Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ Selangor lelong 192 kenderaan sita termasuk kenderaan klon, raih kutipan RM899k untuk 2022

    JPJ Selangor lelong 192 kenderaan sita termasuk kenderaan klon, raih kutipan RM899k untuk 2022

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berjaya melelong sebanyak 192 kenderaan sita termasuk kenderaan lelong, dengan meraih kutipan mencecah RM898,438 sepanjang tahun ini.

    Menurut Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, kutipan berkenan dibuat dalam tiga siri Lelongan Awam Kenderaan Sita, laporan Harian Metro.

    “Pada 31 Mac lalu, 41 kenderaan sita dilelong dan berjaya mengutip RM114,460, manakala sebanyak 19 kenderaan sita dilelong pada 19 Julai lalu sekali gus mengutip sejumlah RM256,100.

    “Bagi siri ketiga pula, sebanyak 135 kenderaan sita terdiri 97 motosikal, 17 kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV), jip, bas, van, lori kargo am dan semi treler. Daripada jumlah itu, sebanyak 132 berjaya dilelong dengan kutipan sebanyak RM527,878,” katanya selepas menghadiri Lelongan Awam Kenderaan Sita tahun 2022 di Shah Alam semalam.

    Jelasnya, dalam siri lelongan semalam, sebanyak 135 kenderaan sita yang terlibat terdiri daripada kenderaan berdaftar dan kenderaan tidak berdaftar.

    “Sebanyak 115 kenderaan sita berdaftar dalam lelongan awam itu, di mana 104 daripadanya boleh dilesenkan, manakala 11 buah tidak boleh dilesenkan (scrap). Bagi kenderaan tidak berdaftar (klon), sebanyak 20 buah berjaya dilelong,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan harga lelongan tertinggi adalah RM58,000 dan jumlah terendah pula sekadar RM93.

    “Ini menjadikan jumlah kutipan lelongan awam keseluruhan sejak 2019 sehingga semalam sebanyak RM5.4 juta,” katanya.

     
     
  • Lorong kiri dan tengah di Lebuhraya KL-Seremban arah selatan ditutup hingga 4 Nov ini – PROLINTAS

    Lorong kiri dan tengah di Lebuhraya KL-Seremban arah selatan ditutup hingga 4 Nov ini – PROLINTAS

    PROLINTAS selaku pengendali Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE) telah mengumumkan lorong kiri dan tengah di Lebuhraya KL-Seremban ditutup sementara mulai semalam sehingga 4 November 2022.

    Penutupan kedua-dua lorong berkenaan adalah dari jam 10 malam hingga 4.30 pagi, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja crosshead untuk Lebuhraya SUKE. Ia juga sebagai langkah keselamatan memandangkan terdapat jentera berat dan banyak peralatan digunakan sepanjang aktiviti berkenaan .

    Syarikat itu turut memaklumkan, sepanjang penutupan lorong terbabit, pengawal trafik, kon keselamatan dan papan tanda amaran diletakkan di sepanjang laluan terlibat.

    “Pengguna dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda arah, kelajuan dan keselamatan serta arahan kakitangan bertugas untuk perjalanan yang lancar dan selamat di sepanjang laluan tersebut,” ujar kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • BMW R1250R Roadster 2023 diberi peningkatan

    BMW R1250R Roadster 2023 diberi peningkatan

    Bagi model tahun 2023, BMW R1250R Roadster diberikan sedikit peningkatan, berserta pilihan tambahan untuk dipasang pada motosikal. Dynamic Traction Control (DTC) serta mod tunggangan ECO kini diberikan standard, bersama lampu penunjuk arah LED serta DRL rekaan baru.

    R1250R juga sekarang datang dengan soket USB-A berkuasa 5 volt, sebagai tambahan kepada soket 12 volt yang disediakan sebelum ini, sementara fungsi pemanas pada tempat duduk disediakan sebagai pilihan tambahan. Dalam senarai kelengkapan motosikal ini juga terdapat BMW Motorrad ABS Pro, dan pemilik juga boleh menukar rim kepada jenis spoked.

