KTM Berha dtelah mengumumkan perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi menggunakan jadual waktu baharu berkuat kuasa esok. Ia adalah seiring dengan maklum balas pengguna dan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkenaan jadual waktu sekarang yang digunakan sejak 22 Disember lepas.
Menurut Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter Khair Johari Ishak, perubahan jadual waktu itu bagi memastikan perkhidmatan lebih lancar sepanjang penutupan satu landasan antara Stesen KL Sentral – Stesen Putra dan Stesen Kuang – Stesen Sungai Buloh, berikutan kerja-kerja Projek Menaik Taraf Infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang dijangka siap November 2019.
“KTM Berhad (KTMB) komited dan prihatin untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna KTM Komuter walaupun kami berhadapan dengan cabaran untuk memastikan kerja-kerja projek dijalankan mengikut perancangan dan pada masa yang sama perlu memenuhi keperluan pengguna,” katanya seperti mana yang dilaporkan menerusi Bernama.
Menurutnya lagi, jadual waktu laluan bagi Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang akan mengalami perubahan berikutan kekerapan tren yang baharu iaitu setiap 30 minit sepanjang hari berbanding sekarang iaitu setiap 15 hingga 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.
Manakala jadual waktu bagi laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang berlaku perubahan berikutan perubahan corak operasi tren. Malah turut dimaklumkan tiada perkhidmatan terus dari Pulau Sebang ke Batu Caves dan sebaliknya mulai esok.
Stinger adalah satu model penting bagi Kia. Ia dibina dengan prestasi sport, dan mahu memberi cabaran kepada kereta prestasi BMW 4 Series Gran Coupe, Audi A4, Lexus IS, Infiniti Q50 dan pelbagai lagi. Walaupun sudah diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat, Kia masih lagi giat mengadakan promosi untuk model ini.
Terbaru, mereka telah menyiarkan video promosi Stinger untuk acara SuperBowl. Selain menampilkan pelumba ikon, Emerson Fittipaldi, turut muncul dalam video ini adalah penyanyi terkenal kumpulan Aerosmith, Steven Tyler. Menariknya dalam video ini, yang ditunjukkan memandu adalah Tyler, dan bukannya Fittipaldi.
Malah, aksi Tyler mengejutkan pelumba ikon tersebut kerana beliau memandu secara mengundur sambil tayar berasap menunjukkan kuasa penuh Stinger dihamburkan. Konsep video ini juga agak menarik dengan satu ayat “Rasakn Sesuatu Semula” yang dijadikan sebagai cogan kata bagi video promosi tersebut.
Stinger sudah mendarat di negara kita, tetapi masih belum dilancarkan secara rasmi. Ia pertamanya dibawa ke satu persidangan pengedar Kia di Sabah, dan kemudiannya dipertonton secara rasmi di Maeps, Serdang untuk orang ramai. Ia dikuasakan oleh enjin dijana enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Enjin paling berkuasa dalam barisan unit janakuasa Kia berkenaan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik.
Lakaran digital yang sedang anda lihat ini ialah bagi model Skoda Vision X, sebuah kereta konsep yang akan buat penampilan di Geneva Motor Show bulan depan. Ia akan menjadi pendekatan SUV urban kompak yang akan diposisikan di bawah model Skoda Karoq dan Skoda Kodiaq.
Skoda menyifatkan Vision X sebagai sebuah kenderaan yang serasi dengan gaya hidup urban yang aktif, selayaknya dengan sebuah SUV. Lakaran ini menggunakan warna FlexGreen dan dipadankan dengan bumbung hitam serta rim aloi 20-inci.
Bahagian dalaman juga menunjukkan arah tuju baru bagi rekaan yang akan digunakan untuk model-model akan datang jenama yang bernaung di bawah Volkswagen Group ini. Rekaletak papan pemuka lebih tebuka dan lebar, dengan paparan visual ditengah.
Menurut Skoda, elemen pencahayaan dengan warna badan yang ditunjuk ini mencadangkan kesan lampu untuk melahirkan suasana atmosferik yang lebih elegan.
Dari laporan Autocar pula, produksi Vision X ini dijangka tidak akan diasaskan pada model Fabia, tetapi menggunakan platform MQB A0 daripada Volkswagen – yang turut digunakan pada model-model dalam segmen yang sama seperti Seat Arona dan Volkswagen T-Roc.
