Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • UMW Toyota akan CKD kenderaan hibrid di Malaysia — model mana yang mungkin berpotensi ditawarkan?

    UMW Toyota akan CKD kenderaan hibrid di Malaysia — model mana yang mungkin berpotensi ditawarkan?

    Hari ini, UMW Toyota Motor (UMWT) telah umumkan bahawa syarikat itu akan memulakan pengeluaran kenderaan hibrid di Malaysia sebagai model CKD. Syarikat itu juga memperuntukkan tambahan RM270 jute untuk memperluaskan operasi pengeluaran sedia ada. Daripada jumlah berkenaan turut termasuk untuk memperkenalkan generasi baru model HEV dengan teknologi maju.

    Bagaimanapun, UMWT tidak memberi petunjuk jelas model hibrid yang mana akan dipasang di sini di bawah rancangan tersebut. Dalam usahanya sebelum ini, hanya ada satu model hibrid yang pernah di-CKD; Camry Hyrbid generasi sebelum ini, yang dilancarkan pada tahun 2015 bersekali dengan Camry XV50 facelift ketika itu. Tanpa insentif cukai, model hibrid segmen D dalam penawaran paling itnggi itu dijual pada harga RM174,900, enam tahun lalu.

    Jadi, dengan pengumuman terbaru ini, model apa agaknya yang mungkin akan dipasang dan dipasarkan di Malaysia? Kita ada Camry generasi terbaru XV70 ketika ini yang turut mempunyai varian hibrid di pasaran lain. Untuk itu, Camry Hybrid facelift mungkin menjadi satu daripada model yang berpotensi untuk di-CKD, walaupun ia tidak terlalu popular ketika ini, disebabkan oleh tanda harga yang agak tinggi, menghampiri tanda harga model jenama premium lain serta diasak oleh pasaran SUV yang makin berkembang.

    UMW Toyota akan CKD kenderaan hibrid di Malaysia — model mana yang mungkin berpotensi ditawarkan?

    Berkaitan SUV pula, Corolla kini sudah mempunyai varian SUV di sini. Toyota Corolla Cross yang dilancarkan pada bulan Mac lalu adalah versi CBU import, tetapi pengeluaran CKD-nya dikhabarkan akan bermula pada separuh kedua tahun ini. SUV ini akan menjadi model dengan asas TNGA yang pertama dipasang di Malaysia.

    Dan ketika ini, crossover itu ditawarkan dengan enjin 1.8L NA, tetapi ia juga hadir sebagai model hibrid di pasaran lain. Toyota Corolla Cross Hybrid menggandingkan enjin 1.8L dengan janaan 98 PS/142 Nm dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm dan bateri Ni-MH untuk output keseluruhan 122 PS. Di Thailand, pilihan janaan kuasa ini ditawarkan untuk kedua-dua Corolla Cross dan C-HR.

    Turut menggunakan sistem hibrid yang sama ialah model Corolla. Sedan segmen C itu kini dijual di Malaysia dalam bentuk CBU, dengan enjin 1.8L NA. Corolla Hybrid juga sebelum ini pernah dilihat di Malaysia pada penghujung 2019 ketika sedang diuji oleh UMWT.

    Kesedaran nampaknya memang sudah terlihat juga sebelum ini. Dalam tahun 2011-2013, banyak kereta hibrid diimport masuk dan diberikan pengecualian cukai. Honda dan Toyota antara yang aktif memanfaatkan kelebihan waktu itu; masih ingat dengan model Toyota Prius generasi ketiga, Toyota Prius C, Lexus CT 200h, Honda Insight dan Honda CR-Z ketika itu juga harganya agak masuk akal, dan menjadi pilihan popular pengguna di bandar.

    UMW Toyota akan CKD kenderaan hibrid di Malaysia — model mana yang mungkin berpotensi ditawarkan?

    Langkah seterusnya selepas itu adalah untuk menggalakkan pengeluaran kenderaan hibrid, dan Honda menjadi pendahulu dengan memasak Jazz Hybrid CKD. Bahkan kilang Honda di Melaka masih lagi mengeluarkan model hibrid hingga ke hari ini. Sementar bagi Toyota pula, pengeluaran CKD model hibrid hanya tertakluk kepada model Camry Hybrid XV50.

    Dari sudut permintaan pula, ia agak sukar ditentukan. Sebelum ini, sambutan terhadapnya adalah disebabkan oleh tanda harga yang lebih rendah, bukan sangat kerana ia barisan kenderaan yang bersih dan mesra alam atau kerana ia menggunakan kuasa bateri untuk bergerak. Harga petrol yand disubsidi juga menjadikan penjimatan yang diberikan oleh kenderaan hibrid tidak terlalu dirasakan perbezaannya. Selain itu, enjin pembakaran dalaman biasa juga sudah semakin cekap, dengan kapasiti lebih kecil dan prestasi menarik dengan turbo.

    Untuk pilihan masa depan, adakan anda akan mempertimbangkan kereta hibrid? Tambahan pula jika ia dipasang di sini, dan diberikan pengecualian cukai serta tanda harga yang lebih berbaloi? Kita tunggu dan lihat perkembangan dari UMW Toyota selepas ini.

     
     
  • GP Australia sekali lagi dibatalkan kerana Covid-19

    GP Australia sekali lagi dibatalkan kerana Covid-19

    FIA telah mengesahkan bahawa Grand Prix Australia digugurkan untuk Formula musim ini atas sebab polisi Covid-19 negara berkenaan. Ia bermaksud ini kali kedua GP tersebut gagal dilangsungkan akibat pandemik Covid-19.

