Honda telah memperkenalkan Civic Red di Thailand International Motor Expo. Pameran automotif yang mula berlangsung hari ini sehingga 11 Disember, menyaksikan kehadiran warna luaran baharu bagi Civic FC generasi ke-10, iaitu dalam tona Rallye Red yang sungguh menarik pandangan ini.
Warna tersebut ditawarkan bagi dua daripada empat varian yang ditawarkan di Thai iaitu 1.8 EL dan Turbo RS, iaitu seperti foto yang terpapar ini, yang dapat dikenalpasti menerusi rekaan roda lima-jejari 17-inci. Civic Red turut dikekalkan dengan roda ala-turbin 16-inci pada varian 1.8 EL.
Tidak dinyatakan tentang kit baharu, namun kelihatan seperti tiada semakan semula pada spesifikasi dan elemen utamanya bagi model yang dilancarkan di Thailand pada Mac tahun lalu.
Nampaknya ia masih mengekalkan enjin 1.8 liter i-VTEC empat-silinder dengan menawarkan kuasa sehingga 141 hp pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm, dan enjin 1.5 liter VTEC Turbo, bersama hamburan kuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm antara 1,700 dan 5,500 rpm.
Jika anda kerap memerhatikan ruang ini, anda berkemungkinan besar sudah pernah membaca laporan pandu uji Perodua Myvi 2018 yang kami terbitkan pada hari yang sama sebaik sahaja pelancaran rasminya dilakukan di Putrajaya.
Tetapi, itu adalah hasil dari pengalaman singkat memandu kereta berkenaan – dari unit yang ujian dan bukannya versi yang dikeluarkan secara rasmi – di dalam litar Perodua. Ketika itu, kami belum sempat memandunya di atas jalan raya biasa, dalam suasana pemanduan harian yang sebenar.
Jadi, minggu lalu kami lakukan pula sesi pandu uji yang lebih menyeluruh, sebaik sahaja menerima dua model Myvi 2018 untuk tujuan itu. Kami juga sudah menyediakan galeri besar untuknya; pertama untuk menunjukkan perbezaan penawaran antara varian 1.3 Premium X dengan 1.5 Advance, dan tak lupa juga untuk menunjukkan perbezaan Myvi 1.5 Advance 2018 berbanding model lamanya, Myvi 1.5 Advance 2015.
Ujian apa yang dimaksudkan? Idea utamanya adalah untuk melihat bagaimana prestasi yang diberikan oleh Myvi 2018 ini dalam penggunaan dunia sebenar. Maka, beberapa perkara yang sempat kami cuba uji dan perhatikan ialah seperti penggunaan petrol, kepantasan bagi pecutan 0-100 km/j, tahap kebisingan dalam kabin (NVH), aplikasi sebenar ciri keselamatan ASA dan drag race untuk melihat model mana yang lebih pantas.
Kita terus saja ke ujian penggunaan minyaknya. Perodua mendakwa Myvi 2018 1.5L mampu memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 20.1 km/l dan 30% lebih jimat berbanding model terdahulu. Untuk itu, kami memandu kedua-dua model 1.3 dan 1.5 yang ada dalam satu perjalanan ke Ipoh – dengan jarak keseluruhan pergi-balik kira-kira 400 km.
Kami cuba mencerminkan cara pemanduan biasa sepanjang perjalanan; kelajuan ketika dilebuhraya sekitar 110 km/j, tayar semua ditetapkan pada tekanan 210 kpa, kipas pendingin hawa pada tahap 3 dengan tahap suhu pertengahan, ciri auto start/stop dibiarkan aktif dengan input pendikit minyak juga seperti biasa (tidak terlalu berhati-hati atau agresif).
Dan keputusannya? Myvi 1.3 Auto mencatatkan bacaan purata 17.6 km/l, sedikit lebih baik berbanding model 1.5 Auto yang mencatatkan 17.3 km/l. Myvi 1.5 Auto yang lama pula mencatatkan 15.1 km/l. Penjimatan yang diperoleh ialah sekitar 15% dalam keadaan pemanduan sebenar. Walaupun tidak sampai 30% seperti yang didakwa, ia tetap peningkatan yang sangat baik berbanding model lama.
Kemudian, beralih kepada ujian drag race dan pecutan 0-100 km/j pula. Dari garis permulaan, kedua-dua Myvi 1.5 yang lama dan baru memberikan prestasi yang hampir sama – daya tujah dan kuasanya tidak jauh beza dan kedua-duanya meluncur sebelah-menyebelah. Model 1.3L bagaimanapun agar sukar untuk merapatkan jurang dan tertinggal agak jauh di belakang.
Bacaan masa pecutan 0-100 km/j juga sempat diperhatikan. Myvi 1.3L mencatatkan masa 12.5 saat, manakala Myvi 1.5, baik yang model baru atau pun model lama, mencatatkan 11.5 saat. Tetapi, walaupun Myvi baru ini tidaklah lebih pantas berbanding model lamanya, ia sebenarnya lebih senyap dari bahagian dalam kabin.