Model konsep ini kemungkinan akan menggunakan sistem janaan hibrid. Ada juga laporan yang menyebut nama-nama seperti Amiq dan Anuq telah di daftarkan secara rasmi (trademark), tetapi itu tak selari dengan kaedan penamaan yang Skoda guna untuk barisan SUV-nya, yang bermula dengan huruf ‘K’.
Trak pikap Ford Ranger versi berprestasi tinggi – Ranger Raptor – akhirnya diumumkan akan membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand 7 Februari ini, menurut laman Facebook rasmi Ford Thailand.
Menerusi siri video-video teaser yang disiarkan sebelum ini, Ranger Raptor berkemungkinan besar tidak akan menggunakan enjin petrol turbo 3.5 liter EcoBoost seperti abang besarnya F-150 Raptor, sebaliknya akan diberikan enjin turbodiesel 2.0 liter EcoBlue baharu. Walaupun berkapasiti lebih kecil, enjin siri Panther baharu berkenaan dilaporkan mampu menghasilkan kuasa lebih besar dari enjin Puma 3.2 liter Duratorq sedia ada.
Selain dari kuasa yang lebih besar, Ranger Raptor turut bakal diberikan mod pemanduan istimewa termasuk Baja (untuk pemanduan off-road di padang pasir) dan juga Sport untuk pemanduan pada permukaan tar dengan pemilihan gear 2H pada sistem 4WD.
Sesuai dengan namanya, trak pikap ini juga dijangka bakal menerima gril, bampar, roda dan pelbagai ciri lain yang lebih agresif berbanding Ranger T6 standard. Untuk pengendalian yang lebih baik, model berkenaan juga berkemungkinan bakal diberikan sistem suspensi baharu.
Walaupun ia akan membuat penampilan perdana di Thailand, Ranger Raptor ini sebenarnya dibangunkan di Australia. Ia bakal diperkenalkan di benua berkenaan sehari selepas itu iaitu pada 8 Februari. Di Amerika pula, Ford telah membawa semula Ranger ke negara tersebut tetapi masih lagi belum pasti sama ada versi Raptor lebih kecil ini akan dipasarkan sekali atau tidak bersama trak saiz penuh F-150 Raptor.
Berikutan Clubman Sterling Edition yang diperkenalkan semula pada bulan lalu, MINI Malaysia telah memaparkan teaser dua model edisi istimewa yang akan datang iaitu Urbanite dan Amplified. Walau bagaimana pun, tidak banyak perincian didedahkan bagi “dua model baharu hatch yang memiliki gaya unik ini” namun menerusi video yang dipaparkan di bawah, ia digambarkan sebagai fesyen tipikal MINI.
Urbanite merupakan edisi “Instaworthy”, “yang sesuai bagi mereka yang gemar berkarya menerusi lensa dan paparan subjek yang berseni. Juga bagi yang mahukan perhatian serta kesempurnaan,” menurut MINI.
Amplified pula adalah “No Small Torque”. “Bagi yang mahu mencari cabaran, atau cabaran yang mencari mereka. Ia penuh dengan keinginan yang di luar jangkauan,” jelas MINI.
Urbanite merupakan MINI Cooper lima-pintu dengan aksesori tambahan dan tema semua-hitam, bersama sentuha merah serta “spotlight” tersendiri. Ia juga menampilkan logo “URBAN” pada papan pemukanya. Manakala Amplified pula merupakan F56 Cooper S tiga-pintu dengan “tork yang lebih tinggi bersama kuasa kuda yang memuncak.”
Lebihan tork dan kuasa kuda seakan memberikan bayangan terhadap kit talaan JCW Pro dan sistem penyenyap JCW Pro dengan kawalan Bluetooth, seperti mana yang pernah ditawarkan pada MINI JCW Pro Edition sejak 2016. Dengan itu, Cooper S yang hadir dengan kuasa 192 hp/280 Nm dapat ledakan yang lebih padu sehingga 211 hp/300 Nm. Kit aerodinamik JCW Pro dan tambahannya (aloi Track Spoke 17-inci dapat dilihat pada UK 1499 GT) memberikan visual yang lebih berpadanan dengan hatch ini.
Model biasa MINI Cooper lima-pintu ditawarkan pada harga RM193,888, sementara model standard MINI Cooper tiga-pintu pula berharga RM229,888. Jadi harga bagi model edisi istimewa ini pastinya sedikit tinggi, malah mungkin juga ia ditawarkan dengan unit terhad.
Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) bakal menganjurkan kempen #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Sukarela secara percuma bagi pemilik kenderaan persendirian dari 5 hingga 15 Februari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Ia melibatkan semua pusat pemeriksaan Puspakom kecuali Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Mak Mandin, Kota Bharu, Langkawi, Labuan dan Lahad Datu. Di mana semua pusat pemeriksaan yang terlibat beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Selain itu, Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom juga akan menawarkan pemeriksaan percuma di parkir Tesco Shah Alam, Seksyen 13 dan di kawasan Plaza Tol Alam Impian pada hari Ahad, 4 dan 11 Februari ini dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Orang ramai digalakkan untuk memeriksa kenderaan mereka secara percuma sempena kempen tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail, kempen #drivesafenoregrets ini merupakan salah satu komitmen dan tanggungjawab korporat Puspakom dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya khususnya ketika musim perayaan.
“Inisiatif ini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan pemilik kenderaan. Sepanjang tempoh lima tahun ini, lebih 15,000 pemilik kenderaan persendirian telah memanfaatkan pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena musim perayaan. Kami rasa gembira kerana ribuan pelanggan mengambil peluang setiap kali pemeriksaan percuma ditawarkan.
“Semua pemandu kenderaan perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan kenderaan mereka terjamin di jalan raya. Kami percaya kadar kemalangan dapat dikurangkan sekiranya setiap pemandu mengambil berat terhadap keselamatan kenderaan masing-masing,”ujarnya.
Pemeriksaan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini merangkumi ujian pengeluaran asap, suspensi, gelincir sisi, bahagian atas dan bawah kenderaan, brek dan ketelusan cermin. Laporan pemeriksaan akan diserahkan kepada pelanggan sejurus selesai pemeriksaan dan boleh dijadikan sebagai rujukan bagi memudahkan pelanggan membuat penyelenggaraan dan pembaikan selanjutnya terhadap kenderaan mereka.
Bagi anda yang berminat menyertai kempen ini, bolehlah terus mengunjungi pusat pemeriksaan Puspakom tanpa perlu membuat sebarang temujanji dan tidak memerlukan sebarang dokumen. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen #drivesafenoregrets pemeriksaan percuma ini, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom 1-800-88-6927 atau layari laman web Puspakom di www.puspakom.com.my, atau laman rasmi Facebook Puspakom.
Edaran Tan Chong Motor telah melancarkan satu lagi varian untuk barisan SUV X-Trail bagi pasaran Malaysia iaitu X-Trail X-Tremer baharu. Ia hadir dengan penampilan luaran yang lebih menyerlah, bahkan diserikan dengan beberapa kit badan yang lebih berketerampilan.
X-Trail X-Tremmer ini telah dipertingkatkan dengan kekemasan X-Face untuk bahagian hadapannya, sekaligus menyerlahkan lagi identitinya. Bukan itu sahaja, ia juga ditampilkan dengan padanan warna Passion Red untuk badannya serta padanan rona siluet hitam untuk beberapa kit luaran baharu termasuklah bumbung, rel bumbung, spoiler belakang, cermin sisi dan rim aloi lima jejari bersaiz 17-inci dengan sentuhan hitam berkilat. Selain itu, ia turut dipasang dengan pelindung bampar belakang baharu berwarna krom bagi menambahkan lagi aura lasaknya.
Di dalamnya, tiada perubahan yang drastik dilakukan, selain ia menampilkan tempat duduk kulit Nappa mewah berwarna hitam yang meningkatkan lagi sofistikasinya.
Bahagian mekanikal termasuk penjana kuasanya masih dikekalkan iaitu 2.5L 4WD dipadankan dengan enjin QR25DE-k2 bersama Twin CVTC yang mampu menawarkan output maksimum 171 PS pada 6,000 rpm dan tork 233 Nm pada 4,000 rpm. Varian 2.0L 2WD pula menggunakan enjin MR20DD dengan sistem pancitan terus dan Twin CVTC, ia berupaya menjana kuasa sehingga 144 PS pada 6,000 rpm dan tork 200 Nm pada 4,400 rpm.
Kedua-dua varian ini turut dipadankan kotak gear Xtronic CVT generasi baharu dengan mod manual tujuh-kelajuan serta sistem ECO Mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, selain prestasi pemanduan lebih lancar dan berkuasa.
Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian ini dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, BA, Kawalan Dinamik Kenderaan, Bantuan Mula Mendaki, Isofix dan Kawalan Chasis Aktif. Walau bagaimana pun varian 2.5 4WD memiliki pertambahan elemen keselamatan iaitu Kawalan Turun Bukit. Selain itu, ia turut menawarkan teknologi canggih Nissan Intelligent Mobility yang merangkumi Intelligent Around View Monitor untuk perspektif pandangan 360 darjah bagi menjadikan urusan memarkir dan navigasi lebih mudah.
Intelligent Ride Control pula mengurangkan olengan yang dialami oleh pemandu apabila melalui laluan yang tidak rata dengan cara mengawal kuasa tork enjin dan brek, sekali gus meningkatkan keselesaan. Sistem Intelligent Engine Brake mengubah suai jumlah brek enjin untuk mengurangkan pecutan ketika mengambil selekoh atau berhenti.
Manakala Intelligent Trace Control – ciri pertama pada Nissan – berfungsi mengenakan sedikit tekanan brek ke atas roda-roda untuk mengurangkan masalah understeer. Intelligent 4×4 System (4×4-i) pula menawarkan pilihan mode tetap 2WD, Auto Mode (mode 2WD dan 4WD modes) atau Lock Mode (pacuan semua roda sepanjang masa) untuk keseronokan pemanduan yang ekstrem dan keselamatan terbaik, walaupun di atas jalan yang tidak sempurna.
X-Trail X-Tremer ditawarkan pada harga RM141,450 (2.0L 2WD) dan RM163,650 (2.5L 4×4-i) serta hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan tanpa had. Sementara aksesori yang dipasang dari kilang didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Pemilik sedia ada X-Trail (varian Comfort/ Aero Edition/ Premium IMPUL) yang ingin menaik taraf X-Trail masing-masing boleh membeli aksesori-aksesori X-Tremer secara berasingan. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web: www.nissan.com.my atau kunjungi mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara.
Honda Malaysia baru sahaja selesai melakukan proses naik taraf fasa kedua bagi gudang alat ganti mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam, demi berhadapan dengan permintaan khidmat selepas jualan yang semakin meningkat. Selain penambahan ruang simpanan, naik taraf ini juga melibatkan bahagian operasi gudang dan peningkatan waktu penghantaran kepada 93 pengedar Honda di seluruh negara.
Keseluruhannya, naik taraf gudang ini memakan belanja sebanyak RM11 juta, dan kini kapasiti simpanannya adalah seluas 21,700 meter persegi. Gudang yang dibuka pada tahun 2012 ini terletak di atas tanah berkeluasan 50,000 meter persegi dan ia akan turut menyokong perkembangan perniagaan syarikat tersebut pada masa hadapan.
“Dalam empat tahun yang lepas, Honda Malaysia telah mencatat peningkatan jualan dan kemasukan servis yang agak tinggi, dan ini menyebabkan permintaan alat ganti juga meningkat. Naik taraf ini dilakukan pada masa yang tepat memandangkan jualan alat ganti direkod meningkat sebanyak 32% manakala bahagian ketuk dan cat pula meningkat 48% pada tahun 2017,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.
Bulan lepas, satu teaser telah dikeluarkan oleh BMW Malaysia, dan kini ia semakin dekat untuk menjadi kenyataan – BMW Concept 8 Series akan dipertontonkan di Malaysia dalam sebuah acara yang akan berlangsung 22 Februari ini. Nampaknya, bukan seperti yang yang diagak sebelum ini; Malaysia bukanlah pentas pertama untuk memperkenalkan BMW 8 Series versi produksi kepada dunia.
Kemunculan model konsep ini disahkan melalui satu post Facebook dari BMW Malaysia, yang turut membuka pendaftaran kepada mereka yang berminat – untuk menghadiri acara berkenaan, tentunya. BMW Luxury Excellence Pavilion akan berada di KLCC dari 22 Februari hingga 7 Mac. Ia akan menjadi satu-satunya acara seumpamanya menurut syarikat berkenaan.
“BMW Malaysia akan berkongsi visinya mengenai kemewahan dengan bandaraya Kuala Lumpur,” seperti yang dinyatakan sebelum ini berkaitan model dan acara berkenaan.BMW Concept 8 Series mula ditunjukkan kepada dunia pada bulan Mei 2017.
Bagi BMW 8 Series versi produksi pula, ia dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Syarikat itu telah mengeluarkan video rasmi model ini ketika dalam ujian meinggu lalu, yang memaparkan coupe pacuan roda belakang ini dalam aksi yang menakjubkan. Akan ada juga versi M8 dan jentera litar M8 GTE.
