Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melalui hubungan kerjasama strategik dengan pihak PLUS Malaysia Berhad, telah menubuhkan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya “Enforcement Highway Monitoring Center” JPJ Malaysia di Plaza Tol (Lama) Jelapang. Pusat Kawalan di lokasi ini telah mula beroperasi sejak 1 Julai 2020.
Untuk makluman, UPLR berfungsi bagi mengawal selia segala aktiviti Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) yang melibatkan empat Zon penguatkuasaan. UPLR telah mula beroperasi pada Februari 2018 di Stesen Penguatkuasa Lebuhraya Zon Tengah di R&R Dengkil.
Kemudian, UPLR telah diperkasakan melalui pembukaan beberapa stesen yang lainnya iaitu. di Stesen Penguatkuasa Lebuhraya Zon Utara di R&R Gunung Semanggol, Stesen Penguatkuasa Lebuhraya Zon Timur di R&R Paka dan Stesen Penguatkuasa Lebuhraya Zon Selatan di R&R Pagoh.
Antara tugas UPLR ialah penguatkuasaan terhadap kesalahan melanggar peraturan lalulintas di lebuhraya, dan pemantauan serta tindakan terhadap kenderaan perdagangan termasuk isu teknikal, membawa lebih muatan serta meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di sepanjang lebuhraya. Selain itu, UPLR juga memantau dan memastikan semua Kamera AwAS sepanjang Lebuhraya PLUS berfungsi dengan baik pada setiap masa.
Menerusi Stesen Penguatkuasa Lebuhraya ini, orang ramai juga boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ seperti membuat aduan awam, semakan saman JPJ dan semakan senarai hitam JPJ/PDRM.
Dalam sidang media selepas pelancaran Stesen Penguatkuasa UPLR di Jelapang pagi tadi, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid turut memaklumkan sepanjang enam bulan pertama tahun 2020, sebanyak 2,419 kes kesalahan melibatkan lesen memandu dan cukai jalan telah dikesan oleh UPLR.
Manakala bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 546 kes tujuh kesalahan utama telah dikesan iaitu melibatkan kesalahan memandu di lorong kecemasan (209 kes), penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu (54), tidak memakai tali pinggang keledar (31), kenderaan lebih muatan (151) dan membawa muatan bahaya (119).
Selepas 10 bulan Lamborghini Sian coupe diperkenalkan, sekarang tibalah pula masa untuk versi Roadster. Hanya 19 unit Sian Roadster ini ditawarkan kepada pasaran – semuanya sudah ada pemilik – dan jumlah ini adalah lebih sedikit berbanding versi coupe yang dihasilkan sebanyak 63 unit.
Model yang didedahkan kali pertama ini dicat dengan warna Blu Uranus sementara warna emas untuk rim pula dipanggil sebagai Ora Electrum dan dipilih bagi menunjukkan model ini mempunyai kuasa tambahan elektrik.
Antara rekaan unik pada supercar ini adalah termasuk bampar yang rendah dengan splitter gentian karbon, DRL LED berbentuk Y, pelindung kepala berpetak dari belakang tempat duduk hingga ke spoiler, sayap belakang bersepadu dan lampu belakang LED dengan grafik berbentuk heksagon.
Menurut Lamborghini, rekaan tanpa bumbung Sian Roadster ini tidak menyebabkan kecekapan aerodinamiknya berkurang kerana aliran udara dihalakan dari splitter hadapan melalui bukaan di tepi dan sampai ke spoiler belakang secara lancar. Di belakang juga terdapat salur udara aktif yang boleh berpusing dan memberikan angin dengan menggunakan haba yang dihasilkan oleh ekzos.
Bahagian dalam kabin dihias dengan gabungan warna putih, perincian Blu Glauco serta kemasan aluminium Oro Electrum. Corong udara baru pada model ini dihasilkan melalui cetakan 3D dan membolehkan pelanggan meletakkan nama mereka sendiri jika mahu.
Penggerak model Sian Roadster masih sama seperti versi coupe iaitu unit V12 dengan bantuan elektrik yang menampilkan penggunaan injap intake titanium serta teknologi kapasitor super (terletak di antara kokpit dan enjin) yang dikatakan boleh menyimpan tenaga 10 kali lebih banyak berbanding bateri lithium ion, tiga kali lebih berkuasa serta lebih kompak.
Kapasitor super serta motor elektrik 48 volt pada kenderaan ini secara keseluruhannya mencatat berat cuma 34 kg, dan apabila digabungkan bersama enjin V12 6.5 liter itu, boleh menghasilkan kuasa 819 PS dan 760 Nm tork. Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi tujuh kelajuan Independent Shifting Rod (ISR) sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat. Laju maksimum tidak diberitahu, tetapi versi coupe boleh mencapai 351 km/j.
Motor elektrik pada sistem kuasa Sian Roadster secara sendirinya boleh menghasilkan 34 PS, dan ia boleh menyokong fungsi kelajuan rendah seperti mengundur dan meletakkan kenderaan. Sistem penjanaan semula kuasa yang dibangunkan khas pula boleh mengecas kapasitor super Sian setiap kali ia membrek dan boleh digunakan terus untuk pecutan sehingga 130 km/j. Menurut Lamborghini, dengan sistem ini, kereta tersebut 10% lebih pantas berbanding kereta yang tidak mempunyainya.
ABT Sportsline telah mengumumkan pek baharu yang dipertingkatkan bagi Audi S8 2020, yang ditampilkan dengan enjin berkuasa 4.0 liter bi-turbo V8 dengan output 571 hp dan tork 800 Nm.
