Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TRD, Modellista akan ada di Tokyo Auto Salon 2021

    TRD, Modellista akan ada di Tokyo Auto Salon 2021

    Untuk Tokyo Auto Salon 2021 yang akan berlangsung bulan depan secara maya, Toyota juga tak ingin terlepas menggunakan peluang itu untuk mempamerkan beberapa rekaan kustom. Melalui jenama talaannya, TRD dan Modellista, Toyota telah mendedahkan apa yang bakal mereka tunjukkan di acara itu — dengan aksesori yang boleh diperoleh kemudiannya daripada pengedar mereka.

    Bagi TRD, jenama itu akan mempamerkan kelengkapan terbaru GR untuk model GR Supra, termasuk pendakap strut baru dan penyerap hentak prestasi yang disifatkan dapat memperbaiki kestabilan kendalian dan keselesaan. Tidak lupa, muffler ekzos sport dengan injap. Semua komponen baru ini menyertai kelengkapan sedia ada seperti spoiler untuk bampar depan dan belakang, kit sisi, kemasan pintu dan spoiler belakang.

    Turut dibawakan sekali ialah kelengkapan GR bagi GR Yaris, yang menerima bodykit penuh dan spoiler belakang yang dilanjutkan, muffler sport dengan empat corong ekzos serta bahagian dalam kabin gentian karbon. 86 TRD Griffon Concept juga dijangka akan membuat penampilan.

    Bagi Modellista, Mirai terbaru akan membuat penampilan, dipasangkan dengan spoiler depan, kit badan sisi, kemasan bampar belakang serta kemasan bampar warna badan, termasuk kemasan krom pada cermin sisi dan pemegang pintu. Mereka juga akan mempamerkan Yaris Cross, serta peluang untuk pemerhati mendekati Mirai dan Harrier secara augmented reality melalui telefon.

    GR Supra

    GR Yaris

    Mirai

     
     
  • BMW 530i M Sport Dark Shadow Edition – RM392,800

    BMW 530i M Sport Dark Shadow Edition – RM392,800

    Mereka yang berminat ingin mendapatkan BMW 5 Series di Malaysia kini diberikan satu lagi pilihan terbaru, iaitu BMW 530i M Sport Dark Shadow Edition, yang datang dengan penampilan serba gelap yang menjadikannya lebih garang.

    Model 5 Series G30 istimewa ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 36 unit, dan ia dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo 2.0 liter B48 yang mampu menghasilkan kuasa 252 hp pada 5,200 – 6,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,450 hingga 4,800 rpm. Transmisi adalah unit automatik lapan kelajuan.

    Keistimewaan model Dark Shadow Edition ini bermula dengan warna Carbon Black di bahagian luar dan kemudiannya ditambah dengan barang-barang Shadow Line, iaitu gril dan kemasan keliling tingkap yang berwarna hitam berkilat, serta rim M Performance 20 inci warna Orbit Grey yang juga dilengkapi dengan pemerhati tekanan angin tayar.

    Pada bahagian dalam, pembeli diberikan pilihan kemasan kulit Dakota warna hitam dengan jahitan biru, atau Cognac dengan jahitan kontras. Dengan semua ini, BMW 530i M Sport Dark Shadow Edition dijual pada harga RM392,800 tidak termasuk insurans – lebih RM10,000 berbanding 530i M Sport biasa (RM382,800).

    Menurut BMW Malaysia, sekiranya dibeli berasingan, kemasan Shadow Line dan rim M Performance itu bernilai RM37,000. Jadi melalui model keluaran istimewa ini, pembeli boleh berjimat banyak. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan eksklusif melaluo BMW Shop Online bermula 4 Januari ini dan bayaran tempahan bermula pada RM1,000.

     
     
  • Piaggio Beverly tiba dengan pilihan enjin HPE 400 cc

    Piaggio Beverly tiba dengan pilihan enjin HPE 400 cc

    Kita mungkin sudah biasa dengan model-model jenama Jepun seperti Yamaha XMax dan Honda Forza sebagai pilihan skuter kelas pertengahan, tetapi pengeluar Eropah juga ada model mereka sendiri sebagai pesaing. Contohnya Piaggio Beverly 2021 ini, yang baru sahaja didedahkan dalam dua pilihan enjin.

    Enjin tersebut kedua-duanya adalah daripada keluarga HPE (High Performance Engine) yang menepati tahap emisi Euro 5, dan disediakan sama ada dalam kapasiti 300 cc ataupun 400 cc. Model Vespa 300 GTS HPE Super Tech di pasaran Malaysia juga menggunakan enjin HPE 300 cc yang sama.

