Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford EcoSport Active 2021 lebih rugged diperkenalkan

    Ford EcoSport Active 2021 lebih </em>rugged</em> diperkenalkan

    SUV kompak yang sedang anda lihat ini ialah Ford EcoSport Active 2021 yang baru saja dilancarkan. Model ini merupakan versi yang lebih ranggi bagi EcoSport sebelum ini. Siri model Active telah menjadi satu kejayaan bagi Ford, yang setakat ini telah menjual lebih daripada 55,000 unit Fiesta Active, model pertama yang menerima varian Active ini pada 2018.

    Selain itu, satu daripada lima Ford Focus yang dijual pada separuh pertama 2020 juga adalah dari versi Active. Ford kini melanjutkannya kepada model-model lain seperti Transit Custom, Transit Connect, Tourneo Custom dan Tourneo Connect.

    Berdasarkan EcoSport facelift yang muncul pada 2017, versi Active menerima kemasan “body cladding” diperbuat daripada plastik di keliling badannya. Dengan kemasan hitam pada bumbung, gril dan perumah cermin sisi, Active ini merupakan penampilan yang lebih menarik bagi EcoSport biasa.

    Ford EcoSport Active 2021 lebih </em>rugged</em> diperkenalkan

    Lencana Active ada ditampulkan di bahagian depan serta sulaman ‘A’ dijahitkan di kerusi depan, yang turut menggunakan balutan kulit hitam dengan benang putih. Sama seperti spesifikasi paling tinggi versi bukan-Active, kelengkapan yang ada termasuk rim aloi dua-tona 17-inci dan sistem infotainment dengan skrin sentuh 8-inci.

    “Pelanggan memaklumkan mereka suka penggayaan dan praktikaliti kabin pada EcoSport. Jadi kami lanjutkan lagi penawaran tersebut dengan versi Active yang memberikan lebih banyak kebolehan serta gaya ranggi bagi pelanggan yang inginkannya,” jelas Naib Presiden Pemasaran, Jualan dan Servis Ford Eropah, Roelant de Waard.

    Untuk pasaran Eropah, ia menggunakan enjin 1.0 liter EcoBoost turbo petrol dengan janaan 125 PS/200 Nm pacuan depan (tiada AWD, jarak kelegaan tanah dipertingkatkan) dengan transmisi manual enam-kelajuan. Di UK, EcoSport Active dijual pada harga £21,645 (RM117,331); £2,950 (RM15,991) lebih tinggi berbanding EcoSport biasa.

     
     
  • SUV Lotus Lambda bakal dihasilkan dari platform Geely, dijana elektrik sepenuhnya berkuasa 750 hp

    SUV Lotus Lambda bakal dihasilkan dari platform Geely, dijana elektrik sepenuhnya berkuasa 750 hp

    Selepas berberapa perincian awalannya diumumkan sebelum ini, kini Autocar UK mendedahkan berberapa lagi informasi terhadap SUV dari jenama kereta sport British iaitu Lotus, yang akhirnya nampak cerah untuk diproduksi setelah duduk di bawah payung kumpulan automotif Geely.

    SUV yang diberi kod nama ‘Lambda’ berkenaan yang sebelum ini dijangka akan dihasilkan dengan platform Scalable Product Architecture (SPA) yang sama dengan Volvo XC90 bersama unit janakuasa hibrid petrol-elektrik nampak telah berubah – ia dilaporkan akan menerima janaan elektrik sepenuhnya dan dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture dari Geely, asas sama seperti Lynk & Co Zero Concept yang di prebiu bulan lalu.

    Lambda bakal dilengkapkan dengan dua buah motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 750 hp untuk varian tertinggi, manakala model lebih rendah pula dibekalkan dengan kuasa 600 hp. Dengan kuasa elektrik sepenuhnya, tidak mustahil ia turut menjana tork dengan angka gergasi.

    SUV Lotus Lambda bakal dihasilkan dari platform Geely, dijana elektrik sepenuhnya berkuasa 750 hp

    Lotus turut mensasarkan SUV ini boleh bergerak sejauh 579 km dengan satu cas penuh bateri. Jadi dengan prestasi yang dibayangkan ini, Lotus Lambda bakal memberikan cabaran terus kepada Tesla Model X dan juga SUV berkuasa elektrik yang sedang dibangunkan pengeluar lain.

    Kerja-kerja pembangunan SUV ini terutamanya pada casis dan unit penjana akan dilakukakan di Ibu Pejabat Lotus di Hethel, UK dengan pengetahuan dari yang ditimba ketika menghasilkan hypercar Lotus Evija. Walaupun ia sebuah SUV, Lambda turut akan dihasilkan sebagai Lotus sebenar dengan aspek falsafah Sir Colin Chapman iaitu “simplify, then add lightness,” menerusi penggunaan material istimewa yang ringan.

    Model SUV pertama dari Lotus ini dilaporkan akan didedahkan dalam bentuk produksi sebenar pada 2022, sebelum mula dijual secara rasmi pada 2023. Ia dijangka akan dijual dengan harga yang kompetitif untuk berhadapan pesaing dengan jumlah pengeluaran yang tinggi, dan dijangka akan dikilangkan di China, di mana permintaan untuk model EV premium masih kekal tinggi pada pasaran tersebut

    Lotus juga boleh menggunakan skala ekonomi lebih besar yang ada pada Geely serta memanfaatkan fasiliti baharu Geely yang sedang dibangunkan di Wuhan bagi merendahkan lagi kos produksi SUV ini. Satu lagi kilang alternatif yang boleh digunakan adalah fasiliti baharu mereka di Norfolk, walaupun sebelum ini ia sudah diumumkan bahawa kereta sport baharu mereka termasuk “Esprit baharu” akan dihasilkan di situ.

     
     
  • VIDEO: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020 – dari RM80k

    Apabila berkata tentang Nissan Almera pasti ramai yang teringat sebuah kereta ekonomi dengan kelengkapan cuma asas sahaja dan rekaan pelik yang banyak menggunakan bentuk bulat dan lonjong. Sekarang semua itu sudah berubah dengan ketibaan Almera 2020 serba baru yang lebih menarik dan canggih.

