Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Volvo V60 T8 Recharge – RM305,888, CKD, 407 hp/640 Nm; wagon terakhir Volvo berkuasa petrol

    PANDU UJI: Volvo V60 T8 Recharge – RM305,888, CKD, 407 hp/640 Nm; wagon terakhir Volvo berkuasa petrol

    Bila kita berborak pasal Volvo, perkara pertama yang biasa disebut sudah tentu berkenaan keselamatan. Tetapi selalunya tidak boleh tidak ‘perborakkan’ tersebut pastinya akan beralih kearah menyebut model-model wagon ikonik yang cool dihasilkan oleh Volvo bukan? Seperti perabot-perabot Ikea, jenama automotif dari Sweden ini amat mahir menghasilkan model yang bukan sahaja praktikal, malah menampilkan bentuk yang sangat cantik.

    Satu lagi faktor yang membuatkan model-model Volvo wagon ini begitu mengujakan, ia turut hadir dengan prestasi yang mengejutkan – rupa sahaja macam ‘ayah-ayah’, tapi kadang kala lebih laju dari kereta sport! Lihat sahaja bagaimana Volvo memasarkan model wagon 745 Turbo pada era 80’an dengan membayangkan ia adalah seperti Lamborghini atau Porsche cuma dengan lebih ruang kargo.

    Malah pada era 90’an, Volvo pernah membuat perkara tidak masuk akal di mana syarikat tersebut menggunakan model wagon 855 sebagai asas kereta lumba British Touring Car Championship (BTCC), bagi berlumba dengan kereta-kereta lumba sedan yang lain.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Sedan segmen B Perodua dibayangkan dengan ciri rekaan dari Toyota Vios terbaru, platform DNGA

    Sedan segmen B Perodua dibayangkan dengan ciri rekaan dari Toyota Vios terbaru, platform DNGA

    Toyota Vios generasi keempat yang baru didedahkan di Thailand (dipanggil sebagai Yaris Ativ) awal bulan lalu menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sama seperti Perodua Ativa dan Alza dalam pasaran kita. Katakanlah kalau Perodua bercadang untuk membuat satu sedan segmen B dengan menggunakan asas daripada Vios terbaru ini, agak-agak bagaimana rupanya?

    Jika sukar untuk anda bayangkan, ini dia ada lukisan digital yang dihasilkan oleh Theophilus Chin, yang menunjukkan sebuah sedan Perodua dengan konsep rekaan dari Vios. Seperti yang boleh anda lihat, beliau bukan setakat menukar logo sahaja, tetapi juga bahagian-bahagian lain supaya lebih bersesuaian dengan model lain dalam barisan produk Perodua.

    Antara yang dimaksudkan adalah seperti gril lebih besar dengan bahagian dalam seperti Alza, lampu hadapan lebih nipis, kemasan warna perak di sepanjang garisan bonet yang bersambung dengan lampu serta bukaan udara di bucu bampar yang lebih kecil.

    Sedan segmen B Perodua dibayangkan dengan ciri rekaan dari Toyota Vios terbaru, platform DNGA

    Di bahagian belakang, lampu serta penutup but nampak masih dikekalkan dari Vios, tetapi bampar direka semula untuk mempunyai lekuk yang lebih ke dalam dan bukaan udara hiasan di bucu dijadikan lebih menegak dan nipis. Bahagian bawah bampar pula tidak lagi mempunyai kemasan seperti diffuser.

    Apa pendapat anda dengan rekaan sedan Perodua kedua yang dihasilkan oleh Theo ini, dan boleh diletakkan di atas Bezza kerana saiznya yang lebih besar? Adakah ia nampak lebih menarik berbanding Vios baru itu?

     
     
  • Sistem Pengangkutan Bandar Kuching bakal punya Rapid Transit Automatik; guna FCEV pertama di dunia

    Sistem Pengangkutan Bandar Kuching bakal punya Rapid Transit Automatik; guna FCEV pertama di dunia

    Sarawak Metro telah mendedahkan bahawa sistem Rapid Transit Automatik (ART), yang berada di tengah-tengah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), bakal meliputi laluan sejauh 70 km dengan merangkumi tiga landasan dan 31 stesen untuk fasa pertama.

    Menurut Sarawak Metro lagi, sistem transit yang bakal mula dibangunkan pada tahun 2025 ini, menggunakan kenderaan trackless janaan sel bahan hidrogen (FCEV) yang pertama di dunia, yang beroperasi di laluan khas, dan boleh membawa 300 penumpang dalam satu masa dan bergerak dalam kelajuan 70 km/j.

    Fara 1 KUTS ini akan melibatkan pembinaan dan operasi dua laluan – Laluan Samarahan (Laluan 1) dan Laluan Serian (Laluan 2). Laluan Samarahan bermula di Kota Samarahan dan menuju bahagian barat laut meliputi jarak 28.5 km, dengan perhentian akhir di stesen SM14 berhampiran Hikmah Exchange.

    Sistem Pengangkutan Bandar Kuching bakal punya Rapid Transit Automatik; guna FCEV pertama di dunia

    Peta Transit KUTS, Fasa 1 – klik untuk besarkan

    Manakala Laluan Serian pula bermula di Batu 12 dan menghala ke bahagian utara sejauh 24.5 km dan perhentian akhir di Isthmus berhampiran Pusat Konvensyen Borneo. Kedua-dua laluan 1 dan 2 akan melalui stesen pertukaran di Simpang Tiga di mana ia dicadangkan dibina bersebelahan tempat letak kereta awam Wisma Persekutuan, laporan The Star pada Jun lalu.

