Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Acura MDX Type S buat kemunculan sebagai kereta tunda Pikes Peak – enjin V6 turbo 355 hp, SH-AWD

    Acura MDX Type S buat kemunculan sebagai kereta tunda Pikes Peak – enjin V6 turbo 355 hp, SH-AWD

    Selain pace car TLX Type S 2021 yang diperkenalkan sebelum ini, Acura juga akan membawa bersama MDX Type S 2022 (masih belum dilancarkan secara rasmi) ke acara Pikes Peak International Hill Climb yang akan bermula 27 Jun ini.

    Ya, inilah kali pertama kita dapat melihat versi Type S bagi Acura MDX terbaru. Selain menggunakan lencana Type S, MDX generasi keempat ini juga diberikan penambahan prestasi menggunakan resepi sama seperti sedan sports TLX Type S.

    Apa yang diketahui secara rasmi sekarang adalah MDX Type S akan menggunakan enjin petrol V6 turbo 3.0 liter berkemampuan 355 hp dan 480 Nm tork. Ini adalah enjin sama seperti TLX, dan SUV ini juga mendapat transmisi automatik 10 kelajuan yang boleh menukar gear lebih pantas serta sistem Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) dengan torque-vectoring.

    Acura MDX Type S buat kemunculan sebagai kereta tunda Pikes Peak – enjin V6 turbo 355 hp, SH-AWD

    Menurut Acura, enjin ini adalah khas untuk model Type S, dan ia dibangunkan oleh antara jurutera enjin paling berpengalaman dalam syarikat itu, termasuklah mereka yang terlibat dalam pembangunan unit V6 twin turbo pada NSX. Sebagai rujukan, MDX biasa menggunakan enjin V6 3.5 liter NA, yang menghasilkan kuasa 290 hp dan 362 Nm tork, iaitu 65 hp dan 118 Nm lebih rendah berbanding model Type S.

    Memandangkan ini adalah SUV penting untuk Amerika, Acura telah berkongsi kemampuan menarik bebannya, iaitu 5,000 pound ataupun 2,267 kg. SUV Acura paling pantas dan paling berkuasa ini akan menarik kereta lumba TLX Type S dari bengkel pasukan di Raymond, Ohio, hinggalah Colorado untuk menyertai perlumbaan Pikes Peak 2021.

    Selain enjin lebih berkuasa dan penampilan lebih sporty, MDX Type S juga mendapat kelengkapan prestasi lain seperti brek hadapan Brembo, suspensi hadapan double wishbone dan mod pemanduan Sport+ yang diberikan khas untuk model Type S. Perincian selanjutnya akan diketahui apabila ia didedahkan secara rasmi hujung tahun ini.

    GALERI: Acura MDX Type S 2022

    GALERI: Acura MDX 2022

     
     
  • Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset-aset miliknya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi berkenaan khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang. Selain itu, ia juga diharap dapat mempercepatkan proses vaksinasi nasional kepada rakyat di negara ini.

    “Prasarana menyokong penuh kepada Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dan misi Kerajaan untuk membawa negara keluar segera daripada krisis penularan wabak Covid-19 ini. Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai Kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan program vaksinasi nasional berjalan dengan lancar,” kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Hjh. Norlia Noah.

    Prasarana telah mula bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Innovasi dan Teknologi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seawal bulan Mac 2020 untuk menghebahkan maklumat tentang Covid-19, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta pelan tindakan pemulihan ekonomi seperti PENJANA dengan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin-skrin di stesen-stesen LRT dan monorel dan aset digital di dalam bas dan tren.

    Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Semua aset ini akan terus digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.

    “Prasarana amat komited untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.

    “Buat masa ini, bas-bas kami turut digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh KKM. Kesemua Kapten Bas yang ditugaskan untuk kerja berkenaan telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan bas itu dilaksanakan pada 9 Jun lepas. Secara keseluruhan, semua staf barisan hadapan kami juga terlatih dalam penjagaan diri dan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan penularan wabak Covid-19,” jelas Norlia.

    Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi – ruang iklan di stesen tren, bas; staf jadi sukarelawan

    Bagi memudahkan orang ramai untuk pergi ke pusat-pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana juga sedia berbincang dengan KKM dan MOSTI untuk membuka pusat-pusat vaksinasi sementara di stesen-stesen LRT seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar, yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir kereta yang luas.

    Menurut Norlia lagi, pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk menawarkan staf Prasarana untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat-pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh para petugas barisan hadapan KKM ketika ini.

    “Prasarana melihat Pelan Pemulihan Negara, yang mengandungi empat fasa pelaksanaan, adalah pelan yang realistik dengan mengambil kira realiti dan situasi sebenar risiko yang dibawa wabak ini. Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” tambah kenyataan berkenaan.

     
     
  • Selangor beri rebat pengangkutan untuk ke PPV

    Selangor beri rebat pengangkutan untuk ke PPV

    Kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan penawaran rebat RM10 sebagai rebat pengangkutan untuk individu berusia 50 tahun ke atas yang mempunyai akaun e-hailing Grab bagi pengambilan vaksin COVID-19 yang ditawarkan bermula 1 Julai ini.