    Turut disediakan sebagai pilihan tambahan adalah Riding Modes Pro, yang memberikan tambahan mod tunggangan, serta pelarasan untuk kawalan engine drag torque. Selain daripada itu, pemilik juga boleh mendapatkan lampu utama LED adaptif, serta tempat duduk jenis tunggal berserta penutup tempat duduk belakang.

    Bahagian lain motosikal ini masih sama, bermula dengan enjin, iaitu unit boxer 1,254 cc dengan sistem pemasaan injap boleh ubah Shiftcam, mampu menghasilkan kuasa sehingga 136 hp pada 7,250 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Kuasa ini dihantar kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan, serta sistem syaf.

    Warna asas yang ditawarkan untuk R1250R adalah kelabu, bersama kerangka hitam, sementara varian Triple Black pula datang dengan warna hitam metalik, kerangka kelabu, angkup brek warna emas, gril radiator serta spoiler enjin stainless steel, kemasan pada tangki serta tempat duduk solo. Versi Style Sport pula menggunakan warna biru metalik, kerangka putih, angkup brek emas, pemegang hitam, spoiler biru dan tempat duduk solo.

     
     
  • Hayat Ford Fiesta akan berakhir pada Jun 2023 – bakal diganti dengan SUV elektrik Ford Puma EV

    Hayat Ford Fiesta akan berakhir pada Jun 2023 – bakal diganti dengan SUV elektrik Ford Puma EV

    Ford secara rasmi telahpun mengumumkan bahawa pengeluaran bagi hatchback kompak dalam barisan modelnya iaitu Ford Fiesta bakal dihentikan terus pada bulan Jun 2023. Ini bermakna usia Ford Fiesta hanya bertahan selama 47 tahun selepas model generasi pertamanya diperkenalkan pada 1976.

    Produksi hatchback kompak ini dihentikan adalah selari dengan trend semasa iaitu kenderaan elektrik (EV) dan juga SUV. Dalam video ‘selamat tinggal’ yang disiarkan oleh Ford, tempat Fiesta selepas ini akan digantikan dengan SUV kompak Ford Puma dalam versi EV. Malah dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), Fiesta turut telah direhatkan bermula musim tahun ini apabila pasukan M-Sport Ford memperkenalkan jentera Ford Puma Rally1 Hybrid tahun lalu, menggantikan jentera WRC berasaskan Fiesta yang telah digunakan sejak 2011.

    Fiesta sentiasa menjadi alternatif lebih murah dari Escort/Focus dari Ford, dan ia kini sudahpun masuk generasi ke tujuh diperkenalkan pada 2016, serta telah menerima versi facelift pada tahun lalu. Selain dari versi yang sesuai untuk digunakan oleh keluarga kecil, Fiesta turut dihasilkan dalam pelbagai versi prestasi merentasi generasi seperti XR2, RS Turbo dan ST.

    Sejak ia diperkenalkan, sejumlah lebih dari 18 juta unit Fiesta telah diproduksi dan dijual di lebih 13 negara seluruh dunia termasuk UK, Sepanyol, Mexico, Argentina, Brazil, Africa Selatan, dan banyak lagi. Malah Fiesta juga merupakan kereta paling laris di UK untuk 12 tahun berturut-turut, bermula 2009 hingga 2020.

    Menurut laporan Automotive News, Ford Puma EV yang bakal menggantikan Fiesta kelak bakal dibina berasaskan platform MEB Volkswagen. Model berkenaan masih akan diproduksi di kilang yang menghasilkan Fiesta buat masa sekarang, iaitu kilang Ford yang terletak di Cologne, Jerman. Ia adalah antara projek kerjasama Ford dan Volkswagen yang diumumkan pada 2019, sama seperti projek penghasilan trak pikap VW Amarok generasi baharu yang diasaskan dari Ford Ranger.