    Sistem Rapid Transit Automatik ini akan berfungsi sebagai nadi pengangkutan jalan raya awam di ibu negeri serta kawasan Kuching, ujar Sarawak Metro seperti yang dicatatkan menerusi laman web rasminya.

    Anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak, Sarawak Metro telah ditugaskan oleh kerajaan negeri Sarawak untuk mengubah sistem pengangkutan jalan awam negeri di kawasan bandar utama.

     
     
  • Harga Proton X50 naik lebih RM10k dengan SST – RM87k-RM113k; Iriz & Persona naik sehingga RM2.5k

    Harga Proton X50 naik lebih RM10k dengan SST – RM87k-RM113k; Iriz & Persona naik sehingga RM2.5k

    Yang mahu menempah Proton X50, Persona dan Iriz bermula 1 Julai tempoh hari, tentu ada masalah dengan harga yang belum ditentukan untuk model-model tersebut bukan? Ini kerana ketika itu Proton masih menunggu kelulusan harga baharu dari kerajaan untuk tiga model ini selepas insentif pengecualian cukai jualan (SST) berakhir pada 30 Jun 2022.

    Dan sekarang, harga atas jalan lengkap dengan SST untuk X50, Iriz dan Persona sudahpun dimuktamadkan, dan sudah tentu ia lebih tinggi dari sebelum ini. Bagi model asas Proton X50 Standard, ia kini dijual pada harga RM86,300 dengan SST, naik RM7,100 atau 8.96% berbanding harga tanpa SST RM79,200 sebelum ini. Manakala untuk X50 Executive, ia kini naik RM8,500 atau 10.02%, dijual pada harga RM93,300 berbanding RM84,800 sebelum ini.

    Harga Proton X50 naik lebih RM10k dengan SST – RM87k-RM113k; Iriz & Persona naik sehingga RM2.5k

    Harga jualan Proton X50 Premium pula kini sudahpun melepasi RM100k, iaitu RM101,800, naik RM8,600 atau 9.23% berbanding harga ketika ia dilancarkan iaitu RM93,200. Manakala varian tertinggi Proton X50 Flagship pula kini dijual pada harga RM113,300, naik RM10k atau 9.68% dari harga asal RM103,300.

    Beralih kepada Proton Persona, varian asas sedan segmen-B ini iaitu Persona Standard kini dijual pada harga RM47,800, naik RM2,000 atau 4.37% berbanding sebelum ini. Manakala varian pertengahan Persona Executive serta varian tertinggi Persona Premium kedua-duanya naik RM2,500, dijual pada harga masing-masing RM53,300 dan RM58,300.

    Harga Proton X50 naik lebih RM10k dengan SST – RM87k-RM113k; Iriz & Persona naik sehingga RM2.5k

    Bagi kembar hatchback Persona iaitu Iriz pula, varian asas Iriz Standard kini dijual pada harga RM42,800, naik RM2,000 atau 4.9% berbanding harga sebelum ini. Model varian pertengahan Iriz Executive nampaknya kini sudah melepasi RM50k, djual pada harga RM50,300, naik RM2,500. Model varian tertinggi Iriz dengan rupa seakan SUV iaitu Iriz Active juga naik RM2,500, kini berharga RM57,300.

    Proton X50, serta model kemaskini Persona facelift 2021 dan Iriz facelift 2021, kesemuanya dilancarkan ketika tempoh kerajaan menawarkan pengecualian SST. Jadi kenaikan harga kali ini adalah semata-mata kerana implementasi semula cukai jualan berkenaan yang dikenakan oleh kerajaan, iaitu satu faktor yang tidak boleh dikawal oleh Proton sendiri.

     
     
  • Subaru BRZ – 10 unit pertama habis dijual di Indonesia dalam sejam selepas diperkenalkan di GIIAS 2022

    Subaru BRZ – 10 unit pertama habis dijual di Indonesia dalam sejam selepas diperkenalkan di GIIAS 2022

    Subaru Indonesia telah berjaya menjual 10 unit pertama Subaru BRZ serba baharu dalam tempoh sejam selepas ia diperkenalkan dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung.

    Para pembeli yang bertuah itu bukan setakat menjadi yang pertama di negara berkenaan memiliki jentera prestasi tersebut, bahkan turut menerima pakej GIIAS Motorsport. Kit tersebut merangkumi helmet OMP Circuit ‘Subaru Edition’, sarung tangan OMG First-S, kasut lumba OMP First dan latihan pemanduan di akademi drift secara percuma.

    “Kami sangat gembira dengan maklum balas positif untuk Subaru BRZ, seperti yang dibuktikan menerusi 10 unit pertama yang habis dijual dalam masa sejam selepas ia dilancarkan,” kata Arie Christopher, Ketua Pegawai Eksekutif Subaru Indonesia.

    Varian manual bagi BRZ serba baharu ini dijual pada harga bermula Rp825 juta (RM249k), sementara varian automatik pula dari Rp850 juta (RM257k). Kedua-duanya dengan transmisi enam-kelajuan turut dilengkapi enjin FA24 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan kuasa 237 PS dan tork 250 Nm.

    Subaru BRZ – 10 unit pertama habis dijual di Indonesia dalam sejam selepas diperkenalkan di GIIAS 2022

    Dengan transmisi automatik, ia dapat dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat dengan kelajuan maksimum cecah 216 km/j, manakala manual pula lebih pantas pada 6.3 saat, dan kelajuan maksimum juga lebih tinggi hingga 226 km/j.

