Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • K’jaan tangguh perlaksanaan saman CRS hari ini

    K’jaan tangguh perlaksanaan saman CRS hari ini

    Sepatutnya, hari ini, 1 Julai 2020 kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah mula mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau CRS, dan akan menyaman ibu bapa yang tidak berbuat demikian. Namun Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa langkah itu akan ditangguhkan terlebih dahulu ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kelak, lapor Sinar Harian.

    Menteri tersebut menyatakan bahawa penangguhan saman dan kompaun itu susulan penularan pandemik Covid-19 selain kerajaan mahu memberi lebih ruang kepada orang ramai untuk membuat persediaan.

    “Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) masih meneruskan peraturan ini, atas dasar keselamatan kanak-kanak yang menaiki kenderaan. Aktiviti advokasi akan diteruskan.

    “Begitu juga dengan aktiviti penguatkuasaan yang akan fokus kepada aspek mendidik, menasihat dan mengingatkan orang ramai mengenai pentingnya penggunaan CRS,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian semalam.

    K’jaan tangguh perlaksanaan saman CRS hari ini

    Wee menjelaskan bahawa penangguhan ini adalah susulan penularan pandemik Covid-19 dan bagi memberi lebih ruang kepada orang ramai membuat persediaan. Tambhanya lagi, aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan berasaskan prinsip mendidik, advokasi dan memberi nasihat terlebih dahulu sehingga ke satu masa yang akan ditentukan kelak.

    “Apa yang utama, rakyat benar-benar faham mengenai pentingnya CRS dan kaedah penggunaannya yang betul. Pendirian MOT adalah jelas bahawa soal keselamatan jalan raya rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan dan dipandang serius,” katanya.

    Menurut menteri berkenaan lagi, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan agensi lain di bawahnya seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bukan hanya melibatkan penggunaan CRS tetapi merangkumi isu-isu lain berkaitan peraturan dan keselamatan jalan raya.

    “Bila disebut penguatkuasaan, maka ramai yang menganggap ia sebagai bentuk pengeluaran saman semata-mata. Ada juga yang menggambarkan persepsi kononnya rakyat dibebani dengan peraturan yang merumitkan.

    K’jaan tangguh perlaksanaan saman CRS hari ini

    “Sedangkan aktiviti penguatkuasaan adalah bertujuan memastikan masyarakat sentiasa patuh pada undang-undang dan peraturan keselamatan jalan raya,

    “Malah, memberi nasihat kepada pengguna jalan raya juga merupakan antara kaedah penguatkuasaan. Apa yang penting, MOT menggalakkan orang ramai khususnya ibu bapa menggunakan CRS bagi menjaga keselamatan anak-anak mereka ketika menggunakan jalan raya,” jelasnya.

    Peraturan untuk mewajibkan penggunaan CRS dalam setiap kereta persendirian telah bermula pada 1 Januari lalu, ketika itu jawatan Menteri Pengangkutan masih dipegang oleh YB Anthony Loke dari Pakatan Harapan, dan tempoh persediaan tanpa saman atau kompaun diumumkan akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan iaitu bermula 1 Julai 2020.

     
     
  • Rolls-Royce Black Badge tiba di M’sia – pakej tingkat taraf lebih sporty untuk Ghost, Wraith, Dawn, Cullinan

    Rolls-Royce Black Badge tiba di M’sia – pakej tingkat taraf lebih sporty untuk Ghost, Wraith, Dawn, Cullinan

    Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur telah melancarkan barisan penuh model Black Badge di Malaysia dan menjadi satu-satunya pengedar dalam benua ini menawarkan kesemuanya dalam pasaran. Ia terdiri daripada empat model iaitu Wraith, Ghost, Dawn dan Cullinan, dengan masing-masing mempunyai tema warna gelap dan lebih sporty.

    Barisan model Black Badge ini mulanya diperkenalkan pada tahun 2016 melalui model Wraith dan Ghost untuk menarik lebih ramai pelanggan muda kepada jenama Rolls-Royce. Kini, setiap model datang dalam pilihan luas 44,000 warna tetapi menurut Rolls-Royce warna yang bakal menjadi pilihan utama sudah tentu adalah hitam.

    Cat yang digunakan pada model ini mempunyai beberapa lapisan dan digilap hampir 12 kali, dan menurut Rolls-Royce adalah satu proses kemasan akhir permukaan yang paling komprehensif pernah dilakukan pada warna cat solid. Kemasan yang biasanya berwarna krom iaitu maskot Spirit of Ecstasy, keliling gril serta tepi tingkap juga diwarnakan hitam berkilat.

    Rolls-Royce Black Badge tiba di M’sia – pakej tingkat taraf lebih sporty untuk Ghost, Wraith, Dawn, Cullinan

    Untuk Black Badge Dawn, ia mendapat kit Aero Cowling yang menukarkan model mewah bumbung boleh buka ini kepada sebuah kereta dua tempat duduk bergaya roadster. Pelanggan juga boleh memilih versi empat tempat duduk jika mahu dan kain kanvas bumbung warna hitam datang secara standard.

    Bergantung kepada model, kemasan luar juga boleh dipilih daripada bahan gentian karbon, dan kesemua model ini datang dengan rim eksklusif dua tona warna. Rolls-Royce memberitahu rekaan rim ini cuma disediakan untuk model Black Badge, sementara Cullinan pula mendapat angkup brek berwarna merah. Sudah tentu, anda juga boleh mengubah banyak lagi bahagian pada kenderaan ini mengikut cita rasa.

