Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga bahan api 19-25 September – semua turun!

    Harga bahan api 19-25 September – semua turun!

    Nampaknya harga bahan api menunjukkan trend penurunan – minggu lalu sudah turun 5 hingga enam sen seliter, dan minggu ini turun lagi. Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan bahawa harga runcit bagi kesemua bahan api untuk minggu bertarikh 19 hingga 25 September 2020 adalah turun dari 3 hingga 5 sen seliter.

    Bermula tengah malam ini, harga untuk petrol RON 97 akan dijual pada harga RM1.93 seliter, turun sebanyak 3 sen seliter berbanding minggu sebelum ini. Manakala untuk petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.63 seliter, juga turun sebanyak 3 sen seliter.

    Untuk diesel pula, harga bagi gred Euro 2M dijual pada harga RM1.67 seliter dan Euro 5 pula RM1.77 seliter – kedua-duanya turun 5 sen seliter. Diulangi, kesemua harga ini efektif mulai tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 25 September 2020.

     
     
  • Kereta elektrik CBU dikenakan duti eksais 10% – jauh lebih rendah berbanding kereta petrol dan diesel biasa

    Kereta elektrik CBU dikenakan duti eksais 10% – jauh lebih rendah berbanding kereta petrol dan diesel biasa

    Semasa majlis pelancaran Porsche Taycan sebentar tadi, presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad telah memberitahu paultan.org bahawa semua kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) dikenakan duti eksais 10% tanpa mengikut jenama.

    “Ia adalah automatik (merujuk kepada kadar duti tersebut). Kereta elektrik CBU 10%,” kata Aishah. Beliau juga mengesahkan bahawa syarikat kereta di Malaysia tidak perlu melakukan sebarang aturan khas dan tiada syarat tertentu (contohnya seperti melabur untuk kemudahan pengecasan) bagi menikmati kadar tersebut.

    Duti eksais 10% boleh dikira rendah kerana kenderaan penumpang lain yang menggunakan enjin pembakaran dalaman dikenakan kadar sehingga 105%. Taycan yang termasuk dalam kategori EV CBU masuk ke Malaysia dengan harga RM725,000 untuk Taycan 4S, RM999,000 untuk Taycan Turbo dan RM1,195,000 untuk Taycan Turbo S.

    Kereta elektrik CBU dikenakan duti eksais 10% – jauh lebih rendah berbanding kereta petrol dan diesel biasa

    Aishah juga mengesahkan bahawa cukai jalan untuk kenderaan elektrik dikira berdasarkan kuasa kilowatt, dan struktur cukai jalan yang sama turut digunakan. Apabila ditanya berkenaan kenderaan elektrik menggunakan struktur harga cukai jalan yang berbeza, Aishah menjawab, “sebelum ini ia dikira berdasarkan cc (kapasiti), tetapi sekarang ia ditukar kepada kilowatt.”

    Bermula Mac tahun lalu, kadar cukai jalan untuk kenderaan elektrik di Malaysia adalah seperti berikut:

    Kereta saloon persendirian – individu (kod AB) dan pendaftaran syarikat (AC) – dengan tahap kuasa 80 kW ke bawah, kadarnya adalah:

    50 kW ke bawah – RM20
    Atas 50 kW hingga 60 kW – RM44
    Atas 60 kW hingga 70 kW – RM56
    Atas 70 kW hingga 80 kW – RM72

    Kenderaan yang mempunyai kuasa motor lebih 80 kW dikenakan cukai jalan asas, serta tambahan kadar progresif. Jumlah penuh yang perlu dibayar dikira seperti yang ditunjukkan di bawah:

    Atas 80 kW hingga 90 kW – RM160, dan RM0.32 sen untuk setiap peningkatan 0.05 kW (50 watt) dari 80 kW
    Atas 90 kW hingga 100 kW – RM224, dan RM0.25 sen untuk setiap peningkatan 0.05 kW (50 watt) dari 90 kW
    Atas 100 kW hingga 125 kW – RM274, dan RM0.50 sen untuk setiap peningkatan 0.05 kW (50 watt) dari 100 kW
    Atas 125 kW hingga 150 kW – RM524, dan RM1.00 untuk setiap peningkatan 0.05 kW (50 watt) dari 125 kW
    Atas 150 kW – RM1,024, dan RM1.35 untuk setiap peningkatan 0.05 kW (50 watt) dari 125 kW

     
     
  • Ferrari SF90 Stradale dilancarkan di M’sia – 3,990 cc V8, klac berkembar 8-kelajuan baharu; dari RM1.908j

    Ferrari SF90 Stradale dilancarkan di M’sia – 3,990 cc V8, klac berkembar 8-kelajuan baharu; dari RM1.908j

    Ferrari Malaysia telah memperkenalkan supercar SF90 Stradale untuk pasaran tempatan. Nama “SF90” adalah merujuk kepada ulang tahun ke-90 bagi yayasan Scuderia Ferrari dan “Stradale” pula bermaksud “jalan”. Ini merupakan model plug-in hybrid produksi pertama dari pengeluar Itali tersebut dan menggunakan gabungan enjin V8 turbo serta dua motor elektrik – dua pada gandar hadapan dan satu lagi di belakang.

    Enjin pembakaran dalaman yang digunakan adalah unit F154 sama seperti yang digunakan pada model Pista dan F8 Tributo. Walau bagaimana pun ia telah dinaik taraf dan kapasitinya meningkat 88 cc lagi (daripada 3,902 cc) menjadi 3,990 cc dengan gandingan V8 lapan-silinder. Sekaligus mampu menghamburkan kuasa sehingga 780 PS dan 800 Nm tork pada 6,00 rpm.

    Tiga motor elektrik itu pula mampu memberikan kuasa tambahan 220 PS (162 kW), yang datangnya daripada pek bateri 7.9 kWh yang ditempatkan di belakang tempat duduk. Melalui sistem hibrid ini, pemandu boleh menggunakan kuasa elektrik sahaja untuk memacu jentera (pacuan roda hadapan sahaja) dan ia boleh dipacu sehingga 25 km dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 135 km/j.

