Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KTM Duke 200 2021 tiba di Malaysia – RM12,888

    KTM Duke 200 2021 tiba di Malaysia – RM12,888

    KTM Malaysia telah melancarkan model terbaru Duke 200 untuk pasaran Malaysia. Peningkatan utama pada model ini adalah rekaan luaran, yang menjadikannya lebih moden seperti Duke 390, dan dijual pada harga RM12,888 tidak termasuk insurans.

    Kedua-dua lampu hadapan dan belakang Duke 200 2021 ini menggunakan unit LED, dan turut dilengkapi dengan DRL di hadapan. Tangki bahan apinya kini lebih besar, berkapasiti 13.4 liter, manakala tempat duduknya diubah untuk lebih bersesuaian dengan tunggangan agresif.

    Enjin masih lagi sama seperti model sebelum ini, iaitu unit satu silinder berkuasa 26 hp dan 19.5 Nm tork, tetapi bahagian kotak udara serta ekos diubah sedikti supaya dapat mematuhi tahap emisi Euro 5.

    Kelengkapan lain juga adalah sama, termasuk brek cakera depan dan belakang dengan angkup Bybre dan sistem ABS, fork WP, satu monoshock di belakang, rim 17 inci dengan tayar 110 mm di depan dan 150 mm di belakang serta panel meter LCD.

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ C118 2021 di M’sia – kini dengan HUD, beg udara sisi di belakang; RM453k

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ C118 2021 di M’sia – kini dengan HUD, beg udara sisi di belakang; RM453k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memberikan peningkatan pada CLA 45 S 4Matic+ C118 bagi model 2021, dengan sedikit perubahan pada senarai kelengkapan dan harga. Coupe empat-pintu yang menawan ini kini ditawarkan pada harga atas jalan RM453,375 tanpa insurans, dan juga pelepasan 50% cukai jualan bagi kereta import-sepenuhnya (CBU).

    Tanda harga baharu tersebut ternyata lebih tinggi sebanyak RM19,572 berbanding sebelum ini, tetapi dengan penambahan kit. Untuk ruang dalamannya, kini ia didatangkan dengan paparan utama (HUD) yang turut memaparkan informasi pemanduan. Selain itu, kelengkapan baharu yang turut diberikan ialah beg udara sisi untuk tempat duuduk belakang, sama seperti model A45S.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ C118 2021 di M’sia – kini dengan HUD, beg udara sisi di belakang; RM453k

    Selain pertambahan tersebut, ciri lain masih kekal seperti mana model yang dilancarkan pada Jun tahun lalu.

    Di bawah bonetnya, CLA 45 S 4Matic+ dilengkapi dengan enjin M139 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 421 PS (416 hp) pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac AMG Speedshift DCT 8G lapan-kelajuan, sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ dan AMG Torque Control pada gandar baharu di belakang.

    Bagi prestasinya, ia mampu mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya empat saat dan berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum hingga 270 km/j, yang turut dipasang dengan Pakej Pemandu standard.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ C118 2021 di M’sia – kini dengan HUD, beg udara sisi di belakang; RM453k

    Untuk pasaran Malaysia, CLA 45 S 4Matic+ ini turut diberikan roda aloi AMG jejari-bersilang 19-inci dan juga kit badan penuh AMG termasuk gril Panamericana yang menawan. Ia turut diberikan suspensi AMG Ride Comfort dan juga kaliper brek merah.

    Di dalamnya, ia menampilkan sistem MBUX bersama kelengkapan AMG lain termasuk panel ambang pintu iluminasi, alas lantai, tempat duduk Performance (dengan tali pinggang keledar merah designo) serta roda stereng Performance balutan gentian mikro Dinamica/kulit Nappa.

    Lain-lain ciri yang turut tersenarai termasuklah kawalan suhu dwi-zon Thermotronic, tempat duduk hadapan larasan elektronik dengan fungsi memori, lampu utama Multibeam LED, sistem pencahayaan ambien, kamera 360-darjah, pakej Bantuan Pemanduan, Akses Bebas-Tangan, Keyless-Go, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, servis sambungan Mercedes Me, pengecas telefon tanpa wayar dan juga sistem bunyi Burmester.

    GALERI: Mercedes-AMG CLA 45S 4Matic+ C118

     
     
  • Surcaj parkir Touch n Go di 93% lokasi telah dihapus

    Surcaj parkir Touch n Go di 93% lokasi telah dihapus

    Surcaj tambahan ke atas ruang parkir jika menggunakan Touch n Go untuk membayar adalah perkara yang mungkin sukar untuk difahami rasionalnya sebelum ini. Bagaimanapun TnG memaklumkan akan memansuhkan sepenuhnya surcaj berkenaan dalam suku pertama tahun ini. Terbaru, perkara itu kini ada perkembangan yang akan menyenangkan ramai orang.

    Salam sidang media pelancaran maya berkaitan produk pelaburan baru GO+ TnG eWallet, CEO TnG Group, Effendy Shahul Hamid mendedahkan bahawa daripada 662 lokasi di Malaysia yang menerima kad TnG untuk kaedah bayaran parkir, sejumlah 620 lokasi telah dimansuhkan surcaj berkenaan. Ini melibatkan 93% lokasi keseluruhan yang ada TnG yang tidak lagi mengenakan surcaj.

    “Saya sangat gembira untuk menyatakan, menjelang penghujung suku pertama tahun ini, kami akan memansuhkan keseluruhan surcaj. Ia memerlukan inovasi dan pengorbanan dari pihak kami, tetapi itulah perkara yang betul untuk dilakukan,” ujarnya.

