Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PEMULIH: Moratorium pinjaman bank ditawarkan untuk semua rakyat M’sia selama 6 bulan tanpa syarat

    PEMULIH: Moratorium pinjaman bank ditawarkan untuk semua rakyat M’sia selama 6 bulan tanpa syarat

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan enam bulan moratorium bayaran pinjaman bank untuk semua rakyat Malaysia. Ia adalah sebahagian dari Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dirangka oleh kerajaan bagi membantu rakyat yang terjejas atas perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang telah bermula hampir sebulan kerana peningkatan jangkitan wabak COVID-19 yang semakin teruk.

    Moratarium yang diberikan kali ini adalah serupa dengan yang ditawarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lalu. Ia tidak ditawarkan secara bersasar untuk golongan B40 sahaja, tetapi adalah untuk semua orang termasuk kepada kumpulan T20 dan juga usahawan kecil.

    Untuk layak menerima penangguhan bayaran pinjaman dari bank ini, tiada sebarang syarat mahupun dokumen diperlukan. Anda hanya perlu memohon dengan bank masing-masing bermula 7 Julai ini dan menandatangani perjanjian pembiayaan yang telah diubah.

    Kelulusan adalah automatik untuk peminjam individu. Industri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh memohon, namun bukan untuk semua syarikat, ia tertakluk kepada penilaian oleh pihak bank (tidak automatik).

    “Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya petang tadi.

     
     
  • Vinales tamatkan kontrak dengan Yamaha tahun ini

    Vinales tamatkan kontrak dengan Yamaha tahun ini

    Berita Maverick Vinales rasa tidak senang berada dalam pasukan Monster Energy Yamaha sudah beredar kebelakangan ini, dan ia bertambah jelas semalam, apabila berada di atas podium untuk meraikan tempat kedua dalam perlumbaan di Assen, riak muka Vinales tidak menunjukkan keriangan.

    Walaubagaimanapun, apabila ditanya selepas itu, beliau menafikan khabar angin yang tersebar. Kini, tidak sampai 24 jam, keluar satu berita rasmi daripada pasukan factory Yamaha sendiri. Kontrak antara Monster Energy Yamaha dengan Maverick Vinales akan ditamatkan lebih awal, iaitu tahun ini dan bukannya tahun depan seperti yang sepatutnya.

    Dalam siaran akhbar rasmi yang dikeluarkan, Monster Energy Yamaha memberitahu ini adalah permintaan daripada Vinales sendiri tetapi kedua-dua pihak akan terus memberi usaha maksimum dalam baki perlumbaan yang ada musim ini supaya kerjasama dapat ditamatkan dalam kedudukan yang tinggi.

    Vinales tamatkan kontrak dengan Yamaha tahun ini

    “Dengan sedihnya kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Maverick hujung tahun ini. Kami sekarang berada di pertengahan musim kelima bersama dan sepanjang tempoh yang sudah, kami berjaya mencapai banyak kedudukan yang tinggi dan ada juga yang rendah. Selepas perlumbaan German GP, iaitu antara minggu yang paling sukar, kami melakukan perbincangan penting dan membuat keputusan, demi kepentingan kedua-dua pihak, kami akan berpisah,” kata pengarah urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis.

    Bagi Vinales pula, beliau memberitahu kerjasama sepanjang lima tahun ini adalah sangat penting dan keputusan berpisah ini adalah sesuatu yang sukar. Beliau juga menyatakan rasa hormat serta menghargai semua yang terlibat.

    Sekarang ini, satu lagi perkhabaran, sama ada Vinales akan beralih ke pasukan Aprilia atau tidak masih belum terjawab. Namun, dalam satu laporan Aprilia dikatakan pernah memberitahu, “jika Vinales tersedia, kami memang berminat.” Jadi, rasanya kita tunggu pula lah berita rasmi daripada Aprilia pula jika ada.

     
     
  • VIDEO: Geometry A Pro – sedan elektrik Geely yang dipertingkat dengan kuasa 201 hp, jarak gerak 600 km

    VIDEO: Geometry A Pro – sedan elektrik Geely yang dipertingkat dengan kuasa 201 hp, jarak gerak 600 km

    Sebelum muncul dengan Zeekr, Geely sudah mempunyai satu lagi jenama sub untuk kereta elektrik mereka iaitu Geometry. Ia diperkenalkan pada tahun 2019 dengan produk yang disasarkan kepada pasaran kebanyakan, sementara Zeekr pula sekarang wujud sebagai penawaran yang lebih premium.

    Produk pertama Geometry adalah A, iaitu sedan bentuk biasa yang dulunya dikenali sebagai GE11. Ia dikuasakan oleh motor elektrik 161 hp/250 Nm, dan boleh didapati dalam dua saiz bateri iaitu 51.9 kWh yang boleh memberikan jarak gerak 410 km sekali cas dan 61.9 kWh yang menyediakan jarak 500 km. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 8.8 saat.

    Geometry A dipasarkan sebagai sebuah kereta bandar dan juga telah digunakan sebagai teksi mesra alam di China. Walaubagaimanapun, sekarang ia telah dipertingkat lagi supaya dapat memberikan jarak gerak lebih jauh dan dipanggil sebagai Geometry A Pro. Dalam kata ringkas, Geometry A Pro ini adalah versi spesifikasi lebih tinggi berbanding Geometry A.