    Ferrari SF90 Stradale dilancarkan di M’sia – 3,990 cc V8, klac berkembar 8-kelajuan baharu; dari RM1.908j

    SF90 Stradale juga merupakan jentera sport Ferrari pertama yang dilengkapi dengan pacuan 4WD yang mampu mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat dan 0-200 km/j pula hanya 6.7 saat. Menjadikannya lebih pantas berbanding LaFerrari jika mengikut pace ketika diuji di litar lumba.

    Ia juga menerima padanan kotak gear baharu dengan unit dwi-klac berkembar lapan-kelajuan. Selain nisbah gear serta maklum balas lebih pantas, ia juga menggunakan set klac yang lebih kompak dan 10 kg lebih ringan (tiga kilogram daripadanya adalah disebabkan tiada lagi gear undur, dengan tugas itu diambil oleh motor elektrik).

    Sistem hibrid ini juga menambah berat 270 kg pada kereta, tetapi hasil daripada penggunaan bahan serba ringan, berat kenderaan masih dapat dijadikan rendah, iaitu cuma 1,570 kg.

    Ferrari SF90 Stradale dilancarkan di M’sia – 3,990 cc V8, klac berkembar 8-kelajuan baharu; dari RM1.908j

    Bagi memantapkan lagi prestasi jentera ini, ia didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu eDrive untuk elektrik penuh, Hybrid untuk mod standard yang akan memilih tetapan mengikut kesesuaian keadaan, Performance yang memberi lebih keutamaan untuk mengecas bateri berbanding penggunaan bahan api dan Qualify untuk prestasi yang paling tinggi.

    Untuk bahagian elektronik, jentera ini turut tampil dengan sistem Electronic Side Slip Control (eSSC), torque vectoring, Electric Traction Control (eTC) dan rotation axis control – electric (RAC-e), di mana kesemuanya bagi membantu dinamik kenderaan dan mendapatkan cengkaman yang lebih baik.

    Bukan itu sahaja, sistem brek juga diberikan sentuhan baharu yang menggabungkan sistem elektrik dan hidraulik. Ia menampilkan rekaan kaliper brek hadapan baharu dengan kerjasama Brembo, meningkatkan prestasi penyejukan dan juga kawalan brake-by-wire. Dalam keadaan brek biasa, elektrik digunakan untuk menyokong sistem penjanaan semula kuasa dan apabila membrek kuat, sistem hidraulik akan membantu untuk memberikan lebih kuasa henti.

    Bagi rekaan luarannya, ternyata imej SF90 Stradale yang berdimensi 4,710 mm panjang, 1,972 mm lebar dan 1,186 mm tinggi ini memang cukup memukau. Ia masih mengambil inspirasi daripada jentera lumba F1 termasuk bahagian-bahagian aerodinamik aktif yang boleh berubah bergantung kepada keadaan kereta dan kelajuan demi membantu cengkaman.

    Antara sentuhan rekaannya termasuklah overhang yang lebih kompak, dengan bahagian belakang lebih pendek berbanding hadapan. Pusat graviti yang lebih rendah juga mendorong pasukan pereka Ferrari untuk merendahkan bahagian kabin sebanyak 20 mm. Lampu utama dengan teknologi LED matrix yang lebih tajam membuatkan penampilan SF90 Stradale ini nampak ‘sombong’. SF90 Stradale turut didatangkan dengan rim 20-inci yang dibaluti tayar 255/35 di depan dan 315/30 di belakang.

    Manakala untuk bahagian belakangnya, sifat yang lebih garang dan agresif lebih terserlah, ia didominasi denggan sepasang paip ekzos yang diposisikan agak tinggi. Manakala lampu belakang berbentuk bulat tetap menjadi ikonik bagi kebanyakan model Ferrari yang lain. “Wing” berkembar pada penutup enjin bahagian seksyen belakang -yang disambungkan dengan lampu brek ketiga- memantapkan lagi gayanya.

    Menjengah bahagian dalamnya, SF90 Stradale menampilkan bentangan kokpit baharu, lebih kurang sama dengan Roma. Ia turut menaiktaraf aspek HMI (human-machine interface) bagi kluster instrumen digital definisi-tinggi 16-inci baharu, yang merupakan inovasi pertama bagi kenderaan siri produksi di dunia. Paparan ini boleh dikonfigurasi dan dikawal sepenuhnya dengan butang kawalan pada roda stereng.

    Roda stereng juga ditampilkan dengan ciri baharu dengan fungsi touchpad dan beberapa butang haptic, yang membolehkan pemandu mengawal aspek operasi pada jentera dengan hanya menggunakan ibu jari. Manakala tombol gear pula mengambil inspirasi daripada model lama Ferrari. Sistem navigasi baharu juga diberikan, termasuk juga dengan paparan unit utama yang disesuaikan dengan filosofi baharu Ferrari iaitu “eyes-on-the-road, hands-on-the-steering” (EOTR-HOTS).

    Selain itu, kunci pencucuhan juga baharu dengan mempersonalisasikan nama model serta menampilkan teknologi tanpa kunci sepenuhnya. Manakala tempat duduk sport juga telah direka semula dan 4.5 kg lebih ringan berbanding tempat duduk sport semasa. Bukan itu sahaja, kawalan kotak gear pula menampilkan rekaan gaya-gril yang nampak klasik.

    SF90 Stradale ditawarkan dengan harga bermula RM1,908,000.00 (sebelum segala macam cukai, kos pilihan kustom dan insurans). Ia turut didatangkan dengan program penyelenggaraan selama tujuh-tahun dengan servis berjadual sama ada untuk setiap 20,000 km atau setahun sekali tanpa had perbatuan.

     
     
  • Modenas buka pusat servis baru di Kuala Terengganu

    Modenas buka pusat servis baru di Kuala Terengganu

    Modenas telah membuka sebuah pusat servis baru di Kuala Terengganu, dengan pengurusannya diusahakan oleh DRZ Motorsport. Ini adalah pusat servis kedua Modenas di kawasan Pantai Timur, dan menjadikan jumlah keseluruhannya dalam negara sebanyak 37 pusat servis.

    Melalui pusat servis ini, pemilik Modenas dapat menikmati servis berkualiti tinggi secara pantas termasuklah alat ganti untuk semua model seperti Pulsar NS160, NS200, RS200, Dominar D400 dan V15. Pusat servis ini juga mempunyai alat lengkap untuk melakukan diagnostik motosikal.

