Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Geely dipantau, jamin tenaga kerja Malaysia di Proton

    Geely dipantau, jamin tenaga kerja Malaysia di Proton

    Kerajaan Malaysia akan memantau dengan dekat Geely selaku pemegang kepentingan dalam Proton dalam usaha untuk memastikan rakyat Malaysia terus diberi keutamaan sebagai tenaga kerja di syarikat itu. Hal ini disuarakan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    “Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya mereka tidak patuh kepada tetapan undang-undang,” ujar beliau, dengan menambah syarikat luar tertakluk kepada undang-undang Malaysia bersangkutan pengambilan pekerja warga asing. Majikan dilarang memberhentikan tenaga kerja tempatan semata-mata ingin mengambil tenaga kerja dari luar, seperti yang termaktub di dalam Seksyen 60M Akta Pengambilan Pekerja 1955.

    Ini adalah maklum balas kepada soalan yang diajukan oleh ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid tentang langkah-langkah yang akan diambil sekiranya pengurusan asing di dalam syarikat tempatan enggan mengambil tenaga kerja tempatan. Menteri turut mengesahkan terdapat kekurangan petugas untuk memantau syarikat dan perniagaan ketika ini, dan kementerian berkenaan sudahpun memohon dari Kementerian Kewangan untuk menambah bilangan pemeriksa yang bertugas, tambah Kula.

    DRB-Hicom dan Geely telah memeterai perjanjian persefahaman pada Julai 2017, yang menyaksikan Geely memegang sebanyak 49.9% kepentingan dalam Proton. Turut dinyatakan dalam perjanjian itu ialah untuk menjadikan Proton sebagai hab pengilangan bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan bagi Geely. Model pertama bagi Proton hasil usaha sama ini ialah sebuah SUV, dijangka dilancarkan Oktober nanti.

     
     
  • Masjid bergerak pertama diperkenalkan di Jepun – persediaan untuk sukan Olimpik 2020 di Tokyo

    Sebuah masjid bergerak yang bakal digunakan ketika penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 telah didedahkan di Stadium Toyota, Toyota City, Wilayah Aichi di Jepun Isnin lalu.

    Masjid berkenaan dibina berasaskan trak kargo Hino Profia, diubahsuai bagi memberikan bukan sahaja ruang yang besar, malah pelbagai kelengkapan diberikan bagi mejadikan ia sebagai sebuah masjid yang lengkap. Menurut pengurusan projek ini iaitu Yasu Project, masjid ini “dihasilkan oleh peneraju teknologi untuk kenderaan ubahsuai khas di Jepun dan standard serta hasil akhirnya tidak mampu dicapai oleh pihak lain”.

    Dalam keadaan asal dan bergerak, ‘fasiliti’ ini merupakan trak kargo dengan lebar keseluruhan 2.5 meter. Namun setelah ia berhenti, bahagian sisi trak ini boleh dilebarkan sepanjang enam meter dengan hanya menekan butang elektrik, dan berubah dalam masa hanya lima minit.

    Masjid bergerak pertama diperkenalkan di Jepun – persediaan untuk sukan Olimpik 2020 di Tokyo

    Tambahan ruang berkenaan menjadikan ruang solat dalam masjid ini seluas 48 meter persegi, atau mampu memuatkan seramai 50 orang jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini juga lengkap dengan ruang wuduk pada bahagian luar, manakala dalam ruang solat ia dilengkapi dengan empat unit penghawa dingin bagi memastikan keselesaan jemaah dalam apa jua cuaca.

    Bekalan elektrik pada masjid ini dibekalkan oleh generatornya sendiri dengan jumlah kuasa 10 KVA. Bahagian bumbung masjid ini diberikan cat jenis GAINA yang diubahsuai dari kegunaan pembinaan sebenar, manakala dindingnya pula menerima cat yang biasanya digunakan pada teknologi angkasa iaitu cat berprestasi tinggi yang memberikan tebatan haba terbaik.

    Menurut Masjid Al Nour Islamic Center Fukuoka, projek ini telah dimulakan empat tahun lalu, namun dua tahun lalu pegawai eksekutif korporat Yasu Project, Encik Junya Imamura telah bertemu dengan mereka bagi membincangkan pandangan syariah islam berhubung pembinaan masjid bergerak untuk pelawat beragama Islam ketika berkunjung ke negara berkenaan ketika musim acara-acara besar.

