Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

    Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

    Dari satu sudut, pasaran automotif tempatan tahun 2020 agak menarik kerana banyak penawaran model yang dijual pada harga di bawah RM100k ketika ini. Dengan bajet itu, pilihan juga terbentang luas; tidak hanya melibatkan kereta sedan segmen B terbaru – ada Honda City dan Nissan Almera sebagai contoh, tidak lupa juga Toyota Vios facelift. Dan satu lagi, kita ada Proton X50 juga.

    Namun, bagi yang inginkan penggunaan untuk keluarga, kenderaan tujuh-tempat duduk memberikan banyak kelebihan. Pesaing terbaru bagi segmen ini juga ada dalam pasaran tempatan, apalagi kalau bukan Mitsubishi Xpander, sebuah MPV tiga baris tempat duduk dengan penggayaan SUV. Dan, bukan Mitsubishi yang pertama menawarkan kenderaan segmen ini; pada tahun 2017, Honda sudah terlebih dahulu menjual model BR-V.

    Kedua-duanya berkongsi konsep yang sama. Enjin NA 1.5 liter empat-silinder menjadi nadi penggerak kedua-duanya – Xpander dengan DOHC MIVEC yang menghasilkan 105 PS dan 141 Nm, sementara BR-V dengan SOHC i-VTEC yang menjana 120 PS dan 145 Nm. Angka puncak bagi BR-V lebih tinggi, tetapi Xpander mempunyai kelebihan dalam julat rpm yang lebih rendah – yang lebih berguna sekiranya membawa banyak beban. Selain itu, Xpander menggunakan transmisi empat-kelajuan automatik torque converter, sementara BR-V dengan CVT.

    Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

    Rekaannya juga menjadikan Xpander sebuah kenderaan yang lebih besar; dengan 18 mm lebih panjang (4,475 mm), 15 mm lebih lebar (1,750 mm) dan 23 mm lebih tinggi (1,700 mm) berbanding BR-V, yang hadir dengan jarak antara roda yang 113 mm lebih panjang (2,775 mm). Dengan kerusi barisan ketiga dilipat, Xpander memberikan 781 liter kapasiti ruang barang berbanding BR-V yang cuma ada 539 liter.

    Dari segi harga, tidak banyak beza antara keduanya; Xpander dijual pada harga RM91,369 atas jalan dengan pengecualian SST sedikit lebih murah berbanding BR-V yang dijual pada harga RM93,420 untuk varian V yang paling tinggi, dengan pengecualian SST juga.

    Sebelum ini kami pernah membandingkan keduanya untuk melihat aspek penawaran spesifikasi. Tetapi kali ini kami ingin membawa perhatian anda kepada perbezaan kos servisnya pula, berdasarkan maklumat servis yang diperoleh daripada laman web rasmi Mitsubsihi Motors Malaysia dan juga Honda Malaysia.

    Kedua-duanya datang dengan jaminan kilang selama lima-tahun tanpa had perbatuan, tetapi Honda turut menawarkan kos buruh percuma bagi lima kali servis berselang. Tempoh servisnya adalah setiap enam bulan atau 10,000 km, yang mana dulu. Servis 1,000 km pertama hanya untuk pemeriksaan. Jika untuk Honda ia diberikan percuma, Mitsubishi akan mengenakan caj RM37.10 untuk kos buruh.

    Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

    Anda juga akan perasan caj bagi minyak enjin dan drain plug washer bagi Mitsubishi – yang sememangnya perlu ditukar sepanjang tempoh hayat kenderaan – lebih tinggi berbanding Honda; RM140.46 vs RM114.46. Bagaimanapun, ambil maklum cadangan minyak enjin oleh Honda ialah dari jenis semi-sintetik. Kos bagi pilihan minyak sintetik penuh dengan drain plug washer ialah RM130.80, masih sedikit lebih murah.

    Penapis minyak enjin juga ditukar pada setiap servis oleh Mitsubishi, sementara Honda akan menukarnya setiap servis yang berselang berikutnya untuk kos yang lebih rendah. Mitsubishi menimbal balik dengan penukaran penapis udara bagi setiap 40,000 km, berbanding Honda yang perlu ditukar setiap 30,000 km. Ini bermakna, dalam tempoh lima-tahun, Xpander memerlukan penukaran penapis udara sebanyak dua kali (RM80.10 setiap kali) berbanding BR-V tiga kali (RM92.04 setiap kali).

    Satu lagi perkara yang lebih kos pada Honda BR-V ialah penapis habuk untuk kabin, yang perlu ditukar setiap 30,000 km dengan kos RM145.38. Penapis kabin untuk Xpander pula perlu ditukar dalam jarak yang sama, tetapi dengan kos yang lebih rendah; RM60.30 setiap kali.

    Bagi pelincir transmisi pula, kedua-dua jenama ada pendekatan yang berbeza, kerana pilihan jenis kotak gear yang juga berbeza. Penukaran pelincir bagi transmisi 4AT Xpander hanyalah sekali dalam tempoh lima-tahun, pada servis 100,000 km. Penukaran pelincir CVT bagi BR-V pula perlu dilakukan setiap 40,000 km dan 80,000 km. Kos servis keseluruhan bagi transmisi ialah RM294.12 bagi Xpander dan RM258.48 bagi BR-V.

    Kos paling besar yang dikenakan satu kali oleh Xpander ialah untuk penapis minyak (RM484.20 pada 60,000 km) dan palam pencucuh Iridium bagi BR-V (RM380.90 pada 100,000 km). Pemilik BR-V boleh menjangkakan bil servis yang lebih konsisten; hanya pada servis 100k km bil berkenaan akan melebihi angka RM500, disebabkan penukaran palam pencucuh tersebut. Bagi Xpander pula, agak ketara angkanya bagi setiap servis – dalam lima tahun, pemilik akan membayar sekitar RM200 sebanyak lima-kali (tidak termasuk caj buruh untuk servis 1,000 km), tetapi ada empat kali caj yang lebih mahal antara RM546.64 hingga RM911.41 (60k km) yang perlu diambil kira.