    GP Australia sepatutnya dilangsungkan pada 19-21 Mac lalu sebagai perlumbaan pembuka tirai untuk musim tahun ini. Namun disebabkan kerajaan Victoria mewajibkan semua yang datang dan terlibat dalam perlumbaan berkenaan perlu menjalani kuarantin 14-hari, ia dijadualkan semula untuk diadakan pada 19-21 November, dengan harapan ketika itu polisi berkenaan sudah pun dilonggarkan.

    Walau bagaimanapun, polisi tersebut nampaknya tidak akan berubah sehingga akhir tahun ini, menyebabkan GP Australia terpaksa sekali lagi digugurkan dari kalendar. Ini kerana sekiranya kuarantin 14-hari berkenaan dijalankan, ia akan akan menjejaskan ujian pra-musim selama tiga hari (dijadualkan pada 2-4 Mac) dan juga perkara-perkara lain.

    Ada laporan menyatakan bahawa perbincangan telah dibuat bagi membolehkan pemandu dan pasukan dikecualikan dari kuarantin wajib berkenaan, namun tiada persetujuan dapat dicapai.

    Walau bagaimanapun, jurucakap Formula memberitahu bahawa mereka yakin perlumbaan berkenaan masih boleh dilangsungkan sebanyak 23-pusingan untuk musim 2021 ini. Menurutnya, penganjur kini mempunyai berberapa pilihan untuk diambil bagi menggantikan tempat GP Australia tesebut. Perincian mengenainya akan diumumkan dalam tempoh berberapa minggu akan datang.

    Antara pilihan yang dipertimbangkan adalah mengadakan dua perlumbaan dalam satu lokasi, seperti di Austria, yang akan dibuat di Brazil atau Arab Saudi. Selain Australia, China, Singapura dan Kanada juga terpaksa membatalkan penganjuran Formula 1 mereka tahun ini kerana masalah berkaitan Covid-19.

     
     
  • Ferrari F8 N-Largo oleh Novitec – kit widebody baharu, 3.9L turbo-berkembar, 818 PS/903 Nm; terhad 15 unit

    Ferrari F8 N-Largo oleh Novitec – kit <em>widebody</em> baharu, 3.9L turbo-berkembar, 818 PS/903 Nm; terhad 15 unit

    Novitec secara rasminya telah memperkenalkan Ferrari F8 N-Largo, model supercar modifikasi eksklusif yang diasaskan dari F8 Tributo. Produksinya terhad hanya 15 unit sahaja untuk pasaran global.

    Perkara pertama yang dilihat, sudah pasti rekaannya. Novited bekerjasama dengan pereka Jerman, Vittorio Strosek, untuk membangunkan kit widebody jentera ini, di mana ia 70 mm lebih lebar di hadapan dan 130 mm lebih lebar di belakang, berbanding F8 Tributo. Bampar asalnya telah digantikan dengan unit bespoke, sementara cermin sisi gentian karbon dan corong pengambilan udara direka baharu.

    Ia juga digandingkan dengan roda tempaan Novitec NF10 NL 21-inci dan 22-inci yang dibangunkan dengan kerjasama Vossen, dibaluti tayar prestasi tinggi 255/30 ZR21 (9.5J) dan 335/25 ZR22. Gegelung sport Novited telah mengurangkan ketinggian jentera sebanyak 35 mm, tetapi lift system hadapan boleh dispesikafikasikan, menaikkan hujung hadapannya sebanyak 40 mm dengan menekan butang yang disediakan.

    Ferrari F8 N-Largo oleh Novitec – kit <em>widebody</em> baharu, 3.9L turbo-berkembar, 818 PS/903 Nm; terhad 15 unit

    Dengan N-Largo, Novited telah menaiktaraf turbo dan memasang dua modul kawalan enjin (jenis plug and play) yang memperkenalkan pemetaan khas bagi pencucuhan, suntikan dan kawalan tekanan rangsangan (boost). Selain itu, ia turut menampilkan sistem ekzos kustom yang diperbuat sama ada dari keluli tahan karat atau aloi Inconel yang ringan, dan kedua-duanya menampilkan injap kawalan aktif.

    Kini, dengan peningkatan output sebanyak 98 PS, ia memberikan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 818 PS pada 7,960 rpm dan tork 903 Nm dari serendah 3,100 rpm. Model asasnya dengan padanan enjin 3.9 liter turbno-berkembar V8 mampu menghamburkan kuasa 720 PS dan tork 770 Nm. Ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 2.6 saat (0.2 saat lebih pantas) dan mampu mencapai 200 km/j dalam 7.4 saat (0.4 saat lebih pantas). Ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 340 km/j.

    Sekali lagi makluman, hanya 15 unit sahaja F8 N-Largo ini diproduksi, dan jentera ini juga telah melalui ujian terowong angin. Malahan pelanggan juga boleh memilih warna luaran, roda, kemasan luaran dan kabin mengikut citarasa sendiri.

     
     
  • Mitsubishi Airtrek 2022 didedah di China – kini SUV elektrik sepenuhnya, asas sama dengan GAC Aion V

    Mitsubishi Airtrek 2022 didedah di China – kini SUV elektrik sepenuhnya, asas sama dengan GAC Aion V

    Selepas diumumkan pada April lalu, Mitsubishi Airtrek generasi baharu akhirnya didedahkan secara rasmi di Chongqing International Auto Industry Fair (Auto Chongqing) di China. Namun harus diingat, ini adalah model khas hanya untuk pasaran China dan Airtrek kini adalah SUV elektrik sepenuhnya (EV), tanpa pilihan sebarang enjin konvensional.

    Airtrek 2022 ini dihasilkan oleh GAC Mitsubishi Motors (GMMC), iaitu syarikat kerjasama antara Mitsubishi dan Guangzhou Automobile Group (GAC). Ia diasaskan dari Aion V, iaitu SUV EV dari GAC, kemudian diberikan perincian-perincian rekaan Mitsubishi.