    Surcaj berkenaan, biasanya pada kadar 10%, adalah kesan daripada tanggungjawab kontrak antara TnG dan pengendali tempat letak kereta dengan dua sistem parkir. Dimaklumkan selepas ini, bagi kontrak akan datang atau pembaharuan kontrak yang terlibat, ia tidak lagi akan melibatkan keperluan surcaj.

     
     
  • Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

    Hot-hatch mega, Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ W177 baru sahaja mendarat ke pasaran tempatan tahun lalu, dan kini ia sudahpun diperkenalkan dalam versi 2021. Model yang dikemaskini ini tampil dengan harga sedikit lebih murah, kerana ia tidak lagi ditawarkan dalam versi Edition 1.

    Oleh itu, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran termasuk pengecualian 50% cukai jualan RM437,673, atau RM5,593 lebih murah dari versi Edition 1 2020. Jadi, model 2021 hadir tanpa pelekat sisi badan serta grafik Edition 1 pada kemasan aluminium dan juga lapisan kulit yang dijahit pada papan pemuka.

    Selain dari itu, semuanya masih kelihatan sama. Model ini hadir standard dengan pakej AMG Aerodynamics menampilkan splitter hadapan besar, sirip udara sisi, spoiler belakang besar, kemasan hitam pada liang udara palsu di bampar belakang serta diffuser belakang yang lebih menyerlah.

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

    Ia juga masih kekal menerima pakej AMG Night, tampil dengan kemasan-kemasan hitam berkilat, dan juga rim 19-inci kemasan matte black. Sekarang, pemilik boleh memilih pilihan penuh warna badan A-Class pada AMG A 45 ini, berbanding hanya Sun Yellow dan designo Mountain Grey Magno pada versi Edition 1 sebelumnya.

    Dalam kabin, tempat duduk bucket AMG Performance (larasan kuasa dengan memori) masih lagi dipadankan secara standard, namun ianya diberikan uphlosteri kulit buatan Artico dan serat mikro Dinamica dengan serlahan merah, berbanding kuning pada Edition 1.

    Roda stereng AMG dengan rekaan rata di bawah juga masih juga diberikan, namun ia hanya menerima separuh balutan Dinamica, sementara selebihnya dibalut dengan kulit Nappa bersama penanda pukul 12 berwarna merah. Tali pinggang keledar juga telah ditukar dari kuning kepada merah.

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ 2021 kini di M’sia – murah sikit, tiada lagi Edition 1 & bumbung panaromik

    Dari segi kelengkapan pula, model 2021 ini sudah tidak lagi dibekalkan dengan bumbung panaromik. Ciri-ciri lain seperti lampu hadapan Multibeam LED, skrin 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), paparan head-up, pendingin hawa dua-zon bersama corong belakang, kemasan bendul AMG bernyala, lampu suasana 64-warna, sistem navigasi dengan informasi trafik semasa, kamera undur serta sistem bunyi Burmester dengan 12-pembesar suara masih diberikan secara standard.

    Untuk keselamatan pula, A 45 S dibekalkan dengan sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta dan bantuan parkir, sembilan beg udara, kawalan kestabilan, sistem pemantau tekanan tayar, dan sistem Pre-Safe Mercedes-Benz.

    Tiada perubahan pada sistem mekanikal di mana enjin ‘gila’ 2.0 liter empat silinder turbo M139 pada perut A 45 generasi baharu ini terus dibekalkan dengan 421 PS dan tork maksima 500 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan kelajuan AMG SpeedShift 8G, dan juga sistem pacuan semua roda bervariasi (bersama mod drift) 4Matic+ termasuk pakej AMG Driver.

    Ini membolehkan Mercedes-AMG A 45 S tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat serta kelajuan maksima dicatatkan pada 270 km/j. Selain itu, ia juga menerima sistem suspensi adaptif AMG Ride Control dan sistem AMG Track Pace yang menyediakan data telemetri serta pencatat masa untuk pecutan dan catatan masa di litar.

     
     
  • Honda 1 Million Dreams – pemenang bagi Jazz, Civic, Accord dan CR-V diumumkan, selebihnya April ini

    Honda 1 Million Dreams – pemenang bagi Jazz, Civic, Accord dan CR-V diumumkan, selebihnya April ini

    Honda Malaysia telah mengumumkan empat pemenang bagi kempen 1 Million Dreams di mana setiap seorang darinya membawa pulang model edisi istimewa. Dimaklumkan, tiga daripada pemenang telah mengambil bahagian dalam peraduan yang dianjurkan oleh Honda Malaysia sendiri, manakala seorang pemenang lagi telah memenangi kereta yang dikhaskan untuk barisan hadapan (frontliner).

    Pemenang yang bertuah itu ialah Chuah Sze Yong yang berjaya membawa pulang Civic, manakala CR-V pula menjadi milik Lim Lye Gaik dan Abdul Hakim bin Mohd Radzi pula pastinya bergembira dapat memenangi Accord. Mereka berjaya memenangi kereta masing-masing sama ada selepas memuat turun dan mendaftar aplikasi HondaTouch, bermain 1 Million Dreams Quiz menerusi laman web rasmi Honda Malaysia, memandu uji mana-mana model Honda atau pun menghantar kereta Honda untuk diselenggara di pusat servis Honda bertauliah.