    Akhir sekali, jumlah keseluruhannya. Servis dan penyelenggaraan bagi Xpander bagi jarak 100,000 km atau lima-tahun ialah RM4,215, sementara bagi BR-V pula ialah RM3,592 bagi jarak atau tempoh yang sama. Itu melibatkan perbezaan sebanyak RM623, yang akan menjadi RM463 sekiranya memilih pelincir enjin sintetik penuh untuk Honda (menjadi RM3,752 untuk lima-tahun). Perbezaan beberapa ratus ringgit yang diagihkan dalam tempoh lima-tahun mungkin tidak akan menjadi faktor penentu kepada pilihan anda (tambahan pula Xpander dijual pada harga yang sedikit lebih murah), cuma kami rasakan perkara ini patut anda tahu sebelum membuat pilihan. Selebihnya, terserah kepada anda sendiri.

    Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

    Honda BR-V 2020 Gred V

     
     
  • Kymco CV3 skuter tiga roda 550 cc, ada cruise control

    Kymco CV3 skuter tiga roda 550 cc, ada cruise control

    Selain tiga buah skuter yang diperkenalkan semalam, Kymco turut melancarkan satu lagi skuter beroda tiga yang dinamakan sebagai CV3. Ia juga adalah model skuter roda tiga pertama yang pernah dihasilkan oleh pengeluar dari Taiwan itu.

    CV3 dikuasakan oleh enjin dua silinder sebaris, DOHC, suntikan bahan api, berkapasiti 550.4 cc yang mampu menghasilkan 51 hp pada 7,500 rpm dan 53 Nm tork pada 5,750 rpm. Enjin ini menggunakan sistem penyejukan cecair dan mendapat penarafan Euro 5.

    Walaupun mempunyai tiga roda di hadapan, CV3 masih boleh menyengetkan badannya untuk mengambil selekoh seperti skuter biasa, dengan suspensi hadapan menggunakan empat fork teleskopik serta brek cakera pada setiap roda. Suspensi belakang pula menggunakan jenis monoshock.

    Rim hadapan mempunyai saiz yang lebih kecil, iaitu 13 inci dengan dibalut tayar 110/70 sementara di belakang pula menggunakan rim 15 inci dibalut tayar 160/60. Kuasa daripada enjin disampaikan kepada roda belakang menggunakan sistem tali sawat.

    Perincian lain CV3 adalah termasuk tangki bahan api 15.5 liter, tinggi tempat duduk 795 mm, berat keseluruhan 280 kg, panel instrumen digital yang boleh disambung dengan Bluetooth, ABS, Traction Control, Cruise Control dan ruang simpanan barang bawah tempat duduk.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

    PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

    Anda berangan untuk memiliki Mercedes-AMG A45 S 4Matic+, tetapi bajet untuk membeli sebuah jentera premium sport sebegitu lebih kurang di bawah RM400,000. Jangan risau, anda ada pilihan lain yang tak kurang hebatnya juga, kiranya ‘saudara sepusat sepusingnya’ juga iaitu Mercedes-AMG A35 4Matic, hatchback yang berharga RM379,888. Kurang RM80,000 daripada A45.

    Tapi adakah A35 ini boleh meledakkan adrenalin anda? Dalam masa yang sama, mungkin boleh membuatkan anda jadi perhatian kerana kekacakan jentera ini yang mudah mencuri tumpuan ramai. Apatah lagi bila kedengaran deruman enjin dan ekzosnya.

    A35 yang didatangkan dengan varian tunggal Edition 1 ini dipadankan dengan enjin yang sama dengan model standard Mercedes-Benz A 250 iaitu unit M260 petrol 2.0 liter turbo empat-silinder, namun diberikan talaan yang berbeza iaitu dengan lonjakan kuasa 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Iaitu lebih 84 hp dan 50 Nm berbanding A 250 (224 hp/350 Nm).

    PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

    Penjana kuasa ini turut digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. Ia mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal.

    Menurut Mercedes-Benz, penggunaan bahan api untuk hatchback A35 ini dianggarkan sekitar 7.6 liter bagi setiap 100 km, berbanding 7.4L/100 km pada versi sedan yang ternyata lebih menjimatkan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

    Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

    Honda Malaysia telah mengumumkan panggilan semula terbaharu berkenaan masalah inflator beg udara keluaran Takata yang bermasalah, kali ini membabitkan dua model lama iaitu Honda Accord 1999 (generasi keenam) dan juga Honda CR-V 2000 (generasi pertama).

    Panggilan semula kali ini akan melibatkan sejumlah 2,784 kenderaan iaitu 1,380 unit Accord dan 1,404 unit CR-V. Walaupun panggilan semula ini melibatkan komponen yang sama, namun masalah yang timbul adalah berbeza dari panggilan semula sebelum ini.

    Kali ini, ia adalah berkenaan beg udara bahagian pemandu yang tidak-azida (NADI), dan panggilan semula ini berlangsung secara global. Inflator beg udara berkenaan dikilangkan tanpa kedapan yang betul, membuatkan udara dan lembapan masuk ke dalamnya, menyebabkan pendorong letupan menjadi lemah.

    Oleh itu, ia akan mengakibatkan beg udara berkenaan mengembang dengan lambat ketika berlakunya kemalangan. Ada juga kemungkinan rendah yang menyebabkan beg udara tersebut mengembang terlalu cepat dan menyebabkan letupan dan serpihan logam akan terkena pada pemandu atau penumpang.

    Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

    Secara ringkas, tidak kira kemungkinan pertama atau kedua yang berlaku, ia boleh menyebabkan pemandu dan penumpang cedera parah atau kehilangan nyawa.

    Menurut Honda Amerika Syarikat pada awal tahun ini, kejadian tersebut pernah terjadi di Texas pada 2012. Dua letupan turut pernah dilaporkan terjadi di Jepun sebelum ini ketika kereta-kereta berkenaan di skrap.

    Honda Malaysia pula menyatakan bahawa sehingga kini, masih belum ada kejadian yang berpunca dari masalah berkenaan terjadi kepada Accord dan CR-V yang disenaraikan ini di Malaysia. Syarikat berkenaan turut menegaskan bahawa model-model baharu yang sedang dijual tidak terlibat dengan masalah ini.

    Pemilik-pemilik kenderaan terbabit akan dihubungi oleh Honda Malaysia menerusi surat, yang turut akan disertakan dengan perincian berkenaan panggilan semula ini. Selepas menerima surat, pelanggan digesa untuk menghubungi mana-mana pengedar Honda secepat mungkin bagi membuat temu janji bagi menukar inflator beg udara bahagian pemandu berkenaan, tertakluk pada stok alat ganti yang tersedia.

    Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

    Ahli keluarga dan kenalan yang mengenali pemilik-pemilik kenderaan ini turut diminta untuk memberitahu mereka agar menghubungi pengedar Honda bagi membuat penukaran komponen tersebut. Tiada sebarang caj akan dikenakan kepada pelanggan, dan kesemua kos akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

    Syarikat berkenaan turut menyatakan bahawa keselamatan pelanggan dan staf mereka juga akan diambilkira ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Jadi, pelanggan perlu membuat temu janji lebih awal bagi memastikan proses penukaran ini dapat berjalan lancar.

    Pelanggan juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan setiap masa ketika berada di fasiliti pengedar seperti sentiasa memakai pelitup muka dengan betul, mengamalkan penjarakan fizikal serta selalu membersihkan tangan.

    Jika anda memiliki kenderaan-kenderaan ini tetapi masih ragu-ragu adakah ia terlibat dengan panggilan semula berkenaan, anda boleh hubungi Honda Malaysia menerusi talian bebas tol 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut, atau layari laman web rasmi Honda Malaysia untuk memeriksa status kenderaan anda.

     
     
  • Toyota GR Yaris AP4 binaan TGR Australia didedah – jentera pertama seumpanya dengan baka rali sebenar!

    Toyota GR Yaris AP4 binaan TGR Australia didedah – jentera pertama seumpanya dengan baka rali sebenar!

    Nampaknya, penghasilan model rali untuk produksi jalan raya sudahpun pun memberikan manfaat kepada juara empat kali rali Australia, Neal Bates – jika sebelum ini jentera Bates dihasilkan dari model hatchback segmen-B Toyota Yaris biasa, untuk musim 2021 beliau bakal menggunakan jentera rali yang jauh lebih berpotensi diasaskan dari Toyota GR Yaris!

    Juga, Bates bersama pasukannya, Neal Bates Motorsport atau NBM (berlumba dengan nama Toyota Gazoo Racing Australia atau TGRA) yang sebelum ini hanya menerima sokongan dari segi pembiayaan untuk membawa nama Gazoo Racing, penghasilan jentera baharu GR Yaris kali ini turut mendapat kerjasama terus dari divisi Perancangan Produk dan Pembangunan Toyota Australia (PP&D).

    Ini membolehkan jentera rali berkenaan direka, dihasilkan dan menerima kejuruteraan di fasiliti PP&D yang terletak di Port Melbourne.

    Bagi yang belum mengetahui, undang-undang AP4 ini diformulasikan oleh FIA untuk rali di rantau Asia Pasifik bagi menghasilkan kereta rali dengan tahap kelajuan seperti jentera R5 di Eropah dan WRC, tetapi dihasilkan dengan kos yang jauh lebih murah.

    Toyota GR Yaris AP4 binaan TGR Australia didedah – jentera pertama seumpanya dengan baka rali sebenar!

    Ia membabitkan banyak komponen perlumbaan yang boleh dikongsikan oleh semua pengeluar yang bertanding seperti komponen suspensi dan sistem 4WD, menerusi penggunaan cagak suspensi atas dan subframe yang sama untuk jentera.

    Ini secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada GR Yaris, kerana asas kereta ini dihasilkan memang untuk perlumbaan rali, berbanding jentera-jentera keluaran jenama lain yang keluar dari kilang sebagai kereta penumpang biasa.

    Seperti yang diketahui, GR Yaris mempunyai kerangka badan tiga pintu yang lebih kuat dari model lima-pintu biasa, dengan bumbung gentian karbon standard dari kilang yang direka lebih landai untuk kesan aerodinamik lebih baik, serta panel-panel seperti bonet hadapan dan belakang yang diperbuat dari aluminium untuk mendapatkan jisim yang lebih ringan, dan juga kerangka yang sememangnya dihasilkan bagi menempatkan sistem pacuan semua roda.

    Malah tidak seperti jentera AP4 Yaris Neal Bates sebelum ini yang menggunakan enjin 2ZZ-GE (dikecilkan kapasiti dari 1.8L kepada 1.6L serta disuap turbo untuk memenuhi undang-undang AP4) yang diambil dari model prestasi seperti Toyota Celica, GR Yaris AP4 baharu ini boleh terus menggunakan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang sudah pun disumbatkan dari kilang GR Factory di Motomachi, Toyota City, Jepun.

    Toyota GR Yaris AP4 binaan TGR Australia didedah – jentera pertama seumpanya dengan baka rali sebenar!

    2018 Toyota Corolla ZR Hybrid

    Menurut ketua pereka Toyota Australia, Nic Hogios, projek GR Yaris AP4 ini adalah sangat hebat dan benar-benar menyerlahkan bakat pasukan rekaan dan kejuruteraan serta fasiliti-fasiliti rekaan termaju yang ditawarkan Toyota.

    “Semua orang di sini di Toyota Product Design adalah sangat berminat dalam sukan bermotor dan setiap peluang yang kami ada untuk terlibat dalam projek seperti ini, akan kami rebut. Projek ini sangat hebat untuk disertai, kerana kereta asasnya adalah sangat mengujakan dalam bentuk kereta jalan raya. Jadi ia adalah asas yang baik untuk bermula – GR Yaris adalah baka yang dihasilkan untuk rali,” kata Hogios.

    Toyota mula bekerja dengan NBM untuk GR Yaris AP4 ini bermula pada Mac 2020, menggunakan teknologi realiti maya bagi menghasilkan rekaan konsep badan bagi kereta rali baharu ini. Lakaran awal yang dibuat adalah untuk penghasilan komponen seperti fender hadapan, pod untuk bampar hadapan dan belakang, panel suku belakang, sirip bonet dan juga tingkap, yang kemudiannya diperincikan menerusi rekaan digital.

    Menurut Hogios lagi, rekaan yang dihasilkan adalah menerusi proses yang sangat disiplin bagi memberikan apa yang benar-benar pasukan rali TGRA perlukan berdasarkan undang-undang kategori AP4.

