Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKPD: Polis umum tujuh lokasi sekatan jalan raya dilaksanakan di Kota Setar hingga 25 Sept ini

    PKPD: Polis umum tujuh lokasi sekatan jalan raya dilaksanakan di Kota Setar hingga 25 Sept ini

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar, Kedah, akibat peningkatan kes positif COVID-19, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula mengadakan sekatan jalan raya di daerah berkenaan.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, sekatan jalan raya telah mula dilaksanakan dan akan berlangsung sehingga 25 September ini iaitu sepanjang PKPD ini.

    Terdapat tujuh lokasi yang diumumkan iaitu Restoran Haji Ramli di Simpang Empat, Jalan Batas Paip di Kuala Kedah, Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan, hadapan Balai Polis Kepala Batas dan Jalan Hutan Kampung, laporan Berita Harian.

    Di mana tiga daripada lokasi terbabit ditutup dan diletakkan “road barrier” untuk menghalang orang ramai keluar masuk ke kawasan Kota Setar tanpa urusan.

    PKPD: Polis umum tujuh lokasi sekatan jalan raya dilaksanakan di Kota Setar hingga 25 Sept ini

    Manakala jalan masuk dari Jitra ke Alor Setar di Kepala Batas, laluan masuk ke Plaza Tol Alor Setar utara dan laluan keluar ke Plaza Tol Alor Setar selatan juga ditutup.

    Selain itu, 21 pasukan pemantau akan memantau di laluan tikus di sekitar kawasan kampung bagi mengelak penduduk cuba lari ke daerah lain. Sekiranya ada urusan keluar masuk ke daerah sempadan, orang ramai perlu mengemukakan surat kebenaran.

    “Perkhidmatan pengangkutan awam masih beroperasi seperti biasa termasuk kereta api, kapal terbang dan bas ekspres. Majlis perkahwinan, bersukan, beriadah, keramaian tidak dibenarkan ketika PKPD. Jika ingkar atau melanggar syarat PKPD mereka dikompaun atau ditahan.

    “Perkhidmatan menghantar makanan dari rumah ke rumah juga perlu mendapat surat kebenaran polis. Penduduk di kawasan PKPD bekerja di luar daerah digalakkan bekerja dari rumah bagi mengelak penularan COVID-19,” katanya.

     
     
  • Proton Satria GTi ’00 oleh Dream Street Restoration (DSR) – kereta lagenda, hasil restorasi oleh lagenda!

    Proton Satria GTi ’00 oleh Dream Street Restoration (DSR) – kereta lagenda, hasil restorasi oleh lagenda!

    Anda pernah dengar Singer Vehicle Design? Firma kejuruteraan dari Los Angeles Amerika Syarikat tersebut menjalankan kerja-kerja restorasi untuk Porsche 911 klasik, yang bukan sahaja boleh merubah sesebuah kereta lama itu menjadi seakan baharu, malah diolah dengan spesifikasi lebih baik dari yang dihasilkan kilang, dalam masa yang sama masih mengekalkan karekter asal model ikonik tersebut.

    Dengan idea yang sama, Suriya Sankaran dan anaknya, Dharveen Suriya telah menubuhkan Dream Street Restoration (DSR) tahun ini, dan kepakaran mereka bukanlah model-model ikonik dari jenama luar negara, sebaliknya adalah model-model lagenda dengan kod casis C99 dari Proton iaitu Satria GTi, Wira 1.8 EXi DOHC (tiang-gol) dan juga Proton Putra.

    Kenapa Proton C99? Untuk yang mengikuti perkembangan sukan rali dalam negara, mungkin nama Suriya Sankaran bukanlah asing. Anak jati Pulau Pinang ini berlumba dalam Kejohanan Rali Malaysia pada era lewat 90’an dengan Proton Wira 1.8 miliknya, bertarung dengan nama-nama besar seperti Karamjit Singh, Saladin Mazlan, Jimmy Low dan ramai lagi.

    Suriya juga pernah berkhidmat dengan Honda Malaysia dan menyertai Honda Malaysia Racing Team (ini adalah pasukan rasmi Honda Malaysia yang diwujudkan seakan ‘aktiviti ko-kurikulum’ untuk kaki tangan mereka yang berminat dengan sukan permotoran), kemudian berhijrah ke Proton sebagai antara orang penting yang menguruskan pasukan Proton R3 dari tahun 2008 hingga tahun 2012.

    Proton Satria GTi ’00 oleh Dream Street Restoration (DSR) – kereta lagenda, hasil restorasi oleh lagenda!

    Selain terlibat dalam perlumbaan, ketika bersama dengan Proton R3 Suriya antara yang terlibat dalam pembangunan model-model jalan raya Proton R3 termasuk Proton Satria Neo Lotus Racing dan Satria Neo R3. Jadi dengan pengetahuan yang dikutip semasa berkhidmat dengan R3 kini digunakan sebagai asas kepada DSR.

    Proton Satria GTi keluaran tahun 2000 yang anda lihat ini adalah hasil restorasi pertama DSR. Kereta ini ditemui oleh Suriya dan Dharveen dalam keadaan menyedihkan kerana terlalu lama tersadai, dan ia sebenarnya baru siap direstorasi serta telah pun mempunyai tuan baru, hanya menunggu masa untuk dihantar.

    Menurut Suriya, kereta ini direstorasi oleh DSR bukan sekadar mahu berada tahap seperti baru keluar dari kilang, tetapi memperbaiki kekurangan yang ada pada kereta tersebut, menghasilkan produk-produk mekanikal dan kosmetik baharu dengan jenama DSR, bagi memastikan ia pada tahap 120% lebih baik dari kondisi ketika pemilik pertamanya membawa pulang kereta ini dari bilik pameran.

    Langkah pertama yang dibuat oleh DSR selepas membawa pulang kereta ini adalah ‘membaraikan’ kesemua komponennya. Badan kosong kereta ini telah dihantar untuk di cat semula, di mana semua ‘bahan-bahan’ untuk mengecat telah dibeli dan dipilih sendiri oleh DSR bagi memastikan kualiti akhirnya memenuhi standard yang mereka mahukan.

    Proton Satria GTi ’00 oleh Dream Street Restoration (DSR) – kereta lagenda, hasil restorasi oleh lagenda!

    Bahagian dalaman kereta ini ketika ‘diselamatkan’ berada dalam keadaan yang cukup teruk. Oleh itu mana-mana panel yang telah rosak telah digantikan, manakala bahagian yang masih boleh diselamatkan seperti pelapik bumbung, papan pemuka, dibersihkan dan diperbaiki semula agar kelihatan baru. Tempat duduk pada GTi ini juga telah dibasuh, dan dibalut semula dengan fabrik yang dibekalkan oleh pengilang OEM asal Recaro Njoy berkenaan.

    Kalau anda perasan, GTi ini telah diberikan set karpet baharu dengan logo DSR – menurut Suriya, karpet ini juga telah dihasilkan semula oleh pihak yang sama membekalkan karpet kaki asli kepada Proton, dan ia dibuat dengan rupa dan kualiti yang sama.

    Selain itu, DSR turut menghasilkan semula aksesori dalaman lain dengan jenama mereka seperti tombol gear dan juga set pedal aloi. Komponen-komponen ini masih mengekalkan rupa kelengkapan asal Satria GTi, namun dihasilkan dari material yang lebih berkualiti.

    Roda stereng asal Satria GTi ini telah digantikan dengan roda stereng asli Momo Race, manakala untuk sistem bunyi pula, unit pemain audio utama asli GTi telah digantikan dengan pemain audio dari Nakamichi.

