Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PM dirayu baiki segera Lebuhraya Pasir Gudang

    PM dirayu baiki segera Lebuhraya Pasir Gudang

    Lebuhraya Pasir Gudang merupakan antara jalan yang paling penting untuk penduduk Pasir Gudang serta Johor Bahru secara amnya. Jalan berkenaan kebanyakkannya digunakan oleh penduduk di Bandaraya berkenaan untuk ke tempat kerja yang terletak di kawasan perindustrian yang berada di sekitarnya.

    Namun disebabkan ia juga merupakan laluan utama yang digunakan oleh kebanyakkan kenderaan berat untuk logistik ke kilang-kilang dan pelabuhan, permukaan Lebuhraya Pasir Gudang sentiasa dalam keadaan teruk, dan ia kini semakin membimbangkan.

    Ini mendorong Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim untuk merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar campur tangan dalam masalah ini agar ia boleh diselesaikan dan dapat menyelamatkan banyak nyawa dari terkorban akibat keadaan jalan raya yang terlalu teruk.

    “Saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang mohon dengan jari sepuluh kepada JKR Daerah Johor Bahru, kepada Pegawai Daerah JB, Kepada Exco Kerjayaraya Negeri Johor, kepada Menteri Kerjaraya Kerajaan Persekutuan dan akhir nya kepada Perdana Menteri YAB Anwar Ibrahim. Tolonglah perbaiki keadaan lebuhraya Pasir Gudang sekarang yang semakin teruk,” kata Hassan dalam hantaran yang dibuat pada akaun Facebooknya hari ini.

    Dalam hantaran tersebut Hassan turut menyertakan sekali gambar menunjukkan keadaan lebuhraya dari arah Perling ke Pasir Gudang dan Susur Ke Jalan Tebrau yang kelihatan sangat teruk dengan lubang yang agak besar.

    “Keadaan lebuhraya yang buruk berlubang serta berbahaya bukan di situ sahaja tetapi di banyak tempat lain. Saya sebagai Ahli Parlimen telah suarakan masalah ini bertahun-tahun sejak 2018, di dalam Parlimen, di dalam media massa, di dalam surat-surat Khabar arus Perdana dan buat live FB di atas lebuhraya yang rosak itu tetapi saya sekarang tidak ada kesannya. Seperti mencurah air di daun keladi.

    “Kalau semua agensi kerajaan Dan pemimpin tak ambil peduli kepada ramai warga awam termasuk rakyat Pasir Gudang yang terkorban mati di lebuhraya yang kini seperti perangkap maut. Maka, saya menyusun jari memohon kepada Perdana Menteri YAB Anwar Ibrahim dengarlah rayuan saya ini. Tolonglah kami,” rayu Hassan lagi

     
     
  • Subsidi minyak bersasar dijangka dimasukkan dalam semakan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb

    Subsidi minyak bersasar dijangka dimasukkan dalam semakan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb

    Menurut laporan The Edge, subsidi minyak bersasar dijangka akan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang disemak semula, di mana ia bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Subsidi minyak bersasar ini telah beberapa kali dibangkitkan sebelum ini. Pada November lalu, Anwar mendedahkan bahawa kementerian yang berkaitan telah diberi masa untuk mengkaji kesan langkah tersebut.

    Ketua ekonomi dan ketua penyelidikan pasaran Kumpulan RHB Research, Sailesh K Jha memberitahu penerbitan itu bahawa Malaysia diramal mengekalkan kitaran perniagaan yang kukuh dan menyaksikan penurunan dalam inflasi indeks harga pengguna (CPI) pada separuh pertama tahun ini. Selain itu, harga komoditi dijangka kekal stabil pada separuh pertama tahun ini apabila ekonomi global semakin perlahan.

    “Pada pengamatan kami, pembukaan semula China tidak mungkin memberikn kesan yang ketara terhadap aktiviti ekonomi dan pertumbuhan global untuk separuh pertama 2023, justeru ia merupakan masa yang sesuai untuk mengumumkan pengurangan subsidi minyak pada 24 Februari ini,”katanya.

    Dalam satu lagi nota berkaitan kewangan, RHB Research mengekalkan pandangannya bahawa kadar dasar semalaman (OPR) akan memuncak antara 3.0-3.5% pada 2023, dengan baki risiko pada kadar 3-3.25%. “Ketidakpastian sekitar ramalan OPR kami berpunca daripada masa, bilangan tertentu dan skop pelarasan harga minyak yang disasarkan,” jelas Sailesh.

