Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bangkok 2023: Honda WR-V RS — galeri SUV kompak dengan enjin 1.5L NA, bakal saingi Ativa di sini

    Bangkok 2023: Honda WR-V RS — galeri SUV kompak dengan enjin 1.5L NA, bakal saingi Ativa di sini

    Honda WR-V 2023, yang telah dilancarkan di Thailand awal bulan ini menjadi antara tarikan utama yang dipamerkan oleh Honda Thailand di Bangkok International Motor Show (BIMS), yang berlangsung bermula hari ini. Gambar live ini, bagi varian RS, tanpa kit Modulo) memberikan imej awal paling jelas apa yang boleh kita jangkakan apabila SUV kompak ini tiba di Malaysia kelak, pada suku ketiga nanti.

    Menjadi satu daripada empat model yang akan diperkenalkan oleh Honda Malaysia tahun ini, WR-V akan bersaing dengan Perodua Ativa — jika bukan dari sudut harga, pastinya dari sudut saiz. WR-V mempunyai ukuran dimensi 4,060 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,608 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,485 mm. Ativa pula dengan 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar dan 1,635 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,525 mm — menjadikannya sedikit lebih panjang dan tinggi berbanding WR-V.

    Di Thailand dan Indonesia, WR-V ditawarkan dalam dua varian: SV dan RS di Thailand, sementara E dan RS di Indonesia. Semua menggunakan enjin sama, unit 1.5 liter NA DOHC dengan i-VTEC yang menghasilkan 121 PS pada 6,000 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm — enjin sama dengan Citu dan HR-V. WR-V juga akan memanfaat CVT yang sama.

    Bangkok 2023: Honda WR-V RS — galeri SUV kompak dengan enjin 1.5L NA, bakal saingi Ativa di sini

    Kelengkapan standard termasuklah lampu utama, DRL dan lampu belakang dengan lampu isyarat sequential LED, pemegang pintu warna badan, kerusi balutan kulit buatan/gabungan fabrik serta stereng balutan kulit (jahitan kontras), penghidup enjin jarak jauh, auto-lock dan Push Start tanpa kunci.

    Turut ada ialah pendingin automatik, head unit dengan skrin sentuh 7-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, Siri dan kawalan suara Android Auto, empat pembesar suara, dua slot USB, kamera belakang pelbagai sudut, Kad kunci pintar Honda dan paparan multi-info 4.2-inci. SV menggunakan rim 16-inci, dengan tayar 215/60.

    Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, ada kawalan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki dan SV turut menerima empat beg udara, dengan RS ada tambahan dua lagi beg udara tirai. Kedua-dua varian lengkap dengan Honda Sensing, dengan ADAS termasuk brek penghindar perlanggaran (CMBS), penghindar keluar lorong dengan amaran (RDM dengan LDW), kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan mengekalkan lorong (LKAS), amaran pergerakan kereta depan dan lampu tinggi automatik.

    Bangkok 2023: Honda WR-V RS — galeri SUV kompak dengan enjin 1.5L NA, bakal saingi Ativa di sini

    RS pula hadir dengan penampilan berbeza dengan kit tambahan, termasuk sistem kamera sisi LaneWatch dan sistem telematri Honda Connect. Ada juga lampu kabus LED, cermin sisi lipatan automatik dan rim 17-inci dengan tayar 215/55. Selain itu, jahitan kontras juga ada di dalam untuk balutan kerusi dan stereng, lampu cermin hias, perehat lengan kerusi belakang, paddle shifter dan dua pembesar suara tambahan.

    Di Malaysia, boleh dijangka RS akan menjadi varian paling tinggi, dan mungkin E di Indonesia boleh menjadi petunjuk kepada varian paling rendah. Dari segi harga, di Indonesia varian E dijual 271.9 juta Rupiah (RM79,330), sementara RS 309.9 juta Rupiah (RM90,420). Di Thailand pula lebih mahal: SV 799,000 baht (RM105,100) manakala RS 869,000 baht (RM114,300).

     
     
  • KPDN, MOT dan KKR akan tentukan kaedah sistem pembayaran terbuka termasuk pengangkutan awam

    KPDN, MOT dan KKR akan tentukan kaedah sistem pembayaran terbuka termasuk pengangkutan awam

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengesahkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menentukan kaedah untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka, termasuk untuk kemudahan pengangkutan awam.

    Menurut beliau, mesyuarat itu susulan cadangan dikemukakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi memberi rakyat lebih banyak pilihan, selain menggunakan sistem pembayaran sedia ada seperti Touch n Go (TnG), laporan Berita Harian.

    “Ketika di Parlimen, saya berbincang dengan Menteri Pengangkutan kerana beliau mengemukakan idea untuk ada sistem lain selain TnG untuk rakyat mudah bayar parkir, di lebuh raya dan seumpamanya. Jadi, hasil perbincangan itu, kami akan ada mesyuarat dengan pihak Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya kepada pihak pemberita pagi tadi.

    Semalam, media melaporkan, MOT sudah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementerian untuk mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka.

    Menurut Menteri MOT, Anthony Loke, buat masa ini, tempoh beberapa bulan diperlukan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka itu.

    “Umpamanya kalau guna LRT, sekarang ini hanya dua pilihan iaitu pergi ke mesin layan diri dan beli token atau TnG. Jadi kita nak aplikasikan satu sistem pembayaran terbuka yang mana selain TnG, apa juga jenis kad, sama ada kad kredit atau debit, boleh sentuh dan masuk.

    “Sistem ini akan kita mulakan tidak lama lagi untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana untuk bas, LRT, MRT, begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sudah diarahkan untuk buat sistem sama,” katanya.

    KPDN, MOT dan KKR akan tentukan kaedah sistem pembayaran terbuka termasuk pengangkutan awam

    Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyemak semula monopoli yang dimiliki oleh TnG di Malaysia. Perkara ini didedahkan dalam sesi soal jawab program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), apabila beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh salah seorang peserta mengenai perkara tersebut.

