Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilanjutkan sehingga 28 April ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) membuat keputusan untuk terus menggantung operasinya di seluruh negara sehingga PKP tamat. Pada 3 April lalu, MBM telah memaklumkan untuk memanjangkan tempoh bagi servis dan warantinya agar ia tidak mendatangkan kegusaran di kalangan para pelanggannya.
MBM memaklumkan, syarikatnya akan memberikan penambahan masa bagi servis dan waranti sepanjang tempoh PKP. Untuk kenderaan yang sepatutnya diservis di antara 18 Mac hingga 28 April, akan diberikan tempoh tambahan sehingga 60 hari dari tarikh akhir PKP.
Mengenai waranti pula, MBM berkata untuk kenderaan yang warantinya berakhir antara 18 Mac hingga 30 Jun, juga akan dilanjutkan selama 60 hari selepas 30 Jun.
Sepanjang tempoh PKP ini, jika ada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan kecemasan untuk kenderaan mereka atau pun perkara yang berkaitan, bolehlah menghubungi pusat khidmat pelanggan MBM di talian bebas tol 1-800-88-1133.
Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Autocar, model baru Nissan Fairlady nanti akan menggunakan nama 400Z apabila memasuki pasaran untuk menggantikan 370Z yang kini sudah berusia lebih 10 tahun. Laporan itu juga menyatakan kemungkinan penggunaan enjin V6 turbo 3.0 liter yang diambil daripada model Infiniti Q50 dan Q60 Red Sport, sementara platform juga dikatakan diambil daripada Infiniti sedia ada.
Satu demi satu persiapan Nissan untuk pengenalan model ini dapat dilihat, dengan pada bulan lalu, mereka diketahui mendaftar logo baru model Z sebagai tanda niaga di Canada. Logo dua dimensi ini membawa semula kepada rekaan model klasik Fairlady sebelum ini dan dikatakan bersesuaian dengan rekaan model baru yang akan lebih banyak menggunakan rekaan ciri warisan model terdahulu.
Selepas versi biasa, ia kemudiannya akan diikuti pula oleh versi berprestasi tinggi, di mana kalau menurut laporan Autoblog, ada kemungkinan penghasilan versi Nismo yang mempunyai kuasa sehingga 500 hp. Walaupun dikata banyak membawa ciri rekaan warisan, Fairlady 400Z dijangka mempunyai ciri teknologi canggih termasuk pada sistem infotainmen dan paparan instrumen.
Sebenarnya, Nissan sudah pernah menghasilkan Fairlady yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo sebelum ini, tetapi ia sekadar sebuah model konsep yang dibawa ke pameran SEMA. Ia menggunakan enjin VR30DDTT, menggantikan unit enjin NA asal VQ37VHR, mampu menghasilkan kuasa sekitar 400 hp dan dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan serta limited-slip rear differential.
Manurut laporan Autocar lagi, Fairlady 400Z dijangka masih mengekalkan tetapan pacuan roda belakang, dan mungkin lebih laju berbanding model Infiniti yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo sama kerana ia lebih ringan. Pendedahan Fairlady 400Z dijangka berlaku dalam masa 12 bulan lagi tetapi kerana pandemik Covid-19 sekarang, ia mungkin ditangguh.
Thailand memang terkenal dengan kepakaran mereka mengubahsuai enjin Toyota 2JZ-GTE, iaitu enjin yang dikenali sebagai enjin standard pada Toyota Supra generasi keempat JZA80. Di sana, anda tak perlu hairan jika ternampak enjin 2JZ ini duduk di dalam perut Nissan Cefiro atau Nissan Skyline, kerana ia adalah normal.
Video yang anda lihat di atas adalah salah satu contoh lagi betapa popularnya enjin 2JZ ini di Thailand, sehinggakan pemilik Mazda RX8 ini, Pon Naruepon dari Bangkok membuang enjin Rotary Genesis 13B asal pada kereta berkenaan dan digantikan dengan enjin Toyota tersebut. Tapi apa yang tidak normal adalah kotak gearnya – ia kini menghantar kuasa ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik 7-kelajuan dari Getrag yang diambil dari BMW M3 E92!
Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan, kotak gear BMW tersebut dapat digandingkan dengan enjin Toyota dalam badan Mazda ini menggunakan satu plat penyuai yang dibuat secara custom – ini bukan sesuatu yang pelik kerana cara ini telah digunakan di serata dunia sejak sekian lama.