    Bagi enjin satu silinder HPE 300 cc itu, ia mampu menghasilkan kuasa 25.8 hp pada 8,000 rpm dan 26 Nm tork pada 6,250 rpm, yang bersamaan dengan peningkatan kuasa sebanyak 23% dan tork 15% berbanding enjin generasi sebelumnya yang digunakan pada model Beverly.

    Piaggio Beverly tiba dengan pilihan enjin HPE 400 cc

    Varian 400 cc pula mampu menghasilkan kuasa 35.4 hp pada 7,500 rpm dan 37.7 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menggantikan enjin 350 cc pada model sebelum ini dan menawarkan lebih prestasi serta kualiti tunggangan.

    Beverly datang dengan rim 16 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, dengan tayar yang berbeza saiz antara versi 300 cc dan 400 cc. Kelengkapan standard lain adalah termasuk suspensi Showa, panel instrumen LCD 5.5 inci, sistem tanpa kunci serta sambungan Bluetooth untuk Beverly 400.

    GALERI: Piaggio Beverly S 400

    GALERI: Piaggio Beverly 300

     
     
  • Daihatsu pamer lima konsep di Tokyo Auto Salon 2021

    Daihatsu pamer lima konsep di Tokyo Auto Salon 2021

    Walaupun Tokyo Auto Salon 2021 akan berlangsung secara maya, itu tidak membantutkan hasrat pengeluar untuk tetap mempamerkan rekaan kustom mereka, seperti tahun-tahun sebelum ini. Antara yang patut diberi perhatian ialah Daihatsu, yang telah menyediakan lima kenderaan unik untuk ditunjuk.

    Semuanya merupakan sebahagian daripada pameran yang digekar Daitahsu Village Colourful Carnival. Kita mulakan dengan sebuah hasil yang diberi nama Hijet Jumbo Sportza Ver. Menggunakan asas trak pikap dengan cab lanjutan daripada Jumbo, rekaan ini dibuang bahagian bumbugnya agar tampil seperti sebuah roadster.

    Untuk versi dengan bumbung, Daihatsu sediakan pula Hijet Jumbo Camper Ver, yang tampil dengan wajah depan comel, warna cerah, rak bumbung, pelapik untuk menutup ruang kargo yang dibawa, dengan roda besi.

    Daihatsu pamer lima konsep di Tokyo Auto Salon 2021

    Untuk imej lebih sporty, Copen Spyder Ver menjadi wakilnya. Ia menggunakan asas daripada Copen Cero. Sama juga seperti Hijet Jumbo Sportza Ver, coupe dua pintu itu diubah menjadi sebuah roadster dengan cermin depan yang lebih pendek, rim enam-jejari, tiada bumbung boleh lipat dan tiada lampu kabus depan.

    Model keempat yang akan turut dipamer ialah Taft Crossfield Ver, dengan imej yang lebih rugged. Ia hadir dengan kedudukan lebih tinggi, tayar off-road besar, lengkung roda rata, rak bumbung dan cangkuk tunda. Model terkakhir, Thor Premium Ver with D-Sport dengan kombinasi warna terang, juga dengan imej ranggi yang tersendiri. Mana satu yang paling memikat perhatian?

     
     
  • Geely Binrui pamer kemaskini menerusi varian ‘F-Type Sport – enjin tunggal 1.4L dengan 141PS/235 Nm

    Geely Binrui pamer kemaskini menerusi varian ‘F-Type Sport – enjin tunggal 1.4L dengan 141PS/235 Nm

    Selepas dua setengah tahun diperkenalkan, kini Geely Binrui telah pun menampilkan luaran yang lebih sporty. Sedan segmen-C ini menampilkan imej yang lebih bergaya dengan lencana “F” pada gril, dan menurut beberapa laporan, ia bakal ditampilkan menerusi varian ‘F-Type Sport’.

    Seperti sebelum ini, Binrue dibangunkan dengan platform B-Segment Modular Architecture (BMA) ciptaan Geely sendiri, dan F-Type Sport memiliki perubahan yang didatangkan sebagai sebahagian daripada peningkatan kepada model asas Binrui. Peningkatan penampilannya termasuklah pada gril honeycomb dan corong pengambilan yang lebih rendah yang menggantikkan ciri concentric dan kepingan yang ditampilkan pada gaya model semasa, sementara sudut bampar hadapan turut diberikan olahan yang lebih segar.

