4 liter empat-silinder (176 hp/227 Nm) dan 2.2 CRDi (197 hp/436 Nm). Model enjin petrol dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan, sementara unit diesel dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

    Santa Fe 2.2 CDRi

    Hyundai Santa Fe 2.4

     
     
  • KLIMS18: Perodua X-Concept dipamerkan – gambaran awal hatchback lima pintu masa hadapan Perodua

    KLIMS18: Perodua X-Concept dipamerkan – gambaran awal hatchback lima pintu masa hadapan Perodua

    Sebagai antara pemain utama dalam pasaran tempatan, Perodua menyediakan beberapa model istimewa yang dibawa ke Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018. Anda sudah melihat Myvi GT yang tampil garang dengan pelbagai ubah suai dan juga ‘SUV misteri‘ yang diletakkan dalam kotak, dan ini pula adalah X-Concept.

    Model konsep ini menggunakan bentuk badan hatchback lima pintu, yang dicat dengan warna merah pada kebanyakan bahagian, bumbung berwarna hitam dan C-pillar yang berwarna putih bagi mewujudkan pandangan seperti bumbung tersebut terapung.

    Sebagai sebuah model konsep, sudah tentu ia menggunakan bahagian-bahagian yang menarik seperti rim bersaiz besar, tayar nipis, cermin sisi nipis dan kecil, pembuka pintu yang tersembunyi dan pintu yang terbuka secara suicide (pintu belakang terbuka dari depan). Di bahagian depan, grilnya yang lebar mempunyai logo Perodua manakala lampu LED pula terletak rendah.

    Bahagian dalam kelihatan ringkas, dengan papan pemuka tidak mempunyai sebarang butang dan berkemungkinan segala fungsi seperti pengawal pendingin hawa, audio dan navigasi boleh dikawal melalui pad elektronik besar yang terkeluar di panel tengah. Operasi gear juga dikawal melalui butang di permukaan rata di antara dua tempat duduk hadapan.

    Untuk tempat duduk pula, kami dapati ia mempunyai bentuk bucket yang sporty, tetapi warnanya berlainan antara di depan dan belakang – di depan menggunakan padanan warna hitam, jalur merah dan kemasan hitam berkilat, manakala di belakang menggunakan warna putih, jalur merah dan kemasan krom.

    Dari pandangan mata kasar, saiz model konsep ini seperti Myvi, tetapi seperti lebih rendah dan panjang. Menurut Perodua ia cukup lapang untuk aktiviti harian, tetapi juga kompak untuk memudahkan pengendalian di kawasan urban. Nama X itu pula diberitahu menggambarkan stabiliti, dinamik dan teknologi maju.

     
     
  • Proton X70 sah akan dilancarkan pada 12 Disember ini

    Proton X70 sah akan dilancarkan pada 12 Disember ini

    Ketika prebiu (sekali lagi) SUV Proton X70 di KLIMS 2018 hari ini, Proton mengesahkan bahawa SUV pertama mereka itu sah akan dilancarkan pada 12 Disember ini. Namun, satu lagi maklumat penting, iaitu harganya pula masih lagi dirahsiakan dan bakal diumumkan pada majlis pelancaran tersebut nanti.

    Seperti yang selalu kami laporkan sebelum ini, X70 akan ditawarkan dalam empat varian untuk pasaran Malaysia. Namun untuk permulaan, SUV ini hanya akan ditawarkan dengan enjin 1.8L TGDi (Turbo Gasoline Direct Injection) yang mampu menjana 181 hp dan tork maksima 285 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,400 rpm. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa 10.5 saat.

    Proton X70 sah akan dilancarkan pada 12 Disember ini

    Dua sistem pacuan yang adakan ditawarkan; 2WD (tiga varian) dan AWD (satu varian). Penggunaan minyak bagi model 2WD disifatkan mampu memberikan 7.8 liter bagi setiap 100 km, manakala penggunaan minyak bagi model AWD masih beluh dimaklumkan.

    Teknologi multimedia juga menjadi antara faktor penarik SUV ini – dilengkapi dengan pengantar keseluruhan sistem multimedia bersepadu melalui sebuah head unit dengan TFT 8-inci skrin sentuh (resolusi 1,280 x 720) yang hadir bersama sistem GKUI – ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian. Buat masa sekarang, ia beroperasi menggunakan platform Android terlebih dahulu sebelum dilanjutkan kepada Apple CarPlay nanti.

    Lain-lain kelengkapan termasuk lima ciri yang diketengahkan pada laman utama skrin unit ini; Voice Command, GPS, Music, Phone dan juga System Settings. Untuk menggunakan head unit berkenaan, ia sama sahaja dengan cara kita menggunakan skrin sentuh pada telefon – leretkan ke kanan atau ke kiri untuk melihat aplikasi yang ada.

    Selain itu, model ini juga akan didatangkan dengan kelengkapan keselamatan terkini; antaranya dengan ciri AEB dan juga ACC. Perlu juga dinyatakan, X70 sudah pun menjalani ujian panarafan untuk ASEAN NCAP, dan hasilnya membanggakan, dengan penilaian lima-bintang bagi keselamatan penumpang.