    “Hampir dua tahun dari sekarang, Tokyo akan menganjurkan sukan Olimpik dan Paralimpik 2020, acara sukan besar yang akan menjadi tumpuan di mata dunia. Semakin hampir acara berkenaan, keterujaan di Tokyo dan seluruh negara turut meningkat. Semakin hampir tarikh berkenaan, kami juga turut menjangkakan peningkatan pelancong dari seluruh dunia. Salah satu tugas penting kami adalah untuk menyediakan infrastruktur pelancongan ketika acara tersebut yang akan memberikan pengalaman positif dan memuaskan kesemua pelawat yang datang dari pelbagai negara, kebudayaan dan kepercayaan,” kata pengerusi eksekutif komiti, Yasuharu Inoue.

    “Seiring dengan tugas kami untuk membina fasiliti utama di Tokyo dan kawasan sekelilingnya, dari venue utama di Stadium Nasional baharu hingga ke arena, hotel dan pelbagai lagi untuk acara tersebut, satu isu yang mahu saya bangkitkan iaitu memberikan omotenashi (hospitaliti dalam bahasa Jepun) untuk mereka yang beragama Islam, salah satu agama terbesar di dunia,” jelas Inoue lagi.

    Kita di Malaysia juga sebenarnya sudahpun mempunyai kemudahan hampir seperti ini, iaitu sebuah bas yang diubahsuai menjadi Surau Bergerak milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang disumbangkan oleh Bank Rakyat dua tahun lalu. Surau Bergerak berkenaan turut dilengkapi dengan kelengkapan untuk berwuduk dan sistem penghawa dingin, dan mampu memuatkan seramai 35 orang jemaah dalam satu-satu masa.

    GALERI: Surau Bergerak milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

     
     
  • Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Tujuh tahun selepas Audi Q3 pertama diperkenalkan, kini tiba masa penggantinya dari generasi kedua yang serba baru diperkenalkan. Audi Q3 2019 lebih besar, sarat dengan teknologi termaju dan tampil lebih menarik berbanding model lamanya.

    Rekaannya kini lebih dinamik, dengan keseimbangan rekaan yang lebih berketerampilan. Dimensinya ialah 4,485 mm panjang, 1,585 mm tinggi dan 1,856 mm lebar – versi terbaru Q3 ini 97 mm lebih panjang (77 mm daripadanya tambahan pada jarak antara roda), 25 mm lebih lebar dan 23 mm lebih rendah berbanding yang dulu.

    Dari depan, gril dengan kerangka tunggal disertai oleh rekaan lampu utama yang lebih tirus dan tajam – yang turut ditawarkan dengan unit Matrix LED seperti yang dilihat dalam gambar. Rekaan sisinya juga kini lebih menonjol, dengan bahagian garis badan yang sangat jelas, menjadi penghubung bahagian lampu di depan dan juga belakang.

    Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Ruang dalamannya juga kini bertambah luas. Tempat duduk belakang boleh dialih 150 mm ke depan/belakang dan boleh dilipat dalam tiga cara dengan nisbah 40:20:40. Bahagian penyandarnya juga boleh dilaras sebanyak tujuh tahap. Bergantung kepada kedudukan lipatan kerusi, ruang yang tersedia adalah di antara 530 liter hingga 1,525 liter. Lantai ruang barangan juga boleh dilaras kepada tiga tahap. Pintu elektrik dengan fungsi operasi menggunakan gerak kaki juga ada.

    Rekaletak ruang dalaman mengikut imej yang dibawa oleh model-model semasa Audi ketika ini. Ia dilengkapi dengan paparan skrin sentuh 10.1-inci dengan kemasan hitam berkilat pada papan pemuka. Beserta butang kawalan pendingin hawa, ia 10-darjah lebih condong ke arah pemandu. Panel instrumen digital Audi Virtual Cockpit juga ada.

    Antara yang turut ditawarkan pada sistem infotainmen ialah fungsi Google Earth dan radio hibrid, yang akan beralih secara automatik antara FM, DAB dan streaming atas talian untuk mengekalkan kualiti siaran. Sistem bunyi pula menggunakan unit dari Bang & Olufsen dengan audio 3D dan 15 pembesar suara.

    Audi Q3 serba baru generasi kedua kini didedahkan

    Sistem bantuan pemanduan juga tidak ketinggalan, seperti kawalan kruise adaptif yang bersekali dengan kawalan kelajuan adaptif, bantuan kesesakan jalan dan bantuan menukar lorong aktif bagi memudahkan pemandu. Empat kamera 360-darjah digunakan untuk memberikan input ketika masuk parkir, sementara fungsi park assist membantu input stereng.