     
     
  • PLUS dan DASH diarah siasat kekeliruan pertindihan garisan jalan di Lebuhraya NKVE – Menteri KKR

    PLUS dan DASH diarah siasat kekeliruan pertindihan garisan jalan di Lebuhraya NKVE – Menteri KKR

    Pengendali Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) iaitu PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan syarikat konsesi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), PROLINTAS, diarah oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menyiasat kekeliruan pertindihan garisan jalan (lane marking) berbeza warna di NKVE. Ia susulan satu video tular yang memaparkan insiden kemalangan yang membabitkan sebuah Toyota Innova dan Veloz di susur keluar Kota Damansara pada Isnin lalu.

    Menurut Menteri KKR Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, syarikat pengendali DASH telah mengenal pasti kawasan pertindihan garisan jalan yang perlu ditambah baik sejak sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

    “DASH telah mula melakukan proses blackening bermula malam semalam dan akan melihat secara keseluruhan kadar blackening yg diperlukan. Dijangka akan siap sepenuhnya dalam tiga hari,” kata Alexander menerusi entri di Facebook rasmi beliau pagi tadi.

    Tambahnya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS dan DASH juga akan menilai semula keadaan di tapak di NKVE, terutamanya garis jalan kuning dan putih supaya lebih teratur dan jelas serta selamat untuk dilalui pengguna.

    “Saya telah menekankan perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya. Pada masa yang sama, saya juga menyeru semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu. Keselamatan di jalan raya adalah tanggung jawab kita bersama,” sambungnya lagi.

     
     
  • Harga rasmi BMW 2023 di M’sia — naik hingga RM30k; 218i naik RM3.6k; X3 naik RM7.6k; ix RM24k; i4 RM15k

    Harga rasmi BMW 2023 di M’sia — naik hingga RM30k; 218i naik RM3.6k; X3 naik RM7.6k; ix RM24k; i4 RM15k

    Awal bulan ini, kami melaporkan yang model kenderaan BMW di Malaysia dijual dengan harga baru bagi 2023, berdasarkan maklumat dari konfigurator dalam talian BMW Malaysia. Dan kini, syarikat itu telah mempamerkan senarai harga baru yang lengkap di laman webnya.

    Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tidak termasuk insurans dan termasuk jaminan dua tahun standard, yang menjadi harga jualan cadangan yang biasanya kami paparkan. Dalam artikel sebelumnya, hanya harga dengan lanjutan jaminan dan pakej servis dipamerkan dalam konfigurator. Jika anda inginkan senarai harga berkenaan, ia juga disediakan.

    Antara model yang harganya naik agak ketara bagi 2023 termasuk 218i Gran Coupe M Sport, yang kini dijual RM217,320; naik RM3,630 berbanding sebelum ini. 530i M Sport juga naik sebanyak RM4,350, manakala dua varian M5 naik RM450 berbanding dahulu. Untuk 5 Series plug-in hybrid, 530e M Sport, kosnya turun RM1,067 menjadi RM337,120.

    Harga rasmi BMW 2023 di M’sia — naik hingga RM30k; 218i naik RM3.6k; X3 naik RM7.6k; ix RM24k; i4 RM15k

    Model 1 Series (M135i xDrive), 4 Series (430i M Sport), 6 Series (630i GT M Sport) dan Z4 (sDrive30i M Sport) kini makin mahal, begitu juga dengan M3 Competition yang naik sebanyak RM30,130 — varian baru dengan Pro Package juga diperkenalkan. 8 Series dalam varian tunggal M850i xDrive MY Edition pula turun harganya sebanyak RM15,060 menjadi RM1,057,640. 3 Series facelift pula baru saja dilancarkan tahun ini.

    Bagi model SAV, X3 naik harganya sehingga RM7,610, sementara X4 dan X6 juga lebih mahal. X5, yang ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (xDrive45e M Sport), kini berharga RM456,620, atau kurang RM130. Bagi model XM pula, harga jualannya kini diketahui, dengan dua varian ditawarkan (Gold Line dan Shadow Line), pada harga yang sama, RM1,316,450.

    Bagi model elektrik BMW, iX3 kekal dengan harga RM307,160 bagi versi Inspiring, dan RM328,160 bagi Impressive — kedua-duanya datang dengan pakej M Sport sebagai ciri standard. Bagi i4, harganya naik sehingga RM15,000, sementara iX naik sehingga RM24,000 bagi xDrive40 dan xDrive40 Sport. Varian barunya, xDrive50 Sport sudah datang dengan harga 2023.

    Ada juga model kereta 2022 dan tidak melibatkan peruhan harga. Ini termasuklah 7 Series dan X1, yang dijangka akan menerima model barunya tahun ini, masing-masing dengan versi G70 dan U11. X7 juga dijangka akan menerima model facelift-nya di sini.

