Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Belanjawan 2023: MITI cadang lebih banyak insentif EV bagi memastikan pemain tempatan lebih kompetitif

    Belanjawan 2023: MITI cadang lebih banyak insentif EV  bagi memastikan pemain tempatan lebih kompetitif

    Ketika pelancararan Program Langganan Perodua Ativa Hybrid hari ini, Setiausaha Agung Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali mendedahkan bahawa kementeriannya mencadangkan lebih banyak insentif kenderaan elektrik penuh (EV) untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti.

    “Izinkan saya mengambil peluang ini untuk berkongsi [sesuatu] dengan anda. Pagi ini, pada mesyuarat pasukan petugas EV, MITI serta pelbagai kementerian, agensi, pemain industri dan persatuan telah bersetuju bahawa kita harus memberi [lebih] penekanan dalam membina infrastruktur yang cekap dan berkualiti untuk stesen pengecasan,” kata Lokman.

    “Kami menyedari keperluan untuk memastikan proses kawal selia cukup memudahkan ke arah memastikan persekitaran yang kondusif untuk industri EV berkembang maju. Malah, MITI sebenarnya telah mengemukakan beberapa cadangan untuk Belanjawan 2023; insentif tertentu untuk memastikan pemain industri tempatan mampu bersaing dalam ekosistem EV,” tambahnya.

    Belanjawan 2023: MITI cadang lebih banyak insentif EV  bagi memastikan pemain tempatan lebih kompetitif

    Ketika pembentangan Belanjawan 2022 tahun lalu, Menteri Kewangan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa kerajaan memberikan pengecualian sepenuhnya daripada duti import dan eksais terhadap EV bagi merangsang penggunaan teknologi tersebut dalam negara.

    Pengecualian berkenaan bermula dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023 untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU), manakala sehingga 31 Disember 2025 untuk EV pemasangan tempatan (CKD). Malah cukai jalan untuk CBU dan CKD EV juga dikecualikan sehingga 31 Disember 2025.

    Susulan daripada pengumuman berkenaan, dapat dilihat pengeluar-pengeluar kenderaan kini sedang rancak melancarkan pelbagai model EV pada pasaran tempatan bagi mengambil manfaat terhadap insentif tersebut. Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang mewakili syarikat kereta di dalam negara baru-baru ini telah memohon agar insentif berkenaan diteruskan sehingga 10 tahun bagi menggalakkan lagi pertumbuhan pasaran EV tempatan.

     
     
  • Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Selepas disahkan sendiri oleh Perodua bulan lalu, syarikat itu kini dengan rasminya melancarkan program langganan Ativa Hybrid di sini. Ia disifatkan sebagai sebuah “kajian kenderaan elektrik” serta “kajian mobiliti dan pasaran servis jangka panjang” melibatkan 300 orang.

    Ada dua perkara yang ingin diperhatikan oleh syarikat itu. Pertama, untuk memahami perilaku pemanduan berkumpulan bagi kenderaan hibrid di lokasi tertentu melibatkan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Kedua, untuk memahami penerimaan pelanggan terhadap servis langganan lima-tahun; seperti yang ditawarkan oleh Perodua untuk pelanggan korporat di bawah cabang EZ MOBi, yang diperkenalkan sejak Januari 2021.

    “Perodua Ativa Hybrid akan menjadi kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan maklumat unik tentang perilaku pengguna di Malaysia melalui sebuah kumpulan tertutup. Data ini kemudiannya akan digunakan untuk menjangkakan keperluan pelanggan kami ketika menggunakan kenderaan elektrik,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin serta Pengerusi Daihatsu Motor Co, Sunao Matsubayashi.

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Zainal berkata, program percumaan ini turut akan membolehkan Perodua untuk menilai tahap penerimaan pelanggan terhadap program langganan jangka panjang sebagai alternatif kepada kaedah jual-beli kenderaan yang biasa.

    “Kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih akan menjadi sumber pendapatan utama kami. Tetapi, ada juga kemungkinan lain yang boleh ditawarkan oleh model perniagaan langganan kenderaan ini yang mungkin akan diterima oleh lebih ramai orang di masa mendatang. Ini apa yang kami maksudkan sebagai ‘langganan’ — sebuah servis yang mana semua urusam melibatkan pemilikan kenderaan — seperti servis perjadual, membayar insurans dan cukai jalan — akan diuruskan semuanya oleh kami. Apa yang perlu dilakukan oleh pelanggan hanyalah membayar langganan untuk menikmati pakej itu,” jelasnya.

    Peserta bagi program ini perlu membayar pendahuluan sebagai komitmen sebanyak RM2,150, diikuti dengan yuran langganan bulanan sebanyak RM500. Jumlah berkenaan sudah termasuk sekali dengan deposit tiga bulan dan yuran langganan untuk bulan pertama (dengan deposit tiga bulan itu akan dipulangkan kepada pelanggan nanti). Penyelenggaraan, insurans dan cukai jalan akan ditanggung oleh Perodua, memandangkan Ativa Hybrid ini didaftarkan di bawah syarikat, bukan di bawah nama pelanggan.

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid dilancarkan — 300 unit Rocky Hybrid CBU, RM500 sebulan/5 tahun

    Ia merupakan komitmen lima-tahun dengan had jarak bagi tempoh berkenaan adalah 100,000 km, dengan purata 20,000 km setahun atau 1,666 km sebulan. Di hujung tempoh berkenaan, jumlah keseluruhan yang akan di bayar kepada Perodua adalah RM30,150. Peserta perlu memulangkan kereta terbabit kepada Perodua selepas lima tahun.

    Ini tawaran yang menarik? Memang, RM500 sebulan itu dikira agak rendah, terutamanya jika mengambil kira kos lain yang dinyatakan itu. Baik atau buruk pendekatan seperti ini sebenarnya bergantung kepada bagaimana anda melihat soal pemilikan kenderaan. Semua 300 unit Ativa Hybrid ini telahpun diperuntukkan kepada peserta, dipilih daripada 600 permohonan yang diterima oleh Perodua.

    Seperti dinyatakan, ini bertujuan untuk kajian dan bukanlah program langganan komersial (misalnya seperti yang ditawarkan oleh Renault di sini). Oleh itu, peserta juga perlu bersetuju untuk kenderaan mereka dipasangkan sistem telematik GPS. Ini bagi membolehkan Perodua mengumpulkan data dan corak penggunaan serta tabiat memandu. Pelanggan juga perlu menghantar laporan kepada Perodua.

    Bagi unit yang digunakan pula, ia merupakan unit CBU Daihatsu Rocky Hybrid, tetapi dengan lencana Perodua di depan, belakang dan di stereng. Lencana ini dipasangkan di Jepun, sebelum semua unitnya dihantar ke Malaysia untuk tujuan ini.

    Dilancarkan di Jepun pada November 2021, Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm yang diganding bersama enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder dengan 82 PS/105 Nm. Enjin berkenaan bertindak sebagai generator, dan kereta ini berfungsi sama seperti unit kenderaan elektrik range extender: sama seperti hibrid e:HEV Honda ketika ini.