    Pembukaan pusat servis ini adalah sebahagian daripada perancangan Modenas untuk meningkatkan lagi khidmat selepas jualan dengan sasaran melengkapkan 40 pusat servis menjelang hujung tahun ini.

    Pusat servis baru Modenas di Kuala Terengganu terletak di 116C Jalan Chabang Tiga Simpang Tok Ku, dan dibuka pada hari Isnin hingga Ahad (kecuali Jumaat dan cuti umum) dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Mini Moke kembali ke pasaran UK, bermula RM107K!

    Mini Moke kembali ke pasaran UK, bermula RM107K!

    Mini Moke, varian Mini asli rekaan Sir Alec Issigonis dalam bentuk seakan buggy yang ikonik di Malaysia dalam filem lagenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Anak Bapak, kini dihasilkan semula dan akan mula dijual dalam pasaran UK.

    Kereta tersebut akan dihasilkan oleh Moke International, yang telah membeli hak cipta berkenaan lima tahun lalu, dan telahpun membina Moke moden ini untuk kegunaan pelanggan resort di Caribbean. Sekarang, syarikat berkenaan telahpun mendapat kebenaran kawalselia untuk menjual Moke tersebut di tempat asalnya, UK.

    Model asal Moke sememangnya dihasilkan dengan komponen-komponen utama dari Mini sebenar termasuk casis. Namun untuk Moke baharu ini, ia dihasilkan dengan saiz yang lebih besar bagi memberikan ruang lebih baik kepada penumpang, tetapi masih mengekalkan rupa asalnya.

    Mini Moke kembali ke pasaran UK, bermula RM107K!

    Di UK, Moke akan dijana oleh enjin petrol 1.1 liter empat-silinder berkuasa 67 hp dan tork maksima 93 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 109 km/h. Dengar macam tak laju, tetapi dengan badan tanpa sebarang pintu dan bumbung serta saiznya yang kecil, pemanduan Moke ini pasti memberikan sensasinya tersendiri.

    Enjin berkenaan boleh dipilih untuk dipadankan sama ada dengan kotak gear manual atau automatik, kedua-duanya adalah empat-kelajuan. Moke International turut menyatakan bahawa sistem suspensi dan brek model moden ini telah diperbaharui, bermaksud pemanduan dan prestasi pemberhentiannya juga sepatutnya lebih baik dari versi asli.

    Mini Moke kembali ke pasaran UK, bermula RM107K!

    Moke baharu ini juga ditingkat taraf dengan pemadanan komponen lebih moden seperti sistem stereng berkuasa dan cermin hadapan dengan pemanas yang diberikan secara standard. Pembeli diberikan pilihan 13 warna badan berbeza untuk Moke ini.

    Mini Moke yang diproduksi semula ini tidak dijual dengan harga yang murah – ia ditawarkan dengan harga bermula 20,000 pound (RM107,000) untuk versi asas tanpa sebarang kelengkapan opsyen. Jualan Moke ini akan dimulakan dengan 56-unit model edisi terhad, yang menampilkan kemasan-kemasan krom serta lencana-lencana istimewa.

     
     
  • Honda Civic dan BR-V kini dalam warna Platinum White Pearl untuk ganti pilihan White Orchid Pearl

    Honda Civic dan BR-V kini dalam warna <em>Platinum White Pearl</em> untuk ganti pilihan <em>White Orchid Pearl</em>

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa dua model mereka iaitu Civic facelift dan BR-V facelift kini boleh dipilih dalam warna premium Platinum White Pearl. Warna yang pertama kali diperkenalkan pada Odyssey facelift dan kemudian Accord generasi ke-10 ini akan menggantikan penawaran White Orchid Pearl sedia ada.

    Menurut pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, keputusan yang diambil untuk mengubah penawaran warna putih ini terhadap dua model terbabit diambil selepas menerima maklum balas positif dari pelanggan Honda Accord.

    White Orchid Pearl merupakan warna yang popular di kalangan pelanggan Honda, yang menyumbang masing-masing kepada 38% dan 25% dari jumlah keseluruhan jualan Civic dan BR-V. Ketika kami memperkenalkan warna Platinum White Pearl pada Accord awal tahun ini, kami lihat penerimaan yang baik pada pasaran untuk warna ini yang menyumbang 33% dari jumlah jualan model tersebut,” kata Ishiyama.

    Honda Civic dan BR-V kini dalam warna <em>Platinum White Pearl</em> untuk ganti pilihan <em>White Orchid Pearl</em>

    “Kami memperluaskan warna ini kepada model peneraju segmen-C dan juga crossover tujuh-tempat duduk yang dikemaskini sebagai respon dari maklumbalas pelanggan,” jelasnya lagi.

    Bagi pelanggan yang akan memilih warna Platinum White Pearl tersebut pada Civic dan BR-V, mereka akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM272.73. Pelanggan terawal yang memilih warna ini akan menerima kereta mereka bermula pada November nanti.

     
     
  • Porsche Taycan tiba di Malaysia – tiga varian, harga RM725k – RM1.2 juta, jarak gerak hingga 464 km

    Porsche Taycan tiba di Malaysia – tiga varian, harga RM725k – RM1.2 juta, jarak gerak hingga 464 km

    Sejak awal tahun lepas lagi Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa masuk Porsche Taycan ke dalam pasaran Malaysia. Malah, pengumuman telah dibuat sebelum model itu dipertontonkan pertama kali kepada dunia pada bulan September. Kini akhirnya, model elektrik tersebut sudah mula dijual di negara kita.

    Gambaran awal untuk Taycan ditunjuk mulanya melalui model konsep Mission E pada tahun 2015. Apabila sudah memasuki fasa produksi, bentuknya tidak banyak berubah dan masih mengekalkan muka sama yang mempunyai bukaan udara menegak di hujung bampar dan bersambung dengan lampu utama yang mempunyai LED empat bintik.

    Pada bahagian tepi, selain bukaan untuk udara keluar, anda juga boleh melihat tempat mengecas yang boleh dibuka dengan satu sentuhan sahaja. Bentuk Taycan ini lebih menyerupai Panamera tetapi bahagian belakangnya lebih tirus dan ia menggunakan pembuka pintu yang sama rata dengan panel badan, seperti 911 generasi 992.

