Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha MT-25 tiba di Malaysia – dua warna, RM21.5k

    Yamaha MT-25 tiba di Malaysia – dua warna, RM21.5k

    Teka-teki model Yamaha yang akan tiba di Malaysia akhirnya terjawab hari ini apabila Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan model naked MT-25 untuk pasaran. Ini adalah model baru yang telah dinaik taraf dan sama seperti model yang baru diperkenalkan di Indonesia pada bulan Oktober tahun lepas, dan dijual pada harga RM21,500.

    Bermakna, model ini menggunakan semua lampu jenis LED serta panel badan yang diperkemas dan mempunyai bukaan udara di bahagian tepi. Suspensi hadapan menggunakan fork USD berwarna hitam manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    MT-25 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari DOHC 249 cc dengan sistem suntikan bahan api, dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 23.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Panel instrumen motosikal ini menggunakan unit digital penuh yang memaparkan pelbagai informasi, termasuk kedudukan gear, tahap rpm, laju serta penanda waktu menukar gear. Kedua-dua brek bahagian depan dan belakang menggunakan unit cakera dan dilengkapi dengan sistem ABS.

    Kelengkapan lain pada MT-25 adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, tangki bahan api 14 liter, berat 165 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Dua warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Yamaha Blue dan Ice Fluo, dan ia akan mula berada di kedai wakil pengedar sah Yamaha pada penghujung bulan September ini.


     
     
  • Proton dedahkan rupa sebenar X50 tanpa selindung!

    Proton dedahkan rupa sebenar X50 tanpa selindung!

    Ini bukan edit, ini betul-betul – tanpa berselindung, Proton telah mendedahkan rupa sebenar model yang paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu SUV segmen-B Proton X50!

    Seperti yang anda boleh lihat, gril infinite weave pada versi produksi sebenar X50 ini adalah hampir sama seperti yang dibayangkan oleh Theophilus Chin sebelum ini dengan jalur sekeliling berwarna merah. Namun rekaan pada model sebenar ini tampil dengan logo ‘Thundercats’ Proton yang lebih besar.

    Juga dapat dilihat, bahagian lain X50 masih lagi kelihatan seiras dengan kembar pasaran China yang menjadi asasnya iaitu Geely Binyue. Ia menerima warna badan dua tona dengan kemasan hitam berkilat pada bahagian bawah badan dan juga bumbung.

    Model yang dipaparkan ini berkemungkinan dari versi varian tertinggi, menerima set rim aloi paling besar dengan kemasan dua tona.

    Pada bahagian dalaman pula, ia juga kelihatan seiras dengan Binyue, menampilkan tema warna merah-hitam (juga mungkin untuk varian lebih tinggi), paparan instrumen digital dengan skrin LCD bersiaz tujuh-inci, serta skrin ‘terapung’ definasi tinggi bersaiz 10.25-inci. Juga dapat dilihat, kabin belakang X50 ini turut menerima liang pendingin hawanya sendiri.

    Tiada perincian lain yang didedahkan oleh Proton menerusi teaser kali ini, kecuali memberitahu bahawa model ini bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

    Proton X50 dijangka bakal menerima unit janakuasa sama seperti versi tertinggi Binyue pada pasaran China iaitu enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo menjana 174 hp/255 Nm dan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan automatik.

    Ia juga dijangka bakal menerima kelengkapan-kelengkapan seiras dengan Binyue seperti ungsi pemanduan sendiri tahap 2 dengan ciri-ciri seperti cruise control adaptif dan bantuan parkir dan sistem brek kecemasan automatik (AEB).

    Imej kunci untuk model ini juga telah terdedah baru-baru ini, dan nampaknya hampir pasti ia turut menampilkan fungsi untuk menghidupkan enjin dari jarak jauh. Jadi bagaimana? Makin tak sabar dengan pelancaran model yang paling dinanti-nantikan ini?

     
     
  • Proton bakal lancar 2 model baru yang dihasilkan oleh bakat tempatan dalam tempoh masa 3-5 tahun – Dr Li

    Proton bakal lancar 2 model baru yang dihasilkan oleh bakat tempatan dalam tempoh masa 3-5 tahun – Dr Li

    Proton bakal melancarkan dua model baharu yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi, mengikut kenyataan yang didedahkan oleh CEO Dr Li Chunrong dalam temubualnya bersama Astro Awani semalam. Ini dapat mengurangkan persepsi segelintir masyarakat yang pengeluar kereta berkenaan hanya tertumpu untuk mengeluarkan model kenderaan yang dihasilkan oleh Geely semata-mata.

    “Saya ingin memaklumkan kepada anda semua, kami sedang berbincang yang kami akan melancarkan model baharu yang bakal dibangunkan oleh Proton sendiri. Bukan setakat satu model, tetapi dua model sekaligus,” dedahnya apabila ditanya adakah Proton akan terus menghasilkan model “asal” selepas pengenalan SUV berasaskan binaan Geely (X70 dan akan datang X50).

    Sebenarnya, perkara ini pernah dinyatakan secara kiasan oleh ketua pereka Proton, Azlan Othman, pada Julai lalu. Beliau menyebut Proton akan membangunkan platform baharu untuk model buatan tempatan yang akan datang. Kini, kita sudah tahu tentang dua model yang direncanakan itu, dan bakal dipasarkan dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun akan datang.