    Bagi Rocky, Daihatsu mendakwa ia memberikan bacaan 3.6 liter per 100 km mengikut kitaran WLTP. Manakala Perodua pula memaklumkan Ativa Hybrid ini mampu memberikan bacaan 31.3 km/l mengikut ujian Kitaran Pemanduan Malaysia. Dengan harga RON95 ketika ini, perjalanan dari KL ke Pulau Pinang hanya memerlukan RM23 minyak. Patutkah Ativa Hybrid ini dijual secara meluas di Malaysia?

    Perodua Ativa Hybrid

     
     
  • DBKL lancar surau bergerak – tampung 10 jemaah dalam satu masa, bekalan air wuduk 900 liter

    DBKL lancar surau bergerak – tampung 10 jemaah dalam satu masa, bekalan air wuduk 900 liter

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam telahpun melancarkan sebuah surau bergerak yang membolehkan pengunjung program-program luar yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan tersebut bersolat dengan selesa. Menurut DBKL, surau bergerak berkenaan dihasilkan sendiri oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL menggunakan salah sebuah pejabat bergerak miliknya.

    “Pada satu-satu masa, surau bergerak ini boleh memuatkan 10 jemaah lelaki dan wanita sementara 20 jemaah lelaki lagi bagi ruang solat di bahagian luar lori. Kemudahan ini bakal memberi manfaat kepada pengunjung melibatkan program ad hoc seperti maraton dan sambutan Hari Kebangsaan,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah ketika majlis pelancarannya semalam, lapor Harian Metro.

    Menurutnya lagi surau bergerak ini juga boleh diparkir di kawasan tumpuan orang ramai seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang ditutup kepada kenderaan pada setiap Ahad.

    Seperti pejabat-pejabat bergerak DBKL yang lain, surau bergerak ini diasaskan dari lori seberat 10 tan, dan ia dilengkapi dengan penghawa dingin serta tempat wuduk dengan kapasiti tangki air 900 liter yang mampu menampung keperluan 600 jemaah.

    Dalam majlis yang sama, DBKL turut melancarkan kenderaan baharu untuk kegunaan Skuad Penyelamat DBKL iaitu Rapid Response Vehicle (RRV) yang dilengkapi peralatan kecemasan seperti mesin pemotong besi, gergaji dan pakaian anti lebah.

    RRV ini akan digunakan untuk memberi bantuan kecemasan bencana alam apabila terdapat pokok tumbang atau objek yang menghalang laluan awam selain menangani masalah gangguan binatang liar dan berbisa seperti ular, lebah dan tebuan.

    “DBKL sudah ada persefahaman antara agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sekiranya melibatkan ancaman haiwan berbisa dan tidak melibatkan nyawa, Skuad Penyelamat DBKL akan memberi bantuan segera,” kata Mahadi lagi.

     
     
  • Program teksi EV TeksiKu – MG5 pertama digunakan

    Program teksi EV TeksiKu – MG5 pertama digunakan

    Mysuri Biz Technologies bakal memperkenalkan program teksi yang digelar TeksiKu yang akan menggunakan sejumlah 1,000 unit kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara. Bakal memulakan operasinya pada November ini, syarikat ini memilih MG sebagai model pertama EV yang bakal digunakan di bawah program ini, iaitu dengan MG5 sebagai pilihan berbanding MG ZS.

    Perkara ini didedahkan sendiri oleh CEO Mysuri Biz Technologies Mohd Noor Ghazali, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro. “MG5 bakal menjadi model pertama yang akan diperkenalkan, diikuti dengan BYD e6 dan MG ZS pada fasa seterusnya,” katanya. Sebanyak 700 unit MG5 akan dibawa masuk untuk tujuan tersebut. Sebelum ini, EV berasaskan wagon tersebut turut digunakan oleh SMRT di Singapura.

    Beliau juga mengeluarkan beberapa perincian tambahan mengenai program yang telah dirancangkan sejak tahun 2020. Antaranya, sekitar 100 unit MG5 EV akan digunakan di Langkawi, di mana ia akan digunakan sepanjang berlangsungnya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang bakal berlangsung pada Mei tahun hadapan. Beliau berkata objektifnya adalah untuk mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik dan untuk menarik lebih ramai pengguna EV ke pulau itu.

    Sementara pengecasan sokongan infrastruktur dalam domain awam akan disediakan oleh TNB, Mysuri juga akan melaksanakan rangkaian pengecas untuk pemandu teksi mengecas semula kenderaan mereka. Selain beberapa pusat pengecasan utama, pengecas juga akan dipasang di lokasi utama seperti lapangan terbang.

    Mohd Noor turut berkata, sekitar 80% daripada stesen pengecasan ini akan menggunakan unit AC 22 kWh, selebihnya pula dengan pengecas pantas DC 60 kWh. Selain di Lembah Klang, unit pengecasan yang dikendalikan oleh Mysuri akan dipasang di beberapa bandar utama seperti di Johor Bahru dan Pulau Pinang, dan ia boleh diakses pengguna menerusi aplikasi MyCaj.

    Mengenai pembiayaan pembelian teksi EV, ia akan diuruskan oleh Koperasi Jurupandu Teksiku Bhd. Individu yang berminat pula digalakkan menjadi anggota Koperasi untuk skim Teksiku EV. Ia meliputi kos pendaftaran RM20 serta melanggan syer minimum RM250 dan ke atas.

    Kadar sewa bagi teksi EV ini adalah sekitar RM80 sehari atau RM2,400 sebulan, di mana ia lebih tinggi berbanding teksi biasa (RM37 sehari atau RM1,110 sebulan). Walau bagaimana pun kos pengecasan teksi EV lebih murah iaitu sekitar RM300 sebulan, berbanding penggunaan bahan api yang mencecah RM1,500 sebulan atau RM50 sehari, dan RM300 diperlukan untuk kos penyelenggaran bagi teksi janaan petrol.

     
     
  • SPYSHOT: Yamaha Sirius Fi sedang diuji di Malaysia – HLYM sedang cari calon untuk ganti Lagenda 115Z?

    SPYSHOT: Yamaha Sirius Fi sedang diuji di Malaysia – HLYM sedang cari calon untuk ganti Lagenda 115Z?

    Motosikal serba hitam yang anda lihat dalam gambar ini mungkin boleh jadi model seterusnya yang akan diperkenalkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). Ia kelihatan sama seperti Sirius Fi yang dijual di Vietnam, dan ditemui oleh pembaca kami, Aswad Ali di Lebuh Raya Utara Selatan, keluar dari Sungai Buloh (lokasi kilang HLYM).

    Di Vietnam, Sirius Fi disediakan sebagai antara model paling murah dengan harga bermula 21 juta dong (RM4,069), hinggalah 23.8 juta dong (RM4,611). Versi paling asas menggunakan brek hadapan dan belakang jenis dram serta rim spoked, sementara versi lebih tinggi menggunakan brek cakera di hadapan serta rim aluminium (tiada ABS atau CBS).

    Model yang ditemui di Malaysia ini adalah versi lebih tinggi, dengan dilihat terdapat brek cakera di hadapan dan menggunakan rim aluminium. Berbeza dengan model Vietnam yang mempunyai fender belakang lebih bersih serta lampu penunjuk arah bersepadu dalam satu unit pada lampu belakng, model yang ditemui di Malaysia ini pula menggunakan lampu penunjuk arah di fender dan ini juga seakan memberi petunjuk ia sudah bersedia untuk homologasi di negara kita.

    SPYSHOT: Yamaha Sirius Fi sedang diuji di Malaysia – HLYM sedang cari calon untuk ganti Lagenda 115Z?