    Varian dengan lencana-F dengan kemasan hitam pada gril honeycomb, turut melibatkan bahagian bampar hadapan yang lebih rendah, kemasan bampar, spoiler belakang dan kemasan diffuser, kemasan tingkap dan perumah cermin sisi, serta rim aloi lima-jejari-berkembar dengan rona lebih gelap.

    Geely Binrui pamer kemaskini menerusi varian ‘F-Type Sport – enjin tunggal 1.4L dengan 141PS/235 Nm

    Varian Geely Binrui ‘F-Type Sport’

    Peningkatan ini turut menyaksikan Binrui telah menggugurkan unit kuasa 1.0 liter dari barisannya, meninggalkan enjin 1.4 liter turbo petrol yang telah dirombak semula dan kini mampu menghasilkan 141 PS dan 235 Nm, dipadankan dengan CVT sebagai pilihan kotak gear tunggal, menurut FormCar. Pada sedan yang mengalami pra-peningkatan pada 2018, enjin 1.4 liter itu hanya memberikan kuasa sekitar 131 hp dan tork 215 Nm.

    Di dalamnya, Binrui 2021 diberikan unit infotainmen ala terapung sama seperti model semasa, dengan kemasan papan pemuka ala-gentian karbon bagi menggantikan kemasan ala-metal. Bentangan papan pemula juga dikekalkan, dengan corong pendingin hawa diletakkan pada perumah di atas paparan.

    Segmen-C Binrui ini kemungkinan boleh diletakkan sebagai calon terbaik untuk menggantikan Proton Preve pada masa hadapan. Walau pun Proton belum mendedahkan sebarang maklumat, namun difahamkan syarikat ini bakal memperkenalkan model sedan baharu pada tahun 2021. Jadi adakah kebarangkalian Preve akan ‘menyalin-kulit’ dengan Binrui?

    Selain peningkatan enjin 1.4 liter yang ditampilkan pada Binrui 2021, platform BMA yang digunakan juga boleh disesuaikan dengan mana-mana model dari jenama terbabit, ini termasuklah enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dan DCT tujuh-kelajuan pada Proton X50, yang sama dengan enjin asas bagi Volvo XC40 Recharge T5 PHEV. Maka, adakah ia juga bakal digunakan untuk model segmen-C baharu Proton?

     
     
  • Proton 2021 — sedan S50, MPV V70 atau SUV X90?

    Proton 2021 — sedan S50, MPV V70 atau SUV X90?

    Dengan model X50 yang telah dilancarkan, apa pula seterusnya untuk Proton? CEO Li Chunrong sebelum ini pernah memberi gambaran bahawa syarikat itu mampu untuk memperkenalkan satu produk baru setiap tahun, dan ada khabar angin mengatakan Proton kini sedang mempersiapkan pula model S50 sedan, MPV V70 atau SUV X90 bagi pengenalan dalam tahun 2021.

    Dalam satu taklimat media yang diberikan sebelum ini, kita sudah tahu sedikit sebanyak bayangan model yang akan tiba – sebuah sedan baru pada 2021 dan 2022, kemudian sebuah SUV pada 2023. Apa pun, semua ini belum ada kepastian yang meyakinkan ketika ini.

    Jadi, mari kita tinjau kereta-kereta yang menjadi buah mulut dan khabar angin tersebut. S50 khabarnya akan jadi model rebadge daripada Binrui, diposisikan di atas Persona dan bersaing dalam pasaran segmen C. Ini masuk akal, kerana Proton tidak ada model dalam segmen itu selepas Preve ditamatkan pengeluarannya beberapa tahun lalu.

    Proton 2021 — sedan S50, MPV V70 atau SUV X90?

    Bagaimanapun, sedan segmen C kini memperlihatkan corak penurunan, dengan Honda Civic terus mendominasi sisa-sisa pasaran yang ada. Binrui diasaskan menggunakan platform segmeb B Modular Architecture (BMA) seperti X50. Ini akan menjadikan perancangan pemasangannya di Tanjung Malim lebih mudah dengan kos yang lebih berkesan. Jika S50 benar-benar akan diperkenalkan, ia mungkin akan menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbocas MPI yang sama pada X50.

    Model seterusnya dalam senarai ini sepatutnya sudah diperkenalkan tahun ini. MPV V70 yang diasaskand aripada model Jiaji. Keraguan Proton untuk membangunkan MPV boleh difahami; ia tentunya akan menjadi lebih mahal dengan kos lebih tinggi untuk menjadi pengganti Exora. Ketika ini, Proton memerlukan jumlah jualan yang tinggi untuk capai sasaran – dan MPV ini mungkin tidak dapat berikan.