    Oleh itu, Airtrek ini menerima rekaan muka signatur Dynamic Shield Mitsubishi, terdiri dari lampu nyalaan siang LED yang terletak di atas bersama lampu utama berbentuk-L di bawah, memberikan rupa seakan model konsep Mitsubishi Mi-Tech. Disebabkan Airtrek ini dijana oleh tenaga elektrik sepenuhnya, tiada sebarang ruang aliran udara pada gril hadapan selain dari liang yang terletak di bahagian bawah.

    Rekaan Airtrek ini kelihatan agak seiras dengan GAC Aion V termasuk garis-garis karekter badan dan juga pembuka pintu yang “tenggelam’. Apa yang berbeza adalah rekaan “bumbung terapung” pada tiang-C di mana kemasan pada Airtrek adalah lebih kecil dari Aion V, serta tidak diberikan kemasan hitam yang bersambung antara lampu belakang dan juga pembuka pintu belakang.

    Airtrek juga menerima lampu belakang lebih unik berbentuk-T, bersama pintu tailgate belakang direka dengan elemen heksagonal. Model Mitsubishi ini juga diberikan rekaan bampar berbeza dari Aion V, menampilkan bahagian kemasan hitam lebih besar.

    Mitsubishi masih belum mendedahkan dimensi Airtrek generasi baharu ini. Tetapi, GAC Aion V sudahpun dilancarkan pada pasaran China pada tahun lalu, dan dihasilkan dengan dimensi 4,586 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,728 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,830 mm. Jadi dari segi saiz, Aion V adalah lebih kecil dari Mitsubishi Outlander terkini.

    GAC Aion V

    Mitsubishi turut memberikan rekaan unik pada bahagian kabin Airtrek ini. Ia dilengkapi dengan papan pemuka yang minimalis, menampilkan skrin infotainmen besar yang terletak di atas liang pendingin hawa tengah. Skrin tersebut diasingkan dari skrin paparan instrumen digital, berbeza dengan rekaan pada Aion V yang dilihat bercantum sekali.

    Selain itu, kabin Airtrek turut diberikan suis putar pemilih gear, pemegang cawan, pengecas telefon tanpa wayar, serta pelbagai suis kawalan dan ruang simpanan yang kesemuanya terletak di konsol terowong tengah.

    Mitsubishi juga masih belum mengumumkan sebarang perincian berkenaan sistem rangkaian kuasa untuk Airtrek generasi baharu ini. Namun disebabkan ia berkongsi asas yang sama dengan Aion V, sudah tentu ia dihasilkan dari GAC Electric Platform 2.0 (GEP 2.0) yang sama. Aion V dijana oleh motor elektrik yang diletakkan pada sebelah hadapan, memberikan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 350 Nm. Bergantung pada varian, Aion V mampu bergerak sejauh 500 hingga 680 km dengan satu cas penuh bateri.

     
     
  • BMW 2 Series 2022 – teaser rasmi disiar, lagi gambar disebar dalam internet sebelum penampilan sebenar

    BMW 2 Series 2022 – teaser rasmi disiar, lagi gambar disebar dalam internet sebelum penampilan sebenar

    BMW 2 Series G42 hanya akan diperkenalkan secara rasmi hujung minggu ini, semasa acara Goodwood Festival of Speed, tetapi kita sudah dapat mengetahui bentuk kasarnya melalui spyshot, teaser dan juga gambar yang tersebar dalam internet. Hari ini, beberapa lagi disiarkan.

    BMW mengeluarkan teaser rasmi yang menampakkan bahagian sisi hadapan coupe paling kecil mereka tersebut, tetapi ia masih digelapkan. Daripada bayangnya, kita boleh melihat garis badan, lengkuk tayar lebar, sedikit lampu hadapan dan rim 19 inci Style 792 dua tona yang diambil daripada M340i.

    Bagi yang tidak sabar, sebenarnya ada juga gambar yang sudah tersebar di dalam internet, dan dijumpai melalui akaun Instagram wilcoblok. Mulanya cuma gambar bahagian hadapan dan sisi, tapi terbaru, bahagian belakang juga dimuat naik.

    Sekiranya ini adalah gambar 2 Series G42 yang sebenar, ia boleh dikatakan agak unik terutama bentuk serta nyalaan lampunya. Penutup but menjungkit di hujung dan ditambah dengan spoiler nipis di atasnya, kemudian di bawah, bamparnya mempunyai kemasan warna hitam kilat, siap dengan diffuser di tengah serta muncung ekzos berbentuk trapezoid di setiap bucu.

    Selain daripada perubahan bentuk dan rupa, BMW juga telah mengambil keputusan untuk menukar platform 2 Series daripada FAAR kepada CLAR untuk model pacuan roda belakang. Jarak rodanya akan menjadi lebih panjang dan lebar, dan kemungkinan besar ditawarkan dengan enjin empat silinder 2.0 liter turbo sama seperti 3 Series dan 4 Series, bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan.

    GALERI: Gambar teaser BMW 2 Series Coupe 2022

     
     
  • UMW Toyota Motor tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia, akan keluarkan kenderaan hibrid lebih meluas

    UMW Toyota Motor tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia, akan keluarkan kenderaan hibrid lebih meluas

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan arah tuju syarikat untuk nuetraliti karbon, yang melibatkan usaha pengeluaran kenderaan hibrid secara massa atau meluas di Malaysia. Usaha ini adalah lanjutan daripada komitmen global syarikat induk Toyota untuk menyediakan “mobiliti untuk semua” untuk menzahirkan “kegembiraan untuk semua” melalui komitmennya ke arah “Masyarakat yang bersih dan selamat.”

