Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Indonesia sasar guna tol tanpa palang menjelang 2023, dua tahun lebih awal dari tarikh sasaran Malaysia

    Indonesia sasar guna tol tanpa palang menjelang 2023, dua tahun lebih awal dari tarikh sasaran Malaysia

    Indonesia bakal membuat peralihan dari sistem kutipan tol tradisional yang masih digunakan buat masa sekarang kepada sistem tol tanpa palang menggunakan teknologi Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) tidak lama lagi. Menurut ketua pengarah pengangkutan darat republik berkenaan, Budi Setiyadi, sistem bayaran MLFF tersebut bakal digunakan bermula akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada 2023.

    Menurutnya perkara ini telah dibawa ke pihak-pihak yang berkaitan seperti Badan Pengatur Jalan Tol (BPJT), dan berharap sistem yang kini masih dalam tempoh ujian berkenaan dapat digunakan sebelum 2023, lapor akhbar Kompas.

    “Mudah-mudahan, saya berharap cepat kerana di beberapa negara sudah dilakukan seperti itu juga,” kata beliau kepada wartawan dalam satu majlis pengangkutan darat semalam.

    BPJT telah mensasarkan implementasi sistem MLFF ini di Jawa dan Bali menjelang akhir 2022, dan tahun lalu dilaporkan bahawa negara berkenaan berharap agar sistem tersebut dapat diimplementasikan di seluruh Indonesia pada 2023. Sistem yang digunakan di negara itu disediakan oleh syarikat dari Hungary iaitu Roatex menerusi syarikat kerjasama tempatan PT Roatex Indonesia Toll System.

    Indonesia sasar guna tol tanpa palang menjelang 2023, dua tahun lebih awal dari tarikh sasaran Malaysia

    Sistem baharu yang membolehkan kenderaan melaluinya tanpa sebarang sekatan pada kelajuan 40-50 km/j berkenaan dijangka akan menyelesaikan masalah pengguna yang terpaksa berbaris panjang di palang tol, secara tidak langsung memendekkan masa perjalanan serta meningkatkan kadar keberkesanan.

    Menurut laporan tersebut, sistem MLFF ini menggunakan teknologi sistem satelit navigasi global (GNSS) dan melakukan transaksi menerusi aplikasi pada telefon pintar – GPS akan menentukan lokasi kenderaan menerusia pengesanan satelit dan proses pemandanan peta akan dibuat di sistem pusat. Apabila kenderaan keluar dari lebuhraya bertol dan proses pemadanan peta berakhir, sistem tersebut akan mengira kadar tol yang dikenakan.

    Sebelum ini, PT Raotex menyatakan bahawa mereka telah menyediakan dua sistem bagi mengesan individu yang masuk ke lebuhraya tanpa peranti pengesanan dan juga bayaran. Sistem pertama adalah gantri kekal yang diletakkan pada setiap jalan masuk lebuhraya, yang dibekalkan dengan modul pengawasan termasuk kamera-kamera yang akan mengenal pasti setiap kenderaan yang masuk ke lebuhraya.

    Indonesia sasar guna tol tanpa palang menjelang 2023, dua tahun lebih awal dari tarikh sasaran Malaysia

    Sistem kedua adalah unit kawalan bergerak yang menggunakan pegawai bagi membawa modul pengesanan yang sama seperti pada gantri kekal tersebut dalam mengutip data bagi setiap kenderaan yang masuk ke lebuhraya. Data untuk kenderaan-kenderaan yang telah didaftarkan, serta bagi mereka yang belum didaftarkan untuk masuk ke lebuhraya yang telah menggunakan sistem MLFF akan dikutip, kerana ada kemungkinan mereka yang belum didaftarkan turut akan masuk lebuhraya tersebut. Data yang dikutip berkenaan kenderaan yang tidak berdaftar akan disalurkan ke pihak polis bagi tindakan lanjut.

    Manakala di Malaysia, kita masih lagi dalam proses peralihan terhadap sistem identifikasi frekuensi radio (RFID) bagi pungutan tol elekronik, dengan peralihan menggunakan sistem MLFF dijangka akan bermula pada 2025. Dengan sistem berkenaan, bayaran tol akan dikutip menggunakan RFID, bersama sistem Pengecaman Automatik Nombor Pendaftaran Kenderaan (ANPR).

    Tahun lalu dilaporkan bahawa ujian sistem MLFF oleh Green Packet di Lebuhraya Besraya telah bermula tahun ini, namun tiada sebarang berita susulan selepas itu. Untuk mengelakkan lebuhraya digunakan tanpa membuat bayaran tol menerusi sistem MLFF ini, kerajaan menyatakan bahawa undang-undang baharu akan diimplementasikan terhadap mereka yang mengelak bagi membayar tol.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC 2022 di M’sia -facelift X253 dapat warna baharu Spectral Blue, gantikan Cavansite Blue

    Mercedes-Benz GLC 2022 di M’sia -facelift X253 dapat warna baharu Spectral Blue, gantikan Cavansite Blue

    Mercedes-Benz GLC X254 baharu bakal dilancarkan tidak lama lagi, namun model semasa X253 masih ada baki hayatnya. Malahan untuk pasaran Malaysia, SUV eksekutif kompak ini telah diberikan pilihan warna baharu Spectral Blue, seperti yang dikhabarkan oleh seorang eksekutif jualan di Facebook.

    Seperti yang anda lihat, warna birunya lebih menyerlah, lebih kurang dengan tona Brillian Blue yang sebelum ini ditawarkan untuk beberapa model CBU. Warna baharu ini adalah bagi menggantikan tona Cavansite Blue yang lebih gelap untuk barisan GLC 200 di Malaysia, namun ia masih ditawarkan di pasaran global.

    Walau bagaimana pun, difahamkan tiada perubahan lain yang dibuat untuk model ini, jadi unit pemasangan tempatan (CKD) bagi GLC 300 AMG masih sama seperti sebelum ini, dijual pada harga atas jalan RM338,693 tanpa insurans dan dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini. Manakala untuk varian yang lebih murah iaitu GLC 200 AMG Line pula ditawarkan pada harga RM299,539. Ia turut diberikan waranti empat-tahun dengan perbatuan tanpa had.