    Bagi enjin, model ini ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol dan satu diesel, serta sistem pacuan depan atau quattro. Dengan janaan kuasa dari 150 hp hingga 230 hp, semuanya empat-silinder turbo yang diganding dengan tranmisi manual enam-kelajuan atau automatik klac-berkembar S-tronic tujuh-kelajuan.

    Ciri lain seperti kawalan menuruni bukit dan Audi Drive Select dengan enam pilihan profil turut tersedia. Ciri suspensi sport yang datang standard bagi varian S-Line, dilengkapi dengan talaan yang lebih padu dan bersekali dengan stereng progresif.

     
     
  • Subaru WRX STI Type RA-R – 329 PS, ringan, 500 unit

    Subaru WRX STI Type RA-R – 329 PS, ringan, 500 unit

    Versi paling ekstrem bagi model semasa Impreza telah pun muncul, yang diberi nama Subaru WRX STI Type RA-R. Hanya 500 unit sahaja yang ditawarkan di Japan, Type RA-R dianggap sebagai “model lengkap” bagi meraikan ulang tahun STI ke-30 yang jatuh pada tahun ini.

    Dibangunkan di bawah konsep “ringan, laju dan menyeronokkan,” Type RA-R membawakan asas “dipacu, di selekoh dan berhenti”. Hanya seberat 1,480 kg, Subaru berkata Type RA-R adalah 30 kg lebih ringan berbanding model perdana S208 dan S207, serta juga 10 kg lebih ringan berbanding standard WRX STI.

    Pengurangan berat ini memberikannya output sebanyak 329 PS pada 7,200 rpm dan tork 432 Nm dari 3,200 hingga 4,800 rpm. Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter EJ20 boxer bersama kotak gear manual enam-kelajuan dan AWD ciptaan Subaru.

    Subaru WRX STI Type RA-R – 329 PS, ringan, 500 unit

    Enjin ini menampilkan prestasi dengan ketegaran yang tinggi untuk penyejuk dalaman berfungsi dengan lebih baik, manakala sistem ekzos prestasi menyumbangkan tekanan belakang yang lebih rendah kepada output enjin yang lebih tinggi dan tindak balas yang lebih langsung. Juga dipadankan dengan ECU yang ditala khas, penutup klac yang seimbang dan flywheel, pengecas turbo scroll ball bearing berkembar dan saluran pengambilan silikon yang diperkukuhkan rekaan STI.

    Peredam (damper) dan pegas gegelung juga telah direka khas untuk Type RA-R, sementara tayar Michelin Pilot Sport 45 dipilih untuk membaluti roda aloi BBS 18-inci khas untuk STI. Bagi brek pula, ia didatangkan dengan cakera berventilasi Brembo 18-inci dengan kaliper enam-pot di hadapan dan dua-pot di belakang.

    Type RA-R boleh dikatakan versi yang bersifat minimalis. Tanpa wing besar, ia kelihatan ‘biasa-biasa’ sahaja berbanding STI biasa, namun ledakan kuasanya yang menjadikannya sebagai luar biasa. Model edisi terhad ini hanya di pasaran Jepun dan ditawarkan pada harga 4,998,240 yen (RM182,502).

    GALERI: Subaru WRX STI di Malaysia

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2.4L, ASX pilihan unit peronda PDRM – sumbangan PLUS Berhad, ANIH Berhad

    Mitsubishi Outlander 2.4L, ASX pilihan unit peronda PDRM – sumbangan PLUS Berhad, ANIH Berhad

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyumbang 15 unit Mitsubishi Outlander 2.4 liter kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk digunakan sebagai jentera peronda penguatkuasaan trafik di lebuhraya. Majlis serahan tersebut telah berlangsung di Persada PLUS, Subang Jaya baru-baru ini.

    SUV terbabit akan dikenali sebagai ‘Helang Polis Lebuhraya’ yang akan meningkatkan keberkesanan dalam menguatkuasakan undang-undang lalu lintas semasa musim perayaan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

    CEO Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), Tomoyuki Shinnishi, yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata, “Mitsubishi Outlander diyakini dalam aspek keselamatan, juga sesuai sebagai kenderaan keluarga. Tetapi kini, kami gembira ia menjadi salah satu kenderaan yang terbaik di jalan raya. Outlander memenuhi semua keperluaan PDRM untuk membantu mereka dalam penguatkuasaan undang-undang lalu lintas di lebuhraya.”