    Menerusi sesi berkenaan, peserta tersebut bertanya adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menamatkan monopoli TnG dalam sistem pembayaran untuk sistem pengangkutan dan jalan raya di Malaysia. Dia menambah bahawa kad debit dan kredit boleh digunakan di banyak tempat seperti stesen minyak dan tempat letak kereta, tetapi TnG hanya menjadi satu-satunya pilihan pembayaran tanpa sentuh untuk pembayaran tol dan pengangkutan awam.

    “Anda lihat, Touch ‘n Go telah beroperasi lebih daripada dua dekad dan dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu. Saya rasa anda betul, kita akan mempertimbangkannya semula,” jawab Anwar.

     
     
  • Sistem tol Aliran Bebas Pelbagai-Lorong menelan kos RM3.46b – kajian mulai 2024, implementasi pada 2025

    Sistem tol Aliran Bebas Pelbagai-Lorong menelan kos RM3.46b – kajian mulai 2024, implementasi pada 2025

    Kerajaan mengesahkan sebanyak RM3.46 bilion diperuntukkan untuk implementasi sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Free Flow (MLFF), yang dirancang akan diperkenalkan pada 2025.

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kajian berkaitan akan dibuat pada tahun hadapan dan mungkin mengambil masa antara setahun setengah hingga dua tahun untuk diselesaikan, menurut beberapa laporan berita. Beliau berkata, perkara ini telah pun dikemukakan kepada pihak konsesi untuk memastikan kajian berkenaan berjalan lancar.

    “Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan sistem MLFF boleh diimplementasi, bermula dengan kajian pada 2024 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2025 bagi mengelakkan penggunaan palang tol,”katanya ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat semalam.

    Abdul Rahman menjelaskan bahawa MLFF yang memerlukan perbelanjaan besar ini harus melalui kajian terlebih dahulu kerana ia membabitkan penggantian infrastruktur berikutan sistem itu tidak lagi menggunakan tiang di bahagian tengah lorong.

    Sistem tol Aliran Bebas Pelbagai-Lorong menelan kos RM3.46b – kajian mulai 2024, implementasi pada 2025

    “Kita nak buat mesti ada kajian sebab kita akan ganti segala yang ada pada hari ini kepada yang baharu, MLFF tidak ada lagi tiang di tengah, sebaliknya hanya tiang antara jalan ke jalan.

    “Lorongnya juga akan bertambah berbanding tiga hingga enam lorong kini, namun saya tidak boleh menyatakannya berapa kerana ia sedang dalam rangka pelukisan oleh pihak yang mendapat konsesi ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Mengenai soalan yang dikemukakan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sama ada pelaksanaan MLFF boleh menyebabkan kenaikan harga tol, Abdul Rahman bagaimanapun berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

    “Tetapi untuk jangka hayat perjanjian konsesi bagi MLFF ini, saya maklumkan kemudian kerana saya tidak mahu tersilap jawab, sebenarnya tak ada cadangan berapa jangka panjang tempoh konsesi MLFF ini,” katanya.

    Selain itu, katanya, dengan adanya sistem tol MLFF ini, ia membolehkan pengguna membuat bayaran tol daripada pelbagai pilihan sumber kewangan seperti kad kredit berbanding hanya Touch ‘n Go dan dompet elektronik, Touch ‘n Go eWallet.

     
     
  • Aveta VADV150 Hybrid tiba di Malaysia – RM14k, kamera depan dan belakang, skrin TFT, lampu adaptif

    Aveta VADV150 Hybrid tiba di Malaysia – RM14k, kamera depan dan belakang, skrin TFT, lampu adaptif

    Aveta melancarkan sebuah skuter hibrid yang dinamakan sebagai VADV150 Hybrid untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM13,980 tidak termasuk insurans. Harga yang boleh dikatakan agak tinggi ini ditimbal balik dengan pelbagai ciri yang mereka katakan inovatif, bermula dengan enjin hibrid.

    Walaubagaimanapun, dalam laman web rasmi mahupun siaran akhbar yang diberi, sedikit pun tidak dinyatakan berkenaan fungsi sistem hibrid tersebut, dan ia sekadar diberitahu dipacu oleh enjin satu silinder SOHC hibrid 149 cc penyejukan cecair berkemampuan 16 hp pada 8,500 rpm dan tork 14.6 Nm pada 6,500 rpm.

    Kemudiannya, VADV150 Hybrid turut datang dengan sistem lampu LED adaptif, yang dikatakan dapat melaras secara sendiri mengikut keadaan tunggangan serta sudut pencahayaan yang diperlukan. Di bahagian kokpit, terdapat skrin TFT tujuh inci yang juga boleh disambung kepada telefon bimbit secara bluetooth dan memberi akses pelbagai informasi dan fungsi melalui aplikasi khas.

    Satu lagi ciri unik skuter ini adalah ia dilengkapi kamera hadapan dan belakang yang boleh digunakan untuk tambahan ciri keselamatan atau berkongsi pengalaman menunggang bersama orang lain. Turut disediakan adalah sistem pemerhati tekanan angin tayar serta penghadang angin boleh laras dua tahap.

    Kelengkapan lain VADV150 Hybrid adalah termasuk tangki bahan api 9.3 liter, brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem ABS, rim hadapan 14 inci dibalut tayar 110/80, rim belakang 13 inci dibalut tayar 130/70 dan sistem kunci pintar.

    Aveta VADV150 ditawarkan dalam pilihan tiga warna dan datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Honda Malaysia sasar jualan 80,000 unit untuk 2023 – bakal buka pusat 2S untuk alat ganti dan servis

    Honda Malaysia sasar jualan 80,000 unit untuk 2023 – bakal buka pusat 2S untuk alat ganti dan servis

    Pada Januari lalu, Honda Malaysia (HM) mengumumkan telah berjaya menjual lebih 80,200 kenderaan pada 2022, mencapai sasaran jualan sebanyak 80,000 unit pada tahun tersebut. Angka jualan sebenar untuk tahun lalu ialah 80,290 unit, mewakili 11.1% perkongsian untuk jumlah keseluruhan industri (TIV). Juga seperti yang dilaporkan sebelum ini, ia terus mengekalkan HM dalam kedudukan No.1 bagi segmen kenderaan penumpang bukan-nasional buat sembilan tahun berturut-turut.