    Kedua-dua varian masih menggunakan enjin yang sama iaitu unit M264 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 197 PS dan tork 320 Nm untuk GLC 200 dan 258 PS dan 370 Nm bagi GLC 300. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, namun GLC 300 juga diberikan pacuan semua-roda 4Matic.

    Seperti namanya, kedua-dua varian ini juga diberikan pakej AMG Line secara standard, namun hanya GLC 300 menerima Night Package, yang ditambah palang gril hitam berkilat, splitter hadapan, cermin pintu dan kemasan bampar belakang, bersama rel bumbung hitam pekat.

    Malahan model spesifikasi tertinggi juga mendapat lampu utama Multibeam projector, berbanding lampu utama LED High Performance reflector pada model yang lebih bawah. Namun kedua-duanya diberikan roda aloi 20-inci, tetapo GLC 200 dengan rekaan AMG pelbagai-jejari yang lebih konvensional, manakala GLC 300 pula menerima lima-jejari berbentuk-Y.

    Ciri AMG Line boleh dilihat menrusi roda stereng flat di bawah, tempat duduk sport, pedal aloi, karpet jenama-AMG, dan juga headlining hitam. Lain-lain ciri termasuk upholstery kulit tiruan Artico pada papan pemuka, pintu dan tempat duduk, kemasan kayuan oak dan juga Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang merangkumi paparan instrumen 12.3-inci dan skrin sesentuh tengah 10.25-inci.

    Mercedes-Benz GLC 2022 di M’sia -facelift X253 dapat warna baharu Spectral Blue, gantikan Cavansite Blue

    Spektral Blue gantikan warna Cavansite Blue yang lebih gelap seperti yang ditunjuk dalam gambar ini

    Manakala kelengkapan standard termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, pencahayaan ambien 64-warna, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan tailgate kuasa bebas-tangan. Namun GLC 300 ditambah dengan kawalan suhu tiga-zon, plat sill scuff sisi iluminasi, tirai suria manual untuk pintu belakang dan sistem bunyi Burmester 13-pembesar suara.

    Untuk aspek keselamatan pula, GLC diberikan kelengkapan standard dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, brek kecemasan sendiri, pemantauan titik buta dan sistem Pre-Safe.

    Pengenalan warna Spectral Blue ini nampak gayanya memberikan bayangan Mercedes-Benz Malaysia sedang menyiapkan model pemasangan tempatan bagi C-Class W206 baharu. Dengan warna baharu yang diperkenalkan pada model facelift CLS – yang masih belum sampai ke pasaran kita – tetapi ia merupakan warna hero untuk sedan sport terkini jenama ini. Versi import sepenuhnya telah pun habis dijual, jadi dijangkakan model CKD bakal dilancarkan tidak lama lagi.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 200 AMG Line 2021

     
     
  • Tonto guna teknologi canggih, dedah maklumat operasi pihak berkuasa lebih awal kepada lori – JPJ

    Tonto guna teknologi canggih, dedah maklumat operasi pihak berkuasa lebih awal kepada lori – JPJ

    Tonto, iaitu sindiket yang ‘menjaga’ syarikat-syarikat lori bagi memastikan lori-lori berkenaan selamat dari ditangkap oleh pihak berkuasa kerana melakukan pelbagai kesalahan kini dikatakan menggunakan teknologi canggih bagi menjalankan kegiatan mereka, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam laporan Harian Metro.

    Menurut jabatan berkenaan, usaha untuk memerangi kumpulan tonto kini kian sukar apabila mereka menggunakan kecanggihan teknologi komunikasi menerusi pelbagai aplikasi dan laman media sosial untuk menyalurkan maklumat pergerakan pihak berkuasa dengan pantas ke pengetahuan pemandu lori bermasalah tanpa bergantung lagi pada alat komunikasi walkie talkie.

    JPJ turut mengakui bahawa kehadiran tonto yang memerhatikan setiap pergerakan pasukan penguatkuasa tanpa mengira masa memberikan cabaran utama dalam menjalankan tugas. Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf, ancaman tonto ini menyebabkan pihaknya perlu memikirkan kaedah licik dan alternatif bagi mengekang kumpulan itu.

    Beliau turut memberitahu bahawa terdapat segelintir tonto upahan yang bertindak agresif bagi memastikan lori dilindungi mereka tidak diambil tindakan.

    Tonto guna teknologi canggih, dedah maklumat operasi pihak berkuasa lebih awal kepada lori – JPJ

    “Ancaman tonto bukan ‘main-main’. Contohnya kes kenderaan tonto cuba menghalang kenderaan pihak kastam yang cuba menahan sebuah lori membawa muatan minuman keras tidak bercukai di Johor Bahru pada 22 April lalu.

    “Dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas kenderaan barangan terutama yang membawa muatan berlebihan, JPJ tidak terlepas daripada ancaman tonto yang berusaha melindungi pergerakan lori.

    “Sindiket tonto yang diupah segelintir pengusaha syarikat lori akan memainkan peranan mereka untuk melindungi dan memberikan maklumat kepada pemandu lori yang melakukan kesalahan ini,” katanya kepada akhbar berkenaan.

    Hanif juga menjelaskan bahawa maklumat disalurkan tonto ini memberi kesukaran kepada anggota penguatkuasa mengambil tindakan terhadap lori-lori bermasalah berkenaan kerana mereka sudah mendapat maklumat awal.

    “Tonto juga bertindak agresif dan di luar batasan dalam usaha mengelak lori dilindungi mereka daripada dikenakan tindakan. Ada antara tindakan itu berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan mungkin boleh menyebabkan kerosakan harta benda awam,” katanya lagi.

    Tonto guna teknologi canggih, dedah maklumat operasi pihak berkuasa lebih awal kepada lori – JPJ

    Beliau mendedahkan bagi memerangi taktik terbaharu yang digunakan oleh tonto ini, JPJ perlu lebih agresif dengan memikirkan cara lain seperti taktik penyamaran, risikan dan menggunakan teknologi dron.

