Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Scoopy 2021 tiba di Indonesia – peningkatan menyeluruh termasuk enjin, rangka dan kelengkapan

    Honda Scoopy 2021 tiba di Indonesia – peningkatan menyeluruh termasuk enjin, rangka dan kelengkapan

    Honda Scoopy tidak dijual di Malaysia tetapi di beberapa negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, model ini telah melalui beberapa generasi. Kini, muncul model generasi kelima yang yang melibatkan peningkatan menyeluruh termasuk rekaan, enjin, rangka serta kelengkapannya.

    Bermula pada rangka, Scoopy 2021 sekarang menggunakan rangka baru eSAF (enhanced Smart Architecture Frame) yang dapat menjadikannya lebih ringan, lincah dan mudah dikawal. Berat keseluruhan skuter ini adalah 95 kg dan ia didatangkan dengan tangki bahan api 4.2 liter (lebih besar berbanding sebelumnya).

    Semua panel badan skuter ini adalah baru, tetapi ia masih mengekalkan identitinya, dengan rekaan yang beralun serta lampu bulat yang besar. Kini, lampu itu menggunakan unit LED projector dan ia ditawarkan dalam pilihan lapan warna yang elegan dan ranggi.

    Untuk enjin, Scoopy 2021 dipertingkat dengan unit eSP (enhanced Smart Power) 110 cc SOHC suntikan bahan api PGM-FI yang mampu menghasilkan kuasa 9 PS pada 7,500 rpm dan 9.3 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini juga dipasang dengan sistem Idling Stop System (ISS) dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59 km/l.

    Kelengkapan lain yang hadir pada Scoopy 2021 adalah termasuk pengecas USB di dalam kotak konsol, panel meter digital, rim 12 inci dengan tayar 100/90 dan 110 /90, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang, satu penyerap hentak di belakang, ruang simpanan 15.4 liter di bawah tempat duduk dan sistem kunci pintar untuk varian paling tinggi.

     
     
  • Kia Carnival Hi Limousine dilancarkan di Korea – harga bermula RM225k, bumbung tinggi lebih selesa

    Kia Carnival Hi Limousine dilancarkan di Korea – harga bermula RM225k, bumbung tinggi lebih selesa

    Model generasi keempat MPV bersaiz besar Kia Grand Carnival sudah pun diperkenalkan di Korea pada Ogos lalu, dan kini ia hadir dengan satu lagi versi dengan bumbung lebih tinggi dikenali sebagai Carnival Hi Limousine.

    Anda mungkin menganggap ‘Jendul’ pada bumbung MPV ini mungkin adalah roof box untuk ruang kargo tambahan kan? Tapi yang sebenarnya ia adalah bumbung sebenar MPV ini yang lebih tinggi 291 mm dari model standard, memberikan ruang kepala yang lebih luas dan membuatkan kabin belakangnya seakan sebuah bilik bergerak.

    Tidak seperti model standard yang diberikan tiga pilihan konfigurasi tempat duduk termasuk versi 11-penumpang, model Hi Limosine yang lebih mementingkan keselesaan berbanding kapasiti penumpang maksima ini hanya menawarkan dua konfigurasi iaitu tujuh- dan sembilan-tempat duduk.

    Kia Carnival Hi Limousine dilancarkan di Korea – harga bermula RM225k, bumbung tinggi lebih selesa

    Model tujuh-tempat duduk adalah pilihan yang paling mewah membolehkan penumpang menikmati kabin belakang seakan ruang lounge, menampilkan tempat duduk kapten lengkap dengan perehat kaki pada baris kedua, bersama tempat duduk jenis bench pada baris ketiga.

    Bagi versi sembilan-tempat duduk pula, ia disusun dalam empat baris dalam konfigurasi 2-2-2-3. Walau bagaimanapun, kelengkapan untuk kedua-dua versi ini adalah sama, dibekalkan dengan sistem infotainmen UVO bersama skrin sesentuh 12.3-inci, lampu suasana, upholsteri kulit Nappa, pendingin hawa automatik dengan corong bumbung untuk kabin belakang dan juga penyegar udara.

    Kia Carnival Hi Limousine dilancarkan di Korea – harga bermula RM225k, bumbung tinggi lebih selesa

    Pada bahagian luaran, selain bumbung yang lebih tinggi, model istimewa ini diberikan perincian berbeza seperti pelindung bampar hadapan, skid plate unik untuk bampar hadapan dan belakang, side step pada setiap sisi, lampu brek ketiga yang diletakkan pada panel tambahan bumbung dan juga emblem ‘Hi Limousine’ pada pintu tailgate.

    Dengan perincian unik ini membuatkan dimensi Hi Limousine turut berubah dengan panjang 5,200 mm (+45 mm), tinggi 2,045 mm (+305). Namun lebarnya dan jarak rodanya masih tidak berubah dengan masing-masing 1,995 mm dan 3,090 mm.

    Kedua-dua versi tempat duduk untuk Carnival Hi Limosine ini juga menerima kelengkapan standard yang sama untuk bahagian luaran termasuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang LED serta set rim berdiameter 19-inci.

    Kia Carnival Hi Limousine dilancarkan di Korea – harga bermula RM225k, bumbung tinggi lebih selesa

    Untuk ciri keselamatan, model ini menerima tujuh-beg udara, sistem kestabilan elektronik, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, brek kecemasan automatik (AEB), bantuan kekal lorong, pengelak pelanggaran lintasan trafik belakang, amaran perhatian pemandu, bantuan lampu tinggi dan juga cruise control aktif.

    Unit penjana masih tidak berubah di mana model Hi Limousine ini masih dikuasakan enjin petrol Smartstream 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus (GDI) menghasilkan 294 PS (290 hp) dan tork maksima 355 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Di Korea, Kia Carnival Hi Limousine untuk versi sembilan-tempat duduk dijual pada harga bermula 60.66 juta won (RM224,797), manakala versi tujuh tempat duduk yang lebih selesa pula dijual pada harga 62.71 juta won (RM232,394).

