Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Golf GTI TCR Concept didedahkan di festival Wörthersee – 2.0 liter TSI, 290 PS/370 Nm

    Volkswagen Golf GTI TCR Concept didedahkan di festival Wörthersee – 2.0 liter TSI, 290 PS/370 Nm

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Volkswagen telah pun mendedahkan model konsep yang dibina berdasarkan kereta lumba TCR sebenar untuk produksi jalan raya digelar Golf GTI TCR Concept ketika berlangsungnya festival tahunan VW Golf GTI di Wörthersee, Austria. Walaupun muncul sebagai kereta konsep, model ini dijangka akan dipasarkan dengan bentuk dan spesifikasi hampir serupa lewat tahun ini.

    Kereta ini masih dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo TSI, namun diberi talaan bagi membolehkan ia menjana 290 PS dan tork maksima 370 Nm – angka yang hampir menyamai Golf R. Tidak seperti Golf R yang digerakkan sistem pacuan AWD, kuasa enjin Golf GTI TCR hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan yang turut disertakan dengan unit LSD.

    Angka prestasi juga belum diumumkan, tetapi ia sudah pasti mampu memecut dari 0-100 km/j jauh lebih pantas dari GTI standard. Walau bagaimanapun, VW mengumumkan dua opsyen boleh dipilih oleh pembeli. Untuk pilihan standard, kereta ini diberikan rim forged “Belvedere” 18-inci, brek bersaiz lebih besar manakala kelajuan maksimanya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Jika anda rasa tidak cukup, opsyen kedua boleh dipilih yang menawarkan rim 19-inci, suspensi sport 20 mm lebih rendah serta boleh dilaras, kawalan casis adaptif (DCC), sistem ekzos titanium dari Akrpovic, dan Vmax limiter yang boleh membuka kekangan kelajuan maksima bagi memberikan Golf GTI TCR ini mencapai 264 km/j, secara tidak langsung menjadikan ia sebagai Golf GTI terpantas dalam barisan model.

    Bagi membezakan model ini dengan GTI standard, ia diberikan pengayaan baharu di bahagian luar dengan pemadanan kit baharu terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, projektor logo serta lencana-lencana TCR pada tempat yang sepatutnya. Manakala untuk kabin, tempat duduk model istimewa ini dibalut dengan gabungan gentian mikro dan fabrik, termasuk pada panel pintu dan tombol gear. Serlahan berwarna merah turut ditampilkan pada jahitan dan juga pada jalur penanda roda stereng.

     
     
  • Hanya 19 juta kenderaan yang ada cukai jalan – JPJ

    Hanya 19 juta kenderaan yang ada cukai jalan – JPJ

    Daripada sejumlah 28 juta kenderaan yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 19 juta kenderaan dan pemilik sahaja yang aktif memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan mereka.

    Perkara ini dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan/Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman semalam, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    “Selebihnya, pemilik-pemilik kenderaan terbabit tidak berbuat demikian,” jelas beliau sambil menambah bahawa JPJ sejak Mac lalu telah memberikan kelonggaran kepada kelompok berkenaan yang mana cukai jalan bagi kenderaan mereka sudah luput dalam tempoh tiga tahun, boleh menghidupkannya semula melalui proses biasa.

    Tawaran ini yang bermula sejak 27 Mac lalu akan berakhir pada 30 Jun nanti. Beliau menambah, pembaharuan cukai jalan berkenaan boleh dilakukan di mana-mana pejabat JPJ. Program ini juga mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat insurans untuk memudahkan pengguna.

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 pegang rekod lap terpantas kereta produksi pacuan hadapan di litar Magny-Cours

    Honda Civic Type R FK8 pegang rekod lap terpantas kereta produksi pacuan hadapan di litar Magny-Cours

    Program Honda untuk ‘menyerang’ pelbagai litar ikonik di Eropah bagi mencatatkan rekod terpantas – Type R Challenge 2018 – telah pun bermula, dengan serangan pertama di litar Magny-Cours. Honda Civic Type R FK8 standard yang digunakan dalam cabaran tersebut telah mencatatkan masa 2 minit 1.51 saat dan dinobatkan sebagai kereta produksi pacuan hadapan terpantas pada litar ikonik sepanjang 4.4 km di Perancis berkenaan.