    “Kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga diperkukuhkan bagi mengatasi permasalahan berkaitan tonto,” katanya.

    Menurut Hanif lagi, kesalahan membabitkan aktiviti tonto boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. Beliau juga memberitahu bahawa tonto didapati amat aktif dan sentiasa memberi perlindungan kepada kenderaan berat di beberapa lokasi panas di Negeri Sembilan seperti di Nilai, Pedas dan Kuala Pilah.

     
     
  • GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

    GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

    Lexus Malaysia baru saja memperkenalkan model generasi kedua dan terbaru SUV NX untuk pasaran tempatan. Terdapat dua varian ditawarkan, iaitu NX 250 Luxury dengan enjin 2.5L dan NX 350 F Sport dengan enjin 2.4L turbocas. Merupakan unit import CBU, masing-masing dijual pada harga RM370,888 dan RM389,888.

    Bagi Lexus NX 350 F Sport, ia dilengkapi enjin 2.4L turbo dengan janaan 275 hp dan 430 Nm dari 1,700 hingga 3,600 rpm. Unit T24A-FTS ini menggabungkan 8AT serta AWD sepenuh masa kawalan elektronik dan mencatatkan 0-100 km/j dalam masa 7 saat, dan laju maksimum yang sama 200 km/j.

    Nisbah mampatan tinggi dan kecekapan thermal dalam enjin 2.4T, disertai dengan sudut injap dan silinder berkecekapan tinggi yang diperbesar menjadikan pembakaran lebih pantas, menyumbang janaan kuasa lebih tinggi dan prestasi mesra alam.

    GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

    Enjin turbo berkenaan juga menampilkan ciri suntikan minyak tertumpu Lexus yang pertama, yang mana petrol disuntik oleh penyuntik multi-lubang pada tekanan tinggi ke tengah kebuk pembakaran, menjadikan pembakaran optimum dan lengkap. Unit pengecas turbo kini berkecekapan tinggi dengan sistem penyejuk sendiri, yang menggunakan pam elektrik serta intercooler sejukan cecair.

    Pakej F Sport turut melibatkan AVS dan penyerap hentak prestasi di depan dan belakang untuk karektor lebih sporty. Kedua-dua varian 250 dan 350 ini menggunakan rim 20-inci aloi dengan tayar 235/50, tetapi dengan penyudah yang berbeza — kelabu gelap bagi Luxury dan hitam berkilau untuk F Sport. Perbezaan lain F Sport adalah rekaan grilnya, bucu bampar depan yang 18 mm lebih rendah, bingkai gril hitam, perumah cermin sisi hitam, landasan bumbung hitam dan lencana F Sport di sisi.

    Ruang dalaman mempamerkan perubahan yang lebih ketara berbanding model lama. Antaranya, kini tiada lagi Remote Touch Controller yang bermasalah digunakan. Kokpit menerapkan konsep Tazuna yang dipertontonkan pada model LF-30 Electrified yang dipamer ketika Tokyo Motor Show 2019 — sebuah konsep yang “menghubungkan pemandu dengan kereta agar lebih memberi tumpuan kepada pemanduan”. Ini melibatkan penggunaan skrin 14-inci yang enam-inci lebih besar berbanding yang lama.

    GALERI: Lexus NX 350 F Sport 2022 di M’sia, RM390k

    Di keliling skrin besar berkenaan terdapat beberapa tombol kawalan fizikal. Butang penghidup enjin dan pemilih mod pemanduan misalnya ditempatkan dalam kedudukan agar pemandu boleh mencapainya dengan mudah tanpa mengubah postur memandu mereka. Menurut Lexus, jumlah suis fizikal telah dikurangkan daripada 78 kepada 45, hanya untuk fungsi yang kerap digunakan.

    Skrin baru itu juga membawa bersama sistem baru. Menu dipaparkan sebagai ikon lebih dekat dengan pemandu, dan tataletak skrin dibahagi kepada kawasan yang mengikut butiran maklumat berkaitan. Sambungan telefon melalui Android Auto dan Apple CarPlay; yang kedua adalah sambungan tanpa wayar, pertama untuk Lexus.

    Untuk aspek keselamatan, NX lengkap dan meyakinkan. Ia hadir dengan Lexus Safety System+, yang termasuk ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan Stop & Go Function, Lane Keeping System (dengan Lane Tracing Assist dan Lane Departure Alert) serta Adaptive High-beam System (AHS). Kamera undurnya mempunyai pandangan panoramik dan ada tujuh beg udara termasuk untuk lutut pemandu.

     
     
  • 759 pesalah trafik ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol bagi tempoh Jan hingga Apr 2022

    759 pesalah trafik ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol bagi tempoh Jan hingga Apr 2022

    Selepas sektor ekonomi kembali beropeasi setelah ditutup susulan pandemik, pada tahun ini dijangkakan lebih ramai pesalah trafik akan ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh berbanding tahun lalu. Setakat ini, hampir 800 individu telah ditahan dalam tempoh empat bulan pertama 2022 disebabkan kes berkenaan, di mana ia meliputi 66% daripada jumlah keseluruhan yang ditahan atas kesalahan serupa pada tahun lalu, laporan The Star.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata seramai 759 pengguna jalan raya telah ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dari Januari hingga April lalu. “Pada tahun lalu, kami telah menahan seramai 1,155 pengguna jalan raya atas kesalahan yang sama,”ujarnya.

    Malah jumlah operasi untuk mengesan pesalah trafik juga meningkat. “Antara Januari dan April tahun ini, kami telah pun melaksanakan sebanyak 110 operasi berbanding keseluruhan 150 operasi yang dikendalikan sepanjang 2021. Berdasarkan tangkapan bagi kes ini, 99.5% yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk ialah melibatkan kaum lelaki,” dedahnya lagi.

    759 pesalah trafik ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol bagi tempoh Jan hingga Apr 2022

    Sarifudin turut berkata, kesemua yang ditahan itu berhadapan dengan hukuman di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol. Hukuman yang menanti termasuklah denda minimum RM1,000 (boleh meningkat sehingga RM5,000) dan/atau penjara tidak lebih dua tahun. Bagi pesalah trafik yang pertama kali berhadapan dengan kesalahan ini juga boleh hilang kelayakan memandu atau lesen memandu ditarik balik minimum dua tahun.

    Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya mengelak daripada memandu sekiranya mereka mengambil alkohol. “Anda boleh menggunakan teksi, pengangkutan awam termasuk pengangkutan e-hailing. Dengan langkah ini, ia boleh memastikan anda tidak membahayakan nyawa anda serta pemandu lain di jalan raya,” jelasnya.

     
     
  • McLaren Artura kini di Malaysia — 3.0L V6 turbo plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, harga dari RM1.05 juta

    McLaren Artura kini di Malaysia — 3.0L V6 turbo plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, harga dari RM1.05 juta

    Artura, model pertama versi produksi bagi supercar hibrid prestasi tinggi oleh McLaren kini sudah membuat penampilan di Malaysia. Ini merupakan penawaran model berteknologi hibrid kedua oleh jenama itu, dengan yang pertama adalah model P1 pada 2013. Namun, ketika itu hanya 375 unit dikeluarkan, sementara Artura tidak dihadkan pengeluarannya.

    Gandingan penjana kuasa kereta plug-in hybrid ini terdiri daripada enjin petrol V6 3.0 liter turbo berkembar baru, yang menghasilkan 585 PS (577 hp) pada 7,500 rpm dan 585 Nm tork dari 2,250 hingga 7,000 rpm. Ia juga disertai oleh sebuah motor elektrik, yang dipasang di dalam bahagian perumah transmisi klac berkembar lapan-kelajuannya. Ia menyediakan sebanyak 95 PS (94 hp) dan 720 Nm, dan dengan unit ini sahaja mampu memecut hingga 130 km/j.

    Output gabungan keseluruhan sistem ini menghasilkan 680 PS (671 hp) dan 720 Nm. Kereta dengan berat 1,498 kg ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.0 saat. Ia akan sampai kepada 200 km/j dari keadaan pegun dalam masa 8.3 saat, dan ke 300 km/j dalam 21.3 saat. Laju maksimumnya adalah 330 km/j.

    McLaren Artura kini di Malaysia — 3.0L V6 turbo plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, harga dari RM1.05 juta

    Kuasa untuk motor elektriknya disediakan oleh bateri 7.4-kWh dengan lima modul lithium-ion, dan membolehkan Artura bergerak dalam mod elektrik sepenuhya sejauh 30 km. Untuk pengecasan (sambungan Type 2), ia memerlukan 2.5 jam untuk bateri sampai ke tahap 80% dari kosong.

    Artura merupakan model pertama yang dibina menggunakan platform Carbon Lightweight Architecture (MCLA) serba baru McLaren. Dioptimumkan untuk janaan kuasa prestasi tinggi, MCLA ini diperbuat daripada struktur monocoq karbon, casis baru dengan sub-kerangka aluminium dan senibina elektrikal ethernet berdasarkan domain.

    Kelengkapan standard termasuk penyerap hentak hidraulik injap berkembar dan sistem Proactive Damping Control II generasi kedua daripada pengeluarnya. Menawarkan mod Comfort, Sport dan Track, sistem penyerap hentak ini bergantung kepada input daripada siri sensor untuk membaca keadaan di hadapan dengan masa memproses yang pantas untuk memastikan kawalan cekap.

    McLaren Artura kini di Malaysia — 3.0L V6 turbo plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, harga dari RM1.05 juta

    Sistem brek terdiri daripada monoblok enam-piston di depan dan kaliper aluminum empat-piston di belakang, digandingkan dengan cakera karbon seramik 390 mm didepan dan 380 mm di belakang. Untuk roda, Artura menggunakan rim saiz 19-inci di depan dan 20-inci di belakang, dengan tayar khas Pirelli P Zero 235/35 untuk bahagian depan dan 295/35 di belakang.

    Ruang dalaman terdiri daripada skrin menegak lapan-inci MIS II yang turut menyokong sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Ciri standardnya termasuk kerusi Clubsport — yang boleh dipilih untuk hadir dengan palang pengukuh dan harness enam-titik untuk litar.

    McLaren Artura kini di Malaysia — 3.0L V6 turbo plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, harga dari RM1.05 juta

    Aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu pula menyaksikan Artura dilengkapi dengan ADAS, menjadikannya model pertama McLaren yang menawarkan itu. Termasuk dalam pakej berkenaan adalah kawalan melayar adaptif pintar dengan fungsi Stop/Go, pengesan papan tanda jalan, amaran penukaran lorng dan bantuan lampu tinggi.

    Menurut McLaren Kuala Lumpur, Artura di Malaysia datang dengan peninggi gandar depan (untuk melepasi bonggol) dan lapan sensor parkir dalam spesifikasinya. Harga Artura bermula dari RM1,050,000 sebelum cukai dan pilihan lainnya. Ia datang dengan jaminan lima-tahun untuk kenderaan, enam-tahun untuk bateri dan 10 tahun jaminan badan kenderaan.

     
     
  • Aprilia Tuareg 660 dilancar di Malaysia – motosikal adventure 659 cc dengan harga pengenalan RM76k

    Aprilia Tuareg 660 dilancar di Malaysia – motosikal adventure 659 cc dengan harga pengenalan RM76k

    Selain SR GT 200, Didi Group selaku pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia turut melancarkan motosikal adventure Tuareg 660 untuk pasaran. Ia dijual dalam tiga pilihan warna, dengan harga pengenalan RM75,900.

    Enjin Tuareg 660 ini sebenarnya adalah sama seperti RS660 dan Tuono 660, iaitu unit dua silinder selari DOHC 659 cc, tetapi mempunyai talaan yang berbeza untuk menghasilkan 80 hp pada 9,250 rpm dan 70 Nm tork pada 6,500 rpm. Pada RS660, enjin ini menghasilkan 100 hp dan 67 Nm tork.