    Porsche Taycan tiba di Malaysia – tiga varian, harga RM725k – RM1.2 juta, jarak gerak hingga 464 km

    Bahagian dalam Taycan juga lebih futuristik berbanding model lain yang pernah dikeluarkan oleh Porsche. Di hadapan pemandu terdapat skrin 16.8 inci untuk instrumen, di bahagian tengah terdapat dua skrin iaitu 10.9 inci di atas dan 8.4 inci di bawah, sementara di hadapan penumpang terdapat satu lagi skrin bersaiz 10.9 inci.

    Untuk pasaran Malaysia, Taycan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Taycan 4S, Taycan Turbo dan Taycan Turbo S. Kesemuanya menggunakan tetapan pacuan empat roda, bersama motor elektrik untuk setiap gandar. Motor di hadapan disambungkan kepada transmisi satu kelajuan sementara motor di belakang dipadankan bersama transmisi dua kelajuan.

    Pada Taycan 4S, motor elektriknya boleh menghasilkan 435 PS (429 hp atau 320 kW) dan 640 Nm tork, tetapi dengan fungsi overboost dan Launch Control, ia boleh ditingkatkan lagi kepada 530 PS (523 hp atau 390 kW) buat seketika. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa empat saat, dengan laju maksimum 250 km/j.

    Varian ini juga ditawarkan dengan pilihan Performance Battery Plus, yang dapat meningkatkan kuasanya kepada 490 PS (483 hp atau 360 kW) dan 650 Nm (overboost: 571 PS, 563 hp atau 420 kW). Prestasi tidak berubah, tetapi peningkatannya dapat dinikmati melalui jarak gerak.

    Pergi pula kepada model Taycan Turbo, anda disediakan dengan 625 PS (617 hp atau 460 kW) dan 850 Nm (overboost: 680 PS, 670 hp atau 500 kW). Pecutan 0-100 km/j untuk varian ini adalah 3.2 saat sementara laju maksimumnya adalah 260 km/j.

    Varian paling atas dan paling berkuasa, Taycan Turbo S menyediakan 625 PS dan 1,050 Nm (overboost: 761 PS, 751 hp atau 560 kW), sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat tetapi laju maksimumnya masih lagi sama seperti Taycan Turbo iaitu 260 km/j.

    Porsche Taycan tiba di Malaysia – tiga varian, harga RM725k – RM1.2 juta, jarak gerak hingga 464 km

    Kuasa untuk motor elektrik Taycan 4S datang daripada pek bateri lithium ion 79.2 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak 408 km (mengikut kitaran WLTP) melalui satu cas penuh. Apabila dipasang dengan pakej naik taraf tambahan Performance Battery Plus, jaraknya boleh menjadi 464 km, melalui bateri berkapasiti 93.4 kWh.

    Dua lagi varian Taycan menggunakan pek bateri 93.4 kWh secara standard, dengan Taycan Turbo memberi jarak gerak 450 km manakala Taycan Turbo S menyediakan jarak 412 km. Perlu diketahui juga, Taycan adalah kereta produksi pertama yang menggunakan sistem elektrikal 800 volt sementara baterinya pula diletakkan di bawah lantai.

    Semua varian Taycan mendapat suspensi udara adaptif dengan spring udara three-chamber, Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Porsche Traction Management (PTM). Rim standard untuk Taycan 4S bersaiz 19 inci dan di sebaliknya terdapat brek cakera 360 mm dengan angkup enam piston di hadapan dan cakera 358 mm dengan angkup empat piston di belakang.

    Taycan Turbo pula mendapat rim 20 inci dengan sistem brek Porsche Surface Coated Brake (PSCB) yang terdiri daripada cakera tungsten disalut carbide (saiz 415 mm di hadapan dan 365 mm di belakang, bersama angkup 10 piston dan empat piston. Angkup brek yang sama digunakan pada Taycan Turbo S, tetapi ia dinaik taraf dengan Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB) yang memberikan cakera seramik saiz 420 mm di hadapan dan 410 mm di belakang.

    Sistem brek ini bekerjasama dengan sistem penjanaan semula kuasa untuk mengecas bateri tetapi anda masih lagi perlu mengecas bateri itu secara betul untuk memastikan ia dapat penuh. Untuk itu, ada dua pengecas yang disediakan iaitu unit AC sambungan Type 2 dan pengecas 11 kW pada kereta.

    Melalui pengecas AC, bateri berkapasiti lebih kecil pada Taycan boleh penuh dalam masa lapan jam sementara bateri 93.4 kWh memerlukan masa sembilan jam. Untuk tempoh lebih pendek, Taycan juga boleh menggunakan sambungan CCS dengan pengecas DC 270 kW.

    Porsche Taycan tiba di Malaysia – tiga varian, harga RM725k – RM1.2 juta, jarak gerak hingga 464 km

    Melalui sistem pengecasan pantas yang disambungkan kepada pengecas 50 kW, daripada tahap 5%, ia boleh mencapai 80% dalam masa 93 minit, atau 31 minit untuk memberi jarak gerak 100 km. Tempoh ini boleh dipendekkan lagi menggunakan pengecas 270 kW, di mana ia akan mengambil masa 22.5 minit untuk mencapai tahap 80% daripada 5%, atau 5.5 minit untuk memberikan jarak gerak 100 km.

    Apabila membeli Taycan, anda akan diberikan dengan Porsche Charging Dock (pengecas AC 22 kW) dan Porsche Home Energy Manager, dan rumah anda akan diperiksa untuk memastikan sistem elektrikalnya dapat digunakan dengan pengecas ini.

    Anda juga boleh menggunakan stesen pengecas awam yang berada di sekitar Malaysia, termasuk yang berada dalam rangkaian ChargEV. Sekiranya mahu menggunakan pengecas DC, ada juga disediakan di beberapa tempat, dengan kapasiti pengecasan 50 kW.

    Porsche Taycan tiba di Malaysia – tiga varian, harga RM725k – RM1.2 juta, jarak gerak hingga 464 km

    Untuk memastikan pemilik dapat menggunakan pengecas pantas, SDAP telah mengambil langkah menyediakan pengecas DC 175 kW di pusat servis Porsche Centre Ara Damansara, yang dapat memenuhkan bateri dalam masa 36 minit sahaja. Pengecas ini sudah dipasang lebih awal sementara penghantara Taycan kepada pelanggan dijangka berlaku dalam masa suku pertama tahun 2021.