    Proton bakal lancar 2 model baru yang dihasilkan oleh bakat tempatan dalam tempoh masa 3-5 tahun – Dr Li

    Namun yang menjadi tanda tanya, apakan model yang bakal diperkenalkan itu? Buat masa ini, tiada bayangan langsung. Tetapi mungkin juga Proton bakal menggantikan model terlarisnya, Saga, dalam tempoh masa tersebut. Model generasi ketiga (berdasarkan generasi kedua dari tahun 2008) yang pertama kali muncul pada tahun 2016 dan diberikan peningkatan baharu pada tahun lalu.

    Model kedua pula kebarangkalian adalan Persona akan datang, yang menyusul selepas Saga. Dengan jualan yang begitu memberangsangkan, dan dijadualkan bakal muncul model yang diperkemaskinikan bersama adiknya, Iriz, di mana kedua-dua model berkenaan baru-baru ini dikesan sedang diuji di jalan raya.

    Dan mungkin juga Proton akan mengembangkan asas pembuatan kereta sendiri untuk barisan kereta kompaknya, dengan menggunakan platform Geely Modular Architecture (BMA) dan Compact Modular Architecture (CMA) untuk produknya yang lebih besar dan lebih maju. Walau bagaimana pun, perkara ini masih menjadi teka-teki dan kena nantikan perkembangan selanjutnya daripada Proton sendiri.

     
     
  • VIDEO: Kia Seltos 1.6L GT-Line 2020 di Malaysia

    Bermula hari ini, Kia Malaysia mula membuka tempahan untuk model SUV segmen B global Kia yang pertama, Seltos untuk pasaran tempatan. Ini pemain baru yang hadir untuk bersaing dengan model-model sedia ada seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3. Jangan lupa, tidak lama lagi akan ada satu model lagi yang bakal masuk gelanggang yang sama, Proton X50.

    Untuk pasaran Malaysia, Kia Seltos dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan hadir dengan dua varian berbeza iaitu model asas Seltos EX dan varian tertinggi Seltos GT-Line. Bagaimanapun, pasaran Malaysia tidak menerima Seltos yang dijana oleh enjin 2.0 liter NA dan 1.6 liter turbo, di mana kedua-duanya diberikan enjin Gamma 1.6 liter MPI NA, berkuasa 123 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 150.7 Nm pada takat 4,850 rpm.

    Dimensi ukuran Kia Seltos pula adalah seperti berikut; 4,315 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,645 tinggi dan jarak roda 2,610 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Honda HR-V, ia 19 mm lebih pendek (4,334 mm), 28 mm lebih lebar (1,772 mm) dan 40 mm lebih tinggi (1,605 mm), manakala jarak roda antara kedua-dua model ini pula adalah sama.

    Bagi varian tertinggi GT-Line, ia hadir dengan lampu hadapan LED penuh, jalur lampu LED sambungan pada gril, lampu kabus LED serta gril dalam kemasan hitam berkilat. Model ini juga diberikan skid plate serta trim tambahan pada bampar belakang dalam kemasan krom satin, kemasan sekeliling pintu krom serta serlahan jalur merah pada bahagian bawah pintu, bampar hadapan dan belakang.

    Kedua-dua varian menerima kelengkapan yang sama terdiri dari enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem brek ABS, sistem pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem Traction Control (TCS) dan juga bantuan mula mendaki (HAC). Untuk lihat dengan lebih terperinci model ini, tonton video yang kami sediakan.

    GALERI: Kia Seltos GT-Line

    GALERI: Kia Seltos EX

     
     
  • Mercedes-Benz GLE Coupe C167 2020 kini di M’sia — GLE450 dan AMG GLE53, dari RM661k hingga RM787k

    Mercedes-Benz GLE Coupe C167 2020 kini di M’sia — GLE450 dan AMG GLE53, dari RM661k hingga RM787k

    Bersekali dengan GLS, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan model GLE Coupe C167 baru untuk pasaran tempatan. Tiba hampir setahun selepas model standardnya, ia tampil lebih rendah dan turut menawarkan varian pertengahan bagi Mercedes-AMG, GLE 53 4Matic+ Coupe.

    Harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bermula dari RM661,009 bagi GLE 450 4Matic Coupe, sementara bagi GLE 53 pula pada harga RM787,358. Tidak seperti GLS, model-model ini sudah termasuk rebat 50% bagi SST sehingga 31 Disember 2020. Jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan turut disediakan.

    Berbanding GLE Coupe sebelum ini, badan yang diberi rekaan semula ini berukuran 4,939 mm panjang (+39 mm), 2,010 mm lebar (-7 mm) dan 1,737 mm tinggi (+18 mm). Menurut Mercedes-Benz, walaupun jarak antara rodanya bertambah 20 mm menjadi 2,935 mm, ia masih 60 mm kurang berbanding GLE. Model baru ini turut meminjam sentuhan rekaan yang sama, termasuk unit pencahayaan serta rekaan dalaman.

    Mercedes-Benz GLE Coupe C167 2020 kini di M’sia — GLE450 dan AMG GLE53, dari RM661k hingga RM787k

    Walaupun kedua-duanya nampak sama, tetap ada perbezaan khusus. GLE 450 menerima gril diamond dengan jalur tunggal berbending GLE 53 yang diberikan unit Panamericana. Di belakang, penyudah bahagian ekzos berkembar GLE 450 menggunakan krom, sementara GLE 53 dipasangkan diffuser dan empat corong bulat.