    Menurut Geely UnCut, bateri 70 kWh pada Geometry A Pro dapat menjimatkan 20% ruang meskipun mempunyai kapasiti yang lebih tinggi. Jarak geraknya boleh mencecah 600 km (mengikut kitaran NEDC) sementara motor elektriknya pula lebih berkuasa – 201 hp (150 kW) dan 310 Nm (lebih 50 hp dan 60 Nm). Pecutan 0-100 km/j pula dua saat lebih cepat berbanding Geometry A, iaitu 6.9 saat.

    Masa pecutan ini hampir sama seperti sebuah hot hatch tetapi pengacara Geely UnCut memberitahu ini bukan sebab pertama yang akan membuatkan anda atau beliau sendiri suka pada kereta tersebut. Sebaliknya, beliau menyatakan Geometry A Pro adalah sebuah kereta yang menenangkan.

    Dalam video itu juga Geometry A Pro diberitahu menggunakan teknologi iBooster terbaru keluaran Bosch. Apabila berada dalam keadaan pemanduan di bandar, sistem tersebut boleh membantu meningkatkan daya tahan bateri sehingga 30% melalui penjanaan semula kuasa.

    Bosch mentafsirkan iBooster ini sebagai satu sistem brek elektromekanikal vacuum-independent yang antara kelebihan utamanya adalah menghasilkan tekanan secara pantas untuk jarak henti yang lebih pendek, dan “rasa pedal terbaik” yang boleh dilaras menjadi lebih sporty atau selesa, bergantung kepada pengeluar kenderaan.

    Jika melihat dari luar, Geometry A Pro boleh dikenali melalui bumbung serta tiang A, B dan C yang berwarna hitam. Di China, Geometry A masih dijual pada harga bermula 120,000 yuan (RM77,123), sementara Geometry A Pro pula dijual pada harga sekitar 148,000 yuan (RM95,116). Geely juga mempunyai perancangan untuk mengeksport Geometry A pada tahun ini.

     
     
  • Panasonic jual semua saham Tesla bernilai RM15 bilion

    Panasonic jual semua saham Tesla bernilai RM15 bilion

    Panasonic telah menjual semua kepentingannya dalam Tesla dengan nilai sekitar 400 bilion Yen (US$3.61 bilion, atau RM15 bilion), dalam usaha syarikat itu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pengeluar kenderaan Amerika itu dan mengumpul modal untuk pertumbuhan pelaburan, jelas jurucakap syarikat itu kepada Reuters baru-baru ini.

    Pada tahun 2010, Panasonic membeli sebanyak 1.4 bilion saham Tesla bernilai sekitar US$30 juta (RM124.5 juta) dengan setiap saham berharga US$21.15 (RM88). Seluruh kepentingan itu bernilai US$730 juta (RM3 bilion) pada penghujung Mac 2020, tetapi naik mendadak — hampir tujuh kali ganda — kepada US$679.82 (RM2,822) sesaham setakat Khamis lalu (24 Jun).

    Penganalisa Ace Research Institute, Hideki Yasuda said: “Kesan aset crypto mungkin telah melonjakkan harga saham Tesla melangkaui nilai intrinsiknya, menjadikannya sangat sesuai untuk dijual.” Saham Panasonic ditutup sehingga 4.9% sehari kemudian, perubahan paling besar sejak Januari.

    Panasonic jual semua saham Tesla bernilai RM15 bilion

    Panasonic juga menjelaskan penjualan semula saham tersebut kerana keputusan “tadbir urus korporat” dan bukannya dipengaruhi oleh hubungan yang semakin goyah bersama Tesla. Penjualan itu tidak akan memberik kesan kepada hubungan dua syarikat terbabit, walaupun Tesla telah mengumumkan ia akan mempelbagaikan rangkaian pembekal bagi bateri dengan menjalin kerjasama dengan LG Energy Solution dari Korea Selatan dan CATL dari China.

    Panasonic juga menjelaskan mereka akan terus kekal sebagai bahagian utama dalam masa depan Tesla. Syarikat itu sedang membangunkan prototaip pengeluaran bagi sel 4,680 lithium-ion untuk Tesla, yang mana Elon Musk berharap akan dapat menjadikan pek bateri lebih rendah dan, seterusnya membolehkan Tesla mengeluarkan kereta elektrik dengan harga US$25,000 (RM104k) sebagai kenyataan dalam masa tiga tahun.

    Hasil daripada penjualan saham tersebut akan membantu Panasonic untuk membayar sebanyak US$7.1 bilion (RM29.47 bilion) untuk mengambilalihan pakar rangkaian pembekal AI US, Blue Yonder. Ini merupakan pengambilalihan terbesar Panasonic dalam tempoh sedekad.

     
     
  • Toyota rancang GR86 versi Lexus? Mungkin digelar Lexus UC, tampil sistem hibrid untuk lebih kuasa

    Toyota rancang GR86 versi Lexus? Mungkin digelar Lexus UC, tampil sistem hibrid untuk lebih kuasa

    Nampaknya kembar Toyota GR86 dan juga Subaru BRZ mungkin akan ada satu lagi adik kembar – menerusi khabar angin yang sedang berlegar di internet, divisi mewah Toyota iaitu Lexus dipercayai kini sedang membangunkan kereta sport baharu mereka yang diasaskan GR86/BRZ generasi baharu.