    Dalam majlis berasingan, PDRM turut menerima lapan unit Outlander 2.4L dan ASX, kali ini adalah sumbangan ANIH Berhad. Menurut MMM, sumbangan daripada kedua-dua syarikat konsesi lebuhraya ini dianggarkan bernilai RM3 juta.

    Outlander 2.4L CKD ini dijanakan oleh enjin 2.4 liter DOHC MIVEC dengan hamburan kuasa sehingga 167 PS dan tork 222 Nm. Malah ia juga dipadankan dengan transmisi INVECS-III CVT yang turut menyalurkan kuasa kepada sistem Multi-Select 4WD, yang merangkumi mod 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM155,000 (termasuk GST, tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti kilang standard selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad dan dua-tahun penyelenggaran percuma.

    Manakala ASX pula dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder MIVEC (150 PS dan 197 Nm) dan dipadankan bersama transmisi automatik INVECS-III CVT. Ia ditawarkan pada harga RM112,400 untuk versi 2WD dan RM126,739 bagi 4WD.

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4 liter CKD

    GALERI: Mitsubishi ASX Adventure

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 kini kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di Litar Estoril, Portugal

    Type R Challenge 2018 sudah pun tiba dilitar keempat, kali ini Honda Civic Type R FK8 berwarna merah berkenaan mendarat di Litar Estoril, Portugal, untuk memecahkan rekod kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas.

    Tugas di Estoril ini digalas oleh pelumba Portugal sendiri iaitu Tiago Monteiro, yang turut memandu Civic Type R dalam Kejohanan TCR Dunia (WTCR). Litar dengan jarak 4.2-km, menampilkan dua selekoh pin rambut, laluan lurus utama yang panjang dan pelbagai selekoh mencabar berkenaan ‘diserang’ oleh Monteiro dalam masa 2 minit 1.84 saat.

    Rekod tersebut jelas jauh lebih pantas dari rekod terakhir dicatatkan pada tahun 2016 oleh Bruno Correia yang memandu Honda Civic Type R FK2 dengan catatan 2 minit 4.08 saat.

    “Kami datang ke sini dengan sasaran untuk memecahkan rekod lap terpantas yang dicatatkan kereta sebelum ini tetapi anda tidak boleh mengambil mudah – maksud saya ia adalah rekod lap dan ia bukan mudah untuk dilakukan. Anda perlu sangat yakin terhadap kereta untuk menyerang Estoril, dan Type R baharu ini sangat berkuasa, lancar dan berinspirasikan keyakinan. Kami telah mencatatkan rekod baharu, memecahkan rekod sebenarnya,” kata Monteiro.

    “Type R sangat stabil dan mempunyai keberkesanan brek yang sangat baik serta enjin yang menakjubkan jadi anda rasa seperti memandu sebuah kereta lumba – di litar agak mudah lupa bahawa ia sebuah kereta jalan raya sebenar, tetapi selepas itu anda boleh memandunya pulang ke rumah. Type R baharu ini menrupakan evolusi yang cukup besar. Maksud saya kita berbicara berkenaan kereta yang lain sepenuhnya dari segi rekaan, aero, suspensi, geometri, enjin, tetapi perasaannya ketika memandu mengatasi lebih dari benda lain,” tambahnya.

    Ekspedisi ‘serangan litar-litar ikonik Eropah’ Type R Challenge 2018 telah pun memecahkan rekod tiga litar sebelum ini iaitu Silverstone di UK, Spa Francorchamps di Belgium dan juga Magny Cours di Perancis.

    Projek ini menggunakan hanya sebuah kereta yang sama iaitu Honda Civic Type R FK8 berwarna merah standard sepenuhnya, dijana enjin asal 2.0L DOHC VTEC Turbo berkuasa 320 PS/400 Nm dan kotak gear enam kelajuan manual,memacu roda hadapan.

     
     
  • Promosi “Seize The Deal” dari Ford tawar penjimatan mencecah RM113,000 – sah sehingga 31 Ogos 2018

    Promosi “Seize The Deal” dari Ford tawar penjimatan mencecah RM113,000 – sah sehingga 31 Ogos 2018

    Sime Darby Auto Connexion telah mengumumkan kempen promosi baru “Seize The Deal”, yang menawarkan rebat dan potongan harga sehingga 17% bagi model-model terpilih Ford. Ini adalah sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar yang sedang berlangsung ketika ini. Sah untuk seluruh negara bagi semua varian Mustang, Fiesta dan Ranger, promosi ini adalah bagi kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Ogos nanti.