Ujian tahap kebisingan (NVH) dalam kabin pula menyebelahi model terbaru. Ketika memijak pedal minyak sepenuhnya dan kereta meluru laju, bacaan yang dicatatkan di dalam Myvi 2018 ialah 77 db berbanding 81 db pada Myvi lama. Ketika meluncur dalam kelajuan 110 km/j pun sama, Myvi baru adalah lebih senyap dengan angka 71 db berbanding 73 db pada Myvi lama.
Bagaimanapun, kami juga sempat memandu dalam hujan, dan bunyi percikan air yang kedengaran dari bahagian bawah kereta sebenarnya agak kuat. Jadi, aspek kebisingan dalam kabin ini masih boleh dipertingkat.
Selain itu, keberkesanan sistem Advanced Safety Assist (ASA) juga sempat kami uji sendiri. Perlu diingatkan, ciri ini hanya ditawarkan pada varian paling tinggi, 1.5 Advance sahaja.
Ciri Pre-Collision Warning (PCW) dan Pre-Collision Braking (PCB) akan berfungsi dalam kelajuan rendah (4-30 km/j). Ketika sistem kereta anda – melalui kamera stereo pada cermin utama – mengesan ada kereta lain sedang berhenti di depan dan tiada apa-apa tindakan daripada pemandu, ia terlebih dahulu akan membunyikan amaran terlebih dahulu.
Jika masih tiada apa-apa maklum balas daripada pemandu, kereta ini akan membrek sendiri sepenuhnya untuk mengelak pertembungan dengan kereta hadapan. Dan, jangan terkejut kerana input brek yang dilakukan agak kasar dan mengejut. Apa yang penting, sistem ini memang boleh berfungsi dengan baik.
Bagi Front Departure Alert (FDA), sistem perlu tahu kereta anda sedang bergerak perlahan ke depan sebelum berhenti, misalnya di lampu isyarat. Dalam kedudukan gear D serta brek masih ditekan, dan ketika kereta hadapan mula bergerak tanpa ada apa-apa tindakan dari pemandu, sistem juga akan mengeluarkan bunyi amaran kepada pemandu. Ini maksudnya, anda perlu memberikan perhatian sepenuhnya kepada pemanduan dan jangan leka bermain telefon.
Pedal Misoperation Control (PMC) pula berfungsi ketika kereta diletakkan sebagai contoh dalam keadaan parkir dengan terdapat halangan di depan. Dan, halangan itu pula perlulah yang boleh dikesan jaraknya oleh kamera (kamera mungkin tidak dapat fokus dinding putih untuk menetukan jarak). Dalam keadaan ini, sistem mengesan anda sepatutnya undur ke belakang ketika ingin mula memandu.
Sebaliknya, jika anda tersilap masuk gear D dan menekan pedal dengan kuat, sistem ini akan mengehadkan kuasa dari enjin dan mengelakkan kereta daripada terlonjak ke depan, beserta dengan bunyi amaran sekali. Juga perlu diingatkan sekali lagi, bahawa sistem ini hanyalah sebagai elemen sokongan bagi mengelakkan anda daripada terlibat dalam kemalangan dalam kelajuan rendah. Pemandu masih lagi bertanggungjawab sepenuhnya sepanjang masa di atas keselamatan diri sendiri dan orang lain.
Semua ujian ini ada kami tunjukkan sepenuhnya di dalam video menyeluruh yang telah disediakan di bawah. Luangkan masa untuk menonton, dan semoga ada manfaatnya untuk anda.
Setelah turun minggu lalu, nampaknya harga petrol minggu ini tidak berubah manakala diesel pula naik sedikit. Bermula tengah malam ini hingga 6 Disember nanti, petrol RON 95 kekal dijual pada harga RM2.30 seliter dan RON 97 pula berharga RM2.58 sen seliter.
Untuk Diesel pula, ia meningkat sebanyak 2 sen dimana Euro 2M akan dijual pada harga RM2.25 seliter dan Euro 5 pula RM2.35 seliter. Ini secara tidak langsung menjadikan harga diesel berada pada paras sama seperti dua minggu lalu, sebelum diturunkan sebanyak 2 sen seliter pada minggu selepasnya.
Bermula esok juga merupakan minggu ke-35 sistem harga siling mingguan ini dijalankan. Berbanding bulan terakhir harga bahan api ditetapkan secara bulanan iaitu pada 30 Mac 2017, RON 95 nampaknya berada pada paras sama (RM2.30 seliter) dan RON 97 pula 2 sen lebih murah (dari RM2.60 seliter). Manakala untuk diesel pula, ia kini tiga seliter lebih mahal (dari RM2.20 seliter)
Berita baik untuk pemilik atau mereka yang mahu memiliki kenderaan jenama Honda di Keningau, Sabah, Honda Malaysia kini telah membuka pusat 3S baharunya di daerah berkenaan. Terletak di kawasan strategik antara Tenom dan Tambunan, fasiliti baharu milik Vermillion Autohaus berkenaan akan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan yang semakin meningkat di kawasan tersebut.
Dibina dengan keluasan 5,000 kaki persegi, fasiliti yang dibangunkan dengan pelaburan RM2.5 juta ini merupakan yang kelima seumpamanya di Sabah. Dioperasikan oleh 19 orang staff, pusat ini turut dilengkapi dengan empat ruang servis (dua untuk servis pantas, satu pembaikkan am satu lagi untuk servis tayar) mampu untuk menampung 30 kereta sehari.
