Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Singapura lanjut tempoh sah VEP untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia hingga 30 Sept 2020

    Singapura lanjut tempoh sah VEP untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia hingga 30 Sept 2020

    Sebelum ini, pada 26 Mac lalu, pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menetapkan tempoh sah Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi semua kereta dan motosikal yang didaftarkan di Malaysia adalah sehingga 30 Jun 2020.

    Pada 31 Mac 2020, LTA mengumumkan bahawa ia akan memberikan pengecualian sekali bagi fi VEP kepada semua pemilik kereta dan motosikal yang didaftarkan di Malaysia yang terpaksa terus tinggal di Singapura dari 18 Mac sehingga 14 April 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Malaysia.

    Terkini, LTA memaklumkan pihaknya akan melanjutkan tempoh sah bagi VEP tersebut secara automatik selama tiga bulan lagi iaitu sehingga 30 Sept 2020. Jadi, rakyat Malaysia yang ingin memasuki republik berkenaan dengan membawa kenderaan sendiri tidak perlu memohon pelanjutan VEP tersebut.

    Menurut laporan Bernama, LTA turut menasihati pemandu yang ingin mengelak fi VEP terkumpul dan tidak boleh memandu sendiri kenderaan mereka ke luar dari Singapura, boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan/tunda kenderaan rentas sempadan untuk membawa kenderaan mereka pulang ke Malaysia.

    Singapura lanjut tempoh sah VEP untuk kenderaan yang didaftarkan di Malaysia hingga 30 Sept 2020

    Ketika ini, semua kenderaan yang didaftarkan di negara asing dikehendaki membayar fi VEP sebanyak S$4 sehari bagi motosikal dan S$35 sehari bagi kereta, dengan setiap VEP sah selama 14 hari mulai tarikh masuk ke Singapura.

    Fi VEP tidak boleh dibayar antara 5 petang dan 2 pagi pada hari bekerja manakala pada hujung minggu dan Cuti Umum Singapura, kenderaan dengan pendaftaran asing juga dikecualikan fi VEP selama 10 hari setiap tahun.

    LTA turut mengingatkan pemandu agar mengemas kini tarikh sah cukai jalan dan insurans kenderaan menggunakan Perkhidmatan Digital VEP LTA di www.onemotoring.com.sg/ivep/insureapp sepanjang tempoh mereka berada di Singapura. Bagi mengira jumlah yang perlu dibayar untuk kenderaan mereka, pemandu boleh menggunakan kalkulator online LTA di www.onemotoring.com.sg.

    Pemandu dinasihatkan menambah nilai Kad Autopas mereka sebelum meneruskan perjalanan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas.

     
     
  • Perlumbaan MotoGP bakal kembali 19 Julai ini – 13 pusingan dalam Eropah, empat lagi belum ditentukan

    Perlumbaan MotoGP bakal kembali 19 Julai ini – 13 pusingan dalam Eropah, empat lagi belum ditentukan

    Tahun ini siri perlumbaan MotoGP hanya sempat berlangsung untuk satu pusingan bagi kategori Moto3 dan Moto2, sementara untuk MotoGP tiada langsung sebelum keseluruhan kalendar dihentikan sementara untuk berhadapan dengan pandemik Covid 19.

    Setelah beberapa bulan, dan satu demi satu pusingan dibatalkan, kini penganjurnya mengumumkan perlumbaan MotoGP akan kembali diadakan bermula 19 Julai ini di Jerez, Sepanyol. Setakat ini 13 perlumbaan dalam Eropah sudah berada dalam kalendar dan ada litar yang akan menganjurkan dua kali pusingan perlumbaan berturut-turut.

    Ini termasuklah Circuito de Jerez, Red Bull Ring – Spielberg, Misano World Circuit, MotorLand Aragon serta Comunitat Valenciana. Selang masa antara perlumbaan juga dirapatkan, dengan anda boleh menyaksikan pada bulan tertentu akan terdapat tiga siri perlumbaan iaitu Ogos, September dan Oktober.

    Perlumbaan MotoGP bakal kembali 19 Julai ini – 13 pusingan dalam Eropah, empat lagi belum ditentukan

    Selain perlumbaan dalam Eropah, MotoGP juga telah menyatakan masih terdapat kemungkinan untuk penganjuran perlumbaan di beberapa negara lain iaitu Amerika Syarikat, Argentina, Thailand dan Malaysia. Walaubagaimanapun, keputusan akhirnya cuma akan diberitahu sebelum 31 Julai ini.