    Bagi harga, Taycan 4S dijual pada harga RM725,000, Taycan Turbo RM999,000 dan Taycan Turbo S RM1,195,000. Harga ini tidak termasuk insurans dan semuanya datang dengan jaminan serta program penyelenggaraan empat tahun, bersama jaminan bateri lapan tahun. Jaminan ini boleh disambung menjadi 15 tahun sekiranya pelanggan mahu.

    GALERI: Porsche Taycan 4S

    GALERI: Porsche Taycan Turbo

    GALERI: Porsche Taycan Turbo S

     
     
  • Besraya umum penutupan jalan di beberapa lokasi di KL mulai 19 Sept bagi kerja membina Kuchai Link 2

    Besraya umum penutupan jalan di beberapa lokasi di KL mulai 19 Sept bagi kerja membina Kuchai Link 2

    Besraya (M) Sdn Bhd selaku pengendali syarikat konsesi Lebuhraya Sungai Besi (Lebuhraya Besraya) telah mengumumkan bakal melaksanakan pengurangan fasa lampu isyarat dari tiga kepada dua fasa di persimpangan lampu isyarat Kuchai Lama bagi memberi laluan kepada kerja-kerja akhir pembinaan Jejambat Hubungan Kuchai (Kuchai Link 2) mulai 19 September ini (esok).

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pelaksanaan dua fasa itu melibatkan penutupan laluan di persimpangan lampu isyarat dari arah Salak Jaya ke Sri Petaling dan laluan dari arah Taman Salak Selatan ke Salak Jaya atau pusat bandar.

    Justeru, pengguna dari arah Taman Salak Selatan perlu membuat pusingan-U di persimpangan lampu isyarat Kuchai Entrepreneur untuk menuju arah Salak Jaya dan pusat bandar, manakala pengguna dari arah Salak Jaya dan Kuchai Lama yang ingin ke Sri Petaling perlu membuat pusingan-U di KM10.5 arah Selatan, laporan Bernama.

    Selain itu, Besraya juga membuat penutupan pusingan-U di KM10.5 arah Utara melibatkan pergerakan trafik dari arah Pekan Sungai Besi dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban ke Kampung Malaysia bagi membantu melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak.

    Dalam masa yang sama semua pengguna lebuhraya berkenaan dinasihati agar mematuhi semua arahan papan tanda keselamatan dan tanda arah bagi mengelak sebarang kekeliruan. Maklumat lanjut boleh hubungi Besraya infoline di 1-800-88-0999.

     
     
  • Trak pikap Hyundai sah tak pakai casis ladder frame, kongsi platform dengan Tucson generasi baharu

    Trak pikap Hyundai sah tak pakai casis <em>ladder frame</em>, kongsi platform dengan Tucson generasi baharu

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Teka-teki sama ada trak pikap pertama keluaran Hyundai akan menggunakan casis tradisional ladder frame atau unibody kini sudahpun terjawab – ketua produk global Hyundai, Lorenz Glaab mengesahkan model yang dikhabarkan akan digelar Santa Cruz (sama dengan model konsepnya) itu dihasilkan di atas platform sama dengan SUV Hyundai Tucson generasi baharu, lapor CarAdvice.

    Secara spesifik, platform unibody generasi baharu tersebut digelar sebagai ‘M3’ dan ia turut menjadi asas kepada SUV divisi mewah Hyundai, Genesis GV80. Ini bermaksud, Santa Cruz akan dihasilkan seakan Honda Ridgeline dengan casis lebih mirip kepada sebuah kereta, berbanding casis seakan lori seperti trak pikap konvensional Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton misalnya.

    Juga boleh dijangka, unit janakuasa pada Santa Cruz ini juga akan mirip kepada sebuah SUV dengan suspensi bebas di belakang yang lebih selesa, serta sistem pacuan semua roda sepanjang masa tanpa transfer case dengan gear rendah.

    Trak pikap Hyundai sah tak pakai casis <em>ladder frame</em>, kongsi platform dengan Tucson generasi baharu

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Untuk enjin, penawarannya juga mungkin mirip dengan Hyundai Tucson yang baharu sahaja diperkenalkan tempoh hari, ditawarkan dengan enjin petrol Smartstream 2.5 liter suntikan-terus empat-silinder NA berkuasa 190 PS/260 Nm untuk versi tanpa sistem hibrid.

    Juga tidak mustahil ia akan hadir dengan enjin diesel dari barisan SUV Hyundai yang lain, seperti unit turbodiesel 2.2 liter R CRDi berkuasan 193 PS/440 Nm pada Santa Fe, dan juga enjin 3.0 liter enan-silinder turbodiesel sama seperti Genesis GV80.

    Model konsep trak pikap Santa Cruz ini telah didedahkan buat pertama kali di Detroit pada tahun 2015. Pada peringkat permulaan ia dirancang untuk dibina di atas platform ladder frame, namun dalam satu foto intipan pada Februari lalu yang memaparkan sebuah kerangka unit prototaip yang sedang diangkat, mendedahkan struktur belakangnya nampak seakan dihasilkan dari platform unibody dengan cagak untuk sistem suspensi bebas.

    GALERI: Spyshot prototaip Hyundai Santa Cruz sedang di uji

    GALERI: Model konsep Hyundai Santa Cruz 2015

     
     
  • Jangan tidur dalam kereta yang tak bergerak tapi enjin dihidupkan – karbon monoksida pembunuh senyap!

    Jangan tidur dalam kereta yang tak bergerak tapi enjin dihidupkan – karbon monoksida pembunuh senyap!

    Malam tadi kita dikejutkan dengan berita mengenai kematian tiga wanita dan seorang lagi rakan mereka kritikal akibat keracunan karbon monoksida (CO) selepas mereka tertidur di dalam kereta sewaktu berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, Pulau Pinang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata, tiga yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan, manakala yang sedang dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar kepada Nor Adilah, laporan Bernama.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu telah pergi ke Pulau Jerejak, sempena cuti umum Hari Malaysia, dan difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.

    “Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat, namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya.

    Jangan tidur dalam kereta yang tak bergerak tapi enjin dihidupkan – karbon monoksida pembunuh senyap!