    Setelah enjin 4G93P 1.8 liter DOHC Satria GTi ini dikeluarkan dari perutnya, ia bukan hanya sekadar mahu dirombak rawat. Sebaliknya, enjin berkenaan dibawa ke SS Motorsport Garage yang dioperasikan oleh individu sama dalam satu pasukan lumba yang telah berberapa kali menjadi juara perlumbaan Merdeka Millenium Endurance dan juga Sepang 1000km, untuk melalui proses cetak biru (blueprint).

    Dengan proses ini, enjin berkenaan bukan hanya boleh beroperasi dengan prestasi sebaik ketika ia masih baru, malah lebih baik daripada itu. Ini kerana pemasangannya dilakukan oleh tangan manusia dengan deria yang lebih teliti dan bukan oleh robot di kilang. Ia sama seperti proses “satu orang, satu enjin” oleh Mercedes-AMG, atau “Takumi” di kilang enjin Yokohama Nissan yang memasang enjin VR38DETT GT-R R35.

    Tiada sebarang ubahsuai pada komponen enjin ini seperti penggunaan aci sesondol dengan durasi lebih tinggi atau roda tenaga yang lebih ringan – semuanya masih lagi menggunakan komponen standard. Malah omboh dan juga masih dalam dimensi asal, dan dinding silinder hanya digilap semula dengan proses honing. Cuma aci engkol enjin tersebut telah diimbang semula.

    Semasa proses pemasangan semula ‘isi perut’ enjin ini, ia bukan hanya dipasang dengan toleransi seperti yang dicatatkan dalam manual bengkel Proton untuk enjin tersebut. Tetapi proses yang dilakukan dengan tangan berkenaan membolehkan pemasangan itu dibuat dengan ruang kelegaan yang paling maksimum, bagi memastikan enjin tersebut beroperasi lebih lembut, lebih lancar dan lebih jitu berbanding enjin yang dihasilkan secara produksi besar-besaran di kilang.

    Proton Satria GTi ’00 oleh Dream Street Restoration (DSR) – kereta lagenda, hasil restorasi oleh lagenda!

    Meter perbatuan Satria GTi ini telah disetkan semula kepada ‘0’, ini bermakna sebaik sahaja enjin yang telah siap ini dihidupkan, ia terlebih dahulu perlu melalui proses break-in seperti kereta baharu, dan setelah ia mencecah bacaan 1,000 km nanti, minyak enjin perlu ditukar sekali lagi, macam anda baru beli kereta baru.

    Dan, untuk pemilik baharu nanti, segala maklumat, spesifikasi dan juga perincian yang dibuat dalam proses blueprint akan dibukukan dan diberikan sekali.

    Proses yang sama juga telah dibuat pada kotak gear lima kelajuan manual Satria GTi ini, di mana segala gasket, bearing dan juga komponen haus dan lusuh ditukar baharu. Bahagian luar enjin dan kotak tersebut bukan hanya dibersihkan dengan proses sandblasting, ia juga telah diwarnakan semula dengan proses powdercoat supaya ia nampak baru. Untuk menambah nilai eksklusif, satu plat aluminium dengan nombor siri unik DSR juga telah dilekatkan pada unit throttle body enjin berkenaan.

    Jika anda perhatikan ruang enjin ini, segala skru, nat dan cagak juga nampak seperti baru bukan? Ini kerana DSR telah menghantar kesemua komponen tersebut untuk disalut dengan kadmium, yang bukan sahaja memberikan rupa seperti komponen baru, malah turut memberikan pelindungan untuk bertahan lebih lama.

    Setelah badan kereta ini siap, ia dipulangkan semula dan proses pemasangan semula komponen dalam kabin, dalam ruang enjin serta segala komponen mekanikal lain bermula.

    Pasti ada yang tertanya-tanya, bagaimana pula dengan sistem suspensi di mana banyak komponen GTi ini tidak berkongsi dengan Satria biasa dan alat gantinya semakin sukar didapati? Sekali lagi, dengan hubungan yang sudah terjalin dengan pembekal-pembekal OEM terdahulu, komponen-komponen tersebut dapat dihasilkan semula, malah ada rekaan komponen-komponen getah termasuk bushing dan cagak-cagak enjin diolah semula serta diperbuat dari material lebih baik yang boleh diperolehi pada masa sekarang.

    Penyerap hentak lama ditukar dengan unit baharu tetapi masih dalam spesifikasi standard, manakala untuk spring pula Satria GTi ini menerima satu set spring baharu dengan spesifikasi yang sama seperti Satria R3 di mana ia bukan sahaja membuatkan badan kereta ini lebih rendah, malah mengurangkan daya olengan bagi memberikan lebih kestabilan ketika ia dibelasah di selekoh dengan kelajuan tinggi.

    Untuk brek, semua angkup hadapan dan belakang telah dirombak rawat semula, dan ini satu lagi set komponen yang disalut dengan kadmium. Cakera brek hadapan dan belakang juga telah ditukar dengan komponen asli baharu. Manakala untuk roda, rim asal 16-inci GTi ini di ‘tegak’kan semula, dicat dengan warna asal menggunakan proses oven baked, dan akhirnya dibaluti dengan tayar Continental MaxContact MC6 bersaiz 205/45R16.

    Proton Satria GTi ’00 oleh Dream Street Restoration (DSR) – kereta lagenda, hasil restorasi oleh lagenda!

    Setelah semua bahagian dicantumkan semula, DSR melakukan peincian akhir seperti talaan dan larasan pada sistem-sistem mekanikal, dan juga melakukan proses detailing pada cat badan, cermin-cermin dan juga pada lampu-lampu yang ada pada Satria GTi ini. Segala emblem asli pada badan GTi ini juga ditampal semula, namun untuk tulisan ‘Proton’ pada but belakang telah digantikan dengan pelekat yang lebih kecil mengikut ukuran model pasaran UK, manakala logo DSR di atasnya pula dihasilkan secara airbrush yang eksklusif.

    Tak pernah sekali pun sepanjang kerjaya saya sebagai jurnalis ditawarkan untuk memandu kereta-kereta sebegini selain dari kereta-kereta baharu untuk tujuan artikel pandu uji dari pengeluar-pengeluar. Kali ini, Suriya dengan senang hati menawarkan saya untuk memandu uji Satria GTi yang diberi nombor siri unik DSR-001-C99 ini.

    Ketika kereta ini dilancarkan pada tahun 1998, saya antara budak sekolah yang mengimpikan untuk memiliki hot-hatch Proton yang bukan sahaja menerima talaan, malah dengan gaya asli Lotus ini. Jadi dengan rasa terharu, pelawaan ini saya sambut dengan hati yang riang gembira. Rasa macam nak menangis pun ada, tapi kena la control macho.

    Pada saya Satria GTi ini adalah sebuah kereta yang begitu beremosi. Setiap kali pedal pendikit di tekan, bunyi induksi sedutan udara ke dalam kebuk pembakaran kedengaran jelas, membuatkan pemandu mahu menekannya lagi dan lagi. Ia adalah bunyi yang dihasilkan secara semula jadi, dan bukan bunyi yang sengaja dibuat-buat seperti yang ada pada kebanyakkkan model-model sport sekarang.

    Proton Satria GTi ’00 oleh Dream Street Restoration (DSR) – kereta lagenda, hasil restorasi oleh lagenda!