    Enjin Sirius Fi sebenarnya sama sahaja seperti Lagenda 115Z yang dijual di negara kita, iaitu unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 113.7 cc berkuasa 8.7 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan.

    Kelengkapan pada Sirius Fi adalah ringkas sahaja, dan ini termasuk lampu jenis halogen serta meter jenis analog (masih ada memaparkan kedudukan gear, laju serta tahap minyak). Walaubagaimanapun, satu keistimewaannya, ia boleh memuatkan sebuah helmet di bawah tempat duduk.

    Jika betul HLYM mahu membawa model ini sebagai pengganti Lagenda 115Z yang sudah terlalu lama di pasaran, adakah anda bersetuju? Tidakkan anda rasa rekaannya terlalu hambar untuk pengguna kita?

    GALERI: Yamaha Sirius Fi 2022 pasaran Vietnam

     
     
  • Triumph akan sertai perlumbaan motocross pada tahun 2024 – guna jentera 250 cc empat strok sendiri

    Triumph akan sertai perlumbaan motocross pada tahun 2024 – guna jentera 250 cc empat strok sendiri

    Triumph telah mengesahkan bahawa pada tahun 2024, mereka akan mula menyertai FIM Motocross World Championship melalui satu program factory, di bawah nama Triumph Racing. Pasukan ini akan mendapat kerjasama dari Thierry Chizat-Suzzoni, iaitu antara pemilik pasukan paling berjaya dalam sukan tersebut.

    Jentera yang akan digunakan adalah jentera serba baru Triumph sendiri, berkapasiti 250 cc, empat strok untuk kelas MX2 yang akan mereka sertai pada tahun 2024, sementara pada tahun 2025, Triumph akan menambah lagi penyertaan, dalam kategori MXGP 450 cc.

    Bersama Thierry, individu yang dipilih untuk menjadi pengurus pasukan adalah Vincent Bereni, dan mereka bukan sahaja perlu berusaha ke arah kejayaan dalam perlumbaan, tetapi juga bertanggung jawab untuk membuat pembangunan teknologi serta tenaga pakar untuk membina kekuatan masa hadapan Triumph dalam perlumbaan motocross antarabangsa.

    Pada masa ini, ujian masih dibuat terhadap motosikal motocross dan enduro Triumph, dan spesifikasi, karekter prestasi serta senarai komponen bagi setiap model akan didedah pada masa yang sesuai nanti.

     
     
  • Marshal ‘jadian’ tahan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat untuk bagi laluan pada konvoi skuter

    Marshal ‘jadian’ tahan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat untuk bagi laluan pada konvoi skuter

    Berkali-kali Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberikan amaran bahawa semua pengiring atau marshal kumpulan konvoi sama ada kereta atau pun motosikal tidak dibenarkan sama sekali mengawal lalu lintas sesuka hati.

    Walau bagaimana pun, amaran PDRM ini sering kali ‘dipandang sepi’ oleh segelintir individu yang ‘dilantik’ sebagai marshal untuk menghalang kenderaan lain semata-mata mahu memberikan laluan kepada kumpulan konvoi yang diiringinya.

    Petang semalam, satu video telah dikongsikan oleh Mohd Akrie menerusi laman Facebook Dashcam Owners Malaysia yang memaparkan aksi seorang marshal menghalang laluan di persimpangan lampu isyarat bagi memberikan laluan kumpulan konvoi skuter.

    Menurut Mohd Akrie, dia terpaksa memberhentikan kenderaannya walau pun ketika itu lampu isyarat sudah bertukar hijau memandangkan marshal terbabit meletakkan skuternya di tengah jalan dan bertindak mengawal trafik serta menghalang kenderaan di laluan bertentangan untuk bergerak.

    Marshal ‘jadian’ tahan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat untuk bagi laluan pada konvoi skuter

    Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di persimpangan menuju ke Hosppital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Serdang. Video yang dikongsikan ini mendapat perhatian para netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan kumpulan konvoi terbabit. Malah ada yang menyarankan agar laporan polis dibuat agar tindakan undang-undang dapat diambil.

    PDRM sebelum ini banyak kali berkata, orang awam atau pengguna jalan raya berhak untuk mengingkari perintah marshal ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

    “Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas trafik tanpa anggota trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata PDRM menerusi kenyataan yang pernah dikeluarkan beberapa tahun yang lalu.

     
     
  • Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

    Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

    FMT melaporkan bahawa seorang pemilik kenderaan, Fahrurrazi Hamid berjaya memenangi tuntutan pampasan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas kereta yang dipandunya mengalami kerosakan akibat jalan berlubang.

    Menurut Fahrurrazi, dia memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman pada September 2020 apabila keretanya melanggar lubang pada jalan, menyebabkan tayar dan rim kiri belakang keretanya rosak. Namun selepas gagal mencari rim dengan reka bentuk yang sama keeseokan harinya, dia terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580.

    Fahrurrazi kemudiannya memfailkan tuntutan terhadap MPKj dan hanya ditawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, iaitu syarikat insurans majlis tempatan berkenaan, sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim. Selepas permintaan untuk jumlah disemak ditolak, dia membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna pula tetapi dimaklumkan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

    Akhirnya Fahrurrazi memfailkan tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi dua tayar dan empat rim tayar dan lain-lain di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung pada 15 Julai tahun ini.

    Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

    Dengan mewakili dirinya di mahkamah, Fahrurrazi menjelaskan mengapa beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim itu dengan kos RM450 bagi setiap rim terpakai. Katanya, dia tidak menemukan rim dengan reka bentuk serupa untuk menggantikan rim yang rosak dan rim terpakai juga lebih murah berbanding membeli empat rim baharu, yang berharga RM687.50 setiap satu, atau RM2,750 bagi kesemuanya.

    MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang Muhidin Mahmud menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti. Beliau mendakwa, pemanduan melulu Fahrurrazi menjadi punca kejadian, seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak.

    Muhidin juga menyatakan bahawa tuntutan penggantian keempat-empat rim adalah kerana pengayaan yang tidak adil kerana hanya satu rim yang rosak.

    Walau bagaimanapun, Majistret Noor Firdaus Rosli memutuskan MPKj bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi. Mahkamah berpihak kepadanya dengan memerintahkan MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980, merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), larasan semula camber (RM180), dan caj tunda (RM200).

    “Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang,” kata Noor Firdaus dan beliau turut menambah bahawa jelas jalan itu tidak diselenggara dengan baik ketika memutuskan bahawa MPKj perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.

    Kereta rosak kerana jalan berlubang; seorang lelaki menang tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang

    “Mengenai sama ada plaintif menyumbang kepada kerosakan itu, dapatan saya adalah negatif. Kejadian berlaku pada waktu malam, dan mana-mana orang munasabah tidak boleh diharapkan untuk menyedari dan mengubah haluan kenderaan mereka untuk mengelak lubang itu,” kata majisret itu lagi.

    Beliau turut menyatakan bahawa hujah yang dikemukakan oleh MPKj yang mendakwa wujud unsur pengayaan yang tidak adil dalam menggantikan keempat-empat rim, majistret berkata, tidak masuk akal jika kereta boleh dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk.