    Selain daripada itu, semua perlumbaan yang sudah dirancang ini, berserta kehadiran penonton juga masih bergantung kepada evolusi pandemik Covid 19 dan juga kelulusan daripada kerajaan serta pihak berkuasa.

     
     
  • PKPP: Polis pantau aliran trafik di seluruh negara hujung minggu ini berikutan trend balik kampung

    PKPP: Polis pantau aliran trafik di seluruh negara hujung minggu ini berikutan trend balik kampung

    Hujung minggu ini pastinya ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman susulan larangan merentas negeri telah ditarik balik bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksana sejak 10 Jun lalu. Jadi, aliran trafik dijangka meningkat terutamanya di lebuhraya utama.

    Oleh yang demikian, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menugaskan 1,500 pegawai dan anggota polis trafik untuk mengawasi dan memantau aliran trafik di seluruh negara.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, anggota dan pegawainya akan memantau aliran lalu lintas di semua lebuh raya dan juga jalan utama, termasuk jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.

    PKPP: Polis pantau aliran trafik di seluruh negara hujung minggu ini berikutan trend balik kampung

    “Kami menjangkakan jumlah kenderaan yang lebih tinggi bergerak dari Lembah Klang ke sebelah Utara, Pantai Timur dan Selatan tanah air Jumaat hingga Ahad ini. Selepas larangan perjalanan rentas negeri ditarik, kita berpendapat lebih banyak kenderaan akan bergerak di jalan raya hujung minggu ini,” katanya yang dilaporkan oleh oleh Berita Harian.

    Tambahnya lagi, kehadiran pegawai dan anggota JSPT tentunya akan dirasai oleh pengguna jalan raya kerana mereka akan dikerahkan di lokasi strategik.

    “Kami percaya lonjakan lalu lintas akan kembali menjadi biasa seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu namun pasukan JSPT tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Walaupun ada kebimbangan bahawa kemalangan jalan raya akan meningkat, kita akan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan yang perlu dalam mengawasi dan memantau keadaan lalu lintas,” katanya.

    PKPP: Polis pantau aliran trafik di seluruh negara hujung minggu ini berikutan trend balik kampung

    Selain itu, JSPT juga akan menumpukan penguatkuasaan terhadap pelbagai kesalahan, terutama kenderaan yang dipandu melebihi had laju dibenarkan, menggunakan jalan kecemasan dan memandu dalam keadaan mabuk.

    “Kita mahu semua orang sampai ke destinasi mereka dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Kita juga berharap orang ramai akan bekerjasama dan tidak memandang remeh mengenai keselamatan jalan raya,” katanya.

    Beliau juga menasihati orang ramai untuk memandu dengan berhati-hati dan mematuhi semua undang-undang, peraturan dan undang-undang lalu lintas.

    “Pemandu harus berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan dan perjalanan mereka. Kita faham ada kegembiraan kerana perjalanan antara negara yang dibenarkan, tetapi jangan terlalu berseronok sehingga anda membahayakan diri sendiri atau orang lain,” katanya.

     
     
  • PKPP: Kereta persendirian kini dibenar bawa penumpang bukan keluarga atau dari rumah sama

    PKPP: Kereta persendirian kini dibenar bawa penumpang bukan keluarga atau dari rumah sama

    Satu lagi berita baik yang diumumkan oleh ‘Pak Long’ Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Kanan (Keselamatan) dalam sidang media harian tengahari tadi ialah kerajaan sudah memberikan kebenaran untuk pemilik kereta persendirian membawa penumpang yang bukan ahli keluarga atau dari rumah yang sama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Walau bagaimana pun, katanya, polisi bagi had bilangan penumpang masih dikekalkan bergantung kepada kapasiti kenderaan masing-masing.

    “Mesyuarat khas menteri hari ini memutuskan untuk benarkan kereta persendirian membawa penumpang bukan ahli keluarga. Bermakna boleh membawa rakan sekerja atau kawan dan sebagainya. Sekarang kita juga benarkan mereka bawa penumpang yang bukan daripada keluarga dan rumah yang sama.

