Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GST-Sifar : Harga kereta Toyota di M’sia lebih murah!

    GST-Sifar : Harga kereta Toyota di M’sia lebih murah!

    Selepas kerajaan mengumumkan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 16 Mei lalu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd terus mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan harga baharu bagi barisan model Toyota di negara ini.

    Menurut Presidennya Ravindran K, ia adalah bagi memberi jaminan bahawa sebarang pelepasan dan faedah daripada struktur cukai baharu akan diteruskan sepenuhnya kepada para pelanggannya dan sebarang semakan harga akan dipertimbangkan demi kepentingan pelanggannya.

    Dengan pemansuhan GST, kesemua model Toyota secara automatiknya menjadi lebih murah. Senarai harga di bawah menunjukkan harga atas jalan (OTR) baharu tanpa insurans, dan kami turut paparkan harga yang termasuk GST sebagai perbandingan.

    Jika anda seorang yang sangat peka dan sanggup mengeluarkan kalkulator, pasti akan mendapati perbezaan harga tidak betul-betul 6%, tetapi tiada sebarang kenaikan harga jualan sedia ada. Bukan itu sahaja, perbezaannya bukan menjadi 6% secara langsung berdasarkan perbandingan harga OTR, dengan dan tanpa GST.

    Ini adalah kerana GST 6% hanya diaplikasikan pada harga jualan kereta (jika ia adalah model CBU, ia turut melibatkan yuran pemeriksaan Puspakom), sebelum penetapan harga lain termasuk cukai jalan, yuran pendaftaran dan sebagainya.

    GST-Sifar : Harga kereta Toyota di M’sia lebih murah!

    Klik untuk besarkan

    Semakan terhadap senarai harga berasaskan GST sedia ada mendedahkan bahawa tiada perubahan pad aharga jualan untuk semua model Toyota- seperti yang disenaraikan sebelum pengumuman 0% dilakukan, dan untuk angka terkahir harga baharu, yang disemak semula dengan memansuhkan kadar GST seperti persamaan dan menambah selebihnya untuk mendapatkan harga akhir bagi OTR (untuk pendaftaran peribadi individu).

    Untuk lebih spesifik, ia lebih kurang begini; harga bagi Vios 1.5J transmisi manual, yang ditawarkan harga RM74,980 dengan GST, kini menjadi RM70,752, iaitu lebih murah sebanyak RM4,228. Bagi C-HR pula, buat masa ini harganya RM145,500, bakal menjadi RM137,700, atau RM8,200 lebih murah berbanding ada GST.

    Selain itu, Alphard 3.5 Executive Lounge, yang diletakkan harga RM540,800, bakal menjadi RM510,343 bermula 1 Jun ini, menjadikannya RM30,457 lebih murah tanpa GST! Bunyi macam menarikkan, walau bagaimana pun, ini bukanlah harga kekal kerana SST yang bakal mengambil alih GST juga bakal mengubah semula harga kenderaan di Malaysia.

     
     
  • Honda Accord gen. ke-10 – versi pemanduan sebelah kanan masih belum ada, tiba di M’sia lebih lambat?

    Honda Accord gen. ke-10 – versi pemanduan sebelah kanan masih belum ada, tiba di M’sia lebih lambat?

    Walaupun telah membuat penampilannya di Detroit pada Julai tahun lalu, sehingga kini Honda Accord generasi kesepuluh masih lagi belum dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan, menurut laporan portal automotif Australia, CarAdvice.

    Ini kerana jualan sedan segmen-D tersebut dilihat merudum kerana permintaannya yang kini berkurangan, disebabkan kebanyakkan pasaran penting kini lebih berminat terhadap model-model SUV. Oleh itu, Honda kini memperlahankan produksi Accord untuk pasaran Amerika dan China, sementara di Australia sendiri jenama tersebut kini lebih menumpukan kepada jualan Civic, HR-V dan CR-V.

    Bagi pasaran Australia, Accord tidak dihasilkan secara pemasangan tempatan, sebaliknya mereka bergantung kepada kilang Honda di Thailand memandangkan kilang Honda di Jepun juga tidak lagi memproduksi sedan tersebut. Jadi, Honda Australia menjangkakan mereka hanya akan menerima Accord generasi baharu berkenaan paling cepat pada lewat tahun 2019.

    Honda Accord gen. ke-10 – versi pemanduan sebelah kanan masih belum ada, tiba di M’sia lebih lambat?

    “Rancangan kami untuk Accord adalah untuk melancarkannya pada tahun hadapan, kemungkinan besar lewat tahun hadapan. Pada peringkat sekarang hanya model pemanduan sebelah kiri yang ada,” kata bos Honda Australia Stephen Collins.

    “Kami fikir nama Accord telah berada dalam pasaran dalam masa berberapa dekad, ia merupakan sedan flagship kami, walaupun segmen tersebut terus jatuh, kami masih fikir ia merupakan model yang penting.

    “Ia mengambil masa kami… kami lebih suka untuk memperolehinya dalam masa yang lebih cepat tetapi model pemanduan sebelah kanan masih lagi belum terdapat di mana-mana. Kami akan mendapatkannya secepat yang mungkin.”

    Honda Accord gen. ke-10 – versi pemanduan sebelah kanan masih belum ada, tiba di M’sia lebih lambat?

    Sekiranya Honda Australia sukar untuk mendapatkan Accord ini dalam masa terdekat, sudah tentu pasaran lain yang menggunakan pemanduan sebelah kanan termasuk Malaysia juga akan menerimanya lebih lambat dari biasa. Pada pasaran tempatan, Accord generasi kesembilan sudahpun dijual hampir lima tahun, dan menerima fasa facelift pada tahun 2016. Hujung tahun lalu, ia sekali lagi menerima tingkat taraf yang melibatkan sistem pemanduan Honda Sensing.

