Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri JVV dan DEQ dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JVV, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini, 24 November 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 28 November ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 29 November 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan pula, DEQ, bidaannya bakal dibuka bermula 15 Disember ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 19 Disember 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 20 Disember ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • JPJ keluarkan 2,319 saman kesalahan penggunaan lampu mata arah, lampu strobe dari Jan-Okt 2022

    JPJ keluarkan 2,319 saman kesalahan penggunaan lampu mata arah, lampu strobe dari Jan-Okt 2022

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 2,319 saman terhadap 1,223 kenderaan persendirian dari Januari hingga Oktober 2022 kerana menggunakan lampu mata arah (beacon light) dan lampu strobe tanpa kebenaran.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, sebarang pemasangan lampu seperti beacon dan strobe pada kenderaan tanpa kebenaran JPJ adalah tidak dibenarkan kerana pancaran cahaya dan tatacara penggunaanya boleh mengelirukan pengguna jalan raya yang lain.

    “Secara jelasnya, ia merupakan kesalahan di bawah Kaedah 94, Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.170/59 dan boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta 333 JPJ.

    “Hanya Kenderaan jabatan/agensi yang diwartakan di bawah Akta 333 sahaja, yang mana terlibat secara langsung dengan tugas-tugas kecemasan dan penguatkuasaan, seperti ambulans, kenderaan Jabatan Bomba, kenderaan Jabatan Kastam, kenderaan Jabatan Polis, kenderaan Jabatan Penjara dan kenderaan JPJ sahaja yang dibenarkan mendapat hak laluan lain di jalan raya dengan cara membunyikan siren dan hon dua nada dengan syarat pemandu kenderaan berkenaan tidak memandu secara berbahaya, cuai dan tidak bertimbang rasa, seperti mana diperuntukan di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Bagi kesalahan tersebut, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

     
     
  • Mitsubishi Mirage Ralliart di Thailand – RM68k, ada overfender, mud flap merah dan sticker badan Ralliart

    Mitsubishi Mirage Ralliart di Thailand – RM68k, ada overfender, mud flap merah dan sticker badan Ralliart

    Mac lalu, Mitsubishi telah pun memperkenalkan Mirage Ralliart di Thailand, iaitu antara model awalan dengan lencana Ralliart setelah sayap perlumbaan dan prestasi Mitsubishi itu dihidupkan semula. Dan set galeri foto yang anda lihat ini adalah imej sebenar Mirage Ralliart berkenaan, ihsan dari portal automotif Thailand, Headlightmag.

    Model ini diasaskan dari Mirage generasi sedia ada dalam versi facelift terkini yang diperkenalkan di Thailand pada November 2019. Walaupun ia diberikan nama ‘Mirage Ralliart’, model ini bukanlah seperti hot-hatch kompak seperti Colt Ralliart Turbo generasi sebelum ini, sebaliknya hanya model edisi khas yang diberikan imej yang lebih sporty.

    Ia dijual di Thailand pada harga 537,000 baht (RM67,905), diberikan beberapa perincian kosmetik ala-rali dengan logo Ralliart. Pertama, ia diberikan overfender dalam kemasan karbon untuk kesemua ruang roda, mungkin mengambil inspirasi dari jentera rali Mirage AP4 yang dibangunkan oleh Ralliart New Zealand.

    Mitsubishi Mirage Ralliart di Thailand – RM68k, ada overfender, mud flap merah dan sticker badan Ralliart

    Kemudian badan Mirage Ralliart ini menerima pelekat badan sisi Ralliart dengan grafik merah-putih-hitam seperti pada Triton Ralliart dan Pajero Sport Ralliart yang kini juga sudah dijual di Thailand.

    Dan tidak ketinggalan, mud flap berwarna merah dengan logo Ralliart seperti yang gemar digunakan pada Proton Wira satu ketika dahulu, turut diletakkan pada bahagian belakang setiap ruang roda Mirage ini, sebagai memperingati jentera-jentera rali bersejarah Mitsubishi.

    Tetapi, walaupun ia telah diberikan overfender yang sedikit lebih lebar dari standard, tiada rim istimewa diberikan pada Mirage Ralliart ini. Ia masih diberikan set rim ‘kurus’ yang sama seperti Mirage standard, tetapi diberi kemasan berwarna hitam berkilat.

    Hanya dua warna badan ditawarkan iaitu White Diamond serta Red Metallic, dan kedua-dua pilihan warna ini turut diberikan kemasan hitam pada bumbung, gril hadapan, penutup cermin sisi dan spoiler belakang.

    Pada bahagian kabin, ia masih diberikan kelengkapan yang sama dengan model standard, tetapi diberikan beberapa perincian unik. Antaranya upholsteri fabrik tempat duduk dan panel pintu dengan warna merah-hitam, serlahan jahitan merah dan juga karpet kaki hitam-merah dengan logo Ralliart. Ia turut diberikan pilihan perapi-perapi dalam kemasan piano black atau karbon palsu.

    Seperti yang diberitahu tadi, tiada sebarang peningkatan prestasi diberikan pada Mirage Ralliart ini. Secara standard, Mirage Ralliart dijana oleh enjin 1.2 liter tiga silinder NA (boleh menggunakan gasohol E20) berkuasa 78 hp dan tork maksima 100 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear Inves III CVT automatik.

    Mitsubishi Mirage Ralliart di Thailand – RM68k, ada overfender, mud flap merah dan sticker badan Ralliart

    Dalam temu bual kami bersama lagenda Ralliart yang juga juara Rali Dakar dua-kali (2002, 2003) Hiroshi Masuoka di Thailand September lalu, Masuoka-san menyatakan buat masa sekarang Ralliart cuma berharap peminat dapat merasai keghairahan dan bahang (Ralliart) dengan komponen-komponen pengayaan terlebih dahulu.

