Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Palisade ditunjuk di Facebook – SUV tujuh-tempat duduk, 3.8L V6 ini bakal dilancarkan di M’sia?

    Hyundai Palisade ditunjuk di Facebook – SUV tujuh-tempat duduk, 3.8L V6 ini bakal dilancarkan di M’sia?

    Laman Facebook Hyundai Malaysia telah memuat naik soalan pada awal minggu ini; adakah anda merindui aktiviti luaran? Rupa-rupanya memberikan bayangan mengenai Palisade, SUV tujuh-tempat duduk baharu yang mungkin bakal dilancarkan di sini dalam waktu terdekat ini, seperti mana yang Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pernah umumkan pada Mac lalu.

    Hyundai Palisade memiliki ukuran 4,981 mm panjang, 1,976 mm lebar dan 1,750 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,900 mm. Untuk enjinnya, Paliside versi pasaran Malaysia akan dilengkapi dengan unit 3.8 liter V6 yang mampu menghamburkan kuasa cecah 291 hp pada 6,000 rpm dan tork 355 Nm pada 5,000 rpm.

    Transmisinya standard dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, dengan pacuannya disalurkan sama ada ke roda-hadapan atau pun semua-roda dengan sistem HTRAC AWD. Operasi kotak gearnya menerusi shift-by-wire ‘gearstick’, yang menampilkan park logic automatik iaitu gear akan terus ‘masuk ke P’ apabila enjin dimatikan.

    Hyundai Palisade ditunjuk di Facebook – SUV tujuh-tempat duduk, 3.8L V6 ini bakal dilancarkan di M’sia?

    Dengan dimensi yang besar, Palisade mampu memuatkan 510 liter bagi penyimpanan barangan sekiranya semua tempat duduk dalam keadaan normal, tetapi jika inginkan kapasiti yang lebih dari itu, barisan ketiga tempat duduk boleh dibaringkan dan memberikan sehingga 1,297 liter secara keseluruhannya. SUV ini mempunyai bentangan tempat duduk 2-2-3 di mana barisan tengah diberikan sepasang tempat duduk kapten dengan fungsi pemanas dan juga ventilasi.

    Buat masa ini, tiada spesifikasi kelengkapan yang didedahkan, namun Palisade dijangka ditampilkan dengan kluster instrumen TFT 12.3-inci untuk pemandu, dan unit infotainmen Display Audio lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Bagi sesetengah pasaran, ia turut menawarkan unit infotainmen yang lebih besar iaitu bersaiz 10.25-inci.

    Selain itu, ciri lain yang mungkin ditawarkan termasuklah vent diffuser untuk pendingin hawa, yang boleh menyebarkan pengaliran udara separa atau secara penuh hingga ke penumpang belakang, serta tujuh port pengecasan USB.

    Hyundai Palisade ditunjuk di Facebook – SUV tujuh-tempat duduk, 3.8L V6 ini bakal dilancarkan di M’sia?

    Bukan itu sahaja, ia juga menyediakan 16 tempat letak cawan, Driver Talk intercom untuk berkomunikasi dengan penumpang belakang, dan Rear Sleep Mode yang membolehkan pemandu dan penumpang hadapan terus mendengar audio tetapi tidak didengari penumpang di belakang.

    Palisade telah pun memasuki negara jiran, Indonesia, pada Disember lalu, dengan menawarkan tiga varian bermula pada harga 777 juta rupiah (RM222,821) untuk model asas Prime, disusuli dengan Signature berharga 888 juta rupiah (RM245,653) dan juga varian tertinggi Signature AWD pula 1.078 bilion rupiah (RM309,139).

    Versi pemanduan sebelah kanan (RHD) Palisade untuk pasaran termasuk Malaysia, Australia dan New Zealand diproduksi di kilang yang sama dengan versi pemanduan sebelah kiri (LHD) di kilang Hyundai yang terletak di Ulsan, Korea Selatan.

     
     
  • Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

    Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

    Selepas Brunei dan Pakistan, SUV segmen-C Proton X70 kini telah pun dilancarkan di Nepal. Ia dijual oleh Proton Cars Nepal yang diuruskan oleh Jagdamba Motors milik Shanker Group. SUV tersebut ditawarkan dalam empat varian seperti di Malaysia, namun ia hanya dijana oleh enjin 1.5 liter T-GDI seperti spesifikasi pasaran Pakistan.

    Proton X70 Standard 2WD dijual di Nepal pada harga 8.699 juta rupee (RM304,226), diikuti dengan varian Executive 2WD pada harga 9.199 juta rupee (RM321,713). Satu-satunya versi pacuan semua roda juga ditawarkan di negara berkenaan dengan varian Executive AWD dijual pada harga 9.699 juta rupee (RM339,199), manakala varian tertinggi yang ditawarkan adalah Premium 2WD dengan harga 10.499 juta rupee (RM367,177).

    Sebagai perbandingan, Proton X70 dijual pada harga RM 94,800 hingga RM122,800 di Malaysia. Harga yang jauh lebih mahal ini adalah kerana Nepal mengenakan duti import lebih dari 200% untuk kenderaan-kenderaan dari luar negara. Dan ya, kesemua X70 yang dijual pada pasaran Nepal ini adalah diimport sepenuhnya dari kilang Proton di Tanjong Malim, Malaysia.

    Enjin turbo 1.5 liter tiga silinder dengan sistem suntikan bahan api terus pada X70 pasaran Nepal ini menghasilkan 177 PS dan tork 255 Nm, sama dengan unit yang menjana Proton X50 di sini. Berbanding X70 pasaran Malaysia (184 PS/300 Nm) yang menerima enjin turbo 1.8 liter empat silinder, enjin X70 di Nepal menghasilkan kurang 7 PS dan 45 Nm.

    Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan, dengan versi 2WD hanya memacu roda belakang. Buat masa sekarang nampaknya selain Pakistan, Nepal juga menerima X70 yang menerima sistem pacuan semua roda menerusi varian Executive AWD.

    Sebelum ini Proton X70 dalam varian Executive AWD turut ditawarkan di Malaysia. Namun varian tersebut disingkirkan ketika pengenalan X70 versi CKD tahun lalu kerana kekurangan permintaan, dan ia diganti dengan varian Premium X bagi memberikan pilihan lebih sesuai dengan pasaran Malaysia.

    Bagi senarai kelengkapan, model Standard 2WD pasaran Nepal ini menerima rim aloi 17-inci, lampu hadapan projektor halogen, lampu kabus hadapan LED. Ia juga menerima pintu tailgate belakang berkuasa, di mana ciri ini tidak diberikan pada varian paling rendah di Malaysia.