     
     
  • KLIMS18: Proton X70 kini dipertonton secara terbuka

    KLIMS18: Proton X70 kini dipertonton secara terbuka

    Khabarnya ramai yang mengeluh kerana Proton X70 kerana sehingga kini masih belum ada tanda harga yang diumumkan. Dan, nampaknya kita perlu menunggu lebih lama lagi untuk itu kerana belum ada pengesahan bila model ini akan dilancarkan secara rasmi.

    Bagaimanapun, khas untuk KLIMS 2018, SUV Proton X70 ini membuat penampilan umum terbuka buat pertama kali. Sebelum ini, ia hanya dipersembahkan secara tertutup, dan pihak media juga tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar untuk kegunaan penerbitan. Jadi, inilah set gambar langsung dan terperinci Proton X70 untuk tatapan anda.

    Tetapi, bagi sesiapa yang berkungjung ke acara ini bermula esok, mereka akan berpeluang untuk melihat dengan lebih teliti segenap sudut model ini, baik luaran atau dalaman. Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, X70 akan ditawarkan dalam empat varian untuk pasaran tempatan.

    KLIMS18: Proton X70 kini dipertonton secara terbuka

    Bagaimanapun, hanya ada satu piliha enjin sahaja sebagai permulaan. Proton X70 ini akan menggunakan enjin 1.8L TGDi (Turbo Gasoline Direct Injection). Unit ini mampu menghasilkan sebanyak 135 kW (181 hp) pada 5,500 rpm kuasa manakala tork pula sebanyak 285 Nm dari 1,700 rpm hingga 4,400 rpm. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa 10.5 saat.

    Terdapat dua sistem pacuan yang adakan ditawarkan; 2WD (tiga varian) dan AWD (satu varian). Penggunaan minyak bagi model 2WD disifatkan mampu memberikan 7.8 liter bagi setiap 100 km, manakala penggunaan minyak bagi model AWD masih beluh dimaklumkan.

    Teknologi multimedia juga menjadi antara yang menarik dalam penawarannya. X70 antara lain turut dilengkapi dengan pengantar keseluruhan sistem multimedia bersepadu melalui sebuah head unit dengan TFT 8-inci skrin sentuh (resolusi 1,280 x 720) yang hadir bersama sistem GKUI – yang ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian. Buat masa sekarang, ia beroperasi menggunakan platform Android terlebih dahulu sebelum dilanjutkan kepada Apple CarPlay nanti.

    Lain-lain kelengkapan termasuk lima ciri yang diketengahkan pada laman utama skrin unit ini; Voice Command, GPS, Music, Phone dan juga System Settings. Untuk menggunakan head unit berkenaan, ia sama sahaja dengan cara kita menggunakan skrin sentuh pada telefon – leretkan ke kanan atau ke kiri untuk melihat aplikasi yang ada.

    Selain itu, model ini juga akan didatangkan dengan kelengkapan keselamatan yang mengkagumkan; antaranya dengan ciri AEB dan juga ACC. Perlu juga dinyatakan, X70 sudah pun menjalani ujian panarafan untuk ASEAN NCAP, dan hasilnya membanggakan, dengan penilaian lima-bintang bagi keselamatan penumpang.

     
     
  • KLIMS18: Honda Jazz Mugen – model konsep didedahkan, mungkin ditawarkan pada pasaran M’sia

    KLIMS18: Honda Jazz Mugen – model konsep didedahkan, mungkin ditawarkan pada pasaran M’sia

    Honda telah mendedahkan satu lagi model konsep Mugen untuk hatchback segmen-B Jazz pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun ini. Versi kali ini kelihatan lebih ekstrem berbanding satu lagi konsep yang didedahkan tahun lalu, dan ia hadir dengan warna Passion Red Pearl sama seperti crossover HR-V RS.

    Versi kali ini hadir dengan bampar hadapan yang lebih seperti kapal angkasa, menampilkan lampu kabus bulat dan juga sepasang lubang kembar tiga pada bahagian bawah – dua daripadanya menempatkan lampu nyalaan siang LED.

    Namun untuk ciri lain pada bahagian luaran – gril hadapan Mugen, rim-17 inci Mugen dengan tayar 205/45R17, spoiler belakang, skirt sisi dan juga bampar belakang adalah sama seperti versi sebelumnya.

    KLIMS18: Honda Jazz Mugen – model konsep didedahkan, mungkin ditawarkan pada pasaran M’sia

    Perbezaan lain pada versi ini berbanding prototaip Jazz Mugen sebelum ini termasuk satu lagi spoiler pada bahagian tengah pintu tailgate belakang datang dengan kemasan hitam, tiada jalur badan Mugen pada bahagian sisi, dan juga tiada tip ekzos berkembar pada bahagian belakang. Versi baharu ini turut tidak menampilkan perubahan pada bahagian dalaman.

    Model konsep ini berkemungkinan akan dijelmakan sebagai model produksi pasaran Malaysia. Warna Passion Red Pearl ini juga mungkin akan ditawarkan pada pasaran tempatan sebagai tambahan dari warna sedia ada, atau mungkin ia akan hanya akan diberikan pada model Mugen sahaja pada masa akan datang. Versi sebenar tersebut juga dikatakan akan turut memberikan perubahan pada bahagian kabin.