    Bulan lalu, Kilang Honda Motor Co. di Ohio, Amerika Syarikat dilaporkan terpaksa menghentikan produksi Accord generasi baharu ini selama 11 hari dari April hingga Julai ini kerana jualan sedan tersebut dilihat tidak memberangsangkan serta menyebabkan lambakan stok sedia ada. Pada 1 Mac, paras inventori Accord dicatatkan diparas bekalan untuk 104-hari, satu angka yang agak tinggi dalam mana-mana standard.

    Honda Accord generasi kesepuluh ini telah pun diperkenalkan di Amerika Syarikat tahun lalu. Selain dari bentuknya yang lebih agresif, model ini juga kini dijana dengan dua pilihan enjin turbo iaitu 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 192 hp/260 Nm dan juga 2.0 liter DOHC VTEC turbo (diambil dari Honda Civic Type R) berkuasa 252 hp/370 Nm – versi paling berkuasa ini turut hadir dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

    GALERI: Honda Accord 2018

     
     
  • BMW M5 F90 dilancarkan di Malaysia, bermula RM943k

    BMW M5 F90 dilancarkan di Malaysia, bermula RM943k

    Kurang setahun selepas penampilan pertama secara rasmi diperingkat global, BMW M5 F90 serba baru kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Model yang telah dinobatkan sebagai pemenang bagi anugerah Kereta Prestasi Dunia 2018 ini menggantikan M5 F10 dari generasi terdahulu, dan hadir dengan beberapa ciri yang pertama kali ditampilkan bagi model berkenaan.

    Kita mulakan dengan harganya terlebih dahulu. Untuk pasaran tempatan, BMW M5 F90 ini dijual pada harga RM942,759 atas jalan tanpa insurans. Model ini hanya akan ditawarkan melalui pengedar-pengedar BMW bermula 1 Jun 2018, maka harga yang dinyatakaan ini ialah tanpa GST. Turut disertakan sekali ialah jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma, jaminan tayar dua-tahun, bantuan tepi jalan dan capaian kepada aplikasi Loyalty+.

    Model prestasi terbaru BMW ini dijanakan oleh enjin S63B44T4 4.4 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 600 hp dari 5,600 hingga 6,700 rpm dan tork 750 Nm antara 1,800 dan 5,600 rpm. Semua kuasa disalurkan menerusi kotak gear automatik M Steptronic lapan-kelajuan ke sistem pacuan semua roda M xDrive – kedua-dua ciri ini adalah yang pertama digunakan bagi jentera M selain daripada SUV. Pecutan dari sifar ke 100 km/j boleh dicapai dalam masa 3.4 saat.

    BMW M5 F90 dilancarkan di Malaysia, bermula RM943k

    Enjin ini datang dengan tiga mod maklum balas (Efficient, Sport dan Sport Plus). Kotak gear yang digunakan pula adalah termasuk dengan sistem Drivelogic BMW dengan tiga mod, dan mampu memberikan masa pertukaran gear yang singkat jika diperlukan, seperti ketika di dalam litar.

    Satu lagi ciri yang pertama kali diperkenalkan untuk model ini ialah sistem pacuan semua roda M xDrive yang berfungsi bersama Active M Differential dan perisian pemanduan dinamik khusus M. Dengan sistem pacuan yang lebih cenderung ke belakang, pemandu boleh menetapkan konfigurasi berbeza bergantung kepada keadaan sistem DSC semasa (On, M Dynamic Mode dan Off) serta mod M xDrive (4WD), 4WD Sport dan 2WD).

    Mod 2WD pula adalah dari pacuan roda belakang, menjadikan M5 serba baru ini kereta pertama yang menawarkan kelebihan dari kedua-dua sistem pacuan berkenaan. Tetapi, dalam mod ini, sistem DSC akan dinyah-aktif – kemahiran memandu yang lebih tinggi adalah diperlukan untuk mengendalikannya dalam mod berkenaan.

    Dari segi prestasi, pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa hanya 3.4 saat, sementara pecutan ke 200 km/j pula memerlukan 11.1 saat. Laju maksimum yang boleh dicapai ialah 250 km/j, dan penggunaan minyaknya pula didakwa pada kadar 10.5 liter bagi setiap 100 km.

    Naik taraf casis juga diberikan pada model M5 ini berbanding model 5 Series G30 biasa yang menjadi asasnya. Antaranya ialah kehadiran sistem stereng M Servotronic dan suspensi adaptif M dengan tiga tetapan berbeza (Comfort, Sport dan Sport Plus), palang anti-olengan yang lebih teguh, tambahan X-brace besi, aluminium transverse struts, mounting yang lebih keras dan banyak lagi.

    Ciri standard yang lain antaranya ialah brek M dengan kaliper enam-piston di depan dan kaliper piston tunggal terapung di bahagian belakang yang dipadankan dengan cakera brek berliang. Jika perlu untuk dinaiktaraf, BMW Group Malaysia menawarkan brek karbon seramik M pada harga RM95,000, yang 23 kg lebih ringan.

    Kemasan di luar pula antaranya terdiri daripada bumbung buatan plastik yang diperkukuh dengan gentian karbon (CFRP), kemasan Shadow Line berkilat BMW Individual, spoiler belakang dan perincian khusus bagi lencana M yang lain. Roda yang digunakan ialah dari jenis aloi ringan M bersaiz 20-inci.

    Bahagian dalam pula turut disertai oleh ciri-ciri seperti sistem navigasi dengan skrin sesentuh 10.25-inci, perkhidmatan BMW ConnectedDrive, kawalan pergerakan BMW Gesture Control, sistem bunyi Harmon Kardon dengan amplifier 600-watt serta 16-pembesar suara dan kamera undur.

    Ia juga hadir dengan barisan sistem keselamatan yang mengkagumkan sebagai ciri standard, yang terdiri daripada Dynamic Stability Control, Automatic Stability Control, Dynamic Brake Control dan Cornering Brake Control – ini adalah tambahan kepada sistem keselamatan sedia ada yang lain.