Yamaha mempunyai pilihan aksesori prestasi mereka sendiri yang dinamakan sebagai GYTR (Genuine Yamaha Technology Racing). Sebelum ini, GYTR lebih fokus kepada motosikal offroad, tapi kini ia sudah mula membangunkan produk untuk motosikal street, bermula dengan model YZF-R1 dan YZF-R6.
Barangan prestasi ini, selain menggunakan khidmat syarikat terkenal seperti Ohlins dan Akrapovic, turut dibangunkan sendiri oleh jurutera Yamaha, untuk menukarkan jentera asal pelanggan kepada sebuah jentera yang sedia menunjukkan prestasi hebat di dalam litar.
Bagi dua model sport terkenal Yamaha ini, barangan GYTR yang ditawarkan adalah terdiri daripada ECU lumba, sistem pendawaian khas, set palam pencucuh, set salur udara, camshaft, piston dan conrod, rim jenis lumba, sistem ekzos Akrapovic, suspensi depan, belakang serta damper Ohlins, dan kit perlindungan Gilles.
Semua barangan ini dibangunkan dengan inspirasi daripada jentera yang digunakan dalam perlumbaan seperti Endurance World Championship, Suzuka 8 Hours dan WorldSSP, seterusnya memberikan keyakinan pada kualiti, ketahanan dan prestasi setiap komponennya.
Dalam siaran akhbar global yang dikeluarkan, Yamaha memberitahu produk prestasi GYTR untuk R1 dan R6 boleh mula didapati di semua pengedarnya bermula April 2018, namun harganya tidak diberitahu. Tapi di Malaysia, pengedar rasmi jenama ini, iaitu Hong Leong Yamaha Sdn Bhd tidak membawa masuk R1 dan R6 secara rasmi, jadi kami berpendapat, mereka mungkin juga tidak membawa masuk pakej GYTR ini.
Kia telah mendedahkan sedan segmen-C Forte generasi baharu di Detroit bulan lalu yang tampil dengan rupa lebih garang diinspirasikan dari Abang Longnya, Kia Stinger GT. Namun tidak seperti sepupu lainnya di bina dari platform J5 yang sama seperti Hyundai Elantra dan i30, Forte generasi baharu ini hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter NA bersama kotak gear CVT tanpa pilihan model dengan prestasi lebih mengujakan.
Tetapi adakah barisan model Forte generasi ketiga ini akan kekal sedemikian? Menurut pengurus produk untuk Kia Forte, Derrick Ty ketika ditemuramah oleh Motortrend semasa berlangsungnya North American International Auto Show (NAIAS) 2018, ada lagi penawaran untuk model berkenaan yang masih belum didedahkan.
“Ada lagi yang belum dilengkapkan pada Forte,” kata Ty dan menambah, “kami mempunyai lagi produk yang lebih mengujakan pada masa akan datang yang tidak boleh saya perkatakan lagi.”
Tanpa menghuraikan apa yang dimaksudkan “mengujakan” tersebut, Ty menjelaskan beliau sememangnya mula untuk teruja, dan ia akan memberikan keterujaan dalam berberapa tahun akan datang.
2019 Forte
Enjin yang menjana Forte generasi baharu ini berupaya membekalkan kuasa 147 hp/180 Nm – sama seperti model generasi sedia ada, tetapi dikatakan lebih efisen dan dijangka mencatatkan penggunaan 14.9 km/l dalam situasi gabungan, atau 1.3 km/l lebih baik dari sebelumnya. Buat pertama kali juga, Kia menggunakan kotak gear CVT dalam barisan produknya.
Hyundai Elantra juga diberikan enjin 2.0 liter NA untuk model asas. Tetapi untuk versi Elantra Sport, sedan berkenaan dijana enjin 1.6 liter turbo T-GDI yang berkuasa 204 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 265 Nm pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm, serta digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.
Hatchback i30 pula jauh lebih hebat dengan diperkenalkan dalam versi berprestasi tinggi Hyundai N – digelar i30 N, dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 250 hingga 270 PS dengan tork 353 Nm.
Walaupun Forte belum lagi hadir dengan versi yang lebih berkuasa, model generasi baharu ini menampilkan bahagian kabin dengan kualiti yang lebih baik dari sebelumnya, serta menawarkan pelbagai ciri elektronik baharu seperti skrin sesentuh lapan-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta pakej bantuan pemanduan Kia digelar Advanced Driver Assistance Systems (ADAS).
