Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia K5 2021 diperkenalkan di Amerika Syarikat – versi GT terima kuasa 290 hp/422 Nm dari enjin 2.5L turbo

    Kia K5 2021 diperkenalkan di Amerika Syarikat – versi GT terima kuasa 290 hp/422 Nm dari enjin 2.5L turbo

    2021 K5 GT-Line AWD

    Selepas didedahkan pada hujung tahun lalu, Kia K5 2021 kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Amerika Syarikat. Sedan tersebut tidak lagi dikenali sebagai Optima pada pasaran berkenaan dan juga mana-mana pasaran lain di luar Korea, di mana namanya kini hanya dikenali sebagai Kia K5.

    Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, K5 diberikan rupa yang sungguh handsome berbanding pesaing lain dalam pasaran sedan segmen-D seperti Toyota Camry dan Honda Accord, serta menampilkan pelbagai teknologi terkini dan juga unit penjana baharu.

    Seperti model-model terkini Kia yang lain, K5 menerima gril “tiger nose” yang lebih lebar, disepadukan dengan lampu utama yang turut dilengkapi lampu nyalaan siang LED “heartbeat“. Bahagian bampar juga nampak lebih agresif dengan liang kemasukan udara lebih besar, manakala bonet yang direka dengan lekuk yang lebih jelas menyerlahkan rupa garang sedan ini.

    K5 generasi baharu ini tampil sebagai sebuah sedan seakan sebuah coupe empat pintu, sama seperti konsep sedan flagship Kia iaitu Stinger. Oleh itu, garis badan kereta ini dihasilkan landai ke belakang. Apa yang lebih istimewa pada bahagian sisi K5 ini adalah serlahan kemasan krom dari kerangka tingkap pintu hadapan dan belakang dan terus bersambung ke tiang-D serta merentangi sepenuhnya bawah cermin belakang.

    Kia K5 2021 diperkenalkan di Amerika Syarikat – versi GT terima kuasa 290 hp/422 Nm dari enjin 2.5L turbo

    2021 K5 GT-Line AWD

    Rupa belakang sedan ini turut kelihatan garang seperti mukanya. Ia diberikan lampu tirus merentangi sepenuhnya bahagian berkenaan. Bampar pula kelihatan ‘sibuk’ dengan sepasang liang udara sisi yang seakan melepaskan aliran udara yang ‘dikaut’ oleh bampar hadapan, kemudian diberikan kemasan seakan diffuser yang turut menempatkan dua kemasan tip ekzos krom berbentuk segi-empat.

    Dimensi kenderaan ini juga berubah dari generasi sebelumnya. Ia kini berukuran 4,905 mm panjang (+50 mm), 1,860 mm lebar (+25 mm), 1,445 mm tinggi (-20 mm), serta jarak roda 2,850 mm (+45 mm). Pilihan rim yang disediakan terdiri daripada saiz 16 hingga 18 inci, dengan model GT menerima unit 19 inci.

    Kabin K5 ini turut dihasilkan dengan rupa yang lebih premium. Kemasan kayu atau satin krom (bergantung pada varian) merentangi keseluruhan papan pemuka bagi membahagikan atas dan bawah. Ia turut hadir dengan pilihan upholsteri kulit sintetik berwarna merah, bumbung panaromik dan juga roda stereng rata di bawah untuk varian GT-Line.

    Sistem infotainmen K5 ini menampilkan skrin sesentuh lapan-inci sebagai ciri standard. Opsyen paparan bersaiz 10.25-inci turut ditawarkan dan ia turut tampil dengan fungsi info trafik masa sebenar berasaskan cloud, hubungan Bluetooth pelbagai, sistem telematik UVO dengan tetapan pelbagai profil pemandu. Pembeli turut boleh memilih sistem bunyi premium Bose dengan 12-pembesar suara.

    Kia K5 2021 diperkenalkan di Amerika Syarikat – versi GT terima kuasa 290 hp/422 Nm dari enjin 2.5L turbo

    2021 K5 GT-Line AWD

    Selain itu, K5 turut dilengkapi dengan fungsi lain seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar, arahan suara serta hubungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar – fungsi terakhir ini walau bagaimanapun tidak diberikan untuk model yang hadir dengan sistem navigasi. Kia turut menawarkan opsyen penghidup enjin kawalan jauh, fungsi pra-penyejukkan untuk sistem penghawa dingin dan juga pembuka but tanpa sentuhan tangan.

    Manakala untuk sistem keselamatan, kesemua varian K5 menerima pakej bantuan pemanduan Kia Drive Wise yang terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, pemantau perhatian pemandu, bantuan kekal lorong, amaran penumpang belakang, dan juga sistem baharu amaran pergerakan kenderaan hadapan (LVDA).

    Jika rasa masih tidak cukup, pembeli turut ditawarkan dengan opsyen sistem keselamatan tambahan seperti brek kecemasan automatik yang mengesan penunggang basikal dan kenderaan dari hadapan, pemantau titik buta bersama pengelak pelanggaran, cruise control adpatif yang berfungsi berasaskan sistem navigasi, sistem brek kecemasan automatik ketika mengundur dan juga amaran buka pintu.

    Kia K5 2021 diperkenalkan di Amerika Syarikat – versi GT terima kuasa 290 hp/422 Nm dari enjin 2.5L turbo

    2021 K5

    Kia K5 dihasilkan dengan asas platform N3 generasi ketiga membolehkan ia dihasilkan lebih besar dan lebih rendah. Geometri suspensi model ini turut telah dioptimakan bagi memberikan pengendalian dan kestabilan lebih baik. Kerangka K5 ini juga diperkuatkan lagi dengan penambahan komponen-komponen yang dihasilkan secara ‘hot stamping’ untuk badan yang lebih solid.