     
     
  • Porsche tunjuk kajian rekaan bagi model 919 Street, Vision Spyder dan Renndienst 6-tempat duduk

    Porsche tunjuk kajian rekaan bagi model 919 Street, Vision Spyder dan Renndienst 6-tempat duduk

    Bagi setiap satu rekaan yang digunakan untuk produksi, ia pastinya terdiri daripada banyak lagi rekaan yang terhasil di studio yang kesudahannya tidak pernah ditunjuk kepada umum. Tapi, lain ceritanya dengan Porsche; jenama itu kini mendedahkan beberapa rekaan kajian rekaan yang pernah dihasilkan untuk kali pertama.

    Syarikat itu menunjukkan 15 kenderaan yang terhasil dalam tempoh 14 tahun, dari 2005 hingga tahun lalu. Semua produk yang tidak pernah dikeluarkan ini diperincikan dalam sebuah buku baru, Porsche Unseen, dan turut akan dipamerkan di Porsche Museum tahun depan. Tiga rekaan awal yang mula ditunjukkan adalah dari studio Weissach.

    Porsche tunjuk kajian rekaan bagi model 919 Street, Vision Spyder dan Renndienst 6-tempat duduk

    Paling unik ialah 919 Street, sebuah percubaan untuk memperkemaskan lagi teknologi daripada jentera 919 Hybrid untuk jalanan. Model tanah liat dengan skala 1:1 ini, yang dibuat pada tahun 2017, mempunyai dimensi yang sama seperti prototaip yang dibayangkan akan menggunakan kerangka monocoque karbon dan sistem janaan 900 PS yang pernah membantu pasukan memenangi Le Mans sebanyak tiga kali sebelum ini.

    Ia sebuah kereta yang sangat menarik, kerana ia menunjukkan Porsche juga sekurang-kurangnya turut pernah mempertimbangkan sebuah hypercar tercanggih, dengan semangat yang sama seperti Aston Martin Valkyrie dan Mercedes-AMG One. Ia juga memberi petunjuk kepada dunia lain kerana syarikat itu masih ikut serta di dalam perlumbaan endurans paling sengit, memandangkan World Endurance Championship (WEC) akan beralih kepada formula hypercar berasaskan jentera jalanan tahun depan.

    Porsche tunjuk kajian rekaan bagi model 919 Street, Vision Spyder dan Renndienst 6-tempat duduk

    Kereta seterusnya ialah Vision Spyder 2019, sebuah roadster dengan enjin di tengah yang diilhamkan oleh RS Spyder 550-1,500 tahun 1954. Perincian klasik seperti garis merah pada badan, logo Mobil, sisip belakang dan penutup enjin telah dipertemukan dengan sentuhan rekaan baru misalnya pada lampu utama bersegi, lampu belakang kelebaran penuh dan penggunaan rollbar. Kereta yang dilihat ini berskala 1:1 model sebenar.

    Rekaan yang paling “aneh” pula mungkin Renndienst, model sebenar skala 1:1 yang dibina pada 2018. Namanya jika diterjemahkan bermaksud “racing service” dan kenderaan berkotak ini diilhamkan oleh Volkswagen Transporter yang digunakan oleh pasukan Porsche. Cadangan awalnya termasuklah sistem janaan kuasa elektrik sepenuhnya dan mempunyai hingga enam tempat duduk. Menarik? Macam mana pula agaknya rekaan-rekaan lain yang belum pernah ditunjukkan?

     
     
  • Kia Sonet dilancarkan di Indonesia – enjin 1.5 liter, sistem bunyi Bose; bakal dibawa masuk ke Malaysia?

    Kia Sonet dilancarkan di Indonesia – enjin 1.5 liter, sistem bunyi Bose; bakal dibawa masuk ke Malaysia?

    Kia Sonet telah pun dilancarkan secara rasmi di Indonesia. Hadir dengan enam varian, SUV segmen-A ini ditawarkan dengan harga bermula 193 juta Rupiah (RM57k) hingga 289 juta Rupiah (RM85k).

    Kesemua enam varian berkenaan menerima enjin yang sama, 1.5 liter Smartstream empat-silinder NA petrol, dengan kuasa 115 PS dan tork 144 Nm. Pembeli juga boleh memilih sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau CVT ciptaan Kia sendiri (lebih dikenali sebagai intelligent variable transmission, atau IVT) dengan nisbah maya lapan-kelajuan. Ia turut diberikan Traction Mode dengan pilihan mod pemanduan seperti Snow, Mud dan Sand, selain Normal, Eco dan Sport.

    Apa yang membuatkan Sonet nampak agak menyerlah adalah kerana kelengkapan yang diberikan mengikut tahap. Bergantung pada varian, Sonet dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang LED, gril ‘tiger nose’ yang lebih besar dengan kemasan krom di sekelilingnya dan rona hitam di dalamnya, rel bumbung, bumbung suria elektronik, lampu belakang kombinasi LED dan roda lima-jejari 16-inci.

    Kia Sonet dilancarkan di Indonesia – enjin 1.5 liter, sistem bunyi Bose; bakal dibawa masuk ke Malaysia?

    Lapisan plastik pada badannya antara ciri standard untuk semua varian, namun satin skid plate hanya untuk varian tertinggi sahaja. Enam warna luaran ditawarkan – Intense Red, Aurora Black Pearl, Beige Gold, Glacier White Pearl, Iron Grey, dan Intelligency Blue.

    Di dalamnya, Sonet ibarat Sorento mini, menampilkan corong udara menegak, panel paparan instrumen dan infotainmen freestanding lapan-inci. Sistem infotainmen turut ditampilkan dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan ciri tambahan termasuk roda stereng leper di bawah dan tempat duduk dengan pengaliran udara.

    Kia berkata, tempat duduk dengan pengaliran udara adalah yang pertama dalam kelasnya. Ia juga diberikan sistem bunyi Bose dengan tujuh-pembesar syara, pengecas telefon pintar tanpa wayar 10 watt dengan pad penyejukan dan pencahayaan ambien LED yang senada dengan muzik (LED Sound Mood Lights). Turut diberikan USB port untuk penumpang belakang. Namun tempat duduk belakang tidak boleh dibaringkan dan ruang but berkapasiti 392 liter sahaja.