    Transmisi menggunakan unit enam kelajuan, dengan klac yang dilengkapi sistem assist & slipper. Suspensi Tuareg 660 ini menggunakan kelengkapan daripada Kayaba, dengan di hadapan terdiri daripada fork USD 43 mm dengan jarak gerak 240 mm manakala di belakang terdapat monoshock dengan jarak gerak 240 mm. Kedua-dua bahagian suspensi ini boleh dilaras sepenuhnya.

    Untuk brek, Tuareg 660 menggunakan unit daripada Brembo, dengan di hadapan terdapat cakera berkembar 300 mm bersama angkup dua piston sementara di belakang terdapat cakera 260 mm dengan angkup satu piston. ABS two-channel diberikan secara standard, dan ia boleh ditutup untuk memudahkan tunggangan di kawasan offroad.

    Dengan harga yang boleh dikatakan sedikit tinggi berbanding pesaingnya, Tuareg 660 menawarkan ciri elektronik canggih yang termasuk kawalan cengkaman (ATC), engine braking (AEB), pemetaan enjin (AEM), cruise control (ACC) dan empat mod tunggangan (dua sudah ditetapkan dan dua lagi boleh diubah suai).

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Tuareg 660 ini adalah skrin TFT-LCD 5.0 inci, rim spoked 21 inci di hadapan dengan tayar 90/90 dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang, tangki bahan api 18 liter dan berat keseluruhan 204 kg.

     
     
  • Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

    Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

    Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kini, pelbagai cara masyarakat kita buat untuk berjimat tak kira dalam apa jua perkara. Ini termasuklah hal penyelenggaraan kereta.

    Ada di antara kita yang lebih cenderung untuk membeli sendiri alat ganti sama ada di kedai alat ganti kenderaan, mahupun melalui platform beli-belah atas talian bagi mendapat harga komponen yang lebih murah. Namun kebiasaannya pihak bengkel agak tidak gemar dengan perkara ini dan menimbulkan perselisihan dengan pelanggan.

    Pelanggan macam biasa, bila terjadi perkara seperti ini, pihak bengkel akan dituduh “nak untung lebih”. Tapi betul ke perkara ini adalah kerana keuntungan semata-mata? Sebenarnya apa yang digusarkan oleh pemilik bengkel adalah lebih daripada itu.

    Alat ganti yang ditukar adalah berdasarkan diagnosis mekanik

    Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

    Ada pelanggan yang kadang kala membuat diagnosis sendiri terhadap kereta mereka tanpa sebarang pengetahuan dan pengalaman yang luas. Ada juga yang suka bertanya rakan-rakan dalam media sosial berkenaan masalah yang dialami kereta mereka bagi mengetahui punca kerosakan tersebut, sedangkan rakan-rakan yang menjawab soalan berkenaan juga bukan pakar dalam bidang pembaikan kenderaan.

    Contohnya apabila enjin mengalami gejala ‘misfiring’ – ia menjadi kurang kuasa dan bergegar kerana salah satu silinder enjin tidak berfungsi. Memang lazimnya masalah ini terjadi kerana palam pencucuh sudah rosak, atau mungkin salah satu kabel palam pencucuh tersebut tidak berada dalam keadaan yang baik. Namun kedua-dua faktor ini hanya sebahagian punca mengapa terjadinya misfiring, dan ada pelbagai lagi kemungkinan lain yang boleh menyebabkan masalah yang sama.

    Jadi bagaimana sekiranya enjin kereta anda misfire dan anda terus membeli palam pencucuh dan juga kabel baru sendiri di kedai alat ganti, kemudian membawa kereta ke bengkel untuk menukar komponen tersebut, tetapi selepas itu masalah itu masih juga belum selesai? Duit anda juga yang rugi bukan?

    Ingat, mekanik bukan bomoh. Mereka tak boleh buat diagnosis dengan cara anda hanya memberikan simptom-simpton yang terjadi melalui telefon, dan tidak boleh membuat ‘tafsiran’ yang tepat sekiranya lampu ‘check engine’ menyala. Cara yang paling bagus adalah bawa kereta anda ke bengkel untuk mekanik melakukan proses diagnosis, selepas itu barulah buat keputusan alat ganti mana yang perlu ditukar.

    Ada risiko anda beli salah alat ganti

    Membeli alat ganti ini sebenarnya memerlukan kemahiran. Ini kerana sesebuah model itu bukan sahaja dihasilkan dengan pelbagai varian yang mungkin diberikan komponen berbeza antara satu lain, malah pembuat pihak ketiga untuk satu-satu alat ganti tersebut juga terdiri dari pelbagai syarikat pengeluar berbeza.

    Kadang kala, satu model yang sama dengan varian yang sama, mungkin rekaan satu-satu komponen tersebut berbeza mengikut tahun bila kereta berkenaan diproduksi. Malah ada juga kes di mana anda beli sendiri alat ganti berdasarkan nombor komponen (part number) yang tertera pada komponen berkenaan, ianya masih mempunyai perbezaan kecil yang menyebabkan ia tidak boleh dipadankan pada kereta anda.

    Jadi bagaimana sekiranya alat ganti yang anda beli tersebut tidak sesuai atau tidak boleh dipadankan pada kereta anda? Ini bukan hanya akan menyusahkan diri anda sendiri untuk menukar semula alat ganti tersebut (lebih susah kalau anda beli secara online!) dan mencari komponen sesuai, malah akan menyusahkan pihak bengkel kerana kereta anda ‘tersadai’ di premis mereka, memakan ruang yang sepatutnya mereka boleh guna untuk membaiki kereta lain.

    Bengkel tidak mahu ambil risiko

    Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

    Walaupun anda beli satu-satu komponen alat ganti tersebut baru dari kedai, bukan bermakna alat ganti berkenaan bebas dari sebarang kecacatan (defect) dari kilang. Ini sebenarnya yang dirisaukan oleh pihak bengkel – mereka gusar akan dituduh merosakkan alat ganti berkenaan, padahal ia memang sudah rosak dari kilang. Tak pasal-pasal kena ganti baharu untuk anda.

    Risiko ini akan lebih tinggi sekiranya anda membeli komponen alat ganti recond (juga ada dijual di kedai alat ganti, sebagai pilihan alternatif lebih murah dari komponen 100% baharu), dan juga alat ganti terpakai.