S8 ini boleh ditala bagi menghasilkan kuasa sehingga 700 hp dan tork 880 Nm, yang banyak menjimatkan masa dalam pecutan. Dari titik pegun, S8 talaan khas ini boleh mencapai 100 km/j dalam masa 3.4 saat, di mana model biasa S8 lebih empat saat daripada itu iaitu 3.8 saat. Dengan pilihan ABT Power, kelajuan maksimum boleh dihadkan sehingga 270 km/j, dan ia turut didatangkan dengan brek seramik.
Tidak banyak perubahan yang dilakukan bagi gaya penampilannya. Walau bagaimana pun pelanggan boleh mendapatkan spoiler belakang gentian karbon yang hadir sebagai pilihan. Lain-lain pilihan termasuk roda FR 21-inci atau ABT GR 20-inci, butang penghidup enjin ABT dan penutup gear ABT.
Bagi S8 sendiri, ia masih menerima teknologi standard seperti predictive active suspension, stereng semua-roda dinamik, sport differential, silinder lapisan besi untuk mengurangkan geseran, flap elektronik dalam sistem ekzos dan teknologi mild-hybrid 48-voltan Audi.
Sistem mild-hybrid merangkumi belt alternator starter (BAS) 48-voltan dan ia dijanakan oleh bateri lithium-ion. Malah ia juga membolehkan peluncuran walau pun enjin dimatikan, dan Audi mendakwa ia mampu mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.8 liter per 100 km.
Model perdana Audi ini turut dipadankan dengan kelengkapan sistem keselamatan aktif termasuk Audi pre sense 360° yang boleh menaikkan kerangka sehingga 80 mm. Ia membolehkan kerangka mendapat posisi yang lebih baik untuk menyerap impak tenaga, sekaligus mengurangkan potensi kecederaan.
Setelah pelbagai teaser dan juga cerita, akhirnya Proton Saga Anniversary Edition dilancarkan secara rasmi hari ini, 9 Julai 2020. Seperti namanya, ia dihasilkan sempena 35-tahun Saga diperkenalkan selepas unit pertama model generasi pertamanya keluar dari barisan produksi di kilang Proton Shah Alam pada 9 Julai 1985.
Model istimewa ini diasaskan dari versi tertinggi 1.3L Premium AT dan diberikan berberapa perincian istimewa yang berbeza. Dihasilkan hanya 1,100 unit, dan dijual pada harga atas jalan dengan pengecualian SST RM39,300 – sama seperti harga Saga Premium AT biasa walaupun diberi berberapa perincian eksklusif.
Jadi, apa perbezaan ciri yang diterima pada Saga istimewa ini? Pertama sekali, ia hanya hadir dalam warna Quartz Black, iaitu warna yang sama pada bumbung Proton X70 Merdeka Edition yang diperkenalkan tahun lalu.
Kemudian ia diberikan serlahan-serlahan kuning pada bahagian bawah gril penutup cermin sisi dan juga jalur pada kemasan diffuser bampar belakang. Kenapa kuning? Kan nampak macam teksi Datsun 120Y dulu? Sebenarnya kuning ini adalah simbolik kepada sayap perlumbaan Proton iaitu R3, di mana Saga adalah salah satu jentera lumba mereka yang berentap di Sepang 1000KM dan juga Malaysia Championship Series (MCS).
Bagi melengkapkan rupa luaran Saga Anniversary Edition ini, ia diberikan rim aloi 15-inci rekaan sama dengan Saga Premium AT, tetapi diberikan kemasan warna kelabu matte. Namun tiada sebarang lencana mahupun pelekat istimewa pada badan Saga ini yang memberitahu ini adalah model untuk sambutan ulangtahunnya yang ke-35.
Manakala pada bahagian dalaman, serlahan kuning yang sama diberikan pada pelaras arah liang pendingin hawa bahagian tengah, kemasan sekeliling ruang storan konsol tengah dan juga gegelang pada dua meter utama dalam panel instrumen. Saga Anniversary Edition ini juga telah dilengkapi dengan penuras udara kabin dengan standard N95 seperti yang dipadankan pada X70.
Untuk ciri lain, kelengkapan model Anniversary Edition ini masih sama seperti model Premium AT. Ia termasuk lampu nyalaan siang LED, upholsteri dalaman fabrik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh ‘terapung’ bersaiz tujuh-inci berasaskan android, paparan pelbagai info dengan skrin tanpa warna, kamera undur dan pelbagai lagi.
Sistem mekanikal juga tidak menampilkan sebarang perubahan, di mana Saga ini masih dijana oleh enjin VVT 1.3L empat-silinder menghasilkan 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga hanya hadir dengan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional, tanpa pilihan transmisi manual.
Bagi menambahkan lagi rupa ekslusif Saga edisi terhad ini, pembeli turut boleh memilih pakej aksesori ulangtahun dengan harga promosi RM2,035 (RM2,350 selepas tamat promosi). Pakej ini terdiri dari spoiler bampar hadapan dan skirt sisi berwarna Quartz Black serta serlahan-serlahan kuning, visor pintu, penebat bunyi tambahan pada penutup bonet enjin dan juga but belakang serta tray untuk ruang kargo.
Pemilik-pemilik Saga sedia ada atau bukan dari versi istimewa ini turut boleh membeli pakej aksesori tersebut, tetapi perlu menyembur kembali kit badan berkenaan dengan warna badan kerana ia hanya datang dalam warna hitam-kuning.