    Menurut Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), ia dilaksanakan melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan susulan pengumuman yang dibuat Menteri Besar Selangor sebelum ini, laporan Berita Harian.

    MBI Selangor bersama kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan Grab, dengan menyediakan pemberian rebat sebanyak RM10 bagi setiap perjalanan pergi dan balik bagi bagi tujuan perjalanan mendapatkan suntikan vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 1 Julai 2021.

    “Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada individu berumur 50 tahun ke atas di seluruh Selangor yang mempunyai akaun aplikasi Grab. Ia turut membabitkan perjalanan ke mana-mana 34 PPV di seluruh negeri ini,” menurut kenyataan itu. Sambil menambah, inisiatif berkenaan bertujuan memberi galakan dan memudah cara kepada rakyat Selangor khususnya mereka yang berumur 50 tahun ke atas untuk mengambil vaksin.

    “Tarikh rebat bermula 1 Julai 2021 hingga 30 September 2021. Permohonan boleh dibuat mulai 20 Jun 2021 melalui laman sesawang https://www.platselangor.com. Orang awam boleh berhubung melalui e-mel [email protected] untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini,” katanya.

     
     
  • Mazda rancang lancarkan 13 model dengan bantuan kuasa elektrik menjelang 2025, platform baru 2022

    Mazda rancang lancarkan 13 model dengan bantuan kuasa elektrik menjelang 2025, platform baru 2022

    Mazda nampaknya sudah bersedia untuk pergi lebih maju dengan kenderaan bantuan tenaga elektrik apabila mendedahkan rancangan pengenalan 13 model (dengan kuasa elektrik) menjelang tahun 2025, termasuklah hibrid dan hibrid ringkas. Ini adalah antara strategi dalam pelan masa hadapan Sustainable Zoom-Zoom 2030, yang juga termasuk pengenalan platform modular baru.

    Antara yang awal untuk platform baru ini adalah SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture, di mana ia akan digunakan dengan unit penggerak transverse bagi produk yang lebih kecil dan unit penggerak longitudinal untuk model produk yang lebih besar.

    Platform baru ini akan tiba tahun hadapan, dan ia akan menjadi asas bagi pengenalan sekurang-kurangnya lima model hibrid, lima model plug-in hybrid dan tiga model elektrik penuh dari tahun 2022 hingga 2025 untuk Jepun, Eropah, AS, China dan ASEAN.

    Antara model yang mempunyai kemungkinan beralih kepada bantuan elektrik adalah CX-5 dan Mazda 2 generasi seterusnya. Ia kemudiannya akan diikuti oleh pengenalan platform khas EV yang dipanggil sebagai SkyActiv EV Scalable Architecture pada tahun 2025, dan akan digunakan untuk EV pelbagai saiz serta bentuk badan.

    Mazda rancang lancarkan 13 model dengan bantuan kuasa elektrik menjelang 2025, platform baru 2022

    Menurut Mazda, berdasarkan pelan ini, mereka menjangka 100% produk mereka akan mempunyai bantuan penggerak elektrik menjelang tahun 2030 dan nisbah bantuan tenaga elektrik mereka akan mencecah 25% menjelang 2030, meningkat banyak berbanding 5% yang diumumkan sebelum ini.

    Pegawai eksekutif urusan kanan Mazda, Ichiro Hirose dilaporkan berkata bahawa Mazda akan menjalankan pembangunan EV mereka secara sendiri, dengan menggunakan teknologi yang telah dibangunkan bersama antara mereka, Toyota dan Denso. Dijangkakan, ada antara model akan datang Mazda bakal menggunakan komponen penggerak hibrid daripada Toyota.

    Mazda turut mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan sistem Mazda Co-Pilot 1.0 pada kenderaan mereka bermula tahun hadapan. Sistem bantuan pemandu ini memerhati keadaan pemandu pada setiap masa dan sekiranya ia mengesan pemandu tidak berupaya melalui perubahan fizikal secara mengejut, ia akan menukar kenderaan kepada pemanduan autonomous untuk memberhentikan kenderaan secara selamat dan menghubungi talian kecemasan.

     
     
  • Daimler dan VW pendekkan waktu bekerja disebabkan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor

    Daimler dan VW pendekkan waktu bekerja disebabkan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor

    Nampak gayanya masalah bekalan cip semikonduktor kian parah, menyebabkan banyak syarikat pengeluaran terpaksa mengambil langkah drastik untuk mengatasinya. Ini termasuklah Daimler dan Volkswagen (VW) yang mengumumkan akan memendekkan waktu bekerja di beberapa kilang mereka di Eropah, disebabkan masalah bekalan cip yang terus menjejaskan pengeluaran kenderaan, laporan Reuters.

    Jurucakap Daimler berkata, syarikatnya akan mengurangkan waktu bekerja pada minggu ini di kilang Bremen dan Rastatt di Jerman. Katanya, keadaan menjadi tidak menentu dan ramalan untuk kesan akibat masalah ini tidak dapat dijangka.