    GLE 53 juga datang dengan rim aloi AMG 22-inci, pakej AMG Night (kemasan luaran hitam) dan spoiler belakang. Ini tidak terdapat pada GLE 450, yang menggunakan rim saiz 21-inci AMG dan kemasan krom. Elemen yang dikongsi bersama antaranya ialah kemasan aluminium, pencahayaan running board, bumbung panoramik dan lampu depan Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus.

    Enjin pula kedua-duanya menggunakan unit M256 3.0 liter turbocas enam-silinder sebaris, yang disokong oleh sistem mild-hybrid 48-volt. Tetapan ini – dengan Dynamic Select – turut digunakan pada GLS dan termasuk alternator-penghidup EQ Boost yang memberikan tambahan 22 PS (21 hp) dan 250 Nm tork bagi tempoh singkat jika diperlukan.

    Mercedes-Benz GLE Coupe C167 2020 kini di M’sia — GLE450 dan AMG GLE53, dari RM661k hingga RM787k

    Dari segi output, GLE 450 menghasilkan 367 PS (362 hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 500 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 250 km/j. Kadar penggunaan minyak pula ialah 9.2 l/100 km (10.9 km/l) dan membebaskan 205 g/km CO2.

    Bagi GLE 53 pula ia menerima transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan dengan talaan yang lebih berkuasa. Dengan output 435 PS (429 hp) pada 6,100 rpm dan 520 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 5,800 rpm. Ia sedikit lebih pantas bagi pecutan 0-100 km/j, dengan masa 5.3 saat, sementara laju maksimum 250 km/j. Penggunaan minyak ialah 9.6 l/100 km (10.4 km/l), dengan pembebasan 219 g/km CO2.

    GLE 53 juga datang dengan kelengkapan tambahan berbanding GLE 450. Ini termasuk sistem ekzos sport, AMG Track Pace dan AMG Ride Control. Kedua-dua model bagaimanapun dilengkapi dengan sistem suspensi Airmatic secara standard.

    Mercedes-Benz GLE Coupe C167 2020 kini di M’sia — GLE450 dan AMG GLE53, dari RM661k hingga RM787k

    Sama seperti luaran, bahagian dalaman kedua-dua kereta ini juga lengkap dengan pakej AMG Line, dengan perbezaan antara keduanya. GLE 450 menggunakan kemasan kayu oak, manakala GLE 53 menggunakan material gentian karbon. Kerusi juga berbeza, dengan model AMG menggunakan kerusi lebih berlekuk di depan, dan dibalut dengan stereng AMG balutan kulit Nappa.

    Kelengkapan standard bagi kedua-duanya termasuk sistem pencahayaan suasana, kerusi depan kuasa elektrik dengan fungsi memori, pakej krom untuk dalaman, kawalan pendingin hawa empat zon Thermotronic, pelapik AMG, sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan dua papran 12.3-inci, sistem bunyi Burmester, pengecas tanpa wayar dan modul komunikasi LTE untuk servis Mercedes me connected.

    Aspek keselamatan pula lengkap dengan ciri-ciri seperti Active Distance Assistant Distronic, Active Parking Assist dengan Parktronic, Active Steering Assist, kamera 360-darjah, pakej Bantuan Memandu, Keyless-Go, pintu ruang belakang kuasa elektrik tanpa kendalian tangan serta sistem Pre-Safe.

    Mercedes-Benz GLE 450 4Matic Coupe 2020

    Mercedes-AMG GLE 53 4Matic Coupe 2020

     
     
  • Porsche Macan 2020 – ciri standard baharu bernilai RM39k, termasuk PASM; harga bermula RM439k

    Porsche Macan 2020 – ciri standard baharu bernilai RM39k, termasuk PASM; harga bermula RM439k

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah mengumumkan Pakej Premium untuk Porsche Macan facelift dengan pertambahan kit baharu bernilai RM39,000. Peningkatan ini termasuklah dengan adanya Comfort Access, Park Assist bersama Surround View dan Porsche Active Suspension Management (PASM) yang ditawarkan secara standard bagi SUV ini, yang dilancarkan di pasaran tempatan pada Jun tahun lalu dengan penawaran model asas 2.0 liter.

    Tiga ciri baharu tersebut ditambah ke senarai elemen sebelum ini di bawah Pakej Premium, termasuklah tempat duduk hadapan larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, Power Steering Plus, cermin malap-sendiri, sistem bunyi sekeliling Bose dengan Apple Carplay dan juga pencahayaan ambien.

    Model asas yang dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 252 PS dan tork 370 Nm, yang pacuannya disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik dwi-klac PDK tujuh-kelajuan. Pecutan dari titik sifar ke 100 km/j boleh dicapai sekitar 6.7 saat dan kelajuan maksimum pula mencecah 225 km/j.

    Harga untuk model asas Macan baharu dengan Pakej Premium yang dipertingkatkan ini bermula dari
    RM439,351, termasuk dengan pengecualian cukai jualan sebanyak 50% bagi model CBU sehingga 31 Disember ini. Ia turut didatangkan dengan waranti empat-tahun/200,000 km dan penyelenggaraan percuma termasuk alat ganti dan kos buruh.