    Satu lagi yang saya perasan, dengan proses blueprint yang dibuat pada enjin, ia kini beroperasi dengan lebih stabil dan memberikan respon yang cukup baik. Pada kelajuan sekitar 60-70 km/j dengan kedudukan gear 4, tidak ada masalah langsung untuk anda memecut untuk memotong kereta di hadapan tanpa menurunkan gear.

    Tekan sahaja pedal pendikit, ia terus ‘pergi’ tanpa rasa sebarang gegaran ketika ia mula untuk memecut. Boleh dikatakan enjin ini ‘hidup’ dan memberikan tujahan pada setiap kedudukan gear. Memang terasa seperti ‘berhantu’ betul.

    Untuk stereng dan suspensi, Satria GTi ini memberikan respon yang ‘terus’ kepada pemandu, seolah-olah anda dapat merasakan permukaan jalan pada tangan yang memegang stereng. Sekali lagi, ‘rasa’ yang diberikan ini adalah telus dari rekaan-rekaan mekanikal, dan bukan rasa-rasa yang dibuat-buat dengan sistem elektronik seperti pada kereta-kereta baharu.

    Anda mungkin seronok untuk memandu Mercedes-AMG A45 yang dibekalkan dengan kuasa yang tak masuk akal, bersama sistem komputer yang mengawal brek dan juga agihan tork pada setiap roda yang dilakukan oleh komputer, membuatkan anda rasa seperti seorang pemandu profesional.

    Namun pengalaman untuk mengendalikan kereta yang masih penuh dengan sistem mekanikal yang mana otak yang mengawalnya bukan komputer, tetapi otak pemandu sendiri seperti Satria GTi ini, ia adalah satu kepuasan yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Sekali lagi, terima kasih En. Suriya kerana sudi memberikan saya pengalaman ini.

    Walaupun kereta ini sudah ada tuan yang baru, jika anda berminat untuk memiliki Satria GTi atau model-model C99 Proton yang lain seperti Wira 1.8 EXi DOHC dan juga Putra, jangan segan silu untuk berhubung terus dengan Suriya atau Dharveen.

    Menurut Suriya, kereta dan juga segala alat ganti untuk ketiga-tiga model tersebut sudah pun ada, tinggal anda pilih dan bersetuju sahaja dengan segala kos yang dilampirkan, projek akan terus bermula dan anda akan menjadi pemilik untuk unit istimewa dengan nombor siri DSR-002-C99 pula!

    Lebih cerita berkenaan latar belakang Dream Street Restoration ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • MyKar oleh EV Innovations – kereta elektrik prototaip 32 hp yang direka dan dibangunkan syarikat Malaysia

    MyKar oleh EV Innovations – kereta elektrik prototaip 32 hp yang direka dan dibangunkan syarikat Malaysia

    Sebuah syarikat baru di Malaysia iaitu EV Innovations berharap teknologi kenderaan elektrik (EV) mereka dapat menjadi permulaan bagi EV keluaran tempatan. Bagi menunjukkan potensinya, firma yang merupakan anak syarikat kepada penyedia teknologi informasi dan komunikasi tempatan, System Consultancy Services (SCS) itu telah menghasilkan sebuah kereta prototaip yang dipanggil sebagai MyKar.

    Projek pembangunan kereta ini sudah dimulakan pada bulan Januari 2019, dan pernah dipamerkan kepada orang ramai waktu Pameran Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur November tahun lepas. Ujian bergerak dimulakan tahun ini, tetapi terganggu akibat pandemik Covid-19. Semalam, satu lagi sesi ujian diadakan di landasan udara Putrajaya dan sedikit tetamu dijemput menyaksikannya secara dekat.

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar, MyKar ini masih jauh daripada bentuk produksi akhir, tetapi ia sudah berfungsi sepenuhnya (masih belum sah diguna atas jalan raya). Mungkin ada yang mengatakan bentuk luarnya seperti biasa dilihat, kerana ia nampak seperti Honda Jazz – sebenarnya memang model itu yang dibeli dan digunakan oleh EV Innovations untuk tujuan pembangunan kejuruteraan.

    Pintu dan suspensi MyKar digunakan terus daripada Jazz, dan bentuknya menjadi asas kepada badan binaan komposit gentian oleh DK Composites. Kenderaan ini dibina atas casis ladder frame/tubular yang dihasilkan sendiri oleh EV Innovations.

    Berat MyKar adalah 900 kg, dan ia dipacu oleh dua motor hab 12 kW untuk menggerakkan roda belakang. Kuasa pula datang daripada pek bateri berkapasiti 10 kWh yang terdiri daripada 32 bateri lithium ion phosphate (LiFePO4) China Aviation Lithium Battery (CALB), dengan berat keseluruhan 100 kg.

    Melalui konfigurasi ini, penggunaan kuasa berada pada tahap 6.6 kWh bagi setiap 100 km, seterusnya memberikan ia jarak gerak sekitar 150 km, dengan waktu mengecas sekitar tiga jam. Syarikat itu memberitahu, dengan bateri 16 kWh, jarak ini boleh ditingkatkan menjadi 200 km, tetapi waktu mengecas juga akan bertambah menjadi 4.8 jam manakala berat menjadi 1,016 kg.

    Bagi versi bateri 10 kWh, ia mampu menghasilkan kuasa 24 kW (32 hp) dan 30 kg/m (295 Nm), dan apabila diterjemahkan kepada prestasi, boleh mencecah kelajuan maksimum 104 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 16.7 saat. Bunyinya seperti tidak berapa laju tetapi pecutan 0-100 km/j MyKar ini adalah lebih pantas daripada Perodua Myvi, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa ujian pecutan antara dua kereta tersebut.

    Syarikat ini juga mempunyai video ujian sama yang dilakukan awal tahun ini. Sebelum ditunjukkan dalam acara semalam, kereta itu telah melalui beberapa ujian lapangan sebelum pandemik melanda. Ujian pertama adalah untuk jarak gerak dan ketahanan di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan Februari lalu manakala ujian kedua untuk prestasi, di landasan udara Putrajaya pada bulan Mac.

    Juga boleh dilihat, MyKar tidak lagi menggunakan cermin sisi biasa dan diganti dengan sistem kamera bersama skrin LCD di dalam, serta panel solar atas bumbung untuk mengecas bateri lain yang digunakan untuk sistem pendingin hawa kenderaan tersebut.

     
     
  • UMW Toyota terbitkan filem pendek bagi meraikan Hari Malaysia 2020 dengan penuh nilai-nilai murni

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menerbitkan sebuah filem pendek bagi meraikan Hari Malaysia 2020, yang memaparkan apa ertinya untuk menjadi warga Malaysia yang sebenar. Filem berkenaan adalah tentang nilai-nilai murni seperti saling menghormati, tolak ansur dan penerimaan di peringkat peribadi.

    Menampilkan dua selebriti tempatan terkenal iaitu Shukri Yahaya dan Shafiq Kyle, penonton boleh mengikuti perjalanan dalam hidup dua rakan rapat ini serta menyelami sendiri fikiran serta emosi mereka ketika hubungan persahabatan diuji.

    Emosi yang terkandung agak tegang, membawa penonton untuk turut sama merenung dan menyedari bahawa perbezaan tidak sepatutnya memisahkan kita, tetapi boleh dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi hubungan — sekiranya kita ada rasa hormat, kasih, bertolak ansur dan menerima antara satu sama lain seadanya.

    “Kami percaya filem pendek ini mampu menyentuh setiap hati seluruh rakyat Malaysia secara peribadi. Filem ini melambangkan kesabaran dan tolak ansur, dan kami berharap semua kita dapat menzahirkan mesej berkenaan dalam kehidupan serta hubungan keseharian kita bersama.