    Untuk percubaan kali ini, pemandu FIA World Touring Car Cup yang memandu Civic TCR bersama pasukan Münnich Motorsport, Esteban Guerrieri telah menggalas cabaran bagi mencatatkan rekod baharu tersebut. “Apa yang terbaik berkenaan Type R adalah ia akan memberikan anda keyakinan. Ia sangat responsif dan memberikan anda tindak balas yang baik. Orang ramai mengatakan Type R adalah hot hatch dengan prestasi mengkagumkan dan kami buktikannya hari ini dan ia adalah sebenarnya; kereta yang terus menolak sempadan had kemampuan sebuah model pacuan roda hadapan,” kata Guerrieri.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini juga, Civic Type R yang digunakan adalah model produksi standard dengan talaan pasaran Eropah, membolehkan enjin 2.0 liter DOHC VTEC Turbo K20C berkenaan menghasilkan kuasa 320 PS/400 Nm (berbanding pasaran Malaysia 310 PS/400 Nm). Selain dari enjin, FK8 diberikan suspensi jenis multi-link pada bahagian belakang(torsion beam pada FK2R) membolehkan ia lebih laju dan lebih stabil di selekoh, kotak gear manual enam-kelajuan dengan nisbah akhir lebih rendah membolehkan ia memecut lebih pantas, serta pakej aerodinamik lebih baik.

    Selain rekod di Magny-Cours ini, faktor-faktor berkenaan turut dibuktikan di litar Nürburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 43.8 saat – sah sebagai kereta produksi pacuan hadapan terpantas di litar ‘The Green Hell’ tersebut. Selepas ini, skuad berkenaan akan melakukan perkara yang sama di empat lagi litar ikonik Eropah iaitu litar Silverstone (UK), Spa-Francorchamps (Belgium), Estoril (Portugal) dan Hungaroring (Hungary) – sama seperti yang dilakukan dalam cabaran pada 2016 menggunakan Civic Type R FK2R.

    Untuk catatan rekod seterusnya juga, pasukan ini turut akan dibantu pemandu-pemandu professional lain seperti bekas juara Formula 1 yang kini memandu NSX Super GT, Jenson Button (UK), pemandu WTCR Tiago Monteiro (Portugal), seorang lagi pemandu NSX Super GT, Bertrand Baguette (Belgium) serta lagenda British Touring Car Championship (BTCC) Matt Neal (UK).

    GALERI: Honda Civic Type R FK8 pasaran Malaysia

     
     
  • Borgward perkenal SUV BX6, BXi7 elektrik – rancang eksport ke Timur Tengah, Amerika Selatan, ASEAN

    Borgward perkenal SUV BX6, BXi7 elektrik – rancang eksport ke Timur Tengah, Amerika Selatan, ASEAN

    Borgward, iaitu satu jenama berasal dari Jerman yang sudah wujud sejak tahun 1919 telah memperkenalkan kepada dunia dua model baru iaitu ‘GT SUV’ BX6 dan SUV elektrik BXi7 minggu lepas. Syarikat ini dulu pernah bankrap pada tahun 1961, namun telah dihidupkan kembali oleh syarikat dari China sejak tahun 2015.

    BX6 adalah sebuah SUV dengan bentuk badan fastback, dan bukannya seperti BMW X4 atau Mercedes-Benz GLC Coupe. Rupa awalnya dibayangkan melalui kenderaan konsep BX6 TS pada tahun 2016 di Geneva, dan kini didapati menggunakan lampu belakang bentuk seperti “sayap helang”, lampu depan seperti mata helang dan rim 19 inci. Bahagian dalamnya mempunyai persamaan seperti model BX5.

    Menggerakkan BX6 adalah enjin 2.0 liter turbo yang berkemampuan 221 hp dan 300 Nm tork, dan ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dengan mod manual. Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui sistem 4WD “4Max”. Model ini bukan sahaja akan dijual di China, malah juga dirancang untuk memasuki pasaran Timur Tengah dan Amerika Selatan dalam tahun ini, manakala pasaran ASEAN pula pada awal tahun 2019.

    Melihat kepada BXi7 pula, ia adalah versi elektrik bagi model BX7. SUV ini dikuasakan oleh dua motor elektrik, dan mempunyai tork gabungan 390 Nm. Hasilnya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 195 km/j. Menurut Borgward, motor elektrik ini mempunyai daya kecekapan 94.5% dan pek bateri yang dapat mengekalkan prestasi tinggi pada suhu daripada -30ºC hingga +55ºC. Jarak gerak dengan satu cas adalah 375 km, dan cas sehingga tahap 80% dapat dilakukan dalam masa 45 minit.

    Bulan lalu, Borgward telah membuat kemunculan di Malaysia, dengan mempamerkan dua SUV iaitu BX5 dan juga BX7. Kedua-duanya dijangka dilancarkan untuk pasaran pada suku ketiga tahun ini, namun spesifikasi penuh masih belum dikeluarkan. Menurut wakil mereka yang berada di tapak pameran, BX5 berkemungkinan dijual pada harga “bawah RM100k”, manakala BX7 pula “bawah RM200k.”