    Beliau menambah bahawa buat masa sekarang Ralliart akan mula mengutip data menerusi perlumbaan dan sedikit demi sedikit bakal menawarkan peralatan pretasi sebenar pada masa akan datang. Mitsubishi mula berlumba semula tahun ini dengan menyertai Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022 yang sudah pun bermula minggu ini.

    Pasukan berkenaan diketuai oleh Masuoka-san sendiri, dengan tiga buah Triton T1 dipandu oleh pemandu Indonesia yang sebati dengan Mitsubishi iaitu Rifat Sungkar, dan dua lagi pemandu Thailand iaitu Chayapon Yotha dan Sakchai Hantrakul.

     
     
  • Harga minyak 24-30 Nov – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 24-30 Nov – Masih tiada perubahan

    Untuk minggu bertarikh 24 hingga 30 November 2022, dimaklumkan tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara ini. Ini selepas Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 masih dikekalkan iaitu pada paras RM3.95 seliter. Ini merupakan minggu ketujuh tiada perubahan pada harga runcit untuk RON 97.

    Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya juga dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Mazda Vision Study Model ditunjuk – kereta konsep sports dua pintu gambaran awal MX-5 elektrik penuh?

    Mazda Vision Study Model ditunjuk – kereta konsep sports dua pintu gambaran awal MX-5 elektrik penuh?

    Mazda telah mengakhiri pembentangan pelan pengurusan syarikat mereka dengan menunjukkan sebuah kereta konsep dua pintu yang dipanggil sebagai Vision Study Model. Ia muncul setelah mereka menyiarkan gambar orang ramai menikmati pemanduan MX-5 (juga dipanggil sebagai Miata dan Roadster), sekaligus membawa spekulasi bahawa model konsep ini akan menjadi petunjuk untuk MX-5 versi elektrik akan datang.

    Perincian lanjut tidak didedah, tetapi jika melihat kepada video yang disiarkan, kita boleh nampak casis Vision Study Model yang terbuka serta bateri dengan kedudukan berbentuk T – turut menunjukkan ia tidak menggunakan sebarang enjin pembakaran dalaman.

    Bagi bahagian lain, model konsep ini membawa rekaan yang unik dengan pintu terbuka ke atas, muncung menjunam ke hadapan, bahagian belakang yang lebar serta lampu belakang dua bulat di setiap bahagian. Perkadaran badan model ini juga hampir seperti MX-5 dan mengingatkan kepada model ND generasi keempat.

    Mazda Vision Study Model ditunjuk – kereta konsep sports dua pintu gambaran awal MX-5 elektrik penuh?

    Memang, ia tidak kelihatan seperti MX-5 dengan bumbung boleh buka, tetapi Mazda juga sebelum ini pernah mengeluarkan MX-5 dengan bumbung hardtop, iaitu bagi model generasi kedua NB. Model ND yang berada dalam pasaran sekarang juga ada keluar dengan versi bumbung keras yang boleh dibuka.

    Tahun lepas, pengeluar Jepun ini pernah memberitahu bahawa mereka sedang meneroka pakej elektrik MX-5 bagi menyelaraskan semua model yang dikeluarkan untuk mempunyai tenaga elektrik menjelang tahun 2030. Jika mengikut rancangan yang dibuat, Mazda akan memulakan fasa peralihan kepada elektrik melalui penggunaan hibrid, plug-in hybrid dan hibrid ringkas terlebih dahulu, sebelum pergi kepada elektrik penuh pada tahun 2028.

     
     
  • Prototaip cafe racer RE-EV oleh MIMOS, Modenas dan UniMAP — motosikal hibrid pertama Malaysia?

    Prototaip <em>cafe racer</em> RE-EV oleh MIMOS, Modenas dan UniMAP — motosikal hibrid pertama Malaysia?

    Semalam, ketika pelancaran dua model motosikal EV oleh Ni Hsin Resources Berhad, iaitu TailG EBixon Bold dan Torq, ada sebuah rekaan motosikal cafe racer EV turut dipamerkan. Itu merupakan rekaan prototaip motosikal yang dihasilkan oleh MIMOS, yang diberi nama RE-EV.

    Kenapa motosikal ini ada di sana? Kerana, pihak Ni Hsin Resources Berhad berminat dengan rekaan RE-EV ini dan telah menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam pembangunan R&D motosikal EV di Malaysia. Tapi itu cerita lainlah. Oh ya, ini juga adalah hasil kerja pasukan yang disertai oleh Saharudin Busri, nama yang bukan asing lagi dan kerap kami paparkan di paultan.org.

    Prototaip <em>cafe racer</em> RE-EV oleh MIMOS, Modenas dan UniMAP — motosikal hibrid pertama Malaysia?

    Kita tengok dulu prototaip motosikal yang sudah sedia ada ini. Projek berkenaan adalah hasil usahasama antara MIMOS, Modenas dan UniMAP. Pecahan peranannya adalah seperti berikut: MIMOS bertanggungjawab untuk menghasilkan sebuah rekaan dan penggayaan, model rekaan 3D (dalam kes ini kita dapat lihat ia tampil sebagai sebuah cafe racer); sementara Modenas pula menghasilkan unit prototaipnya, manakala UniMAP menjalankan kerja-kerja kaji selik dan simulasi.

    Jelas daripada namanya, RE-EV merupakan Range Extended Electric Vehicle yang memanfaatkan kedua-dua enjin petrol dan juga bateri (seperti kenderanaan dengan sistem hibrid lainnya) untuk memberikan julat jarak perjalanan dan penjimatan yang lebih baik. Prototaip bergerak dan berfungsi ini dilengkapi dua unit bateri, yang mana setiap satu daripadanya memberikan jarak sekitar 100 km.

    Prototaip <em>cafe racer</em> RE-EV oleh MIMOS, Modenas dan UniMAP — motosikal hibrid pertama Malaysia?