Apa yang pelik, bagaimana kotak gear yang penuh dengan sistem elektronik ini boleh berfungsi dengan sistem mekanikal yang penuh dengan gandingan-gandingan ‘rojak’. Rahsianya, enjin dan kotak gear ini dikawal dengan kotak komputer jenis stand alone dari Sweden iaitu MaxxEcu bagi membolehkan perkara sihir dan khurafat ini menjadi kenyataan.
Pon menggunakan MaxxEcu dari siri Pro yang sememangnya mempunyai fungsi untuk mengawal kotak gear DCT. Ia bukan sahaja membolehkan transmisi tersebut berfungsi semata-mata, malah talaan karekter penukaran gear turut boleh diubah, serta membekalkan fungsi-fungsi lain seperti launch control yang boleh berfungsi ketika pegun atau bergerak!
Dalam video di atas anda boleh lihat Pon mendemonstrasikan fungsi tersebut yang boleh dioperasikan menerusi butang untuk menjawab telefon pada roda stereng yang telah diubahsuai. Gear juga boleh ditukar secara manual dengan kelajuan 0.080 saat menerusi pedal penukar gear yang dipasang di belakang roda stereng berkenaan. Bagi memberikan penghantaran kuasa yang lebih baik dan panjang, nisbah gear akhir pada gandar belakang dari 4.1 kepada 3.1 yang diambil dri Nissan Skyline.
Walaupun spesifikasi Mazda RX8 ini seakan Frankenstein di atas kertas, tipikal kereta ubahsuai Thailand, ia masih lagi tampil dengan rupa yang cukup kemas – bukan sahaja boleh membuatkan orang ternganga dengan kelajuannya di litar, ia juga mungkin boleh menang dalam acara-acara autoshow.
Enjin 2JZ tersebut diletakkan dengan cukup kemas dalam ruang enjin, dengan wayar dan komponen lain yang disusun rapi, pilihan warna-warna yang seimbang dan unit turbo sebesar pasu bunga yang kelihatan seakan baru keluar dari kotak – dalam video yang disiarkan oleh saluran Youtube RaceBoyz sebelum ini menyebut ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 700 hp.
Begitu juga pada bahagian dalaman, di mana tombol gear BMW tersebut nampak seakan memang keluar dari kilang Mazda, manakala unit hiburan dari era cakera padat telah digantikan dengan skrin infotainmen yang turut dapat memaparkan informasi-informasi enjin dan kotak gear menerusi aplikasi MaxxEcu yang telah diimplementasikan.
Pada bahagian luaran pula, RX-8 ini diberikan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny, lengkap dengan sayap GT bersaiz gergasi di belakang. Pon juga memilih skema warna merah-hitam seakan livery Tomica pada kereta lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an dahulu.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal memasuki fasa ketiga bermula Rabu ini, 15 April dan berlangsung dalam tempoh dua minggu. Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr. Noorhisham Abdullah, fasa ketiga ini merupakan penentu sama ada rantaian penularan COVID-19 ini boleh diputuskan atau pun kita terpaksa melanjutkan lagi PKP.
Justeru, kerajaan sangat mengharapkan agar semua individu di Malaysia, supaya terus mematuhi PKP ini dan penguatkuasaannya juga akan diperketatkan memandangkan masih ramai lagi yang didapati ingkar biar pun kompaun RM1,000 telah dilaksanakan.
Di Pulau Pinang, ketua polisnya, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, penguatkuasaan lebih ketat bakal dilaksanakan termasuklah merangkumi perairan negeri. Menurutnya, setakat ini terdapat 40 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di negeri terbabit.
“Kita bermula dengan 21 SJR sebelum menambahnya kepada 34 SJR ketika PKP fasa kedua. Sekarang ada 40 sekatan dan kita akan menambah lebih banyak lagi apabila memasuki fasa ketiga. Dalam fasa ketiga PKP nanti kita jangkakan lebih ramai orang akan keluar susulan kebenaran untuk industri tertentu beroperasi, tapi selagi mereka ada pas dan mempunyai surat syarikat, tiada masalah.
“Tetapi kita akan mengetatkan pemeriksaan terutama pada 9 pagi hingga 4 petang, yang tiada sebab untuk berada di atas jalan akan diarah berpatah balik,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Menurutnya, ketika awal pelaksanaan PKP terdapat 50% kenderaan yang diarahkan berpatah balik kerana tiada sebab kukuh untuk keluar dan jumlah itu berkurangan sehingga kini.