     
     
  • Jangan ambil mudah isu penyelenggaraan kenderaan, elak tersadai di jalan raya akibat kerosakan- KP JPJ

    Jangan ambil mudah isu penyelenggaraan kenderaan, elak tersadai di jalan raya akibat kerosakan- KP JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyeru dan memohon kerjasama orang ramai untuk tidak ambil mudah isu penyelenggaraan kenderaan bagi memastikan kelancaran pergerakan sepanjang mengharungi aliran trafik terutamanya pada waktu puncak atau musim perayaan.

    Ketua Pengarah JPJ Dato’ Zailani Hashim berkata, pihaknya mendapati berdasarkan rekod pemantauan Unit Peronda Lebuhraya (UPLR), sepanjang tempoh Op Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena perayaan Tahun Baharu Cina 2023, bermula 18 hingga 23 Januari lalu, lebih kurang 31 buah kenderaan didapati rosak dan tersadai di jalan raya. Ia melibatkan beberapa lokasi di Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Utara.

    “Ia melibatkan pelbagai kerosakan, antaranya enjin mengalami kepanasan melampau (over heating), bampar/skirting tertanggal, tayar haus/botak/pancit, kerosakan fungsi teknikal, wiring terbakar dan sebagainya.

    “Apabila menggunakan kenderaan yang tidak diselenggara atau berada dalam keadaan yang kurang baik bagi tempoh perjalanan yang jauh dan lama, ia amat membahayakan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain apabila berlaku kerosakan secara tiba-tiba. Hal tersebut juga akan menyebabkan kelancaran pergerakan trafik menjadi perlahan, mendatangkan kesesakan yang tinggi dan boleh mengundang risiko kemalangan,” kata Zailani.

    Justeru, orang ramai dinasihati untuk memastikan kenderaan diselenggara dengan baik termasuk membuat pemeriksaan berkala di Puspakom. Selain itu, jika mengalami sebarang masalah, orang ramai diminta untuk berhenti di lokasi yang sesuai dan selamat, tambahnya lagi.

     
     
  • Harga minyak 26 Jan-1 Feb – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 26 Jan-1 Feb – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan telah membuat keputusan untuk mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel untuk minggu terakhir Januari 2023 hingga hari pertama Februari iaitu dalam tempoh 26 Januari hingga 1 Februari. Ini merupakan minggu kelima berturut-turut kesemua harga bahan api tersebut dikekalkan.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022.

    Bagi petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Geely siar teaser sedan EV baharu dengan pintu suicide – guna platform SEA, bakal dilancar pada 2023

    Geely siar <em>teaser</em> sedan EV baharu dengan pintu suicide – guna platform SEA, bakal dilancar pada 2023

    Peralihan kepada teknologi elektrik penuh (EV) menyaksikan ia seiring dengan trend SUV di mana kebanyakkan model-model EV baharu dihasilkan dalam bentuk SUV. Ini ada sesuatu yang berbeza dari Geely, gergasi industri automotif China berkenaan telahpun menyiarkan teaser untuk sedan EV baharunya yang bakal didedahkan pada tahun ini.

    Imej teaser berkenaan mendedahkan bayang sedan EV tersebut bersama perincian-perincian lain. Model berkenaan digambarkan menerima rekaan lampu hadapan tiga dimensi dengan jalur lampu nyalaan siang berbentuk-L seakan diambil separa dari rekaan jalur lampu nyalaan siang ‘Thor Hammer’ Volvo.

    Geely turut mendedahkan bayang profil sisi sedan ini yang menyerlahkan rupa seakan sebuah coupe atau fastback empat-pintu. Apa yang lebih menarik, perhatikan pembuka pintu belakang yang diletakan hampir dengan pintu hadapan, menandakan ia menerima pintu terbalik atau “suicide door” seperti yang digunakan pada Rolls-Royce dan Lincoln Continental 80th Anniversary Coach Door Edition.

    Disebabkan sedan ini merupakan model flagship, ia berkemungkinan besar akan menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely dalam varian SEA1. Platform berkenaan kini sudahpun digunakan pada model EV premium Geely seperti Zeekr 001.

    Untuk rujukan, Zeekr 001 datang dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang, dan juga varian paling berkuasa pacuan semua roda dengan dua motor elektrik menghasilkan 536 hp; membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang empat saat serta menawarkan jarak gerak 700 km untuk satu cas penuh bateri.

    Platform SEA1 ini juga menggunakan asas seni bina elektrikal 800-volt, menawarkan cas pantas dalam masa hanya sekitar 20 minit.

     
     
  • Perodua bakal lancarkan Bezza 2023 tahun ini?

    Perodua bakal lancarkan Bezza 2023 tahun ini?

    Penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang mendedahkan dalam satu nota penyelidikan bahawa Perodua bakal melancarkan model sedan baharu tahun ini, iaitu gantian kepada Bezza yang telahpun berada dalam pasaran sejak 2016. Analisis yang dipetik oleh Berita Harian tersebut meramalkan sasaran awal jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 650,000 yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tempoh hari mungkin akan dinaikkan.

    Menurut Jim, TIV diramalkan lebih rendah dan berdasarkan permintaan lebih lemah pada 2023 akibat ketiadaan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta harga kereta lebih tinggi. Namun dengan pelbagai model baharu yang menarik akan dilancarkan tahun ini, antaranya SUV tujuh-tempat duduk Proton X90 dan juga sedan baharu dari Perodua ia mungkin akan menaikkan lagi jumlah TIV.

    “Sungguhpun begitu, kami ambil maklum bahawa sekiranya kereta-kereta yang baru dilancarkan seperti Toyota Vios dan Innova, model sedan Perodua, dan Proton X90 mendapat sambutan yang lebih hangat daripada yang dijangkakan, ramalan TIV sebanyak 600,000 unit kami mungkin akan dinaikkan.

    Perodua bakal lancarkan Bezza 2023 tahun ini?

    “Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan TIV 2023 sebanyak 636,000 unit yang kemudiannya disemak naik kepada 650,000 unit,” katanya dalam nota penyelidikan tersebut.

    Perodua sebelum ini telahpun menyatakan keupayaan mereka untuk melancarkan satu model baharu sepenuhnya (FMC) dan juga dua model facelift baharu setiap tahun. Berdasarkan pelbagai laporan, Perodua hampir pasti bakal melancarkan model generasi baharu untuk hatchback segmen-A iaitu Axia dikenali dengan kod D74A dan diikuti oleh model facelift Perodua Aruz yang sudah pun berada empat tahun dalam pasaran.

    Buat masa sekarang, satu-satunya model sedan yang dijual oleh Perodua adalah Bezza, iaitu sedan yang diasaskan dari Axia yang muncul sekitar setahun selepas hatchback berkenaan dilancarkan pada September 2014. Jika dilihat, adalah logik untuk Perodua memperkenalkan Bezza dalam versi generasi baharu kerana ia sudah berada selama tujuh tahun dalam pasaran.

    Tambahan pula Axia generasi baharu juga bakal muncul tidak lama lagi, dan Bezza generasi baharu ini mungkin akan didedahkan pada penghujung tahun ini, untuk mengisi kuota pelancaran “model kemaskini” untuk 2023. Bagi yang belum mengetahui, Bezza merupakan hasil unit R&D Perodua di Malaysia, di mana badan atas sedan berkenaan dibangunkan sepenuhnya di Rawang, dan model ini tidak pernah dijual dengan lencana Daihatsu atau Toyota.

    Malah buat masa sekarang, fasiliti R&D milik Perodua sudah pun lebih besar dari fasiliti Astra Motor Daihatsu (ADM) di Indonesia, dan ada khabar menyatakan Perodua turut terlibat dalam pembangunan Toyota Vios generasi baharu yang diasaskan dari Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Bagi Perodua Axia 2023, ia dikhabarkan turut akan menggunakan platform DNGA sebagai asas dan bakal diperkenalkan di Malaysia terlebih dahulu bulan hadapan sebelum kembarnya iaitu Daihatsu Ayla dan Toyota Agya generasi baharu didedahkan di Indonesia kemudian.

    Ini menunjukkan Perodua telah diberikan peranan besar bagi membangunkan hatchback segmen-A tersebut, dan tidak mustahil ia berjalan sekali dengan pembangunan versi sedan, membolehkan Bezza generasi baharu muncul di pasaran lebih awal.

    Agak sukar untuk menghidu apa yang sedang dilakukan oleh Perodua kerana syarikat berkenaan mempunyai litar ujian yang lengkap di Rawang membolehkan segala proses pembangunan tidak perlu dibuat di atas jalan raya awam. Apa pun, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Perodua berkenaan model-model baharu yang bakal dilancarkan tahun ini.

     
     
  • BYD Atto 3 — Sime Darby Motors sasar jual sebanyak 3,000 unit setahun bagi SUV elektrik itu di Malaysia

    BYD Atto 3 — Sime Darby Motors sasar jual sebanyak 3,000 unit setahun bagi SUV elektrik itu di Malaysia

    Selepas menerima sebanyak 1,500 tempahan BYD Atto 3 dalam bulan pertama pelancarannya, dengan 1,000 tempahan tersebut diperoleh dalam tempoh 10 hari pertama, Sime Darby Motors melalui cabang BYD SD Motors Malaysia dilaporkan sedang giat meningkatkan jualan SUV elektrik itu dengan sasaran 3,000 unit setahun. Dan menurut RHB Investment Bank, sasaran itu tidak sukar dicapai.

