Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Piaggio One – skuter elektrik didedah awal sebelum Beijing Motor Show 2021, 90 km sekali cas penuh

    Piaggio One – skuter elektrik didedah awal sebelum Beijing Motor Show 2021, 90 km sekali cas penuh

    Dalam masa beberapa hari lagi, Piaggio Group akan memperkenalkan sebuah lagi skuter elektrik sewaktu Beijing Motor Show 2021. Walaubagaimanapun, syarikat induk yang mempunyai beberapa jenama lain di bawahnya, seperti Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi ini telah mendedahkan teaser awal untuk skuter tersebut, yang dipanggil sebagai Piaggio One.

    Apa yang boleh kita lihat setakat ini cumalah beberapa gambar serta video, bersama ayat-ayat pemasaran tetapi perincian teknikalnya masih lagi tidak diberitahu. Yang tentu, ia dikuasakan elektrik dan mengetengahkan gaya rekaan Itali seperti motosikal lain di bawah jenama ini.

    Bahagian lain yang dapat dilihat adalah ia menggunakan suspensi hadapan seperti Vespa moden, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera depan dan belakang, pelantar kaki yang luas, lampu jenis LED, tempat duduk lebar untuk dua orang, pengecas USB, sistem tanpa kunci dan meter jenis digital penuh berwarna.

    Kita juga boleh menjangka Piaggio One dilengkapi dengan sistem sambungan kepada telefon pintar kerana pada gambar meter itu, kita dapat melihat terdapat logo telefon bersama paparan informasi penting lain seperti kelajuan dan tahap bateri.

    Ruang simpanan di bawah tempat duduk skuter ini sedikit terjejas kerana baterinya diletakkan di bahagian itu, tetapi Piaggio menjamin kesenangan kepada pengguna kerana bateri tersebut boleh dicabut untuk dicas di mana-mana dengan hanya menggunakan soket rumah biasa. Dengan sekali cas penuh, bateri ini juga diberitahu boleh membawa kepada perjalanan sejauh 90 km.

     
     
  • AD: Nikmati kadar faedah serendah 1.88% bagi model baru Volvo melalui pengedar pilihan anda Raya ini

    AD: Nikmati kadar faedah serendah 1.88% bagi model baru Volvo melalui pengedar pilihan anda Raya ini

    Dalam sekelip mata sahaja, musim Hari Raya Aidilfitri telahpun tiba dan dirayakan. Biasanya, waktu seperti ini diluangkan bersama keluarga dan sahabat handai tercinta, bersua dan bermaafan, bertukar cerita suka duka disamping menikmati hidangan rendang ketupat.

    Bagaimanapun, keadaannya berbeza kali ini. Tapi, janganlah terlalu gundah; apa yang jauh di mata, sebenarnya dekat di hati. Tak kira berapa jauh rentang jaraknya, alamilah perjalanan paling selamat dan selesa di musim Raya ini dengan Volvo.

    Jika anda ternanti-nanti waktu terbaik untuk membeli sebuah kenderaan baru Volvo, sekaranglah masanya. Dalam tempoh terhad, anda boleh menikmati kadar faedah serendah 1.88%, sah untuk semua model Volvo. Ini tambahan kepada pengecualian cukai SST yang dilancarkan oleh program Penjana oleh kerajaan. Jadi, anda akan dapat berjimat lebih banyak!

    Tunggu apa lagi? Kunjungi pengedar Volvo kegemaran anda hari ini! Anda boleh klik pautan ini untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan promosi Hari Raya Volvo.

     
     
  • Jualan Daihatsu Sirion di Indonesia naik mendadak

    Jualan Daihatsu Sirion di Indonesia naik mendadak

    Daihatsu antara jenama automotif paling popular di Indonesia, namun ada satu model mereka yang sentiasa menunjukkan prestasi jualan yang agak teruk di negara tersebut iaitu Daihatsu Sirion.

    Kalau tengok rupa Sirion ini, ‘sebijik’ macam Myvi kan? Sebabnya Sirion pada pasaran Indonesia adalah model yang direbadge dari Perodua, dan ia diimport sepenuhnya oleh Astra Daihatsu Motor (ADM) ke negara berkenaan dari kilang Perodua di Rawang, Selangor. Pada yang masih belum mengetahui, Myvi generasi ketiga ini bukan lagi diasaskan dari mana-mana Daihatsu Boon atau Toyota Passo, tetapi dibangunkan sendiri oleh jurutera Perodua di Malaysia.