     
     
  • KLIMS18: SUV Perodua sedia diintai dalam kotak besar

    KLIMS18: SUV Perodua sedia diintai dalam kotak besar

    Kami sekarang berada di MITEC untuk acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, dan Perodua mempunyai sebuah model misteri serba baru yang disembunyikan dalam sebuah kotak besar. Tiada informasi yang didedahkan untuk model ini, selain daripada ayat “sesuatu yang menarik bakal tiba.”

    Walaupun begitu, pada kotak tersebut terdapat beberapa lubang kecil yang ditebuk secara rapi dan pada beberapa bahagian, ia ditutup dengan kain tembus dalam. Dari situ, kami boleh memerhatikan, dan membuat spekulasi ini adalah SUV baru Perodua yang akan diperkenalkan nanti, dan menggunakan nama kod D38L.

    Melihat kepada perinciannya, SUV Perodua ini seperti menggunakan asas Toyota Rush baru, tetapi nanti pasti akan ada perubahan rekaan seperti pada bampar, gril, roda dan sebagainya, demi membezakan ia dengan model Toyota tersebut. Model yang terdapat dalam kotak ini mempunyai lampu depan, lampu belakang dan cermin sisi yang sama seperti Rush.

    Memandangkan bahagian atas kenderaan ini ditutup sepenuhnya, kami tidak dapat melihat bagaimana rupa di bahagian dalamnya. Walaupun begitu, memikirkan ia menggunakan asas Rush, kita boleh menjangka ia akan menawarkan sehingga tujuh tempat duduk. Bahagian dalam juga mungkin tidak banyak berubah daripada Rush, yang mana sekarang pun sudah kelihatan seperti mempunyai ciri Perodua seperti tempat sangkut barang dan soket USB di tempat duduk pemandu.

    Untuk kuasa pemacunya, kemungkinan besar enjin petrol empat silinder 1.5 liter 2NR-VE akan digunakan, dan ini adalah unit sama yang menggerakkan Rush, Avanza dan Myvi. Pada Rush, enjin ini mampu menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm, dengan kuasa disampaikan ke roda belakang melalui transmisi automatik empat kelajuan.

    Melalui sesuatu yang digelar seperti sebuah teaser ini, jelas Perodua tidak akan melancarkan SUV mereka, seperti yang pernah diberitahu oleh pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin dalam satu temu bual sebelum ini. Memandangkan hanya tinggal satu bulan sahaja lagi sebelum 2018 berakhir, kami menjangkakan SUV ini hanya akan dilancar tahun hadapan, tapi kita nantikan sekiranya ada maklumat terkini.

    GALERI: Toyota Rush 1.5 S 2018

    GALERI: Toyota Rush 1.5 G 2018

     
     
  • KLIMS18: Perodua Myvi GT – rupa lebih garang dan agresif, brek Brembo, balutan Alcantara pada kabin

    KLIMS18: Perodua Myvi GT – rupa lebih garang dan agresif, brek Brembo, balutan Alcantara pada kabin

    Ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini, Perodua turut menayangkan sebuah Myvi yang diubahsuai, menampilkan rupa yang lebih garang dan sporty di gelar Myvi GT. Model yang diasaskan dari versi tertinggi 1.5 Advance berkenaan diberi pelbagai sentuhan semula yang bukan sahaja nampak agresif, malah turut kelihatan sangat premium – namun ia bukan untuk dijual, hanya sekadar ‘show car‘ yang dibuat khas untuk KLIMS tahun ini.

    Jika sebelum ini ramai yang mengatakan bahagian belakang Myvi kelihatan seperti Volkswagen Golf, menerusi versi GT ini, bahagian muka hatchback tersebut diberikan sentuhan seakan Golf GTI. Ia dibekalkan gril hitam berkilat dengan jalur merah merentanginya, kemudian jalur berkenaan kelihatan seakan bersambung dengan lampu hadapan.

    Bahagian bampar direka begitu agresif dengan tiga bahagian liang udara yang besar bersama sepasang lampu LED melintang di atasnya, manakala splitter udara yang begitu lebar diletakkan pada bahagian bawah.

    KLIMS18: Perodua Myvi GT – rupa lebih garang dan agresif, brek Brembo, balutan Alcantara pada kabin

    Rim 17-inci lima-jejari berkembar berwarna hitam, dibaluti tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE003 bersaiz 205/40R17 dilengkapkan pada Myvi GT ini. Apa yang lebih menarik perhatian adalah set brek Brembo pada keempat-empat roda yang begitu menyerlah, bersama cakera berliang yang ditebuk.

    Namun dengan rim yang lebih lebar dan set brek yang lebih besar memerlukan set spacer dipadankan pada hab tayar tersebut, bagi mengelakkan rim bersentuh dengan angkup brek, dan secara tidak langsung menyebabkan ia terjojol keluar. Jadi, Perodua telah memadankan set overfender pada keempat-empat ruang roda bersama skirt sisi yang lebih labuh. Dengan set spring yang merapatkan lagi badannya ke permukaan jalan, stance Myvi ini kelihatan begitu agresif.