    Pada bahagian dalam, semua empat model Black Badge ini mendapat kemasan Technical Carbon, yang menunjukkan jalinan kain karbon itu secara jelas dan diberikan kesan tiga dimensi. Setiap bahagian diberikan enam lapisan cat lutsinar sebelum dibiarkan selama 72 jam dan digilap menggunakan tangan sehingga berkilat.

    Menurut Rolls-Royce lagi, proses ini mengambil masa 21 hari dan pakar yang membuatnya akan memastikan setiap panel mencapai tahap kilat yang sama. Seperti kebiasaan sebuah kenderaan Rolls-Royce, bahagian dalam boleh diubah suai dengan pelbagai pilihan warna dan jenis kemasan. Sebagai contoh, bagi Cullinan, ia juga boleh dipasang dengan kemasan bumbung Starlight Headliner yang mempunyai 1,344 lampu gentian optik.

    Model Black Badge ini juga mempunyai peningkatan prestasi, di mana Dawn, Wraith dan Ghost dipacu oleh enjin petrol V12 6.6 liter twin turbo yang mempunyai lebih kuasa berbanding model biasa lain.

    Black Badge Ghost menawarkan kuasa 612 hp dan 840 Nm tork, dan ia disampaikan kepada roda belakang melalui tranmsisi automatik lapan kelajuan. Hasilnya, kenderaan mewah seberat 2.5 tan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.

    Rolls-Royce Black Badge tiba di M’sia – pakej tingkat taraf lebih sporty untuk Ghost, Wraith, Dawn, Cullinan

    Wraith pula sedikit lebih berkuasa, dengan jumlah keseluruhan 632 hp dan 870 Nm tork. Sistem pacuan dan transmisi masih lagi sama, dan pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.5 saat sementara laju maksimum masih lagi 250 km/j.

    Pembeli Black Badge Dawn pula akan menikmati kuasa yang lebih tinggi berbanding model Dawn biasa. Ia datang dengan kuasa maksimum 601 hp dan 840 Nm tork, membolehkan model ini memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.

    Bagi Cullinan yang merupakan sebuah SUV pula, ia dikuasakan oleh enjin V12 6.75 liter twin turbo yang menyediakan kuasa 593 hp dan 900 Nm tork.

    Rolls-Royce Black Badge tiba di M’sia – pakej tingkat taraf lebih sporty untuk Ghost, Wraith, Dawn, Cullinan

    Semua model Black Badge ini akan mendapat sistem ekzos sport manakala prestasi transmisi, brek serta suspensi juga telah dipertingkat supaya bersesuaian. Menurut Rolls-Royce, model Black Badge ini adalah versi yang paling dinamik bagi setiap model yang ditawarkan.

    Harga model Black Badge bermula RM1.4 juta bagi Ghost, RM1.7 juta untuk Wraith dan Cullinan, dan RM1.8 juta bagi Dawn. Harga ini tidak termasuk duti dan bergantung kepada pilihan tambahan dan spesifikasi kemasan yang dipilih oleh pelanggan.

    GALERI: Rolls-Royce Black Badge Cullinan

    GALERI: Rolls-Royce Black Badge Dawn

    GALERI: Rolls-Royce Black Badge Ghost dan Wraith

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition dipilih sebagai ‘Safety Car’ rasmi untuk perlumbaan WTCR 2020

    Honda Civic Type R Limited Edition dipilih sebagai ‘Safety Car’ rasmi untuk perlumbaan WTCR 2020

    Honda Civic Type R Limited Edition is the 2020 WTCR Official Safety Car

    Pengendali perlumbaan World Touring Car Cup (WTCR) hari ini telah mengumumkan bahawa model istimewa Honda Civic Type R Limited Edition telah dipilih sebagai ‘Safety Car’ rasmi untuk kesemua enam pusingannya musim ini, dipandu oleh dua pemandu professional Bruno Correia dan Pedro Couceiro.

    Model yang dihasilkan dalam jumlah terhad berkenaan telah diperkenalkan untuk pasaran Eropah pada Februari lalu di ibu pejabat JAS Motorsport di Itali, iaitu badan yang bertanggungjawab untuk menghasilkan jentera lumba sebenar Honda Civic Type R TCR.

    Bagi mengekalkan identiti Type R Limited Edition tersebut, warna badan Sunlight Yellow (atau Phoenix Yellow pada pasaran lain) sempena memperingati model Type R terdahulu seperti Civic EK9 Type R dan juga Integra DC2 Type R masih dikekalkan. Namun, ia turut diberikan livery khas yang direka oleh artis Belgium, Vanuf yang juga bertanggungjawab menghasilkan livery perlumbaan rasmi untuk Honda.

    Honda Civic Type R Limited Edition dipilih sebagai ‘Safety Car’ rasmi untuk perlumbaan WTCR 2020

    Honda Civic Type R Limited Edition is the 2020 WTCR Official Safety Car

    Honda Civic Type R Limited Edition ini dihasilkan dalam jumlah yang cukup terhad – 600 unit untuk pasaran Amerika dan 100 unit untuk pasaran Eropah. Mac lalu, Honda UK mengumumkan bahawa 20-unit yang diperuntukkan untuk mereka telah pun habis dijual. Ia diikuti dengan laporan dari Honda Kanada awal bulan ini yang menyatakan kuota 100 unit yang mereka terima turut habis licin ditempah hanya dalam masa empat minit.