    Begitu juga dengan VW yang akan mengurangkan waktu bekerja di kilang Wolfsburg pada minggu hadapan, dan buat setakat ini, tiada maklumat mengatakan sampai bila tempoh itu akan dilaksanakan. Pada bulan lalu, CEO VW Herbert Diess berkata, syarikat ini sedang berada dalam “mod krisis” disebabkan masalah kekurangan bekalan semikonduktor, dan impak perkara ini akan mendatangkan kesan terhadap profit pada suku kedua.

    Sementara itu, pengeluar kereta lain termasuk Nissan, Suzuki dan Mitsubishi telah mengumumkan mereka akan menggantung operasi kilang di Jepun dalam tempoh hingga sembilan hari. Nissan berkata pihaknya turut menjangka pengeluaran produksi global juga akan menyusut sehingga 500,000 unit, namun menambah sedang merancang bagi memastikan pengeluaran dapat kembali ke landasan yang sebenar. Penganalisis automotif turut meramalkan krisis semikonduktor ini mungkin berlanjutan sehingga tahun 2022.

     
     
  • Tesla tak hebat mana, kami lebih baik – ketua EV Geely

    Tesla tak hebat mana, kami lebih baik – ketua EV Geely

    Platform modular Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely adalah sangat penting buat mereka dalam rancangan untuk menawarkan lebih banyak model-model yang dijana kuasa elektrik sepenuhnya (EV), yang kini mempunyai permintaan yang sangat tinggi di China.

    Platform berkenaan bukan sahaja membolehkan Geely menghasilkan pelbagai model elektrik dalam pelbagai saiz dan juga segmen, malah ia turut ditawarkan kepada pengeluar lain untuk menggunakannya jika mereka mahukan untuk dijadikan asas bagi model elektrik masing-masing.

    Namun, walaupun nama Geely itu sememangnya besar di China, mereka masih lagi dibayangi oleh jenama yang sememangnya menumpukan hanya kepada kenderaan elektrik iaitu Tesla. Jenama dari Amerika Syarikat tersebut kini sudah pun bertapak di China dan sudahpun menawarkan pelbagai model.

    Walau bagaimanapun, Geely tidak gusar dengan situasi tersebut kerana mereka percaya bahawa model-model akan datang mereka yang diasaskan dari platform SEA akan menawarkan ciri yang lebih baik dari apa yang ditawarkan oleh Tesla.

    Ketua jurutera untuk platfrom SEA di Geely Auto Group, Kent Bovelian memberitahu paultan.org dalam satu temuramah berkumpulan baru-baru ini, dia sendiri tidak kagum dengan Tesla dan percaya bahawa platform khas untuk EV dari Geely adalah lebih hebat dari segi mekanikal.

    “Kami adalah lebih baik dari Tesla dari segi seni bina mekanikal. Mereka (Tesla) adalah sangat mahir dengan perisian, tapi dari segi seni bina mekanikal, kami lebih baik. Kami mempunyai solusi keberkesanan kos yang lebih banyak dan akan mengalahkan mereka dalam setiap perkara, kecuali prestasi,” kata Bovellan.

    Menurutnya lagi, Tesla mungkin hebat dalam pembangunan perisian, tetapi platform EV mereka kalah dalam banyak aspek seperti keluasan ruang dalaman, NVH, kos pemilikan dan juga kos produkasi berbanding platform SEA.

    Bovellan mengakui bahawa kemampuan prestasi model-model Tesla agak hebat, namun prestasi model-model dengan platfrom SEA tidaklah jauh ketinggalan. Contohnya untuk Zeekr 001, model pertama diasaskan dari platform SEA, mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai 4 saat serta mempunyai jarak gerak melebihi 700 km untuk satu caj bateri penuh.

    “Kami tak kagum dengan Tesla. Saya suka bahawa mereka menuju ke arah yang betul dengan seni bina elektrik, kami juga menuju ke arah yang sama. Mereka adalah yang pertama memperkenalkan sistem asas, tetapi untuk mekanikal, tidak. Oleh itu, kami buat lebih baik,” kata Bovellan.

    Dia turut menambah walaupun Tesla menggunakan aluminium yang intensif pada badan model-model mereka, model-model berasaskan platform SEA sebenarnya lebih ringan dengan kombinasi antara aluminium dan logam. Faktor badan yang ringan ini adalah sangat penting untuk kereta elektrik kerana bateri yang digunakan sangat berat.

    Kaedah open-source untuk menawarkan platform SEA ini secara terbuka kepada juga akan memudahkan pengeluar lain yang mencari asas bagi membangunkan kereta elektrik mereka untuk bekerjasama dengan Geely dalam memberikan sokongan dan pembekalan.

    Buat masa sekarang, tak banyak pengeluar sudi untuk berkongsi teknologi mereka yang telah siap, jadi platform SEA akan memecahkan tradisi berkenaan. Tesla juga sebenarnya mengambil pendekatan yang sama untuk berkongsi pengetahuan mereka dan sudah menawarkan perkongsian paten yang mereka bangunkan sejak 2014.