    Di Malaysia, BRZ baharu ini belum dilancarkan secara rasmi, tetapi tempahannya telah dibuka sejak Mac lalu. Harga yang ditawarkan bermula RM229,245 dan RM239,245 (tidak termasuk SST) masing-masing untuk varian manual dan automatik. Difahamkan harganya kini dari RM249k untuk manual dan versi automatik pula RM10k lebih mahal iaitu sekitar RM259k.

    Kelengkapan standard yang diberikan termasuklah roda 18-inci, lampu utama automatik, paparan infotainmen skrin sesentuh lapan-inci, Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital tujuh-inci dan campuran kulit dan Ultrasuede upholstery.

    Eksklusif untuk varian automatik turut diberikan pedal penukar gear dan sistem EyeSight. Sistem bantuan pemandu pula merangkumi front vehicle departure alert, autonomous emergency braking, active cruise control, dan false start suppresion control. Setiap pembelian Subaru BRZ serba baharu di Malaysia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km.

     
     
  • Kerajaan cadang kemuka pindaan Akta Pengangkutan Jalan pada Oktober ini bagi tangani isu lumba haram

    Kerajaan cadang kemuka pindaan Akta Pengangkutan Jalan pada Oktober ini bagi tangani isu lumba haram

    Bagi membanteras isu lumba haram dan aktiviti mat rempit, Kerajaan bercadang mengemukakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pada sesi Dewan Rakyat pada Oktober ini.

    Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, yang berkata antara cadangan pindaan adalah tindakan terhadap orang ramai yang menjadi penonton lumba haram dan hukuman terhadap bengkel yang mengubah suai motosikal bagi kegunaan kegiatan itu.

    “Ada perbincangan pada 8 Ogos lepas dan beberapa cadangan dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Kementerian Pengangkutan tentang mengubal undang-undang ini supaya lebih ketat dan ditambah aspek yang perlu diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

    Kerajaan cadang kemuka pindaan Akta Pengangkutan Jalan pada Oktober ini bagi tangani isu lumba haram

    “Hukuman denda atau penjara yang ada pada masa sekarang juga perlu ditingkatkan. Bagaimanapun ini masih dalam perbincangan dan berkemungkinan akan dikemukakan dalam Dewan Rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator N Balasubramaniam mengenai pindaan undang-undang untuk membanteras isu lumba haram serta jumlah operasi melibatkan lumba haram.

    Mengulas lanjut, Jonathan berkata berdasarkan statistik Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), seramai 1,451 pesalah telah ditangkap dari Januari 2022 hingga Jun lalu. Selain itu, sebanyak 1,258 saman juga dikeluarkan dan 2,200 kenderaan disita untuk siasatan, laporan Bernama.

     
     
  • Proton Exora 2022 akan didedahkan 19 Ogos ini – pendaftaran minat dibuka, mungkin guna OCH baru?

    Proton Exora 2022 akan didedahkan 19 Ogos ini – pendaftaran minat dibuka, mungkin guna OCH baru?

    Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba hari ini Proton mengumumkan bahawa ia akan mendedahkan versi kemaskini untuk MPV segmen-C, Proton Exora pada 19 Ogos nanti. Pengumuman tersebut turut disertakan dengan laman mikro PADA PAUTAN INI untuk pelanggan mendaftarkan minat (ROI) sekiranya berminat dengan model yang bakal diperkenalkan berkenaan.

    Tiada sebarang perincian diumumkan kali ini. Teaser yang didedahkan bersama pengumuman hari ini menunjukkan garis bayang badan sebuah MPV yang terhasil dari dahan dan ranting dua batang pokok, bersama imej sekumpulan kuda yang sedang berlari dengan kapsyen “prestasi untuk bebas berlari”, dan “berseronoklah dengan prestasi enjin dengan pengecas turbo Proton Exora menjadikan perjalanan harian anda lebih lancar.”

    Dalam satu lagi imej teaser, bayangan garis badan Exora masih lagi jelas kelihatan sama dengan model sedia ada, diberikan kapsyen “untuk semua yang anda lakukan”.

    Proton Exora sedia ada telah berada dalam pasaran sejak April 2009, atau sudah lebih dari 13-tahun dijual di bilik pameran Proton. Ia mula menerima enjin turbo berkenaan pada versi facelift yang diperkenalkan pada tahun 2011, tetapi rupa MPV tersebut tidak banyak berubah sehingga model yang dijual buat masa sekarang.

    Proton Exora 2022 akan didedahkan 19 Ogos ini – pendaftaran minat dibuka, mungkin guna OCH baru?

    Kali terakhir Exora dikemaskini adalah pada 2019 (dikenali sebagai Exora RC), di mana MPV tersebut menerima talaan kotak gear CVT yang lebih responsif, upholsteri dalaman dengan material yang lebih baik, paparan instrumen lebih moden seperti Persona dan Iriz, sistem infotainmen dengan fungsi arahan suara “Hi, Proton”, serta beberapa perubahan kecil lain.

    Ketika pelancaran model kemaskini terbaharu untuk Saga iaitu Saga MC2 pada Mei lalu, naib CEO Proton Roslan Abdullah menyatakan Exora turut akan menerima satu lagi penyegaran kecil seperti Saga tahun ini, dan model yang bakal diperkenalkan pada hari Jumaat nanti berkemungkinan besar adalah berkait dengan apa yang diperkatakan oleh Roslan tiga bulan lalu.

