Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW M5 peronda MotoGP akan dibawa pusing KL

    BMW M5 peronda MotoGP akan dibawa pusing KL

    Walaupun tidak mempunyai motosikal yang berlumba dalam MotoGP, BMW menyediakan sesuatu yang istimewa bagi peminat siri perlumbaan itu menjelang pusingan yang akan berlangsung di Litar Sepang hujung minggu ini.

    Kereta peronda (safety car) yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP iaitu BMW M5 khas akan dibawa sekitar Kuala Lumpur dalam satu siri konvoi bersama beberapa buah kenderaan BMW lain termasuk BMW 530i M Sport serta superbike S1000RR khas yang digunakan sebagai motosikal keselamatan.

    Bagi orang awam, anda juga boleh mendekati kenderaan istimewa ini kerana konvoi tersebut akan berhenti di Bangsar Village II jam 12 tengahari pada 31 Oktober ini, dan beberapa aktiviti lain turut dirancang seperti sesi ramah mesra dengan bekas juara dunia, Loris Capirossi dan juga cabaran teka-teki yang menawarkan hadiah menarik termasuk tiket Grandstand ke acara MotoGP di Sepang.

    Kereta peronda BMW M5 MotoGP menggunakan asas daripada model M5 Competition F90 tetapi ia dinaik taraf dengan pelbagai kelengkapan prestasi dan khas daripada BMW M. Oleh sebab itu, ia juga berbeza jika dibandingkan dengan BMW M5 F90 biasa yang sebenarnya sudah cukup gah untuk kegunaan jalan biasa.

    Antara kelengkapan istimewa yang dimaksudkan adalah muncung ekzos titanium, brek karbon seramik M dan pelbagai lagi barangan yang dibuat daripada gentian karbon termasuk pada diffuser belakang, pelindung cermin sisi, side sill dan splitter hadapan. Enjin yang digunakan pula adalah sama seperti M5 Competition iaitu unit V8 4.4 liter M TwinPower Turbo dengan kuasa 600 hp dan 750 Nm tork.

     
     
  • Lexus ES, Mercedes A-Class, Hyundai Nexo, Mazda 6 terima 5-bintang dalam ujian pelanggaran Euro NCAP

    Lexus ES, Mercedes A-Class, Hyundai Nexo, Mazda 6 terima 5-bintang dalam ujian pelanggaran Euro NCAP

    Euro NCAP telah mengumumkan laporan keselamatan pelanggaran terkini, mendedahkan empat model yang menerima penarafan lima-bintang penuh. Ia adalah model Lexus ES, W177 Mercedes-Benz A-Class, Hyundai Nexo dan Mazda 6 yang dipertingkatkan. Markah ini mewakili penarafan tertinggi Euro NCAP yang dianugerahkan pada 2018.

    A-Class jauh lebih impresif dengan markah keseluruhan 96% bagi pelindungan penumpang dewasa, di mana markah untuk penumpang kanak-kanak dan pejalan kaki/penunggang basikal masing-masing 91% dan 92%. Ujian bantuan keselamatan model terbabit menerima 72% – Euro NCAP menganggapnya bagi sistem bantuan kekal lorong bagi operasi ‘Adequate’ and ‘Marginal’. Walau bagaimana pun, model yang diuji adalah varian A 180 d – Euro NCAP masih belum mengagihkan keseluruhan julat dalam penarafan lima bintang itu.

    Sementara, semua varian bagi Lexus ES, Hyundai Nexo dan Mazda 6 (termasuk sedan dan touring) turut menerima penarafan lima-bintang sepenuhnya. ES menerima 91% secara keseluruhan bagi pelindungan penumpang dewasa, 87% untuk penumpang kanak-kanak, 90% untuk pejalan kaki dan penunggang basikal, serta 77% untuk ujian bantuan keselamatan.

    Hyundai Nexo pula menerima 94% bagi kategori pelindungan penumpang dewasa. EV sel bahan api hidrogen itu turut menerima markah keseluruhan sebanyak 87% bagi kategori penumpang kanak-kanak, 67% untuk kategori pejalan kaki dan penunggang basikal (disebabkan garisan bonet yang tinggi dan A-pillar yang curam) dan 77% untuk bantuan keselamatan kenderaan.

    Terakhir, Mazda 6 menerima 95% untuk penumpang dewasa, 91% bagi penumpang kanak-kanak, 66% untuk pejalan kaki dan penunggang basikal (disebabkan sudut hujung bonet yang tajam) dan 73% bagi ujian bantuan keselamatan.

     
     
  • Kia Grand Carnival facelift 2019 di M’sia, dari RM156k

    Kia Grand Carnival <em>facelift</em> 2019 di M’sia, dari RM156k

    Diam-diam, Kia Grand Carnival facelift terbaru sudah berada di Malaysia; laman web Kia Malaysia ada menyenaraikan peningkatan kelengkapan yang dilakukan. Harganya juga sudah dinyatakan, bermula dari RM155,888 (tidak termasuk insurans). Harga ini sedikit tinggi berbanding model sebelum ini, yang dijual RM154k (termasuk GST) ketika pelancarannya.

    MPV facelift ini mula diperkenalkan di Korea Selatan pada Mac lalu, dan hadir dengan konfigurasi lapan-tempat duduk dan 11-tempat duduk. Dapat dilihat dalam galeri ini ialah dari konfigurasi lapan-tempat duduk, dengan empat barisan. Seperti sebelum ini, hanya dua varian ditawarkan; KX dan SX.

    Kedua-duanya menggunakan enjin 2.2 liter CRDI turbodiesel yang menjana sebanyak 200 PS dan 441 Nm tork. Bagaimanapun, transmisinya kini baru dengan automatik lapan-kelajuan menggantikan unit enam-kelajuan yang lama.