    Dalam nota kajiannya, bank tersebut memaklumkan tidak sukar untuk Sime Darby Motors untuk mencapai angka tersebut. “Sasaran Sime Darby Motors untuk menjual 3,000 unit Atto 3 setahun kami rasakan itu tidak sukar untuk dicapai, melihat kepada permintaan EV di Malaysia ketika ini.

    Selain itu, petunjuk kepada pemasangan tempatan bagi SUV EV itu juga belum kelihatan akan berlaku dalam masa terdekat. Pengeluar China itu telah mendedahkan bakal melabur sebanyak RM500 juta di negara ini, tetapi itu adalah untuk pembangunan rangkaian bilik pameran, dan belum pernah menyebut tentang kilang pemasangan tempatan setakat ini.

    “Dengan adanya pengecualian duti import dan duti eksais bagi EV CBU ketika ini, BYD tiada insentif untuk memasang keretanya di sini. Dengan pembukaan kilang komponen BYD di Vietnam dan kilang pemasangannya di Thailand akan datang, kami fikir syarikat itu hanya akan mempertimbangkan pemasangan di sini, sekiranya ada kadar permintaan yang tinggi di rantau ASEAN,” jelas nota berkenaan.

    Bank pelaburan itu juga menyatakan yang Sime Darby Motors akan memperkenalkan lebih banyak model BYD di Malaysia tahun ini, mengukuhkan lagi apa yang pernah dimaklumkan sebelum ini. Antara model yang dijangka tiba ialah hatchback Dolphin EA1, sedan Seal dan MPV e6 untuk 2023.

    Ketika pelancaran Atto 3 tahun lalu, dimaklumkan yang Dolphin dan Seal dijangka tiba pada suku keempat tahun ini, sementara e6 pula pernah diberitahu akan tiba paling awal pada September tahun lalu. Kedua-dua Dolphin dan Seal juga telah dipertontonkan ketika pelancaran Atto 3.

     
     
  • BMW M3 CS 2023 diperkenal – sedan G80 keluaran terhad dengan kuasa 550 PS, 20 kg lebih ringan

    BMW M3 CS 2023 diperkenal – sedan G80 keluaran terhad dengan kuasa 550 PS, 20 kg lebih ringan

    Selepas mengeluarkan beberapa model edisi khas untuk BMW M4 G82 tahun lepas, BMW kini memberikan fokus kepada kembar sedannya pula dan memperkenalkan M3 CS G80 ini. Dibangunkan dengan semangat yang sama seperti M5 CS F90, BMW memberitahu model keluaran terhad ini menjanjikan lebih kuasa, lebih ringan dan prestasi mengujakan.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin enam silinder sebaris 3.0 liter twin turbo yang mampu menghasilkan 550 PS (543 hp atau 405 kW) pada 6,250 pm dan tork 650 Nm antara 2,750 hingga 5,950 rpm. Jumlah ini adalah sama seperti M4 CSL yang diperkenalkan Mei lalu, dan lebih tinggi 40 PS (40 hp atau 30 kW) berbanding M3 Competition biasa.

    Peningkatan kuasa ini dapat diperoleh dengan menaikkan tekanan boost dari 1.7 bar kepada 2.1 bar, bersama beberapa perubahan lain yang diambil daripada kereta lumba M4 GT3. Ini termasuklah crankcase dengan binaan tanpa sleeve dan close-deck, kelongsong silinder serba ringan, crankshaft forged, cylinder head dengan liang 3D-printed, serta sistem bekalan minyak dan penyejukan yang dinaik taraf.

    BMW M3 CS 2023 diperkenal – sedan G80 keluaran terhad dengan kuasa 550 PS, 20 kg lebih ringan

    Dipadankan bersama transmisi M Steptronic, sistem pacuan semua roda M xDrive dan differential Active M, M3 CS ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.4 saat dan mencecah kelajuan maksimum 302 km/j – dengan pakej M Driver.

    Seperti biasa, pemandu disediakan dengan beberapa mod pemanduan, dengan mod Sport dan Sport+ membuka penutup ekzos yang dikawal secara elektronik dan memberikan bunyi yang lebih garang. Sistem ekzos kereta ini juga menggunakan tabung belakang titanium, dengan empat muncung yang dicat warna hitam matte.

    Bahagian lain yang diusik untuk M3 CS ini adalah talaan casis khas, yang termasuk kinematik gandar, tetapan camber, penyerap, spring serta anti-roll bar. BMW menyediakan brek seramik M Carbon sebagai naik taraf (dengan bayaran tambahan) kepada unit brek M Compound biasa.