    Menurut Roslan ketika itu, Exora 2022 ini nanti bakal menerima beberapa perincian baharu, tetapi perubahan yang dibuat adalah “kurang daripada Saga” dan jangan berharap perubahan besar untuk model yang berusia dalam pasaran ini. Beliau turut menyatakan bahawa Proton mengambil berat berkenaan isu hos penyejuk minyak (OCH) pada enjin 1.6L turbo CFE yang menghantui pemilik Exora sedia ada, dan menjelaskan bahawa jurutera Proton kini sedang menghasilkan komponen baharu yang beliau harapkan lebih tahan lama.

    Roslan turut ada menyebut bahawa Exora mungkin akan diberikan perubahan besar pada masa hadapan yang bukan sahaja melibatkan rupa luaran dan dalaman, malah ada kemungkinan ia akan disumbat dengan enjin 1.5 liter turbo tanpa sistem GDI sama seperti Proton X50. Namun model ini mungkin perlu ditunggu lebih lama kerana ia masih lagi dalam peringkat perbincangan bagi meyakinkan pengurusan syarikat bahawa ia boleh dijual dalam jumlah yang secukupnya untuk menjana semula dana tambahan yang akan dikeluarkan untuk pembangunannya nanti.

    GALERI: Proton Exora RC 2019

     
     
  • Suzuki GSX-S1000GT tiba di Malaysia – harga RM85.7k

    Suzuki GSX-S1000GT tiba di Malaysia – harga RM85.7k

    Model sport tourer Suzuki GSX-S1000GT yang diperkenalkan kali pertama September tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia, dengan harga yang diumumkan melalui laman Facebook Suzuki Malaysia RM85,700 tidak termasuk insurans. Dua warna disediakan iaitu Metallic Triton Blue dan Metallic Reflective Blue dan pada harga ini, pelanggan juga akan menerima beg barangan tepi secara terus.

    Suzuki GSX-S1000GT dipacu oleh enjin empat silinder 999 cc DOHC sama seperti GSX-S1000 (model naked) dan mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan datang dengan quickshifter secara standard. Penghantaran kuasa ke roda belakang dilakukan melalui sistem rantai.

    Berat motosikal ini adalah 226 kg, dan ia berada dalam lingkungan yang biasa bagi model seperti ini, manakala tinggi tempat duduk pula 810 mm, dan datang dengan tangki bahan api 19 liter. Suspensi depan dan belakang boleh dilaras sepenuhnya secara manual.

    Pada bahagian kokpit, GSX-S1000GT menyediakan skrin TFT-LCD 6.5 inci berwarna penuh dan ia boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth untuk memberikan pelbagai fungsi yang memudahkan penunggang. Sistem elektronik lain yang diberi adalah seperti kawalan cengkaman, mod tunggangan, cruise control serta Cornering ABS.

    Melalui Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), penunggang boleh memilih tiga mod kuasa pada motosikal ini, sementara sistem kawalan cengkaman boleh dilaras dalam lima pilihan mod.

     
     
  • smart #1 Brabus didedahkan – lebih 400 hp, AWD, bakal buat kemunculan sulung di China 26 Ogos ini

    smart #1 Brabus didedahkan – lebih 400 hp, AWD, bakal buat kemunculan sulung di China 26 Ogos ini

    April lalu, jenama smart yang sebelum ini milik sepenuhnya Daimler AG, secara rasmi dihidupkan semula, dan kini ia merupakan jenama kereta elektrik penuh (EV) selepas smart #1 didedahkan secara rasmi. Rekaan untuk model-model baharu smart ini masih dibuat oleh Mercedes-Benz tetapi pembangunannya kini dibuat oleh Geely termasuk menggunakan platform modular khas untuk kereta elektrik Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dihasilkan oleh gergasi automotif China berkenaan.

    Pada bulan yang sama, satu gambar intipan tersebar yang menunjukkan sebuah smart #1 dengan rupa lebih garang dijumpai; ia didakwa menampilkan prestasi lebih baik dan bakal menggunakan jenama penala yang dikaitkan dengan Mercedes-Benz iaitu Brabus. Khabar tersebut kini menjadi realiti – ini dia smart #1 Brabus telah didedahkan secara rasmi, dan ia akan membuat kemunculan sulung dikhalayak ramai di Chengdu Motor Show bermula 26 Ogos ini!

    Model berprestasi tersebut menampilkan rupa yang lebih agresif pada sebelah luar. Pada bahagian muka, smart #1 Brabus ini diberikan dua liang udara tambahan pada bahagian muncung bonet hadapan. Liang udara pada sisi bampar hadapan juga berbeza, menampilkan sirip melintang yang lebih panjang, bersama gril bampar yang nampak lebih garang.

    Manakala kemasan skid plate pada bawah bampar pada smart #1 biasa digantikan dengan panel seakan spoiler bersama serlahan jalur merah. Ia turut diberikan kemasan merah yang sama pada bahagian bumbung, penutup cermin sisi, jalur pada bawah skrit sisi dan juga pada angkup brek.

    Di belakang, smart #1 Brabus ini menerima spoiler bumbung lebih besar juga diberikan kemasan merah bersama diffuser di bahagian bawah bampar. Rupa luaran model ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim aloi 19-inci kemasan dua-tona.

    Masuk ke kabin, model ini menamampilkan tema warna hitam dengan kemasan-kemasan aloi serta serlahan-serlahan merah, sementara pemandu menerima roda stereng balutan Alcantara/kulit dengan logo Brabus di tengah. Tempat duduk EV kompak ini menerima upholsteri sued gentian mikro, serlahan benang merah, serta perehat kepala dengan kemasan merah pada sisi bersama logo Brabus di tengah.