    Apa yang menarik sangat tentang FK8 Type R Limited Edition ini? Versi khas ini sebenarnya dihasilkan dengan ‘semangat’ yang sama seperti Civic Type R pertama iaitu EK9 dan juga model-model Type R lain yang sezaman dengannya. Oleh itu, beratnya perlu dibuang sebanyak yang mungkin menerusi pelbagai aksesori yang perlu dicabut termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

    Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas dari BBS yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Ya, memang ia tidak lagi selesa, kerana Type R Limited ini direka lebih menumpukan kepada pemanduan di litar.

    Honda Civic Type R Limited Edition dipilih sebagai ‘Safety Car’ rasmi untuk perlumbaan WTCR 2020

    Honda Civic Type R Limited Edition is the 2020 WTCR Official Safety Car

    Dengan semua perkara yang dibuat tersebut, model ini adalah 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa. Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Ia turut diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

    Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.

    Safety Car Honda Civic Type R Limited ini akan berada di hadapan grid kesemua jentera lumba yang bertanding lima minit sebelum permulaan setiap perlumbaan WTCR bagi melengkapkan satu pusingan pemanas badan, dan ia kemudiannya akan bersiap sedia sepanjang perlumbaan tersebut untuk mengemudi semula di bahagian hadapan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

    GALERI: Honda Civic Type R Limited Edition

     
     
  • GALERI: Range Rover Evoque 2020 di Malaysia

    GALERI: Range Rover Evoque 2020 di Malaysia

    Minggu lalu, Range Rover Evoque 2020 generasi kedua dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, bermula dengan model P200 yang dijual pada harga RM426,828, dan varian tertinggi P250 R-Dynamic pada harga RM475,398. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk potongan cukai jualan 50% untuk model CBU ketika ini.

    Kedua-dua model pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin Ingenium 2.0 liter turbo empat-silinder, namun ditala bagi memberikan output kuasa yang berbeza. Varian P200 menghasilkan 200 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 320 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Manakala versi P250 pula menjana 249 PS dan tork maksima 365 Nm pada takat rpm yang sama.

    GALERI: Range Rover Evoque 2020 di Malaysia

    Bagaimanapun, kedua-dua varian tersebut digandingkan dengan hanya satu pilihan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dari ZF, bersama sistem pacuan semua roda Efficient Driveline – dibekalkan dengan fungsi Driveline Disconnect membolehkan ia berubah kepada hanya pacuan roda hadapan untuk menjimatkan bahan api, bergantung pada keadaan.

    Kelengkapan standard untuk bahagian dalaman Evoque 2020 pasaran Malaysia ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, cermin pandang belakang auto-dimming, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, upholsteri kulit, kemasan aluminium, tempat duduk hadapan larasan berkuasa 14-hala dengan memori, kolum stereng larasan berkuasa, sokongan Apple Carplay dan Android Auto, sistem bunyi Meridian 380-watt dengan 11-pembesar suara, kamera undur dan juga pintu tailgate bukaan tanpa sentuhan tangan.

    GALERI: Range Rover Evoque 2020 di Malaysia

    Manakala untuk varian R-Dynamic pula, ada tambahan kelengkapan seperti upholstery balutan kulit dua-tona, kemasan aluminium gelap, pelapik bumbung hitam, kemasan bendul sisi krom, set pedal aluminium, lampu suasana serta sistem kamera 360-darjah. Model varian teringgi ini juga menerima teknologi baharu yang mula ditampilkan pada Evoque generasi baharu iaitu cermin pandang belakang digital Clearsight dan juga ClearSight Ground View.

    Seperti biasa, setiap pembelian disertakan sekali dengan perlindungan waranti lima-tahun atau 150,000 km, pakej servis percuma lima-tahun atau 65,000 km dan juga bantuan tepi jalan selama tiga tahun. Istimewa untuk masa terhad, pembeli Evoque akan menerima baucar bernilai RM3,000 bagi membeli aksesori untuk kereta mereka, yang kesemuanya turut dilindungi waranti selama lima tahun.

     
     
  • Xiaomi perkenal Suzuki Jimny skala 1/16 yang boleh dikawal dengan telefon pintar dan hubungan Bluetooth

    Xiaomi perkenal Suzuki Jimny skala 1/16 yang boleh dikawal dengan telefon pintar dan hubungan Bluetooth

    Nampaknya rekaan funky seakan model klasik pada Suzuki Jimny bukan sahaja membuatkan ia diminati dalam dunia modifikasi, malah Jimny juga menjadi objek yang digemari untuk dijelmakan sebagai model kawalan jauh. Selepas pelbagai ‘rock crawler’ dihasilkan oleh pelbagai jenama, terbaharu jenama telefon pintar Xiaomi turut melancarkan Jimny kawalan jauh versi mereka.

    Jimny dalam skala 1/16 yang dihasilkan oleh Xiaomi ini mungkin tidak terperinci dan tidak mempunyai kebolehan off-road seperti yang dihasilkan oleh Kyosho menerusi Jimny Sierra Mini Z, namun ia tetap mempunyai daya penariknya tersendiri iaitu alat kawalan yang digunakan hanyalah telefon pintar anda, bersama aplikasi dan pemproses kawalan yang agak canggih, serta dijual pada harga jauh lebih murah.

    Dari segi mekanikal, Jimny keluaran Xiaomi ini menggunakan casis berbentuk ladder frame dari material nylon yang tahan hentakan, suspensi dengan penyerap hentak dan spring gegelung, serta motor dan kotak gear yang mengalirkan tork pada roda hadapan dan belakang diposisikan pada bahagian tengah. Ia juga diberikan tayar getah yang sesuai untuk dipandu pada permukaan off-road.