    Untuk rim, rekaan eksklusif yang digunakan pada kereta ini kemudiannya disempurnakan dengan cat Gold Bronze. Tetapan berbeza saiz digunakan, iaitu 19 inci dengan tayar 275/35 di hadapan dan 20 inci dengan tayar 285/30 di belakang – tayar berprestasi tinggi ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Menurut BMW, M3 CS ini lebih ringan 20 kg berbanding M3 Competition dengan M xDrive. Ini adalah disebabkan ia kini menggunakan bahan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP) pada bonet, splitter hadapan, bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler belakang.

    Bumbung kereta ini juga dibuat pada gentian karbon, sementara grilnya pula mengikut gaya M4 CSL. Padanya terdapat jalur merah, sementara di sisinya terdapat lampu utama BMW LaserLight bersama DRL berwarna kuning seperti kereta lumba GT.

     
     
  • Polestar 2 facelift 2024 didedah – jarak gerak sehingga 635 km, penambahan varian satu motor RWD

    Polestar 2 facelift 2024 didedah – jarak gerak sehingga 635 km, penambahan varian satu motor RWD

    Polestar telah memperkenalkan Polestar 2 facelift, sebagai model tahun 2024, dengan membawa peningkatan teknikal yang termasuk motor penggerak baru, bateri lebih berkuasa dan buat pertama kalinya bagi fastback elektrik tersebut, pacuan dua roda belakang.

    Pengenalan pacuan RWD pada Polestar 2 facelift ini adalah melalui varian asas satu motor, di mana motor tersebut menyampaikan kuasa kepada dua roda belakang dan bukannya roda hadapan seperti sebelum ini. Sementara itu bagi varian dua motor AWD pula, ia kini ditetapkan supaya memberi lebih nisbah kuasa kepada roda belakang.

    Melalui model baru ini, kuasa dan tork bagi varian satu motor telah ditingkatkan sehingga 220 kW (299 PS) bagi varian Long Range Single Motor, dan tork 490 Nm. Sebelum ini, varian Long Range Single Motor cuma menghasilkan 231 PS dan 330 Nm tork.

    Polestar 2 facelift 2024 didedah – jarak gerak sehingga 635 km, penambahan varian satu motor RWD

    Sementara itu, varian Standard Range Single Motor juga mendapat peningkatan kuasa, sehingga 200 kW (272 PS) dan tork yang masih kekal 490 Nm. Varian Dual-Motor AWD mendapat motor penggerak baru di hadapan dan belakang, membawa jumlah kuasa keseluruhan meningkat menjadi 476 PS dan tork 740 Nm (Performance Pack) – sebelum ini cuma 408 PS dan 660 Nm.

    Semua versi Polestar 2 facelift juga menerima bateri lithium ion yang dipertingkat, dengan unit 82 kWh dari CATL dengan 20 modul membekalkan kuasa kepada varian Long-Range, dan unit 69 kWh daripada LG Chem dengan 24 modul membekalkan kuasa kepada versi Standard-Range.

    Melalui ujian WLTP, varian Standard Range Single Motor kini boleh memberikan jarak gerak sehingga 518 km, iaitu 40 km lebih tinggi berbanding bateri sebelum ini, sementara varian Long Range Single Motor pula dapat memberikan jarak gerak maksimum 635 km, iaitu 84 km lebih tinggi berbanding sebelum ini.

    Menurut Polestar, bateri Polestar 2 2024 telah dinaik taraf dengan unit pemutus bateri yang direka semula, busbar dipertingkat serta sel kimia yang diperbaiki, seterusnya dapat memberikan waktu mengecas yang lebih pantas dan menerima kadar 205 kW DC bagi bateri Long-Range dan sehingga 135 kW untuk bateri Standard Range.

    Bahagian utama yang nampak berbeza pada badan Polestar 2 ini adalah panel SmartZone di hadapan, yang menurut Polestar, dilakukan bagi “beralih daripada pernafasan kepada penglihatan.” Ini adalah sebagai rujukan kepada bahagian salur udara yang kini diganti dengan peranti sistem keselamatan aktif seperti kamera dan radar.

    Ciri Driver Awareness seperti Blind Spot Information System (BLIS) dengan sokongan stereng, Cross Traffic Alert dengan sokongan brek, serta Rear Collision Warning and Mitigation kini diberikan standard, bersama kamera 360 darjah dan cermin boleh malap sendiri.

     
     
  • KTMB sediakan tren tambahan untuk perkhidmatan ETS sempena cuti persekolahan Feb-Mac 2023

    KTMB sediakan tren tambahan untuk perkhidmatan ETS sempena cuti persekolahan Feb-Mac 2023

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan tren tambahan untuk perkhidmatan ETS bakal disediakan sempena cuti persekolahan pada Februari dan Mac 2023. Jika anda ingin ke mana-mana destinasi sepanjang laluan ETS, bolehlah menempah tiket lebih awal dengan kadar fleksi atau pun lebih murah berbanding biasa.

