Malam ini bakal berlangsung pelancaran dua model baru daripada UMW Toyota, iaitu SUV Fortuner dan Innova 2021 secara dalam talian, dan anda dijemput untuk turut sama menyaksikannya. Pada jam 8.30 malam nanti, jangan ketinggalan untuk menontonnya di saluras rasmi UMW Toyota menerusi laman Facebook atau Youtube.
Bagi Fortuner, ada dua penawaran utama untuk versi yang terbaru ini, terdiri daripada varian 2.7 SRZ AT 4×4, yang dijual pada harga RM172,244, dan varian dengan enjin diesel 2.8 VRZ AT 4×4, yang dijual pada harga RM203,183. Kedua-dua harga berkenaan ialah harga atas jalan tidak termasuk insurans.
Sementara itu, tiga varian bagi Innova facelift yang telah membuat penampilan di Indonesia Oktober tahun lalu juga akan turut ditawarkan untuk pasaran tempatan. Variannya bermula dengan Innova 2.0E yang dijual pada RM111,622. Ini diikuti oleh 2.0G pada harga RM121,483.
Yang terakhir, varian paling tinggi 2.0X, dijual pada harga RM129,677. Semua harga yang dinyatakan ialah harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian cukai SST. Tidak ketinggalan ialah satu versi komersil (teksi) Innova 2.0E, dijual pada harga RM97,978.
Ikuti perkembangan pelancaran ini untuk perincian lanjutnya bersama kami.
Susulan kes positif COVID-19 yang masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positif di antara 20-40% dan menggusarkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) untuk seluruh negara, kecuali Sarawak, sehingga 18 Februari 2021. Manakala Sarawak masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Kecuali untuk beberapa kawasan di negeri itu yang telah diisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Namun PKP 2.0 sedikit berbeza berbanding PKP satu, yang kali pertama dilaksanakan dulu. Yang mana prosedur operasi standard (SOP) PKP pertama lebih ketat dan lebih kepada ‘total lockdown’. Tiada pergerakan keluar dari rumah. Hampir kesemua sektor ekonomi ditutup.
“Tapi kali ini kita lihat ada kelonggaran untuk sektor ekonomi dan perniagaan terutamanya yang melibatkan perniagaan mikro (penjaja kecil). Walau bagaimana pun SOP yang dikeluarkan adalah lebih ketat. Sebagai contoh, di pasaraya, orang bebas masuk ke pasaraya dan tiada jumlah had, (maka) selepas ini, akan balik ke cara lama dan jumlah pengunjung akan dihadkan,” ujar Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri yang mengumumkan perkara ini sebentar tadi.
Beliau turut menambah, SOP yang lebih ketat akan dikeluarkan dan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat ini.
“Antara SOP yang masih dikekalkan ialah aktiviti sosial dan rentas negeri adalah tidak dibenarkan. Ramai yang bertanya kenapa menyekat rentas negeri, saya ingin maklumkan, setiap keputusan yg dibuat adalah berdasarkan data yg dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Apabila kita membuka rentas negeri dulu, ia telah menyumbang peningkatan kes COVID-10. Buktinya, terdapat 31 kluster yang berkaitan dengan rentas negeri.
“Begitu juga dengan sekatan jalan raya (SJR), ramai yang bertanya kenapa perlu ada SJR walau pun di bandar. Dalam SOP PKP, pertama, jika keluar dari rumah adalah untuk membeli barangan rumah atau tujuan perubatan. Yang kedua pula, hanya dua orang dari satu rumah yang sama dibenarkan untuk tujuan tersebut. Jadi, SJR dilaksanakan kerana kita tidak mahu ada pergerakan yang banyak dan untuk pastikan kita dapat mengurangkan pergerakan rakyat,” katanya lagi.
Tambahnya, “Kita lihat hari ini, kes masih tinggi dan ia masih di sekitar kita. Patuhlah pada setiap SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menjaga kesihatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Jika tiada keperluan untuk keluar rumah, lebih baik terus berada di rumah.”
Lexus telah mengeluarkan satu gambar teaser model konsep yang akan didedahkan tidak lama lagi, dan bakal memberi gambaran kepada hala tuju serta visi masa hadapan baru jenama itu. Model yang mempamerkan lebih awal teknologi pada kereta konsep ini telah didedahkan pada tahun 2019, iaitu sewaktu Tokyo Motor Show, melalui LF-30 Concept.
Menurut presiden Lexus, Koji Sato, tahun ini juga model pertama yang menerapkan visi baru ini akan dilancar. Bagi model konsep itu, bahagian hadapannya juga pernah ditunjuk secara samar Disember lalu, dengan cuma menampakkan pencahayaan unik pada lampu hadapannya serta logo di bahagian tengah yang menyala.
Bagi kenderaan elektrik dan hibrid, Lexus mempunyai strategi jenama baru yang dipanggil sebagai Lexus Electrified, di mana bahagian utamanya adalah sistem kawalan pacuan elektrik Direct4 Wheel Drive Force Control. Sistem ini mengawal penyampaian tork dan brek antara dua gandar yang digunakan, demi memastikan cengkaman yang terbaik dalam pelbagai keadaan.