London akan mengenakan caj bagi apa yang dikenali sebagai Ultra Low Emission Zone (ULEZ) yang akan dilancarkan pada 2021. Dan untuk itu, dianggarkan sebanyak 1.6 juta pengguna perlu menukar kenderaan mereka kepada yang lebih bersih dan “hijau” bagi mengelakkan caj £12 (RM66.6) sehari. Hal ini adalah menurut Persatuan Pengeluar & Penjual Kenderaan UK (SMMT), seperti dilaporkan oleh Autocar.
Angka 1.6 juta itu dianggarkan oleh badan berkenaan (seperti MAA di Malaysia) dan jauh lebih besar berbanding angka rasmi yang diterima-pakai oleh Transport for London (TfL). SMMT menyatakan sebanyak 782,439 kenderaan diesel dan 858,018 petrol akan terkesan dengan peraturan baru itu. Manakala TfL pula menjangkakan hanya 321,000 kenderaan diesel dan 255,000 kenderaan petrol akan terlibat.
Jika angka yang dicadangkan oleh SMMT ini tepat, ia akan memberikan kesan besar terhadap warga London dan populasi kenderaan kota itu. Peraturan baru ini nanti akan lebih tegas terhadap kenderaan diesel berbanding petrol – diesel Euro 0-5 dan petrol Euro 0-3 perlu membayar caj berkenaan.
Kiraan yang dilakukan untuk laporan itu mencadangkan bahawa pemilik kereta petrol akan terkesan sekiranya mereka memandu model sebelum tahun 2005, ketika Euro 4 bermula. Hari ini, kereta berkenaan sudah berusia 12 tahun.
Majalah berkenaan turut menyentuh tentang kereta-kereta klasik moden, dari tahun 80an, 90an dan 2000an akan menjadi begitu mahal untuk digunakan secara harian dalam bandar besar itu. Kereta klasik bagaimanapun dilobi agar terkecuali daripada caj berkenaan, seperti yang dilakukan oleh Federation of British Historical Vehicle Club. Bagi kerajaan di sana, kereta bersejarah kenderaan yang berusia lebih dari 40 tahun. Maksudnya, pada tahun 2021 nanti, kenderaan yang dikeluarkan sebelum tahun 1981 akan terkecuali.
Menurut pihak berkuasanya, semua ini adalah perlu untuk menjamin keadaan yang lebih baik. “Langkah segera perlu diambil untuk mengatasi masalah kualiti udara di London dan mengurangkan emisi dari kenderaan yang sudah tua.
Ketika ini kami sedang berunding untuk memperluas kawasan bagi caj ULEZ berkenaan, yang akan mengurangkan sebanyak 71% pencemaran di kawasan sekolah dan kawasan berpopulasi tinggi pada 2021. Ini secara langsung akan mengurangkan terdedahnya kanak-kanak sekolah terhadap bahan toksik berbahaya,” jelas pengarah perancangan bandar TfL, Alex Williams.
“Kami bukannya ingin mengharamkan kenderaan. Pilihan untuk menggunakan kenderaan masih ada, cuma selepas membayar caj £12 itu. Pemilik mungkin akan semakin kurang menggunakan kereta mereka,” tambah jurucakap TfL.
Caj ULEZ adalah tambahan kepada caj kesesasakan sedia ada, yang bermula dari £5 sejak 2003 dan telah meningkat beberapa kali selepas itu – £8 pada 2005, £10 pada 2008 dan £11.50 (RM63.8) pada 2014. ULEZ baru saja dalam peringkat permulaan, dengan bandar-bandar seperti Birmingham, Manchester dan Oxford akan mengikut jejak yang sama kelak.
Menurut laporan yang disiarkan oleh CarAdvice, Mitsubishi Lancer mungkin akan ditamatkan penjualannya di Australia sebelum akhir 2018. Kini, jenama tersebut lebih memfokuskan penjualan model SUV berbanding sedan, walau bagaimana pun, tidak dipastikan adakah nama Lancer bakal kembali pada masa hadapan.
Buat masa ini, produksi bagi Lancer telah pun tamat di seluruh dunia, kecualidi Taiwan dan China. Di Malaysia pula, model ini tidak lagi berada di dalam senarai laman web rasmi Mitsubishi Motors Malaysia. Walau bagaimana pun, Mitsubishi Motors Australia (MMAL) akan memasarkan unit terakhir dari Jepun “untuk menampung jualan hingga akhir tahun” ujar CEO John Signoriello.