    Turut ditawarkan ialah BMW Display Key, kemasukan tanpa kunci, butang Push/Start, kawalan suhu empat-zon, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop/Go, tirai matahari belakang berkuasa, pencahayaan lampu suasana 11-warna, paparan utama, bantuan parkir dan bukaan but berkuasa automatik tanpa menggunakan tangan.

    Selain daripada ciri pilihan brek seramik, M5 ini juga hadir dengan pakej pilihan yang lain seperti Performance Pack pada harga RM30,000. Ini akan didatangkan dengan penutup enjin gentian karbon, tali keledar M dan sistem ekzos M.

    Turut ditawarkan secara berasingan ialah Advanced Safety Pack pada harga RM15,000, yang datang dengan Driving Assistant Plus. Akhir sekali, Premium Entertainment Pack untuk menggantikan set Harman Kardon standard dengan sistem dari Bowers and Wilkins – pada harga RM55,000, lengkap dengan sistem hiburan untuk tempat duduk belakang.

    Pilihan warna yang ditawarkan ialah Marina Bay Blue metalik, Donington Grey metalik dan Singapore Grey metalik. Pesaing paling hampir BMW M5 ini ialah Mercedes-Benz AMG E 63 S 4Matic+ yang dijual pada harga bermula RM998,888. Jika anda inginkan maklumat dan perincian lanjut berkaitan model ini, layari juga CarBase.my.

     
     
  • Proton tawar skim harga sementara – baucar kepada pelanggan bagi jualan, tempahan dari 16-31 Mei

    Proton tawar skim harga sementara – baucar kepada pelanggan bagi jualan, tempahan dari 16-31 Mei

    Proton turut menyambut baik pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. Dalam kenyataan yang dihantar sebentar tadi, Proton telah memutuskan untuk menawarkan skim harga sementara bagi memastikan pelanggannya mendapat faedah daripada perubahan dasar tersebut.

    Menurut Proton, berkuat kuasa serta merta, semua kereta jenama syarikat ini yang dijual dan didaftarkan dari 16 hingga 31 Mei 2018 akan diberi baucar perkhidmatan yang bersamaan dengan nilai perbezaan antara harga kereta semasa dan baharu selepas kadar sifar GST berkuatkuasa.

    Di samping itu, Khidmat Pelanggan Proton turut menawarkan diskaun 6% bagi servis berkala (kos pekerja dan pertukaran alat-alat ganti yang terjadual sahaja) kepada semua pemllik yang membawa kereta mereka untuk diservis di pusat servis yang diiktiraf. Inisiatif ini akan bermula pada 19 sehingga 31 Mei 2018 dan pelanggan yang menghantar kereta mereka untuk diservis dari 16 hingga 18 Mei 2018, akan diberi diskaun 6% yang boleh digunakan pada servis akan datang (tertakluk kepada resit servis terdahulu).

    Tawaran yang diberikan ini adalah pertambahan kepada tawaran sedia ada iaitu promosi Kosong-kosong di mana pelanggan yang membeli Proton Iriz (varian Eksekutif dan Premium), Ertiga (semua varian) dan Exora (semua varian) yang membuat pinjaman selama sembilan tahun bersama Hong Leong Bank akan layak mendapat pembiayaan tanpa faedah untuk tahun pertama. Manakala pelanggan yang memilih Saga atau Persona dan membuat pembiayaan pembelian selama tujuh tahun dengan PROTON Commerce layak menikmati ansuran tiga bulan percuma atas pinjaman mereka, tertakluk kepada terma dan syarat.

    “Proton menyokong usaha kerajaan Malaysia yang baharu untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Walaupun GST berkadar sifar hanya berkuatkuasa pada 1 Jun, kami telah memutuskan untuk memberikan ganjaran kepada pelanggan sebagai tanda terima kasih di atas sokongan mereka dan bersempena dengan bulan Ramadhan,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton.

     
     
  • Langkah kerajaan berkenaan konsesi tol akan diumumkan minggu hadapan, kata Zeti Akhtar Aziz

    Langkah kerajaan berkenaan konsesi tol akan diumumkan minggu hadapan, kata Zeti Akhtar Aziz

    Majlis Penasihat Kerajaan dijangka bakal membuat pengumuman berkenaan konsesi tol seluruh negara minggu hadapan, kata salah seorang ahli majlis berkenaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam laporan Malay Mail.

    Bekas gabenor Bank Negara berkenaan ditemui selepas berberapa siri taklimat dan mensyuarat yang diadakan hari ini, dan beliau berkata Majlis Penasihat kini sedang dalam usaha untuk bekerjasama dengan semua pemegang kepentingan dan berusaha keras bagi mencari jalan penyelesian terbaik.

    “Keputusan akan dilakukan secepat mungkin kerana mereka (pemegang kepentingan) sepatutnya perlu kembali kepada kami minggu hadapan. Usaha adalah sangat, sangat tegang buat masa sekarang.”

    “Kesemua kami adalah sangat komited untuk hadir dengan penyelesaian yang memberikan faedah terbaik untuk semua rakyat Malaysia yang menantikan perkara yang lebih baik. Kami harap kami dapat merealisasikannya,” kata Zeti kepada wartawan.

    Selain Zeti, majlis penasihat tersebut turut dianggotai oleh bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas presiden dan CEO Petronas Tan Sri Hassan Marican, hartawan Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi Professor Jomo Kwame Sundaram. Pemansuhan tol ini merupakan salah satu perkara yang dinyatakan dalam manifesto pilihanraya umum ke-14 Pakatan Harapan.

     
     
  • Penetapan harga minyak mingguan ditamatkan – PM

    Penetapan harga minyak mingguan ditamatkan – PM

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sistem penetapan harga minyak secara mingguan, yang mula dilaksanakan sejak Mac 2017, akan ditamatkan, sambil menambah perubahan harga secara mingguan itu adalah tidak elok untuk pengendali stesen minyak dan juga pengguna. Beliau menjawab soalan daripada pihak media dalam mesyuarat majlis Pakatan Harapan yang baru selesai.