Selain daripada kecekapan, Lexus juga memberitahu sistem Direct4 ini dalam memberikan “rasa sebenar berhubung penuh dengan kenderaan kenderaan” kepada pemandu, sambil menyediakan keseimbangan yang ideal antara kebolehjangkaan dan keterujaan, bersama kehalusan dan keselesaan yang diambil penting oleh jenama tersebut.
Pada tahun 2020, Nissan Leaf sudah mencecah usia 10 tahun. Bagi menyambut pencapaian hatchback elektrik ini, Nissan telah mengeluarkan model edisi khas yang dipanggil sebagai Leaf10. Ia akan mula dijual di Eropah Februari ini, dan mendapat beberapa tambahan ciri dan kemasan unik.
Pada beberapa bahagian seperti cermin sisi, tepi bumbung serta pintu but belakang, anda akan dapat menyaksikan corak Kumiko yang mendapat inspirasi daripada model Ariya. Dua pilihan warna diberikan, iaitu Ceramic Grey atau Pearl Black, dan kemudiannya terdapat lencana khas di c-pillar.
Ciri lain yang diberikan pada model ini adalah termasuk rim 17 inci, Nissan Blind Spot Intervention, Intelligent Rear View Mirror, sambungan 4G binaan dalam yang membenarkan sambungan sehingga tujuh peranti dalam satu masa, serta telematik melalui aplikasi NissanConnect.
“Sejak Leaf dilancarkan pada tahun 2010, Nissan telah terus mengembangkan teknologi EV, servis sambungan serta rekaan untuk memastikan ia dapat terus memuaskan kemahuan serta gaya hidup pemilik,” kata ketua pengurus pemasaran kenderaan elektrik Nissan Europe, Helen Perry.
“Model ikonik kami telah menarik lebih 180,000 pengguna kenderaan di seluruh Eropah. Kami harap dengan penampilan lebih menarik serta teknologi terkini seperti Wi-Fi dalam kenderaan serta fungsi kawalan jauh dapat terus meningkatkan keterujaan terhadap kenderaan elektrik,” tambah beliau.
Nissan tidak mendedahkan perincian teknikal untuk model edisi khas ini, tetapi dalam keadaan asalnya, Leaf ditawarkan dalam dua pakej bateri iaitu 40 kWh atau 62 kWh, dan selepas dipadankan bersama motor elektrik, masing-masing boleh menghasilkan 150 PS/320 Nm dan 217 PS/340 Nm.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Nissan memperkenalkan secara rasmi model Frontier 2022. Model terbaru ini akan menggantikan versi terdahulu, yang sudah berada dalam pasaran lebih daripada sedekad lalu.
Walaupun akan tetap mengunakan platform F-Alpha sedia ada oleh Nissan, yang dikekalkan kerana saiznya, trak ini akan menampilkan rekaan baru sepenuhnya. Ini melibatkan pembaharuan wajah depan seperti yang pernah ditunjukkan dalam imej awal ketika mendedahkan Navara facelift tahun lalu.
Dalam video pendek enam saat terbaru yang dikeluarkan semalam, bahagian depan berkenaan turut ditunjuk sekali lagi, dengan bahagian atas gril dan sedikit bahagian lampunya. Semua itu kelihatan seiras dengan teaser yang ditunjukkan terdahulu itu. Seperti digambarkan awalnya, rekaan gril akan lebih kecil berbanding Navara facelift serta lampunya pula lebih bersegi, lengkap dengan DRL bentuk C, dalam bentuk yang sama seperti pada model Titan.
Dalam laporan yang ada sebelum ini, disebut bahawa Frontier akan terus menggunakan enjin 3.8 liter V6 suntikan terus petrol yang digunakan sejak tahun lalu. Unit yang menghasilkan 310 hp pada 6,100 rpm dan 381 Nm tork pada 4,400 rpm ini akan digandingkan bersama gear automatik sembilan-kelajuan yang ada sebelum ini.
Selain kemaskini kosmetik, Frontier terbaru ini juga dijangka akan menerima peningkatan aspek keselamatan seperti brek kecemasan autonomous, yang tidak ditawarkan pada versi semasa. Perincian lanjut tentang trak ini akan kita ketahui sebaik pelancarannya pada 4 Februari nanti.
McLaren bakal memperkenalkan supercar hibrid terbaharunya, Artura, yang dijadualkan pada 17 Februari ini. Menurut CarAdvice, tarikh yang didedahkan ini berdasarkan jemputan acara digital yang dihantar oleh McLaren untuk pelanggannya di China.
Artura dilaporkan dipadankan dengan enjin petrol pengecas-turbo berkembar enam-silinder berbanding unit V8, dan penjana kuasa yang lebih kecil ini akan dielektrifikasikan untuk sistem keseluruhan kuasa mencecah 600 PS. Supercar ini merupakan model hibrid siri produksi pertama yang diperkenalkan oleh McLaren dan ia dijangka menggantikan barisan Sport Series yang masih ada dalam pasaran, yang merangkumi 540C, 570S, 570GT, 600LT dan 620R.
“Sebagai supercar hibrid prestasi tinggi pertama kami, DNA McLaren memang jelas dalam segala aspek kejuruteraan, kuasa yang ekstrem, elektrifikasi dan ketangkasan perlumbaan. Hasilnya menjadikan pengalaman pemanduan yang lebih jitu,” ujar McLaren.