    Dalam mencapai perkara ini, Toyota Motor Corp telah menetapkan sasaran untuk neutraliti karbon menjelang tahun 2050, dalam cara yang praktikal dan mapan. Sebahagian daripada rancangannya adalah untuk mengeluarkan barisan lengkap kenderaan dengan emisi rendah melalui elektrifikasi yang akan memenuhi permintaan yang pelbagai di seluruh dunia.

    Selain kenderaan, banyak lagi usaha yang sedang dirancang untuk mengurangkan emisi karbon dan menangani kesan pembebasan CO2 dalam semua proses kitaran hayat pengilangan, pengangkutan, operasi, bahan api dan/atau pengecasan serta kitar semula pelupusan kenderaan. Semua ini merupakan usaha di peringkat global yang ditetapkan oleh Toyota.

    UMW Toyota Motor tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia, akan keluarkan kenderaan hibrid lebih meluas

    “Arah tuju global Toyota adalah untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050. Ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara progresif yang mempromosi lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mapan,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    “Ini merupakan waktu yang menarik bagi industri automotif Malaysia, dan UMW Toyota Motor bersedia untuk menjadi pelopor kepada impian ini. Untuk mencapainya dengan penyelesaian paling realistik, praktikal dan segera adalah melalui teknologi dan kenderaan hibrid elektrik Toyota,” tambahnya.

    Untuk itu, UMWT akan menambah pelaburan sebanyak RM270 juta bagi tujuan memperluas operasi pengeluaran dan fasiliti sedia ada. Jumlah ini juga termasuk antara lain ialah pengenalan barisan kenderaan kenderaan hibrid elektrik HEV generasi baru dengan teknologi termaju.

    UMW Toyota Motor tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia, akan keluarkan kenderaan hibrid lebih meluas

    “Kami bersedia (dengan pengenalan barisan kenderaan HEV) dan teknologi berkaitan; sokongan servis, prasarana semasa; dasar global dan domestik; tahap mampu milik dan keberkesanan kos; serta kesedaran serta permintaan pelanggan, terutamanya di Malaysia, yang kini berada di tahap paling ideal untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan baru yang menarik ke arah mencapai neutraliti karbon ini,” jelas Takeyama.

    “HEV Toyota sedang berada di tahap paling maju ketika ini, dan mempersembahkan dirinya sebagai penyelesaian paling realistik, segera, ekonomikal dan praktikal bagi pengeluaran pasaran dan jualan massa dari segi pengurangan pembebasan CO2, kemudahan penggunaan dan penerima harga oleh pelanggan,” tambahnya.

    Dengan matlamat untuk menjadi pelopor usaha neutraliti karbon di Malaysia, pelaburan baru UMW Toyota Motor ini adalah tambahan kepada pelaburan terdahulu bernilai RM2 bilion yang digunakan untuk pembinaan kilang di Bukit Raja. Dianggap sebagai sebuah kilang Toyota paling moden dan termaju serta cekap di Asia, kemudahan di Bukit Raja menjadi pendahulu selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab automotif serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).

    UMW Toyota Motor tambah pelaburan RM270 juta di Malaysia, akan keluarkan kenderaan hibrid lebih meluas

    Jejak sekitar kilang berkenaan termasuk pemasangan panel solar 2MW serta kemampuannya untuk mengumpul dan mengitar semula 156 kubik meter air hujan. Ia juga mendahului dengan menampilkan pembebasan terendah bagi sebatian oraganik meruap (Volatile Oraganik Compound) di Asia dengan pemasangan pengoksida suhu regeneratif (Regenerative Thermal Oxidiser).

    Toyota merupakan pelopor utama teknologi kenderaan hibrid elektrik dan telah memajukan lagi teknologi berkenaan dalam tempoh 20 tahun terakhir ini. Setakat hari ini, Toyota telah menjual sebanyak 17 juta kenderaan hibrid elektrik (HEV); kenderaan hibrid elektrik plug-in (PHEV), kenderaan bateri-elektrik (BEV) serta kenderaan elektrik fuel-cell hidrogen (FCEV) di seluruh dunia. Sumbangan terkumpul Toyota untuk pengurangan CO2 adalah bersamaan dengan 17 juta kenderaan yang telah membawa kepada pengurangan 140 juta CO2 atau sekitar 1.5 juta kenderaan penumpang konvensioanal setahun bagi tempoh 20 tahun.

    “Pengenalan teknologi hibrid elektrik akan dengan segera mengubah landskap automotif di Malaysia, untuk warganya. Kami berharap bahawa usaha untuk mempopularkan teknologi masa depan ini melalui pengenalan massa HEV akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan dalam usaha untuk mencapai skala penuh penggunaan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi. Kami berharap kerajaan akan turut mempertimbangkan usaha UMW Toyota Motor untuk disertakan ke dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon Nasional berserta kenderaan bateri-elektriknya yang selari dengan perancangan kerajaan,” ujar Presiden UMWT Toyota, Ravindran K.

     
     
  • Aprilia RS660/Tuono 660 dipanggil balik atas sebab masalah rod penyambung – unit di M’sia tidak terjejas

    Aprilia RS660/Tuono 660 dipanggil balik atas sebab masalah rod penyambung – unit di M’sia tidak terjejas

    Satu panggilan balik mungkin akan dilakukan untuk Aprilia RS660 dan Tuono 660 tidak lama lagi. Ia adalah berkenaan kegagalan rod penyambung di dalam enjin, dan di Amerika Syarikat sudah ada pemilik yang mengalami masalah tersebut.

    Mulanya beliau mengadu berkenaan “bunyi gegaran abnormal” di dalam enjin, dan kemudian, apabila dihantar kepada pusat servis, ia didapati berpunca daripada rod penyambung yang telah retak. Usia sebenar motosikal beliau tidak diketahui tetapi RS660 mula dijual kepada awam pada tahun 2020 dan beberapa bulan selepas itu diikuti oleh Tuono 660.