    Sekiranya pihak bengkel sendiri yang membekalkan alat ganti tersebut kepada anda, mereka tidak ada masalah untuk menuntut waranti bagi komponen yang rosak berkenaan dari pihak pembekal, dan tiada sebarang risiko yang mereka perlu risau.

    Keuntungan memang jadi salah satu faktor

    Patutkah kita bawa sendiri alat ganti ke bengkel?

    Ya, keuntungan pihak bengkel memang menjadi salah satu faktor mengapa anda tidak patut bawa alat ganti sendiri ke bengkel. Anda perlu faham, sesebuah bengkel itu dibuka memang sebagai salah satu cara untuk berniaga dan mencari rezeki, mereka bukan badan kebajikan.

    Anda rasa kos sara hidup tinggi menyebabkan anda susah? Begitu juga dengan tuan punya bengkel, mereka juga manusia. Sewa bangunan dan bil-bil perlu dibayar, segala peralatan pembaikan dalam bengkel perlu sentiasa diselenggara, gaji pekerja perlu diberikan mengikut masa, dan pelbagai perkara lagi yang memerlukan kos dikeluarkan. Jadi komponen yang mereka beli dari kedai alat ganti, perlu dijual kepada anda dengan sedikit keuntungan, sebab itulah harga tersebut menjadi lebih tinggi berbanding anda beli terus di kedai alat ganti.

    Pernah tak anda cuba bawa sendiri nasi, ayam, ikan bilis, bawang dan sebagainya ke restoran, kemudian suruh tukang masak di situ masak nasi goreng untuk anda dan anda cuma bayar kos upah masak? Apa jadi kalau anda buat ‘perangai’ seperti itu di restoran? Jadi sama-samalah kita menghormati hak antara satu sama lain. Bukan mudah untuk menjadi seorang mekanik dan juga pemilik bengkel, ilmu, kemahiran dan pengetahuan mereka untuk menyelenggara kenderaan kita bukan diperolehi dalam masa sehari-dua.

     
     
  • Aprilia SR GT 200 dilancar untuk pasaran Malaysia – satu silinder 174 cc, dua versi, harga bermula RM20k

    Aprilia SR GT 200 dilancar untuk pasaran Malaysia – satu silinder 174 cc, dua versi, harga bermula RM20k

    Pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia, Didi Group hari ini melancarkan dua model baru untuk pasaran iaitu skuter SR GT 200 dan Tuareg 660. Bagi SR GT 200, dua versi disediakan, iaitu Standard dan Sport, dengan harga masing-masing RM19,900 dan RM20,900.

    Beza di antara dua versi SR GT 200 ini cumalah grafik dan warna, di mana versi Standard ditawarkan dalam warna Aprilia Black, Infinity Blue dan Street Grey, bersama rim berwarna hitam, manakala versi Sport ditawarkan dalam warna Street Gold, Red Raceway dan Iridium Grey, dengan rim berwarna merah.

    SR GT 200 digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC 174 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, digabungkan bersama transmisi jenis CVT untuk menghasilkan 17.4 hp pada 8,500 rpm dan 16.5 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Di bahagian hadapan, skuter ini menggunakan fork teleskopik 33 mm (tanpa pelarasan), cakera brek 220 mm dan rim 14 inci yang dibalut tayar 110/80 sementara di belakang terdapat dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban, cakera brek 220 mm serta rim 13 inci dengan tayar 130/70. Sistem ABS hanya disediakan untuk roda hadapan (one-channel).

    Kelengkapan lain yang disediakan pada SR GT 200 adalah termasuk panel meter jenis digital, lampu LED, pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk 25 liter, sistem start/stop serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Aprilia MIA (pilihan tambahan).


     
     
  • MIROS gesa penerima kerusi kanak-kanak bersubsidi MyCRS yang layak segera buat pembelian, terhad 188k

    MIROS gesa penerima kerusi kanak-kanak bersubsidi MyCRS yang layak segera buat pembelian, terhad 188k

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengeluarkan kenyataan bagi menggesa penerima program Kerusi Keselamatan Kanak-kanak Bersubsidi Keluarga Malaysia (MyCRS) untuk segera membuat pembelian. Setakat ini, sebanyak 231,012 daripada 427,798 permohonan yang layak menerima subsidi ini, iaitu 20% lebih tinggi berbanding had sebanyak 188,000 penerima yang ditetapkan sebelum ini.

    MIROS turut mengingatkan penerima bahawa subsidi tersebut adalah berdasarkan pembelian dan bukan kelayakan, itulah sebabnya mereka perlu membeli kerusi keselamatan kanak-kanak terbabit segera di 240 cawangan yang diiktiraf di seluruh negara, atau menerusi dalam talian. Senarai cawangan yang diiktiraf itu boleh dilihat menerusi www.mycrs.gov.my.

    Semua pemohon dinasihati menyemak status permohonan mereka sekali lagi menerusi laman web MyCRS kerana data kelayakan telah dikemas kini. Jika permohonan masih tiada dalam senarai yang layak, anda boleh memfailkan rayuan secara dalam talian.

    MIROS menjelaskan peruntukan subsidi bagi kerusi keselamatan kanak-kanak MyCRS ini adalah sebanyak RM30 juta dan ia terhad untuk 188,000 penerima sahaja. Setiap individu yang layak boleh menebus subsidi untuk membeli seunit kerusi Keselamatan Kanak-kanak. Diumumkan menerusi BAJET 2022, kerajaan akan memberi subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak.

    Justeru, penerima digalakkan membuat pembelian secepat mungkin, iaitu dalam tempoh dua bulan dari tarikh permohonan diluluskan, untuk mengelakkan nama terkeluar daripada senarai 188,000 penerima.

    “Jangan tunggu, beli sekarang,” ujar Ketua Pengarah MIROS Datuk Khairil Anwar Abu Kassim.