CEO McLaren Mike Flewitt turut berkata, “Setiap elemen bagi Artura adalah serba baharu – bermula dari senibina platform dan setiap bahagian penjana kuasa High-Performance Hybrid, hingga ke luaran, dan dalaman – dengan menggunakan pengalaman McLaren selama beberapa dekad dalam mempelopori teknologi perlumbaan super-lightweight dan kenderaan jalan raya untuk membawa semua kepakaran kami dalam elektrifikasi supercar.”
Artura sebenarnya bukanlah jentera hibrid pertama McLaren. Model lagenda P1 merupakan hentera hibrid pertama jenama ini, diikuti dengan Speedtail. Walau bagaimana pun, ia merupakan model produksi terhad, dan tidak bagi Artura.
MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal WMoto di Malaysia telah melancarkan sebuah model baru iaitu ES125. Skuter ini ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Special Edition, dengan harga masing-masing RM4,588 dan RM4,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.
Beza antara dua versi ini cumalah warna, di mana Standard ditawarkan dalam pilihan warna hitam, kelabu dan merah sementara Special Edition menggunakan warna turquoise berserta rim dan beberapa kemasan lain yang berwarna oren.
WMoto ES125 dipacu oleh enjin satu silinder 118.8 cc yang menggunakan sistem bahan api karburator dan penyejukan udara, mampu menghasilkan kuasa 8 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm tork pada 6,000 rpm. Untuk menghidupkan enjin, pemilik boleh menggunakan pemula elektrik ataupun penendang.
Pada bahagian roda, ia menggunakan rim 14 inci yang dibalut tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, sementara brek pula terdiri daripada unit cakera di hadapan dan dram di belakang. Suspensi menggunakan padanan fork teleskopik serta satu penyerap hentak di belakang.
Berat keseluruhan ES125 cumalah 95 kg, dan kelengkapan lain yang terdapat padanya termasuk tangki bahan api tiga liter, tempat simpanan barang sembilan liter di bawah tempat duduk, lampu hadapan dan DRL jenis LED serta pengecas USB.
Honda Fit pasaran Jepun yang sama dengan Jazz pasaran Singapura
Seperti yang diumumkan bulan lalu, negara jiran kita dengan pasaran automotif yang cukup kecil, Singapura akan terus menerima Honda Jazz generasi baharu yang diimport sepenuhnya dari Jepun dan ia telah pun dilancarkan secara rasmi minggu lalu. Ia berbeza dengan pasaran ASEAN yang lain kerana model tersebut akan digantikan dengan Honda City Hatchback di mana ia telah pun dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu.
Di Singapura, Honda Jazz 2021 ini dilancarkan dalam versi petrol sepenuhnya dan juga versi hybrid, dijual dalam tiga varian iaitu 1.5 Base CVT, 1.5 Home CVT dan e:HEV Luxe Hybrid.
Untuk harga, model 1.5 Base akan dijual pada harga bermula S$98,999 (RM300,700), manakala model 1.5 Home pula akan dijual pada harga bermula S$101,999 (RM309,800). Model hibrid Luxe pula akan dijual pada harga S$103,999 (RM315,900). Kesemua harga yang dinyatakan ini termasuk rebat pelanggan awal bernilai S$3,000 (RM9,000) dan sijil pemilikan (COE).
Bagi model petrol Base dan Home, Jazz 2021 pasaran Singapura ini menerima enjin empat silinder 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, sama seperti Honda City generasi baharu pasaran Malaysia. Ia juga masih digandingkan dengan kotak gear automatik Earth Dreams CVT bagi membolehkan model ini mencapai kadar penggunaan bahan api gandingan 5.7 liter untuk setiap 100 km.
Manakala untuk model hibrid e:HEV, spesifikasinya juga sama seperti pasaran Jepun dan City RS e:HEV di Malaysia, menampilkan unit penjana Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Ia menggabungkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm, dan dua motor elektrik berkuasa 108 PS/253 Nm. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa akhir 126 PS, dan mampu mencapai penggunaan bahan api 3.8 liter setiap 100 km.
Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD sebelum ini, sistem i-MMD ini boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.
Jadi kuasa bateri lithium-ion untuk sistem hibrid ini akan sentiasa berada dalam tahap optima dan ia tidak akan ‘lemau’ kerana kehabisan caj, serta dapat memberikan jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sistem i-DCD.
Malah dengan kuasa tork 253 Nm dari motor elektrik yang boleh dibekalkan terus dari 0 rpm, Honda Jazz Hybrid ini tidak memerlukan kotak gear sebenar dan ia sentiasa akan mula bergerak menggunakan motor elektrik terlebih dahulu. Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Engine Drive, Hybrid Drive dan Electric Drive, di mana penggunaan antara kuasa enjin dan kuasa elektrik akan dikawal oleh komputer berdasarkan situasi pemanduan.
Model-model pasaran Singapura ini sebenarnya bukan hanya menggunakan nama varian yang sama seperti pada pasaran Jepun, malah spesifikasinya juga adalah sama seperti versi JDM.