    Bagi aspek keselamatan, Sonet diberikan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) secara standard. Ia turut ditampilkan dengan ABS dengan EBD, sistem kawalan cengkaman, bantuan brek, kamera undur dengan garisan panduan, dan kawalan kelajuan pasif. Asalnya, Sonet direka untuk pasaran India, tetapi seperti Seltos, ia bakal menjadi model global. Adakah ia akan tiba di pasaran Malaysia? Nantikan pengumuman selanjutnya dari Kia.

    GALERI: Kia Sonet 2020 di Indonesia

    GALERI: Kia Sonet GT-Line 2020

     
     
  • Teaser Honda Civic Prototaip generasi ke-11 disiar, bakal buat kemunculan sulung global pada 17 Nov

    Rasanya Honda Civic generasi ke-10 masih lagi baru dalam pasaran, dan momentum yang dibawa oleh ‘Civic Ketam’ tersebut masih lagi kuat. Namun hakikatnya model ini sudah pun mula diperkenalkan pada tahun 2015 (masuk ke pasaran Malaysia pada 2016), dan kini berada pada tahun kelima produksinya.

    Seperti model-model dari jenama Jepun lain yang lazimnya hanya berada enam tahun dalam pasaran, tahun hadapan sepatutnya Civic akan diperkenalkan dalam versi generasi baharu. Nampaknya Honda berada betul-betul dalam landasannya, dan teaser untuk model prototaip tersebut sudah pun disiarkan, dengan pengumuman bahawa pendedahan sulung globalnya akan dibuat pada 17 Nov 2020 nanti!

    Walaupun ia dinamakan ‘prototaip’ dengan perincian yang nampak seperti sebuah model produksi akhir seperti pada rim, lampu-lampu, pembuka pintu, cermin sisi dan sebagainya, boleh diagak versi produksi sebenarnya tidak jauh dari versi ini, sama seperti model prototaip akhir yang didedahkan Honda akhir-akhir ini, contohnya pada Honda Insight Prototype.

    <em>Teaser</em> Honda Civic Prototaip generasi ke-11 disiar, bakal buat kemunculan sulung global pada 17 Nov

    Bulan lalu, gambar paten untuk model generasi baharu ini sebenarnya telah pun bocor, dan dapat dilihat ia akan dihasilkan dalam dua versi badan iaitu sedan dan hatchback. Dalam video teaser selama 15-saat ini dapat disahkan bahawa ia akan diperkenalkan dalam versi sedan terlebih dahulu.

    Juga boleh dilihat, elemen-elemen utama seperti bayang badan dengan tiang-C seakan Accord, gril Solid Wing Honda yang lebih nipis bersama lampu lebih tajam, serta lampu belakang lebih tirus dan tiada lagi imej ‘sepit ketam’ yang sama seperti lukisan paten berkenaan tampil pada model prototaip ini.

    Tiada sebarang bayangan bahagian dalaman disiarkan pada video teaser berkenaan. Namun jika berdasarkan lukisan paten yang bocor sebelum ini, Civic akan menerima papan pemuka rekaan baru yang sangat berbeza serta skrin sistem infotainmen kini terletak di bahagian atas sekali serta diasingkan daripada pengawal pendingin hawa.

    Di antara keduanya terdapat corong pendingin hawa yang nipis, dan ia diletakkan dalam satu garis lurus yang bersambung sehingga kepada corong pendingin hawa di bucu. Perubahan lain yang boleh diperhatikan adalah butang penghidup enjin kini diletakkan berhampiran konsol tengah dan bentuk perumah panel instrumen dihasilkan lebih ringkas.

    Bentuk roda stereng juga diubah sepenuhnya dan kini lebih mirip seperti City terbaru, dengan bentuk heksagon di tengah dan mempunyai empat jejari. Butang yang berada pada stereng ini nampak seperti sama sahaja dengan yang digunakan pada City, tetapi di bahagian kiri terdapat satu butang skrol yang masih tidak diketahui fungsinya.

    Nak tahu bagaimana rupa sebenar Honda Civic generasi ke-11 ini? Jangan lupa 17 November nanti di mana kami akan menyediakan laporan secepat mungkin sebaik sahaja perinciannya didedahkan secara rasmi.

    GALERI: Gambar paten Honda Civic generasi ke-11 yang bocor

     
     
  • Mercedes-Benz Service Malaysia lantik Anamika Talwar sebagai Pengarah Urusan baharu

    Mercedes-Benz Service Malaysia lantik Anamika Talwar sebagai Pengarah Urusan baharu

    Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn Bhd (MBSM) telah melantik Anamika Talwar sebagai Pengarah Urusan baharu, berkuatkuasa 1 November lalu. Anamika menggantikan pengarah urusan terdahulu, Mike Ponnaz, yang akan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Mercedes-Benz Financial Services Hong Kong.

    Mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam membangunkan perniagaan baharu serta memacu pertumbuhan inovasi, sebelum ini Anamika turut pernah memegang jawatan sebagai Ketua Strategi, Insurans dan Pembangunan Perniagaan untuk rantau Amerika dan juga berperanan sebagai Ketua Jualan dan Pemasaran serta Transformasi Digital untuk Afrika dan rantau Asia Pasifik.

    “Mercedes-Benz Services Malaysia adalah pemacu dalam industri mobiliti dan perkhidmatan kewangan, dan saya sangat teruja mendapat peluang ini di Malaysia untuk meneruskan momentum perniagaan yang telah diaturkan oleh Pengarah Urusan Mike Ponnaz.

    “Pelanggan kami merupakan fokus utama kami dalam strategi yang diaturkan dan kami akan terus memberikan pilihan pembiayaan tambah nilai dan pilihan insurans yang sesuai dengan keperluan mereka,” ujar Anamika, pemegang ijazah dalam kejuruteraan dari Indian Institute of Technology, Bombay dan memiliki MBA dari Carnegie Melon University.