     
     
  • GALERI: Nissan Qashqai dalam Ceramic Grey, aloi 20″

    GALERI: Nissan Qashqai dalam <em>Ceramic Grey</em>, aloi 20″

    Nissan Qashqai generasi ketiga telah diperkenalkan pada awal tahun ini, dan mendapat permintaan yang cukup memberangsangkan di Eropah. Ketika diperkenalkan, crossover kompak ini pertama kalinya menerima padanan roda bersaiz 20-inci. Bukan itu sahaja, kini ia turut ditawarkan dengan varian Ceramic Grey, padanan warna yang boleh dikatakan menarik.

    Qashqai merupakan model Nissan di Eropah yang pertama dibangunkan dengan Common Modular Platform (CMF-C), yang turut digunakan untuk X-Trail versi terkini. Di bawah bonetnya, Qashqai masih mengekalkan enjin 1.3 liter pengecas turbo empat-silinder yang sama seperti Mercedes-Benz A 200 terkini, yang digandingkan dengan sistem mild hybrid 12-voltan. Ia memberikan tork tambahan ketika pendikitan dan juga dipadankan dengan Xtronic CVT. Kotak gear manual enam-kelajuan juga diberikan sebagai pilihan.

    Output enjin ini sama ada 138 hp/240 Nm atau 156 hp/260 Nm – dengan kuasa terakhir itu hanya untuk CVT, dengan ledakan tork puncak cecah 270 N. Versi CVT juga merupakan satu-satunya yang ditawarkan dengan pilihan pacuan semua-roda, lebih intuitif, pintar dan didatangkan dengan mod Standard, Eco, Sport, Snow dan Off-Road.

    GALERI: Nissan Qashqai dalam <em>Ceramic Grey</em>, aloi 20″

    Malahan ia juga diberikan pilihan penjana kuasa elektrik e-Power, buat pertama kalinya ditawarkan di Eropah. Kuasa dari motor ini telah dipertingkatkan berbanding unit pada Note dan Kicks, menjadikannya kuasanya mencecah 140 kW (187 hp) dan 330 Nm. Penjana kuasa petrol juga lebih besar dengan enjin 1.5 liter variable-compression yang mampu memproduksi sehingga 154 hp.

    Mengenai rekaannya, Qashqai diberikan sudut dan garisan yang tajam, lampu utama dan lampu belakang LED yang langsing, D-pillar yang dihitamkan dan fender yang dipahat. Kabin yang kecil juga memberikan serlahan kontemporari untuk crossover ini termasuklah paparan skrin sesentuh freestanding dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Dengan menggunakan platform baharu, crossover ini ternyata memiliki ruang dalaman yang lebih luas. Ruang lutut di belakang telah dipertingkatkan sebanyak 28 mm menjadi 608 mm, sementara ruang kepala juga ditambah sebanyak 15 mm. Ruang but kini 50 liter lebih besar (hasil lantai kargo yang rendah dan suspensi yang direka semula), dan disertakan dengan tailgate bebas tangan berkuasa baharu. Manakala pintu juga dibentukkan semula untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar, serta bukaan pintu sehingga 90-darjah sekaligus memudahkan ibu bapa untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dengan lebih mudah.

     
     
  • Toyota Raize 1.2L NA kini di Indonesia – 88 PS/113 Nm, pilihan kotak gear manual dan CVT, bermula RM58k

    Toyota Raize 1.2L NA kini di Indonesia – 88 PS/113 Nm, pilihan kotak gear manual dan CVT, bermula RM58k

    Daihatsu Rocky dan Toyota Raize telah pun dilancarkan di Indonesia April lalu, dengan enjin 1.0 liter tiga silinder turbo yang sama dengan kembarnya di Malaysia iaitu Perodua Ativa. Dan sekarang, Raize pada pasaran berkenaan ditawarkan dengan satu lagi varian lebih asas, dijana dengan hanya enjin 1.2 liter tanpa turbo.

    Menurut laporan detikoto, penawaran model lebih asas tersebut adalah lebih awal dari jangkaan yang diberikan oleh Toyota Astra Motor sebelum ini – sepatutnya pada Julai 2021 nanti.

    Raize versi lebih murah berkenaan dijana oleh enjin baharu WA-VE 1.2 liter NA DOHC dengan sistem Dual VVT-i, menghasilkan 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 113 Nm pada takat 4,500 rpm – 10 PS dan 27 Nm kurang berkuasa berbanding enjin 1.0 liter Turbo pada Ativa.

    Jika dilihat pada spesifikasi atas kertas, pecutan antara versi NA dan turbo ini mungkin memberikan perbezaan pecutan yang ketara kerana enjin 1.0L turbo berkenaan mampu untuk mencapai tork maksima 140 Nm seawal 2,400 sehingga 4,000 rpm bagi mendapatkan rasa pecutan seakan enjin yang jauh lebih besar. Model tanpa turbo ini masih digandingkan dengan kotak CVT automatik, namun untuk pasaran Indonesia ia juga menerima pilihan kotak gear lima kelajuan manual.

    Untuk harga, model paling asas Toyota Raize 1.2L dengan transmisi manual akan dijual pada harga bermula Rp 210 juta (RM60,476) dengan pengecualian cukai barang mewah (PPnBM) 50% yang ditawarkan kerajaan Indonesia untuk merancakkan semula industri automotif.