    Almera 2020 ditawarkan di Malaysia dalam tiga varian iaitu VL RM79,906, VLP RM85,715 dan paling tinggi, VLT RM91,310. Ini adalah harga atas jalan bagi Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan termasuk dengan potongan cukai jualan sehingga 31 Disember 2020 ini.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin tiga silinder 1.0L yang dilengkapi dengan sistem pengecas turbo dan dipadankan bersama kotak gear CVT Xtronix automatik dengan D-Step Logic untuk memacu roda hadapan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 100 PS dan 152 Nm tork.

    Selain penampilan yang lebih menarik dan moden, Almera baru ini juga datang dengan pelbagai kelengkapan canggih yang mampu membuatkan ia bersaing dengan nama terkenal lain seperti Honda City dan juga Mazda 2 Sedan. Tonton video ini, kami ada terangkan apa lagi keistimewaan Almera ini.

    GALERI: Nissan Almera 1.0L Turbo VLT 2020

     
     
  • Honda Odyssey facelift 2020 diperkenalkan di Jepun – MPV terima gaya dan ciri baharu, sistem hibrid e-HEV

    Honda Odyssey facelift 2020 diperkenalkan di Jepun – MPV terima gaya dan ciri baharu, sistem hibrid e-HEV

    Selepas dipertontonkan pada September lalu, Honda kini telah melancarkan secara rasminya model Odyssey facelift di Jepun. Masih merupakan generasi yang kelima, ia merupakan peningkatan kali kedua untuk MPV ini selepas pertama kali dilaksanakan pada tahun 2017.

    Bagi perubahan gayanya, Odyssey ini menonjolkan penampilan yang sedikit berbeza berbanding model terdahulu. Ia diberikan sentuhan hujung hadapan yang lebih tegak dan bonet yang lebih rata. Wajah baharunya juga dapat dilihat berdasarkan bahagian pengambilan atas dan bawah yang terpisah, dengan bilah krom mendatar, sekaligus menyerlahkan lagi penampilannya.

    Lampu utama “jewel eye” direka semula, dengan menempatkan palang krom yang lebih tebal bersambung dengan kluster lampu, sementara apron bawah pula dilengkapi jaluran LED.

    Untuk bahagian sisinya, tiada perubahan diberikan. Namun bahagian belakang menerima lampu baharu dengan grafik pencahayaan yang disemak semula, Jaluran krom nipis merentangi lampu belakang, senada dengan bahagian hadapan. Kedua-dua bahagian juga diberikan lampu membelok berturutan.

    Honda Odyssey facelift 2020 diperkenalkan di Jepun – MPV terima gaya dan ciri baharu, sistem hibrid e-HEV

    Di dalamnya, Odyssey menerima rekaan papan pemuka baharu dengan corong udara di tengah dan bahagian penumpang yang lebih nipis. Sementara kemasan hiasan yang diletakkan di atasnya, bukan setakat memberikan nuansa yang lebih high class, tetapi juga menyembunyikan ruang tambahan di bawahnya. Lain-lain perubahan termasuklah paparan tujuh-inci pada kluster instrumen, yang dipertingkatkan dari 3.5-inci, dan juga unit utama skrin sesentuh yang lebih besar bersaiz 10-inci.

    Seperti sebelum ini, Odyssey masih meneruskan kapasiti lapan-tempat duduk, dengan tempat duduk kapten di barisan kedua yang boleh digelangsar, sementara tempat duduk barisan ketiga boleh dikeluarkan untuk memberikan lebihan ruang storan. Walau bagaimana pun, tiada ruang untuk meletak minuman atau barang-barang kecil, cuma ada pemegang cawan untuk bahagian pemandu. Namun demikian, Odyssey ini masih memberikan beberapa varian untuk konfigurasi tempat duduk.

    Untuk mempertingkatkan kegunaannya setiap hari, salah satu ciri baharu untuk Odyssey ini ialah pintu gelangsar berkuasa boleh dibuka dengan gerak isyarat berbanding menekan butang atau menarik pedal pemegang pintu. Menurut Honda, lampu panduan berwarna biru pada pintu menyala apabila anda mendekat kenderaan, dan apabila tangan digerakkan, pintu akan dibuka secara automatik.

    Honda Odyssey facelift 2020 diperkenalkan di Jepun – MPV terima gaya dan ciri baharu, sistem hibrid e-HEV

    Terdapat juga ciri yang dipanggil “reserve lock”, di mana pengguna boleh melakukan ketetapan untuk MPV itu berkunci sendiri selepas pintu gelangsar atau pintu belakang ditutup. Sesetengah gred juga didatangkan dengan akses bebas-tangan untuk pintu belakang yang beroperasi secara elektronik, jadi hanya goyangkan kaki di bawah bampar belakang untuk membukanya.

    Senarai kit yang turut terlibat dengan peningkatan, termasuk Honda Sensing yang kini didatangkan dengan false start suppression ketika mengundur. Ciri ini standard untuk semua gred, dan ini termasuk brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, pengesan isyarat trafik dan kepekaan ketibaan kenderaan di hadapan.

    Di Jepun, Odyssey menerima dua pilihan penjana kuasa. Pertama, digandingkan dengan unit K24W 2.4 liter empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 175 PS (173 hp) pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan CVT, dengan penawaran pacuan roda-hadapan dan semua-roda.

    Honda Odyssey facelift 2020 diperkenalkan di Jepun – MPV terima gaya dan ciri baharu, sistem hibrid e-HEV

    Pilihan kedua pula ialah sistem hibrid Intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) atau e:HEV, yang turut digunakan untuk StepWGN. Sistem ini sama dengan 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan kuasa 145 PS (143 hp) dan tork 175 Nm, digandingkan bateri lithium-ion sebagai penjana.

    Bateri tersebut digunakan untuk menyalurkan kuasa pada motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan kadar 184 PS (181 hp) dan 315 Nm, di mana ia menyalurkan pacuan untuk semua situasi pemanduan. Walau bagaimana pun, enjin boleh menyalurkan pacuan secara terus pada kelajuan yang lebih tinggi, menggunakan klac lock-up dan transmisi kelajuan-tunggal, di mana ia lebih efisien berbanding motor elektrik pada kelajuan tersebut.