    Menurut laporan portal automotif Jepun, Spyder 7, GR86 versi Lexus berkenaan mungkin akan didedahkan pada penghujung tahun ini. Ia mungkin akan diberi nama sebagai Lexus UC (Urban Coupe) yang akan diletakkan di bawah dua lagi kereta sport Lexus iaitu RC dan LC.

    Lexus UC tersebut dijangka akan dijana oleh enjin boxer NA 2.4 liter sama seperti GR86 dan BRZ, tetapi akan digandingkan dengan teknologi hibrid elektrik bagi memberikan kuasa tambahan. Buat masa sekarang enjin pada GR86 dan BRZ tersebut menghasilkan 235 PS dan tork maksima 250 Nm dalam keadaan standard.

    Walaupun menerima sistem hibrid, model ini akan masih tetap ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan juga automatik. Sistem hibrid berkenaan juga dikatakan akan membuatkan kereta ini lebih panjang kerana pek bateri yang akan dilengkapkan.

    Menguatkan dakwaan ini, seorang pengguna Twitter dengan akaun Marin_Kawasaki telah menyiarkan foto intipan yang didakwa sebagai unit prototaip ujian Lexus UC tersebut. Foto berkenaan memaparkan sebuah Toyota GR86 dengan gril hadapan spindle signatur Lexus, serta lampu hadapan yang direka semula.

    Walau bagaimanapun, kereta tersebut boleh jadi bukan unit prototaip ujian dari Toyota sendiri. Sebelum ini, syarikat pembuat kit badan dari Jepun, Aimgain turut ada menawarkan kit badan yang membolehkan Toyota 86 generasi sebelumnya kelihatan seperti Lexus LF-Sport.

    Jika benar-benar Lexus UC ini akan dihasilkan, ia mungkin akan menampilkan ruang dalaman yang juga lebih mewah. Bagi GR86 dan Subaru BRZ, ia adalah kereta sport yang dihasilkan untuk mereka yang gemar memandu, dengan kos lebih murah dari kos kereta sport lain, sebab itulah ia tidak menampilkan material-material yang premium pada bahagian kabin.

    Buat masa sekarang, Lexus sendiri belum mengesahkan atau menafikan mereka sedang membangunkan kereta sport UC tersebut kepada dua portal automotif, Car and Driver dan juga Carscoops. Walau bagaimanapun, jurucakap Lexus ada memberitahu mereka bakal memperkenalkan “berberapa perkara yang menarik selepas ini”.

     
     
  • Perkhidmatan LRT mula guna tren baharu KLAV27

    Perkhidmatan LRT mula guna tren baharu KLAV27

    Rapid KL, pengendali bagi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) telah mengumumkan dua set tren pertama di bawah projek ‘Kuala Lumpur Additional Vehicles 27’ (KLAV27) sudah menyertai operasi harian Rapid KL LRT Laluan Kelana Jaya. Dengan memperagakan angka 192 dan 193 sebagai nombor pengenalan tren, kedua-dua tren berkenaan mula digunakan secara rasmi semalam selepas selesai menjalani sesi ujian dan pentauliahan serta mendapat permit kelulusan beroperasi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Menurut Rapid KL, kedua-dua tren set empat-gerabak model Bombardier Innovia Metro 300 yang baharu ini dilengkapi dengan beberapa ciri penambahbaikan berbanding 14 unit set tren bermodel sama, yang digunakan sejak 2018 dan diperolehi di bawah inisiatif KLAV14. Di mana kesemua 27 set tren yang diperolehi di bawah projek KLAV27, yang secara keseluruhan bernilai RM1.7 bilion.

    Ia dilengkapi dengan beberapa ciri penambahbaikan termasuk dalam sistem brek, sistem pintu penumpang, sistem pengurusan tren, sistem kuasa sokongan (auxialiary), dan pengenalan ‘Digital Route Map Display’. Ini adalah sebahagian daripada Sistem Informasi Penumpang yang diintegrasikan dengan sistem pintu, yang sebelum ini berjenis LED.

    Setakat ini, lapan set tren KLAV27 sudah pun berada di Depoh LRT Laluan Kelana Jaya di Subang termasuk dua yang memasuki operasi harian semalam. Enam yang lain masih dalam pelbagai peringkat ujian, pentauliahan dan kelulusan daripada APAD sebelum dibawa masuk dalam perkhidmatan harian. Ujian sistem brek, ujian kuasa tarikan tren (train traction power) serta ujian tanpa gagal (fault free run) adalah antara siri-siri ujian atau pentauliahan yang telah dilalui oleh tren-tren ini sebelum diluluskan oleh APAD.

     
     
  • Pengilang komponen automotif, pusat cuci kereta akan dibenar beroperasi dalam fasa kedua pemulihan negara

    Pengilang komponen automotif, pusat cuci kereta akan dibenar beroperasi dalam fasa kedua pemulihan negara

    Pengilang dan pengeluar komponen automotif akan dibenarkan untuk menyambung aktiviti mereka sebaik sahaja kerajaan mengumumkan peralihan dari fasa satu ke fasa dua Rancangan Pemulihan Kebangsaan (RPN) berkait Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan diketahui nanti.

    Aktiviti berkenaan adalah satu daripada 11 sektor yang akan dibenarkan untuk kembali beroperasi seperti yang dinyatakan dalam senarai yang diumumkan oleh kerajaan semalam. Dalam taklimat hariannya, menteri kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan 11 sektor (enam dari sektor pengilangan, lima dari sektor komersial) akan menyertai sektor penting yang sudah pun beroperasi ketika ini.