    Teruknya jualan Sirion ini di Indonesia bukan alang-alang. Sepanjang 2020, rekod jualan borong (yang dihantar ke pengedar) untuk Sirion hanya mencatatkan sebanyak 390 unit. Namun menurut laporan dari Autonetmagz.com, jualan Sirion mula naik mendadak tahun ini di mana dari bulan Januari hingga April 2021 sahaja, sebanyak 480 unit telah dihantar ke pengedar.

    Jualan Daihatsu Sirion di Indonesia naik mendadak

    Dari angka keseluruhan berkenaan 80 unit daripadanya adalah dari versi manual, manakala 400 unit lagi dari versi automatik. Tidak seperti Myvi di Malaysia, Sirion di Indonesia hanya ditawarkan dengan enjin 1.3 liter, tanpa pilihan enjin 1.5 liter.

    Menurut portal automotif Indonesia berkenaan lagi, disebabkan Sirion adalah model CBU dari Malaysia, ia tidak layak mendapat pengecualian “cukai mewah” atau Pajak Penjualan atas Barang Mewah (PPnBM) yang diberikan oleh kerajaan Indonesia seperti model Daihatsu yang lain. Jadi apa sebabnya jualan Sirion ini meningkat?

    Jika diperhatikan secara terperinci, Autonetmagz menyatakan bahawa hanya 6 unit dihantar pada bulan Januari, dan 124 unit pada Februari, kemudian meningkat secara mendadak dengan 240 unit pada Mac dan turun kembali 110 unit pada April.

    Jualan Daihatsu Sirion di Indonesia naik mendadak

    Berbanding tahun lalu, hanya 280 unit Sirion dihantar ke pengedar dalam tempoh dari Januari hingga Mac 2020, dan paling teruk pada April, Mei, Jun, Julai, Oktober dan Disember kerana jumlah Sirion yang dihantar ke pengedar adalah sifar.

    Jadi sebagai kesimpulan yang dibuat oleh portal berkenaan, kenaikan mendadak yang direkodkan tahun ini adalah kerana Perodua tidak dapat membekalkan stok lebih banyak ke Indonesia kerana pengeluaran di Malaysia juga terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu yang menyebabkan kilang terpaksa ditutup sementara.

    Walau bagaimanapun, Autonetmagz menjangkakan bahawa jualan Sirion akan kembali sukar selepas ini dan ia mungkin ‘akan dibunuh’ oleh model satu jenama dengannya, kembar Perodua Ativa iaitu Daihatsu Rocky yang baru sahaja dilancarkan di Indonesia akhir bulan lalu. Ini kerana walaupun kedua-duanya berada dalam segmen berbeza, Rocky dan Sirion menampilkan julat harga dan juga kapasiti penumpang yang sama.

    GALERI: Daihatsu Sirion 2020

    GALERI: Daihatsu Sirion di GIIAS 2018

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan satu landasan sahaja, bas pengantara percuma disediakan

    LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan satu landasan sahaja, bas pengantara percuma disediakan

    Ekoran insiden kemalangan yang membabitkan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen KLCC malam tadi, perkhidmatan tren berkenaan masih beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi tadi. Walau bagaimana pun, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, hanya satu landasan sahaja digunakan buat sementara waktu, dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu lain.

    Selain itu, Prasarana turut menyediakan perkhidmatan bas perantara secara percuma. Manakala
    pengurangan kapasiti kepada 50% masih dilaksana susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, justeru, penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa.

    Menjelaskan lagi berhubung perkara ini, Prasarana berkata lima buah bas perantara dua tingkat disediakan secara percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit pada waktu puncak, akan turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.

    LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan satu landasan sahaja, bas pengantara percuma disediakan

    Kemalangan yang berlaku pada jam 8.45 malam tadi telah menyebabkan menyebabkan seramai 213 penumpang cedera dan 47 lagi dilaporkan parah. Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam ciapannya menerusi Twitter mengesahkan enam penumpang mengalami kecederaan kritikal dengan tiga daripadanya terpaksa diintubasi. Manakala 15 penumpang lagi semi kritikal serta 43 lagi mengalami kecederaan ringan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berdasarkan siasatan awal, pelanggaran antara KOC Tren LRT dari Stesen KLCC yang dipandu secara automatik telah bertembung dengan KOC tanpa penumpang dari Stesen Kampung Baru menghala ke Stesen KLCC yang dipandu secara manual.

    “Berdasarkan siasatan awal, pemandu KOC daripada Stesen KLCC tidak dapat mengesan koc dari Kampung Baru kerana berlaku “misscommunication” daripada pusat kawalan. Tiada elemen sabotaj dikesan setakat ini,” ujarnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010.

    Lewat malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengarahkan siasatan penuh dilakukan untuk mengenal pasti punca kemalangan membabitkan perlanggaran dua tren LRT berkenaan.

    Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari, selepas semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai. Prasarana turut memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

    “Prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku, dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terbabit dalam insiden malam tadi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan,” menurut kenyataan Prasarana.

    Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang melawat tempat kejadian sebentar tadi memaklumkan, pihaknya akan menyalurkan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada 213 mangsa yang terlibat dalam kemalangan LRT

     
     
  • Dua buah tren LRT bertembung dalam terowong dekat KLCC – 213 penumpang cedera termasuk 47 parah

    Polis Dang Wangi mengesahkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang membawa penumpang seramai 213 orang telah berlanggar dengan sebuah lagi tren lain yang melalui Laluan Kelana Jaya. Insiden yang berlaku lebih kurang jam 8.45 malam tadi di dalam terowong berhampiran Stesen KLCC telah menyebabkan seramai 213 penumpang cedera dan 47 lagi dilaporkan parah.

    Menurut Ketua Polis Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah, berdasarkan siasatan awal, pelanggaran antara KOC Tren LRT dari Stesen KLCC yang dipandu secara automatik telah bertembung dengan KOC tanpa penumpang dari Stesen Kampung Baru menghala ke Stesen KLCC yang dipandu secara manual.

    “Berdasarkan siasatan awal, pemandu KOC daripada Stesen KLCC tidak dapat mengesan koc dari Kampung Baru kerana berlaku “misscommunication” daripada pusat kawalan. Tiada elemen sabotaj dikesan setakat ini,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh NST Online.

    Perkara ini turut disahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Annuar Musa menerusi ciapannya di Twitter sebentar tadi. Manakala menurut entri yang dimuat naik oleh Rapid KL menerusi laman Facebook, tren bernombor 40 dan 81 terlibat dengan insiden terbabit, tanpa memperincikan mengenai kejadian tersebut.

    Laporan Berita Harian pula menyebut, sebahagian daripada mangsa kemalangan terbabit telah dibawa keluar melalui pusat beli-belah Avenue K. Sehingga jam 10 malam tadi, puluhan ambulans dikejarkan ke lokasi tersebut bagi membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan beberapa hospital berhampirannya.

    Video dan foto insiden berkenaan juga sempat dikongsikan oleh beberapa penumpang yang turut berada dalam tren berkenaan, dan ia tular di platform media sosial. Buat setakat ini (jam 11.05 malam), Prasarana yang mengendalikan perkhidmatan tren berkenaan masih belum membuat kenyataan rasmi mengenai insiden terbabit.

     
     
  • Salah sebuah Toyota Supra asli dalam filem The Fast and The Furious akan dilelong Jun ini di Las Vegas

    Salah sebuah Toyota Supra asli dalam filem <em>The Fast and The Furious</em> akan dilelong Jun ini di Las Vegas

    Tak kira anda minat atau tidak dengan franchise filem Fast and Furious yang kini sudah pun masuk ke filem ke-9, serta sudah sampai tahap berperang di angkasa, anda yang minat dengan dunia modifikasi kereta tentunya kenal dengan Toyota Supra A90 berwarna oren yang dipandu oleh Brian O’Conner (lakonan mendiang Paul Walker) pada filem pertama The Fast and The Furious pada tahun 2001.

    Ini mungkin berita baik untuk peminat filem tersebut, mahupun pengumpul kereta – firma lelongan kenderaan untuk pengumpul, Barret Jackson mengumumkan salah sebuah Supra berkenaan bakal dilelong oleh mereka pada 17 hingga 19 Jun nanti di Las Vegas.

    Ada banyak ke sebenarnya Supra tersebut? Untuk pengetahuan anda, seperti yang diceritakan sendiri oleh penasihat teknikal filem berkenaan iaitu Craig Liebermann, sebenarnya ada lapan buah Supra digunakan dalam pembikinan tersebut, dan setiap satunya mempunyai tugas-tugas tertentu seperti kereta untuk aksi stunt, untuk penggambaran beauty shot dan lain-lain.

    Salah sebuah Toyota Supra asli dalam filem <em>The Fast and The Furious</em> akan dilelong Jun ini di Las Vegas

    Supra utama yang membintangi filem tersebut atau diklasifikasikan sebagai unit Hero 1 adalah milik Liebermann sendiri. Manakala unit yang bakal dilelong ini adalah unit yang dilabel sebagai kereta Stunt 1, dan menurut Liebermann lagi ia sebenarnya adalah unit kedua paling penting dalam filem itu kerana ia unit sebenar yang dipandu oleh O’Conner ketika babak di mana dia menembak Johnny Tran yang sedang menunggang motosikal.

