Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Porsche 911 GT2 RS di M’sia – 700 hp, dari RM2.9 juta

    Porsche 911 GT2 RS di M’sia – 700 hp, dari RM2.9 juta

    Porsche 911 GT2 RS, model terkini dan paling menarik jenama itu kini secara rasmi tiba di Malaysia selepas pertama kali ditampilkan di Goodwood, England setahun yang lalu. Harganya juga tentulah yang paling mahal dalam kalangan model keluaran Porsche; bermula dari RM2.9 juta! (Tidak termasuk insurans).

    Memacu kereta sport ini ialah unit enjin 3.8 liter turbo berkembar enam-silinder, menghasilkan 700 hp dan 750 Nm tork – peningkatan 80 hp dan 50 Nm berbanding versi 911 GT2 RS dengan enjin 3.6 liter enam-silinder. Unit berkenaan diasaskan daripada enjin model Turbo S (607 hp/750 Nm), tetapi menerima pengecas turbo yang lebih besar serta sistem penyejukan baru yang menyejuk menggunakan air (berbeza dari model BMW M4 GTS).

    Porsche 911 GT2 RS di M’sia – 700 hp, dari RM2.9 juta

    Semua kuasa yang dijana itu disalurkan hanya kepada roda belakang melalui transmisi klac berkembar PDK tujuh-kelajuan yang dibina khusus untuknya. Model ini mampu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dengan kelajuan maksimum 340 km/j. Ia juga menggunakan casis yang dibangunkan khusus untuk perlumbaan, dan menggunakan ciri Porsche Stability Management (PSM) yang ditala khas dengan mod Sport.

    Kelengkapan lain yang disertakan pada model ini ialah rim 20-inci di depan dan dipadankan dengan rim 21-inci di belakang. Tayar depan pula menggunakan saiz 265/35 dan 325/30 di belakang – dengan tayar jenis Ultra High Performance (UHP). Brek seramik adalah ciri standard.

    Kecekapan aerodinamik juga pada tahap terbaik, dengan ruang udara dan splitter yang luas dan besar pada bampar. Penutup ruang enjin menampilkan dua corong udara, serta paip berkembar bagi sistem ekzos titanium (jimat 7 kg berbanding model Turbo) dan sayap GT yang besar di belakang.

    Dengan tangkin penuh, GT2 RS mencatatkan berat 1,470 kg. Pek pilihan Weissach (RM138k) akan menjimatkan lagi sebanyak 30 kg, disebabkan penggunaan material plastik yang diperkukuh dengan gentian karbon dan titanium. Ini meliputi bahagian bumbung, palang anti-olengan dan rod pengganda bagi gandar depan dan belakang serta bahagian bonetnya.

    Kemasan dari material kulit Alacantara hitam-merah menghiasi ruang dalaman. Ini disertai oleh perincian gentian karbon, stereng sport dengan paddle shifter dan aplikasi Porsche Track Precision yang akan merekod data pemanduan dalam telefon. Pakej Chrono turut ditawarkan. Sempena pengenalan model ini juga, Porsche Design turut mengeluarkan jam tangan titanium khas kepada pemilik.

     
     
  • Kia Stinger disiar sebagai teaser FB – akan dilancar?

    Kita sudah menunggu lama untuk pelancaran rasmi Kia Stinger selepas ia dipertontonkan kepada awam di Malaysia pada bulan November tahun lalu. Nampaknya kini seperti Kia Malaysia sudah bersedia, dan teaser kenderaan prestasi ini dikeluarkan dalam laman FB rasmi mereka.

    “Mereka sudah berkata tentangnya. Anda juga akan begitu, tidak lama lagi… #stinger.” Itulah ayat yang ditulis bersama gambar bahagian hadapan Stinger GT yang dimuat naik. Selain daripada itu, tiada maklumat lain seperti tarikh pelancaran atau penawaran varian yang diberitahu.

    Jika mengikutkan pra tonton yang dilakukan tahun lepas, kita mungkin menerima Stinger GT, yang dikuasakan oleh enjin V6 3.3 liter twin-turbo dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan. Enjin Lambda II ini mampu menghasilkan 365 hp pada 6,000 rpm dan 510 Nm tork pada antara 1,300 hingga 4,500 rpm.

    Jumlah ini menjadikan Stinger sebagai kereta produksi Kia paling berkuasa setakat ini, dan versi GT boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 269 km/j. Stinger GT datang dalam versi pacuan roda belakang sahaja atau pacuan empat roda.

    Pilihan enjin lain yang ada bagi Stinger adalah termasuk unit empat silinder 2.0 liter turbo dengan kuasa 255 PS dan 353 Nm tork, serta unit turbodiesel 2.2 liter yang berkuasa 197 hp dan 440 Nm tork.