Selain itu, Pusat 3S Honda Keningau ini juga turut menawarkan lounge pelanggan yang selesa lengkap dengan wi-fi percuma, kaunter kafe bersama pelbagai snek dan minuman percuma, surau, dan juga sudut kanak-kanak.
Bagi mereka yang mahu kesini, Vermilion Autohaus terletak di alamat Batu 1/4, Jalan Keningan-Tenom, Kampung Pampang, 89008 Keningau, Sabah. Menurut Honda Malaysia, pembukaan pusat ini adalah masa yang tepat untuk menyokong pertambahan kenderaan Honda yang semakin meningkat di Malaysia Timur.
Sehingga kini, jualan Honda di Borneo telah meningkat 55% dari Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Angka tersebut juga mewakili 6,000 unit jumlah kereta yang berjaya dijual dari jumlah keseluruhan 87,800 unit.
Sabah dan Sarawak juga mencatatkan jumlah peningkatan sebanyak 15% untuk jumlah kenderaan yang masuk ke pusat servis iaitu sebanyak 53,800 buah kereta dari Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 46,800 unit bagi tempoh 10 bulan pertama tahun lalu.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memaklumkan akan memberhentikan penggunaan Sistem Letak Kereta Bayar dan Peraga (PND) bagi melaksanakan sistem kupon letak kereta sepenuhnya mulai 1 Januari 2018.
Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain, ia bertujuan untuk menguruskan kawalan petak letak kereta di seluruh kawasan Petaling Jaya.
Katanya, sehingga kini terdapat 241 ejen jualan kupon letak kereta dilantik Majlis bagi memudahkan pengguna meletak kereta untuk membeli kupon. Malah pengguna juga boleh membuat pembelian kupon di Kaunter Ibu Pejabat MBPJ, Kaunter Cawangan MBPJ di Kota Damansara, di Kaunter Bergerak Ez-Pay MBPJ dan di mana-mana kedai terlibat
Beliau turut berkata, pada masa ini, pihak Majlis sedang mengkaji sistem letak kereta berteknologi tinggi yang menggunakan aplikasi telefon pintar yang berada di pasaran bagi tujuan sama.
“Walau bagaimana pun, perkara ini belum dimuktamadkan dan kami akan memilih syarikat yang mempunyai sistem berkenaan yang bersesuaian bagi melaksanakan operasi sistem letak kereta tersebut. Penggunaan aplikasi melalui telefon pintar ini juga akan bermula pada tahun hadapan di mana akan terdapat dua jenis sistem digunakan termasuk kupon di mana 30% pengguna merupakan warga emas,” katanya.
Honda Civic Type R FK8 serba baharu telah pun dilancarkan pada 9 November lalu. Kereta produksi pacuan roda hadapan paling pantas di Litar Nurburgring ini dijual pada atas jalan tanpa insuran RM320,000. Seperti juga pasaran-pasaran lain, Malaysia menerima Civic-R yang dibuat di Kilang Honda Swindon, UK.
Pagi ini, Honda Malaysia telah menyerahkan Civic Type R FK8 ini buat pelanggan pertamanya, Adrian Salleh Hashim, dalam majlis ringkas yang berlangsung di Botanic Auto Mall Sdn Bhd.
Timbalan Presiden Honda Malaysia, Akkbar Daniel berkata, “Kami kekal komited untuk memberikan kegembiraan buat pelangga kami dengan menawarkan produk yang bernilai tinggi dan termaju dalam teknologi. Civic Type R serba baharuini menonjolkan kelainan, di samping berprestasi dalam trek perlumbaan, ia juga boleh digunakan dalam pemanduan harian di jalan raya Malaysia.”
Menurut Akkbar lagi, satu tinjauan terhadap pelanggan telah dilakukan sebelum pelancaran Civic Type R 2007 atau lebih dikenali sebagai FD2R, dan Adrian Salleh merupakan antara pelanggan pertama yang ditemubual bagi mendapatkan maklum balas mengenai Type R, bagi mengenalpasti permintaan dan keperluaan dalam segmen pelanggan baharu. Minatnya yang mendalam terhadap Type R terbukti apabila Honda Malaysia menyampaikan jentera tersebut kepadanya, sekaligus menjadi pelanggan pertama yang memiliki hot hatch idaman ramai ini.
“Pada 2007, Malaysia menjadi satu-satunya negara di luar Jepun yang melancarkan FD2R. Malah Honda Malaysia berjaya menjual 420 unit FD2R antara tahun 2007 hingga 2011. Pencapaian ini mungkin disebabkan populariti dan permintaan terhadap kereta lumba yag turut boleh dipandu di jalan raya biasa. Malah kita juga menyaksikan pertambahan bilangan peminat-peminat Honda dan juga penggemar jentera seperti Type R ini,” ujar Akkbar lagi.
Sejak tempahan bagi Civic Type R FK8 ini dibuka pada 1 Oktober lalu, Honda Malaysia telah menerima lebih daripada 70 tempahan.