    Perincian lain yang turut boleh dilihat pada kabin smart #1 Brabus ini termasuk tali pinggang keledar berwarna merah serta set pedal dari material aloi.

    Berbeza dengan smart #1 standard yang hanya dibekalkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang untuk memacu roda belakang yang berkuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork maksima 343 Nm, Brabus smart #1 ini dipadankan dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan, menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda.

    Tiada lagi perincian rasmi berkenaan angka prestasi untuk model Brabus ini, tetapi ada laporan mengatakan bahawa konfigurasi tersebut akan menghasilkan kuasa keseluruhan 428 PS (422 hp), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat. Angka berkenaan jelas sangat pantas berbanding smart #1 biasa yang hanya mampu mencatatkan masa 6.7 saat untuk pecutan sama.

    Selari dengan kuasa lebih besar dibekalkan, dijangka model Brabus ini juga akan menerima bateri dengan kapasiti lebih tinggi. Pada model smart #1 biasa, ia menerima bateri lithium-ion 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 440 km (kitaran WLTP) untuk satu cas penuh.

    smart #1 Brabus didedahkan – lebih 400 hp, AWD, bakal buat kemunculan sulung di China 26 Ogos ini

    smart #1 standard juga memerlukan masa sekitar tujuh jam setengah untuk mengecas bateri sehingga 80% penuh menggunakan wallbox 7.5 kW AC, namun untuk model pasaran Eropah ia mampu menerima cas dari pengecas AC 22 kW membolehkan cas yang sama mengambil masa hanya di bawah tiga jam. Dengan pengecas pantas DC 150 kW pula, bateri dapat dipenuhkan semula dalam masa hanya 30 minit.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, versi standard untuk smart #1 sah akan dilancarkan di Malaysia untuk mengambil manfaat atas pengecualian cukai keatas model EV CBU (diimport sepenuhnya) yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Namun smart bukan lagi akan dijual oleh pengedar Mercedes-Benz seperti sebelum ini, sebaliknya ia akan dijual oleh Proton Edar untuk pasaran tempatan.

    Proton Edar bukan hanya menjual smart #1 ini di Malaysia, malah turut diberikan hak untuk memasarkan jenama smart berkenaan di pasaran Thailand. Ini bukan sahaja membolehkan Proton belajar dan bersedia untuk menjual dan menyediakan khidmat selepas jualan untuk model-model elektrik penuh sebelum menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri kelak, malah turut akan membantu jenama automotif Malaysia berkenaan untuk kembali bertapak di Thailand. Agak-agak model prestasi smart #1 Brabus ini akan dibawa sekali ke sini nanti?

     
     
  • Mercedes-Benz EQE SUV – bahagian dalam SUV elektrik mewah didedah, pengenalan global 16 Okt

    Mercedes-Benz EQE SUV – bahagian dalam SUV elektrik mewah didedah, pengenalan global 16 Okt

    Barisan kenderaan elektrik yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz sekarang sudah ada pelbagai jenis, termasuk EQA, EQB, EQC, EQE dan EQS, tetapi nampaknya itu hanyalah satu permulaan. Pengeluar dari Jerman ini nampaknya bersedia untuk memperkenalkan satu lagi model, iaitu EQE SUV, yang mana pelancaran globalnya akan berlangsung 16 Oktober nanti. Sebelum ia berlaku, syarikat itu mendedahkan terlebih dahulu bahagian dalamnya.

    Menurut Mercedes-Benz, EQE SUV adalah sebuah varian pelbagai guna bagi sedan EQE, dengan ciri utama daripada EQS, tetapi lebih dinamik. Selain daripada itu, EQE SUV juga dikatakan mempunyai antara ruang paling luas di dalam kelasnya, termasuk untuk kepala, kaki dan juga bahu.

    Sistem MBUX Hyperscreen seperti EQS juga akan ditawarkan pada EQE SUV. Ia terdiri daripada tiga skrin resolusi tinggi di sebalik lapisan kaca yang bersambung sepanjang papan pemuka. Pendingin hawa yang berada di bucu mempunyai rekaan seperti turbin. Sama seperti model EQ yang lain, kabin EQE SUV juga mempunyai lampu suasana di sebalik kemasannya.

    Mercedes-Benz EQE SUV – bahagian dalam SUV elektrik mewah didedah, pengenalan global 16 Okt

    Bahagian dalam SUV lima tempat duduk ini juga mendapat kemasan yang menggabungkan bahan moden serta tradisional, seperti kayu dan aluminium. Beberapa jenis balutan dan warna untuk bahagian dalam ini disediakan, termasuk Balao Brown, Biscay Blue/Black, dan Neva Grey.

    EQE SUV akan dibina di atas platform EVA (Electric Vehicle Architecture) khas untuk EV dan sudah digunakan untuk EQE, EQS and EQS SUV. Berkenaan penggerak, setakat ini masih belum ada perincian yang didedahkan, tetapi melihat kepada sedan EQE, versi SUV ini mungkin boleh menyediakan 292 hp dan tork 530 Nm, dengan pilihan satu motor atau dua motor dengan pacuan semua roda.