    Pada bahagian dalaman, model paling asas ini diberikan upholsteri fabrik hitam, tempat duduk hadapan larasan manual, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang belakang, sistem penyegar udara, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Sport), paparan instrumen digital dengan skrin LCD tujuh-inci dan roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit.

    Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

    Untuk sistem infotainmen, X70 Standard 2WD ini diberikan skrin sesentuh lapan-inci dengan fungsi arahan suara, hubungan kepada telefon pintar dan Bluetooth, serta enam pembesar suara.

    Manakala model Executive 2WD dan AWD, kedua-duanya menerima rim aloi 18-inci, lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin automatik dengan penderia, upholsteri kulit palsu leatherette, cermin pandang belakang auto-malap, lampu selamat datang, tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala dan lapan pembesar suara.

    Untuk varian tertinggi Premium 2WD pula, ia ditambah dengan rim aloi 19-inci, fungsi bukaan tanpa sentuhan pada pintu tailgate belakang, bumbung panaromik, upholsteri kulit Nappa, sokongan lumbar dua hala untuk tempat duduk pemandu, larasan elektrik empat hala pada tempat duduk penumpang hadapan bersama kawalan sisi tambahan, serta tambahan subwoofer untuk menjadikan sembilan pembesar suara secara keseluruhan dan dibantu dengan power amplifier.

    Sistem keselamatan X70 pasaran Nepal ini juga agak seiras dengan apa yang ditawarkan di Malaysia. Varian Standard diberikan enam beg-udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, auto brake hold, ESC, traction control, hill hold assist, bantuan turun bukit, empat penderia parkir, dan juga kamera undur.

    Proton X70 dilancarkan di Nepal – harga bermula RM304k, hanya enjin 1.5L T-GDI, CBU dari Malaysia

    Model Executive 2WD pula menerima tambahan dua penderia parkir di hadapan dan kamera 369 darjah, manakala versi AWD ditambah dengan sistem pemantau angin tayar. Model tertinggi Premium 2WD pula menerima dua lagi penderia parkir di hadapan, serta sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, pemantau titik buta dan juga lampu tinggi automatik.

    Berbanding di Malaysia, pasaran Nepal ini nampaknya menawarkan pilihan warna badan yang lebih terhad. Pelanggan boleh memilih X70 mereka dalam rona Snow White dan Armour Silver untuk semua varian, Jet Grey tidak ditawarkan untuk varian Executive AWD, manakala Space Grey pula tidak ditawarkan untuk Standard 2WD. Warna Ruby Red dan Cinnamon Brown tidak ditawarkan langsung.

    Juga sama seperti Malaysia, setiap pembelian X70 di Nepal dilindungi dengan waranti selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

     
     
  • MINI John Cooper Works 3 Door facelift 2021 tiba di Malaysia – harga RM303k, enjin 2.0L 231 PS, 320 Nm

    MINI John Cooper Works 3 Door facelift 2021 tiba di Malaysia – harga RM303k, enjin 2.0L 231 PS, 320 Nm

    Selepas MINI F56 hatchback versi facelift kedua dilancarkan bulan lalu, MINI Malaysia kini memperkenalkan pula versi John Cooper Works yang lebih sporty. Hot hatch ini menerima peningkatan visual sama seperti varian yang lebih rendah, tetapi ditambah lagi dengan pelbagai naik taraf prestasi.

    Untuk menikmati prestasi ini, harga yang lebih tinggi juga perlu dibayar kerana MINI JCW ini dijual pada harga RM303,289 tidak termasuk insurans (bersama pengecualian SST), dan datang dengan jaminan selama dua tahun. Sekiranya mahu jaminan empat tahun tanpa had batuan berserta pakej servis, anda perlu membayar RM311,259 untuk harga kereta.

    Enjin empat silinder 2.0L turbo yang digunakan pada model ini dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan yang sama, dan mampu menghasilkan kuasa 231 PS pada 5,200 hingga 6,200 rpm, dan 320 Nm tork pada 1,450 hingga 4,800 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.1 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 246 km/j.

    Peningkatan bahagian luar adalah sama seperti varian lain, termasuk gril besar, kemasan keliling lampu yang digelapkan, kemasan pada fender yang diubah serta rekaan bampar belakang baru. Penambahan khas untuk model JCW adalah seperti dua lubang udara besar di bahagian bawah gril, bukaan udara menegak pada bampar, spoiler di belakang, diffuser serta dua muncung ekzos di tengah.

    Pada bahagian dalam, roda stereng yang direka semula bersama balutan kulit Nappa serta tempat duduk khas JCW disertai dengan kelengkapan lain seperti corong pendingin hawa bulat, pilihan lampu suasana lebih banyak serta panel instrumen digital lima inci.

    Skrin sesentuh di tengah masih lagi berukuran 8.8 inci, tetapi ia dinaik taraf dengan sistem operasi terkini yang boleh disambungkan dengan Live Widgets. Dalam perehat tangan di tengah, terdapat pengecas Qi tanpa wayar untuk telefon bimbit sementara head-up display dan sistem bunyi Harman Kardon 12 pembesar suara terus diberi.

    MINI John Cooper Works 3 Door facelift 2021 tiba di Malaysia – harga RM303k, enjin 2.0L 231 PS, 320 Nm

    Di sebalik badan kereta ini, penyerap adaptif yang digunakan telah ditala semula dan mempunyai daya serapan 10% lebih tinggi berbanding sebelum ini. Rim menggunakan unit JCW Circuit 18 inci dua tona dan di belakangnya terdapat cakera brek besar dengan angkup berlogo JCW.

    Kelengkapan lain yang diberi pada MINI JCW adalah seperti lampu utama LED adaptif, jalur hitam-merah atas bonet, bumbung dan cermin sisi merah, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa dua zon, cermin pandang belakang malap sendiri, bumbung panoramik, tempat duduk larasan manual, Parking Assistant serta kamera undur.

    Satu lagi bahagian penting yang dipertingkat adalah ciri keselamatan. Sama seperti model MINI lain yang dipasarkan di Malaysia, MINI JCW ini diberikan dengan pakej Driving Assistant yang termasuk Autonomous Emergency braking serta Lane Keeping Assist. Ciri lain masih sama, termasuk Stability Control serta ISOFIX di hadapan.

     
     
  • Volvo sasar jarak gerak 1,000 km untuk satu caj bagi kereta elektrik generasi baharu menjelang 2030

    Volvo sasar jarak gerak 1,000 km untuk satu caj bagi kereta elektrik generasi baharu menjelang 2030

    Volvo bukan sahaja mendedahkan Concept Recharged, iaitu kereta konsep yang menayangkan halatuju rekaan mereka selepas ini, malah menerusi acara Tech Moment, jenama dari Sweden berkenaan turut mengumumkan halatuju teknologi masa hadapan mereka untuk menjadi jenama premium kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), selepas mengumumkan tidak lagi akan menghasilkan kereta dengan kuasa bahan api fosil menjelang 2030.