Model Base dan Home menampilkan rupa yang sama pada bahagian luaran, diberikan LED untuk lampu hadapan projektor, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang, bersama rim dua tona 16-inci. Model Luxe pula diberikan penutup cermin sisi kemasan krom satin, dan juga rim 16-inci yang berlainan rekaan.
Pada bahagian dalaman pula, Jazz 2021 ini diberikan upholsteri kulit untuk semua varian, manakala versi Home dan Luxe turut menerima balutan kulit pada roda stereng. Skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 9-inci juga diberikan secara standard, dilengkapi dengan Apple CarPlay dan Android Auto yang dihubungkan tanpa wayar, dan juga kamera undur.
Kesemua model juga menerima sistem kunci pintar bersama fungsi walk-away, butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai fungsi, dan empat pembesar suara. Model Home ditambah dengan cermin solek berlampu serta pendingin hawa automatik, manakala hanya model Luxe dibekalkan dengan lapan pembesar suara dan lampu hadapan automatik.
Model Luxe juga satu-satunya varian yang menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Sistem berkenaan merangkumi fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptif bersama henti dan mula, bantuan kekal tengah lorong, dan bantuan kekal lorong.
Manakala untuk sistem keselamatan standard, semua varian Honda Jazz 2021 pasaran Singapura ini menerima enam-beg udara dan juga kawalan kestabilan automatik.
GALERI: Honda Jazz/Fit Generasi ke-empat di Tokyo Motor Show 2019
Lexus Malaysia telah mengumumkan tempahan untuk Lexus LS facelift 2021 kini dibuka. Model sedan tersebut, LS 500, ditawarkan dengan dua varian; LS 500 Luxury dengan harga RM1,023,629 dan LS 500 Executive Kiriko pula berharga RM1,304,768, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans, tetapi dengan pengurangan cukai jualan yang sedang berlangsung hingga 30 Jun ini.
Kedua-duanya tampil dengan enjin yang sama iaitu Dynamic Force 3.5 liter turbo-berkembar V6 dengan hamburan kuasa 421 PS (415 hp) pada 6,000 rpm dan tork 600 Nm dari 1,600 hingga 4,800 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang. Unit penjana kuasa V35A-FTS ini membolehkan jentera ini dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam hanya lima saat dan mampu mencapai kelajuan sehingga 250 km/j dengan pengehad-elektronik.
Peningkatan luaran yang diberikan suntikan lebih segar termasuklah bampar hadapan yang dirombak semula dan juga rekaan lampu utama projektor LED tiga-beam, yang disambung ke BladeScan Adaptive High Beam System (AHS), lampu nyalaan siang berbentuk anak panah dan juga indikator jujukan.
Gril spindle berkarakteristik turut diberikan rombakan semula dengan kemasan metalik gelap, dan lampu belakang kombinasi LED dengan kemasan hitam berkilat turut diberikan. Selain itu, ia turut dipadankan dengan roda aloi metalik hyper chrome 20-inci.
Secara standard, LS didatangkan dengan Adaptive Variable Suspension (AVS) dan sistem suspensi udara, ia juga diberikan sistem mod pemanduan dengan enam pilihan – Eco, Comfort, Customise, Normal, Sport S dan Sport S+.
Di dalamnya, kabin LS 500 Luxury ditawarkan dengan skim warna sama ada Chateau, Hazel atau Hitam. Ciri standard yang diberikan termasuklah kulit upholstery, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa 28-hala bersama fungsi pemanas dan aliran udara, tempat duduk belakang dengan larasan 18-hala, kluster instrumen digital dan paparan utama berwarna.
Turut diberikan skrin sesentuh multimedia 12.3-inci definisi-tinggi baharu dengan sistem navigasi Lexus binaan dalam dan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, sistem kawalan suhu empat-zon, panel skrin sesentuh pelbagai-operasi di belakang yang menawarkan larasan kawalan bagi tempat duduk, aliran udara dan tirai suria larasan elektronik.
Bagi Executive Kiriko pula, ia diberikan pilihan dalaman Hitam dan Crimson/Hitam. Selain itu, ia turut menampilkan pakej kemasan hiasan Kiriko Cut Glass dan juga beberapa kit tambahan lain.
Ini termasuklah tempat duduk belakang 22-hala dengan fungsi ottoman dan urut, serta kotak penyejukan di belakang. Executive juga didatangkan dengan sistem bunyi sekeliling Mark Levinson Reference 23-pembesar suara, 16-saluran (Luxury menampilkan sistem Lexus Premium Audio dengan 12-pembesar suara, lapan-saluran), dan paparan hiburan LCD 11.6-inci untuk tempat duduk belakang.
Seperti yang dijangka, tiada pengurangan bagi kit bantuan pemanduan dan keselamatan dan kedua-duanya masih dilengkapi dengan 12 beg udara dan Lexus Safety System+ secara standard. Ini termasuklah Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go, Bantuan Mengesan Lorong (LTA), kawalan kelajuan adaptif, paparan titik buta dan kepekaan lintasan trafik belakang.
Terdapat 10 warna luaran yang ditawarkan untuk LS ini, termasuklah Iridium Silver, Sonic Iridium dan Deep Blue Mica. Menurut Lexus Malaysia, penghantaran pertamanya dijadualkan bermula Mei ini.