    Harga bagi Mustang bermula dari RM396,271 bagi model tahun 2016 dan 2017 versi sebelum facelift yang kini menawarkan penjimatan sehingga RM113,000. Mustang ditawarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua varian, iaitu GT 5.0L dan 2.3L Ecoboost serta datang dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun.

    Sementara itu, pembeli Fiesta 1.5L boleh menikmati rebat sehingga 17% juga sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar. Gabungkan kedua-duanya, penjimatan yang boleh diperoleh ialah sehingga RM20,300 – model ini dijual pada harga RM68,401.

    Bagi trak pikap Ranger pula, pembeli boleh menikmati potongan sehingga 11% sebagai tambahan kepada penjimatan 6% bagi kadar GST sifar, sepanjang tempoh kempen ini. Ditawarkan dalam 10 varian termasuk Wildtrak, FX4, XLT, XL dan Standard, dengan harga bermula dari RM70,910. Ini diterjemahkan kepada penjimatan mencecah RM19,830.

     
     
  • Kerajaan Perak sedia bantu Proton bagi sediakan tambahan tapak untuk kilang di Tanjung Malim

    Kerajaan Perak sedia bantu Proton bagi sediakan tambahan tapak untuk kilang di Tanjung Malim

    Proton kini sedang menaiktaraf dan memperbesarkan kilang pengeluarannya yang terletak di Tanjung Malim, Perak, seriring langkah pembaharuan pengeluar kereta nasional itu dengan rakan strategik asingnya, Zhejiang Geely Holding Group (Geely). Justeru, bagi tanda sokongan terhadap usaha Proton, kerajaan negeri Perak berbesar hati membantu syarikat itu bagi menyediakan tambahan tapak untuk menjayakan tujuan tersebut.

    Laporan Bernama menyebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata memandangkan Proton kini sedang berkembang, ia memerlukan kawasan yang lebih, jadi kerajaan negeri akan memberi kerjasama terutama dalam penyediaan tapak.

    “Kita juga akan bekerjasama melalui agensi dan jabatan kerajaan supaya proses meluluskan (tanah) dapat dipercepatkan bagi mengelak proses pengeluaran terganggu,” katanya selepas melawat kilang Proton semalam.

    Mohammad Nizar berkata penyediaan tapak tersebut adalah usaha dan sokongan dari kerajaan negeri bagi memastikan perusahaan Proton terus berkembang dan bertahan selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi masyarakat di kawasan Tanjung Malim.

    “Untuk model pertama SUV Proton, ia akan mula dikeluarkan untuk pemasangan tempatan (CKD) awal tahun hadapan jadi kita mahu proses tersebut tidak terganggu. Kita juga berharap fasiliti di kilang Proton Shah Alam dipindahkan ke Tanjung Malim untuk memudahkan proses pemasangan dan dapat memberi manfaat masyarakat setempat terhadap industri otomobil di sini,” katanya.

     
     
  • Kumpulan Naza sumbangkan RM1,000 untuk Tabung Harapan Malaysia dari jualan setiap unit kenderaan

    Kumpulan Naza sumbangkan RM1,000 untuk Tabung Harapan Malaysia dari jualan setiap unit kenderaan

    Kumpulan Naza telah umumkan akan menyumbang sebanyak RM1,000 kepada Tabung Harapan Malaysia bagi setiap kereta yang dijual, bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Ogos nanti. Naza merupakan pengedar sah bagi jenama-jenama seperti Ferrari, Maserati, Peugeot, Citroen, DS dan Kia di Malaysia, selain turut menjadi pengedar bagi Mercedes-Benz.

    “Kumpulan Naza berbesar hati untuk memainkan peranan dalam menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia. Ini juga merupakan cara kami berterima kasih kepada kerajaan di atas usaha untuk mewujudkan suasana ekonomi dan politik yang stabil, termasuk juga dengan tempoh tanpa cukai selama tiga bulan yang diberikan,” jelas CEO kumpulan, SM Nasarudin SM Nasimuddin

    “Sebagai sebuah syarikat tempatan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mana yang termampu terhadap negara tercinta ini. Tambahan pula kita akan menyambut Merdeka bagi tahun yang ke-61 dan tahun ke-55 sebagai negara Malaysia,” tambahnya lagi.

