Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jumlah tangkapan ingkar PKP menurun – Ismail Sabri

    Jumlah tangkapan ingkar PKP menurun – Ismail Sabri

    Nampaknya semakin lama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, bukan sahaja kes harian positif Covid-19 dilihat turun, jumlah mereka yang ditangkap kerana ingkar arahan PKP juga menurun. Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya tadi, jumlah tangkapan tersebut telah turun kepada 550 individu pada Khamis, berbanding 763 individu pada Rabu, lapor Astro Awani.

    Jelasnya lagi, daripada keseluruhan individu yang ditahan semalam, seramai 480 orang direman, manakala 70 lagi dibebaskan dengan jaminan polis, dan setakat ini seramai 1,014 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP.

    “Kita berharap jumlah tangkapan ini akan terus menurun sekali gus menggambarkan kadar pematuhan rakyat terhadap peraturan PKP semakin meningkat,” katanya. Dalam masa yang sama, beliau berkata pihak berkuasa mengesan peningkatan pergerakan kenderaan di atas jalan raya semalam, dan dipercayai berlaku kerana orang ramai keluar untuk membeli barangan asas sebagai persiapan Ramadan.

    Jumlah tangkapan ingkar PKP menurun – Ismail Sabri

    “Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 827 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 627,494 kenderaan.

    “Sebanyak 42,941 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,700 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya.

    Malam tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada fasa ketiga 28 April nanti, akan dilanjutkan ke fasa keempat yang dijadualkan sehingga 12 Mei 2020. Hari ini sekali lagi kadar kes baharu positif Covid-19 dicatatkan dengan angka di bawah 100 kes, iaitu 88 kes menjadikan kes positif keseluruhan yang direkodkan adalah 5,691 kes.

    Manakala angka kematiannya akibat Coronavirus ini pula bertambah satu lagi kes, menjadikan 96 orang keseluruhan. Walau bagaimanapun, hari ini seramai 121 orang telah disahkan sembuh, menjadikan angka keseluruhan mereka yang berjaya dipulihkan adalah seramai 3,663 orang.

     
     
  • Harga minyak 25 Apr-1 Mei – RON 95 kekal RM1.25, RON 97 pada RM1.55, diesel turun jadi RM1.40

    Harga minyak 25 Apr-1 Mei – RON 95 kekal RM1.25, RON 97 pada RM1.55, diesel turun jadi RM1.40

    Untuk minggu bertarikh 25 April hingga 1 Mei 2020, harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 dan RON 95 dilaporkan kekal seperti minggu sebelum itu iaitu masing-masing RM1.55 seliter dan RM1.25 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel pula turun sebanyak 3 sen seliter, kini RM1.40 seliter (sebelum ini RM1.43). Ini bermakna diesel Euro 5, lebih mahal 10 sen daripada diesel Euro 2M, iaitu RM1.50 seliter. Semua harga baharu ini efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 1 Mei 2020.

    Pada 20 April lalu, industri minyak antarabangsa menjadi lebih kecoh apabila dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat, harga minyak mentah bagi West Texas Intermediate (WTI) yang akan tamat pada Mei menyaksikan kejatuhan mendadak lebih 300% kepada negatif US$37.63 setong, sekaligus menjadi harga paling rendah yang pernah direkodkan.

    Sementara itu, harga minyak mentah Brent, yang diguna-pakai oleh kebanyakan negara-negara pengeluar minyak sebagai penanda aras, menurun dengan margin yang ketara iaitu 8.9% kepada US$25.57 bagi setong. Kejatuhan harga ini adalah akibat kesan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

     
     
  • Toyota Hilux 2021 — imej bocor, rekaan dirombak

    Toyota Hilux 2021 — imej bocor, rekaan dirombak

    Tak berapa lama sebelum ini, satu laporan dari Australia mendedahkan, Toyota Hilux bakal menerima peningkatan dan kemaskini sekali lagi untuk pasaran di sana. Dan, itu bukanlah yang pertama kali; 2017 dahulu pasaran global telah menyaksikan perubahan pada Hilux seperti model semasa yang ada ketika ini.

    Ada satu lagi perkembangan yang lebih menarik; rupanya Hilux facelift terbaru bagi tahun 2021 itu, yang gambar serta maklumat awalnya kini telah mula bocor internet, akan menerima pembaharuan yang lebih ketara dengan beberapa aspek rekaannya dirombak untuk menjadikannya lebih segar.