Adrian Salleh yang bertuah menjadi pemilik pertama Civic Type R generasi terbaharu ini berkata, “Pelancaran Civic Type R serba baharu ini membuatkan saya mahu mengujinya. Saya sangat teruja dengan luaran yang sporty dan berani, malahan prestasinya yang sungguh berkuasa juga sangat sesuai untuk saya memandunya setiap hari. Bagi saya, ia memiliki elemen unik seperti mod 3-Way Driving iaitu COMFORT, SPORT dan +R Mode yang memberikan saya peluang melaras mod pemanduan mengikut prestasi dinamik yang berbeza dalam persekitaran pemanduan yang berlainan.”
Selain menjadi rakyat Malaysia yang pertama membawa pulang hot hatch ini, Adrian turut bertuah dihadiahkan beberapa barangan termasuk cenderahati istimewa dari Honda, GoPro HERO 5 dan Honda Ultra Glass Body Coating dengan Ultra Window Coating bernilai RM5,300 sebagai token penghargaan daripada Honda Malaysia.
Civic Type R generasi baharu ini dijana enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, dipadankan dengan hanya kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat bersama short shifter dan LSD helical. Berbanding model Eropah dan Jepun yang menerima talaan kuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm, pasaran ASEAN termasuk Malaysia menerima talaan kuasa 310 PS dengan jumlah tork yang sama.
Setelah generasi terkini Polo dan versi sedannya, Virtus didedahkan, Volkswagen akan memperkenalkan pula abang lebih besar iaitu sedan Jetta generasi baharu di North American International Auto Show (NAIAS) Detroit, Amerika Syarikat pada Januari hadapan. Serentak dengan pengumuman tersebut, jenama dari Jerman tersebut turut menyiarkan imej teaser untuk model baharu ini.
Menerusi video pada laman VW Canada, Jetta baharu berkenaan menampilkan rupa yang berevolusi dari model sedia ada dan mengekalkan bentuk pada tiang-c serta garis bahunya. Namun, apa yang jelas berbeza adalah pada mukanya dimana ia diberikan gril berbentuk heksagon, sama seperti yang diterapkan pada crossover T-Roc.
Sebelum ini, CEO Volkswagen Amerika Utara Hinrinch Woebcken memberitahu VWVortex bahawa sedan generasi baharu ini akan menampilkan rekaan “super moden”, dengan bentuk badan seperti coupe menerusi karekter rekaan yang “kuat’ dan “beremosi”. Menurut laporan tersebut lagi, pengedar di Amerika Syarikat menyatakan bahawa varian R-Line yang lebih sporty turut akan diperkenalkan semasa pelancarannya, manakala model GLI yang lebih berbisa akan diumumkan setahun selepas itu.
Jetta generasi baharu ini diasaskan dari platform modular MQB sama seperti Golf Mk7. Unit janakuasa juga berkemungkinan akan ditawarkan sama seperti Golf Mk7 facelift, termasuk enjin 1.5 liter turbo baharu dengan teknologi nyah-aktif silinder serta enjin 2.0 liter pada model GLI.
Untuk pasaran Amerika, pilihan transmisi dijangka akan ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual manakala kotak gear klac-berkembar DSG akan digantikan dengan transmisi lapan-kelajuan automatik konvensional baharu sama seperti Tiguan pasaran Amerika.
Hyundai telah mendedah imej teaser model Veloster generasi baharu dan mengumumkan ia bakal didedahkan di North American International Auto Show (NAIAS) Detroit, Amerika Syarikat pada bulan Januari tahun hadapan. Pada tahun 2011, Veloster generasi pertama turut didedahkan buat pertama kali pada acara yang sama.
Imej teaser rasmi yang disiarkan kali ini menampilkan bentuk penuh Veloster tetapi dikenakan dengan pelekat penyamaran berwarna-warni. Namun yang jelas, Hyundai masih mengekalkan bentuk badan Veloster seiras dengan model generasi sebelum ini.
Tetapi kerana setiap imej ini diambil pada sisi kiri hatchback tersebut, tidak dapat dipastikan sama ada sisi kanan kereta ini diberikan pintu tambahan pada bahagian belakang (sebelah dua-pintu, sebelah lagi hanya satu pintu) atau tidak seperti model sebelumnya.
Juga dapat dilihat, muka Veloster baharu ini akan menampilkan rekaan signatur seperti hatchbacki30 yang menampilkan lampu hadapan tirus bersama gril cascading. Rekaan muka tersebut akan menjadikan kereta ini lebih tajam, bersama garis badan yang lebih gagah menampilkan ‘otot-otot’ pada fender hadapan yang kini turut ditarik hingga ke pintu hadapan.
Veloster yang ditampilkan kali ini juga dikenakan bersama rim dengan corak bilah dan diameter yang agak besar. Angkup brek berwarna merah turut dapat dilihat ditempatkan disebalik roda-roda berkenaan. Walau bagaimanapun, Hyundai masih belum menyiarkan foto yang benar-benar menyerlahkan bahagian belakang.
Begitu juga aspek mekanikal, perincian berkenaan unit janakuasa belum didedahkan. Namun boleh dijangka ia akan dijana enjin turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) bersama pilihan kotak gear enam kelajuan manual atau automatik klac-berkembar. Sebagai rujukan, enjin 1.6 liter Gamma T-GDI pada Elantra Sport pasaran Malaysia menjana 204 PS dengan tork mengujakan 265 Nm.