     
     
  • Tamiya umum jentera LMP1 Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid dalam bentuk kereta lumba Mini 4WD

    Tamiya umum jentera LMP1 Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid dalam bentuk kereta lumba Mini 4WD

    Tamiya sebelum ini pernah menghasilkan jentera lumba Mini 4WD dengan badan yang diinspirasikan dari kereta sebenar seperti Daihatsu Copen dan juga Nissan Bee-1. Terkini, pengeluar model plastik terulung Jepun berkenaan mengumumkan kereta lumba LMP1 Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid akan dijelmakan sebagai salah satu model dalam siri jentera lumba berskala 1/32 berkenaan.

    Mini 4WD TS 050 tersebut dihasilkan menggunakan casis dari siri MA, iaitu casis dengan motor elektrik diletakkan pada bahagian tengah kereta, menjadikan ia sebagai kereta lumba dengan titik graviti yang sangat rendah. Penggunaan casis dengan enam roller standard tersebut juga menjadikan panjang keseluruhan kereta ini adalah 156 mm.

    Apa yang menarik lagi, badan untuk Toyota Gazoo Racing TS 050 ini bukanlah diperbuat dari plastik keras seperti model Mini 4WD lain, sebaliknya diperbuat dari material polycarbonate seperti badan kebanyakkan model kawalan jauh (RC) yang bukan sahaja lebih ringan, malah boleh dibina dengan lebih terperinci. Walau bagaimanapun, Tamiya masih lagi belum mengumumkan harga model Mini 4WD ini, malah tarikh pelancarannya juga masih belum diumumkan.

    Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2016, dan ia bukan sahaja dibina untuk berlumba di Le Mans 24 Jam, malah turut berlumba di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC). Kereta lumba dengan enjin turbo 2.4 liter V6 bersama sistem motor elektrik yang menghasilkan sekitar 1,000 hp ini kecundang tiga minit sebelum perlumbaan Le Mans 24 Jam 2016 tamat ketika ia sedang mendahului, namun akhirnya berjaya bergelar juara pada perlumbaan yang sama untuk musim 2017.

    GALERI: Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid

     
     
  • Suzuki Jimny generasi keempat sah masuk Thailand

    Suzuki Jimny generasi keempat sah masuk Thailand

    Kalau menurut Headlightmag, Suzuki Jimny terbaru kini sah akan masuk pasaran Thailand. Tapi, masih belum pasti model 4×4 kompak berkenaan akan dipasang di sana atau tidak – Suzuki memang ada kilang pemasangan di sana – atau sebaliknya diimport masuk dari Jepun atau Indonesia.

    Jimny bukanlah sebuah nama yang perlukan pengenalan lagi; sejarah panjangnya sebagai sebuah kenderaan dengan kemampuan 4×4 yang sebenar tidak dinafikan lagi. Dipertontonkan bulan lalu, model generasi keempat yang menerima pembaharuan sepenuhnya ini akan terus memanfaatkan binaan ladder frame. Ini sebuah kenderaan 4×4 sebenar dengan sistem pacuan 4WD, bukan sekadar acah-acah.

    Dua gaya badan ditawarkan untuk pasaran Jepun, dengan satu daripadanya lebih ringkas penampilan yang dikenakan, dikenali sebagai Jimny. Manakala versi yang lebih tegap dengan bampar besar serta fender yang lebih lebar digelar Jimny Sierra.

    Suzuki Jimny generasi keempat sah masuk Thailand

    Jimny yang lebih ringkas tampil paling kompak, dengan 155 mm lebih pendek, 170 mm kurang kelebaran dan 5 mm lebih rendah berbanding model Sierra. Kedua-duanya bagaimanapun menggunakan jarak antara roda yang sama, iaitu 2,250 mm dan datang dengan 377 liter ruang barangan – 53 liter lebih besar berbanding dahulu.

    Jimny “kecil” dikuasakan oleh nejin 660 cc turbo dengan janaan 64 PS dan 96 Nm. Di Jepun, pelanggan boleh memilih antara transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    Jimny Sierra di Jepun dan pasaran global lain akan menggunakan enjin 1.5 liter bagi menggantikan versi 1.3 liter sebelum ini. Kuasa yang dijanakan pula ialah 102 PS/130 Nm dengan daya tork yang lebih kuat pada semua tahap rpm berbanding yang dulu. Walaupun kapasiti bertambah, saiz enjinnya lebih kecil dan 15% lebih ringan berbanding yang lama. Pilihan transmisi sama; automatik empat-kelajuan atau manual lima-kelajuan.