    Namun bagi mereka yang sempat untuk mendaftar kereta baharu sebelum akhir Julai ini dan menerima pengecualian 100% PPnBM, Raize 1.2L manual berkenaan dapat dijual dengan harga Rp 202 juta (RM58,119). Raize 1.2L ini turut ditawarkan dalam varian 1.2 G CVT dengan diberikan banyak kelengkapan, dijual dengan harga Rp 215 juta (RM61,859) dengan pengecualian PPnBM 100% – hanya berberapa juta rupiah lebih murah dari model turbo, khas untuk mereka yang lebih gemarkan enjin NA.

     
     
  • Tesla Singapura bakal beroperasi sepenuhnya – Pusat servis di Toa Payoh akan mula dibuka bulan hadapan

    Tesla Singapura bakal beroperasi sepenuhnya – Pusat servis di Toa Payoh akan mula dibuka bulan hadapan

    Tesla Singapura semakin hampir untuk beroperasi sepenuhnya – Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa ibu pejabat Tesla dan juga pusat servisnya bakal dibuka di Toa Payoh bulan hadapan. Fasiliti tersebut terletak di Lorong 8 yang sebelum ini merupakan bangunan pengedar Nissan yang diuruskan Tan Chong Motor.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa satu-satunya model Tesla yang ditawarkan di republik tersebut untuk peringkat awal iaitu Tesla Model 3 akan dipamerkan di pusat servis Toa Payoh berkenaan. Manakala fasiliti “experience stores” akan di buka di pusat membeli belah iaitu di Raffles City dan Jewel Lapangan Terbang Changi.

    Akhbar berkenaan turut menyebut bahawa pengurus Tesla Singapura juga telah dilantik iaitu Christopher Bousigues, 45, dari Perancis yang kini “baru sahaja sampai” dan sedang menjalani kuarantin di rumah. Bousigues merupakan peminat kereta yang gemar aktiviti di litar, dan sebelum ini pernah berkhidmat dengan firma perisian SAP dan Microsoft, serta berpengalaman bekerja di 19 negara dan fasih dalam lima bahasa.

    Tesla Singapura bakal beroperasi sepenuhnya – Pusat servis di Toa Payoh akan mula dibuka bulan hadapan

    “Saya harap dapat bawa pengalaman saya, dari bekerja dalam pelbagai pasaran dan industri, untuk membantu Singapura dalam Plan Hijau mereka berkenaan pengunaan kenderaan elektrik secara besar-besaran,” kata Bousigues yang juga mempunyai ijazah dalam kejuruteraan mekanikal serta pemasaran.

    Portal jualan Tesla Singapura sudah pun boleh diakses bermula Februari lalu. Harga anggaran untuk Model 3 Standard Range Plus (SR+) pacuan roda belakang adalah S$112,845 (RM348,910), manakala Model 3 Performance dengan motor memacu semua roda pula adalah S$154,815 (RM478,650). Harga-harga ini tidak termasuk COE dan opsyen seperti kemampuan pemanduan sendiri.

    Straits Times juga menyebut bahawa pemerhati pasaran menjangkakan Tesla telah menerima tempahan antara 200 hingga 500 unit di negara tersebut buat masa sekarang.

     
     
  • BMW i Hydrogen NEXT — ujian situasi nyata dimulakan

    BMW i Hydrogen NEXT — ujian situasi nyata dimulakan

    Selepas beberapa tahun mempersiap BMW i Hydrogen NEXT, BMW akhirnya akan mula melakukan ujian versi hampir standard model kenderaan fuel cell (FCEV) tersebut untuk kegunaan harian di jalan-jalan Eropah.

    BMW akan menilai sejauh mana keberkesanan sistem pacuan bebas CO2 itu, serta teknologi casis spesifik khusus untuknya dan semua integrasi sistem elektronik yang bekerjasama untuk kegunaan sebenar. Seperti yang dapat dilihat, model prototaipnya menggunakan X5 G05, dan BMW merencana untuk memperkenalkan siri kecil FCEV pada penghujung 2022.

    Kenderaan FCEV ialah kereta elektrik yang mendapatkan kuasanya dengan cara mencampurkan antara hidrogen dengan oksigen. Dalam i Hydrogen NEXT, reaksi kimia ini membekalkan 125 kW (170 PS) kuasa, semuanya dihantar ke motor elektrik selepas melalui beberapa tahap regulasi voltage.

    BMW i Hydrogen NEXT — ujian situasi nyata dimulakan

    Tenaga yang tidak digunakan pula disimpan di dalam bateri simpanan prestasi (lebih kecil dan ringan berbanding bateri kenderaan elektrik) yang menyediakan letusan kelajuan singkat untu memotong. Dalam peringkat ini, output keseluruhan sistem ialah 275 kW, atau 374 PS. Baterinya bukanlah pembekal utama tenaga, sebaliknya hidrogen.

    Sama seperti tangki minyak kereta biasa, tangki hidrogen pada BMW i Hydrogen NEXT juga boleh diisi penuh dalam masa tiga atau empat minit, dan satu tangki penuh boleh memberikan jarak beberapa ratus kilometer perjalanan, bergantung kepada keadaan cuaca.