    “Misalnya, jika ada yang ke pejabat secara ‘pool’ dalam satu kereta, ia kini dibenarkan,” katanya.

    Semalam, beliau mengumumkan bilangan penumpang dalam kereta persendirian dikekalkan mengikut kapasiti kenderaan, seperti mana yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun ia masih tertakluk pada penumpang yang tinggal serumah atau terdiri daripada keluarga yang sama.

    Walau pun kerajan dah bagi kebenaran untuk membawa penumpang yang bukan dari rumah yang sama dan yang bukan daripada keluarga sendiri, tapi jangan lupa untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

     
     
  • PKPP: Perkhidmatan e-hailing, teksi dibenarkan beroperasi tanpa had masa, ikut kapasiti kenderaan

    PKPP: Perkhidmatan e-hailing, teksi dibenarkan beroperasi tanpa had masa, ikut kapasiti kenderaan

    Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020, kerajaan telah memberikan kebenaran untuk semua perkhidmatan e-hailing dan teksi untuk beroperasi tanpa had masa. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB), perkhidmatan berkenaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam sahaja.

    Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh PKP dan PKPB, perkhidmatan tersebut hanya dibenarkan membawa penumpang seramai dua orang dalam satu masa, namun kini pemandu e-hailing dan teksi boleh membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan masing-masing.

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selain waktu operasi tanpa had masa dan bilangan penumpang, kedua-dua perkhidmatan berkenaan juga hendaklah melaksanakan kaedah pembayaran tambang tanpa tunai.

    “Prosedur operasi standard (SOP) lain masih seperti sebelum ini iaitu penumpang serta pemandu perlu memakai penutup hidung dan mulut sepanjang perjalanan. Selain itu, pemandu perkhidmatan e-hailing dan teksi perlu melakukan proses sanitasi selepas selesai beroperasi,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya tengahari tadi.

     
     
  • Jumlah kenderaan di lebuhraya utama meningkat 100% pada hari pertama PKPP – Ismail Sabri

    Jumlah kenderaan di lebuhraya utama meningkat 100% pada hari pertama PKPP – Ismail Sabri

    Memang ramai yang tak sabar hendak pulang ke kampung halaman bila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, larangan merentas negeri di seluruh negara ditarik balik mulai 10 Jun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Ogos ini.

    Dalam sidang media harian sebentar tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada hari pertama PKPP, didapati jumlah kenderaan di lebuh raya meningkat 100% susulan kebenaran perjalanan merentas negeri.

    “Sebagai contoh, jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) meningkat kepada 2.04 juta semalam berbanding 1.2 juta pada hari sebelumnya, manakala di Lebuhraya Karak, jumlahnya bertambah daripada 37,789 kepada 85,985 semalam,” katanya.

    Jumlah kenderaan di lebuhraya utama meningkat 100% pada hari pertama PKPP – Ismail Sabri

    Tambahnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau aliran trafik di semua lebuh raya dan kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh setiap pengguna yang pulang ke kampung.

    “Jadi jangan bersesak-sesak di tandas awam, jangan bersesak-sesak di surau yang kita telah setuju untuk membukanya, begitu juga di gerai-gerai makan dan saya mengharapkan semua patuh SOP,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya memandu secara berhemah berikutan peningkatan kes kemalangan maut sejak perjalanan rentas negeri dibuka.

     
     
  • Trak pikap tak dapat pengecualian cukai jualan

    Trak pikap tak dapat pengecualian cukai jualan

    Selepas kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan 100% untuk kereta baharu pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import sepenuhnya (CBU) minggu lalu, ada daripada anda yang bercadang untuk membeli trak pikap? Berita tidak baik untuk anda, kenderaan sedemikian tidak akan mendapat pengurangan harga berkenaan.

    Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), trak pikap adalah dikelaskan sebagai kenderaan komersil, manakala pengecualian cukai yang diumumkan tempoh hari hanyalah untuk kenderaan penumpang biasa termasuk SUV dan MPV.

    Kami juga telah merujuk kepada pengedar Ford, Sime Darby AutoConnexion dan juga Mitsubishi Motors Malaysia yang mengesahkan bahawa Ford Ranger dan Mitsubishi Triton tidak diberikan sebarang pengurangan harga. Jadi, boleh dijangka harga jualan Toyota Hilux, Nissan Navara dan Isuzu D-Max juga akan kekal sama. Walau bagaimanapun, trak pikap sebenarnya sudah pun diberikan berberapa pengecualian duti eksais.