    Manaka Shaiful Rezza Abdul Razak, seorang. anggota polis, telah mengambil bahagian dalam acara cabutan bertuah berasingan yang dikhaskan untuk frontliner – tiada pembelian diperlukan – tetapi beliau telah berjaya membawa pulang Jazz, untuk menghargai jasanya dalam mengharungi pandemik coronavirus.

    Kempen tersebut masih berlangsung sehingga April ini dan ada lagi tiga model yang sedang menunggu pemilik bertuah iaitu City, HR-V dan BR-V, dengan menyertai peraduan yang dikendalikan oleh rakan kerjasama Cuckoo, Shopee dan Watsons. Honda Malaysia telah menerima lebih 155,600 penyertaan sejak kempen tersebut bermula pada Februari lalu.

    Menerusi kempen ini, sebanyak tujuh model menawarkan unit edisi istimewa masing-masing iaitu Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V. Hanya ada satu unit bagi setiap model berkenaan untuk direbutkan.

    Keistimewaan yang ditampilkan ialah semua unit ini menggunakan warna putih berkilau dengan kemasan hitam dan merah sebagai perinciannya. Ini juga merupakan kerja mengecat berkualiti tinggi — termasuk bahagian bumbung hitam — dan bukannya sekadar menggunakan pelekat.

    Jika anda berada di sekitar Lembah Klang dan mempunyai kelapangan masa, jom meriahkan temasya Honda 1 Million Dreams yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Bukit Jalil. Acara yang berlangsung selama dua hari ini (27-28 Mac 2021) dari jam 10 pagi hingga 10 malam, menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai disertai seisi keluarga.

    Menerusi temasya ini, anda berpeluang untuk memandu uji mana-mana model baharu Honda dan jika berkenan, boleh terus menempahnya menerusi wakil pengedar yang turut berada di sini sepanjang dua hari. Malah anda mungkin berpeluang untuk memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah selepas sesi pandu uji tersebut.

    Walau pun membuka kehadiran ramai pengunjung, namun Honda Malaysia tetap mengikut segara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini termasuklah semua wajib memakai pelitup hidung dan mulut, penjarakan sosial dan sebagainya. Malahan pada setiap bahagian termasuk booth permainan juga dihadkan jumlah pengunjung dalam satu masa.

     
     
  • Temasya Honda 1 Million Dreams gegarkan Stadium Bukit Jalil pada 27-28 Mac – jom memeriahkannya

    Temasya Honda 1 Million Dreams gegarkan Stadium Bukit Jalil pada 27-28 Mac – jom memeriahkannya

    Jika anda berada di sekitar Lembah Klang dan mempunyai kelapangan masa, jom meriahkan temasya Honda 1 Million Dreams yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Bukit Jalil. Acara yang berlangsung selama dua hari ini (27-28 Mac 2021) menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai disertai seisi keluarga.

    Menerusi temasya ini, anda berpeluang untuk memandu uji mana-mana model baharu Honda dan jika berkenan, boleh terus menempahnya menerusi wakil pengedar yang turut berada di sini sepanjang dua hari. Malah anda mungkin berpeluang untuk memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah selepas sesi pandu uji tersebut.

    Bukan itu sahaja, bagi anda yang membawa keluarga, pelbagai acara dan permainan menarik yang biasanya ada di funfair turut ditampilkan di sini termasuklah Ali Baba, Ferris Wheel, Merry Go Round, Para Trooper dan pelbagai lagi. Pastinya acara sebegini sangat dinantikan oleh golongan kanak-kanak. Malahan pelbagai food truck juga turut tersedia di perkarangan stadium ini, jadi para pengunjung boleh membeli makanan dan minuman dengan harga yang berpatutan.

    Sebenarnya temasya ini adalah kemuncak kempen 1 Million Dream yang dianjurkan oleh Honda Malaysia sendiri. Di mana syarikat itu sedang meraikan penanda atas satu juta kenderaan di Malaysia sejak memulakan operasi di sini pada tahun 2001 dengan menawarkan peluang pelanggan tempatan membawa pulang satu daripada model terbabit secara percuma.

    Kita akan mengetahui siapakah pelanggan bertuah Honda yang berjaya memenangi satu daripada tujuh model edisi khas 1 Million Dream, yang melibatkan model Jazz, City, BR-V, HR-V, Civic, CR-V dan Accord. Kesemuanya versi khusus dengan penampilan dua tona dengan warna badan Platinum White Pearl dan perincian merah serta lencana “1 Million Dreams”.

    Selain itu, hadiah-hadiah lain turut ditawarkan sepanjang kempen berkenaan turut melibatkan kerjasama dengan Shoppee, Watsons dan Cuckoo, dengan keseluruhan habuan bernilai RM1 juta.

    Jadi, kalau anda ada masa lapang hari ini atau esok, jangan lupa bawak keluarga atau kawan-kawan berkunjung ke temasya Honda 1 Million Dreams yang sedang hangat berlangsung di perkarangan Stadium Bukit Jalil.

     
     
  • MAA jangka lebih banyak jenama automotif dari China akan masuk ke pasaran Malaysia beri persaingan sihat

    MAA jangka lebih banyak jenama automotif dari China akan masuk ke pasaran Malaysia beri persaingan sihat

    Jenama China dalam pasaran bukan sesuatu yang baharu – sebelum jalinan kerjasama antara Proton dan Geely berjalan, mereka sudah pun bertapak di Malaysia sekitar 20 tahun menerusi jenama seperti Chery, Changan, GWM/Haval dan pelbagai lagi. Malah ada juga model yang telah direbadge sebagai jenama tempatan seperti Naza Sutera yang diasaskan dari Hafei Lobo.