    Manakala untuk sistem elektronik, motor dan juga sistem stereng Jimny Xiaomi ini dikawal oleh penerima dan juga servo digital, membolehkan ia memberikan ketepatan kawalan mengikut kemahuan pemandu. Kawalan dari telefon pintar dibuat menerusi hubungan Bluetooh (bukan seperti transmisi radio pada RC biasa), dan pengguna juga boleh menggunakan g sensor pada telefon pintar untuk mengawal stereng dengan cara memutarkan peranti tersebut ke kiri atau ke kanan seperti bermain permainan video.

    Suzuki Jimny Xiaomi ini dihasilkan dari cantuman lebih dari 200 komponen, dan ada laporan menyebut pelbagai komponen ubahsuai turut akan diperkenalkan selepas ini. Untuk model asas, Jimny ini dijual pada harga pengenalan 179 yuan (RM108) pada pasaran China, dan akan meningkat kepada 199 yuan (RM120) kemudiannya.

     
     
  • GALERI: Subaru Forester GT Edition 2020 di Malaysia – 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM177,788

    GALERI: Subaru Forester GT Edition 2020 di Malaysia – 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM177,788

    Pada 1 Jun lalu, Subaru Forester GT Edition 2020 telah pun mula berada di semua bilik pameran Subaru di seluruh negara. Ia dilengkapi dengan set kit badan GT Edition yang diperagakan pada varian asas 2.0i-S Eyesight, yang turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu EyeSight.

    Ini termasuklah ciri brek pra-perlanggaran, pengurusan pendikit, amaran pertukaran lorong serta kawalan melayar adaptif. Ciri bantuan menukar lorong, amaran lintasan trafik belakang, tinjauan cermin sisi dan sistem pengesan titik buta.

    Forester GT Edition ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder boxer petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT dan juga sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive. Ia turut menampilkan ciri Special X-Mode yang membolehkan pacuannya beralih antara mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud.

    Seperti mana yang dinyatakan, Forester GT Edition ini ditampilkan dengan kit badan yang lebih bergaya dan tampak sporty dengan padanan roda aloi 18-inci bersama centre caps dengan terpahat huruf “GT” yang dibaluti tayar 225/55. Selain itu, bampar hadapannya juga lebih menyerlah dan gaya luarannya dilengkapi dengan skirt sisi, spoiler belakang dan bampar belakang yang memberikan sentuhan lebih sporty.

    Untuk bahagian dalamnya juga diberikan sendikit sentuhan yang lebih berbeza berbanding varian biasa, termasuklah dengan kemasan kulit upholstery spesifik-GT Edition. Selain itu, ia juga menerima sistem paparan audio lapan-inci dengan sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri peninjau sekeliling 360-darjah juga memudahkan lagi pemandu mengendalikan SUV ini di tempat sempit.

    Ia juga hadir dengan tujuh pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan untuk edisi ini iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Jasper Green Metallic, Horizon Blue Pearl, Sepia Bronze Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica. Forester GT Edition ini ditawarkan pada harga RM178,888, iaitu lebih RM8,000 berbanding varian 2.0i-S EyeSight.

     
     
  • Bermaz tawar tingkat taraf Android Auto dan Apple Carplay untuk Mazda lama dilengkapi MZD Connect

    Bermaz tawar tingkat taraf Android Auto dan Apple Carplay untuk Mazda lama dilengkapi MZD Connect

    Ini berita baik untuk pengguna-pengguna Mazda lama bagi membolehkan sistem infotainmen MZD Connect sedia ada memberikan lebih fungsi multimedia – pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Motor kini menyediakan khidmat untuk menaiktaraf sistem berkenaan bagi menerima sokongan Android Auto dan juga Apple Carplay.

    Dengan bayaran RM1,055, sistem tersebut akan dipadankan secara retrofit dengan kit terdiri dari modul hab, kabel dan juga kemaskini perisian – harga yang disebutkan adalah lengkap dengan kos pemasangan.

    Kemudian anda boleh mengoperasikan fungsi dari telefon pintar anda seperti aplikasi navigasi waze atau aplikasi streaming muzik terus pada sistem MZD Connect berkenaan, termasuk kawalan pada skrin sesentuh, arahan suara dan juga suis putar Commander Control.

    Antara model yang boleh menerima tingkat taraf ini termasuk Mazda 2 generasi kedua, Mazda 3 generasi ketiga dan juga CX-5 generasi pertama.

    Untuk model-model terkini yang masih dijual di bilik pameran seperti CX-30, CX-8, Mazda 2 facelift, Mazda 3 generasi keempat dan juga model-model kemaskini seperti Mazda 6, CX-5, CX-9 dan MX-5 RF sudahpun menerima fungsi Android Auto dan Apple Carplay ini dalam sistem MZD Connect masing-masing.

     
     
  • Audi Q5 facelift 2020 – gaya, kelengkapan dipertingkat

    Audi Q5 facelift 2020 – gaya, kelengkapan dipertingkat

    Audi Q5 generasi kedua yang berada dalam pasaran sekarang sudah berusia lebih tiga tahun dan sekarang pengeluar dari Jerman itu telah memberikannya facelift. Selain perubahan gaya yang menjadikannya lebih iras kepada model Q lain, kelengkapan Q5 juga diberikan peningkatan.

    Rupa yang baru ini terdiri daripada gril Singleframe yang lebih nipis, menyamai seperti Q8, lampu LED yang direka semula (boleh dipilih dengan LED matriks) bersama pencahayaan DRL unik baru serta bukaan udara di bucu bampar lebih besar.