    Selain daripada pengeluar komponen kenderaan, pusat cuci kerea juga akan dibenarkan beroperasi dalam fasa kedua nanti. Ini satu daripada lima kategori perniagaan yang akan disambung semula sebagai sebahagian daripada sektor komersial yang akan dibenarkan beroperasi; selebihnya melibatkan kedai buku, perniagaan runcit membabitkan komputer, alat telekomunikasi, perantik elektrik serta salon gunting rambut (yang terakhir ini hanya dibenarkan untuk servis gunting rambut sahaja). Waktu operasi sekiranya dibenarkan kelak ialah dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

    PKP penuh ketika ini, yang bermula dari 1 Jun dan dilanjutkan hingga 28 Jun, masih berlangsung ketika ini. Tiada tarikh diberikan untuk kita mula memasuki fasa kedua seperti yang dimaksudkan, kerana ini bergantung kepada parameter yang telah ditetapkan dalam RPN sebelum ini.

    Pengilang komponen automotif, pusat cuci kereta akan dibenar beroperasi dalam fasa kedua pemulihan negara

    Selain petunjuk yang melibatkan beban kapasiti ICU di hospital dan 10% kadar vaksinasi seluruh negara, kes harian juga perlu turun ke paras 4,000 terlebih dahulu. Melihat perkembangan terdekat ketika ini, ia masih berada pada paras atas 5,000 kes setiap hari.

    Satu perkara yang tidak akan berubah dalam fasa dua nanti ialah larangan pergerakan rentas daerah dan rentas negeri. Ismail Sabri menjelaskan perjalanan seperti itu masih lagi dikekalkan, dengan pengecualian kepada guru dan pelajar yang perlu berbuat demikian untuk tujuan menghadiri peperiksaan.
    Pengecualian juga diberikan kepada pasangan jarak jauh bagi tujuan kecemasan, tertakluk kepada kelulusan polis.

    Bagi servis e-hailing dan teksi, jumlah orang di dalam kereta masih akan dihadkan kepada hanya dua (termasuk pemandu) dalam fasa dua nanti, dan penumpang perlu duduk di belakang. Jumlah orang dalam kenderaan servis ini akan dilonggarkan kepada tiga orang sebaik sahaja memasuki fasa ketiga pemulihan nanti.

     
     
  • Volkswagen hentikan kereta petrol, diesel di Eropah menjelang 2035 – langganan EV mulai musim panas

    Volkswagen hentikan kereta petrol, diesel di Eropah menjelang 2035 – langganan EV mulai musim panas

    Dengan peraturan emisi yang diperketatkan, Volkswagen telah mengesahkan jualan bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman bakal berakhir menjelang tahun 2035. Perkara ini telah disahkan oleh ahli lembaga syarikat untuk jualan dan pemasaran, Klaus Zellmer, dalam temubual bersama akhbar Münchner Merkur.

    Ketika ditanya adalah Volkswagen akan mengikut jejak langkah Audi dalam menghentikan pengeluaran bagi enjin petrol dan diesel menjelang 2033, Zellmer berkata, “Di Eropah, kami akan menghentikan perniagaan kereta enjin pembakaran dalaman antara tahun 2033 dan 2035, dan ini diikuti di pasaran Amerika Syarikat dan China.”

    Ia merupakan maklum balas terhadap cadangan baharu yang dilaporkan sedang dibahaskan di Suruhanjaya Eropah untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60% di benua berkenaan – meningkat dari 55% yang dipersetujui pada April lalu – dan akan menjadi sifar emisi menjelang 2035, dan ia mungkin akan kurang berkesan sekiranya kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman terus dijual di Eropah.

    Zellmer mendakwa Volkswagen sedang dalam persiapan untuk melangkah lebih jauh daripada peraturan yang diperketatkan ini. “Di Eropah, kami akan meningkatkan pengeluaran kereta elektrik-bateri dalam jumlah penjualan sekitar 70% menjelang 2030 – 10% lebih banyak daripada yang ditetapkan oleh badan perundangan,” katanya.

    Volkswagen hentikan kereta petrol, diesel di Eropah menjelang 2035 – langganan EV mulai musim panas

    Di mana Volkswagen akan menggunakan strategi yang berbeza bergantung pada keperluan pasaran tertentu, malahkeputusan akhir juga bergantung pada permintaan pelanggan. “Akan ada pasaran di mana hanya kenderaan elektrik-bateri yang dibenarkan pada tahap lebih awal, mungkin di Norway.

    “Dan akan ada pasaran di mana kenderaan elektrik-bateri tidak akan diterima oleh ekologi, ini kerana elektrik juga akan dihasilkan daripada arang batu pada masa hadapan. Itulah sebabnya kita harus memberikan sedikit kelonggaran bagi enjin pembakaran dalaman dan kenderaan elektrik-bateri. Dan pada akhirnya, kebebasan memilih selalu ada pada pelanggan,” kata Zellmer.

    Untuk memacu permintaan kenderaan elektrik, Volkswagen akan mula melancarkan perkhidmatan langganan ID.3 di Jerman pada musim panas. Zellmer mengatakan bahawa tawaran ini akan mensasarkan pelanggan yang lebih muda yang mencari alternatif yang lebih fleksibel untuk pemilikan kereta, dengan syarikat itu mengharapkan kaedah membeli bukan tradisional menyumbang sekitar 20% penjualan menjelang 2030.