    Menurut World Health Organization (WHO), CO boleh mengancam nyawa manusia walau pun dalam kadar yang rendah. Dalam dunia automotif, CO merupakan salah satu daripada beberapa jenis gas yang boleh membahayakan kesihatan. Di mana ia terhasil menerusi pembakaran bahan api dalam enjin kenderaan dan menghasilkan gas yang boleh bertukar menjadi racun dan sekaligus mampu membunuh secara senyap. Selain itu, gas lain yang berbahaya yang boleh dihasilkan oleh enjin kenderaan termasuklah hidrokarbon dan nitrogen oksida.

    Walau bagaimana pun, beberapa bahagian dalam sistem ekzos kenderaan boleh berfungsi untuk mengurangkan bahaya gas-gas berkenaan. Bahagian tersebut ialah manifold, paip ekzos, penderia oksigen, catalytic converter, muffler dan corong ekzos. Tetapi bagaimanakah CO boleh ‘bolos’ dalam kenderaan walau pun terdapat bahagian-bahagian tersebut sedangkan ia berfungsi untuk menukar CO menjadi gas yang lebih selamat iaitu karbon dioksida (CO2)?

    Mengikut kajian yang dijalankan oleh Iowa State University, ia terjadi apabila terdapat kebocoran pada sistem ekzos. Enjin petrol pembakaran dalaman boleh menghasilkan kepekatan CO yang sangat tinggi. Walau pun enjin tersebut ditala dengan betul, namun ia akan menghasilkan lebih daripada 30,000 bahagian per juta (PPM) CO sebelum ditukarkan menjadi CO2 tidak bertoksin di dalam catalytic converter.

    Apabila ekzos mengalami kebocoran, ia akan melepaskan CO dan gas beracun ini dapat memasuki kabin kenderaan melalui lubang di badan kenderaan atau tingkap atau pintu yang terbuka. Oleh itu, sistem ekzos mesti kedap gas dari enjin hinggalah ke hujung corong ekzos bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini daripada berlaku.

    Jangan tidur dalam kereta yang tak bergerak tapi enjin dihidupkan – karbon monoksida pembunuh senyap!

    Mungkin ada kenalan anda berkata, “Takpe kalau nak tidur dalam kereta, hidupkan enjin, pasang aircond atau boleh bukak sikit tingkap. Tak bahaya.” Itu fakta yang tidak tepat. Menurut laman Facebook Public Health Malaysia , keracunan CO tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan kita tidak sedarkan diri. Malah, CO dari luar yang mengelilingi kereta juga bahaya. Kereta kita mungkin tidak kedap udara dan bahan ini boleh meresap masuk ke dalam kereta.

    Untuk pengetahuan, gas tersebut tidak mempunyai sebarang warna dan bau. Justeru, sukar untuk kita menyedari ‘kehadirannya’. Apabila CO bersebaran di dalam kenderaan, ia boleh memasuki saluran pernafasan dan salur darah. Kemudian ia akan bercampur dengan hemoglobin (bahagian sel darah merah yang membawa oksigen), lalu membentuk membentuk carboxyhaemoglobin. Apabila ini berlaku, darah tidak lagi mampu membawa oksigen, dan kekurangan oksigen menyebabkan sel dan tisu badan gagal dan mati.

    Antara gejala keracunan CO ialah sakit kepala, pening, lemah anggota badan, sakit perut, muntah, sakit dada dan sesak nafas serta mengalami kecelaruan. TETAPI, jika gas ini dihidu sewaktu anda sedang tidur, adalah sukar untuk anda menyedari sebarang gejala ini dan sekaligus boleh membuatkan anda tidur selama-lamanya! Menakutkan bukan?

    Jangan tidur dalam kereta yang tak bergerak tapi enjin dihidupkan – karbon monoksida pembunuh senyap!

    Oleh itu, beberapa tips telah dikeluarkan oleh pakar kesihatan dunia untuk mengelakkan perkara ini dari terjadi. Tolong ambil peduli dan lebih peka atas segala tindakan anda.

    • Jangan memanaskan enjin di kawasan yang tertutup kerana asap ekzos akan memenuhi ruang terbabit dan boleh mengandungi CO sekaligus boleh menyebabkan keracunan gas.
    • Jangan tidur di dalam kenderaan yang tidak bergerak tetapi enjin masih dihidupkan, walau pun tingkap atau pendingin hawa dibuka atau ditutup. Kalau nak tidur dalam kereta, sila matikan enjin.
    • Sila pastikan sistem ekzos kenderaan anda diperiksa dan diselenggara dengan baik. Jika anda mendapati ekzos berbunyi kuat dan kasar serta ada mengeluarkan bau asap yang teruk, itu merupakan antara tanda ekzos anda bocor. Segera bawa kenderaan anda ke pusat servis untuk pemeriksaan lanjut.
    • Jika indikator ‘check engine’ menyala, kemungkinan penderia oksigen ada mengesan masalah dalam sistem pembakaran enjin dan gas ekzos. Jadi, jangan buat-buat tak nampak atau pandang enteng sekiranya indikator tersebut menyala. Tindakan segera perlu diambil dengan membawa kenderaan anda ke pusat servis.
    • Jangan melakukan modifikasi yang boleh mendatangkan bahaya. Mungkin nak bikin kereta lebih ‘power’ ada pulak yang sanggup membuang komponen penting seperti catalytic converter dan muffler.
     
     
  • Isuzu D-Max 2021 dapat 5-bintang, ANCAP diperketat

    Isuzu D-Max 2021 dapat 5-bintang, ANCAP diperketat

    Isuzu D-Max 2021 telah menerima penarafan lima-bintang bagi Australasian New Car Assessment Program (ANCAP), dan menjadi model pertama yang diuji dalam kriteria program yang lebih ketat tersebut. Diperkenalkan di pasaran Australia dan New Zealand bulan ini, penarafan berkenaan turut diterima pakai bagi semua varian yang dijual di sana, jelas ANCAP.

    Dalam ujian berkenaan, D-Max mencatatkan skor 83% bagi perlindungan penumpang dewasa (AOP), 89% bagi perlindungan penumpang kanak-kanak (COP) dan 69% bagi perlindungan pengguna jalan yang terdedah. Sementara itu D-Max 2021 memperoleh skor bantuan keselamatan sebanyak 81%.