    Bumbung Myvi GT ini turut menerima sunroof dan juga spoiler yang lebih besar di belakang, manakala lampu belakang asal Myvi ditukar dengan lampu yang dilengkapkan dengan lensa putih sepenuhnya, bersama unit LED untuk grafik di dalam. Bampar belakang juga menerima sentuhan semula dengan kemasan seakan diffuser bersama lampu kabus di bahagian tengah dan turut menempatkan dua tip ekzos krom pada kedua-dua sisi (belah kiri adalah tip palsu).

    Keseluruhan badan Myvi ini disembur dengan warna putih, manakala bahagian kit badan tambahan diberikan kemasan kelabu gelap bersama jalur merah. Pada bahagian sisi tengah pula, set jalur badan berwarna kelabu diberikan.

    Lebih kejutan diberikan pada bahagian kabin Myvi GT ini. Roda stereng asal Myvi digantikan dengan unit custom, menampilkan rekaan rata di bawah, pemegang yang diperbuat dari gentian karbon bersama balutan Alcantara dan serlahan jahitan merah, membuatkan ia kelihatan seperti roda stereng dari Mercedes-AMG.

    Papan pemuka turut menerima balutan Alcantara pada bahagian atas, bersama kemasan-kemasan serlahan berwarna merah. Tempat duduk bucket diberikan pada bahagian hadapan, manakala di belakang hanya boleh memuatkan dua orang penumpang kerana bahagian tengahnya diberikan ruang untuk meletakkan barang. Kesemua tempat duduk tersebut diberikan balutan gabungan kulit dan Alcantara hitam, bersama jalur-jalur dan jahitan berwarna merah.

    Elemen warna merah-hitam lain turut diberikan pada tombol gear, karpet kaki (dengan sulaman GT) dan juga panel pintu – bahagian terakhir tersebut juga diberikan kemasan berbalut Alcantara.

    Tiada ubahsuai mekanikal diberikan pada Myvi GT ini, jadi ia dipercayai masih dijana enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm, bersama kotak gear automatik empat kelajuan elektronik E-AT.

    Lain dengan Myvi generasi pertama dan kedua, model generasi ketiga ini dibangunkan sendiri oleh Perodua tanpa saduran dari model Toyota Passo dan Daihatsu Boon generasi terkini. Jadi dalam dunia modifikasi, tentunya cara mengubahsuai Myvi kini sudah pun berubah tanpa berpandukan dunia JDM. Bagi pemilik Myvi diluar sana, Myvi GT ini mungkin boleh menjadi salah satu inspirasi untuk mengubahsuak kereta anda, selain dari Myvi Abang Liey Misai dengan pintu Lamborghini yang kami paparkan sebelum ini.

     
     
  • KLIMS18: Toyota Vios baru dipertonton, tempahan dibuka – tiga varian, harga anggaran bermula RM77k

    KLIMS18: Toyota Vios baru dipertonton, tempahan dibuka – tiga varian, harga anggaran bermula RM77k

    Ruang pameran Toyota di KLIMS 2018 merupakan antara yang menarik untuk diperhatikan. Selain pelancaran model Toyota Camry, ada sebuah lagi model massa yang dinanti-nantikan turut membuat penampilan umum yang pertama – Toyota Vios generasi terbaru.

    Untuk pasaran Malaysia, tiga varian akan ditawarkan; Vios 1.5J, Vios 1.5E (AT) dan Vios 1.5G (AT). Semua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i yang menjana sebanyak 107 PS pada 6,000rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula menggunakan unit CVT dengan mod Sport Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan.

    Harga bagi ketiga-tiga varian ini masih belum disahkan, tetapi anggarannya adalah sekitar RM77,200 bagi Vios 1.5J; RM81,200 bagi Vios 1.5E (AT) dan RM87,300 bagi Vios 1.5G (AT). Semua harga ini tidak termasuk insurans. Ia kini dibuka untuk tempahan.

    KLIMS18: Toyota Vios baru dipertonton, tempahan dibuka – tiga varian, harga anggaran bermula RM77k

    Kelengkapan standard model ini antaranya terdiri daripada unit lampu utama reflektor halogen biasa, rim 15-inci, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk fabrik, mode pemanduan dengan pilihan Eco dan Sport, pendingin hawa automatik, sensor parkir belakang, unit audio CD/radio dengan capaian Bluetooth dan empat pembesar suara.

    Varian E pula menerima pertambahan lain, seperti lampu belakang LED, lampu kabus, cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu isyarat, cemrin depan akustik lebih baik, lipatan kerusi belakang 40:60 dengan perehat lengan, stereng multi-fungsi serta sistem infotianmen DVD-AVX dengan kamera 360-darjah.

    Varian G pula hadir dengan lampu utama projektor, rim 16-inci, filem penapis filem premium, kerusi, stereng dan tombol balutan kulit, paddle shifter, kluster instrumen Optitron dengan paparan maklumat 4.2-inci, enam pembesar suara dan sensor parkir depan.

    Dari sudut keselamatan, penawaran paling tinggi bagi Vios baru ini akan dilengkapi antaranya dengan tujuh beg udara, sistem peninjau titik buta dengan RCTA, sistem peninjau pandangan panoramik, kawalan bantuan mula mendaki (HAC) serta ciri perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri amaran perlanggaran depan (FCW) dan amaran pertukaran lorong (LDW).