    Sebelum menyertai Mercedes-Benz Services Malaysia, Anamika memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Mercedes-Benz Financial Services Singapore selama tiga tahun. Malah beliau juga pernah menerima pengiktirafan sebagai “Digital Leader of the Year” oleh Women in IT Awards Asia pada tahun 2019.

     
     
  • Laman Proton Certified Pre-Owned dilancar – tawar kereta terpakai berkualiti tinggi, mudahkan tukar beli

    Laman Proton Certified Pre-Owned dilancar – tawar kereta terpakai berkualiti tinggi, mudahkan tukar beli

    Proton hari ini melancarkan laman web rasmi Proton Certified Pre-Owned (PCPO) yang bukan sahaja menawarkan pelanggan pilihan kereta-kereta terpakai berkualiti tinggi, malah turut akan memudahkan pelanggan Proton sedia ada membuat proses tukar beli bagi mendapatkan kereta baharu Proton.

    Menerusi laman web ini, pelanggan yang berminat boleh mendapat maklumat tentang stok kereta terpakai dari 36 pengedar sahnya di seluruh negara. Menurut Proton, dengan adanya PCPO ini, mereka juga dapat menstabilkan dan meningkatkan nilai kenderaan Proton secara beransur-ansur.

    Bagi memastikan kesemua stok kereta terpakai ini adalah dalam keadaan yang berkualiti, Proton hanya mengambil kereta-kereta berumur kurang daripada tujuh tahun dan mempunyai jarak perbatuan tidak melebihi 130,000km semasa di tukar beli. Ia juga mesti bebas daripada kerosakan disebabkan oleh banjir atau kemalangan besar yang mungkin mempengaruhi kekuatan struktur kereta.

    Laman Proton Certified Pre-Owned dilancar – tawar kereta terpakai berkualiti tinggi, mudahkan tukar beli

    Proton turut menyatakan bahawa setiap pengedar perlu memenuhi syarat, dari segi kewangan dan praktikal, serta bersetuju mengambil langkah yang diperlukan menyediakan stok tukar beli mereka sebelum dijual. Contohnya, setiap kereta perlu menjalani pemeriksaan menyeluruh 201-mata serta diberi bateri, minyak enjin dan penapis minyak yang baru.

    Menurut Proton, pemprosesan kereta tukar beli pelanggan secara cekap adalah kunci kepada pengekalan kadar jualan kereta baru bagi mereka. Situasi ini amat ketara apabila jumlah jualan syarikat naik secara mendadak pada tahun 2019. Oleh itu, bahagian Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) telah ditubuhkan dan diberi tugas membina rangkaian pengedar yang berkebolehan menjual kereta terpakai bersama kereta baru. Bermula dengan hanya lapan pengedar, program PCPO kini mempunyai 36 pengedar.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar En.Roslan Abdullah, semua kereta PCPO diberi jaminan tambahan selama setahun bagi bahagian enjin dan kotak gear serta khidmat servis percuma yang boleh ditebus sehingga enam bulan selepas tarikh pendaftaran.

    PCPO bukan hanya menawarkan kereta-kereta terpakai dari jenama Proton, malah stok dari jenama lain juga diterima. Walau bagaimanapun bagi kereta-kereta bukan Proton berkenaan, jaminan tambahan tidak akan diberikan tetapi ia akan menerima pemeriksaan menyeluruh dan dibaik pulih sebelum ditawarkan kepada pelanggan.

    “Selain daripada membantu jualan kereta baru, tujuan bahagian UCM Proton adalah untuk menstabilkan dan meningkatkan nilai kenderaan Proton secara beransur-ansur. Kami berharap dengan menawarkan kereta terpakai berkualiti tinggi, harga kereta terpakai Proton juga akan meningkat secara keseluruhan dan ini akan memberi kesan kepada pemilik dari segi mendapat kadar pinjaman kewangan yang kompetitif dan nilai tukar beli yang tinggi bila mereka ingin membeli kereta yang baru,” tambah Roslan.

    Jadi untuk mereka yang berminat melihat stok kereta terpakai dari PCPO ini, ada boleh layari laman web berkenaan pada PAUTAN INI.

     
     
  • Ducati XDiavel Dark dan Black Star 2021 – serba gelap

    Ducati XDiavel Dark dan Black Star 2021 – serba gelap

    Model asas Ducati XDiavel 2021 kini disertai oleh dua versi yang baru diperkenalkan iaitu XDiavel Dark dan juga XDiavel Black Star. Dua versi cruiser yang serba gelap ini juga mendapat enjin yang melepasi tahap Euro 5.

    XDiavel Dark hadir dengan penampilan yang lebih ringkas dan minimalis berbanding XDiavel biasa. Kebanyakan bahagiannya menggunakan warna matte black termasuklah rim. Kerangkanya diwarnakan Carbon Black sementara plet tepi dan pelindung radiator menggunakan besi anodised, yang juga berwarna hitam.

    Sekiranya perlu, pemilik boleh mendapatkan tempat duduk khas untuk penumpang, berserta penyandar belakang, yang dijual secara berasingan bersama pelbagai lagi aksesori dalam katalog Ducati Performance. Bagi memudahkan pilihan, Ducati juga menawarkan pakej Sport, Touring dan Urban untuk dua versi XDiavel baru ini.

    Ducati XDiavel Dark dan Black Star 2021 – serba gelap

    Untuk XDiavel Black Star pula, ia banyak mengambil inspirasi daripada rekaan kereta sports, dengan menggunakan gabungan warna kelabu, hitam matte serta kemasan merah, termasuk pada penutup head enjin. Rim jenis lightweight berwarna hitam kilat diberikan secara standard.

    Penampilan XDiavel Black Star juga dijadikan lebih menarik dengan tempat duduk yang dibalut bahan khas, plet tepi forged anodised serta pelindung tali sawat aluminium berwarna hitam. Ia juga didatangkan terus dengan modul Bluetooth yang membolehkan sistem infotainmen disambung kepada telefon pintar untuk fungsi muzik, panggilan serta mesej.