    Sumber kuasa untuk motor ini berkemungkinan datang daripada bateri lithium ion 90 kWh, yang boleh menyediakan jarak gerak sehingga 660 km mengikut kitaran WLTP. Waktu mengecas adalah 4.25 jam dengan pengecas AC 22 kW, dan 8.25 jam menggunakan pengecas 11 kW. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 170 kW pula, ia akan mengambil masa cuma 32 minit untuk penuh dan selepas dicas 25 minit, boleh memberikan jarak gerak 250 km.

     
     
  • GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace Life 2022 di M’sia – varian asas baharu; 1.4 TSI, harga dari RM174k

    GALERI: Volkswagen Tiguan Allspace Life 2022 di M’sia – varian asas baharu; 1.4 TSI, harga dari RM174k

    Baru-baru ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan varian 1.4 TSI Life bagi barisan Volkswagen Tiguan Allspace facelift. Ia menyertai varian sedia ada iaitu 1.4 TSI Elegance serta 2.0 TSI R-Line 4Motion. Kali ini, kami membawakan galeri penuh untuk varian asas baharu ini, yang ditawarkan pada harga atas jalan RM173,590 tanpa insurans.

    Harga Life adalah lebih murah sebanyak RM16,000 berbanding Elegance (RM189,590) dan kurang RM63,483.60 jika dibandingkan dengan model spesifikasi penuh R-Line (RM237,073.60). Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, harga bagi Elegance dan R-Line mengalami peningkatan masing-masing sebanyak RM9,000 dan RM11,000 sejak kami melaporkan harga termasuk SST untuk model Volkswagen di Malaysia pada bulan Julai lalu.

    Seperti Elegance, Life turut dikuasakan oleh enjin 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder yang boleh menghasilkan 150 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 250 Nm antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac DSG basah enam-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    Life juga berkongsi rekaan luaran yang sama dengan varian Allspace yang lain, dengan elemen penggayaan termasuk gril hadapan yang lebih bergaya dengan jaluran lampu signatur Volkswagen di antara lampu utama LED penuh dan kemasan spesifikasi ‘Allspace’. Ciri lain termasuk lampu belakang LED, perumah cermin sisi warna perak dan juga roda aloi tona perak Frankfurt 18-inci dengan dibaluti tayar 235/55 seperti yang turut ditampilkan pada varian Elegance.

    Di dalamnya, Life menampilkan roda stereng sport pelbagai-fungsi balutan kulit dan kawalan suhu automatik Climatronic tiga-zon, dan seperti dua varian lain, ia juga diberikan sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dengan navigasi dan ketersambungan tanpa wayar.

    Ia juga ditampilkan dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk dengan tiga barisan (bentangan 2-3-2), dengan ruang but berkapasiti 1,775 liter, di mana barisan kedua- dan ketiga- boleh dibaringkan sepenuhnya.

    Senarai kit dalaman bagi Life masih lebih kurang sama dengan varian Tiguan yang lain, termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, kawalan suhu tiga-zon Climatronic (dengan corong di belakang), kluster instrumen Digital Cockpit 11.7-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh Discover Pro 9.2-inci, fungsi navigasi, sokongan tanpa wayar bagi Android Auto dan Apple CarPlay yang diberikan secara standard.

    Bagi aspek keselamatan, Allspace Life dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, bantuan menurun bukit dan cagak Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan dan barisan kedua, serta bantuan kekal lorong dan kepekaan pemandu, tetapi tidak diberikan brek kecemasan sendiri.

    Lima warna pilihan bagi luaran diberikan termasuk Atlantic Blue, Platinum Grey dan Pyrite Silver metallics dan Deep Black dengan Oryx White. Setiap pembelian SUV ini didatangkan dengan waranti lima-tahun dan penyelenggaran percuma tiga-tahun, dan bantuan tepi jalan lima-tahun.

     
     
  • Ramai penunggang motosikal terutamanya mat rempit dikesan guna nombor pendaftaran fancy – JPJ N9

    Ramai penunggang motosikal terutamanya mat rempit dikesan guna nombor pendaftaran fancy – JPJ N9

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan yang melaksanakan Ops Lejang di susur masuk Plaza Tol Senawang baru-baru ini mendapati ramai penunggang motosikal terutama golongan mat rempit dikesan sengaja mengabaikan peraturan penggunaan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi ditetapkan.

    Menurut Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf, rata-rata mereka dikesan menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ yang terlampau kecil atau sukar untuk dikenal pasti angka atau huruf sebenar. Di mana kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pihak JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjalankan operasi yang memberi tumpuan terhadap penunggang motosikal bagi mengekang aktiviti rempit.

    “Dalam operasi ini, sebanyak 138 motosikal diperiksa dan kesemuanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk ubahsuai ekzos dan penggunaan nombor plat fancy. Sebanyak lima motosikal disita,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.


    Ujarnya lagi, ramai yang beranggapan penggunaan nombor pendaftaran yang mengikut spesifikasi tidak penting dari segi keselamatan jalan raya

    “Dalam operasi ini kami menemui pelbagai jenis nombor plat yang menyalahi peraturan. Ada yang berkilat, ada hanya sebesar dua jari, malah ada juga pemilik motosikal yang berani menunggang tanpa mempamerkan langsung nombor pendaftaran.

    “Jika berlaku kemalangan, ia akan menyusahkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sama ada pemilik motosikal yang melanggar atau dilanggar. Tindakan mereka juga seolah cuba mengaburi mata pihak berkuasa jika dikesan melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat atau melakukan aksi berbahaya,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik berdaftar juga akan diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).

    “Mereka diberi masa selama 10 hari untuk hadir pemeriksaan di mana-mana JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan itu dibuat tindakan pembetulan dengan menukar nombor pendaftaran yang mengikuti spesifikasi,” katanya.