    “Dengan kepelbagaian yang ada di negara ini, yang melibatkan perbezaan unik, UMW Toyota menjadi lebih kuat ketika kami memanfaatkan kelebihan tersebut dan menjadikannya kelebihan kami. FIlem ini berhasrat untuk menunjukkan kekuatan kita bersama sebagai sebuah negara,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    Shukri Yahaya dan Shafiq Kyle yang mula terlibat bersama Toyota sejak 2017 dan 2019 merupakan pelumba selebriti Toyota Gazoo Racing. Mereka sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada projek ini dan berbangga dengan pesan yang ingin disampaikan.

    Menerusi filem pendek ini, UMW Toyota turut berharap untuk mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa kisah Malaysia adalah dibangunkan daripada jalinan kisah persahabatan ramai individu. Seperti kata-kata yang selalu selalu diucapkan; “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”

     
     
  • PKPD pentadbiran dilaksanakan di Kota Setar, Kedah, mulai esok hingga 25 Sept ini – 28 mukim terlibat

    PKPD pentadbiran dilaksanakan di Kota Setar, Kedah, mulai esok hingga 25 Sept ini – 28 mukim terlibat

    Disebabkan penularan kes positif COVID-19 yang melibatkan kluster Sungai dan Tawar di Kota Setar, Kedah semakin meningkat, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah berkenaan bermulai 12.01 tengahmalam ini sehingga 25 September 2020.

    Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia melibatkan sebanyak 28 mukim dan membabitkan seramai 366,787 penduduk secara keseluruhan.

    Mukim-mukim yang terlibat ialah Langgar, Bukit Pinang, Gunung, Kuala Kedah, Sungai Baru, Kota Setar, Mergong, Titi Gajah, Alor Malai, Pengkalan Kudor dan Padang Lalang. Selain itu, ia turut membabitkan Kubang Rotan, Teluk Cengai, Teluk Kechai, Pumpong, Derga, Tajar, Limbong, Tebengau dan Teluk Mas. Lapan mukim lain yang turut terlibat termasuklah Lengkus, Kangkong, Lepai, Hutan Kampung, Alor Merah, Anak Bukit, Sala Kechik dan Padang Hang.

    “Ini juga selaras dengan cadangan oleh Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, Prosedur Operasi Standard (SOP) di daerah berkenaan adalah sama sepertimana SOP PKPD Pentadbiran yang lain, termasuk larangan keluar dan masuk di kawasan berkenaan, di mana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya.

    Sepanjang PKPD ini, tempat awam termasuk pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi, namun pasar harian pula hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 2 petang sahaja. Manakala klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam, tetapi farmasi hanya boleh dibuka hingga 8 malam sahaja.

    Operasi restoran pula hanya dibenarkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan hanya untuk makanan yang dibungkus dan dibawa pulang sahaja (tidak boleh makan di situ). Malah feri dari Jeti Kuala Kedah juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKPD ini dilaksanakan.

    Dalam masa yang sama, Ismail turut mengumumkan PKPD pentadbiran yang sedang dilaksanakan di Aman Jaya, Sg Petani, dilanjutkan sehingga 13 September ini.

     
     
  • Kereta EV kuasa Ultium General Motors akan jadi yang pertama guna sistem pengurusan bateri tanpa wayar

    Kereta EV kuasa Ultium General Motors akan jadi yang pertama guna sistem pengurusan bateri tanpa wayar

    General Motors telah mengumumkan bahawa mereka akan menjadi pengeluar kenderaan pertama yang menggunakan sistem pengurusan bateri hampir tanpa wayar sepenuhnya (wBMS) pada kenderaan elektrik (EV) akan datang. Sistem yang dibangunkan bersama Analog Devices ini akan digunakan untuk memacu kenderaan EV kuasa Ultium lebih cepat ke dalam pasaran, termasuk pada Cadillac Lyriq dan GMC Hummer EV.

    Melalui sistem ini, masa untuk membangunkan sistem komunikasi, atau mereka semula sistem pendawaian yang kompleks pada kereta yang berlainan dapat dikurangkan. Sama seperti teknologi bateri dan platform mereka, sistem wBMS ini boleh digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan, dari trak tugas berat hinggalah kereta prestasi.

    Pada EV sekarang, terdapat sambungan wayar di antara pek bateri dan modul sistem pengurusan bateri, yang mana membantu melindungi sumber kuasa. Dengan sistem wBMS, wayar dan sambungan tambahan ini tidak perlu lagi digunakan dan setiap pek bateri mempunyai modul slave sendiri yang boleh berkomunikasi dengan modul utama tanpa sebarang wayar.

    Kereta EV kuasa Ultium General Motors akan jadi yang pertama guna sistem pengurusan bateri tanpa wayar

    Modul slave ini boleh mengukur pelbagai karekter fizikal pek bateri, termasuk voltan, arus dan suhu sel bateri. Antara manfaat lain sistem ini adalah berat yang dapat dikurangkan kerana tidak banyak wayar dan penyambung, waktu pengeluaran lebih pendek, kurang kompleks serta lebih fleksibel berkenaan kedudukan pek bateri.

    GM turut memberitahu, sistem ini boleh menerima ciri baru apabila ada nanti, dengan sokongan kemas kini atas talian yang disediakan oleh Vehicle Intelligence Platform. Mereka juga menambah bahawa sistem wBMS ini mempunyai perlindungan keselamatan siber termasuk melalui sambungan tanpa wayar.

     
     
  • Suzuki Swift 2021 masuk pasaran UK — 1.2L Dualjet hibrid kini standard, dengan kelengkapan lebih baik

    Suzuki Swift 2021 masuk pasaran UK — 1.2L Dualjet hibrid kini standard, dengan kelengkapan lebih baik

    Empat bulan selepas membuat kemunculan di Jepun, Suzuki Swift facelift 2021 kini masuk pula ke pasaran UK. Kali ini, semua model 1.2L disertakan dengan sistem mild-hybrid 12-volt sebagai standard, untuk membolehkannya mengurangkan lagi kadar pembebasan karbon dan memperbaiki penggunaan minyak.

    Enjin K12D Dualjet Hybrid 1.2 liter yang dikemaskini itu menggantikan unit K12C bukan hibrid sebelum ini. Ia menawarkan 83 PS dan 107 Nm tork pada 2,800 rpm. Enjin berkenaan menampilkan sistem suntikan berkembar, masukan pemasa injap bolehubah elektronik, pam minyak sesaran boleh ubah serta sejukan piston elektronik.

    Sistem hibrid 12-volt yang kompak dan ringan itu menggunakan Integrated Starter Generator dengan tali sawat (ISG; 2.3 kW dan 50 Nm tork), yang membantu enjin ketika pecutan dan mendapatkan semula tenaga melalui janaan semula ketika brek. Bateri 10 Ah lithium-ion baru mengggantikan unit 3 Ah.

    Suzuki Swift 2021 masuk pasaran UK — 1.2L Dualjet hibrid kini standard, dengan kelengkapan lebih baik

    Dengan transmisi manual, Swift Hybrid pacuan roda depan ini didakwa menggunakan hanya 4.1 liter bahan api bagi setiap 100 km (kitara WLTP) dan menghasilkan 111 gram C02 bagi setiap kilometer. Dengan CVT, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 12.2 saat.