    Seperti yang didedahkan oleh laman Milelemotors, bagi gred penawaran tertinggi, Toyota Hilux 2021 akan tampil dengan banyak ciri baru, menjadikan penawarannya lebih lengkap berbanding trak pikap pesaing setakat ini. Antaranya, pakej ciri keselamatan lengkap (Toyota Safety Sense) — kita boleh dijangkakan seperti yang ada pada penawaran model-model utama lain Toyota.

    Toyota Hilux 2021 — imej bocor, rekaan dirombak

    Selain itu, perubahan paling utama tentulah dari sudut rekaan yang boleh dilihat oleh mata kasar. Hilux 2021 ini nanti didakwa akan tampil dengan wajah depan yang berbeza dan lebih perincian. Sebagai contoh, gril besar H yang ada padanya menyuntik penampilan yang lebih gagah, besar dan tentunya sporty.

    Melihat kepada gambar yang bocor ini, nampaknya terlalu banyak kemasan perincian pada wajah depan Hilux yang diberikan. Bahagian lampu utamanya merupakan unit Bi-beam LED, yang diberikan rekaan baru secara keseluruhannya pada elemen perumah dan grafik yang dapat dilihat. Ia turut menempatkan satu jalur lampu DRL serta lampu isyarat – semuanya LED penuh.

    Rekaan bampar juga diberi sentuhan baru yang lebih gagah dan berotot. Bahagian sudut bampar diberikan kemasan plastik hitam, mungkin saja digunakan bagi menempatkan lampu kabus atau inlet udara hiasa, bergantung kepada varian. Kemasan krom yang menjadi sebahagian besar bentuk H yang melingkari gril hitam berkilat juga sangat besar dan jelas kelihatan.

    Begitu juga dengan bahagian bawah bampar; terdapat sedikit lagi jalur bukaan udara yang disudahkan dengan rekaan ala diffuser di bahagian bawah bampar. Imejnya dilengkapi dengan rekaan rim aluminium 18-inci baru.

    Di bahagian belakang lebih menarik. Ia tampil dengan rekaan baru yang lebih segar. Lampu belakangnya menggunakan tataan kombinasi LED dengan rekaan baru berbentuk B bagi untuk bahagian utamanya. Pintu ruang barangan bagaimanapun kekal ringkas, begitu juga dengan bahagian bampar dibawahnya, mengingatkan kita bahawa Hilux sentiasa ingin menjadi sebuah trak pikap “work horse” yang lasak. Tetapi kali ini, ia juga mahu tampil dengan lebih bergaya.

    Bagi gred standard dan rendah pula, ia akan dilengkapi oleh lampu halogen rekaan baru. Dengan rekaan grafik dalaman yang juga baru, varian ini bagaimanapun turut dilengkapi dengan lampu posisi dan lampu isyarat LED.

    Wajah depannya kelihatan sama dengan versi gred yang lebih tinggi, tetapi dengan perincian kemasan yang berbeza. Misalnya, lingkaran luar H pada gril datang dalam warna kelabu metalik, sementara bahagian gelapnya menggunakan warna hitam biasa. Selebihnya, ia akan menggunakan rim aluminium bersaiz 17-inci.

    Pilihan warna pula terdiri daripada 11 warna semuanya. Varian paling asas dengan empat warna; Super White II, Silver Metallic, Grey Metallic dan Attitude Black. Ada juga tiga warna baru yang khabarnya akan diperkenalkan; Oxide Bronze, Dark Blue MC dan juga Emotional Red II.

    Toyota Hilux 2021 — imej bocor, rekaan dirombak

    Berdasarkan maklumat sebelum ini, model facelift terbaru Hilux itu nanti juga akan menampilkan penggunaan enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel, dengan angka janaan yang lebih tinggi dan kemaskini bagi mengatasi masalah penapis zarah (particulate filter) tersumbat. Laporan dari Jepun juga ada yang mencadangkan bahawa enjin berkenaan akan turut digunakan pada Land Cruiser generasi akan datang.

    Di Australia, model-model paling asas juga sudah dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, termasuk ciri brek kecemasan autonomous (AEB). Versi facelift ini juga dijangka akan menerima pakej keselamtan berkenaan untuk rantau pasaran yang lebih meluas, terutama di Asia Tenggara untuk meningkatkan daya saingnya berdepan penawaran trak pikap moden yang lain.

     
     
  • SOP pergerakan zon merah, kuning dan hijau akan dikeluarkan; KKM berbincang dengan MKN – menteri

    SOP pergerakan zon merah, kuning dan hijau akan dikeluarkan; KKM berbincang dengan MKN – menteri

    Dalam sidang media harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung sebentar tadi, beliau mengumumkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) khusus melibatkan kawasan-kawasan terjejas akibat COVID-19 yang diklasifikasikan sebagai zon merah, kuning dan hijau akan dikeluarkan tidak lama lagi, lapor Astro Awani.

    Menurutnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarahkan untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara tersebut, di mana SOP berkenaan dijangka merangkumi arahan pergerakan keluar dan masuk ke kawasan zon-zon tersebut.

    “Sempadan-sempadan misalnya perlu dijaga sebab kita tidak mahu ada orang dari zon merah memasuki zon hijau… sejauh mana kebenaran kita boleh berikan, kalau kita nak beri kelonggaran misalnya… sejauh mana kelonggaran tersebut boleh diberi.

    SOP pergerakan zon merah, kuning dan hijau akan dikeluarkan; KKM berbincang dengan MKN – menteri

    “Jadi, sebab itu kita telah mengarahkan MKN untuk berbincang dengan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mereka mengeluarkan SOP khusus tentang tiga zon tersebut,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Putrajaya itu.

    Respon ini diberikan setelah beliau diminta mengulas kemungkinan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih awal di kawasan zon hijau termasuk di Perlis, setelah KKM memaklumkan bahawa negeri tersebut muncul sebagai negeri pertama zon hijau COVID-19 kerana merekodkan kes jangkitan sifar bagi tempoh melebihi dua minggu.

     
     
  • Amaron tawar bateri dengan waranti 36-bulan

    Amaron tawar bateri dengan waranti 36-bulan

    Berapa lama biasanya waranti yang anda terima ketika membeli bateri baharu untuk kereta anda? 12 bulan? 18 bulan? Kini jenama bateri yang terkenal dengan perumah berwarna hijau, Amaron hadir dengan jaminan bateri selama 36-bulan!

    Menurut Amaron, bateri kereta biasanya boleh digunakan dalam tempoh masa hanya lapan bulan setelah keluar dari pengilang. Namun, oleh kerana Amaron percaya dengan kualiti produk mereka yang mampu bertahan sekurang-kurangnya selama tiga tahun, jenama berkenaan menawarkan perlindungan waranti dengan tempoh yang sama kepada pelanggan.

    Walau bagaimanapun, perlindungan waranti 36-bulan atau 60,000 km (yang mana sampai dahulu) ini hanya akan ditawarkan untuk bateri 38B20L, siri 46B24 dan jenis DIN untuk kenderaan petrol, yang diedarkan oleh Tecxus Marketing sahaja – anda perlu membelinya dari pengedar sah mereka di seluruh negara.

    Manakala untuk bateri yang digunakan pada kenderaan diesel, ia akan diberikan waranti standard selama enam-bulan. Namun jika anda membeli bateri Amaron ini untuk kenderaan diesel anda menerusi pengedar yang sah, waranti selama sembilan-bulan akan diberikan.

    Untuk lebih info berkenaan harga, pengedar atau waranti ini sendiri, hubungi Amaron Malaysia menerusi laman facebook rasmi mereka pada PAUTAN INI.

     
     
  • BMW Malaysia lancar platform jualan dan pembiayaan atas talian – kadar faedah 0%, peluang menang i8

    BMW Malaysia lancar platform jualan dan pembiayaan atas talian – kadar faedah 0%, peluang menang i8

    BMW Group Malaysia telah melancarkan dua platform jualan atas talian untuk orang ramai iaitu BMW Shop Online dan BMW Engage. Dalam BMW Shop Online, pusat pameran virtualnya sekarang cuma menampilkan empat kenderaan iaitu BMW 530e Sport, 530e M Sport, X6 xDrive40i M Sport dan 840i M Sport Gran Coupe, tetapi ia akan ditambah lagi pada masa hadapan.

    Bagi yang betul-betul berminat untuk membeli kenderaan tersebut dan sudah membuat keputusan, mereka boleh pergi pula ke BMW Engage untuk penyelesaian pembiayaan oleh BMW Credit Malaysia. Melalui laman ini, anda boleh mengisi borang permohonan dan mendapatkan kelulusan untuk pembiayaan kenderaan.

    Bersempena dengan pelancaran platform atas talian ini, BMW Malaysia juga mengadakan kempen ‘Unplug & Play’, di mana terdapat pelbagai tawaran eksklusif termasuk rebat tunai RM10,000 untuk 530e Sport dan RM20,000 untuk 530e M Sport. Kadar faedah untuk kedua-dua model ini adalah 0%. Tambah menarik, sesiapa yang menempah mana-mana satu antara empat model yang ditawarkan atas talian sepanjang tempoh promosi ini, anda juga berpeluang untuk membawa pulang sebuah BMW i8 Coupe baru.