    Volkswagen hentikan kereta petrol, diesel di Eropah menjelang 2035 – langganan EV mulai musim panas

    “Dalam erti kata lain, kereta yang diperlukan adalah untuk jam, hari, minggu, bulan, atau satu tahun atau lebih dari itu. Yang menjadi kebiasaan – membeli, mendaftar, menjada dan memandu – kini dilihat menjadi kurang menarik bagi kebanyakan golongan muda. Lantas, lebih daripada 50% kenderaan kami di Jerman dikendalikan melalui kontrak sewaan. Dengan model langganan, kini kami dapat memberi satu lagi tawaran yang sangat fleksibel untuk pelanggan.”

    Di sebalik semua ini, Volkswagen tetap komited untuk terus meneruskan enjin pembakaran dalaman bagi memenuhi permintaan yang masih tinggi terhadapnya. Menjawab pertanyaan tentang apakah Volkswagen akan menghentikan enjin diesel dalam menghadapi undang-undang yang lebih ketat, Zellmer mengatakan, “Kami memerlukan teknologi pembakaran selama beberapa tahun lagi. Oleh itu, kami akan terus melabur dalam mengoptimumkan penjana kuasa kami.

    “Sudah pasti ia juga diaplikasi bagi enjin diesel. Bagi kemungkinan pengenalan standard Euro 7, diesel tentunya menjadi cabaran tertentu. Tetapi ada profil pemanduan yang mana enjin diesel masih sangat diminati, terutama di kalangan pemandu yang sering memandu dalam jarak perbatuan yang tinggi.”

     
     
  • BMW 2 Series Coupe 2022 akan buat penampilan pertama 8 Julai ini di Goodwood Festival of Speed

    BMW 2 Series Coupe 2022 akan buat penampilan pertama 8 Julai ini di Goodwood Festival of Speed

    BMW telah memilih Goodwood Festival of Speed sebagai tempat untuk mendedahkan kepada dunia buat kali pertama 2 Series Coupe serba baru. Pengganti kepada model generasi pertama F22 ini akan didedahkan pada hari pertama acara, iaitu 8 Julai 2021, dan kemudiannya juga akan ‘membelasah’ laluan mendaki terkenal di situ bersama M5 CS.

    Melalui teaser sebelum ini, BMW telah mendedahkan beberapa perincian 2 Series Coupe. Ia dibina atas platform Cluster Architecture (CLAR), yang sudah digunakan pelbagai model termasuk Z4 G29, 3 Series G20 serta 5 Series G30, dan akan mempunyai jarak roda lebih panjang (+51 mm) serta lebih lebar.

    Buat masa sekarang, BMW memberitahu akan terdapat varian M240i xDrive yang menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris turbo 3.0 liter (B58) bersama gabungan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan untuk menghantar kuasa sehingga 374 PS (369 hp) kepada semua roda (AWD) dan menggunakan differential M Sports.

    BMW 2 Series Coupe 2022 akan buat penampilan pertama 8 Julai ini di Goodwood Festival of Speed

    Varian yang tinggi ini kemudiannya akan disertai beberapa lagi varian seperti 220i yang menggunakan pacuan roda belakang sahaja, 225i (pasaran tertentu), 230i dan 220d. Varian prestasi tinggi M2 juga dilapor bakal membuat kemunculan pada masa akan datang.

    Melalui gambar yang didedahkan sebelum ini, 2 Series Coupe dilihat tidak menggunakan gril yang begitu besar dan mempunyai lampu DRL berbentuk tajam. Bahagian belakang mempunyai dua muncung ekzos berbentuk bulat serta spoiler kecil di atas penutup but.

     
     
  • Toyota GR Yaris HKS Type S diperkenal – kit badan spesifikasi jalan raya, mula dijual di seluruh dunia

    Toyota GR Yaris HKS Type S diperkenal – kit badan spesifikasi jalan raya, mula dijual di seluruh dunia

    Anda sebelum ini mungkin dah pernah nampak kereta demo HKS GR Yaris yang dipandu Nobuteru Taniguchi menggunakan kit badan lebar kan? Kit tersebut sebenarnya adalah dari Pandem, dan kini HKS telahpun memperkenalkan kit badan rekaan mereka sendiri iaitu HKS Type S untuk hot-hatch Toyota GR Yaris.

    Seperti lazimnya HKS Type S yang lain, kit badan ini dihasilkan sesuai untuk kegunaan jalan raya biasa, dan sebab itu ia tidak menampilkan rekaan kit badan lebar. Ia terdiri dari lima komponen iaitu spoiler bawah dan canard untuk bampar hadapan, skirt sisi, spoiler bawah bampar belakang dan juga spoiler bahagian tengah pada pintu hatch – kesemuanya direka berdasarkan data imbasan 3D yang akan memberikan kesan aerodinamik sebenar.

    Menurut HKS, spoiler hadapan pada kit Type S untuk GR Yaris ini direka dengan inspirasi dari kereta-kereta time-attack bersejarah mereka. Komponen tersebut dapat dipasang dengan mudah pada bampar asli GR Yaris dan menerima panel barge pada kedua-dua sisi yang diperbuat dari gentian karbon premium bagi mengalirkan udara secara efektif.