    Apabila dipilih dengan pakej kemasan yang lebih tinggi, SUV ini akan dihiasi dengan kemasan krom menegak pada gril dan kemasan perak pada bahagian bampar. Pakej S Line pula datang dengan kemasan gril honeycomb dan jalur krom pada diffuser belakang. Kedua-duanya datang dengan rim 18 inci tapi masih disediakan dengan pilihan 19 inci dan 20 inci yang lain.

    Menurut Audi, bampar baru menambah 19 mm kepada panjang keseluruhan kenderaan, yang kini berukuran 4.68 meter, manakala lebar (1.89 meter), tinggi (1.66 meter) dan jarak roda (2.82 meter) masih lagi tidak berubah seperti sebelum ini. Pada bahagian belakang, lampu baru dengan teknologi OLED boleh dipilih dengan tiga pencahayaan yang berbeza.

    Audi Q5 facelift 2020 – gaya, kelengkapan dipertingkat

    Semasa pelancaran, Audi juga akan menawarkan Q5 “edition one” yang menggunakan asas daripada S Line, tetapi dipasang dengan kemasan hitam pintu belakang, rel bumbung, cermin sisi, lencana serta kemasan pintu karbon. Pakej ini turut memberikan angkup brek warna merah, rim 19 inci serta tempat duduk sport.

    Pada bahagian dalam, bentuk asas papan pemuka Q5 masih lagi sama, tetapi ia sekarang dipasang dengan Modular Infotainment Platform generasi ketiga (MIB 3) seperti yang terdapat pada A4 dan A3 terbaru. Sistem ini terdiri daripada skrin sesentuh MMI 10.1 inci yang mampu memberikan akses kepada pelbagai pemain media serta sistem sambungan, dengan kuasa memproses 10 kali lebih pantas berbanding MIB2.

    Kokpit virtual Audi masih lagi terdapat SUV ini, di mana ia termasuk panel instrumen digital 12.3 inci yang boleh dikawal menggunakan butang pada stereng. Jika mahu, pelanggan boleh menambah pula head-up display, yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pada bahagian mekanikal, empat tetapan suspensi disediakan iaitu pilihan standard dengan pengawal penyerap atau tanpa pengawal penyerap, sports serta suspensi udara adaptif. Untuk suspensi udara itu, terdapat lima tahap tinggi dan ia boleh dikawal menggunakan sistem Audi Drive Select sehingga tujuh profail.

    Apabila masuk ke dalam pasaran nanti, model ini akan ditawarkan sebagai Q5 40 TDI, dengan dikuasakan enjin empat silinder diesel turbo TDI 2.0 liter berserta sistem hibrid ringkas. Enjin ini mampu memberikan kuasa 204 PS (201 hp), 400 Nm tork dan dipadankan bersama tranmsisi klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda Quattro.

    Audi memberitahu sistem hibrid ringkas ini membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan terdiri daripada unit starter-generator (BSG) yang disambung kepada bateri lithium ion pada sistem elektrikal 12 volt. Ini membantu menjana semula kuasa apabila meluncur atau membrek, dan membenarkan fungsi start-stop untuk beroperasi pada kelajuan bawah 22 km/j.

    Beberapa enjin lain yang akan ditawarkan pada Q5 facelift ini adalah terdiri daripada unit TDI empat silinder dengan talaan kuasa berbeza, V6 TDI (kemungkinan untuk SQ5 TDI) dan dua versi enjin TFSI empat silinder 2.0 liter. Enjin plug-in hybrid TFSI juga didatangkan dalam dua talaan kuasa.

    Akhir sekali, Q5 mendapat beberapa peningkatan sistem bantuan, termasuk Side Assist, Lane Departure Warning, Pre Sense Rear, Rear Cross Traffic Assist, Adaptive Cruise Control dengan bantuan kesesakan trafik, Around-View Monitor serta Adaptive Cruise Control dengan bantuan kesesakan trafik. Sistem lain yang disediakan sebagai pilihan adalah Turn Cssist, collision Avoidance Assist dan Exit Warning Systems.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia, Cycle & Carriage buka Autohaus Alor Setar — pusat 3S, imej korporat baru

    Mercedes-Benz Malaysia, Cycle & Carriage buka Autohaus Alor Setar — pusat 3S, imej korporat baru

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan Cycle & Carriage Bintang (C&C) telah melancarkan Cycle & Carriage Autohaus Alor Setar. Kemudahan terbaru ini merupakan yang pertama di Utara dan menampilkan kehadiran jenama Mercedes-Benz serta merupakan rangkaian C&C yang kedua mengikut jejak yang sama selepas Autohaus Mutiara Damansara, yang mula memperkenalkan identiti korperat terbaru pada Ogos 2019.

    Disebabkan itu, seni bina antara kedua-dua autohaus berkenaan saling berkait dan tampil dengan imej yang mirip, walaupun dengan skala yang lebih kecil di Alor Setar. Premis berkenaan kurang menggunakan dinding pembahagi untuk mewujudkan sebuah ruang kerja yang terbuka dan luas.

    Autohaus Alor Setar ini berpindah dari lokasi sebelum ini; terletak di Lot PT 6471, Jalan Alor Mengkudu. Pusat ini memiliki enam ruang servis, dan boleh menampung kerja-kerja baik pulih dan servis sehingga 240 unit kenderaan sebulan.