    Untuk sasaran jualan tahun ini, dalam majlis bersama media pada Jumaat lalu, HM memaklumkan, pihaknya masih menetapkan jumlah yang sama iaitu 80,000 unit, namun meningkatkan perkongsian pasaran sebanyak 12.3%. Syarikat ini juga berharap dapat mencapai sasara terbabit dengan pengenalan empat model baharu, iaitu WR-V, CR-V generasi ke-enam, Civic Type R FL5 dan City facelift.

    Tahun ini juga menyaksikan penambahan varian RS dalam barisan produk dan terus mengetengahkan teknologi e:HEV hybrid, di mana syarikat ini berkata ia merupakan pendekatan yang tepat untuk ke arah elektrifikasi.

    Selain daripada itu, HM juga merancang untuk mengembangkan lagi aktiviti selepas jualan dengam memperkenalkan pusat Pit Stop (servis dan alat ganti) 2S baharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan sedia ada dan yang baharu. Malahan platform HondaTouch juga akan dipertingkatkan untuk memudahkan akses dan penggunaannya.

    HM juga bakal meningkatkan fungsi Honda Connect di pasaran, dengan mengembangkan sistem telematik, di mana ia membenarkan pengguna Honda untuk mengakses beberapa fungsi menerusi aplikasi telefon pintar, dengan menawarkan fungsi ini buat lebih banyak model pada tahun ini.

    Boleh dicapai menerusi peranti Apple dan Android, sistem yang menghubungkan antara kenderaan dengan pengguna ini, memberikan akses kawalan untuk beberapa fungsi yang berkaitan dengan keselamatan dan kemudahan termasuk status kenderaan.

     
     
  • Toyota Vios 2023 sudah ditempah lebih 5,000 unit di Malaysia tidak sampai sebulan; harga bermula RM90k

    Toyota Vios 2023 sudah ditempah lebih 5,000 unit di Malaysia tidak sampai sebulan; harga bermula RM90k

    Dalam majlis pelancaran rasmi Toyota Vios 2023 semalam, UMW Toyota Motors (UMWT) turut mengumumkan bahawa tempahan bagi sedan segmen-B generasi ke-empat berkenaan kini sudah pun melebihi angka 5,000 unit selepas ia dibuka untuk ditempah bermula 24 Februari lalu.

    “Sambutan untuk Toyota Vios serba baharu ini adalah luar biasa, dengan lebih daripada 5,000 tempahan setakat ini dibuat sejak kami membuka tempahan pada 24 Februari 2023. Ini adalah bukti populariti Toyota Vios serba baharu dalam pasaran Malaysia,” kata presiden UMWT Datuk Ravindran Kurusamy.

    “Kami teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios serba baharu, yang mewakili komitmen kami untuk menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan kami. Kami melihat kehadapan untuk tahun yang menjanjikan penuh dengan peluang, bagi memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia.” tambahnya lagi.

    Toyota Vios 2023 ini dibina berasaskan Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bagi menggantikan sepenuhnya platform model terdahulu yang sudah digunakan sejak 2013. Untuk pasaran Malaysia, kini tiada lagi varian asas J dan UMWT hanya menawarkan dua varian bermula Vios E yang dijual pada harga atas jalan RM89,600, diikuti varian tertinggi Vios G dijual pada harga RM95,500.

    Toyota Vios 2023 sudah ditempah lebih 5,000 unit di Malaysia tidak sampai sebulan; harga bermula RM90k

    Kedua-dua varian berkenaan dijana oleh enjin DOHC Dual VVT-i 2NR-VE 1.5 liter NA berkuasa 106 PS (104 hp) dan tork maksima 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Antara perincian yang diberikan pada model pasaran Malaysia ini termasuk rim aloi 17-inci, lampu hadapan dan belakang LED, lampu isyarat membelok sequential, pengecas tanpa wayar Qi, paparan instrumen 7-inci, skrin sesentuh sembilan-inci dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, pengelap cermin dengan penderia hujan, lampu suasana 64-warna, dan pelbagai lagi.

    Ia juga datang standard dengan sistem bantuan pemanduan seperti sistem pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik), amaran keluar lorong, pengelak keluar lorong, kawalan kekal lorong, kawalan salah tekan pedal, pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang dan pemantau pandangan panaromik 3D.

    Model varian tertinggi Vios juga pula menerima perincian tambahan seperti cruise control adaptif dengan kawalan kekal laluan serta lampu tinggi automatik.

    GALERI: Toyota Vios G 2023

     
     
  • Acura Integra Type S bakal didedah di California bulan depan – 2.0L VTEC Turbo sama dengan Civic Type R

    Acura Integra Type S bakal didedah di California bulan depan – 2.0L VTEC Turbo sama dengan Civic Type R

    Acura mengesahkan bahawa model generasi baharu Integra dalam versi paling berkuasa iaitu Integra Type S bakal membuat kemunculan sulungnya bulan hadapan, ketika berlangsungnya Acura Grand Prix of Long Beach di California pada 14 hingga 16 April.

    Satu video teaser berdurasi 10-saat turut disiarkan memaparkan bahagian muncung kembar tiga ekzos Acura Type S berkenaan yang nampak sama seperti pada Honda Civic Type R FL5, serta memberikan bunyi yang mengujakan dengan ‘letupan’ kecil terhasil apabila pedal pendikit di angkat.

    Acura turut telah mengesahkan bahawa Integra Type S ini dijana oleh enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang akan menghasilkan kuasa 320 hp dan tork maksima 420 Nm, bebanding Integra standard yang berkongsi enjin 1.5L VTEC Turbo dengan Civic Si berkuasa 200 hp/260 Nm.