    Namun ‘kebangkitan’ jenama-jenama dari Negara Tembok Besar tersebut benar-benar nampak setelah Proton mula menjual model-model yang dihasilkan berasaskan dari Geely iaitu Proton X70 dan X50.

    Sebelum ini, kereta-kereta dari China dengan rupa seakan klon dari jenama-jenama terkenal serta ditawarkan dengan harga yang murah tersebut sering dikaitkan dengan kegusaran seperti tahap kualiti dan ketahanan, namun buat masa sekarang X70 dan X50 masing-masing merupakan model yang paling laris dalam kelasnya di Malaysia.

    Sejak kebelakangan ini, kita telah melihat berberapa gambar-gambar intipan menunjukkan model GAC Trumpchi GS3 Power dan Chery Tiggo 5x sedang giat diuji di Malaysia. Manakala SUV DFSK Glory 580 pula secara tiba-tiba sudahpun rasmi bertapak di Malaysia hujung bulan lalu, dan tidak lama lagi Seiyong S1 EV iaitu SUV elektrik sepenuhnya (EV) dengan harga mampu milik akan dilancarkan di pasaran tempatan.

    Manakala bagi GWM, mereka kini mempunyai perancangan yang besar di Thailand, dan model SUV terbaharu Haval H6 mereka juga bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi.

    Jadi dengan ‘fenomena’ terbaharu dalam industri automotif tempatan ini, apa pula pandangan dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA)? Kami ajukan soalan tersebut hari ini pada sidang media siang tadi.

    MAA jangka lebih banyak jenama automotif dari China akan masuk ke pasaran Malaysia beri persaingan sihat

    “Kami jangkakan lebih banyak pemain baharu dari China untuk masuk ke Malaysia, tetapi apa sekalipun, persaingan adalah sihat. Kami tak boleh nafikan, kerana dari segi teknologi mereka juga sangat maju, dan mereka juga ada kenderaan EV. Kerajaan tidak akan menghalang mereka untuk masuk ke pasaran kita, jadi kami perlu menerima hakikat bahawa akan ada kemasukan baharu dalam pasaran dari China,” kata presiden MAA Datuk Aishah Ahmad.

    Nampaknya pada masa akan datang, pasaran Malaysia akan menjadi lebih menarik dengan kedatangan banyak pemain-pemain baharu dalam industri. Jadi bagaimana pula pendapat anda – adakah anda boleh menerima dan memilih jenama-jenama baharu dari China ini untuk pembelian kereta seterusnya, atau terus mempercayai jenama-jenama yang sudah lama dikenali? Atau, anda ada jenama-jenama tertentu dari China yang diharapkan masuk ke pasaran Malaysia pada masa akan datang?

     
     
  • “Cara baru untuk mendapatkan kelulusan harga kenderaan dari kerajaan sedang diusahakan” – MAA

    “Cara baru untuk mendapatkan kelulusan harga kenderaan dari kerajaan sedang diusahakan” – MAA

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini pernah memberitahu, kelambatan dalam mendapatkan kelulusan harga kenderaan menjadi satu masalah dalam negara dan ia menyebabkan beberapa pelancaran terpaksa ditangguh atau hanya harga anggaran sahaja yang dikeluarkan buat sementara waktu.

    Hari ini, persatuan tersebut telah mengadakan perjumpaan tahunan kali 22 untuk memilih ahli majlis bagi tahun 2021/2022 dan ia kemudiannya diikuti oleh sesi soal jawab dengan wakil media. Kami mengambil peluang untuk bertanyakan kepada presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad apakah terdapat sebarang perkembangan berkenaan perkara yang dinyatakan tadi.

    “Secara asasnya, bagi pelancaran dan yang berkaitan, mereka (ahli MAA) perlu mendapatkan kelulusan harga daripada ABDC (Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif) sekiranya mahukan insentif, dan ia akan mengambil masa beberapa bulan sebelum boleh diluluskan dan perlu melalui MoF (Kementerian Kewangan),” kata Aishah.

    “Cara baru untuk mendapatkan kelulusan harga kenderaan dari kerajaan sedang diusahakan” – MAA

    “Tetapi kerajaan sekarang sedang mengusahakan formula atau garis masa baru – Saya tidak tahu bila ia akan dilaksanakan – tetapi mereka berjanji bahawa permohonan akan diluluskan dalam masa tiga bulan. Kami harap garis masa ini akan dilaksanakan secepatnya,” jelas beliau.

    Sebelum ini Aishah menjelaskan proses mendapatkan kelulusan harga kenderaan bermula dengan permohonan yang dihantar kepada ABDC, dan ini terdiri daripada pengerusinya, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), MARii (Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia), kastam serta MoF.

    Buat masa ini, beliau memberitahu secara amnya tempoh tiga bulan diperlukan sebelum permohonan itu dapat diluluskan oleh ABDC, tetapi untuk mendapatkan surat kelulusan daripada MoF ia akan mengambil masa lebih lama dan menyebabkan kelambatan. Formula baru yang diberitahu sepatutnya dapat memendekkan tempoh ini, tetapi perinciannya masih belum diketahui.