    Menurut Barret Jackson pula, kereta yang dilelong ini juga telah digunakan untuk berberapa babak dalam kabin dan juga luaran. Pembeli kereta ini kelak turut akan dibekalkan dengan dokumentasi yang ekstensif serta sijil pengesahan keaslian yang sebenar.

    Untuk digunakan dalam filem berkenaan, Supra ini telah dihasilkan oleh Eddie Paul di The Shark Shop yang terletak di El Segundo, California. Selepas habis penggambaran The Fast and The Furious, Supra ini digunakan semula untuk digunakan sebagai kereta milik Slap Jack dalam filem kedua, 2 Fast 2 Furious – ingat lagi perlumbaan pertama yang melibatkan Supra berkenaan melompat dari jambatan yang sedang diangkat?

    Kereta ini kemudiannya direstorasi semula dengan penampilan sama seperti filem pertama. Ia dipadankan dengan bampar hadapan Bomex, bonet depan dengan rupa seperti bonet Supra keluaran TRD, sayap GT belakang dari APR, serta rim 19-inci Racing Hart M5. Badannya disembur semula dengan warna Candy Orange Pearl, serta diberikan pelekat grafik badan “Nuclear Gladiator” yang direka oleh Troy Lee.

    Namun menerusi gambar yang disertakan Barret Jackson, tiada botol biru untuk menyimpan nitrus oksida (atau popular disebut sebagai ‘NOS’ dalam filem tersebut) di belakang, tetapi cagak untuk meletakkan botol berkenaan sudah pun tersedia.

    Untuk pengehtahuan anda juga kebanyakkan dari unit-unit Supra yang digunakan dalam filem berkenaan sebenarnya hanya dari versi NA dengan enjin 3.0 liter 2JZ-GE. Namun unit yang bakal dilelong ini agak istimewa kerana ia dari versi Supra Turbo asli yang datang dengan enjin 2JZ-GTE bersama dua pengecas turbo. Tetapi, ia bukanlah dari versi transmisi manual, kerana dipadankan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan, bersama tombol gear Sparco yang acah-acah manual.

     
     
  • PKP 3.0: Restoran, kedai makan dilarang sediakan khidmat ‘dine-in’ dalam kereta pelanggan – KPDNHEP

    PKP 3.0: Restoran, kedai makan dilarang sediakan khidmat ‘dine-in’ dalam kereta pelanggan – KPDNHEP

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan semua restoran dan kedai makan yang berada dalam kawasan yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilarang menyediakan perkhidmatan untuk dine-in atau makan dalam kereta pelanggan.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, selagi tidak ada prosedur operasi standard (SOP) baharu dikeluarkan larangan terhadap aktiviti itu masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi, laporan Berita Harian.

    Aktiviti dine-in dalam kenderaan ini mungkin suatu idea baharu selepas larangan untuk makan di dalam premis dikuatkuasakan. Walaupun aktiviti itu diadakan secara ahli keluarga ia masih tidak dibenarkan dan melanggar SOP.

    “Orang ramai dan pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya menghentikan aktiviti ini dan hanya dibenarkan bawa pulang supaya tidak dikenakan tindakan,” katanya.

    Hari ini, akhbar yang sama turut melaporkan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail bahawa premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ dalam kereta di Sarawak adalah melanggar prosedur SOP dan tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap pengusaha premis yang menyediakan layanan sedemikian.

    Bagaimanapun, sekiranya pelanggan membeli secara bungkus dan makan di dalam kenderaan mereka sendiri, ia tidak menjadi kesalahan.

     
     
  • Nissan, Suzuki dan Mitsubishi kurangkan pengeluaran pada bulan Jun akibat kekurangan chip berlanjutan

    Nissan, Suzuki dan Mitsubishi kurangkan pengeluaran pada bulan Jun akibat kekurangan chip berlanjutan

    Nissan, Suzuki dan Mitsubishi dilaporkan akan menghentikan sementara pengeluaran kenderaan di beberapa kilangnya bermula Jun ini akibat kekurangan cip semikonduktor, yang memberi kesan kepada semua pengeluar diperingkat global ketika ini.

    Menurut Reuters, Nissan akan menghentikan pengeluaran di kilang Kyushu, Jepun untuk tiga hari bermula 24, 25 dan 28 Jun ini. Syarikat itu juga akan melakukan beberapa penyelarasan sepanjang bulan depan di kilang Tochigi dan Oppama, menurut sumber yang rapat dengan hal tersebut. Pengeluaran juga dijangka terganngu di kilang Mexico.