     
     
  • GALERI: Renault Zoe Zen R110 – harga dari RM163k

    GALERI: Renault Zoe Zen R110 – harga dari RM163k

    Pengedar rasmi kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars secara diam-diam telah mula mendedahkan harga kereta elektrik Zoe baru dengan memuat naik dua varian untuknya dalam laman web iaitu Zen R110 pada harga RM163,000 dan Intens R135 pada RM175,000.

    Model yang tiba di negara kita ini adalah model facelift, yang membuat penampilan global pada Jun 2019, dengan antara perubahan utamanya adalah motor elektrik lebih berkuasa dan kapasiti bateri dipertingkat. Untuk pengetahuan, Zoe bukanlah baru dalam pasaran kita, kerana model sebelum facelift sudah pernah dipasarkan sejak Mac 2016.

    Untuk pasaran kita, kedua-dua versi Zoe baru ini dilengkapi dengan bateri Z.E 50 baru dengan kapasiti tenaga 52 kWh. Ini boleh membawa ia bergerak sehingga 395 km bagi Zen R110 dan 386 km bagi Intens R135 (mengikut kitaran WLTP).

    Menggunakan pengecas AC dengan sambungan Type 2, bateri Zoe boleh penuh dari kosong dalam masa tiga jam apabila disambungkan kepada pengecas 22 kW, atau 9.5 jam dengan pengecas 7.4 kW. Pengecas pantas DC juga boleh digunakan (dengan sambungan CCS2), dan pada kadar 50 kW, ia akan mengambil masa 70 min untuk menaikkan tahap bateri dari kosong ke 80%.

    Pacuan roda hadapan adalah standard untuk kedua-duanya, sementara motor elektrik pada varian asas adalah unit R110 yang mampu menghasilkan 110 PS (80 kW) dan tork 225 Nm, manakala pada varian Intens R135 yang menggunakan motor R135, ia mampu menghasilkan 135 PS (100 kW) dan 245 Nm.

    Melalui B-mode, kereta elektrik ini boleh menyediakan pemanduan satu pedal, yang membantu penjanaan semula kuasa lebih baik, sementara mod Eco membantu menjimatkan tenaga dengan mengawal fungsi tertentu kenderaan. Pemandu juga boleh melihat meter Eco yang disediakan untuk memerhatikan penggunaan tenaga.

    Dalam muatan ini, anda boleh melihat galeri penuh Zoe Zen R110, yang datang standard dengan lampu utama, lampu DRL dan lampu belakang LED, rim 16 inci, panel instrumen digital 10 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Easy Link tujuh inci (sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), enam pembesar suara, balutan fabrik, kawalan pendingin hawa manual, cermin sisi larasan elektrik serta pengesan undur.

    Peningkatan menarik yang dilakukan untuk model baru ini adalah kemasukan sistem keselamatan aktif, yang termasuk Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Adaptive High Beam, Stability Control, Traction Control, ABS, Brake Assist, Hill Start Assist dan empat beg udara. Varian Intens R135 kemudiannya mendapat tambahan Blind Spot Warning.

    Varian Intens R135 yang merupakan varian tinggi, ditambah dengan kemampuan navigasi luar talian, soket pengecas USB di tempat duduk belakang, pengawal suhu automatik, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur, pemerhati titik buta, cermin sisi boleh lipat serta pengesan jarak hadapan dan belakang.

     
     
  • Kedah bakal mulakan projek bina litar lumba antarabangsa bernilai RM75j tidak lama lagi – MB

    Kedah bakal mulakan projek bina litar lumba antarabangsa bernilai RM75j tidak lama lagi – MB

    Menteri Besar Kedah Darul Aman, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengumumkan berita gembira bahawa hasrat negeri jelapang padi itu untuk memiliki litar lumba bertaraf antarabangsa bakal tercapai tidak lama lagi dan projek pembinaannya akan dimulakan dalam tempoh terdekat ini.

    Beliau berkata demikian sewaktu majlis pelancaran dan menandatangani perjanjian projek Litar Lumba PKB Open Road SP Circuit di Sungai Petani, semalam. Menurutnya, Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang bernilai RM75 juta itu bakal dibangunkan di tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) di kawasan seluas 60 hektar.

    “Kita semua maklum bahawa pelan asal yang dirancang adalah Litar Lumba Rakyat dan pelan ini juga telah beberapa kali dipinda menyebabkannya tertangguh begitu lama dan menyebabkan kos asal meningkat.

    “Berikutan itu, kerajaan negeri bersetuju meneruskan pelan perancangan akhir dengan meningkatkannya kepada Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang dilengkapi pusat komersial lain,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Kedah bakal mulakan projek bina litar lumba antarabangsa bernilai RM75j tidak lama lagi – MB

    Jelasnya, Litar Lumba Rakyat dinaik taraf ke litar lumba antarabangsa kerana ia perlu dibina dengan trek dan fasiliti perlumbaan yang selamat, profesional dan diselenggara baik.

    “Bagi mengelakkan beban kewangan masa depan kepada kerajaan, syarikat PKB Open Road sebagai pelabur bersetuju mengambil alih projek tersebut. Walaupun litar ini nanti lebih bersifat komersial, namun ia juga boleh digunakan oleh rakyat yang berminat dalam sukan permotoran,” katanya.

    Beliau turut berkata, pada masa hadapan, Kedah bakal mempunyai dua litar lumba iaitu di Langkawi dan Sungai Petani yang mana kedua-duanya akan dibina dan diurus PKB Open Road.