    Ketika ini, perlu juga dimaklumkan yang walaupun nama S50 telah di trademark oleh Proton, V70 sebaliknya lebih dikenali menjadi milik Volvo dan kali terakhir digunakan pada model wagon sebelum V90 yang ada kini. Dan memang, Proton dan Volvo dimiliki oleh Geely, jadi ada kemungkinan perkara itu boleh berlaku dan dibincangkan antara kedua-dua jenama.

    Alternatif yang lebih menarik kepada V70 ialah model SUV besar X90 berdasarkan Haoyue. Seperti V70, model ini akan menempatkan tujuh-tempat duduk, dan dengan gaya badan SUV yang menjadi perhatian Proton untuk penawaran masa depan. Haoyue juga direka untuk pembeli di Asia Tenggara, dan telah dilancarkan di Filipina dengan nama Okavango. Cumanya di sini, masih belum pasti sejauh mana pasaran bersedia untuk menerima sebuah lagi SUV daripada Proton, dengan saiz yang lebih besar dan harga yang lebih mahal berbanding X70.

    Proton 2021 — sedan S50, MPV V70 atau SUV X90?

    Khabar angin juga menyatakan satu lagi model yang mungkin sampai di sini ialah S70, sebuah sedan segmen D berdasarkan model Preface. Geely Precept pula mungkin jadi kereta yang lebih menarik dan cantik, tapi belum tentu ia akan dijadikan model Proton lagi setakat ini.

    Ada satu lagi perkara yang menghambat Proton, dengan semua spekulasi ini, jangan lupa bahawa Proton sekarang sedang bergelut untuk memenuhi sasaran pengeluaran dan permintaan X50 yang semakin bertambah. Tempoh menunggu sekarang ini adalah antara tiga hingga enam bulan, atau mungkin lebih. Dalam keadaan ini, untuk menangguhkan dulu pengenalan model baru mungkin lebih bijak, dan memberi tumpuan kepada menstabilkan bekalan untuk X70 dan X50 dahulu.

    Bagi model yang kemaskini, kita boleh jangkakan model Iriz dan Persona akan diberikan facelift kedua tidak lama lagi; dua model ini pernah dilihat dalam spyshot ketika sedang diuji. Nampak seperti ada perbezaan melibatkan penampilan luarannya yang akan diterapkan — mungkin roda yang lebih besar dan sentuhan rekaan yang dipinjam daripada X50. Jadi, model mana yang anda rasa akan masuk pasaran terlebih dahulu tahun depan?

     
     
  • K’jaan perlu laksana dasar ‘sifar jalan berlubang’ bagi jamin keselamatan pengguna jalan raya – Lee

    K’jaan perlu laksana dasar ‘sifar jalan berlubang’ bagi jamin keselamatan pengguna jalan raya – Lee

    Semalam Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah memuat naik status di Twitter mengenai insiden yang dialaminya susulan terbabit kemalangan di Banting, Selangor apabila basikal ditunggangnya terbalik, selepas tayar hadapan terperosok dalam lubang.

    Melalui gambar dimuat dan status di Twitter, Khairy dilihat mengalami beberapa kecederaan ringan pada muka berikutan terhumban pada bahu jalan. Malahan difahamkan, Khairy tidak dapat memberikan perincian lanjut kerana mengalami kesan hilang ingatan sementara, selepas terpaksa ditempatkan di hospital semalaman.

    Susulan kejadian ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada menteri terbabit di atas kejadian yang menimpanya. Malah dengan pantas terus menurap kembali jalan yang berlubang tersebut.

    Perkara ini telah mengundang perhatian netizen yang rata-ratanya menyelar permohonan maaf JKR tersebut kerana sebelum ini sudah banyak kejadian yang berlaku menimpa rakyat marhaen sehingga ada yang kehilangan nyawa. Namun keadaan jalan raya di Malaysia masih menyedihkan, banyak yang berlubang dan rosak teruk, tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berwajib.

    K’jaan perlu laksana dasar ‘sifar jalan berlubang’ bagi jamin keselamatan pengguna jalan raya – Lee

    Bukan itu sahaja, ia turut mendapat perhatian Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye yang berpendapat, sudah tiba masanya kerajaan melaksana dasar ‘sifar jalan berlubang’ bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, laporan Berita Harian.

    Menurutnya, dasar itu dijangka dapat mengurangkan kadar kemalangan berpunca daripada jalan berlubang.

    “Isu ini sebenarnya membabitkan penyelenggaraan jalan yang tidak memuaskan. Antara kelemahan yang berlaku ialah kualiti penurapan jalan dilaksanakan kontraktor tidak mengikut standard sepatutnya. Bukan itu saja, sikap tidak mengamalkan budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat turut menyumbang masalah ini.