    “Tiada kompromi, ia adalah kereta lumba, ia di sini bukan hanya untuk bergaya walaupun kami mahukan ia tampil dengan rupa paling cantik dan ia adalah sebahagian dari falsafah GR, semuanya adalah berkisar kecantikan yang boleh berfungsi,” jelasnya lagi.

    Apabila kesemua rekaan digital tersebut siap, kesemua data digunakan untuk menghasilkan fail CAD bagi membolehkan mesin CNC membentuk acuan dan menghasilkan komponen-komponen tersebut menggunakan gentian kaca. Kesemua komponen berkenan kini sudah pun siap dan dihantar ke NBM bagi melengkapkan kereta rali AP4 tersebut.

    “Saya mempunyai karier yang mengujakan dengan Toyota dan sukan permotoran untuk lebih dari 30 tahun dan GR Yaris baharu ini mempunyai prestasi dan keupayaan untuk berlumba yang luar biasa,” kata Neal Bates.

    “Ia berikan kami platform yang hebat untuk bermula. Kami sudah ada bumbung gentian karbon, kami sudah ada pintu aluminium, kami sudah pun mempunyai enjin paling ringan dan enjin produksi besar-besaran tiga-silinder paling berkuasa di dunia, kami sudah ada stance yang sangat lebar, dan sistem pacuan semua roda – ia semamangnya dihasilkan untuk berlumba rali.

    Toyota GR Yaris AP4 binaan TGR Australia didedah – jentera pertama seumpanya dengan baka rali sebenar!

    “Kami dah membina banyak kereta rali bermula dengan Celica GT-Four yang merupakan model pacuan semua roda turbo, tetapi selepas itu banyak kerja ubahsuai yang perlu dilakukan untuk menghasilkan kereta rali Celica dan Corolla kepada kereta rali pacuan semua roda, jadi ini adalah kereta yang hebat untuk bermula.

    “Jika anda lihat Yaris AP4 yang kami hasilkan sebelum ini, kami perlu memadankan enjin lain padanya, kami perlu ubahnya menjadi pacuan semua roda, kami perlu bangunkan kit badan, jadi bagi kami, kereta ini akan lebih ringkas dan lebih mudah untuk di bina,

    “Ia akan menjadi sebuah kereta yang sangat bergaya dan kedua-dua pasukan telah melabur banyak masa bagi menghasilkannya pada tahap di mana kami berada sekarang dan saya tak sabar untuk menghasilkannya dan memberikan apa yang sepatutnya bagi menjadikan ia kereta AP4 berkelas dunia,” kata Bates lagi.

    NBM akan menghasilkan dua buah GR Yaris AP4 untuk kejohanan rali Australia (ARC) musim 2021, dan TGRA akan dibarisi pemandu utama mereka iaitu Harry Bates dan kereta kedua akan dipandu adiknya, Lewis Bates.

    Toyota GR Yaris AP4 binaan TGR Australia didedah – jentera pertama seumpanya dengan baka rali sebenar!

    Harry dan Lewis menamatkan kejohanan berkenaan pada kedudukan pertama dan kedua untuk musim 2019, namun musim 2020 terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

    “Saya sangat teruja untuk berlumba dengan GR Yaris AP4 baharu ini dan lihat bagaimana prestasinya sebagai kereta rali,” kata Harry yang tidak sabar untuk memulakan ARC 2021 yang akan bermula dengan Rali Canberra Mac nanti.

    “Ini merupakan perubah permainan, yang pertama seumpanya di Australia dan saya boleh lihat bagaimana ia akan memberikan yang terbaik untuk saya, dan saya tak sabar untuk memandunya,” tambah Harry lagi.

     
     
  • Hyundai Elantra 2021 untuk Malaysia — enjin 1.6L Smartstream NA dan IVT disahkan, 123 PS dan 154 Nm

    Hyundai Elantra 2021 untuk Malaysia — enjin 1.6L Smartstream NA dan IVT disahkan, 123 PS dan 154 Nm

    Hyundai Malaysia telah menunjukkan satu lagi iklan acah bagi model Elantra CN7 generasi ketujuh, kali ini dengan pengesahan sistem janaan kuasa yang akan digunakan untuk sedan segmen C itu. Dalam satu hantara terbarunya di Facebook, syarikat itu menyebut tentang Intelligent Variable Transmission (IVT), dengan pautan kepada perincian transmisinya.

    Sekadar makluman, IVT merupakan continuously variable transmission (CVT) dengan lapan kelajuan maya. Tetapi, tidak seperti rekaan konvensional, ia menggunakan rantai sawat (chain belt) berbanding push belt. Ini disifatkan mampu memberi respon lebih baik serta mengurangkan kehilangan kuasa dari enjin (5-8%) dan lebih menjimatkan minyak (4.2%).

    Berdasarkan hebahan yang sama, Elantra spesifikasi Malaysia akan menyaksikan transmisi IVT itu digandingkan dengan enjin petrol 1.6 liter Smartstream empat-silinder dengan janaan 123 PS pada 6,300 rpm dan 154 Nm tork pada 4,500 rpm. Unit ini memanfaatkan DOHC, pemasa injap boleh ubah berterusan (CVVT), sistem suntikan multi-silinder serta modul pengurusan haba enjin yang baru. Ini sama seperti apa yang digunakan pada Elantra/Avante di Singapura.

    Hyundai Elantra 2021 untuk Malaysia — enjin 1.6L Smartstream NA dan IVT disahkan, 123 PS dan 154 Nm

    Sebagai perbandingan, Elantra AD facelift generasi keenam yang dilancarkan tahun lalu datang dengan enjin berkapasiti lebih besar, 2.0 liter Nu empat-silinder dengan janaan 152 PS dan 192 Nm, dipandankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Sebelumnya, unit enjin 1.6 liter Gamma T-GDI (204 PS/265 Nm) bersama kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Enjin turbo yang sama juga digunakan pada Elantara N Line – varian prestasi bagi model ini – walaupun belum tentu pasaran Malaysia akan menerima varian berkenaan di sini. Jadi, setakat ini yang kita ketahui, pasaran tempatan kemungkinan besar akan menerima enjin 1.6 NA dan IVT.