Bila kita bercerita tentang lagenda Proton Satria, tentu sahaja ramai yang memperkatakan kehebatan varian tertinggi yang pernah dihasilkan iaitu Satria GTi, bersama versi lebih hardcoreSatria R3. Kalau kita berbual berkenaan perlumbaan rali pula, sudah tentu nama Proton Wira 1.8 EXI Limited “tiang gol” akan naik, kerana ia adalah model prestasi Proton yang turut dihomolagasikan kepada pihak FIA bagi membolehkan ia bertanding dalam mana-mana rali yang diselia badan sukan permotoran dunia berkenaan.
Namun penulis percaya, pasti ramai yang tidak sedar akan penampilan satu lagi varian Satria yang lebih rendah iaitu Satria 1.6 GLi dalam pentas sukan permotoran bukan? Buat pengetahuan anda, model ini juga sebenarnya telah melalui proses homologasi FIA, dan ia bukan sahaja pernah muncul sebagai kereta rali produksi Group N, malah pernah juga dihasilkan sebagai kereta rali Group A yang jauh lebih berkuasa, dan pernah menjuarai Kejohonan Rali British (BRC) satu ketika dahulu, malah ia juga sebenarnya telah menyertai Kejuaraan Rali Dunia (WRC)!
Ini kerana pada ketika itu Satria hanya boleh dibeli dibilik-bilik pameran USPD, jadi tanggungjawab untuk mempromosikan model berkenaan turut menjadi tugas mereka. Dan antara kaedah mempromosikan nama satu-satu jenama pada era 90’an sudah tentulah menerusi sukan permotoran, atau secara khususnya untuk Proton adalah dalam disiplin rali mengikut jejak langkah ‘sifu’ mereka iaitu Mitsubishi.
Dalam fail rekod FIA, homologasi untuk Proton Satria yang dibuat oleh USPD berkenaan adalah sah bermula pada 1 Januari 1996. Ketika itu Satria masih menampilkan bahagian belakang yang seiras dengan kembar JDMnya iaitu Mitsubishi Mirage Cyborg dengan lampu yang lebih panjang serta nombor pendaftaran berada pada bahagian bampar.
Dokumentasi pada Satria Group A peringkat awal ini menunjukkan ia menerima pengubahsuaian yang ekstensif pada bahagian casis termasuk suspensi, brek, rollcage dan berberapa perincian kecil seperti pedal box, brek tangan hidraulik, dan pelbagai lagi.
Proton Satria Group A untuk WRC Safari Rally 1997, gambar oleh Brian Palmer sendiri menerusi laman facebook syarikatnya, Inter Formula.
Pada peringkat ini juga, enjin 1.6 liter SOHC 16 injap 4G92 pada Satria tersebut tidak menampilkan ubahsuai yang besar. Ia masih menggunakan manifold kemasukan, ekzos, sistem suntikan bahan api dan lain-lain yang sama seperti model produksi. Tetapi dua pilihan kotak gear didaftarkan iaitu manual lima-kelajuan dan juga manual enam-kelajuan.
Dokumen tersebut kemudiannya dikemaskini pada 1 Mac 1997, di mana model produksi Satria disegarkan kembali dengan perubahan ketara pada bahagian belakang, menampilkan lampu lebih pendek serta perumah nombor pendaftaran dipindah dari bampar ke pintu tailgate.
Ketika ini, kebanyakkan Satria tersebut masih hanya digunakan dalam spesifikasi Group N dalam rali-rali domestik di Malaysia. Manakala untuk spesifikasi Group A, kereta tersebut telah membuat penampilannya pada salah satu pusingan WRC paling lasak, iaitu Safari Rally di Kenya pada tahun 1997 – ya, lima tahun sebelum Karamjit Singh bersama Proton PERT Evo VI menang kategori produksi Group N pada rali yang sama!
Satria 1.6 Group A tersebut berlumba di bawah pasukan Silverstone Proton USPD, dan dibangunkan oleh Brian Palmer, yang sebelum itu bersama EON Motorsport terlibat dalam menghasilkan kereta-kereta rali Proton PERT yang lulus homologasi FIA. Dalam rali Safari tersebut, dua buah Satria telah dibawa untuk bertanding; sebuah dengan spesifikasi Group A dan sebuah lagi adalah jentera Group N. Kereta Group A dengan nombor 41 di pandu oleh pelumba Australia, Rusell Palmer bersama juru arahnya Brian Harwood, manakala kereta Group N dengan nombor 52 dipandu pelumba Kenya Syan Satwinder.
Dari 61 kereta yang bermula, hanya 19 kereta yang berjaya menamatkan rali padang pasir yang begitu lasak tersebut. Secara keseluruhan, Rusell Palmer menamatkan rali yang dimenangi oleh Colin McRae berkenaan di tempat ke-11, dan yang paling manis mereka berjaya menjadi juara untuk kategori Formula 2WD/A6! Manakala Satwinder pula tidak berjaya menamatkan perlumbaan.
Pada tahun 2000, dokumentasi homologasi Satria 1.6 GLi (atau dikenali sebagai Proton Persona Compact di United Kingdom) ini sekali lagi dikemaskini menerusi versi Satria Group A yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Kereta tersebut dibangunkan oleh Proton Motorsport UK, yang diselia oleh Harry Hockly Motorsport.