    Kia Grand Carnival <em>facelift</em> 2019 di M’sia, dari RM156k

    Antara perbezaan antara dua varian ini ialah KX menggunakan gril Tiger Nose yang sama seperti sebelum ini, sementara SX hadir dengan gril biasa. Lampu utama jenis projektor halogen diberi rekaan baru, dengan DRL LED. Tidak lupa juga rekaan bampar baru – KX menerima lampu kabus halogen, sementara SX dengan lampu kabus LED “empat kiub”.

    SX juga dilengkapi rim aloi 18-inci warna perak dan bukan lagi rim 19-inci krom bagi penawaran sebelumnya. Lampu belakang LED juga menerima penampilan baru, serta rekaan bampar baru dengan lampu kabus dan reflektor yang disekalikan.

    Ruang dalaman pula hadir dengan ciri standard seperti tempat duduk balutan fabrik dengan larasan lamdar dua-arah, cermin pandang belakang elektrokromik, tirai bagi baris kedua dan ketiga, USB dan AUX, pintu gelungsur kuasa elektrik serta stereng dengan balutan kulit.

    Bagi KX, ia turut dilengkapi dengan paparan sistem audio tujuh-inci dengan Bluetooth, Android Auto dan Apple CarPlay, kawalan udara tiga zon, parkir brek elektronik (tiada lagi brek parkir kaki), Smart Tailgate dan pemanas stereng. Turut ditambah ialah slot pengecas pantas USB serta ruang simpanan barang yang luas di belakang konsol tengah.

    Mod Active Eco baru juga disediakan bagi kedua-dua varian. Dengan memilih mod ini, ia akan menyelaras enjin, transmisi dan sistem pendingin hawa untuk memberikan kecekapan minyak yang terbaik. Khas untuk SX ialah paparan infotainmen lapan-inci yang lebih canggih, kerusi depan dengan larasan lapan-cara dengan memori, pengecas tanpa wayar Qi untuk telefon yang serasi serta kemasan kulit.

    Bagi ciri keselamatan, ia turut dilengkapi dengan kamera undur bagi kedua-dua varian, amaran titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang, kawalan bantuan mula mendaki, ESC dan tingkap kuasa elektrik dengan ciri anti-pinch. Pada pandangan anda, cukup menarik peningkatan yang dilakukan terhadap MPV ini?

     
     
  • Honda Africa Twin dengan warna baru – dari RM76,399

    Honda Africa Twin dengan warna baru – dari RM76,399

    Pengedar motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah memperkenalkan warna baru untuk model Africa Twin versi Standard iaitu Matte Ballistic Black Metallic, dan ia disediakan sebagai pilihan tambahan kepada warna sedia ada sebelum ini.

    Secara keseluruhannya di Malaysia, Africa Twin ditawarkan dalam empat versi iaitu Standard Manual, Standard DCT, Adventure Sports Manual dan Adventure Sports DCT. Harganya masing-masing adalah RM76,399, RM82,999, RM76,699 dan RM86,299 tidak termasuk insurans.

    Africa Twin dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 998 cc SOHC, dan untuk model 2018 ini ia dinaik taraf dengan kotak udara dan bahagian dalam ekzos baru, balancer shaft lebih ringan, pam air di dalam perumah klac, termostat dalam head, bateri lithium ion, sistem throttle-by-wire, empat mod tunggangan dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tujuh tahap (sebelum ini cuma ada tiga).

    Beratnya adalah 232 kg, dan ia datang dengan kelengkapan lain termasuk tangki bahan api 18.8 liter, fork teleskopik 45 mm di hadapan, monoshock boleh laras pra beban dan lantunan, brek cakera berkembar 310 mm dan angkup empat piston di hadapan, brek cakera 256 mm dan angkup dua piston di belakang, siap dengan sistem brek ABS dan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

    Selain kelengkapan perlindungan, beza lain antara model Standard dan Adventure Sports adalah tinggi tempat duduk (larasan antara 870 mm dan 850 mm untuk versi Standard, dan 900 mm atau 920 mm untuk Adventure Sports), serta jarak gerak suspensi (230 mm di hadapan dan 220 mm di belakang untuk versi Standard, dan 252 mm dan 240 mm untuk versi Adventure Sports).

    GALERI: Honda Africa Twin Standard


    GALERI: Honda Africa Twin Adventure Sports

     
     
  • Kia Optima facelift tiba di Malaysia – dua varian, enjin 2.0L NA atau GT 2.0L Turbo, harga dari RM169,888

    Kia Optima facelift tiba di Malaysia – dua varian, enjin 2.0L NA atau GT 2.0L Turbo, harga dari RM169,888

    Kia Optima facelift telah pun muncul dalam laman web rasmi Kia Malaysia, dengan dua pilihan enjin dimasukkan dalam senarai, termasuk satu varian GT yang menggunakan enjin turbo (sedang dipamerkan di Red Cube PJ). Harga penuh untuk setiap varian masih belum dikeluarkan, tapi ia diberitahu bermula daripada RM169,888.

    Perubahan visual pada sedan segmen D ini menyamai Optima yang dijual di Korea dan Eropah, bermula dengan gril ‘tiger nose‘ dengan jalur melintang. Versi GT pula mendapat rekaan gril yang berlainan, menampilkan corak berbentuk V. Turut dapat dilihat adalah bampar rekaan baru dengan bukaan udara yang lebih besar di penjuru, dengan lampu kabus sama ada unit LED ataupun halogen, bergantung kepada varian. Lampu utama LED nampak seperti ciri standard.