    Sumber daripada ibu pejabat Piaggio di Noale, Itali mengesahkan terdapat insiden sedemikian, tetapi panggilan balik secara rasmi masih belum dikeluarkan oleh Aprilia. Walaubagaimanapun, pemilik RS660 dan Tuono 660 boleh menghubungi pengedar rasmi Aprilia berhampiran mereka sekiranya terdapat sebarang masalah.

    Aprilia RS660/Tuono 660 dipanggil balik atas sebab masalah rod penyambung – unit di M’sia tidak terjejas

    Sumber yang sama turut memberitahu bahawa daripada semua motosikal yang dihantar ke Asia Tenggara, hanya 89 unit yang terkesan dan melalui senarai nombor VIN yang dikeluarkan, unit yang masuk ke Malaysia tidak terlibat.

    Aprilia RS660 dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Mac lalu, pada harga pengenalan RM59,900, sebelum dinaikkan kepada RM66,000. Setakat ini 30 unit sudah terjual sementara untuk Tuono 660 pula harga yang disiarkan adalah RM77,900.

    GALERI: Aprilia RS660

    GALERI: Aprilia Tuono 660

     
     
  • Great Wall patenkan Volkswagen Beetle klon di Eropah

    Selain dari Haval, Great Wall Motor (GWM) dari China mempunyai pelbagai lagi subjenama di bawahnya, antaranya ialah Ora yang menjadi jenama pengeluar kereta elektrik sepenuhnya (EV). Ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2021 April lalu, Ora telah memperkenalkan model baharu mereka yang digelar Ora Punk Cat, menampilkan rekaan ‘klon’ dari Volkswagen Beetle klasik.

    Sebelum dikenakan apa-apa tindakan diambil oleh Volkswagen seperti apa yang diterima oleh Land Wind yang dikenakan tindakan undang-undang kerana meniru Range Rover Evoque, GWM nampaknya mengambil langkah proaktif – Carscoop melaporkan bahawa syarikat China berkenaan bukan sahaja mendaftarkan paten Punk Cat di negara mereka, malah turut membuat pendaftaran paten tersebut ke Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EU IPO)!

    Menerusi fail paten yang dijumpai, Ora bukan hanya menghantar rekaan Punk Cat yang telah didedahkan di China tempoh hari, malah turut tampil dengan satu lagi varian rekaan untuk klon Beetle berkenaan. Kedua-duanya hadir dengan badan lima pintu, berbanding hanya dua pintu pada Beetle asli.

    Untuk rekaan kedua, ia diberikan rupa yang lebih seperti kartun dan retro, dengan lampu hadapan nampak seperti potongan roti, bar pada bampar hadapan lebih besar, rim lebih ringkas, bonet hadapan lebih menonjol, cermin sisi nampak lebih klasik, diberikan spoiler ekor itik di belakang, dan pelbagai lagi perbezaan lain.

    Dokumen berkenaan turut mendedahkan bahawa dua permohonan Rekaan Komuniti Berdaftar (RCD) berkenaan telah dihantar oleh GWM pada 3 Jun 2021, kemudian diluluskan pada 11 Jun. Dengan geran RCD tersebut, pemegangnya menerima “hak eksklusif di semua negara ahli Kesatuan Eropah sedia ada dan akan datang”. Ia sah selama lima tahun dan boleh diperbaharui setiap lima tahun untuk tempoh maksimum 25 tahun. Geran RCD GWM ini akan luput pada Jun 2026.

    GALERI: Ora Punk Cat yang didedahkan di China

     
     
  • Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

    Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

    Isuzu Malaysia telah memaklumkan model pikap D-Max 2021 di negara ini telah mencatatkan tempahan melebihi 1,200 unit secara purata dalam sebulan sejak ia dilancarkan pada April lalu. Di mana ia telah melonjak dengan kadar 100% peningkatan untuk tempahannya, sekaligus mencerminkan fenomena global yang menyaksikan kenaikan ketara permintaan terhadap trak pikap terbaharu yang banyak menampilkan ciri yang dinaiktaraf ini.

    “Fenomena D-Max serba baharu ini yang melanda beberapa pasaran adalah sesuatu yang membanggakan. Dengan rekaan menarik, tambahan ciri baru dan ciri dipertingkatkan padanya serta reputasi Isuzu yang sudah terbukti turut sama menyumbang untuk meyakinkan pelanggan agar beralih ataupun menaik taraf kepada model D-Max terbaharu ini,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

    Sebelum ini, hanya sekitar 500 unit untuk purata bulanan bagi tempahan D-Max dan menurut Isuzu Malaysia, corak sama turut dikongsi bersama pasaran lain seperti Australia, New Zealand dan Thailand yang menyaksikan pertumbuhan jualan juga semakin tinggi dengan pelanggan tidak melepaskan peluang untuk memilikinya, didorong oleh rekaan sporty dan segar, aspek ergonomik yang diperkaya serta kejuruteraan yang diperkemas padanya.

    Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

    Barisan D-Max 2021 menawarkan tujuh varian yang. bermula dengan model Single Cab paling asas, dengan dengan pilihan enjin 1.9 liter (RM88,599) atau 3.0 liter (RM95,538); diikuti oleh 1.9 liter Standard 4×4 manual (RM99,599) atau automatik (RM106,999); Premium 4×4 Automatik 1.9 liter (RM121,549) dan 3.0 liter (RM128,038); dan varian paling tinggi terbaru yang diperkenalkan, X-Terrain 3.0 liter 4×4 (RM141,938).