    Salah satu perkara yang akan difokuskan oleh Volvo adalah berkenaan sumber teknologi sel bateri, di mana mereka mensasarkan untuk membangunkan bateri masa hadapan yang mampu untuk mencapai dua perkara penting; lebih jarak gerak dan masa mengecaj lebih cepat.

    Untuk itu, Volvo akan menambahbaik teknologi bateri lithium-ion pada kereta elektrik generasi kedua mereka, bermula dengan SUV baharu yang akan dibangunkan berasaskan platform khas untuk EV. Model Concept Recharged yang didedahkan merupakan bayangan kepada barisan model Volvo pada masa akan datang, serta menunjukkan berberapa perincian yang telah dirancang oleh jenama berkenaan.

    Menurut Volvo, dalam masa terdekat mereka bercadang untuk bekerjasama dengan Northvolt – kedua-dua syarikat telah pun bekerjasama baru-baru ini – bagi meningkatkan ketumpatan tenaga dalam sel bateri sehingga 50%. Sebelum akhir 2030, mereka mensasarkan untu menghasilkan sel bateri yang mempunyai ketumpatan tenaga melebihi 1000 Wh/l, yang setara dengan teknologi bateri solid, dan mencapai jarak gerak dunia sebenar mencecah 1,000 km dengan sekali caj penuh.

    Volvo juga akan memulakan pendekatan baharu berkenaan bagaimana bateri boleh dipakejkan, dan pada pertengahan dekad nanti, Volvo akan memperkenalkan pula kereta elektrik generasi ketiga mereka. Ini akan menyaksikan bateri diintegrasi terus pada lantai, dengan struktur sel juga menyumbang kepada tahap ketegaran keseluruhan kerangka kenderaan.

    Jenama lain seperti Tesla dan Canoo sebenarnya telah mengumumkan rekaan struktur pek bateri mereka sebelum ini, di mana sel-sel bateri berkenaan turut menyumbangkan struktur. Ini akan menyisihkan keperluan untuk material tambahan bagi menghasilkan perumah bateri, dan sekaligus mengurangkan berat serta meningkatkan keberkesanan.

    Volvo sasar jarak gerak 1,000 km untuk satu caj bagi kereta elektrik generasi baharu menjelang 2030

    “Kami mahu meningkatkan kelebihan memandu kereta Volvo elektrik sepenuhnya secara konsisten kepada pelanggan. Dengan meringkaskan rekaan dan integrasi sel-sel bateri kami, kami dapat mengurangkan berat dan memaksimakan ruang, membolehkan kapasiti bateri, jarak dan masa mengecaj ditambah baik secara sepatutnya,” kata Henrik Green, ketua pegawai teknologi Volvo.

    Apabila bateri dengan ketumpatan tenaga sudahpun memberikan manfaatnya, bagaimana untuk mengecajnya secara cepat juga menjadi tumpuan. Untuk ini, Volvo akan menggunakan teknologi bateri yang lebih baik dalam masa yang sama terus menambahbaik perisian serta teknologi caj cepat, dengan sasaran bagi mengurangkan masa mengecaj sedia ada sehingga 50% menjelang pertengahan dekad ini.

    Volvo turut akan memberikan tumpuan terhadap mengurangkan impak karbon pada bateri-bateri, bermula dengan memastikan pembekalnya menggunakan 100% sumber tenaga boleh diperbaharui untuk memproduksi bateri dan menggunakan teknologi blok rantai bagi memastikan pencarian sumber yang bertanggungjawab.

    Volvo sasar jarak gerak 1,000 km untuk satu caj bagi kereta elektrik generasi baharu menjelang 2030

    Syarikat berkenaan turut mahu logam-logam berharga dalam bateri digunakan sebaiknya, termasuk memproduksi semula atau menggunakan semula bateri pada setiap peluang yang boleh. Aplikasi hayat kedua, seperti penyimpanan tenaga, juga sedang diselidik, dalam masa yang sama bateri yang telah mencapai jangka hayat akan dikitar semula.

    Model gantian SUV XC90 kelak akan menampilkan pengecaj dua hala bagi membolehkan pelanggan menyalurkan lebihan tenaga elektrik pada kereta mereka ke grid kuasa. Ini membolehkan pemilik Volvo membekalkan tenaga kepada grid ketika perkara berkaitan harga dan emisi CO2 penghasilan kuasa elektrik berada pada tahap puncak harian, dalam masa yang sama mengecaj kerete mereka ketika emisi rendah.

    “Kami mahu menawarkan pelanggan kereta elektrik sepenuhnya yang mampan membolehkan hidup mereka lebih mudah dan gembira. Menerusi inovasi pintar dan kolobrasi dengan rakan kerjasama utama, kami dapat memberikan pelanggan apa yang mereka mahu – lebih jarak gerak, caj lebih cepat serta kos lebih rendah – dan terus meningkatkan adaptasi mobiliti elektrik,” kata Green.

     
     
  • JPJ Penang tahan 11 pemandu e-hailing kerana tipu penumpang – tidak guna aplikasi, caj tambang mahal

    JPJ Penang tahan 11 pemandu e-hailing kerana tipu penumpang – tidak guna aplikasi, caj tambang mahal

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah menahan 11 buah kenderaan e-hailing selepas didapati mengenakan tambang yang mahal dan tidak menggunakan aplikasi yang ditetapkan oleh pengendali e-hailing.

    Menurut Pengarah JPJ Negeri, Adenan Md Isa, pihaknya telah melakukan intipan sejak minggu lalu, dan kesemua pemandu kenderaan tersebut dikenakan tindakan dalam Ops Khas E-Hailing yang dijalankan sejak dua hari lalu di sekitar Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Jawi dan di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, laporan Bernama.

    Dalam operasi berkenaan, sebanyak 14 kenderaan telah diperiksa dan 11 pemandu kenderaan berkenaan didapati menggunakan aplikasi e-hailing sebagai panduan sahaja untuk menunjukkan harga kepada penumpang.

    “Selepas penumpang setuju dengan harga tersebut, mereka terus membawa penumpang tanpa menekan butang terima (accept). Ini bermakna, semua tambang tersebut diterima oleh mereka tanpa dipotong 20% oleh syarikat e-hailing,” katanya.

    JPJ Penang tahan 11 pemandu e-hailing kerana tipu penumpang – tidak guna aplikasi, caj tambang mahal

    Pihaknya mendapati, kesemua pemandu itu turut mengambil kesempatan ke atas penumpang dengan mengenakan tambang yang tidak masuk akal.