    Namun, berdasarkan ujian yang pernah dilakukan, satu tangki penuh petrol dan bateri penuh, ia memberikan bacaan jarak mencecah 330 km. Bateri lithium-ion yang digunakan pula direka supaya boleh ditukar terus jika perlu, dan motosikal ini juga boleh saja bergerak menggunakan enjin petrol seperti biasa sekiranya bateri habis kuasa — tak ada masalah untuk jalan jauh.

    Ketika ini, telah dibangunkan dua unit prototaip RE-EV: sebuah ada di UniMAP dan sebuah lagi di MIMOS. Boleh agak asas motosikal yang digunakan untuk prototaip ini? Disebabkan prototaipnya dibangunkan oleh Modenas, dan mengambil kira gaya cafe racer yang ditampilkan ini, casis atau kerangka asas yang digunakan ialah dari Modenas Jaguh. Casis berkenaan kemudiannya disesuaikan dengan sistem penjana hibrid aftermarket yang digunakan untuk menghasilkan prototaip tersebut. Projek berkenaan memakan masa lebih setahun untuk dijadikan kenyataan.

    Prototaip <em>cafe racer</em> RE-EV oleh MIMOS, Modenas dan UniMAP — motosikal hibrid pertama Malaysia?

    Dalam satu kenyataan oleh MIMOS sebelum ini seperti dilaporkan oleh The Star, projek ini dijalankan di bawah High Value-Added and Complex Product Development Programme (HVA), yang merupakan sebuah usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan sektor pengilangan dalam membangunkan produk berkualiti tinggi dengan nilai tambah yang juga tinggi.

    Harapnya, kita semua dapat lihat motosikal ini dikilangkan dan dipasarkan sebagai sebuah motosikal produksi dengan teknologi hibrid yang menampilkan rekaan dan kejuruteraan anak Malaysia sendiri. Ramai yang berminat?

     
     
  • Proton akan buka pusat alat ganti serantau di Kuching; jualan naik di Sabah, Sarawak selepas ada model SUV

    Proton akan buka pusat alat ganti serantau di Kuching; jualan naik di Sabah, Sarawak selepas ada model SUV

    Proton hari ini mengumumkan bahawa ia bakal membuka satu lagi Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) baharu di Kuching, Sarawak. Menurut jenama automotif nasional tersebut, langkah itu diambil bagi memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia Timur yang kini semakin meningkat.

    Syarikat itu menyatakan bahawa fasiliti seluas 28,000 kaki persegi berkenaan mempunyai lebih daripada tiga kali ganda kapasiti penyimpanan daripada setor sebelumnya dan akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan bagi Sabah dan Sarawak.

    “Proton dengan sukacitanya mengumumkan RPC baharu kami di Kuching hampir siap. Ia direka untuk memenuhi keperluan pengedar kami dan pelanggan mereka di Malaysia Timur dan mengurangkan masa menunggu untuk alat ganti di rantau di mana logistiknya agak mencabar. Setelah siap, kami akan mempunyai keupayaan untuk menyimpan sehingga tiga bulan stok, malah boleh juga menerima penghantaran terus alat ganti daripada vendor luar negara,” kata Roslan Abdullah, Timbalan CEO Proton.

    Proton akan buka pusat alat ganti serantau di Kuching; jualan naik di Sabah, Sarawak selepas ada model SUV

    Selain daripada peningkatan ruang dan keupayaan untuk mengendalikan penghantaran terus alat ganti, RPC baharu juga akan dapat menyimpan sehingga enam kontena, membolehkannya menerima pelbagai tempahan serentak, dakwa Proton. Ia juga akan dapat mengendalikan peningkatan daya pengeluaran, mengurangkan masa yang diperlukan untuk memproses dan menghantar pesanan ke pusat servis/pengedaran.

    “Kami menjangkakan untuk melihat peningkatan ketara dalam masa menunggu untuk pembaikian kenderaan kemalangan. Sebagai tambahan kepada tiga bulan stok yang dipegang di RPC, pengedar kami juga dikehendaki mempunyai stok bahagian penyelenggaraan selama tiga bulan.

    “Ini adalah contoh usaha Proton untuk terus menambah baik perkhidmatan selepas jualan bagi memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi. Kami faham mungkin ramai yang berhati-hati, tetapi saya ingin meyakinkan pemilik semasa dan akan datang, alat ganti tersedia untuk Proton baharu anda”, tambah Roslan Abdullah.

    Proton turut menyatakan bahawa pelanggannya di Malaysia Timur semakin bertambah secara progresif sejak 2019 selepas ia melancarkan model-model SUV, bermula dengan pelancaran Proton X70 pada 12 Disember 2018.

    “Jumlah jualan di rantau ini telah meningkat sebanyak 120% dari tahun 2018 hingga tahun 2021, dan dengan angka tempahan yang sihat pada tahun 2022, syarikat menjangkakan pertumbuhan sebanyak 20% lagi dalam jualan tahun ke tahun. Sehingga akhir bulan Oktober, Proton telah menyerahkan 115,366 unit kenderaan setakat tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 33.6% setakat ini untuk sepuluh bulan pertama tahun 2022,” tulis Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Bagi pembeli kereta di Malaysia Timur, Proton Saga kekal sebagai model paling popular kami, diikuti dengan Proton X50. Tahun lepas, kami menjual 8,692 unit Proton Saga dan 2,934 unit Proton X50 dan berdasarkan trend tempahan semasa, kami meramalkan jualan masing-masing akan melebihi 10,000 dan 4,200 unit,” kata Roslan Abdullah.

     
     
  • TailG EBixon Bold dan Torq tiba di pasaran Malaysia – motosikal elektrik dengan harga bermula RM9,000

    TailG EBixon Bold dan Torq tiba di pasaran Malaysia – motosikal elektrik dengan harga bermula RM9,000

    Dua model motosikal elektrik (EV) baru memasuki pasaran Malaysia, melalui syarikat Ni Hsin Resources Berhad, iaitu TailG EBixon Bold dan Torq. Tempahan kini sudah pun dibuka, pada harga masing-masing RM9,000 dan RM14,999, dengan penghantaran pertama kepada pelanggan dijangka berlaku awal tahun 2023.