    Harga untuk Odyssey baharu di Jepun bermula dari 3.495 juta yen (RM139,208) dan meningkat sehingga 3.9294 juta yen (RM156,515) untuk varian petrol sahaja. Manakala bagi varian yang dilengkapi e:HEV, ia berharga dari 4.198 juta yen (RM167,214) hingga 4.58 juta yen (RM182,429).

     
     
  • Enjin 1.5 TGDI dan transmisi 7DCT Proton X50 terima anugerah dari Persatuan Jurutera Automotif China

    Enjin 1.5 TGDI dan transmisi 7DCT Proton X50 terima anugerah dari Persatuan Jurutera Automotif China

    Padanan enjin tiga silinder turbo 1.5 liter dan kotak gear klac berkembar yang digunakan pada Proton X50 varian Flagship telah menerima anugerah daripada Persatuan Jurutera Automotif China (SAE). Ia adalah anugerah paling tinggi oleh SAE-China, iaitu “China Automotive Industry Science and Technology Award” dan diberikan kepada Geely untuk pembangunan enjin serta transmisi tersebut.

    SAE-China adalah persatuan bukan kerajaan paling berprestij untuk saintis, para akademik, jurutera serta juruteknik yang bekerja di negara itu, yang mana adalah pasaran automotif paling besar dan paling kompetitif di dunia.

    Setiap tahun, pekerja industri automotif dalam SAE-China ini akan mencalonkan dan memilih pencapaian serta inovasi yang berjaya memajukan dan memberi pengaruh dalam industri untuk diberikan anugerah. Bagi tahun 2020, penggerak 1.5TD + 7DCT milik Geely telah terpilih sebagai pemenang di antara 170 inovasi lain di kalangan universiti, akademi sains dan pusat R&D automotif global lain.

    Enjin 1.5 TGDI dan transmisi 7DCT Proton X50 terima anugerah dari Persatuan Jurutera Automotif China

    Para juri dan pekerja industri memilih enjin Geely yang dibangunkan bersama Volvo ini sebagai pemenang kerana cemerlang dalam tiga cabaran utama industri iaitu membangunkan enjin yang kompak dan serba boleh, mengimbangkan prestasi dengan kecekapan bahan api, dan meningkatkan penggunaan serta ketahanan kuasa hibrid.

    Enjin ini adalah hasil daripada pembangunan bersama Geely dan Volvo selama beberapa tahun. Ia direka untuk menjadi serba boleh, berprestasi dan kombo tersebut boleh memberikan kuasa yang cukup untuk pelbagai model dalam pelbagai segmen. Ia juga boleh dipadankan bersama empat tetapan hibrid termasuk hibrid ringkas 48V, hibrid, plug-in hybrid dan range extender.

    Pada Proton X50 1.5 TGDi Flagship, enjin tiga silinder turbo ini menghasilkan kuasa 177 PS dan 255 Nm tork, dan membolehkan kereta memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Transmisi 7DCT itu dikatakan dapat memberi tahap kecekapan 97.2%, mampu bertahan dengan tork sehingga 450 Nm dan memberikan penukaran gear sepantas 0.2 saat.

    Enjin 1.5 TGDI dan transmisi 7DCT Proton X50 terima anugerah dari Persatuan Jurutera Automotif China

    Enjin tiga silinder biasanya digunakan pada kereta ekonomi yang jimat minyak, dan biasanya tidak begitu dipuji pada aspek lain. Geely bagaimanapun memberitahu telah berjaya mengatasi perkara ini dengan mencapai tahap NVH yang sama seperti enjin empat silinder dalam pasaran. Enjin 1.5TD ini telah dibangunkan dengan pelbagai bahagian yang dapat mengurangkan gegaran dan bunyi, dan semasa melahu, bunyi enjin dalam kabin boleh pergi serendah 38 db, kata Geely.

    Antara komponen yang dimaksudkan ialah pam minyak bertekanan tinggi yang senyap, kepala silinder yang lebih keras, blok lebih keras, DMF dengan CPA yang memperbaiki kebisingan ketika mematikan enjin, talam minyak yang lebih keras untuk mengurangkan radiasi bunyi, penyuntik dengan rekaan anti-gegeran, OAD dan Silent Generator yang mengurangkan bunyi terhasil, rekaan VVT dengan bulatan bukan-normal yang menghapuskan resonan sistem timing serta penambahbaikan pada tali sawat itu sendiri.

    Dalam masa cuma dua tahun, lebih daripada 1.6 juta enjin 1.5TD dan transmisi 7DCT ini telah dikeluarkan dan diserahkan. Ia digunakan pada pelbagai model bawah kumpulan Geely seperti Proton X50/Geely Coolray/Geely Binyue, Geely Azkarra/Geely Boyue, Geely Okavango, Volvo XC40, semua model Lynk & Co serta LEVC TXe. Kereta yang menggunakan enjin dan transmisi ini juga boleh ditemui di lebih 21 negara termasuk UK, Rusia, Filipina dan Malaysia.

     
     
  • Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

    Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

    Kami tahu, mesti ada yang mempersoalkan kenapa buat perbandingan antara dua model yang berlainan segmen? Pada kami, tentu ramai yang masih dalam dilema untuk membuat pilihan antara Proton X50 dengan Honda City generasi baru ini, khususnya untuk mereka yang tidak memerlukan ruang yang besar untuk keluarga, atau memilih kereta kedua, dan dua model ini dijadikan senarai akhir kerana julat harganya yang hampir sama.

    Walau bagaimanapun, sebelum ini kami telah pun menaikkan satu artikel berkenaan perbandingan kos servis antara Proton X50 dan pesaing terdekat dalam segmen sama iaitu Honda HR-V, yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Buat masa sekarang, Proton X50 boleh dibeli pada harga bermula RM79,200 untuk model asas Standard hingga RM103,300 untuk model tertinggi Flagship. Manakala untuk Honda City versi petrol sepenuhnya dijual pada harga bermula RM74,191 hingga RM86,561. Kami sebenarnya mahu masukkan sekali perbandingan bersama satu lagi sedan segmen-B iaitu Nissan Almera Turbo, namun disebabkan ia masih belum dilancarkan secara rasmi, jadual servis untuk model tersebut juga masih belum disediakan.