    “Mereka ini akan menunggu di hadapan PKRC Jawi dan mensasarkan pesakit yang baru dibenarkan keluar. Pesakit yang tidak mempunyai kenderaan untuk pulang ke rumah, terpaksa menggunakan perkhidmatan mereka walaupun harga yang dikenakan tidak munasabah.

    “Selain di PKRC, mereka juga akan menunggu pesakit di hadapan IPDSPS kerana kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan menurunkan pesakit di situ. Operasi dijalankan selepas kita menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan pemandu e-hailing ini tidak menggunakan aplikasi selain mengenakan harga yang terlalu tinggi,” katanya.

    Beliau turut memberi amaran kepada semua pemandu e-hailing agar menggunakan aplikasi yang ditetapkan selain tidak mengenakan tambang yang tidak masuk akal demi kepentingan sendiri. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(5)(d) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda RM1,000 sehingga tidak melebihi RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

     
     
  • BMW S1000RR Isle of Man Edition – 50 unit di Perancis

    BMW S1000RR Isle of Man Edition – 50 unit di Perancis

    Sementara perlumbaan Isle of Man (IoM) TT telah dibatalkan tahun ini disebabkan pandemik, BMW Motorrad France telah mengeluarkan 50 unit model edisi khas S1000RR Isle of Man Edition. Harganya ditetapkan pada 33,005 euro (RM162,465) dan hanya akan dijual di Perancis sahaja.

    BMW juga pernah mengeluarkan model edisi seperti ini, tetapi pada model kereta, iaitu BMW M3 Competition G80. Perincian sama digunakan pada S1000RR Isle of Man Edition, termasuk warna badan Isle of Man Green serta rim M warna tembaga (warna sama digunakan pada angkup brek M Carbon Ceramic M3 Competition Isle of Man Edition).

    Turut diberikan terus pada S1000RR keluaran khas ini adalah pakej Carbon Pack, serta kemasan gentian karbon pada tangki bahan api (untuk memberikan persamaan seperti M3 Competition yang menggunakan bumbung gentian karbon). Kemudiannya, lencana nama model diwarnakan hitam.

    BMW S1000RR Isle of Man Edition – 50 unit di Perancis

    Tempat duduk S1000RR Isle of Man Edition dibalut dengan kulit Alcantara dan di tepinya terdapat kemasan berwarna kelabu, seperti konsep balutan kulit Merino Silverstone pada M3 Competition edisi sama. Satu lagi ciri istimewa S1000RR Isle of Man Edition ini adalah lampu LED utama hadapan yang berwarna kuning – dibenarkan untuk kegunaan atas jalan biasa di Perancis.

    Melengkapkan perincian motosikal ini adalah sistem ekzos titanium penuh daripada Akrapovic yang diperkemaskan dengan warna seramik hitam. Di Malaysia, BMW S1000RR dijual dalam dua versi iaitu Standard berharga RM121,500 dan S1000RR M Package RM138,500.

     
     
  • BMW 320i Sport 2021 dapat Live Cockpit Professional dengan skrin lebih besar, Operating System 7, RM231k

    BMW 320i Sport 2021 dapat Live Cockpit Professional dengan skrin lebih besar, Operating System 7, RM231k

    BMW 320i Sport, yang dilancarkan awal tahun lepas kini diberikan naik taraf, pada bahagian sistem infotainmen, yang menjadikannya sama tahap seperti 330i serta 330e M Sport yang lebih mahal. Ini adalah kali kedua spesifikasi sedan varian permulaan ini dirujuk semula, di mana pada tahun lepas ia telah dipertingkat dengan pakej Driving Assistant.

    Sebelum pergi kepada perubahan yang dibuat, kita mulakan dengan harga terlebih dahulu. Model 320i ini sekarang dijual pada harga RM230,764, iaitu RM4,000 lebih mahal daripada sebelum ini. Harga tersebut dikira sekali dengan pengecualian cukai dan datang bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan; pakej jaminan serta servis lima tahun diberikan sebagai pilihan tambahan dan menjadikan harga kereta RM243,889.

    Dengan tambahan harga RM4,000 ini, pertamanya anda akan mendapat Live Cockpit Professional, yang termasuk skrin sesentuh 10.25 inci serta panel instrumen digital 12.3 inci bagi menggantikan unit skrin tengah 8.8 inci serta panel info 5.1 inci di hadapan pemandu sebelum ini.

    BMW 320i Sport 2021 dapat Live Cockpit Professional dengan skrin lebih besar, Operating System 7, RM231k

    Skrin sesentuh BMW Live Cockpit Professional 10.25 inci pada BMW 330i

    Live Cockpit Professional ini beroperasi menggunakan BMW Operating System 7 terkini, yang mempunyai paparan baru lebih besar, kemas kini atas talian serta Intelligent Personal Assistant yang boleh diaktifkan dengan hanya menyebut “Hey BMW.” Sebelum ini, 320i dilancarkan dengan sistem generasi keenam.

    Kelengkapan lain kebanyakannya masih lagi sama, termasuklah kemasan luar Sport Line, lampu LED adaptif, lampu kabus LED, keliling tingkap warna hitam berkilat serta rim 18 inci Style 780 dua tona.

    BMW 320i Sport 2021 dapat Live Cockpit Professional dengan skrin lebih besar, Operating System 7, RM231k

    Panel instrumen BMW Live Cockpit Professional 12.3-inci pada BMW 330i

    Bahagian dalam model ini dibalut dengan kulit Vernasca, dan dipadankan bersama kemasan aluminium serta perincian krom. Selain daripada itu, terdapat juga sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan memori untuk pemandu, Parking Assist, kamera undur, enam pembesar suara serta penutup but boleh buka tanpa sentuh.

    Pakej Driving Assistant masih dikekalkan, dan ini termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist dan Blind Spot Monitoring. Bahagian mekanikal juga masih sama, di mana 320i menggunakan enjin empat silinder 2.0L turbo bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 184 PS dan 300 Nm tork.

    GALERI: BMW 320i Sport G20 2020, CKD

    BMW 330i with the BMW Live Cockpit Professional 12.3-inch instrument display

     
     
  • Jualan EV di Eropah meningkat 11% pada tahun 2020

    Jualan EV di Eropah meningkat 11% pada tahun 2020

    Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) telah mendedahkan sekitar 11% daripada 11.6 juta kereta yang terjual di negara Kesatuan Eropah (EU), Iceland, Norway dan United Kingdom pada tahun lalu adalah kereta elektrik (EV) atau plug-in hybrid. Di mana ia merangkumi satu daripada sembilan kereta yang terjual, dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 3.5% pada tahun 2019.