    “Untuk mengatasi perkara ini, pihak berkuasa perlu mewujudkan satu pasukan yang menjalankan rondaan di setiap kawasan. Ini dapat mengenal pasti lokasi jalan berlubang dan tindakan segera boleh diambil,” katanya sambil menambah pihak berkuasa perlu memantau kualiti turapan jalan oleh kontraktor.

    K’jaan perlu laksana dasar ‘sifar jalan berlubang’ bagi jamin keselamatan pengguna jalan raya – Lee

    “Setiap jalan berlubang diturap seperti ‘melepaskan batuk di tangga’. Ini menjadikan penurapan itu sia-sia dan akan rosak semula dalam tempoh singkat. Pihak berkuasa harus memastikan jalan diturap dengan sempurna, kualiti bahan digunakan mematuhi standard dan tidak mudah rosak, supaya jalan tidak senang berlubang,” katanya.

    Beliau turut mengulas mengenai insiden yang menimpa Khairu, katanya, tindakan JKR memohon maaf dalam masa kurang 24 jam kepada Ahli Parlimen Rembau itu seolah-olah membawa mesej yang silap.

    “Saya berasa pelik berkenaan dengan isu kemalangan membabitkan menteri itu yang mendapat perhatian segera daripada JKR. Walhal, terdapat banyak kes kemalangan sebelum ini membabitkan kecederaan dan kematian tetapi dipandang sepi oleh JKR.

    K’jaan perlu laksana dasar ‘sifar jalan berlubang’ bagi jamin keselamatan pengguna jalan raya – Lee

    “Tiada langsung kenyataan maaf sekiranya yang terbabit kemalangan bukan seorang menteri. Ini membawa mesej yang berat sebelah. Seolah-olah JKR tidak kisah kehidupan rakyat biasa tetapi pilih kasih kepada menteri,” katanya.

    Tambahnya lagi, semua jabatan atau badan yang berkhidmat untuk rakyat seharusnya bersifat adil kepada semua lapisan masyarakat tanpa perlu mengira status seseorang.

    “Sudah menjadi satu tanggungjawab terhadap semua pihak untuk memastikan penyelenggaraan yang baik di semua tempat sama ada di bandar, mahupun luar bandar. Kerajaan seharusnya memastikan jalan raya sentiasa selamat untuk dilalui bukan saja menteri tetapi semua manusia,” katanya.

     
     
  • Tiada peningkatan harga kereta CKD untuk tahun 2021 kerana OMV, tapi kembali kepada harga dengan SST

    Tiada peningkatan harga kereta CKD untuk tahun 2021 kerana OMV, tapi kembali kepada harga dengan SST

    Awal tahun 2020, dilaporkan bahawa peraturan baru duti eksais akan dikenakan oleh Jabatan Kastam, yang akan memberikan kesan kenaikan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sehingga 20%. Bagaimanapun, itu tidak akan berlaku, merujuk kepada kenyataan daripada Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad ketika dihubungi oleh paultan.org.

    Ini apa yang pernah dimaklumkan dahulu; Jabatan Kastam mengeluarkan Peraturan Eksais 2019 (Penetuan Nilai Barangan Keluaran Tempatan Bagi Tujuan Levi Duti Eksais), yang telah disediakan oleh Kementerian Kewangan dan digazetkan pada 31 Disember 2019. Berdasarkan terma peraturan baru itu, kenderaan CKD diperlukan untuk membayar lebih cukai berikutan perubahan kaedah tentang bagaimana nilai pasaran terbuka (OMV) sesebuah kenderaan itu dikira.

    Di bawah peraturan baru ini, skop pengiraan OMV diperluas untuk mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang dikenakan ke atas kenderaan yang dikilangkan, tetapi termasuk juga jualannya.

    Tiada peningkatan harga kereta CKD untuk tahun 2021 kerana OMV, tapi kembali kepada harga dengan SST

    Asalnya dirancang untuk diperkenalkan tahun ini, langkah berkenaan menerima bantahan daripada industri automotif di Malaysia, menyebabkan kerajaan terdahulu terpaksa menarik balik hasrat berkenaan dan mengumumkan “pengecualian khas”. Ini menyebabkan harga kenderaan kekal hingga penghujung tahun 2020, dan dari awal memang dihasratkan untuk menjadi tawaran sementara waktu sahaja, sebelum kenbali kepada harga asal pada 2021, secara berperingkat.