    Angka kuasa yang didedahkan berkenaan nampak sama dengan angka pada Civic Type R FL5, menandakan kedua-dua model ini berkongsi enjin 2.0L VTEC Turbo berkenaan sepenuhnya. Menurut Acura lagi, ini membolehkan Integra Type S mencapai nisbah kuasa kepada berat terbaik dalam kelasnya.

    Bukan hanya enjin, Integra Type S juga dilihat berkongsi transmisi manual enam-kelajuan dengan short-shifter bersama unit LSD yang sama dengan Civic Type R FL5.

    Dua gambar turut disertakan dalam teaser kali ini iaitu bahagian fender hadapan yang lebih lebar dan diberikan lencana Type S, serta bahagian perumah roda belakang yang menerima overfender bagi membuatkan ia lebih lebar (berbanding Civic Type R yang diberikan panel sisi belakang yang sememangnya lebih lebar) dan juga spoiler ‘ekor itik’ gentian karbon pada but belakang.

    Acura Integra generasi baharu ini sememangnya dihasilkan berasaskan platform Honda Civic generasi ke-11. Berbanding Civic yang muncul dengan badan sedan dan hatchback, Integra direka sebagai sebuah fastback dengan pintu liftback di belakang.

    Ia juga menerima perincian sebuah Acura sebenar dengan lampu hadapan LED JewelEye, gril Diamond Pentagon dan juga lampu belakang yang direka dengan konsep sama seperti lampu hadapan. Disember lalu Acura telah mendedahkan rupa luaran Integra Type S ini, tetapi masih dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran.

    Walaupun ia masih berselindung, Integra Type S ini jelas tampil dengan rupa yang jauh lebih garang berbanding Integra biasa. Lampu hadapan dan gril masih nampak sama, tetapi ia diberikan bampar yang direka dengan apron lebih agresif menampilkan kemasan kemasukan liang udara sisi lebih besar.

    ‘Pipi’ model Type S ini juga nampak lebih ‘tembam’ dengan fender yang lebih lebar dan menampilkan jarak trek yang lebih kurang sama lebar dengan Civic Type R FL5. Di belakang, ia turut menerima bampar dengan rekaan diffuser yang lebih agresif, dan turut menempatkan tiga-tip ekzos di tengah.

    Turut kelihatan, Integra Type S ini dipadankan dengan rim lima jejari berkembar 19-inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S. Brek hadapannya menampilkan angkup besar berwarna merah dengan pita pelekat ditampal di tengah, berkemungkinan menggunakan set brek Brembo yang sama seperti Civic Type R.

     
     
  • Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    Toyota Vios 2023 generasi keempat akhirnya diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, selepas sembilan tahun model generasi ketiganya berada dalam pasaran di sini. Dua varian ditawarkan bagi model terbaru ini, kurang dua varian lagi berbanding apa yang pernah ada sebelumnya — kini tiada lagi varian J dan GR Sport (GR-S) ketika pelancaran.

    Ini menjadikan penawaran paling asas ialah Vios E, yang dijual dengan harga RM89,600 atas jalan tidak termasuk insuran, dan diikuti oleh varian G dengan harga RM95,500. Berbanding penawaran sama sebelum ini, masing-masing varian berkenaan naik sebanyak RM4,000 dan RM5,100.

    Dalam penampilan terkini, Toyota Vios 2023 serba baru dibangun menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan dimensi yang lebih besar berbanding model sebelumnya. Ukuran dimensi berkenaan adalah 4,425 mm panjang (+5 mm), 1,740 mm lebar (+10 mm) dan 1,480 mm tinggi (+5 mm). Lebih penting, jarak antara rodanya kini 70 mm lebih panjang dengan 2,620 mm.

    Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    Sebagai latar berbanding kenderaan sedan dalam segmen B ketika ini, hanya Nissan Almera berada hampir dengan jarak antara roda Vios 2023 ini, diikuti oleh pesaing lain seperti Honda City (2,600 mm) dan Mazda 2 Sedan (2,570 mm). Vios baru ini juga lebih ringan sebanyak 110 kg berbanding yang lama, sekaligus memberikan penjimatan tambahan untuk kadar penggunaan minyak sehingga 8%.

    Rekaan wajah depan Vios 2023 memang jauh berbeza daripada imej lamanya. Bukaan udara besar di tengah mendominasi. Jalur hitam yang kelihatan jelas menjadi pemisah bagi bahagian atas dan bawah muka depannya, dengan lampu LED nampak diapung di hujung DRL bentuk L yang ada.

    Tidak kira varian mana, lampu utama ini datang dengan fungsi nyala/padam automatik dan “follow me home”, walaupun tahap cambahan perlu dilakukan secara manual. Lagi ciri standard untuk kedua-dua varian ialah kit badan yang melibatkan lip bampar hitam, skirting sisi, spoiler but belakang serta rekaan ala diffuser untuk bampar belakang.

    Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    UMW Toyota merujuk Vios terbaru ini sebagai sebuah rekaan fastback dalam bahan pemasarannya, dengan penampilan bahagian belakang tiang C yang landai dan disertai kemasan hitam berkilat yang menampakkannya sebagai lanjutan bagi kawasan tingkap. Untuk rim, varian E menggunakan rim aloi 16-inci (dengan tayar 195/60), sementara G dengan rim 17-inci aloi (saiz tayar 205/50) — ini yang paling besar pernah diberikan kepada Vios.

    Di belakang, bamparnya membawa aspek rekaan yang sama seperti di depan, dengan elemen liang bukaan udara hiasan sahaja. Lampunya juga lebih bersegi berbanding yang lama, dengan grafik lebih moden di dalamnnya yang disambung terus kepada kemasan hitam yang menempatkan kamera undur dan butang bukaan but. Untuk varian G, lampu isyaratnya ada fungsi sequential, yang tiada pada E.