    GALERI: Kia Stinger GT dipamerkan di Malaysia

     
     
  • AD: PETRONAS dan pasukan F1 Mercedes-AMG – memacu anda ke depan

    Kini sudah lapan tahun sejak PETRONAS mula menjadi penaja utama bagi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport di dalam perlumbaan Formula 1. Sejak itu, gandingan yang terjalin telah berhasil memenangi empat kejuaraan berturut-turut bagi pemandu dan pembina, menjadikannya pasukan paling berjaya pada era jentera hibrid ketika ini. Ini sesuatu yang wajar untuk dibanggakan.

    Tetapi, untuk merujuk PETRONAS hanya selaku penaja utama adalah tidak adil – dari segenap aspek ia merupakan rakan teknikal yang berkerja rapat dengan pasukan yang berasal dari Brackley itu untuk mencari formula prestasi maksimum bagi enjin V6 1.6 liter turbocaj dengan sistem janaan kuasa hibrid yang digunakan.

    Saban tahun, persaingan sengit serta fokus untuk menjimatkan bahan api telah menjadi keperluan untuk membangunkan teknologi enjin yang berkuasa yang menepati matlamat berkenaan. Dalam masa yang sama, risiko kegagalan mekanikal semakin tinggi memandangkan enjin perlu memberikan prestasi yang tinggi dan sekaligus menjimatkan bahan api.

    PETRONAS telah melanjutkan usahanya dalam memastikan minyak, pelincir dan bendalir yang dihasilkan kekal sejuk di dalam suasana tekanan sangat tinggi pada enjin Formula 1, dan terus memberikan perlindungan kepada komponen-komponen penting enjin agar ia mampu bertahan dalam setiap perlumbaan.

    Tahun lalu, Lewis Hamilton menjadi satu-satunya pemandu yang menamatkan setiap perlumbaan musim berkenaan dan mengumpul mata bagi setiap satu daripadanya serta merangkul gelaran juara dunia bagi kali keempat.

    AD: PETRONAS dan pasukan F1 Mercedes-AMG – memacu anda ke depan

    Malah, pemandu British itu masih memegang rekod mata penamat paling konsisten, dengan tidak pernah menamatkan perlumbaan di tempat yang lebih rendah daripada kedudukan kesembilan antara Grand Prix Jepun 2016 hingga ke Grand Prix Monaco 2018. Itu melibatkan 31 perlumbaan dengan prestasi yang menakjubkan.

    Dengan rekod mengagumkan seperti ini, ia sekaligus membuktikan kemampuan PETRONAS untuk membangunkan minyak dan pelincir bertaraf dunia di dalam kemuncak perlumbaan permotoran – ia kini turut menjadi sebuah formula kemenangan yang sebenar.

    Semua kepakaran itu kemudiannya dicurahkan pula bagi menghasilkan barisan produk yang mampu melindungi teknologi kenderaan penumpang moden, seperti enjin turbocaj berkapasiti kecil serta sistem janaan hibrid elektrik termaju, yang juga turut menjadi cerminan kepada jentera Formula 1 yang digunakan hari ini.

    Ringkasnya, PETRONAS dan Mercedes-AMG berjaya mengunjur ke sempadan baru bersama-sama di dalam Formula 1 dan berhasil memberikan barisan produk berkualiti untuk melindungi kereta anda.

    Barisan lengkap bahan api PETRONAS Primax dan pelincir PETRONAS Syntium dibangunkan dari pendekatan perlumbaan yang kritikal. Anda juga berpeluang untuk mencubanya hari ini di semua stesen minyak PETRONAS berhampiran.

     
     
  • BMW Malaysia perkenalkan kempen pembiayaan Full Circle Recharged dan MINI Urban Explorer baharu

    BMW Malaysia telah mengumumkan pengenalan dua kempen pembiayaan baru yang dinamakan sebagai BMW Full Circle Recharged dan MINI Full Circle Urban Explorer. Ia adalah penambah baikan baru kepada skim pembiayaan Full Circle yang ada sekarang, dan ditawarkan oleh BMW Credit Malaysia untuk barisan model BMW dan MINI tempatan.

    BMW Full Circle Recharged adalah satu program pemilikan ekslusif yang dibangunkan khas untuk barisan kenderaan hibrid BMW iPerformance, yang termasuk 330e M Sport, 530e Sport, 740Le xDrive dan X5 xDrive40e M Sport.

    Melalui program ini, orang ramai boleh mendapatkan 330e M Sport dari harga RM2,918 sebulan, 530e Sport dari RM3,908 sebulan, 740Le xDrive dari RM6,668 sebulan dan X5 xDrive40e M Sport dari RM4,718 sebulan. Pemohon yang berjaya juga akan menerima pakej BMW Life Recharged secara percuma, iaitu Fitbit Charge 2 dan beg BMW HoriznStudios 33 liter edisi terhad.