    Walaupun peraturan duti eksais kekal ketika kita masuk ke tahun 2021, harga kenderaan bagaimanapun tetap akan naik untuk alasan yang berbeza; berakhirnya tempoh pengecualian cukai SST (100% bagi kereta CKD, 50% bagi kereta CBU) di bawah program Penjana kerajaan, yang telah dilaksanakan sejak 15 Jun hingga 31 Disember ini.

     
     
  • Isuzu MU-X 2020 dapat 5-bintang dari ASEAN NCAP

    Isuzu MU-X 2020 dapat 5-bintang dari ASEAN NCAP

    Isuzu MU-X generasi ketiga telah dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP), beberapa bulan selepas SUV tujuh-tempat duduk ini diperkenalkan di Thailand pada Oktober lalu.

    Keputusan penilaian MU-X ini adalah lanjutan daripada keputusan ujian pelanggaran D-Max yang dikendalikan oleh ASEAN NCAP pada Januari lalu. Menurut laporan terbabit, ia adalah berdasarkan bukti teknikal yang diberikan oleh Isuzu yang menunjukkan platform MU-X memiliki struktur kemalangan dan sistem kekangan yang mirip dengan apa yang diuji pada D-Max.

    Untuk ujian perlindungan penumpang dewasa (AOP), MU-X mencatatkan markah sebanyak 30.36 daripada keseluruhan 36 mata, iaitu sedikit kurang daripada D-Max dengan 30.76 mata. Bagi penilaian teknologi perlindungan kepala yang lebih rendah (HPT) menerima dua dari empat mata, dengan penghalang ubah bentuk (ODB) dan ujian impak sampingan yang sama.

    Klik untuk besarkan

    Sementara itu, bagi perlindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula, MU-X menerima 44.37 mata daripada 49 mata penuh, iaitu lebih tinggi berbanding yang dicapai oleh D-Max sebanyak 42.78 mata. Dalam ujian ini, SUV berkenaan menerima 1.59 mata yang lebih tinggi untuk pemasangan dengan 11.37 mata daripada 12 mata penuh, sementara trak pikap berkenaan mendapat 9.78 mata.

    Akhir sekali, MU-X turut mendahului D-Max dalam ujian bantuan keselamatan, kerana beberapa varian di Thailand turut ditawarkan dengan brek kecemasan sendiri (AEB), di mana ciri tersebut tidak diberikan pada D-Max. Sekaligus memberikan keputusan dengan mencatatkan 15.85 daripada 18 mata berbanding 13.40 mata yang diterima oleh trak pikap berkenaan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG GLB35 4Matic X247 – SUV 5-tempat duduk; 302 hp; 100km/j dalam 5.2s; RM363,137

    GALERI: Mercedes-AMG GLB35 4Matic X247 – SUV 5-tempat duduk; 302 hp; 100km/j dalam 5.2s; RM363,137

    Mercedes-AMG GLB 35 4Matic telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada September lalu sebagai varian tertinggi dalam barisan GLB, bersama-sama dengan GLB 200 dan GLB 250 4Matic. Ditawarkan pada harga atas jalan RM363,137 tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, kami bawakan galeri penuh bagi SUV lima-tempat duduk mewah ini buat tatapan anda sebelum 2020 melabuhkan tirainya.

    Di bawah bonetnya, GLB 35 dilengkapi penjana kuasa M260 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan sehingga 306 hp (302 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac AMG Speedshift DCT lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic.

    Bagi aspek prestasinya, SUV ini hanya mengambil masa sekitar 5.2 saat untuk mencapai pecutan dari sifar ke 100 km/j, sementara kelajuan maksimum yang boleh dicapai terhad kepada 250 km/j. Untuk kuasa perberhentian, ia dikendalikan oleh cakera brek all-round ventilated dan perforated, di mana ia diberikan unit bersaiz 350 mm di hadapan dan dipadankan dengan kaliper empat-omboh, sementara untuk belakang pula digandingkan dengan cakera 330 mm bersama kaliper floating omboh-tunggal. SUV ini juga diberikan suspensi adaptif AMG Ride Control, yang disambungkan ke sistem mod pemanduan Dynamic Select.

    Ciri standard yang didatangkan untuk GLB 35 ini termasuklah lampu utama Multibeam LED, pakej luaran AMG Line, roda stereng balutan kulit Nappa, kemasan struktur-karbon, upholstery gentian mikro Dinamica/kulit Artico (dengan jahitan merah), alas lantai AMG dan tempat duduk sport bersama tali pinggang keledar merah designo.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) bersama dua skrin 10.25-inci, paparan spesfik-AMG dan sokongan bagi Android Auto dan Apple CarPlay. Ciri lain yang turut diberikan termasuklah sistem bunyi sekeliling Burmester, kawalan suhu dwi-zon Thermotronic dengan corong di belakang, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, pencahayaan ambien dan modul LTE untuk servis ketersambungan Mercedes me.