    GALERI: Borgward BX6


    GALERI: Borgward BXi7

     
     
  • ETCM jangka harga kenderaan mungkin akan naik sedikit selepas peralihan semula dari GST kepada SST

    ETCM jangka harga kenderaan mungkin akan naik sedikit selepas peralihan semula dari GST kepada SST

    Di dalam sidang media pelancaran Nissan Serena S-Hybrid 2018 yang berlangsung pagi tadi, antara perkara yang mendapat perhatian ialah apa yang boleh dijangkakan sebaik sahaja cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6% dimansuhkan semula dan diganti dengan cukai jualan (SST) sebanyak 10% seperti yang diamalkan sebelum ini.

    Adakan perubahan pada harga kenderaan – terutamanya Nissan Serena tebraru ini, yang diperkenalkan dalam tempoh peralihan pelaksanaan dua cukai terbabit – dan apakah perancangan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selalu pengedar Nissan untuk berdepan dengan perkara itu?

    Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Chris Tan memaklumkan, berdasarkan pelaksanaan dan peralihan antara dua cukai yang dinyatakan itu sebelum ini, ada kemungkinan harga kenderaan akan naik sedikit.

    “Hampir semua jenama, ketika beralih dari pelaksanaan cukai jualan ke GST sebelum ini, harga kenderaan berkurangan sedikit,” ujar beliau. “Jadi, jika pelaksanaan cukai berkaitan selepas ini akan beralih semula kepada kaedah sebelum ini, maka logiknya akan ada peningkatan harga. Jika ini situasinya, sekarang mungkin masa terbaik untuk membeli kenderaan, kerana untuk masa akan datang, harga kenderaan mungkin akan sedikit meningkat,” jelas beliau.

    ETCM jangka harga kenderaan mungkin akan naik sedikit selepas peralihan semula dari GST kepada SST

    Untuk itu, ETCM jga akan mempunyai skim perlindungan harga, sama seperti yang diumumkan oleh syarikat berkait dengannya, Motor Image (pengedar kenderaan Subaru) hari ini. Di bawah program berkenaan, pelanggan yang membeli kenderaan mereka bermula bulan ini akan diberikan pemulangan semula atau refund bagi perbezaan harga yang ada sekiranya harga selepas pemansuhan GST nanti menjadi lebih rendah. Apa pun, bagaimana bentuk refund atau pemulangan itu akan dilakukan masih belum ditentukan ketika ini.

    “Tetapi, sekiranya harga kenderaan akan meningkat selepas ini, mereka yang membuat pembelian ketika ini sudah tentu akan lebih beruntung,” tambahnya. Beliau juga yakin kerajaan baru ini akan meletakkan kepentingan rakyat dan pelanggan di hadapan, dan apa pun keputusan yang diambil nanti akan menjurus kepada “situasi harga yang positif”.

    Bagi Subaru pula, program khas berkenaan bertujuan untuk mengekalkan harga kenderaan Subaru ketika ini sehingga 18 Ogos nanti. Sekiranya harga lebih rendah selepas pelaksanaan semula cukai jualan selepas ini, Motor Image akan memberi pulangan atau refund terhadap baki perbezaan yang terlibat dalam bentuk baucar servis dalam jumlah yang sama atau setara. Bagi kenderaan yang sudah ditempah tetapi belum di daftarkan pula, harganya akan diselaraskan serta-merta.

    Apa pun, semua perkara berkaitan akan hanya dapat ditetapkan sebaik sahaja kaedah dan pengiraan cukai yang akan dilaksanakan selepas ini diumumkan dengan lebih terperinci oleh kerajaan.

     
     
  • Honda EX5 diperkenalkan dalam pilihan grafik baharu

    Honda EX5 diperkenalkan dalam pilihan grafik baharu

    Boon Siew Honda (BSH) Sdn Bhd telah memperkenalkan grafik baru untuk model kapcai popular mereka iaitu EX5. Secara keseluruhannya, terdapat lima pilihan warna baru iaitu Pearl Magellanic Black dan Pearl Nightfall Blue untuk versi dengan rim lidi dan Candy Scintillated Red, Space Magenta Metallic serta Pearl Nightfall Blue untuk versi rim sport.

    Warna baru ini kemudiannya ditambah dengan beberapa perincian baru seperti jalur retro pada panel plastik hadapannya serta lencana dan besi pemegang belakang krom. Pelindung ekzos juga masih berwarna krom seperti sebelum ini.

    Honda EX5 ini dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 109 cc OHC dengan sistem penyejukan udara, dan penyampaian bahan api disampaikan dengan menggunakan sistem suntikan elektronik PGM-FI. Transmisi yang disediakan adalah unit empat kelajuan dan ia didatangkan dengan pemula tendang serta elektrik.

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh Honda EX5 PGM-Fi adalah 8.5 hp pada 7,500 rpm dan 8.62 Nm tork pada 6,000 rpm. Rim yang digunakan adalah bersaiz 17 inci dan ia dibalut dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang. Tangki bahan api pula bersaiz 4.3 liter.