    Di bahagian belakang, lampu kombinasi LED padanya kini datang dengan grafik baru di dalam, pemantul cahaya diletakkan lebih tinggi dan terdapat diffuser berbentuk baru. Varian GT pula mendapat muncung ekzos berkembar seperti model sebelum ini manakala varian bukan GT menggunakan satu sahaja muncung ekzos. Rim adalah unit 18 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 3 saiz 235/45 untuk varian GT dan 17 inci dengan tayar 215/55 bagi varian EX.

    Optima baru ini masih mengekalkan papan pemuka yang sama seperti sebelum ini, dan perubahan yang paling jelas adalah rekaan roda stereng. Antara kelengkapan lain yang boleh didapati pada model ini adalah panel instrumen 4.3 inci, lampu suasana, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, pedal penukar gear, penghadang cahaya matahari belakang, tempat duduk berliang, pengecas tanpa wayar, Smart Shift & Drive serta brek tangan elektronik.

    Varian GT yang ditunjukkan ini datang dengan balutan tempat duduk kulit warna merah dan hitam, bersama lencana GT dan bumbung suria kawalan elektronik. Bagi ciri keselamatan, antara yang diberi adalah enam beg udara, Around View Monitor dengan Parking Guidance (AVM), Parking Distance Warning-Forward (PDW-F), dan Parking Distance Warning – Reverse (PDW-R). Ciri lain seperti Stability Control, Traction Control dan Anti-Lock Braking System dijangka ada terus pada model ini.

    Seperti yang kami katakan awal tadi, ada dua enjin yang disediakan sebagai pilihan dalam laman web tersebut, iaitu pertama, unit empat silinder 2.0L Nu CVVL NA yang mempunyai kuasa 163 PS dan 196 Nm tork (tidak ditawarkan semasa Optima generasi keempat dilancarkan di Malaysia), dan satu lagi adalah unit Theta 2.0 T-GDi bagi varian GT dengan kuasa 245 PS dan 350 Nm tork.

    Kia Optima GT baru ini juga akan turut dibawa ke pameran Premium Auto Car Expo (PACE) yang akan berlangsung 3 hingga 4 November ini di Pusat Konvensyen Setia City.


     
     
  • BMW Alpina B4 S Bi-Turbo Edition 99 diperkenalkan – 445 hp/680 Nm, sistem ekzos Akrpovic, hanya 99-unit

    BMW Alpina B4 S Bi-Turbo Edition 99 diperkenalkan – 445 hp/680 Nm, sistem ekzos Akrpovic, hanya 99-unit

    Penala lagenda BMW, Alpina kini memperkenalkan model edisi khas terbaharunya berdasarkan badan 2-pintu BMW 4 Series dikenali sebagai B4 S Bi-Turbo Edition 99. Seperti namanya, versi ini hanya dihasilkan sebanyak 99 unit, ditawarkan dalam bentuk sama ada coupe atau convertible.

    Model ini dijana oleh enjin 3.0 liter enam silinder bersama dua buah pengecas turbo. Dipadankan standard bersama sistem ekzos titanium Akrapovic yang 7-kg lebih ringan, enjin berkenaan mampu menjana 445 hp (452 PS) dan tork maksima 680 Nm bermula 3,000 hingga 4,500 rpm.

    Kuasa dari enjin dialirkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan, dan juga unit LSD yang diberikan secara standard. Mod manual kotak gear automatik berkenaan kini lebih selesa digunakan dengan pemadanan pedal penukar gear aluminium Alpina yang lebih besar pada roda stereng, hadir dalam kemasan hitam matte.

    Alpina menawarkan bentangan sistem pacuan roda belakang dan pacuan semua roda untuk model coupe, manakala versi convertible hanya hadir dalam versi pacuan roda belakang. Untuk itu, coupe FR mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 306 km/j, manakala versi AWD pula mencatatkan 3.9 saat untuk jarak pecutan sama dengan kelajuan maksima yang dihadkan pada 303 km/j.

    Model coupe ini juga diberikan opsyen suspensi Alpina Sport Plus Suspension yang memberikan pengendalian yang lebih lincah dan lebih dinamik. Bagi model dengan bumbung boleh buka pula, pecutan dari pegun hingga 100 km/j mengambil masa 4.3 saat, manakala kelajuan maksimanya dicatatkan pada 304 km/j.

    Edition 99 ini ditawarkan dengan lima warna badan berbeza iaitu Alpina Blue, Grigio Medio, Fire Orange, Sapphire Black, dan Mineral White. Ia diberikan rim Alpina Classic berdiameter 20-inci dengan kemasan Ferric Grey, namun pelanggan boleh ditawarkan dengan pilihan dua Deco-Set eksklusif sama ada kemasan hitam matte atau biru matte.

    Untuk bahagian kabin pula, kemasan hitam piano Alpina diberikan secara standard, manakala pilihan kemasan Alcantara Anthracite atau Carbon Leather ditawarkan sebagai opsyen. Ciri istimewa lain yang diberikan termasuk roda stering Lavalina yang dibalut kulit dengan tangan, karpet kaki dan juga tempat duduk clubsport dengan multicontour yang dibalut dengan kulit Merino Black serta Alcantara Anthracite.

    Alpina B4 S Bi Turbo Edition 99 ini dijual pada pasaran Jerman dengan harga bermula 74,705 euro (RM355,474) untuk model coupe dan juga 80,756 euro (RM384,267) untuk model convertible.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Offroad – tinggi, SUV 4WD bergaya

    Volkswagen Tiguan Offroad – tinggi, SUV 4WD bergaya

    Volkswagen secara rasminya telah mengumumkan pengenalan Tiguan Offroad baharu bagi pasaran terpilih, selepas dua bulan SUV bergaya ini tampil di Moscow Motor Show. Ia menyertai model biasa Tiguan dan Tiguan Allspace yang lebih besar dengan tujuh-tempat duduk, sebagai varian ketiga bagi barisan model paling laku Volkswagen di peringkat global.