    “Cara baru untuk mendapatkan kelulusan harga kenderaan dari kerajaan sedang diusahakan” – MAA

    Apabila ditanya sekiranya terdapat penjelasan yang lebih terperinci berkenaan insentif, terutamanya bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan bagaimana harganya ditetapkan, Aishah berkata ahli persatuan telah diberitahu berkenaan polisi tersebut, tetapi perbincangan dengan kerajaan masih lagi dalam proses, untuk menentukan apa yang terbaik bagi pemain industri dan tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan.

    Telah diketahui sebelum ini bahawa peraturan baru akan melihatkan kenderaan CKD perlu membayar cukai lebih tinggi disebabkan cara pengiraan nilai pasaran terbuka (OMV) sesebuah kenderaan. Asalnya ia mahu dilaksanakan pada tahun 2020, tetapi ditangguhkan sehingga kini.

    Dengan garis masa serta pelaksanaan yang masih lagi kabur ini, terdapat persoalan sama syarikat kereta di dalam negara mengalami kesukaran untuk merancang masa hadapan serta pelaburan mereka.

     
     
  • SPYSHOT: Isuzu D-Max 2021 dikesan diangkut dengan treler di Malaysia – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    SPYSHOT: Isuzu D-Max 2021 dikesan diangkut dengan treler di Malaysia – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Isuzu D-Max generasi ketiga telah dikesan diangkut dengan treler di Malaysia, yang kelihatan berhenti di tepi lebuhraya. Trak pikap ini dilancarkan di peringkat global pada Oktober 2018, tetapi Malaysia telah menangguhkan kemasukannya kerana ketika itu model facelift generasi kedua baru saja dilancarkan beberapa bulan sebelum trak generasi ketiga ini diperkenalkan.

    Dengan adanya foto spyshot ini, trak pikap untuk pasaran Malaysia bakal menerima warna luaran biru dan jingga, bersama dua tona kemasan roda. Konfigurasi double-cab pastinya menjadi barisan utama model yang bakal dilancarkan ini. Selain versi single-cab yang juga akan ditampilkan.

    D-Max baharu ini menggunakan binaan Isuzu Dynamic Platform – walaupun masih dengan struktur ladder frame, banyak penambahbaikan telah dapat dicapai – kini ia lebih selesa dan lebih senyap. Ia juga memiliki dimensi dan ukuran seperti berikut; 5,265 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,790 mm tinggi, menjadikannya 30 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan lima milimeter lebih rendah; jarak antara rodanya pula ialah 3,125 mm, 30 mm lebih panjang.

    Untuk pasaran global, ia diberikan dua pilihan enjin turbodiesel – 1.9 liter dan 3.0 liter empat-silinder turbodiesel – enjin kecil berkenaan yang sama diperkenalkan untuk pasaran Malaysia sebelum ini. Unit RZ4E-TC berkenaan menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm dengan gandingan kotak gear yang optimum untuk mendapatkan pecutan yang lebih baik.

    Aspek keselamatan bagi D-Max generasi ketiga ini juga lebih meyakinkan, ia telah memperoleh penarafan lima-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP). Malahan ia juga menjadi trak pikap pertama yang menerima penarafan lima bintang daripada ujian pelanggaran Euro NCAP, serta ANCAP sendiri.

    Keselesaan untuk bahagian dalamnya juga dipertingkatkan dengan beberapa ciri baharu termasuklah skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci yang turut menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Isuzu D-Max 2020 V-Cross 3.0 Ddi 4×4 M AT Double Cab

    Isuzu D-Max 2020 Cab4 1.9 Ddi 4×2 Z MT Double Cab

    Isuzu D-Max 2020 Hi-Lander 1.9 Ddi 4×2 ZP AT Extended Cab

     
     
  • Nissan Navara 2021 facelift di pertonton di M’sia — Pro-4X baru, enjin 2.5L lama, AEB, lancar 16 April

    Nissan Navara 2021 facelift di pertonton di M’sia — Pro-4X baru, enjin 2.5L lama, AEB, lancar 16 April

    Selepas membuat kemunculan sulung November lalu, Nissan Navara facelift kini sampai di Malaysia. Pengedar sah jenama tersebut, Edaran Tan Chong kini sedang mempertontonkan trak pikap wajah baru itu — dalam tingkat penawaran Pro-4X — lebih awal daripada tarikh pelancarannya, dijadualkan 16 April ini.

    Perbezaan rekaan luar yang ditampilkan mengambil ilham dari trak pikap saiz besar Nissan Titan, terutamanya rekaan bahagian gril. Ini merangkumi tiga palang yang dikelilingi bingkai krom, dengan tertera nama Navara di bahagian atasnya. Menyerlahkan lagi penampilan menonjol model ini ialah rekaan lampu utama LED projektor empat elemen dan DRL bentuk C.

    Turut direka semula ialah bampar depan dengan rekaan bentuk silang, menempatkan juga perumah bagi lampu kabus dan skid plate besar dengan penutup cangkuk tunda yang kelihatan. Bonetnya juga dijadikan lebih tinggi dengan benjolan lebih ketara di tengah, sepadan dengan bahagian ruang barangan belakang yang dijadikan lebih tinggi juga. Penyudah baru untuk pemijak sisi pula didakwa dapat meningkatkan aerodinamik, mengurangkan bunyi angin dan menjimatkan lagi penggunaan minyak.

    Nissan Navara 2021 facelift di pertonton di M’sia — Pro-4X baru, enjin 2.5L lama, AEB, lancar 16 April

    Di belakang, lampu LED-nya juga menampilkan grafik bentuk C seperti di depan. Rekaan pintu barangannya juga diberi sentuhan baru dengan nama Navara. Bampar belakang menjad lebih besar, bersekali dengan pemijak untuk memudahkan capaian ke ruang belakang berkenaan.