    Dalam sidang media pada petang semalam, Mahathir berkata harga minyak akan terus kekal, tanpa mengulas adakah mekanisma penetapan harga secara mingguan akan dimansuhkan. “Tiada penurunan atau peningkatan, jika harga minyak global naik, kerajaan akan memberi subsidi,” ujarnya. Semalam merupakan Rabu pertama sejak Pakatan Harapan menang besar dalam pilihan raya umum.

    Ini bermakna harga minyak semasa, yang ditetapkan oleh kerajaan terdahulu, akan dikekalkan sehingga notis selanjutnya. Sehingga kini, harga tersebut tidak berubah selama tujuh minggu berturut-turut.

    Harga semasa bagi petrol RON 95 ialah RM2.20 seliter dan RON 97 pula RM2.47 seliter. Manakala diesel Euro 2M pula berharga RM2.18 seliter, manakala Euro 5 pula RM2.28 seliter. Kali terakhir harga minyak berubah ialah pada minggu ke-empat pada Mac lalu, dengan menyaksikan peningkatan sebanyak 10 sen bagi semua jenis minyak dan gred.

     
     
  • VIDEO: Bosch sedang bangunkan sistem keselamatan elak motosikal jatuh akibat pasir/minyak di selekoh

    Bosch sememangnya antara syarikat utama yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem keselamatan motosikal. Pada masa ini, sistem brek ABS serta Motorcycle Stability Control (MSC) oleh Bosch menjadi pilihan utama bagi pengeluar, dan syarikat itu berterusan komited untuk menghasilkan pelbagai teknologi baru.

    Antara yang semakin hampir dilengkapkan pada motosikal produksi adalah sistem bantuan berasaskan radar. Dengan adanya radar ini, tiga lagi sistem keselamatan dan bantuan penunggang dapat digunakan iaitu Adaptive Cruise Control (ACC), amaran perlanggaran dan pemerhati titik buta. Antara jenama yang disebut bakal menggunakan sistem ini adalah KTM dan Ducati.

    Namun, ada satu lagi teknologi baru yang cukup menarik perhatian. Bosch sedang membangunkan satu sistem untuk mengelakkan motosikal jatuh waktu mengambil selekoh kerana permukaan jalan yang licin, sama ada disebabkan tumpahan minyak, pasir/batu halus, lumut mahupun daun-daun basah.

    VIDEO: Bosch sedang bangunkan sistem keselamatan elak motosikal jatuh akibat pasir/minyak di selekoh

    Seperti yang diketahui, keadaan sebegini memang ditakuti oleh penunggang dan pada kebanyakan masa, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengelakkan motosikal daripada jatuh. Bagi penunggang yang berpengalaman atau motosikal tidak bergerak laju, masih ada cara untuk menyelamatkannya tetapi ia memerlukan reaksi yang pantas dan cara yang betul.

    Bosch kini sedang melakukan ujian untuk menyerahkan tugas ini kepada sistem elektronik. Idea utama dalam projek yang digelar sliding mitigation research ini adalah untuk memberikan daya tolakan tambahan dari tepi, seterusnya menyelamatkan motosikal daripada terjatuh.

    Apabila ada gelinciran dikesan pada tayar motosikal, dan ia melebihi tahap tertentu, satu daya tolakan daripada gas dikeluarkan pada bahagian tepi motosikal dan ia akan menjadikan motosikal tegak untuk seketika. Pengumpul gas yang digunakan pada sistem ini adalah sama seperti yang digunakan pada beg udara kereta. Saksikan video di atas untuk melihat bagaimana ia berfungsi.

     
     
  • Hyundai dijangka perkenalkan Kona N – SUV segmen-B berprestasi tinggi dengan enjin 2.0 liter turbo 250 PS

    Hyundai dijangka perkenalkan Kona N – SUV segmen-B berprestasi tinggi dengan enjin 2.0 liter turbo 250 PS

    Divisi talaan prestasi tinggi rasmi Hyundai iaitu Hyundai N bakal menghasilkan model crossover Kona yang akan menerima sentuhannya seperti dua hot-hatch N sedia ada iaitu i30 N dan Veloster N, menurut laporan Auto Express.

    Kona N berkenaan dijangka bakal menerima unit janakuasa yang sama seperti dua hot-hatch sebelumnya iaitu enjin 2.0 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Bagi i30 dan Veloster, dua talaan diberikan iaitu versi asas dengan kuasa 250 PS, manakala versi Performance Pack mampu menjana 275 PS/353 Nm. Namun untuk Kona, khabar mengatakan ia hanya hadir dengan versi talaan asas.

    Menurut boss Hyundai N Albert Biermann, pasukan juruteranya kini sudah mula membangunkan prototaip Kona N berkenaan dengan unit janakuasa yang dinyatakan tersebut. “Saya telah memberitahu para jurutera untuk membina kereta berkenaan dan kami akan lihat apa akan jadi setelah ia diluluskan,” kata Biermann.

    “Ia perlu menggunakan unit janakuasa i30, betul. Sudah tentu, kami boleh memberikan Kona spesifikasi suspensi dan stereng yang berlainan,” tambah Biermann lagi dan menjelaskan ia masih pacuan roda hadapan juga seperti i30 N. Bagi rupa luaran pula, Kona N dijangka akan disolek lebih garang menerusi pemandanan diffuser belakang, spoiler bumbung kecil dan juga tip ekzos yang menonjol berbanding tersorok pada model standard.