    BMW Malaysia lancar platform jualan dan pembiayaan atas talian – kadar faedah 0%, peluang menang i8

    Bukan setakat itu, pembeli 530e Sport juga akan menerima BMW i Wallbox manakala pembeli 530e M Sport mendapat BMW i AC Fast Charging Cable secara percuma. Kad ChargeNow untuk mengecas kenderaan di pengecas ChargeEV diberikan kepada pembeli kedua-dua model tersebut.

    Tawaran eksklusif atas talian ini hanya akan berlangsung dari sekarang hingga 30 Jun 2020. Pelanggan yang mahu membuat tempahan cuma perlu membuat bayaran RM1,000 melalui BMW Shop Online. Anda boleh klik di sini untuk melayari pusat pameran virtual tersebut atau BMW Engage di sini.

     
     
  • MINI Malaysia lancar MINI eShop, MINIMISE — faedah 0%, rebat RM16k bagi Countryman plug-in hybrid

    MINI Malaysia lancar MINI eShop, MINIMISE — faedah 0%, rebat RM16k bagi Countryman plug-in hybrid

    MINI Malaysia kini memperkenalkan sebuah platform digital bagi pelanggan yang berminat untuk pembelian kenderaan keluarannya, dikenali sebagai MINI eShop. Platform berkenaan membolehkan pelanggan untuk menikmati pengalaman lengkap membuat tempahan kenderaan secara digital sepenuhnya, di mana pelanggan boleh meninjau keseluruha barisan model yang ada dengan mudah.

    Sempena pengenalan eShop berkenaan, MINI juga melancarkan kempen MINIMISE, yang menawarkan kadar faedah yang menarik bermula dari 0% secara eksklusif bagi model Cooper S E Countryman All4 F60 plug-in hybrid.

    MINI Malaysia lancar MINI eShop, MINIMISE — faedah 0%, rebat RM16k bagi Countryman plug-in hybrid

    Bukan itu sahaja, kerana turut ditawarkan ialah rebat tunai bernilai RM16,000 dan sokongan bayaran ansuran bernilai RM5,000 juga disediakan. Pelanggan juga berpeluang untuk mendapatkan MINI Public Charging Cable secara percuma, termasuk kad ChargeNow bagi tempoh setahun, dan boleh memanfaatkan 309 kemudahan pengecas ChargeNow di seluruh negara.

    Kempen MINIMISE juga menawarkan promosi menarik bagi model lain MINI, dengan sokongan bayaran muka sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 dan rebat tunai dari RM8,000 hingga RM22,000, bergantung kepada model. Kempen berkenaan sah sehingga 30 Jun 2020, sementara stok masih ada. Maklumat lanjut mengenai kempen MINIMISE ada di sini.

     
     
  • BMW 8 Series Gran Coupe G16 dilancar di Malaysia – 840i M Sport dengan enjin 3.0L berharga RM969k

    BMW 8 Series Gran Coupe G16 dilancar di Malaysia – 840i M Sport dengan enjin 3.0L berharga RM969k

    BMW 8 Series Gran Coupe G16 kini sudah tiba di Malaysia, dengan pelancaran satu varian sahaja iaitu 840i M Sport pada harga RM968,000 tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan, servis berkala percuma lima tahun, jaminan tayar dua tahun/24 bulan, BMW Roadside Assistance, BMW Service Online dan program BMW Group Loyalty+.

    Varian ini menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang dipadankan bersama transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 335 hp dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 500 Nm antara 1,600 hingga 4,500 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang dengan pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 5.2 saat dan penggunaan bahan api bercampur pada tahap 7.9 l/100 km.

    Sebagai varian M Sport, 8 Series Gran Coupe yang dijual di Malaysia ini dilengkapi dengan pakej aerodinamik M (kit badan lebih agresif), rim M 20 inci dengan tayar 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang serta differential M Sport. Varian ini juga dipasang dengan suspensi adaptif, Integral Active Steering, sistem ekzos sport dan kemasan Shadow Line di luar.

    Melihat kepada kelengkapan, 840i datang dengan lampu utama BMW Laserlight, High-beam Assistant, bumbung panoramik, lampu suasana, lapik bumbung dalam anthracite, balutan kulit Merino, kemasan kayu berwarna kelabu berkilat, roda stereng M, kemasan tepi pintu M dan papan pemuka dibalut kulit “Walknappa” hitam.

    Untuk ciri keselesaan, sedan empat pintu ini mempunyai kawalan pendingin hawa empat zon, tempat duduk dengan liang udara serta fungsi memori, Live Cockpit Professional, panel instrumen 12.3 inci, BMW Navigation System Professional 10.25 inci, head-up display, serta penghadang cahaya kuasa elektrik untuk tingkap dan cermin belakang.