    Untuk model dengan grafik baru ini, harga cadangan yang dikeluarkan oleh BSH adalah RM5,150.54 termasuk GST untuk versi dengan rim lidi manakala versi rim sport dijual pada harga RM5,404.94 termasuk GST. Walaubagaimanapun, harga ini tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain.

     
     
  • Aston Martin DB11 AMR – berenjin V12 5.2 liter 630 hp

    Aston Martin DB11 AMR – berenjin V12 5.2 liter 630 hp

    Aston Martin baru sahaja memperkenalkan DB11 AMR baru, yang menggantikan DB11 berenjin V12 sebelum ini sebagai model DB11 paling tinggi. DB11 AMR ini dikatakan mempunyai lebih kuasa, prestasi dipertingkat, pemanduan lebih dinamik dan pelbagai pembaharuan lain di luar dan dalam.

    Penggeraknya adalah enjin V12 5.2 liter turbo berkembar yang kini mampu menghasilkan 630 hp (639 PS), dan ini adalah 30 hp lebih banyak berbanding DB11 V12 sebelum ini, dan 127 lebih berbanding DB11 enjin V8 AMG. Tork pula masih tidak berubah, iaitu 700 Nm. Catatan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan laju maksimum 335 km/j juga menjadikan model ini sebagai model produksi paling laju Aston Martin sekarang.

    Aspek pengendalian kenderaan ini juga telah ditala semula supaya dapat memberikan “hubungan yang lebih baik tanpa merosakkan kualiti pemanduan”. Kalibrasi penukaran gear pada transmisi dan bunyi ekzos yang sedikit lebih kuat juga menjadikan DB11 AMR lebih berkarekter, terutamanya apabila masuk dalam mod Sport.

    Secara visual, DB11 AMR boleh dikenal pasti melalui pelbagai bahagian gentian karbon yang terdedah dan perincian hitam berkilat. Banyak bahagian luar kenderaan ini digelapkan termasuk keliling lampu utama, lampu belakang jenis smoked, gril depan serta muncung ekzos. Kemudiannya, sedikit kontras warna kuning diletakkan sebagai jalur di splitter angin dan atas hud gentian karbonnya.

    Konsep gelap sama turut digunakan pada bahagian dalam, menyaksikan penggunaan balutan kulit satu warna dan jalur kuning di tengah. Selain pilihan trim biasa yang luas, Aston Martin juga menyediakan tiga pilihan trim Designer Specifications, serta pilihan trim eksklusif AMR Signature Edition yang dijual pada harga £201,995 (RM1,093,097). Walaubagaimanapun, DB11 AMR ini sudah boleh dimiliki pada harga bermula £174,995 (RM946,868) di United Kingdom, dan penghantaran pertama kepada pelanggan dijangka berlaku pada suku kedua ini.

     
     
  • Kamera undur wajib bagi semua kereta baharu di USA

    Kamera undur wajib bagi semua kereta baharu di USA

    Kamera undur kini diwajibkan bagi semua kenderaan baharu yang dijual di Amerika Syarikat, laporan Car and Driver. Peraturan standard ini adalah bagi semua kereta baharu yang dijual di pasaran Amerika iaitu yang diproduksikan mulai 1 Mei 2018.

    Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penyeragaman yang dikeluarkan empat tahun lalu oleh Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat (DOT), dengan Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan (NHTSA) yang mengeluarkan mandat pada tahun 2014 bahawa kamera undur akan ditampilkan pada semua kenderaan baharu yang dijual dari 1 Mei tahun ini.

    Usaha untuk melaksanakan peranti sebagai ciri standard pada kereta baharu telah mengambil sedekad – menurut Peter Kurdock, timbalan penasihat umum bagi Kumpulan Advokasi untuk Keselamatan Auto & Lebuhraya, yang mula beroperasi sejak zaman pentadbiran George W. Bush. “Ia mengambil masa selama 10 tahun untuk dilaksanakan (pelaksanaan pemasangan kemera undur),” ujar Kurdock kepada penerbitan terbabit.

    Kumpulan terbabit, bersama kumpulan keselamatan-pengguna yang lain, sedang membuat beberapa ciri keselamatan aktif yang lain untuk ditampilkan secara standard pada kereta baharu. Ciri terbabit termasuklah amaran ketibaan lorong, amaran titik buta dan brek kecemasan automatik (AEB) dengan kepekaan pelanggaran hadapan.

    Walau pun tanpa mandat tersebut, pengeluar kereta telah memberi maklumbalas – sementara 20 pengeluar telah berjanji untuk menjadikan AEB sebagai ciri keselamatan standard menjelang 2022, dengan beberapa syarikat telah mula membangunkan teknologi keselamatan aktif dalam barisan model kenderaan mereka, antaranya Toyota dengan Safety Sense dan Honda pula memperkenalkan Sensing Suite.