     
     
  • Ford Kuga facelift tiba di Amerika Syarikat – ditambah dengan pilihan ST-Line, enjin EcoBoost, hibrid, PHEV

    Ford Kuga facelift tiba di Amerika Syarikat – ditambah dengan pilihan ST-Line, enjin EcoBoost, hibrid, PHEV

    Ford Kuga, yang juga dikenali sebagai Escape di Amerika Syarikat, telah diberikan facelift selepas tiga tahun ia diperkenalkan kali pertama untuk pasaran (2019). Pada bahagian luar, perubahan diberikan pada bahagian gril, lampu utama LED, DRL, bampar, lampu belakang serta rim.

    Kemudiannya, SUV saiz sederhana ini ditawarkan dalam satu pilihan baru iaitu ST-Line. Ia dilengkapi dengan kemasan hitam pada bahagian luar, spoiler belakang, serta bahagian bawah bampar dan kemasan tepi lengkuk roda warna sama seperti badan. Varian lain yang disediakan adalah Base, Active, Platinum dan Plug-in Hybrid.

    Di dalam, Kuga facelift ini menerima sistem infotainmen SYNC 4, dengan sokongan untuk Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Ia juga disambungkan kepada skrin sesentuh yang lebih besar, iaitu 13.2 inci, sementara di hadapan pemandu terdapat skrin 12.3 inci untuk panel instrumen.

    Bergantung kepada varian yang dipilih, Kuga facelift ini boleh datang dengan ciri seperti Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Predictive Speed Assist, kamera 360 darjah, pengesan undur, Cross Traffic Braking, pad pengecas tanpa wayar dan Co-Pilot 360 bersama Intersection Assist 2.0 dan Blind Spot Assist.

    Untuk enjin, pilihan bermula dengan unit petrol tiga silinder 1.5 liter turbo, yang boleh didapati dengan pacuan roda hadapan atau semua roda, dan mampu menghasilkan kuasa 181 hp/258 Nm. Kemudiannya, turut ditawarkan adalah enjin empat silinder 2.0 liter EcoBoost berkuasa 250 hp/380 Nm, tetapi hanya boleh didapati dengan pacuan AWD. Bagi kedua-dua enjin EcoBoost ini, transmisinya menggunakan unit automatik lapan kelajuan.

    Ford Kuga facelift tiba di Amerika Syarikat – ditambah dengan pilihan ST-Line, enjin EcoBoost, hibrid, PHEV

    Dua pilihan enjin lain menggunakan bantuan elektrik, dan terdiri daripada enjin empat silinder Atkinson-cycle 2.5 liter Duratec berkuasa 165 hp dan 210 Nm, dipadankan bersama transmisi eCVT. Bagi versi hibrid biasa, ia ditawarkan dalam pacuan FWD atau AWD, dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 210 hp.

    Pilihan terakhir adalah plug-in hybrid, yang menyediakan pemanduan elektrik penuh sehingga 60 km, pacuan FWD dan berkuasa 221 hp. Apabila menggunakan pengecas AC Level 1 110 volt, baterinya memerlukan masa 10 hingga 11 jam untuk penuh, sementara apabila menggunakan pengecas Level 2 240 volt pula, ia cuma mengambil masa 3.5 jam.

     
     
  • Stesen BHPetrol baharu dibuka di kawasan R&R Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan

    Stesen BHPetrol baharu dibuka di kawasan R&R Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan

    PLUS selaku pengendali Lebuhraya Utara-Selatan telah mengumumkan pembukaan stesen minyak baharu, BHPetrol, di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Skudai, arah selatan. Stesen BHPetrol itu terletak bersebelahan dengan stesen Shell sedia ada di kawasan berkenaan.

    Selain disediakan kedai serbaneka di stesen minyak terbabit, di sebelahnya juga terdapat cawangan Texas Chicken, restoran makanan segera yang ada penggemarnya sendiri.

    Dengan adanya pertambahan stesen minyak dan juga restoran baharu sebegini, pastinya memberikan kelegaan buat pengguna lebuhraya kerana ia memudahkan lagi mereka mendapatkan kepelbagaian kemudahan yang diperlukan untuk menempuh perjalanan yang panjang. Boleh juga berhenti rehat seketika jika terasa penat, lapar atau mengantuk. Apa pun, terus amalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati di jalan raya.