    Awal bulan ini, Nissan memaklumkan akan mengeluarkan kurang kenderaan tahun ini disebabkan masalah bekalan cip terbabit. Syarikat itu meramalkan jumpah outputnya akan berkurangan sekitar 500,000 unit, dan untuk itu merancang tindakan balas bagi mengembalikan pengeluaran ke tahap sepatutnya.

    Suzuki pula akan menghentikan operasi di kilang Shizuoka antara tiga hingga sembilan hari menurut sumber lain. Seorang jurucakap Suzuki bagaimanapun memaklumkan bahawa hal itu “belum disahkan lagi”, dengan berkata walaupun syarikat itu telah menyatakan perancangan sementara pengeluarannya kepada rakan pembekal lain, ia masih dalam proses penyelarasan untuk meminimumkan kesan akibat kekurangan bekalan cip tersebut.

    Bagi Mitsubishi pula, mereka akan mengurangkan pengeluaran sehingga 30,000 kenderaan pada Jun di lima kilangnya yang berada di Jepun, Thailand dan Indonesia. Seorang jurucakap memaklumkan, hal ini sudahpun dipertimbangkan di dalam perancangan perolehan pendapatan syarikat bagi tahun kewangan semasa.

     
     
  • Acura TLX Type S 2021 untuk AS — 355 hp V6 dengan AWD; 0-96 km/j dalam lima saat, harga dari RM216k

    Acura TLX Type S 2021 untuk AS — 355 hp V6 dengan AWD; 0-96 km/j dalam lima saat, harga dari RM216k

    Acura TLX generasi kedua menerima semula nama Type S selepas lama menyepi. Sedan berprestasi tinggi itu akan dijual di pasaran AS pada 23 Jun ini. Bagaimanapun, TLX Type S ini akan dijual dalam jumlah terhad, dengan hanya 2,000 unit pengeluaran sahaja dirancang bagi model tahun 2021, dengan harga jualan USD52,300 (RM216,496).

    Melalui model ini, cabang jenama mewah Honda ini ingin memberikan saingan terhadap model pengeluar lain seperti BMW M340i xDrive serta Audi S4 dan Mercedes-AMG C 43 4Matic, semuanya hadir dengan tanda harga yang jauh lebih tinggi.

    Dari segi penampilannya saja model ini sudah membawa imej prestasi yang diinginkan, dengan rekaan bampar depan yang agresif, bukaan udara besar serta gril unik Acura. Lampu utama yang tajam melengkapi imej tersebut. Di belakang, empat muncul ekzos, spoiler serta diffuser turut menyumbang menjadikannya tampil garang. Bahagian bonetnya juga lebih panjang untuk memberikan profil lebih sporty.

    TLX Type S ini menggunakan suspensi jenis double wishbones di depan dan multi-link di belakang, digandingkan dengan penyerap hentak adaptif. Cakera brek depan juga lebih besar dengan angkup Brembo empat-piston. Dan, dengan tambahan USD800 (RM3,312), pembeli boleh memilih rim 20-inci lima jejari ilham dari NSX dengan tayar Pirelli P Zero.

    Acura TLX Type S 2021 untuk AS — 355 hp V6 dengan AWD; 0-96 km/j dalam lima saat, harga dari RM216k

    Nadi utama kereta ini ialah enjin 3.0 liter turbocas petrol V6 yang menghasilkan 355 hp dan 480 Nm tork. Unit ini dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan yang menukar gear lebih pantas berbanding TLX biasa, dan ada juga sistem Super Handling All-Wheel Drive dengan teknologi torque vectoring.

    Sistem pacuan ini membolehkan pecutan 0-96 km/j dalam masa lima saat, iaitu 25% lebih pantas daripada TLX biasa, dengan laju maksimum 209 km/j (130 mph) hingga 249 km/j (155 mph). Angka ini meletakkan TLX Type S begitu hampir dengan prestasi pesaing yang lain.

    Kelengkapan standard termasuklah balutan kulit Milano dengan perincian Ultrasuede, kerusi depan larasan 16-arah, sistem bunyi ELS Studio 17-pembesar suara, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.2-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay, AcuraWatch serta Integrated Dynamics System.

     
     
  • BMW i4 M50 xDrive – gambar terdedah sebelum lancar – model EV M Performance pertama dengan 530 PS

    BMW i4 M50 xDrive – gambar terdedah sebelum lancar – model EV M Performance pertama dengan 530 PS

    BMW sebelum ini telah mengesahkan bahawa nanti akan terdapat satu versi prestasi untuk sedan elektrik i4, dan ia akan didedahkan secara rasmi 1 Jun di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, sebelum ia berlaku, satu gambar yang dikatakan sebagai i4 M50 xDrive telah bocor di internet.