    Untuk luarannya, Offroad didatangkan dengan bampar hadapan dan belakang yang unik yang disambung pada skid plate dengan kemasan moulding tepi dalam rona matte Reflex Silver, dan juga kemasan krom hitam, rel bumbung dan juga perumah cermin sisi. Lencana Offroad juga ditempatkan di bahagian sisi bawah pada B-pillar.

    Roda aloi Sebring 18-inci didatangkan secara standars, bersama roda Auckland dan Victoria 19-inci serta Kapstadt 20-inci sebagai pilihan dengan kos tambahan. Turut didatangkan termasuklah Sistem Pencahayaan Aktif, Bantuan Lampu Dinamik dan lampu di selekoh dinamik dengan LED.

    Volkswagen Tiguan Offroad – tinggi, SUV 4WD bergaya

    Pelanggan juga boleh memilih antara enam warna yang ditawarkan iaitu Pure Grey, Pure White, Atlantic Blue Metallic, Indium Grey Metallic, Tungsten Silver Metallic dan Oryx White Pearl. Malahan gaya dua-tona dengan bumbung hitam juga ditawarkan menerusi pakej “Offroad Plus”” sebagai pilihan. Sekaligus warna keseluruhan yang ditawarkan ialah 12 pilihan.

    Di dalamnya pula, tempat duduk balutan fabrik “Austin” dan headliner dengan kemasan hitam ditampilkan. Turut didatangkan roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, tombol hear balutan kulit, dekorasi aluminium, pedal dan perehat kaki keluli tahan karat, dan alas lantai getah yang mudah dibersihkan.

    Kini, Offroad menawarkan pilihan enjin petrol dan diesel, dengan penjana asas 2.0 TDI turbodiesel (150 PS). Dua lagi pilihan enjin termasuklah 1.4 TSI (150 PS) dan 2.0 TSI (180 PS), dan kesemua pilihan enjin digandingkan dengan DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda 4Motion sebagai standard.

    Volkswagen Tiguan Offroad – tinggi, SUV 4WD bergaya

    Bukan sekadar gaya, Tiguan Offroad juga mampu melalui sudut sehingga 24 darjah, sekaligus berkeupayaan dalam semua laluan. Sistem pacuan semua-roda didatangkan dengan ciri Active Control, membolehkan pemandu untuk memilih antara mod Onroad, Offroad dan Snow menerusi suiz pada konsol tengah.

    Lain-lain ciri termasuklah kluster instrumen digital Active Info Display, sistem navigasi Discover Pro, sistem trailer manoeuvring “Trailer Assist” dan kawalan casis adaptif DCC. Di Jerman, Tiguan Offroad ditawarkan pada harga bermula 40,925 euros (RM195k).

     
     
  • Honda Civic Deep Orange 9 – jentera Rallycross 2.0L Supercharged hibrid 600 hp, 0-97 km/j hanya dua saat!

    Bila berbicara berkenaan Honda Civic generasi ke-10 dan dunia perlumbaan, tidak dapat lari ia sering dikaitkan dengan model berpretasi tinggi Civic Type FK8, atau paling kurang versi Si pada pasaran Amerika. Namun, Civic yang dikenali sebagai Deep Orange 9 ini agak berbeza, kerana ia adalah jentera prototaip rallycross yang diasaskan dari badan Civic sedan empat pintu, sama seperti apa yang kita dapat di Malaysia.

    Kereta ini sebenarnya dibangunkan oleh sekumpulan pelajar di Clemson University International Center for Automotive Research (CU-ICAR), dihasilkan setelah mereka dicabar oleh Honda R&D Americas Inc. (HRA) untuk menghasilkan jentera berkenaan dalam masa dua tahun. Bukan sahaja Honda, malah pelajar-pelajar ini turut mendapat sokongan teknikal dari firma-firma kejuruteraan lain seperti Aisin Group dan JTEKT Automotive.

    Seperti juga kereta-kereta rallycross lain, Civic Deep Orange 9 ini dipacu dengan sistem pacuan semua roda. Namun sistem yang diberikan bukanlah sistem konvensional, tetapi ia menggunakan rekaan hibrid yang begitu innovatif. Enjin 2.0 liter (dari video, ia mungkin enjin dari siri K20) yang disuap supercharger membolehkan ia menjana 400 hp tidak diletakkan di hadapan, sebaliknya ditempatkan pada bahagian tengah dan terus memacu gandar belakang.

    Manakala pada bahagian bonet hadapan, ia diberikan motor elektrik berkuasa 200 hp bagi memacu gandar hadapan. Kotak gear enam-kelajuan sequential turut diberikan bagi menghantar kuasa ke roda. Bentangan sistem ini membolehkan Civic berkenaan memecut dari 0-60 bs/j (97 km/j) hanya dalam masa dua saat, dan ia didakwa mampu memberikan penjimatan penggunaan bahan api sehingga 30% dengan janaan semula kuasa dari sistem regenerative braking.

    Menurut kumpulan tersebut lagi, Civic ini bukan sahaja pantas malah ia menghasilkan hidrokarbon, karbon monoksida dan nitrogen oksida yang lebih rendah dari biasa. Kereta rali ini juga boleh dipandu dalam mod elektrik sepenuhnya.

    Untuk pengendalian, pelajar-pelajar CU-ICAR berkenaan telah menghasilkan suspensi jenis separa aktif. Penyerap hentak kereta tersebut pula dibina dengan strok yang agak panjang bagi membolehkan kereta ini melompat dan mendarat dengan selamat. Bagi meningkatkan lagi kelincahan jentera rallycross tersebut, bahagian belakang turut diberikan sistem stereng.