    Enjin Testastretta DVT V-twin 1262 pada model 2021 ini mampu menghasilkan kuasa 160 hp pada 9,500 rpm dan 130 Nm tork pada 5,000 rpm, bersamaan peningkatan kuasa 8 hp dan 2 Nm tork berbanding model sebelumnya. Antara yang membantu peningkatan kuasa ini adalah pemetaan semula enjin serta rekaan ekzos yang diambil daripada Diavel 1260.

     
     
  • Proton X50 dengan aksesori Urban Package – RM3.5k untuk tailgate berkuasa, pembaca tol dan lain-lain

    Proton X50 dengan aksesori Urban Package – RM3.5k untuk <em>tailgate</em> berkuasa, pembaca tol dan lain-lain

    Sejurus selepas Proton X50 dilancarkan tempoh hari, Proton turut memperkenalkan aksesori asli untuk SUV segmen-B tersebut yang boleh dibeli dalam dua pakej iaitu Urban dan Utility. Kedua-dua pakej ini menampilkan sistem pintu tailgate berkuasa, dan ia akan dipasang oleh pengedar bertauliah Proton.

    Set gambar yang Proton sediakan tempoh hari mungkin tidak jelas, dan hari ini kami bawakan galeri Proton X50 dalam varian Flagship yang telah pun diberikan pakej Urban. Selain dari sistem pintu tailgate berkuasa yang kami sebutkan tadi, pakej Urban ini turut hadir dengan pembaca SmartTag bina-dalam, pelindung matahari magnetik dan karpet kaki jenis coil, kesemuanya dijual pada harga RM3,500.

    Untuk pintu tailgate berkuasa, tiada sistem bukaan tanpa sentuhan dengan penderia untuk kaki pada bampar, sebaliknya ia hanya boleh dibuka pada jarak jauh menggunakan kunci kawalan jauh dan juga butang pada pintu tersebut. Manakala untuk pembaca SmartTag pula, unit utama untuk slot kad Touch ‘n Go dan skrin informasi diletakkan di dalam konsol tengah, sementara penderianya pula dilekatkan pada cermin hadapan, berhampiran cermin pandang belakang.

    Untuk karpet kaki jenis coil pula, ia datang dalam tiga kepingan iaitu setiap satu untuk ruang kaki hadapan, manakala kabin belakang diberikan satu karpet besar untuk keseluruhan ruang kaki kiri, kanan dan tengah. Manakala untuk pelindung matahari, ia diberikan pada setiap cermin tingkap sisi, dan ia boleh ditanggalkan dan dipasang dengan mudah menggunakan magnet.

    Satu lagi pakej iaitu pakej Utility (tidak dipaparkan dalam gambar) terdiri dari sistem pintu tailgate berkuasa, pelapik kaki PVC, tray untuk ruang but belakang dan juga kemasan scuff plate pada atas bendul pintu. Pakej ini dijual pada harga RM3,300.

    Menurut Proton, pakej-pakej ini adalah ditawarkan secara opsyen untuk pelanggan yang berminat sahaja, dan bukan wajib untuk semua pembeli Proton X50. Proton mengesahkan kepada kami bahawa tidak ada sebarang arahan kepada Penasihat Jualan untuk memaksa pelanggan bagi membeli salah satu dari pakej tersebut.

    Juga buat masa sekarang, kesemua aksesori ini termasuk pintu tailgate belakang berkuasa masih belum ditawarkan secara ala-carte, dan anda perlu memilih antara salah satu pakej untuk mendapatkan fungsi berkenaan.

    Ketika dilancarkan bulan lalu, Proton X50 ditawarkan dalam empat varian berbeza, bermula model paling asas Proton X50 Standard dijual pada harga RM79,200, diikuti varian Executive dijual pada harga RM84,800, model Premium pula berharga RM93,200, manakala versi tertinggi Proton X50 Flagship dijual pada harga RM103,300. Ini adalah harga untuk semenanjung Malaysia, manakala di harga Sabah dan Sarawak semua varian adalah RM2,000 lebih tinggi.

    Proton X50 dengan aksesori Urban Package – RM3.5k untuk <em>tailgate</em> berkuasa, pembaca tol dan lain-lain

    Dari kesemua varian yang ditawarkan, hanya varian tertinggi Flagship dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan 177 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 255 Nm pada takat 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Untuk varian lain, ia masih diberikan enjin 1.5 liter Turbo tetapi dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) menjana 150 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 226 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm.

    Walau bagaimanapun, kesemua jenis enjin hanya dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan 7-DCT yang dibangunkan bersama Geely dan Volvo, memacu hanya roda hadapan. Gandingan ini membolehkan model Flagship memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

     
     
  • JPJ kutip RM203.88j menerusi JPJeBid sejak Apr 2019

    JPJ kutip RM203.88j menerusi JPJeBid sejak Apr 2019

    Nampak gayanya Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang diperkenalkan bermula April 2019 semakin menampakkan keberkesanannya. Makin ramai yang mempercayai ketelusan sistem bidaan ini.

    Malah sejak diperkenalkan, ia turut membantu menjana hasil buat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sendiri. Buktinya, sejak April 2019, JPJeBid ini telah berjaya mengutip hasil mencecah RM203.88 juta, laporan Berita Harian.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Zamakhshari Hanipah, hasil kutipan itu membabitkan 158 siri nombor pendaftaran kenderaan yang dibuka untuk dibida orang awam dan syarikat.

    “JPJ telah mengutip sebanyak RM61.96 juta mulai April hingga Disember 2019, membabitkan 54 siri nombor pendaftaran kenderaan melalui sistem JPJeBid di seluruh negara.

    JPJ kutip RM203.88j menerusi JPJeBid sejak Apr 2019

    “Manakala bagi tahun ini pula, dari Januari hingga kini, sebanyak RM141.92 juta membabitkan 104 siri telah dikutip, sekali gus menunjukkan bahawa sambutan terhadap sistem bidaan dalam talian bagi mendapatkan nombor pendaftaran unik ini tetap memberangsangkan walaupun dalam tempoh negara dilanda COVID-19,” katanya.