GALERI: Proton Saga Anniversary Edition 2020
GALERI: Proton Saga Anniversary Edition 2020 dengan pakej aksesori
GALERI: Imej rasmi Proton Saga Anniversary Edition 2020
Toyota Motor Corporation telah memperkenalkan SUV kompak Corolla Cross sebagai tambahan model terbaru untuk pasaran Thailand. Ia merupakan pengenalan global sulung dengan model berkenaan secara rasminya mula dijual di sana. Pasaran lain akan turut menerima model ini nanti.
SUV ini menggunakan platform TNGA (GA-C) dan dibangunkan denan pendekatan “Corolla Meets SUV”, ia direka untuk menjadi jenis SUV baru yang menggabungkan ketahanan dan kepelbagaian penggunaan yang dapat melangkau jangkaan pengguna. Hasilnya adalah sebuah kenderaan yang sangat selesa, dengan kabin yang luas.
Ini turut disertai oleh penggunaan suspensi jenis torsion beam di belakang yang turut menyumbang kepada kestabilan dan keselesaannya. Suspensi bahagian depan pula menggunakan jenis MacPherson strut.
Dari segi rekaan luaran, ia mempunyai penampilan yang menarik. Wajah depannya tertumpu pada bahagian gril, dengan baris bonet yang jelas yang menerapkan banyak elemen yang menjadikannya kelihatan tirus. Rekaan lampu utama juga tampil dengan pendekatan yang sama, lengkap dengan DRL LED di dalamnya.
Bahagian fender depan dan belakangnya sedikit menggelembung, memberikan imej tegap dan berotot. Untuk disesuaikan dengan nama “cross” yang digunakan, SUV ini lengkap dengan plastik body cladding di keliling bahagian badannya. Satu jalur kemasan krom juga ada berdekatan garis bumbung, ditarik dari depan hingga ke belakang.
Bahagian belakang SUV ini juga tampil kemas, mengingatkan kita pada rekaan yang ada pada model-model SUV Lexus. Lampu belakang “two-piece” tampil ringkas, dengan nama Cross yang terpampang jelas pada bahagian pemegang pintu but belakang. Bahagian bawah bamparnya ada lekuk tersendiri dalam warna badan, sebelum bahagian bawahnya didatangkan dengan bahagian hitam yang lengkap dengan pelapik ala diffuser. Di sudut pula terletak pemantul cahaya.
Ruang dalaman untuk penumpang dan barangan adalah luas. Rekaan dalaman pula banyak menggunakan elemen visual bersegi. Kemasan krom menghiasi garis melintang di sepanjang papan pemuka dan bersambung ke corong pendingin hawa, di tengah terletak sebuah skrin multimedia terapung yang jelas dan kawalan zon pendingin hawa digital yang ringkas.
Sementara itu konsol tengahnya juga membawakan sentuhan rekaan yang sama; moden tetapi ringkas. Bahagian tombol gear juga “bersih”, tanpa ada banyak butang lain di kelilingnya. Ruang untuk barangan kecil dan cawan tersedia sedikit di belakang. Sementara itu, kapasiti ruang barang yang ada ialah 487 liter. Bukaan pintu juga dijadikan sangat luas untuk memudahkan penumpang keluar masuk.
Terdapat dua pilihan enjin ditawarkan untuk pasaran di sana, dengan empat varian semuanya – 1.8 Sport, Hybrid Smart, Hybrid Premium dan Hybrid Premium Safety. Pertama, unit 2ZR-FBE 1.8 liter yang menghasilkan 140 PS pada 6,000 rpm dan 177 Nm pada 4,000 rpm. Ini digandingkan bersama transmisi Super CVT-i yang menyalurkan kuasa ke roda depan. Model paling asasnya dijual pada harga 989,000 baht (RM132,255).
Satu lagi pilihan ialah sistem janakuasa hibrid. Ini disertai oleh unit enjin 2ZR-FXE THS II 1.8 liter. Ia menghasilkan sebanyak 98 PS pada 5,200 rpm kuasa serta 142 Nm pada 3,600 rpm tork. Ia dibantu pula oleh motor elektrik dengan kuasa 72 PS dan 163 Nm dan dipacu oleh kotak gear CVT elektrik. Output maksimum sistem berkenaan ialah 122 PS. Ia dijual pada harga berikut; Hybrid Smart 1.019 juta baht (RM139,295), Hybrid Premium 1.089 juta baht (RM148,945) dan Hybrid Premium Safety 1.199 juta baht (RM163,990).
SUV kompak ini juga mempunyai radius pusingan 5.2 meter. Dari segi dimensi, ia memiliki 4,460 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi dan jarak antara roda pula ialah 2,640 mm. Ia ditawarkan dalam tujuh pilihan warna termasuk Metal Stream Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black Mica, Celestite Gray Metallic, Platinum White Pearl, Nebula Blue dan Graphite Metallic.
Bagi ciri keselamatan, Corolla Cross datang dengan tujuh beg udara sebagai standard, dan Toyota Safety Sense disediakan untuk varian paling tinggi sahaja. Ia itu turut terdiri daripada ciri Pre-Collision System, Lane Departure Alert with Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dengan Lane Tracing Assist, Automatic High Beam, Blind Spot Monitor, peninjau sekeliling dan Rear Cross Traffic Alert.