    Toyota GR Yaris HKS Type S diperkenal – kit badan spesifikasi jalan raya, mula dijual di seluruh dunia

    Canard yang dipasang pada kedua-dua sisi bampar hadapan pula berfungsi untuk meningkatkan downforce dengan menyisihkan udara golakan yang menyebabkan seretan dari ruang roda hadapan. Udara dari canard tersebut seterusnya akan diperbaiki oleh satu lagi panel barge yang direka pada skirt sisi kit badan Type S ini.

    Manakala untuk spoiler bawah bampar belakang, ia direka bagi dipadankan dengan mudah pada bampar asal GR Yaris, dan disesuaikan dengan sistem ekzos HKS Super Turbo Muffler yang menampilkan dua tip oval yang jauh lebih besar. HKS masih mengekalkan spoiler bumbung asli GR Yaris ini. Namun pada bahagian tengah pintu hatch belakang, ia ditambah dengan spoiler gentian karbon yang direka dengan gaya sayap GT.

    HKS mendakwa bahawa spoiler ini tidak akan menjejas rekaan aerodinamik asal GR Yaris, malah downforce dapat ditingkatkan menerusi mengalihkan aliran udara sisi, manakala panel barge di bahagian atas spoiler berkenaan pula mampu untuk ‘menangkap’ udara untuk mengurangkan seretan.

    Menerut HKS, kit ini bukan sahaja sudah mula dijual di Jepun, malah jualannya sudah dibuka di seluruh dunia. Mereka yang berminat boleh berurusan dengan pengedar-pengedar bertauliah HKS.

     
     
  • Beberapa stesen MRT Laluan Kajang ditutup sementara pada 3-11 Julai – bas perantara disediakan

    Beberapa stesen MRT Laluan Kajang ditutup sementara pada 3-11 Julai – bas perantara disediakan

    Rapid KL, pengendali tren MRT telah mengumumkan penutupan tiga stesen MRT iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sg Buloh pada 3 hingga 11 Julai 2021. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja migrasi Sistem MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan SSP).

    Untuk stesen Kwasa Damansara, kawasan parkir juga turut ditutup. Tetapi parkir bertingkat di stesen Sg.Buloh dibuka seperti biasa.

    Dengan penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di stesen Kwasa Sentral. Perkhidmatan bas perantara MRT percuma akan disediakan di antara stesen Sg Buloh dan Kwasa Sentral, malah dalam perjalanan akan berhenti di Kampung Selamat. Frekuensi bas perantara berkenaan adalah setiap 15 minit.

    Jajaran MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), sudah 80% siap. Fasa satu jajaran berkenaan dari Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu sepatutnya akan mula beroperasi pada pertengahan 2021, sementara selebihnya akan dibuka kepada umum menjelang 2022.

    Jajaran Putrajaya merupakan jajaran MRT kedua Lembah Klang selepas Jajaran Kajang, yang mula beroperasi pada Julai 2017. Laluan sepanjang 56.2 km akan mempunyai 36 stesen, sembilan daripadanya di aras bawah tanah. Ia akan menghubungkan Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • Mitsubishi Lancer Evolution: pemegang saham mahukannya, tapi syarikat masih lemah – CEO

    Mitsubishi Lancer Evolution: pemegang saham mahukannya, tapi syarikat masih lemah – CEO

    Ramai yang tidak menyangka bahawa Mitsubishi akan menghentikan terus penghasilan Lancer Evolution sekitar setengah dekad lalu. Walaupun buat masa sekarang masih belum lagi ada petanda bahawa akan ada Evo baharu yang akan menyaingi Subaru WRX STI dalam pasaran, masih ramai peminatnya yang berharap sedan prestasi pacuan semua roda tersebut akan kembali dihidupkan semula satu hari nanti.

    Namun pada Mei lalu, seakan ada sinar baru buat peminat Mitsubishi apabila sayap sukan permotorannya, Ralliart diumumkan akan dihidupkan semula. Jenama tersebut bukan hanya menghasilkan aksesori-aksesori custom untuk model-model baharu Mitsubishi, malah mereka akan kembali berlumba semula.

    Ketika mesyuarat tahunan pemegang-pemegang saham baru-baru ini, CEO Mitsubishi Takao Kato memberikan lebih pencerahan tentang rancangan untuk menghidupkan kembali Ralliart, dan ia telah dilaporkan oleh Response dan JNC.

    “Kami umumkan kelahiran semula Ralliart pada Mei lalu. Kami rancang untuk kembangkan ia kepada lebih banyak model sebagai aksesori asli pada peringkat awal, tetapi kami turut akan menimbang semula penglibatan dalam sukan rali pada masa akan datang. Kami akan buat pelbagai usaha untuk merealisasikannya,” kata Kato.

    Mitsubishi Lancer Evolution: pemegang saham mahukannya, tapi syarikat masih lemah – CEO

    Berkenaan Lancer Evolution pula, Kato menyatakan satu fakta yang agak memeranjatkan – pemegang-pemegang saham sebenarnya sangat mahukan ianya dihasilkan semula. Namun kerana penghasilan model berprestasi tinggi ini tidak akan memberikan keuntungan, belum lagi masanya untuk Mitsubishi menghasilkan model generasi baharu untuk Lancer Evolution.