    Malah majistret berkenaan turut memetik Kertas Teknikal Persatuan Jurutera Automotif (SAE) bertajuk “Kesan reka bentuk roda pada seretan aerodinamik kenderaan penumpang” yang diterbitkan tiga tahun lepas yang menyatakan “25% daripada seretan aerodinamik kenderaan disebabkan oleh rodanya, dan mencadangkan sesebuah (kenderaan) untuk dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk hanya akan mengundang akibat (buruk) yang tidak dijangka, selain daripada hakikat bahawa (perkara ini) tidak pernah dibuat, sekurang-kurangnya oleh mana-mana individu yang munasabah.”

    Masalah kerosakan yang disebabkan oleh jalan berlubang ini bukan perkara baharu yang berlaku dalam negara, malah ia turut pernah menyebabkan kemalangan. Jadi selepas ini jika anda mengalami masalah yang sama, mungkin tindakan yang dibuat oleh saudara Fahrurrazi ini boleh dicontohi untuk menuntut hak masing-masing.

     
     
  • Vios Challenge TGR Festival Malaysia musim ke-5 Finale Race 1 – gelaran juara keseluruhan jadi buruan!

    Vios Challenge TGR Festival Malaysia musim ke-5 Finale Race 1 – gelaran juara keseluruhan jadi buruan!

    Perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima akhirnya sudahpun sampai ke pusingan ketiga yang juga terakhir, berlangsung bermula semalam, 24 September sehingga hari ini, 25 Septemeber 2022. Dan dalam perlumbaan Race 1 yang berlangsung lewat petang sehingga malam semalam, aksi tertumpu kepada pelumba-pelumba yang fokus untuk mengumpul sebanyak mata yang boleh bagi dinobat sebagai juara keseluruhan untuk kategori masing masing.

    Seperti pusingan sebelum ini, kehangatan untuk perlumbaan finale ini juga dimeriahkan dengan kehadiran pengunjung yang sudah pun dibolehkan semula, dengan ‘tapak festival’ menampilkan pentas persembahan dan pelbagai gerai permainan serta makanan yang berada di bawah sebelum ini dipindahkan ke atas bumbung Paddock Club Litar Antarabangsa Sepang berkenaan.

    Kategori Super Sporting

    Vios Challenge TGR Festival Malaysia musim ke-5 Finale Race 1 – gelaran juara keseluruhan jadi buruan!

    Kategori yang mengumpulkan pelumba-pelumba profesional tempatan ini sudah tentu tertumpu kepada dua pelumba yang kini berada di senarai paling atas pungutan mata iaitu Haydel Haikal dari pasukan Axle Sports dan Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl TD Racing Team. Hayden berada di tempat pertama dengan 51 mata, dan Mitchell hanya ketinggalan 7 mata di belakang dengan 44 mata.

    Dalam sesi kelayakan, Mitchell berjaya menempatkan diri di grid ketiga, berbanding Hayden yang hanya berjaya mencatatkan masa keempat terpantas. Sementara petak pertama pula milik pelumba lebih senior iaitu Eddie Lew dari pasukan Laser Motor Racing, diikuti rakan sepasukannya Mark Darwin di petak kedua.

    Sejurus dilepaskan, Eddie Lew terus meluru kehadapan bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu perlumbaan. Persaingan untuk merebut kedudukan kedua dan ketiga pula menyaksikan dog fight yang cukup sengit bukan sahaja melibatkan Hayden, Mitchell dan Mark, malah turut disertai oleh dua orang ‘otai’ touring car tanah air iaitu Tengku Djan Ley dari pasukan Pearl TD Racing dan juga Farique Hairuman yang memandu untuk M7 Japan Project Team.

    Kedudukan antara kelima-lima pelumba ini sering berubah sepanjang perlumbaan, dan membabitkan banyak sentuhan dan insiden kecil. Selepas 20 lap perlumbaan berlangsung, perlumbaan ini ditamatkan dengan Eddie Lew kekal di tempat pertama, diikuti Hayden di tempat kedua dan Mark Darwin di tempat ketiga.

    “Saya dapat bermula dengan sangat baik dan saya cuba untuk memandu secara konsisten bagi menjarakkan diri dari pelumba lain secara perlahan-lahan,” kata Eddie Lew.

    “Ini merupakan pengalaman perlumbaan malam pertama saya dalam Vios Challenge dan saya sangat menikmatinya. Ia lebih sejuk dan lebih banyak cengkaman pada litar. Saya benar-benar berseronok,” tambahnya lagi.

    Kategori Sporting

    Vios Challenge TGR Festival Malaysia musim ke-5 Finale Race 1 – gelaran juara keseluruhan jadi buruan!

    Untuk kategori amatur ini, persaingan dilihat sengit antara pemandu-pemandu muda negara. Pelumba yang baru berumur 16-tahun, Abdul Miqail dari pasukan 23 Motors melakukan kejutan ketika sesi kelayakan bagi memulakan perlumbaan di tempat pertama, diikuti pelumba lebih senior iaitu Tom Goh dari pasukan S&D Tama Motorsports di tempat kedua.

    Pendahulu kejuaraan yang juga juara kategori Rookie tahun lalu, Naquib Nor Azlan dari pasukan Axle Sports hanya berjaya mencatatkan masa ketiga terpantas dengan beban 55 kg tambahan yang perlu dibawa kerana memenangi beberapa perlumbaan sebelum ini.

    Namun sebaik sahaja perlumbaan bermula, Abdul Miqail menghadapi masalah dan terus tertinggal dari kelompok utama. Kesempatan tersebut dimanfaat oleh Naquib yang terus meluru ke hadapan untuk menjadi yang pertama masuk ke selekoh pertama, diikuti oleh Tom Goh. Persaingan terus tertumpu antara Naquib dan Tom di mana Tom mula menyerang Naquib pada babak suku ketiga perlumbaan ini.

    Namun Naquib berjaya mengelak sebarang kesilapan dan berjaya sekali lagi menamatkan perlumbaan di tempat pertama, meninggalkan Tom Goh hanya 0.3 saat di tempat kedua. Tempat ketiga pula di menangi oleh pelumba persendirian, Mohd Shafiq Samsudin.

    “Saya tak tahu di mana nak mula. Hadir ke perlumbaan ini saya tahu bahawa ia akan memberikan cabaran yang kuat terutamanya dengan membawa penalti berat 55 kg. Rancangannya adalah hanya untuk mengikut kereta yang lebih laju ketika sesi kelayakan dan kejuaraan yang perlu saya pertaruhkan terhadap kadar agresif saya di litar. Goh dan saya mendapat permulaan yang baik dan kedua-dua kami dapat menjarakkan dari pelumba lain. Kami walau bagaimanapun, bersaing rapat sehingga ke garis penamat,” kata Naquib.

    “Dengan satu lagi perlumbaan berbaki dan sangat hampir untuk bergelar juara keseluruhan, rancangan saya adalah untuk tidak merumitkan keadaan dan menguruskan tahap risiko saya. Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan saya hanya perlu memastikan semuanya diperiksa,” tambahnya lagi.

    Kategori Rookie

    Vios Challenge TGR Festival Malaysia musim ke-5 Finale Race 1 – gelaran juara keseluruhan jadi buruan!

    Bagi kategori Rookie, adik kepada Naquib iaitu Nabil Azlan dilihat mendominasi sepenuhnya kelas berkenaan. Nabil bukan sahaja bermula di grid pertama, malah menamatkan perlumbaan sebagai juara. Dia diikuti oleh Muhammad Hamdany di tempat kedua dan Muiz Musyaffa di tempat ketiga.