     
     
  • Levis Motorcycles hidup kembali – dulu ‘Raja Dua Lejang’, sekarang keluarkan motosikal unik enjin V6

    Levis Motorcycles hidup kembali – dulu ‘Raja Dua Lejang’, sekarang keluarkan motosikal unik enjin V6

    Levis Motorcycles adalah sebuah syarikat pengeluar motosikal yang sudah wujud di England sejak tahun 1911. Namun, ia tidak bertahan lama dan pada tahun 1941 pengeluarannya dihentikan. Dalam tempoh tiga puluh tahun itu, Levis berjaya membina nama yang dikenali (pada era itu) dengan motosikal berkapasiti antara 211 cc hinggalah 600 cc. Mereka juga dulu dikenali sebagai ‘Raja Dua Lejang’.

    Kini jenama itu hidup kembali hasil kerjasama beberapa individu dan syarikat, dan mereka sudah mempunyai beberapa rekaan konsep untuk motosikal Levis generasi baru. Model pertama yang kini sudah pun dibuka untuk tempahan adalah Levis V6 Cafe Racer, pada harga £102,000 (RM543,572).

    Motosikal ini disasarkan kepada mereka yang mencari sesuatu yang unik, dan ia dikuasakan oleh enjin V6 1.2 liter rekaan tersendiri. Enjin ini mempunyai bentuk yang kurus dan setakat yang diuji, ia boleh menghasilkan sehingga 120 hp. Selain daripada itu, Levis juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan versi supercharged bagi enjin ini.

    Kerangka V6 Cafe Racer ini dibuat daripada besi stainless steel dan mempunyai banyak bentuk yang melengkung. Pada kerangka itu, dipasang panel badan yang juga dibuat daripada stainless steel, dan pembeli boleh memilih kemasan akhir yang dimahukan – sama ada brushed aluminium atau dicat.

    Perhatian yang lebih turut diberikan kepada bahagian lain supaya ia dapat dijadikan ringan dan kuat, dan kebanyakannya dibuat menggunakan mesin CNC. Ini termasuk fork, yoke depan, pemegang dan perumah lampu depan. Untuk bahagian rim, kalau diperhatikan tiada skru dari luar kerana ia dibina daripada dua bahagian yang dicantum secara unik.

     
     
  • Castrol Magnatec dengan teknologi Dualock dilancar

    Castrol Magnatec dengan teknologi Dualock dilancar

    Setelah lebih 20 tahun berada di pasaran, BP Castrol Lubricants (Malaysia) Sdn Bhd telah melancarkan semula minyak pelincir Magnatec yang kali ini dirumus khas dengan teknologi terkini Dualock. Ia bagi membantu menyelesaikan masalah kehausan enjin sewaktu ia dipanaskan, dengan menyediakan lapisan tambahan perlindungan ke ‘jantung’ kereta itu.

    Generasi baharu Castrol Magnatec Dualock ini adalah inovasi terkini, di mana ia mengandungi dua molekul pelindung yang berbeza melekap dan barpaut ke permukaan enjin membentuk satu lapisan perlindungan yang memberikan sebanyak 50% pengurangan kehausan semasa pemanasan dan henti gerak enjin.

    Menurut Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia dan Singapura, Keow Mei-Shan, formula Castrol Magnatec yang dicipta semula dengan teknologi terkini Dualock khusus bagi pemanduan yang sering menimbulkan tekanan termasuk kerap terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

    Castrol Magnatec Dualock kini boleh didapati di semua cawangan Castrol Auto Service dan bengkel kereta di seluruh Malaysia, dan ia juga sesuai untuk kegunaan kenderaan janaan petrol, diesel mahu pun hibrid. Ia ditawarkan pada harga RM138.70 untuk varian 10W-40, RM143.40 (10W-30), RM187.80 (5W-30) dan RM201.90 (0W-20) dengan kesemuanya berisian empat liter bagi setiap pek.

     
     
  • DFSK Glory 580 dilancarkan di Indonesia – dari RM69k

    DFSK Glory 580 dilancarkan di Indonesia – dari RM69k

    Kini, ada sebuah lagi jenama China yang ingin mengukuhkan tapak di pasaran Asia Tenggara, iaitu Dongfeng. Di bawah jenama Dongfeng Sokon (DFSK), sebuah model SUV tujuh-tempat duduk diperkenalkan, dikenali sebagai Glory 580. Model ini nampak gayang ingin jadi pencabar bagi Honda BR-V.