    Untuk versi standard, SUV segmen-B Kona diberikan pelbagai pilihan enjin dan transmisi bergantung pada pasaran. Antaranya enjin 2.0 liter MPI Atkinson berkuasa 149 PS/179 Nm dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, dan juga enjin petrol turbo Gamma 1.6 T-GDI berkuasa 177 PS/265 Nm dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan automatik. Pasaran Eropah turut akan menerima enjin turbo lebih kecil iaitu 1.0 liter T-GDI tiga silinder berkuasa 120 PS/172 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Selain dari model berprestasi tinggi sebenar ini, model N-Line yang lebih sporty dari model standard (ubahsuai hanya diberi pada aspek casis dan penggayaan) turut bakal diperkenalkan.

    “Kami akan perkenalkan i30 N Line ke dalam pasaran tahun ini. Kami telah memberikan sentuhan semula yang agak banyak berbanding model konvensional – stereng, penukaran gear, spring dan penyerap hentak. Ia seharusnya berguna pada model baharu dalam barisan bagi membantu membangunkan jenama N,” kata Biermann.

    Dalam masa yang sama, Biermann turut memberitahu bahawa i30 N kini mendapat sambutan yang hangat. “Kami kini mempunyai tempahan 1,400 unit yang belum siap di Jerman, jadi bekalan kini menjadi isu. Tetapi reaksi sangat positif. Kami telah menetapkan kedudukan kami pada prestsi dan pengendalian dan nampaknya ia seimbang dengan baik,” jelasnya.

    GALERI:Hyundai Kona 1.6 L Turbo T-GDI 4WD 2018 pasaran Singapura

     
     
  • Niki Tuuli ganti Zulfahmi Khairuddin dalam Moto2

    Niki Tuuli ganti Zulfahmi Khairuddin dalam Moto2

    Minggu lalu, SIC Racing Team telah mengumumkan Zulfahmi Khairuddin dikeluarkan dari perlumbaan Moto2 secara serta merta atas persetujuan bersama. Selepas empat pusingan, Zufahmi hanya dapat menamatkan perlumbaan di kelompok akhir dan sekali tidak menamatkan perlumbaan. Walaubagaimanapun, tugas beliau sebagai mentor untuk program Impian ke MotoGP masih diteruskan.

    Pengganti Zulfahmi kini sudah ditemui dan SIC Racing Team memberitahu, akan menggunakan khidmat Niki Tuuli, iaitu seorang pelumba berusia 22 tahun dari Finland. Beliau akan mula berlumba hujung minggu ini di Le Mans, dan ia juga adalah kali pertama beliau masuk dalam kategori ini dan mengendalikan jentera Kalex 600 cc yang digunakan.

    Bermula dengan mini moto pada usia sembilan tahun, Tuuli berkembang sebagai seorang pelumba profesional dengan pertama kalinya masuk dalam perlumbaan IDM Yamaha R6 Cup, membawa motosikal 600 cc pada tahun 2012. Masuk ke tahun 2013, beliau menyertai pula siri European SuperStock600 sehingga tiga musim. Dalam tempoh itu, beliau memungut lima podium dan satu kemenangan.

    Niki Tuuli ganti Zulfahmi Khairuddin dalam Moto2

    Lepas daripada itu, beliau berhenti seketika kerana terpaksa menyertai kem askar yang diwajibkan bagi setiap anak muda di Finland, namun masuk kembali dalam dunia perlumbaan pada tahun 2016. Dalam perlumbaan SuperSport World Championship, tiga kali beliau dipilih sebagai pelumba Wildcard dan berjaya mendapat podium untuk kesemuanya dan dalam perlumbaan Finnish Championship, beliau berjaya menjadi juara.

    Pada tahun 2017, beliau telah dipilih untuk menyertai perlumbaan WorldSSP secara penuh di bawah pasukan Vesa Kallio. Pada musim itu, Tuuli mendapat dua podium dan pernah bemula di petak pertama (pole). Untuk tahun 2018, beliau kini berada di tempat kelapan keseluruhan dalam WorldSSP selepas lima perlumbaan, namun selepas ini akan berlumba dalam Moto2 sahaja.

     
     
  • SST akan dilaksanakan semula, tarikh belum diketahui

    SST akan dilaksanakan semula, tarikh belum diketahui

    Pengumuman sebelum ini oleh kerajaan PH berkaitan GST yang akan menjadi 0% selepas 1 Jun ini bagaimanapun tidak menyentuh tentang cukai jualan dan perkhidmatan (SST), satu kaedah cukai yang digunakan sebelum pengenalan GST pada April 2015. Menggantikan semula GST dengan SST menjadi satu daripada janji pilihanraya PH yang kini telah membentuk kerajaan baru.

    Pengumuman kadar GST 0% itu tanpa menyatakan tentang SST menyebabkan banyak andaian lain yang timbul, termasuklah tidak akan ada cukai bagi tempoh dua tahun pertama kerajaan PH memerintah. Itu bagaimanapun telah dinafikan oleh Kementerian Kewangan, yang juga telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan pembaharuan fiskal dan SST pada pagi ini. Ia merupakan penjelasan yang ringkas tentang bagaimana negara akan menampung kekurangan pendapatan tanpa GST, yang mencecah angka RM44 bilion pada 2017.

    Menurut Kementerian Kewangan, program pembaharuan fiskal sedang berjalan. “Pengurangan hasil dari GST akan ditampung oleh langkah khusus hasil dan perbelanjaan yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelas kenyataan yang dikeluarkan.

    “SST akan diperkenalkan semula. Pengurangan perbelajaan akan dimulakan dengan rasionalisasi, kecekapan serta mengurangkan ketirisan,” tambahn kementerian itu, tanpa memaklumkan kadar cukai yang akan dikenakan ataupun tarikh ia akan dimulakan.

    SST akan dilaksanakan semula, tarikh belum diketahui

    Selain itu, dalam kenyataan sama turut menyebut bahawa harga minyak mentah dunia telah meningkat dengan ketara jika dibandingkan dengan jangkaan dalam Belanjawan 2018, iaitu pada US$52 (RM206) setong. Situasi ini akan menyediakan ruang fiskal dalam tempoh terdekat.