    BMW Malaysia perkenalkan kempen pembiayaan Full Circle Recharged dan MINI Urban Explorer baharu

    Program MINI Full Circle Urban Explorer pula menawarkan model MINI Cooper S Countryman Sports dari harga RM2,698 sebulan. Turut diberi kepada pemohon yang berjaya adalah pembancuh kopi Nanopresso dan jam Fitbit Charge 2.

    Program Full Circle ini diperkenalkan untuk memberikan pelanggan lebih fleksibiliti dan jaminan untuk membiayai kenderaan BMW dan MINI, dan ia menawarkan pelbagai cara pembiayaan untuk pemilikan yang menyeluruh, selain memberikan pengalaman mobiliti yang lebih mudah. Dalam masa sama, nilai kenderaan mereka lebih terjamin sepanjang tempoh yang dipersetujui.

    Melalui Full Circle juga, pemilik dapat menikmati kelebihan kenderaan baru dan maju, tanpa sebarang kepayahan untuk berunding harga apabila mahu menjualnya semula. Kempen Full Circle Recharged ini berlangsung dari sekarang hingga 31 Ogos 2018, dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

     
     
  • Lamborghini Aventador dipanggil semula dikhuatiri boleh terhenti dengan sendiri dalam keadaan tertentu

    Lamborghini Aventador dipanggil semula dikhuatiri boleh terhenti dengan sendiri dalam keadaan tertentu

    Panggilan semula terhadap kenderaan bukanlah hanya berlaku terhadap model-model kenderaan biasa saja. Supercar seperti Lamborghini Aventador pun tak terlepas daripada panggilan semula. Itu sebabkan masalah terhenti dengan sendiri (stalling) di dalam keadaan pemanduan tertentu.

    Menurut CarAdvice, jika situasi itu berlaku, Lamborghini memaklumkan fungsi servo pada stereng dan brake booster berkemungkinan terganggu, selanjutnya akan menyebabkan situasi yang sangat merbahaya kepada pemandu dan juga pengguna jalan raya yang lain.

    Semua versi bagi supercar buatan Itali itu terlibat, termasuk model SV dan S yang lebih baru. Unit edisi istimewa Pirelli dan Anniversario turut terkena tempias sekali. Bagi pasaran global lain, ini termasuk versi Veneno dan Centenario, kerana kedua-duanya dihasilkan dari asas Aventador.

    Pemilik model-model berkenaan akan dihubungi oleh Automobili Lamborghini SpA. Kemaskini terhadap perisian enjinnya akan dilakukan untuk mengatasi masalah itu. Sejumlah 7,000 unit Aventador telah dikeluarkan (setakat Februari 2017), dan masih belum dapat dipastikan berapa unit model terbabit di sini yang turut terlibat.

    Ini merupakan kali pertama panggilan semula besar-besaran yang dilakukan oleh Lamborghini. Februari 2017 lalu, syarikat itu memanggil semula semua unit Veneno dan 5,900 unit Aventador berikutan masalah sistem minyak yang dikhuatiri boleh menyebabkan kebarakan.

     
     
  • Nissan GT-R50 Italdesign – projek sambut ulang tahun

    Nissan GT-R50 Italdesign – projek sambut ulang tahun

    Nissan buat pertama kalinya bekerjasama dengan syarikat kejuruteraan dan rekaan dari Itali, iaitu Italdesign untuk menghasilkan sebuah kenderaan prototaip yang dinamakan sebagai GT-R50 by Italdesign. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, ini adalah sebuah kenderaan yang menggunakan asas daripada GT-R NISMO 2018.

    “Ini adalah satu waktu pertemuan yang jarang berlaku, di mana Italdesign sudah 50 tahun dalam kerja rekaan automotif, dan Nissan juga menyambut ulang tahun GT-R yang ke-50. Jadi untuk menyambut dua waktu bermakna ini, Nissan dan Italdesign telah mereka GT-R istimewa ini.” kata timbalan presiden kanan rekaan global Nissan, Alfonso Albaisa.

    Pada bahagian hadapan, kereta prototaip ini mempunyai elemen berwarna emas yang meliputi hampir keseluruhan bahagian hadapan. Hudnya pula mempunyai bonjolan yang lebih jelas dan lampu LED nipis dipanjangkan. Jika dilihat dari tepi pula, garis bumbungnya telah direndahkan sebanyak 54 mm, dan bukaan udara di belakang tayar hadapan dijadikan lebih jelas dengan warna emas.

    Nissan GT-R50 Italdesign – projek sambut ulang tahun

    Di belakang, ciri lebar kenderaan ini diketengahkan lebih lagi dengan bahagian panel yang lebar, dan tingkap belakang mempunyai garisan yang lebih panjang dan masuk ke dalam berbanding model asal. Untuk lampu, dua bulatan yang sudah menjadi tanda unik GT-R dikekalkan, tapi ia dibina supaya nampak terapung dan berasingan. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan sayap belakang boleh laras.