Kali ini, enjin 1.6 liter berkenaan diberi rombakan yang cukup menyeluruh. Isi perut enjin tersebut termasuk aci engkol, rod penghubung pada omboh, dan roda tenaga telah ditukar kepada komponen yang dihasilkan memang untuk perlumbaan.
Kemudian ia turut menerima manifold ekzos 4-1 yang cukup agresif, bersama sistem suntikan bahan api jenis stand alone dengan individual throttle body, menampilkan empat injap pendikit yang mengawal setiap satu silinder, lengkap dengan empat ‘trumpet’ velocity stack.
Hasilnya, enjin 4G92 berkenaan mampu menghasilkan sekitar 210 hp dan boleh menjerit sehingga 9,000 rpm! Selain dari untuk mempromosikan Proton dan berlumba dalam Kejohanan Rali British (BRC) dalam kategori Super 1600 (S1600), kereta ini juga turut dijual kepada pasukan-pasukan rali persendirian. Malah selepas itu Harry Hockley Motorsport turut menghasilkan Satria Group A ini dalam spesifikasi Super 1400 (S1400) dengan enjin berkuasa 185 hp.
Harry Hockley Motorsport juga turut menghasilkan kit badan baharu untuk Satria ini yang terdiri dari bampar hadapan dan belakang, serta overfender untuk kesemua ruang roda. Sekali tengok, kit badan untuk kereta rali berkenaan nampak seperti direka dengan inspirasi dari Satria GTi.
Menerusi pemandu Sweden, Mats Andersson, Proton Satria Group A ini menampilkan prestasi yang memberangsangkan. Andersson menampilkan keputusan terbaik dalam BRC ketika musim tahun 2000 – walaupun dengan kereta dengan spesifikasi S1600, dia memberikan saingan secara konsisten kepada pemandu-pemandu dalam kategori utama yang memandu jentera Group N 2.0L Turbo 4WD, dan juga Kit Car dengan enjin 2.0L NA yang jauh lebih berkuasa.
Mats Andersson berjaya meletakkan dirinya di tangga keenam secara keseluruhan dalam BRC tahun 2000, serta juara dalam kategori S1600. Malah dengan pungutan mata kesemua pemandu yang memandu Satria dalam BRC musim tersebut membolehkan Proton berada di tempat kedua keseluruhan dalam kategori pengeluar, satu mata lebih dari pasukan Peugeot.
Pada tahun yang sama, Mats Andersson turut menyertai Rally Malaysia, iaitu salah satu pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2000. Rali berkenaan adalah rali pertama Andersson di luar Eropah, dan dia berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima secara keseluruhan, serta menjadi juara untuk ketegori 2WD.
GALERI: Dokumentasi homologasi FIA untuk Proton Satria 1.6 GLi
Tujuh bulan selepas Toyota Harrier terbaru diperkenalkan di Jepun, SUV premium tersebut kini mula memasuki pasaran eksport, antaranya Singapura. Model generasi keempat ini ditawarkan dalam dua pilihan enjin dan tiga tingkat kemasan di negara jiran itu.
Dua daripada varian berkenaan ditawarkan ketika ini, bermula dengan Elegance pada harga S$160,888 (RM489,200), diikuti dengan Luxury yang dijual pada harga S$173,888 (RM528,700). Varian spesifikasi pertengahan turut ditawarkan, tetapi harganya masih belum didedahkan.
Hanya model paling asas menggunakan enjin 2.0 liter NA Dynamic Force empat-silinder yang menghasilkan 170 hp pada 6,600 rpm dan 203 Nm dari 4,400 hingga 4,900 rpm. Kuasa disalurkan melalui Direct Shift-CVT, membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat dengan laju maksimum 190 km/j. Penggunaan minyak ialah pada kadar 6.5 liter setiap 100 km.
Varian Premium dan Luxury pula merupakan model hibrid yang menggunakan enjin 2.5 liter Dynamic Force (176 hp/221 Nm) dan motor elektrik (118 hp/202 Nm) dan memberikan output keseluruhan 215 hp. Versi ini juga lebih pantas (0-100 km/j dalam masa 8.1 saat) tetapi dengan laju maksimum yang lebih rendah (180 km/j). Manfaat paling utama ialah penggunaan minyaknya; 4.7 liter setiap 100 km.
Menggunakan asas platform Global Architecture–K (GA-K) yang sama dengan Camry dan RAV4, Harrier terus memanfaatkan suspensi MacPherson strut di depan dan jenis double wishbones di belakang. Bagaimanapun, geometri suspensi berkenaan lebih cenderung untuk menambah keseimbangan keteguhan dan pengendalian, sementara penyerap hentak yang diperkemas pula memberi keselesaan dalam kelajuan lebih rendah. Bahagian penebat bunyi dan gegaran juga dipertingkatkan.
Di luar, Harrier nampak sedikit lebih besar daripada model terdahulunya, walaupun lebih rendah dan sporty. Kelengkapan lain termasuk lampu utama LED tirus, gril atas tertutup, gril bawah yang lebih besar, garis bumbung ala coupe dengan lampu belakang LED sepenuhnya. Semua model menggunakan rim aloi 18-inci.