    Di Amerika Syarikat, semua varian K5 dijana oleh enjin yang disuap dengan pengecas turbo. Model standard dijana oleh enjin petrol Smartstream G empat-silinder 1.6 liter turbo berkuasa 180 hp dan tork maksima 264 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik memacu roda hadapan. Buat pertama kali, enjin ini juga turut ditawarkan dengan opsyen pacuan semua roda.

    Selepas musim luruh, K5 akan tampil dengan varian lebih berkuasa iaitu model dengan lencana GT penuh. Versi ini akan diberikan enjin 2.5 liter turbo berkuasa 290 hp dan tork maksima 422 Nm. Digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan baharu dan memacu roda hadapan, K5 GT mampu memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya 5.8 saat!

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2020 ikut jenama

    Selepas bulan April yang suram bagi jualan kenderaan di Malaysia – dengan hanya 141 kenderaan terjual disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bulan Mei tiba dengan sedikit cahaya baru; hampir semua jenama dan syarikat memulakan perniagaan seperti biasa secara berperingkat.

    Keseluruhannya, 22,960 unit kenderaan telah terjual bulan lalu, mewakili peningkatan sebanyak 22,819 unit atau 16,183% berbanding April 2020. Angka ini juga sedikit melebihi angka bulan Mac lalu, yang mencatatkan 22,478 unit terjual, sebelum PKP dilaksanakan.

    Walaupun begitu, ia masuk jauh berkurangan daripada jualan pada tempoh sama tahun lalu, yang menyaksikan 60,760 unit terjual. Namun, cuti cukai SST yang diumumkan kerajaan dijangka akan membantu melonjakkan kembali jualan kenderaan hingga hujung tahun ini. Sehingga 31 Disember, semua kereta CKD dikecualikan daripada cukai jualan, sementara bagi kereta CBU, kadarnya hanya tinggal 50%.

    Melihat kepada pecahan ikut jenama, Perodua masih mendahului, dengan angka jualan 7,886 unit sepanjang Mei. Proton pula mengikut rapat di belakang dengan jualan 5,676 unit. Namun, dari jumlah keseluruhan setakat ini, Perodua masih jauh di depan, dengan 52,920 unit terjual berbanding 27,455 unit yang dicatatkan Proton.

    Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2020 ikut jenama

    Sementara itu, Toyota menjual 3,425 unit sepanjang Mei, melebihi angka yang dicatatkan Honda dengan 2,678 unit. Kedudukan keseluruhan pula hanya dengan 48 unit sahaja yang meletakkan Toyota di depan setakat ini; dengan angka 13,853 unit berbanding Honda dengan 13,805 unit.

    Sepanjang Mei juga, hampir semua jenama pengeluar mencatatkan peningkatan jualan. Nissan, Mitsubishi, Mazda, Isuzu, Ford dan Volkswagen misalnya berjaya mendapatkan jualan tiga digit bulan lalu. Anehnya, Subaru mencatatkan sifar jualan bagi Mei; kami telah ajukan pertanyaan kepada mereka untuk mengetahui sebabnya.

    Bagi jenama premium seperti BMW, MINI dan Mercedes-Benz – sama seperti bulan-bulan sebelum ini – laporannya menandakan angka sifar kerana semua syarikat itu telah beralih kepada laporan jualan empat kali setahun berbanding laporan bulanan. Dari suku pertama, BMW mendahului dengan 1,600 unit, dan Mercedes-Benz dengan 1,342 unit.

     
     
  • MV Agusta Brutale RR 2020 – kuasa 208 hp, 116 Nm

    MV Agusta Brutale RR 2020 – kuasa 208 hp, 116 Nm

    Selepas melancarkan model edisi terhad Rush 1000, MV Agusta kini memperkenalkan pula Brutale RR 2020. Ia bukanlah sebuah motosikal yang serba baru, tetapi MV Agusta telah mengambil kira keperluan penunggang dan menjadikan model ini lebih senang didekati oleh lebih ramai pengguna.

    Menurut pengarah penyelidikan dan pembangunan MV Agusta, Brian Gillen, Brutale RR 2020 direka untuk kegunaan penunggang pelbagai kemampuan, tidak kiralah penunggang motosikal sports yang sudah berpengalaman mahupun mereka yang baru mahu mendekati jenama ini. Perisian sistem motosikal ini serta suspensinya telah dipertingkat, dengan di hadapan menggunakan unit Ohlins NIX EC dan di belakang menggunakan Ohlins EC TTX.

    Pada bahagian enjin ia masih lagi menggunakan unit empat silinder sebaris tetapi kini mampu menghasilkan kuasa 208 hp pada 13,450 rpm dan 116.5 Nm tork pada 11,000 rpm. Rantai pemasa (timing chain) yang berada di tengah dapat mengurangkan lenturan camshaft sementara teknologi injap radial pula digabungkan bersama con rod titanium untuk membolehkan enjin ini dipaksa ke tahap rpm yang lebih tinggi.

    Geseran keseluruhan dalam enjin telah dikurangkan hasil daripada sistem kitaran minyak yang direka semula, dengan kini menampilkan sistem takungan separa kering. Ia membenarkan minyak diasingkan daripada bahagian enjin yang bergerak sambil pada masa sama memberikan pelinciran yang sepatutnya.

    Perhatian yang lebih juga diberikan kepada bunyi enjin, terutamanya dengan peraturan Euro 5 yang bertambah ketat sekarang. Gear di dalam transmisi enam kelajuan motosikal ini telah direka semula dan dipotong untuk mengurangkan bunyi serta geseran. Turut membantu adalah perumah enjin yang dapat menyerap bunyi.