    Mengenai pembukaan 50 lagi kios tambahan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu, Zamakhshari berkata, JPJ menjangkakan orang awam dapat memanfaatkan lagi pertambahan kios yang dijangka bermula Jun tahun hadapan, dalam mengamalkan norma baharu pasca COVID-19.

    “Dalam pembentangan Belanjawan 2021, perkhidmatan dalam talian JPJ akan diperluaskan melalui penambahan kios di 50 lokasi strategik seluruh negara. JPJ kini dalam proses membuat kajian bagi mengenalpasti lokasi serta keperluan di satu-satu tempat sebelum membuka tender seterusnya menjangkakan perkhidmatan kios baharu ini dapat dimulakan pada Jun tahun hadapan,” katanya.

     
     
  • UMW Holdings — Toyota, Perodua dalam landasan betul capai sasaran 2020, 58% pegangan pasaran Okt

    UMW Holdings — Toyota, Perodua dalam landasan betul capai sasaran 2020, 58% pegangan pasaran Okt

    UMW Holdings telah umumkan bahawa sayap automotifnya sedang berada dalam landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 53,000 unit berikutan peningkatan jualan bagi UMW Toyota Motor da Perodua (di mana syarikat ini memiliki 38% kepentingan).

    Dalam satu kenyataan media, perkongsian pasaran sayap automotif syarikat itu dianggaran berada pada 58% bagi Oktober, yang merupakan peningkatan besar daripada 51.4% yang dicapai pada 2019. Perincian lebih lanjut, UMW Toyota menjual sebanyak 6,468 kenderaan pada Oktober 2020, naik 15% daripada 5,605 unit bagi bulan sebelumnya. Model paling popular ialah Vios, Yaris dan Hilux.

    Keseluruhannya, UMWT memaklumkan syarikat itu telah menjual sebanyak 43,807 unit dalam masa 10 bulan pertama 2020. Syarikat itu juga sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan model Yaris facelift dalam masa terdekat. Yaris dilancarkan sebagai model CKD pada April 2019, dan sejak itu menjadi model hatchback bukan nasional paling laris.

    UMW Holdings — Toyota, Perodua dalam landasan betul capai sasaran 2020, 58% pegangan pasaran Okt

    Bagi Perodua, syarikat itu telah menjual 26,852 unit pada Oktober lalu (naik 7.3% berbanding 25,035 unit pada September), sekali gus mencatatkan jualan bulanan paling tinggi sepanjang 27 tahun penubuhannya. UMW Holdings menyifatkan pencapaian ini disumbang oleh pengecualuan cukai jualan yang sedang berlangsung.

    Bagi tempoh 10 bulan pertama 2020, Perodua berjaya menjual sebanyak 171,864 unit kenderaan. Ini merupakan 81.8% daripada jumlah sasaran jualan tahunannya yang ditetapkan pada angka 210,000 unit. Syarikat itu juga menjelaskan bahawa kedua-dua kilang Perodua kini beroperasi pada kapasiti yang hampir maksimum sejak Ogos lalu untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

    Presiden dan CEO Kumpulan UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata; “Kumupulan syarikat ini telah berjaya untuk menunjukkan recovery yang agak baik pada separuh kedua tahun ini, hasil daripada pengecualian cukai jualan oleh kerajaan. Kami yakin momentum permintaan dan jualan akan terus kekal sehingga hujung tahun, dan membolehkan kami untuk mencapai sasaran jualan bagi tahun ini.”

     
     
  • Yamaha MT-09 SP 2021 diperkenal di Eropah – dapat cruise control, fork Kayaba dan monoshock Ohlins

    Yamaha MT-09 SP 2021 diperkenal di Eropah – dapat cruise control, fork Kayaba dan monoshock Ohlins

    Selepas MT-09 2021 didedahkan, kini Yamaha memperkenalkan pula versi prestasi MT-09 SP 2021 di Eropah. Beberapa kelengkapan pada motosikal ini mendapat peningkatan, termasuk suspensi, cruise control serta penampilannya.

    Tiada perubahan pada bahagian enjin, dan MT-09 SP ini masih menggunakan unit tiga silinder 889 cc yang berkuasa sama seperti MT-09 SP, iaitu 117.3 hp dan 93 Nm tork. Transmisi adalah unit enam kelajuan, yang menggunakan klac jenis slip & assist, dan dipasang terus dengan quickshifter.

    Satu ciri baru pada MT-09 SP adalah cruise control, di mana ia boleh digunakan pada kelajuan 50 km/j ke atas, dan penunggang boleh meningkatkan kelajuan dengan hanya menekan butang. Sistem elektronik lain adalah sama, termasuk Traction Control, Slide Control, Front Wheel Lift Control dan Brake Control.

    Pada bahagian suspensi, MT-09 SP dipertingkat dengan fork USD Kayaba 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya, sementara di belakang pula ia menggunakan monoshock Ohlins yang selain boleh dilaras sepenuhnya, juga mempunyai tombol pelarasan pra beban untuk menjadikan penggunaannya lebih mudah.

    Perubahan lain adalah pada bahagian kosmetik, bermula dengan cat dua tona khas inspirasi daripada R1M, tempat duduk yang dibentuk semula dan menggunakan jahitan berkembar, lengan ayun brushed aluminium, kerangka Crystal Graphite, pemegang hitam, takung minyak brek dan klac smoked serta sprocket hitam.

     
     
  • Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

    Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

    Bukan lagi rahsia bahawa Mazda sedang membangunkan enjin dengan kapasiti besar, enam-silinder dan bakal digunakan untuk model pacuan roda belakang – mereka telah mengumumkan perkara ini pada 2019, dan enjin berkenaan dikesan sudah pun dipatenkan.

    Ketika pembentangan prestasi kewangan syarikat baru-baru ini, Mazda sekali lagi menunjukkan perkembangan terhadap unit penjana baharu berkenaan. Kali ini, imej sebenar enjin tersebut telah pun ditunjukkan kepada umum, dan ia diumumkan bakal masuk kepasaran pada tahun 2022.