     
     
  • Harga minyak 12-18 Sept – Petrol turun sebanyak lima sen seliter, diesel turun sehingga enam sen seliter

    Harga minyak 12-18 Sept – Petrol turun sebanyak lima sen seliter, diesel turun sehingga enam sen seliter

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan ketiga-tiga bahan api utama untuk minggu bertarikh 12 hingga 18 September 2020 bakal mengalami penurunan harga. Ia melibatkan penurunan sebanyak lima sen seliter bagi petrol, dan diesel pula turun sehingga enam sen seliter.

    Di mana petrol RON 95 Euro 4M bakal berharga RM1.66 seliter, berbanding RM1.71 seliter pada minggu sebelumnya. Sementara petrol RON 97 pula, daripada RM2.01 seliter pada minggu sebelumnya, akan menjadi RM1.96 seliter.

    Manakala untuk diesel pula, gred Euro 2M akan ditawarkan dengan harga runcit RM1.72 seliter, berbanding RM1.78 seliter pada minggu sebelumnya. Untuk diesel gred Euro 5 pula yang 10 sen lebih mahal berbanding diesel Euro 2M, akan berharga RM1.82 seliter (RM1.88 seliter pada minggu sebelumnya).

    Semua harga baharu ini bakal bermula pada jam 12.01 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 18 September 2020.

     
     
  • Perodua Tweckbot beroperasi sempena Hari Malaysia – berada di lokasi terpilih mulai hujung minggu ini

    Perodua Tweckbot beroperasi sempena Hari Malaysia – berada di lokasi terpilih mulai hujung minggu ini

    Selepas beberapa bulan operasinya terhenti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, kini Perodua Tweckbot sudah kembali bagi meneruskan perkhidmatan memeriksa kenderaan secara percuma di lokasi terpilih.

    Dengan mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang lebih komprehensif untuk melindungi para pelanggan dan kakitangannya, sempena dengan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini, Perodua Tweckbot bakal berada di Tesco Extra Bukit Tinggi Klang pada 12 hingga 13 September 2020 bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

    “Memandangkan Hari Malaysia bakal tiba, kami meramalkan kebanyakan rakyat Malaysia akan bercuti atau pulang ke kampung halaman. Demi keselamatan dan ketenangan minda, adalah sangat penting kenderaan Perodua mereka berada dalam keadaan yang baik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Tweckbot memeriksa lebih dari 50 poin pada kenderaan Perodua termasuk enjin, transmisi, sistem penyejukan kenderaan, brek, stereng kuasa, klac, tayar, suspensi dan elektrik.

    Dato’ Zainal menekankan bahawa langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang menyeluruh akan dilaksanakan dan akan menjadi prosedur operasi normal baharu untuk Tweckbot selepas ini. Malah semua pelanggan Tweckbot diminta untuk menjalani pemeriksaan suhu dan perlu mematuhi protokol pengesalan kenalan seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

    Stesen Tweckbot akan disesuaikan dengan susun atur yang lebih luas untuk ruang menunggu, khidmat nasihat dan pemeriksaan kenderaan bagi meminimumkan pergerakan, dan keseluruhan stesen akan dikosongkan serta disanitasi dua kali sehari.

    “Juruteknik kami akan memakai pelindung muka setiap masa dan setiap kenderaan akan disanitasi sebelum dan selepas pemeriksaan. Penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup mulut juga adalah pada setiap masa,” kata Dato’ Zainal.

    Beliau menambah, dalam melindungi orang ramai, jumlah kenderaan yang diperiksa adalah terhad kepada slot berdasarkan ‘first-come, first-served’.

    Perodua Tweckbot beroperasi sempena Hari Malaysia – berada di lokasi terpilih mulai hujung minggu ini

    Tweckbot juga akan berada di Tesco Puncak Alam dari 19-20 September dan Tesco Extra Ampang dari 26-27 September, dari jam 9 pagi hingga 5 petang, tawaran khusus untuk pemilik kenderaan Perodua yang ingin melakukan pemeriksaan selepas pemanduan yang panjang.

    Pelanggan yang memeriksa kenderaan mereka dengan Tweckbot akan menerima baucar diskaun 20% yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah (tertakluk kepada terma dan syarat).

    “Perodua mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia. Kekal bersatu untuk terus memerangi COVID-19 ini. Kita masih belum menang tetapi kita harus tempuh bersama-sama dan selagi kita mengutamakan keselamatan, kita akan berjaya mengharunginya,” kata Dato’ Zainal.

     
     
  • McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

    McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

    Nampaknya pandemik Covid-19 betul-betul meninggalkan impak yang besar kepada McLaren. Selepas dilaporkan terpaksa membuang sebahagian pekerjanya, pembuat supercar dan juga pasukan Formula 1 British tersebut dikatakan mahu menjual ibu pejabat mereka yang begitu ikonik di Woking bagi mendapatkan dana.

    Menurut laporan dari Sky News, McLaren telah meminta agen hartanah Colliers untuk mula memasarkan jualan-dan-sewa balik fasiliti berkenaan dengan harga £200 juta (RM1.07 bilion). Ini bermakna jika fasiliti ini terjual nanti, McLaren akan menyewa semula ibu pejabat tersebut dari pemilik baharu.

    Ibu Pejabat Mclaren di Woking yang dibina pada tahun 2004 ini merupakan fasiliti tiga dalam satu, termasuk Pusat Teknologi McLaren, Pusat Produksi McLaren baharu – digunakan kebanyakkannya untuk menghasilkan kereta jalan raya McLaren Automotive – dan Pusat Kepimpinan Pemikiran McLaren.