    Sistem infotainmen pada 840i juga mempunyai fungsi kawalan pergerakan, servis sokongan BMW Connected, sambungan Apple CarPlay serta sistem bunyi Harman Kardon 464 watt dengan 16 pembesar suara. Kemudahan lain adalah termasuk Comfort Access, pintu but bukaan elektrik dan BMW Display Key.

    BMW 8 Series Gran Coupe G16 dilancar di Malaysia – 840i M Sport dengan enjin 3.0L berharga RM969k

    Pada bahagian keselamatan, 840i mendapat sistem biasa seperti Dynamic Stability Control (DSC), yang termasuk Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC), dan Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist.

    Ia kemudiannya ditambah dengan BMW Driving Assistance Professional, yang termasuk Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Assistant, amaran perlanggaran serta Parking Assistant Plus dengan kamera keliling.

    BMW 840i M Sport ditawarkan dalam enam warna luaran iaitu Barcelona Blue, Sonic Speed Blue, Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White dan Sunset Orange, manakala kemasan kulit di dalam boleh dipilih dalam warna hitam, Night Blue, Cognac, Tartufo dan Fiona Red.

     
     
  • Toyota Hiace H200 masih diproduksi di Jepun, kini terima sistem keselamatan Toyota Safety Sense

    Toyota Hiace H200 masih diproduksi di Jepun, kini terima sistem keselamatan Toyota Safety Sense

    Walaupun Toyota telah memperkenalkan model generasi baharu van Hiace H300 tahun lalu, jenama dari Jepun berkenaan sebenarnya masih lagi memproduksi model generasi sebelumnya iaitu H200 dalam pasaran domestik negara tersebut. Terbaharu, Hiace H200 berkenaan telahpun dikemaskini dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense – satu ciri yang boleh dianggap mewah dan hanya dipadankan paling kurang pun pada Corolla Altis di Malaysia.

    Untuk Hiace H200 JDM ini, pakej Toyota Safety Sense berkenaan memberi fungsi-fungsi bantuan pemanduan seperti sistem amaran pra-pelaggaran hadapan bersama brek kecemasan automatik, lampu tinggi automatik, amaran tukar laluan, dan juga bantuan pengesan lorong laluan. Sistem ini berfungsi menerusi radar dengan gelombang empat milimiter dan sistem kamera monokular yang dipasang pada cermin dan gril hadapan van ini.

    Toyota Hiace H200 masih diproduksi di Jepun, kini terima sistem keselamatan Toyota Safety Sense

    Selain itu, Hiace H200 ini juga ditawarkan dengan ciri-ciri opsyen baharu, antaranya cermin pandang belakang yang dibantu oleh kamera yang berada pada bahagian atas cermin belakang bagi memberikan pandangan tanpa halangan dari apa-apa ganguan dalam kabin belakang.

    Ia juga hadir dengan pilihan kamera pemantau sekeliling pandangan panaromik yang memberikan paparan pada skrin sistem infotainmen, memudahkan pemandu mengetahui keadaan sekeliling van ini ketika dipandu pada kawasan sempit. Turut diberikan, sistem Acceleration Suppression Function (ASF) yang akan mengelakkan kemalangan jika pemandu tersalah pijak pedal pendikit.

    Selain itu, model kemaskini ini juga diberikan panel meter Optitron baharu, dilengkapi dengan skrin pelbagai informasi TFT pelbagai warna 4.2-inci pada bahagian sisi, yang turut memaparkan informasi sistem-sistem Safety Sense yang digunakan.

    Toyota Hiace H200 JDM 2020 ini masih dijana dengan tiga pilihan enjin iaitu turbodiesel 2.8 liter 1GD-FTV, petrol 2.7 liter 2TR-FE Dual VVT-i, dan juga petrol 2.0 liter 1TR-FE. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, dengan pilihan sama ada pacuan roda belakang atau dengan sistem 4WD.

    Model kemaskini ini akan dijual di Jepun bermula 1 Mei ini dengan tiga versi iaitu Van, Wagon dan Commuter, serta pelbagai konfigurasi sama ada jarak roda panjang atau pendek, bumbung tinggi, sederhana atau biasa, lebar biasa atau lebih lebar serta pelbagai susunan tempat duduk – semua ini bergantung pada varian yang dipilih oleh pelanggan.

     
     
  • Kia Stinger mungkin tiada generasi kedua – laporan

    Kia Stinger mungkin tiada generasi kedua – laporan

    Ternyata tuah tidak menyebelahi Kia Stinger kerana carta jualannya kurang memberangsangkan, malah laporan berita dari Korean Car Blog menyatakan perkara ini mungkin menjadi penyebab model pacuan roda belakang ini tidak akan dibangunkan untuk generasi keduanya.