    Pilihan warna yang disediakan termasuk Dark Blue Metallic, Red Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II. Turut ditawarkan ialah kelengkapan pilihan termasuk sistem DVD-AVX bernilai RM2,160 bagi varian J, perakam video digital bernilai RM350, filem penapis haba premium berharga RM2,120 bagi varian E dan J serta RM2,800 bagi kit badan sporty.

     
     
  • KLIMS18: Toyota Camry dilancarkan – 2.5V, RM189,900

    KLIMS18: Toyota Camry dilancarkan – 2.5V, RM189,900

    Toyota Camry 2019 kini sudah dilancarkan secara rasmi oleh UMW Toyota Motor (UMWT) di KL International Motor Show (KLIMS) 2018. Model generasi kelapan ini ditawarkan dalam satu versi sahaja yang diimport dari Thailand (CBU), dinamakan sebagai Camry 2.5V dan dijual pada harga RM189,900 tidak termasuk insurans.

    Selain daripada bentuk badan yang cukup menarik, Camry ini juga menggunakan platform baru Toyota New Global Architecture (TNGA) yang dikata dapat meningkatkan stabiliti, kelincahan serta keselamatan dalam waktu yang sama.

    Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, Camry generasi kelapan adalah lebih panjang 35 mm menjadi 4,885 mm, lebih lebar 15 mm menjadi 1,840 mm dan lebih rendah 25 mm menjadi 1,445 mm. Jarak rodanya pula 2,825 mm, iaitu 50 mm lebih panjang, yang membawa makna overhang juga lebih pendek.

    Suspensinya pula didatangkan dengan jenis MacPherson di hadapan dan double wishbone di belakang, menggantikan tetapan multilink yang digunakan sebelum ini. Sistem stereng parallel axis EPS digunakan untuk mengawal pusingan roda, yang menggunakan rim 18 inci dan dibalut tayar 235/45. Ini adalah kali pertama Camry ditawarkan dengan rim 18 inci di Malaysia.

    Di bawah hudnya keadaan masih tidak berubah, ia masih lagi menggunakan enjin empat-silinder 2AR-FE 2.5 liter, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Enjin yang mempunyai teknologi Dual VVT-i dan ACIS ini mampu memberikan kuasa 184 PS dan 235 Nm tork pada 4,100 rpm, dan ini adalah bersamaan dengan 4 PS lebih berbanding Camry sebelum ini.

    Penggunaan enjin yang sama ini bermakna kita tidak akan menerima enjin 2.5 liter Dynamic Force (berkuasa 209 PS/250 Nm) terkini yang dijadikan sebagai pilihan di pasaran Thailand, dan ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Kita juga tidak menerima varian hibrid, yang ada ditawarkan di Thailand.

    KLIMS18: Toyota Camry dilancarkan – 2.5V, RM189,900

    Kelengkapan lain yang ada pada bahagian luar Camry ini adalah termasuk lampu utama bi-LED projector automatik dengan lampu penunjuk arah, lampu siang, lampu kabus dan lampu belakang LED, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, pengelap cermin automatik dan dua muncung ekzos di belakang.

    Bahagian dalam juga boleh dikira lengkap dengan secara standard, ia didatangkan terus dengan tempat duduk dibalut kulit dan boleh dilaras lapan arah, stereng yang boleh dilaras secara elektronik, skrin sesentuh kapasitif lapan inci, sistem audio JBL sembilan pembesar suara, skrin berwarna tujuh inci di antara dua dial Optitron di panel instrumen dan head-up display (HUD) 10 inci.

    Turut diberi adalah cermin pandang belakang electrochromic, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, brek letak kenderaan elektronik (dengan fungsi brake hold), pengawal pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang, penghadang matahari (elektrik untuk cermin belakang dan manual untuk pintu belakang), pengecas telefon tanpa wayar Qi dan perakam video digital.

    Untuk ciri keselamatan, Camry baru ini datang dengan pakej Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-collision System, Lane Departure Alert with Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam. Ini adalah sebagai tambahan kepada tujuh beg udara, Blind Spot Monitor with Rear Cross Traffic Alert, Hill Start Assist, pengesan jarak depan dan belakang serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Enam warna ditawarkan untuk Camry 2.5V baru ini iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Graphite Metallic dan Burning Black CS GF. Ia didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had batuan dan setiap pembelian diberikan sekali dengan tint solar dan keselamatan UMWT.

     
     
  • Proton bakal guna teknologi menyeluruh iNTEC Geely

    Proton bakal guna teknologi menyeluruh iNTEC Geely

    Kerjasama antara Proton dan Geely akan mula menunjukkan hasilnya apabila pelancaran SUV X70 bakal berlangsung dalam masa terdekat ini dan ia tidak akan setakat terbatas di situ. Pengeluar kenderaan tempatan ini juga bakal menerima manfaat daripada barisan fungsi teknologi iNTEC milik Geely, dan perkara ini diberitahu sendiri oleh timbalan ketua pegawai eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed semasa acara Kuala Lumpur International Automotive Conference (KLIAC) 2018 semalam.

    Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana teknologi tersebut telah pun digunakan pada Geely Boyue yang merupakan kenderaan asas bagi X70 serta dua lagi model yang juga akan tiba di Malaysia iaitu crossover Binyue dan MPV Jiaji – tetapi ia menunjukkan komitmen Geely kepada Proton.