“Ia satu perkembangan yang baik apatah lagi ketika pemeriksaannya antara 4 petang hingga 11 malam semalam, hanya dua kereta saja diarahkan pulang,” ujarnya lagi.
Bermula semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang, turut mengambil inisiatif untuk menutup laluan atas (flyover) Jalan Sultan Azlan Shah dari arah George Town menghala Bayan Lepas iaitu berdekatan Tapak Pesta Sungai Nibong.
Setelah dilancarkan di Thailand hujung tahun lalu, lepas ini nampaknya Honda City generasi baharu akan muncul di India pula – Autocar India telahpun mendedahkan berberapa spesifikasi model ini untuk pasaran negara berkenaan menerusi brosur yang telahpun bocor.
Tiada perincian berkenaan enjin pada brosur tersebut, tetapi menerusi laporan sebelum ini, India sah tidak menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo seperti Thailand. Sebaliknya model berkenaan kekal dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5L NA i-VTEC dengan kuasa 121 PS dan juga enjin 1.5 liter diesel i-DTEC yang kini telahpun menepati tahap emisi Bharat 6 (BS-VI).
Buat pertama kali juga, kedua-dua enjin pada pasaran ini menerima pilihan kotak gear manual dan CVT automatik – pada model generasi sebelumnya, versi diesel hanya tampil dengan kotak gear manual.
Dalam brosur yang bocor ini, model tertinggi di India iaitu City ZX (dua varian lain lebih rendah adalah VX dan V) diberikan kelengkapan yang agak baik. Ia hadir standard dengan lampu hadapan dan belakang LED-penuh, bumbung suria berkuasa elektrik, upholsteri kulit, material sentuhan lembut pada papan pemuka, dan juga paparan pelbagai info dengan skrin berwarna penuh tujuh-inci diletakkan di sebelah meter kelajuan analog.
Manakala untuk sistem hiburan, City ZX ini dibekalkan dengan skrin sesentuh lapan-inci yang dihubungkan dengan Alexa Remote, serta boleh dihubungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Sedan segmen-B ini juga hadir dengan sistem Honda Connect, iaitu sistem hubungan dengan aplikasi telefon pintar yang menggunakan kawalan telemetik bagi memberikan status perincian kereta terus kepada pemandu walaupun dalam jarak jauh.
Untuk keselamatan pula, City dengan spesifikasi penuh pasaran India ini diberikan enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSA), bantuan pengendalian lincah (AHA), kawalan traction, sistem pemantau tekanan angin tayar, bantuan mula mendaki (HSA) dan juga kamera undur.
Apa yang menarik lagi, model pasaran ini turut diberikan satu ciri yang tiada pada City Turbo di Thailand iaitu sistem kamera pemantau titik buta Honda Lanewatch. Pada pasaran lain termasuk Malaysia dan Thai, sistem Lanewatch ini biasanya hanya diberikan pada model-model besar seperti Civic, Accord dan CR-V.
Dalam ujian ASEAN NCAP untuk City 2020 yang didedahkan baru-baru ini, City tersebut dilaporkan akan hadir dengan sistem Lanewatch berkenaan. Adakah ia akan muncul di Thai dalam model kemaskini akan datang? Atau ia akan dibekalkan pada model-model negara ASEAN lain yang belum dilancarkan termasuk Malaysia? Kita tunggu sajalah perkembangannya nanti.
Great Wall Motors mempunyai perancangan untuk memperkenalkan Haval H5 generasi baru pada suku ketiga tahun 2020 di China. Walaubagaimanapun, gambar model SUV tersebut telah bocor lebih awal dan didedahkan oleh CarNewsChina.
Berdasarkan apa yang boleh dilihat daripada gambar ini, Haval H5 baru kelihatan sangat berbeza berbanding model sekarang yang lebih konvensional. Ia mempunyai rekan yang lebih berkotak dan seperti mendapat inspirasi daripada model Ford Bronco.
Penampilan lebih ranggi ini dicapai dengan penggunaan dua lampu bulat di hadapan, gril dengan tiga jalur di tengah, bampar berwarna hitam dengan cangkuk bersepadu, kemasan plastik di keliling roda serta side skirt.