    Yang membezakannya daripada tangki kereta biasa ialah hidrogen ini perlu disimpan dalam tangki bertekanan tinggi. Bagi kes i Hydrogen NEXT, ia menggunakan tangki berkembar 700-bar yang diperbuat daripada plastik gentian karbon ringan yang diperkukuh, dan mampu menampung sehingga 6 kg hidrogen. Sisa buangan daripada proses ini hanyalah air.

    BMW i Hydrogen NEXT — ujian situasi nyata dimulakan

    BMW menjeaskan teknologi fuel cell memiliki potensi jangka panjang untuk melengkapi enjin pembakaran dalaman, sistem plug-in hybrid dan kenderaan bateri-elektrik (BEV). Ia boleh menjadi alternatif menarik kepada BEV bagi pelanggan yang tidak mempunyai kemudahan pengecasan, atau bagi mereka yang kerap memandu untuk jarak jauh.

    Siri ujian menyeluruh yang dilakukan ini akan membantu jurutera pembangunan untuk mengesahkan kecekapan, keselamatan, keselesaan dan ketahanan semua komponen terlibat. Ia juga memberi ruang kepada BMW untuk menala karekteristik pemanduan keretanya, walaupun yang datang dengan teknologi FCEV ini — biar dinamik pemanduan BMW dapat dikekalkan. Sistem fuel cell ini juga merupakan hasil daripada usaha sama jangka panjang antara BMW dan Toyota.

     
     
  • CFMoto 800MT bakal masuk pasaran Malaysia dengan harga anggaran sekitar RM50k, kuasa 95 hp, 77 Nm

    CFMoto 800MT bakal masuk pasaran Malaysia dengan harga anggaran sekitar RM50k, kuasa 95 hp, 77 Nm

    Berita baik untuk penggemar motosikal adventure di Malaysia, kami mendapat khabar bahawa CFMoto 800 MT 2022 akan tiba tidak lama lagi (dengan keadaan sekarang mungkin tahun hadapan) dan pengedarnya sedang berusaha untuk membawanya dengan harga “sekitar RM50k atau mungkin lebih rendah.”

    Model ini adalah hasil kerjasama antara KTM dari Austria dengan CFMoto dari China dan di pasaran luar ia mempunyai dua versi iaitu 800MT Sport yang lebih untuk kegunaan atas jalan biasa dan 800MT Touring untuk kegunaan lebih lasak.

    Enjin yang digunakan bagi model ini adalah unit dua silinder selari DOHC 799 cc rekaan KTM, bersama gabungan kotak gear enam kelajuan serta klac jenis slipper untuk menghasilkan kuasa 95 hp pada 9,000 rpm dan 77 Nm tork pada 7,500 rpm.

    CFMoto 800MT bakal masuk pasaran Malaysia dengan harga anggaran sekitar RM50k, kuasa 95 hp, 77 Nm

    Bahagian brek terdiri daripada cakera berkembar 320 mm dengan angkup empat piston J Juan di hadapan dan datang terus dengan sistem ABS serta cruise control secara standard. Memandangkan model ini menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, kami menjangkakan ia juga mempunyai beberapa mod tunggangan dan sistem kawalan cengkaman.

    Di antara 800MT Sport dan 800MT Touring, perbezaannya adalah jenis rim, sama ada aloi atau spoked yang bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Versi 800MT Touring juga mendapat quickshifter, pemerhati tekanan angin tayar, steering damper, pelindung dan pemanas tangan, pelindung bawah enjin, tongkat tengah serta sistem tanpa kunci.

    Perincian lain 800MT adalah seperti tinggi tempat duduk 825 mm, berat bawah 231 kg, tangki bahan api 19 liter, serta skrin TFT-LCD 7.0 inci dengan sambungan Bluetooth kepada telefon pintar dan fungsi navigasi.

     
     
  • Porsche Cayenne Coupe varian prestasi baharu kini SUV paling laju di litar Nürburgring – 7 minit 38.925s

    Porsche Cayenne Coupe varian prestasi baharu kini SUV paling laju di litar Nürburgring – 7 minit 38.925s

    Porsche Cayenne Coupe dalam varian prestasi yang bakal diperkenalkan selepas ini kini sah sebagai SUV paling pantas di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife dengan mencatatkan masa satu lap 7 minit 38.925 saat. Model yang masih belum dilancarkan serta dijangka akan digelar sebagai Turbo S tersebut dipandu oleh pemandu rasmi Porsche, Lars Kern.

    Rekod baharu yang dicatatkan ini telah memadamkan rekod lama 7 minit 42.253 saat yang dicatatkan oleh Audi RS Q8. Malah, SUV ini juga dilihat mencatatkan masa yang hampir sama dengan sedan BMW M5 dan juga kereta sport sebenar Porsche 911 Turbo generasi sebelum ini. Porsche juga menyatakan secara rasmi rekod baharu ini berada dalam kategori “SUV, kenderaan off-road, van dan pikap”.

    “Pada berberapa meter pertama di Nordschleife dalam Cayenne ini, anda akan tergoda untuk mengambil selekoh bagi memastikan anda benar-benar berada dalam SUV yang besar. Ketepatan sterengnya yang tinggi serta gandar belakang yang sangat stabil memberikan saya keyakinan yang tinggi di seksyen Hatzenbach,” kata Kern.