    Dua lagi Autohaus Cycle & Carriage sedang dalam persiapan untuk dibuka, dengan pendekatan dan imej korperat baru yang sama – satu di Johor Bahru dan Ipoh. Kedua-duanya dijangka akan disiapkan menjelang hujung tahun ini.

     
     
  • PLUSmiles umum perkhidmatan pra-tempahan makanan diperluaskan di 10 lokasi R&R baharu

    Mengikut norma baharu susulan penularan pandemik COVID-19, orang ramai yang berkunjung ke tempat awam khususnya dinasihati agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Antara yang terkandung dalam SOP terbabit ialah orang ramai perlu menjaga penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri.

    Mulai 15 Jun lalu, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) telah membuka kembali semua gerai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) bagi membolehkan para pengguna lebuhraya PLUS berhenti rehat dan menjamu selera. Walau bagaimana pun, pengunjung R&R dinasihati agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

    Bagi memudahkan lagi pelanggan, terkini, PLUSMiles, anak syarikat PLUS, telah memperluaskan perkhidmatan pra-tempahan makanan di 10 buah lokasi R&R baharu. Lokasi berkenaan ialah di R&R Juru (arah selatan), R&R Gunung Semanggol (arah selatan dan utara), R&R Tapah (arah selatan), R&R Ajil (arah utara), R&R Paka (arah utara), R&R Perasing (arah utara), R&R Ulu Bernam (arah selatan), R&R Ayer Keroh (arah selatan), R&R Pagoh (arah selatan) dan R&R Machap (arah selatan & utara).

    Sebelum ini, perkhidmatan yang sama telah ditawarkan di R&R Rawang (arah utara), R&R Dengkil (arah selatan dan utara) dan R&R Sg.Buloh.

    Untuk membuat tempahan, anda perlulah memuat turun aplikasi PLUS di telefon bimbit anda. Buka aplikasi terbabit dan klik pada Pre-Order. Kemudian, pilih menu dan whatsapp gerai terbabit. Walau pun pembayaran lebih digalakkan melalui dalam talian namun ada juga gerai yang meminta untuk pelanggan membayar secara tunai.

    Setiap gerai akan memaklumkan waktu tempahan yang boleh dibuat sepanjang masa operasi dan pelanggan boleh mengambil makanan yang ditempah di gerai terbabit.

    Dengan kaedah pra-tempahan ini, para pelanggan tidak perlu lagi menunggu lama atau beratur untuk membeli makanan. Malah dapat juga menjaga penjarakan sosial yang lebih efisien.

     
     
  • Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

    Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

    Land Rover Defender satu ketika dahulu hanya dikenali sebagai kenderaan yang boleh meredah pelbagai bentuk permukaan bumi, tanpa sebarang unsur kemewahan, dan ia turut popular sebagai kenderaan komersil dan agensi-agensi kerajaan untuk melakukan kerja. Walaupun Defender generasi baharu yang didedahkan tahun lalu dilihat penuh dengan kelengkapan yang mahal, Land Rover nampaknya tidak lupa untuk menghasilkan Defender dalam versi komersil.

    Seperti model klasik, versi komersil ini hadir dalam bentuk badan Hard Top dan diberikan dua pilihan jarak roda iaitu Defender 90 dan Defender 110. Buat mereka yang belum tahu, Defender kini dihasilkan dengan kerangka monocoque aluminium yang 29,000 Nm setiap darjah atau tiga kali lebih kuat berbanding kerangka tradisional yang boleh dipisahkan, menurut Land Rover.

    Model komersil ini tidak diberikan sebarang tempat duduk pada kabin belakang kerana ia dikhaskan hanya untuk memuatkan kargo, manakala di hadapan boleh memuatkan sehingga tiga orang. Defender Hard Top ini juga mempunyai kekuatan menunda 3,500 kg, serta turut dibantu sistem Advanced Tow Assist yang membolehkan pemandu mengundur dengan mudah walaupun sedang menarik treler di belakang menggunakan kawalan pada konsol tengah.

    Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

    Kemampuan off-road Defender sudah tentu sukar untuk dipersoalkan. Versi Hard Top ini dihasilkan dengan sudut approach 38 darjah, sudut breakover 28 darjah, sudut departure 40 darjah, dan ia boleh meredah air dengan kedalaman 900 mm – kesemua ini adalah sama dengan Defender 110 versi penumpang biasa.

    Juga walaupun ia dihasilkan untuk tujuan komersil, Defender Hard Top 90 dan 110 diberikan suspensi dengan spring gegelung di hadapan dan belakang, manakala model 110 turut ditawarkan dengan pilihan suspensi jenis udara.

    Versi Hard Top ini juga turut hadir dengan sistem kawalan casis Terrain Response 2, yang memberikan enam mod pemanduan – Normal, Mud and Ruts, Grass/Gravel/Snow, Sand, Rock Crawl dan Wade – bagi memudahkan pemandu mengendalikannya pada permukaan jalan tertentu.

    Land Rover Defender versi komersil kini kembali – model Hard Top dalam pilihan Defender 90 dan 110

    Lagi sekali, walaupun ia sebuah kenderaan komersil, Defender Hard Top ini turut menerima sistem infotainmen Land Rover Pivi Pro dengan skrin sesentuh dan juga sokongan Apple Carplay dan Android Auto serta mampu mengemaskini perisian menerusi sistem software-over-the-air (SOTA).

    Pemandu akan dibantu dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan termasuk kamera pemantau sekeliling 3D yang memudahkan ia dikendali pada laluan yang sempit. Aplikasi untuk telefon pintar juga disediakan bagi memudahkan lokasi Defender ini dikesan serta melihat jumlah bahan api dalam tangki serta sejarah perjalanan dari jarak jauh.