    Jualan bagi Stinger menyusut sebanyak 21% pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala jualan bulan Mac juga menurun sebanyak 40%, menurut Motor1. Perkara ini mungkin tidak terdorong dek penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia, di mana ia turut menjejaskan kewangan pengeluar kereta dunia apabila operasi pengeluarannya terganggu.

    “Buat masa ini saya tidak pasti ia bakal berjalan lancar seperti yang diharapkan. Kami tidak pernah menyangka untuk mengeluarkan dalam jumlah yang besar,” ujar timbalan presiden dan ketua pereka kanan Kia Design Studio di Jerman, Gregory Guillaume pada September lalu. Syarikat ini memiliki ‘harapan yang sangat tinggi’ untuk pasaran Amerika, dan pada masa yang sama berhadapan kesukaran untuk memasuki segmen premium seperti yang dialami oleh Stinger, ujarnya lagi.

    Kia Stinger mungkin tiada generasi kedua – laporan

    Bagaimana pun, Guillaume mengharapkan agar Stinger diberikan kebenaran untuk penghasilan generasi kedua, walau pun ia perlu dipertimbangkan untuk memiliki bentuk yang sama dengan model semasa. “Seperti yang anda ketahui ada banyak perkara yang dilakukan dengan elektrifikasi, jadi mungkin Stinger akan menjadi sesuatu yang lain,” merujuk kepada kemungkinan ia akan bertukar menjadi kenderaan elektrik.

    Di Malaysia, Kia Stinger dilancarkan dengan dua varian enjin – 2.0 liter turbo petrol empat-silinder GT Line berharga RM239,888 dan 3.3 liter V6 biturbo GT dengan harga RM309,888. Walau bagaimana pun, kedua-duanya telah dinaikkan harga sebanyak RM25,000 bagi 2.0 GT Line (kini RM264,888) dan RM74,000 untuk 3.3 liter GT dengan harga baharu cecah RM383,888.

    GALERI: Kia Stinger GTS

    GALERI: Kia Stinger GT

     
     
  • BMW X6 G06 tiba di Malaysia – xDrive40i RM729,888

    BMW X6 G06 tiba di Malaysia – xDrive40i RM729,888

    Diperkenalkan kepada dunia pada bulan Julai tahun lalu, kini BMW X6 generasi ketiga G06 sudah pun tiba di Malaysia dalam satu varian sahaja iaitu xDrive40i M Sport yang diimport sepenuhnya dan dijual pada harga RM729,800 bersama jaminan tanpa had batuan lima tahun dan pakej servis berkala percuma lima tahun.

    Melihat kepada ukuran, X6 generasi baru ini mempunyai ukuran lebih besar berbanding sebelumnya, dengan panjang bertambah 26 mm, lebar bertambah 15 mm dan jarak roda bertambah 42 mm. Hampir keseluruhan rekaannya juga adalah baru dengan antara yang menyerlah adalah gril hadapan lebih besar yang boleh menyala, lampu hadapan BMW Laserlights, lampu LED tiga dimensi di belakang dan lampu kabus LED.

    Model pasaran Malaysia ini juga dipasang dengan pakej BMW Individual Exterieur Line, yang menyaksikan penggunaan rel bumbung serta beberapa kemasan luar lain buatan aluminium. Pakej M Sport yang diberikan pula terdiri daripada sistem ekzos, brek, suspensi Adaptive M serta rim 21 inci yang dibalut tayar runflat.

    Varian xDrive40i yang dibawa ke Malaysia ini menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter TwinPower Turbo yang dipadankan bersama transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan untuk menghasilkan kuasa maksimum 340 hp pada 5,500 hingga 6,500 rpm dan 450 Nm tork pada 1,500 hingga 5,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.5 saat manakala penggunaan bahan api bercampur pula pada tahap 9.0 l/100 km.

    Melalui sistem BMW xDrive, kuasa dihantar kepada semua tayar dan pemandu juga boleh mengawal karekter kenderaan sama ada sporty ataupun lebih selesa dengan kawalan Driving Experience Control. Suspensi Dynamic Damper Control datang secara standard, dengan tetapan double wishbone di hadapan dan five-link di belakang.

    Pada bahagian dalam, model ini dilengkapi dengan tempat duduk sport yang dibalut kulit Vernasca, stereng M yang dibalut kulit, kemasan Aluminium Tetragon, pedal M, bumbung panoramik (83% lebih besar), panel instrumen Sensatec, pendingin hawa automatik empat zon, sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara serta lampu suasana.