    Di dalam, kabin hadir dalam warna coklat gelap dan hitam, dengan rekaan papan pemuka yang lebih ringkas, menempatkan ruang cawan di sudut berdepan dengan corong udara. Ini sama seperti yang ada untuk Perodua Ativa, yang juga memanfaatkan platform DNGA. Dengan ini, bahagian seperti sterengnya dan tombol gear juga sangat mirip dengan Ativa. Konsol tengah telah dinaikkan dan tersedia perehat lengan yang tersorok di bawahnya pengecas tanpa wayar Qi.

    Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    Pengecas tanpa wayar itu adalah standard untuk kedua-dua varian, begitu juga dengan head unit dengan skrin sentuh paparan audio sembilan-inci dengan sambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay — sesuatu yang masih jarang ditawarkan dalam segmen berkenaan.

    Lagi kelengkapan yang ada ialah perakam video digital di depan, stereng dengan kawalan multi-fungsi, scuff plates dengan lampu, cermin sisi lipatan automatik, sistem tanpa kunci (sensor sentuh) dan penghidup enjin, serta Vehicle Telematics System (VTS) dengan langganan percuma tiga tahun.

    Kelengkapan khusus untuk E termasuklah pengilap berkala, kemasan dalaman warna hitam, tombol gear dan stereng urethane, larasan stereng atas-bawah, kluster instrumen Optitron dengan paparan multi-info 4.2-inci, kawalan pendingin manual, brek tangan manual, empat pembesar suara dan kerus balutan fabrik.

    Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    Varian G pula menerima tambahan seperti pengilap cermin responsif hujan, kemasan krom di luar, stereng dan tombol gear balutan kulit, instrumen kluster digital tujuh-inci, sistem lampu suasana 64-warna, pendingin automatik, permukaan materian lembut di beberapa kawasan, enam pembesar suara dan brek parkir elektronik (dengan Auto Brake Hold).

    Kedua-dua varian datang dengan enam beg udara, kurang satu daripada sebelum ini (beg udara bahagian lutut pemandua digugurkan), berserta barisan sistem pasif seperti kawalan kestabilan (VSC), kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, kunci pintu automatik, cagak Isofix serta sensor parkir (masing-masing dua di depan dan di belakang).

    Sistem bantuan pemandu untuk E termasuklah sistem pra-perlanggaran (AEB), amaran penukaran lorong, pencegahan keluar lorong, kawalan salah operasi pedal, peninjau titik buta dengan amaran lintasa trafik di belakang dan monitor pandangan 3D panoramik. Semua ini adalah peningkatan berbanding model lamanya, tetapi untuk G tetap ada pertambahan lain yang lebih menarik — melibatkan pertambahan kawalan mengekalkan lorong, lampu tinggi automatik dan kawalan melayar adaptif.

    Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    Enjin Vios 2023 ini menggunakan unit 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm. Berbanding unit 2NR-FE sebelum ini, unit 2NR-VE berkongsi kapasiti enjin yang sama, DOHC dan Dual VVT-i, tetapi janaan output berkurang satu PS dan dua Nm.

    Enjin ini memacu roda depan melalui CVT, unit D-CVT Daihatsu yang menggabungkan pacuan tali sawat dengan gear. Gandingan ini memberikan pecutan lebih pantas dan penggunaan minyak 5.2 liter per 100 km. Pemandu akan ada tiga mod pemanduan, termasuk Normal, Power dan Eco.

    Vios terus memanfaatkan suspensi MacPherson strut di depan, dengan torsion beam di belakang serta stereng kuasa elektrik. Cakera brek berliang juga standard untuk kedua-dua varian, dengan E menggunakan brek dram di belakang, manakala G dengan cakera solid untuk brek parkirnya. Tangki minyak juga berbeza: kini dengan 40 liter berbanding 42 liter sebelum ini. E juga mempunyai radius pusingan lebih kecil dengan 4.8 meter berbanding G dengan 5.2 meter disebabkan saiz rim yang berbeza.

    Toyota Vios 2023 baru dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, DNGA, AEB, ACC, harga dari RM89,600

    Ada lima pilihan warna semuanya untuk Vios 2023, terdiri daripada Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet, Attitude Black dan Platinum White Pearl — yang terakhir ini melibatkan tambahan RM400. Perakam video digital juga boleh ditambah dengan harga RM380. Jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan adalah standard untuk semua pembelian Vios.

    Adakah Vios 2023 kegenerasi keempat ini jauh lebih bagus berbanding model lamanya?

    Toyota Vios G 2023

    Toyota Vios 2023 di Langkawi

     
     
  • KPKT cadang garis panduan pengecas EV – tidak boleh dipasang di parkir unit strata, bawah tanah?

    KPKT cadang garis panduan pengecas EV – tidak boleh dipasang di parkir unit strata, bawah tanah?

    PLAN Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) buat masa ini sedang membangunkan garis panduan untuk parkir pengecas EV di Malaysia.

    Draf garis panduan tersebut telah dipaparkan di bawah kendalian Perundingan Awam Bersepadu (UPC) menerusi laman web Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mendapatkan maklumbalas dari orang ramai. Garis panduan berkenaan mendedahkan beberapa fakta menarik yang boleh mengubah sepenuhnya landskap pengecasan EV di Malaysia.

    Dua perkara paling besar yang didedahkan menerusi dokuman berkenaan ialah tidak membenarkan lot parkir dengan pengecas EV di parkir bawah tanah, dan tidak membenarkan ia dipasang di lot parkir individu di parkir unit strata.

    Kedua-dua perkara adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk akses kenderaan bomba ke parkir pengecasan EV sekiranya kenderaan elektrik (EV) terbakar sewaktu sedang dicas.

    KPKT cadang garis panduan pengecas EV – tidak boleh dipasang di parkir unit strata, bawah tanah?

    Untuk pengecasan awam, garis panduan yang dicadangkan mengatakan anda hanya boleh membina ruang parkir kenderaan dengan pengecas EV di aras tanah. Pengecas bawah tanah tidak akan dibenarkan, jadi ini menimbulkan persoalan tentang apa yang yang akan berlaku kepada stesen pengecas seperti pengecas Suria KLCC Gentari. Nampaknya satu-satunya pengecasan bukan aras tanah di pusat membeli-belah yang akan dibenarkan ialah aras atas bumbung terbuka (open rooftop).