SUV ini juga mempunyai lengkuk roda belakang yang lebih membonjol, bersama cermin sisi dengan lampu penunjuk arah, rel bumbung, rekaan rim lebih kompleks serta bumbung panoramik. Bahagian belakang dan dalam kenderaan ini masih belum dapat dilihat.
Begitu juga dengan perincian teknikal. Tiada yang diketahui setakat ini, tetapi ada laporan yang mengatakan Haval H5 baru ini akan didatangkan dengan beberapa pilihan enjin turbo termasuk unit 1.5 liter, 2.0 liter serta plug-in hybrid yang menggunakan gabungan enjin 1.5 liter dan motor elektrik.
GALERI: Haval H5 pasaran China yang dipasarkan sekarang
Icon Motosports adalah sebuah syarikat pengeluar kelengkapan menunggang yang beroperasi di Oregon, Amerika Syarikat dan terkenal dengan rekaan yang menyerlah. Identiti jenama mereka banyak dikaitkan dengan dunia stunt motosikal serta mereka yang menunggang secara agresif.
Dalam mempromosi produk mereka, Icon juga banyak menggunakan motosikal yang diubah suai sendiri supaya bersesuaian dengan identiti jenama mereka, dan projek terbaru melibatkan sebuah Suzuki Katana. Ini adalah kali pertama Icon memulakan motosikal projek menggunakan asas motosikal baru dari kilang dan hasilnya agak menarik.
Penampilan luar motosikal yang dipanggil Brand New Jack ini menggunakan inspirasi daripada karekter dalam animasi Gundam dari Jepun, dengan terdapat beberapa tambahan panel pada tepi radiator, fork, bawah enjin, belakang serta penghadang angin hadapan.
Bukan setakat penampilan, Icon juga mengubah suai motosikal ini dengan pemasangan suspensi Nitron, tayar Avon, ekzos Leo Vince, kelengkapan pengawal pada bahagian pemegang daripada Driven Racing dan Magura, rim Galespeed serta penyampai bahan api lumba.
Tiada sebarang informasi berkenaan peningkatan bahan api, dan kami menjangkakan ia tidak diusik, bermakna masih lagi menggunakan unit empat silinder sebaris DOHC 999 cc dengan kuasa 150 hp dan transmisi enam kelajuan. Mengenali Icon Motosports yang terlibat dengan banyak aksi stunt, sprocket motosikal ini pastinya telah diubah.
Toyota Harrier generasi keempat telah diumum akan diperkenalkan Jun tahun ini, dan bakal menyaksikan platform TNGA (GA-K) untuk SUV membuat penampilan sulungnya dengan varian petrol dan hibrid. Namun, enjin petrol 2.0 liter turbocas nampaknya digugurkan daripada barisan varian bagi model baru ini.
Barisan enjin baru bagi Harrier serba baru ini terdiri daripada unit 2,487 cc suntikan terus empat-silinder petrol bagi varian hibrid, termasuk motor pada gandar depan yang menjana 120 PS/202 Nm. Selain itu, unit 1,986 cc suntikan terus Dynamic Force NA petrol yang menghasilkan 171 PS pada 6,600 rpm dan 207 Nm pada 4,800 rpm.
Kedua-dua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT, dengan versi Hybrid juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang ditambah motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 54 PS dan 121 Nm. Versi Hybrid FWD pula akan mempunyai output sistem 218 PS, sementara versi E-Four dengan output 222 PS.
Dengan ukuran dimensi 4,740 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,660 mm tinggi serta jarak antara roda 2,690 mm, SUV lima-tempat duduk ini menggunakan suspensi MacPherson Strut di depan dan jenis double-wishbone di belakang, dengan cakera brek berliang di depan sementara cakera penuh di belakang. Rim 19-inci dengan tayar 225/55R19 digunakan.
Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripda Toyota Safety Sense, yang turut mengandungi sistem pra-perlanggaran yang turut mengesan pejalan kaki termasuk di waktu malam; pengayuh basikal juga boleh dikesan waktu siang sahaja. Ciri Intelligent Clearance Sonar dengan Parking Support Brakes pula membantu untuk menghindarkan perlanggaran dalam kelajuan rendah, seperti ketika membelok di tempat letak kereta.