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid 2.0L 2018 dilancarkan di M’sia – dua varian, harga bermula dari RM136k-RM148k

    Nissan Serena S-Hybrid 2.0L 2018 dilancarkan di M’sia – dua varian, harga bermula dari RM136k-RM148k

    Setelah ditampilkan dalam pra-tonton media dan dibuka untuk tempahan awal April lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kini memperkenalkan model MPV tujuh-tempat duduk Nissan Serena S-Hybrid 2018 secara rasmi untuk pasaran tempatan.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, terdapat dua varian ditawarkan, iaitu Highway Star dan Premium Highway Star. Masing-masing dijual pada harga RM135,500 dan RM147,500 – harga atas jalan tanpa insurans.

    Meninjau kembali ciri-ciri yang membezakan kedua-dua varian ini, Premium Highway Star diberikan tambahan ciri lain seperti warna luaran dwi-tona dan senarai kelengkapan eksklusif. Tiga pilihan warna dwi-tona disediakan – Imperial Umber (bumbung)/Cashmere Gold (badan), Diamond Black (bumbung)/Tungsten Silver (badan) dan Diamond Black (bumbung)/Brilliant White (badan).

    Nissan Serena S-Hybrid 2.0L 2018 dilancarkan di M’sia – dua varian, harga bermula dari RM136k-RM148k

    Di dalam, ia hadir dengan tempat duduk material gabungan kulit dengan dua pilihan warna – dwi-tona Truffle Brown/Chesnut atau dalam warna hitam sepenuhnya. Kelengkapan lain yang ada termasuk panel LCD 10.1-inci pada bumbung, Tech-On Tray Mat, perakam video DVR, lampu kabin LED, rim aloi 16-inci, visor pintu, filem keselamatan V-Kool 4Mil dan body coating ThreeBond Ultra Glass.

    Secara umumnya, MPV ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti C26 Serena, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Unit ini turut dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal ciri Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyah-pecutan. Ia juga mempunyai 48 Nm tork tambahan.

    Tahap penggunaan minyak yang dicatatkan oleh model ini pula ialah 14.2 km/l (kitaran NEDC). Ini memberikan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 13% berbanding yang sebelumnya.

    Untuk keselesaan penumpang, ruang kabinnya juga menerima keluasan tambahan – lebar ruang dalamnya ditambah sebanyak 65 mm, manakala panjang ruang berkenaan pula ditambah 180 mm berbanding versi sebelum ini. Barisan kedua juga menggunakan “captain seat” dengan dua perehat lengan.

    Ciri-ciri menarik lain yang ada pada model ini adalah seperti tujuh slot USB untuk mengecas peranti elektronik setiap penumpang, pintu belakang yang mempunyai dua bahagian untuk bukaan, Intelligent Key dengan fungsi Push/Start serta paparan audio Clarion 6.75-inci dengan enam pembesar suara.

    Antara pembaharuan yang diberikan pada model baru Serena S-Hybrid ini termasuk kabin yang lebih senyap, nisbah steering rack yang ditingkatkan (untuk maklum balas yang lebih cepat) serta variable assist pada stereng kuasa elektriknya agar menjadi lebih ringan ketika kelajuan rendah dan menjadi lebih berat ketika kelajuan ditingkatkan.

    Selain itu, mounting suspensi depan dan belakang juga dikeraskan, disertakan dengan injap prestasi tiggi di dalam penyerap hentak, menjadikan pemanduan lebih stabil dan selesa.

    Kelengkapan standard yang ada bagi MPV tujuh-tempat duduk ini (dengan 13 konfigurasi berbeza) termasuk pintu gelungsur dwi-kuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-darjah (I-AVM) dengan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD).

    Kelengkapan keselamatan yang tersedia termasuklah kawalan dinamik kenderaan (VDC), ABS dan EBD, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman (TCS) enam beg udara dan dua cagak Isofix. Nissan Serena 2.0L terbaru ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Istimewa sempena kempen pengenalannya, turut ditawarkan ialah promosi Servis Penyelenggaraan selama tiga tahun/60,000 km (yang mana dahulu). Selain itu, 500 unit pertama yang didaftarkan juga akan menerima kotak pendingin mudah alih Terzo oleh PIAA, bernilai RM500.

    Untuk perincian lebih lanjut berkaitan model ini, layari juga Carbase.my

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

     
     
  • Rolls-Royce Cullinan ditunjuk – SUV serba mewah

    Rolls-Royce Cullinan ditunjuk – SUV serba mewah

    Setelah mendapati pelanggan mereka mahukan sebuah kenderaan mewah yang boleh dibawa ke mana sahaja, Rolls-Royce membuat keputusan untuk menjawabnya, dan kini SUV mewah pertama mereka diperkenalkan iaitu Rolls-Royce Cullinan. Nama ini didapati daripada intan paling besar pernah dijumpai di dunia, yang kini menghiasi mahkota kerabat diraja British.