    Cat yang digunakan untuk kenderaan ini dinamakan sebagai Liquid Kinetic Gray, bersama kemasan Energetic Sigma Gold, manakala rim pula adalah buatan khas yang bersaiz 21×10 di hadapan dan 21×10.5 inci di belakang.

    Masuk ke dalam, Nissan GT-R50 by Italdesign membawa lagi konsep moden dan prestasi tinggi dengan banyak bahagian dibuat daripada gentian karbon, serta balutan Alcantara dan kulit untuk tempat duduk. Ada juga kemasan emas seperti di luar, iaitu pada panel instrumen, tepi pintu dan suis kawalan. Bahagian hab tengah dan spoke stereng dibuat daripada gentian karbon manakala bahagian lain dibalut dengan Alcantara.

    Nissan GT-R50 Italdesign – projek sambut ulang tahun

    Untuk enjin, kereta ini masih menggunakan unit V6 3.8 liter VR38DETT namun telah dipertingkat dengan pengecas turbo spesifikasi lumba GT3 dan intercooler yang lebih besar, crankshaft, piston, connecting rod dan bearing yang lebih tahan lasak, profail camshaft yang diubah, serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang diperelok. Dengan itu, ia mampu menghasilkan sehingga 720 PS dan 780 Nm tork. Turut dipasang adalah transaxle belakang enam kelajuan klac berkembar, serta drive shaft dan differential yang diperkuat.

    Bagi memastikan kenderaan ini dapat melekap dengan baik atas jalan, ia dipasang dengan penyerap boleh laras BILSTEIN DampTronic®I, manakala brek Brembo enam piston di depan dan empat piston di belakang diwarnakan merah. Tayar pula adalah unit Michelin Pilot Super Sport. Kereta ini walaubagaimanapun bukanlah model generasi seterusnya untuk GT-R, tetapi sekadar projek khas.

     
     
  • Tun Mahathir membayangkan kemungkinan hidupkan semula projek kereta ASEAN bersama Indonesia

    Tun Mahathir membayangkan kemungkinan hidupkan semula projek kereta ASEAN bersama Indonesia

    Pada Oktober 2014, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan Malaysia dan Indonesia bakal bekerjasama dalam bidang automatif bagi merealisasikan projek pengeluaran dan pembuatan “Kereta ASEAN” pada masa depan.

    Katanya, projek itu akan tercapai apabila Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut berminat dengan idea Malaysia itu yang bakal menyaksikan pembabitan Proton.

    Malah pada 6 Februari 2015, Proton telah menandatangani memorandum persefahaman dan kerjasama (MoU) dengan PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) berhubung dengan pembangunan dan pembuatan kereta nasional Indonesia.

    Namun selepas itu, projek berkenaan menyepi tanpa sebarang perkembangan. Bagaimana pun, selepas mengambil alih kepimpinan Malaysia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan untuk menghidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran ASEAN.

    Katanya, idea itu pernah diketengahkannya pada Februari 2015 semasa memandu uji sebuah kereta Proton dengan Presiden Indonesia Joko Widodo duduk di bahagian penumpang hadapan, laporan Bernama.

    “Ketika itu, saya bukan lagi Perdana Menteri dan saya memandu 180 kilometer sejam di litar uji Sepang. Bapak Presiden (Jokowi) tidak merungut apa-apa (ketika kereta itu dipandu laju),” kata beliau dalam sidang media bersama-sama Jokowi dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, hari ini.

    Sebelum itu, Jokowi ketika mengimbau pengalaman itu, berkata beliau tidak bimbang kerana yang memandu adalah Dr Mahathir. “Saya tidak takut kerana pemandunya ialah Pak Mahathir,” katanya.

     
     
  • Bugatti Chiron Sport buat penampilan di Singapura

    Bugatti Chiron Sport buat penampilan di Singapura

    The Fullerton Hotel di Singapura tahun ini meraikan ulang tangun ke-90 bangunan itu. Untuk menjadikan sambutan berkenaan lebih bermakna, satu acara sulung dikenali sebagai Fullerton Concours d’Elegance akan berlangsung di situ, bermula 29 June hingga 1 Julai. 90 kereta klasik dan langka ada dipamerkan.

    Tetapi, ada sebuah model yang menarik perhatian turut dipamerkan di sana; Bugatti Chiron Sport (gambar ehsan dari Theophilus Chin). Pertama kali dipertontonkan Mac lalu, model ini memberi tumpuan kepada penggunaan litar berbanding versi standardnya.