Di dalam, Harrier serba baru ini menerima Digital Inner Mirror, model pertama Toyota yang dipasangkan ciri ini, membolehkan rakaman imej di bahagian depan dan belakang ketika memandu. Sistem infotainmen pula turut terkandung ciri sistem tunjuk arah T-Connect SD dengan skrin sentuh TFT 12.2-inci dengan SmartDeviceLink serta sokongan capaian Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk audio, sistem bunyi JBL dengan sembilan pembesar suara disediakan.
Bumbung panoramik juga disertakan, model pertama juga untuk Toyota yang menerima ciri berkenaan. Ini dilengkapkan lagi dengan operasi elektrik bagi pelindung cahaya matahari dan panel elektromagnetik yang menyempurnakan lagi kualiti pada SUV ini. Tahap kebisingan dalam kabin juga lebih rendah, dengan bahagian penebat bunyi yang digunakan, termasuk pada cermin tingkap.
Ketika pelancaran nanti, Toyota Harrier generasi keempat ini akan ditawarkan dalam tujuh warna, serta tiga peringkat kemasan bagi kedua-dua pilihan enjin biasa dan hibrid.
Dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal memasuki fasa ketiga Rabu ini sehingga 28 April nanti, harapannya orang awam akan lebih patuh kepada perintah ini memandangkan sudah membiasakan diri selama sebulan untuk berbuat demikian. Tambahan pula, ini waktu-waktu genting yang akan menentukan sama ada kita berupaya melawan wabak coronavirus di Malaysia atau sebaliknya, keadaan akan bertambah buruk.
Tetapi, data menunjukkan hal yang berbeza. Sabtu lalu sahaja, polis telah menahan seramai 1,220 orang bersangkutan pelbagai kesalahan perlanggaran PKP. Daripada jumlah itu, 854 orang telah dikenakan saman RM1,000. 345 orang pula ditahan reman, sementara 21 orang lagi dibenarkan ikat jamin. Perkara ini didedahkan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Angka individu ydang dikenakan juga semakin meningkat sejak Jumaat lalu, yang menyaksikan sebanyak 815 denda telah dikeluarkan. Sejak notis kompaun diperkenalkan pada 8 April lalu, seramai 2,156 orang telah disaman setakat ini. Ada juga yang menyatakan bahawa saman ini terlalu rendah, menyebabkan masih ramai orang tak ambil serius hal berkenaan.
Pada Sabtu lalu, sebanyak 783 sekatan jalan diadakan di seluruh negara, dengan pihak berkuasa telah memeriksa sebanyak 435,361 kenderaan. Pada Jumaat, sebanyak 490,249 kenderaan diperiksa di 779 sekatan jalan yang diadakan. Di lihat daripada angka ini, terlalu banyak kenderaan yang masih bergerak; tak kan lah semua ini dalam perkhidmatan dan urusan penting?
Masalahnya, masih ramai yang bagi alasan merapu ketika ditahan, seolah-olah sengaja tidak menghormati atau ingin patuh kepada PKP. Boleh sama-sama berusaha untuk pastikan kita berjaya melawan menularan wabak Covid-19 ini sepanjang PKP fasa tiga?
Seorang lelaki telah ditahan dalam satu sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang dijalan oleh polis daerah Kangar, Perlis semalam setelah dia mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasukan penguatkuasa tersebut ketika diminta menunjukkan kad pengenalan diri.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew dalam video yang disiarkan oleh saluran Youtube Asry Shafii ini, orang yang ditahan tersebut adalah seorang lelaki cina berumur sekitar 30’an. Dia ditahan setelah mula memaki pegawai kanan polis, iaitu timbalan ketua polis daerah Kangar sendiri dengan perkataan ‘Babi’ apabila diminta menunjukkan kad pengenalan dan juga lesen.
Wari turut menyatakan bahawa pemuda berkenaan ditahan di bawah seksyen Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Ketua polis Kangar itu juga merayu kepada orang ramai agar tidak mengeluarkan kata-kata kesat ketika polis menjalankan tugas sepanjang tempoh PKP ini kerana tugas berkenaan bukanlah tugas mudah, dan ini dilakukan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 ini terputus.