    Pada bahagian kokpit, penunggang boleh melihat semua informasi penting pada skrin TFT-LCD lima inci, dengan terdapat beberapa pilihan yang boleh dibuat menggunakan butang pada bahagian pemegang. Antaranya termasuk empat mod tunggangan – Sport, Race, Rain dan Custom – dan penunggang juga boleh mengubah pemetaan enjin menggunakan aplikasi MV Ride serta sambungan Bluetooth dengan motosikal.

    MV Agusta Brutale RR 2020 – kuasa 208 hp, 116 Nm

    Fungsi lain yang boleh dipamerkan pada skrin ini adalah navigasi dan pengguna boleh berkongsinya dengan orang lain. Sistem bantuan pada motosikal ini menggunakan sistem pengurusan enjin Elder EM2 yang dibangunkan khas untuk enjin MV Agusta dan ia termasuk front wheel lift control, launch control serta quickshifter.

    Bahagian brek menggunakan angkup Brembo Stylema empat piston yang mencengkam dua cakera 320 mm di hadapan, bersama master cylinder Brembo untuk kedua-dua brek dan klac. Di belakang pula terdapat cakera 220 mm dengan angkup Brembo dua piston. Sistem brek ini disambungkan dengan ABS daripada Bosch dan rear wheel lift mitigation.

     
     
  • Toyota RAV4 Prime di Jepun dibekukan jualan akibat permintaan terlalu tinggi, bekalan bateri tak cukup

    Toyota RAV4 Prime di Jepun dibekukan jualan akibat permintaan terlalu tinggi, bekalan bateri tak cukup

    Toyota telah membekukan sementara pengambilan tempahan bagi model RAV4 Prime terbaru di Jepun selepas tiga minggu memperkenalkannya, atas sebab permintaan terlalu tinggi serta kekangan terhadap bekalan bateri yang digunakan.

    Jurucakap syarikat memaklumkan Electrek yang pengeluar itu “menerima ulasan dari ramai pelanggan serta mengambil tempahan melebihi kemampuan pengeluaran bagi bateri lithium-ion yang baru dibangunkan.”

    “Bagi pasaran Amerika Syarikat, sejak diperkenalkan tahun lalu, RAV4 Prime 2021 telah menerima sambutan hangat daripada pengguna sebagai sebuah RAV4 yang berkuasa dan cekap pernah dihasilkan. Namun, disebabkan kekangan rantaian bekalan, kami terpaksa mengubah jadual pengeluaran sedia ada.”

    Toyota RAV4 Prime di Jepun dibekukan jualan akibat permintaan terlalu tinggi, bekalan bateri tak cukup

    “Kami jangka akan dapat mencapai rancangan pengeluaran sebelum ini pada awal 2021,” tambah beliau. Bagi pasaran AS, Toyota memaklumkan syarikat itu hanya mampu membekalkan 5,000 unit sahaja tahun ini sebelum mencapai sasaran pengeluaran 20,000 unit tahun depan. Tidak dinyatakan sama ada Covid-19 menjadi punca kepada kelewatan ini.

    RAV4 Prime dikuasakan oleh enjin 2.5 liter Atkinson Cycle yang menghasilkan 176 hp dan 228 Nm. Dengan sokongan motor elektrik, output keseluruhan sistem ini ialah 320 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat. Bateri lithium-ion kapasiti tinggi yang digunakan pula mampu memberikan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 60 km (kitaran WLTP).

     
     
  • Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

    Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

    Susulan pengenalan Volkswagen Arteon baharu pada minggu lalu, pengeluar kereta Jerman turut menampilkan model facelift pertama Tiguan generasi kedua, dengan diberikan peningkatan gaya dan beberapa ciri kelengkapannya.

    Suntikan yang lebih segar diberikan pada bahagian hadapan yang direka semula dengan menampilkan gril yang lebih besar dengan lampu utama LED baharu berserta lampu nyalaan siang yang seakan gaya Golf Mk8 terkini. Untuk bahagian belakangnya pula, perkataan Tiguan ditempatkan di tailgate seperti mana model terkini Volkswagen yang lain – selain itu ditampilkan sekali lampu signitur yang lebih moden untuk lampu belakang LED.

    Foto yang dipaparkan ini merupakan Tiguan dengan pakej kemasan R-Line, yang kelihatan lebih agresif pada bampar hadapan dengan apron bawah lebar sepenuhnya, melitupi corong pengambilan tengah. Bamparnya juga menerima kemasan warna kontras pada hujungnya dengan kepingan menegak pada sudutnya untuk tujuan aerodinamik.

    Selain itu, rekaan yang lebih ringkas ditampilkan untuk bahagian sisinya termasuk dengan garisan karakter dan logo R, yang turut diaplikasikan pada gril. Seperti Arteon, pakej R-Line untuk Tiguan ini turut didatangkan bukaan muncung ekzos berbentuk trapezoid, dengan kelainan pada R-Line ialah pembahagian rekaan itu kepada empat seksyen.

    Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

    Di dalamnya pula, rekaan SUV ini dikekalkan seperti sebelum ini, ini termasuklan kawalan sentuhan pada roda stereng baharu dan sistem Climatronic, sementara sistem infotainmen kini dipertingkatkan dengan Modular Infotainment Matrix (MIB3) yang terkini.

    Sistem infotainmen kini didatangkan dengan paparan lapan-inci secara standard, tetapi diberikan saiz yang lebih besar iaitu unit 10.25-inci untuk varian yang lebih tinggi. Turut ditampilkan ialah Volkswagen Digital Cockpit (kluster instrumen digital), sistem pencahayaan ambien 15-warna dan sistem audio premium Fender 480-watt.

    Bagi aspek keselamatam, dengan adanya Travel Assist membolehkan Tiguan dipacu separa automatik dalam kelajuan dari sifar ke 210 km/j, dengan menggunakan kawalan kelajuan adaptif dan juga bantuan kekal lorong.