    M50 xDrive akan menjadi model M Performance dengan kuasa elektrik yang pertama, dan dikatakan bakal menggunakan tetapan dua motor yang memberikan sistem pacuan empat roda, 530 PS (523 hp) dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat. Varian paling tinggi ini akan diletakkan atas eDrive40 dan eDrive50 yang mana masing-masing menghasilkan kuasa 334 PS (330 hp) dan 272 PS (268 hp).

    Ada laporan yang memberi petunjuk bahawa kedua-dua M50 xDrive dan eDrive40 akan dilengkapi dengan bateri 80 kWh, dan varian pertengahan boleh memberi jarak gerak sehingga 590 km sekali cas penuh. BMW masih belum mendedahkan jarak gerak model M Performance itu, tetapi ia dijangka lebih rendah kerana prestasi yang lebih tinggi.

    Model M50 xDrive ini juga akan datang dengan BMW IconicSounds Electric, iaitu satu portfolio bunyi yang dibangunkan kerjasama dengan Hans Zimmer untuk memberikan pengalaman bunyi penuh rasa bagi yang memandu. Model i4 versi M ini nanti akan mendapat profail bunyi yang berbeza demi memastikan ia lebih menyerlah berbanding varian biasa.

    Untuk rupa luaran, penampilan EV prestasi ini hampir sama seperti pakej M Sport yang didedahkan April lalu, dengan bampar hadapan yang agresif bersama bukaan udara besar, side skirt lebih sporty, rim lebih bergaya dan elemen diffuser di belakang. Perhatikan lebih lagi dan anda akan dapat melihat pakej Shadow Line serta bahagian yang dihitamkan seperti gril, lencana dan kemasan lain.

     
     
  • Hyundai Kona N Line bakal tiba di M’sia tidak lama lagi

    Hyundai Kona N Line bakal tiba di M’sia tidak lama lagi

    Dalam pelancaran Hyundai Kona facelift yang diadakan secara maya bulan lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah menunjukkan teaser versi N Line untuk SUV segmen-B tersebut. Malah baru-baru ini, HSDM telah menyiarkan video jentera tersebut menerusi laman Facebook dan mengesahkan ia bakal tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Seperti sebelum ini, HSDM masih tidak berkongsi perincian mengenai N Line, namun apa yang kita tahu, ia akan model tertinggi dalam barisan Kona, buat masa ini cuma menawarkan varian 2.0 dan 2.0 Active.

    Perubahan yang dilakukan berbanding Kona standard termasuklah bahagian hadapan baharu yang lebih agresif, dengan corong pengambilan udara yang lebih besar, splitter hadapan dan fin yang terletak di sudut bampar berwarna perak, serta tiga inlet palsu yang diletakkan di atas gril. Gril pula menampilkan bentuk=Y, sementara corong pengambilan udara dengan kemasan honeycomb yang unik.

    Hyundai Kona N Line bakal tiba di M’sia tidak lama lagi

    N Line juga menerima skirt sisi yang lebih tajam dan bampar belakang yang dirombak semula dengan diffuser yang lebih besar, dua paip ekzos tersembunyi, corong sudut dan fin palsu yang dikatakan untuk mempertingkatkan aliran udara. Bukan itu sahaja, perubahan luaran juga melibatkan penampilan roda aloi dua-tona 18-inci dengan gaya ala turbin yang unik.

    Di dalamnya, N Line juga berbeza dengan model standard, ia diberikan pedal logam, tempat duduk dengan jahitan merah, tombol gear dengan jaluran merah dan logo N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk. Manakala fabrik hitam, kulit dan suede upholstery ditawarkan secara pilihan, cuma belum dipastikan material mana yang pasaran kita akan peroleh.

    Tiada perubahan mekanikal yang dilakukan, dengan N Line menerima enjin 1.6 liter pengecas turbo dan suntikan terus petrol yang membezakannya dengan model 2.0 liter naturally-aspirated. Untuk model facelift ini juga, turut diberikan penjana kuasa yang dipanggil Smartstream G1.6 T-GDi, turut menerima sistem Continuous Variable Valve Duration (CVVD) baharu.

    Enjin tersebut memberikan tambahan kuasa sebanyak 21 PS, dengan jumlah keseluruhan output mencecah 198 PS pada 6,000 rpm. Manakala tork puncaknya mencecah 265 Nm dari 1,800 hingga 4,500 rpm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat. Transmis dwi-klac tujuh-kelajuan juga diberikan sebagai varian tunggal untuk kotak gear bagi enjin ini.