     
     
  • Perodua catat jualan sebanyak 25,654 unit pada April 2022, susut 4.1% – YTD naik 11.5% berbanding 2021

    Perodua catat jualan sebanyak 25,654 unit pada April 2022, susut 4.1% – YTD naik 11.5% berbanding 2021

    Perodua telah menjual sebanyak 25,654 kenderaan bagi April 2022, di mana jumlah itu adalah 4.1% lebih rendah berbanding 26,759 unit yang direkodkan pada Mac lalu. Sama seperti UMW Toyota Motor (UMT), syarikat bersekutu bagi UMW Holdings ini turut terkesan dengan isu rantaian bekalan yang menjejaskan produksi kenderaan, seperti yang dilaporkan oleh NST.

    Walau pun jumlah tersebut sedikit berkurangan pada bulan lalu, namun Perodua masih menyaksikan peningkatan jualan bagi empat bulan pertama 2022, dengan 87,278 unit yang telah dihantar berbanding 78, 308 unit pada tempoh yang sama pada 2021 – naik sebanyak 11.5%. Menurut laporan, Myvi, Axia dan Bezza menjadi model paling laris bagi jenama berkenaan.

    Angka jualan tahun sehingga kini menyumbang 35% daripada sasaran jualan Perodua sebanyak 247,800 unit untuk 2022, seperti yang diumumkan pada Januari lalu. Masih ada lagi tujuh bulan untuk 2022 menutup tirai, syarikat ini akan terus mencari jalan bagi melonjakkan jualan dengan memperkenalkan model facelift dan baharu, termasuk Alza baharu (dengan kod nama D27A).

    Awal minggu ini, kami melaporkan bahawa pengedar Perodua mula menerima tempahan untuk MPV yang diberikan suntikan lebih segar, yang bakal ditawarkan dengan tiga varian dan harganya pula bermula dari RM69k.

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 6,946 unit kenderaan pada April 2022 — turun 18% berbanding Mac, YTD naik 11%

    UMW Toyota Motor jual 6,946 unit kenderaan pada April 2022 — turun 18% berbanding Mac, YTD naik 11%

    UMW Toyota telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan April 2022 melibatkan serahan sebanyak 6,946 unit kenderaan — dengan 6,868 unit terdiri daripada kenderaan Toyota, sementara baki 78 unit adalah kenderaan Lexus.

    Angka keseluruhan itu mewakili penurunan 18% berbanding jualan 8,487 unit kenderaan yang berjaya dicapai pada bulan Mac, dengan 8,386 kenderaan Toyota dan 101 dari Lexus terjual.

    Seperti dilaporkan oleh NST, UMW Holdings — syarikat induk UMWT — menyifatkan penurunan itu disebabkan oleh masalah kekurangan bekalan yang memberi kesan terhadap pengeluaran kenderaan; masalah yang sama dihadapi oleh pengeluar lain juga. Kumpulan ini menjual keseluruhan 32,600 unit kenderaan, melibatkan kedua-dua syarikat UMWT dan juga syarikat berkaitannya Perodua sepanjang April. Angka berkenaan 7.5% kurang daripada 35,246 unit yang dicapai pada Mac.

    Antara model utama yang paling laris ialah Vios, Yaris, Corolla Cross dan Hilux yang dicatatkan sepanjang bulan lalu. Walaupun dengan penurunan itu, jualan semasa UMWT bagi tahun ini setakat April (YTD) adalah sebanyak 29,393 unit, iaitu 11% lebih banyak berbanding 26,431 unit yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

    Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

    Kereta elektrik comel dari Ora (divisi elektrik sepenuhnya dari jenama China, Great Wall Motors atau GWM) iaitu Good Cat telahpun beberapa kali dilihat diuji di Malaysia sejak 2021. Malah model berkenaan telah dipertontonkan pada Disember tahun lalu di majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030, dan dikhabarkan bakal dilancarkan di Malaysia pada tahun ini.

    Namun kesemua unit berkenaan adalah dari versi pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dihasilkan untuk pasaran domestik China. Tetapi apa yang anda lihat pada galeri yang kami bawakan ini, ia adalah unit sebenar Ora Good Cat dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

    Kereta berkenaan kini berada di ibu pejabat pengedar jenama GWM dan sub jenama SUVnya iaitu Haval di Malaysia, Go Auto yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Ia adalah unit yang serupa dengan Ora Good Cat RHD yang ditemui sedang dicas menggunakan pengecas DC di Vision Motorsport semalam.

    Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

    Ora Good Cat versi RHD ini sebenarnya telahpun dijual di Thailand, dilancarkan di negara berkenaan pada November tahun lalu. Menurut pengarah eksekutif Go Auto Datuk SM Azli Nasimuddin, Ora Good Cat dijangka bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia pada bulan hadapan.

    Menurut beliau lagi, kesemua tiga varian Good Cat iaitu Tech, Pro, Ultra yang dijual di Thailand bakal ditawarkan di Malaysia, dan unit yang dipaparkan ini adalah dari varian Ultra. Beliau turut menyatakan bahawa harga untuk kesemua model tersebut masih belum dimuktamadkan, tetapi mereka mahu agar harga jualannya di Malaysia nanti adalah hampir dengan harga di Thailand.

    Mac lalu, harga untuk kesemua varian Ora Good Cat di Thailand telah dikemaskini mengikut kadar insentif EV baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan negara berkenaan. Model asas Tech kini dijual pada harga 828,500 baht (RM105,350), lebih rendah dari harga asal sebelum itu iaitu 989,000 baht (RM125,700).

    Ora Good Cat EV 2022 di M’sia – pemanduan sebelah kanan; bakal jadi kereta elektrik paling mampu milik?

    Varian pertengahan Pro pula kini dijual pada harga 898,500 baht (RM114,250), 15.1% lebih murah dari harga jualan 1.059 juta baht (RM134,600) sebelum insentif. Manakala varian tertinggi Ultra pula dijual pada harga 1.0385 juta baht (RM132,000), turun dari harga asal 1.199 juta baht (RM152,400). Jika angka-angka ini diambil sebagai rujukan, Ora Good Cat mungkin akan menjadi kereta elektrik paling mampu milik pada pasaran Malaysia kelak.