    Volkswagen Tiguan 2020 diperkenalkan – kelengkapan dan imej dipertingkat; PHEV baharu, varian R 320 PS

    Bagi enjinnya pula, pasaran Amerika Syarikat bakal menerima unit EA888 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan kuasa 186 PS (184 hp) dan tork 300 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Untuk pelanggan di Eropah pula, akan menerima Tiguan R baharu yang dijanakan oleh enjin yang sama bagi Arteon R iaitu unit EA288 2.0 liter empat-turbo dengan 320 PS (316 hp) dan 420 Nm. Benua ini juga akan menerima varian plug-in hybrid baharu dengan 245 PS (241 hp) seperti penjana kuasa eHybrid yang dipadankan dengan enjin 1.4 liter empat-silinder TSI, motor elektrik dan kotak gear dwi-klac kering enam-kelajuan.

    Jualan bagi Tiguan di Eropah dijadualkan pada tahun ini, dengan versi jarak roda standard (2,681 mm) akan ditawarkan di rantau berkenaan. Manakala di USA pula akan terus menerima model dengan jarak roda yang lebih panjang (2,791 mm) dengan pilihan tiga barisan tempat duduk (kapasiti tujuh penumpang), tetapi pelancaran rasminya hanya dijangka pada musim luruh 2021 untuk model tahunan 2022.

     
     
  • Enjin petrol ‘Godzilla’ V8 7.3L Ford boleh dibeli baru dengan harga RM35k – hasilkan 430 HP/644 Nm

    Enjin petrol ‘Godzilla’ V8 7.3L Ford boleh dibeli baru dengan harga RM35k – hasilkan 430 HP/644 Nm

    Divisi perlumbaan rasmi Ford iaitu Ford Performance telah mengumumkan bahawa enjin V8 7.3 liter seperti yang terdapat dalam perut trak F-250 2020 yang didedahkan tahun lalu, kini sudahpun boleh dibeli secara ‘crate engine’ atau enjin sahaja bagi membolehkan anda menyumbatnya pada mana-mana kenderaan mengikut kreativiti sendiri.

    Enjin rekaan baharu dari Ford ini masih menggunakan rekaan pushrod klasik V8 Amerika yang menampilkan aci sesondol di sisi blok enjin dan bukannya terletak di atas kepala selinder. Walaupun agak old-school, rekaan tersebut membolehkan enjin gergasi yang digelar sebagai ‘Godzilla’ ini tampil dengan rekaan lebih kompak.

    Enjin petrol ‘Godzilla’ V8 7.3L Ford boleh dibeli baru dengan harga RM35k – hasilkan 430 HP/644 Nm

    Selain itu, enjin ini dihasilkan dengan blok cast iron, kepala silinder aluminium, aci engkol dari logam forged, sistem suntikan bahan api pada port kemasukan serta nisbah mampatan 10.5:1. Secara standard, ia ditala bagi menghasilkan 430 HP pada takat 5,500 rpm dan juga tork maksima 644 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Enjin ini dijual pada harga US$8,150 atau sekitar RM35k. Setiap pembelian enjin tersebut akan datang sekali dengan manifold kemasukan bersama throttle body, manifold ekzos kiri dan kanan, takung minyak pelincir standard bersama penyejuk minyak, sistem pendawaian dan penyalaan, plat fleks produksi, kotak penghantaran dan penyimpanan serta pendakap untuk mengangkat.

     
     
  • Volkswagen Malaysia lancar program pemeriksaan kenderaan percuma, diskaun bagi alat ganti tertentu

    Volkswagen Malaysia lancar program pemeriksaan kenderaan percuma, diskaun bagi alat ganti tertentu

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan satu program pemeriksaan kenderaan percuma yang dipanggil sebagai 5 Star Service Check. Ini adalah demi memastikan kenderaan pelanggan sentiasa dalam keadaan baik, terutamanya setelah tidak bergerak lama sewaktu perintah kawalan pergerakan.

    Menurut VPCM, 5 Star Service Check adalah satu pemeriksaan visual komprehensif yang dilakukan oleh penasihat servis bersama-sama pelanggan di sebelah untuk melihat dan menunjukkan komponen yang berkemungkinan sudah patut ditukar serta mengenal pasti isu-isu lain.

    Antara bahagian yang akan diperiksa adalah keadaan badan dan cat, sistem lampu, brek, cermin hadapan, tingkap, roda serta rim. Semua proses pemeriksaan akan dilakukan secara telus di hadapan pelanggan dan tidak melibatkan sebarang bayaran.

    Volkswagen Malaysia lancar program pemeriksaan kenderaan percuma, diskaun bagi alat ganti tertentu

    Sebagai bonus, mana-mana pemilik Volkswagen yang menghantar kenderaan mereka untuk pemeriksaan 5 Star Service Check ini, dan perlu menukar alat ganti tertentu, mereka boleh menikmati penjimatan termasuk diskaun 20% untuk bateri dan tayar, serta diskaun masing-masing RM50 untuk setiap cakera brek dan pad brek.

    Turut disediakan adalah diskaun RM40 untuk setiap botol aditif, potongan RM20 untuk setiap set pengelap cermin, diskaun RM5 untuk cecair pembersih cermin dan diskaun 5% untuk penukaran cermin hadapan. Mereka yang berminat boleh membuat temu janji atas talian terlebih dahulu.

     
     
  • BMW R18 sudah boleh ditempah atas talian – datang ke Malaysia dalam versi First Edition, harga RM157k

    BMW R18 sudah boleh ditempah atas talian – datang ke Malaysia dalam versi First Edition, harga RM157k

    Tahun ini BMW Motorrad memperkenalkan sebuah model istimewa ke dalam pasaran iaitu R18. Ia adalah sebuah cruiser dengan gaya yang mengambil inspirasi daripada model klasik R5 dan menggunakan enjin boxer paling berkuasa pernah dihasilkan oleh pengeluar Jerman ini.

    Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima model ini, dan sekarang ia sudah boleh ditempah melalui laman web khas BMW Motorrad Malaysia, pada harga RM156,500 tidak termasuk insurans. Motosikal akan tiba pada bulan Oktober tahun ini dan hanya 18 unit sahaja yang akan dibawa ke Malaysia.

    Model yang dipasarkan di Malaysia adalah versi First Edition, di mana ia mempunyai logo First Edition serta jalur pinstripe atas cat hitam, serta pelbagai bahagian berwarna krom termasuk pemegang, penukar gear, penutup bucu pemegang, serta penutup head dan crank.

    Enjin boxer penyejukan udara pada R18 mempunyai kapasiti 1,802 cc dan ia mampu menghasilkan kuasa 91 hp pada 4,750 rpm serta tork 150 Nm antara 2,000 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan klac kering serta sistem syaf.

    Suspensi hadapan motosikal ini masih lagi menggunakan fork biasa berdiameter 49 mm, tetapi ia ditutup dengan kelongsong khas untuk menjadikannya lebih kemas manakala di belakang juga terdapat lengan ayun dan monoshock yang tersembunyi di bawah tempat duduk, meskipun jika diperhati dari tepi ia nampak seperti kerangka rigid.

    Pada bahagian brek pula, model ini dilengkapi dengan unit cakera 300 mm berkembar serta angkup empat piston di hadapan manakala di belakang pula terdapat cakera tunggal. Meningkatkan ciri keselamatannya, brek ini dipasang dengan Integral Anti-Lock Braking System.

    BMW R18 sudah boleh ditempah atas talian – datang ke Malaysia dalam versi First Edition, harga RM157k

    Walaupun mempunyai penampilan klasik, R18 masih dipasang dengan semua lampu jenis LED, sistem tanpa kunci Keyless Ride, Automatic Stability Control (ASC), Engine Drag Torque Control (MSR) serta tiga mod tunggangan iaitu Rain, Roll dan Rock. Hill Start Control dan bantuan undur pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Selain daripada keadaan standard, BMW Motorrad juga menyediakan pelbagai pilihan aksesori untuk R18 ini, untuk menjadikannya lebih sesuai dengan kemahuan pemilik seperti pemegang yang lebih tinggi, tempat duduk, kemasan enjin, ekzos dan pelbagai lagi.

    GALERI: Aksesori BMW R18 2020

     
     
  • Hyundai i30 N facelift akan tampil lebih berkuasa, pilihan kotak gear DCT dan juga rupa lebih agresif

    Hyundai i30 N facelift akan tampil lebih berkuasa, pilihan kotak gear DCT dan juga rupa lebih agresif

    Hyundai Veloster N sudahpun menerima pilihan kotak gear automatik menerusi model kemaskini yang diperkenalkan April lalu. Namun untuk satu lagi model N iaitu i30 N, pilihan kotak gear tersebut mungkin akan hadir sedikit lambat kerana ia akan tampil pada versi facelift 2021 nanti.

    Menurut laporan CarAdvice, model berkenaan kini dalam peringkat akhir pembangunannya di litar Nürburgring, Jerman dan ia bukan sahaja akan hadir dengan pilihan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan tersebut, malah turut akan diberikan kuasa lebih besar, talaan semula pada stereng dan suspensi, serta rupa yang lebih segar dan agresif berdasarkan model facelift standard yang telah pun didedahkan Februari lalu.

    Ini adalah berdasarkan apa yang disebutkan oleh ketua pembangunan model berprestasi tinggi hyundai N dan juga ketua unit R&D jenama Korea berkenaan, Albert Biermann tahun lalu kepada media-media Australia, yang menyatakan bahawa pihaknya akan mengestrak lebih kuasa dari enjin 2.0 liter empat silinder turbo-GDI pada i30 N berkenaan serentak dengan pengenalan kotak gear DCT.

    Model standard i30 facelift dalam kemasan N-Line

    Buat masa sekarang, Hyundai i30 N dibekalkan dengan kuasa 275 PS/353 Nm dengan Performance Package. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam kelajuan lengkap dengan LSD elektronik dan hanya memacu roda hadapan. Padanan ini membolehkan hot-hatch tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Hyundai i30 N sudah pun masuk ke pasaran Malaysia pada November tahun lalu, dan menurut pengedarnya di sini iaitu Hyundai Sime Darby Motors, model yang diimport sepenuhnya dari Republik Czech berkenaan hanya dibawa masuk sebanyak 20-unit – ia akan diberikan nombor siri istimewa “1” hingga “20” dicop pada plat besi.

    Kami sudahpun diberi peluang untuk memandu uji hot-hatch dengan sistem ekzos seakan sistem anti-lag kereta rali sebenar ini, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Hyundai i30 Hatchback facelift

    GALERI: Hyundai i30 N pasaran Malaysia

     
     
  • Diskaun tambahan untuk Pas MyCity bagi pengguna rel, BRT di Lembah Klang 1 Julai-31 Dis – Prasarana

    Diskaun tambahan untuk Pas MyCity bagi pengguna rel, BRT di Lembah Klang 1 Julai-31 Dis – Prasarana

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali perkhidmatan rel urban dan Bas Rapid Transit (BRT) di Lembah Klang, mengumumkan diskaun tambahan untuk pemegang Pas MyCity, pas perjalanan tanpa had satu hari dan tiga hari untuk semua perkhidmatan rel dan BRT Rapid KL.