    Perkhidmatan tren tambahan ini adalah untuk lima hujung minggu berturut-turut (Jumaat hingga Ahad) dari tempoh 17-19 Februari hingga 17-19 Mac. Tren bernombor 9283 akan bergerak dari Padang Besar pada jam 11 pagi dan sampai di KL Sentral jam 4.36 petang. Tiga trip perjalanan tambahan pada setiap hujung minggu menjadikannya keseluruhan 15 trip untuk arah selatan sepanjang tempoh berkenaan.

    Manakala tren bernombor 9286 pula akan bergerak dari KL Sentral pada jam 5.05 petang dan sampai di Padang Besar jam 10.34 petang hari yang sama. Ia juga melibatkan perjalanan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk lima hujung minggu berturut-turut, dengan 15 trip tambahan hala ke utara.

    Tiket untuk tempoh tersebut akan dijual mulai jam 10 pagi esok (26 Januari 2023) menerusi aplikasi KTMB Mobile atau laman web KTMB.Tren ETS merupakan pengangkutan alternatif bagi anda yang tidak mahu memandu untuk perjalanan jauh dan mahu elak kesesakan trafik. Ia turut menyediakan koc kelas perniagaan yang lebih selesa dan turut menghidangkan makanan buat penumpang.

    Kalau dah sampai Padang Besar tu, bolehlah lajak ke Hat Yai dengan menaiki tren ekspres SRT pula yang telah kembali beroperasi selepas perkhidmatannya digantung sementara pada Disember lalu susulan banjir di sana.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 dilancar di Filipina – RM304k; lebih mahal, lebih 100 unit ditempah sebelum didedah

    Honda Civic Type R 2023 dilancar di Filipina – RM304k; lebih mahal, lebih 100 unit ditempah sebelum didedah

    Selepas Vietnam, Honda Civic Type R FL5 2023 kini mendarat di satu lagi pasaran pemanduan sebelah kiri untuk pasaran ASEAN iaitu Filipina. Hot-hatch berkenaan dilancarkan di bilik pameran Honda Cars Philippines (HCPI) di Karrera, Alabang, dijual pada harga bermula PHP 3,880,000 (RM304k).

    Harga berkenaan adalah PHP 900,000 (RM70k) lebih mahal dari model generasi FK8 sebelumnya yang dilancarkan di negara berkenaan pada 2017. Menurut laporan Autoindsutriya, HCPI telahpun menerima lebih dari 100 tempahan Type R FL5 ini sebelum ia dilancarkan, dan berjaya membawa 40 unit untuk penghantaran kumpulan pertama; 39-unit untuk pelanggan dan sebuah lagi sebagai kereta demo untuk HCPI.

    Tidak seperti model FK8 yang diproduksi di Kilang Honda Swindon, UK, produksi Civic Type R FL5 ini telah kembali ke Jepun. Namun dengan permintaan yang begitu tinggi sehingga ada pelanggan di Jepun yang terpaksa menunggu sehingga dua tahun, tempahan model ini untuk pasaran Jepun telah dibekukan buat sementara waktu.

    Untuk Filipina, HCPI telahpun berbincang dengan Honda Jepun dan berharap mereka boleh membawa sebanyak 80 unit untuk tempahan kumpulan kedua kelak. Dengan jumlah tempahan yang tinggi, HCPI dilihat tidak mempunyai masalah berkenaan ‘stok yang tidak bergerak’ sekiranya diberikan peruntukan unit yang banyak.

    Honda Civic Type R 2023 dilancar di Filipina – RM304k; lebih mahal, lebih 100 unit ditempah sebelum didedah

    Honda Civic Type R generasi baharu ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Ia masih dijana enjin KC20C1 2.0 liter turbo empat-silinder yang kemaskini. Model pasaran Filipina ini menerima talaan sama seperti model pasaran eksport lain iaitu 320 PS dan tork maksima 420 Nm (naik 10 PS dan 20 Nm berbanding Type R FK8), berbanding versi pasaran Jepun yang menjana 330 PS.

    Enjin tersebut juga masih hanya menerima transmisi enam-kelajuan lengkap dengan LSD untuk memacu roda hadapan. FL5 tidak lagi menerima rim 20-inci, diganti dengan set berdiameter 19-inci tetapi menerima tayar yang lebih lebar (265/30 berbanding 245/30).

    Antara kelengkapan standard untuk FL5 pasaran Filipina ini termasuk upholsteri sued hitam dan merah, karpet merah, tombol gear dan set pedal aluminium, sistem data logger untuk litar Honda LogR, kluster instrumen digital 10.2-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh 9-inci.