    Buat masa sekarang, sasaran utama Mitsubishi adalah untuk kembali untung. Sebagai sebahagian dari usaha untuk mencapai sasaran berkenaan, Mitsubishi akan fokus kepada teknologi elektrifikasi dan juga membangunkan model yang akan memberikan semula perasaan “pemanduan sebenar Mitsubishi”.

    Oleh kerana kebanyakkan pelaburan perlu dialirkan untuk tujuan ini, mereka masih tidak boleh menghasilkan model genrasi baharu Lancer Evolution kerana ia bukan model pasaran massa.

    “Elektrifikasi memerlukan banyak kos pembangunan, dan syarikat masih belum benar-benar kuat. Kami masih mencatatkan defisit besar pada tahun fiskal lalu, jadi kami mesti terlebih dahulu mengembalikan syarikat sebelum menghasilkan kereta yang peminat mahukan. Saya mahu lakukannya,” kata Kato lagi.

    Sebagai salah satu strategi baru, Mitsubishi mahu kereta-kereta dengan teknologi elektrifikasi mendominasi separuh dari jualan globalnya menjelang 2030. Teknologi ini bukan perkara baharu buat Mitsubishi kerana mereka sudah pun menghasilkan antara kereta elektrik sepenuhnya dalam pasaran iaitu Mitsubishi i-MiEV sejak tahun 2009.

    Sebelum itu, Mitsubishi juga pernah mendedahkan model konsep prestasi elektrik iaitu Lancer Evolution MIEV Concept pada tahun 2005. Model konsep yang diasaskan dari Lancer Evolution IX berkenaan dilengkapi motor elektrik yang diletakkan pada setiap roda, dengan setiap daripadanya berkuasa 67 hp.

    Secara keseluruhan, Evo elektrik pacuan semua roda berkenaan menghasilkan 270 hp dan tork maksima 518 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Ia menerima tenaga dari bateri lithium-ion 95 Ah, serta mampu mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

    Jika Lancer Evolution generasi baharu benar-benar dihasilkan kelak, ia mungkin turut akan menerima teknologi elektrifikasi – mungkin sebagai hibrid petrol-elektrik, mungkin elektrik sepenuhnya. Ia tidak mustahil kerana mengikut kata-kata bos syarikat tersebut, mereka memang masih mahu menghasilkan model berkenaan, tetapi masih tidak mampu buat masa sekarang. Mana tahu pelan pemulihan semula syarikat tersebut akan berjalan lancar nanti kan?

     
     
  • Maserati Ghibli Fragment 2021 diperkenalkan di Jepun

    Maserati Ghibli Fragment 2021 diperkenalkan di Jepun

    Maserati telah pun memperkenalkan model edisi istimewa Ghibli Fragment di Jepun, dengan kerjasama Hiroshi Fujiwara. Beliau merupakan pereka pakaian jalanan, yang juga merupakan pengasas bagi Fragment Design dan merupakan idola bagi budaya jalanan di negara berkenaan.

    Edisi Fragment ditawarkan dengan dua pilihan – Ghibli Operanera dan Ghibli Operabianca, yang kedua-duanya diasaskan dari varian GranLusso, satu dengan kemasan glossy/opaque black, manakala satu lagi dengan gloss white/opaque black. Model edisi istimewa ini hanya ditawarkan dengan 175 unit sahaja untuk pasaran global.

    Sentuhan luaran yang unik melibatkan lencana Fragment pada gril, roda hitam pekat Urano 20-inci, lencana Fragment khas pada C-pillar, kod “M157110519FRG” pada fender, betul-betul di bawah saluran udara tiga ikonik. Empat karakter pertama mewakili kod ID bagi Ghibli, dan enam digit lagi adalah tarikh (5 November 2019) di mana Fujiwara dan Centro Stile Maserati bekerjasama. Manakala tiga huruf terakhir pula adalah akronim bagi Fragment.

    Di dalamnya, Ghibli menerima campuran upholstery Alcantara dan kulit premium, dengan jahitan kontras berwarna perak. Terdapat juga sulaman timbul pada bahagian perehat kepala dan perkataan Ghibli dan Fragment pada tempat duduk. Sementara tali pinggang keledar pula diberikan warna biru gelap.

    Ghibli Fragment ini yang dilancarkan ini akan menyertai koleksi kapsul, yang juga ditawarkan dengan kuantiti terhad. Koleksi ini boleh didapati menerusi saluran rasmi Maserati.

    Selain pereka pakaian, Fujiwara yang merupakan pengasas bagi budaya jalanan Tokyo sejak tahun 1980, juga merupakan antara DJ yang pertama yang membawa masuk muzik hip hop ke Jepun, serta pernah menjadi produser dan pemain muzik untuk beberapa artis antarabangsa.

     
     
  • Hennessey Mammoth 1000 TRX mula masuk fasa pengeluaran – V8 6.2L, kuasa 1,012 hp, harga RM624k

    Hennessey Mammoth 1000 TRX mula masuk fasa pengeluaran – V8 6.2L, kuasa 1,012 hp, harga RM624k

    Sebuah syarikat ubah suai kenderaan di Amerika Syarikat, Hennessey Performance Engineering (HPE) membuat pengumuman bahawa trak pikap keluaran mereka, yang didakwa sebagai trak pikap paling laju dan paling berkuasa di dunia, iaitu Mammoth 1000 TRX akan mula memasuki fasa pengeluaran. Hanya 200 unit akan dibuat, dan setiap satunya dijual pada harga USD150,000 (RM624k).