    Suspensi yang 10% lebih keras, differential gandar belakang yang dioptimumkan serta fungsi Dynamic Torque Vectoring baru yang mengagihkan tork secara individu kepada semua roda adalah antara perbezaan yang terdapat pada model berkenaan.

    Model Bugatti paling baru ini juga menggunakan lebih banyak bahagian diperbuat daripada gentian karbon, menjadikannya 18 kg lebih ringan berbanding Chiron biasa. Antara bahagian yang menggunakan material lebih ringan adalah seperti stabiliser, penutup intercooler dan pengilap cermin depan.

    Kereta ini juga menggunakan bahagian kaca yang lebih ringan pada cermin belakang serta kemasan ruang ekzos yang lebih ringan. Bagi enjin, ia menggunakan unit yang sama dengan model biasa Chiron, iaitu W16 8.0 liter quad-turbo yang menyalurkan kuasa sebanyak 1,479 hp dan 1,600 Nm tork. Pecutan maksimumnya masih kekal pada 420 km/j dan dari 0-100 km/j pula dicapai dalam masa hanya 2.4 saat.

     
     
  • Perodua terima pensijilan ISO 9001 dan 14001 terkini

    Perodua terima pensijilan ISO 9001 dan 14001 terkini

    Perodua dan anak syarikat sepenuhnya Perodua Sales Sdn Bhd telah diperakui secara rasmi oleh SIRIM dengan versi terkini 2015 ISO (International Organisation for Standardisation) piawaian 9001 dan 14001, menekankan komitmen syarikat terhadap kepuasan pelangggan dan tanggungjawab kepada alam sekitar.

    “Pengiktirafan ISO daripada SIRIM ini amat bermakna buat Perodua kerana ia mengukuhkan visi kami untuk menjadi syarikat yang kompetitif di rantau ini dan membuktikan usaha kami dalam melaksanakan Kaizen, atau penambahbaikan secara berterusan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh semasa upacara penyampaian sijil yang diadakan di Ibu Pejabat Perodua di Sungai Choh, semalam.

    Turut hadir ialah Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn Bhd, Mohd Azanuddin Salleh yang menyampaikan sijil kepada Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

    Perodua mula melaksanakan piawaian ISO pada tahun 1998. ISO 9001 telah diperluaskan ke cawangan jualan dan pusat servis Perodua secara berperingkat sejak tahun 2005, bagi menyeragamkan pengalaman pelanggan (Customer Experience) di seluruh negara. Kini, semua cawangan Perodua telah diperakui ISO.

    Perodua terima pensijilan ISO 9001 dan 14001 terkini

    Sejak permulaan, Perodua telah berjaya menjalani satu penaiktarafan ISO 14001 dan tiga penaiktarafan ISO 9001, termasuk pensijilan hari ini yang merangkumi 39 cawangan jualan dan 55 pusat servis di seluruh negara, termasuk 35 jabatan di Ibu Pejabat Perodua.

    Menurut Aminar, “Permintaan pasaran dan industri sentiasa berubah, dan amat penting buat kami untuk meningkatkan piawaian dalam prosedur kerja agar dapat menyesuaikan diri dan bertindak mengikut perubahan tersebut. Sekiranya kita relevan di mata pelanggan, maka kita dapat mengatasi jangkaan mereka. Dengan pensijilan yang telah dinaiktaraf ini, kami berharap agar kami dapat terus mengurangkan jurang indeks kepuasan di antara Perodua dan pesaing antarabangasa lain yang diiktiraf.”

    Tambahnya lagi, Perodua juga akan memperluaskan piawaian ini kepada rakan-rakan niaganya pada masa akan datang, sama ada pengedar atau pembekal.

    “Kami akan memastikan rakan-rakan niaga dan para pembekal kami mematuhi amalan hijau seperti yang dikehendaki dalam piawaian ISO, termasuk dari segi mendapatkan sumber bahan yang lebih mesra alam,” ujarnya.

    Selain memastikan kepuasan pelanggan dan pengurusan alam sekitar ke tahap yang lebih tinggi, pelaksanaan ISO juga telah membawa kepada penambahbaikan dalam proses dan komunikasi dalaman Perodua, termasuk proses penghantaran kepada pelanggan.

     
     
  • McLaren 600LT paling ganas bagi Sport Series, 600 PS

    McLaren 600LT paling ganas bagi Sport Series, 600 PS

    McLaren 600 LT adalah model terbaru yang didedahkan oleh pengeluar yang berasal dari British ini, dan ia juga adalah McLaren keempat yang menggunakan nama ‘LT’ atau ‘Longtail’. Model lain yang menggunakan nama LT sebelum ini termasuk McLaren F1 GTR LT serta 675LT Coupe dan Spider.