    Untuk pengecas di bawah hak milik strata, ia mungkin bakal menjadi isu besar untuk penghuni kondominium, Pengecas di lot parkir individu kini tidak lagi dibenarkan. Sebaliknya, garis panduan itu menyatakan pengecas EV di kondominium hanya boleh dipasang di kawasan parkir pelawat bagi memudahkan akses kenderaan bomba.

    Sebelum ini, kami pernah menulis mengenai undang-undang ‘hak untuk mengenakan bayaran’ harus dilaksanakan di Malaysia bagi memudahkan individu yang tinggal di kondominium yang ingin memasang alat pengecas di petak parkir individu. Walau bagaimana pun, dengan garis panduan yang dicadangkan ini, KPKT ‘tidak akan membenarkannya smaa sekali’.

    Tarikh akhir untuk maklum balas bagi cadangan tersebut bakal berakhir esok. Klik DI SINI untuk ke laman web tersebut jika anda berminat untuk turut serta dalam memberikan maklumbalas mengenai garis panduan ini.

     
     
  • Honda BR-V sah akan dihentikan jualan di Malaysia, model gantian tidak dibawa ke pasaran tempatan

    Honda BR-V sah akan dihentikan jualan di Malaysia, model gantian tidak dibawa ke pasaran tempatan

    SUV segmen-B tujuh tempat duduk Honda BR-V generasi kedua sudah pun membuat kemunculan sulung peringkat global di Indonesia pada September 2021, dan kemudian ia turut dilancarkan di beberapa negara ASEAN lain termasuk Thailand dan Filipina tahun lalu.

    Agak-agak bila giliran Malaysia? Untuk yang menunggu ketibaan model ini, berita tak baik untuk anda, Honda Malaysia mengesahkan bahawa BR-V tidak lagi akan dijual pada pasaran tempatan selepas model generasi pertama sedia ada dihentikan pengeluarannya.

    Perkara ini diumumkan oleh Honda Malaysia ketika sesi soal jawab dalam majlis bersama media pada Jumaat minggu lalu. Honda Malaysia tidak memberikan jawapan rasmi mengapa jualan BR-V tidak diteruskan, namun dari sumber dalaman yang kami dapat, ini adalah kerana syarikat berkenaan kini mengubah startegi mereka untuk mengundur diri dari saingan model tujuh-tempat duduk segmen-B, yang kini agak padat dengan model seperti Perodua Alza, Perodua Aruz, Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander.

    Honda BR-V sah akan dihentikan jualan di Malaysia, model gantian tidak dibawa ke pasaran tempatan

    Honda Malaysia nampaknya kini akan masuk dalam persaingan untuk SUV kompak segmen-B menerusi Honda WR-V yang disahkan akan dilancar di Malaysia pada suku ketiga tahun ini, dengan saingan utamanya hanya Perodua Ativa.

    Model generasi pertama Honda BR-V tiba di Malaysia pada awal 2017. Ia diasaskan dari MPV tujuh-tempat duduk Honda Mobilio dan menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC 120 PS/145 Nm yang sama, diberikan perincian unik untuk menjadikan ia lebih seperti sebuah SUV.

    Bagi model generasi kedua, BR-V masih diberikan enjin 1.5L NA tetapi dengan kemaskini termasuk kepala silinder DOHC i-VTEC memberikan kuasa keseluruhan 121 PS/145 Nm. Ia juga menerima tingkat taraf casis serta pelbagai perincian baharu termasuk sistem bantuan pemanduan Honda Sensing.

    GALERI: Honda BR-V generasi kedua pasaran Indonesia

     
     
  • Kawasaki akan bawa barisan penuh model offroad ke pasaran Malaysia – diperkenalkan suku kedua 2023

    Kawasaki akan bawa barisan penuh model offroad ke pasaran Malaysia – diperkenalkan suku kedua 2023

    Kawasaki yang kini duduk di bawah Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) untuk pasaran Malaysia nampaknya akan mengembangkan lagi penawaran produk mereka apabila kami diberitahu model offroad juga akan tiba tidak lama lagi.

    Menurut ketua pegawai pemasaran Modenas, Yusaku Kashiwagi, barisan penuh model offroad ini akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, termasuk dari kategori enduro dan motocross yang tidak boleh didaftar untuk kegunaan atas jalan raya, namun akan dilakukan secara berperingkat.

    Ini adalah sesuatu yang menarik untuk dilihat kerana sudah lama model offroad sebenar (selain KLX) tidak tiba di negara kita melalui saluran rasmi dan bagaimana penentuan harganya akan dibuat untuk bersaing dengan jenama Eropah yang semakin berkembang di sini.

    Kawasaki akan bawa barisan penuh model offroad ke pasaran Malaysia – diperkenalkan suku kedua 2023

    “Untuk tempoh awal ini, kita sudah melantik empat pengedar khas untuk motosikal offroad ini di seluruh Malaysia dan ia akan diumumkan bersama dengan pelancaran model antara bulan April atau Mei tahun ini,” kata ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

    Antara model yang disebut oleh Roslan akan tiba di peringkat awal adalah KLX 140, yang duduk di bawah kategori enduro dalam barisan produk Kawasaki dan datang tanpa sebarang lampu. Kita juga boleh menjangkakan ketibaan model-model lain seperti siri KX 250 dan 450, yang terdapat dalam pilihan enduro dan motocross, dengan perbezaan seperti pada nisbah gear, kelengkapan serta kemampuan.

     
     
  • Kerajaan bakal semak semula monopoli Touch ‘n Go untuk tol dan pengangkutan awam – Anwar Ibrahim

    Kerajaan bakal semak semula monopoli Touch ‘n Go untuk tol dan pengangkutan awam – Anwar Ibrahim

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyemak semula monopoli yang dimiliki oleh Touch ‘n Go (TnG) di Malaysia. Perkara ini didedahkan dalam sesi soal jawab program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), apabila beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh salah seorang peserta mengenai perkara tersebut.