    Pastinya akan lebih menarik jika versi N Line dipasarkan di sini, kerana angka-angka prestasinya di atas kertas adalah lebih menarik berbanding model pesaing lain seperti Honda Civic (173 PS and 220 Nm), Mazda 3 (up to 164 PS and 213 Nm) dan Toyota Corolla (139 PS and 173 Nm). Apa pun, kita perlu menunggu lagi maklumat berkaitan pelancaran rasminya kelak.

     
     
  • Kymco F9, KRV dan DT X360 diperkenal pertama kali – masing-masing punya kelengkapan unik dan canggih

    Kymco F9, KRV dan DT X360 diperkenal pertama kali – masing-masing punya kelengkapan unik dan canggih

    Kymco hari ini telah memperkenalkan buat pertama kalinya tiga model skuter baru iaitu F9, KRV dan DT X360. Masing-masing mempunyai kelengkapan unik dan ada di antaranya menjadikan Kymco sebagai yang pertama menggunakannya di dunia.

    F9 adalah sebuah skuter elektrik kompak yang menggunakan bateri 40 Ah dan motor elektrik DC 9.4 kW, mampu menghasilkan tork sehingga 30 Nm. Ia juga menjadi motosikal elektrik pertama di dunia yang menggunakan transmisi automatik dua kelajuan, dan mampu menghasilkan pecutan 0-50 km/j dalam masa tiga saat.

    Dengan cas bateri penuh, F9 boleh memberikan jarak gerak sehingga 120 km dan boleh dikerah sehingga kelajuan 110 km/j. Apabila menggunakan pengecas pantas, bateri ini boleh penuh dalam masa dua jam, dan antara kelengkapan lainnya adalah seperti rim 14 inci, brek cakera depan dan belakang, berat 107 kg dan tinggi tempat duduk 790 mm.

    KRV pula adalah sebuah skuter yang dikuasakan oleh enjin satu silinder OHC suntikan bahan api 175.1 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 16.5 hp pada 7,500 rpm dan 15.7 Nm tork pada 6,000 rpm. Kymco mendakwa ini adalah skuter kompak pertama di dunia yang menggunakan lengan ayun independent seperti motosikal biasa.

    Kuasa dihantarkan kepada roda belakang menggunakan sistem tali sawat dan skuter ini juga didatangkan dengan sistem brek ABS, Traction Control, lampu jenis LED serta kunci pintar. Perincian lainnya adalah seperti brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 7.2 liter, rim 13 inci, dua penyerap hentak di belakang serta meter jenis digital.

    Satu lagi skuter baru yang diperkenalkan oleh Kymco adalah DT X360. Model ini direka dengan inspirasi motosikal dual purpose dan menampilkan pemegang jenis lebar berserta pelindung tangan, kedudukan tegak, tayar pelbagai guna serta rim jenis lightweight yang bersaiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang.

    Model ini dikuasakan oleh enjin satu silinder OHC suntikan bahan api 320.6 cc, mampu menghasilkan kuasa 28.4 hp pada 7,250 rpm dan 30 Nm tork pada 5,750 rpm. Selain sistem kunci pintar, ia juga didatangkan dengan panel instrumen LED berwarna serta Traction Control. Kelengkapan lain skuter ini adalah tangki bahan api 12.5 liter, brek cakera depan dan belakang, serta dua penyerap hentak di belakang.

    GALERI: Kymco F9 2021

    GALERI: Kymco KRV 2021

    GALERI: Kymco DT X360 2021

     
     
  • Toyota Harrier dengan bodykit Craftech — klon Urus

    Toyota Harrier dengan bodykit Craftech — klon Urus

    Sebelum ini, ada bodykit Albermo XR51 yang mengubah penampilan Toyota RAV4 untuk jadi lebih mirip kepada Lamborghini Urus. Dan kini, penawaran sama turut ditawarkan bari pemilik sebuah lagi SUV popular keluaran Toyota, iaitu Harrier – kali ini oleh Craftech yang membawakan kesan penampilan yang sama.

    Dihasilkan untuk Harrier XU60 generasi ketiga, kit badan Craftech dikenakan kos sebanyak 380,000 yen (RM14,855) sebelum cukai dan penghantaran. Ia terdiri daripada daripada bampar depan dengan rekaan yang lebih tajam dengan bukaan ruang udara yang lebih besar dengan perincian hexagonal yang sama, mirip sekali dengan imej pada model Urus.

    Toyota Harrier dengan bodykit Craftech — klon Urus

    Lain-lain bahagian yang terlibat ialah pelindung gril yang memaparkan logo Harrier, serta alur pada bonetnya. Kit tersebut turut merangkumi skirting sisi, dan bahagian belakang juga dengan rekaan bampar yang lebih agresif, lengkap dengan elemen ala diffuser dengan empat sirip menegak. Bampar berkenaan juga dipersiap untuk digunakan dengan sistem ekzos empat cabang.

    Syarikat itu juga menawarkan pakej yang lebih murah, terdiri daripada bampar depan, alur bonet dan pelitup gril pada harga 240,000 yen (RM9,369). Atau, pelanggan boleh membeli mana-mana bahagian berkenaan secara berasingan termasuk “lampu siang”. Ini termasuk lampu utama asli Harrier, serta sensor parkir serta sensor untuk Toyota Safety Sense yang dikekalkan.

     
     
  • Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

    Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

    Generasi Playstation 1 yang bermain permainan video Gran Turismo 2, serta mengikuti perlumbaan All Japan Grand Touring Car (JGTC) tentu kenal dengan jentera lumba Denso SARD Supra GT500 bukan? Sehingga kini, pasukan SARD Racing (kini dikenali sebagai TGR Team SARD) masih lagi berlumba dalam Japan Super GT, dan kini bertarung dengan jentera SARD Kobelco GR Supra.

    Dengan pengetahuan yang diperolehi dari dunia perlumbaan, SARD kini memperkenalkan model produksi jalan raya talaan lengkapnya berdasarkan Toyota GR Supra A90, dikenali sebagai SARD Supra. Model ini dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad iaitu 20 unit, dijual pada harga 12.5 juta yen, atau sekitar RM489k.

    GR Supra istimewa ini bukan sahaja diberikan rupa yang jauh lebih garang dari model standard, malah turut menampilkan kuasa yang lebih besar, serta diberikan peralatan prestasi dari SARD untuk sistem brek dan juga casis.

    Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

    Ia masih lagi dijana oleh enjin B58 3.0 liter turbo seperti Supra A90 biasa, namun enjin berkenaan telah diolah semula dengan penggunaan pengecas turbo BorgWarner yang lebih besar, bersama sistem ekzos lengkap SARD termasuk sport catalyzer dan juga muffler SARD Ti-Z yang dihasilkan sepenuhnya dari titanium.

    Selepas perubahan hardware ini dibuat, kotak komputer asal turut ditukar kepada unit khas talaan SARD yang mampu memberikan penghasilan kuasa optima. Ini membolehkan enjin berkenaan mengekstrak sejumlah 500 PS pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 686 Nm bermula 3,000 rpm, berbanding jumlah asal 387 PS/500 Nm.

    Casis SARD Supra ini turut diperkuat menerusi penggunaan pendakap-pendakap dan bar tambahan terdiri daripada pendakap bawah badan dan juga tower bar unik pada ruang enjin bagi menguatkan bahagian berkenaan dan memperkukuhkan cagak suspensi hadapan. Bar anti-oleng juga telah ditukar kepada komponen yang lebih keras, bersama set suspensi boleh laras SARD Advanced Suspension.

    Bagi memastikan kesemua kuasa kuda dapat dialirkan ke permukaan tar, SARD Supra menerima tayar Bridgestone Potenza S007A, bersama rim aloi ringan 20-inci Work Emotion T5R ‘2-piece’ dalam kemasan istimewa hitam matte bersama serlahan biru dan penutup tengah dengan logo SARD.

    Saiz roda depan dan belakang pada SARD Supra ini tidak sama, di mana bahagian hadapan diberikan tayar 255/30R20 dengan rim lebar 10 jj, manakala belakang pula lebih besar dengan tayar 275/30R20 dengan rim 10.5 jj.

    Rim lima jejari berkenaan turut menyerlahkan set brek gergasi pada bahagian hadapan iaitu cakera 380 mm jenis terapung bersama angkup enam-omboh lengkap dengan pad, kesemuanya keluaran pembekal brek perlumbaan SARD iaitu Alcon.

    Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

    Pada bahagian luaran, SARD Supra ini direka semula ketua pereka Toyota 86 iaitu Takayasu Furukawa, dengan konsep rekaan yang disifatkan sebagai ringkas, sensual dan nampak seperti kereta lumba.

    Berbanding model standard, SARD Supra ini diberikan bampar hadapan dengan liang kemasukan udara jauh lebih besar, liang udara tambahan pada bonet enjin, spoiler gentian karbon di belakang, bampar belakang dengan diffuser jauh lebih agresif, serta kit pada fender hadapan dan belakang serta skirt sisi yang membuatkan ia kini 80 mm lebih lebar dari asal.

    Tiada perincian penuh diberikan pada bahagian kabin. Namun menerusi gambar yang disiarkan, SARD Supra ini diberikan karpet kaki istimewa berwarna biru, dan juga karpet bahagian kargo berwarna merah dengan kedua-duanya diberikan logo SARD bersaiz besar.

     
     
  • Sistem telematik Honda Connect bakal tiba di Malaysia

    Sistem telematik Honda Connect akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dengan Honda Malaysia telah mula menunjukkan beberapa cirinya di dalam laman rasmi mereka. Syarikat itu mempromosikan Honda Connect sebagai satu pakej teknologi yang merangkumi keselamatan, perlindungan serta kemudahan.

    Berdasarkan video yang disiarkan, nampak seperti City generasi kelima akan menjadi model pertama yang mendapat manfaat Honda Connect, tetapi setakat ini pada model yang telah diserahkan kepada pelanggan, ia masih belum ada. Buat masa sekarang, City cuma ditawarkan dalam versi petrol sementara versi hibrid RS e:HEV cuma akan mula dijual Januari tahun depan.

    Berkemungkinan versi hibrid itu nanti yang akan menggunakan Honda Connect, tetapi kita masih perlu menantikan pengumuman rasmi daripada Honda Malaysia. Di Thailand, Honda Connect sudah disediakan sejak tahun 2018 pada pelbagai model kenderaan, termasuklah City terbaru ini, untuk versi petrol dan juga hibrid.

    Melihat kepada cirinya, aspek keselamatan Honda Connect termasuk pengesan perlanggaran automatik, yang boleh membuat panggilan secara automatik sekiranya terdapat kecemasan seperti perlanggaran, manakala pengesan penggera keselamatan pula memberitahu pemilik sekiranya penggera kenderaan berbunyi. Terdapat juga fungsi amaran kelajuan yang akan mengeluarkan bunyi sekiranya anda melepasi kelajuan tertentu.

    Pada bahagian perlindungan pula, fungsi “find my car” boleh membantu mencari kenderaan dan disertai fungsi yang mempunyai nombor kecemasan sekiranya diperlukan. Satu lagi fungsi adalah amaran geo-fencing, yang memberi amaran sekiranya kenderaan keluar daripada kawasan tertentu yang telah ditandakan.

    Pada bahagian kemudahan, Honda Connect datang dengan alat kawalan jauh kenderaan yang dapat membenarkan anda memulakan enjin, pendingin hawa, kunci pintu serta lampu menggunakan telefon pintar. Pemilik juga boleh memeriksa beberapa parameter lain seperti tahap minyak, bateri, kunci serta beg udara. Turut disediakan adalah fungsi peringatan waktu servis.

    Sistem telematik seperti ini sebenarnya sudah ada di Malaysia, ditawarkan oleh Mercedes-Benz melalui Mercedes Me Connect atau Connected Drive oleh BMW. Selain kenderaan premium, Toyota juga ada menawarkan ciri ini melalui Vehicle Telematics System (VTS) pada Corolla dan Vios.

     
     
  • Aprilia RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory dilancar di Malaysia – harga RM160k dan RM121k

    Aprilia RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory dilancar di Malaysia – harga RM160k dan RM121k

    Aprilia RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory 2020 kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan masing-masing RM159,000 dan RM121,000. Dua model ini memberi saingan terus kepada Ducati Panigale V4S, dan Streetfighter V4S, yang masing-masing dijual pada harga RM172,000 dan RM145,900.