    Sebelum bermula, ingin kami jelaskan bahawa perbandingan kos servis selama lima tahun atau 100,000 km ini dibuat berdasarkan jadual servis rasmi kedua-dua pengeluar yang boleh anda lihat pada laman web rasmi masing-masing. Namun ada juga berberapa perkara lebih dari tempoh berkenaan turut akan kami sentuh.

    Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

    Satu lagi kami nak anda tahu, kedua-dua model ini digerakkan dengan enjin yang berlainan teknologi; Proton X50 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, manakala Honda City petrol diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC tanpa turbo.

    Setelah dicongak secara keseluruhan, kos servis untuk tempoh masa lima-tahun/100,000 km bagi Honda City adalah RM657.24 lebih rendah dari Proton X50. Jika anda bandingkan secara tahunan juga kos untuk menyelenggara sedan Honda berkenaan adalah lebih rendah dari SUV segmen-B baharu Proton, tetapi ia perbezaannya mengecil pada tahun kelima.

    Proton X50 memerlukan minyak sintetik-sepenuhnya untuk setiap kali servis dengan sela jarak 10,000 km/setahun. Honda City juga perlu diservis dengan sela jarak 10,000 km yang sama, namun Honda menyatakan bahawa ia masih boleh menggunakan minyak semi-sintetik dengan harga RM114.69. Jika anda mahukan minyak enjin sintetik sepenuhnya, kos untuk minyak enjin tersebut naik kepada RM130.80, lengkap dengan gasket penutup palam buang minyak.

    Jadi sekiranya sepanjang lima tahun Honda City anda menggunakan minyak sintetik sepenuhnya, kos keseluruhan servis meningkat kepada RM3,830.81. Namun ia masih lagi rendah berbanding kos keseluruhan tempoh yang sama untuk Proton X50 yang menelan belanja sebanyak RM4,326.95.

    Proton X50 Vs. Honda City 1.5L 2020 – kami banding kos servis berkala untuk tempoh 5-tahun/100,000 km

    Klik untuk besarkan

    Jika anda perhatikan pada jadual servis berkenaan, penapis minyak enjin Honda City hanya perlu ditukar setiap 20,000 km, bermakna penapis yang berharga RM34.10 berkenaan tidak perlu ditukar sekali pada setiap sesi penukaran minyak enjin. Manakala pada X50, ia masih bersifat konvensional di mana penapis tersebut ditukar sekali dengan minyak enjin pada setiap 10,000 km.

    Penapis udara Proton X50 juga perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 20,000 km sekali, berbanding penapis udara pada Honda City yang hanya perlu ditukar setiap 30,000 km sekali.

    Begitu juga untuk penapis udara sistem penghawa dingin untuk kabin di mana Proton X50 perlu ditukar setiap 20,000 km manakala Honda City pula 30,000 km; walaupun penuras dengan standard N95 pada Proton hanya berharga RM69 seunit berbanding RM103 pada Honda, kos keseluruhan lima-tahun untuk City masih lebih rendah kerana kekerapan menukar yang lebih rendah.

    Beralih pada penjagaan kotak gear, transmisi klac berkembar automotik DCT tujuh-kelajuan pada Proton X50 hanya perlu ditukar setiap 90,000 km dengan kos RM237.36. Manakala minyak CVTF untuk kotak gear CVT automatik pada City pula perlu ditukar setiap 40,000 km dengan kos RM129.24 sekali; menjadikan kos keseluruhan RM258.48 untuk dua kali penukaran sepanjang tempoh 100,000 km.

    Manakala untuk palam pencucuh, Proton X50 hanya menggunakan palam pencucuh biasa dengan harga RM96.84 satu set yang perlu ditukar setiap 40,000 km. Honda City pula memerlukan palam pencucuh iridium yang berharga RM554.20, tetapi ia boleh bertahan untuk setiap 100,000 km.

    Lain-lain perkara termasuk penukaran penapis bahan api, di mana Proton X50 perlu ditukar setiap 20,000 km, manakala Honda City pula komponen ini mampu bertahan selama 140,000 km. Honda juga menyarankan bahawa cecair penyejuk pada radiator hanya perlu ditukar dalam tempoh masan 10 tahun/20,000 km, manakala Proton X50 perlu menukarnya pada setiap 60,000 km.

    Seperti yang diketahui, aci sesondol pada enjin L15 Honda City digerakkan dengan menggunakan sistem timing chain, manakala X50 pula menggunakan sistem timing belt. Tali sawat pada X50 berkenaan perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

    Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar drive belt yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

    Buat masa sekarang, Proton menawarkan kos upah percuma sebanyak lima kali servis untuk 30,000 pelanggan X50 pertama. Honda juga menawarkan manfaat yang sama, namun ia diberikan kepada semua pelanggan yang membeli City tanpa sebarang syarat. Walau bagaimanapun, kedua-dua jenama ini menetapkan kos upah percuma ini diberikan pada servis-servis tertentu, terutamanya untuk servis dengan banyak perkara yang perlu dibuat dan ini sememangnya dapat mengurangkan kos pemilikan kedua-dua kereta ini.

    Kami ingin tegaskan di sini, ini hanyalah kira-kira yang dibuat berdasarkan jadual servis berkala yang dibuat oleh pengeluar sahaja, tidak termasuk komponen-komponen haus dan lusuh seperti pad brek, tayar dan sebagainya kerana jangka hayat komponen-komponen tersebut adalah berdasarkan gaya penggunaan sesebuah kereta itu.

    Berkenaan aspek ini, ia satu lagi kelebihan bagi Honda City kerana ia adalah sedan dengan tayar yang lebih kecil dan murah dengan rim dari 15- hingga 16-inci bergantung varian, berbanding Proton X50 yang dibekalkan dengan rim 17- hingga 18-inci bergantung pada varian.

    Begitu juga brek, di mana Proton X50 bukan sahaja diberikan angkup serta pad brek yang lebih besar dan mahal, malah ia diberikan sistem brek cakera untuk semua roda, berbanding Honda City dengan angkup dan pad brek lebih kecil serta hanya menggunakan sistem dram yang lebih tahan lama dan lebih murah di belakang.