    Untuk membuatkan GLB 35 menyerlah, gril hadapannya menerima rekaan Panamericana seperti mana produk di bawah jenama AMG yang lain, sementara corong ekzos belakangnya pula bulat berbanding berbentuk bujur dan segi empat yang digunakan pada varian yang lebih rendah. Rodanya juga lebih besar iaitu bersaiz 20-inci berbanding unit 18- dan 19-inci yang diberikan pada GLB 200 dan GLB 250 4Matic. Walau bagaimana pun, hanya GLB 35 didatangkan dengan lima-tempat duduk berbanding tujuh-tempat duduk pada dua varian di bawahnya.

    Berkenaan dengan keselamatan, SUV ini dilengkapi dengan kamera undur, bantuan titik buta, penghidup enjin dengan kawalan jauh, Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, Pre-Safe, bantuan brek aktif, akses bebas tangan, Keyless-Go, sistem pemantauan tekanan tayar dan Easy-Pack tailgate. Satu lagi ciri yang tidak diberikan kepada GLB yang bukan-AMG tetapi ditampilkan pada GLB 35 ialah bantuan kekal lorong aktif.

     
     
  • Yamaha akan lancar model baru di Vietnam esok – Exciter/Y15ZR versi baru dengan enjin VVA 155 cc?

    Yamaha akan lancar model baru di Vietnam esok – Exciter/Y15ZR versi baru dengan enjin VVA 155 cc?

    Sejak beberapa hari lalu, Yamaha Vietnam telah menyiarkan beberapa gambar teaser model baru yang akan didedahkan secara rasmi esok secara atas talian. Bentuk penuh motosikal ini masih belum dapat dilihat namun ada beberapa bayangan yang diberi.

    Gambar yang disiarkan kebanyakannya adalah gelap dan samar-samar, tetapi apa yang diberitahu, model baru ini adalah sebuah ‘underbone‘ atau dalam terjemahan bahasa kita, sebuah kapcai. Bermakna juga, ini adalah sebuah model yang menggunakan tangki di bawah dan bukannya di atas seperti R15.

    Jangkaan yang dibuat ramai, ini adalah Exciter atau lebih dikenali di negara kita sebagai Y15ZR, tetapi versi baru dengan enjin 155 VVA. Gambar-gambar teaser juga menghala ke arah itu dengan menunjukkan panel badan dari beberapa sudut.

    Kelihatan seperti semua panel badannya adalah baru, dan paling menarik adalah nyalaan lampu siang (DRL) LED yang berbentuk seperti boomerang di hadapan. Kemudiannya dalam salah satu gambar juga ternampak bahagian panel meter yang kelihatan seperti satu unit digital berbentuk rata.

    Selain teaser gambar dan video, Yamaha Vietnam juga telah membuka tempahan awal untuk model baru ini dengan menyatakan terdapat versi istimewa yang akan dikeluarkan untuk 100 pelanggan pertama dan mereka juga akan menerima beberapa hadiah lain.

     
     
  • Kerajaan tolak cadangan oleh MAA, tiada lanjutan tempoh pengecualian SST selepas 31 Disember ini

    Kerajaan tolak cadangan oleh MAA, tiada lanjutan tempoh pengecualian SST selepas 31 Disember ini

    Kerajaan menegaskan bahawa tidak akan ada lanjutan tempoh pengecualian cukai SST bagi kenderaan selepas tarikh asal yang berakhir 31 Disember ini tamat. Pengecualian cukai SST bagi kenderaan CKD dan 50% bagi kenderaan CBU sebelum ini diumumkan di bawah rancangan rangsangan ekonomi Penjana yang bermula sejak 15 Jun lalu.

    Perkara ini didedahkan dalam satu dokumen oleh Kementerian Kewangan sebagai maklum balas kepada permintaan yang diajukan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang mencadangkan lanjutan tempoh itu sehingga 30 Jun 2021. Persatuan itu telah menulis kepada kementerian berkenaan sebanyak dua kali, pada 16 Oktober dan 7 Disember, untuk meminta lanjutan pengecualian SST tersebut.