    Jurucakap McLaren memberitahu Autocar bahawa syarikatnya menjangkakan akan menerima tawaran “melebihi £200m” dan ia turut dijangka akan terjual pada penghujung tahun kewangan ini.

    McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

    “Potensi jualan dan sewa balik ibu pejabat global kami dan pelantikan bank untuk memberi nasihat kepada kami mengenai penyusunan semula hutang dan peningkatan ekuiti adalah sebahagian daripada strategi pembiayaan semula komprehensif yang kami umumkan awal tahun ini,” kata jurucakap itu kepada majalah British berkenaan.

    “Dibuat untuk tindakan jangka masa pendek yang kami hasilkan sepanjang musim panas, inisiatif ini akan memberikan penyata imbangan yang lebih kuat dan memastikan McLaren Group mempunyai platform yang mampan untuk pertumbuhan jangka masa panjang dan juga pelaburan,” tambahnya.

    Pada Mei tahun ini, McLaren telah menghentikan perkhidmatan 1,200 orang pekerjanya (atau lebih dari 25% dari jumlah keseluruhan tenaga kerjanya) dari tiga divisi berkenaan. Nampakya langkah itu sahaja tidak dapat menampung bebanan kewangan syarikat tersebut sehingga terpaksa menjual ibu pejabat ini.

    McLaren mahu jual ibu pejabatnya di Woking untuk suntik semula dana setelah terjejas kerana Covid-19

    McLaren juga dilihat cuba untuk meminjam sehingga £275 juta (RM1.46 billion) dengan mencagarkan koleksi kereta klasiknya dan juga ibu pejabat Woking ini, bagi mendapatkan pinjaman berjumlah £150 juta (RM799 juta) dari Bank Nasional Bahrain.

    “Tidak dinafikan bahawa ini adalah masa yang sukar untuk syarikat kami dan orang-orang kami khususnya, tetapi kami merancang untuk muncul sebagai perniagaan yang cekap dan mampan dengan jalan yang jelas untuk kembali bertumbuh. McLaren Applied juga telah kembali fokus untuk mengutamakan aliran pendapatan yang terbukti dengan pertumbuhan tinggi,” kata Paul Walsh, pengerusi eksekutif McLaren Group.

    McLaren menyatakan bahawa wabak corona virus bukan sahaja menjejaskan pendapatan mereka dengan pembatalan acara-acara sukan permotoran, malah ia turut disebabkan pengeluaran di kilang tidak dapat berjalan, jualan global yang lebih rendah dan permintaan terhadap teknologi-teknologi solusi yang semakin merudum.

     
     
  • Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

    Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

    Selepas muncul buat pertama kali pada peringkat global tahun lalu, kini Kia Seltos secara rasminya didedahkan di pasaran Malaysia. Ia masih belum dilancarkan dan sebarang perincian harga belum diumumkan, tetapi model ini sudahpun boleh ditempah.

    Bagi yang masih keliru tentang segmentasi Seltos ini, ia sebenarnya adalah SUV segmen-B yang akan berhadapan terus dengan model seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, diletakkan di bawah Sportage dalam barisan model Kia sendiri.

    Untuk pasaran Malaysia, Kia Seltos dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan hadir dengan dua varian berbeza iaitu model asas Seltos EX dan varian tertinggi Seltos GT-Line.

    Walau bagaimanapun, pasaran Malaysia tidak menerima Seltos yang dijana oleh enjin 2.0 liter NA dan 1.6 liter turbo, di mana kedua-duanya diberikan enjin Gamma 1.6 liter MPI NA, berkuasa 123 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 150.7 Nm pada takat 4,850 rpm.

    Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

    Juga tiada pilihan sistem pacuan semua roda ditawarkan di sini, dan kuasa dari enjin hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Kia Seltos ini dihasilkan dengan dimensi 4,315 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,645 tinggi dan jarak roda 2,610 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Honda HR-V, ia 19 mm lebih pendek (4,334 mm), 28 mm lebih lebar (1,772 mm) dan 40 mm lebih tinggi (1,605 mm), manakala jarak roda antara kedua-dua model ini pula adalah sama.

    Dalam gambar anda mungkin nampak Seltos ini jauh lebih besar dari pesaing-pesaingnya yang lain. Ini kerana berbanding HR-V, C-HR atau CX-3 yang direka seakan sebuah hatchback dengan tayar lebih besar atau crossover, Seltos dihasilkan dengan rupa sebuah SUV sebenar yang bersegi tanpa bumbung yang direka landai kebelakang.

    Seltos diberikan muka dengan gril ‘hidung harimau’ bersaiz besar, dan diberikan lampu hadapan dua baris yang unik. Model asas EX hadir standard dengan lampu hadapan automatik jenis projektor disertakan lampu nyalaan siang LED bina dalam, bersama gril dalam kemasan hitam biasa, dan juga skid plate dalam kemasan perak.

    Manakala untuk versi tertinggi GT-Line, ia hadir dengan lampu hadapan LED penuh, jalur lampu LED sambungan pada gril, lampu kabus LED serta gril dalam kemasan hitam berkilat. Model ini juga diberikan skid plate serta trim tambahan pada bampar belakang dalam kemasan krom satin, kemasan sekeliling pintu krom serta serlahan jalur merah pada bahagian bawah pintu, bampar hadapan dan belakang.