    Di mana pengguna semua perkhidmatan rel dan BRT Rapid KL boleh mendapat diskaun berkenaan dengan harga RM5 untuk sehari dan RM15 untuk tiga hari, mulai hari ini (1 Julai) hingga 31 Dis 2020.

    Walau bagaimana pun, diskaun tambahan ini tidak termasuk harga kad Touch ‘N Go bernilai RM5, serta RM5 nilai dompet minimum yang perlu ada di dalam kad Touch ‘N Go. Pas MyCity ini boleh didapati di semua 122 stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT.

    “Kami berharap agar inisiatif ini dapat menyemarakkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan perniagaan, khususnya di Lembah Klang dan Selangor,” kata Muhammad Nizam Alias, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana Malaysia Berhad.

    Menurutnya lagi, pas MyCity ini juga diharap akan dapat membantu menjana semula sektor pelancongan domestik yang terkesan daripada wabak COVID-19 sejak Mac yang lalu.

    “Rangkaian rel dan BRT Rapid KL bersepadu kami yang strategik, akan memberi para pengguna peluang menikmati perjalanan tanpa had secara meluas di sekitar Lembah Klang dan Selangor,” kata Muhammad Nizam lagi.

    Maklumat lanjut mengenai Pas MyCity boleh didapati daripada kakitangan Rapid KL di mana-mana stesen rel atau BRT. Selain itu, anda juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my

     
     
  • BMW S1000XR 2020 tiba di Malaysia – harga RM122k

    BMW S1000XR 2020 tiba di Malaysia – harga RM122k

    Walaupun sudah mempunyai model baru F900 XR, BMW Motorrad masih mengekalkan penawaran S1000 XR kerana ini adalah model yang menggunakan enjin empat silinder dan lebih berkuasa. Model terbaru bagi S1000 XR diperkenalkan tahun lalu sewaktu pameran EICMA 2019, dan kini ia sudah pun memasuki pasaran Malaysia pada harga RM121,500.

    Paling menjadi perhatian adalah ia kini 10 kg lebih ringan, dengan catatan berat keseluruhan 226 kg. Bahagian enjin saja sudah kurang 5 kg dan unit empat silinder 999 cc itu mampu menghasilkan kuasa 165 hp pada 11,000 rpm dan 114 Nm tork pada 9,250 rpm. Selain lengkung kuasa yang dijadikan lebih rata, nisbah gear juga diubah sedikit dengan kini gear empat, lima dan enam adalah lebih panjang.

    Bagi mengawal gelinciran pada roda belakang semasa pendikit ditutup atau menurunkan gear secara tiba-tiba, motosikal ini dipasang dengan Engine Drag Torque Control daripada MSR. Kembali pada beratnya, selain enjin, kerangka serta lengan ayunnya juga menyumbang kepada pengurangan sebanyak 2.1 kg.

    Bahagian suspensi menggunakan sistem pelarasan elektronik Dynamic ESA daripada BMW Motorrad sendiri dan sekiranya itu masih tidak cukup, pemilik boleh mendapatkan Dynamic ESA Pro yang memberikan dua pilihan mod tetapan suspensi iaitu Road dan Dynamic, serta pelarasan tinggi secara automatik.

    Bagi meningkatkan keselesaan kepada penunggang, S1000XR juga dipasang dengan Flex Frame sama seperti S1000RR. Bagi kelengkapan elektronik, motosikal ini dilengkapi dengan empat mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic dan Dynamic Pro), Hill Start Control Pro, Dynamic Traction Control DTC, DTC Wheelie Function dan ABS Pro dengan Cornering ABS.

    Selain daripada itu, beberapa kelengkapan lain yang sebelum ini disediakan sebagai pilihan tambahan telah diberikan secara standard kepada S1000 XR 2020 termasuk tongkat tengah, cruise control, pelindung tangan serta pemanas di bahagian pemegang. Model ini juga sudah dipasang dengan Pannier Holder.

    BMW S1000XR 2020 tiba di Malaysia – harga RM122k

    Skrin TFT 6.5 inci disediakan di hadapan penunggang untuk melihat semua informasi penting serta operasi sistem pada motosikal ini. Ia juga dilengkapi terus dengan sistem navigasi anak panah apabila disambung kepada telefon melalui aplikasi khas.

    BMW S1000 XR 2020 ditawarkan dalam dua warna iaitu Ice Grey dan Racing Red, dan ia datang bersama jaminan serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun. Aksesori seperti kotak barangan, pelindung enjin, penghadang angin jenis tinggi serta pelbagai lagi dijual secara berasingan.

     
     
  • Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

    Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

    Kalau pun tidak ramai, pasti ada antara kita yang pernah terfikir untuk membeli sebuah kereta yang ringkas dengan kotak gear manual. Kelengkapan asas perlu ada (seperti ABS dan kawalan kestabilan – paling minimum). Maka, Perodua Bezza dan Axia, atau Proton Saga manual tidak termasuk dalam senarai pilihan, disebabkan semua model itu tidak datang dengan ciri kawalan kestabilan, malahan bagi Axia paling asas, ABS pun tak ada.

    Ini menjadikan pilihan yang masih tersisa sangat sedikit, iaitu Proton Iriz dan Persona serta Perodua Myvi – ini model paling asas bagi ketiga-tiganya bagi mereka yang inginkan kereta dengan kotak gear manual. Jika mengambil kira harga yang murah serta “track record” faktor keselamatan yang baik dan meyakinkan, maka Iriz punyai kelebihan itu.

    Ia satu pilihan yang mudah dan jelas, cuma agak mengecewakan kerana kita tak mempunyai lebih banyak pilihan untuk kereta dengan kotak gear manual. Kereta jenis ini biasanya sama ada dipandu oleh mereka yang mudah dengan kereta permulaan yang ringkas dan kedua, oleh mereka yang tetap ingin memandu kereta manual kerana sudah terbiasa – dan tak ingin beralih kepada transmisi automatik.

    Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

    Mereka inilah benteng terakhir yang akan menjadikan transmisi manual kekal relevan, tetapi penawaran tersebut juga haruslah datang sekali dengan aspek keselamatan minimum yang boleh diterima akal. Ini menjadikan pilihan yang ada sangat sedikit sebenarnya. Kelompok ini juga semakin hari semakin berkurangan.

    Pendekatan untuk memperkenalkan varian manual yang semakin berkurangan ini juga agak baru dilakukan. Kotak gear manual bagi Axia pernah ditawarkan sehingga spesifikasi SE ketika mula diperkenalkan pada 2014 dahulu. Tetapi, kini ia hanya ditawarkan pada varian E yang paling asas sahaja bagi versi facelift 2019 yang terbaru. Sama juga ceritanya dengan Bezza – sebelum ini versi MT boleh didapati untuk varian 1.3 Premium X, tetapi kini hanya ada untuk varian 1.0 Standard G sahaja.

    Bagi Myvi, model generasi sebelum ini ditawarkan dengan versi manual sehingga varian 1.5 SE, tetapi sejak model terbaru diperkenalkan pada 2017, itu hanya boleh didapati dengan varian 1.3 Standard G sahaja. Permintaan bagi kotak gear kini semakin rendah, sehingga Proton juga terpaksa mengikut corak ini.

    Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

    Saga dan Persona pernah ditawarkan dalam varian Executive MT sehingga 2016, sebelum ia hanya ditawarkan untuk varian asas Standard sahaja selepas itu. Iriz lebih ekstrem lagi; ia pernah diperkenalkan dengan transmisi manual bagi setiap pilihan enjin, termasuk 1.6l Premium. Tetapi kini itu hanya ada untuk varian 1.3 Standard.

    Mengapa berlaku pengurangan penawaran bagi kotak gear manual seperti ini. Jawapannya mudah; kerana tak ramai orang yang membeli kereta manual lagi, tak seperti dulu. Permintaan terhadap kereta dengan spesifikasi yang lebih tinggi dan enjin yang lebih besar dengan kotak gear manual hampir tiada lagi. Maka pengeluar tidak ada alasan lagi kenapa ia perlu ditawarkan lagi, setidak-tidaknya bagi varian dengan kelengkapan yang lebih tinggi. Kelompok yang berminat dengan transmisi manual juga tidak mempunyai jumlah yang besar untuk mendorong atau merancakkan lagi penawaran ini.

    Iriz 1.6 Premium MT mungkin contoh yang paling baik. Khabar angin mengatakan hanya ada antara 400-500 unit sahaja varian itu dikeluarkan sebelum ini, itu pun mengambil masa yang agak lama untuk dihabiskan stoknya. Kemudian, tak ada permintaan lagi untuk membolehkannya dikeluarkan semula. Sama juga kesnya dengan Perodua.

    Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

    Kini, kotak gear manual hanya digunakan untuk mengurangkan harga bagi model paling asas, itu sahaja. Permintaannya semakin hari semakin berkurangan. Perodua Aruz misalnya tidak langsung ditawarkan dengan transmisi manual. Toyota pula telah berhenti menawarkan Vios J MT selepas pengenalan versi terbarunya tahun lalu. Dan, jika Nissan Almera masih ada versi manual, itu mungkin akan terhapus dengan pengenalan model 2020 nanti. Kia Picanto manual pun baru-baru ini telah digugurkan.

    Teruk sangatkah permintaan terhadap kotak gear manual? Sebagai contoh, bagi tahun 2019, Proton hanya menjual lima peratus daripada semua jualan Saga adalah versi manual. Ini diikuti dengan tiga peratus sahaja bagi Iriz, dan dua peratus sahaja bagi Persona yang dijual dalam versi MT. Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, kurang daripada 2,700 unit daripada 67,000 unit Saga, Iriz dan Persona yang terjual terdiri daripada model manual. Dicampur semua, itu kurang daripada empat peratus!

    Perodua pula enggan berkongsi pecahan jualan model manual syarikat itu. Tetapi bolehlah dianggap tidak jauh berbeza dengan kes Proton. Pada 2016, Perodua ada memaklumkan daripada 25,000 tempahan untuk Bezza, hanya empat peratus model manual. Sejak itu, tiada lagi Bezza 1.3 MT; ini juga satu petunjuk kepada penurunan permintaan varian MT.

    Kenapa kereta manual semakin ‘pupus’ di Malaysia?

    Hakikatnya kini, walaupun ramai yang banyak bunyi dan menyatakan akan membeli model manual, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ini kes yang sama dengan kereta-kereta yang lebih beraspirasi sebagai jentera manual. Ambil contoh Mazda MX-5. Ramai yang kata mereka akan membeli model manual berkenaan sekiranya Bermaz membawa masuknya ke Malaysia. Tetapi, selepas pengenalan MX-5 RF, apa yang dicanang itu tidak pun menjadi kenyataan.

    Nombor tak akan berbohong. Pengeluar tidak akan menghentikan penawaran kotak gear manual sekiranya ada permintaan. Jadi, jika ramai yang masih mendambakan kereta manual, jangan salahkan pengeluar sekiranya ia tidak lagi ditawarkan kelak; kerana permintaan yang semakin menyusut. Apa pandangan anda? Patutkah kita ramai-ramai menyemarakkan kembali permintaan terhadap kereta MT atau biarkan sahaja ia berkubur kerana tak lagi ada permintaan?