     
     
  • Perhalusi projek kereta nasional ketiga dengan cermat, pastikan kita benar-benar ada kelebihan industri – Zeti

    Perhalusi projek kereta nasional ketiga dengan cermat, pastikan kita benar-benar ada kelebihan industri – Zeti

    Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menjelaskan, Malaysia sepatutnya terlibat dengan industri di mana ia mempunyai kelebihan bandingan (comparative advantage) ketika membuat pertimbangan berkaitan kereta nasional ketiga.

    Zeti memberi penekanan, sekiranya kerajaan ingin terlibat dengan projek kereta nasional ketiga, ia perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada ia memiliki kelebihan bandingan kerana sumber adalah terhad, lapor The Star.

    “Kita sepatutnya menyalurkan sumber yang ada ke arah perkara yang kita mempunyai kelebihan untuk menjadi pelopor dalam industri berkenaan,” ujar Zeti di dalam satu forum yang disertai, membincangkan tajuk “The Economic Agenda – Mahathir-nomics 2.0 and Vision 2020 Revisited”.

    Tambahnya lagi, ketika ini kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap hutang terkumpul serta perkara-perkara ketirisan dan pengurusan tidak cekap sebelum untuk memulihkan semula situasi kewangan negara. “Ini perkara paling utama yang perlu dilakukan ketika ini untuk membolehkan negara bergerak ke hadapan,” ujar beliau.

    Perhalusi projek kereta nasional ketiga dengan cermat, pastikan kita benar-benar ada kelebihan industri – Zeti

    Zeti turut berkata kerajaan perlu menilai faktor risiko yang terlibat kerana ketika ini tiada sumber yang boleh digunakan untuk menyelamatkan projek-projek yang gagal. “Sebab itu perkara ini perlu diperhalusi dengan cermat,” tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nsional Bhd.

    Ketika ditanya tentang mengapa Korea Selatan mampu membina industri automatifnya dengan baik sedangkan Malaysia tidak, Zeti menjelaskan negara itu berjaya mengenal pasti arah tuju strategik untuk industri berkenaan.

    “Mereka beri perhatian yang menyeluruh, daripada meletakkannya di lokasi yang betul sehinggalah menyediakan tenaga kerja bermula dari sistem pendidikan, yang melibatkan tahap sekolah hinggalah ke peringkat teknikal dan universiti,” jelas beliau. Pendekatan yang bersepadu ini telah membuahkan hasil untuk mereka.

     
     
  • DBKL ambil alih operasi penguncian tayar daripada operator yang dilantik mulai 1 Nov – Datuk bandar

    DBKL ambil alih operasi penguncian tayar daripada operator yang dilantik mulai 1 Nov – Datuk bandar

    Mulai 1 November ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil alih operasi penguncian tayar kenderaan pesalah trafik daripada operator yang dilantik sebelum ini Vista Summerose Sdn Bhd.

    Datuk bandar Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata jabatan undang-undang DBKL akan meneliti semula kontrak dan mengkaji tindakan undang-undang yang bakal diambil, laporan The Star.

    “Sementara itu, pasukan penguatkuasa kami akan mengambil alih operasi tersebut di sekitar bandaraya menggunakan SOP kami sendiri dan juga mengikut undang-undang,” ujar Nor Hisham.

    Ketika ditanya mengapa DBKL mengambil alih tugas tersebut, Nor Hisham berkata, “Mereka (operator parkir) bertindak terlalu agresif dan adakalanya tidak munasabah. Mereka mempunyai KPI 1,000 (kenderaan untuk dikunci) setiap hari, dan adakalanya mereka terlalu agresif untuk memenuhi kuantiti tersebut. Kadangkala orang ramai hanya memarkir untuk tempoh beberapa minit sahaja, tapi mereka (operator parkir) terus mengunci tayar kenderaan tersebut.”

    Pada 26 Oktober lalu, sumber DBKL memberitahu, operasi penguncian tersebut akan digantung serta-merta mulai bulan hadapan. Menurut sumber terbabit, datuk bandar membuat keputusan selepas menyaksikan satu insiden perbalahan antara pemilik kenderaan dan pegawai DBKL di Taman Tun Dr. Ismail baru-baru ini. Di mana pegawai terbabit dimarahi teruk oleh pemilik kenderaan terbabit.

     
     
  • Toyota Camry 2018 – pendaftaran minat mula dibuka

    Toyota Camry 2018 – pendaftaran minat mula dibuka

    Toyota Camry 2018 serba baru generasi kelapan (XV70) akan diperkenalkan secara rasmi di Thailand esok. Dan, nampaknya kita di Malaysia juga tidak perlu menunggu lama untuk menerima model serba baru berkenaan di sini.

    UMW Toyota Motor melalui laman Facebook Toyota Malaysia pagi ini sudah membuat teaser bagi Camry serba baru ini; pendaftaran bagi mereka yang berminat untuk tahu lebih lanjut atau menjadi yang terawal mendekati model berkenaan juga kini sudah dibuka kepada umum. Anda boleh capai pautan berkenaan dan mendaftar di sini.

    Apa yang lebih menarik, 1 November 2018 dinyatakan sebagai tarikh pengenalan rasmi model berkenaan untuk pasaran tempatan – itu hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Bagaimanapun, masih tiada sebarang pengesahan berkaitan spesifikasi dan senarai penawaran lain bagi Toyota Camry serba baru ini untuk pasaran tempatan.

    Toyota Camry 2018 – pendaftaran minat mula dibuka

    Kemudian, berdasarkan beberapa maklumat yang bocor dan mula beredar di media sosial, difahamkan dua varian akan ditawarkan – 2.0G dan 2.5V. Tiada model hibrid yang akan diperkenalkan di sini, buat masa ini. Lebih mengejutkan, pilihan enjin yang kelihatan adalah dari unit yang sedia ada sebelumnya – enjin 2.0L berkemungkinan besar 6AR-FSE dan enjin 2.5L 2AR-FE sedia ada. Masing-masing dengan janaan 167 PS/199 Nm dan 180 PS/235 Nm.