    Menerusi sesi berkenaan, peserta tersebut bertanya adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menamatkan monopoli TnG dalam sistem pembayaran untuk sistem pengangkutan dan jalan raya di Malaysia. Dia menambah bahawa kad debit dan kredit boleh digunakan di banyak tempat seperti stesen minyak dan tempat letak kereta, tetapi TnG hanya menjadi satu-satunya pilihan pembayaran tanpa sentuh untuk pembayaran tol dan pengangkutan awam.

    “Anda lihat, Touch ‘n Go telah beroperasi lebih daripada dua dekad dan dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu. Saya rasa anda betul, kita akan mempertimbangkannya semula,” jawab Anwar.

    Sejak kebelakangan ini, terdapat kemajuan dalam pilihan pembayaran alternatif yang ditawarkan. Ini termasuk dengan perkhidmatan MRT Laluan Putrjaya yang baru beroperasi sejak 16 Mac lalu juga turut menerima pembayaran menggunakan kad kredit dan debit. Malah pada tahun 2020, Rapid KL menguji pengimbas kad MyDebit, yang membolehkan para pengguna membuat pembayaran dengan menggunakan kad ATM mereka.

    Pada bulan lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengguna jalan raya bakal mempunyai banyak pilihan pembayaran secara mod digital apabila sistem tol multi-lane free flow (MLFF) dilaksanakan pada 2025.

    Beliau berkata, perbincangan mengenai sistem pembayaran terbuka antara Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan serta syarikat konsesi berkaitan sedang dipertingkatkan, dan projek perintis bagi membolehkan pembayaran melalui pelbagai penyedia pembayaran digital akan dijalankan secepat mungkin.

     
     
  • PLUS umum lorong kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh arah selatan ditutup hingga 14 April 2023

    PLUS umum lorong kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh arah selatan ditutup hingga 14 April 2023

    PLUS Berhad mengumumkan bahawa lorong kiri di Terowong Meru bagi laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan ditutup mulai hari ini sehingga 14 April 2023.

    Ia merupakan penutupan fasa kedua yang membabitkan laluan di KM260.30 hingga KM262.05, arah selatan bagi kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan yang dijalankan antara jam 9 malam hingga 12 tengahari setiap hari.

    Menurut PLUS, sepanjang tempoh tersebut, laluan kontra akan diaktifkan secara berkala sekiranya perlu bergantung kepada keperluan semasa untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.

    “Justeru, pengguna yang menghala ke selatan/Ipoh/Kuala Lumpur dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

    “Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Honda Civic Type R FL5 sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini – disertai CR-V 2023 & City facelift

    Honda Civic Type R FL5 sah akan dilancarkan di Malaysia tahun ini – disertai CR-V 2023 & City facelift

    Selain dari SUV kompak Honda WR-V yang sudah diumum bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, dalam majlis bersama media Jumaat minggu lalu Honda Malaysia turut mengesahkan bahawa ia turut akan melancarkan dua lagi model baharu dan satu model facelift untuk tahun ini.

    Walaupun tidak disebutkan dengan jelas, salah satu slaid pembentangan berkenaan menunjukkan tombol gear hot-hatch terkini Honda, iaitu Honda Civic Type R FL5, menandakan ia salah satu dari tiga model yang akan dilancarkan.

    Ini merupakan Civic Type R ketiga bakal dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia, selepas FD2R (Malaysia satu-satunya pasaran di dunia yang menerima model ini secara rasmi) dan juga FK8. Civic Type R FL5 ini sudahpun mula diperkenalkan di ASEAN bermula pasaran Vietnam hujung tahun lalu, diikuti Filipina pada awal tahun ini.

    Model FK8 sebelum ini dijual pada harga RM320k ketika dilancarkan pada November 2017. Di semua pasaran yang telah dilancarkan, Civic Type R FL5 menampilkan harga yang lebih tinggi, jadi ia juga mungkin dijual lebih mahal untuk pasaran Malaysia. Agak menarik untuk disaksikan adakah FL5 akan dijual lebih mahal atau tidak berbanding pesaingnya yang baru sahaja dilancarkan di sini iaitu Toyota GR Corolla yang dijual pada harga RM355k.

    Manakala satu lagi model baharu sepenuhnya yang akan dilancarkan disini adalah CR-V generasi baharu, di mana unit prototaipnya sudahpun dilihat diuji di sini hujung bulan lalu. Model ini baru sahaja membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada Julai tahun lalu, dan ia akan dilancarkan di Thailand pada 22 Mac ini.

    Di kedua-dua pasaran berkenaan, Honda CR-V generasi ke-enam ini menerima dua jenis unit rangkaian kuasa iaitu versi petrol sepenuhnya dengan enjin 1.5 liter turbo dan juga versi hibrid e:HEV dengan enjin kitaran Atkinson 2.0 liter NA bersama dua buah motor elektrik.

    Tiada sebarang petunjuk bila tarikh sebenar Honda CR-V 2023 ini akan dilancarkan. Tetapi ia dikhabarkan akan dilancarkan selepas Honda WR-V, iaitu selepas suku ketiga tahun ini.

    Bagi satu model facelift yang bakal dilancarkan untuk 2023 pula, hampir pasti ia adalah Honda City facelift – model berkenaan baru sahaja didedahkan untuk peringkat global di India pada awal bulan ini, menampilkan beberapa perubahan yang dibuat pada rupa luaran dan dalaman serta diberikan sedikit peningkatan kelengkapan.

    Honda City generasi kelima ini dilancarkan di India buat pertama kali pada Julai 2020, manakala Malaysia pula menerima model yang sama hanya tiga bulan selepas itu iaitu pada Oktober 2020. Jadi mungkin kita juga akan menerima versi facelift ini beberapa bulan dari sekarang?