    Walaupun sudah ada banyak SUV dalam pasaran, Cullinan dicipta untuk menjadi berbeza, dan ini bukan sahaja daripada aspek kelengkapan mewahnya. Di bahagian dalam Cullinan terdapat penutup antara tempat duduk belakang dan ruang barangan. Melalui ciri ini, keadaan dalam kenderaan akan menjadi lebih senyap, selain ruang barangan tersebut masih boleh dibuka sambil penumpang menikmati keselesaan di dalam.

    Kuasa penggerak kenderaan ini datang daripada enjin V12 6.75 liter turbo berkembar dengan tork sehingga 850 Nm, dan untuk memberikan prestasi terbaik atas pelbagai permukaan jalan, ia dipadankan bersama sistem pacuan ‘Magic Ride’. Sistem ini mengawal sepanjang masa serapan suspensi udara serta penyampaian kuasa bergantung kepada keadaan badan kenderaan, input stereng, pusingan tayar serta informasi dari kamera.

    Untuk bahagian dalam, pemilik mempunyai pilihan untuk mendapatkan Lounge Seat yang boleh menempatkan tiga orang ataupun Individual Seat untuk dua orang dan di tengahnya terdapat perehat tangan serta kabinet minuman. Untuk Lounge Seat, ia boleh dibaringkan rata, seterusnya memberi lebih ruang untuk memasukkan barangan. Ciri ini juga pertama kali disediakan pada kenderaan Rolls-Royce.

    Banyak ciri mewah terdapat pada Cullinan antaranya termasuk pintu kawalan elektronik, suspensi yang boleh turun 40 mm apabila pintu dibuka dan naik semula apabila enjin dihidupkan, serta penggunaan bahan mewah pada keseluruhan bahagian kenderaan. Untuk ciri keselamatan, kenderaan ini dilengkapi antaranya Night Vision, empat kamera dengan pandangan panoramik dan amaran perlanggaran.

     
     
  • Subaru Malaysia perkenalkan skim perlindungan harga sehingga 18 Ogos ini – ekoran perubahan GST ke SST

    Subaru Malaysia perkenalkan skim perlindungan harga sehingga 18 Ogos ini – ekoran perubahan GST ke SST

    Memandangkan perubahan yang akan berlaku kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kembali kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), TC Subaru Sdn Bhd telah mengumumkan skim perlindungan harga istimwa untuk memberikan jaminan kepada semua pelanggan terhadap pergerakan harga semua tempahan kenderaan Subaru.

    Menerusi skim ini, tempahan bagi semua model Subaru akan dilindungi harganya mula sekarang sehingga 18 Ogos 2018. Sekiranya pergerakan harga menaik sebelum pendaftaran bagi mana-mana model yang ditempah disebabkan oleh perubahan dalam regimen cukai, TC Subaru akan mengikut harga asal iaitu pada kadar yang lebih rendah. Sekiranya pergerakan harga menurun, para pelanggan akan menerima baucar perkhidmatan dengan perbezaan nilai harga (sehingga had RM3,000).

    Subaru Malaysia perkenalkan skim perlindungan harga sehingga 18 Ogos ini – ekoran perubahan GST ke SST

    Sebagai contoh, jika harganya turun sehingga RM1,000 selepas perubahan pada cukai yang dikenakan, ia akan ditukarkan kepada cukai perkhidmatan bernilai RM1,000. Bagi tempahan tanpa pendaftaran, sekiranya harganya turun sewaktu pendaftaran, harga tempahan akan dilaraskan sama, contohnya jika harga tempahan adalah RM100,000 dan harga semasa pendaftaran adalah RM99,000, maka harga yang lebih rendah iaitu RM99,000 akan dikenakan.

    Untuk sebarang perincian dan pertanyaan, para pelanggan boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran Subaru berhampiran atau pun mengemukakan pertanyaan secara dalam talian menerusi www.subaru.asia/my/en/contact-us/.

     
     
  • Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

    Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

    Portofino adalah nama sebuah pekan tepi laut di Itali, dengan bentangan suasana penuh indah, damai dan menguja. Melihat akan keunikan pekan tersebut, maka pengeluar jentera prestasi tinggi terkemuka dunia, Ferrari, mengabadikan nama tersebut buat model terbaharu mereka, Ferrari Portofino.

    Pertama kali ditampilkan di khalayak dunia di Frankfurt Motor Show 2017 September lalu, hari ini Naza Italia Sdn Bhd telah memperkenalkannya di Malaysia pula. Pengganti bagi California T, Portofino meneruskan kesinambungan sebagai model V8 bumbung boleh buka (convertible) untuk terus menawan pasaran dunia. Malah Ferrari menyakini dunia automotif bahawa Portofino merupakan model convertible yang paling berprestasi di bawah segmennya.