     
     
  • Aliran trafik kontra dilaksanakan di Persiaran Mokhtar Dahari B49 bagi mengurangkan isu kesesakan

    Aliran trafik kontra dilaksanakan di Persiaran Mokhtar Dahari B49 bagi mengurangkan isu kesesakan

    Isu kesesakan lalu lintas di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam terutamanya pada waktu puncak pagi dan petang kian meruncing. Penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan termasuk di Puncak Alam, Puncak Perdana, dan Alam Budiman kerap kali meluahkan kekecewaan kerana terpaksa berhadapan dengan isu trafik saban hari dan perkara ini bukanlah isu baru yang diperkatakan. Malah ada netizen yang berhadapan dengan isu ini berkata, mereka telah bersuara sejak tahun 2014, namun perkara ini masih berlarutan.

    Justeru, demi kemudahan semua pihak, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Petaling telah mengumumkan pelaksanaan aliran trafik kontra di sebahagian Persiaran Mokhtar Dahari B49 yang telah bermula sejak petang semalam.

    Menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi Twitter, JKR memaklumkan aliran trafik kontra itu dilaksanakan pada jam 4 petang hingga 8 malam bagi mengurangkan isu kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

    Tambahnya, aliran trafik kontra di sebahagian Persiaran Mokhtar Dahari B49 menghala ke Shah Alam bermula dari persimpangan Alam Budiman hingga ke sempadan persimpangan Lebuhraya Damanasara-Shah Alam (DASH) E31. Walau bagaimana pun, difahamkan aliran trafik kontra ini masih dalam peringkat percubaan dan belum dimuktamadkan bila ia bakal dilaksanakan secara tetap.

     
     
  • KTMB sedia perkhidmatan tren tambahan khas PRU15

    KTMB sedia perkhidmatan tren tambahan khas PRU15

    Menjelang Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November nanti, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan tambahan perkhidmatan tren yang akan bermula pada 18 hingga 20 November 2022. Bagi memudahkan anda untuk merancang perjalanan ke pusat mengundi, berikut laluan yang terlibat.

    Pada 18 November, perkhidmatan tren khas akan berlepas dari KL Sentral pada 3.40 pm dan dijangka tiba di Tumpat, Kelantan pada 7.40 pagi hari berikutnya. Pada 20 November, perkhidmatan tren khas akan berlepas dari Tumpat pada jam 5.10 petang dan dijangka tiba di KL Sentral pada 11.26 pagi hari berikutnya.

    Sebagai tambahan kepada perkhidmatan berkenaan, akan ada lapan lagi perkhidmatan tambahan bagi ETS yang akan disediakan antara 18-20 November untuk penumpang dari KL Sentral ke Padang Besar, Padang Besar ke KL Sentral dan Butterworth ke KL Sentral.

    KTMB memaklumkan, sejumlah 716 tiket akan ditawarkan bagi perkhidmatan tren khas ini, dan 2,520 tiket bagi tambahan tren ETS. Tiket akan mula dijual pada 2 pm hari ini.

    Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau laman web KTMB. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200.

     
     
  • Honda Accord generasi ke-10 terus dijual di Asia, berbeza kitaran hayat berbanding Accord 2023 di AS

    Honda Accord generasi ke-10 terus dijual di Asia, berbeza kitaran hayat berbanding Accord 2023 di AS

    Honda Accord generasi ke-10 pasaran Malaysia

    Pasaran Malaysia baru sahaja menerima Accord generasi ke-10 pada Februari 2020, namun baru-baru ini Honda sudahpun menyiarkan imej teaser Accord generasi ke-11 di Amerika Syarikat. Kebiasaannya, satu-satu model dari Jepun akan berada dalam pasaran paling kurang pun dalam masa enam-tahun, jadi memandangkan Accord generasi ke-10 baru sahaja berada di Malaysia hanya lebih kurang dua tahun, adakah ianya akan diganti dengan model generasi ke-11 sekitar 1-2 tahun dari sekarang?

    Menurut laporan portal automotif Australia Car Expert, walaupun Honda Accord generasi ke-11 bakal dilancarkan di AS tidak lama lagi, Honda akan terus menjual Accord generasi ke-10 di pasaran negara itu termasuk pasaran Asia lain seperti Jepun. Malah pasaran Asia Tenggara yang sudah tentu termasuk Malaysia juga akan terus menerima Accord generasi sedia ada ini.