    Trak ini sebenarnya menggunakan asas daripada Dodge Ram 1500 TRX, yang dalam keadaan asalnya mampu menghasilkan 702 hp menggunakan enjin V8 Hemi 6.2 liter supercharged. Pecutan 0-60 bsj (0-96 km/j) boleh dilakukan dalam masa 4.5 saat, dan ia juga datang dengan fungsi launch control. Sudah tentu, apabila ‘diusik’ oleh Hennessey, prestasinya menjadi lebih tinggi.

    Sistem supercharger asal TRX telah dipertingkat dengan tali sawat heavy duty, pulley serta crank damper pin lebih berprestasi, termostat baru, injector dan sistem penapis aliran tinggi, palam pencucuh baru, pemetaan ECU dan TCU khas, serta gasket dan bendalir prestasi tinggi.

    Hasilnya, enjin V8 Hemi itu sekarang boleh menghasilkan 1,012 hp pada 6,500 rpm dan 1,314 Nm tork pada 4,200 rpm. Hennessey memanggilnya sebagai hypertruck, dan ia boleh melakukan pecutan 0-60 bsj dalam masa 3.2 saat dan melengkapkan pecutan 0-400 meter (suku batu) dalam masa 11.4 saat dan laju 120 bsj (193 km/j). Setiap trak yang dikeluarkan akan diuji atas jalan serta mesin dyno.

    Untuk penampilan luar, pelanggan diberikan dua pilihan – Off-Road Stage 1 dan Off-Road Stage 2. Pakej Stage 1 memberikan bampar hadapan khas dengan lampu LED bersepadu, rim 10 cabang 20 inci dengan tayar offroad 35 inci, kit levelling hadapan serta lencana khas Hennessey dan Mammoth. Harga pakej ini adalah USD14,950 (RM62k) termasuk pemasangan dan jaminan tiga tahun atau 36,000 batu.

    Hennessey Mammoth 1000 TRX mula masuk fasa pengeluaran – V8 6.2L, kuasa 1,012 hp, harga RM624k

    Pakej Stage 2 juga mendapat semua barangan ini, tetapi ia dipertingkat lagi dengan tayar 37 inci serta pemijak tepi elektronik yang boleh keluar dan masuk. Harganya adalah USD19,950 (RM83k) termasuk pemasangan. Semua model mendapat sulaman tulisan Hennessey pada penyandar kepala dan plet nombor keluaran.

    “Mammoth 1000 TRX adalah trak pikap paling berkuasa pernah ditawarkan oleh Hennessey Performance. RAM TRX asalnya sudah mempunyai kuasa paling tinggi bagi pikap yang dikeluarkan dari kilang, tapi prestasi, penggayaan serta peningkatan yang kami buat menjadikan ia sebagai sebuah trak paling hebat yang anda boleh beli. Kami sudah menjual lebih 100 trak dan masih ada yang tertanya kenapa kena ada trak pikap 1,000 hp? Sebabnya, kita boleh!” kata pengasas dan CEO Hennessey Performance, John Hennessey.

     
     
  • Geely Xingyue S dalam warna kelabu dan hijau ditunjuk

    Geely Xingyue S dalam warna kelabu dan hijau ditunjuk

    Walaupun tampil dengan imej tersendiri, Geely Xingyue tetap berada di bawah bayangan versi L yang lebih besar dan praktikal. Jadi, untuk menarik semula perhatian kepada SUV ala coupe ini, Geely memperkenalkan varian baru dikenali sebagai Xingyue S, dengan tambahan beberapa kemaskini estetika.

    Tidak seperti Emgrand S, Xingyue S bukanlah model facelift, jadi ia mengekalkan penampilan sama seperti varian biasa. Namun ia diberikan rekaan gril baru, yang menggantikan gelungnya dengan rekaan mesh hitam. Selain itu, perubahan lain kebanyakannya melibatkan warna dan perincian yang ada.

    Ia menggunakan Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan bersama dengan Volvo, dengan lencananya boleh dilihat di beberapa tempat pada kereta ini. Perkara itu, seperti banyak lagi pendekatan rekaan pada kereta ini, menggunakan warna hijau terang, sebagai kontras kepada dalaman gelap dan kelabu yang digunakan.

    Geely Xingyue S dalam warna kelabu dan hijau ditunjuk

    Terdapat juga “thunderbolt claw” pada bukaan ruang udara di sudut bahagian depan serta perumah cermin sisi hitam berkilat, bumbung, muncung ekzos dan rim 20-inci yang ada padanya. Di dalam, balutan kulit Nappa hitam serta material suede juga dihias dengan benang hijau terang dan corak segi matriks, sementara papan pemuka menerima kemasan corak garis dan tulisan CMA. Tali keledar juga dalam warna hijau terang.

    Tiada perincian didedahkan setakat ini, tetapi ada laporan menyebut bahawa Xingyue S akan dikuasakan secara eksklusif oleh enjin 2.0 liter turbocas petrol. Dalam Xingyue versi biasa, unit berkenaan menjana 238 PS dan 350 Nm tork dan digandingkan dengan kotak gear automatik Aisin lapan-kelajuan, dan sama ada pacuan depan atau semua roda. Versi output yang lebih rendah juga dijangka akan ditawarkan, dengan angka 190 PS/300 nm.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025