    “Ia dapat mengubah haluan sepantas kilat pada selekoh laju seperti antara Hohe Acht dan Eiskurve, dengan tiada goyang dan tiada kemungkinan untuk understeer. Walaupun dalam laluan teknikal ini, Cayenne merupakan kereta pemandu sebenar yang mudah untuk dikawal,” tambahnya.

    Porsche masih belum mahu mendedahkan dengan lebih lanjut berkenaan varian prestasi baharu untuk Cayenne Coupe ini, dan hanya menyatakan bahawa ia diasaskan dari model Cayenne Turbo Coupe. Unit yang digunakan untuk mencatat rekod di Nürburgring ini dilengkapi dengan rollcage dan tempat duduk perlumbaan atas sebab-sebab keselamatan. Manakala rim 22-inci dengan tayar Pirelli P Zero Corsa yang dipadankan adalah kelengkapan yang sama dengan model produksi sebenar nanti.

    Berdasarkan laporan-laporan sebelum ini, Cayenne Turbo S Coupe berkenaan dikatakan akan dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo sedia ada berkuasa 640 PS (631 hp) dan tork maksima 850 Nm, tetapi akan ditingkat taraf. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan dan kuasa dialirkan ke kesemua roda.

     
     
  • Ford Bronco 2021 mula diproduksi di kilang Michigan

    Ford Bronco 2021 mula diproduksi di kilang Michigan

    Pertama kali didedahkan pada Julai tahun lalu, kelahiran semula Ford Bronco kini mula memasuki fasa pengeluarannya selepas sedikit tertangguh. Ini merupakan model generasi keenam jentera 4×4 berkenaan, hadir selepas 25 tahun model terakhirnya diproduksi pada tahun 1996.

    Ford menerima senarai tempahan yang panjang untuk model ini, sebanyak 125,000 Bronco telah dipesan, dengan keseluruhannya 190,000 tempahan untuk pasaran AS dan Canada setakat ini. Bronco 2021 dua-pintu dan model empat-pintu pertama Bronco kini sudah mula dihantar kepada pengedar, dan menyusul ialah serahan kepada pelanggan terawal yang telah menempah sejak musim panas tahun lalu.

    Dua pilihan enjin petrol disediakan. Unit 2.3 liter EcoBoost turbo empat-silinder yang menghasilkan 270 hp/420 Nm, sementara satu lagi ialah unit 2.7 liter EcoBoost V6 turbo dengan janaan 310 hp/542 Nm. Ini digandingkan dengan transmisi automatik 10-kelajuan untuk kedua-duanya, dengan model 2.3L juga turut ditawarkan dengan pilihan transmisi manual Getrag tujuh-kelajuan.

    Ford Bronco 2021 mula diproduksi di kilang Michigan

    Selain varian paling asas yang dijual bermula pada harga $29,995 (RM123,501) bagi versi dua-pintu dan $34,695 (RM142,848) bagi versi empat-pintu, turut ada ialah varian lain seperti Big Bend, Black Diamond, Outer Banks, Wildtrak dan Badlands. Turut ada ialah versi First Edition terhad kepada 3,500 unit.

    Ikon yang dilahirkan semula ini diproduksi di Michigan Assembly Plant (MAP), yang telah menjalani naik taraf $750 juta (RM3.0 bilion) dan menawarkan tambahan 2,700 pekerjaan untuk melaksanakan pemasangan Bronco ini. Pada tahun 1965, Michigan Truck Plant (sekarang MAP) memulakan pengeluaran Ford Bronco pertama, dan dalam tempoh 31 tahun, Ford telah memproduksi sebanyak 1.1 juta unit Bronco.

    Pusat Modifikasi melibatkan kemudahan dalam keluasan 1.7 juta kaki persegi (sebelum ini dikenali sebagai Wayne Assembly Plant) dan terletak bersebelahan MAP. Pelanggan Bronco boleh memilih modifikasi seeprti rak bumbung, bampar depan dengan safari bar dan pekej grafik luaran daripada sekian banyak ubah suai lain dan akan dipasang di pusat modifikasi tersebut.

     
     
  • UMW Toyota jual 7,595 kereta pada Mei – 34,026 unit terjual untuk lima bulan pertama tahun 2021

    UMW Toyota jual 7,595 kereta pada Mei – 34,026 unit terjual untuk lima bulan pertama tahun 2021

    UMW Holdings telah mengumumkan angka prestasi jualan UMW Toyota Motor’s (UMWT) bagi bulan Mei, di mana syarikat tersebut telah menjual sebanyak 7,595 unit pada bulan lalu. Ia menyaksikan penyusutan sebanyak 1,685 unit atau 18.1% berbanding 9,280 unit bagi model Toyota dan Lexus yang berjaya dicapai pada April.

    Malahan buat setakat lima bulan pertama bagi tahun ini, UMWT telah mencatatkan jualan sebanyak 34,026 kenderaan, meletakkan syarikat ini pada landasan yang tepat untuk mencapai jualan sasaran sebanyak 62,000 unit bagi tahun ini. Pada Februari lalu, pelan strategi telah didedahkan termasuk impian untuk memintas kedudukan Honda sebagai jenama bukan-nasional No.1 bagi tahun ini.