    “Saya memperolehi permulaan yang baik dan cuba mendapatkan perlumbaan yang bersih untuk beberapa lap. Kami berhadapan dengan kelompok pelumba Super Sporting dan kemudian ia menjadi sedikit sulit. Muizzuddin mendahului tetapi dia melakukan sedikit kesilapan dan saya mengambil kesempatan. Pada lima lap terakhir saya benar-benar perlu menguruskan tayar bagi boleh menghabiskan perlumbaan,” kata Nabil.

    Kategori Promotional

    Vios Challenge TGR Festival Malaysia musim ke-5 Finale Race 1 – gelaran juara keseluruhan jadi buruan!

    Seperti biasa, kategori ini akan menyaksikan persaingan sengit antara dua orang pelakon lelaki iaitu Zizan Razak dan Shukri Yahaya. Kali ini Shukri berjaya mendapatkan pole position ketika sesi kelayakan, dan Zizan memulakan perlumbaan di tempat kedua.

    Shukri berjaya berlepas dengan baik ketika perlumbaan bermula, dan Zizan mengikut rapat di belakang, dalam masa yang sama kedua-duanya mula meninggalkan pelumba-pelumba lain di belakang. Walau bagaimanapun berlaku insiden besar pada lap ketiga apabila Zizan merempuh Shukri dari belakang menyebabkan kereta Shukri berpusing di selekoh kedua.

    Insiden tersebut telah menyebabkan Shukri tidak boleh meneruskan perlumbaan, tetapi Zizan berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat pertama walaupun dengan bahagian hadapan yang remuk. Kemalangan tersebut juga membolehkan Nabila Razali berada di tempat kedua dan diikuti oleh Nabil Ahmad.

    Namun selepas itu, Zizan dikenakan penalti dan jatuh ke tangga ketiga akibat kesalahannya merempuh Shukri, membolehkan Nabila Razali menang perlumbaan pertamanya untuk musim ini, dan Nabil juga diisytihar sebagai naib juara.

    “Saya tak tahu nak cakap apa…saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada Toyota dan semua jurulatih saya, kawan-kawan dan peminat. Saya agak berbangga dengan diri saya dan ni akan menjadi perlumbaan yang diingati buat saya,” kata Nabila

    Selain dari perlumbaan, Festival TGR ini turut di meriahkan dengan pelbagai acara termasuk sesi meet and greet antara selebriti dan peminat, persembahan pentas dari pelumba-pelumba kategori promotional. Penonton hari pertama perlumbaan ini juga diraikan dengan persembahan 40-minit oleh rapper tempatan iaitu K-Clique.

    Perlumbaan kedua akan bermula hari ini dengan majlis pembukaan akan berlangsung pada pukul 4.30 petang nanti, dan perlumbaan pertama akan bermula pada pukul 6.30 petang. Konsert dari ratu rock negara, Ella pula akan berlangsung malam nanti di atas bumbung selepas habis majlis penyampaian hadiah.

    Jika anda tidak berpeluang untuk hadir ke perlumbaan ini, jangan lupa untuk menonton semua aksi dan persembahan menerusi siaran langsung yang ditayangkan di laman sesawang UMW Toyota Malaysia, serta laman Facebook Toyota Malaysia dan Toyota Gazoo Racing Malaysia.

     
     
  • Danau Toba Rally 2022 – perjuangan Karamjit Singh berakhir di SS2, tapi masih catat masa kompetitif

    Danau Toba Rally 2022 – perjuangan Karamjit Singh berakhir di SS2, tapi masih catat masa kompetitif

    APRC Danau Toba Rally 2022 baru sahaja bermula hari ini, namun malang untuk pelumba negara Karamjit Singh dan juruarahnya Jagdev Singh, perjuangan mereka sudah pun tamat seawal SS2 kerana berhadapan dengan masalah mekanikal yang berlaku pada Proton Gen2 2.0L 4WD yang digunakan.

    “Malangnya kempen kami di Danau Toba Rally telah berakhir, kami terlalu memaksa kereta ini. Tetapi, kami masih gembira dengan catatan masa yang telah dibuat,” kata Karamjit Singh menerusi hantaran di laman facebook beliau.

    Pada SS1, Karamjit Singh berjaya mencatatkan masa keempat terpantas secara keseluruhan, dengan Sean Galael yang memandu Citroen R5 pasukan Jagonya Ayam berada di tempat pertama, diikuti Rifat Sungkar (Mitsubishi Xpander AP4 pasukan Xpander Rally Team) dan Ryan Nirwan (Toyota GR Yaris AP4 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia).

    Masa yang dicatatkan oleh Karamjit berkenaan jelas lebih pantas dari beberapa pemandu lain yang memandu jentera yang jauh lebih moden dengan spesifikasi terkini R5, AP4 dan ProtoCars yang dikelaskan dalam kategori M1. Sedangkan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit bukan sahaja sudah berusia 15 tahun, malah ianya masuk dalam kategori M3 iaitu jentera 4WD 2.0L Turbo yang tidak menerima homologasi FIA.

    Namun setelah ia didesak sepenuhnya oleh Karamjit, Gen2 berkenaan mula mengalami kerosakan pada sistem stereng berkuasa pada SS2. Dan akhirnya kereta tersebut terus terhenti di KM 6.9 di SS Huta Tonga 1 dengan tayar terkunci kerana berlaku masalah pada unit differential belakang.

    Danau Toba Rally 2022 – perjuangan Karamjit Singh berakhir di SS2, tapi masih catat masa kompetitif

    Keputusan SS1 APRC Danau Toba Rally 2022

    Proton Gen2 tersebut sebelum ini telah digunakan oleh Felda Rally Team yang membuat kemunculan pada tahun 2007. Ia menggunakan enjin 2.0L Turbo 4G63T dan juga sistem pacuan semua roda yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution VI. Sedangkan jentera-jentera dengan spesifikasi R5 dan AP4 rata-rata mempunyai enjin dengan kuasa sekitar 350 hp dan tork melebihi 500 Nm, bersama kotak gear dan sistem 4WD serta kerangka yang jauh lebih moden.

    Sebelum ini Karamjit Singh pernah mendedahkan rancangannya untuk kembali semula ke Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) dengan Proton Iriz R5, namun sehingga kini jentera berkenaan masih lagi belum diperolehi. Semoga tahap kompetitif yang ditunjukkan di Danau Toba Rally 2022 ini membuka mata pelbagai pihak bagi membantu Karamjit Singh kembali memberi cabaran di peringkat antarabangsa!

     
     
  • Ford Everest 2022 di Malaysia — tiga varian, dua pilihan enjin turbo dan bi-turbo, harga dari RM264k

    Ford Everest 2022 di Malaysia — tiga varian, dua pilihan enjin turbo dan bi-turbo, harga dari RM264k

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia hari ini memperkenalkan SUV tujuh-tempat duduk Ford Everest generasi baru untuk pasaran tempatan. Everest terbaru ini ditawarkan dalam tiga varian, terdiri daripada Sport (pacuan dua roda), Trend (pacuan empat roda) dan varian spesifikasi paling tinggi, Titanium 4WD.