    Untuk warna badan kedua-dua varian hadir dengan bumbung berwarna hitam dan boleh dipilih dengan warna utama Glacier White Pearl dan Gravity Grey. Manakala warna Intense Red hanya ditawarkan untuk model EX dan warna Intelligency Blue punya hanya untuk varian GT-Line.

    Kedua-dua varian ini juga hadir standard dengan rel bumbung yang benar-benar berfungsi, serta rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60R17. Namun rekaan rim untuk kedua-duanya berbeza, di mana GT-Line diberikan kemasan lebih gelap bersama penutup tengah dengan kemasan merah sekeliling. Seperti yang anda boleh lihat, GT-Line juga diberikan angkup brek hadapan dalam kemasan merah.

    Pada bahagian dalaman, kesemua varian hadir standard dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng rata di bawah dengan suis pelbagai fungsi balutan kulit, cermin pandang belakang chromic automatik, brek tangan manual, kemasan-kemasan hitam berkilat, liang pendingin hawa kabin belakang, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Pada sebelah tuil penukar gear, kedua-dua varian Seltos diberikan suis putar untuk memilih mod pemanduan – Normal, Eco, Sport – dan juga mod untuk Traction Control bagi menyesuaikan karekter kuasa yang dihantar ke roda dengan permukaan jalan dengan pilihan Snow, Mud atau Sand.

    Kia Seltos didedahkan di M’sia – sudah boleh ditempah, CKD, 2 varian, 1.6L NA 123 PS/151 Nm

    Semua varian Seltos juga hadir standard dengan lampu Sound Mood, iaitu lampu pelbagai warna yang diletakkan pada pembesar suara hadapan yang akan menyala mengikut alunan muzik pada sistem audio dan juga tema yang dipilih sendiri oleh pengguna.

    Bagi membezakan varian, model EX diberikan sistem pendingin hawa manual dan juga paparan pelbagai info dengan skrin TFT LCD supervision bersaiz 3.5 inci yang terletak pada bahagian tengah panel meter analog.

    Manakala model GT-Line pula, ia hadir dengan tambahan sistem pendingin hawa automatik, panel LFT LCD lebih besar bersaiz tujuh-inci, paparan head-up, tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala, tempat duduk hadapan dengan liang udara pendingin hawa, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga set pedal aloi.

    Model GT-Line ini juga menerima rekaan kemasan pada tempat duduk yang berbeza, serta diberikan sulaman ‘GT-Line’ pada perehat badan dan juga serlahan jahitan benang merah yang turut hadir pada bahagian lain seperti kemasan pintu, perehat tangan hadapan, gaiter tuil penukar gear dan juga roda stereng.

    Untuk bantuan pemanduan, semua varian Seltos hadir standard dengan sistem Cruise Control konvensional, penderia parkir belakang dan juga kamera undur. Tambahan untuk varian GT-Line, ia diberikan sekali dengan penderia parkir hadapan.

    Manakala untuk sistem keselamatan pula kedua-dua varian menerima kelengkapan yang sama terdiri dari enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem brek ABS, sistem pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem Traction Control (TCS) dan juga bantuan mula mendaki (HAC).

    Jika dilihat dari segi rekaan dan senarai kelengkapan yang diberikan, tidak hairan mengapa Kia Seltos ini dijual pada harga yang agak tinggi berbanding saingannya yang lain, terutamanya Honda HR-V. Berbaloi ke? Atau kita masih perlu menganggap model dari Korea ini perlu dijual lebih murah dari lawannya dari Jepun?

    GALERI: Kia Seltos GT-Line

    GALERI: Kia Seltos EX

     
     
  • Mercedes-Benz GLS450 4Matic tiba di M’sia – RM900k

    Mercedes-Benz GLS450 4Matic tiba di M’sia – RM900k

    Mercedes-Benz GLS X167 kini telah dilancarkan untuk Malaysia, dengan hanya satu varian GLS 450 4Matic AMG Line, pada harga RM899,888 tidak termasuk insurans. Menurut Mercedes-Benz Malaysia, harga ini adalah termasuk dengan cukai jualan 10% kerana kereta tersebut hanya akan tiba pada tahun hadapan.

    Varian yang dijual di Malaysia ini dikuasakan oleh enjin enam silinder 3.0 liter turbo M256 berkuasa 367 PS (362 hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 500 Nm tork dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Enjin itu kemudiannya dibantu dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang memberi tambahan kuasa secara singkat sebanyak 22 PS (21 hp) dan 250 Nm. Transmisi adalah unit automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic bersama sistem pacuan semua roda 4Matic.

    Pada aspek prestasi, GLS 450 bleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan mencecah kelajuan maksimum 246 km/j. Penggunaan bahan api bercampur berada pada kadar 9.0 l/100 km atau 11.1 km/l. Rim menggunakan unit AMG 22 inci dan disambung kepada badan menggunakan suspensi udara Airmatic dengan Adaptive Damping System Plus (ADS Plus).

    Selain rupa yang diperbaharui, dimensi model ini juga berubah, dengan kini berukuran 5,207 mm panjang dan 1,956 mm lebar, menjadikannya 77 mm lebih panjang dan 22 mm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Penyebab utama kepada perubahan panjang ini adalah jarak roda, yang kini menjadi 3,135 mm (+60 mm) sementara tinggi pula tidak berubah (1,850 mm).