    Jadi kesimpulannya, secara dasarnya kos untuk ‘menyara’ Honda City adalah lebih murah berbanding Proton X50, jika ia dilihat atas kertas. Namun untuk memilih sebuah kereta baharu, selain harga dan juga kos servis ada lagi lain-lain aspek yang perlu anda ambil kira. Apa lagi kelebihan dan kekurangan antara sebuah sedan dan SUV, ketahuinya pada satu lagi artikel yang telah kami tulis berkenaan perkara tersebut pada PAUTAN INI.

     
     
  • Hafizh Syahrin sertai pasukan NTS RW Racing GP

    Hafizh Syahrin sertai pasukan NTS RW Racing GP

    Dengan musim 2020 yang hampir berakhir, ia juga menunjukkan kerjasama antara Hafizh Syahrin dan pasukan Angel Nieto hampir sampai ke penghujungnya. Ramai yang tertanya-tanya adakah beliau masih akan berlumba dalam Moto2 tahun hadapan, dan kini jawapannya sudah ada. Hafizh telah menandatangani kerjasama baru dengan pasukan NTS RW Racing GP.

    “Kami sangat bangga dan gembira dapat bekerjasama dengan Hafizh, yang bukan sahaja seorang pelumba yang berpengalaman dan berbakat, tetapi juga seorang yang baik. Kami masih membangunkan jentera kami, dan input serta maklum balas daripada Hafizh sangat berguna dalam proses ini,” kata pengurus pasukan NTS RW Racing GP, Jarno Janssen.

    Hafizh mengalu-alukan kontrak baru ini dengan memberitahu beliau senang hati dapat terus bersaing dalam Moto2. “Saya tahu banyak usaha yang diperlukan untuk membangunkan jentera baru, tapi saya percaya dengan projek ini. NTS dan pasukan telah berjaya memperbaiki banyak benda pada jentera itu dalam masa yang pendek, langkah demi langkah. Saya harap, dengan pengalaman serta maklum balas saya, kami akan dapat membuat kemajuan yang besar,” kata Hafizh.

    RW Racing GP ditubuhkan oleh seorang ahli perniagaan dari Belanda, Roelof Waninge yang mengambil alih aset daripada sebuah lagi pasukan lumba motosikal Dutch 125 cc dan 250 cc milik Arie Molenaar pada tahun 2011. RW Racing kini bersaing dalam kategori Moto2 dengan kerjasama teknikal bersama pembina casis dari Jepun, iaitu NTS. Hafizh akan menyertai pasukan itu bersama seorang lagi pelumba Belgium yang berusia 16 tahun, Barry Baltus.

     
     
  • PKPB: Lokasi sekatan jalan raya ditambah dan pemeriksaan terus diperketatkan – KPN

    PKPB: Lokasi sekatan jalan raya ditambah dan pemeriksaan terus diperketatkan – KPN

    Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah memaklumkan akan menambah lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) dan memperketatkan pemeriksaan.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, langkah itu bagi memastikan orang ramai tidak membuat sebarang pergerakan tidak penting termasuk merentas daerah dan negeri. Di mana pihaknya akan membuat pemeriksaan penuh ke atas semua elemen pergerakan keluar dan masuk antara daerah dan negeri membabitkan semua negeri yang terbabit dalam PKPB.

    “Tindakan kita menambah SJR bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi adalah untuk membantu kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkorban dan bersusah-payah memastikan pandemik COVID-19 tidak tersebar.

    “Justeru untuk tempoh empat minggu bermula Isnin ini (9 November) saya benar-benar merayu orang ramai untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    PKPB: Lokasi sekatan jalan raya ditambah dan pemeriksaan terus diperketatkan – KPN

    Tambah beliau, masyarakat boleh membantu apabila mereka mempunyai sikap tanggungjawab termasuk mematuhi SOP ditetapkan serta tidak membuat pergerakan yang tidak perlu.

    “Jadi sekali lagi saya tekankan supaya hanya mereka yang mempunyai kelulusan dari pihak polis serta mempunyai sebab-sebab kecemasan sahaja yang membuat perjalanan rentas daerah atau rentas negeri dan jika tiada keperluan penting duduklah di rumah,” katanya.

    Beliau turut yakin bahawa pihaknya mempunyai kekuatan mencukupi untuk pelaksanaan PKPB ini berikutan pengalaman semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dianggap lebih ketat sejak 18 Mac lalu.

    “Jangan pula marah polis apabila ada kesesakan panjang disebabkan SJR, langkah ini adalah demi kebaikan bersama bagi mematahkan penularan wabak COVID-19,” katanya.

     
     
  • PKPB dilaksana di negeri Semenanjung M’sia mulai 9 Nov-6 Dis 2020 – Pahang, Kelantan, Perlis terkecuali

    PKPB dilaksana di negeri Semenanjung M’sia mulai 9 Nov-6 Dis 2020 – Pahang, Kelantan, Perlis terkecuali

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan berkuatkuasa selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.

    Pelaksanaan PKPB di negeri-negeri di Semenanjung ini juga akan meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November 2020.

    Menurut Ismail, bagi negeri Kelantan, Pahang dan Perlis, yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri juga adalah tidak dibenarkan. Pergerakan rentas daerah di dalam ketiga-tiga negeri ini dibenarkan seperti biasa.

    Bagi negeri Sarawak, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada PDRM. Walau bagaimana pun, pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali ke daerah Kuching.

    Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan. Untuk yang mempunyai urusan mustahak dan kecemasan yang memerlukan untuk merentas negeri pula, perlulah ke balai polis berhampiran bagi mendapatkan permit kebenaran merentas negeri.

    Senarai prosedur operasi standard (SOP) selanjutnya dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat.

     
     
  • Belanjawan 2021: Tiada sambungan moratorium auto, kerajaan perkenal bantuan bayaran balik bersasar

    Belanjawan 2021: Tiada sambungan moratorium auto, kerajaan perkenal bantuan bayaran balik bersasar

    Dalam pembentangan Belanjawan 2021 sebentar tadi, menteri kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan bahawa tiada lanjutan moratoriom automatik akan diberikan untuk pembayaran semula pembiayaan bank termasuk pembiayaan pinjaman pembelian kenderaan.