    Seperti juga model-model LT tersebut, 600LT ini menerima pelbagai tambahan kelengkapan untuk memberikan lebih kepuasan kepada pemandu serta dinamik yang lebih seperti kereta lumba. Dalam kata mudah, ia adalah kereta paling ekstrem dalam barisan Sport Series permulaan yang ditawarkan oleh syarikat itu. Jika mahu sesuatu yang lebih, pelanggan perlu pergi kepada Super Series yang termasuk model 720S.

    Banyak fakta dan nombor yang berbeza bagi kenderaan ini, tetapi kita mulakan dulu dengan rupanya. 600LT ini mungkin nampak seperti 570S Coupe yang ditambah serinya, tetapi McLaren memberitahu lebih 23% bahagian adalah berbeza dan badan 600LT 74 mm lebih panjang berbanding 570S Coupe.

    McLaren 600LT paling ganas bagi Sport Series, 600 PS

    Penyebab utamanya adalah ia menggunakan badan gentian karbon baru yang termasuk splitter hadapan, side sill, tambahan diffuser dan sayap belakang yang tetap – semua ini memberikan ciri aerodinamik lebih baik. Bahagian selebihnya daripada 23% itu turut digunakan untuk mengurangkan berat kepada 1,247 kg, iaitu 96 kg lebih ringan berbanding 570S Coupe.

    Meskipun dengan semua perubahan ini, agak sukar untuk tidak membandingkan 600LT dengan 570S. Untuk memastikan perbezaannya lebih jelas, 600LT menggunakan ekzos yang keluar di atas, hanya beberapa sentimeter di belakang pemandu dan bunyinya pasti lebih mudah didengari dari dalam kabin.

    Bunyi itu akan datang daripada enjin V8 3.8 liter twin turbo M838T versi lebih berkuasa, dengan kemampuan keseluruhannya berjumlah 600 PS dan 620 Nm tork. Kedua-dua jumlah ini melebihi apa yang ditawarkan oleh 570S, dan penyebab utamanya adalah sistem penyejukan yang diperbaik dan pengurangan back pressure pada sistem ekzos.

    Untuk memastikan prestasi lain juga padan dengan kuasa yang dihasilkan, 600LT didatangkan terus dengan tayar Pirelli P Zero Trofeo R, suspensi double-wishbone aluminium, brek daripada 720S, stereng yang lebih cepat, tindak balas pedal lebih pantas dan tapak enjin lebih kuat.

    Kelengkapan yang lebih fokus kepada prestasi trek ini turut dibawa ke bahagian kabin di mana ia menggunakan tempat duduk lumba binaan gentian karbon dengan balutan Alcantara daripada model P1. Mereka yang lebih mampu boleh memilih pemegang bawah ringan daripada Senna ataupun pelbagai barangan lain daripada McLaren Special Operations (MSO).

    Berkenaan harga, McLaren 600LT dijual pada harga 185,500 pound sterling (RM980,977), dan setip unit akan dipasang dengan tangan di pusat pengeluaran McLaren di Woking. Menurut McLaren, model ini akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad dan pengeluaran akan berjalan cuma dalam masa 12 bulan, bermula Oktober 2018.

     
     
  • Google Maps untuk motosikal diperkenalkan di M’sia

    Google Maps untuk motosikal diperkenalkan di M’sia

    Selepas tiga bulan dilaksanakan di Indonesia, Google kini memperkenalkan mod motosikal di Malaysia – mod navigasi baharu yang kini boleh didapati pada versi terkini Google Maps, bersama dengan mod pengangkutan lain yang ditawarkan oleh perkhidmatan pemetaan web tersebut.

    Mod ini dikhususkan untuk pengguna motosikal yang menggunakan Google Map untuk ke destinasi yang dituju. Bukan itu saja, ia juga memudahkan penetapan waktu perjalanan yang lebih tepat – sebelum ini Maps akan menganggarkan perjalanan dan masa ketibaan penunggang motosikal berdasarkan gabungan waktu berjalan dan memandu.

    Ciri mod motosikal ini akan memberikan masa perjalanan yang lebih tepat berdasarkan kelajuan tunggangan. Disebabkan lorong motosikal dipisahkan dari lorong utama, motosikal kini boleh bergerak dengan kelajuan berbeza, seperti biasa, pastinya lebih pantas berbanding kenderaan empat roda, dalam kesesakan trafik. Motosikal juga mempunyai perbezaan yang spesifik – ada segmen jalan yang motosikal tidak dibenarkan menggunakannya.

    Google Maps untuk motosikal diperkenalkan di M’sia

    Sama seperti mod memandu, ketepatan masa mod motosikal dan anggaran perjalanan meningkatkan lebih banyak orang menggunakannya. Fungsi navigasi berasaskan mercu tanda yang menawarkan arah dengan mercu tanda penting turut disertakan. Ini dapat membantu penunggang untuk menunjukkan arah dan mengingati laluan mereka dengan cara yang lebih baik sebelum memulakan perjalanan.