    Sistem pacuan semua roda kekal AllGrip Auto juga ada ditawarkan sebagai pilihan, tetapi hanya untuk varian paling tinggi SZ5. Versi ini turut menggunakan enjin K12D hibrid yang sama, dengan bacaan kadar penggunaan minyak 4.5 L/100 km dan 123 g/km C02.

    Sementara itu, Swift Sport masih dikuasakan oleh enjin 1.4 liter turbocas petrol, yang telah dikemaskini dengan sistem mild-hybrid 48-volt awal tahun ini. Output keseluruhan sistem berkenaan ialah 129 hp dan 235 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat dan laju maksimum 210 km/j.

    Suzuki Swift 2021 masuk pasaran UK — 1.2L Dualjet hibrid kini standard, dengan kelengkapan lebih baik

    Kemaskini penampilan yang dilakukan adalah sama seperti model JDM; menampilkan gril baru dengan jalur krom halus, lampu depan yang dikemaskan, rekaan rim baru dan warna tambahan baru. Tiang tengah juga dihitamkan. Lampu utama LED kini adalah standard untuk semua.

    Di dalam, Swift menerima skrin sentuh tujuh-inci untuk paparan dengan Apple CarPlay dan Android Auto sebagai standard. Sistem tunjuk arah melalui kad SD juga ada sebagai pilihan. Bagi aspek keselamatan, semua model datang dengan kawalan melayar adaptif sebagai standard.

    Suzuki Swift 2021 masuk pasaran UK — 1.2L Dualjet hibrid kini standard, dengan kelengkapan lebih baik

    Bergantung kepada varian, turut hadir ialah sokongan brek radar, sokongan brek dua sensor, amaran menukar lorong, amaran lintasan trafik di belakang, tinjauan titik buta, pengesanan tanda trafik dan sensor parkir di belakang.

    Sejak model generasi ketiga diperkenalkan pada 2017, Suzuki telah menjual sebanyak 745,000 unit model ini di peringkat global. Di UK, ia disasarkan jualan sebanyak 12,000 unit untuk tahun 2021. Harga untuk pasaran UK bagi Swift ini ialah dari £14,749 (RM80k) hingga £18,749 (RM101k).

     
     
  • 169,315 saman AWAS dikeluarkan sejak September 2018, RM6.5 juta kompaun telah berjaya dikutip

    169,315 saman AWAS dikeluarkan sejak September 2018, RM6.5 juta kompaun telah berjaya dikutip

    Menerusi sesi soal jawab di Dewan negara hari ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, telah memaklumkan sebanyak 169,315 saman telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sejak kerajaan mengambil alih pengoperasiannya daripada pihak swasta.

    Menurutnya, sepanjang tempoh 1 Sept 2018 sehingga Disember tahun lepas, sejumlah RM6.9 juta kompaun juga berjaya dikutip, laporan Bernama.

    “AWAS atau dahulunya dipanggil Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sememangnya memberi kesan, sebab itu ia diteruskan apabila kerajaan terdahulu mengambil alih.

    “Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati AWAS atau AES dapat mengurangkan 95% jumlah risiko kemalangan di persimpangan lalu lintas dan jalan raya yang dipasang kamera,” katanya bagi menjawab soalan Senator Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah yang ingin tahu jumlah saman dan kompaun yang dikutip sepanjang tempoh itu.

    Setakat hari ini, terdapat sebanyak 49 kamera AWAS di seluruh negara dengan 22 daripadanya dipasang di Lebuhraya PLUS. Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid turut berkata pihaknya sedang dalam kajian untuk menambah lebih banyak kamera AWAS di kawasan-kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lebih terjamin.

     
     
  • Proton X70 2020 kini telah berada di pasaran Brunei

    Proton X70 2020 kini telah berada di pasaran Brunei

    Baru-baru ini, Proton telah pun melancarkan SUV X70 2020 di Brunei, sekaligus negara berkenaan menjadi pasaran eksport pertama untuk model 2020 yang dipasang di Tanjung Malim, Perak. Untuk makluman, Brunei mula menerima kehadiran X70 versi terdahulu di pasarannya sejak tahun 2019, dengan tiga varian – Standard, Executive dan Premium X. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Menurut Proton, biarpun Brunei juga tidak terlepas dari jangkitan wabak COVID-19 tetapi jumlah penjualan industri automotif pada akhir bulan Julai telah berjaya mencatatkan jualan sebanyak 7,609 unit, menunjukkan tren jualan yang setanding dengan jumlah jualan tahun lepas. Menjadikan SUV ini berjaya menduduki tiga tempat teratas bagi segmennya di sana.

    “Proton teruja dengan model Proton X70 2020 buatan Malaysia telah dilancarkan di pasaran eksport pertama kerana jualan eksport memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan jumlah jualan keseluruhan syarikat.

    “Kami yakin bahawa kombinasi elemen inovatif serta ciri keselamatan yang menyeluruh pada X70 baharu ini akan berjaya menarik perhatian pembeli kereta bukan saja di Brunei, malah di mana-mana pasaran di seluruh dunia,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Semenjak pelancarannya pada bulan Februari 2020, X70 2020 merupakan pilihan paling popular di kalangan pembeli SUV di Malaysia. Pada akhir bulan Ogos 2020, sebanyak 12,732 unit telah dijual bersamaan dengan 25.9% pegangan pasaran SUV di seluruh Malaysia.

    GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020

     
     
  • Maserati MC20 diperkenalkan secara rasmi – 3L twin-turbo V6, 630 PS/730 Nm; 0-100 km/j di bawah 2.5 saat

    Maserati MC20 diperkenalkan secara rasmi – 3L twin-turbo V6, 630 PS/730 Nm; 0-100 km/j di bawah 2.5 saat

    Maserati MC20 telah pun diperkenalkan di peringkat dunia, di Modena, Itali, awal pagi tadi. Jika ada yang tertanya-tanya dengan nama yang dipilih bagi jentera prestasi ini, MC itu adalah singkatan kepada Maserati Corse manakala 20 pula merujuk kepada tahun 2020, yang dianggap sebagai satu fasa baharu bagi pengeluar terkemuka Itali ini.

    Dijanakan oleh enjin baharu 3.0 liter twin-turbo V6 dengan hamburan kuasa 630 PS (621 hp) pada 7,500 rpm dan tork 730 Nm dari 3,000 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi dwi-klac lapan kelajuan. Membolehkan jentera ini dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dengan hanya mengambil masa 2.9 saat! Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 323 km/j.

    Enjin yang dikenali sebagai ‘Nettuno’ ini juga mempunyai sistem kebuk pembakaran awal yang menampilkan palam pencucuh dua percikan seperti kereta Formula 1. Kebuk ini dibuat antara kebuk utama dan palam pencucuh, untuk meningkatkan lagi pembakaran. Satu lagi cirinya adalah dilengkapi dengan satu lagi palam pencucuh di tepi untuk memastikan pembakaran yang berterusan di sepanjang tahap rpm dan sistem bahan api twin-injection.

    Maserati MC20 diperkenalkan secara rasmi – 3L twin-turbo V6, 630 PS/730 Nm; 0-100 km/j di bawah 2.5 saat

    Masih menampilkan empat mod tradisional – Wet, GT, Sport, dan Corsa – yang boleh dipilih menerusi pemilih mod pemanduan, dengan pilihan kelima “ESC Off” yang akan mematikan kawalan cengkaman sepenuhnya.

    Setiap mod juga dilaras mengikut sensitiviti pendikitan dan ‘rasa’ stereng, termasuk juga suspensi adaptif. Larasan double-wishbone dengan penyerap hentakan aktif bertujuan untuk menaik dan merendahkan jentera mengikut mod pemanduan.