    Ini bermaksud, Malaysia tidak akan menerima enjin 2.5L dari barisan Dynamic Force Engine yang terbaru yang akan diperkenalkan untuk pasaran Thailand. Untuk unit di negara jiran itu, jika dilihat dari penutup enjin dan kedudukan bukaan isian minyak enjin, kemungkinan besar ia merupakan unit A25A-FKS 2.5 liter (juga ada dalam versi 2.0 liter), yang menghasilkan 208 PS dan 252 Nm, dengan padanan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Lain-lain ciri yang ada pada dua varian berkenaan pula ialah seperti kemasan kulit hitam bagi ruang dalaman, kawalan cruise dan lampu utama bi-LED dengan DRL LED – ini bagi varian asas 2.0L. Varian 2.5L pula akan menerima spesifikasi lebih menarik.

    Ini termasuklah kemasan kulit hitam lembut pada ruang dalaman, head-up display, lampu isyarat dan lampu undur LED serta Toyota Safety Sense dengan sistem seperti AEB, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, kawalan cruise adaptif dan lampu utama dengan lampu tinggi automatik.

     
     
  • Proton X70 – tempahan sudah mencecah 10,000 unit

    Proton X70 – tempahan sudah mencecah 10,000 unit

    Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi, SUV pertama Proton iaitu X70 dilihat menerima sambutan baik apabila jumlah tempahan diumumkan sudah mencecah angka 10,000 unit. Ini berikutan pembukaan tempahan bermula 8 September lalu di semua wakil pengedar jenama itu dan juga melalui atas talian dari 17 Oktober lalu.

    Daripada 10,000 unit tempahan itu, 2,000 daripadanya dibuat melalui laman web mikro X70, yang memerlukan pelanggan membayar cuma RM99, manakala selebihnya adalah daripada pusat pameran, di mana pelanggan perlu membayar deposit RM1,000.

    “Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada PROTON terutamanya apabila kami mula menerima tempahan untuk Proton X70. Meskipun kami perlu mengawal perkongsian maklumat sebelum pelancaran model tersebut, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan kerana kami telah menerima lebih 10,000 tempahan termasuklah mereka yang menempah melalui dalam talian di mana ianya melebihi jangkaan kami,” kata ketua pegawai eksekutif Proton, Li Chunrong.

    Beliau turut menambah bahawa kejayaan membuat tempahan secara atas talian ini juga memberi petunjuk kepada cara penjualan pada masa hadapan, dan meminta pelanggan bersabar kerana persiapan akhir sedang dilakukan untuk pelancaran X70, termasuk memastikan rangkaian jualan dan servis selepas jualan yang lebih baik.

    Berkenaan rangkaian sokongan ini, Proton menyatakan bahawa syarikat sudah berjaya mencapai lebih daripada jumlah sasaran yang ditetapkan iaitu 109 cawangan bagi pusat 3S dan 4S. Setakat ini, sebanyak 113 kelulusan permohonan cawangan telah direkodkan, mencatatkan pencapaian sebanyak 104% berbanding sasaran yang ditetapkan.

    “Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia bermakna pasaran telah menerima baik jenama PROTON dengan menganggap ia sebagai pelaburan yang baik. Saya memuji usaha para pengedar sedia ada yang mengambil peluang untuk terus melabur dengan kami serta pengedar baharu untuk kepercayaan dan visi mereka yang melihat potensi Proton dalam pasaran automotif ketika ini dan pada masa hadapan,” tambah Li Chunrong.

    Proton X70 – tempahan sudah mencecah 10,000 unit

    Proton X70 ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

    Antara kelengkapan bagi varian paling tinggi adalah termasuk rim 18 inci, lampu utama LED, tempat duduk balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa, bumbung panoramik, skrin sesentuh 8.0 inci dan sistem infotainmen GKUI. Semua varian akan dilengkapi dengan Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara secara standard, tetapi varian Premium 2WD akan mendapat tambahan Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS) dan kawalan lampu tinggi pintar.

    Harga untuk semua varian Proton X70 ini hanya akan didedahkan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada bulan November nanti. Tapi bagi anda, rasanya berapa harga yang patut diletakkan untuk X70 ini. Adakah anda juga antara yang telah meletakkan tempahan awal?


    GALERI: Pilihan warna luar Proton X70

     
     
  • Mazda CX-8 terima peningkatan minima untuk pasaran Jepun – pilihan 2.5L turbo, G-Vectoring Control Plus

    Mazda CX-8 terima peningkatan minima untuk pasaran Jepun – pilihan 2.5L turbo, G-Vectoring Control Plus

    Pada awla bulan ini, Mazda telah memperkenalkan peningkatan minima bagi CX-5 di Jepun, termasuk enjin pengecas turbo baharu, versi baharu bagi sistem G-Vectoring Control dan beberapa perubahan kecil. Kini, semakan itu turut diaplikasikan pada CX-8, yang memberikan SUV tiga-barisan tempat duduk itu dengan beberapa elemen terkini.

    Perubahan yang dilakukan termasuklah didatangkan dari unit pengecas turbo bagi enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G empat-silinder, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 230 PS pada 4,250 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia memberikan penjimatan bahan api sekitar 11.6 km per liter mengikut Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) baharu.