    Varian Pro-4X menerima peningkatan estetik, termasuk lanjutan bahagian lengkung tayar serta bahagian lencana, gril, pemegang pintu, cermin sisi, landasan bumbung dan pemijak sisi berwarna hitam. Rodanya satu inci lebih kecil berbanding varian VL sebelum ini, dengan 17-inci, tetapi disudahi dengan warna hitam dan tayar all-terrain. Perincian warna oren/merah juga dapaat dilihat pada lencana, cangkuk tunda dan lengkung tayar.

    Ruang kargonya dilengkapi dengan sistem Utiliti-Track, membolehlahnya lebih fleksibel ketika pengguna ingin mengikat barangan. Pintu ruang berkenaan yang lebih ringan juga memudahkan lagi operasi pengguna.

    Di dalam, terdapat beberapa perubahan. Paling ketara ialah stereng tiga-jejari sama seperti yang ada pada Serena terkini. Di belakangnya paparan multi-info tujuh-inci yang berada di tengah dua dail analog, sementara sistem infotainmen kini hadir dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kini ada dua slot USB di bawah perehat lengan (termasuk soket USB Type-C), serta satu lagi di belakang. Kerusi belakang juga diberi rekaan baru untuk memberikan lebih sokongan dan keselesaan posisi duduk. Lain-lain kemaskini ialah aspek penebat bunyi serta cermin depan dan sisi penumpang akustik.

    Semua perkara ini ada pada model Pro-4X, yang turut menerima balutan kemasan kulit dan sulaman, pelapik kaki berjenama dan lencana merah-hitam Nissan pada stereng. Ia juga datang sistem tanpa kunci, butang Push Start, kawalan pendingin dua-zon, kawalan melayar, cermin pandang belakang anti silau, sistem kamera 360-darjah dengan Intelligent Moving Object Detection dan mod off-road baru serta empat pembesar suara.

    Nissan Navara 2021 facelift di pertonton di M’sia — Pro-4X baru, enjin 2.5L lama, AEB, lancar 16 April

    Bagi aspek keselamatan, Pro-4X datang memperkenalkan ciri seperti AEB, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi automatik untuk penawaran Navara. Selebihnya, ada juga enam beg udara dan kawalan kestabilan. Belum jelas sama ada semua sistem bantuan pemandu ini akan diberikan kepada semua varian Navara.

    Bagaimanapun, Malaysia tidak menerima pilihan enjin turbodiesel YS23 2.3 liter yang diperkenalkan di Thailand ketika ini. Pasaran tempatan terus menggunakan unit 2.5 liter yang sama pada model generasi D40 sebelumnya. Enjin baru berkenaan memerlukan minimum bahan api Euro 4. Kenapa Malaysia menerima enjin lama? Difahamkan, ETCM menetapkan spesifikasi model ini sejak 2018 lagi, dan ketika itu diesel bersih belum begitu meluas ditawarkan di sini.

    Maka kekalkan kita dengan enjin lama berkenaan buat masa ini. Ia menghasilkan outpun yang sama seperti versi 2.3 liter — 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm tork pada 2,000 rpm. Jangkakan juga model yang lebih rendah spesifikasinya menggunakan enjin yang menghasilkan 163 PS/403 Nm. Transmisi menggunakan automatik tujuh-kelajuan sedia ada.

    Nissan Navara 2021 facelift di pertonton di M’sia — Pro-4X baru, enjin 2.5L lama, AEB, lancar 16 April

    Lain-lain perubahan termasuk stereng ditala menjadi lebih pantas reaksinya dan respon lebih langsung. Suspensi multi-link juga menampilkan gegelung dual-rate yang mengurangkan gerak badan tidak kira bebanan. Selain itu, jumlah beban juga dinaikkan kepada 1.1 tan. Ciri lain yang ada termasuk differential lock belakang elektronik dan Trailer Sway Assist — ciri menggunakan brek untuk mengekalkan trak dalam kawalan.

    Nissan Navara Pro-4X facelift datang dalam empat warna, termasuk Black Star dan Pearl White, Burning Red dan Stealt Grey. Harga dan spesifikasi varian lain akan didedahkan ketika pelancarannya pada April nanti.

     
     
  • BMW C400X dan C400GT dipertingkat untuk tahun 2021 – tunggangan lebih baik, menepati emisi Euro 5

    BMW C400X dan C400GT dipertingkat untuk tahun 2021 – tunggangan lebih baik, menepati emisi Euro 5

    Dua model skuter keluaran BMW yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2018 iaitu C400X dan C400GT kini diberikan pembaharuan, yang meningkatkan lagi kemampuan tunggangannya serta menjadikan ia menepati tahap emisi Euro 5.

    Antara kelengkapan baru yang diberi bagi model tahun 2021 ini adalah sistem pendikit ride-by-wire yang dipanggil oleh BMW Motorrad sebagai “E-gas”. Ia membantu memperbaiki stabiliti melahu enjin, bersama sistem putaran angin serta pintasan injap pendikit. Turut diubah suai pada bahagian enjin adalah catalytic converter, sensor oksigen, head serta sistem pendawaian.

    Bagi mengatasi masalah kelambatan di bahagian klac, spring klac C400 ini telah ditukar dan pemasaan kitaran enjin dilaras semula demi memberikan maklum balas tunggangan yang lebih baik.