    Ini kerana Accord untuk pasaran Asia dan juga AS kini dijual dalam “kitaran hayat model berbeza”. Berbeza dengan Civic generasi ke-11 yang tiba di Malaysia tidak sampai setahun selepas ia didedahkan untuk peringkat global di AS, Accord generasi ke-10 yang ada sekarang ini dilancarkan ke pasaran tempatan hanya selepas tiga tahun ia dilancarkan di AS.

    Imej teaser untuk Honda Accord generasi ke-11 pasaran Amerika Syarikat

    Jadi boleh dijangkakan Jepun, Australia dan rantau ASEAN termasuk Malaysia mungkin akan menerima Accord generasi ke-11 ini dalam garis masa yang hampir sama.

    “Accord masih lagi nama yang penting di peringkat global untuk Honda, dengan pelanggan yang sangat setia dan berharga berpusat di Australia, tetapi masih terlalu awal untuk kami mengesahkan apa-apa perincian untuk model generasi seterusnya. Model sedia ada akan terus dijual di Australia untuk sekian waktu lagi dan ia terus menunjukkan prestasi yang kuat untuk menyokong barisan model lain,” kata jurucakap Honda Australia kepada Car Expert.

    Jadi untuk mereka yang merancang untuk menunggu Accord generasi ke-11 untuk tiba di Malaysia, anda mungkin boleh jangkakan ia bakal tiba di sini sekitar tahun 2025 nanti.

    GALERI: Honda Accord generasi ke-10 pasaran Malaysia

    GALERI: Gambar paten dan imej teaser Honda Accord generasi ke-11

     
     
  • PRU15 pada 19 Nov – sila semak pusat mengundi anda, waktu yang digalakkan menerusi MySPR Semak

    PRU15 pada 19 Nov – sila semak pusat mengundi anda, waktu yang digalakkan menerusi MySPR Semak

    Pasti semua mengetahui bahawa 19 November 2022 telah diumumkan sebagai tarikh bakal berlangsungnya Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), lebih kurang dua minggu saja lagi. Tapi sudahkan anda menyemak pusat mengundi anda? jika belum, anda boleh semak menerusi laman web MySPR Semak untuk mengetahui stesen mengundi anda.

    Bukan itu sahaja, kini MySPR Semak juga menunjukkan masa yang digalakkan untuk keluar mengundi, seperti yang ditunjukkan pada foto di bawah ini. Jadi lebih mudah buat anda merancang masa untuk keluar mengundi pada tarikh berkenaan. Menerusi jadual yang dipaparkan, juga disenaraikan pusat dan saluran saluran mengundi serta maklumat DUN/Parlimen. Juga disediakan butang untuk anda mencetak maklumat tersebut untuk simpanan.

    Selain itu, bagi anda yang mengundi di luar kawasan tempat anda bermastautin, mungkin di kampung halaman, pastikan anda memeriksa kondisi kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Jika kenderaan anda menghampiri tempoh servis yang berikutnya, anda boleh berbuat demikian sebelum balik mengundi.

    PRU15 pada 19 Nov – sila semak pusat mengundi anda, waktu yang digalakkan menerusi MySPR Semak

    Contoh waktu yang digalakkan untuk keluar mengundi menerusi laman web mySPR Semak (atas); juga pastikan kenderaan anda berada dlaam kondisi yang baik untuk memulakan perjalanan jika anda mengundi di negeri lain

    Atau pun, jika tempoh servis masih lambat lagi, jangan lupa untuk periksa minyak enjin, keadaan pad brek, radiator dan coolant – pastikan semuanya berada pada tahap yang baik. Jika ada sebarang kerosakan, masih sempat untuk diperbaiki agar ia tidak menganggu kelancaran perjalanan anda kelak.