    Untuk pasaran kita, GLS 450 datang dengan pakej luaran AMG Line, yang menggunakan bampar hadapan lebih sporty manakala bampar belakang pula mempunyai kemasan krom besar di bawah dan muncung ekzos di sisi. Barang lain adalah seperti pemijak kaki tepi dan bumbung panoramik yang boleh dibuka.

    Pada bahagian dalam anda akan melihat papan pemuka yang sama seperti GLE, dengan di bahagian tengah terdapat skrin 12.3 ini untuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Seperti biasa, sistem ini boleh diakses melalui skrin sesentuh di tengah, Touch Control di stereng, pad di konsol tengah atau kawalan suara “Hey Mercedes”.

    Mercedes-Benz GLS450 4Matic tiba di M’sia – RM900k

    Antara fungsi yang disediakan oleh sistem ini adalah pengecas peranti tanpa wayar, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pemain media serta servis ketersambungan Mercedes Me. Untuk penumpang di baris kedua, terdapat dua skrin sesentuh 11.6 inci dan setiap satunya boleh menunjukkan paparan bagi input yang berlainan. Sistem bunyi Burmester diberikan standard, bersama dua fon kepala untuk sistem hiburan di belakang.

    Bahagian dalam model pasaran Malaysia ini dipasang dengan kemasan Exclusive, dan datang dengan sistem lampu suasana, penghadang cahaya untuk pintu belakang, kawalan suhu empat zon Thermotronic, stereng dibalut kulit Nappa, alas kaki AMG, papan pemuka kulit buatan Artico, tempat duduk kawalan elektrik dengan fungsi memori serta kemasan campuran krom dan kayu anthracite.

    Sebagai sebuah kenderaan tujuh tempat duduk, GLS dipasang dengan fungsi Easy-Entry yang membolehkan tempat duduk baris kedua dilipat dengan hanya menekan satu butang sahaja dan memudahkan pengguna. Kemudiannya, jika anda mahu menggunakan semua ruang simpanan berkapasiti 2,400 liter dan melipat tempat duduk baris kedua dan ketiga, anda boleh melakukannya dengan cuma menekan butang yang diletakkan di bahagian belakang.

    Butang ini juga dapat menjadikan kereta lebih rendah 50 mm bagi memudahkan pengguna memasukkan barang ke dalam kenderaan. Pada bahagian keselamatan dan bantuan pemandu, GLS dilengkapi dengan sistem Pre-Safe, Keyless-Go, pintu ruang barang Easy-Pack (boleh buka tanpa sentuh), Active Parking Assist dengan Parktronic, kamera 360 darjah, Exit Warning, pengelap cermin Magic Vision Control dan pemerhati tekanan angin tayar.

     
     
  • Pelumba Moto2 KTM, Jorge Martin positif Covid-19

    Pelumba Moto2 KTM, Jorge Martin positif Covid-19

    Sejak perlumbaan kembali dijalankan selepas tempoh berkurung di Eropah, penganjur MotoGP sentiasa mengambil langkah berhati-hati terhadap penyebaran wabak Covid-19 di dalam kawasan paddock. Pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial sentiasa diamalkan manakala ujian kesihatan juga kerap dibuat.

    Dalam ujian terbaru yang dilakukan sebelum perlumbaan di Misano, Itali hujung minggu ini, dua individu telah dikesan positif iaitu pelumba Red Bull KTM Ajo, Jorge Martin dan seorang mekanik dari pasukan lain. Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang simptom dan cuma disahkan positif melalui ujian.

    Akibat daripada itu, mereka juga kini diarah melakukan kuarantin di rumah dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti di litar termasuklah perlumbaan hujung minggu ini.

    Pelumba Moto2 KTM, Jorge Martin positif Covid-19

    Dalam carta kejuaraan Moto2 tahun ini, Martin sekarang berada di tempat kedua (sama mata dengan Enea Bastianini) dengan pungutan 79 mata manakala di tempat pertama adalah Luca Marini yang mendahului sebanyak lapan mata.

    Martin juga dianggap sebagai seorang pelumba yang berpotensi dan terdapat khabar angin bahawa tahun depan beliau akan naik ke kategori MotoGP bersama pasukan satelit Ducati, tetapi ia masih lagi belum rasmi. Apa pun, diharap mereka akan cepat sembuh dan kembali beraksi semula.

     
     
  • Kia Seltos kini dibuka untuk pra-tempahan eksklusif – dua varian, enjin Gamma 1.6L MPI; 123 PS/151 Nm

    Kia Seltos kini dibuka untuk pra-tempahan eksklusif – dua varian, enjin Gamma 1.6L MPI; 123 PS/151 Nm

    Naza Kia Malaysia telah mengumumkan SUV Seltos telah pun mula dibuka untuk pra-tempahan eksklusif untuk pasaran tempatan. Biar pun masih berahsia mengenai harga yang bakal ditawarkan, namun difahamkan SUV ini memang sedang menanti detik yang sesuai untuk dilancarkan secara rasmi dalam tempoh masa terdekat ini.