    Jumaat lalu, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan potongan cukai jualan bermula 15 Jun ini sehingga hujung Disember nanti sebagai salah satu insentif dalam pelan stimulus PENJANA bagi merancakkan semula industri automotif dan ekonomi negara secara keseluruhan setelah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    Perodua telah menjadi jenama pertama memperincikan pengurangan harga setiap model mereka semalam dan ia efektif serta merta dengan pemberian rebat tunai tanpa perlu menunggu sehingga pertengahan bulan ini. Kami masih menunggu senarai harga untuk jenama lain, tetapi sebelum itu mungkin anda boleh congak sendiri pengurangan harga model yang anda inginkan menerusi penjelasan yang telah kami buat pada artikel yang perlu anda baca dalam PAUTAN INI.

     
     
  • Bidaan nombor plet siri SYG dibuka dalam JPJeBid

    Bidaan nombor plet siri SYG dibuka dalam JPJeBid

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), melalui platform bidaan atas talian JPJeBid telah membuka bidaan untuk siri nombor pendaftaran yang bermula dengan huruf SYG hari ini. Ini asalnya adalah siri nombor plet biasa untuk kawasan Kota Kinabalu, Sabah tetapi sekarang sesiapa sahaja boleh mendapatkannya.

    Tiada apa yang istimewa berkenaan huruf SYG ini, cuma bagi orang tertentu ia mungkin boleh kelihatan atau ditafsir sebagai ‘sayang’. Kalau anda mahu membeli kenderaan untuk isteri atau orang tersayang lain, plet ini, berserta nombor yang mungkin ada persamaan dengan nama mereka, pastinya dapat menambah kegembiraan.

    Sama seperti siri nombor plet lain yang dikeluarkan oleh JPJ, bidaan dibuka pada harga bermula RM300 untuk nombor biasa, RM800 untuk nombor popular, RM3,000 untuk nombor menarik dan RM20,000 untuk nombor utama. Kenaikan bidaan minima pula adalah 5% daripada harga minima bidaan ini.

    Sekiranya anda masih belum pernah menggunakan sistem JPJeBid ini, anda boleh membaca pengalaman kami menggunakannya sendiri di sini dan cara-caranya juga ada disertakan dalam artikel tersebut.

     
     
  • UMW Toyota dan Maybank Islamic tawarkan pelan pembiayaan istimewa untuk graduan – sehingga 100%

    UMW Toyota dan Maybank Islamic tawarkan pelan pembiayaan istimewa untuk graduan – sehingga 100%

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan satu pakej pembiayaan khas untuk graduan, yang ditawarkan dengan kerjasama Maybank Islamic. Ia adalah untuk mereka yang bercadang untuk membeli model Vios, Yaris ataupun Avanza.

    Dipanggil sebagai Murabahah Vehicle Term Financing-i (MVTF-i), pakej pembiayaan ini disediakan sebagai pilihan tambahan kepada graduan, selain pakej Islamic Hire-Purchase (HP) biasa, dan masih mengikut Al Ijarah Thumma Al-Bai (AITAB). Ia walaubagaimanapun cuma disediakan di Semenanjung Malaysia sahaja.

    Pakej Pembiayaan Murabahah mengikut prinsip pembiayaan Islamik, dan jumlah penuh pembiayaan boleh mencecah sehingga 100% termasuk sekali dengan sumbangan takaful serta kos-kos lain seperti urusan berkaitan undang-undang, duti stem dan lain-lain.

    Pakej pembiayaan ini ditawarkan kepada pemegang ijazah yang berusia 21 hingga 30 tahun, dan mereka mestilah sudah mempunyai kerja dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan. Untuk layak juga, graduan ini mestilah sudah bekerja lebih enam bulan, dan bagi yang kurang, mereka perlu meletakkan ibu bapa sebagai penjamin mengikut terma dan syarat tertentu.

    Graduan yang mempunyai gaji bawah RM3,000, tetapi lebih daripada RM2,000 sebulan masih boleh memohon untuk pakej ini, tetapi ibu bapa mereka juga perlu diletakkan sebagai penjamin, dan pendapatan isi rumah mestilah di atas RM5,000.