Nama Pa’din Musa tidaklah terlalu asing, terutama bagi anak-anak muda yang cenderung berminat dalam sukan esktrem skateboard atau papan selaju dan mengikuti perkembangannya di Malaysia. Di dalam perkembangan terbaru, beliau menjadi skateboarder pertama dari Malaysia yang diberi penghormatan untuk mengeluarkan kasut Vans edisi signature sendiri.
Dan, untuk meraikan perkara itu, beliau bersama Vans Malaysia turut menghasilkan sebuah dokumentari khas berkaitan perjalanan kariernya sepanjang berkecimpung di dalam dunia skateboarding tempatan dan juga antarabangsa.
Lebih menarik, di dalam video dokumentari yang diberi judul DEMI ini, ada satu lagi sisi Pa’din yang turut diketengahkan – kegilaannya terhadap menghasilkan motosikal binaan khas. Dengan latar belakang pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal, sejak tahun 2009 lagi Pa’din telah mengusahakan bengkel/kafe motosikalnya sendiri, dikenali dengan nama Abah & Sons Co.
Skateboard dan motosikal menjadi tunjang utama di dalam hidupnya, dan perkara itu ditunjukkan dengan jelas di dalam video dokumentari terbaru ini. Sebuah motosikal kustom yang ditunggangnya sendiri, yang juga dibina dengan tangannya sendiri turut ditampilkan.
Motosikal kustom berkenaan menjadi semacam terjemahan kepada minat Pa’din terhadap model-model motosikal vintage yang sentiasa menarik minatnya. Inspirasi dari motosikal-motosikal lama seperti dari BSA, Triumph dan Harley-Davidson dapat dilihat pada motosikal unik berkenaan. Kerangkanya dibikin sendiri, manakala janaan kuasa pula menggunakan enjin dari Harley-Davidson Shovelhead 1,200 cc tahun 1974.
Dan, disebabkan beliau seorang skateboarder yang kerap menjelajah ke banyak tempat untuk tujuan aktiviti itu, maka motosikal yang dibangunkan juga disertakan sekali dengan kemudahan untuk membawa skateboardnya ke mana-mana – ia diletak di bahagian sisi sebelah kiri motosikal berkenaan.
Kasut edisi khas berkenaan pula akan mula dijual pada 2 Disember nanti ditawarkan dalam dua rekaan – Authentic Pro dan Old Skool Pro. Di bahagian pelapik dalamnya ada disertakan dekorasi dari ayat-ayat pantun dalam Bahasa Malaysia. Masing-masing akan dijual pada harga RM299 dan RM319.
Jadi, sementara santai-santai nanti, bolehlah anda menonton video tentang perjalanan seorang anak Malaysia yang dengan bermodalkan minat mendalam, telah mengukir sejarahnya sendiri dan menjadi kebanggaan bersama.
Pekerja kilang yang menghasilkan Hyundai Kona di Korea kini sedang melancarkan mogok kerana tidak berpuas hati dengan berberapa keputusan yang dibuat oleh pembuat automotif berkenaan – seminggu sebelum SUV segmen-B tersebut akan didedahkan di Amerika Syarikat, lapor Automotive News.
Mogok berkenaan dilancarkan oleh kesatuan sekerja kilang berkenaan yang juga kini sedang dalam perbincangan tahunan bersama syarikat tersebut. Hyundai dan kesatuan ini telah membuat perbincangan sejak Oktober lalu berhubung perancangan terhadap produksi Kona – iaitu model penting untuk memperbaiki jumlah jualannya di Amerika yang kini dilihat sedang merudum.
Kesatuan sekerja kilang tersebut mendakwa Hyundai mahu memperkenalkan lebih banyak robot automasi dan menghasilkan lebih banyak komponen yang dipasang oleh pembekal yang akan mengurangkan tenaga kerja. Manakala Hyundai sendiri mendakwa kesatuan itu membuat pelbagai “permintaan yang tidak releven” termasuk meminta untuk menambah jumlah tingkap pada kilang berkenaan.
Oleh itu, Hyundai mengambil keputusan sendiri untuk memulakan barisan produksi baharu bagi menghasilkan Kona minggu lalu tanpa mengambil kira perbincangan bersama kesatuan pekerja kilang berkenaan. Menurut ketua kesatuan Ha Boo-young, langkah tersebut tidak boleh diterima kesatuannya dan mereka bakal melancarkan serangan yang lebih teruk.
Dengan produksi yang telah terhenti selama dua hari, Hyundai mendakwa mereka kekurangan sebanyak 1,230 unit Kona yang sepatutnya telah siap untuk dipasarkan. Kona dijangka akan didedahkan di Amerika pada Los Angeles Auto Show minggu hadapan dan dijangka untuk dijual pada pasaran tersebut bermula 2018. Hyundai Kona juga kini terbukti sebagai model yang popular di Korea sendiri dan juga di Eropah.
Presiden Hyundai Motor Yoop Kap-han berkata, beliau kesal dengan apa yang dilakukan oleh kesatuan sekerja tersebut yang menyebabkan produksi model dengan permintaan tinggi terganggu ketika kesemua kilangnya “terjejas kerana jualan yang lembab.”
Jumlah jualan global Hyundai jatuh 6 peratus dari Januari hingga September jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu, kerana kekurangan model crossover dan SUV pada pasaran Amerika Syarikat serta barisan diplomatik antara Seoul dan Beijing yang kini menjejaskan pasaran di China.