    Bagi sistem brek yang lebih berkuasa, MC20 dipadankan dengan cakera brek hadapan 380 mm yang diapit oleh kaliper Brembo enam-piston, sementara di bahagian belakang pula dilengkapi cakera brek 350 mm dengan empat unit piston. Dengan pilihan pakej brek seramik karbin, cakera di hujungnya mendapat tambahan 10 mm.

    Selain itu, MC20 turut dibangunkan dengan struktur monocoque ringan yang membuatkan berat jentera ini hanya sekitar 1,500 kg. Tidak seperti Enzo yang dibangunkan berasaskan MC12, MC20 memiliki saiz yang lebih kecil, berukuran 4,669 mm panjang, 1,965 mm lebar dan 1,221 mm tinggi, dengan jarak roda 2,700 mm. Sebagai perbandingan, MC12 pula berukuran 5,143 mm panjang, 2,096 mm lebar, 1,205 mm tinggi dan jarak roda 2,800 mm.

    Melihat imej yang dipersembahkan oleh MC20, ia dilengkapi dengan gril yang sedikit ringkas, lampu utama LED berbentuk tajam yang disambung ke fender hadapan, dengan beberapa ciri aerodinamik lain. Splitter hadapan, bumbung dan ambang sisi pula dilapisi gentian karbon. Ciri luaran lain termasuklah roda 20-inci yang dibaluti tayar berukuran 245/35 di hadapan dan 305/30 di belakang.

    Untuk bahagian belakangnya pula, MC20 kelihatan lebih tampan dengan padanan lampu LED melintang, dua corong ekzos yang ditempatkan di bawah plat nombor pendaftaran, dan diffuser besar yang diperbuat daripada material gentian karbon. MC20 turut didatangkan dengan enam pilihan warna luaran menarik – Bianco Audace, Giallo Genio, Rosso Vincente, Blu Infinito, Nero Enigma, dan Grigio Mistero.

    Material gentian karbon juga banyak digunakan untuk ruang dalaman MC20. Ini termasuklah pada kolum tengah, pedal penukar gear dan roda stereng yang kesemuanya mampu membuatkan jentera ini lebih ringan. Manakala tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu dilapisi material Alcantara dan jahitan kulit dengan kemasan biru.

    MC20 turut didatangkan dengan ciri standard termasuk paparan skrin sesentuh 10.3-inci yang memaparkan Maserati Intelligent Assistant (MIA) baharu, dan juga kluster instrumen digital 10.3-inci. Manakala sistem infotainmen pula menampilkan pelbagai ciri yang melebihi sistem Maserati terdahulu, termasuklah Maserati Connect yang memberikan pengingatan kepada pemiliknya tentang tarikh penyelenggaraan dan ciri keselamatan lain, yang juga boleh diakses menerusi telefon pintar.

    Produksi bagi MC20 i i direncana bakal bermula pada hujung 2020 di kilang Viale Ciro Menotti milik Maserati, yang sebelum ini turut memasang model GranTurismo dan GranCabrio. Walau pun MC12 yang sebelum ini diproduksi dengan jumlah unit terhad (hanya 62 unit secara keseluruhan termasuk 12 jentera lumba), tetapi difahamkan MC20 tidak mengikut langkah yang sama. Namun syarikat ini tidak memaklumkan jumlah unit yang bakal dihasilkan, termasuk juga untuk unit jentera lumba.

     
     
  • Yamaha YZF-R3 2021 pasaran AS dapat warna baru

    Yamaha YZF-R3 2021 pasaran AS dapat warna baru

    Yamaha telah menunjukkan warna baru bagi YZF-R3 2021, yang akan mula dijual di Amerika Syarikat (AS) November ini. Satu daripadanya menggunakan padanan warna teal dan rim merah manakala satu lagi menggunakan warna seperti jentera lumba pasukan MotoGP Monster Energy Yamaha.

    Model yang menggunakan badan sama seperti YZF-R25 pasaran Malaysia ini dikuasakan oleh enjin dua silinder selari DOHC 321 cc suntikan bahan api, dan mampu menghasilkan kuasa 42 hp pada 10,750 rpm dan 28.8 Nm tork pada 9,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan.

    Pada bahagian brek, R3 menggunakan unit cakera 298 mm bersama angkup dua piston di hadapan, dan çakera 220 mm serta angkup satu piston di belakang. Ia juga dilengkapi dengan sistem ABS secara standard, tidak seperti R25 di negara kita yang masih kekurangan ciri keselamatan tersebut.

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk fork teleskopik tanpa sebarang pelarasan, monoshock dengan pelarasan pra beban, rim 17 inci dengan tayar Dunlop Sportmax GPR-300, tangki bahan api 14 liter dan berat 170 kg.

    R3 dijual di Amerika Syarikat pada harga USD 5,299 (RM22,075) bagi versi biasa dan USD 5,599 (RM23,324) bagi MotoGP Edition manakala di negara kita, R25 dijual pada harga RM19,998 bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • SPYSHOT: Volkswagen ID.6 – EV tujuh tempat duduk

    SPYSHOT: Volkswagen ID.6 – EV tujuh tempat duduk

    Volkswagen telah menunjukkan beberapa model elektrik konsep yang menggunakan nama ID. sebelum ini dan satu daripadanya, iaitu ID.3 telah pun memasuki pasaran manakala ID.4 akan dilancar tidak lama lagi. Kini, satu lagi model ID. produksi telah ditemui diuji atas jalan raya. Model berbentuk SUV ini adalah kesinambungan daripada model konsep ID. Roomzz dan mungkin akan dipanggil sebagai ID.6 apabila memasuki pasaran nanti.

    Sama seperti ID.4 dan Skoda Enyaq, model ini juga akan menggunakan platform MEB. Beberapa pakej penggerak boleh dijangka, dan ID.6 mungkin mengikuti ID.4 dengan dipacu oleh motor elektrik 204 PS/310 Nm yang terletak di gandar belakang. Dengan satu cas penuh, ID.4 dijangka boleh bergerak sehingga 500 km.

    Penggerak lebih berkuasa adalah dua motor elektrik, yang menambah satu lagi motor 102 PS/140 Nm pada gandar hadapan untuk memberikan kuasa 306 PS. Pakej ini juga digunakan pada ID.4 dan berkemungkinan dimasukkan pada ID.6. Model Skoda Enyaq RS yang menggunakan penggerak sama mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan mencecah kelajuan maksimum 180 km/j.

    SPYSHOT: Volkswagen ID.6 – EV tujuh tempat duduk

    Dengan menggunakan platform MEB sama, ID.6 juga mempunyai kemungkinan dipasang dengan pengecas AC 7.2 kW dan DC 50 kW seperti Enyaq varian asas. Varian 60 yang terletak di tengah pula mendapat pengecas AC 11 kW dan DC 100 kW manakala varian paling tinggi 80 dan 80x menggunakan pengecas pantas DC 150 kW. Dari kosong, baterinya boleh dicas sehingga 80% dalam masa cuma 30 minit.

    Sebelum ID.6, ID.4 akan diperkenalkan terlebih dahulu, iaitu dalam bulan ini juga, dan setakat ini cuma bahagian luar dan dalamnya sahaja yang telah didedahkan. Pelanggan pertama ID.4 dijangka menerima kenderaan mereka dalam tahun ini, sementara ID.6 pula akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

     
     
  • Kunci Proton X50 mula muncul di internet — akan ada fungsi untuk hidupkan enjin dari jarak jauh?