    Pengasas dan Penasihat Kumpulan Open Road World, Datuk David Goh, pula berkata projek pembinaan litar lumba terbaru itu bakal menjadi nadi baharu untuk Sungai Petani.

    Kedah bakal mulakan projek bina litar lumba antarabangsa bernilai RM75j tidak lama lagi – MB

    “Reka bentuk litar akan dilakukan pakar perunding litar lumba dari United Kingdom yang baru-baru ini telah mereka bentuk litar lumba Formula 1 di Miami, Amerika Syarikat.

    “Di samping memohon kelulusan FIA Gred 2 untuk litar lumba Sungai Petani, sebagai tarikan tambahan, kami juga mengusahakan kelulusan FIM Gred B untuk litar Sungai Petani yang mana pertandingan dan kejohanan lumba motosikal antarabangsa dapat dilangsungkan,” katanya.

    Projek pembangunan litar lumba di Sungai Petani itu sudah pun disebut-sebut sejak 2014 namun rancangan ini tertangguh beberapa kali disebabkan kekurangan dana, di samping negeri terbabit telah beberapa kali bertukar pucuk kepimpinan.

     
     
  • Toyota Hilux Double Cab 2.4E MT 4X4 2022 – varian manual kini kembali di Malaysia dengan harga RM111k

    Toyota Hilux Double Cab 2.4E MT 4X4 2022 – varian manual kini kembali di Malaysia dengan harga RM111k

    Imej Toyota Hilux 2.8 Rouge

    Mac lalu, UMW Toyota Motor telahpun menggugurkan varian dengan kotak gear manual untuk badan Double Cab trak pikap Toyota Hilux. Nampaknya dalam kemaskini terbaharu, Hilux Double Cab dengan transmisi manual kini telahpun kembali semula dan ia dihasilkan dalam gred E.

    Seperti namanya, Hilux Double Cab 2.4E MT 4X4 ini merupakan model versi manual bagi varian Double Cab paling asas dengan kotak gear automatik iaitu Double Cab 2.4E AT 4X4. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM110,880, atau RM1k lebih murah berbanding versi automatik. Model paling asas Single Cab 2.4 MT 4X4 masih lagi ditawarkan, dijual pada harga RM95,880.

    Kesemua Hilux yang dijana oleh enjin 2.4 liter buat masa sekarang menerima enjin turbodiesel 2GD-FTV empat-silinder sebaris berkuasa 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksiam 400 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,000 rpm. Kedua-dua kotak gear manual dan automatik juga adalah dalam konfigurasi enam-kelajuan. Kedua-dua varian 2.4E MT dan AT ini juga menerima tiga mod pemanduan serta kawalan alihan 4WD elektronik.

    Toyota Hilux Double Cab 2.4E MT 4X4 2022 – varian manual kini kembali di Malaysia dengan harga RM111k

    Senarai harga terkini Toyota Hilux pasaran Malaysia, klik untuk besarkan

    Selain dari kotak gear, model Double Cab 2.4E MT 4X4 dan Double Cab 2.4E AT 4X4 ini seperti yang diberitahu tadi menampilkan spesifikasi yang sama. Ia termasuk kelengkapan-kelengkapan seperti suspensi, brek, stereng dan sebagainya, bersama set roda dengan rim aloi 17-inci dan tayar all terrain 265/65R17 serta tayar gantian hanya diberikan rim besi.

    Perincian bagi kedua-dua model ini juga serupa, menampilkan lampu hadapan halogen reflektor automatik dengan lampu nyalaan siang mentol biasa, gril hadapan kemasan kelabu gelap, bampar dengan warna badan, bampar belakang tanpa warna, serta cermin sisi larasan kuasa bersama lampu isyarat membelok.

    Kelengkapan dalaman bagi kedua-dua varian ini juga sama, diberikan panel instrumen biasa tanpa paparan pelbagai informasi dan Optitron (model 2.4V ke atas diberikan perincian ini), serta sistem audio dengan enam pembesar suara dihubungkan kepada pemain utama yang memberikan fungsi pemain CD dan hubungan USB dan Bluetooth.

    Toyota Hilux Double Cab 2.4E MT 4X4 2022 – varian manual kini kembali di Malaysia dengan harga RM111k

    Imej Toyota Hilux 2.8 Rouge

    Perincian lain yang turut dilengkapkan pada model 2.4E MT dan AT ini termasuk sistem pendingin hawa manual, roda stereng urethane bersama butang kawalan audio serta Bluetooth, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tingkap berkuasa dengan fungsi turun-auto hanya untuk pemandu, tempat duduk balutan fabrik dan larasan manual untuk sebelah depan.

    Untuk keselamatan, kedua-dua model 2.4E ini menerima kelengkapan standard seperti tiga-beg udara, tali pinggang keledar tiga-point untuk semua tempat duduk, cagak tempat duduk Isofix di belakang, traction control, bantuan mula mendaki isyarat berhenti kecemasan, trailer sway control, sistem brek ABS bersama EBD dan BA serta penderia undur.

    Pembeli turut boleh memilih ciri opsyen termasuk video perakam digital hadapan, monitor pemantau panaromik (PVM) dan kamera undur. Manakala sistem keselamatan aktif seperti sistem pra-pelanggaran, amaran keluar lorong, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang hanya ditawarkan untuk varian 2.4V dan ke atas.

    GALERI: Toyota Hilux Rouge 2.8

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025