    Jangan lupa juga untuk memeriksa kondisi bateri dan tayar kenderaan. Jika ia perlu ditukar, jangan kedekut duit untuk menukarkannya demi keselamatan anda juga. Jika tayar masih berada dalam kondisi baik, anda mungkin boleh melakukan penjajaran ( alignment) dan pengimbangan (balancing), serta jangan lupa pam tayar juga (jika diperlukan). Sekarang ini pula musim hujan, jadi bab tayar sangat penting dan perlu dititikberatkan atas dasar keselamatan bersama.

    Dan jangan lupa juga untuk pastikan kad tambah nilai Touch ‘n Go atau e-wallet masih berbaki dan mencukupi untuk membayar tol. Sila rancang perjalanan anda, pastikan kesihatan ‘mengizinkan’ untuk anda memandu, amalkan pemanduan berhemah dan berhati-hatilah di jalan raya.

     
     
  • BYD Atto 3, e6 sah akan lancar di Malaysia pada awal Disember 2022, dari RM150k — Seal, Dolphin Q4 2023

    BYD Atto 3, e6 sah akan lancar di Malaysia pada awal Disember 2022, dari RM150k — Seal, Dolphin Q4 2023

    Info rasmi: BYD Atto 3 dan e6 EV bakal dilancarkan di Malaysia awal Disember 2022, dengan serahan dijangka dilakukan pada suku pertama tahun depan. Harga anggaran bagi dua model EV berkenaan adalah dari RM150k hingga RM170k. Perkara ini dimaklumkan oleh petugas BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM), yang menjawab pertanyaan dalam pendaftaran minat yang kami lakukan.

    Terdahulu, BYD SDM menjemput pendaftaran minat melalui laman Facebook-nya sebelum pelancaran jenama itu untuk pasaran tempatan, yang dijangka akan bersekali dengan pengenalan Atto 3 dan e6. Petugas berkenaan, yang bertugas di Sime Darby Motors City, Ara Damansara menambah, BYD SDM ketika ini sedang mempersiapkan proses tempahan bagi EV berkenaan.

    Atto 3 dan e6 akan menjadi model pelancaran bagi BYD untuk pasaran Malaysia, dan ini bukanlah satu kejutan, memandangkan kedua-duanya disebut dalam pengumuman oleh Sime Darby Motors (SDM) yang bertindak selaku pengedar rasmi BYD di sini. Apa yang baru di sini adalah tempoh pengenalan itu: ia tidak berapa lama dari sekarang.

    Atto 3 yang juga dikenali sebagai Yuan Plus di pasaran China adalah sebuah crossover dengan motor elektrik di depan yang menghasilkan 204 PS/310 Nm. Dua bateri ditawarkan — 49.92 kWh dengan jarak 345 km (WLTP. atau 410 km NEDC), atau 60.48 kWh dengan 420 km (WLTP, atau 480 km NEDC). Kedua-dua pilihan bateri ini akan ditawarkan di Malaysia.

    BYD Atto 3, e6 sah akan lancar di Malaysia pada awal Disember 2022, dari RM150k — Seal, Dolphin Q4 2023

    Model ini menyokong pengecasan AC (Type 2) hingga 7 kW serta pengecasan pantas DC (CCS2); yang kedua ini pada kadar maksimum sama ada 70 kW atau 80 kW bergantung kepada kapasiti bateri — input lebih tinggi membolehkan pengecasan 0-80% dalam masa 45 minit.

    Model e6 pula adalah sebuah MPV generasi kedua (dahulu dengan enjin biasa) yang menampilkan bateri 71.7 kWh yang menguasakan motor elektrik di depan yang memberikan 95 PS/180 Nm. Jarak WLTC dalam bandarnya adalah 522 km dengan bateri Blade, yang boleh dicas melalui input AC (Type 2) maksimum 6.6 kW dalam masa 12 jam, atau pengecas DC (CCS2) sehingga 60 kW dalam masa 1.5 jam (40 kW mengambil masa 1.8 jam).

    Menarik untuk lihat ketibaan dua model ini untuk pasaran tempatan? BYD SDM juga tidak akan berhenti dengan Atto 3 dan e6 sahaja. Kami tanyakan juga tentang model EV Dolphin dan Seal yang berada dalam segmen lebih tinggi dan premium, dan menurutnya, dua model ini disasarkan untuk tiba pada suku keempat tahun 2023.