Kami juga ingin merayu kepada semua, kalau tak dapat bantu, janganlah kita menyusahkan pula tugas-tugas para pejuang barisan hadapan ini untuk memastikan hidup kita kembali normal seperti biasa. Sehingga semalam, sebanyak 4,683 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 76-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang, turut mengambil inisiatif untuk menutup laluan atas (flyover) Jalan Sultan Azlan Shah dari arah George Town menghala Bayan Lepas iaitu berdekatan Tapak Pesta Sungai Nibong mulai hari ini. Ia adalah untuk meningkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua IPD berkenaan Supt A.A Anbalagan berkata, semua jenis kenderaan dari arah George Town akan dialih ke laluan bawah iaitu Jalan Sultan Azlan Shah menuju ke Bayan Lepas.
“Namun laluan atas dari Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas menghala George Town masih dibuka seperti biasa dan polis hanya menutup laluan bertentangan dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan fasa tiga PKP. Ia juga bagi mengawal pergerakan penduduk di kawasan itu dan polis turut melaksanakan sekatan jalan raya di laluan berkenaan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Tambahnya, setakat ini lapan sekatan jalan raya telah dilaksanakan 24 jam sehari di daerah Barat Daya dalam menguatkuasakan PKP.
Rekod daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 12 April 2020 menunjukkan terdapat 116 kes positif COVID-19 di Pulau Pinang dengan Seberang Perai Tengah menjadi daerah tertinggi iaitu sebanyak 38 kes.
Tak boleh dinafikan dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oelh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 buat masa sekarang, antara yang paling terkesan adalah pemandu teksi.
Namun dalam masa yang sama, dengan pergerakan keluar dari rumah yang kini terbatas, kadar penggunaan khidmat penghantaran barang dan makanan secara tidak langsung meningkat dengan serta merta. Untuk menyelesaikan dua masalah ini serentak, firma aplikasi perkhidmatan teksi, PICKnGO kini mengumumkan bahawa pengguna aplikasi berkenaan turut menawarkan servis penghantaran.
Ini membolehkan sejumlah kira-kira 10,000 orang pemandu teksi dalam aplikasi tersebut membantu orang awam dan pemilik perniagaan untuk menghantar barangan termasuk makanan, keperluan harian dan pelbagai lagi.
“Perkhidmatan penghantaran ini turut mewujudkan cara alternatif untuk pemandu teksi meraih pendapatan dalam masa-masa mencabar seperti ini,” tulis syarikat tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan. PICKnGO turut menjelaskan bahawa bantuan RM600 yang diumumkan oleh kerajaan kepada pemandu teksi sebelum ini sudah tentu tidak mencukupi buat mereka untuk bertahan sehingga 28 April ini.
Macam mana nak guna pekhidmatan ini? Pertama sekali, anda terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi tersebut menerusi Google Play Store atau Apple App Store. Kemudian, gunakannya untuk membuat tempahan penghantaran dan sertakan perincian penghantaran berkenaan menerusi bahagian “mesej” pada aplikasi itu.
“Kami juga gusar dengan penularan Covid-19 dan telah menasihatkan kesemua pemandu kami untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dengan memakai topeng muka ketika bertugas serta sediakan pembasmi kuman untuk tangan di dalam kereta masing-masing, Kami juga menggesa agar pengguna untuk memakai topeng muka ketika menaiki teksi,” kata pengarah eksekutif PICKnGo, Valerie Chan.
Syarikat ini juga menggalakkan pengguna membayar perkhidmatan mereka menggunakan sistem elektronik yang disediakan dalam aplikasi tersebut bagi mengelakkan sebarang sentuhan fizikal. Buat masa sekarang, PICKnGo boleh digunakan di Lembah Klang, Perak, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.
Bagi penduduk di sekitar Tanjung Malim, Perak dan Hulu Bernam, Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim telah memaklumkan jalan alternatif yang menghubungkan kedua-dua daerah berkenaan telah ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas mulai 3 April lalu.
Menurut Ketua IPD Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman, penutupan jalan di sempadan Perak dan Selangor itu bagi mengehadkan dan mengawal pergerakan orang ramai selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
“Ia adalah jalan alternatif, namun Jalan Persekutuan Taman Universiti/Hulu Bernam bagi laluan sempadan Perak dan Selangor masih dibuka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Manakala mulai hari ini (13 April), Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak telah menutup empat laluan ke pekan Teluk Intan bagi tujuan yang sama.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata laluan terlibat adalah Jalan Pintas Lembaga Hasil Dalam Negeri Hilir Perak, Jalan Jawa, Jalan Sultan Abdullah ke Jalan Padang Tembak (susur kiri) menghala ke Bazar Nanas dan Jalan Maharajalela mulai lampu isyarat persimpangan Hotel Grand Court.