     
     
  • BMW Alpina B5, D5 S diperkenal – kuasa cecah 630 PS

    BMW Alpina B5, D5 S diperkenal – kuasa cecah 630 PS

    Beberapa minggu selepas BMW 5 Series LCI G30 didedahkan kepada dunia, kini Alpina pula menunjukkan versi mereka iaitu B5 dan D5 S. Kedua-dua model ini boleh didapati dalam bentuk sedan dan wagon, dengan masing-masing menampilkan peningkatan rupa serta prestasi.

    Untuk B5, asas yang digunakan adalah BMW 550i, iaitu varian yang dikuasakan oleh enjin V8 4.4 liter twin turbo berkuasa 530 PS dan 750 Nm. Walaubagaimanapun, Alpina telah menaik taraf enjin ini untuk menghasilkan 630 PS pada 5,500 rpm dan 800 Nm tork antara 2,000 hingga 5,000 rpm, sekaligus membenarkan model AWD ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat bagi versi sedan dan 3.6 saat untuk versi wagon. Laju maksimum pula masing-masing adalah 330 km/j dan 322 km/j.

    Pergi kepada D5 S ia menggunakan asas 540d, di mana model tersebut digerakkan oleh enjin enam silinder 3.0 liter turbodiesel dengan kuasa 340 PS dan 700 Nm tork. Sekali lagi, Alpina meningkatkan kuasanya kepada 414 PS dan 800 Nm, untuk membenarkan versi sedan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat manakala versi wagon melakukannya dalam masa 4.6 saat. Laju maksimum untuk versi sedan adalah 286 km/j manakala versi wagon 283 km/j.

    Peningkatan lain yang dilakukan pada dua model baru Alpina ini adalah pedal penukar gear Alpina Switch-Tronic, suspensi sport Alpina, rim Alpina Classic 20 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero, serta kemasan bampar dan muncung ekzos khas Alpina.

    Pada bahagian dalam pula, tempat duduk serta beberapa bahagian lain dibalut dengan kulit Lavalina sementara di bahagian stereng terdapat logo khas Alpina. Alpina B5 dan D5 S akan mula dijual di Jerman pada bulan Oktober ini, dengan harga bermula 117,700 euro (RM568k) untuk B5 dan 92,500 euro (RM447k) untuk D5 S.

    GALERI: BMW Alpina B5 2020

    GALERI: BMW Alpina D5 S 2020

     
     
  • Datuk Seri Syed Zainal Abidin bersara dari Petronas

    Datuk Seri Syed Zainal Abidin bersara dari Petronas

    Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir telah pun bersara dari jawatannya sebagai Pengarah Bukan-Bebas dan Bukan-Eksekutif di Petronas Dagangan Berhad (PDB), berkuatkuasa semalam, seperti mana yang diumumkan oleh syarikat tersebut yang turut tersenarai dalam Bursa Malaysia.

    Sebelum itu, Syed Zainal Abidin telah dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, berkuat kuasa 1 Jun 2018. Kemudian melepaskan jawatan berkenaan sebelum dilantik semula sebagai Pengarah Bukan-Eksekutif dan Bukan-Bebas, berkuat kuasa 1 Januari 2020. Malah beliau juga pernah memegang jawatan penting di beberapa buah syarikat korporat lain termasuk Perodua dan Proton sebelum menyertai PDB.

    Seperti yang didedahkan pada Disember tahun lalu, Azrul Osman Rani yanng kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan CEO PDB berkuatkuasa 1 Januari 2020. Sebelum itu, Azrul mengetuai jabatan pembangunan komersil di Petronas Refinery & Petrochemical Corporation (PRPC), dan pernah dilantik sebagai CEO di PRPC Utilities and Facilities.

     
     
  • BMW X5 xDrive45e G05 dilancarkan di M’sia 17 Jun ini

    BMW Malaysia telah menyiarkan teaser di laman media sosial yang memaparkan BMW X5 xDrive45e plug-in hybrid. Bersama kapsyen, “There’s a new boss in town, the BMW X5 plug-in hybrid. All charged up for BMW Malaysia’s first-ever virtual launch event,” di mana ia menggunakan nama gelaran “Boss” untuk merujuk kepada model baharu tersebut.