    Data dari agensi terbabit juga menunjukkan penurunan sebanyak 12% bagi emisi CO2 untuk kereta baharu berbanding tahun 2019, di mana ia merupakan penurunan pertama yang dipantau sejak tahun 2016 dan menurut laporan Reuters, ini merupakan penurunan terbesar sejak EU memperkenalkan standard CO2 bagi kereta untuk tahun 2010. Rata-rata kereta baharu yang didaftarkan oleh pelanggan di Eropah pada tahun lalu mencatatkan 107.8 gram CO2 per kilometer, iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 14.5 gram berbanding tahun 2019.

    Di rantau berkenaan, penjualan kereta elektrik meningkat lebih dari satu juta pada tahun 2020, menguasai sebahagian besar perkongsian pasaran walau pun jualan kereta baharu secara keseluruhannya menurun kerana pandemik COVID-19. EEA juga menyatakan bahawa jualan bagi van elektrik juga meningkat dari 1.4% pada tahun 2019 kepada 2.3% tahun lalu.

    Dengan standard emisi Euro 6d yang lebih diperketatkan sejak dikuatkuasakan pada tahun lalu, mendorong pengeluar kenderaan mengurangkan emisi bagi semua barisan model keluaran mereka termasuk menjual lebih banyak model kenderaan dengan emisi rendah atau membeli kredit daripada pengeluar kereta lain yang melebihi sasaran mereka. Di mana pengeluar kenderaan yang tidak dapat mematuhi peraturan ini akan dikenakan denda, namun EEA tidak mendedahkan mana-mana pengeluar kenderaan yang menepati standard tersebut.

     
     
  • Volkswagen Polo GTI Mk6.5 didedah – 7 PS lebih berkuasa, tiada manual, standard DSG 7-kelajuan

    Volkswagen Polo GTI Mk6.5 didedah – 7 PS lebih berkuasa, tiada manual, standard DSG 7-kelajuan

    Selepas model standardnya didedahkan April lalu, kini versi facelift untuk Polo generasi keenam diperkenalkan pula dalam versi prestasi, Polo GTI. Ia menerima sentuhan rekaan semula dan juga menerima penambahan teknologi sama seperti Polo Mk6.5 biasa, bersama prestasi yang dipertingkat.

    Ia masih dijana oleh enjin 2.0 liter TSI turbo empat-silinder seperti sebelumnya, namun menerima talaan semula bagi menghasilkan 207 PS atau 7 PS lebih berkuasa, dengan tork yang tidak berubah pada kadar 320 Nm. Tetapi apa yang menyedihkan, tiada lagi pilihan kotak gear manual enam-kelajuan. Satu-satunya kotak gear yang ditawarkan iaitu transmisi klac berkembar automatik DSG menerima peningkatan kepada tujuh-kelajuan, berbanding hanya enam sebelum ini.

    Ini membolehkan Polo GTI Mk6.5 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari sebelumnya. Kelengkapan prestasi lain walau bagaimanapun masih tiada perubahan, menampilkan casis talaan prestasi yang 15 mm lebih rendah dari Polo standard, serta menerima XDS differential lock yang berfungsi dengan membrek.

    Volkswagen Polo GTI Mk6.5 didedah – 7 PS lebih berkuasa, tiada manual, standard DSG 7-kelajuan

    Pada bahagian luaran, model facelift ini turut menerima muka yang hampir seiras seperti Golf Mk8 sama seperti Polo standard. Ia juga dibekalkan standard dengan lampu hadpaan LED matriks IQ-Light, bersama lampu nyalaan siang berbentuk-L direka seakan bersambung dengan jalur yang bernyala di bawah gril.

    Rupa lebih agresif Polo GTI ini turut disumbangkan dari rekaan bampar hadapan dan belakang lebih sporty, serta kemasan hitam tambahan pada skirt sisi yang kelihatan sama dengan Polo R-Line. Bampar hadapan Polo GTI ini diberikan liang ambilan udara lebar penuh, dan ia dibezakan dari model standard menerusi gril sarang lebah bersama lampu kabus dengan elemen yang sama.

    Manakala di belakang ia menerima diffuser bersama kemasan warna badan, dan turut kelihatan tip ekzos berkembar logam sebenar, berbanding empat tip palsu pada Polo biasa dalam varian R-Line. Jalur-jalur merah signatur GTI turut menghiasi tempat-tempat sepatutnya.

    Volkswagen Polo GTI Mk6.5 didedah – 7 PS lebih berkuasa, tiada manual, standard DSG 7-kelajuan

    Model ini juga masih diberikan pelbagai rekaan rim aloi dalam saiz 17- hingga 18-inci, namun rim dengan rekaan turbin dalam saiz 18-inci kini tidak ditawarkan lagi.

    Pada bahagian dalaman, ia menampilkan rekaan asas papan pemuka yang sama seperti Polo biasa, tetapi menerima sentuhan GTI seperti panel merah berkilat, roda stereng rata di bawah, tombol gear yang direka semula, upholsteri fabrik tartan, serta serlahan-serlahan jahitan dan kemasan merah pada berberapa bahagian.

    Paparan instrumen Digital Cockpit Pro dengan skrin 10.25-inci pada Polo GTI ini menerima resolusi lebih tinggi. Butang-butang kawalan pada roda stereng serta kawalan pendingin hawa pula dipertingkat dengan sistem sensitif sentuhan seperti model-model terkini VW yang lain.

    Manakala untuk infotainmen, skrin utama kini dipertingkat dengan saiz 9.2 inci, dengan asas sistem modular MIB3 terkini yang manampilkan eSIM bersepadu untuk akses kepada internet. Ini membolehkan ia menawarkan servis internet We Connect dan We Connect Plus, fungsi arahan suara lebih maju, akses untuk servis streaming serta tetapan lebih individu menerusi Volkswagen ID. Hubungan tanpa wayar untuk Apple CarPlay dan Android Auto juga turut tersedia.

    Volkswagen Polo GTI Mk6.5 ini juga ditawarkan dengan fungsi pemanduan separa autonomi VW IQ.Drive Travel Assist. Sistem ini berfungsi dengan cruise control adaptif bersama bantuan pengekal tengah lorong bagi membolehkan pendikit, brek dan stereng dikawal secara automatik.

     
     
  • Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

    Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

    Perkenalkan wajah korporat baru bagi barisan kenderaan elektrik akan datang oleh Volvo. Volvo Concept Recharge telah diumumkan ketika persidangan Tech Moment yang julung kalinya diadakan, yang menyentuh tentang beberapa teknologi dan ciri utama yang dirancang akan dilaksanakan pada kenderaan keluarannya bagi tempoh beberapa tahun ke depan.

    Paling penting, Concept Recharge merupakan model flagship terbaru yang dirancang pengenalannya tahun depan. SUV berkenaan, seperti yang dirujuk oleh pengeluarnya, akan menggunakan asas platform serba baru, walaupun perincian lainnya masih belum didedahkan. Ia juga tidak akan dikenali dengan nama seperti XC90 atau XC100, kerana Volvo akan menerapkan kaedah nama yang lain untuk model-model akan datang.