Katanya beberapa laluan alternatif boleh digunakan untuk pergi dan balik ke pekan Teluk Intan antaranya Jalan Changkat Jong menghala ke Jalan Sekolah/Jalan Bandar.
Kia Motors telah mendedahkan perancangan untuk menggantung operasi di tiga kilangnya yang terletak di Korea Selatan kerana penularan wabak pandemik COVID-19 turut menjejaskan eksport ke beberapa pasaran utamanya termasuk Eropah dan Amerika Syarikat. Menurut Reuters, Kia telah pun memaklumkan persatuan buruh negara berkenaan mengenai pergantungan tersebut.
Pengeluar automotif Korea ini hanya merancangn utuk pergantungan operasi selama seminggu iaitu dari 23 hingga 29 April, namun buat masa ini perkara berkenaan masih diteliti oleh persatuan buruh kerana rundingan mengenai gaji pekerja masih belum diputuskan, ujar persatuan buruh terbabit. “Kia Motors buat masa ini sedang meneliti pergantungan untuk beberapa kilang di Korea ekoran penurunan permintaan global disebabkan COVID-19. Walau bagaimana pun, keputusan tersebut tidak boleh dibuat pada masa ini,” ujar kenyataan itu lagi.
Eksport negara berkenaan telah menjunam sebanyak 18.6% dalam 10 hari pertama bulan April, berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menyusut 20.8% berbanding 1-10 Mac. Perhantaran kenderaan dan komponen kenderaan juga menyusut masing-masing sebanyak 7.1% dan 31.8%.
Sementara itu, Korea Selatan kini berdepan dengan gelombang ketiga wabak COVID-10, dan terdapat penemuan awal yang menunjukkan virus terbabit “aktif semula” dalam pesakit yang sebelum ini disahkan telah sembuh dari jangkitan terbabit.
Disember lalu, Indonesia menjadi pasaran pertama yang mendapat model NMax 2020 dan kini ia diikuti pula oleh Thailand. Dua pasaran ini adalah antara pasaran yang terbesar di Asia Tenggara dan menarik untuk kita lihat jika ada perbezaan antara model yang memasuki kedua pasaran ini, untuk memberi bayangan kemungkinan pakejnya.
Walaupun secara kasarnya kelihatan sama dengan model sebelum ini, panel badan NMax 2020 sebenarnya semua adalah baru termasuk lampu hadapan yang sekarang mempunyai DRL LED, penghadang angin depan yang sedikit melengkung, lampu penunjuk arah yang lebih kecil dan direndahkan, panel tepi yang lebih beralun dan lampu belakang LED baru yang terpisah dua seperti XMax 250.
Lebih menarik pada NMax 2020 sebenarnya adalah ciri dan kelengkapan, di mana kalau melihat pasaran Indonesia, ia boleh didapati dengan ciri Start Stop, Smart Motor Generator, Traction Control, sistem tanpa kunci serta sambungan kepada aplikasi Y-Connect dan telefon pintar, untuk memberikan fungsi paparan mesej dan panggilan, serta pengesan GPS.
Di pasaran Indonesia, ciri-ciri canggih ini kebanyakannya diberi pada versi ABS, sementara satu lagi versi biasa yang tidak dilengkapi ABS dan dijual lebih murah tidak mempunyai ciri-ciri ini. Lihat pula kepada pasaran Thailand, NMax 2020 hanya diperkenal dalam satu versi iaitu yang dilengkapi dengan ABS, pada harga 85,900 baht (RM11,339).
Walaupun mempunyai brek ABS, Yamaha Thailand telah menarik keluar beberapa ciri untuk menjadikan harganya lebih mampu milik, termasuk Traction Control, sistem tanpa kunci dan sistem sambungan kepada telefon pintar bersama aplikasi Y-Connect. Selain daripada itu, NMax 2020 pasaran Thailand juga tidak menggunakan penyerap belakang yang mempunyai tabung. Di Indonesia, versi tanpa ABS juga dijual dengan penyerap yang mempunyai tabung.
Enjin NMax 2020 masih lagi adalah sama seperti sebelum ini, iaitu unit satu silinder SOHC VVA suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa 14.9 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000 rpm. Tangki bahan apinya juga masih lagi 6.6 liter.