    “Tanggungjawab fiskal, ketelusan dan tadbir urus akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan program pembaharuan fiskal,” jelas kenyataan itu. Harga minyak mentah terkini mencecah sekitar US$80 setong.

    Pengenalan semula SST untuk menggantikan GST kini sudah jelas, dan komitmen terhadap perkara ini sudah dinyatakan berkali-kali. Tak lupa juga, harga kereta yang dijangka turun selepa 1 Jun ini, sebelum naik semula selepas SST dilaksanakan.

    Jika inilah situasinya, akan ada satu tempoh senggang “tanpa cukai” dari 1 Jun hinggalah pengumuman tarikh bermulanya pelaksanaan SST, melainkan kerajaan akan melaksanakan SST serentak selepas pembatalan GST. Ini perlu kita tunggu pengumuman yang seterusnya, barulah ia dapat dipastikan – masih ada tempoh dua minggu lagi sebelum 1 Jun.

     
     
  • BMW M5 F90 bakal dilancarkan di Malaysia esok

    BMW M5 F90 baharu bakal dilancarkan di Malaysia esok, 18 Mei, menurut teaser yang dikeluarkan oleh BMW Malaysia. Sedan prestasi tinggi ini diperkenalkan di peringkat dunia pada Ogos tahun lalu.

    Ia dijanakan oleh enjin 4.4 liter turbo-berkembar V8 dengan hamburan kuasa sehingga 600 hp dari 5,600 hingga 6,700 rpm dan tork 750 Nm antara 1,800 dan 5,600 tpm. Semua kuasa disalurkan menerusi kotak gear automatik M Steptronic lapan-kelajuan ke sistem pacuan semua roda M xDrive – kedua-duanya adalah yang pertama buat kerena M bukan-SUV. Pacuan dari sifar ke 100 km/j boleh dicapai dalam 3.4 saat.

    Bagi sistem AWD, ia merupakan mod 4WD yang biasa, walau bagaimana pun mod 4WD Sport lebih diagih kepada roda belakang dan mod pacuan roda-belakang juga boleh didapati apabila kawalan kestabilan dimatikan, membolehkan pemandu melakukan putaran drift yang lebih besar. Selain itu, M5 F90 juga didatangkan dengan sistem stereng berkuasa elektromekanikal M Servotronic baharu, Variable Damper Control dan penguncian belakang Active M Differential secara standard.

    BMW M5 F90 bakal dilancarkan di Malaysia esok

    Risalah spesifikasi yang bocor baru-baru ini turut menyenaraikan elemen standard dan pilihan untuk M5, dengan harga jangkaan lebih kurang RM1 juta. Elemen yang tersenarai termasuklah lampu utama LED adaptif, roda aloi Style 705 M dua-tona 20-inci, kekemasan luaran Shadow Line hitam berkilat, brek M Compoud, bumbung gentian karbon, upholstery kulit Merino. kekemasan dalaman “struktur karbon” aluminium, dan anthracite headlining.

    Turut ditawarkan ialah skrin sesentuh BMW Display Key, kemasukan tanpa kunci, butang push-start, kawalan suhu empat-zon, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go, tirai matahari belakang berkuasa, pencahayaan ambien dengan 11-warna, paparan utama, bantuan parkir dan bootlid berkuasa bebas-tangan.

    Sistem navigasi Professional dengan skrin sesentuh 10.25-inci turut didatangkan secara standard, juga terdapat Kawalan Pergerakan, sistem bunyi Harmon Kardon 600-watt dengan 16-pembesar suara dan kamera undur. Ciri keselamatan termasuk Amaran Ketibaan Lorong, Amaran Penukaran Lorong, Amaran Kawalan Pendekatan dan Amaran Persendirian dengan Amaran Trafik Lintasan serta Amaran Pelanggaran di belakang, sebagai sebahagian daripada pakej Bantuan Pemanduan.

    Buat pertama kalinya juga, BMW Malaysia turut menawarkan pakej bagi M5, dengan setiap satunya melibatkan kos tambahan yang tinggi. Ini terdiri daripada Pakej Prestasi RM30,000 termasuk penutup enjin gentian karbon M, tali pinggang keledar berwarna M dan ekzos M. Sementara Pakej Keselamatan Termaju bernilai RM15,000 pula menambah semi-autonomous Driving Assistant Plus yang disambungkan pada Bantuan Kawalan Lorong dan Stereng serta Bantuan Penukaran Lorong.

    Manakala bagi Pakej Hiburan Premium bernilai RM55,000, ia merangkumi Sistem Bunyi Sekeliling Diamond Bowers & Wilkins 1,400-watt termasuk sistem hiburan tempat duduk belakang Professional. Yang terakhir, tempahan istimewa bagi brek seramik karbon M dengan harga RM95,000. Jika ditambahkan semua sekali, harga boleh meningkat sekitar bawah RM1.2 juta, walau bagaimana pun masih 30% lebih murah berbanding kos M5 asas di Thailand.

    GALERI: BMW M5 F90

     
     
  • Era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir

    Era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir

    Ketika kotak gear klac berkembar (DCT, DSG dan pelbagai nama lagi) mula diperkenalkan dahulu, ia seakan bakal menggantikan sistem transmisi torque converter konvensional. Namun pelbagai masalah yang muncul selepas itu khususnya untuk kotak gear yang menggunakan klac berkembar jenis kering membuatkan ia menjadi mimpi ngeri terhadap sebahagian pengguna.

    Reputasi yang buruk tersebut menyebabkan banyak pengeluar nampaknya kini mula untuk menggunakan semula kotak gear automatik konvensional. Ia seolah-olah menggambarkan teknologi transmisi menggunakan set gear planetary tersebut akan terus kekal dalam pasaran, manakala era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir.

    Menerusi temu ramah bersama Car and Driver, CEO Aston Martin Andy Palmer membayangkan perkara tersebut berkemungkinan besar akan berlaku. Menurut Palmer, penggunaan kotak gear klac-berkembar tidak kira jenis klac basah atau kering kini sedang merudum secara progresif, manakala kotak gear automatik torque converter mula digunakan semula.