    Kunci Proton X50 mula muncul di internet — akan ada fungsi untuk hidupkan enjin dari jarak jauh?

    Pengenalan SUV segmen B pertama Proton dijangka tak lama lagi. Tapi, ada gambar kunci Proton X50 yang sudah mula muncul di internet, dan yang anda lihat ini ialah daripada seorang pembaca kami, Lepat Pisang.

    Maka, kalau betul, inilah rupa bentuk kunci terbabit. Bahagian sisi kunci berkenaan kelihatan seperti ada kemasan metalik yang diberikan, berserta jalur-jalur yang tertera nama Proton. Ada asas juga untuk kita percaya bahawa ini memang benar-benar kunci X50; cuba tonton video yang disertakan bersama ini, yang menampilkan Geely Coolray (nama lain bagi Binyue untuk pasaran Filipina), menunjukkan ada persamaan penampilan antara keduanya.

    Apa yang lebih menarik ialah susunan empat butang, terutamanya pada bahagian paling bawah yang berfungsi untuk mengihidupkan enjin dari jauh. Ini mungkin akan turut ditawarkan pada Proton X50, tetapi apa pun itu perlu disahkan sebaik model berkenaan diperkenalkan secara rasmi nanti.

    Kunci Proton X50 mula muncul di internet — akan ada fungsi untuk hidupkan enjin dari jarak jauh?

    Fungsi ini membolehkan pemandu menghidupkan enjin dari jauh dan membiarkan enjin panas terlebih dahulu (berguna dalam cuaca sejuk). Dalam banyak keadaan, fungsi ini turut akan menghidupkan penghawa dingin untuk membolehkan kabin disejukkan terlebih dahulu sebelum pemandu dan penumpang masuk. Di Malaysia, sudah ada model-model yang datang dengan ciri ini, misalnya seperti Honda Civic.

    Sementara kita menunggu pelancaran rasmi Proton X50 – yang tentunya menjadi antara model yang paling ditunggu-tunggu ketika ini – ikuti juga liputan berkaitan model berkenaan yang pernah kami sediakan sebelum ini, yang antaranya ada pautan dalam senarai di bawah.

     
     
  • “Enjin 1.0L je?” – rakyat M’sia perlu lebih celik tentang spesifikasi, bukan hanya lihat kapasiti enjin sahaja

    “Enjin 1.0L je?” – rakyat M’sia perlu lebih celik tentang spesifikasi, bukan hanya lihat kapasiti enjin sahaja

    Sudah menjadi lumrah, kita di Malaysia sejak dari zaman dahulu jika mahu membayangkan kuasa kuda, kelajuan, keselesaan, malah harga sesebuah kereta, kapasiti enjin akan dijadikan asas rujukan untuk aspek-aspek tersebut. Pada era 80’an dan 90’an, orang ramai tidak menjadikan segmen atau kelas untuk membandingkan satu-satu model, tetapi mengambil kapasiti enjin untuk tujuan berkenaan.

    Contohnya, Toyota Starlet KP61 1982 pasaran Malaysia yang dijana enjin 4K 1.3 liter, sudah tentu lawan terusnya adalah Honda Civic SA0 yang juga dijana oleh enjin EN1 1.3 liter – tiada istilah segmen-A atau segmen-B ketika itu.

    Ini cerita sekitar 40-tahun dahulu, namun malangnya walaupun teknologi telah berubah begitu drastik sepanjang tempoh tersebut, orang ramai di Malaysia masih belum “move on” dari menggunakan kapasiti enjin sebagai menentukan kelas satu-satu model tersebut.

    Anda lihat sahaja diruangan komen artikel-artikel kami di laman Facebook berkenaan model-model baharu yang menggunakan enjin turbo berkapasiti kecil seperti Honda Accord 1.5L Turbo dan juga Nissan Almera 1.0L Turbo, pasti ada sahaja komen seperti “enjin 1.0L je tapi harga lebih RM80k? Mahalnya, model yang dulu tu enjin 1.5L je tak sampai RM80k” atau “boleh panjat Genting ke ni?”.

    Para pembaca yang budiman, evolusi pengecilan kapasiti enjin ini bukan perkara baharu. Di Amerika Syarikat, kejatuhan enjin-enjin V8 sudah bermula sejak era 70’an apabila berlakunya krisis tenaga, di mana rakyat negera berkenaan mula memilih kereta-kereta dari Jepun yang dijana oleh enjin yang jauh lebih kecil, berbanding kereta-kereta domestik yang dikuasakan enjin sama saiz dengan enjin lori.

    Dan trend pengecilan kapasiti enjin terus berjalan dari masa ke masa di mana undang-undang pencemaran di Eropah dan Amerika Syarikat yang semakin ketat dari tahun ke tahun. Kapasiti enjin ini dikecilkan bukan secara hentam kromo, ia seiring dengan perkembangan teknologi di mana walaupun ia semakin kecil, jumlah kuasa yang dihasilkan adalah sama atau lebih baik dari sebelumnya.

    Jika pada era 80’an hingga 90’an dahulu jurutera giat membangunkan teknologi injap bervariasi seperti VTEC dari Honda atau VANOS dari BMW untuk mengekstrak lebih tenaga dan kadar efisien pada satu-satu enjin, sekarang mereka lebih menumpukan penggunaan satu komponen yang dicipta oleh jurutera Sweden, Alfred Büchi pada tahun 1905, iaitu pengecas turbo.

    Pengecas turbo ini berfungsi untuk menyedut udara dari luar dan menghembuskannya ke kebuk pembakaran enjin, membolehkan kuasa yang jauh lebih besar dihasilkan dengan tork maksima yang boleh dicapai dengan jauh lebih cepat.

    “Enjin 1.0L je?” – rakyat M’sia perlu lebih celik tentang spesifikasi, bukan hanya lihat kapasiti enjin sahaja

    Anda boleh lihat contoh pada Honda Accord misalnya, model tertinggi untuk generasi sebelum ini dijana oleh enjin K24W4 2.4 liter dengan teknologi DOHC i-VTEC yang menghasilkan 174 hp dan tork maksima 225 Nm, manakala model lebih rendah diberikan enjin R20 SOHC i-VTEC berkuasa 153 hp dan tork 190 Nm.

    Untuk model generasi baharu, Accord di Malaysia hanya ditawarkan dengan satu jenis enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Kalau tengok kapasiti, memang kecil, malah lebih kecil dari enjin hatchback segmen-B Proton Iriz Premium. Tapi cuba anda tengok spesifikasi – enjin 1.5L VTEC turbo berkenaan berupaya menghasilkan 198 hp (201 PS) dan tork maksima 260 Nm, atau 24 hp dan 35 hp lebih tinggi dari enjin 2.4 liter sebelumnya!

    Begitu juga halnya dengan enjin HRA0 1.0 liter tiga-silinder dari Nissan Almera yang berkuasa 100 PS dan tork 153Nm. Ia menghasilkan sekitar 2 PS kurang dari enjin HR15DE 1.5 liter NA pada model generasi pertama, namun enjin ini berupaya mengerah lebih 13 Nm tork berbanding hanya 139 Nm pada enjin lama.

    Saya antara yang berpeluang untuk memandu uji secara ringkas Almera ini ketika ia didedahkan minggu lalu. Tork yang dihasilkan oleh enjin tersebut bukan sahaja lebih tinggi, malah keseluruhan 153 Nm itu dapat dicapai seawal 2,400 dan bertahan sehingga 4,000 rpm, berbanding pada 4,000 rpm bagi mencapai tork maksima 139 Nm pada enjin sebelumnya. Macam mana rasa dia? Saya boleh disifatkan respon enjin 1.0L Turbo pada Almera ini adalah lebih kurang sama seperti anda memandu sedan segmen-B dengan enjin 1.6L tanpa bantuan turbo.