    Ferrari Portofino dijanakan oleh enjin V8 3.9 liter twin-turbo yang telah dipertingkatkan dengan piston dan conrod baharu, serta sistem ekzos dan pemasukan udara yang direka semula. Bagi sistem ekzos, bahagian header kini diacu sebagai satu unit, dan ia dapat membantu mengurangkan kelambatan pada tekanan turbo.

    Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

    Dengan peningkatan ini, Portofino dapat memberi pecutan lebih pantas dalam semua gear, bersama sistem Variable Boost Management yang dapat melaras penyampaian tork bergantung kepada gear yang dipilih. Malah kuasa keseluruhannya juga telah dipertingkatkan sebanyak 40 hp, kini menjadi 600 hp pada 7,500 rpm dan 760 Nm tork antara 3,000 hingga 5,250 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan.

    Ferrari juga mendakwa penggunaan bahan api menjadi lebih baik iaitu 10.5 l/100 km. Jentera ini juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat dan kelajuan maksimum yang dicapai sehingga 320 km/j.

    Ferrari Portofino juga dimantapkan dengan electronic differential generasi ketiga (E-Diff3), yang sebelum ini pertama kali digunakan pada model 458 Italia, di mana ia disepadukan di dalam sistem F1-Trac untuk meningkatkan cengkaman mekanikal dan kawalan.

    Turut diperkenalkan buat pertama kali pada Ferrari GT adalah sistem stereng kuasa elektrik, yang bekerja dengan E-Diff3 untuk mengekalkan stabiliti, meskipun mempunyai nisbah stereng 7% lebih laju. Penyerap SCM-E magnetorheological juga telah dinaik taraf dengan perkadaran lebih tinggi dan penggunaan sistem dual-coil untuk mengurangkan olengan serta memperbaiki penyerapan hentakan.

    Menurut Ferrari, walau pun dengan penambahan ini, Portofino masih lebih ringan berbanding California T hasil penggunaan teknologi pengeluaran yang moden. Semua bahagian casis dan komponen badan telah direka semula dengan fokus untuk mengurangkan berat namun tetap tegar.

    Pada bahagian dalam, kabin Portofino seakan imbasan terhadap model GTC4Lusso, ia dilengkapi dengan skrin sesentuh 10.2-inci untuk sistem hiburan dan informasi, dan satu lagi skrin berhadapan penumpang hadapan. Rekaan roda stereng pelbagai fungsinya juga adalah baharu, bersama dengan penyandar belakang tempat duduknya yang dapat memberi lebih ruang di bahagian belakang.

    Keselesaan turut diperbaiki dengan adanya sistem pendingin hawa baharu lebih berprestasi, tidak kira sama bumbung ditutup atau dibuka. Penambahan penepis angin baru juga berjaya mengurangkan bunyi udara dan menurunkan kadar kitaran udara dalam kabin sebanyak 30% apabila bumbung dibuka. Malah bumbungnya boleh dibuka dan ditutup lebih pantas, sekitar 14 saat, ketika jentera sedang dipandu perlahan, menjadikan ia layak dijadikan sebagai pengangkutan harian bagi mereka yang berkemampuan.

    Bagi pasaran Malaysia, Ferrari Portofino ini ditawarkan dengan harga asas RM948,000, tidak termasuk cukai dan pilihan kustom.

     
     
  • Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan dipertingkatkan tahap keselamatannya – MRCBGK

    Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan dipertingkatkan tahap keselamatannya – MRCBGK

    MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK), yang turut mengendalikan projek pembinaan Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3), menerusi kenyataan medianya berkata, tahap keselamatan di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan, telah dipertingkatkan. Katanya, penambahan lampu jalan dan papan tanda isyarat keselamatan juga telah diletakkan di laluan motosikal berkenaan, iaitu di KM9 arah Kuala Lumpur

    “Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang digunakan masa ini telah diluluskan oleh JKR dan kami akan terus meneliti dan mempertingkatkan tahap keselamatan bagi penunggang motosikal dari semasa ke semasa sepanjang kerja-kerja pembinaan LRT3 berlangsung,” ujar kenyataan terbabit.

    Selain itu, laluan terbabit juga diletakkan penghadang konkrit sepanjang 2 km bagi keselamatan para penunggang motosikal lebih terjamin.

    Pada 7 Mei lalu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari’at mengesahkan, semakin ramai penunggang motosikal terpaksa menggunakan laluan utama berpunca daripada kerja-kerja pembinaan LRT3 dan beberapa kerja lain berhampiran laluan motosikal di lebuhraya terbabit. Katanya lagi, terdapat kawasan di laluan motosikal di sepanjang lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup sebagai langkah keselamatan. Oleh itu pengguna motosikal terpaksa keluar dan masuk kembali ke laluan motosikal, dan ini merbahayakan mereka.