    Berkenana harganya, pastiya N Line lebih mahal berbanding model standard termasuk varian 1.6 Turbo yang berharga RM151,888. Malah dijangka ia juga bakal ditawarkan dengan beberapa kit tambahan untuk membuatkan harganya lebih berbaloi – mungkin menampilkan skrin sesentuh infotainmen yang lebih besar dan juga kawalan kelajuan adaptif. Hanya kebarangkalian, kena nantikan maklumat lanjut dari HSDM sendiri.

     
     
  • Yamaha Zuma 125 2022 diperkenal di AS – gaya lasak

    Yamaha Zuma 125 2022 diperkenal di AS – gaya lasak

    Yamaha juga sebenarnya ada skuter kecil dengan ciri adventure seperti Honda ADV 150, cuma ia tidak dijual di negara kita. Di Amerika Syarikat (AS), versi terbaru skuter ini sudah dilancarkan, dan dipanggil sebagai Zuma 125 2022. Model ini juga ada dijual di negara lain, seperti Taiwan, dan dipanggil sebagai BWS 125.

    Masih mempunyai platform kaki seperti skuter biasa, Zuma 125 menampilkan rekaan yang unik, dengan lampu bulat berlainan saiz di hadapan, fender tajam, bahagian atas lampu yang boleh digunakan untuk meletak barang apabila dipasang rak aksesori, rim 12 inci yang dibalut tayar jenis lasak serta suspensi dengan jarak gerak masing 3.2 inci di hadapan dan 3.1 inci di belakang.

    Penggerak skuter ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api 125 cc SOHC VVA penyejukan cecair, bersama gabungan transmisi CVT. Berat keseluruhan Zuma 125 adalah 128 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 6.1 liter.

    Walaupun adalah skuter bercirikan lasak, Zuma 125 masih datang dengan kelengkapan yang memudahkan pengguna seperti ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan helmet fullface, pengecas USB, tongkat tengah serta casis yang direka untuk memudahkan pengendalian.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, tayar 120.70 di hadapan dan 130/70 di belakang, panel instrumen digital LCD dan tinggi tempat duduk 785 mm. Zuma 125 2022 dijual di AS dengan harga 3,699 USD (RM15,308) dan disediakan dalam dua warna iaitu biru dan hitam matte.

     
     
  • Perodua Ativa ke Toyota Raize – ubahsuai kini boleh dibuat di Malaysia, bermula RM9k siap pasang dan cat!

    Perodua Ativa ke Toyota Raize – ubahsuai kini boleh dibuat di Malaysia, bermula RM9k siap pasang dan cat!

    Dah lama betul Perodua tak keluarkan model yang ada kembar JDM, dan ‘sedap’ untuk dibuat ‘main’ sebab ada macam-macam aksesori dari Jepun bukan? Dan seperti yang dijangka, selepas Ativa dilancarkan pada Mac lalu, demam ‘convert’ untuk SUV kompak berkenaan pastinya akan bermula.

    Kit untuk merubah Ativa anda kepada Toyota Raize JDM yang anda lihat ini dibawa ke Malaysia oleh GP Division Auto – ia bukan komponen terpakai dari halfcut, tetapi ini adalah kit baru serta asli dari Toyota! Kit lengkap ini terdiri dari bampar hadapan dan belakang, lengkap dengan segala emblem Toyota dan Raize, serta lampu nyalaan siang LED, dan juga modul lampu kabus LED pada kedua-dua bampar.

    Kit asas ini dijual pada harga RM9k termasuk pemasangan dan juga cat. Tiada ubahsuai perlu dilakukan untuk ‘menyumpah’ Ativa anda kepada Toyota Raize kerana kit berkenaan adalah hampir plug and play secara keseluruhannya, kecuali pada mudguard belakang dimana ia turut memerlukan bracket asli dari Toyota.

    Perodua Ativa ke Toyota Raize – ubahsuai kini boleh dibuat di Malaysia, bermula RM9k siap pasang dan cat!

    Jika anda tidak berpuas hati kerana Ativa anda hanya kelihatan seperti sebuah Toyota Raize standard, GP Division yang berpusat di Kuala Lumpur ini turut menawarkan kit badan lengkap bagi memberikan imej yang lebih sporty. Kit badan tersebut terdiri dari lip bampar hadapan, skirt sisi, lip belakang bersama diffuser bersepadu dengan rekaan empat tip ekzos.

    Apa yang memudahkan projek ‘sumpahan’ generasi baharu ini adalah Perodua telah menawarkan sistem elektronik dan mekanikal yang sama canggih untuk Ativa dengan kembar-kembarnya di Jepun. Kesemua varian Ativa di Malaysia secara standard dipadankan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS/140 Nm bersama kotak gear D-CVT automatik.