    Kuasa yang dihasilkan oleh enjin satu silinder, suntikan bahan api, penyejukan cecair 350 cc pada skuter ini masih lagi sama, iaitu 34 hp pada 7,500 rpm dan 35 Nm tork pada 6,000 rpm. Pemetaan bagi sistem kawalan cengkaman ASC juga telah dilaras semula untuk menjadi lebih sensitif di jalan yang licin.

    Pada bahagian brek, C400 2021 kini menggunakan angkup serta tuil baru untuk tetapan berkembar di hadapan, dan ia menghasilkan rasa lebih baik berbanding sebelum ini. Peningkatan lain yang dilakukan adalah termasuk lampu dalam ruang simpanan 31 liter bawah tempat duduk, pengecas USB serta pilihan warna baru.

    BMW C400X 2021

    BMW C400GT 2021

     
     
  • Barisan model Harley-Davidson tahun 2021 tiba di Malaysia – harga bermula RM69k untuk Iron 883

    Barisan model Harley-Davidson tahun 2021 tiba di Malaysia – harga bermula RM69k untuk Iron 883

    Barisan model Harley-Davidson tahun 2021 kini sudah tiba di Malaysia dengan pengedar rasminya di sini, Didi Resources menyiarkan harga lengkap bagi semua model yang dijual. Secara keseluruhannya ada lebih 20 model H-D yang ditawarkan, dengan harga yang bermula dari RM68,900 hingga RM347,900 (tidak termasuk aksesori tambahan).

    Model paling murah adalah Sportster Iron 883, di mana ia menggunakan enjin Evolution 883 cc yang mampu menghasilkan tork 68 Nm. Dalam keluarga Sportster ada dua lagi model iaitu Iron 1200 dan Forty-Eight dan kedua-duanya dipacu enjin Evolution 1,200 cc 96 Nm tork dan dijual pada harga masing-masing RM75,900 dan RM80,900.

    Pergi kepada model cruiser Softail pula, terdapat lapan model iaitu Softail Standard, Street Bob Special, Low Rider S, Fat Bob 114, Sport Glide, Breakout 114, Fat Boy 114 dan Heritage Classic 114, yang dijual pada harga antara RM89,900 hingga RM123,900.

    Barisan model Harley-Davidson tahun 2021 tiba di Malaysia – harga bermula RM69k untuk Iron 883

    Model yang terdapat nombor 114 pada namanya menggunakan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc dengan tork 155 Nm, sementara selebihnya menggunakan enjin Milwaukee-Eight 107 1,746 cc yang mampu menghasilkan 139 Nm dan 144 Nm tork (bergantung kepada model).

    Bagi model Touring, Harley-Davidson Malaysia membawa masuk enam model iaitu Electra Glide Standard, Road King, Road King Special, Street Glide Special, Road Glide Special dan Ultra Limited. Harganya diletakkan antara RM129,900 hingga RM189,900. Bagi model-model ini, hanya Electra Glide Standard dan Road King sahaja yang menggunakan enjin Milwaukee-Eight 107 1,746 cc sementara yang lain menggunakan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc.

    Model yang mempunyai harga lebih tinggi adalah Trike (tiga tayar) serta CVO, yang mempunyai ciri lebih lengkap dan canggih, dan harganya terletak antara RM230,900 hingga RM347,900. Model Trike digerakkan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc dengan tork 159 Nm, sementara model CVO pula dikuasakan oleh enjin Milwaukee-Eight 117 169 Nm tork.

    Turut termasuk dalam senarai tahun 2021 ini adalah model Adventure Touring Pan America, yang kini sudah dibuka untuk tempahan pada harga RM99,00 bagi versi Standard dan RM115,900 untuk versi Special. Model ini dijangka tiba dalam negara pada bulan Mei atau Jun tahun ini. Semua harga yang dinyatakan di atas tidak termasuk aksesori tambahan dan ia datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    GALERI: Harley-Davidson Low Rider S 2021

    GALERI: Harley-Davidson Softail Standard 2021

    GALERI: Harley-Davidson Street Bob Special 2021

     
     
  • Kerajaan umum pengecualian perbaharui lesen memandu & cukai jalan bermula 1 Apr – 31 Mei 2021

    Kerajaan umum pengecualian perbaharui lesen memandu & cukai jalan bermula 1 Apr – 31 Mei 2021

    Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan masih dilaksanakan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini mengumumkan bahawa pengecualian untuk memperbahrui Lesen Memandu (LM) dan cukai jalan (LKM) persendirian yang sepatutnya berakhir 31 Mac ini akan dilanjutkan dua bulan lagi iaitu sehingga 31 Mei 2021.

    Walau bagaimanapun, untuk individu yang LM dan LKM yang telah tamat dari tarikh bermula 1 Februari hingga 31 Mac 2021 hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei.

    “Sekiranya gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan,” ujar menteri pengangkutan Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Manakala individu yang LM dan LKM yang telah tamat dari tarikh bermula 1 April hingga 31 Mei 2021 pula hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2021.

    Kerajaan umum pengecualian perbaharui lesen memandu & cukai jalan bermula 1 Apr – 31 Mei 2021

    Menurut kenyataan ini lagi, sepertimana objektif pengecualian ini diperkenalkan pada peringkat awal pada Mac 2020 lalu, ianya bertujuan mengelakkan kesesakan di tempat awam serta memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dapat berjalan dengan baik. Justeru itu, tempoh sehingga 60 hari diberikan agar orang ramai mempunyai lebih banyak masa dan ruang serta kelonggaran sebagaimana yang diperlukan.