     
     
  • Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    Semalam, seperti yang kita sedia maklum, Tun Dr. Mahathir dengan secara rasminya telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke tujuh. Dan, ini juga merupakan lembaran baru dalam naratif perjalanan sejarah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan – Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional buat pertama kalinya selepas 61 tahun.

    Untuk itu, menarik juga untuk kita tinjau semula apa yang pernah dinyatakan oleh PH di dalam Buku Harapan, sebuah manifesto pilihanraya gabungan itu – tentunya di sini kita akan memberi tumpuan kepada hal-hal yang berkaitan automotif.

    Yang pertama, seperti yang tersenarai di dalam 10 janji PH yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas memerintah ialah berkaitan pengenalan subsidi bahan api bersasar untuk menstabilkan harga minyak. Ketika ini, harga minyak di Malaysia di tentukan mengikut sistem apungan secara mingguan.

    Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    PH menyatakan mereka akan menyediakan subsidi bahan api pada kadar yang difikirkan sesuai setiap bulan kepada kelompok yang layak (motosikal 125 cc dan kereta 1.3 liter ke bawah). Mereka menjelaskan, kuota yang sesuai akan ditentukan, dengan kaedah subsidi yang dihubungkan pada kad pengenalan individu, untuk mengelakkan salah guna. Dengan cara ini, subsidi yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

    Yang kedua – juga terkandung dalam 10 perkara utama yang digariskan oleh manifesto berkenaan – ialah pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah untuk mengurangkan kos sara hidup. Ini secara langsung akan memberikan kesan kepada harga kenderaan. Bagaimanapun, penghapusan GST 6% (yang ada pada harga kenderaan ketika ini) bakal menyaksikan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang pernah digunakan sebelum ini sebagai ganti.

    Bagi kenderaan, ini akan dikuti dengan cukai jualan, yang turut dikenakan sebelum pengenalan GST. Ia akan dikenakan terhadap harga kenderaan yang telah diluluskan oleh kerajaan, terutamanya nilai pasaran terbuka kenderaan itu (jika CKD) atau terhadap harga kos, insurans dan pengangkutan (jika CBU) – bersekali dengan duti eksais dan duti import. Perubahan harga akan berlaku, disebabkan oleh kaedah pengiraan yang berbeza ini.

    Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    Bagi insurans kenderaan pula, yang turut dikenakan dengan cukai tambahan 6%, kadar akhir bagi pelindungan insurans bagi kenderaan akan menjadi lebih rendah disebabkan pemansuhan ini, sekiranya tiada tambahan nilai pada insurans yang diambil itu (perbandingan pada kadar insurans yang setara ketika ini). Sebelum pengenalan GST, hanya duti stem dikenakan ke atas nilai berkenaan.

    Bagi aspek lain, pemansuhan GST tidak akan memberi kesan terhadap servis, penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan atau pun harga aksesori dan alat ganti, kerana SST – yang sebelum ini juga dikenakan pada kadar 6% – akan mengambil alih semula.

    Turut dinyatakan di dalam manifesto berkenaan ialah penghapusan tol, walaupun ia akan dinilai semula dan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun pemerintahan. PH juga akan menyatakan akan mengurangkan duti eksais pada kenderaan import dengan sesaran enjin 1,600 cc ke bawah untuk membolehkan pembelian kenderaan pertama pada harga yang lebih rendah. Untuk mengelakkan salah guna, hanya satu kereta yang akan dibolehkan untuk tujuan ini bagi satu isi rumah dengan pendapatan bulanan RM8,000 ke bawah.

     
     
  • Harga bahan api 10-16 Mei – semua masih tak berubah

    Harga bahan api 10-16 Mei – semua masih tak berubah

    Sementara seluruh rakyat Malaysia masih lagi menantikan keputusan penuh PRU14, pengumuman harga bahan api juga perlu dilihat. Jangkaan sebelum ini menyatakan harganya mungkin tidak berubah, dan itulah yang berlaku bagi tempoh 10 hingga 16 Mei 2018.

    Bermakna, semua bahan api masih lagi akan dijual pada harga sama untuk satu minggu ke hadapan, iaitu RM2.20 seliter untuk RON 95, RM2.47 untuk RON 97 dan RM2.18 seliter untuk diesel Euro 2M. Seperti biasa, diesel Euro 5 dijual 10 sen lebih tinggi berbanding Euro 2M iaitu pada RM2.28 seliter.

    Walaupun harga pasaran minyak dunia menunjukkan trend menaik, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penangguhan perubahan pada harga pasaran semua bahan api di Malaysia dan kita akan melihat bagaimana perubahan yang akan berlaku apabila keputusan PRU 14 keluar nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025