    Dalam barisan fungsi teknologi iNTEC, ada lima teras utama iaitu G-Safety, G-Netlink, G-Power, G-Blue dan G-Pilot. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, G-Safety melibatkan kedua-dua ciri keselamatan aktif (Autonomous Emergency Braking, Pedestrian Detection, Adaptive Cruise Control, Stability Control) dan juga pasif (badan besi berkekuatan tinggi, tali pinggang keledar canggih dan beg udara).

    Proton bakal guna teknologi menyeluruh iNTEC Geely

    G-Link yang merangkumi sistem informasi dan hiburan pula merangkumi ciri seperti sambungan telefon pintar, kawalan suara, navigasi maju, streaming lagu dan kawalan jauh untuk fungsi kenderaan menggunakan aplikasi telefon pintar. Ciri Geely Smart Ecosystem (GKUI) yang juga akan digunakan pada X70 adalah satu evolusi daripada G-Link ini.

    Untuk G-Power, ia adalah satu terma yang digunakan oleh Geely untuk enjin terbaru mereka dengan pengecas turbo dan sistem suntikan terus (direct injection), serta transmisi klac berkembar tujuh kelajuan baru yang dibangunkan bersama Volvo. G-Blue pula adalah nama untuk teknologi yang digunakan oleh Geely untuk memastikan suasana yang sihat dalam (seperti pengurusan kualiti udara) dan luar kenderaan (bahan mesra alam, bahan api alternatif serta rekaan serba ringan).

    Akhir sekali adalah teknologi autonomous yang dipanggil sebagai G-Pilot, yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Parking Assist, Blind Spot Monitoring, Adaptive High Beam dan pengesan dan penghindar perlanggaran.

     
     
  • Proton dedahkan jentera lumba Sepang 1000KM 2018 – Saga kini kembali sebagai kereta lumba sebenar!

    Proton dedahkan jentera lumba Sepang 1000KM 2018 – Saga kini kembali sebagai kereta lumba sebenar!

    Sebelum ini, Proton R3 telah menyiarkan teaser Proton Saga yang akan mempertahankan gelaran juara yang diraih mereka di perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) tahun lalu. Hari ini, jentera perlumbaan tersebut telah didedahkan secara rasmi, dan ia akan berlumba bersama jentera yang di bawa dari musim sebelumnya, iaitu Proton Iriz.

    Ini bermaksud, Proton Suprima S yang menjadi juara S1K 2017 akan direhatkan, bagi memberikan laluan kepada Saga beraksi semula sebagai jentera perlumbaan sebenar. Ia diharap akan mengekalkan kejuaraan kedua berturut-turut Proton, atau gelaran keempat mereka dalam siri perlumbaan ketahanan tersebut.

    Dalam sejarah Proton, nama Saga bukan sahaja model sulung keluaran mereka, malah Saga generasi pertama merupakan model permulaan Proton menempa nama dalam sukan permotoran.

    Proton dedahkan jentera lumba Sepang 1000KM 2018 – Saga kini kembali sebagai kereta lumba sebenar!

    Proton mempunyai warisan sejarah perlumbaan yang agak membanggakan, termasuk menjadi juara dunia PWRC untuk musim 2002, juara empat kali di Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) serta penyertaan dalam British Touring Car Championship (BTCC) dengan Proton Waja pasukan Petronas Syntium Proton (PSP). Semua kejayaan ini bermula dengan Saga, yang telah dibina sebagai jentera lumba sebenar pada era 80’an, sama ada untuk perlumbaan litar mahupun rali.

    Saga generasi pertama bukan sahaja gah dengan jentera-jentera ‘Super Saga’ seperti jentera dengan livery Castrol dan Elextrolux yang bertanding di litar Batu Tiga Shah Alam dahulu, malah dengan kelengkapan mekanikal yang ringkas, mampu milik, mudah diubahsuai dan tahan lasak, ia turut popular sebagai jentera perlumbaan clubman di litar tersebut dan Pasir Gudang, serta menjadi pilihan pasukan-pasukan persendirian yang berlumba dalam kejohanan rali Malaysia – faktor ini turut mahu ditonjolkan oleh Proton terhadap Saga generasi baharu ini.

    Menurut Proton, badan asas Saga dengan ketegaran torsi lebih tinggi (12,000 Nm/deg) membuatkan ia pilihan ideal untuk dijadikan jentera perlumbaan. Sementara itu, keseimbangan pengendalian asas serta pakej mekanikal pada Saga ini sangat sesuai pada perlumbaan lasak seperti S1K ini – yang memerlukan jentera dan pelumba bertahan lebih 1000 km atau lebih dari 181 lap di Sepang.

    “Proton Saga mempunyai sejarah perlumbaan yang lama dengan rekod kemenangan dalam pelbagai pertandingan sukan permotoran dan S1K merupakan platform yang sempurna bagi memperkenalkan semula peminat Proton kepada divisi perlumbaan R3 kami dalam masa yang sama mengenang semula warisan sejarah perlumbaan untuk model kami yang paling laris ini. Ini merupakan pertama kali Saga generasi terkini akan bertanding dan berlumba dengan sengit tetapi kami percaya kemampuan R3 bagi menghasilkan jentera yang kompetitif,” kata CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

    Untuk pasukan tahun ini, Pasukan R3 akan dianggotai dari 21 kru dan juga 15 orang pelajar dari Universiti Automotif DRB-Hicom, Pekan, Pahang. Empat pelumba dari tahun lalu masih dikekalkan, di mana pasangan juara 2017, Admi Shahrul dan James Veerapan akan memandu Saga, manakala dua pelumba Johor, Fariqe Hairuman dan Syafiq Ali masih diberi kepercayaan memandu Iriz.