    Ada dua kapasiti enjin yang ditawarkan, dengan yang pertama unit RZ4E-TC 1.9 liter common-rail empat-silinder diesel yang sudahpun diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, menghasilkan 150 PS dan 350 Nm tork. Output masih sama, tetapi menurut Isuzu, enjin ini kini lebih lancar dan senyap.

    Bagi unit 4JJ3 3.0 liter, ia diberikan penambah baikan dan peningkatan baharu. Ia kini menghasilkan 190 PS dan 450 Nm tork, menampilkan peningkatan sebanyak 13 PS dan 70 Nm berbanding unit enjin 4JJ1 3.0L yang digunakan sebelum ini — memanfaatkan engine head dan pengecas turbo baharu.

    Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

    Menurut Isuzu Malaysia, varian Premium paling popular di sini kerana ramai yang ingin memanfaatkan kadar cukai jalan yang lebih rendah. Malahan, 61% daripada jualan adalah dari Semenanjung, mengubah corak tradisional dengan nisbah 60/40 yang mana bahagian besar tersebut biasanya disumbangkan oleh pasaran Malaysia Timur.

    Manakala model flagship terbaharu, X-Terrain, pula menyumbang sebanyak 17% daripada keseluruhan jumlah jualan. Walaupun dengan kadar cukai jalan lebih mahal, lebih separuh daripada jualan X-Terrain datangnya dari Semenanjung, dengan pelanggan ingin memanfaatkan kelebihan penawaran yang ada padanya seperti Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan ciri keselesaan, kehalusan serta kabin intuitif, rekaan sporty dan menonjol serta pengendalian yang cekap baik di atas jalan berturap mahupun offroad, menjadikannya pilihan bagi pelanggan yang ingin memenuhi aspek gaya hidup.

    “Penerimaan terhadap model baharu ini sangat positif, mengambil kira kekangan yang kita hadapi ketika ini untuk mendekati dan mengalami sendiri kelebihannya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan protokol keselamatan yang dikenakan ketika ini. Sasaran semasa kami adalah untuk memastikan serahan trak pikap ini berjalan lancar, selamat dan tepat masa kepada pemiliknya, walaupun dalam mendepani cabaran pengurusan serta logistik baik di pasaran tempatan mahupun global,” tambah Suzuki.

    Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT X-Terrain 2021

     
     
  • Genesis G80 Sport – gaya dan kawalan ditambah baik

    Genesis G80 Sport – gaya dan kawalan ditambah baik

    Model G80 (dulunya dikenali sebagai Hyundai Genesis) kini sudah berada dalam tahun kedua penjualannya, dan Genesis merasakan sesuatu perlu dibuat untuk menjadikannya lebih segar. Oleh itu, mereka memperkenalkan satu versi baru yang dinamakan sebagai G80 Sport.

    Varian yang lebih sporty ini dapat dibezakan berbanding varian lain melalui bampar baru yang mempunyai rekaan seperti sayap, dan mempunyai penampilan lebih agresif bersama bahagian dalam lampu yang gelap. Dari tepi, anda boleh melihat rekaan unik rim 20 inci dengan corak hampir sama seperti kemasan dalam gril.

    Bampar belakang juga telah direka semula dengan kini mempunyai lubang udara menegak, serta diffuser yang dibentuk semula dengan menempatkan dua muncung ekzos di bucunya. Semua kemasan krom di bahagian luar kenderaan ini telah digelapkan dan badannya disempurnakan dengan pilihan warna Cavendish Red baru.

    Masuk ke dalam, G80 Sport menggunakan balutan kulit sama ada warna hitam dengan jahitan kelabu atau merah, atau Seville Red. Pembeli juga diberikan pilihan corak jahitan hiasan pada tempat duduk serta kemasan pada papan pemuka sama ada aluminium, gentian karbon atau corak seperti berlian. Stereng juga telah diganti dengan bentuk baru.

    Selain daripada perubahan luaran, ada juga bahagian lain yang diubah pada G80 Sport ini. Casisnya ditala semula untuk memberikan lebih kelincahan, stabiliti waktu laju serta sistem rear-wheel-steering pertama Genesis.

    Enjin tidak diubah, dan ia masih lagi ditawarkan dengan sama ada unit empat silinder 2.5 liter turbo 304 PS/422 Nm, V6 3.5 liter twin turbo 380 PS/530 Nm dan 2.2 liter diesel turbo 210 PS/441 Nm. Kesemuanya dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dengan pilihan pacuan dua roda belakang atau semua roda.

     
     
  • Abarth 695 Esseesse diperkenalkan — lebih ringan, enjin 1.4 liter turbo 180 PS, hanya terhad 1,390 unit

    Abarth 695 Esseesse diperkenalkan — lebih ringan, enjin 1.4 liter turbo 180 PS, hanya terhad 1,390 unit

    Abarth telah mengeluarkan satu lagi model edisi khas yang menggunakan Fiat 500, dinamakan sebagai 695 Esseesse dan hanya akan dihadkan kepada 1,390 unit sahaja. Walaupun dengan nama berkenaan, model ini bukanlah versi dengan tumpuan terhadap prestasi untuk litar seperti 695 Biposto yang diperkenalkan sebelum ini, sebaliknya berkongsi banyak persamaan dengan 595 Esseesse.

    Apapun, ia tetap melibatkan beberapa kelainan ketara, termasuk bonet baru dengan dua bonjolan yang diperbuat daripada aluminium, serta 25% lebih ringan berbanding jika menggunakan material besi. Bersekali dengan sistem ekzos Akrapovic, 695 Esseesse ini 10 kg lebih ringan berbanding 595 Competizione.