Selepas Mexico, kini Amerika Syarikat pula mendedahkan spesifikasi Mazda 3 yang dijana enjin turbo untuk pasaran berkenaan dan ia akan mula dijual menjelang akhir tahun ini. Ia ditawarkan bukan hanya dalam versi hatchback, malah pembeli turut boleh memilihnya dalam bentuk badan sedan. Harga untuk model turbo ini juga akan diumumkan kemudian.
Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat ini dijana oleh enjin petrol empat silinder 2.5 liter SkyActiv-G yang sama pada Mazda 6, CX-5 dan juga CX-9. Ia menghasilkan 250 hp dan tork maksima 434 Nm jika pemiliknya menggunakan petrol premium oktana 93 (lebih kurang sama dengan RON 98 di Eropah dan Asia) di negara berkenaan. Enjin tersebut tidak mempunyai masalah untuk beroperasi dengan petrol biasa oktana 87 (RON 95 di Eropah dan Asia), namun ia hanya menghasilkan 227 hp/420 Nm.
Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda. Namun, Mazda masih belum mengumumkan sebarang angka prestasi dengan pemadanan unit janakuasa yang lebih bertenaga ini.
Walaupun model turbo ini dibekalkan dengan kuasa yang lebih besar dari versi NA mahupun SkyActiv-X, ia masih belum dianggap sebagai model prestasi hardcore atau fokus untuk kegunaan prestasi tinggi seperti MazdaSpeed 3 (MPS) yang dihasilkan pada dua generasi Mazda 3 terawal.
Model turbo pasaran Amerika Syarikat ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Mazda 3 2.5 Turbo, dan ia hadir standard dengan kelengkapan seperti sistem infotainmen MZD Connect dilengkapi skrin 8.8-inci, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan head-up, upholsteri kulit, pakej bantuan pemanduan Mazda i-Activsense dan pelbagai lagi.
Versi hatchback dan sedan turbo tersebut juga diberikan rim aloi 18-inci kemasan hitam, cermin sisi hitam berkilat, lencana-lencana “Turbo” serta lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED. Model sedan turut diberikan gril hadapan kemasan hitam berkilat dan juga kemasan pada bawah bampar hadapan.
Pelanggan turut ditawarkan dengan perincian opsyen Premium Plus Package yang menampilkan kelengkapan kosmetik tambahan terdiri dari lip spoiler untuk penutup but belakang bagi model sedan manakala hatchback pula menerima spoiler bumbung dan spoiler bawah bampar hadapan berwarna hitam berkilat.
Pakej ini turut datang sekali dengan tambahan fungsi pada sistem i-Activsense seperti Sokongan Brek Pintar untuk bahagian belakang bersama Bantuan Brek Lintasan Trafik Belakang dan juga Bantuan Kesesakan Trafik.
April lalu, Hyundai telah menyiarkan video teaser Elantra generasi baharu dalam versi N Line, namun kereta tersebut masih lagi mengenakan pelekat penyamaran pada keseluruhan badannya. Dan sekarang, lakaran digital model tersebut telah pun didedahkan secara rasmi, memberikan kita gambaran sebenar bentuk luaran sedan ini.
Boleh kita lihat, berbanding model standard yang sudah pun nampak garang, Elantra N-Line diberikan penampilan yang lebih agresif. Muka model ini menerima bampar hadapan baharu yang hadir gril cascading dengan elemen lebih bersegi serta penambahan liang udara sisi yang dikatakan sebagai “diinspirasikan dari sukan permotoran”.
Pada bahagian sisi, ia nampak lebih labuh menerusi pemadanan skirt, dan dilengkapkan dengan rim aloi lebih besar rekaan baharu bersaiz 18-inci. Menurut Hyundai, dengan brek yang lebih besar dipadankan sebalik rim tersebut turut menyumbang kepada imej yang lebih sporty pada Elantra N-Line ini.
Hyundai turut memberikan cat serlahan khas hitam berkilat Hyundai N pada penutup cermin sisi, kemasan sekeliling tingkap dan juga pada skirt sisi. Manakala di belakang, model ini hadir dengan diffuser pada bawah bampar dan turut menempatkan tip ekzos berkembar.
Tiada lagi sebarang imej untuk bahagian dalaman. Namun dalam kenyataan yang dikeluarkan naib presiden eksekutif dan ketua jabatan produk Hyundai Motor Group, Thomas Schemera, “Elantra N Line menawarkan rekaan lebih agresif yang menggunakan serlahan merah signatur N line pada bahagian luaran dan dalaman pada harga yang menarik.”
Hyundai Elantra N Line ini akan menggantikan tempat Elantra Sport pada generasi sebelum ini yang dihasilkan bagi berhadapan terus dengan model seperti Honda Civic Si. Jadi ia bukan sahaja akan diberikan penampilan lebih garang seperti model N Line yang lain, tetapi turut akan menerima unit penjana lebih berkuasa dari model standard walaupun bukan berstatus model N penuh seperti Hyundai Veloster N.
Khabar yang bertiup, Elantra N Line akan dijana oleh enjin yang sama seperti Elantra Sport iaitu enjin petrol 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus menghasilkan 204 PS/265 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Ahad lalu Proton telah menyiarkan teaser untuk model Saga Anniversary Edition iaitu model istimewa yang dihasilkan sempena ulangtahun ke-35 Saga selepas unit pertama dari jenama automotif nasional ini keluar dari barisan produksi pada 9 Julai 1985.
Dan hari ini, satu lagi teaser disiarkan dalam bentuk video sebelum ia dilancarkan esok, 9 Julai 2020, tepat 35-tahun usia Saga itu sendiri. Video berdurasi 48 saat berkenaan memaparkan berberapa perincian utama yang akan diberikan pada Saga tersebut yang berbeza dari Saga biasa.