     
     
  • Honda WR-V sah akan dilancarkan di Malaysia suku ke-3 2023 – pencabar Perodua Ativa, enjin 1.5L i-VTEC

    Honda WR-V sah akan dilancarkan di Malaysia suku ke-3 2023 – pencabar Perodua Ativa, enjin 1.5L i-VTEC

    Selepas unit prototaipnya dilihat diuji di Malaysia sebelum ini, akhirnya Honda Malaysia mengesahkan bahawa SUV kompak Honda WR-V sah akan dilancarkan di pasaran tempatan pada suku ketiga tahun ini.

    Pengumuman ini dibuat oleh Honda Malaysia ketika berlangsungnya majlis bersama media minggu lalu – walaupun namanya tidak disebut secara spesifik, bayangan model yang ditunjuk berkenaan adalah jelas WR-V yang juga merupakan SUV paling kompak dalam barisan model Honda buat masa sekarang.

    Honda WR-V ini telah pun muncul buat kali pertama untuk peringkat global di Indonesia pada November tahun lalu. Buat masa sekarang ia hanya diproduksi di fasliliti Honda di Karawang, Indonesia dan telah pun diimport ke Thailand dan dilancarkan di negara berkenaan awal bulan ini. Untuk Malaysia, WR-V ini dijangka akan diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di Pegoh, Melaka bagi memastikan ia dapat dijual pada harga lebih kompetitif.

    Di Indonesia Honda WR-V dihasilkan bagi berhadapan terus dengan pasangan kembar Toyota Raize dan Daihatsu Rocky. Dan di sini, WR-V sudah tentu perlu bersaing dengan satu lagi kembar Raize dan Rocky iaitu Perodua Ativa.

    Honda WR-V sah akan dilancarkan di Malaysia suku ke-3 2023 – pencabar Perodua Ativa, enjin 1.5L i-VTEC

    SUV Honda yang lebih kecil dari HR-V ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,608 mm dan jarak roda sejauh 2,485 mm. Jadi berbanding Ativa, WR-V adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah serta jarak roda 40 mm lebih dekat.

    Jarak kelegaan tanah WR-V ini adalah lebih tinggi dari Ativa iaitu 220 mm berbanding 200 mm sekaligus memberikan ia rupa lebih lasak. Ruang but SUV kompak Honda ini juga lebih besar dengan kapasiti 380 liter berbanding 369 liter pada saingannya dari Perodua.

    WR-V menerima enjin yang sama seperti Honda City iaitu unit 1.5 liter DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan. Jadi dari segi kuasa juga WR-V adalah lebih besar dari Ativa yang digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 97 hp/140 Nm.

    Honda menawarkan dua varian ditawarkan di Indonesia bermula dengan varian paling asas E dengan rim 16-inci lima-jejari dibalut tayar 215/60, sementara varian tertinggi datang dengan kemasan paling sporty RS dengan rim 17-inci dua tona bersama tayar 215/55.

    Honda WR-V sah akan dilancarkan di Malaysia suku ke-3 2023 – pencabar Perodua Ativa, enjin 1.5L i-VTEC

    WR-V E menerima kelengkapan seperti penghidup enjin jarak jauh, butang Push Start, skrin sentuh 7-inci, kamera undur dengan pandangan pelbagai sudut, empat pembesar suara, panel pendingin digital, kerusi fabrik dan empat beg udara dengan VSA.

    RS pula dibekalkan dengan tambahan lampu depan LED bersama DRL LED, ciri kunci pintu automatik ketika bergerak meninggalkan kereta, kluster meter digital dengan paparan 4.2-inci, enam pembesar suara, kerusi gabungan kulit dan fabrik, stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin automatik dan cermin sisi lipatan automatik.

    Varian RS juga hadir dengan ciri keselamatan tertinggi dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing dan LaneWatch, enam beg-udra serta lamu hadapan automatik. WR-V RS ini telahpun di uji dalam ujian pelanggaran keselamatan ASEAN NCAP dan dianugerahkan penarafan lima-bintang.

    Tiada sebarang perincian berkenaan varian untuk pasaran Malaysia diumumkan setakat ini, namun kami jangkakan WR-V bakal hadir dengan model RS sebagai varian tertinggi di sini sama seperti di Indonesia dan Thailand.

    Dari segi harga pula WR-V ini mungkin akan dijual pada harga lebih tinggi berbanding Perodua Ativa walaupun dengan kelengkapan setara antara kedua-duanya. Di Indonesia, Honda WR-V dijual pada harga Rp.271.9 juta (RM82k) untuk varian E, diikuti varian RS pada harga Rp.289.9 juta (RM88k), dan varian tetinggi RS dengan Sensing berharga Rp.309.9 juta (RM94k).

    Sebagai perbandingan, Toyota Raize dijual pada harga bermula Rp. 233 juta (RM68k) untuk varian asas dengan enjin 1.2L NA sehingga Rp.281.4 juta (RM82k) untuk varian tertinggi 1.0T GR Sport. Sementara Daihatsu Rocky pula dijual Rp. 206.45 juta (RM60k) untuk varian asas 1.2L dengan kotak gear manual sehingga Rp. 274.85 juta (RM80k) bagi model tertinggi 1.0T R ASA dengan cat badan dua tona.

    Di Malaysia, Perodua Ativa dijual pada harga lebih mampu milik di mana model asas Ativa yang sudahpun menerima enjin 1.0L turbo dan kotak gear D-CVT dijual pada harga bermula RM61.5k, manakala varian tertinggi Ativa AV yang lengkap dengan sistem bantuan pemandu ASA dijual pada harga RM71.2k.

    Malah berbanding Honda City Hatchback dengan Honda Sensing dijual pada harga 362.6 juta Rupiah (RM109k), WR-V RS dengan Sensing berkenaan hanyalah 14% lebih murah. Untuk pengetahuan anda, City Hatchback RS di Indonesia hanya diberikan enjin petrol 1.5L berbanding spesifikasi di Malaysia yang lebih tinggi menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV.

    GALERI: Honda WR-V 2022 pasaran Indonesia

    GALERI: Honda WR-V 2023 pasaran Thailand

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025