    “Sebahagian pasukan lain mungkin mempunyai tiga pemandu untuk satu kereta, tetapi Proton R3 hanya memilih untuk menggunakan dua pemandu kerana kami mahu memaksima masa setiap pemandu untuk berlumba. Ini membolehkan mereka mendapat rentak pemanduan yang baik, kerana ia penting bagi mendapatkan catatan masa konsisten bagi setiap lap yang penting untuk perlumbaan lama seperti ini. Secara tipikal, perlumbaan seperti S1K ini memerlukan pasukan berlumba dengan kelajuan sepenuhnya pada berberapa lap permulaan selepas itu mengekalkan rentak bagi menjaga keadaan tayar dan brek, kata prinsipal Pasukan Proton R3, Gary Lee.

    Gary berharap faktor konsisten dan ketahanan akan membawa kemenangan kepada pasukan tahun ini. Tahun lalu, setelah sembilan jam bertarung, Suprima S R3 akhirnya dinobatkan sebagai juara pada lap ke-181, meninggalkan Honda Jazz R Engineering bernombor 12 di tempat kedua dengan jarak 42.567 saat, manakala Iriz R3 pula 9-lap di belakang dan berjaya merangkul tempat kelima.

     
     
  • International Automodified (IAM) akan dianjurkan di Kuala Lumpur buat julung kali pada Disember ini

    International Automodified (IAM) akan dianjurkan di Kuala Lumpur buat julung kali pada Disember ini

    Jika anda mengikuti perkembangan dunia modifikasi, anda tentu cakna dengan penganjuran Hot Imports Night di negara jiran kita iaitu Indonesia. Dari penganjur yang sama juga, mereka membawakan satu lagi acara yang seakan sama, tetapi lebih kearah penganjuran antarabangsa dikenali sebagai International Automodified (IAM). Acara ini telahpun berlangsung di Indonesia dan Thailand tahun ini, dan penutupnya akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

    Untuk penganjuran di sini, ia akan dikendalikan oleh kolobrasi syarikat tempatan, Nisei Ventures Sdn Bhd dengan syarikat Indonesia, PT. HIN Promosindo. Acara tersebut akan berlangsung dari 8 hingga 9 Disember 2018, bertempat di tengah-tengah ibu kota iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

    IAM Kuala Lumpur 2018 bukan sahaja akan menampilkan kereta-kereta ubahsuai tempatan, malah jentera-jentera dari Thailand dan Singapura turut dipamerkan serta mengambil bahagian. Sebanyak lebih dari 90 kategori akan dipertandingkan, dan ia akan diadili oleh juri-juri yang datang dari Amerika Syarikat, Indonesia dan Singapura.

    International Automodified (IAM) akan dianjurkan di Kuala Lumpur buat julung kali pada Disember ini

    Bukan itu sahaja, sebahagian komuniti budaya ubahsuai Malaysia turut akan membuat penampilan, selain dari pertandingan audio yang juga akan diadakan diluar dewan pameran.

    Ini bukanlah acara pertama PT. HIN Promosindo di Malaysia. Pada tahun 2012 dan 2013, syarikat tersebut telah menganjurkan acara Hot Import Nights di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Melaka melalui HIN Prestige Sdn Bhd.

     
     
  • Rujukan semula NAP akan ambil kira lebih tentang kenderaan cekap tenaga dan pengeluar komponen

    Rujukan semula NAP akan ambil kira lebih tentang kenderaan cekap tenaga dan pengeluar komponen

    Polisi Automotif Negara (NAP) yang akan dirujuk semula bakal dibentangkan hujung tahun ini, dan timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa, Dr Ong Kian Ming memberitahu pelan baru ini akan dimasukkan dengan lebih banyak perkara berkenaan kenderaan elektrik serta teknologi pemanduan autonomous.

    Semasa acara Kuala Lumpur International Automotive Conference (KLIAC) 2018 hari ini, Ong berkata, “Sejak rujukan semula yang dibuat pada tahun 2014 untuk NAP, kami telah pergi ke hadapan untuk teknologi sektor automotif seperti kenderaan elektrik dan juga kenderaan autonomous. Ini adalah sebahagian daripada ekosistem lebih besar, yang perlu kami berikan perhatian apabila berkata tentang rujukan semula NAP.”

    Ong juga turut menambah bahawa rujukan semula ini akan lebih memberikan simpati kepada pengeluar alat ganti automotif. “Pengeluar komponen kita kebanyakannya adalah pemain tempatan, yang membekalkan 70 hingga 80% komponen kepada industri automotif.”