Warna badan hitam berkenaan juga akan disulami dengan serlahan berwarna kuning pada bahagian bawah gril hadapan, bawah spoiler dagu, penutup cermin sisi, jalur pada skrit sisi dan juga jalur pada bawah kemasan diffusser bampar belakang. Walau bagaimanapun, ia nampaknya masih diberikan rim 15-inci yang diambil dari Saga Premium AT.
Serlahan kuning tadi turut di bawa ke bahagian kabin. Ia diberikan pada pelaras arah liang pendingin hawa bahagian tengah, kemasan sekeliling ruang storan konsol tengah dan juga gegelang pada dua meter utama dalam panel instrumen.
Tiada lagi perincian lain termasuk spesifikasi mekanikal dan juga harga didedahkan. Jadi kalau nak tahu, jangan lupa untuk ikuti perkembangan dari kami esok.
Pengedar motosikal GPX di Malaysia iaitu Bike Continent Sdn Bhd melalui laman Facebook rasmi mereka telah memberitahu bahawa model Super Cub Popz 110 akan tiba di pasaran tidak lama lagi. Walaubagaimanapun, tarikh sebenar masih belum diberitahu.
Popz 110 adalah sebuah motosikal yang mempunyai rupa klasik, tetapi dengan penampilan ranggi dan pilihan warna yang cerah. Di negara asal mereka iaitu Thailand, GPX dilihat menawarkan model Popz ini dalam versi 125 cc dan dipanggil sebagai Popz 125. Disebabkan model yang diberitahu akan memasuki pasaran Malaysia dinamakan sebagai Popz 110, kami menjangkakan enjinnya juga dikecilkan sedikit.
Jika melihat kepada Popz 125 di Thailand, ia menggunakan enjin empat strok satu silinder suntikan bahan api 125 cc dan dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan. Enjin ini menggunakan sistem penyejukan udara sementara berat motosikal pula cuma 99 kg.
Lampu hadapan dan lampu belakang model ini menggunakan unit LED sementara panel meter pula menggunakan gabungan digital dan analog. Motosikal ini boleh dinaiki oleh dua orang tetapi tempat duduk bahagian belakang juga boleh dicabut sekiranya pengguna mahu.
Perincian lain Popz 125 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap di belakang, rim 17 inci dengan tayar 60/100 di hadapan dan 70/90 di belakang, brek cakera hadapan dan brek dram belakang, tinggi tempat duduk 760 mm serta kapasiti tangki bahan api empat liter.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara bulan Mac dan Mei lalu, oleh kerana tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan, mungkin saja ramai antara kita yang menghabiskan masa di dalam talian. Ini membawa kepada satu pertanyaan yang menarik bagi hal berkaitan automotif; jenama kereta yang mendapat jumlah carian tertinggi sepanjang tempoh itu?
Mujur ada iPrice, sebuah platform e-dagang yang telah melakukan kaji selidik terhadap perkara itu; tinjauannya dilakukan di Malaysia dan juga negara ASEAN lain. Kaedahnya melibatkan pengumpulan data carian Google menggunakan Keyword Planner berdasarkan senara kata kunci 22 jenama pengeluar kenderaan bagi tempoh 1 Mac hingga 31 Mei 2020 sebagai perbandingan tempoh sebelum pandemik (1 Disember 2019 hingga 29 Februari 2020).
Daripada pemerhatian tersebut, warga Malaysia ternyata banyak mencari maklumat berkaitan Perodua bagi tempoh seperti dinyatakan itu, diiukuti oleh Honda, Toyota, Proton dan BMW. Perodua menjadi tumpuan mungkin kerana terdapat beberapa berita baru yang menarik minat; misalnya pengenalan Toyota Agya – kembar Axia – di Indonesia, sumbangan oleh Perodua kepada dana Covid-19 NADMA serta maklumat awal berkaitan Perodua Alza generasi seterusnya.
Minat terhadap Honda disumbangkan oleh pembukaan ambil tempahan bagi model BR-V facelift, sementara Toyota pula terlibat dengan perkembangannya untuk tidak menaikkan harga model CKD turut menjadi antara penentu kepada hal ini.
Bagi Proton pula, berita mengenai sokongan dan bantuan yang diberikan kepada petugas barisan hadapan seperti serahan kenderaan, promosi kedai online serta pertambahan kelengkapan penapis N95 untuk kabin merupakan antara penggeraknya. Carian berkaitan BMW pula didorong oleh model-model yang diberi kemaskini, yang menyaksikan 3 Series dan X4 diberi kelengkapan baru. Pengenalan X5 plug-in hybrid juga merancakkan lagi perhatian terhadap jenama itu, yang kemudiannya diperkenalkan pula secara bersama bagi model 8 Series Gran Coupe dan X6.
Bagi negara-negara lain yang turut diperhatikan – Singapura, Filipina, Indonesia, Hong Kong, Thailand dan Vietnam – ada dua jenama yang kerap muncul teratas; Toyota dan BMW. Tesla turut menerima carian yang tinggi di semua negara tersebut kecuali Malaysia, Thailand dan Vietnam, sementara Honda tidak mendapat tempat di Singapura.
Jenama-jenama lain yang turut masuk dalam senarai ialah Mitsubishi, kecuali carian di Malaysia dan Hong Kong. Jenama yang hanya muncul sekali ialah Volkswagen Audi, Nissan dan Suzuki iaitu di negara-negara berikut: Singapura, Hong Kong, Thailand dan Vietnam.