    Melihat gambar Concept Recharge ini, ia sebuah SUV yang nampak meyakinkan. Tanpa enjin dan kedudukan pek bateri dialih ke bahagian lantai bawah, Volvo berhasil memanjangkan jarak antara rodanya, merendahkan garis bumbung dan mengurangkan ketinggian bonet juga. Tiang A juga lebih condong, semuanya bertujuan untuk menghasilkan permukaan paling lancar untuk aliran udara.

    Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

    Antara sentuhan rekaan lain termasuk overhang depan dan belakang yang lebih pendek, bahagian belakang yang hampir vertikal, roda besar dengan pelindung aero dan sudah tentu, lampu utama LED Thor’s Hammer. Ia kini lebih tirus, dan ada pemisah antara DRL dari elemen lampu utamanya yang diperbuat daripada teknologi definisi tinggi terkini Volvo. Gril depan tertutup sepenuhnya, dan terletak logo Iron Mark.

    Meneruskan pendekatan “less is better”, lampu belakang vertikal Concept Recharge adalah lebih kurus daripada yang pernah ada. Ada juga elemen “sayap” yang akan naik pada kelajuan melayar yang lebih tinggi untuk memperbaiki aerodinamik keseluruhan.

    Rekaan kabin juga baru, dengan kokpit direka sedemikian rupa untuk tidak mengganggu perhatian pemandu dengan pelbagai maklumat. Sebab itu ia hanya menggunakan paparan instrumen yang kurus. Hanya maklumat penting sahaja dipaparkan, seperti kelajuan, tunjuk arah dan tahap cas bateri — selebihnya dikeluarkan, tetapi masih boleh dilihat melalui paparan terapung head-up display.

    Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

    Di tengah ada paparan skrin sentuh besar bersaiz 15-inci. Ia dikuasakan oleh Android Automotive OS dengan Google Assistant, Google Maps dan Google Play tersedia. Perisian itu akan menggunakan visual VolvoCars.OS terbaru, yang menampilkan antaramuka yang lebih ringkas yang lebih intuitif berbanding sebelumnya. Aplikasi telefon pintar khas juga akan membuatkan semua pengalaman ini lebih mudah.

    Ada banyak meterial semula jadi digunakan sebagai perincian untuk ruang kabin ini. Tidak ketinggalan lampu LED untuk di bawah papan pemuka dan bahagian pintu, untuk menerbitkan suasana mood yang pelbagai. Lantai yang rata memberikan lebih banyak ruang untuk penumpang. Seperti SUV semasa Volvo, tempat duduk belakang kedudukannya lebih tinggi untuk memberikan penglihatan lebih baik kepada penumpang.

    Volvo Concept Recharge 2022 buat penampilan sulung — era baru kereta elektrik, nama bukan lagi guna angka

    Seperti dilaporkan sebelum ini, model flagship terbaru akan menggunakan sensor LiDAR sebagai standard untuk semua varian. Sistem pengimejan tepat ini dibangunkan oleh Luminar berfungsi dalam kadar sangat pantas berbanding sistem kamera stereo biasa, yang menurut Volvo akan membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa. Ini yang pertama dalam industri, dan sistem LiDAR ini menelan kos US$1,000 satu.

    Ini digabungkan pula dengan sistem-atas-chip Nvidia Drive Orin, akan membolehkan automasi pada tahap yang lebih tinggi (Highway Pilot). Bahkan, sistem pemanduan sendiri ini boleh dikemaskini dengan cara over-the-air, lebih mudah. Ia juga lebih selamat daripada serangan siber, jadi pengguna tidak perlu risau kenderaan pandu-sendiri mereka dicuri oleh hacker, misalnya. Bagaimanapun, Highway Pilot hanya boleh digunakan di tempat ia dibenarkan sahaja.

     
     
  • Kanada larang penjualan kereta petrol dan diesel baru

    Kanada larang penjualan kereta petrol dan diesel baru

    Kanada mengumumkan negara itu bakal melarang penjualan kenderaan baru yang menggunakan enjin petrol dan diesel, termasuk trak tugasan ringan, bermula tahun 2035 nanti. Ini menjadikannya negara terkini yang menetapkan tempoh masa untuk melupuskan penggunaan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman.

    Hanya kereta dan trak sifar emisi yang akan dijual bermula dari tahun 2035, dan kerajaannya memaklumkan akan memperkenalkan beberapa jenis pelaburan dan peraturan untuk membantu industri automotif untuk melaksanakan perubahan tersebut. Sasaran sementara juga ditetapkan untuk dicapai pada tahun 2025 dan 2030, lapor Reuters.

    Menteri Alam Sekitar Kanada, Jonathan Wilkinson berkata, sasaran jualan kenderaan sifar emisi di Kanada akan diselaraskan dengan negara jiran. “Kami akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk menyelaraskan peraturan kecekapan penggunaan bahan api dan kami sedang mengkaji rebat pengguna, stesen pengecas, pengecualian cukai perniagaan dan kos peralihan industri,” jelasnya dalam satu kenyataan.

    Perdana Menteri Justin Trudeau telah berikrar untuk meletakkan Kanada, negara kedua dengan keluasan terbesar di dunia, ke dalam hala tuju sifar emisi menjelang 2050, dan mengalihkan pengangkutan darat daripada kebergantungan terhadap bahan api fosil menjadi faktor utama untuk mencapai hal itu. Ketika ini, hanya 3.5% kenderaan yang dijual di negara itu ialah kenderaan elektrik.

    Langkah Kanada ini menuruti pengumuman yang dibuat oleh UK bahawa negara itu akan melarang penjualan kenderaan baru dengan enjin petrol dan diesel bermula 2030. Pada 2017, Perancis dan Belanda umumkan masing-masing akan memberhentikan penjualan kenderaan dikuasakan bahan api pada 2040 dan 2030. Norway juga umumkan hal sama pada tahun 2016, menjelang tahun 2025.

    Di rantau ini, Thailand sedang merancang untuk berbuat demikian dan melarang penjualan kereta dikuasakan bahan api fosil menjelang tahun 2035, sementara Singapura telah mengemaskini tarikh akhirnya kepada 2025, lima tahun lebih awal berbanding jadual asal. Sementara itu, Jepun juga sedang mempertimbangkan untuk menghentikan jualan kereta petrol baru pada pertengahan tahun 2030.