     
     
  • Lim Guan Eng janji tol Lebuhraya PLUS akan dihapus sekiranya PH ambil alih kerajaan pada PRU15

    Lim Guan Eng janji tol Lebuhraya PLUS akan dihapus sekiranya PH ambil alih kerajaan pada PRU15

    Ya, ini bukan berita lama atau anda salah baca – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) sedia memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jika mereka diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor Sinar Harian yang memetik berita dari China Press.

    Laporan tersebut menyebut, ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis makan malam di Jelapang pada malam Ahad, Lim Guan Eng menyatakan bahawa PH telah pun berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan. Beliau menyatakan PH boleh menghapuskan tol lebuh raya itu jika diberikan tempoh mentadbir selama lima tahun.

    Dalam janji keenam manifesto PH untuk PRU14 sebelum ini antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

    Ketika Belanjawan 2020 dibentangkan pada 11 Oktober 2019, Lim yang ketika itu menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan bakal memberikan diskaun tol sebanyak 18% di semua lebuhraya PLUS mulai 2020. Penurunan kadar tol itu mula dilaksanakan bermula 1 Februari 2020, namun ia dibuat dengan cara melanjutkan tempoh konsesi selama 20 tahun, dari 2038 ke 2058 bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan.

     
     
  • ACE 2022 hujung minggu ini, 5-6 November di SCCC — tawaran menarik, baucar RM2.5k, cabutan bertuah

    ACE 2022 hujung minggu ini, 5-6 November di SCCC — tawaran menarik, baucar RM2.5k, cabutan bertuah

    Auto Car Expo (ACE) 2022 anjuran paultan.org, sebuah acara jualan dan pameran kenderaan akan kembali sekali lagi hujung minggu ini, 5-6 November 2022 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Dengan tajaan bersama Petron, Yinson GreenTech and myTukar, ACE 2022 menjanjikan pelbagai tawaran menarik melibatkan pelbagai jenis dan jenama kenderaan. Antara jenama yang akan ikut serta termasuklah Honda, Toyota, Nissan, Hyundai, Proton, Perodua, Subaru dan jenama skuter Royal Alloy.

    Sama seperti penganjurannya tahun lalu, acara ini turut akan disertai juga oleh beberapa jenama kenderaan segmen premium, seperti Mercedes-Benz (melalui Cycle & Carriage), BMW/MINI (Wheelcorp Premium) dan Volvo (Ingress Swede Automobile).

    Pengunjung juga berpeluang untuk memandu uji dan membeli kenderaan idaman di ACE 2022 — baik yang baru atau yang terpakai, semuanya ada disediakan dengan tawaran menarik daripada semua jenama yang terlibat. Selain itu, tawaran bonus daripada penganjur juga ada tersedia untuk semua di ACE.

    200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan baru akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,500 yang terdiri daripada baucar RM500 bagi filem penapis haba V-Kool, RM500 bagi baucar Dodomat, baucar RM500 untuk penapis udara Blueair, baucar RM500 Recaro untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan baucar RM500 DK Schweizer bagi balutan kulit kustom untuk ruang dalaman kenderaan.

    ACE 2022 hujung minggu ini, 5-6 November di SCCC — tawaran menarik, baucar RM2.5k, cabutan bertuah

    myTukar juga menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan pertama yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

    Hadiah tidak berakhir di situ. Tempahan kereta baru yang telah disahkan pula akan membolehkan anda untuk layak dalam cabutan bertuah dengan tawaran pelbagai hadiah, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan hadiah utama terdiri daripada pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

    Walaupun dengan peraturan pandemik Covid-19 yang semakin longgar kini, kami masih akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua orang. Pengunjung adalah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di dalam ruang pameran, dan cecair sanitasi tangan juga akan diletakkan di beberapa tempat di sepanjang acara berlangsung.

    Banyak lagi perincian promosi yang akan kami kongsikan daripada jenama-jenama yang ikut serta nanti, jadi teruskan bersama kami. Sementara itu, tandakan kalendar anda untuk 5-6 November 2022 untuk ACE 2022 di SCCC. Jumpa hujung minggu ini!