Bagi serantau, Honda menjadi jenama yang paling dicari di internet dengan 550,000 carian, diikuti Toyota (368,000 carian), BMW (301,000 carian), Tesla (246,000 carian) dan Mitsubishi (246,000 carian).
Bagi jenis kenderaan yang kerap dicari di ASEAN pula, SUV mendahului senarai itu dengan 49,500 carian. Ini diikuti oleh sedan (27,100 carian), MPV atau wagon (12,490 carian), hatchback (12,100 carian) dan coupe dua-pintu (9,900 carian).
Rolls-Royce telah mengeluarkan model edisi khas Wraith Kryptos Collection yang hanya akan ditawarkan sebanyak 50 unit sahaja ke dalam pasaran. Ia dihiasi dengan pelbagai siri simbol kompleks serta tulisan kod yang bukan sahaja dihasilkan secara rawak, tetapi mempunyai maksud yang tersendiri.
Hanya dua orang sahaja yang tahu maksud kod ini iaitu pereka kenderaan serta CEO Rolls-Royce, tetapi pelanggan juga boleh memecahkan kod tersebut menggunakan aplikasi khas Rolls-Royce Whispers. Setelah itu, mereka akan menerima sampul surat yang menyatakan mesej sebenar secara lengkap.
Kemasan cryptographic yang diberikan pada kereta ini bermula pada lambang Spirit of Ecstasy yang diberikan perincian enamel hijau serta bahagian dalam bampar yang direka semula. Cat luar kenderaan ini juga menggunakan warna khas Delphic Grey yang terdiri daripada warna asas Anthracite dan flake hijau serta biru. Jalur berwarna Kryptos Green dan Dark Grey dibuat di bahagian tepi manakala rim pula menggunakan warna Orbit Grey.
Masuk ke bahagian dalam anda juga akan melihat perincian warna Kryptos Green pada tempat duduk dan ia diserlahkan lagi dengan kesan metalik. Untuk kulit utama tempat duduk itu, pelanggan boleh memilih Selby Grey atau Anthracite.
Elemen kod rahsia ini turut digunakan pada penyandar tempat duduk, dan ia menggantikan logo RR yang biasanya terdapat pada kenderaan Rolls-Royce. Paling menarik adalah pada bahagian kemasan bumbung, di mana ia menampilkan motif data yang boleh bergerak.
Untuk penggerak, Wraith Kryptos masih menggunakan unit petrol V12 6.6 liter twin turbo yang mampu menghasilkan 632 hp dan tork 800 Nm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilengkapkan dalam masa 4.6 saat sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.
Selepas menerima Pajero Sport yang dikemaskini tahun lalu, pasaran Thailand kini menerima satu lagi varian yang lebih sporty digelar Pajero Sport Elite. Model ini diasaskan dari varian GT Premium pada pasaran berkenaan, tetapi menerima berberapa kemasan berbeza yang membuatkan ia nampak lebih agresif.
Pada bahagian luaran, kemasan-kemasan krom dan perak pada model biasa seperti pada gril serta skid plate bawah bampar hadapan dan belakang ditukar menggunakan kemasan hitam berkilat. Tulisan ‘Pajero Sport’ berwarna hitam diberikan pada ‘hidung’ penutup bonet membuatkan ia nampak seperti SUV dari Range Rover.
Ciri standard lain yang turut diberikan pada model Pajero Sport Elite ini termasuk lampu hadapan projektor bi-LED dengan latar belakang hitam, spoiler bumbung belakang bersama antena sirip yu dalam kemasan hitam berkilat, tip ekzos krom, emblem ‘Elite Edition’ pada pintu tailgate dan juga rim 18-inci juga dalam kemasan hitam berkilat.
Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Pajero Sport Elite ini iaitu Jet Black Mica dan White Diamond – versi warna putih ini turut diberi kontras warna hitam pada bahagian bumbung.
Pada bahagian dalaman, perbezaan utama dapat dilihat pada upholsteri – tempat duduk dan kemasan lain pada pintu dan konsol tengah tidak dibalut dengan kulit berwarna hitam, sebaliknya menerima kulit sintetik Quole Modure berwarna perang gelap. Menurut Mitsubishi, material sintetik tersebut mampu untuk memantulkan haba, tidak seperti kulit biasa yang selalunya cenderung untuk menyerap haba.
Emblem-emblem ‘Pajero Sport’ turut diberikan pada bahagian kabin seperti pada kemasan glove box dan juga pada scuff plate yang bernyala. Dashcam juga dibekalkan secara standard untuk Pajero Sport Elite ini bersama kamera pemantau sekeliling 360 darjah.
Untuk kelengkapan lain, kebanyakkan ia masih berkongsi dengan versi GT Premium antaranya paparan meter digital dengan skrin LCD berwarna lapan-inci, brek parkir elektrik dengan fungsi auto hold, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh utama lapan-inci disambungkan dengan skrin bumbung 12.1-inci untuk penumpang belakang, sistem bukaan pintu tailgate belakang tanpa sentuhan belakang, dan pelbagai lagi.
Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana Pajero Sport Elite masih dijana oleh enjin 4N15 2.4 liter empat-silinder MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Opsyen sistem pacuan empat roda Super-Select 4WD juga masih kekal yang membolehkan pilihan pacuan roda belakang atau semua roda dilakukan secara ‘on-the-fly’ dengan hanya menggunakan suis putar.