    Dipertontonkan ketika Indonesia International Motor Show (IIMS) April lalu, model baru ini dijual antara harga 245.9 juta Rupiah (RM68,800) dan 308 juta Rupiah (RM86,200). Ini bermakna model terbabit dijual pada harga sedikit lebih mahal berbanding Honda BR-V serta Toyota Rush/Daihatsu Terios, yang semuanya dijual paling mahal pada harga antara RM70k-RM80k. Ia dipasang CKD di Serang serta turut dirancang untuk dieksport, lapor AutonetMagz.

    Model ini ada meminjam mirip dari Honda BR-V pada bahagian depannya, serta ilham dari Audi Q5 di belakang. Ia merupakan sebuah SUV unibody dengan suspensi MacPherson strut di depan, manakala di belakang menggunakan suspensi jenis torsion beam.

    Enjin pula ditawarkan dalam dua pilihan. Pertama, enjin 1.8 liter petrol yang menghasilkan kuasa sebanyak 139 PS dan 187 Nm tork. Kedua pula ialah enjin 1.5 liter turbo dengan janaan 150 PS dan 220 Nm. Pilihan transmisi bagi kedua-duanya sama ada manual enam-kelajuan atau CVT, pacuan roda depan.

    DFSK Glory 580 dilancarkan di Indonesia – dari RM69k

    Kelengkapan standard bagi model ini termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu kabus depan dan belakang, rim aloi 17-inci, stereng dengan butang pelbagai fungsi, kemasan kulit, brek parkir elektronik, sistem tunjuk arah dengan skrin sentuh, enam pembesar suara, kamera undur dan lain-lain.

    Model 1.5 turbo ada penambahan ciri seperti rim dua-tona, warna kemasan dalaman dua-tona hitam dan coklat, butang push-start, larasan manual kerusi pemandu enam-arah, semua tingkap automatik, cermin sisi dengan pemanas, skrin sentuh 10-inci serta tirai untuk barisan ketiga. Versi CVT akan hadir dengan fungsi cruise control.

    Dari segi keselamatan pula, model ini datang dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan serta ISOFIX pada barisan kedua. Model turbo pula dilengkapi dengan beg udara sisi (empat beg udara semuanya) serta sistem pemantauan tekanan tayar.

     
     
  • Bugatti Chiron pasaran Amerika dipanggil semula – hanya dua buah, babitkan masalah beg udara sisi

    Bugatti Chiron pasaran Amerika dipanggil semula – hanya dua buah, babitkan masalah beg udara sisi

    Dua buah Bugatti Chiron di pasaran Amerika Syarikat telah pun dimasukkan dalam senarai panggilan semula kerana masalah pada beg udara sisi kereta-kereta berkenaan, menurut fail pada Pentadbiran Lebuhraya dan Pengangkutan Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat. Masalah ini adalah kerana penghadang haba yang dipasang tidak betul, yang mungkin akan mengurangkan prestasi beg udara tersebut kerana “haba yang terhasil di bawah situasi suhu luaran,” menurut laporan berkenaan.

    Isu ini dikesan ketika “ujian produksi pengembangan beg udara di bawah situasi suhu tinggi,” apabila kebakaran dijumpai disebelah generator gas beg udara tersebut. Setelah siasatan lanjut dijalankan, didapati bahawa pelindung haba berkenaan tidak dipasang dengan betul.

    Pemilik kedua-dua Chiron ini akan dihubungi sendiri oleh Flying Doctors Bugatti, dan kereta-kereta tersebut akan dihantar semula ke kilangnya yang terletak di Perancis untuk diperiksa. Komponen yang terjejas akan diperbaiki sepenuhnya, dan komponen gantian baharu akan ditandakan dengan titik hijau pada label beg udara. Kesemua kos ini akan ditanggung oleh Bugatti.

    Bugatti Chiron merupakan hypercar rekaan Volkswagen Group, menggantikan model Veyron sebelum ini. Ia dijana enjin bentangan W dengan 16 silinder, bersama empat buah pengecas turbo membolehkan kuasa 1,500 PS/1,600 Nm dihasilkan. Chiron kini turut hadir dalam versi lebih hardcore digelar Chiron Sport dengan pelbagai kompenen lebih ringan serta suspensi lebih tegar, dan telahpun hadir ke Malaysia baru-baru ini dalam siri jelajahnya di rantau ASEAN.

    GALERI: Bugatti Chiron pasaran Amerika Syarikat

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025