    Selain dari menunjukkan enjin lengkap dan juga kepala silinder yang dibuka untuk didedahkan, Mazda turut menayangkan enjin empat silinder yang digandingkan dengan kotak gear panjang yang lazimnya untuk kenderaan pacuan belakang, serta diberikan motor elektrik untuk sistem hibrid ditengah-tengah.

    Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

    Namun, hanya sedikit perincian diberikan untuk kesemua enjin, kotak gear dan sistem hibrid yang ditunjukkan tersebut. Tetapi kita boleh jangkakan maklumat-maklumat lebih terperinci akan disiarkan secara beransur-ansur mulai berberapa bulan akan datang.

    Menurut Mazda, untuk enjin enam-silinder berkenaan, ia bukan sahaja untuk kegunaan platform model pacuan belakang, malah turut boleh digandingkan dengan sistem pacuan semua roda. Enjin berkenaan bukan hanya ditawarkan dalam versi petrol biasa sahaja, malah akan hadir dalam versi diesel serta SkyActiv-X, dan boleh digandingkan dengan teknologi elektrifikasi termasuk sistem plug-in hybrid (PHEV) dan juga hibrid ringkas 48-volt.

    Tiada sebarang angka kuasa kuda disebutkan, dan berdasarkan apa yang dibayangkan oleh Mazda tahun lalu, enjin ini akan digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Khabar yang bertiup, gandingan ini bakal digunakan untuk Mazda 6 generasi baharu iaitu versi produksi untuk model konsep Vision Coupe yang didedahkan pada 2017.

    Mazda tunjuk enjin 6-silinder pacuan belakang, 4-silinder dengan sistem hibrid Toyota untuk 2022

    Jika ia benar, ini akan menyaksikan Mazda 6 yang sekarang ini menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan akan beralih kepada enjin hadapan pacuan belakang, dan akan bersaing terus dengan sedan premium dari Jerman seperti Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3 Series.

    Tak mustahil juga jika Mazda mahu menghasilkan model kesinambungan untuk sedan mewah pacuan roda belakang mereka sebelum ini iaitu Mazda 929. Platform baharu berkenaan bukan sahaja boleh dijelmakan sebagai sebuah sedan, malah mungkin juga Mazda akan menghasilkan SUV lebih premium menggunakan asas yang sama.

    Untuk enjin empat silinder dengan motor elektrik hibrid berkenaan, ia mungkin hasil kerjasama Mazda dan Toyota yang telah diumumkan sebelum ini. Menurut Mazda, mereka sedang merancang untuk membangunkan SUV baharu yang menggunakan teknologi Toyota Hybrid System (THS), dan ia akan dihasilkan menerusi fasiliti baharu mereka di Amerika Syarikat.

    Fasiliti yang dimaksudkan adalah kilang yang dioperasikan oleh Mazda Toyota Manufacturing USA (MTMUS), iaitu syarikat yang diwujudkan pada 2018. Kilang produksi kenderaan berkenaan terletak di Hunstville, Alabama dan akan mula beroperasi bermula pada tahun 2021.

    Hasil dari kerjasama Mazda dan Toyota ini juga akan menyaksikan Mazda akan menghasilkan model pasaran Eropah yang dihasilkan dari Toyota Yaris, serta kedua-dua syarikat ini merancang berkongsi penghasilan keseluruhan emisi CO2 di benua tersebut. Teknologi THS turut akan digunakan Mazda di China, namun perinciannya belum diumumkan.

    Selain dari enjin enam-silinder dan juga empat silinder dengan sistem elektrifikasi berkenaan, Mazda sekali lagi mengesahkan “pelbagai teknologi elektrifikasi” yang akan dipadankan pada enjin rotary.

    Sebelum ini Mazda telah mengumumkan bahawa model elektrik sepenuhnya pertama mereka iaitu MX-30 turut akan diberikan pilihan dalam versi hibrid range extender dengan menggunakan enjin rotary sebagai pengecas penambah jarak. Mazda MX-30 turut diumumkan akan menerima versi yang diberikan enjin petrol dengan padanan teknologi hibrid ringkas.

     
     
  • BMW iX didedahkan — model SUV elektrik iNEXT versi produksi, 500 PS dan 600 km jarak, dijual hujung 2021

    BMW iX didedahkan — model SUV elektrik iNEXT versi produksi, 500 PS dan 600 km jarak, dijual hujung 2021

    Ini dia, SUV elektrik BMW iNEXT yang diberikan nama baru, BMW iX telah pun didedahkan secara rasmi. Dilihat sebagai “era baru mobiliti”, model ini menjadi yang pertama daripada kenderaan generasi baru BMW yang akan memberi definisi baru kepada jenama itu.

    BMW iX ini menggunakan binaan modular dan scalable baru, berasingan daripada platform gentian karbon LifeDrive yang pernah digunakan pada model i3 dan i8 ketika ini. Ia juga dijana oleh teknologi sistem janaan BMW eDrive generasi kelima yang memberikan lebih prestasi dan jarak.

    Model ini merupakan versi produksi bagi BMW iNEXT konsep. Walaupun dengan rekaan yang lebih realistik, persamaan antara keduanya masih boleh dilihat. Ia menerapkan rekaan yang lebih ringkas, dengan garis-garis yang jelas serta penyudah permukaan baru bagi jenama itu.

    BMW iX didedahkan — model SUV elektrik iNEXT versi produksi, 500 PS dan 600 km jarak, dijual hujung 2021

    Dari segi dimensi, panjang dan lebar iX boleh dibandingkan dengan X5, sementara tingginya pula seperti X6, dengan jarak antara roda 3,000 mm yang sama dengan X7. Tiang A kereta ini juga telah dialihkan ke depan, dan memberikan lebih ruang kepada penumpang.