    BMW X6 G06 tiba di Malaysia – xDrive40i RM729,888

    BMW Live Cockpit Professional juga diberi standard untuk varian ini, di mana ia termasuk panel instrumen 12.3 inci, skrin sesentuh 12.3 inci Control Display dan dua skrin sesentuh 10 inci Rear-seat Entertainment Professional di belakang. Pemandu juga boleh menggunakan Head-Up Display, BMW Gesture Control dan BMW Intelligent Personal Assistant untuk berkomunikasi dengan kenderaan.

    Pada bahagian keselamatan, model ini dilengkapi dengan Dynamic Stability Control (DSC), yang termasuk Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) dan Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist, Driving Assistant Professional dengan Active Cruise Control dan fungsi Stop&Go, Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Lane Keeping Assistant, Lane Change Assistant serta amaran perlanggaran.

    BMW X6 xDrive40i M Sport ditawarkan dalam enam warna iaitu Manhattan, Artic Grey, Riverside Blue, Carbon Black, Mineral White dan Flamenco Red. Ia kemudiannya boleh dipadankan dengan kemasan kulit BMW Leather Vernasca yang berwarna hitam atau Tacora Red (untuk warna luar Manhattan dan Riverside Blue sahaja).

     
     
  • UMW Toyota sumbang 10,000 unit PPE kepada KKM

    UMW Toyota sumbang 10,000 unit PPE kepada KKM

    UMW Toyota Motor telah menyumbang sebanyak 10,000 unit kelengkapan pelindung diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini. Kelengkapan PPE ini dihasilkan menerusi kerjasama anak syarikatnya, Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd (TBU), sebuah syarikat usaha sama dengan Toyota Boshoku Corporation dari Jepun.

    “Inilah masanya kami mahu berperanan sebagai syarikat korperat yang bertanggungjawab untuk membantu dengan cara yang termampu bagi memudahkan petugas barisan hadapan menunaikan kerja mereka. Kami mempunyai kemudahan yang boleh mengeluarkan PPE, maka kami membantu KKM untuk menambah jumlah stok dengan kadar lebih cepat – tanpa sebarang kos – berbanding terpaksa mendapatkannya dari luar negara,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

    TBU yang terlibat dalam pengeluaran kerusi kenderaan, kemasan pintu serta pengalas yang digunakan pada kenderaan yang dipasang di sini, mempunyai kemudahan untuk mengeluarkan beberapa peralatan PPE dengan mudah.

    Fasiliti berkenaan melibatkan mesin-mesin pemotong reka letak automatik serta mesin jahit industrial, dengan 75 orang pekerja mahir dalam menjahit kerusi kenderaan. Corak awal diperbuat daripada contoh unit seperti kasut pelindung, tudung dan baju yang kemudiannya dimuat naik ke mesin pemotong automatik. Rekaan akhir kelengkapan itu juga telah mendapat kelulusan KKM.

    TBU dijangka mampu menghasilkan 1,500 unit PPE sehari dan penghantaran fasa pertama sebanyak 10,000 unit tersebut telah pun diserahkan kepada KKM.

    “Toyota Motor Corporation dengan aktifnya menyokong apa juga usaha di banyak negara untuk mengatasi pandemik global ini. Sokongan tertakluk kepada keperluan, dan di Malaysia, kami sedar PPE menjadi keperluan mendesak bagi petugas kesihatan. Jadi, bersama anak syarikat kami, Toyota Boshoku Corporation, kami memberi tumpuan untuk membantu dengan cara ini,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

     
     
  • PKP: Kenderaan perdagangan dibenarkan jalani pemeriksaan keselamatan di Puspakom – Ismail Sabri

    PKP: Kenderaan perdagangan dibenarkan jalani pemeriksaan keselamatan di Puspakom – Ismail Sabri

    Dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 12 Mei ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan kerajaan membenarkan kenderaan perdagangan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tempoh ini.

    Menurutnya, kelonggaran itu diberikan memandangkan pemeriksaan kenderaan perdagangan penting bagi memastikan keselamatan. Walau bagaimana pun, pemilik perlu membuat temujanji pemeriksaan bagi memastikan kenderaan yang digunakan selamat untuk pengguna.

    “Mana-mana kenderaan komersial yang perlu diperiksa boleh membuat temujanji dengan Puspakom malah isu yang dibangkitkan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) juga kita sudah teliti. Mereka boleh membuat pendaftaran secara dalam talian dan jika perlu boleh membuat temujanji dengan Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pada 20 Mac lalu, Puspakom telah mengumumkan penutupan operasi bagi semua cawangannya sepanjang tempoh PKP. Walau bagaimana pun, sudah pasti pengumuman untuk membolehkan Puspakom membuka semula pusat pemeriksaannya untuk kenderaan perdagangan adalah selaras dengan kebenaran yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi sektor perkhidmatan penting kembali beroperasi.