    Dalam ujian hentaman hadapan, kompartmen penumpang trak ini didapati masih kekal stabil, walaupun perlindungan dada dan atas kaki pemandu hanya marginal. Perlindungan bagi dada penumpang serta bahagian bawah kaki pemandu dan penumpang adalah sederhana, sementara perlindungan bagi bahagian badan lain yang kritikal adalah baik.

    Isuzu D-Max 2021 dapat 5-bintang, ANCAP diperketat

    Bagi impak terhadap penumpang belakang bagi ujian perlanggaran depan itu pula adalah marginal, sementara untuk bahagian badan lain yang lebih kritikal dikelaskan sebagai baik. Mata penuh diberikan kepada D-Max bagi impak sisi serta ujian tiang, di mana trak berkenaan mencatatkan markah yang baik.

    Sistem AEB yang ada pula tidak mengesan pejalan kaki ketika kenderaan sedang mengundur, seperti laporan yang tersedia. Bagaimanapun, AEB bagi fungsi mengelakkan perlanggaran kenderaan di depan berhasil menyelamatkan keadaan dan berfungsi seperti yang sepatutnya. Ciri Lane Support yang disediakan sebagai standard bagi semua D-Max 2021 di sana juga diberi penarafan baik.

    Isuzu D-Max 2021 generasi ketiga ini mula masuk pasaran Oktober lalu dan mula dijual di Thailand dalam bulan yang sama. Untuk di Malaysia, Januari lalu Isuzu Malaysia memaklumkan bahawa model generasi ketiga ini tidak akan masuk ke pasaran tempatan kita tahun ini, untuk memberi jalan kepada model generasi kedua yang masih dijual ketika ini.

     
     
  • Bentley Continental GT Mulliner Coupé 2021 didedah

    Bentley Continental GT Mulliner Coupé 2021 didedah

    Selepas lebih satu bulan Continental GT Mulliner Convertible dikeluarkan, Bentley kini memperkenalkan pula versi coupe untuk model tersebut. Ia akan dibawa untuk tontonan umum buat pertama kali 22 September ini semasa acara Salon Privè di United Kingdom.

    Sama seperti versi bumbung boleh buka, Continental GT Mulliner Coupe ini juga menawarkan lebih banyak lagi ubah suai khas yang boleh dipilih oleh pelanggan. Dalam keadaan standard, ia dilengkapi dengan gril matriks ‘Double Diamond’ dengan bahagian dalam hitam dan perak, bukaan udara warna sama, pelindung cermin sisi perak satin serta kemasan bawah pintu berlampu dengan tulisan Mulliner.

    Rim adalah unit 22 inci dua tona dan logo pada bahagian tengahnya boleh kekal pada kedudukan yang rata secara sendiri supaya logo B tersebut tidak pernah akan terbalik.

    Bentley Continental GT Mulliner Coupé 2021 didedah

    Di bahagian dalam, lapan tema yang menggunakan dua warna boleh dipilih. Mulliner Driving Specification diberikan secara standard, dan ini termasuk dengan tempat duduk, pintu dan panel belakang yang dibalut kulit bercorak berlian.

    Bentley memberitahu kerja penghasilan bahagian ini melibatkan hampir 400,000 jahitan untuk mencapai kualiti yang dimahukan, dengan setiap corak berlian itu mempunyai 712 jahitan sendiri. Untuk membangunkan proses sulaman ini sahaja ia mengambil masa 18 bulan.

    Ciri tambahan lain adalah seperti logo Mulliner pada tempat duduk, lapik bumbung kulit, konsol tengah dengan corak berlian, kemasan kayu venir Grand Black (satu daripada 88 pilihan yang disediakan) dengan padanan krom, serta jam analog Breitling.

    Pilihan enjin adalah sama seperti versi Convertible iaitu antara V8 twin turbo 4.0 liter atau W12 twin turbo 6.0 liter. Enjin 4.0L itu mampu menghasilkan 550 hp dan 770 Nm tork, dan membolehkan kenderaan ini memecut 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat dan mencecah kelajuan maksimum 318 km/j.

    Enjin 6.0L pula mampu menghasilkan 635 hp dan 900 Nm tork, membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan mencecah kelajuan maksimum 333 km/j. Bentley Dynamic Ride diberikan standard, dan ia menggunakan teknologi anti-roll aktif elektrik yang bleh memberikan kestabilan tambahan apabila mengambil selekoh dan lebih selesa apabila meluncur biasa.

     
     
  • Proton sahkan harga X50 yang tersebar adalah palsu

    PROTON would like to state that the price list for the upcoming PROTON X50 has not been released or disclosed at this…

    Posted by Proton Cars on Thursday, 17 September 2020

    Dah habis geram nak tengok rupa sebenar Proton X50, sekarang geram pulak nak tahu harga-harga untuk setiap varian SUV segmen-B tersebut kan? Walau geram macam mana pun, janganlah kita sebarkan berita palsu. Jika anda ada menerima imej X50 dengan tanda harga seperti di atas, hentikanlah dari menyebarnya kerana Proton sendiri telah menyatakan bahawa ia adalah palsu.

    Rupa dan hampir kesemua perincian spesifikasi untuk Proton X50 ini telah pun didedahkan dalam satu majlis prebiu eksklusif untuk media pada selasa lalu, namun ia belum lagi dilancarkan secara rasmi, justeru harga sebenar untuk kesemua varian juga masih belum dimuktamadkan dan diumumkan.

    Walau bagaimanapun, pelanggan yang berminat sudah pun boleh menempahnya dengan bayaran RM500, bagi memastikan mereka boleh menjadi yang terawal untuk memiliki X50 ini yang hanya akan dihasilkan sebanyak 8,000 unit untuk tahun 2020 ini, sebelum tempoh pengecualian cukai jualan berakhir pada 31 Disember nanti.

    Proton X50 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Namun ketika pendedahan pada tempoh harim hanya varian paling tinggi, Flagship yang ditunjukkan. Semua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, tetapi tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

    Untuk model Turbo-GDI pada versi Flagship, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua enjin berkenaan menerima hanya menerima satu jenis kotak gear yang sama iaitu transmisi klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan yang dibangunkan bersama Geely-Volvo. Juga, ia hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda.

    Proton sahkan harga X50 yang tersebar adalah palsu

    Proton X50 ini diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely-Volvo yang menampilkan suspensi Topang McPherson di hadapan dan juga Torsion Beam di belakang. Ia dihasilkan dalam dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm.