    Dua model yang dihasilkan dengan kerjasama syarikat dari China, Dongguan Tailing Motor Vehicle Co., Ltd, dan dipasang di Seri Kembangan, Selangor ini mensasarkan segmen penggunaan yang berbeza, iaitu Bold untuk kegunaan persendirian, sementara Torq pula untuk kerja-kerja komersial.

    Kuasa penggerak Bold datang daripada dua bateri lithium 72V/22Ah dan kemudiannya disalurkan kepada motor brushless 72V berkemampuan 1.5 kW dan tork 35 Nm. Setiap satu bateri ini mempunyai berat 11 kg dan boleh dibawa keluar untuk dicas. Jarak gerak maksimum adalah sehingga 120 km manakala laju maksimum adalah 70 km/j.

    Untuk mengecas, anda perlu menggunakan pengecas berasingan (off-vehicle charger) yang disambung kepada sumber domestik, dan masa yang diperlukan adalah antara dua hingga lapan jam. Berat keseluruhan Bold adalah 91 kg dan ia boleh menampung berat sehingga 252 kg, dengan suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Bold adalah termasuk rim 13 inci dengan tayar 130/60 di hadapan, rim 12 inci dengan tayar 120/70 di belakang, panel instrumen LCD, soket pengecas USB serta lampu jenis LED.

    TailG EBixon Bold dan Torq tiba di pasaran Malaysia – motosikal elektrik dengan harga bermula RM9,000

    Pergi kepada Torq pula, ia mendapat bateri yang lebih besar, iaitu dua unit bateri lithium 72 volt 50 Ah, dengan berat masing-masing 23 kg. Dari bateri, kuasa disampaikan kepada motor elektrik berkemampuan 5 kW dan tork 74 Nm.

    Pengecasan adalah sama seperti Bold, dan Torq dikatakan boleh memberi jarak gerak sehingga 200 km dan laju maksimum 90 km/j. Berat keseluruhan motosikal elektrik ini adalah 85 kg, dengan berat yang mampu ditampung sekitar 233 kg. Kedua-dua rimnya bersaiz 12 inci dan menggunakan tetapan brek cakera untuk hadapan dan belakang.

    GALERI: Ni Hsin TailG EBixon Bold

    GALERI: Ni Hsin TailG EBixon Torq

     
     
  • VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

    VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

    Seperti yang kita ketahui sebelum ini, Honda Civic Type R kini sudah diproduksi semula di Jepun bermula model dengan generasi FL5 terbaharu. Ini adalah kerana kilang Honda di Swindon, United Kingdom yang memproduksi empat model Type R UK sebelumnya iaitu Honda Accord Type R CH1 (1999), Civic Type R EP3 (2001), Civic Type R FN2 (2007) dan Civic Type R FK8 terpaksa ditutup tahun lalu.

    Bagi produksi Civic Type R 2023 ini, ia dibuat di kilang Honda Yurii yang berada di Saitama. Ia bukanlah kilang yang sama menghasilkan Civic Type R EK9 dan dan Civic Type R FD2 sebelum ini kerana kedua-dua model berkenaan dihasilkan di kilang Mie Honda yang terletak di Suzuka. Kilang Yurii yang menghasilkan Civic Type R FL5 ini merupakan kilang utama Honda buat masa sekarang, dibuka secara rasmi pada Julai 2013.

    Walaupun Honda Civic Type R ini masih diasaskan dari Civic hatchback biasa, proses pemasangannya dilakukan sedikit berbeza – sebab itulah biasanya sebuah Civic biasa yang di’convert’ menjadi ‘Type R jadian’ biasanya tidak akan memberikan kualiti pemanduan yang sama. Dan ini dia video yang disiarkan Honda bagi menunjukkan apa perbezaan proses produksi antara Civic Type R dan juga Civic Hatchback standard.

    VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

    Tidak seperti GR Factory milik Toyota yang hanya memproduksi model-model prestasi tinggi GR, kilang Yurii ini masih menghasilkan model-model kompak, sedan, SUV dan MPV Honda yang lain. Jadi Honda menyifatkan untuk menghasilkan model seperti Civic Type R di kilang yang sama adalah sesuatu yang mencabar.

    Untuk itu, Honda telah mewujudkan satu barisan pemasangan unik untuk komponen-komponen tertentu bagi Type R dan diintegrasikan bersama barisan pemasangan utama Civic biasa.

    Berbanding Civic standard, versi Type R ini menampilkan keempat-empat fender yang jauh lebih lebar. Honda menyatakan bahawa kesemua fender Type R itu merupakan komponen badan yang memerlukan acuan tekan yang paling ‘dalam’ digunakan bagi memberikan bentuk unik tersebut. Dan anda boleh lihat, fender tayar belakang Civic Type R yang ‘kembang’ berkenaan adalah sebahagian dari panel sisi badan, dan bukan komponen yang dicantum kemudian.

    VIDEO: Bagaimana Honda Civic Type R FL5 diproduksi di kilang Yorii, Jepun; berbeza dari Civic Hatch biasa

    Honda juga memberitahu, bagi menghasilkan panel badan yang lebar seperti ini selalunya memerlukan ia menggunakan beberapa acuan yang ditekan secara berperingkat bagi mengelakkan panel berkenaan retak, berlipat atau meleding. Namun dengan kejuruteraan dan simulasi terbantu komputer yang ada pada Honda membolehkan komponen tersebut dihasilkan dengan hanya satu acuan tekan istimewa dan ia boleh digunakan pada mesin-mesin sedia ada.