    Walau bagaimana pun, seperti sedikit perincian yang telah didedahkan sebelum ini, Seltos akan ditawarkan dengan dua varian iaitu model asas EX dan GT Line sebagai varian yang lebih tinggi dan mempunyai penampilan yang lebih sporty. Antara perbezaan bagi dua varian ini adalah bampar, rim dan kemasan tempat duduk.

    Bagi penjana kuasanya, menerusi info yang dikongsikan dari laman web Kia Malaysia, hanya satu pilihan enjin yang ditawarkan iaitu unit Gamma 1.6 MPI, dan ia dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang menjana kuasa 123 PS dan 151 Nm tork, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan.

    Menerusi foto yang pernah dipaparkan sebelum ini, kelihatan Seltos ini menerima padanan rim 17-inci, lampu utama LED, dua corong ekzos, bumbung panoramik dan tempat duduk kulit tiruan bagi varian GT Line.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin infotainmen lapan-inci, panel instrumen TFT LCD tujuh-inci, butang kawalan pada roda stereng, pengecas tanpa wayar, HUD dan tempat duduk yang boleh dilipat 60:40.

    Bagi yang berminat untuk menempahnya, bolehlah menyemak senarai bilik pameran Kia terpilih menerusi laman web rasmi Kia Malaysia. Kedua-dua varian ini juga akan ditawarkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun.

    Perincian penuh mengenai adik kepada SUV Sportage ini hanya akan dapat diketahui apabila Kia Malaysia melancarkannya. Agak-agak berapakah harga yang bakal ditetapkan? Dan adakan Seltos ini boleh memberi saingan sengit bagi SUV Proton X50 yang juga akan dilancarkan dalam masa terdekat ini?

     
     
  • Lexus RC F Fuji Speedway Edition 2021 — 60 unit

    Lexus RC F Fuji Speedway Edition 2021 — 60 unit

    Lexus telah mendedahkan model RC F Fuji Speedway Edition 2021, yang diperkenalkan sebagai tribute dari mana singkatan nama F itu berasal bagi mereka. Hanya ada 60 unit akan diperkenalkan, dengan penampilan yang diilhamkan oleh jentera GT3, serta beberapa peningkatan prestasi serta sentuhan penggayaan unik.

    Menjana kuasa bagi jentera ini ialah unit 2UR-GSE 5.0 liter V8 yang sama, menghasilkan 472 hp pada 7,100 rpm dan 535 Nm tork pada 4,800 rpm. Transmisi automatik lapan-kelajuannya memacu roda belakang, membolehkan kereta ini memecut dari 0-96 km/j di bawah 4 saat.

    Peningkatan yang terlibat termasuk komponen aerodinamik gentian karbon yang memperbaiki downforce, cakera brek seramik karbon Brembo dan ekzos titanium. Tayar pula menggunakan Michelin Pilot Sport 4 S.

    Lexus RC F Fuji Speedway Edition 2021 — 60 unit

    Unik bagi Fuji Speedway Edition ini ialah penggunaan dua warna baru, Arctic Blast Satin (pertama untuk Lexus) atau Cloudburst Grey. Ini digandingkan pula dengan kerusi sport dengan kemasan kulit Circuit Red dengan perincian Alcantara, begitu juga dengan perincian gentian karbon warna merah.

    Android Auto kini standard, melengkapi Apple CarPlay sedia ada, begitu juga dengan Amazon Alexa, Lexus Enform Wi-Fi dan fungsi-fungsi Lexus Enform Remote. Ciri lain yang datang sebagai standard ialah seperti peninjau titik buta dengan amaran trafik lintasan belakang, cermin sisi dengan pemanas elektrokromik dan Intuitive Parking Assist.

    Pembeli Lexus RC F Fuji Speedway Edition juga akan menerima jam tangan automatik edisi terhad MSTR. Jam berkenaan menampilkan unsur-unsur yang diilhamkan oleh RC F seperti bezel gunmetal, jahitan merah pada talinya, serta logo F bagi Fuji Speedway.

     
     
  • VIDEO: Nissan Z Proto sah guna kotak gear manual!

    VIDEO: Nissan Z Proto sah guna kotak gear manual!

    Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Nissan Z Proto diperkenalkan kepada dunia, iaitu pada 16 September nanti. Ini adalah sebuah model yang dikatakan bakal menjadi petunjuk utama kepada model Fairlady Z generasi seterusnya, dan dipanggil sebagai 400Z.

    Sedikit demi sedikit perinciannya ditunjuk dan dalam video teaser yang terbaru, kita mendapat pengesahan kereta ini akan menggunakan kotak gear manual susunan H yang kelihatan seperti mempunyai tujuh gear. Turut boleh dilihat adalah butang pemula enjin pada bahagian kiri tombol gear tersebut, dan satu lagi butang rev-match di bahagian kanan (hampir seperti 370Z).

    Barang lain yang boleh dilihat adalah seperti plet tepi pintu dengan logo Z, serta rim aloi lima cabang yang dibalut dengan tayar Dunlop Sport Max serta tulisan “Nissan Z”. Paling menarik, anda boleh mendengar bunyi enjin Z Proto ini yang seperti menggunakan tetapan enam silinder.

    Ada laporan yang mengatakan 400Z – bakal masuk produksi pada tahun 2022 – menggunakan platform FM sama seperti Infiniti Q60 Coupe, serta enjin V6 twin turbo 3.0 liter VR30DETT. Pada Q60, enjin ini menghasilkan kuasa sekitar 400 hp dan 500 Nm tork.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025