     
     
  • Kesatuan Eropah muktamadkan pengharaman jualan kenderaan dengan enjin pembakaran menjelang 2035

    Kesatuan Eropah muktamadkan pengharaman jualan kenderaan dengan enjin pembakaran menjelang 2035

    Akhirnya Kesatuan Eropah (EU) telah pun memuktamadkan keputusan bagi mengharamkan penjualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman menggunakan bahan api fosil (termasuk petrol dan diesel) bermula pada tahun 2035, lapor Automotive News Europe.

    Ini bermakna bermula 2035, tiada lagi kenderaan baharu dengan enjin sedemikian boleh dijual dan didaftarkan di mana-mana negara yang menganggotai kesatuan tersebut, dan ia bakal mempercepatkan proses peralihan ke kenderaan elektrik (EV).

    Bukan itu sahaja, EU juga telah membuat keputusan bahawa pada 2030, kenderaan-kenderaan baharu yang masih dijual menggunakan enjin pembakaran dalaman perlu menghasilkan emisi CO2 55% lebih rendah berbanding model pada tahun 2021 – jauh lebih agresif dari sasaran asal 37.5% sebelum ini.

    “Pembuat kereta Eropah sudah pun membuktikan mereka bersedia untuk berubah, dengan semakin banyak jumlah kereta elektrik dan semakin mampu milik dibawa ke pasaran. Perubahan yang cepat berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah luar biasa,” kata ketua iklim EU, Frans Timmermans, dalam satu kenyataan.

    Volkswagen, Stellantis, Ford, Bentley, Jaguar dan beberapa pengeluar Eropah lain sebelum ini telah pun mengumumkan bakal menghentikan penjualan model dengan enjin pembakaran dalaman sebelum ini walaupun EU masih belum memuktamadkan keputusan tersebut.

    Namun EU turut bersetuju untuk memberikan tempoh pengecualian selama satu tahun iaitu sehingga 2036 bagi pengeluar-pengeluar yang menghasilkan jumlah kenderaan yang sedikit, termasuk Lamborghini.

     
     
  • Nissan Serena C28 – gambar paten dedah muka baru

    Nissan Serena C28 – gambar paten dedah muka baru

    Ini adalah gambar paten Nissan Serena generasi seterusnya, yang masih mengekalkan bentuk kotaknya, tetapi dengan muka serta perincian yang baru. Selain depan dan belakang, bahagian tepi juga mempunyai perbezaan berbanding model C27 sekarang, tetapi ia memerlukan pemerhatian yang rapi.

    Sebagai imbasan semula, Serena C27 yang berada dalam pasaran sekarang adalah model generasi kelima, dan ia pertama kali diperkenalkan pada tahun 2019. Model C28 ini dijangka menjadi model generasi keenam serba baru, dan direka khas untuk Jepun. Malaysia bagaimanapun sudah menjadi antara beberapa negara luar yang mendapat Serena, dan pemasangannya juga dilakukan di dalam negara oleh Tan Chong.

    Muka baru pada C28 ini jelas berbeza dengan C27 kerana lampunya yang tertutup mempunyai bentuk serta garisan yang bersambung sekata dengan gril. Kemudiannya pada bahagian bampar, bukaan udara di tengah dan tepi model C28 ini dijadikan lebih ringkas tanpa lekuk-lekuk yang rumit.

    Sebenarnya, hampir semua pembaharuan rekaan yang dibuat pada C28 seperti yang dilihat dalam gambar ini membawa konsep yang lebih ringkas dan bersih. Anda juga boleh melihat perkara ini pada bahagian belakang, termasuk lampu menegaknya yang kini cuma melibatkan garis lurus, tidak berlekuk.

    Kemudiannya jika dilihat pula dari tepi, bentuk cermin dari hadapan sampai ke belakang masih kelihatan sama, tetapi pada badannya, garis yang sebelum ini beralun cuma dijadikan lurus dan bersambung sehingga ke rel untuk pintu gelungsur belakang.

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star C27

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025