    Walau bagaimanapun, beliau menyatakan sambungan moratorium tersebut masih diberikan oleh bank-bank bagi mereka-mereka yang masih terjejas dengan pandemik Covid-19 dan memerlukan penangguhan bayaran balik pinjaman berkenaan. Menurutnya, peralihan kepada bantuan bayaran balik bersasar ini telah bermula pada 1 Oktober lalu, iaitu sebaik sahaja moratorium automatik yang ditawarkan sebelum ini tamat.

    “Setakat ini, lebih daripada 650 ribu permohonan bantuan bayaran bersasar telah diterima, dengan kadar kelulusan tinggi iaitu 98 peratus. Bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan pada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan PKS yang pendapatannya terjejas oleh wabak Covid-19,” ujar menteri berkenaan. Jadi, sekiranya anda masih memerlukan bantuan moratorium ini, jangan lengah untuk rujuk semula pada bank anda.

    Sebagai tambahan untuk bantuan ini, kerajaan turut menawarkan satu lagi inisiatif khas yang diberikan kepada golongan B40 yang sebelum ini menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) selepas ini dan juga kepada perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000.

    Untuk kategori ini, dua opsyen cara bayaran balik akan diberikan. Pertama, mereka boleh menangguhkan bayaran balik selama tiga-bulan, dan kedua adalah pengurangan jumlah bayaran bulanan sebanyak 50% selama enam bulan. Peminjam yang layak untuk menerima keistimewaan ini hanya perlu memohon dengan cara menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan yang diberikan serta melengkapkan dokumentasi.

     
     
  • Harga minyak 7-13 Nov – Petrol turun sebanyak tiga sen seliter, diesel turun sehingga enam sen seliter

    Harga minyak 7-13 Nov – Petrol turun sebanyak tiga sen seliter, diesel turun sehingga enam sen seliter

    Dalam ‘meriahnya’ pembentangan Bajet 2021, Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga runcit ketiga-tiga bahan api bagi minggu bertarikh 7 hingga 13 November 2020. Di mana kesemua harganya dilaporkan turun.

    Bagi bahan api petrol, ia melibatkan penurunan sebanyak 3 sen seliter. Ini bermakna, harga petrol RON 97 bakal menjadi RM1.91 seliter berbanding RM1.94 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala petrol RON 95 pula, daripada RM1.64 seliter, akan menjadi RM1.61 seliter.

    Untuk diesel pula, ia melibatkan penurunan harga sebanyak 6 sen seliter. Di mana harga runcit yang diumumkan ialah RM1.68 seliter bagi gred Euro 2M dan RM1.78 seliter untuk Euro 5.

    Kesemua harga runcit baharu ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 13 November 2020.

     
     
  • Audi RS e-tron GT – guna dua motor elektrik, 646 PS

    Audi RS e-tron GT – guna dua motor elektrik, 646 PS

    Audi telah mendedahkan lebih banyak lagi gambar model RS e-tron GT. Menurut laporan laman Autocar, versi paling pantas bagi sedan empat pintu elektrik ini menunjukkan pelbagai catatan prestasi yang menakjubkan.

    Model RS ini akan menggunakan sistem pemacu dua motor yang sama seperti Porsche Taycan Turbo (platform juga sama), dan dalam keadaan pemanduan biasa, ia mampu menghasilkan kuasa 598 PS dan 830 Nm tork. Sedikit rendah berbanding kuasa 625 PS/850 Nm yang dihasilkan oleh Taycan Turbo.

    Kuasa RS juga boleh ditingkatkan dalam masa singkat menggunakan fungsi overboost, sehingga mencecah 646 PS, sekaligus membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa “yang sedikit lebih pantas daripada 3.5 saat” seperti yang diberitahu oleh pengurus projek teknikalnya, Dennis Schmitz. Roda hadapan digerakkan transmisi satu kelajuan manakala roda belakang mendapat kotak gear dua kelajuan.

    Audi RS e-tron GT – guna dua motor elektrik, 646 PS

    Pakej bateri adalah sama seperti Taycan – lithium ion 83.7 kWh yang terletak di lantai dan mampu memberikan jarak gerak 400 km melalui kitaran WLTP. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 350 kW, baterinya boleh dicas untuk mencecah tahap 80% dalam masa cuma 22.5 minit.

    Pada bahagian lain, RS e-tron GT akan dilengkapi dengan suspensi udara triple chamber dan sistem limited slip differential untuk mengagihkan kuasa pada gandar belakang. Berbeza dengan model RS sebelumnya, penampilan RS e-tron GT ini tidak mempunyai sebarang beza berbanding e-tron GT biasa.

     
     
  • GALERI: Honda CR-V facelift 2020 varian 1.5L TC-P 2WD dan 4WD, masing-masing RM158k dan RM163k

    GALERI: Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 varian 1.5L TC-P 2WD dan 4WD, masing-masing RM158k dan RM163k

    Setelah berada tiga tahun dalam pasaran, Honda CR-V generasi kelima kini sudahpun masuk ke fasa facelift dan ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia semalam. Tiada sebarang majlis pelancaran dibuat di mana Honda Malaysia hanya mengeluarkan kenyataan bersama satu set foto rasmi dikirimkan kepada media.

    Jadi hari ini, jurugambar professional kami, Sherman Sim menerjah bilik pameran Honda bagi memberikan anda satu set galeri yang komprehensif.

    Seperti yang diumumkan, Honda CR-V facelift 2020 kini ditawarkan hanya dalam tiga varian, berbanding empat sebelum ini. Kali ini model varian tertinggi adalah dari versi 1.5L TC-P 4WD disamping satu lagi model Premium pacuan roda hadapan 1.5L TC-P 2WD. Tiada lagi model pertengahan 1.5L TC 2WD dan 4WD, manakala model paling rendah masih kekal varian 2.0L 2WD.

    GALERI: Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 varian 1.5L TC-P 2WD dan 4WD, masing-masing RM158k dan RM163k

    Selain dari rombakan varian ini, model facelift ini juga diberikan sedikit penyegaran dari segi rupa, serta menerima berberapa peningkatan pada senarai kelengkapan setiap gred model.