     
     
  • ERL lanjutkan promosi diskaun 15% bagi pembelian tiket guna aplikasi Touch ‘n Go eWallet hingga 31 Dis

    ERL lanjutkan promosi diskaun 15% bagi pembelian tiket guna aplikasi Touch ‘n Go eWallet hingga 31 Dis

    Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah mengumumkan untuk melanjutkan promosi diskaun 15% bagi pembelian tiket menggunakan aplikasi Touch ‘n Go eWallet sehingga 31 Disember 2020.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor, pada awal tahun ini, ERL telah bekerjasama dengan TNG Digital dengan menawarkan promosi tersebut bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2020. Walau bagaimana pun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu, jumlah penumpang tren juga turut terjejas. Walau bagaimana pun, selepas lebih banyak sektor perniagaan dibuka semula, sekaligus merancakkan kembali perkhidmatan ERL.

    Justeru, pihaknya mengambil insiatif untuk melanjutkan promosi tersebut bagi menarik lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan ini.

    Para pelanggan boleh menikmati promosi tersebut di KLIA Ekspres dan KLIA Transit, termasuk tambang konsesi atau layari www.KLIAekspres.com/touch-n-go-ewallet-deal untuk keterangan lanjut.

     
     
  • Toyota GR Yaris Tamiya Mini 4WD didedahkan – guna casis VZ motor di belakang, dijual bermula Ogos ini

    Toyota GR Yaris Tamiya Mini 4WD didedahkan – guna casis VZ motor di belakang, dijual bermula Ogos ini

    Selepas menghasilkan jentera lumba LMP1 Toyota Gazoo Racing TS 050 Hybrid, Toyota Gazoo Racing Yaris WRC dan juga Toyota GR Supra dalam bentuk kereta lumba Mini 4WD, Tamiya kini telah menjelmakan satu lagi model Toyota ke dalam versi tersebut – kali ini giliran hot-hatch Toyota GR Yaris yang baru sahaja didedahkan Januari lalu.

    Berbanding tiga model sebelum ini yang menggunakan casis MA dengan konfigurasi motor di tengah, Mini 4WD GR Yaris ini dihasilkan dengan asas casis VZ motor di belakang. Casis VZ ini adalah antara casis terbaharu dari Tamiya serta casis pertama dengan bampar hadapan yang boleh dicabut, diperkenalkan ketika berlangsungnya All Japan Model & Hobby Show 2019 di Tokyo September tahun lalu.

    Casis VZ ini juga sebenarnya adalah versi tingkat taraf dari casis VS, dihasilkan dengan rekaan separa-pelbagai-subframe. Antara ciri standard yang diberikan pada casis VZ ini adalah gear pinan karbon dan juga bearing tayar geseran rendah.

    Manakala untuk badan atas pula, model ini diberikan rekaan GR Yaris yang sangat terperinci. Ia hadir dengan pelekat tingkap, lampu, gril dan juga bumbung karbon yang realistik. Model asas ini dihasilkan dalam warna putih.

    Tamiya juga memberikan rim pelbagai jejari berwarna hitam pada kit standard ini dibaluti tayar getah nipis, menyamai rupa rim 18-inci pelbagai jejari berwarna hitam bersama tayar 225/40R18 pada GR Yaris sebenar.

    Kit ini juga adalah kit produksi biasa dan tidak diumumkan sebagai kit edisi terhad. Jadi ia akan dijual di Jepun bermula Ogos ini dengan harga 1,210 yen atau sekitar RM 48.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Musim Ketiga – RM360k untuk pemenang kelas Sporting dan Super Sporting

    Toyota Gazoo Racing Musim Ketiga – RM360k untuk pemenang kelas <em>Sporting </em> dan <em> Super Sporting</em>

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menyampaikan hadiah buat pemenang Toyota Gazoo Racing Vios Challenge Musim Ketiga, yang berlangsung semalam di ibu pejabat syarikat berkenaan di Shah Alam. Trofi kemenangan dan hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi UMWT yang juga merupakan Ketua Pegawai Permotoran Toyota Gazoo Racing Malaysia Akio Takeyama.

    Bagi kelas Super Sporting yang disertai oleh pelumba profesional dimenangi oleh Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel. Manakala bagi juara kelas Sporting untuk pelumba amatur pula dinobatkan kepada Hayden Haikal, yang merupakan pelumba paling muda dalam siri ini. Setiap pemenang yang mewakili kelas masing-masing membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM100,000.

    Bagi kelas Super Sporting, Mark Darwin dari Laser Motor Racing berjaya menduduki tempat kedua dan Freddie Ang dari Telagamas Toyota pula di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan RM30,000. Bagi kelas Sporting pula, pelumba berusia 18 tahun Bradley Benedict Anthony berjaya memenangi tempat kedua dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000. Manakala di tempat ketiga bagi kategori sama pula dimenangi oleh Haji Sutan Mustaffa yang memperoleh weang tunai sebanyak RM30,000.

    Bagi kelas Promotional yang disertai oleh pelumba selebriti, bagi musim ketiga ini, personaliti TV Shawn Lee berjaya mengekalkan kejuaraannya buat kali kedua dalam Vios Challenge. Manakala aktor Shukri Yahaya, yang juga pencabar terdekatnya sejak beberapa tahun ini, berjaya di tempat kedua dan personaliti TV Nabil Ahmad pula di tempat ketiga. Walau bagaimana pun, tiada wang tunai yang ditawarkan untuk kelas Promotional ini.

    Untuk Musim Ketiga ini, sebanyak tiga daripada empat pusingan yang dijadualkan yang mampu dihabiskan. Ini kerana pusingan terakhir yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada April lalu terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19 dan juga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) telah memutuskan bahawa tiga pusingan untuk Musim Ketiga yang berjaya diselelsaikan ini sudah pun menepati kriteria sebanyak 75% bagi siri perlumbaan untuk menetapkan juara keseluruhan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025