    Untuk mencantumkan panel-panel kerangka dan juga badan, Civic Type R ini diberikan bahan perekat yang jauh lebih banyak berbanding Civic biasa. Ini secara tidak langsung memberikan lebih kestabilan ketika memandu dan asas kepada prestasi dinamik Type R. Ia juga dicantum memnggunakan kimpalan laser pada bumbung memeberikan kesan cantuman dan juga kimpalan keemasan pintar pada badan bagi menghasilkan kerangka lebih jitu – kedua-dua proses kimpalan ini sebenarnya turut digunakan pada Civic biasa.

    Type R FL5 ini masih menggunakan enjin K20C 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo sama seperti generasi FK2 dan FK8 sebelum ini, namun ia ditala bagi memberikan 10 PS/20 Nm lebih berkuasa dengan hasil akhir 330 PS/420 Nm. Enjin tersebut juga masih dihasilkan di kilang enjin Anna milik Honda yang terletak di Ohio, Amerika Syarikat dan kemudian di bawa untuk dipasang pada badan yang diproduksi di Jepun.

    Manakala kotak gear enam kelajuan manual untuk Civic Type R ini pula dibuat di kilang Mie, Suzuka yang kemudiannya di bawa ke kilang Ogawa di fasiliti pemasangan Honda terletak di Saitama (juga dikenali sebagai “mother factory” Honda) untuk dicantum bersama enjin, sebelum kedua-nya di hantar ke kilang Yurii. Bagi yang belum mengetahui, Type R masih lagi model hanya untuk purist yang tidak ditawarkan dengan kotak gear automatik.

    Berbanding Civic standard yang menggunakan suspensi jenis topang Mcpherson biasa pada sebelah depan, Civic Type R menampilkan suspensi jenis dua-paksi yang melenyapkan torque steer ketika memecut dan memberikan kelajuan lebih tinggi di selekoh serta kestabilan lebih baik pada laluan lurus.

    Jadi ini menjadi satu lagi cabaran buat kilang Yurii Honda kerana ia memerlukan proses pemasangan yang berbeza dan ia tidak pernah memasang suspensi dua-paksi sebelum ini. Proses penghasilan pemasangan suspensi tersebut (terdiri dari set penyerap hentak dan spring, hab roda dan aci pacu) di buat pada satu barisan khas yang diwujudkan.

    Sama seperti operasi kilang Swindon sebelum ini, kilang Yurii menjadi satu-satunya fasiliti yang memasang Civic Type R FL5 untuk dieksport ke seluruh dunia. Model ini telah pun diperkenalkan di Jepun dan Amerika Syarikat pada Julai lalu. Ia juga telah mula diperkenalkan di Asia Tenggara bermula dengan pelancaran yang dibuat di Vietnam pada bulan lalu. Mungkin Type R berkuasa pernah dihasilkan ini akan tiba di Malaysia tahun hadapan?

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • Volvo XC60 B5 Plus 2023 di M’sia – 2.0L turbo hibrid ringkas dengan 263 PS dan 390 Nm; dari RM321k

    Volvo XC60 B5 Plus 2023 di M’sia – 2.0L turbo hibrid ringkas dengan 263 PS dan 390 Nm; dari RM321k

    Selepas memaparkan galeri foto Volvo XC60 yang dipertingkatkan untuk model tahun 2023, kami paparkan pula foto varian asas SUV tersebut, B5 Plus. Dijual pada harga atas jalan RM320,888 tanpa insurans, B5 Plus menggantikan varian sebelum ini, B5 Momentum, dan menyertai model spesifikasi tertinggi Recharge T8 Ultimate plug-in hybrid.

    Secara mekanikalnya, B5 Plus masih mengekalkan enjin yang sama iaitu 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan padnan sistem hibrid ringkas 48-voltan bersama integrated starter generator (ISG) di antara enjin dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Angka prestasi bagi ISG ini adalah 14 PS dan 40 Nm dan ia bekerjasama dengan enjin untuk menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 263 PS pada 6,000 rpm dan 390 Nm dari 1,800 hingga 4,800. Bagi prestasi, B5 Plus boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.9 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

    Untuk pengayaannya, B5 Plus tidak menerima ciri luaran R-Design (yang didedahkan tahun lalu). Sebaliknya, ia mirip dengan gaya Inscription pada model terdahulu, walau pun kemasan krom untuk luarannya telah dikurangkan. Selain itu, ia diberikan roda aloi potongan-berlian hitam lima-jejari-V 19-inci, berbeza dengan versi PHEV yang menerima unit potongan-berlian hitam jejari-berkembar.

    Di dalamnya, B5 Plus didatangkan dengan kemasan Charcoal dan ditawarkan dengan dua pilihan gabungan upholstery dan dekor – Charcoal Moritz dengan dekor Metal Mesh serta Maroon Brown Moritz dengan dekor Linear Lime (yang dilihat seperti dalam foto ini). Untuk luaranya, ia diberikan warna baharu Bright Dusk, dengan warna pilihan lain iaitu Crystal White, Onyx Black dan Denim Blue.

    Untuk kelengkapannya, ia diberikan kawalan suhu dwi-zon secara standard, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, sistem infotainmen dikuasakan-Android Automotive OS dengan skrin sesentuh sembilan-inci, sistem bunyi Harman Kardon 14-pembesar suara, lampu utama LED dan paparan instrumen digital 12.3-digital.

    Bagi aspek keselamatan, B5 Plus setanding dengan PHEV, dengan mengekalkan ciri keselamatan aktif yang sama termasuk pengelak pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar serta brek dan sokongan stereng, keupayaan pemanduan semi-sendiri Pilot Assist Level 2, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dengan bantuan stereng, kamera 360-darjah, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, run-off road mitigation fan kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek.

     
     
  • CFMoto tunjuk model konsep NK-C22, 800 MT Sport R dan motosikal elektrik bawah jenama khas ZEEHO

    CFMoto tunjuk model konsep NK-C22, 800 MT Sport R dan motosikal elektrik bawah jenama khas ZEEHO

    CFMoto turun ke acara EICMA 2022 bukan setakat membawa model yang sedia ada dalam pasaran, tetapi juga beberapa model konsep termasuk yang pertama kali didedahkan kepada dunia. Ia adalah NK-C22 yang berbentuk naked, dan 800MT Sport R – sport touring.