Mirage mungkin menjadi satu-satunya bukan-SUV dan model bukan-pikap dalam barisan MMAL apabila Lancer 2017 ditamatkan jualannya. Walau pun begitu, MMAL sebenarnya merupakan penjual ketiga terbesar bagi SUV di Australia pada tahun lalu.
Pada 2017, ia mencatatkan jualan sebanyak 80,000 kenderaan, di mana 48,000 daripadanya adalah model ASX, Outlander, Pajero Sport dan Pajero. Sekaligus meletakkan syarikat tersebut di tangga kelima dalam keseluruhan jualan mendahului Ford, tetapi di belakang Toyota, Mazda, Hyundai dan Holden. Eclipse Cross yang baru dilancarkan juga dijangka akan meningkatkan lagi jualan Mitsubisi di sana.
UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan panggilan balik bagi menggantikan pengesan beg udara yang berpotensi rosak pada unit terpilih Toyota Corrola Altis, Lexus NX dan RX. Kempen panggilan balik ini adalah sama dengan yang dilakukan oleh Toyota Motor Corporation (TMC) pada 31 Januari baru-baru ini.
Berdasarkan maklumat daripada TMC, sebanyak 2,800 unit Corolla ALtis terlibat, manakala 500 unit pula bagi NX dan RX. Kenderaan yang terjejas ini dikeluarkan dari Jun 2015 hingga Januari 2016, dan diedarkan oleh UMWT dan Lexus Malaysia.
Mengikut maklumat lagi, kerosakan ini berkaitan dengan isu pembuatan di mana terdapat kemungkinan penebat yang digunakan untuk cip litar bersepadu (IC) dalam pengesan tekanan terjejas dan pengesan G yang mengelupas dari masa ke masa, menyebabkan litar terbuka dalam cip IC.
Perkara ini boleh menyebabkan lampu amaran beg udara menyala dan beg udara tirai/sisi dan/atau beg udara hadapan/belakang kemungkinan boleh dinyahaktifkan dan tidak akan terbuka apabila diperlukan. Ini boleh menyabkan risiko kecederaan kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan.
Pemilik kenderaan yang terjejas akan dimaklumkan oleh UMWT, dan apabila alat ganti sudah ada, mereka perlu membawa kenderaan masing-masing ke pusat servis Toyota atau Lexus untuk penukaran komponen yang terjejas. Proses penukaran ini mengambil masa selama 30 minit hingga empat jam (bergantung pada model), dengan semua kos terlibat akan ditanggung sepenuhnya oleh UMWT.
Syarikat itu turut berkata, pelanggan Toyota boleh menghubungi pusat servis Toyota atau menelefon Toyota Freephone di talian 1800-8-TOYOTA (869682). Malah laman web khas juga disediakan bagi membolehkan pelanggan menyemak status kenderaan masing-masing menggunakan semakan VIN, SILA KLIK DI SINI. Manakal untuk pemilik Lexus pula, pelanggan bolehlah menghubungi pengedar Lexus di seluruh Malaysia atau menelefon Freephone di 1800-88-LEXUS (53987) atau layari lexus.com.my.
Dua tahun lalu, Infiniti telah mendedahkan enjin baharu digelar VC Turbo yang menggunakan rekaan khas membolehkan nisbah mampatannya berubah-ubah mengikut keperluan. Tahun ini ketika North American International Auto Show (NAIAS) berlangsung, enjin berkenaan sekali lagi dipamerkan dan Infiniti turut menjemput Jason Fenske iaitu pemilik saluran Youtube Engineering Explained untuk menjelaskan lagi bagaimana enjin berkenaan berfungsi.
Secara rasmi, enjin VC Turbo ini merupakan enjin produksi pertama di dunia yang menggunakan sistem nisbah mampatan bervariasi berkenaan dan bakal diperkenalkan pada model Infiniti QX50. Namun, apa pula faedah dengan adanya nisbah mampatan yang boleh berubah-ubah ini?
Bagi mereka yang masih belum mengetahui, nisbah mampatan adalah nisbah antara isipadu maksimum ketika omboh berada pada titik paling bawah pada silinder (bottom dead center atau BDC) dan isipadu minima ketika silinder berada pada titik paling tinggi (top dead center atau TDC). Lebih tinggi nisbah mampatan ini akan memberikan kecekapan enjin lebih baik, tetapi akan menyebabkan enjin beroperasi pada suhu yang tinggi.