Di dalam, konsol tengahnya menerapkan corak berlian, dengan papan pemuka kemasan kulit buatan. Panel infotainmen terapung di tengah; untuk pasaran Singpura, skrinnya bersaiz lapan-inci dan bukan 12.3-inci. Ia kekal dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri standard lain termasuk sistem tanpa kuncu, butang penghidup, kawalan pendingin hawa dua zon, pembersih udara Nanoe, kerusi pemandu larasan lapan-arah, kemasan barik, cermin pandang belakang anti-silau, pengilap automatik, paparan HUD 10.5-inci, pengecas tanpa wayar Qi, enam pembesar suara, kamera undur dan pintu belakang kendalian “hands-free”.
Model Premium menerima tambahan kemasan balutan kulit, kerusi dengan berliang dan kerusi penumpang depan larasan lapan-hala. Bagi varian Luxury pula mengenakan spoiler belakang dalam warna badan, side sill denga pencahayaan, kamera pada cermin pandang belakang serta bumbung kaca elektrokromik baru.
Dari sudut keselamatan, Harrier baru ini datang dengan tujuh beg udara dan kawalan cengkaman, serta sistem lengkap Toyota Safety Sense. Ini termasuklah brek autonomous dengan pengesanan pejalan kaki/pengayuh basikal, kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong dan lampu tinggi adaptif.
Dengan Singapura menjadi negara pertama di luar Jepun yang menerima Harrier (selain di AS yang menggunakan nama Venza), dah dekat sangat untuk lajak ke Malaysia. Memang Harrier sudah ada kehadirannya di sini sebelum ini, tetapi dalam keadaan pandemik yang tidak menentu ini macam-macam hal boleh berlaku. Kita tunggu dan lihat.
Naza Italia telah mengumumkan ketibaan model edisi terhad Maserati Levante S GranSport dengan kemasan dalaman Ermenegildo Zegna di pasaran Malaysia. SUV ini berharga RM838,800 dan hanya lima unit sahaja yang ditawarkan. Harga tersebut termasuk waranti perbatuan tanpa had selama tiga-tahun serta program penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun atau 60,000 km.
Memandangkan ia adalah model edisi terhad, maka pastinya ada elemen yang unik diberikan. Ia bermula dengan warna luaran tri-coat yang eksklusif, dan varian yang ditunjukkan dalam gambar di atas adalah dalam kemasan Blue Nobile. Selain itu, ia juga didatangkan dengan roda aloi kemasan Helios bersaiz 21-inci, kaliper brek hitam dan dalaman Pelletessuta hitam dengan kemasan kayuan Radica dilengkapi perkataan “Ermenegildo Zegna”.
Pelletessuta merupakan tekstile kulit woven yang diperbuat menggunakan jaluran kulit Nappa. Proses yang terperinci memberikan hasilnya menjadi fabrik yang ringan dan mewah, dalam masa yang sama tahan lama. Teknologi ini adalah hasil kerjasama antara Ermenegildo Zegna Style Centre dan Maserati.
Tiada perubahan mekanikal dilakukan, SUV ini masih menggunakan enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 (yang dibangunkan oleh Ferrari) dengan hamburan kuasa 430 hp dan tork 580 Nm. Ia juga digandingkan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke semua-roda, memberikannya daya pecutan dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 264 km/j.
Di samping kemasan istimewa, ruang kabinnya juga tidak perubahan. Ia masih mengekalkan instrumen yang standard dengan paparan TFT tujuh-inci dan sistem infotainmen Maserati Touch Control Plus (MTC+) 8.4-inci. Selain turut menampilkan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto dan juga sistem Bowers & Wilkins Surround Sound dengan 17-pembesar suara dan amplifier berkuasa 1,280 wat.
Untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju termasuk amaran pelanggaran hadapan, pengesan isyarat trafik, kawalan kenderaan bersepadu, kamera pandangan sekeliling, sistem bantuan lebuhraya, bantuan kekal lorong dan bantuan titik buta aktif. Lampu utama Matrix LED juga diberikan secara standard.
Walaupun motosikal Ducati lebih serasi dengan warna merah, masih terdapat pilihan warna diberikan kepada mereka yang mahukan sesuatu yang berbeza. Bagi model Panigale V2 contohnya, versi yang menggunakan panel badan warna putih, dipanggil sebagai White Rosso kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM112,900 tidak termasuk insurans (harga V2 biasa RM109,900).
Seperti yang boleh dilihat jelas, kebanyakan panel badan model ini menggunakan warna putih, dan ia dijadikan kontras dengan beberapa bahagian seperti rim, keliling lampu serta bukaan udara tepi yang berwarna merah. Selain daripada itu, semuanya sama seperti Panigale V2 biasa.
Panigale V2 digerakkan oleh enjin enjin Superquadro 955 cc yang mampu menghasilkan 155 hp pada 10,750 rpm dan 104 Nm tork pada 9,000 rpm. Penunggang boleh mengawal penyampaian kuasa ini melalui tiga mod yang disediakan iaitu Race, Sport dan Street.