Untuk keselamatan pula, Pajero Sport Elite ini dibekalkan dengan tujuh-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, serta sistem bantuan pemanduan seperti Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic, Pengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Pemantau Titik Buta dan Bantuan Tukar Lorong, Amran Lintasan Trafik Belakang, dan juga cruise control adaptif.
Mitsubishi Pajero Sport Elite Edition ini ditawarkan dalam dua varian pada pasaran Thailand, bermula dangan versi pacuan belakang 2.4D 2WD dijual pada harga 1,524,000 (RM209k) dan juga versi tertinggi pacuan empat roda 2.4D 4WD dijual pada harga 1,629,000 baht (RM223k). Manakala untuk mereka yang memilih warna badan White Diamond, bayaran sebanyak 20,000 baht (RM2.7k) perlu ditambah.
Selepas Q4 e-tron, Audi memperkenalkan satu lagi SUV elektrik konsep yang lebih sporty, dipanggil sebagai Q4 Sportback e-tron. Model ini mempunyai ukuran 4.6 meter panjang dan 1.6 meter tinggi, menjadikan ia 1.0 sm lebih panjang dan lebih rendah berbanding Q4 e-tron, manakala lebar dan jarak roda masih sama iaitu 1.9 meter dan 2.77 meter.
Bahagian unik bagi Q4 e-tron Sportback ini, seperti yang sudah diketahui daripada namanya adalah bumbung yang menjunam di belakang, lebih seperti sebuah coupe dan bersambung kepada spoiler serta cermin belakang. Melengkapkan penampilannya adalah rim 22 inci.
Spesifikasi teknikalnya pula sama sahaja seperti Q4 e-tron, bermaksud ia juga menggunakan tetapan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 306 PS atau 204 PS, dan tork 310 Nm pada gandar belakang serta 102 PS dan 150 Nm pada gandar hadapan.
Ini membolehkan Q4 Sportback e-tron memecut 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat, dan mencecah laju maksimum 180 km/j. Pek bateri berkapasiti 82 kWh yang digunakan mempunyai berat 510 kg dan terletak di antara gandar hadapan dan belakang. Dalam cas penuh, ia mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 450 km mengikut standard WLTP.
Menurut Audi, melalui tetapan ini, Q4 Sportback e-tron dapat menyediakan titik graviti hampir sama seperti sebuah ‘sedan dengan sistem pacuan biasa.’ Pembahagian berat antara depan dan belakang hampir 50:50 manakala suspensi pula terdiri daripada tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, dengan penyerap adaptif pada kedua-dua bahagian.
Q4 Sportback e-tron versi pacuan roda belakang pula diberitahu akan menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh, boleh mencecah lebih 500 km berdasarkan standard WLTP. Sama seperti Q4 e-tron, Q4 Sportback e-tron ini juga dibina atas platform elektrik modular MEB.
Bateri Q4 Sportback e-tron boleh dicas menggunakan kuasa maksimum 125 kW, di mana dengannya ia boleh mencapai tahap 80% dalam masa cuma 30 minit. Menurut Audi, kecekapan SUV elektrik ini juga dibantu dengan bentuk yang aerodinamik, dengan catatan rintangan angin 0.26 cd, atau 0.01 cd lebih rendah berbanding Q4 e-tron.
Disebabkan ini adalah model elektrik dan tidak mempunyai bonjol tengah pada bahagian lantai, ruang bahagian dalam diberitahu lebih luas dan memberikan lebih ruang kepada penumpang yang berada di dalamnya. Bahagian atas kabin menggunakan warna yang lebih lembut manakala bahagian bawah menggunakan warna gelap.
Menurut Audi, lapik bumbung, pelapik tiang, panel papan pemuka serta bahagian atas kemasan pintu menggunakan kain gentian mikro manakala pelapik lantai pula dibuat daripada bahan kitar semula. Tempat duduk dibalut dengan Alcantara.
Kokpit virtual Audi yang disediakan untuk pemandu pada kenderaan ini sekarang ditambah dengan fungsi augmented reality (AR) yang boleh memaparkan informasi penting seperti arah untuk navigasi yang ditunjukkan betul-betul pada jalan yang dipandang oleh pemandu sementara untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan skrin sesentuh 12.3 inci.
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Dynamic photo,
Color: kinetic grey
Static photo,
Color: kinetic grey
Static photo,
Color: kinetic grey
Static photo,
Color: kinetic grey
Static photo,
Color: kinetic grey
Static photo,
Color: kinetic grey
Audi Q4 e-tron concept
Static photo, Color: solar sky
Audi Q4 Sportback e-tron concept
Static photo, Color: kinetic grey
Audi Q4 e-tron concept
Static photo, Color: solar sky
Audi Q4 Sportback e-tron concept
Static photo, Color: kinetic grey
Audi Q4 e-tron concept
Static photo, Color: solar sky
Audi Q4 Sportback e-tron concept
Static photo, Color: kinetic grey
Audi Q4 e-tron concept
Static photo, Color: solar sky
Audi Q4 Sportback e-tron concept
Static photo, Color: kinetic grey
Ada perkara menarik yang akan diperkenalkan bersekali dengan penampilan model Lexus LSfacelift yang terbaru nanti; ia akan turut dilengkapi dengan sistem maju Lexus Teammate dengan pelbagai fungsi autonomous, untuk pasaran Jepun.
Lexus bagaimanapun belum mendedahkan perincian lanjut berkaitan sistem berkenaan — yang sebelum ini pernah didemonstrasikan – tetapi dijangka akan melibatkan kawalan autonomous bagi pecutan, membrek dan kendalian stereng, tanpa memerlukan input dari pemandu untuk mengendalikannya.