    Palmer menyatakan bahawa kotak gear klac berkembar ini merupakan rekaan hebat yang tidak sempurna, dan dalam masa yang sama mereka telah menemui pelbagai idea lain yang menjadikan sebuah transmisi itu sangat laju bersama kejutan tukaran yang baik.

    “Sepuluh tahun lalu, ia masih nampak seperti sebuah transmisi untuk masa hadapan. Kini ia mula nampak seperti transmisi dari masa lalu,” jelas Palmer.

    Era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir

    “Kotak gear automatik konvensional yang baik seperti ZF lebih murah, yang mana tidak masuk akal sekiranya anda fikir kotak gear manual masih bertahan kerana ia merupakan opsyen yang lebih murah, tetapi terdapat banyak teknologi yang dipadankan pada (DCT) bagi membolehkan ia beroperasi,” jelas Palmer.

    “Ia juga lebih berat, yang juga menjadi lagi satu kekurangannya, tetapi isu sebenar adalah penukaran gear itu sendiri. Sebenarnya kini kotak gear automatik (planetary) adalah lebih pantas, kerana tork sistem ini boleh dikawal. Ini bermakna sudah pasti masa pecutan 0-100 km/j anda adalah lebih pantas dengan kotak gear auto, yang menafikan semua modal pemasaran untuk transmisi klac berkembar,” tambahnya lagi.

    Walau bagaimanapun, kotak gear klac berkembar ini tidak akan terus pupus. Pengeluar-pengeluar kereta berjenama seperti Ferrari dan McLaren kini masih lagi menggunakan kotak gear ini secara ekslusif, manakala Volkswagen yang kini menawarkan transmisi tersebut secara besar-besaran akan mengurangkan penawaran tersebut sedikit demi sedikit.

    Pengeluar lain pula dilihat kini sedang menyisihkan penggunaan transmisi tersebut. Ford yang menggunakan kotak gear DCT PowerShift pada Focus dan Fiesta generasi sebelum ini kini sedang beralih kepada kotak gear torque converter enam-kelajuan yang dibina bersama GM (6F35) pada Focus Mk3 facelift untuk pasaran rantau ASEAN, manakala untuk Focus Mk4 pula kini menggunakan kotak gear lapan-kelajuan automatik (dalam dua variasi tork iaitu 8F24 dan 8F35). Ford masih lagi menawarkan kotak gear DCT dari Getrag untuk model-modelnya, tetapi ia dari jenis klac basah.

     
     
  • Renault Captur facelift kini di Malaysia – RM109k

    Renault Captur facelift kini di Malaysia – RM109k

    TC Euro Cars (TCEC) telah memperkenalkan Renault Captur facelift bagi pasaran Malaysia. Crossover segmen-B ini menerima sedikit peningkatan luaran iaitu di bahagian hadapannya ditampilkan gril baharu dengan rekaan lampu utama yang disemak semula dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C baharu yang terletak di penjuru bampar. Sementara di belakang pula menampilkan lampu baharu dengan lampu arah LED. Captur juga menerima skid plate baharu pada bampar hadapan dan belakang.

    Selain itu, Captur facelift ini dilengkapi dengan roda aloi 17-inci rekaan baharu dan juga indicator cermin sisi LED serta ia turut ditawarkan dengan tiga warna luaran baharu yang mana setiap satunya hadir dengan dua-tona iaitu Atacama Orange, Ocean Blue dan Pearl White, yang dipadankan bersama bumbung Diamond Black, menyertai pilihan warna Flame Red.

    Di dalamnya, ia turut menampilkan sedikit semakan pada material kekemasan dan plastik, dengan tempat duduk balutan kulit hitam, kekemasan pintu hitam dan juga tuil gear yang direka semula supaya kabin nampak lebih moden dan sofistikated.

    Kit standard lain termasuklah sistem multimedia MediaNav dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi dan sambungan AUX, USB dan Bluetooth, kamera undur, kemasukan tanpa kunci, butang push start, pengunci pintu auto, lampu utama dan bilah pengelap cermin auto. Bagi aspek keselamatannya pula, ia dilengkapi dengan empat beg udara, ESC dan bantuan mula mendaki.

    Captur facelift masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.2 liter TCe 120 pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 118 hp pada 4,900 rpm dan tork 190 Nm pada 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

    Tiada perubahan harga, dan Captur pemasangan tempatan (CKD) ini masih kekal dengan harga atas jalan RM109,000 (tanpa insurans). Namun ia melibatkan pertambahan kos sebanyak RM900 bagi pilihan warna Flame Red dan Pearl White, yang turut termasuk dengan kick plate dan trunk tray.

    Perkhidmatan selepas jualan 5-in-Captur yang diumumkan tahun lalu juga tidak berubah. Pakej tersebut merangkumi servis dan penyelenggaraan percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk lima-tahun atau perbatuan sehingga 100,000km, mana-mana tiba dahulu. Selain itu, ia juga menawarkan waranti pengilang selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan 24 jam secara percuma.

    Bukan itu sahaja, ia turut menawarkan perkhidmatan mengambil dan hantar untuk penyelenggaraan berjadual di pusat servis Renault serta servis mobiliti dengan kereta gantian sekiranya alat ganti tidak boleh diperoleh untuk tempoh 48 jam di pusat servis sah, bergantung kepada kebolehdapatan.

     
     
  • Go Auto buka rangkaian baharu Haval di Skudai, JB

    Go Auto buka rangkaian baharu Haval di Skudai, JB

    Go Auto Sales Sdn Bhd, pengedar kenderaan Haval rasmi di Malaysia, telah mengembangkan lagi rangkaian pengedarannya di selatan tanahair dengan membuka sebuah lagi bilik pameran baharu. Dengan kerjasama pengedar sah Ang Trading and Motor Credit Sdn Bhd, ia terletak di Taman Perindustrian Ringan Pulai dan ini memberikan kemudahan yang lebih menyenangkan buat pelanggan Haval yang berada di sekitar Skudai dan Johor Bahru sendiri.