Dibina atas kerangka monocoque, model ini nampak lebih kompak dan kembali menggunakan lengan ayun tunggal. Pakej elektronik yang diberikan pada V2 terdiri daripada Bosch Cornering ABS EVO, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Quick Shift Up/down (DQS) EVO dan Engine Brake Control (EBC) EVO.
Pemilik V2 yang membawa motosikal ini ke dalam litar boleh menggunakan fungsi pencatat masa dan ia akan terpapar di panel instrumen digital TFT 4.3 inci. Melalui sistem Ducati Data Analyser dan GPS pula pemilik diberikan akses informasi tambahan seperti laju, bukaan pendikit, tahap rpm, gear dan pelbagai lagi apabila berada dalam litar.
Dalam keadaan standard suspensi V2 ditala lebih kepada penggunaan atas jalan biasa, namun fork Showa BPF dan monoshock Sachs padanya boleh dilaras mengikut keperluan penunggang. Brek hadapan menggunakan cakera 320 mm berkembar serta angkup Brembo monobloc M4.32 manakala di belakang pula menggunakan cakera 240 mm dan angkup tunggal Brembo.
Dalam masa beberapa minggu lagi, Rimac akan melancarkan hypercar elektrik mereka yang dipanggil sebagai C_Two. Pada masa sekarang, pengeluar dari Croatia itu memberitahu, C_Two sedang melalui fasa terakhir ujian untuk memperhalusi komponen aerodinamik aktif kereta tersebut.
Dalam masa dua tahun yang lepas, ribuan simulasi dinamik aliran menggunakan komputer (CFD) telah dilakukan, dengan setiap model simulasi melibatkan lebih 120 juta elemen, atau sehingga 180 juta untuk model pindahan haba. Prototaip tersebut kemudiannya melalui ujian sebenar dalam terowong angin serta atas litar.
Pada C_Two ini, aerodinamik mamainkan peranan penting dalam dua perkara yang ditawarkannya iaitu jarak gerak serta perstasi. Empat bahagian aerodinamik aktif spesifik membantu ciri ini iaitu splitter hadapan, kepak udara bawah badan dan sayap brek udara adaptif. Menurut Rimac, langkah pembangunan berterusan yang mereka lakukan berjaya memperbaiki kecekapan aerodinamik sehingga 34%.
C_Two sebenarnya sudah didedahkan kepada dunia pada tahun 2018, dan ia dikuasakan oleh empat motor elektrik untuk menghasilkan kuasa 1,914 hp dan 2,300 Nm tork, sekaligus boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 1.97 saat. Sudah tentu, ia pantas, meskipun mempunyai berat 1,950 kg, tetapi apa yang lebih menakjubkan, ia boleh melakukan pecutan 0-300 km/j dalam masa 11.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 412 km/j.
Selain daripada prestasi yang boleh memberi saingan mudah kepada Tesla dan Ferrari, pek bateri lithium manganese nickel 120 kWh pada C_Two boleh menyediakan jarak gerak 650 km mengikut kitaran NEDC, dan apabila dicas menggunakan cas pantas 250 kW, boleh mencapai tahap 80% dalam masa 30 minit. Pengecas dalam kereta 22 kW diberikan secara standard.
Rimac cuma akan mengeluarkan 150 unit C_Two untuk jualan dan harganya ditetapkan pada sekitar 2 juta pound sterling (hampir RM11 juta). Melihat kepada videonya, kereta ini bukan setakat boleh bergerak pantas, ia juga boleh drift!
Sekali lagi Nissan telah menyiarkan teaser bagi model generasi akan datang Pathfinder yang direncana bakal diperkenalkan pada 4 Februari ini. SUV saiz sederhana tiga-barisan tempat duduk ini juga akan diperkenalkan bersama Frontier baharu dan ia akan diposisikan di atas X-Trail (yang dijual di Amerika Syarikat sebagai Rogue) dalam pasaran crossover di negara Uncle Sam itu.
Walau pun video di atas menunjukkan serba sedikit rekaan Pathfinder tetapi visual silhouette tidak banyak membantu untuk kita mengimaginasi imej SUV ini. Tetapi kelihatan rekaan lampu belakang lebar sepenuhnya di atas logo Pathfinder yang terletak di bahagian tengah. Begitu juga dengan lampu nyalaan siang LED gaya-kening yang nipis pada bahagian hadapannya. Itu sahaja yang boleh terlihat menerusi video ini.
Buat setakat ini Nissan masih menyimpul rahsia mengenai model ini, namun dikhabarkan Pathfinder akan kekal menggunakan enjin 3.5 liter naturally-aspirated seperti mana model semasa. Penjana kuasa ini boleh menghamburkan sebanyak 270 hp dan tork 340 Nm, dipadankan dengan CVT bersama sistem pacuan roda-hadapan atau pun semua-roda.
Seperti yang disebutkan, model yang juga bakal didedahkan pada 4 Februari ini ialah Frontier baharu, yang akan terus menggunakan asas binaan Navara D40 berbanding model semasa D23 yang dijual di peringkat global. Seperti model facelift Navara, ia juga banyak menerima sentuhan rekaan daripada Titan, termasuklah gril berbentuk-U dan juga lampu nyalaan siang berbentuk-C.