Subaru XV 2018 sekali lagi menjadi tangkapan lensa, kali ini oleh pembaca Jeang Herng yang dirakam berhampiran dengan stesen LRT Asia Jaya, Petaling Jaya. Crossover berasaskan Impreza ini telah dikesan dengan dua varian iaitu spesifikasi tertinggi 2.0i-P dalam warna Sunshine Orange dan model asas 2.0i berwarna Crystal Black.
Daripada luaran, model spesifikasi tertinggi ini dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C (2.0i masih mengekalkan reflektor halogen), kekemasan garisan cermin krom dan rel bumbung berwarna perak. Ia memberikan perbezaan antara kedua-dua varian, dan turut dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, pemegang pintu berwarna perak dan roda aloi dua-tona 17-inci (bukan 18-inci seperti mana pasaran lain).
Lain-lain elemen dijangka hampir sama dengan model 2.0i dan 2.0i-S spesifikasi Taiwan, namun bukan roda besar seperti pada 2.0i-S. Di sana, 2.0i menerima unit utama skrin sesentuh 6.5-inci, akses kod PIN, tempat duduk hadapan manual dan kamera pandangan belakang, sementara 2.0i-S pula dengan elemen tambahan termasuk skrin sesentuh 8.0-inci, pendingin hawa dwi-zon, paparan pelbagai-info, kawalan kelajuan, tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa, papan pemuka balutan kulit dan bumbung matahari.
Bagi aspek keselamatan, model Taiwan menerima tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang, sementara 2.0i-S menerima elemen tambahan kepekaan lintasan-trafik belakang, pengesan titik buta, bantuan lampu tinggi, dan bantuan tukar lorong.
Kuasanya dihamburkan dari enjin FB20 2.0 liter N/A empat-silinder yang disemak semula, kini bersama suntikan terus. Di Taiwan, penjana kuasa ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm (lebih 6 PS berbanding sebelum ini), yang disalurkan ke Lineartronic CVT ke sistem Symmetrical All-Wheel Drive ciptaan Subaru.
Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Motor Image iaitu pengedar tempatan Subaru di Malaysia, bakal melancarkan XV 2018 untuk pasaran tempatan dalam masa terdekat ini. Rasa tak sabar? Relaks. Nanti kami akan bawakan perkembangan selanjut mengenainya.
Jalan Pintas Rawang daerah Gombak (Rawang Bypass) sepanjang 9 kilometer telah pun mula dibuka kepada lalu lintas mulai 6 pagi hari ini. Dengan kos pembinaan berjumlah RM628 juta yang menggunakan teknologi dari Eropah, projek yang siap sepenuhnya pada 21 November lalu ini, berketinggian 58.2 meter dari aras tanah dan merupakan struktur jalan yang tertinggi di Malaysia.
Majlis perasmiannya juga telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Haji Fadillah Yusof dengan diiring Dato’ P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Hulu Selangor, Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha yang turut berlangsung pagi semalam.
Pembinaan Projek Jalan Pintas Rawang ini telah bermula pada 16 Julai 2005 secara berperingkat dan melibatkan pembinaan jalan pintas jajaran baru dua lorong dua hala sepanjang 9 km serta kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan FT001 sepanjang 12.5 km.
Demi pemeliharaan rezab Hutan Kanching yang juga merupakan Taman Warisan Negeri Selangor, jajaran asal ini telah dikaji semula pada tahun 2006 dan diteruskan dengan pembinaan struktur bertingkat (elevated structure) sepanjang 2.7 km bagi mengurangkan penerokaan hutan. Bukan itu sahaja, biar pun merentasi kawasan hutan terpelihara di bawahnya, pembinaan projek ini dikatakan tidak mengancam spesis pokok unik iaitu ‘Giam Kanching’ yang hanya terdapat di kawasan tersebut.
Konsep rekabentuk projek ini adalah mengunakan Movable Scaffolding System (MSS) atau sistem perancah bergerak yang mana pertama kalinya dilaksanakan di Malaysia. Kaedah ini dapat mempercepatkan pembinaan tanpa menjejaskan alam sekitar. Di samping itu, penggunaan tiang berkembar (double column piers) dengan rasuk pengikat (tie-beam) dipilih bagi mengurangkan saiz tetopi cerucuk dan impak kepada kawasan hutan.
Projek ini juga menggunakan kaedah penanaman cerucuk secara hand Dug Caisson Pile iaitu pengorekan lubang cerucuk menggunakan tenaga manusia bagi mengelakkan pencemaran bunyi serta meminimumkan kesan negatif kepada flora dan fauna di sepanjang jajaran.
Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, pembukaan Jalan Pintas Rawang ini mampu mengatasi kesesakan lalulintas yang sering berlaku di Jalan Persekutuan 1 (arah ke Bandar Rawang) dan di Bandar Rawang. Bahkan ia juga boleh memendekkan masa perjalanan dari Utara ke Kuala Lumpur pada waktu puncak daripada dua jam kepada 30 minit, selain meningkatkan pertumbuhan pembangunan di Rawang, Serendah, Batang Kali sehingga Tanjung Malim.