    Semua varian ini masing-masing dijual pada harga RM263,888, RM281,888 dan RM308,888 atas jalan, tidak termasuk insurans. Ada dua pilihan enjin ditawarkan. Bagi varian paling asas, Everest Sport generasi baru ini menggunakan enjin 2.0L Single Turbo dengan transmisi automatik enam-kelajuan dengan janaan kuasa sebanyak 170 PS @ 3,500 rpm dan tork maksimum 405 Nm @ 1,750-2,000 rpm. Ia turut menawarkan empat pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery.

    Bagi dua varian teratas pula, Trend dan Titanium dikuasakan oleh enjin 2.0L Bi-Turbo yang telah terbukti, dan dipadankan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan yang menjana sebanyak 210 PS @ 3,500 rpm dan tork maksimum 500 Nm @ 1,750-2,000 rpm.

    Ford Everest 2022 di Malaysia — tiga varian, dua pilihan enjin turbo dan bi-turbo, harga dari RM264k

    Kedua-dua varian ini juga dilengkapi dengan sistem 4×4 elektronik separuh masa shift-on-the-fly (ESOF) dengan e-Locking Rear Differential dan enam pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.

    Dari segi penampilan, Everest baru ini nampak sangat tegap; panjangnya dan jejak treknya ditambah 50 mm berbanding yang lama, serta sudut mendekati dan perlepasan yang diperbaiki untuk memberi lebih banyak jarak kelegaan, terutama ketika dalam pemanduan off-road.

    Dari sisi, garis badannya yang ketara, dari depan hingga ke belakang. Jejak trek serta lekuk roda yang lebih besar memperkukuhkan lagi imej tegap sedia ada. Selain itu, sudut cermin dan tiang belakang telah ditingkatkan, serta menambah saiz cermin belakang dan menjadikan kerusi barisan ketiga menerima lebih pencahayaan dari luar.

    Ford Everest 2022 di Malaysia — tiga varian, dua pilihan enjin turbo dan bi-turbo, harga dari RM264k

    Seperti model-model terbaru Ford di peringat global, ia menampilkan ciri DRL LED bentuk C yang bersepadu dengan palang gril hadapan, membawa kesan penggayaan wajah depan yang lebih menarik. Tema sama diteruskan di belakang dengan kehadirannya lampu LED bersepadu berkelebaran penuh.

    Varian Sport dan Trend dilengkapi dengan lampu LED, sementara Titanium menampilkan lampu utama LED Matrix terkini Ford dengan lampu tinggi anti-silau untuk memberikan penglihatan maksimum tanpa menyilaukan mata pengguna jalan raya yang lain.

    Lampu utama Matrix berkenaan juga menawarkan kemampuan belokan dinamik dan statik serta pencahayaan yang bergantung kepada kelajuan, yang boleh juga melaraskan capahan pancaran cahayanya mengikut kelajuan kenderaan. Lampu kabus LED di depan dan belakang serta lampu brek LED adalah standard untuk semua varian.

    Landasan bumbung yang baru pula bukan sekadar tentang perincian rekaan: ia direka untuk berfungsi memberikan sokongan yang pelbagai dan berguna untuk mengangkut basikal, kanu, pod kargo atau khemah bumbung. Sport dan Titanium datang dengan rim aloi bersaiz 20-inci, sementara Trend menggunakan saiz 18-inci.

    Everest generasi baru ini mempunyai kemampuan meredah air sedalam 800 mm dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm. Everest Titanium turut dilengkapi ciri pintu ruang kargo bebas kendalian tangan dan kini turut menampilkan bumbung panoramik panel berkembar.

    Di dalam, ruang yang tersedia juga lebih luas dan selesa. Panel instrumen menggunakan paparan TFT 8-inci dan untuk sistem infotainmen Ford SYNC® 4A, ia menggunakan head unit dengan paparan skrin sentuh 10-inci menegak dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto (unit 12-inci untuk Titanium).

    Ford Everest 2022 di Malaysia — tiga varian, dua pilihan enjin turbo dan bi-turbo, harga dari RM264k

    Kemudahan lain yang ada termasuklah tiga soket 12V, kerusi balutan kulit hitam premium kini dengan larasan lapan arah untuk pemandu dan penumpang depan serta kemasan dalaman ebony. Sebagai tambahan, Titanium mempunyai outlet kuasa 230V AC yang boleh menyalurkan 400W (naik daripada 150W). Slot USB juga ada empat semuanya, di depan dan juga di belakang, termasuk dua USB Type-C.

    Aspek keselamatan Everest generasi baru ini juga sangat mengkagumkan dan hadir dengan tujuh beg udara sebagai standard. Bagi varian Titanium, ia menerima tambahan ciri seperti amaran penukaran lorong (LDW), sistem pemantau titik buta (BLIS), bantuan lampu tinggi, amaran lintasan trafik di belakang, brek kecemasan autonomous (AEB), Active Park Assist 2.0, amaran perlanggaran depan, bantuan brek undur dan sistem pemantau tekanan tayar. Ciri kawalan melayar adaptif (ACC) juga lengkap dengan ciri Stop-and-Go dan Lane Centering.

    Lain-lain ciri keselamatan standard yang melengkapi semua varian termasuklah ABS, EBD, ESC, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan menuruni bukit dan kawalan mula mendaki. Everest generasi baru ini datang dengan jaminan tiga-tahun atau 100,000 km yang mana dahulu, serta lanjutan jaminan dua tahun atau 60,000 km (yang mana dulu).

    Ford Everest Titanium 2022

    Ford Everest Trend 2022

    Ford Everest Sport 2022

     
     
  • Hyundai Creta facelift 2022 dijumpai di Malaysia – SUV segmen-B 1.5L NA, mungkin akan dilancar di sini?

    Hyundai Creta <em>facelift</em> 2022 dijumpai di Malaysia – SUV segmen-B 1.5L NA, mungkin akan dilancar di sini?

    Sehingga kini tiada sebarang desas-desus dari pengedar Hyundai di Malaysia iaitu Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) berkenaan untuk membawa SUV segmen-B, Hyundai Creta facelift 2022 yang telah dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu ke pasaran tempatan. Namun pembaca paultan.org, JJ Chang telah ternampak SUV tersebut di Malaysia dan berkongsi gambar unit berkenaan di media sosial.

    Tidak dinyatakan di mana ia dijumpai, namun menerusi latar belakang imej berkenaan, ia mungkin di Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Creta facelift tersebut tidak menggunakan nombor plat perdagangan, tetapi mengenakan nombor plat Malaysia sebenar. Logo Hyundai tidak disembunyikan pada bahagian hadapan, sebaliknnya di belakang, logo ‘H senget’ dan juga perkataan ‘CRETA’ pada pintu hatch disorok dengan pita pelekat.

    Kami turut terus bertanyakan pihak HSDM berkenaan unit yang dijumpai ini, tetapi syarikat berkenaan enggan memberikan sebarang komen. Namun melihat unit yang telah pun menerima nombor pendaftaran dan sudah tentu telah menerima kelulusan VTA dari JPJ, HSDM tentu ada sesuatu yang dirancang untuk SUV ini di Malaysia.

    Sekiranya Creta di bawa ke pasaran tempatan, ia akan berada di bawah satu tangga berbanding satu lagi SUV segmen-B Hyundai iaitu Kona. Creta kini dipasang di Indonesia, dan dengan jumlah jualan yang tidak tinggi, mungkin ia akan diimport dari sana mengambil manfaat dari Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN bagi mendapatkan potongan cukai.