    Bagi Good Cat varian Tech dan Pro, ia menerima bateri lithium-logam fosfat berkapasiti 47.8-kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 400 km (ujian kitaran NEDC). Bateri tersebut membekalkan kuasa kepada hanya satu motor elektrik yang diletakkan di hadapan dan memacu roda hadapan berkuasa 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan tork 210 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 152 km/j.

    Manakala untuk varian Ultra, ia diberikan bateri kapasiti lebih besar 63.1 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 500 km dengan satu cas penuh (juga, kitaran ujian NEDC). Namun model tertinggi ini masih menerima motor elektrik 143 PS/210 Nm yang sama.

    Kesemua varian Ora Good Cat ini menyokong pengecas AC 6.6 kW menerusi sambungan Type 2. Ia juga boleh dicas dengan pengecas pantas DC sehingga 60 kW menggunakan penyambung CCS2, membolehkan cas 0-80% dipenuhkan dalam masa hanya 45 minit untuk varian Tech dan Pro, dan sekitar sejam untuk varian Ultra.

    Menurut Azli lagi, syarikatnya telah melakukan ujian dengan membawa Ora Good Cat ini untuk di cas di pengecas-pengecas DC awam dan setakat ini masih belum ada sebarang isu yang timbul. Beliau turut menambah bahawa setiap unit Good Cat yang dijual di Malaysia kelak akan didatangkan sekali dengan pengecas rumah.

     
     
  • Honda Prologue ditunjuk dalam teaser – SUV elektrik yang dibangunkan bersama GM, lancar tahun 2024

    Honda Prologue ditunjuk dalam teaser – SUV elektrik yang dibangunkan bersama GM, lancar tahun 2024

    Honda telah menyiarkan teaser pertama SUV elektrik baru mereka, yang akan diperkenalkan sepenuhnya awal tahun 2024. Ia juga adalah hasil pertama kerjasama antara General Motors dengan pengeluar Jepun itu, dan akan membawa kepada model yang ditukar menggunakan lencana Acura.

    Prologue akan menjadi EV pertama Honda yang akan dijual di Amerika Utara dan melalui lukisan digital ini, kita dapat melihat ia menggunakan rekaan yang bersih dan licin, dengan garis bahu yang jelas, tingkap yang menaik ke belakang serta kemasan hitam di sekeliling roda dan bawah kenderaan. Bahagian lampu dan gril yang kelihatan seperti mata bertopeng itu dikatakan mendapat inspirasi daripada Honda e, sementara bukaan udara di tepi bampar menggunakan bentuk menegak.

    Tempat mengecas SUV ini terletak di fender sebelah kiri manakala cermin sisi pula melekat di pintu seperti Civic dan HR-V baru. Menurut Honda, mereka telah memberikan lebih perhatian kepada aerodinamik, untuk mengurangkan bunyi angin, dan ini dianggap penting kerana penggeraknya sendiri sudah sememangnya senyap.

    Honda Prologue ditunjuk dalam teaser – SUV elektrik yang dibangunkan bersama GM, lancar tahun 2024

    Cadillaq Lyriq

    Di sebalik badannya, Prologue akan menggunakan platform elektrik modular GM serta teknologi bateri Ultium, seperti GMC Hummer EV, Chevrolet Silverado EV dan Cadillac Lyriq. Tiada perincian spesifikasi yang didedah, tapi kita boleh menjangkakan sesuatu seperti Lyriq yang mempunyai saiz seakan sama.

    Lyriq ditawarkan dalam dua varian iaitu pertama, yang menggunakan satu motor, pacuan roda belakang dan kuasa 340 hp/440 Nm, sementara satu lagi menggunakan dua motor, pacuan semua roda dan kuasa sekitar 500 hp. Bateri lithium ion 100 kWh padanya mampu menyediakan jarak gerak 502 km bagi versi pacuan dua roda dan ia boleh menerima pengecas pantas DC 190 kW, yang boleh memberikan jarak gerak 100 km selepas dicas cuma 10 minit.

     
     
  • Lexus RX 2023 dalam teaser – model generasi kelima bakal terima perubahan enjin, rekaan lebih moden?

    Lexus RX 2023 dalam teaser – model generasi kelima bakal terima perubahan enjin, rekaan lebih moden?

    Apa yang anda lihat ini adalah gambar teaser untuk SUV Lexus RX generasi baru, yang akan diperkenalkan 1 Jun ini, sebagai pengganti kepada model generasi keempat yang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2015. Setakat yang boleh dilihat, tanda rekaan RX masih ada pada model ini, tetapi ia dimasukkan dengan elemen terkini seperti DRL daripada NX.

    Lexus sendiri masih belum mahu mendedahkan banyak perincian tentang model baru ini, tetapi khabar yang kami terima dari Jepun mengatakan ia bakal melibatkan perubahan enjin, yang terdiri daripada unit empat silinder, dalam tiga versi hibrid dan satu pembakaran dalaman biasa.

    Ini bermakna, enjin petrol V6 3.5 liter tidak lagi akan digunakan, dan ia berkemungkinan diganti dengan enjin petrol empat silinder sebaris 2.4 liter turbo seperti NX350, yang mampu menghasilkan 275 hp/430 Nm, dan dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan empat roda.

    Lexus RX 2023 dalam teaser – model generasi kelima bakal terima perubahan enjin, rekaan lebih moden?

    Kemungkinan bentuk RX 2023, diambil daripada pembentangan model elektrik Lexus

    Ada juga sumber dari Jepun yang mengatakan varian paling tinggi bagi RX generasi baru ini adalah sebuah plug-in hybrid, yang menggunakan enjin 2.4 liter turbo bersama padanan satu motor elektrik, manakala model permulaan dijangka menggunakan enjin 2.5 liter Atkinson-cycle dengan kemampuan 240 hp dan 391 Nm, seperti NX350h.

    Kemudiannya, turut dijangka adalah ketibaan varian RX450h+, yang menggunakan enjin 2.5 liter Atkinson-cycle bersama dua motor elektrik. Pada NX, tetapan ini dipadankan bersama bateri lithium ion 18.1 kWh. Selain daripada itu, ada juga berita yang mengatakan RX baru ini dijangka menggunakan platform TNGA versi GA-K, seperti RAV4, Harrier, NX dan Lexus ES.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025