    Ia turut menerima pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing yang terdiri dari fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pengenal tanda trafik dan lampu hadapan LED adaptif.

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • SPE DUKE 3: Akses ke Jalan Kerinchi Kiri dari Lebuhraya Persekutuan tutup hingga 16 April

    SPE DUKE 3: Akses ke Jalan Kerinchi Kiri dari Lebuhraya Persekutuan tutup hingga 16 April

    Makluman buat penduduk atau pun individu yang bekerja di sekitar Kampung Kerinchi dan Bangsar South, akses ke Jalan Kerinchi Kiri dari Lebuhraya Persekutuan (dari arah KL) ditutup sehingga 16 April 2023.

    Pengumuman ini dilakukan oleh syarikat konsesi Setiawangsa Pantai Expressway (SPE) atau lebih dikenali sebagai DUKE 3. Penutupan akses berkenaan adalah bagi kerja-kerja penambahbaikan cerun untuk lebuhraya baharu.

    Justeru, pengguna jalan raya yang sering melalui laluan berkenaan untuk ke persimpangan lampu isyarat ke Jalan Kerinchi Kiri diminta untuk meneruskan perjalanan menuju ke Gateway Mall dan naik ke Bangsar South dan Kampung Kerinchi. Laluan alternatif seperti dalam gambarajah di atas. Sila terus pandu berhati-hati.

     
     
  • Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Seperti banyak yang telah kami tulis sebelum ini, untuk model-model baharu yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), pembabitan Perodua dalam proses R&D bukan hanya sekadar ‘menukar logo’. Jenama automotif nasional kedua berkenaan kini mempunyai kebolehan untuk bersama-sama Daihatsu bagi membangunkan sesebuah model baharu berkenaan pada peringkat awal, dan kemudian menyudahkannya bagi disesuaikan dengan selera orang Malaysia.

    Namun sebelum ini dua buah model berasaskan platform DNGA tidak sampai ke Malaysia dahulu sebelum negara lain; Daihatsu Rocky dan Toyota Raize muncul dahulu di Jepun sebelum Perodua Ativa di Malaysia, manakala Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza/Veloz diperkenalkan dahulu di Indonesia sebelum Perodua Alza dilancarkan di Malaysia.

    Namun untuk model selepas ini iaitu hatchback segmen-A, Perodua Axia 2023 yang dikenali dengan kod dalaman D74A dikhabarkan bakal membuat kemunculan global pertama terlebih dahulu di Malaysia sebelum kembarnya Daihatsu Ayla dan Toyota Agya generasi baharu didedahkan di Indonesia.

    Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Sekitar dua minggu lalu, spesifikasi awalan untuk Perodua Axia 2023 telah pun bocor di laman sosial. Manakala menerusi laporan AutonetMagz.com, sumber Daihatsu dan Toyota Indonesia menyatakan bahawa Ayla mungkin akan diperkenalkan sebelum berlangsungnya Indonesia Internaional Motorshow (IIMS) 2023 pada pertengahan Februari dan Agya mungkin akan diperkenalkan pada bulan Mac 2023, tetapi Axia akan muncul lebih awal pada bulan hadapan.

    Dalam perincian awal yang bocor sebelum ini, Axia 2023 D74A bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu 1000 G CVT, 1000 X CVT, 1000 SE CVT dan 1000 AV CVT. Ini bermakna Axia masih lagi akan menerima enjin 1.0 liter, namun dengan pengecas turbo seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini atau tidak masih belum dapat dipastikan.

    Axia juga nampaknya akan beralih dari menggunakan kotak gear automatik 4AT kepada transmisi CVT yang kami jangkakan merupakan kotak gear D-CVT seperti pada Myvi facelift, Ativa dan Alza, serta ia tidak lagi akan ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Seperti dua model serba baharu sebelum ini, Axia dijangka turut akan diasaskan dari platform DNGA. Untuk rekaan, tidak mustahil Alza akan menerima pengaruh yang sama seperti Ativa dan Alza iaitu diberikan rekaan lampu hadapan lebih nipis dari model sebelumnya.

    Tidak mustahil juga Perodua Axia 2023 ini akan menerapkan rekaan dari model konsep Perodua X-Concept yang muncul di KLIMS 2018. Menurut ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren Bin Musa, walaupun X-Concept kelihatan seperti SUV, ia sebenar sebuah hatchback kompak biasa dengan sedikit pendekatan rekaan crossover dengan saiz antara Axia dan Myvi.

    Apa pun, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Perodua yang mungkin akan muncul tidak lama lagi. Seperti biasa Perodua memang bijak berahsia dan selalunya akan muncul dengan pelbagai kejutan!

    GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025