    Menggunakan warna Atomico Racer Black, RSV4 1100 Factory dilengkapi dengan sistem suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 2.0, yang terdiri daripada fork Ohlins NIX di hadapan dan monoshock Ohlins TTX di belakang. Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin V4 pada model ini adalah 217 hp pada 13,200 rpm dan 122 Nm tork pada 11,000 rpm.

    Sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah model replika perlumbaan, RSV4 1100 Factory dipasang dengan mudguard, panel tepi, pelindung ekzos, winglet serta pelindung tangki yang dibuat daripada gentian karbon, dan dijadikan lengkap dengan ekzos titanium Akrapovic serta rim aluminium forged. Berat keseluruhan adalah 199 kg dan ia datang dengan angkup brek Brembo Stylema di hadapan.

    Sama seperti RSV4 1100 Factory, Tuono V4 1100 Factory juga ditawarkan dalam warna Atomica Racer Black, dan suspensi semi aktif Ohlins diberikan secara standard. Kuasa bagaimanapun diturunkan sedikit untuk menjadi 175 hp pada 11,000 rpm dan 121 Nm tork pada 9,000 rpm.

    Angkup brek hadapan Tuono V4 1100 Factory menggunakan unit Brembo M50 empat piston, bersama master cylinder radial Brembo. Kedua-dua model ini didatangkan dengan sistem elektronik penuh yang termasuk Traction Control, Wheelie Control, Launch Control serta quickshifter.

    GALERI: Aprilia RSV4 1100 Factory

    GALERI: Aprilia Tuono V4 1100 Factory

     
     
  • Volkswagen Tiguan R didedah — 320 PS, 4.9 saat

    Volkswagen Tiguan R didedah — 320 PS, 4.9 saat

    Volkswagen kini mula menunjukkan kelibat Tiguan R yang pertama pernah dihasilkan. SUV saiz sederhana ini menerima sentuhan prestasi R buat pertama kalinya; bayangkan Golf R, tetapi sebagai sebuah SUV.

    Versi ini menggunakan enjin EA888 2.0 liter turbo empat-silinder generasi terbaru, sama seperti yang digunakan pada Golf R Mk8 yang ditunjuk awal bulan ini. Unit TSI “evo4” berkenaan menghasilkan 320 PS dan 420 Nm tork (dari 2,100 rpm hingga 5,350 rpm). Ini digandingkan bersama kotak gear DSG DQ500 tujuh-kelajuan dan AWD, dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.9 saat; hanya 0.2 saat lambat berbanding Golf R.

    Turut diwarisi dari Golf ialah ciri 4Motion dengan sistem R-Performance Torque Vectoring. Melalui ini, Volkswagen menggunakan pacuan roda belakang dengan dua klac multi-plat untuk pertama kali. Sistem berkenaan tidak hanya mengagihkan kuasa di antara gandar depan dan belakang, tetapi turut mengasingkannya di antara roda kiri dan kanan. Ini didakwa memberikan lebih keyakinan di selekoh, menjadikan Tiguan R sebagai “penanda aras bagi SUV dengan dinamik pemanduan yang baik.”

    Tiguan R datang dengan brek 18-inci dengan kaliper biru (logo R di depan), penyerap hentak adaptif DCC dan 10 mm lebih rendah. Pemilihan profil pemanduan menerima mod tambahan R yang boleh diaktifkan butang biru R pada stereng. Juga datang standard ialah ESC yang boleh dinyahaktif serta sistem ekzos empat saluran.

    Bahagian luaran, yang membezakan versi R ini ialah bampar dalam rekaan R dengan elemen aerodinamik kemasan hitam berkilat atau warna badan, perumah cermin sisi krom kesat, diffuser belakang hitam berkilat yang unik, lanjutan perumah roda warna hitam dan rim aloi 20-inci Misano.

    Turut ditawarkan sebagai pilihan ialah sistem ekzos titanium daripada Akrapovic dan rim 21-inci Estoril. Pakej Black Style pula memberikan lebih kemasan hitam untuk bahagian luaran. Di dalam, kerusi sport lengkap dengan logo R, kokpit digital serta perincian kemasan Carbon Grey yang khusus untuk versi R, dengan pencahayaan. Sebuah SUV keluarga dengan prestasi, apa pandangan anda?

     
     
  • Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

    Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

    Nissan telah mendedahkan SUV ladder frame baharu pada pasaran Timur Tengah yang dikenali sebagai Nissan X-Terra. Walau bagimanapun, SUV berkenaan sebenarnya model kemaskini untuk SUV yang diasaskan dari trap pikap Nissan Navara, yang telah pun berada dalam pasaran ASEAN, dikenali sebagai Nissan Terra.

    Jadi boleh dijangka, kemaskini rekaan dan juga kelengkapan yang tampil pada X-Terra ini mungkin akan dibawa ke Terra sebagai versi facelift baharu. Pada bahagian luaran, X-Terra menerima muka baharu menampilkan elemen yang diambil dari Navara facelift dan juga model SUV off-road lebih besar iaitu Nissan Patrol.

    Ia diberikan gril hadapan V-Motion yang lebih besar, lampu hadapan LED dengan kluster berbentuk-C bersama empat projektor yang nampak seperti kiub ais di dalamnya, gril bampar yang nampak terbalik dari versi sebelum ini, kemasan perumah lampu kabus yang kini direka menegak, serta liang udara palsu yang diberikan pada fender hadapan.

    X-Terra juga diberikan perubahan yang menyeluruh di belakang, menampilkan lampu yang direka semula, manakala bar krom yang merentangi pintu tailgate diganti dengan kemasan berbentuk busur panah yang diletakkan lebih tinggi ke atas. Bampar belakang juga diubah menampilkan reflektor cahaya yang lebih panjang, diletakkan pada posisi lebih bawah, bersama kemasan skid plate yang nampak lebih ringkas.

    Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

    SUV ini ditawarkan dalam tujuh warna badan berbeza termasuk warna Coulis Red yang dipaparkan ini, bersama pilihan rim aloi dalam saiz 17- dan 18-inci.

    Bahagian dalaman X-Terra ini juga menampilkan perubahan yang cukup drastik. Ia kini menerima papan pemuka baharu dengan rekaan yang mengambil elemen-elemen model baharu Nissan lain seperti Leaf, Micra dan Almera, menampilkan rekaan yang nampak lebih melintang bersama suis-suis larasan yang nampak lebih moden.