    Dalam pasaran sekarang, model naked paling tinggi CFMoto adalah 700CL-X Sport, dan NK-C22 ini ditunjukkan sebagai satu model yang akan membawa kepada penghasilan model produksi yang diletakkan di atasnya, dengan menggunakan enjin 800 cc.

    Perincian teknikal tidak didedah, tetapi kita boleh melihat ia antaranya menggunakan lampu jenis projector, brek cakera berkembar dengan angkup J.Juan di hadapan, dua muncung ekzos serta lengan ayun jenis single-sided. Bagi menjadikan ia lebih menyerlah, keseluruhan badannya disalut dengan gentian karbon forged – sudah tentu tidak akan dibawa kepada model produksi.

    CFMoto tunjuk model konsep NK-C22, 800 MT Sport R dan motosikal elektrik bawah jenama khas ZEEHO

    Satu lagi model konsep CFMoto adalah 800MT Sport R. Motosikal ini bukanlah serba baru, kerana ia menggunakan asas daripada 800MT Sport yang memang sudah ada dalam pasaran, tetapi ia dipertingkat lagi dengan barangan prestasi. Menurut CF Moto, pegnetahuan mereka dalam perlumbaan Moto 3 turut diterap pada motosikal konsep ini.

    Antara komponen yang dinaik taraf adalah termasuk tayar, rim, suspensi dan brek, menggunakan unit yang lebih berprestasi, dan ergonomik motosikal juga diubah untuk menjadikannya lebih sesuai untuk tunggangan serta kawalan lebih sporty. Penampilannya pula dibuat dengan mengambil inspirasi daripada jentera lumba CFMoto.

    Selain dua model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman ini, CFMoto juga ada membawa beberapa lagi model elektrik konsep yang diletakkan di bawah jenama khas Zeeho, iaitu Zeeho AE6 dan Zeeho Magnet.

    CFMoto tunjuk model konsep NK-C22, 800 MT Sport R dan motosikal elektrik bawah jenama khas ZEEHO

    Zeeho AE6 memberi petunjuk kepada sebuah model yang akan diletakkan di bawah ZE8 yang sudah sedia dipasarkan di China, dan menawarkan jarak gerak sehingga 100 km serta kelajuan maksimum 80 km/j. Melalui “pengecasan biasa” baterinya boleh diisi sehingga 80% dalam masa tiga jam dan ia menggunakan motor yang terletak di tepi.

    Zeeho Magnet yang mempunyai saiz lebih besar pula menghala kepada “mobiliti elektrik maju dan pergerakan pintar.” Zeeho memberitahu, model ini mempunyai gabungan premium prestasi dan teknologi tinggi, bersama rekaan yang unik. Ia dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum 150 km/j, dan melakukan pecutan 0-50 km/j dalam masa kurang daripada 2.5 saat.

     
     
  • Sekatan jalan raya di setiap daerah hingga tarikh yang ditetapkan sebagai kesiapsiaga Omnipresence – PDRM

    Sekatan jalan raya di setiap daerah hingga tarikh yang ditetapkan sebagai kesiapsiaga Omnipresence – PDRM

    Sejak semalam, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mula melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi-lokasi strategik di setiap daerah di seluruh negara secara penugasan 24 jam. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani, SJR berkenaan dilaksanakan sehingga ke satu masa yang ditetapkan.

    Jelasnya, langkah melaksanakan SJR ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM dalam mencegah jenayah melalui peningkatan tahap Omnipresence (kehadiran di mana-mana) bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas.

    “Tiada halangan SJR akan dijalankan pada waktu puncak dan siang hari. Justeru orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui SJR, terutamanya di luar waktu puncak,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau lagi, masyarakat tidak perlu bimbang untuk menjalankan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan adalah terkawal.

    Sekatan jalan raya di setiap daerah hingga tarikh yang ditetapkan sebagai kesiapsiaga Omnipresence – PDRM

    Kelmarin, beliau turut mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat diminta agar tidak menimbulkan situasi yang mampu menimbulkan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam termasuk menerusi media sosial.

    Sebelum ini, PDRM telah mengesan tindakan segelintir pengguna media sosial yang memuat naik kandungan menyentuh sentimen perkauman dan keagamaan serta menghina institusi DiRaja.

    “Polis memberi pengingatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebarkan kandungan berbentuk provokasi yang boleh menyebabkan kegusaran awam. Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1996, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” tegas beliau.

     
     
  • Honda Vario 160 tiba di Malaysia – dari RM9,998

    Honda Vario 160 tiba di Malaysia – dari RM9,998

    Honda Vario 160 yang sebelum ini dilancarkan di pasaran Indonesia Februari lalu, diikuti Thailand pada bulan April (menggunakan nama Click 160) kini dilancarkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd untuk pasaran Malaysia pada harga RM9,998 untuk warna Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan Sword Silver Metallic, sementara warna Mat Charcoal Grey Metallic dijual pada harga RM10,298.

    Peningkatan utama pada Vario 160 ini jika dibandingkan dengan Vario sebelum ini adalah pada bahagian enjin, di mana ia sekarang menggunakan unit satu silinder penyejukan cecair 157 cc (sebelum ini 149.3 cc) dengan nisbah mampatan 12:1 (sebelum ini 10.6:1). Hasilnya, ia dapat menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm (sebelum ini 13.1 PS dan 13.4 Nm), dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT.

    Panel badan skuter ini juga berubah secara menyeluruh, dengan semua bahagian adalah baru. Kemudiannya, masalah utama Vario yang kelihatan ‘tergantung’ sebelum ini juga sudah diatasi dengan rekaan fender baru, bersama tayar yang lebih tebal (100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang) untuk membaluti rim 14 inci dengan rekaan barunya.