    Menurut Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal, “Kami mengalu-alukan kedatangan Ang Trading and Motor Credit Sdn Bhd dalam keluarga Haval di Malaysia, moga sukses dalam jualan dan perkhidmatan selepas jualan. Ini merupakan rangkaian ke tujuh di Selatan tanahair dengan empat daripadanya terletak di Johor. Sehingga kini, kami sudah memiliki 24 rangkaian di seluruh tanahair.

    Haval Malaysia kini menawarkan pelanggan baharu dan sedia ada yang berminat untuk membeli SUV baharu dengan penjimatan dan insurans percuma sehingga RM3,000. Selain promosi semasa, syarikat ini juga merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara tidak lama lagi. Semua informasi mengenai siri jelajah tersebut akan diumumkan di Facebook dan Instagram rasmi mereka dari semasa ke semasa.

     
     
  • GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    Kementerian Kewangan telah pun mengumumkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang ketika ini dikenakan pada kadar 6% akan dimansuhkan sepenuhnya menjadi 0% bermula 1 Jun ini. Ia adalah selari dengan janji Pakatan Harapan untuk melakukan perkara berkenaan dalam tempoh 100 hari pertama mengambil alih pentadbiran selepas PRU14 minggu lalu.

    Namun, tidak seperti yang diumumkan sebelum ini, penghapusan GST ini tidak pula akan digantikan semula dengan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST); buat masa ini, tiada apa-apa struktur cukai yang akan dikenakan sehinggalah kaedah cukai baru dimaklumkan semula nanti. Barangan yang dimansuhkan GST akan kekal seperti seadaanya, tanpa digantikan oleh cukai lain buat sementara waktu.

    Langkah ini tentunya akan mendapat maklum balas positif, tetapi dalam masa yang sama turut menimbulkan pertanyaan lain, terutama berkaitan harga kenderaan. Syarikat-syarikat pengeluar kenderaan ketika ini masih lagi samar-samar dengan kesan pemansuhan GST ini – yang sepatutnya diganti semula dengan SST – serta ketidak-pastian terhadap harga yang kemungkinan akan naik atau turun. Mereka masih belum memperoleh jawapan yang jelas tentang perkara ini.

    Terkini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Isnin lalu menyatakan, syarikat itu menjangkakan harga kenderaan mungkin akan naik sedikit sekiranya SST 10% sebelum ini diperkenalkan semula untuk menggantikan GST 6%. Hal ini adalah selari dengan perubahan ketika peralihan antara SST kepada GST dahulu, yang menyaksikan harga kenderaan turun sedikit bagi kebanyakan jenama.

    GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    Malahan, pengeluar dan pengedar kenderaan seperti ETCM (Nissan) dan Motor Image (Subaru) juga telah memperkenalkan skim pelindungan harga yang akan mengekalkan harga kenderaan mereka bagi satu tempoh tertentu sekiranya harga kenderaan akan naik selepas pelaksanaan semula SST, dan akan mengembalikan sebarang perbezaan nilai yang terlibat (refund) dalam bentuk baucar servis sekiranya harga kenderaan menjadi lebih rendah.

    Dengan pemansuhan GST nanti, syarikat-syarikat ini kemungkinan perlu melakukan penyelarasan dalam dua langkah berikut – refund kepada pembeli yang membuat tempahan sebelum Jun, dan kemudiannya mengekalkan harga pra-SST. Itupun bergantung sekiranya SST kembali dilaksanakan dalam kadar dan kaedah yang sama seperti sebelumnya, dan berlangsung dalam tempoh seperti yang dijangkakan oleh skim-skim berkenaan. Bagi Subaru misalnya ialah sehingga 18 Ogos, iaitu penghujung tempoh 100 hari pertama kerajaan baru ini.

    Apapun, harga kenderaan sepatutnya akan lebih rendah pada 1 Jun ini sebaik sahaja GST dimansuhkan. Tetapi, sejauh manakan ia akan turun? Sumber industri memaklumkan kepada kami, pelanggan mungkin tidak akan melihat harga jualan ketika ini turun sebanyak 6% bagi kadar GST itu secara serta-merta. Ini adalah kerana, syarikat pengeluar telah pun membayar GST bagi setiap peringkat dan proses pengeluaran serta pengedaran sebelum ini, dan cukai itu juga tidak akan dikenakan kepada pelanggan secara sekali gus (lump sum).

    GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    Bagaimanapun, cukai yang telah dibayar bagi rantaian inventori sedia ada oleh pengeluar dan pengedar itu boleh dituntut semula oleh syarikat pengeluar daripada kerajaan, dijangka dalam masa yang relatif singkat. Ini bermaksud, dalam jangka waktu yang pendek, pengguna boleh menjangkakan penurunan bagi harga jualan sebenar – atau menghampiri nilai yang sama – bagi harga seperti yang dinyatakan sebelum GST dilaksanankan dulu.

    Malah, bagi satu tempoh waktu singkat, pengguna mungkin akan membeli kenderaan tanpa caj GST mahupun SST, sehinggalah cukai SST ini diumumkan akan agar dikuatkuasakan semula pelaksanaannya. Bila perkara ini akan berlaku masih lagi menjadi tanda tanya kepada semua.

    Dalam apa juga keadaan ketika ini, syarikat-syarikat pengeluar kenderaan sedang dalam proses mengira semula harga baru tanpa GST bagi kenderaan mereka, dan kami akan bawakan perkembangan berkaitan kepada anda sebaik sahaja ada sebarang pengumuman dilakukan nanti. Ini termasuklah perincian daripada kerajaan terhadap pelaksanaan kaedah cukai berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025