    Malah untuk dua varian tertinggi Ativa sudah pun datang dengan ciri-ciri termaju sama seperti Raize dan Daihatsu Rocky varian tinggi di Jepun seperti Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB), instrumen digital dengan skrin tujuh-inci, sistem bantuan pemanduan keselamatan ASA 3.0 dan pelbagai lagi.

    Jadi tak payahlah anda bersusah payah seperti projek JDM dari zaman Kancil, Kelisa, Kenari hingga ke Myvi sebelum ini yang bukan sahaja melibatkan komponen badan, malah turut perlu bersusah payah untuk mencari komponen sistem mekanikal seperti enjin turbo dan juga ‘jajan-jajan’ lain untuk bahagian dalaman serta sistem elektronik.

    GALERI:Perodua Ativa AV

    GALERI: Toyota Raize pasaran Jepun

     
     
  • FIA gantung pelumba WRC2 Hyundai 6-bulan; langgar protokol Covid-19, tidak isytihar ada kontak rapat

    FIA gantung pelumba WRC2 Hyundai 6-bulan; langgar protokol Covid-19, tidak isytihar ada kontak rapat

    Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah menggantung pelumba Hyundai Motorsport, Ole Christian Veiby selama enam bulan dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 kerana didapati melanggar protokol Covid-19 pada pusingan keempat WRC 2021 iaitu di Rally Portugal hujung minggu lalu. Turut digantung selama tiga-bulan adalah juruarah Veiby iaitu Jonas Andersson.

    FIA mendakwa bahawa Veiby tidak mengisytiharkan dia adalah kontak rapat kepada pesakit Covid-19 sebelum tiba di Portugal kemudian dia sendiri disahkan positif Covid-19 dalam ujian yang dibuat Khamis lalu, seterusnya menyebabkan dia terpaksa menarik diri dari memulakan rali berkenaan.

    Manakala untuk Jonas Andersson pula didakwa kerana telah melanggar arahan kuarantin yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan selepas dia dan Veiby memandu antara Portugal dan Sepanyol untuk menyertai Targa Florio Rally pada 7 hingga 8 Mei lalu.

    FIA gantung pelumba WRC2 Hyundai 6-bulan; langgar protokol Covid-19, tidak isytihar ada kontak rapat

    “Kejohanan Rali Dunia dan FIA menggunakan undang-undaing FIA ISC [International Sporting Code] Apendiks S dan prosedur bagi mengurangkan pendedahan terhadap pandemik secara sangat serius.

    “En. Veiby tidak menyatakan dia mempunyai kontak raapt dengan kes positif sebelum acara di Portugal dan dia juga tidak mendapat atau memohon keizinan untuk meninggalkan Portugal untuk kembali ke Sepanyol ketika dia sepatutnya dikenakan kuarantin selama 10 hari di Portugal,” tulis laporan dari FIA terhadap kes ini dan menegaskan ini merupakan pelanggaran undang-undang yang serius.

    Dengan hukuman ini Veiby tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana pusingan WRC selama enam bulan, efektif bermula 23 Mei sehingga 23 November. Ini bermakna peluang Veiby untuk merebut gelaran juara WRC2 untuk musim ini telah pun tertutup kerana dia hanya boleh untuk kembali berlumba pada pusingan terakhir di Rally Japan pada 11-14 November nanti.

     
     
  • Puspakom Taiping tutup mulai 24 Mei kerana COVID-19

    Puspakom Taiping tutup mulai 24 Mei kerana COVID-19

    Puspakom telah mengumumkan penutupan cawangannya di Taiping, Perak mulai hari ini, 24 Mei selepas kakitangannya telah disahkan positif COVID-19 dan proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan. Semua kakitangan cawangan juga akan menjalani ujian saringan Covid-19, sementara mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuaratin selama 14 hari.

    “Penutupan tersebut adalah bagi melakukan proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh dan pembukaan semula cawangan tersebut akan diumumkan melalui saluran media sosial kami,” ujar Puspakom dalam kenyataan yang dihantar.

    Sebagai alternatif, pelanggan yang telah membuat temujanji di Puspakom Taiping boleh menjalani pemeriksaan secara walk-in dengan pembayaran perlu dilakukan di cawangan seperti berikut. Pelanggan perlu membawa slip pengesahan temujanji Puspakom Taiping semasa hadir ke cawangan alternatif termasuk di cawangan Gopeng, Ipoh, Teluk Intan, Manjung dan Mak Mandin.

    “Puspakom akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghadapi gejala ini,”katanya lagi.

    Minggu lalu, cawangan Puspakom di Padang Jawa, Klang juga ditutup bermula 20 Mei 2021 disebabkan perkara yang sama. Sehingga kini, belum dimaklumkan tarikh cawangan tersebut akan beroperasi semula.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025