    Antara ciri utama yang perlu dinyatakan ialah “Spoiler ad Assetto Variabile”, merujuk kepada wing belakang baru dengan larasan manual dari sudut sifar ke 60 darjah, pertama kali digunakan pada 695 70° Anniversario. Menurut Abarth, pada sudut yang paling agresif dan kelajuan kenderaan 200 km/j, sayap berkenaan memberikan beban aerodinamik tambahan sehingga 42 kg.

    695 Esseesse hanya datang dalam bentuk hatchback sahaja (tiada versi bumbung boleh buka), serta dalam dua pilihan warna — Scorpion Black dan Campovolo Grey — dengan setiap warna hanya akan dikeluarkan sebanyak 695 unit sahaja. Semua unit dilengkapi rim aloi 17-inci dengan kemasan merah di tengah, angkup brek merah, lencana khas serta perincian putih pada bampar, perumah cermin sisi dan pelekat tepi badan.

    Abarth 695 Esseesse diperkenalkan — lebih ringan, enjin 1.4 liter turbo 180 PS, hanya terhad 1,390 unit

    Di dalam, papan pamuka menerika memasan Alcantara dengan tulisan 695 Esseesse diletak di bahagian penumpang. Kerusi Sabelt juga datang dengan jahitan yang padan dengan warna luar yang dipilih, dengan tulisan pada perehat kepalanya. Ruang dalam ini disudahi dengan perincian gentian karbon pada tuil gear, pedal dan stereng.

    Untuk enjin, ia menggunakan unit 1.4 liter turbocas empat-silinder petrol T-Jet yang menghasilkan 180 PS (178 hp) dan 250 Nm tork. Pacuan roda depan, ia menggunakan transmisi manual lima-kelajuan, walaupun pelanggan juga boleh memilih transmisi semi-automatik enam-kelajuan.

    Dari sudut prestasi, model ini memecut dari 0-100 km/j 6.7 saat dengan had laju maksimum 225 km/j. Kereta ini juga menerima penyerap hentak Koni FSD (Frequency Selective Damping) dan angkup brek Brembo empat-omboh di depan.

     
     
  • VIDEO: Karburator lutsinar – tunjuk bagaimana aliran petrol meluwap, bercampur dengan udara pada venturi

    Teori-teori bagaimana enjin berfungsi, biasanya kita boleh lihat menerusi illustrasi dalam buku-buku teks seperti Teknologi Automotif oleh Bahaman Rajuli ketika menuntut di sekolah dan pusat-pusat teknikal.

    Untuk sistem mekanikal, bagaimana omboh atau injap bergerak, mungkin kita boleh lihat menerusi model-model alat bantu mengajar untuk melihat dengan lebih real bagaimana komponen-komponen tersebut bekerja. Namun untuk perkara yang melibatkan perkara lebih kompleks seperti aliran udara dan pembakaran, biasanya kita hanya boleh memahaminya dengan lebih mudah menerusi video-video yang dihasilkan secara CGI.

    Sebelum ini kita sudah tengok bagaimana saluran Warped Perception di Youtube menghasilkan kepala silinder lutsinar, membolehkan kita lihat sendiri bagaimana ‘swirl’ yang berlaku dalam kebuk pembakaran ketika campuran udara dan bahan api meletup. Dan kini, Destin dari saluran SmarterEveryDay menghasilkan satu lagi komponen lutsinar iaitu karburator, yang menjawab persoalan kita bagaimana keadaan sebenar dalam karburator ketika ia sedang beroperasi!

    Memang buat masa sekarang tiada lagi kereta baharu yang hadir dengan sistem karburator. Namun ini adalah asas kepada sistem suntikan bahan api elektronik moden, dan ia telah digunakan secara meluas sebelum pertengahan era 90’an. Jadi secara asasnya, jika anda mahu belajar berkenaan sistem suntikan bahan api, anda terlebih dahulu perlu faham bagaimana karburator ini berfungsi.

    VIDEO: Karburator lutsinar – tunjuk bagaimana aliran petrol meluwap, bercampur dengan udara pada venturi

    Karburator lutsinar yang dihasilkan dengan menggunakan teknologi pencetak 3D, menampilkan komponen-komponen utama seperti takung minyak, pelampung, injap choke, injap pendikit, dan yang paling penting dan menjadi asas kepada karburator iaitu venturi serta jet bahan api utama di tengahnya. Bagi menunjukkan bagaimana ia beroperasi, karburator lutsinar tersebut dipasang pada enjin mesin bajak mini yang ringkas.

    Menerusi karburator berkenaan, kita boleh lihat bagaimana udara yang melalui ‘leher’ venturi yang lebih sempit menyebabkan vakum yang menyedut bahan api dari takung yang terletak di bawah, dan kemudian ‘pecah’ menjadi wap dan bercampur dengan udara sebelum masuk ke kebuk pembakaran.

    Malah, dengan enjin satu silinder pada mesin bajak ini, anda boleh lihat ‘rentak’ sedutan pada tangki kaburator tersebut yang menuruti empat lejang-Otto iaitu ambilan-mampatan-kuasa-ekzos. Cakap banyak tak guna, tontonlah video di atas untuk lihat bagaimana perkara yang selama ini hanya kita bayangkan dalam kepala otak, berlaku depan mata.

     
     
  • BMW 2 Series 2022 – gambar sebenar disebar awal?

    BMW 2 Series 2022 – gambar sebenar disebar awal?

    Setakat ini apa yang kita ada berkenaan BMW 2 Series Coupe 2022 cumalah gambar spyshot dengan penuh pelekat serta beberapa informasi lain. Tapi sekarang nampaknya kita dapat melihat bentuk sebenar model coupe kompak terbaru tersebut lebih awal, sebelum ia membuat penampilan rasmi hujung minggu ini.