    Sementara negara jiran mendapat dua versi Vario, iaitu yang dilengkapi brek CBS dan ABS, pasaran Malaysia pula cuma menerima satu versi, iaitu yang dilengkapi ABS single-channel untuk brek cakera hadapan. Brek belakang walaupun tidak disambung dengan ABS, tetapi masih menggunakan tetapan cakera.

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan unit LED, dan kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk sistem kunci pintar, soket pengecas USB Type A, ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter, panel instrumen digital. Tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter.

     
     
  • Honda BR-V 2023 dilancar di Filipina — 1.5L NA, CVT, 6MT, empat varian dan Honda Sensing; dari RM87k

    Honda BR-V 2023 dilancar di Filipina — 1.5L NA, CVT, 6MT, empat varian dan Honda Sensing; dari RM87k

    Selepas Thailand dan Indonesia, Honda BR-V generasi kedua kini diperkenalkan pula untuk pasaran Filipina. Pertama kali tampil di peringkat global pada September 2021, crossover tujuh-tempat duduk itu ditawarkan dalam empat varian: S MT, S CVT, V CVT dan VX CVT Honda Sensing, dengan harga di antara 1.09 to 1.39 juta peso Filipina (RM87,009 hingga RM110,956).

    Semua varian menggunakan unit enjin yang sama, iaitu 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Enjin i-VTEC ini memacu roda depan melalui CVT atau kotak gear manual enam-kelajuan, dengan kedua-dua transmisi sama dengan yang ditawarkan untuk pasaran Indonesia.

    Berdasarkan ujian penggunaan minyak yang dilakukan dengan usahasama Persatuan Automobil Filipina (AAP), BR-V dalam varian V CVT memberikan bacaan 24.71 km/l, diikuti dengan VX CVT Honda Sensing dengan 23.49 km/l dan S CVT dengan 22.62 km/l. Menurut Honda Cars Filipina, ujian merangkumi pemanduan lebuhraya sejauh 128 km, dengan kelajuan antara 60 dan 80 km/j pada 1,500-2,000 rpm, dan pendingin ditetapkan pada 24 darjah celcius dengan tahap kipas satu.

    Honda BR-V 2023 dilancar di Filipina — 1.5L NA, CVT, 6MT, empat varian dan Honda Sensing; dari RM87k

    Dari segi kelengkapan, varian asas S MT datang dengan lampu utama LED penuh, lampu belakang LED, rim 16-inci (dengan tayar 215/60), paparan kluster instrumen multi-info, head unit skrin sentuh tujuh-inci (dengan Android Auto dan Apple CarPlay), empat pembesar suara, pendingin kawalan manual, sistem tanpa kunci, kerusi fabrik, empat beg udara, ABS, EBD, bantuan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, kamera undur dan sensor kunci pintu automatik berdasarkan pengesanan kelajuan.

    S CVT pula menerima tambahan penghidup enjin jarak jauh, yang tidak ditawarkan untuk varian manual. Beralih ke V CVT, BR-V ini menerima rim 17-inci (dengan tayar 215/55), pendingin automatik, kerusi balutan kulit, sensor parkir belakang dan kunci automatik ketika menjauhi kenderaan.

    Sementara itu, varian paling tinggi VX CVT pula menerima tambahan dua lagi pembesar suara menjadikannya enam, dua beg udara tirai di depan menjadikan enam semuanya, Honda LaneWatch dan Honda Sensing. Ini termasuklah kawalan melayar adaptif, AEB, lampu tinggi automatik, bantuan mengekalkan lorong, penghindaran penukaran lorong dan amaran penukaran lorong.

    Honda BR-V 2023 dilancar di Filipina — 1.5L NA, CVT, 6MT, empat varian dan Honda Sensing; dari RM87k

    Lima pilihan warna disediakan dengan Lunar Silver Metallic dan Meteoroid Grey Metallic ada untuk semua varian; Tafetta White hanya untuk gred S; sementara Crystal Black Pearl hanya untuk V CVT dan S CVT. V CVT dan VX CVT juga hadir dalam warna eksklusif Premium Opal White Silver Pearl dengan tambahan kos 20,000 peso Filipina (RM1,595).

    Sangat mungkin model BR-V generasi kedua ini juga akan memasuki pasaran Malaysia tak lama lagi. Sama seperti di Thailand, BR-V baru ini dikenakan harga lebih tinggi di Filipina berbanding sebelum ini, dan corak yang sama juga boleh kita jangkakan sebaik sahaja ia tiba di sini nanti.

     
     
  • Toyota dominasi perlumbaan S1K 2022; menang 1-2 untuk kelas MTC, 3 kereta dalam kedudukan Top 5!

    Toyota dominasi perlumbaan S1K 2022; menang 1-2 untuk kelas MTC, 3 kereta dalam kedudukan Top 5!

    Bangkit dari kegagalan tahun sebelumnya, pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGRM) berjaya menamatkan perlumbaan endurance Sepang 1000KM (S1K) untuk edisi 2022 yang berlangsung pada hujung minggu lalu. Kejayaan tersebut dicapai menerusi pasangan Tengku Djan Ley dan Naquib Azlan yang memandu Toyota Vios dengan spesifikasi tertinggi dalam S1K iaitu kelas MTC.

    Tambah manis, Toyota Yaris juga dengan spesifikasi kelas MTC dari pasukan Wing Hin Motorsport dipandu pasangan pelumba muda Hayden Haikal dan Jwan Hii berjaya merangkul tempat kedua. Suzuki Swift dari pasukan Hi Rev Dream Chaser yang dipandu oleh pasangan Mitchell Cheah dan Brendan Paul Anthony pula berada di tempat ketiga.

    Sebuah lagi Yaris MTC pasukan Wing Hin Motorsport yang dipandu oleh pasangan Boy Wong dan Dannies Ng berada di tempat keempat, manakala tempat kelima pula milik pasangan Lai Wee Seng dan Leon Khoo yang memandu Honda City MTC dari pasukan R Engineering Honda Malaysia Racing Team (HMRT).