Sebab itulah sistem nisbah mampatan bervariasi ini direka oleh Infiniti iaitu bagi mendapatkan nisbah mampatan tinggi pada masa yang benar-benar sesuai, dan kembali pada nisbah mampatan normal apabila tidak diperlukan. Bagi membolehkan nisbah mampatan berkenaan berubah-ubah, Infiniti telah membuat rekaan khas terhadap aci engkol (crankshaft) enjin VC Turbo berkenaan.
Disebabkan enjin ini dilengkapi dengan pengecas turbo, prestasi maksima dapat dicapai dengan nisbah mampatan serendah 8:1 membolehkan tekanan boost maksima dihantar ke kebuk pembakaran. Manakala untuk kecekapan bahan api yang tinggi, enjin berkenaan mampu mencapai nisbah mampatan setinggi enjin 2.0 liter NA SkyActiv-G Mazda iaitu pada bacaan 14:1 – ia digunakan ketika enjin dalam keadaan kelajuan melahu (idling speed) ataupun sedang cruising dalam kelajuan sekata di lebuhraya, bagi mendapatkan kecekapan bahan api yang lebih baik.
Perubahan dari nisbah mampatan rendah dan tinggi ini dapat dibuat dengan lengan penggerak mekanikal yang dihubungkan pada rod penghubung omboh menerusi slot pada sisi blok enjin. Rod penghubung direka dengan dua bahagian dan bersambung dengan penghubung jenis tuil. Lengan penggerak (beroperasi menggunakan motor elektrik yang diletakkan pada bahagian luar blok enjin) akan menggerakan penghubung-penghubung ini, dan akan menggubah jarak pergerakkan omboh.
Pergerakkan yang panjang (TDC lebih tinggi) akan memberikan nisbah mampatan maksimum 14:1 manakala dengan pergerakan lebih pendek (TDC lebih rendah) akan memberikan nisbah mampatan terendah 8:1.
Jika anda perhatikan juga, enjin yang diberikan sistem mekanikal khas ini mempunyai aci engkol yang tidak disertakan dengan pengimbang syaf. Ini kerana rekaan unik pada bahagian tersebut secara tidak langsung melenyapkan ketidakstabilan ketika aci engkol berkenaan berfungsi, menjadikan enjin ini lebih stabil dan tidak bergegar seperti enjin empat-silinder sebaris konvensional.
Rekaan berkenaan juga secara tidak langsung mengurangkan sudut gerakan rod penghubung ketika omboh turun dan naik dalam silinder, dan faktor tersebut membolehkan geseran dapat dikurangkan dan meningkatkan lagi kecekapan enjin ini.
Selain revolusi yang diberikan pada bahagian bawah enjin ini, Infiniti turut melengkapkan kepala enjin ini dengan pelbagai teknologi terkini. Enjin VC Turbo pada asasnya akan berfungsi dengan kitaran empat lejang “Otto” konvensional. Tetapi ketika ia dalam mod ekonomi, kitaran berkenaan akan diubah menjadi kitaran Atkinson, yang melambatkan penutupan sepenuhnya injap kemasukan semasa lejang mampatan bagi membebaskan sedikit udara keluar dari kebuk pembakaran – seterusnya meningkatkan lagi tahap efisien enjin ini.
Infiniti juga memadankan dua jenis sistem suntikan bahan api serentak pada enjin ini yang berfungsi hampir sama seperti sistem suntikan D-4S dari Toyota. Sistem ini menampilkan suntikan bahan api pada port kemasukan dan juga suntikan terus ke kebuk pembakaran (gasoline direct injection atau GDI) turut diberikan.
Manifold ekzos enjin ini juga dibina secara bersepadu dengan kepala silinder, yang membolehkan pengecas turbo diletakkan serapat yang mungkin bagi meningkatkan responnya serta mempercepatkan pemanasan catalytic converter.
Dengan kesemua teknologi yang diberikan ini, enjin 2.0 liter empat-silinder VC Turbo berkenaan mampu menjana 270 bhp dan tork maksima 390.5 Nm. Infiniti turut mendakwa enjin berkenaan akan memberikan “ekonomi seperti enjin diesel dan kuasa serta kelancaran seperti enjin V6”.