     
     
  • PKP: Perkhidmatan LRT, MRT dan KL Monorail diawalkan sejam untuk operasi waktu petang

    PKP: Perkhidmatan LRT, MRT dan KL Monorail diawalkan sejam untuk operasi waktu petang

    Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan KL Monorail telah mengumumkan perubahan waktu operasi petang perkhidmatan rel di bawah kendaliannya sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

    Perubahan ini melibatkan waktu operasi petang sistem rel Rapid KL yang akan beroperasi sejam lebih awal dari biasa iaitu mulai jam 4 petang sehingga 10 malam sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020.

    Frekuensi kekerapan pula adalah setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak. Walau bagaimanapun, waktu operasi pagi sistem rel Rapid KL akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 pagi sahaja, dengan kekerapan setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak.

    Klik untuk besarkan

    Manakala perkhidmatan bas kendalian Rapid Bus juga akan mengikut jadual perkhidmatan yang sama. Perubahan waktu operasi petang ini adalah untuk memudahkan perjalanan pulang penggunanya yang beragama Islam bagi berbuka puasa.

    Orang awam juga diingatkan agar sentiasa mematuhi PKP termasuk menjaga jarak sosial yang telah ditetapkan ketika menggunakan pengangkutan awam serta merancang perjalanan mereka semasa perubahan waktu operasi petang ini.

    Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan rel Rapid KL, bolehlah melayari laman media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585.

     
     
  • Toyota Camry XV70 – imej bayangan dengan kit badan lebar agresif, hasil imaginasi kreatif dari Brad Builds

    Toyota Camry XV70 – imej bayangan dengan kit badan lebar agresif, hasil imaginasi kreatif dari Brad Builds

    Toyota Camry generasi baharu, nyata telah diubah imejnya dari sebuah sedan ‘ayah-ayah’ kepada sesuatu yang digelar ‘beautiful monster’ oleh Toyota sendiri. Namun, pernahkah anda bayangkan bagaimana jika Camry XV70 ini menerima ubahsuai dengan pemadanan kit badan lebar? Nah, ini dia imej render dengan konsep tersebut yang dihasilkan oleh Brad Builds.

    Pereka berkenaan menggunakan asas Camry dalam kemasan tertinggi untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu XSE. Keempat-empat ruang roda Camry tersebut diberikan fender yang jauh lebih lebar – ia tidak menerapkan rekaan seperti buih, tetapi lebih rata pada bahagian atas seakan fender kereta-kereta lumba yang membolehkan ia menerima kesan aerodinamik.

    Bagi menyesuaikan kedua-dua bahagian sisi yang kini lebih lebar, muka ‘jahat’ sedia ada pada Camry ini bertambah agresif menerusi pemadanan bampar dengan apron lebih lebar, dan diberikan pelbagai splitter udara. Manakala di belakang, kit badan ini diselarikan dengan bahagian diffuser yang juga lebih besar dan labuh.

    Toyota Camry XV70 – imej bayangan dengan kit badan lebar agresif, hasil imaginasi kreatif dari Brad Builds

    Tiada sayap GT gergasi diberikan, di mana penutup but belakang Camry ini hanya dihiasi spoiler ‘ekor itik’ lebih besar dari asal. Rupa kereta ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim yang juga jauh lebih lebar, kesemua lampu digelapkan dan diberikan warna badan merah gelap.

    Toyota Camry XV70 ini sebenarnya bukan sahaja hanya nampak lebih sporty. Dengan pembangunan menggunakan asas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menampilkan titik graviti serta kedudukan posisi pemandu yang rendah, karekter sedan ini turut selari dengan rupanya.

    Namun dengan harga yang lebih mahal dari generasi sebelum ini – RM196,888 untuk pasaran Malaysia, sudah tentu bagi mereka yang berumur lebih muda hanya mampu menelan air liur melihat sedan ini. Tapi tak mustahil ia akan jadi seperti Perdana V6 dan Honda Accord SV6 sebelum ini di mana golongan-golongan yang geram dengan kereta ini sekarang, akan ‘membalas dendam’ mereka setelah harga pasaran terpakainya nanti sudah mencapai tahap masuk akal.

    GALERI: Toyota Camry XSE 2018 pasaran Amerika Syarikat

    GALERI: Toyota Camry 2019 pasaran Malaysia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025