     
     
  • Harga minyak 1-7 Julai – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 1-7 Julai  – RON 97 naik 2 sen seliter

    Bagi minggu pertama bulan Julai 2021 bertarikh 1 hingga 7 Julai, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan terdapat peningkatan bagi harga runcit bahan api petrol RON 97 iaitu sebanyak dua sen seliter. Ini menjadikan harganya untuk minggu tersebut menjadi RM2.69 seliter berbanding RM2.67 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala untuk minggu yang sama, tiada perubahan harga siling untuk petrol RON 95 yang masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harganya tidak berubah sejak Februari yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan,7 Julai 2021.

     
     
  • Skoda Kodiaq facelift 2022 – varian vRS dapat enjin 2.0 TSI 245 PS, DSG tujuh kelajuan sama seperti Golf GTI

    Skoda Kodiaq facelift 2022 – varian vRS dapat enjin 2.0 TSI 245 PS, DSG tujuh kelajuan  sama seperti Golf GTI

    SUV perdana Skoda, iaitu Kodiaq telah diberikan facelift tahun ini. Perubahan yang diberi mungkin sukar dilihat dengan sekali imbas, tetapi ia lebih melibatkan kelengkapan, kemasan serta sistem keselamatan yang dipertingkat.

    Pada bahagian rekaan, muka hadapannya kini dipasang dengan gril baru yang sama saiz seperti sebelum ini, tetapi mempunyai kemasan dalam yang lebih tebal dan rapat. Lampu utama LED dengan DRL LED sekarang diberikan standard untuk semua varian, tetapi pelanggan masih diberi pilihan untuk menaik taraf kepada unit LED matriks.

    Perubahan rupa lain yang diberikan termasuklah profail bampar hadapan baru (varian vRS paling tinggi mendapat rekaan sendiri), kemasan bawah bampar lebih rendah serta pilihan pelbagai rekaan rim sehingga saiz 20 inci. Varian vRS seperti di dalam gambar menggunakan unit 20 inci Sagitarius.

    Skoda Kodiaq facelift 2022 – varian vRS dapat enjin 2.0 TSI 245 PS, DSG tujuh kelajuan  sama seperti Golf GTI

    Untuk bahagian belakang, perubahan paling jelas adalah penggunaan lencana tulisan Skoda yang besar pada pintu but, lampu LED dengan grafik C, bahagian bawah bampar dengan muncung ekzos hiasan serta spoiler warna hitam. Menurut Skoda, bergantung kepada varian, spoiler baru ini boleh mengurangkan rintangan angin sehingga 0.31 Cd.

    Di dalam, anda akan dapat melihat penggunaan bahan serta rekaan tempat duduk baru, termasuk pilihan untuk menaik taraf kepada unit balutan kulit dengan fungsi memori, pemanas, liang udara serta fungsi mengurut. Roda stereng masih sama, tetapi mempunyai tambahan butang kawalan.

    Sistem infotainmen minimum yang ditawarkan datang dengan skrin sesentuh lapan inci, sementara unit 9.2 inci diberikan sebagai pilihan tambahan. Kedua-duanya menggunakan sistem dengan fungsi eSIM, jadi peta serta perisiannya boleh dikemas kini secara atas talian. Sambungan Apple CarPlay serta Android Auto tanpa kabel adalah standard, sementara sistem bunyi paling tinggi yang disediakan adalah unit 625 watt dengan 10 pembesar suara.

    Pada varian vRS, panel instrumen Virtual Cockpit 10.25 inci diberikan secara standard tetapi pada varian lain, ia disediakan sebagai pilihan tambahan. Ia telah direka semula dengan lima paparan grafik berbeza yang terdiri daripada Classic, Extended, Basic, Sport dan SportLine (khas untuk vRS sahaja).

    SUV ini akan ditawarkan dengan pilihan tiga enjin, bermula dengan unit 1.5 liter TSI yang menghasilkan sama ada 150 PS atau 190 PS, bergantung kepada varian dan kemudiannya, terdapat enjin empat silinder 2.0 TDI dengan kuasa 150 PS atau 200 PS.

    Varian vRS yang sebelum ini digerakkan oleh enjin diesel biturbo pula diganti dengan enjin 2.0 liter TSI 245 PS/370 Nm buat pertama kalinya, dengan berat yang kini 60 kg lebih ringan. Varian ini sekarang boleh memecut 0-100 km/j dalam 6.6 saat, iaitu 0.4 saat lebih pantas berbanding sebelum ini. Semua enjin Kodiaq mendapat penarafan emisi Euro 6d dan dipadankan dengan transmisi DSG klac berkembar tujuh kelajuan, kecuali varian permulaan 150 PS yang menggunakan transmisi manual enam kelajuan.

     
     
  • PKP 3.0: MOT umum perkhidmatan kaunter JPJ, APAD, Puspakom, LPKP dibuka semula mulai 1 Julai ini

    PKP 3.0: MOT umum perkhidmatan kaunter JPJ, APAD, Puspakom, LPKP dibuka semula mulai 1 Julai ini

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengumumkan bahawa agensi -agensi di bawah MOT akan membuka perkhidmatan kaunter mulai 1 Julai 2021 ini. Agensi-agensi terbabit adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Puspakom dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk Sabah dan Sarawak.

    “Pembukaan dan pengoperasian semula perkhidmatan kaunter kerajaan ketika tempoh Fasa Pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini dibuat setelah meneliti keperluan pembukaan perkhidmatan kaunter kerajaan yang mendesak berdasarkan maklum balas awam.

    “Walau bagaimana pun, ia bersandarkan ketetapan termasuk urusan yang dibenarkan adalah semua urus niaga yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian, kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50%, dan semua urusan adalah secara temu janji berjadual dan walk-in tidak dibenarkan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh MOT itu.

    Bagi JPJ, pembukaan perkhidmatan kaunter tersebut adalah untuk transaksi berkaitan kenderaan komersial dan persendirian kecuali mana-mana perkhidmatan yang boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal awam mySIKAP atau rakan strategik JPJ yang menawarkan perkhidmatan jabatan. Manakala Kiosk pula akan beroperasi seperti biasa.

    Sementara, bagi Puspakom, semua perkhidmatan adalah dibenarkan, namun hanya yang membuat temu janji sahaja yang dilayan.

    PKP 3.0: MOT umum perkhidmatan kaunter JPJ, APAD, Puspakom, LPKP dibuka semula mulai 1 Julai ini

    Manakala untuk APAD pula, semua permohonan boleh dibuat melalui temu janji ini kecuali urusan Kad Pemandu. Para pengusaha dan syarikat boleh membuat temu janji melalui portal APAD yang boleh diakses bermula jam 4 petang, 30 Jun 2021. “Dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), para pengusaha dan syarikat tidak terikat dengan keperluan untuk mengemukakan permohonan memperbaharui lesen dalam tempoh 90 hari sebelum tamat tempoh lesen,” ujar APAD.