    Varian Flagship juga hadir dengan kelengkapan yang agak mendahului pesaingnya yang lain seperti fungsi pemanduan sendiri (autonomous) tahap 2, terdiri dari cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah di lorong, bantuan kekal lorong dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri oleh komputer pada kedudukan selari dan berserenjang.

    Untuk perincian penuh dan juga perbezaan antara varian-varian yang ditawarkan, anda boleh baca pada artikel di bawah:

  • Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2
  • Proton X50 2020: Perbezaan spesifikasi bagi setiap varian — Standard, Executive, Premium dan Flagship
  • GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Pusat servis Toyota Taman Mayang dinaiktaraf ke 2S

    Pusat servis Toyota Taman Mayang dinaiktaraf ke 2S

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan pusat servis Toyota di Taman Mayang, Petaling Jaya, kini telah dinaiktaraf daripada pusat 1S ke 2S. Ia merupakan sebuah pusat servis lengkap, mempunyai 10 ruang servis untuk meningkatkan kecekapan operasi setiap hari. Premis berkenaan diselenggara oleh 20 orang juruteknik mahir yang telah menerima latihan khusus untuk mengendalikan hal-hal servis bagi kenderaan Toyota.

    Terletak di No. 24-28, Jalan SS25/34, Taman Perindustrian Mayang, Petaling Jaya, Selangor, pusat 2S yang dikendalikan oleh pengedar sah Toyota, Unitedstar Corporation Sdn Bhd, komited untuk memberikan perkhidmatan selepas jualan kepada para pelanggan yang berada di sekitar Petaling Jaya dan kawasan yang berhampiran dengannya.

    “Premis pengedar yang moden ini mencerminkan standard tinggi yang diamalkan oleh Toyota bagi layanan terhadap pelanggan. Di seluruh dunia, rangkaian pengedar Toyota memberikan keutamaan dalam menyediakan pengalaman terbaik, termasuk servis lepas jualan dengan standard yang tinggi,” jelas Timbalan Pengerusi, UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

    Waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang, dan dibuka pada setiap hari Isnin hingga Sabtu. Bagi temujanji servis, pelanggan boleh menghubungi talian 03-78875885.

    “Sejak 2005, Unitedstar Corporation telah menjadi pengedar sah Toyota, dengan hanya mempunyai sebuah bilik pameran untuk jualan bertempat di Aman Suria, Damansara. Ini diikuti dengan pembukaan sebuah pusat 3S baharu di Taman Nilai Perdana, Seremban pada tahun 2019.

    “UMW Toyota berbesar hati dapat melihat perkembangan dan kejayaan perniagaan ini yang selari dengan falsafah “Pelanggan Didahulukan” yang kami amalkan,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

     
     
  • Suzuki Swace – model rebadge dari Toyota Corolla Touring Sport untuk pasaran Eropah diperkenalkan

    Suzuki Swace – model rebadge dari Toyota Corolla Touring Sport untuk pasaran Eropah diperkenalkan

    Suzuki telah memperkenalkan model wagon baharu untuk pasaran Eropah yang dikenali sebagai Suzuki Swace. Macam pernah nampak? Ya, ini sebenarnya adalah model rebadge dari Toyota Corolla versi wagon pada pasaran berkenaan atau nama rasminya Toyota Corolla Touring Sport.

    Pengenalan model ini adalah lanjutan dari pengumuman Toyota tahun lalu untuk membolehkan Suzuki terus memasang kenderaan di UK bagi membantu pekerja industri automotif di Britain yang terjejas akibat isu Brexit.

    Seperti yang anda boleh lihat, Swace masih diberikan lampu hadapan yang sama seperti Corolla dengan teknologi bi-LED, namun bahagian bampar hadapan dirombak dengan rekaan lain sepenuhnya – menampilkan gril utama di bahagian tengah dan diapit sepasang kemasan seperti liang udara pada kedua-dua belah sisi.

    Pada bahagian belakang, kedua-dua model ini diberikan rupa yang hampir sama, kecuali Swace tidak diberikan satu jalur kemasan berwarna perak pada bahagian bawah bampar seperti Corolla. Logo-logo Toyota juga telah diganti dengan logo dan emblem dari Suzuki.

    Swace juga tidak diberikan rim 18-inci dengan tayar berprofil rendah seperti Corolla, sebaliknya hanya dipadankan dengan rim 16-inci dengan tayar bersaiz 205/55R16. Suzuki menawarkan tujuh warna badan untuk Swace ini iaitu White Pearl Crystal Shine, Super White, Precious Silver, Black Mica, Dark Blue Mica, Phantom Brown Metallic dan Oxide Bronze Metallic.

    Pada bahagian dalaman, rekaan asas untuk Swace juga sama seperti Corolla Sport Touring. Namun model dari Suzuki ini hanya diberikan paparan meter analog, berbanding Corolla yang lebih premium dengan paparan instrumen digital. Selain itu, Swace juga dilengkapi dengan sistem infotainmen dengan skrin 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink, serta pengecaj telefon pintar tanpa wayar.

    Suzuki Swace – model rebadge dari Toyota Corolla Touring Sport untuk pasaran Eropah diperkenalkan

    Suzuki Swace hanya ditawarkan dalam versi 1.8L Hybrid, tanpa pilihan model 2.0L Hybrid dan 1.2L petrol turbo seperti Corolla. Tiada perubahan dibuat pada unit janakuasa hibrid berkenaan di mana ia terdiri dari enjin petrol 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/163 Nm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Untuk keselamatan, Swace nampaknya menerima sistem bantuan pemanduan yang sama dengan pakej Toyota Safety Sense seperti Corolla. Ia terdiri dari sistem amaran pra-pelanggaran hadapan (PCS), bantuan mengesan lorong (LTA), bantuan tanda jalan (RTA), pemantau titik buta (BSM) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

    Ia juga diberikan sistem cruise control dengan radar dinamik (DRCC) dan juga bantuan parkir pintar-ringkas (S-IPA) yang akan mengawal stereng secara automatik serta memberikan arahan visual dan audio ketika memarkir. Pelancaran dan juga jualan untuk Suzuki Swace ini akan bermula di Eropah pada musim sejuk nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025