    Tiada pecahan data untuk jualan pada bulan berkenaan diberikan, namun UMWT berkata, Toyota Yaris, Vios, dan Hilux terus menjadi model jualan terlaris, dengan menyumbang sebanyak 78% dalam jualan keseluruhan pada bulan tersebut. Ditambah pula dengan sambutan yang menggalakkan terhadap jualan yang disumbang oleh Corolla Cross dan Harrier.

    “UMW menjangkakan momentum jualan automotif akan berterusan walau pun PKP dilanjutkan, terutamanya dengan lanjutan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember. Kami menghargai pelbagai langkah kerajaan untuk menyokong sektor automotif. Kami juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada para pelanggan kami atas sokongan berterusan terhadap produk dan perkhidmatan kami walaupun menghadapi pelbagai cabaran, ”kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings, Datuk Ahmad Fuaad Kenali melalui satu kenyataan.

    Awal bulan in, UMWT turut mengumumkan semua bilik pameran ditutup sepanjang tempoh PKP penuh, walau bagaimana pun, pusat 3S dan 4S Toyota termasuk fasiliti body and paint terpilih masih beroperasi. Namun, para pelanggan perlu membuat temujanji terlebih dahulu sebelum berkunjung ke pusat 3S/4S berkenaan. Sebarang kunjungan secara ‘walk-in’ tidak akan dilayan.

     
     
  • Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

    Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

    Beberapa hari selepas mengeluarkan teaser, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini mengumumkan bahawa Arteon facelift sudah boleh ditempah di Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, coupe lima pintu tersebut akan ditawarkan dalam varian R-Line 2.0 TSI 4Motion dengan kuasa serta cengkaman lebih baik berbanding model pacuan roda hadapan sebelum ini.

    Tetapi, harganya tidak murah. Jika model sebelum ini dijual pada harga RM221,065 tidak termasuk insurans, model facelift ini pula dikatakan mempunyai harga anggaran antara RM245,000 ke RM255,000. Itupun sudah mengambil kira pengecualian SST penuh sehingga hujung tahun ini, memandangkan ia adalah model yang dipasang dalam negara.

    VPCM juga telah mengesahkan spesifikasi model ini, di mana ia akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter TSI EA888 yang digabungkan bersama transmisi DSG klac berkembar tujuh kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 280 PS pada 5,100 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,700 hingga 5,600 rpm. Ini bagaimanapun adalah 50 Nm lebih rendah berbanding model di Eropah.

    Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

    Kelengkapan standard pada model ini kebanyakannya adalah sama seperti sebelumnya, dan ia termasuk lampu utama LED penuh, lampu belakang LED dengan penunujuk arah sequential dan rim Montevideo 19 inci. Di dalam, Arteon terus menggunakan balutan kulit Nappa dengan corak seperti gentian karbon, serta dilengkapi sistem bunyi Harman Kardon 700 watt 12 pembesar suara.

    Turut diberikan adalah sistem masuk tanpa kunci, butang pemula ejin, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori, pengawal suhu automatik tiga zon, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, skrin infotainmen sesentuh Discover Pro 9.2 inci, penyerap adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360 darjah dan pintu but boleh buka tanpa sentuh.

    Bagi aspek keselamatan, Arteon mendapat enam beg udara, ABS, EBD, BA, Stability Control, Post Collision Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Walaupun sudah mempunyai kamera hadapan untuk fungsi Lane Keeping, kereta ini masih tidak datang dengan Autonomous Emergency Braking.

    Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift dibuka untuk tempahan – anggaran RM245k-RM255k

    Melihat kepada penampilan, Arteon telah dipertingkat dengan rekaan gril baru yang mempunyai jalur LED untuk menyambungkan lampu DRL kiri dan kanan, serta grafik lampu belakang baru dengan gabungan bentuk L dan corak berbintik. Model R-Line pula mendapat rekaan bampar hadapan lebih agresif, serta diffuser belakang warna hitam dengan empat lubang muncung ekzos hiasan.

    Bahagian dalam Arteon diubah agak banyak untuk model facelift ini, termasuklah corong pendingin hawa berbentuk lebih tajam dan tiada lagi jam analog di tengah. Terdapat juga suis sesentuh baru untuk kawalan pendingin hawa, roda stereng yang direka semula dan lampu suasana dengan pilihan 30 warna. Tempat duduk ErgoComfort pada model ini sekarang menggunakan rekaan lebih agresif dengan penyandar kepala bersepadu dan logo R.

    Arteon juga menggunakan lencana Volkswagen dan R yang baru, sekaligus menjadi model pertama yang menggunakannya di Malaysia. Pilihan warna baru yang disediakan adalah Lapiz Blue, sementara warna lain sama seperti sebelum ini iaitu Oryx White, Deep Black, Pyrite Silver dan Manganese Grey. Warna Turmeric Yellow sebelum ini sudah tiada.

    Volkswagen Arteon R-Line 2020

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025