    Dalam jawapan balasnya pada 23 Disember 2020, kementerian memaklumkan walaupun menterinya memberikan pertimbangan terhadap perkara itu, keputusan yang diambil adalah untuk tidak melanjutkan tempoh pengecualian SST untuk enam bulan lagi, mengesahkan apa yang Presiden MAA, Datuk Aishah Ahamad katakan sebelum itu. “Berkaitan pengecualian SST, MAA telah menerima surat penolakan hal itu bagi tempoh selepas 31 Disember 2020,” ujarnya kepada paultan.org.

    Dengan ini, cukai jualan bagi semua kenderaan baru yang dijual di sini akan kembali kepada harga dengan SST selepas 1 Januari nanti. Bagaimanapun, pembeli kenderaan penumpang masih boleh menikmati semua itu asalkan invois pembelian dikeluarkan sebelum 31 Disember, dengan pendaftaran perlulah diselesaikan sebelum 31 Januari 2021.

     
     
  • Harga minyak 26 Dis ’20-1 Jan ’21 – semua naik 2 sen

    Harga minyak 26 Dis ’20-1 Jan ’21 – semua naik 2 sen

    Bagi minggu bertarikh 26 Disember 2020 sehingga 1 Januari 2021, Kementerian Kewangan telah memaklumkan kesemua bahan api utama di negara ini mengalami peningkatan harga masing-masing sebanyak dua sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM2.10 seliter berbanding RM2.08 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.78 seliter, bakal menjadi RM1.80 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM1.98 seliter dan Euro 5 pula berharga RM2.08 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 1 Januari 2021.

     
     
  • KPDNHEP pilih Honda Civic 1.8 S sebagai kereta rasmi

    KPDNHEP pilih Honda Civic 1.8 S sebagai kereta rasmi

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima 16 unit Honda Civic 1.8 S sebagai kenderaan rasmi. Majlis penyerahan kereta tersebut berlangsung di ibu pejabat kementerian terbabit di Putrajaya.

    Ini merupakan kali pertama kementerian memilih kenderaan Honda sebagai kereta rasmi. “Bagi pihak Honda Malaysia, kami sangat berbesar hati apabila KPDNHEP memilih Civic sebagai kenderaan rasmi bagi melaksanakan tugasan,” ujar pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia Toichi Ishiyama.

    Tambahnya, “Kami juga menghargai peranan penting kementerian dalam mempromosikan dan mengekalkan perdagangan domestik di Malaysia, walau pun dalam keadaan kita masih berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan ekonomi Malaysia yang banyak terjejas akibat pandemik COVID-19.”

    Varian 1.8 S merupakan model paling asas dalam barisan Civic tempatan, dan ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter naturally aspirated yang mampu memberikan kuasa hingga 141 PS pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear Earth Dreams CVT, yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Sebelum ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut memilih model kenderaan yang sama sebagai jentera rasmi. Sebanyak 425 unit Civic telah digunakan oleh PDRM sebagai kenderaan peronda dan penguatkuasaan.

     
     
  • Tokyo Auto Salon 2021 akan diteruskan secara maya

    Tokyo Auto Salon 2021 akan diteruskan secara maya

    Tokyo Auto Salon (TAS) 2021 akan dianjurkan pada Januari akan datang dalam cara yang berbeza berbanding selalu. Disebabkan kes Covid-19 di Jepun yang semakin meningkat. Setakat 23 Disember 2020, negara itu telah mencatatkan keseluruhan 203,000 kes, dengan jumlah kematian hampir 3,000 orang.

    Berdasarkan hebahan rasmi, pengunjung yang telah membeli tiket bagi TAS 2021 akan dibayar semula, dengan perincian mengenainya akan diumumkan kemudian. Penganjur turut memaklumkan pihaknya sedang bekerja sama dengan semua pempamer untuk tetap membawakan festival kenderaan kustom tahunan itu kepada peminat walaupun terdapat banyak halangan.

    Untuk itu, hal ini bakal menyaksikan acara berkenaan memanfaatkan teknologi untuk dibawakan secara maya – secara percuma kepada semua – bermula 15 Januari nanti. TAS 2021 akan tetap diteruskan dan tidak dibatalkan, cuma cara penyampaiannya diubah sama sekali. Langkah yang sama dilakukan oleh pameran SEMA, dan dijenamakan sebagai SEMA360 sempena semangat digital.

    TAS merupakan platform bagi syarikat-syarikat penala kenderaan untuk mempamerkan rekaan konsep ubah suai yang menarik dan ekstrim. Awal tahun ini, pameran berkenaan agak meriah dengan pengenalan Toyota GR Yaris dan Honda Civic Type R, serta konsep-konsep rekaan GR Supra, S2000 edisi ulangtahun ke-20 dan lain-lain.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025