    Mod motosikal ini pertama kali dilancarkan di India pada hujung tahun lepas, dan ia adalah peningkatan terbaru yang diperkenalkan pada aplikasi Maps, diikuti pengenalan tambahan beberapa ciri kecil yang lain pada awal bulan ini.

     
     
  • Kerajaan mungkin perkenalkan sijil pembatalan pendaftaran untuk tangani masalah kenderaan terbiar

    Kerajaan mungkin perkenalkan sijil pembatalan pendaftaran untuk tangani masalah kenderaan terbiar

    Kementerian pengangkutan sedang mencari penyelesaian terbaik untuk menangani masalah kenderaan usang dan terbiar, yang buat masa ini tidak ada peruntukan dalam undang-undang untuk menghapus dan melupuskannya. Justeru, kerajaan mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan sijil pembatalan pendaftaran bagi kenderaan terabai yang berdaftar ini, laporan Malay Mail.

    “Oleh itu, saya telah meminta agar JPJ mengemukakan cadangan untuk melaksanakan mekanisme pembaharuan perakuan. Dengan mekanisme sijil pembaharuan pendaftaran ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meneruskan pelaksanaan melupuskan kederaan sebegini bagi menyelesaikan masalah yang sedang berlaku di kawasan padat penduduk,” ujar menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Loke berkatalangkah ini perlu diambil memandangkan aduan dari orang awam banyak diterima oleh PBT, terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor. “Kebanyakan kenderaan sebegeini, yang masih didaftarkan, hanya dibiarkan begitu sahaja di kawasan perumahan, yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan akibat logam yang berkarat,” ujarnya.

    Tahun lalu, dilaporkan sebanyak lebih lapan juta kenderaan usang yang terbiar di seluruh negara, dan menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, pihaknya merancang untuk mengkaji semula undang-undang bagi memberi kuasa kepada PBT bagi melupuskan kenderaan tersebut. Pelan yang dicadangkan ialah membuang kenderaan terbabit dan menempatkannya di kawasan yang diwartakan.

     
     
  • Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Ini dia pengganti bagi model paling tinggi dalam barisan kenderaan Aston Martin; sebelum ini Vanquish menjadi taruhan, tetapi kini model baru DBS Superleggera akan mengambil alih peranan itu. Melalui model ini, Aston Martin menggabungkan dua nama yang cukup dikenali – DBS miliknya serta Superleggera dari Itali (yang bermaksud “super lightweight”).

    DBS Superleggera ini terus menggunakan enjin V12 5.2 liter turbocas berkembar, tetapi dengan output kuasa pada tahap 715 hp pada 6,500 rpm dan 900 Nm tork antara 1,800 rpm hingga 5,000 rpm. Ini merupakan pertambahan sebanyak 85 hp dan 200 Nm tork berbanding model DB11 AMR.

    Menyalurkan kuasa itu ke roda belakang ialah transmisi ZF lapan-kelajuan. Lain-lain angka prestasi yang akan membuatkan keterujaan ialah pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.4 saat, sementara pecutan maksimum mencapai tahap 340 km/j.

    Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Kerangkanya menggunakan struktur aluminium ringan yang diperkemas dari DB11, dengan sistem suspensi double wishbone di depan serta jenis multilink di belakang. Ciri penyerap hentak adaptif, limited-slip differential mekanikal dan torque vectoring dengan cara membrek menyumbang kepada kemantapan pengendaliannya. Ia menggunakan brek karbon seramik dan tayar Pirelli khusus pada rim 21-inci yang digunakan.

    Bahagian luaran kereta menggunakan gentian karbon sepenuhnya. Rekaan yang ditampilkan juga sarat dengan imej sporty yang garang; gril besar, lampu utama LED yang lebih tirus serta alur dan ruang udara pada bonet depan membentuk imejnya yang tersendiri.

    Aston Martin DBS Superleggera tampil dengan 715 hp

    Liang udara pada bahagian splitter depan berfungsi untuk mengalirkan udara ke bawah kenderaan dan menyejukkan brek. Begitu juga bahagian masukan udara pada bahagian lengkok tayar (wheel arch), ia bertujuan untuk memberikan kestabilan ketika dalam kelajuan tinggi. Rekaan aeroblade dan diffuser berkembar gaya F1 yang terletak di belakang juga menyumbang kepada daya downforce yang lebih baik.

    Ruang dalaman juga menampilkan rekaan dan kemasan yang padu. Material kulit Alcantara digunakan pada tempat duduk. Diikuti juga oleh stereng Sport Plus dengan bahagian atas dan bawah yang rata. Tidak ketinggalan ialah sistem infotainmen yang datang dari Mercedes-Benz yang boleh dikawal melalui tombol serta skrin di tengah. Ciri seperti keyless entry, sistem pemantauan tekanan tayar, kamera 360-darjah dan Park Assit juga di datangkan sebagai standard. Harganya? Sekitar £225,000 (RM1.2 juta).