    Rujukan semula NAP akan ambil kira lebih tentang kenderaan cekap tenaga dan pengeluar komponen

    “Jadi, ia adalah penting, dan memandangkan kami sedang melakukan rujukan semula terhadap NAP, keperluan pengeluar komponen juga perlu dijaga. Keperluan ini bukan berkisar tentang apa yang berlaku di Malaysia sahaja, malah turut mengambil kira peluang eksport ke negara ASEAN atau luar dari itu,” tambah Ong.

    Ketua pegawai eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari yang hadir dalam majlis sama turut menambah beberapa lagi perkara berkenaan rujukan semula NAP ini. Antaranya, ia juga akan mengambil kira tentang pengendali Mobility as a Service (MaaS) – yang termasuk syarikat seperti Grab – serta servis ketersambungan dan Artificial Intelligence (A.I) yang menjadi sebahagian daripada Industry 4.0. Walaubagaimanapun, beliau menegaskan, rujukan semula ini tidak akan membatalkan polisi sedia ada yang telah dibuat semasa tahun 2014.

    “NAP sebelum ini telah memberitahu tentang kenderaan cekap tenaga (EEV), tapi lebih penting, ia menyatakan bagaimana untuk meningkatkan daya saing industri automotif Malaysia. Untuk menjadi lebih kompetitif, ada banyak elemen teknologi yang perlu kita dapatkan, serap, laksana dan komersialkan. Aspek NAP ini masih lagi sama, cuma kita menambah elemen baru untuk membawa industri ke hadapan.”

     
     
  • Kia Sportage facelift 2019 kini di Malaysia – 2.0 EX dan 2.0D GT-Line, harga antara RM126,888 dan RM149,888

    Kia Sportage <em>facelift</em> 2019 kini di Malaysia – 2.0 EX dan 2.0D GT-Line, harga antara RM126,888 dan RM149,888

    Diam-diam, Kia Malaysia sedang giat membawa masuk dan mula menjual versi facelift terbaru model-model sedia ada edarannya untuk pasaran tempatan. Selepas Kia Sorento 2019 dan Kia Grand Carnival satu lagi model mengkut jejak yang sama – Kia Sportage 2019.

    Antara kemaskini yang terlibat ialah rekaan bampar baru di depan dan belakang; lampu depan dari jenis LED dan lampu DRL LED empat bucu seperti yang ada pada Cerato dan Ceed terbaru. Rekaan bahagian bawah bampar juga baru, dengan perincian kemasan yang lebih menonjol berhampiran pemegang nombor plat. Perumah lampu kabus belakang juga diperkemas, sementara lampu undur dan pemantul cahaya ditindan antara satu sama lain pada rekaan bampar baru.

    Kia Sortage ditawarkan dalam dua varian; EX dan GT-Line, sama seperti sebelum ini. GT-Line dilengkapi dengan perincian unik tersendiri untuk membezakannya dari EX. Ini termasuklah bahagian gril, lampu gabungan belakang jenis LED, perincian bahagian belkaang, lampu kabus “kiub ais” di depan serta rim aloi 19-inci (EX menerima rim 18-inci).

    Kia Sportage <em>facelift</em> 2019 kini di Malaysia – 2.0 EX dan 2.0D GT-Line, harga antara RM126,888 dan RM149,888

    Di dalam, perubahan yang dilakukan hanya sedikit. Stereng baru (GT-Line mendapat jenis bahagian bawah yang rata). Selebihnya ialah kawalan pendingin hawa dwi-zon dengan corong belakang, paddle shifter, pedal aloi, pintu belakang kuasa elektrik, sistem pintar tanpa kunci, tempat duduk dengan larasan lapan-hala (EX hanya untuk pemandu) dan sistem infotainmen dengan skrin sentuh tujuh-inci.

    Ciri lain seperti pengecas tanpa wayar Qi dan paparan panel instrumen 4.2-inci (3.5-inci pada EX) adalah bagi varian tertingginya – tempat duduk GT-Line juga hadir dengan balutan kulit dwi-tona, dibezakan dengan EX yang hanya menggunakan material fabrik.

    Ciri-ciri keselamatan yang tersedia termasuk enam beg udara, Blind-Spot Collision Warning (BCW), Rear Cross-Traffic Collision Warning (RCCW), Parking Distance Warning-Forward (PDW-F) dan Vehicle Stability Management (VSM).

    Kia Sportage <em>facelift</em> 2019 kini di Malaysia – 2.0 EX dan 2.0D GT-Line, harga antara RM126,888 dan RM149,888

    Pilihan enjin juga kekal sama, dengan enjin petrol 2.0 liter Nu MPI empat-silinder yang menghasilkan 155 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm pada 4,000 rpm, digandingkan dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan.

    Satu lagi ialah enjin diesel 2.0 liter R CRDi empat-silinder dengan janaan 185 PS pada 4,000 rpm dan 400 Nm tork dari 1,750-2,750 rpm. Unit ini digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, menggantikan unit enam-kelajuan sebelum ini. Kedua-dua varian merupakan janaan roda depan.

    Kia Sportage EX dijual pada harga RM126,888 (atas jalan tidak termasuk insurans) manakala bagi versi GT-Line ia dijual pada harga RM149,888. Sportage datang sekali dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Pilihan warna pula terdiri daripada Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl, Iron Grey (EX sahaja) dan Cherry Black (GT-Line sahaja).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025