    Kedatangan X5 xDrive45e terkini bukanlah suatu kejutan, kerana ia telah diuar-uarkan menerusi media sosial sebelum ini. Walau bagaimana pun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini membuatkan agar sukar untuk ia dilancarkan. Namun demikian, sejak Mei lalu, PKP makin dilonggarkan dan banyak sektor perniagaan telah kembali beroperasi, maka ‘boss’ ini bersedia untuk dilancarkan.

    X5 G05 buat pertama kali diperkenalkan di negara ini pada pertengahan tahun lalu menerusi varian X5 xDrive40i M Sport, yang ditawarkan pada harga RM618,800.

    X5 xDrive45e baharu ini dikhabarkan memiliki kuasa yang lebih tinggi dan juga beberapa silinder tambahan. Ia dikuasakan oleh B58 3.0 liter enam-silinder, menggantikan unit N20 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang ada pada model terdahulu. Enjin baharu ini mampu meledakkan kuasa hingga 286 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 450 Nm dari 1,500 hingga 3,500 rpm iaitu lebih 41 PS dan 100 Nm berbanding 2.0L.

    Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dengan motor elektrik yang memberikan kuasa tambahan 113 PS, dengan tork maksimum sehingga 265 Nm (berbanding 250 Nm seperti model terdahulu). BMW mendakwa keseluruhan kuasa mampu menginjak ke 394 PS dan 600 Nm, membolehkan SUV bersaiz besar ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat dengan kelajuan maksimum 235 km/j, lebih laju berbanding generasi terdahulu dengan 6.8 saat dan 210 km/j.

    Bertambah menarik bila mana X5 PHEV baharu ini mampu memberikan jarak pacuan elektrik antara 67 dan 87 km (walau dalam kitaran WLTP), iaitu dua kali ganda berbanding model terdahulu. Ia adalah hasil bantuan bateri lithium-ion 24 kWh. BMW turut mendakwa masa pengecasan untuk model ini hanya sekitar 6.8 jam dengan menggunakan pengecas 3.7 kW Type 2 dan soket domestik Eropah 230V yang standard.

    GALERI: BMW X5 xDrive40i M Sport G05

     
     
  • Tengku Djan Ley sah bertarung dalam D1GP 2020, pandu Toyota GR Supra Evangelion Racing di Jepun

    Tengku Djan Ley sah bertarung dalam D1GP 2020, pandu Toyota GR Supra Evangelion Racing di Jepun

    Prince of Drift Malaysia, Tengku Djan Ley telah membuat pengumuman dalam laman facebook rasmi miliknya bahawa dia akan menyertai siri kejohanan drift professional D1GP Jepun untuk musim 2020, dengan memandu Toyota GR Supra pasukan Evangelion Racing.

    Menurutnya lagi, GR Supra yang akan dipandunya berkenaan adalah jentera binaan dari Do-Luck Racing. Walau bagaimanapun, spesifikasi GR Supra untuk pasukan lumba dari anime terkenal Jepun tersebut masih lagi belum didedahkan, dan ia mungkin akan diumumkan ketika pendedahan rasminya pada 17 Jun ini.

    Buat masa sekarang, berberapa pemandu D1GP telah pun tampil dengan GR Supra masing-masing. Antaranya Daigo Saito yang memandu Supra A90 dengan enjin 2JZ-GTE binaan HKS, serta Kawabata Masato dengan GR Supra pasukan Toyo Tyres yang dijana enjin V8 3UZ-FE.

    Tengku Djan sebelum ini pernah dinobatkan sebagai juara D1GP Malaysia pada tahun 2006. Kemenangan tersebut membolehkan dia layak untuk ke D1GP All Star pada tahun yang sama di litar Irwindale Speedway, Amerika Syarikat untuk bertarung dengan juara-juara D1GP yang lain dari seluruh dunia.

    Dalam perlumbaan berkenaan, Tengku Djan yang memandu Toyota Sprinter Trueno AE86 pasukan Bridgestone bukan sahaja diberi penghormatan bagi membuat ‘introduction run’ dalam bahasa Melayu, dia juga telah membuat kejutan dengan menewaskan Vaughn Gittin Jr. yang memandu Ford Mustang dalam sesi Tsuiso Best 16 dan berjaya menduduki tangga ke lima secara keseluruhan.