    Hyundai Creta <em>facelift</em> 2022 dijumpai di Malaysia – SUV segmen-B 1.5L NA, mungkin akan dilancar di sini?

    Walau bagaimanapun, ianya sudah tentu tidak boleh dijual dengan harga serendah Perodua Ativa, dan dalam masa yang sama kelengkapan yang dibekalkan adalah lebih rendah dari SUV segmen-B Perodua berkenaan. Buat masa sekarang, Creta yang dipasang di Indonesia tersebut sudah pun diimport ke Thailand, dan dijual pada harga 949,000 baht (RM115,749) sehingga 999,000 baht (RM121,848).

    Walaupun saiznya kelihatan hampir sama seperti Ativa, Creta sebenarnya lebih besar. Creta diasaskan dari platform yang sama dengan Kia Seltos. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,315 mm panjang dan 1,790 mm lebar, atau 250 mm lebih panjang dan 80 mm lebih lebar berbanding Perodua Ativa. Jarak roda Creta juga lebih panjang dengan ukuran 2,610 mm, atau 85 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-B Perodua berkenaan.

    Creta sememanngnya dihasilkan untuk pasaran seperti India dan Asia Tenggara, tidak seperti Kona yang memang disasarkan untuk pasaran Eropah. Namun Creta masih menerima muka dengan rekaan gril Parametric Jewel seperti Tucson, menampilkan lampu nyalaan siang LED yang kelihatan seperti sebahagian dari gril. Lampu utamanya pula berada pada bampar, dan turut diberikan teknologi LED.

    SUV ini tidak diberikan bumbung berwarna hitam, tetapi kemasan berwarna perak yang diberikan bermula pada bahagian atas tingkap pintu hadapan sehingga tiang-C di belakang tetap memberikan imej seakan “bumbung terapung”. Manakala pada kabin, papan pemuka Creta ini turut menerima ‘perisa’ yang sama seperti Tucson dengan rekaan ala-air terjun pada papan pemuka.

    Di Thailand, Creta menerima kelengkapan seperti skrin infotainmen 8.0-inci, paparan instrumen 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, pendingin hawa automatik dengan penghembus kabin belakang. Manakala dua varian paling tinggi diberikan lampu dalaman dan lampu suasana LED dan juga bumbung panaromik.

    Ia juga menerima sistem keselamatan yang agak baik termasuk enam-beg udara serta pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense dengan fungsi termasuk amaran buka pintu.

    Creta dijana enjin 1.5 liter tanpa bantuan turbo yang menghasilkan 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), iaitu transmisi CVT Hyundai yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat metalik. Di India dan Indonesia, Creta turut ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Tiada pilihan sistem AWD pada SUV ini, semuanya adalah pacuan roda hadapan.

    Nak bersaing dengan Perodua Ativa atau Proton X50 memang dilihat mustahil. Mungkin ada yang melihat Creta ini sebagai alternatif untuk Honda HR-V varian paling rendah dengan enjin 1.5L NA yang dijual pada harga RM114,800?

    GALERI: Hyundai Creta facelift pasaran Indonesia

     
     
  • Mitsubishi ASX generasi semasa akan diteruskan di Australia dengan kemaskini untuk model tahun 2023

    Mitsubishi ASX generasi semasa akan diteruskan di Australia dengan kemaskini untuk model  tahun 2023

    Walau pun Mitsubishi mengambil keputusan untuk memasarkan ASX 2023 di Eropah di mana crossover tersebut merupakan model rebadge dari Renault Captur, dibangunkan dari platform CMF-B, namun jenama ini masih mahu mengekalkan generasi semasanya untuk pasaran Australia, menurut Car Expert.

    Di mana Mitsubishi Australia merancang untuk memperkenalkan ASX dengan kemaskini bagi model 2023, berdasarkan apa yang penerbitan berkenaan siarkan, dan info rasmi untuk ASX pasaran negara berkenaan akan dikeluarkan tidak lama lagi. Model semasa ASX merupakan facelift ketiga sejak pertama kali ia diperkenalkan pada tahun 2009, sebelum Mitsubishi mengesahkan rancangan untuk menjenamakan semula dua modelnya di pasaran Eropah.

    Walau pun usianya sudah agak lama, model semasa ASX masih terus berada dalam kedudukan yang kukuh dalam pasaran Australia, di mana crossover tersebut kini memegang 10% bahagian pasaran pada setakat ini mengikut data jualan VFACTS Australia untuk bulan Ogos, menurut Car Expert.

    Mitsubishi ASX generasi semasa akan diteruskan di Australia dengan kemaskini untuk model  tahun 2023

    Mitsubishi ASX 2023 untuk Eropah adalah model rebadge Renault Captur, berkongsi senibina CMF-B

    Di Australia, ASX menduduki kedudukan ke-empat dalam jualan untuk kategorinya pada Ogos 2022, dengan sebanyak 7,797 unit terjual, selepas MG ZS dengan 13,072 unit, Mazda CX-30 dengan 11,036 unit dan Hyundai Kona dengan 8,335 unit.

    Manakala untuk ASX 2023 untuk Eropah yang diperkenalkan baru-baru ini, ia dijadualkan akan dijual untuk pasaran Eropah terpilih bermula Mac 2023 dengan empat pilihan penjana kuas; dua 1.6 liter hibrid termasuk PHEV, 1.3 liter pengecas turbo mild-hybrid dan 1.0 liter tiga-silinder turbo petrol sebagai model asas.

    GALERI: Mitsubishi ASX 2022

    GALERI: Mitsubishi ASX 2023 untuk Eropah, platform CMF-B

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan didedah – 224 PS/550 Nm dari enjin 2.8L turbodiesel!

    Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan didedah – 224 PS/550 Nm dari enjin 2.8L turbodiesel!

    Toyota Hilux GR Sport telah diperkenalkan di beberapa pasaran seperti Eropah, Jepun dan juga Thailand, dengan masing-masing tampil dengan rupa tersendiri dan tidak sama antara satu sama lain. Namun apa yang pasti, kesemua versi Toyota Hilux GR Sport berkenaan rata-rata hanya diberikan kit penggayaan yang lebih sporty dan sedikit talaan semula dibuat pada suspensi, tanpa sebarang penambahan kuasa.

    Buat masa sekarang, Toyota bukan hanya mendominasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), malah turut bergelar juara Rali Dakar tahun ini dengan jentera Toyota GR DKR Hilux T1+. Untuk pengetahuan anda, bagi Rally Dakar, Toyota diwakili oleh pasukan Toyota Gazoo Racing South Africa, yang turut bertanggungjawab membangunkan trak lumba berkenaan. Jadi di Afrika Selatan, mereka kini menerima Hilux GR Sport yang benar-benar lebih berkuasa dari versi standard!

    Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan ini masih dijana oleh enjin turbodiesel 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder yang sama seperti Hilux pasaran lain termasuk Malaysia. Namun ia telah menerima talaan semula pada kotak komputer enjin bagi mengerah 224 PS dan tork maksima 550 Nm, berbanding kuasa asal pada kadar 204 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, tetapi ia turut menerima talaan semula pada pemetaan dan kawalan lock-up bagi mengoptimakan penghantaran kuasa ke roda. Menurut Toyota Afrika Selatan, talaan semula yang dibuat pada unit rangkaian kuasa ini membolehkan Hilux GR Sport berkenaan mencatatkan masa pecutan 0-100 km/j 0.65 saat lebih pantas (catatan model biasa tidak disertakan) dan kelajuan maksima ditetapkan pada 175 km/j.

    Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan didedah – 224 PS/550 Nm dari enjin 2.8L turbodiesel!

    Sistem pacuan empat roda 4×4 seperti Hilux biasa masih ditawarkan pada versi GR Sport ini, dan gandar belakang juga masih disertakan dengan unit LSD automatik.

    Hilux GR Sport Afrika Selatan ini turut menerima talaan semula terhadap suspensi bagi memberikan pengendalian lebih baik. Untuk itu, ia diberikan penyerap hentak baharu dan dipadankan bersama spring gegelung yang lebih keras. Menurut Toyota, tetapan ini memberikan kestabilan ketika kelajuan tinggi dan respon pengendalian yang dipertingkat.

    Untuk set roda, Hilux GR Sport ini menerima rim rekaan khas dengan berdiameter 17-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 265/65R17. Ia berbeza dengan Hilux varian enjin 2.8L lain yang diberikan rim 18-inci dengan tayar 265/60R18. Menurut Toyota, rim dengan diameter lebih kecil tersebut membolehkan ia diberikan tayar dengan profil lebih tebal, menyumbang kepada prestasi off-road yang lebih baik.

    Pada bahagian luaran, Hilux GR Sport Afrika Selatan ini menerima muka dengan rekaan yang sama seperti Hilux GR Sport pasaran Eropah. Ia menampilkan lampu hadapan LED, gril berbentuk heksagon dengan diberikan pembahagi tengah kemasan seakan gentian karbon bersama skrip klasik Toyota dan juga logo GR, bersama liang udara sisi melintang yang juga menjadi perumah lampu kabus LED.

    Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan didedah – 224 PS/550 Nm dari enjin 2.8L turbodiesel!

    Ia juga menerima overfender yang lebih lebar dari model biasa, sports bar GR berwarna hitam, bersama kemasan-kemasan hitam pada penutup cermin sisi, pembuka pintu dan pemijak sisi. Untuk mendapatkan rupa lebih agresif, pembeli juga ditawarkan dengan pelekat badan GR yang dilekat pada pintu.

    Empat warna badan disediakan untuk Toyota Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan ini iaitu Arizona Red, Graphite Grey, Attitude Black dan Glacier White.

    Bahagian kabin trak pikap berprestasi ini turut menerima sentuhan GR yang lebih sporty. Papan pemukanya diberikan perapi dengan serlahan merah dan gentian karbon. Manakala pemandu menerima roda stereng balutan kulit dengan serlahan jahitan merah bersama logo GR, paparan instrumen dengan jarum merah dan grafik pemula GR pada skrin pelbagai info TFT berwarna, butang penghidup enjin GR dan juga set pedal aluminium.

    Selain itu, Hilux istimewa ini juga menerima tempat duduk sport hadapan dengan upholsteri gabungan kulit dan alcantara, serlahan benang merah serta sulaman logo GR pada perehat kepala. Ia turut diberikan perapi-perapi kemasan gentian karbon pada panel pintu, serta serlahan-serlahan benang merah pada bahagian lain termasuk pada tuil brek tangan.

    Toyota turut menyatakan bahawa model GR Sport ini menerima perincian-perincian yang sama seperti model varian Legend Afrika Selatan termasuk skrin infotainmen Display Audio dengan hubungan Android Auto dan Apple Carplay serta pemantau panaromik, enam pembesar suara, sistem pendingin hawa dua-zon dan pelbagai lagi, kecuali cermin pandang belakang auto-malap dan sistem audio JBL.

    Untuk keselamatan, trak pikap ini dibekalkan dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) dengan fungsi seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Alert (LDA) dan Pre-Collision System (PCS). Sistem-sistem keselamatan asas juga masih diberikan termasuk sistem brek ABS bersama EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki, enam-beg udara dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.

    Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan ini dijual pada harga Rand 865,400 (RM227k). Ia diberikan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, serta pakej servis sebanyak sembilan kali/90,000 km.

     
     
  • Honda CR-V 2023 generasi keenam mula dipasang di Kanada, produksi di Amerika Syarikat pula menyusul

    Honda CR-V 2023 generasi keenam mula dipasang di Kanada, produksi di Amerika Syarikat pula menyusul

    Honda Canada Manufacturing (HCM) kini telah memulakan produksi massa bagi model Honda CR-V 2023 generasi keenam yang mula ditunjuk pada Julai lalu. HCM telah memasang CR-V sejak 2012, dan Line 2 di kilang itu merupakan kilang utama peringkat global bagi pengeluaran CR-V semasa.

    Dalam masa terdekat, pengeluaran CR-V turut akan dijalan kan di dua kilang lain di Amerika Syarikat — Kilang Indiana Auto (IAP) dan Kilang Liberty Auto (ELP) di Ohio. Bulan depan, pengeluaran CR-V hibrid akan dimulakan di Kanada, diikuti IAP dan ELP. Honda akan mempertingkatkan jumlah pengeluaran model hibrid kepada 50% jualan CR-V, sebuah langkah penting dalam strategi elektrifikasi syarikat itu.

    “Menjadi kilang pengeluaran utama global bagi Honda CR-V 2023 merupakan cabaran besar, dan saya amat berbangga dengan pasukan kami yang sangat berpengalaman di HCM dan tahap usaha berpasukan yang ditunjukkan di Amerika Utara untuk menghasilkan produk baru ini buat pelanggan. Seterusnya akan ada CR-V Hybrid, yang menjadi lebih penting kini di dalam barisan CR-V sedia ada dan kami sangat teruja untuk membawakannya kepada pelanggan di Kanada buat pertama kali,” ujar Naib Presiden Kanan HCM, Clement D’Souza.

    Honda CR-V 2023 generasi keenam mula dipasang di Kanada, produksi di Amerika Syarikat pula menyusul

    Di Amerika Utara, CR-V 2023 akan ditawarkan dalam dua tingkat kemasan dengan enjin turbo cas (EX dan EX-L), sementara Sport dan Sport Touring hanya untuk hibrid. Unit 1.5T itu menghasilkan 192 PSS dan 243 Nm tork dengan padanan CVT. Tetapan bagi model hibrid pula sama dengan Civic e:HEV yang menggabungkan enjin 2.0L kitaran Atkinson, e-CVT dan dua motor elektrik dengan output keseluruhan sistem 207 PS.

    Rekaan papan pemuka CR-V baru ini juga mirip yang ada pada Civic, sementara luarannya juga lebih lebar dan panjang berbanding model semasa — tampil lebih tegap dengan garis badan yang lebih rendah. Honda mendakwa model baru ini lebih menyeronokkan dipandu, lebih yakin dengan dinamik diperhalus, serta kemampuan dan tork yang ditambah.

    Awal bulan ini, CR-V generasi terbaru itu dilihat sedang diuji di Thailand. CR-V merupakan model yang tidak perlu diperkenalkan lagi di sini dan juga pasaran ASEAN, jadi Malaysia juga sudah tentu akan menerimanya kelak. Bila agaknya tu?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025