     
     
  • SPYSHOT: Bahagian dalam Range Rover Evoque generasi baru terdedah, ada kelengkapan seperti Velar

    SPYSHOT: Bahagian dalam Range Rover Evoque generasi baru terdedah, ada kelengkapan seperti Velar

    Range Rover Evoque mungkin adalah model paling popular keluaran Land Rover dalam tahun terdekat ini, terutama sekali selepas dijual lebih 600,000 unit sepanjang enam tahun ia berada dalam pasaran (sehingga Mei 2017). Berita yang tersebar model generasi kedua akan muncul tahun depan, dan di sini kami ada set gambar bahagian dalamnya yang belum pernah dilihat sebelum ini.

    Sementara kita sudah tahu Evoque akan menerima penggayaan yang hampir seperti Velar, bahagian dalamnya pula masih tidak jelas. Dalam gambar ini, beberapa bahagian utama boleh dilihat, tetapi masih dihalang sedikit oleh pemandu yang sedang mengujinya.

    Paling jelas adalah bahagian tengah papan pemuka yang kini mempunyai skrin sesentuh infotainmen yang juga hampir seperti Velar. Skrin ini mungkin memberikan akses kepada pelbagai fungsi multimedia dan juga navigasi GPS. Di bawahnya, terdapat satu lagi panel sesentuh (banyak kesan cap jari dalam gambar ini) dengan dua tombol untuk mengawal pendingin hawa.

    Land Rover juga nampaknya seperti sudah tidak menggunakan tombol untuk memilih gear seperti pada model sebelum ini, dan pada model yang diuji ini ia menggunakan tombol panjang seperti biasa. Walaubagaimanapun, kelilingnya ada panel plastik yang ringkas dan kita tidak mengetahui mungkin nanti ia akan ditukar bagi model produksi.

    SPYSHOT: Bahagian dalam Range Rover Evoque generasi baru terdedah, ada kelengkapan seperti Velar

    Pada bahagian stereng, unit ujian ini dipasang dengan stereng yang lengkap bersama dua pod kawalan – bahagian kiri untuk mengawal fungsi bebas tangan dan tahap bunyi manakala bahagian kanan untuk kawalan adaptive cruise control dan lane keeping assist.

    Evoque generasi baru ini, yang menggunakan nama kod L551 dikhabarkan bakal menerima banyak perubahan termasuk platform sama seperti Discovery Sport dan Jaguar E-Pace. Jika benar, ia mungkin mempunyai saiz lebih besar berbanding Evoque L538 sekarang.

    Model permulaan bagi Evoque generasi baru ini mungkin hanya menggunakan pacuan dua roda, manakala varian lebih tinggi menggunakan sistem pacuan empat roda. Ia juga mungkin ditawarkan dalam variasi enjin 2.0 liter petrol dan diesel, bersama padanan kotak gear automatik sembilan kelajuan ZF.

     
     
  • Op Selamat 13/2018 – Kes kemalangan jalan raya meningkat, tetapi jumlah yang maut menurun 1.7%

    Op Selamat 13/2018 – Kes kemalangan jalan raya meningkat, tetapi jumlah yang maut menurun 1.7%

    Op Selamat 13/2018 yang berakhir pada hujung minggu lalu, sejumlah 22,411 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan, menyaksikan sedikit peningkatan sebanyak sembilan kes, berbanding 22,402 kes pada musim yang sama tahun lalu.

    Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, bagaimana pun, kemalangan maut yang direkodkan sepanjang Ops Selamat 13/2018 ini menunjukkan penurunan sebanyak empat kes atau 1.7% berbanding Op Selamat 11/2017 yang mencatatkan 257 kes, laporan Harian Metro.

    “Analisis terhadap Op Selamat 13 menunjukkan faktor terbabas sendiri menjadi punca utama kemalangan maut, dengan catatan sebanyak 142 kes. Faktor lain yang menjadi penyumbang kemalangan maut adalah melawan aliran trafik, cuba memotong kenderaan, cuai ketika keluar atau masuk simpang, mengekori terlalu rapat dan membuat pusingan U,” katanya kepada pemberita pagi ini.

    Beliau turut berkata, pengguna motosikal menjadi penyumbang utama bagi kes kematian Op Selamat kali ini yang mencatatkan 148 kes, diikuti pengguna kereta, pejalan kaki, pengguna lori dan pengguna van.

    Katanya lagi, sebanyak 343,863 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Selamat 13 yang merangkumi 241,791 saman Pol 170A dan 102,072 saman Pol 257.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025