    Enjin ini juga boleh didapati dalam bentuk naturally-aspirated, dengan kuasa 190 PS pada 6,000 rpm dan 252 Nm pada 4,000 ropm; dilengkapi penyahaktif silinder, dengan 12.4 km per liter. Manakala unit 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel masih dikekalkan, kesemua dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Mazda CX-8 terima peningkatan minima untuk pasaran Jepun – pilihan 2.5L turbo, G-Vectoring Control Plus

    Lain-lain kelengkapan sama seperti CX-5 terkini termasuk G-Vectoring Control Plus, iaitu sistem yang akan memberikan sedikit brek pada roda bahagian luar ketika keluar dari selekoh, memberikan lebih kestabilan ketika pemandu meluruskan kembali kedudukan stereng. Ini akan membolehkan peralihan antara olengan dan yaw sekata walaupun tujahan kuat ketika membelok, sekaligus memberikan respon yang lebih baik terhadap input stereng yang diberikan secara tiba-tiba serta keluar dari selekoh dengan lebih baik.

    Malah sistem GVC Plus baharu ini didakwa mampu meningkatkan pengendalian dalam mengelak pelanggaran dan memberikan “kawalan yang lebih jitu” ketika menukar laluan dan apabila memandu dalam bersalji atau permukaan jalan yang licin. Ia didatangkan secara standard untuk semua varian CX-8.

    Selain itu, ia turut menambah pengesan pejalan kaki ketika waktu malam untuk sistem Sokongan Brek Bandar Pintar Termaju (SCBS), merekasemula kawalan suhu untuk meningkatkan operasi dan perehat tangan hadapan yang lebih rendah sebanyak 15 mm, dalam memberikan postur tubuh badan yang lebih natural. Mazda turut menambah penebat bunyi pada tailgate dan lantai but bagi memberikan peluang kepada penumpang yang duduk di barisan ketiga berbual antara satu sama lain dengan lebih selesa.

    Perubahan lain yang lebih minima termasuklah pilihan kamera 360-sudut, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto dan kemasan baharu untuk pilihan roda aloi 17- dan 19-inci. Terakhir, L package menerima tempat duduk hadapan dengan pengudaraan, paparan instrumen TFT LCD tujuh-inci, cermin pandang-belakang tanpa bingkai dan pencahayan LED putih di seluruh kabin untuk gaya yang lebih konsisten.

     
     
  • Triumph Scrambler 1200 XC dan XE 2019 diperkenal

    Triumph Scrambler 1200 XC dan XE 2019 diperkenal

    Melihatkan penerimaan baik model moden klasik, terutamanya Street Scrambler, Triumph memperkenalkan kepada dunia sebuah lagi model baru yang lebih berkuasa iaitu Scrambler 1200 XC dan 1200 XE, dengan masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. 1200 XC dibangunkan supaya lebih mudah digunakan atas jalan biasa dan offroad, manakala 1200 XE fokus kepada offroad yang lebih lasak.

    Kedua-dua model baru ini menggunakan enjin dua silinder yang sama, iaitu unit dua silinder selari 1,200 cc High Power yang ditala khas untuk tunggangan offroad, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 88.7 hp pada 7,400 rpm dan 110 Nm tork pada 3,950 rpm. Jumlah ini bersamaan 12.5% lebih berkuasa berbanding Bonneville T120 dan 38% lebih tork berbanding Street Scrambler 900 cc.

    Antara ciri baru pada Scrambler 1200 ini adalah panel instrumen TFT-LCD berwarna penuh yang didatangkan dalam beberapa pilihan tema dan boleh diletakkan dengan nama pemilik. Kemudiannya, ia juga menyediakan mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Offroad, Sport dan satu lagi mod khas yang boleh dilaras mengikut kemahuan.

    Bagi Scrambler XE, ia mendapat tambahan satu lagi mod iaitu OffRoad Pro, yang akan menutup sistem brek ABS dan kawalan cengkaman. Selain daripada itu, XE juga dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU), seterusnya disambung dengan sistem Cornering ABS dan Cornering Traction Control.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Scrambler 1200 baru ini adalah pemula enjin tanpa kunci, klac torque assist, pengecas USB di bawah tempat duduk dan cruise control. Apabila mendapatkan modul Bluetooth yang dijual berasingan, pemilik boleh menyambung panel instrumen motosikal ini kepada fungsi navigasi Google, telefon pintar untuk menjawab telefon dan mendengar musik, serta kawalan kamera GoPro.

    Suspensi yang digunakan pula adalah gabungan antara dua jenama iaitu Showa untuk fork hadapan yang boleh dilaras dan Ohlins untuk monoshock belakang (juga boleh dilaras). Bezanya, XC disediakan dengan jarak gerak suspensi 200 mm manakala XE lebih panjang dengan 250 mm. Brek adalah sama untuk kedua-dua model – angkup Brembo Monobloc M50 empat piston dengan cakera 320 mm berkembar di hadapan dan angkup Brembo dua piston dengan cakera 255 mm tunggal di belakang.

    Perbezaan lain di antara dua model ini adalah XC mempunyai tinggi tempat duduk 840 mm manakala XE lebih tinggi, menjadi 870 mm. Rim pula adalah unit 21 inci 36 jejari di hadapan, 17 inci 32 jejari di belakang, dan dibalut dengan tayar tanpa tiub Metzeler Tourance.

    Bagi menjadikan Scrambler 1200 ini lebih unik untuk setiap pemilik, Triumph telah menyediakan lebih 80 pilihan aksesori dalam katalog mereka, termasuk dua kit inspirasi yang dinamakan sebagai Escape untuk kegunaan jelajah dan Extreme untuk kegunaan offroad lebih kasar.

    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XC 2019


    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XE 2019

    GALERI: Aksesori Triumph Scrambler 1200 2019

     
     
  • Lexus ES 2019 dilancar di Jepun – kamera pandangan-sisi pertama di dunia, ES 300h hybrid, RM216k-RM259k

    Lexus ES 2019 dilancar di Jepun – kamera pandangan-sisi pertama di dunia, ES 300h hybrid, RM216k-RM259k

    Bulan lalu, Lexus telah berkongsi perincian mengenai sistem Digital Side-View Monitors bagi ES pasaran Jepun, menjadikan sedan eksekutif tersebut sebagai kenderana produksi pertama di dunia yang dilengkapi dengan kamera pandangan-sisi – menggantikan peranti biasa di cermin sisi. Kini, Lexus telah mengumumkan jualan bagi ES telah pun bermula di negara matahari terbit itu.