    Rekaan luar dipengaruhi oleh “kidney grille” berkembar menegaknya. Lampu utama LED rekaan rata datang dengan jalur LED untuk nyalaan siang, dengan teknologi Laserlight ditawarkan sebagai pilihan. Lengkung tayar yang agak menonjol padanya pula boleh memuatkan rim bersaiz daripada 20-inci hingga 22-inci. Lampu belakang pula dalam bentuk L (semua rekaan lampu ini adalah yang paling kurus pernah digunakan pada kenderaan produksi BMW).

    SUV ini lengkap dengan Shy Tech; misalnya pada gril, ia menyembunyikan kamera dan sensor bagi pemanduan autonomous untuk menjadikannya nampak lebih bersih. Begitu juga di belakang, kamera dan muncung air pembersih tersorok di belakang logo. Pemegang pintu juga tersorok dalam badan kereta.

    BMW iX didedahkan — model SUV elektrik iNEXT versi produksi, 500 PS dan 600 km jarak, dijual hujung 2021

    SUV ini datang dengan perincian kemasan biru yang sinonim dengan jenama BMW i. Pilihan penggayaan termasuk kemasan luara Titanium Bronze dan pakej Sport dengan tambahan pelindung segi tiga pada bampar depan, bahagian bawah hitam berkilat, lampu belakang gelap dan rim 21-inci aloi jejari berkembar.

    Rim Air Performance juga disediakan; ia mengurangkan rintangan, kurangkan berat hingga 15% dan membolehkan pertambahan jarak sejauh 15 km. Ia juga menyumbang kepada angka drag coefficient hanya 0.25, dengan elemen aerodinamik di depan dan belakang, bahagian bawah badan serta rodanya memberi tambahan jarak sebanyak 65 km.

    Bahagian dalaman juga berubah banyak berbanding model-model BMW sedia ada. Dengan rekaan minimalis, ia menyumbang kepada suasana ala lounge untuk kabin iX. Panel lengkungnya dilapisi oleh kaca nipis, dan dipisahkan kepada paparan instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.9-inci yang dipacu oleh perisian BMW Operating System generasi baru. Pendekatan Shy Tech diterapkan lagi di sini, dengan menggantikan tombol biasa dengan kawalan sentuhan sahaja.

    BMW iX didedahkan — model SUV elektrik iNEXT versi produksi, 500 PS dan 600 km jarak, dijual hujung 2021

    Di tengah, di bawal panel kawalannya tersedia banyak ruang simpanan barang, ruang cawan, pengecas Qi tanpa wayar, soket 12-volt dan dua slot USB-C. Perehat lengan tengah datang dengan ciri pemanas, sementara perehat kepala depan datang dengan sepasang lagi slot USB-C.

    Stereng hexagonal dua jejari tampil pertama kali pada model iX ini. Sistem bunyi Bowers & Wilkins datang dengan output 1,615-watt serta 30-pembesar suara, termasuk pada baharian perehat kepala depan dan belakang. Binaan SUV ini juga adalah gabungan daripada bahan yang diperbuat daripada gentian karbon, termoplastik, aluminium dan logam kukuh.

    BMW iX didedahkan — model SUV elektrik iNEXT versi produksi, 500 PS dan 600 km jarak, dijual hujung 2021

    Akan mula dijual setahun lagi, perincian teknikalnya masih belum didedahkan sepenuhnya oleh BMW. Apa yang diketahui setakat ini ialah SUV ini mampu menjana 500 PS kuasa, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa lima saat. Kapasiti bateri paling besar ditawarkan ialah 100 kWh, dengan penggunaan kuasa 21 kWh bagi setiap 100 km, dan memberikan jarak 600 km mengikut kitaran WLTP.

    Untuk mengecas, iX boleh memanfaatkan pengecas pantas DC 200 kW, dengan pengecasan dari 10 ke 80% dalam masa 40 minit dan memberikan lebih daripada 120 km jarak dalam masa 10 minit pengecasan. Pengecas wallbox 11 kW AC boleh juga digunakan, dengan cas penuh dalam masa 11 jam. Lain-lain, iX dijangka akan hadir dengan ciri pemanduan autonomous, serta sambungan teknologi 5G.

     
     
  • KTM 690 SMC R dan Enduro 690 Enduro R 2021

    KTM 690 SMC R dan Enduro 690 Enduro R 2021

    Bagi model tahun 2021, KTM cuma memberikan sedikit peningkatan kepada 690 SMC R dan 690 Enduro R. Model supermoto dan enduro yang berkongsi asas sama ini kali terakhir diberi peningkatan ‘besar’ adalah pada tahun 2018.

    Paling utama adalah emisi Euro 5, yang diambil penting dalam pasaran Eropah, dan KTM mencapainya melalui penukaran catalytic converter ekzos. Kemudiannya, dua model ini diberikan dua butang khas pada panel instrumen, untuk mengawal fungsi ABS dan juga memilih mod tunggangan (Street atau Offroad). Melaluinya, penukaran boleh dibuat sambil bergerak.

    Selain daripada itu kelengkapan lain untuk model ini masih lagi sama seperti sebelumnya, termasuk enjin LC4 satu silinder suntikan bahan api 692.7 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan serta klac slipper APTC, menghasilkan kuasa 74 hp dan 73.5 Nm tork.

    KTM 690 SMC R dan Enduro 690 Enduro R 2021

    Suspensi motosikal ini boleh dilaras sepenuhnya, dengan di hadapan terdapat fork WP Xplor dan di belakang menggunakan WP Apex, sementara pada bahagian elektronik, ia dilengkapi dengan Cornering ABS, Offroad ABS/Supermoto ABS, Motorcycle Traction Control serta Motor Slip Regulation.

    Di antara 690 SMC R dan 690 Enduro R, anda akan dapat melihat beberapa perbezaan termasuk pada bahagian brek hadapan (SMC 320 mm + angkup empat piston/Enduro 300 mm + angkup dua piston), jarak dari tanah (SMC lebih rendah) serta rim (SMC 17 inci/Enduro 21 dan 18 inci).

    GALERI: KTM 690 Enduro R 2021

    GALERI: KTM 690 SMC R 2021

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025