    Walau bagaimanapun, Land Rover masih belum mendedahkan spesifikasi janakuasa untuk Defender Hard Top ini. Untuk versi penumpang biasa, Land Rover Defender ditawarkan dengan enjin diesel dalam talaan 200 PS/430 Nm dan 240 PS/430 Nm, versi petrol empat silinder P300 dengan kuasa 300 PS/400 Nm dan juga versi hibrid ringkas dengan enjin petrol enam silinder sebaris P400 berkuasa 400 PS/550 Nm.

    Kesemua versi janaan tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, bersama transfer case dua-kelajuan yang boleh memindahkan tork untuk memacu kesemua roda. Manakala unit locking differential pada bahagian tengah dan gandar belakang pula hadir sebagai opsyen.

    Land Rover Defender Hard Top ini bakal dijual di United Kingdom dengan harga anggaran sekitar GBP 35,500 (RM187,049). Spesifikasi lengkapnya bakal didedahkan ketika tempahannya dibuka nanti.

     
     
  • Bentley Continental GT V8 kini di Malaysia — 550 PS, 770 Nm, RM795k sebelum cukai dan duti tempatan

    Bentley Continental GT V8 kini di Malaysia — 550 PS, 770 Nm, RM795k sebelum cukai dan duti tempatan

    Selepas setahun model asas Conti GT generasi ketiga membuat kemunculan, kini Bentley Continental GT V8 diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Menerima jolokan sebagai sebuah model yang fokusnya adalah kepada pemandu, Continental GT V8 ini dikuasakan oleh enjin 4.0 liter turbo berkembar V8 yang menjana 550 PS dan 770 Nm tork.

    Unit berkenaan digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda dengan kecenderungan kepada bahagian belakang. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4 saat, sementara laju maksimum boleh mencecah 318 km/j. Sebagai perbandingan, Continental GT dengan 12-silinder pula menghasilkan 635 PS dan 900 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan laju maksimum 333 km/j.

    Berbeza dengan enjin 12-silinder, unit V8 yang lebih kecil dan ringan ini juga bermaksud ia memberikan pemanduan yang lebih responsif. Bagi penggunaan minyak, unit V8 ini boleh menyah-aktif empat silindernya dalam keadaan tertentu, dengan peralihan itu berlaku tanpa disedari, dalam sela masa 20 milisaat, serta ciri start-stop turut disertakan.

    Bentley Continental GT V8 kini di Malaysia — 550 PS, 770 Nm, RM795k sebelum cukai dan duti tempatan

    Lain-lain kelengkapan yang ada termasuk rim aloi 20-inci (sembilan pilihan rekaan, saiz hingga 22-inci), tujuh pilihan warna standard luaran (warna pilihan pelanggan juga disediakan), lampu utama LED matriks dengan kesan kristal serta kemasan pilihan Blackline (kemasan hitam yang menggantikan bahagian krom).

    Di dalam pula penuh dengan sentuhan dan rekaan moden – mewah dan dramatik, baik dari segi apa yang boleh dilihat dan disentuh mahupun pakej teknologi yang melengkapinya. Banyak material kulit yang membaluti bahagian dalaman. Antara lain ia menampilkan tempat duduk dengan larasan 20-arah, kemasan kayu Walnut serta sistem bunyi dengan 10-pembesar suara 650W.

    Bentley Continental GT V8 kini di Malaysia — 550 PS, 770 Nm, RM795k sebelum cukai dan duti tempatan

    Bentley Rotating Display, yang menampilkan skrin sentuh 12.3-inci adalah pilihan yang sangat menarik dan unik untuk model ini. Selain itu, kereta ini juga dipasangkan ciri Continuous Damping Control serta ciri bantuan pemandu seperti Active Lane Assist, Traffic Jam Assist dan Park Assist. Ciri suspensi udara Dynamic Ride System Bentley ditawarkan sebagai pilihan.

    Bentley Continental GT V8 dijual pada harga RM795,000, belum termasuk cukai dan duti. Harga akhirnya bergantung kepada pilihan kustom yang diinginkan pelanggan. Sekadar rujukan, Bentley Continental GT Convertible untuk pasaran tempatan sebelum ini dijual pada harga bermula dari RM2.2 juta, manakala Bentley Flying Spur 2020 di sini pula datang dengan tanda harga RM840k sebelum cukai.

     
     
  • Fiat Strada 2021 terima sentuhan Mopar di Brazil

    Fiat Strada 2021 terima sentuhan Mopar di Brazil

    Ingat lagi trak pikap kecil Fiat Strada 2021 yang kami laporkan telah didedahkan di Brazil April lalu? Kini jenama prestasi yang sering dikaitkan muscle car untuk Chrysler dan Dodge iaitu Mopar telah memperkenalkan barisan aksesori asli yang dihasilkan untuk Fiat Strada berkenaan.

    Sekejap, kenapa pula Mopar? Kenapa tidak Abarth yang lebih sinonim dengan prestasi untuk Fiat? Untuk pengetahuan anda, Strada dihasilkan khas untuk pasaran Amerika Latin dan selain di Brazil, Fiat Chrysler Automobiles (FCA) turut memasarkan Strada di Mexico di bawah satu lagi jenama mereka yang sememangnya lahir dari Dodge iaitu Ram – diberi nama Ram Truck 700.