    Toyota dominasi perlumbaan S1K 2022; menang 1-2 untuk kelas MTC, 3 kereta dalam kedudukan Top 5!

    Keputusan ini membolehkan Toyota mendominasi perlumbaaan S1K tahun ini dengan tiga kereta dalam lima tempat teratas dan berada di podium 1 dan 2. Ia juga memberikan duta TGRM, Tengku Djan Ley gelaran juara S1K buat kali ketiga, dan pertama untuk Naquib Azlan yang merupakan pelumba simulator serta alumni kategori Rookie dalam perlumbaan Vios Challenge.

    Perlumbaan ini bermula pada pukul 9.30 pagi Ahad dengan 68 kereta dilepaskan secara rolling start, namun sejumlah 13 kereta tidak berjaya melepasi garisan penamat apabila perlumbaan ini berakhir sekitar pukul enam petang hari yang sama. Toyota Vios MTC pasukan TGRM berjaya menamatkan perlumbaan 181-lap atau lebih 1,000 km mengelilingi litar Sepang ini dengan kelebihan 6.2 saat di hadapan Yaris MTC Wing Hin Motorsport.

    “(Tahun) 2021 segalanya adalah untuk belajar dan mendapatkan masa lebih baik untuk membangunkan kedua-dua Vios dan Yaris bagi berhadapan cabaran 1000KM yang berprestij ini. Kami telah menjalankan program ekstensif dan juga kereta yang kompetitif, dan kami menang perlumbaan itu tetapi kami diberikan penalti yang membuatkan kami jatuh ke tempat ketiga dalam kelas MTC. Dengan menang perlumbaan tahun ini dan melakukannya dengan bukan sahaja kami mendahului dari mula hingga habis malah kami mempunyai tiga kereta yang menghabiskan perlumbaan di lima tangga teratas sudah pun melebihi apa yang kami mahu tebus dari kegagalan sebelum ini,” kata presiden UMW Toyota, Ravindran K.

    “Bermula dengan model produksi standard yang bersaing dalam lima musim siri perlumbaan Vios Challenge kepada penampilan sulungnya dalam Vios Sprint Cup yang merupakan perlumbaan sejam dan kini memenangi perlumbaan endurance 9 jam, Vios telah dibuktikan sebagai model yang kompetitif dalam trek,” tambahnya lagi.

    Ravindran turut menyatakan bahawa apa yang lebih penting penglibatan Toyota dalam sukan permotoran di Malaysia telah menyumbang untuk membantu mendedahkan dan melahirkan lebih ramai bakat dan pelumba muda.

    “Ia mengenai memberi kembali kepada masyarakat dan dalam kes kami ia bermakna menyediakan bakat muda Malaysia yang berpotensi dengan platform yang betul dan peluang untuk berkembang sebagai pemandu yang kompetitif. Usaha ini konsisten sepanjang program Gazoo Racing Malaysia sejak lima tahun lalu yang bermula dengan penyertaan dengan kos yang tidak terlalu tinggi dalam Vios Challenge, pengenalan Program Pembangunan Bakat Muda, dan mewujudkan Kelas Rookie dalam Vios Challenge untuk membawa pemandu muda ke peringkat lebih tinggi dalam sukan permotoran bagi memandu dalam jentera dan kelas yang lebih kompetitif. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi dan penaja kami kerana memainkan peranan penting dalam pencapaian perlumbaan syarikat,” kata Ravindran.

    Toyota dominasi perlumbaan S1K 2022; menang 1-2 untuk kelas MTC, 3 kereta dalam kedudukan Top 5!

    Walau bagaimanapun, penyertaan pasukan TGRM dalam kategori SP2 G tidak bernasib baik. Ini kerana Vios SP2 G yang dipandu oleh trio pemandu kategori Rookie Vios Challenge musim kelima iaitu Nabil Azlan (juga juara kategori Rookie tahun ini), Muizzuddin Musyaffa dan Muhammad Hamdany hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 setelah mengalami masalah ketika bermula, walaupun berjaya mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan.

    Perlumbaan S1K tahun ini turut berlangsung bersama Gazoo Racing Vios Enduro Cup. Penyertaan Vios Enduro Cup ini dibuka untuk semua jentera-jentera Vios yang dihasilkan untuk siri perlumbaan one make Vios Challenge dan juga Vios Sprint Cup tanpa mengira generasi.

    Perlumbaan ini dimenangi oleh pasukan 23 Motors yang pandu oleh pasangan anak dan ayah iaitu Al Farouk dan Abdul Miqail yang baru berumur 16-tahun. Ia diikuti oleh sebuah lagi Vios pasukan 23 Motors dipandu oleh pasangan Ady Rahimy dan Amir Husin Mubarak, manakala tempat ketiga milik pasukan Carroof Motorsport yang dipandu kuartet Mirza Syahmi Mahzan, Aiman Haziq, Khair Nur Adi dan Khair Nur Adli.

    Toyota dominasi perlumbaan S1K 2022; menang 1-2 untuk kelas MTC, 3 kereta dalam kedudukan Top 5!

    “Ini adalah perlumbaan yang hebat dan kali kedua saya berlumba bersama anak saya dalam S1K. Sejujurnya Vios Challenge telah memberikan Abdul Miqail asas yang sangat kukuh untuk mengembangkan kemahiran pemanduannya,” kata Al Farouk.

    Kemenangan ini membolehkan Al Farouk dan Abdul Miqail memperolehi hadiah wang tunai RM10,000 , manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah RM8,000 dan RM6,000. Gazoo Racing Vios Enduro Cup menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dengan pemenang tempat keempat dan kelima turut membawa pulang masing-masing RM4,000 dan RM2,000. Sebanyak 14 buah kereta bersaing untuk kelas ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025