    Honda CR-V 2020 ini terus dijana oleh barisan enjin yang sama seperti sebelum ini. Model-model 1.5L TC-P digerakkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat silinder berkuasa 193 PS dan tork maksima 243 Nm. Manakala untuk model 2.0L, ia juga masih kekal menerima enjin NA 2.0 liter empat-silinder i-VTEC berkuasa 154 PS dan tork maksima 189 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin digandingkan dengan kotak gear CVT automatik Earth Dream Honda. Seperti yang disebutkan tadi, model tertinggi 1.5L TC-P 4WD dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda, manakala dua lagi varian dibawahnya hanya memacu roda hadapan.

    GALERI: Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 varian 1.5L TC-P 2WD dan 4WD, masing-masing RM158k dan RM163k

    Unit untuk galeri yang kami ambil kali ini adalah dari dua varian tertinggi iaitu 1.5L TC-P 4WD (Platinum White Pearl) dan 1.5L TC-P 2WD (Dark Olive Metallic). Selain dua warna ini, CR-V facelift 2020 turut ditawarkan dalam warna Lunar Silver Metallic, Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic.

    Model pasaran Malaysia ini tampil dengan rupa yang hampir sama dengan CR-V facelift pasaran Thailand yang telah pun dilancarkan pada Julai lalu. Ia menerima sedikit perubahan pada mukanya, terutamanya pada kemasan plastik yang merentangi keseluruhan bampar hadapan, ‘misai’ krom dan juga motif ‘Solid Wing’ juga dalam kemasan krom.

    Tiada perubahan ketara jika dilihat dari sisi kecuali rim aloi rekaan baharu berdiameter 18-inci dalam kemasan dua tona diberikan pada kesemua varian SUV segmen-C ini. Di belakang, lampu masih kelihatan sama tetapi digelapkan sedikit, manakala kemasan skid plate pada bampar digantikan dengan satu jalur perak.

    GALERI: Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 varian 1.5L TC-P 2WD dan 4WD, masing-masing RM158k dan RM163k

    Bahagian dalaman juga tidak diberikan perubahan yang ketara. Kini kesemua varian menerima skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh-inci Display Audio baharu dengan butang putar fizikal larasan bunyi baharu, serta menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta datang dengan fungsi arahan suara.

    Honda juga telah mengatur semula kedudukan port USB di bawah konsol tengah agar ia lebih mudah untuk diakses, serta menjadikan ruang storan dibawahnya lebih luas.

    Untuk perbezaan spesifikasi antara varian, boleh dikatakan setiap varian menerima kelengkapan yang hampir sama. Kesemua model CR-V 2020 diberikan lampu hadapan LED automatik dan fungsi auto leveling bersama lampu kabus dan lampu nyalaan siang LED serta cermin sisi dengan lampu isyarat membelok.

    GALERI: Honda CR-V <em>facelift</em> 2020 varian 1.5L TC-P 2WD dan 4WD, masing-masing RM158k dan RM163k

    Anda boleh bezakan rupa luaran antara model TC-P dan model asas 2.0 hanya pada tip ekzos di mana model Turbo hadir dengan dua corong ekzos krom, manakala model i-VTEC hanya satu corong. Bagi mengenali antara dua model tertinggi 1.5L TC-P pula, varian 4WD menerima emblem ‘AWD’ di belakang, sementera model 2WD dibiar kosong. Dua model lebih tinggi berkenaan juga diberikan pintu tailgate belakang berkuasa yang boleh dibuka tanpa sentuhan tangan.

    Pada bahagian dalaman pula, kesemua varian CR-V datang standard dengan panel meter digital TFT tujuh-inci, pedal penukar gear, cruise control, sistem pendingin hawa automatik dua zon bersama corong kabin belakang, cermin pandang belakang anti-silau automatik, roda stereng balutan kulit, dan lapan pembesar suara.

    Kesemua model juga menerima upholsteri kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan hala dan larasan kuasa empat hala untuk penumpang hadapan, tempat duduk belakang boleh lipat dengan satu tuil dalam nisbah 60:40 dan juga penutup tonneau untuk ruang kargo belakang.

    Sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin juga diberikan untuk semua varian, tetapi model 2.0L tidak menerima fungsi penghidup enjin jarak jauh. Model paling asas itu juga tidak diberikan pengelap cermin hadapan automatik, serta tidak diberikan kemasan kayu pada papan pemuka.

    Untuk keselamatan pula, semua varian CR-V hadir dengan enam-beg udara, pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), bantuan ketangkasan pengendalian (AHA), brake hold automatik, bantuan mula mendaki, dan juga isyarat berhenti kecemasan (ESS).

    Juga kesemua varian diberikan kamera titik buta Honda LaneWatch dan juga undur belakang pelbagai sudut bersama empat penderia parkir belakang, tetapi untuk model 2.0L tidak dilengkapkan dengan penderia parkir hadapan.

    Khas untuk dua model 1.5 Turbo Premium tertinggi, ia dilengkapkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Pakej tersebut menampilkan sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adpatif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, bantuan kekal tengah lorong, dan lampu tinggi automatik.

    Untuk semua ini, Honda CR-V facelift 2020 varian tertinggi 1.5 TC-P 4WD dijual pada harga RM162,910.18 manakala varian 1.5L TC-P 2WD dijual pada harga RM157,615.91. Jika anda mahu memilih varian paling rendah 2.0L 2WD, ia dijual pada harga RM139,912.53. Harga-harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran lengkap dengan potongan cukai jualan 2020 untuk model CKD sebanyak 10%.

    Selepas berakhirnya insentif potongan cukai PENJANA ini pada 31 Disember nanti, Honda CR-V facelift 2020 1.5L TC-P 4WD dijual pada harga RM169,900, 1.5L TC-P 2WD dijual pada harga RM164,300, dan model 2.0L 2WD dijual pada harga RM145,400. Setiap pembelian dilindungi waranti pengeluar selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had.

    GALERI: Honda CR-V facelift 2020 1.5L TC-P 4WD

    GALERI: Honda CR-V facelift 2020 1.5L TC-P 2WD

     
     
  • Bajet 2021 – berita berkaitan auto dan pengangkutan

    Bajet 2021 – berita berkaitan auto dan pengangkutan

    Pada jam empat petang nanti, menteri kewangan negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Belanjawan 2021 di dalam parlimen. Seperti biasa, kami akan memerhati ucapan pembentangan itu, dan memuat naik segala perkara yang berkaitan dengan automotif dan juga pengangkutan di sini. Pastikan anda terus bersama kami.