     
     
  • Kerajaan tak mansuh harga siling petrol RON 95 dan diesel, harga maksima masih dikawal – KPDNHEP

    Kerajaan tak mansuh harga siling petrol RON 95 dan diesel, harga maksima masih dikawal – KPDNHEP

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi menafikan apa yang dilaporkan oleh media sebelum ini bahawa perintah harga siling bagi minyak petrol dan diesel telah dibatalkan. Dalam laporan oleh Bernama, menteri berkenaan berharap agar orang ramai tidak membuat kenyataan mengelirukan mengenai perkara itu yang hanya akan menimbulkan salah faham.

    “Tidak, tidak … jangan salah faham. Kami tidak menarik balik harga siling itu, dasar itu masih sama,” katanya untuk menjelaskan Warta Kerajaaan berkenaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) (No 8) (Pembatalan) 2020 tersebut yang dikatakan telah membatalkan perintah harga siling bahan api berkenaan.

    “Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” kata Nanta dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut beliau lagi, tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

    Beliau berkata mulai 29 Feb lepas, KPDNHEP menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Menteri berkenaan turut menjelaskan bahawa perubahan mekanisme itu bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa.

     
     
  • Peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang PKPB berbanding PKP membimbangkan – KP KKM

    Peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang PKPB berbanding PKP membimbangkan – KP KKM

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan rasa kebimbangannya mengenai peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika dibandingkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Menurut beliau, jumlah kes kemalangan jalan raya ketika PKP 1 dari 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 adalah 5,498 kes dengan 58 kematian iaitu 392.7 kemalangan sehari.

    “Jika dibandingkan, jumlah ini naik mendadak kepada 738 kemalangan sehari semasa PKPB mula berkuatkuasa pada 4 Mei 2020. Data PDRM menunjukkan, daripada tempoh 5 Mei 2020 sehingga 12 Mei 2020, jumlah kemalangan jalan raya adalah 5,904 kes, dengan 68 kematian.

    Peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang PKPB berbanding PKP membimbangkan – KP KKM

    “Daripada 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun 2020, 25,251 kes kemalangan direkodkan dengan 231 iaitu 738 kemalangan sehari,” katanya seperti dalam laporan Harian Metro.

    Tambahnya lagi, bukan sekadar kehilangan nyawa dan kecederaan, kemalangan juga boleh menyebabkan peningkatan penggunaan fasiliti kesihatan untuk rawatan seperti kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Kemalangan.

    “Keadaan ini juga menyebabkan peningkatan kes pembedahan kecemasan dan separa kecemasan yang menyebabkan penggunaan katil dan Unit Rawatan Rapi (ICU) turut meningkat. Bekalan darah juga akan meningkat bagi merawati kes kemalangan yang menyebabkan kecederaan yang parah dan memerlukan transfusi darah,” katanya.

    Peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang PKPB berbanding PKP membimbangkan – KP KKM

    Menurut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya, statistik awal bagi kemalangan atau trauma yang mendapat rawatan di hospital seliaan kementerian terbabit menunjukkan penurunan kes trauma di antara 65 sehingga 75% bagi semua negeri ketika PKP berbanding sebelum perintah itu dikuat kuasakan.

    Bagaimanapun, jumlah ini meningkat 30% dalam tempoh PKPB memandangkan lebih banyak kenderaan berada di jalan raya.

    “KKM prihatin dan mengambil berat tentang keselamatan orang ramai terutamanya golongan pekerja yang semakin ramai berulang alik ke tempat kerja susulan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial. Peningkatan kadar ini adalah amat merisaukan memandangkan ia dijangka terus meningkat susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau mewakili KKM turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya. “Pandulah kenderaan dan tunggang motosikal dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan jalan raya. Begitu juga, elakkan daripada memandu sekiranya penat atau tidak cukup rehat. Perkara yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya orang ramai lebih cermat dan mematuhi undang-undang di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang,” katanya.

    Peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang PKPB berbanding PKP membimbangkan – KP KKM

    Pada 20 April lalu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan kadar kemalangan jalan raya menurun hampir 70% sepanjang tempoh PKP sejak ia dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, sebanyak 10,382 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh PKP yang telah berlangsung selama 32 hari.

    “Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 130 kemalangan maut membabitkan 145 kematian dicatat sehingga 14 April, manakala purata kemalangan ketika PKP fasa satu dan dua adalah sebanyak 370 kemalangan sehari,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025