    SUV ini juga menerima sistem infotainmen NissanConnect, menampilkan skrin sesentuh lebih besar bersaiz sembilan-inci, yang turut menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto. Namun pada kluster meter, ia masih diberikan paparan pelbagai info tujuh-inci yang nampak seiras dengan Navara.

    Model ini juga diberikan cermin pandang belakang digital yang menggunakan kamera, bagi memberikan pandangan belakang sepenuhnya walaupun ia dihalang oleh objek besar yang diletakkan pada kabin belakang.

    Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

    Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, port USB-C, sistem pendingin hawa untuk setiap baris tempat duduk termasuk sistem dua zon di hadapan, dan juga pilihan sistem bunyi dari Bose.

    Konfigurasi tempat duduk X-Terra ini masih sama dengan Terra, menampilkan tiga baris tempat duduk dengan kerusi Zero Gravity pada baris pertama dan kedua. Ia juga diberikan ciri opsyen monitor 11-inci hubungan HDMI yang boleh dilipat, dan cermin akustik untuk bahagian hadapan serta tingkap sisi.

    Tidak seperti Terra pada pasaran lain, X-Terra di Timur Tengah ini tidak ditawarkan dengan enjin turbodiesel, tetapi dijana oleh enjin petrol tanpa turbo QR25DE 2.5 liter empat silinder. Ia menghasilkan kuasa 165 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 241 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan, dan pelanggan boleh memilihnya dalam versi pacuan roda belakang atau pacuan semua roda. Nissan mendakwa padanan ini memberikan pengunaan bahan api 11.4 km untuk setiap liter.

    Boleh dijangka, pasaran lain masih termasuk ASEAN akan terus dijana oleh enjin diesl baharu YS23DDT 2.3 liter yang menampilkan dua pengecas turbo, menghasilkan 190 PS dan tork maksima 450 Nm – enjin ini sudah pun dipadankan pada Terra pasaran Thailand.

    Nissan X-Terra ini turut ditawarkan dengan sistem keselamatan Intelligent Mobility, terdiri dari brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, dan juga sistem kamera 360 darjah bersama Pengesan Objek Bergerak (MOD).

    Model yang dikemaskini ini dijual pada pasaran Timur Tengah bermula bulan hadapan, dengan harga bermula US$27,200 (RM111,100) tidak termasuk cukai jualan.

     
     
  • Ducati Diavel 1260 Lamborghini – terhad 630 unit

    Ducati Diavel 1260 Lamborghini – terhad 630 unit

    Dua pengeluar kenderaan prestasi dari Itali, iaitu Ducati dan Lamborghini telah bekerjasama untuk menghasilkan sebuah motosikal keluaran terhad, Diavel 1260 Lamborghini. Motosikal cruiser ini cuma akan dihasilkan sebanyak 630 unit dan menggunakan perincian rekaan inspirasi daripada Lamborghini Sian FKP 37.

    Perincian pertama yang boleh dilihat terus adalah penggunaan warna Gea Green, serta rekaan rim berwarna LEectrum Gold yang sama antara dua kenderaan prestasi ini. Nombor ’63’ dan jumlah pengeluaran 630 unit itu diambil sempena tahun Lamborghini ditubuhkan, iaitu tahun 1963.

    Banyak lagi perincian lain daripada Sian diterapkan pada Diavel ini, sebagai contoh, elemen heksagon dan motif ‘Y’ dapat dilihat pada tempat duduk dan beberapa bahagian lain, sementara ekzos serta panel-panel badan juga menggunakan inspirasi daripada supercar tersebut.

    Menambahkan lagi eksklusiviti motosikal ini, banyak panel dibuat daripada gentian karbon dan lencana nombor keluaran dilekatkan pada kerangkanya. Anda juga boleh melihat model ini mempunyai logo Lamborghini, dan selain pelekat, grafik pada panel meter digital juga diubah untuk memaparkan nama khasnya.

    Bahagian teknikal motosikal ini tidak diubah dan pemilik juga diberikan dengan helmet keluaran khas yang menggunakan tema warna sama seperti dua kenderaan prestasi ini.

     
     
  • Ford Ranger Wildtrak 2021 dalam imej lebih rugged

    Ford Ranger Wildtrak 2021 dalam imej lebih <em>rugged</em>

    Modifikasi kenderaan, atau paling kurang kemaskini aksesorinya, merupakan perkara biasa bagi ramai orang. Dan, oleh kerana populariti untuk menjadikan setiap satunya unik oleh pemilik, banyak juga pengeluar mula menawarkan versi “rasmi” untuk itu. Ini termasuklah di Australia, dengan versi Ford Ranger Wildtrak X terbaru.

    Ini sebenarnya merupakan penawaran ketiga bagi edisi khas berkenaan. Versi terbaru ini menggunakan Wildtrak 2021 – pertama kali dilihat di Thailand awal bulan ini – sebagai asasnya, mengenakan kemasan oran Sabre pada bahagian gril dan sports bar diiringi kemasan hitam yang menggantikan kemasan kelabu.

    Selain daripada ini, Wildtrak X juga dipasangkan beberapa aksesori yang menjadikan penampilannya lebih rugged. Paling ketara ialah nudge bar hitam tulen dari Ford sendiri, lengkap dengan pelindungan bahagian bawah bampar serta light bar 20.5-inci Lumen LED. Pemijak sisi gelap juga tersedia, serta lengkung tayar yang kini disudahi dengan warna hitam berkilat untuk melengkapi imej keseluruhannya.

    Untuk mengimbangi bahagian lengkung roda yang lebih lebar ini, Wildtrak X menggunakan rim 18-inci lapan jejari dalam warna hitam, dengan offset 35 mm. Di dalam, kerusi dengan jalur Sabre menghiasinya. Penutup ruang karga belakang pula memang sudah ditawarkan standard untuk pasaran Australia sebelum ini lagi.

    Tiada sebarang perubahan mekanikal yang dilakukan. Wildtrak X kekal dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas berkembar empat-silinder diesel, dengan janaan 213 PS dan 500 Nm tork ke semua roda melalui kotak gear automatik 10-kelajuan. Khas untuk pasaran Australia juga ada enjin lama Puma 3.2 liter turbo lima-silinder, yang menghasilkan 200 PS dan 470 Nm dengan gandingan transmisi automatik enam-kelajuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025