    ES menggunakan platform Global Architecture – K (GA-K), iaitu versi Toyota New Global Architecture (TNGA) bagi Lexus, malah ditampilkan dengan rekaan yang lebih sporty dengan dimensi 66 mm lebih panjang, 46 mm lebih lebar tetapi kurang lima milimeter untuk ketinggiannya – memberikan bentuk sedan yang lebih menarik. Kini dimensinya berukuran 4,975 mm panjang, 1,865 mm lebar dan 1,445 mm tinggi, sementara jarak rodanya pula 2,870 mm iaitu 51 mm lebih panjang berbanding model sebelumnya.

    Pada bahagian hadapannya, gril gelendong membuatkan penampilannya lebih agresif berbanding sebelum ini. Padanan lampu utama yang lebih nipis dan berbucu tajam turut memberikan serlahan gaya yang cukup menarik. Sementara A-pillar yang diposisikan sedikit ke belakang dan cermin utama turut memberikan kesan yang lebih dinamik.

    Lexus ES 2019 dilancar di Jepun – kamera pandangan-sisi pertama di dunia, ES 300h hybrid, RM216k-RM259k

    Menjengah bahagian belakangnya, ES masih mengadaptasi gaya tipikal Lexus termasuk lampu belakang berbentuk L, di samping bentangan gaya yang lebih lebar dari roda belakang. Dua warna baharu ditawarkan untuk ES baharu ini iaitu Ice Ecru Mica Metallic dan Sunlight Green Mica Metallic.

    Di dalamnya, ES masih menggunakan acuan yang sama dengan LS baharu, dengan papan pemuka yang lebih melunjur dan paparan tengah besar bersaiz 12.3-inci yang disambungkan pada antara muka terkini Lexus Remote Touch. Tempat duduknya juga direka untuk memudahkan kawalan operasi dan boleh melihat paparan tanpa mengubah postur kedudukan pemanduan.

    Buat pertama kalinya, ES juga ditawarkan dengan pakej gaya F Sport, ditambah gril yang lebih menyelah dengan roda aloi 10-jejari 19-inci, peredam Adaptive Variable Suspension, tempat duduk sport, roda stereng unik dan kawalan instrumen serta kemasan aluminium hadori baharu yang diinspirasikan daripada pedang samurai.

    Di samping itu, ES baharu juga ditampikan dengan dua suspensi belakang wishbone, mengoptimakan keseluruhan geometri dan sistem stereng berkuasa elektrik. Peredam standard juga menampilkan ultra low-velocity swing valve yang juga ciri pertama di dunia untuk respon kepada ketidaksempurnaan permukaan kecil.

    Lexus ES 2019 dilancar di Jepun – kamera pandangan-sisi pertama di dunia, ES 300h hybrid, RM216k-RM259k

    Perincian juga telah ditambahbaik dengan penyerap bunyi, penebat bunyi yang berkuasa tinggi dan penyingkir bunyi bising. Ini termasuklah bentuk badan yang lebih beraliran, pengurangan bunyi bising tayar, kaca akustik penebat bunyi dan talaan bunyi bising dari enjin dan sistem bunyi.

    Bagi aspek keselamatan, ES didatangkan dengan Lexus Safety Sistem+ untuk bantuan pemandu, termasuk sistem Pra-pelanggaran, brek kecemasan sendiri, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik dengan Bantuan Mengesan Lorong (LTA) yang membolehkan kereta dipecut, dibrek dan kekal dalam lorong semi-autonomi, Sistam Lampu Tinggi Adaptif (AHS), Bantuan Isyarat Jalan (RSA), Sistem Brek Sokongan Parkir dan Paparan Pandangan Panoramik.

    Digital Side-View Monitors yang digunakan mengikut konsep kamera luaran kecil yang boleh menghantar imej ke monitor lima-inci yang diletakkan pada setiap A-pillar. Lexus berkata, kamera ini adalah kalis pada air hujan, mampu memberikan paparan yang jelas tak kira dalam apa jua keadaan cuaca, mampu mengurangkan bunyi desiran angin dan tidak menghalang pandangan hadapan. Ia adalah pilihan untuk varian Version L, yang disambungkan pada cermin pandangan belakang digital.

    Hanya satu saja pilihan enjin yang ditawarkan dan ia adalah ES 300h hybrid, dengan unit petrol 2.5 liter kitaran-Atkinson empat-silinder yang mampu memberikan kuasa 178 hp dan tork 221 Nm, dan hybrid electric transaxle baharu, dengan kuasa output keseluruhan 205 hp dan penggunaan bahan api sekitar 23.4 km per liter mengikut kitaran ujian Japanese JC08.

    Enjin baharu ini dilengkapi dengan injap pengambilan laser untuk mempertingkatkan aliran udara silinder, bersama intake port baharu untuk meningkatkan aliran tumble campuran bahan api udara, memberikannya kecekapan haba yang terbaik di dunia. Sementara itu, bateri yang lebih kompak diletakkan di bawah tempat duduk belakang, meningkatkan keseimbangan berat kenderaan, menurunkan pusat graviti dan menambah ruang but.

    Harga untuk ES baharu ini di Jepun bermula dari 5,800,000 yen (RM215,000), meningkat sehibgga 6,290,000 yen (RM233,200) untuk F Sport dan 6,980,000 yen (RM258,800) bagi Version L. ES juga akan dipertontonkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) pada hujung bulan hadapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025