    “Enjin 1.0L je?” – rakyat M’sia perlu lebih celik tentang spesifikasi, bukan hanya lihat kapasiti enjin sahaja

    Menurut rakan penulis kami dari laman berbahasa inggeris paultan.org, Anthony Lim yang juga pemilik Honda CR-V 1.5L VTEC Turbo, tiada sebarang keluhan perlu diberikan pada enjin L15 (sama seperti Accord) tersebut. Dan sebagai bekas pemilik selama tujuh-tahun Honda CR-V generasi ketiga dengan enjin 2.0 liter i-VTEC, model baharu ini jelas lebih memberikan kadar penggunaan bahan api yang lebih jimat.

    Bukan sahaja kuasa yang menjadi kelebihan pada enjin-enjin kecil turbo ini, malah untuk kita yang berada di Malaysia, sudah tentu dengan enjin yang lebih kecil, pemiliknya akan membayar cukai jalan dengan harga yang lebih murah. Ini bermakna pemilik Honda Accord 2.4L yang sebelum ini membayar cukai jalan lebih dari RM700 setahun, kini membayar cukai jalan yang lebih kurang sama seperti pemilik Proton Persona sekiranya bertukar kepada Accord 1.5L generasi baharu.

    Tentu ada yang ragu-ragu tentang ketahanan enjin-enjin kecil yang didesak oleh pengecas turbo ini kan? Sebenarnya teknologi pengecas turbo ini berkembang seiring dengan teknologi material untuk menghasilkan enjin yang lebih kuat. Untuk enjin Almera misalnya, ia menerima teknologi Mirror Bore Coating yang sama seperti pada enjin VR38DETT Nissan GT-R R35 pada silinder, yang membantu mengurangkan geseran antara gegelang omboh dan dinding silinder, seterusnya akan meningkatkan ketahanan dan pengurusan suhu yang lebih baik.

    Selain dari enjin, untuk merasakan sesebuah kereta itu ditawarkan dengan harga yang berpatutan atau tidak, anda juga perlu memerhatikan apa kelengkapan lain yang diberikan. Sekali lagi kita ambil contoh pada Nissan Almera – pada model generasi pertama, tiada satu varian pun ditawarkan dengan sistem kestabilan elektronik, dan semua varian termasuk model paling tinggi hanya diberikan dua beg-udara.

    “Enjin 1.0L je?” – rakyat M’sia perlu lebih celik tentang spesifikasi, bukan hanya lihat kapasiti enjin sahaja

    Manakala untuk model generasi baharu ini, varian paling rendah bukan sahaja diberikan dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama Traction Control (TC), malah semua varian diberikan standard dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB).

    Manakala untuk varian lebih tinggi, ia hadir dengan enam beg-udara, malah versi tertinggi ditawarkan dengan pakej penuh sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360. Apa lagi ciri yang ada Almera baharu ini berbanding model sebelumnya? Rajin-rajinkanlah baca artikel panjang lebar yang telah kami tulis sebelum ini.

    Kita mungkin masih lagi berbalah berkenaan enjin-enjin kereta yang semakin mengecil. Namun kini diperingkat global, trend ini sebenarnya sedang beralih dari enjin konvensional pembakaran dalaman, kepada sistem elektrik sepenuhnya. Malah ada pengeluar seperti Volkswagen dan Volvo kini sudahpun ‘angkat tangan’ mengalah untuk terus membangunkan enjin petrol ini kerana undang-undang pencemaran yang semakin ketat serta tidak masuk akal, dan mereka kini lebih fokus kepada teknologi elektrik.

    Jadi dengan pemikiran orang kita yang masih belum berubah, agaknya bila kita akan sampai tahap serius untuk beralih kepada teknologi elektrik?

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

    Nampak gayanya BMW 2 Series Gran Coupe F44 bakal menjadi model seterusnya yang akan diperkenalkan oleh BMW Malaysia, dan pesaing bagi Mercedes-Benz CLA C118 ini telah dikesan sedang diangkut di atas treler oleh pembaca paultan.org Athiithan Khan.

    Menggunakan senibina pacuan roda-hadapan (FAAR) yang sama seperti model terkini 1 Series F40, yang dilancarkan di sini pada Julai lalu, 2 GC ini telah pun diperkenalkan di peringkat global pada Oktober 2019, dan telah pun tiba di pasaran Singapura dan Thailand.

    Seperti pasaran negara berkenaan, kita juga akan menerima 2 GC ini dalam varian 218i M Sport, yang dijanakan enjin B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 140 PS (138 hp) dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,480 hingga 4,200 rpm.

    Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, dengan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa sekitar 8.7 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 215 km/j. Bagi penggunaan bahan apinya, 218i ini dianggar menggunakan sekitar 5.9 l/100 km (kombinasi), sementara emisi bagi CO2 pula pada 136 g/km (kombinasi).

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

    2 GC juga ada pilihan varian lain iaitu M235i xDrive, dengan enjin yang lebih berkuasa iaitu unit B48 2.0 liter dengan hamburan kuasa 306 PS (302 hp) dan 450 Nm, bersama transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan. Kombinasi ini membolehkan ia dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 4.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 250 km/j, walau pun kebarangkalian kita tidak mendapat pilihan ini – tapi ia ditawarkan di Singapura.

    Bagi varian yang bakal tiba di pasaran kita, ia didatangkan dengan pakej M Sport secara standard, merangkumi bampar yang sporty, kemasan krom pada gril dan suspensi M Sport. Roda yang dipadankan pada kereta yang di atas treler ini ialah aloi jejari-berkembar style 819 M, dan Misano Blue antara pilihan warna bagi badannya.

    Tiada foto bahagian dalamannya, namun 2 GC ini lebih kurang mirip dengan 1 Series dan mungkin dilengkapi dengan sistem BMW Live Cockpit Professional, di mana BMW Operating System 7.0 menjanakan dua paparan 10.25-inci.

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 dikesan di atas treler di Malaysia – varian 218i M Sport bakal dilancarkan?

    Model BMW ini memiliki ukuran dimensi 4,526 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, menjadikannya ia lebih pendek sebanyak 162 mm, 30 mm lebih sempir dan 19 mm lebih rendah berbanding pesaingnya Mercedes-Benz CLA. Manakala jarak rodanya pula mencapai 2,670 mm iaitu 59 mm lebih pendek jika mengikut perbandingan, sementara ruang butnya sekitar 430 liter (pesaingnya mencapai 460 liter).

    Selain berkongsi platform yang sama dengan 1 Series, 2 GC ini menampilkan gaya yang tersendiri dengan garisan bumbung yang lebih rendah ke belakang, dipadankan dengan tingkap tanpa bingkai. Selain itu gril ‘kidney‘ disambung ke lampu utama unit LED. Begitu juga dengan lampu belakangnya yang nipis turut menggunakan unit LED.

    Buat setakat ini, tiada perincian lanjut bilakan pelancaran rasminya untuk Malaysia, malah harganya juga belum ada bayangan. Tapi kalau ikut pesaingnya, CLA, dengan varian CLA 45 S 4Matic+ yang ditawarkan melebihi RM400k, agak-agak berapa pula tag harga bagi 2 GC ini pula ya?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025