Setelah mengumumkan Program Nismo Heritage yang akan membantu pemilik jentera berprestasi tinggi retro Nissan untuk merestorasi semula kereta mereka April lalu, kini program tersebut secara rasminya telah pun berjalan di mana jenama dari Jepun tersebut mula menjual lebih dari 80 komponen alat ganti baharu untuk Skyline GT-R R32 yang dibuat bermula Ogos 1989 hingga Januari 1995.
Walau bagaimanapun, pemilik-pemilik yang mahu mendapatkan komponen-komponen berkenaan perlu ke Jepun kerana ia hanya mula dijual di pasaran berkenaan bermula 1 Disember ini. Walaupun GT-R telah mula diperkenalkan pada tahun 1969 menerusi model KPGC10 Hakosuka GT-R, gelaran “Godzilla” hanya diberikan menerusi R32.
Skyline GT-R R32 dipanggil dengan nama raksasa dari Jepun tersebut setelah dinobatkan sebagai juara Australian Touring Car Championship (ATCC) pada tahun 1991 dan 1992 serta memenangi Bathurst 1000 dalam kedua-dua musim berkenaan. Dengan kuasa yang begitu buas dari enjin 2.6 liter turbo berkembar RB26DETT dan sistem pacuan semua roda Attesa ET-S Pro, R32 seakan tidak mampu langsung untuk dicabar jentera lain.
Namun Godzilla ‘dipaksa’ berhenti dari ATCC setelah jawatankuasa perlumbaan tersebut mengharamkan sistem pacuan semua roda untuk musim bermula 1993. Selain di Australia, R32 turut bergelar juara keseluruhan di Spa 24 Jam pada tahun 1991 serta dapat memungut mata dalam setiap perlumbaan di Japan Touring Car Championship (JTCC) untuk musim 1990, 1991, 1992 dan 1993.
Nismo sendiri mempunyai hubungan yang rapat dengan pemilik-pemilik Skyline GT-R. Badan penala rasmi Nissan berkenaan membuat keputusan untuk mengeluarkan semula 80 komponen alat ganti yang akan mula dijual ini setelah membuat kajian terhadap apa yang sangat diperlukan untuk R32 terutamanya bagi membolehkan setiap kereta berkenaan lulus ujian pemeriksaan wajib yang dijalankan oleh pihak berkuasa Jepun.
Antara komponen yang akan dijual adalah termasuk set-set pendawaian, hos dan tiub, pelbagai emblem serta alat ganti bahagian luaran lain. Nismo turut akan hadir dengan pelbagai komponen alat ganti lain untuk R32 selepas ini, dan akan mempertimbangkan pula program untuk pemilik GT-R R33 dan R34.
Ada juga komponen yang tidak dapat dihasilkan semula kerana masalah yang dihadapi oleh pengilang asal, namun Nismo akan mempertimbangkan cara lain untuk menggantikan peralatan tersebut termasuk menggunakan komponen gantian, merombak rawat semula, serta menggunakan peralatan talaan dari Nismo sendiri.
Thailand memang menjadi pilihan untuk pelancong luar mengunjungi negara tersebut, atas pelbagai faktor, antaranya memiliki lokasi pelancongan yang menarik. Malah ramai juga pengunjung dari luar yang membawa masuk kenderaan sendiri ke negara tersebut, melalui pusat pemeriksaan sempadan. Melihat akan perkara ini, Thailand merancang untuk mengenakan caj bagi setiap kenderaan asing yang masuk ke negara mereka menerusi pintu masuk sempadan, mulai akhir tahun hadapan.
Menurut Timbalan Ketua Pejabat Pengangkutan serta Dasar dan Perancangan Trafik, Wilairat Sirisophonsin, tol perlu dikenakan kerana semakin banyak kenderaan asing memasuki Thailand sejak penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), sehinggam menyebabkan peningkatan kos penyelenggaraan jalan dan kemalangan jalan raya, laporan Bernama.
“Setiap tahun kerajaan membelanjankan kira-kira 15 bilion Baht (kira-kira RM1.9 bilion) bagi membaik pulih dan menyelenggara jalan raya. Ia juga membelanjakan 2.4 bilion Baht (kira-kira RM304 juta) setahun akibat kemalangan jalan raya,” kata beliau yang dipetik dari media tempatan.
Katanya lagi, pada tahun lepas sebanyak 2.1 juta kenderaan asing memasuki Thailand melalui 28 pos pemeriksaan dengan kebanyakan kenderaan dari Laos (755,000), diikuti Malaysia (596,000), Myanmar (495,000) dan Kemboja (322,000).
Wilairat berkata kajian mengenai kutipan tol dari kenderaan asing akan siap bulan depan dengan proses bagi mendapatkan kelulusan dan meminda undang-undang semasa bagi membolehkan caj baharu dikenakan (ke atas kenderaan asing) dijangka mengambil masa kurang setahun.
Dalam kajian itu, pemandu kenderaan asing memasuki perlu membayar 100 Baht (kira-kira RM12.65) bagi tag elektronik yang sah selama lima tahun dan bayaran tol 42 Baht (kira-kira RM5.30) untuk setiap perjalanan.
Bayaran tol akan diperkenalkan dalam tiga fasa dengan caj dikenakan mula-mula ke atas kenderaan asing pacuan empat roda yang melepasi 28 pusat pemeriksaan sempadan dari Myanmar, Malaysia, Kemboja dan Laos.