    Gambar ini dimuat naik oleh pengguna Instagram wilcoblok, dengan kapsyen yang memberi soalan sama ada ia benar-benar gambar model sebenar yang bocor ataupun sekadar manipulasi digital. Apabila diperkenalkan nanti, model ini dikatakan bakal ditawarkan dalam beberapa pilihan enjin termasuk tiga, empat dan enam silinder.

    Versi enam silinder akan menggunakan lencana M240i xDrive, dengan enjin petrol enam silinder turbo B58 yang menghasilkan 374 PS, bersama padanan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan, pacuan semua roda dan differential M Sports.

    BMW 2 Series 2022 – gambar sebenar disebar awal?

    Laporan awal lain juga ada menyatakan ia kemudiannya akan disertai varian 220i, 225i (pasaran tertentu), 230i dan 220d. Duduk paling atas adalah versi M2, yang dijangka mempunyai kemampuan 400 PS hasil daripada enjin enam silinder turbo S58 daripada M3 G80 dan M4 G82.

    Kita juga sudah mendapat gambaran bahagian dalamnya melalui spyshot yang tersebar sebelum ini. Papan pemukanya mirip seperti di dalam 3 Series G20, dan turut memberi idea kepada penggunaan platform Cluster Architecture (CLAR) asas untuk RWD.

    Ini tidak sama seperti model 2 Series lain yang menggunakan platform FAAR yang diasaskan untuk kereta FWD. Presiden BMW M, markus Flasch juga pernah memberitahu, kereta pacuan roda hadapan tidak sesuai untuk dijadikan model prestasi tinggi M.

    GALERI: Gambar teaser BMW 2 Series Coupe 2022

     
     
  • Volkswagen Tiguan Urban Sport 2021 kini di Eropah

    Volkswagen Tiguan Urban Sport 2021 kini di Eropah

    Model edisi istimewa Volkswagen Tiguan Urban Sport telah pun dilancarkan di Eropah. Ia berasaskan model facelift terkini, dijual pada harga bermula 33,125 euro (RM163k) untuk varian asas 1.5 TSI dengan 130 PS. Pelanggan boleh memilih sehingga sembilan penjana kuasa dan transmisi yang ada dalam penawaran.

    Keunikan kereta ini antaranya bampar belakang yang sama warna dengan badan dihiasi jaluran reflektif, kemasan krom pada ekzos, spoiler belakang yang lebih besar dengan penggayaan R. Manakala bampar hadapan menerima serlahan hitam berkilat, dan cermin sisi kini ditampilkan dengan “Urban Sport” yang dipancarkan ke permukaan bawah. SUV ini juga diberikan roda aloi Sebring 18-inci secara standard.

    Di dalamnya, kemasan istimewa termasuk ambang pintu iluminasi dengan perkataan Urban Sport, pedal kaki keluli tahan karat, alas lantai istimewa dengan pinstripe merah dan jahitan kelabu, serta balutan tempat duduk dengan rekaan baharu dalam warna hitam dan anthracite bersama jahitan merah.

    Volkswagen Tiguan Urban Sport 2021 kini di Eropah

    Lain-lain ciri standard yang ditampilkan termasuklah stereng progresif dan casis sport, tingkap belakang dengan lapisan filem tinted, lampu utama LED dengan sistem Light Assist, radio digital DAB+, sistem tri-zone Air Care Climatronic dengan penapis kombinasi aktif dan Lane Assist.

    Malahan pelanggan juga boleh memilih pakej Urban Sport Plus dengan kos tambahan 1,995 euro (RM9.8k). Ini merangkumi paparan utama, sistem bunyi Harmon Kardon 9-pembesar suara 480-wat dengan 16-saluran amplifier dan subwoofer, serta lampu utama LED matrix dengan lampu selekoh dinamik.

     
     
  • Lamborghini siar teaser Aventador baru untuk 7 Julai

    Lamborghini siar teaser Aventador baru untuk 7 Julai

    Lamborghini telah memberitahu kepada umum mereka akan mengadakan satu acara pada 7 Julai ini, di mana satu produk baru akan diperkenalkan. Ramai yang menjangkakan ia adalah versi baru bagi Aventador, dan petunjuknya sudah nampak dengan penyiaran teaser yang mempunyai kapsyen “untuk menjadi tidak lapuk dek zaman, ia memerlukan masa.”

    Ayat ini bersesuaian dengan Aventador kerana model itu sudah berusia lebih 10 tahun, dan dalam tempoh masa itu, sudah beberapa kali ia diberikan naik taraf dan diperkenalkan dengan edisi keluaran khas.

    Dalam teaser yang disiar, kita cuma boleh melihat bayang kereta sahaja, dan nyalaan lampu hadapan Aventador yang sudah dikenali. Ada laporan mengatakan, ini bukanlah model serba baru, tetapi adalah satu versi akhir Aventador yang mungkin akan dipanggil sebagai Aventador S Jota.

    Ini juga mungkin adalah model sama seperti prototaip yang ditemui dalam video di bawah. Ia mirip seperti Aventador SVJ, tetapi tidak mempunyai sayap yang besar. Perisik dalam video ini mengatakan, model akhir Aventador ini akan menggunakan enjin V12 6.5 liter NA SVJ, tetapi ditala untuk memberikan lebih lagi kuasa berbanding 770 PS dan 720 Nm dalam keadaan asal. Turut disebut adalah keluaran terhad 700 unit sahaja.

    Semasa Lamborghini mendedahkan pelan perancangan masa hadapan Mei lalu, mereka mengesahkan terdapat dua model yang digerakkan enjin V12 akan diperkenalkan tahun ini. Nampaknya ia seperti akan berlaku minggu ini kerana dalam teaser itu terdapat dua buah kereta. Pengganti Aventador pada masa hadapan pula dijangka mendapat bantuan kuasa elektrik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025