    Namun, menteri berkenaan turut mengingatkan agar para pemandu sentiasa memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) mereka kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta.

    Beliau turut mengingatkan bahawa pengecualian ini tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu (Essential Services) merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

     
     
  • Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

    Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

    Selepas dua kali dilihat di China tanpa sebarang pelekat penyamaran, kini sekali lagi rupa Honda Civic sedan generasi ke-11 terdedah kepada umum. Imej kali ini disiarkan menerusi forum Civic11Forum, dan Civic 2022 berkenaan terdedah dalam dua warna badan; Lunar Silver dan Platinum White.

    Seperti yang sudah diketahui, Honda Civic generasi terbaharu dalam versi produksi sebenar ini tampil dengan rupa hampir sepenuhnya sama dengan Civic Prototype yang telah didedahkan secara rasmi pada November tahun lalu. Ia tidak lagi menyerlahkan rekaan yang agresif seperti Civic FC sedia ada, sebaliknya nampak lebih matang seperti Accord.

    Muka Civic ini masih diberikan gril signatur Solid Wing Honda, tetapi ia dihasilkan lebih nipis bersama jalur-jalur melintang dalam kemasan hitam. Ia digandingkan dengan lampu depan yang juga lebih tirus, bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-L. Model produksi ini dibezakan dengan pemadanan lampu kabus pada kemasan berbentuk-C pada bampar hadapan.

    Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

    Bahagian profil sisi Civic ini antara elemen yang membuatkan ia nampak seakan Honda Accord generasi sedia ada, tetapi dalam skala lebih kecil. Bukan sahaja bentuk, malah perincian seperti rekaan bentuk lengkuk pada tiang-C serta pintu penutup lubang tangki bahan api juga menampilkan rupa yang sama seperti Accord.

    But belakang Civic generasi baharu ini dihasilkan dengan bentuk lentik seperti diberikan spoiler ekor itik – juga satu lagi rekaan yang disalin dari Accord. Lampu ‘sepit ketam’ pada FC hilang terus, dan digantikan dengan lampu lebih melintang lurus, bersama grafik jalur LED berbentuk-L, membuatkan ia seakan sebuah kereta rekaan jenama Eropah.

    Namun bagi model produksi ini, tiada dua muncung tip ekzos yang kelihatan seperti pada versi prototaip. Satu lagi perkara yang jelas pada imej kali ini adalah rekaan rim aloi yang digunakan, yang juga nampak lebih ringkas dari rekaan pada Civic FC.

    Honda Civic sedan 2022 – versi produksi terdedah lagi

    Walau bagaimanapun, sehingga kini imej untuk bahagian kabin Civic 2022 masih belum bocor. Namun ia mungkin turut akan menampilkan rekaan yang hampir serupa seperti yang didedahkan pada Civic Prototype – ia direka ringkas, tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

    Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Suis larasan fizikal untuk sistem pendingin hawa pula diletakkan di tingkat bawah papan pemuka ini.

    Rekaan yang ringkas ini nampaknya membolehkan Honda memberikan ruang storan lebih besar pada panel tengah yang bersambung dengan konsol gear, di mana ia turut menempatkan dua pemegang cawan serta suis brek parkir elektronik. Model generasi baharu ini turut menerima paparan meter digital, bersama roda stereng baharu dengan jejari pukul tiga dan sembilan yang lebih nipis dan tegak.

    Honda Civic generasi ke-11 ini dijangka akan mula dijual di Amerika Syarikat lewat musim luruh tahun ini, dan ia akan diikuti pasaran China selepas itu.

    GALERI:Honda Civic Prototype

     
     
  • 52 helmet tak ikut spesifikasi disita di premis jualan

    52 helmet tak ikut spesifikasi disita di premis jualan

    Selain operasi ekzos bising dan tak ikut standard, pihak berkuasa turut memberi perhatian terhadap helmet keselamatan penunggang. Dalam satu operasi terbaru, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawangan Segamat menyita 52 unit topi keledar kerana kesalahan melibatkan penandaan standard keselamatan peralatan, lapor Utusan Malaysia.

    “Operasi ini dijalankan susulan aduan awam terhadap penandaan standard keselamatan digunakan ke atas topi keledar motosikal yang dijual di premis terbabit,” jelas Timbalan Ketua Cawangan PPDNHEP Cawangan Segamat, Mohd. Shazuary Md. Sarip. Semua topi keledar tanpa jenama dengan pelbagai warna yang dirampas bernilai RM1,820.

    Premis tersebut juga didapati menjual topi keledar berkenaan pada harga antara RM30 sehingga RM35. “Ia rampasan dan serbuan pertama dilakukan di sekitar Segamat setakat ini. Kami memandang serius isu ini dan menyerbu premis yang dikesan mengimport serta mengedarkan topi keledar yang tidak menepati piawaian,” katanya.

    52 helmet tak ikut spesifikasi disita di premis jualan

    Kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Perihal Dagangan 2011 Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012 kerana disyaki membekalkan atau menawarkan untuk dibekalkan topi keledar motosikal yang tidak mempunyai penandaan Standard Malaysia ‘MS1’ atau Suruhanjaya Ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Eropah bertanda ‘E Mar’.

    Hukuman kesalahan itu adalah denda tidak melebihi RM25,000 jika ia melibatkan pertubuhan atau perbadanan bagi kesalahan pertama, manakala denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan kedua dan berikutnya. Bagi bukan pertubuhan pula boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025