Kenderaan asing yang memasuki Thailand melalui 28 pusat pemeriksaan akan dipantau oleh Sistem Indentifikasi Frekuensi Radio dan Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) yang digunakan untuk mengesan kenderaan dalam fasa-fasa berikut.
“Teknologi (GPS) adalah baik untuk mula mengutip tol berdasarkan jarak perjalanan (kenderaan asing),” kata Wilairat sambil menambah bahawa para pegawai sedang menimbangkan untuk mengenakan caj 1.5 Baht (kira-kira RM0.19) satu kilometer ke atas kenderaan asing.
Rancangan untuk mengenakan bayaran ke atas kenderaan asing berdasarkan jarak yang dilalui akan bermula pada tahun keempat pelaksanaan dasar baharu.
Beliau berkata, keerajaan akan mengenakan tol ke atas kereta jenis lain dan menambah pusat pemeriksaan sempadan tambahan pada fasa terakhir dasar baharu itu.
Bagi peminat sukan permotoran, jangan lepaskan peluang hujung minggu ini untuk menyaksikan acara permotoran terbesar tempatan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) – acara Malaysia Speed Festival (MSF) akan sampai ke kemuncaknya untuk tahun ini.
Berlangsung dari 2-3 Disember, buat pertama kalinya acara ini akan menghimpunkan lima aktiviti permotoran berbeza di bawah satu bumbung. Tidak lupa juga, masuk ke kawasan Grandstand adalah percuma!
Acara ini akan melibatkan aksi perlumbaan berterusan dengan penyertaan sehingga 170 kereta, begitu juga dengan track day khas bagi kereta dan motosikal, cabaran drift, cabaran time-attack serta pameran kenderaan – semua ini akan diadakan di litar SIC. Acara ini juga mesra pengunjung; jualan makanan dan minuman sepanjang hari serta taman air untuk kanak-kanak pada hari terakhir turut disediakan.
Pemandu drift OKU, Pak Busu
Pada Sabtu, 2 Disember, pengunjung akan berpeluang menyaksikan atau menyertai MSF Track Day bagi superbike dan kereta ketika mereka yang terlibat mengasah bakat pemanduan ataupun menguji jentera masing-masing. Akan turut diadakan ialah MegaLAP Time Attack yang bakal menyaksikan peserta akan merebut catatan masa terpantas bagi beberapa kategori yang dipertandingkan.
Pada masa yang sama, MSF Drift Gonzo bakal menyaksikan peserta mencabar kemahiran masing-masing di dalam kawasan drift yang telah ditetapkan; berbeza dengan pertandingan drift yang biasa dianjurkan di Malaysia selalunya. Satu-satunya pemandu drift kurang upaya, Pak Busu, turut akan menggalas cabaran dalam acara ini.
Bagi anda yang lebih gemar meneliti kereta-kereta unik yang dipamerkan, akan ada acara MSF x McClubz Showdown akan berlangsung sepanjang hari. Ia akan menampilkan kereta-kereta klasik, jentera talaan dan banyak lagi. Melengkapi hari Sabtu itu nanti ialah sesi BBQ di sebelah petang. Untuk pengunjung, masuk ke kawasan Grandstand adalah percuma, sementara untuk ke kawasan paddock tiket RM10 dikenakan.
Aksi akan diteruskan pada hari Ahad, 3 Disember di mana pusingan kedua MSF Track Days untuk kereta dan MSF Racing Series akan berlangsung. Acara perlumbaan yang menepati piawai oleh AAM ini merupakan perlumbaan kereta terbesar dari sudut penyertaan di negara ini, melibatkan 170 kereta berlumba dalam satu hari.
Semua kereta ini akan berlumba di dalam 11 kategori berbeza bermula dengan kereta yang lebih perlahan sehinggalah kepada jentera berkuasa tinggi dengan kemampuan melengkapkan satu pusingan litar SIC dalam masa 2 minit 19 saat – rekod yang dicatatkan oleh sebuah Honda Civic EG bagi kategori Race Car Open. Hari kedua turut akan melibatkan perlumbaan sokongan Caterham Motorsport.
Sekali lagi, bagi pengunjung, masuk ke kawasan Grandstand adalah percuma, serta taman air untuk kanak-kanak turut ada disediakan. Jika anda ingin lebih dekat dengan aksi di kawasan paddock, pas masuk berharga RM20 boleh didapati sebelum jam 11 pagi, dan jika selepas jam berkenaan, ia akan dijual pada harga RM35.
Tiket paddock bagi kedua-dua hari berkenaan boleh didapati dilokasi. Pas ini membolehkan anda untuk memasuki ruang pit dan melihat dari dekat suasana pasukan, kenderaan dan pemandu yang terlibat. Anda juga boleh berjumpa dengan pelumba sebenar MSF Petronas #PengejarImpian seperti surirumah Sharina Ramlle, seorang guru dan survivor kanser, Suresh Naidu dan pemilik restoran, Boey Chai.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari ruang rasmi MSF Racing di Facebook atau laman web rasmi MSF Racing. Jangan ketinggalan untuk meraikan festival sukan permotoran terbesar Malaysia hujung minggu ini!