    Tiada sambungan moratorium pinjaman automatik

    • Dengan bank kini melaporkan 85% peminjam sudah kembali menyambung bayaran pinjaman mereka selepas tempoh moratorium tamat 30 September lalu, kerajaan telah bercadang tidak menyambung skim moratorium pinjaman ini.

      Walaubagaimanapun, mereka yang berada dalam kategori B40 dan menghadapi masalah untuk membayar semula pinjaman masih mendapat dua pilihan, sama ada menyambung moratorium selama tiga bulan lagi atau mengurangkan bayaran bulanan mereka sebanyak 50% selama enam bulan.

      Mereka yang berada dalam kategori M40 pula boleh merujuk semula pakej kewangan mereka melalui proses pengisytiharan sendiri, sekiranya berhadapan dengan pengurangan pendapatan. Kemudahan ini akan ditawarkan dari Disember 2020.

    Jalan

    • RM1.3 bilion akan dibelanjakan untuk memperbaiki jalan di dalam negara, dengan pelaksanaan terhadap projek jalan luar bandar dan antara negeri sepanjang 920 km, yang akan memberi manfaat kepada 290,000 penduduk.

    Pengangkutan awam

    Pas perjalanan My30

    • Program pas perjalanan pengangkutan awam tanpa had My30 yang diperkenalkan pada Jun lalu akan diteruskan, dan dikembangkan ke Pulau Pinang serta Kuantan, dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

    Pas perjalanan bulanan tanpa had RM5 sebulan untuk pelajar dan OKU

    • Pas KTM berharga RM5 akan diperkenalkan untuk pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 6, serta OKU, yang boleh digunakan tanpa had dalam masa sebulan untuk servis KTM Komuter di Lembah Kelang serta keretapi antara bandar di antara Kuala Lipis dan Tumpat di semenanjung dan Beaufort ke Tenom di Sabah.

    Bas

    • Program transformasi servis bas bertahap yang sudah dilaksanakan di Kangar, Seremban, Ipoh dan Kuala Terengganu akan dilaksanakan pula secara berperingkat di Johor Bharu, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan, dengan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk kerja naik taraf.
    • Untuk meringankan beban pengusaha servis bas, kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai jualan terhadap pembelian bas baru dalam negara untuk tempoh dua tahun, bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022.

    Keretapi

    • Kerajaan komited dengan pelaksanaan projek jalan dan keretapi, dengan memperuntukkan RM15 bilion bagi membiayai projek seperti Lebuh Raya Pan Borneo, landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) laluan Gemas-Johor Bahru dan fasa satu landasan berkembar Lembah Kelang. Pembangunan projek rel lain yang akan disambung adalah Rapid Transit System Link (RTS) Johor-Singapura dan MRT3 di Lembah Kelang.

    Nota: Semua perkara yang dibentangkan dalam Bajet 2021 ini masih memerlukan persetujuan daripada Dewan Rakyat sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

     
     
  • Dodge Durango SRT Hellcat 2021 – 710 hp/875 Nm, SUV 3-barisan tempat duduk eksklusif untuk 2021

    Dodge Durango SRT Hellcat 2021 – 710 hp/875 Nm, SUV 3-barisan tempat duduk eksklusif untuk 2021

    Diperkenalkan pada Julai, tempahan untuk Dodge Durango SRT Hellcat 2021 ini telah dibuka untuk pasaran USA. Dodge berkata, ia merupakan SUV produksi yang paling berkuasa di dunia, eksklusif bagi model tahun 2021. Harga yang ditawarkan bagi SUV Hellcat ini ialah $80,995 (RM335,584) dan penghantarannya bermula pada awal 2021.

    Hellcat bukanlah nama bagi SUV tiga-barisan tempat duduk, tetapi Durango yang menyertai barisan Challenger dan Charger. Ia diberikan enjin 6.2 liter supercharged Hemi V8 dan Dodge mendakwa ia adalah penjana kuasa yang cukup berkuasa. Apa pun, ia masih kurang beberapa hp/Nm bagi 717 hp/889 Nm pada Challenger dan Charger Hellcats. Kotak gearnya masih unit automatik lapan-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda (AWD).

    Ia juga mampu memberi saingan sengit buat BMW X5 M Competition dengan kuasa 617 hp dan 750 Nm, Mercedes-AMG GLE 63 S 4Matic+ (603 hp/850 Nm) dan Porsche Cayenne Turbo (542 hp/770 Nm).

    Dodge Durango SRT Hellcat 2021 – 710 hp/875 Nm, SUV 3-barisan tempat duduk eksklusif untuk 2021

    Bagi mencapai angka yang diperlukan, SUV SRT ini diberikan enjin 2.38 liter supercharger dengan screw rotor berkembar yang berkeupayaan untuk bergerak sehingga 14.600 rpm dan ledakan tekanannya mampu dicapai sehingga 11.6 psi. Bagi memastikan ia tidak meletup, ia dicaskan dengan penyejukan udara yang disambungkan ke supercharger, yang terdiri daripada pam air, takungan penyejuk dan penukar haba untuk memastikan suhu pengambilan udara adalah di bawah 60 darjah selsius.

    Dodge mendakwa pecutan dari 0-96 km/j mengambil masa 3.5 saat dan suku batu (0-400m) pula dalam 11.3 saat, seoerti yang diiktiraf oleh America’s National Hot Rod Association (NHRA). Kelajuan maksimum yang boleh dicapai pula mencecah 290 km/j. Jentera ini juga didatangkan dengan Launch Control, Launch Assist dan brek Brembo brakes (enam-omboh di hadapan, empat-omboh di belakang, 400 mm rotor di hadapan dan 350 mm di belakang).

    Dodge merupakan penaja rasmi bagi Bondurant High Performance Driving School di Chandler, Arizona, di mana tetamunya berpeluang memandu jentera lumba terlaju di dunia dengan arahan profesional dan track time. Pelanggan yang membeli SRT baharu, termasuk Durango Hellcat, bakal menerima sesi selama satu hari untuk mengeksplorasi jentera baharu mereka dalam persekitaran yang terkawal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025