    Mopar bersama Pusat Rekaan FCA Amerika Latin telah menghasilkan sebuah Strada khas dari varian Freedom cabin Plus berwarna biru ini untuk mendemostrasikan semua aksesori berkenaan. Selain dari grafik badan Mopar, Strada istimewa tersebut turut diberikan penyangkut treler boleh buka, pembahagi pada bed belakang, karpet dari getah khas, pemegang basikal, pemijak kaki sisi, dan pelbagai lagi.

    Fiat Strada 2021 terima sentuhan Mopar di Brazil

    Sebanyak 50 aksesori asli Mopar ditawarkan untuk pemilik-pemilik Fiat Strada dan lebih separuh daripadanya adalah baharu khas untuk model berkenaan. Semua kelengkapan tersebut bukan sahaja dijual menerusi pengedar rasmi Fiat, malah ia juga dilindungi dengan waranti selama setahun.

    Walau bagaimanapun, tiada peralatan prestasi sebenar ditawarkan untuk Strada sama ada untuk enjin mahupun pengendalian. Trak pikap ini dijual dengan dua pilihan enjin – model asas akan dibekalkan dengan enjin 1.4 liter berkuasa 88 hp dengan tork maksima 123 Nm, manakala satu lagi pilihan lebih berkuasa ialah enjin 1.3 liter berkuasa 109 hp dan tork maksima 139 Nm. Tiada pilihan kotak gear auto, di mana kedua-duanya digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

    GALERI: Fiat Strada 2021 pasaran Brazil

     
     
  • Lanjutan moratorium terpulang pada bank – Menteri

    Lanjutan moratorium terpulang pada bank – Menteri

    Kerajaan berkata pihak bank tidak boleh dipaksa untuk memberikan lanjutan moratorium enam bulan bagi pinjaman dan pembayaran balik pembiayaan, walau bagaimana pun, perkara ini akan dibincangkan dengan bank, menurut laporan Bernama.

    “Terdapat banyak permintaan daripada mereka yang memerlukan lebih banyak masa untuk moratorium. Oleh itu, ini sebenarnya terpulang kepada bank sama ada mereka boleh atau tidak tetapi pada pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Tambah beliau, lanjutan moratorium bersasar akan diteliti oleh bank berdasarkan kes demi kes.

    “Pada masa akan datang, saya fikir yang terbaik ialah kita memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan,” katanya.

    Lanjutan moratorium terpulang pada bank – Menteri

    Beliau berkata peminjam perlu menghubungi bank lebih awal jika mereka merasakan bahawa mereka perlu menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

    “Ini terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan gaji berkurangan. Justeru, hubungi bank anda sekarang dan membuat penyusunan semula,” katanya.

    Beliau berkata di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), BNM mencadangkan moratorium automatik kepada semua pembayaran balik pinjaman oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 Sept 2020 yang memberi manfaat kepada semua orang.

     
     
  • K’jaan takkan teragak-agak tarik kebenaran berkonvoi ketika PKPP jika ada lagi yang tak patuh arahan

    K’jaan takkan teragak-agak tarik kebenaran berkonvoi ketika PKPP jika ada lagi yang tak patuh arahan

    Mengulas berkenaan Ops Tutup Khas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang dijalankan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik balik kebenaran aktiviti konvoi bermotosikal sekiranya pihak berkuasa menerima banyak laporan kesalahan mengenainya, lapor Astro Awani.

    Bercakap ketika sidang media hariannya tadi, Ismail berharap perkara yang berlaku di Pahang semalam merupakan kes terpencil serta diharap menjadi kes pertama dan terakhir. Beliau turut menjelaskan bahawa buat masa ini, konvoi bermotosikal masih lagi dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    “Kejadian semalam adalah pertama. Kita anggap ini kes terpencil dan tidak menjadikan semua konvoi dihentikan setakat ini. Pihak polis akan mengambil tindakan terhadap konvoi tersebut.

    “Kesalahan itu, polis akan ambil tindakan. Namun, kalau berleluasa dan buat kesalahan seperti berkumpul, tiada penjarakan sosial, tak mustahil kita lihat semula kebenaran itu,” katanya.

    Beliau turut memberi contoh bagaimana kerajaan bertindak menarik balik kebenaran operasi sesetengah premis perniagaan dan perkara sama boleh berlaku ke atas aktiviti konvoi motosikal.

    K’jaan takkan teragak-agak tarik kebenaran berkonvoi ketika PKPP jika ada lagi yang tak patuh arahan

    “Seperti premis perniagaan dan restoran kalau mereka langgar SOP, ada restoran ditutup sebab langgar SOP. Saya harap kepada penunggang berkonvoi patuh SOP sebab kalau terlampau banyak kegagalan patuh SOP, akan sebabkan keseluruhan konvo tidak dibenarkan,” jelasnya.

    Dalam operasi bersepadu selama tiga jam bermula 2 petang yang menyasarkan dua lokasi iaitu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dan R&R Chenor semalam, polis telah memeriksa lebih dari 600 Mat Motor dengan 358 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan, manakala 20 motosikal disita.

    Menurut Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan Polis Traffik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, antara kesalahan dikesan adalah lesen dan cukai jalan tamat tempoh, serta pengubahsuaian motosikal yang mengundang bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain.

    Dalam operasi berkenaan, polis turut mengesan ada penunggang yang sanggup menunggang motosikal tanpa brek belakang dan ini amat berbahaya bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kenderaan lain. Juga, tiga penunggang motosikal dikesan berada di bawah pengaruh dadah dan daun ketum, manakala tujuh lagi ditahan kerana kesalahan alam sekitar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025