Bagaimanapun, ia bukanlah sistem autonomous Tahap 3 selengkapnya, memandangkan pemandu masih perlu memerhatikan keadaan persekitaran di atas jalan. Dan, Lexus bukanlah jenama pertama yang memperkenalkan teknologi seperti ini. Nissan misalnya sudahpun memperkenalkan model Skyline dengan sistem ProPilot 2.0 yang hampir sama, tahun lalu. Sedikit perbezaan mungkin, LS ada kemampuan untuk mempertimbangkan penukaran lorong tanpa input pemandu.
LS baru itu nanti akan turut menampilkan ciri Advanced Park, dengan sokongan kepada stereng, pedal minyak, brek dan penukaran gear. Menurut Lexus, ia seperti sebuah bantuan parkir yang lebih maju yang belum pernah ditawarkan dalam pasaran untuk memudahkan pemandu.
Untuk kenal model yang dipasangkan Lexus Teammate ini sangat mudah; ada sensor radar pada bahagian grilnya, pada fender depan dan bampar belakang. Sensor di depan juga datang dengan pembersihnya sendiri untuk mengekalkan keberkesanannya. LS baru ini juga akan menerima ciri BladeScan Adaptive High-beam System (AHS) dari model RX fecelift.
Selebihnya perubahan luaran sangat minimal, dan turut menerapkan penggayaan yang sama pernah diberikan pada model ES terbaru. DRL bentuk panah kini disepadukan ke dalam lampu utama serta ada satu modul projektor empat segi yang terletak di atas modul BladeScan.
Di belakang, lampu hadir dalam bentuk L dengan kemasan hitam berkilat – sama seperti elemen pada lampu depan. Bagi F Sport, ia datang dengan rekaan bampar depan yang khusus, dengan inlet pada sudutnya. Penyudah pada gril dan rim aloi 20-inci juga unik untuknya. Satu warna baru turut diperkenalkan; Gin-ei Luster.
Di dalam, perubahan lebih ketara dilakukan. Ia kini menerima skrin sentuh 12.3-inci bagi sistem infotainmen dengan Remote Touch yang digunakan. Sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto menjadi tambahan terbaru, serta paparan definisi tinggi pada cermin pandang belakang yang ditawarkan sebagai pilihan.
Bagi unit jana kuasa, terdapat beberapa pilihan termasuk 3.5 liter turbocas berkembar V6 dengan kotak gear automatik 10-kelajuan bagi LS 500, serta V6 biasa, dengan motor elektrik dan transmisi Multi-Stage hibrid pada LS 500h. Janaan output masih belum didedahkan, tetapi berdasarkan model sebelumnya, masing-masing menghasilkan 415 hp dan 345 hp.
Penambahbaikan lain termasuk tork enjin yang dipertingkatkan untuk memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik. Ini disertai dengan penambahbaikan bagi shift timing serta julat pecutan yang lebih panjang dari kotak gear. Bagi LS 500h, pecutan kini menjadi lebih lancar.
Aspek keselesaan juga diberikan perhatian. Adaptive Variable Suspension yang diguna menampilkan solenoid baru untuk mengurangkan hentakan, sementara kekerasan tayar run-flat dan palang anti-olengan telah dipertimbangkan semula. Engine mount juga direka semula untuk mengurangkan gegaran enjin yang dipindahkan ke dalam kabin. Ciri Active Noise Control dan sistem Engine Sound Enhancement juga ditala semula untuk menjadikan kabin lebih senyap.
Subaru telah mula menjual satu lagi model edisi terhad WRX S4 STI Sport # (salah satu nota muzik), yang hanya eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja. Hanya terdapat 500 unit – yang kesemuanya telah ditempah – setiap satunya berharga 4.741 juta yen (RM188,554), atau pun 572,000 yen (RM22,749) lebih mahal berbanding model biasa WRX S4 STI Sport.
Secara mekanikal, ia mirip dengan WRX S4 STI Sport, termasuklah dengan Lineartronic CVT dipadankan untuk enjin FA20 2.0 liter empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa hingga 300 PS pada 5,600 rpm dan tork 400 Nm dari 2,000 hingga 4,800 rpm.
Walau bagaimana pun # dipertingkatkan dengan penyejuk minyak untuk transmisi, memberikan aliran yang lebih baik bagi penapis udara dan juga didatangkan dengan ekzos prestasi STI bersama quad tips. Casis bagi model ini juga menerima strut tower bar yang fleksibel di hadapan, bersama penguat yang fleksibel untuk kedua-dua hujungnya.
Bagi imejnya, ia menerima splitter yang lebih besar dengan kemasan hitam berkilat di hadapan, kemasan Dark Grey Silica untuk gril utama dan roda aloi aluminium pelbagai-jejari 18-inci berwarna hitam. Untuk bahagian dalamnya pula, ia ditampilkan dengan tempat duduk upholstery Recaro dengan material Ultrasuede dan kulit, bersama jahitan kontras dan sulaman logo STI. Roda stereng dan tombol gearnya juga menerima kemasan yang sama untuk melengkapkan gayanya.
Model # ini ditawarkan dengan empat pilihan warna – Ceramic White, Ice Silver Metallic, Crystal Black Silica dan Blue Pearl – dengan sistem bantuan pemanduan dan keselamatan EyeSight yang didatangkan secara standard. Bagi pelanggan yang sudah membuat tempahan, bakal menerima model # pada Ogos ini.