    Untuk urusan di bawah LPKP negeri Sarawak dan Sabah, transaksi yang melibatkan kaunter melalui temu janji termasuk permohonan baharu /tambahan Lesen kenderaan komersial, permohonan Ubah Syarat Surat Tawaran Kelulusan (STK), memperbaharui Lesen kenderaan komersial, permohonan Ubah Syarat Lesen kenderaan komersial, cetakan Lesen bagi kenderaan komersial dan pengistiharan serah balik Lesen kenderaan komersial. Tambahan bagi urusan yang melibatkan kaunter bagi LPKP Sabah pula adalah permohonan dan pengambilan Kad Pemandu.

    Pada 1 Jun lalu, semua urus niaga dan perkhidmatan yang disediakan di kaunter-kaunter agensi dihentikan operasi sementara kecuali bagi urusan kenderaan perdagangan perkhidmatan perlu (essential services) yang memerlukan perjalanan rentas sempadan negara sahaja dibenarkan melalui temujanji.

    Berkenaan dengan kelonggaran diberikan kepada pemilik Lesen Memandu (LM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL) yang tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 Jun sehingga 31 Julai 2021, dibenarkan memperbaharui LM, LKM dan PSV masing-masing dalam tempoh 60 hari iaitu bermula 1 Ogos hingga 30 September 2021, tiada sebarang makluman terkini daripada JPJ mahu pun MOT buat setakat ini.

     
     
  • Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

    Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

    Selepas mencatatkan rekod SUV produksi terpantas di Nurburgring Nordschleife dengan masa 7 minit 38.925 saat sebelum ini, akhirnya varian prestasi terbaharu untuk Porsche Cayenne Coupe diperkenalkan secara rasmi. Ia tidak digelar sebagai Turbo S seperti jangkaan ramai, tetapi secara rasmi varian paling pantas untuk SUV ini dikenali sebagai Cayenne Turbo GT.

    Model ini dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 640 PS dan tork maksima 850 Nm. Jadi berbanding Cayenne Turbo Coupe, versi ini adalah 90 PS/80 Nm lebih berkuasa. Ia juga menghasilkan kuasa 40 PS/50 Nm lebih besar dari Audi RS Q8, tetapi masih kurang 10 PS berbanding Lamborghini Urus.

    Menurut Porsche, enjin yang dipadankan pada Cayenne Turbo GT berkenaan adalah enjin lapan-silinder paling berkuasa pernah dihasilkan oleh mereka setakat ini. Ia menerima peningkatan komponen dalaman seperti aci engkol, rod penghubung dan omboh, timing chain, serta penyerap getaran torsi yang direka bagi menahan bebanan lebih tinggi bagi memperbaiki dinamik pemanduan, menurut Porsche.

    Selain itu, enjin ini juga menerima tingkat taraf pada sistem lain seperti pengecas turbo, sistem suntikan bahan api terus, sistem induksi dan juga unit intercooler bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar. Secara standard, Cayenne Turbo GT ini menerima sistem ekzos unik hanya untuknya, menampilkan susun atur yang lebih tertumpu ke tengah, dihasilkan dari titanium untuk paip dari bahagian tengah sehingga ke peredam bunyi belakang. Tiada peredam tengah pada sistem ini untuk menyisihkan berat.

    Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

    Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik Tiptronic S lapan-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda. Kotak penghantar untuk sistem AWD tersebut menerima sistem penyejukkan cecair tambahan, manakala sistem Porsche Traction Management (PTS) juga telah diubahsuai.

    Berbanding Cayenne Turbo Coupe, model Turbo GT ini adalah 17 mm lebih rendah, dengan komponen-komponen casis pasif dan sistem kawalan aktif turut menerima talaan unik hanya untuknya. Menurut Porsche, suspensi udara dengan tiga-kebuk pada SUV tersebut kini 15% lebih keras, bersama karekter penyerap hentak, suspensi aktif PASM, Power Steering Plus dan stereng gandar belakang juga telah menerima talaan semula.

    Perisian kawalan olengan aktif PDCC juga kini telah diprogramkan kearah “orientasi-prestasi”, dan kesemua ini memberikan kestabilan olengan serta cengkaman jalan raya serta kebolehan masuk ke selekoh kelajuan tinggi yang lebih tepat, dakwa Porsche.

    Manakala sistem Porsche Torque Vectoring pada Cayenne Turbo GT ini juga telah dilaras bagi membolehkan nisbah agihan tork yang lebih tinggi, bersama gandar hadapan yang juga disentuh semula.

    Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

    Cayenne Turbo GT ini menerima rim 22-inci G Design dalam kemasan Neodyme. Rim istimewa ini bukan hanya untuk kosmetik semata-mata – ia adalah satu inci lebih lebar di hadapan berbanding Cayenne Turbo Coupe. Ukuran berkenaan untuk disesuaikan dengan larasan sudut camber yang ditingkatkan kepada 0.22 darjah bagi membolehkan tayar Pirelli P Zero Corsa yang membaluti rim berkenaan memberikan sentuhan jalan yang lebih luas.

    Bagi penggayaan luaran, Cayenne Turbo GT ini menerima berberapa perincian unik termasuk apron hadapan dengan spoiler bawah bampar dan liang pengambilan udara sejuk pada setiap sisi, bumbung dan penutup cermin sisi gentian karbon dan juga kemasan ruang roda berwarna hitam.

    Model ini masih diberikan spoiler belakang adaptif, tetapi ia 25 mm lebih lebar dari Cayenne Turbo Coupe bagi memberikan downforce 40 kg tambahan. Ia juga menerima diffuser belakang yang turut diperbuat dari material gentian karbon.

    Pada bahagian dalaman pula, Cayenne Turbo GT menerima balutan-balutan Alcantara untuk upholsteri pada bahagian seperti panel tengah untuk kesemua tempat duduk. Tempat duduk hadapan boleh dilaras lapan hala dengan bantuan elektrik, manakala di belakang pula diberikan dua tempat duduk individu, bersama elemen kontras dalam kemasan Neodyme atau Artic Grey bersama sulaman lencana Turbo GT pada perehat kepala.

    Pemandu pula menerima roda stereng sports pelbagai fungsi dengan penanda pukul 12 berwarna kuning. Untuk hiburan, model ini diberikan sistem infotaimen Porsche Communication Management (PCM) 6.0 yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, serta integrasi mendalam bersama Apple Music dan Apple Podcasts.

    Tempahan untuk model ini telah pun dibuka dan ia dijangka akan sampai ke bilik-bilik pameran pasaran Eropah pada pertengahan September tahun ini. Untuk Amerika Syarikat, tempahannya juga sudah mula diambil dengan jangkaan unit pertama akan tiba ke pengedar di negara tersebut pada awal 2022, dan dijual pada harga bermula US$180,800 (RM751,133).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025